Search This Blog

Friday, April 22, 2011

Dua cedera ditembak lelaki bermotosikal

SEREMBAN - Dua lelaki cedera parah akibat ditembak dengan pistol dari jarak dekat dalam dua kejadian di Taman Seremban Jaya malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Othman Salleh berkata, dalam kejadian pertama pada kira-kira pukul 9 malam, dua lelaki yang menunggang motosikal itu menembak seorang pemilik sebuah kedai telefon bimbit yang berumur 30 tahun, di belakang stesen Petronas, Taman Seremban Jaya.
"Beberapa minit kemudian, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, seorang pemandu lori berusia 41 tahun pula ditembak di hadapan rumahnya, ia dipercayai dilakukan oleh lelaki yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. - Bernama-kosmo

Serangan siput di sawah padi



PARIT BUNTAR - Pesawah di dua kampung dalam mukim Tanjong Piandang, dekat sini dalam dilema berikutan serangan siput gondang ke atas tanaman mereka sejak sebulan lalu.

Ketua Unit Peladang Sungai Betul Bawah, Mohd Yusoff Sabran berkata, serangan siput itu telah bermula 2009 lalu dan masih belum dapat dimusnahkan sepenuhnya hingga hari ini.

Menurut beliau, kehadiran siput ini akan bertambah selepas kerja-kerja menabur benih atau menanam padi dilakukan.

“Siput Gondang Pamacea, ialah sejenis perosak tanaman padi yang telah dikesan berada di Malaysia dan dalam serangan ini, lebih kurang 440 ekar padi di Sungai Betul Bawah telah musnah.

“Serangan ini juga secara tidak langsung telah menjejaskan pendapatan 240 pesawah di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Yusoff berkata, tanda-tanda serangan siput ini dapat dikesan melalui kehilangan rumpun padi dan keratan daun anak padi yang terapung di permukaan air.

Menurut beliau, kebiasaan serangan siput gondang ini berlaku pada waktu malam dan senja.

“Setakat ini, belum ada racun atau kaedah yang boleh mengawal serangan siput gondang dari terus berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Ishak Yusof, 64 seorang pesawah di Kampung Sungai Labu Atas berkata, sebanyak 20 ekar sawah padi di kampung itu turut menghadapi serangan siput gondang.

Katanya, kejadian itu telah menjejaskan pendapatan pesawah apabila mereka hanya mampu memperoleh RM800 berbanding RM2,000 sebelum serangan.

“Jabatan Pertanian telah datang melakukan lawatan ke kawasan sawah yang diserang siput gondang bagi mencari jalan untuk mengatasinya.

“Kita berharap populasi siput gondang ini dapat dimusnahkan agar pendapatan pesawah dapat ditingkatkan kelak,” katanya.

Suspek curi motosikal dikenal pasti



KULIM - Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berjaya menahan seorang lelaki 27 tahun kerana dikatakan bersubahat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Kulim kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, hasil soal siasat dijalankan, lelaki berkenaan bersedia membawa polis ke tempat persembunyian suspek lain yang terletak di Taman Kulim Square.

“Kira-kira jam 2.30 pagi, dua anggota polis bersama seorang pegawai dari CPJ Balai Polis Kulim membuat serbuan sebuah rumah kampung di Taman Kulim Square. Polis berjaya menangkap seorang lelaki berusia 20-an yang tinggal bersama keluarganya.

“Polis menemui beberapa komponen motosikal yang diletakkan di dalam rumah. Kebanyakan komponen ditemui adalah motosikal model Yamaha RXZ dan Honda EX5. Dari keterangan dibuat, dia mengaku pernah mencuri motosikal, manakala adiknya mempunyai rekod perlakuan jenayah sama,” katanya.

Selain mencuri motosikal, suspek mengaku terlibat dalam penagihan ganja dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk menjalani ujian air kencing.

Menurutnya sehingga kini, beberapa individu dan kumpulan terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sudah dikenal pasti dan polis akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

“Dulu pencuri motosikal terpaksa menggunakan alat khas untuk membuka suis motosikal dan kemudiannya mematahkan kunci pada hendal motosikal sebelum melarikannya. Tetapi kini, pencuri motosikal akan meminjam motosikal mangsa dan dalam masa sama membuat kunci penduanya,” katanya.

Nyaris maut ditimpa pokok



TEMOH – Dua kanak-kanak nyaris maut ditimpa pokok tumbang berikutan hujan ribut yang melanda Kampung Sungai Dadeh, lewat petang semalam.

Kejadian jam 6.30 petang itu turut menyebabkan seorang penghuni mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kayu daripada pokok yang menimpa bahagian dapur rumah.

Mangsa, Adnan Ibrahim, 63 berkata, dua cucunya itu sedang menikmati hidangan petang di dapur ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, dua lagi ahli keluarga sedang berehat di ruang tamu ketika hujan lebat dan angin kencang melanda.

“Secara tiba-tiba kami mendengar bunyi seperti kayu merekah dan tidak lama kemudian, bahagian dapur rumah di timpa pokok berkenaan.

“Nasib baik kedua cucu saya sempat melarikan diri, namun salah seorang mengalami kecederaan di bahagian muka,” katanya kepada Sinar Harian.

Adnan berkata, bahagian dapur rumahnya habis musnah dan memerlukan kos tinggi untuk dibaiki.

Menurutnya, anggaran kerugian melebihi RM5,000 termasuk kos baik pulih dan beberapa peralatan elektrik yang musnah dalam kejadian itu.

“Saya amat terkejut dengan kejadian, namun menerima suratan yang berlaku serta bersyukur semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Semambu, Ahmad Nazri Din Yatim berkata, kejadian telah dimaklumkan kepada semua pihak berkenaan.

“Kita perlu mencari peruntukan segera untuk membantu keluarga ini terutama untuk membaiki kerosakan rumah mereka.

“Keluarga ini tetap tinggal di rumah mereka namun bahagian dapur sudah tidak dapat digunakan,” katanya ketika melawat keluarga mangsa bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Air Kuning dan Wakil Ahli Parlimen Tapah, semalam.

Ada sindiket curi elektrik



SKUDAI – Jangan terpedaya dengan taktik sindiket menawarkan perkhidmatan yang mampu mengurangkan caj bil elektrik di rumah mahupun premis perniagaan.

Saranan itu dibuat Pengurus Kanan (Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran) Negeri, Bahagian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohamed Noh Md Seth yang mahu orang ramai tidak termakan pujukan ‘orang tengah’ yang menawarkan perkhidmatan pengurangan caj bil elektrik yang sebenarnya menyalahi undang-undang.

“Kita ada kesan sindiket yang mungkin mengakui juruteknik elektrik dari TNB ataupun berpakaian menyerupai pegawai kami yang menawarkan perkhidmatan mengurangkan caj elektrik di kediaman mahupun kilang, yang sebenarnya mereka melakukan curi elektrik dengan pelbagai teknik dan taktik.

“Kita juga mengesyaki sindiket ini juga, dalam tempoh tiga atau empat tahun kemudian akan bertindak sebagai pelapor kes-kes kecurian elektrik kepada TNB kerana kita ada memperuntukkan habuan bagi pelapor kes-kes kecurian yang dilaporkan kepada kami,” katanya selepas mengadakan sesi dialog bersama pengguna, di sini, semalam.

Turut sama, Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng.

Mohamed Noh berkata, jika berlaku pengubahsuaian atau dipanggil meter elektrik diusik dikesan oleh TNB, pengguna akan dipertanggungjawabkan untuk membayar kembali caj kerugian yang dibuat mengikut dari tahun pelakuannya.

Katanya, Johor antara negeri yang mencatatkan kes kecurian tertinggi di negara ini dengan 1,400 kes dikesan dari September 2010 hingga April tahun ini.

Daripada angka itu, 70 peratus kes kecurian membabitkan kawasan perumahan dan selebihnya kilang dan premis perniagaan.

“Kes yang dikesan membabitkan rumah, di mana sebanyak 1.06 juta akaun bagi rumah dan selebihnya membabitkan kilang.

“Biarpun kilang mencatatkan rekod yang kecil namun ia membabitkan nilai kerugian yang besar dan selalunya 60 peratus daripada kes dilaporkan akan dibawa ke mahkamah. Jika membabitkan rumah, kita masih mampu mengadakan rundingan,” katanya.

Di negeri ini sebanyak 2,652 kilang yang mempunyai akaun dengan TNB dan 167,000 premis perniagaan.

Mohamed Noh berkata, bagi pelaku yang didapati mencuri elektrik boleh dikenakan tindakan jenayah di bawah Suruhanjaya Tenaga di bawah Seksyen 37 dan tindakan sivil TNB Seksyen 38 di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Lelaki mabuk bakar kereta



MUAR - Gara-gara tidak berpuas hati, seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila tergamak membakar sebuah kenderaan jenis Proton Gen2 milik rakannya dekat Jalan Sakeh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai baru pulang dari sebuah kelab malam yang terletak di sekitar bandar di daerah ini.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit yang berada di bawah pengaruh alkohol sudah memulakan pertengkaran mulut di salah sebuah kelab yang mereka kunjungi.

Bagaimanapun, pertengkaran itu berlarutan sehingga di luar kelab tersebut apabila salah seorang daripada lelaki berkenaan cuba melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Gen2 miliknya.

Suspek yang tidak berpuas hati bertindak mengejar rakannya dengan menggunakan kenderaan lain.

Rakan suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bahu Jalan Sakeh dan cuba menyelesaikan perbalahan tersebut.

Namun suspek bertindak ganas dengan membakar kereta rakannya itu sebelum kedua-duanya bertindak melarikan diri.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 47, berkata, dia terkejut apabila terlihat kepulan asap serta api yang marak dari sebuah kereta ketika melalui jalan berkenaan pada awal pagi kelmarin.

“Saya segera menelefon bomba kerana bimbang masih ada penumpang dalam kenderaan terbabit.

“Kira-kira 10 minit kemudian, bomba sampi di tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan namun kenderaan terbabit sudah rentung,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke hadapan untuk memberikan keterangan untuk membantu polis bagi memburu suspek yang terlibat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan bencana menggunakan api yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Penunggang maut di lebuh raya



SUNGKAI – Seorang lelaki, Mohd Shamshuri Mohd Noor, 46 maut di Kilometer 357.6 Lebuh Raya Utara Selatan, dilanggar sebuah kenderaan lain apabila terbabas dan terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dada, maut di tempat kejadian dalam kejadian berhampiran susur keluar Sungkai, petang kelmarin.

“Kejadian berlaku pada jam 3.15 petang, dan mangsa dipercayai menunggang ke arah selatan bersendirian ketika kejadian, dalam keadaan hujan lebat dan jalan dipercayai sedikit licin.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke penghadang jalan di sebelah kanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, mangsa terjatuh dari motosikalnya dan terbaring di laluan laju dan dipercayai telah dilanggar sebuah kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

“Mangsa juga merupakan bapa mertua kepada seorang anggota polis di Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya.

Roslan Bek berkata, polis masih menyiasat kejadian berkenaan dan menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

Hajat kahwin terkubur



MERSING - Hasrat seorang pemuda untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian apabila menemui maut dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Mersing-Kahang, semalam.

Difahamkan, mangsa, Fadli Sulaiman, 26, dalam perjalanan ke tempat kerja selepas pulang makan tengah hari bersama keluarga dan tunangnya.

Dalam kejadian berkenaan, kereta Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan dirempuh Toyota Harrier.

Mangsa yang bekerja di Kem Latihan Khidmat Negara Kluang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pasukan Bomba dan Penyelamat kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, beliau mengesahkan kejadian dan diklasifikasikan sebagai kemalangan maut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Bilik Mayat Hospital Mersing untuk dibedah siasat,:” katanya.

Remaja lelaki ditangkap rogol gadis bawah umur




KUALA KANGSAR – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun kerana disyaki merogol seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Manong, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Mohammad berkata, polis difahamkan pelajar terbabit mengikut suspek yang tidak bersekolah ke sebuah kawasan perkelahan di Guar, 14 April lalu.

“Hari yang sama, ibu mangsa berusia 42 tahun membuat laporan di balai polis setelah berjaya mendesak mangsa menceritakan kejadian itu.

“Sebelum itu, ibu mangsa menerima panggilan dari pihak sekolah, sekitar jam 10 pagi yang memaklumkan mangsa mengekori dua remaja lelaki dengan menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, setelah didesak ibunya, mangsa mengaku mengekori dua remaja berkenaan.

Dia juga mengaku berkelah di Guar serta mengadakan hubungan seks dengan salah seorang dari remaja lelaki berkenaan.

Menurutnya, setelah menerima laporan daripada ibu mangsa, polis terus memburu suspek dan berjaya menahannya pada hari yang sama.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa sebanyak satu kali ketika berkelah.

“Polis difahamkan mangsa dan suspek sudah lama berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta dan mereka mungkin melakukan hubungan intim secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini direman untuk siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol gadis bawah umur,” katanya.

Gelisah banjir air pasang



BATAK RABIT- Kelewatan pihak berkenaan membina ban konkrit untuk tebatan banjir menyebabkan Kampung Batak Rabit, Lorong Kalat, di sini diancam banjir air pasang setiap bulan sejak 40 tahun lalu.

keadaan itu menyebabkan hampir 750 penduduk yang mendiami 150 rumah bersempadan dengan Sungai Perak terpaksa berdepan pelbagai masalah termasuk banjir air pasang yang berlaku antara tiga hingga tujuh hari.

Seorang penduduk, Mohd Nasir Abdullah, 63, berkata, sikap sambil lewa pihak berkenaan yang tidak mengambil berat soal pembinaan ban konkrit lebih tinggi memudahkan lagi kawasan itu ditenggelami air setiap bulan.

Menurutnya, tebatan banjir itu sepatutnya dibina pada ketinggian 1.8 meter bagi menyekat aliran air masuk ke kawasan penempatan penduduk setiap kali air pasang di Sungai Perak.

“Ban yang dibina ini ketinggiannya hanya mencapai separuh sahaja. jaraknya pula hanya 100 meter, bukan 300 meter seperti yang sepatutnya.

“Kegagalan menyediakan ban menyebabkan tebing Sungai Perak berhampiran dengan rumah kami ini mudah dilimpahi air, situasi ini menjadi lebih teruk pada musim tengkujuh apabila air naik sehingga tiga meter,” katanya.

Isnin lalu, Kampung Batak Rabit, Lorong Kalat dilanda banjir air pasang.

Kawasan Lorong Kalat serta Lorong Pinang yang berada berhampiran sungai menjadikan dua kawasan itu lokasi paling teruk dinaiki air hampir 2.1 meter.

Sinar Harian difahamkan, dalam tempoh 10 tahun, lima rumah milik penduduk yang terletak di sepanjang tebing sungai roboh kerana hakisan tanah yang teruk menyebabkan penghuninya terpaksa berpindah.



Bimbang keselamatan



Seorang suri rumah, Siti Hajar Damanhuri, 32, berkata, kelewatan� pembinaan ban konkrit tebatan banjir yang lebih tinggi menyukarkan penduduk meskipun masalah itu sering dikemukakan.

Katanya, keselamatan kanak-kanak paling dikhuatiri kerana bimbang dihanyutkan air deras.

“Setakat ini belum ada berlaku kemalangan akibat banjir dan saya minta pihak berkenaan dapat jalankan pembinaan ban konkrit tebatan banjir di kawasan dengan segera, kami sudah tidak tahan dengan masalah ini,” katanya.

Seorang warga emas, Abdul Mutalib Pandak, 76, dia sudah tidak betah membersihkan rumah setiap kali dimasuki air.

Menurutnya, jarak yang terlalu hampir dengan sungai kira-kira 10 meter sahaja menyebabkan rumah mereka sering dimasuki air.

“Sebagai orang lama, saya mulai bimbang dengan tahap keselamatan penduduk, di sini, apatah lagi rumah yang kami diami ada menunjukkan kesan retak, harap ada tindakan segera diambil,” katanya.



Maklum pada JPS



Sementara itu, Ketua Kampung Batak Rabit, Ramli Nin ketika ditemui berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan menggantikan ban baru kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak.

Menurutnya, langkah itu penting bagi menggantikan ban konkrit lama yang telah roboh.

“Kita harap JPS dapat menyegerakan pembinaannya kerana jika masalah ini dibiarkan, saya yakin akan ada rumah penduduk roboh sepertimana lima rumah roboh sebelum ini akibat ban rebak,” katanya.

Petani mengaku tidak bersalah



KANGAR – Seorang petani mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri dan menjual baja bersubsidi, semalam.

Tertuduh, Azuan Jusoh, 39, sebelum itu ditahan reman sembilan hari untuk siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Batu 1, Sungai Baru, Simpang Empat bersama kira-kira 1,500 kampit baja subsidi, jam 12.45 tengah hari pada 3 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil yang boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Amir Irwan Yaakop manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Pihak pendakwaan sebelum itu mengemukakan permohonan supaya mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM3,000 kepada tertuduh.

Peguam tertuduh, Zuhir kemudiannya memberi alasan supaya menurunkan wang jaminan kerana tertuduh merupakan seorang petani dan kini menyara bapanya uzur berusia 89 tahun.

Majistret, Nurshahida seterusnya membuat keputusan mengenakan tertuduh jaminan RM1,500 berserta seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 20 Mei depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian mencuri baja subsidi milik kerajaan di sebuah rumah di Jalan Sungai Baru, Simpang Empat.

Selain itu, turut dirampas ialah sebuah lori treler dan lori biasa yang digunakan untuk mengangkut baja berkenaan untuk dijual ke keluar Perlis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Superintendan Nashir Ya berkata, dua suspek dari Simpang Empat dan Jitra itu ditahan ketika sedang memunggah baja-baja yang dicuri dari sekitar Kangar dan Arau itu ke dalam lori kira-kira jam 2.15 petang.

Menurutnya, suspek berusia kira-kira 40 dan 50 tahun yang dikesan mencuri 1,510 kampit baja yang tertera tulisan Hak Kerajaan dan tidak boleh dijual bernilai lebih RM25,000.

14 GRO, ibu ayam kena cekup



GEORGETOWN - Kurang 24 jam menerima arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya membanteras kegiatan maksiat dan dalang di sebalik perlakuan jenayah itu, satu pasukan dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri mengambil langkah pertama menyerbu sebuah pusat hiburan dalam sebuah hotel mewah di Persiaran Gurney awal pagi, semalam.

Operasi yang diketuai Pegawai Turus D7, Asisten Superintendan Mohd Sayuti Harun berjaya memberkas 11 wanita warga Vietnam, seorang wanita warga China dan dua wanita tempatan yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

Turut ditahan, enam pelanggan, beberapa pekerja dan seorang wanita yang dipercayai ibu ayam (penjaga).

Sayuti berkata, sebaik serbuan dilakukan mendapati kesemua GRO itu bertempiaran lari dan ada yang cuba bersembunyi di bawah tangga, menyembunyikan diri di atas siling dan beberapa orang dikesan cuba menyembunyikan diri dalam tandas pusat hiburan berkenaan.

“Kehadiran polis berjaya dihidu mereka selepas dimaklumkan oleh beberapa pekerja dan tonto yang mengawasi pusat hiburan itu. Kita dapati mereka berkomunikasi melalui walkie talkie.

“Walaupun ada cubaan melarikan diri melalui siling namun usaha mereka gagal kerana premis itu dikepung. Kami juga terpaksa menunggu hampir 30 minit di luar tandas kerana ada beberapa GRO yang bersembunyi di dalamnya enggan memberi kerjasama sehingga terpaksa memanggil pemilik premis untuk membuka pintu tandas,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian di sini, semalam.

Sayuti berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada antara GRO itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

Kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 30 tahun dan polis sedang mengesan sumber dan ejen yang membekalkan GRO warga asing ke pusat hiburan itu.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah dan 39 (b) Peraturan imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan.

Sementara itu, ibu ayam yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 55(b) Akta Imigresen kerana menggaji dan melindung warga asing.

Lelaki ditemui mati tergantung

 

BALING - Seorang lelaki, Muhamad Roslan Hamid, 35, dari Kampung Parit Panjang ditemui mati tergantung di sebuah bangsal kebun getah, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, lelaki berkenaan ditemui oleh penduduk yang melalui kawasan itu untuk ke kebun mereka.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang masih bujang dipercayai seorang penagih dadah mati menggantung diri dengan menggunakan dawai yang berada di bangsal berkenaan.

“Mungkin lelaki berkenaan mengalami tekanan dan mengambil tindakan menggantung diri,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Mat Daud berkata, hasil siasatan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Baling percaya, lelaki itu menagih begitu lama dan kematiannya tidak ada unsur perbuatan khianat.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Parit Panjang, di sini.

Hasrat beli kereta tidak kesampaian





KANGKONG - Hasrat seorang ayah untuk memberi kemudahan kepada keluarga tidak kesampaian apabila hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana rumah yang mereka sewa musnah dalam kebakaran.

Bapa kepada dua orang anak, Mohd Khairol Azhar Abu Bakar, 26, berkata, rumah sewa mereka di Kampung Alor Pulai musnah dalam kebakaran minggu lalu semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah daripada bekerja.

Menurutnya, semasa kejadian hanya dua orang anak berusia empat dan enam tahun bersama isterinya Shukriyah Abd Latib, 27, di rumah.

“Ketika kejadian itu, isteri sedang mengangkat kain di penyidai manakala dua anak saya sedang menonton televisyen di bahagian ruang tamu.

“Selepas mengangkat kain, isteri saya terlihat api pada bahagian plag berhampiran tempat anak saya menonton televisyen dan dia segera memaklumkan perkara itu kepada tuan rumah yang berada di kawasan berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khairol Azhar yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, semasa tiba di rumah, dia melihat seluruh bahagian rumah dua tingkat itu musnah terbakar dan tidak dapat menyelamatkan sebarang peralatan dalam rumah.

Dia berkata, hasratnya untuk membeli kereta jenis Proton Saga terpaksa ditangguhkan setelah dia turut menanggung kerugian hampir RM25,000.

Menurutnya, wang pendahuluan RM1,000 sudah dibayar awal bulan ini sebagai tempahan kereta itu.

“Namun, hasrat itu saya batalkan berikutan banyak kerugian yang terpaksa saya tanggung disebabkan kebakaran yang berlaku.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana motosikal yang selama ini menjadi kenderaan keluarga dapat diselamatkan dan ada pihak tampil membantu meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Mohd Khairol Azhar berkata, sumbangan yang disalurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Wanita Keadilan Ranting Kuala Sala sememangnya meringankan beban yang ditanggung.

Dia berkata, sejak kejadian itu dia bersama keluarga tinggal di rumah ibunya di Batu Tiga, Tandop.

Bangunan tabika disimbah cat



PADANG TEMU - Kepimpinan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) terkejut apabila mendapati lantai, dinding dan tingkap sebuah Taman Bimbangan Kanak-kanak (Tabika) di sini, disimbah cat oleh individu tidak bertanggungjawab, Selasa lalu.

Penduduk kampung juga kesal apabila, individu terbabit turut mencampakkan bangku tabika berkenaan ke dalam semak berhampiran pada hari sama.

Pengerusinya, Zulkifli Sulaiman, berkata, susulan kedua-dua kejadian itu pihaknya menganggap insiden berkenaan tidak masuk akal kerana ia berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.

Menurutnya, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di sini dan ia disedari seorang pembantu yang tiba ke tabika terbabit pagi, Rabu lalu.

“Saya juga dimaklumkan pembantu tabika bahawa dia terkejut apabila mendapati beberapa paip air di tempat mengambil wuduk dan singki luar berkenaan terbuka sehingga menyebabkan air paip keluar tanpa henti.

“Selain itu, pembantu berkenaan turut mendapati satu bangku panjang dan kerusi kecil digunakan oleh kanak-kanak ketika waktu minum dan makan di bahagian belakang turut dihumban ke kawasan semak di luar pagar tabika,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, tabika terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir.

Difahamkan, terdapat juga beberapa batang mancis di dalam singki di belakang bangunan Tabika berkenaan.

Zulkifli berkata, berdasarkan maklumat daripada masyarakat setempat, pihaknya mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh seseorang yang mempunyai masalah mental.

Katanya, kejadian itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada golongan ibu bapa, termasuk guru tabika berkenaan berikutan ia boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak serta guru di situ.

Sementara itu, Zulkifli berkata berkata, JKKK kawasan terbabit berharap agar :permohonan bagi pembinaan sebuah tabika baru di kawasan berdekatan yang dimohon kira-kira dua tahun lalu dapat disegerakan.

Tak mengaku salah rasuah



SEREMBAN – Seorang penyelia kaunter bas ekspres mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta rasuah daripada seorang pemandu bas di Mahkamah Sesyen Seremban, dekat sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Radzuan Amir, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, kira-kira jam 10.35 malam pada 11 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, dia dikatakan secara rasuah meminta suapan RM500 melalui panggilan telefon daripada pemandu bas, Salleh Buang sebagai dorongan supaya pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengambil tindakan ke atas Salleh yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ketika memandu bas dari Seremban ke Shah Alam dan Klang.

Mohd Radzuan dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Justeru, tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak lebih 20 tahun penjara dan tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana nilai lebih tinggi sekiranya sabit kesalahan.

Mohd Radzuan membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Nursinah menetapkan tarikh sebutan semula 23 Mei ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fiza Fazlin Fandi, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Polis tumpas sindiket pencuri



PORT DICKSON – Satu sindiket mencuri di kedai runcit termasuk pasar raya, pusat beli- belah dan stesen minyak berjaya ditumpaskan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson.

Polis bertindak atas maklumat orang awam dan risikan dilakukan berjaya menahan 20 suspek, dua daripadanya lelaki berumur 17 tahun, 10 lelaki dewasa berumur 40-an serta lapan wanita berumur 30-an.

Kebanyakan mereka warganegara Malaysia berasal dari Sabah, sementara seorang daripada wanita terbabit adalah warganegara Filipina dan seorang lagi warga asing menggunakan identiti palsu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, tangkapan dilakukan jam 5 pagi, 6 April lalu di sebuah hotel murah di Klang.

Menurutnya, ketika serbuan, semua suspek yang nyenyak tidur berada di tujuh bilik berasingan dalam hotel berkenaan.

“Dalam serbuan dilakukan, semua barang dipercayai hasil curi mereka yang turut berada di dalam bilik hotel turut dirampas, antaranya minyak pelincir, susu tepung kanak-kanak, gula, baju bayi, jam tangan, pemain cakera, sabun, beraneka serbuk minuman dan makanan segera.

“Semua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya ketika ditemui di Bilik Operasi IPD Port Dickson, di sini.

Baljeet berkata, polis turut menahan lima kereta pelbagai jenis dipercayai disewa oleh suspek untuk kegiatan mereka.

Menurutnya, serbuan dilakukan dua pegawai dan sembilan anggota polis dari IPD Port Dickson.

“Dengan tumpasnya sindiket ini, polis Port Dickson berjaya menyelesaikan lima kes berkaitan di sekitar daerah ini.

“Sindiket ini dipercayai sudah lama bergiat aktif di negeri lain, namun dikesan baru bergerak aktif menjalankan kegiatan ini di Port Dickson,” katanya.

Baljeet berkata, dalam pada itu, siasatan awal mendapati sindiket itu juga bergerak aktif di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Perak dan Pahang.

Menurutnya, semua barang yang dicuri dijual di kedai runcit dengan harga yang jauh lebih rendah.

“Polis masih menyiasat dalam pelbagai sudut kes ini termasuk menjalankan siasatan sama ada pegawai keselamatan di pasar raya turut terlibat berkomplot dalam sindiket i:ni.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan turut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Baljeet berkata, ia berikutan salah seorang suspek bertindak memukul pegawai keselamatan di sebuah pasar raya di Port Dickson selepas kegiatannya dihidu pihak berkuasa.

“Semua suspek disambung tahanan reman untuk membantu siasatan,” katanya.

Imam sehelai sepinggang



ASAHAN - “Allahuakbar! Rumah aku terbakar!.” Hanya itu mampu diluahkan seorang imam dan jurunikah yang melihat rumahnya dijilat api dalam kejadian di Kampung Relau, di sini, jam 3 petang, semalam.

Mangsa, Mohd Noh Aman, 65, yang telah 24 tahun memegang jawatan Imam dan Jurunikah Kampung Relau menceritakan detik dia dipanggil abangnya, Mohd Yusof Aman yang tinggal berhampiran memaklumkan rumahnya terbakar ketika dia berada di kebun, kira-kira 250 meter dari rumahnya itu.

“Saya baru sahaja memegang cangkul mahu memulakan kerja di kebun tetapi dipanggil abang yang menyuruh saya pulang kerana api marak membakar rumah.

“Ketika itu saya hanya terfikir isteri, dua anak dan tiga cucu di dalam rumah. Mujur semuanya diselamatkan salah seorang anak saya termasuk isteri yang pengsan kerana terlalu terkejut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak dapat menyelamatkan apa-apa kecuali reda membiarkan rumah enam bilik yang telah lebih 20 tahun didudukinya itu terbakar.

Bomba hadapi masalah tekanan air rendah
“Wang tunai RM2,500 milik isteri, anak dan saya sendiri juga musnah.
“Paling terkilan, duit derma surau RM300 yang belum sempat saya berikan pada bendahari surau turut musnah,” katanya.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun kini mereka tinggal sehelai sepinggang.
Sementara itu, anak mangsa, Zulkifli Mohd Noh, 38, pula berkata, dia tiba-tiba ternampak asal tebal daripada salah sebuah bilik.
“Saya kemudiannya ber usaha menyelamatkan ibu dan tiga anak buah yang masih berada di dalam rumah kerana api semakin marak.
“Saya mendukung anak buah yang berumur 12 dan 4 tahun keluar serta memapah ibu, Jaharah Rasit, 64, yang pengsan sebaik sahaja terlihat api menyambar rumah,” katanya.
Menurutnya, dua buah motosikal juga turut musnah dalam kejadian yang berlaku sekelip mata sahaja.
Ketua Balai Bomba Jasin, Ramli Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.32 petang dan tiba di lokasi 25 minit kemudian.
Menurutnya, tiga jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian dan api dapat dikawal sepenuhnya jam 4.30 petang.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli turut meluahkan kekesalannya dengan masalah tekanan air yang sangat rendah di kawasan terbabit sehingga menyukarkan kerja bomba mengawal kebakaran.

“Mujur ada bantuan jentera bomba dari Merlimau dan Ayer Keroh.
“Saya akan memberi taklimat kepada Pengarah Syarikat Bekalan Air Melaka Berhad (SAMB) me ngenai masalah teka nan air rendah di kawasan kampung kerana kejadian kebakaran boleh berlaku bila-bila dan di mana-mana sahaja,” katanya.

Maut rempuh kontena rosak



PELABUHAN BARAT - “Sehari sebelum kejadian, arwah Nazim sempat bergurau senda dengan saya dan rakan-rakan bahawa dia akan pergi bercuti jauh sambil memaklumkan tiada sesiapa akan dapat ke sana kecuali dia seorang kerana tempat itu terlalu jauh dan sunyi.

“Saya tidak sangka sama sekali gurauan itu adalah satu kenyataan yang dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” demikian cerita Boy yang juga salah seorang rakan kepada Muhammad Nazim yang meninggal dunia selepas motosikalnya merempuh belakang sebuah kontena yang dipercayai mengalami kerosakan dan di parkir secara menyerong di Jalan Pelabuhan Barat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, Muhammad Nazim Borkhannodin, 23, beralamat di Felcra Gugusan Lekir, Sitiawan, Perak dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pelabuhan Barat.

Boy berkata, arwah termasuk dia dan rakan yang lain akan memulakan kerja bagi syif jam 12 malam.

“Saya tidak pasti jam berapa dia keluar dari rumah sewanya kerana kami tinggal berasingan.

“Saya bersama seorang rakan melalui jalan yang sama ke tempat kerja dan setiba di tempat kejadian, kami terkejut melihat arwah terbaring dalam keadaan kepala berlumuran darah.

“Kami dimaklumkan, dia sudah meninggal dunia. Lantaran itu, kami terus menghubungi ahli keluarganya memaklumkan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, kontena itu di parkir di jalan terbabit oleh pemandunya selepas mendakwa mengalami kerosakan.

“Mangsa yang menunggang motosikal dari arah Klang menghala ke Pelabuhan Barat kemungkinan tidak perasan kedudukan kontena terbabit sebelum melanggar bahagian belakang menyebabkan mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan sama ada pemandu itu memberi signal kecemasan atau sebaliknya di belakang kontena.

“Jika terbukti gagal, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang melalui Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memerlukan saksi bagi kejadian berkenaan dan diminta menghubungi Balai Trafik Klang Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Kereta dirempuh dari belakang



GOMBAK – Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke Jerantut, Pahang selepas melawat anak di Seksyen 13 Shah Alam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 41.2, Lebuh raya Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) arah utara, di sini, semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi.

“Kereta Proton Putra yang dipandu seorang anggota Polis Unit Cawangan Khas Bukit Aman yang cuba mengelak motosikal di sebelah kirinya lalu terbabas dan merempuh sebuah kereta Kancil.

“Kereta kancil itu dinaiki sepasang suami isteri bersama adiknya itu terseret dan terbalik sejauh tiga meter,” katanya.

Akibatnya, Rosnah Mat Nor, 65, maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Manakala suaminya, Baharuddin Hussin dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, saksi yang juga pemandu teksi, Amir Arshad, 47, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian belakang kereta mangsa yang terletak di tengah antara tiga lorong lebuh raya itu.

“Dari jauh melalui cermin pandang belakang saya ternampak dua kereta satu jenis Mitsubishi Evo dan Proton Putra berwarna putih sedang berlumba dalam keadaan merbahaya.

“Melihat keadaan itu saya terus mengelak ke kiri jalan. Sebaik dua kereta itu melepasi kereta saya, terus ternampak kepulan asap di depan manakala kereta Kancil sedang berpusing sebelum terbalik di tengah lebuh raya,” katanya.

Menurut Amir, kereta Proton Putra yang hilang kawalan dipercayai melanggar sebatang pokok sebelum bergesel dengan kereta kancil tersebut dan dua motosikal, masing-masing dinaiki seorang penunggang.

Katanya, pemandu kereta Evo terus melarikan diri, manakala kereta Proton Putra terbabas di kiri jalan arah ke utara berhadapan Tanah Perkuburan Islam Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak.

“Saya melihat ke tempat kemalangan mendapati pemandu Kancil lingkungan 60-an, terselamat dan masih boleh keluar daripada kenderaan, manakala isterinya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Amir berkata, penunggang dua motosikal terbabit dilihat mengalami kecederaan bahagian bahu.

Katanya,semua mangsa tercedera dapat segera dibawa ke hospital kerana kebetulan terdapat ambulans melalui lebuh raya itu.

Sementara itu, Peronda Lebuh raya Duke, Anuar Borhan, 39, berkata, sebaik kejadian dia terus menelefon bilik gerakan polis sebelum mereka sampai beberapa minit kemudian.

“Ambulans membawa kesemua mangsa tercedera ke Hospital Selayang. Sementara mangsa yang maut terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

Difahamkan berikutan marah dengan kejadian itu, sekumpulan penduduk berhampiran bertindak membelasah pemandu Proton Putra tersebut.

Bagaimanapun, tindakan penduduk itu berjaya ditenangkan polis, manakala kejadian menyebabkan lebuh raya sesak sepanjang kira-kira dua kilometer ke arah utara.

Terkejut pokok hempap rumah




SIMPANG BALAK – Sebuah keluarga di sini terselamat apabila sepohon pokok rambutan menghempap ruang dapur rumah mereka dalam kejadian ribut petang semalam di Kampung Batu 13, Simpang Balak, Kajang.

Kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu nyata mencemaskan penghuni berkenaan, Hazham Abdul Malek, 52, isteri, ibu dan lima anaknya.

Hazham berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya.

“Kejadian ribut dipercayai berlaku kira-kira jam 6.15 petang dalam keadaan hujan lebat dan pada masa berkenaan semua ahli keluarga saya berada dalam rumah berkenaan.

“Isteri memaklumkan kejadian berkenaan berlaku dengan pantas menyebabkan mereka semua tergamam dan hanya memerhatikan dari jauh bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurutnya, bahagian dapur rumahnya musnah akibat pokok menghempap dan mengenai bahagian tengah rumah serta merosakkan beberapa peralatan dapur.

“Namun kami semua tetap bersyukur kerana tiada kemalangan berlaku dan menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Hazham berkata, kerja baik pulih dijalankan dengan bantuan jiran yang turut membantu mengalihkan batang dan dahan pokok.

“Inilah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku sepanjang saya tinggal di sini hampir 30 tahun lalu,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat yang meninjau kerosakan rumah akibat ribut sekitar Kampung Batu 13, Simpang Balak, semalam.

Sementara itu, Dr Che Rosli berkata, dianggarkan kira-kira 10 hingga 20 rumah mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang berlaku petang semalam di sini.

“Kita menerima aduan mengenai kejadian berkenaan yang berlaku dan segera mengadakan lawatan dari rumah ke rumah sebagai tanda simpati serta menghulurkan sumbangan kewangan untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Permasalahan ini akan kita panjangkan kepada pihak bertanggungjawab untuk segera menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana ia membabitkan keselamatan penduduk,” katanya.

Tercampak dalam paya




KUANTAN - Sebuah motosikal yang ditinggalkan dalam keadaan terbalik di tepi jalan Kampung Permatang 4, Merchong, Nenasi dekat Pekan merungkaikan tanda tanya pengguna jalan itu apabila penunggangnya ditemui parah dalam paya berhampiran , malam kelmarin.

Mangsa seorang lelaki Orang Asli, Rahmat a/l Mang, 33 dipercayai tercampak dari motosikalnya yang terjatuh selepas terbabas akibat hilang kawalan ekoran hujan lebat dan permukaan jalan yang licin.

Pegawai Penguat kuasa/Tadbir Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kemalangan yang menimpa mangsa disedari beberapa pengguna jalan itu selepas melihat sebuah motosikal Honda EX-5 tanpa nombor pendaftaran terbalik dan ditinggalkan di atas jalan.

Menurutnya, pengguna jalan yang berhenti meninjau selepas mensyaki ada berlaku kemalangan di situ gagal mengesan penunggangnya ekoran keadaan ketika itu hujan lebat manakala persekitarannya gelap tanpa lampu jalan.

“Bagaimanapun selepas mereka meninjau ke dalam paya di sebelah kiri jalan, penunggangnya ditemui dalam keadaan parah dan terbaring tidak sedarkan diri sebelum dibawa keluar dan dihantar pulang ke rumah.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di rumah sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Zainalabidin berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala manakala punca kemalangan masih dalam siasatan.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan kemalangan ini dipercayai tidak melibatkan kenderaan lain atau kes langgar lari,” katanya.

Justeru itu beliau meminta saksi kejadian supaya tampil menghulurkan maklumat bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit dengan menghubungi Pegawai penyiasat Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Inspektor Mohd Khairi Ahmad Adzam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kecuaian pemandu atau penunggang dikenal pasti antara penyumbang berlakunya kejadian kenderaan terbabas hingga menyebabkan kemalangan serius termasuk kemalangan maut.

Terima padah peras ugut gadis



KUANTAN - Seorang remaja lelaki sanggup mengugut untuk mencederakan dan memanggil rakan-rakan supaya merogol seorang gadis bagi memaksa mangsanya itu menyerahkan sebuah telefon bimbit dalam satu kejadian di Teluk Chempedak di sini, awal pagi 18 April lalu.

Kerana perbuatannya, remaja berusia 18 tahun dari Lorong Bukit Setongkol Perdana 52 di sini terpaksa menerima padah apabila dicekup polis selepas mangsa membuat laporan berhubung pemerasan itu.

Dia juga kini berdepan hukuman penjara hingga 7 tahun, denda, disebat atau dua daripada hukuman itu selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pemerasan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin di hadapan Majistret Nurulnaim Abdullah, semalam.

Remaja itu dibenarkan bebas dengan diikat jamin RM4,000 seperti yang ditawarkan pihak pendakwaan bagaimanapun dia dibenarkan membuat rayuan berhubung jumlah jaminan tersebut.

Dalam rayuan ringkasnya, tertuduh merayu jumlah ikat jamin ke atasnya dikurangkan memandangkan kejadian itu kesalahan pertamanya manakala dia juga terpaksa menyara adik dengan pendapatan tidak seberapa.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Nurulnaim mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,800 manakala 23 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan kes itu dalam mahkamah yang sama.

Kerbau punca kemalangan maut



TEMERLOH – Walaupun telah beberapa kali dinasihatkan mengawal haiwan ternakan daripada berkeliaran, namun pemilik ternakan masih berdegil hingga mengakibatkan nyawa pengguna jalan raya menjadi korban kecuaian mereka, malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku di Kerdau jam 10 malam itu, seorang tukang kayu, Wong Kam Loong 40, maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau di Kilometer 20, Jalan Temerloh-Jerantut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang seorang diri dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Jerantut.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengelak seekor kerbau yang melintas lalu merempuhnya mengakibatkan mangsa jatuh dan cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini dan

disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

“Kejadian berlaku di laluan lurus, permukaan jalan kering dan aliran trafik yang lancar,” katanya.

Mohd Nor menasihati orang ramai khususnya penduduk kampung yang memelihara haiwan ternakan supaya bertanggungjawab dan mengawal ternakan mereka daripada berkeliaran.

Beliau berkata, jika berlaku kemalangan akan menyebabkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya dan kerugian kepada pemilik kenderaan tanpa pemilik haiwan mengaku bertanggungjawab.

Gajah serang masjid



JERAM LANDAK - Sekumpulan jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh awal pagi semalam gempar apabila mendapati keadaan persekitaran masjid di kawasan ini mengalami kerosakan akibat serangan gajah.

Kejadian awal pagi itu turut memusnahkan tanaman seperti pokok pisang dan kelapa selain menyebabkan pagar di bahagian belakang masjid itu rosak.

Haiwan itu turut meninggalkan najis di kawasan bangsal masjid selain merosakkan beberapa peralatan memasak seperti tungku kawah.



Gajah datang dari arah kebun



Seorang penduduk, Aziz Yusof, 40, berkata, sehari sebelum kejadian gajah memasuki kawasan masjid, haiwan itu didapati berada di kebunnya.

“Sekitar jam 6 petang kelmarin, saya selesai menoreh dan kembali ke kebun kira-kira jam 8 malam untuk mengisi bahan pengeras getah berikutan hujan dijangka berlaku malam itu.

“Ketika sampai di kebun, saya mendapati pondok kayu yang menjadi tempat saya berehat rosak dan hampir musnah. Selain itu, beberapa dahan pokok getah juga patah. Saya cuba mengenal pasti penceroboh yang masuk ke kawasan kebun getah ini dan ternampak najis gajah tidak jauh dari pondok kayu itu,” katanya.

Aziz berkata, setelah ternampak najis itu, dia bergegas pulang ke rumah kerana khuatir diserang gajah.

“Saya bimbang haiwan itu datang secara tiba-tiba dan menyerang saya,” katanya.



Larang penduduk keluar



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu, Isa Mohd Yusof berkata, semua penduduk diminta supaya tidak keluar menoreh getah pada hari kejadian berikutan serangan gajah di kampung itu.

“Hampir seluruh penduduk mempunyai kebun getah dan kami percaya kumpulan gajah yang terdiri daripada ibu dan anak masih ada di kawasan kebun itu.

“Justeru, saya berharap penduduk kampung dapat mendengar arahan kerana bimbang keselamatan mereka terancam,” katanya.

Isa berkata, terdapat beberapa penduduk ternampak kelibat haiwan itu yang memusnahkan kebun pisang sekitar tiga hingga empat hari lalu.

“Kami percaya kumpulan gajah itu datang dari hutan simpan berhampiran. Selain itu, penduduk turut menjumpai tapak kaki gajah di sungai berhampiran iaitu tempat haiwan itu menyeberang untuk sampai ke kampung ini.

“Saya sudah melaporkan kejadian ini kepada Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah dan mereka bergegas ke sini untuk menjejaki kumpulan gajah itu,” katanya.



Kejadian pertama



Seorang warga emas, Siti Aminah Abdul Rahman, 63, berkata, kejadian serangan gajah itu pertama kali berlaku sepanjang dia tinggal di kampung itu.

“Selama 63 tahun saya tinggal di sini, tidak pernah kampung ini diserang atau dimasuki gajah. Kejadian pada hari ini (semalam) amat menakutkan dan kami sebagai penduduk gusar untuk pergi ke mana-mana kerana takut diserang gajah.

“Haiwan itu sukakan abu dari dapur kayu dan dipercayai menyerang kawasan masjid kerana terdapat abu di bangsal,” katanya.





Cuba buat pemantauan



Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd Shariff ketika dihubungi Sinar Harian berkata, setelah menerima laporan daripada penduduk, pegawainya pergi ke kawasan itu malam kelmarin untuk membuat pantauan.

“Tindakan susulan turut dilakukan pagi semalam dan pegawai Perhilitan melakukan tembakan untuk menghalau gajah dari kawasan kampung itu.

“Kami percaya gajah itu bergerak dalam satu kumpulan dan sebahagian daripadanya sudah menyeberangi sungai untuk pulang ke habitat asal mereka.

“Namun, terdapat seekor lagi gajah yang masih ada di sekitar kampung itu kerana dipercayai berpecah daripada kumpulan asal,” katanya.

Khairiah berkata, Perhilitan akan memantau dari semasa ke semasa keadaan kampung itu dan penduduk diminta supaya tidak menoreh getah buat sementara waktu.

“Buat sementara waktu, unit gajah dari Jabatan Perhilitan sedang melakukan operasi di daerah Bera. Setelah selesai, mereka akan bergerak ke kampung itu untuk membuat tindakan susulan,” katanya.

Polis buru dua geng baja



TEMERLOH – Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagaimana dua suspek kes curi baja yang boleh digelar McGyver apabila berjaya menanggalkan gari tangan seterusnya melarikan diri dari kawalan polis yang mengiringi mereka ke Mahkamah Temerloh, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, siasatan mengenai kejadian itu akan dijalankan termasuk ke atas seorang anggota berpangkat Koperal dan dua lans koperal yang ditugaskan mengawal suspek dari trak polis ke lokap mahkamah.

Menurutnya, tiga anggota terbabit ditahan tugas dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai.

“Operasi mengesan dua suspek ini diteruskan pasukan khas yang mengendalikan kes sejak awal tangkapan membabitkan kes samun lori baja,” katanya pada sidang media di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini semalam.

Mohd Nor berkata, suspek pertama yang melarikan diri adalah Jefri Sulaiman, 36, alamat terakhir nombor 20B, Bukit Malaysia, Mentakab Pahang.

Menurutnya, suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, suspek kedua adalah Hamzah Lim Abdullah 29, alamat terakhir nombor 30 Kampung Baru, Jabor, Kuantan.

“Kita percaya suspek kedua adalah penjenayah tegar berdasarkan lapan rekod jenayah lampau dimiliki antaranya membabitkan dadah, samun, dan memiliki barangan curi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nor berkata, polis menahan tujuh suspek kes curi lori baja membabitkan kerugian RM20,000 di Mentakab pada 19 April lalu.

Menurutnya, pada 20 April kira-kira jam 8.15 pagi, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Temerloh untuk perintah reman dan pada masa itu dua daripada tujuh suspek mengambil kesempatan melarikan diri.

“Suspek kemudian merampas sebuah kereta jenis Toyota Corona berwarna biru nombor pendaftaran BDB 8327 milik orang awam yang sedang berjoging di taman rekreasi bersebelahan mahkamah,” katanya.

Mohd Nor berkata, kira-kira jam 10 pagi polis berjaya mengesan suspek berada di Jengka 18 berdasarkan telefon bimbit milik pemilik kereta yang berada dalam kereta tersebut.

“Polis yakin dua suspek penjenayah ini masih berada di negeri ini dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 224 terhadap dua suspek kerana melarikan diri dari tahanan polis,” katanya.

Empat berdepan denda, penjara



KOTA BHARU – Dua penganggur berdepan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun selepas dituduh menagih dadah di Pejabat Narkotik di sini, April lalu.

Mereka masing-masing dituduh secara berasingan di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Zain Abdul Rahim, 29 didakwa melakukan kesalahan menagih dadah morphine itu Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada jam 6 petang, 18 April lalu.

Manakala seorang lagi, Ahmad Izzuddin Che Deraman, 22 dituduh menagih metamphetamine di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 11 malam, 10 April lalu.

Dua lagi buruh, Rokman Abdul Salam, 43 dan Mohd Syahril Hassan, 26 turut berdepan hukuman sama apabila mereka didakwa atas tuduhan sama. Rokman didakwa menagih dadah morphine di Jabatan Narkotik, IPD Kota Bharu pada jam 5 petang, 17 April lalu manakala Mohd Syahril dituduh menagih metamphetamine di Jabatan Narkotik IPK, jam 6 petang, 18 April lalu.

Mereka diikat jamin sejumlah RM2,800 sehingga RM3,000 masing-masing dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan patologi.

Pekerja dituduh tagih dadah



KOTA BHARU – Seorang pekerja pelantar minyak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menagih dadah jenis metamphetamine, empat hari lalu.

Pemuda berusia 22 tahun itu ditahan sebelum dibawa ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kota Bharu, di sini.

Dollah Abd Hamid yang beralamat dari Jalan Stesen Kereta api, Wakaf Baru itu dituduh menagih dadah berkenaan di pejabat tersebut pada jam 3 pagi, 18 April lalu.

Dalam prosiding di mahkamah semalam, tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak mengaku bersalah dan memohon dirinya dibicarakan atas tuduhan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara menunggu laporan patologi tertuduh 26 Mei depan, Majistret Nur Zakiyah Shamsudin membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM3,500 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Dua keluarga nyaris maut



KOTA BHARU - Dua keluarga nyaris maut apabila sebuah helikopter melakukan pendaratan cemas berhampiran rumahnya di Kampung Belukar, Salor, dekat sini, kelmarin.

Helikopter jenis Robinson 44 milik sebuah syarikat penerbangan swasta terbabit terpaksa melakukan pendaratan cemas kira-kira jam 9.40 pagi kelmarin dipercayai berlaku gegaran pada pesawat tersebut ketika sesi latihan penerbangan.

Pesawat berkenaan mendarat cemas di kawasan sawah yang terletak kira-kira 100 meter dari dua rumah berkenaan dan jurulatih dikenali sebagai Kapten Col bersama pelatihnya Ikbal selamat.

Seorang penduduk, Noraida Ismail, 34, berkata, sebelum kejadian dia mendengar bunyi enjin yang sangat kuat dari luar rumahnya dan menyangka ia adalah mesin ketam padi.

“Disebabkan bunyinya yang kuat serta semakin hampir dengan rumah, saya keluar memerhatikan di kawasan sekeliling dan terkejut kerana melihat helikopter itu terbang sangat rendah.

“Saya menjadi semakin cemas dan takut kerana kedudukan helikopter tersebut menghala ke arah rumah saya sebelum ia mendarat dalam keadaan tidak seimbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Noraida berkata, dia tidak dapat membayangkan perkara yang berlaku sekiranya helikopter itu terhempas dan meletup di atas rumahnya kerana jaraknya sangat hampir dengan tempat tinggalnya.

“Setelah melihat keadaan helikopter bergoyang saya terus berlari masuk ke dalam rumah menyelamatkan dua anaknya, Fasha Dayana Amran berusia lapan bulan dan Mohamad Faris, 9 yang tidur,” katanya.

Noraida bersyukur kerana mereka selamat dan insiden berkenaan adalah pertama kali berlaku sejak tujuh tahun tinggal di kampung tersebut.

Seorang lagi penduduk, Rohani Mamat, 50, berkata, dia sempat melibat helikopter berkenaan berpusing-pusing di udara sebelum merempuh pokok kelapa dan mendarat dengan selamat biarpun kipasnya kelihatan bergegar.

“Saya melihat helikopter berkenaan bergegar, terbang semakin rendah dan beberapa minit kemudiannya ia mendarat di kawasan sawah.

“Saya bergegas ke luar rumah dan melihat kedua-dua yang berada di dalam pesawat itu keluar dengan selamat,” katanya.

Pesawat berkenaan berjaya diangkat ke atas lori kira-kira jam 5 petang semalam untuk dibawa ke ibu pejabatnya di Kota Bharu.

Pelajar dibelasah kerana tidak serah duit 20 sen



TELUK INTAN - Seorang pelajar berusia 14 tahun cedera selepas dibelasah oleh seorang pelajar senior selepas mangsa enggan menyerahkan wang syiling 20 sen di sebuah sekolah di Bagan Datoh, di sini dua hari lalu.

Kejadian berlaku pada 1.30 petang ketika mangsa Nalson John, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Bagan Datoh yang juga orang kelainan upaya (OKU) telah ditahan oleh pelajar senior ketika mangsa sedang berjalan di hadapan kelasnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, sebaik ditahan pelajar senior itu dikatakan meminta 20 sen daripada mangsa namun mangsa enggan memberikan wang itu menyebabkan pelajar senior itu menendang mangsa di bahagian perut dan kepala.

Tendangan itu telah mengakibatkan mangsa hampir pengsan dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Sungai Sumun oleh guru sekolah selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh pelajar lain, katanya di sini hari ini.

Goh Kok Liang berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) oleh guru sekolah tersebut untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bapa mangsa juga telah membuat laporan berhubung kejadian itu dan polis telah mengambil keterangan daripada pelajar senior itu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.

Sementara itu bapa mangsa K. Agashdin, 41, seorang pekerja kilang kelapa sawit di Sungai Dulang, Bagan Datuh terkejut apabila diberitahu kejadian itu dan bergegas ke HTI untuk melihat anaknya.

Agashdin kesal dengan kejadian itu dan berharap pihak sekolah dapat mengambil tindakan terhadap pelajar senior tersebut.

Pelancong Britain mati lemas di Pulau Perhentian



BESUT - Seorang pelancong rakyat Britain mati lemas ketika mandi di pantai berhampiran chalet penginapannya di Pulau Perhentian Besar dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, hari ini.
Wanita dikenali sebagai Suzanne Lock Kam, 62, dipercayai berenang bersendirian kira-kira 15 meter dari pantai dan beberapa pelancong lain berada tidak jauh dari situ.
Suzzane yang diselamatkan kumpulan pelancong berkenaan disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Desa Pulau Perhentian Kecil dan mayatnya dihantar ke Hospital Besut di Jerteh untuk bedah siasat.
Wanita yang berasal dari Kampar, Perak dan mendapat taraf kerakyatan Britain itu, tiba ke pulau peranginan itu bersama suaminya Terry Michael, 73, pada 17 April.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian berkenaan.

Buruh Didakwa Bunuh Anak Angkat


AMPANG: Seorang buruh warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, kerana didakwa membunuh anak angkatnya, minggu lalu.
Mohd Ali Mohd Yunus, 28, kelihatan tenang meskipun pertuduhan yang dihadapinya memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan bersalah.
Dia didakwa membunuh mangsa yang berusia dua tahun 10 bulan, antara pukul 10 pagi dan 12 tengah malam, di sebuah rumah di Lorong Permai 29, Ampang Campuran, Ampang Jaya, di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Husnita Mohd Radzi mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekaan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Wan Karimah Wan Md Abdul Ghani menetapkan kes disebut semula pada 21 Jun depan untuk tertuduh melantik peguam.-mstar

Dua Sebabkan Kematian Penuntut Korea Dipenjara 12 Tahun


PETALING JAYA: Dua jurujual yang menyerang seorang penuntut warga Korea sehingga mangsa meninggal dunia selepas koma tiga hari dihukum penjara selama 12 tahun bermula Jumaat.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu selepas mensabitkan Wong Kok Hoong, 39, dan Lau Mann Sing, 46, bersalah menyebabkan kematian Lim Jong Yong yang dibelasah dengan menggunakan kayu golf dan kayu besbol.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.30 malam, 25 Jun 2007 di jalan raya berhadapan Blok Kasih, Kondominium Crimson, Ara Damansara, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lim, 25, yang merupakan penuntut jurusan pengurusan hotel di sebuah kolej di Damansara Utama, dekat sini mengalami tujuh kecederaan termasuk ditikam dan kejadian itu disaksikan oleh adik kembarnya.
Keterangan pada perbicaraan menyatakan, tertuduh bertindak sedemikian selepas kereta Nissan X-Trail yang dinaiki mereka sukar untuk melepasi jalan kerana kereta Perodua MyVi yang dinaiki oleh mangsa bersama kembarnya berhenti di tepi jalan tersebut.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan tiga tikaman di kedua-dua paha meninggal dunia pada pukul 4.30 petang, 6 Julai 2007 di Pusat Perubatan Sunway.
Pada penghakimannya, Rozina berkata, mahkamah menerima keterangan adik kembar mangsa selaku saksi pendakwaan keempat (SP4) yang mengecam Wong sebagai lelaki yang menggunakan kayu golf manakala Lau bersenjatakan kayu besbol.
"Keterangan yang diberikan oleh tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh berada di tempat kejadian dan telah menyebabkan kecederaan yang seterusnya membawa kepada kematian mangsa," tambahnya.
Wong yang akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Jun ini dan Lau yang masih bujang kelihatan tenang semasa menerima hukuman mereka.
Rozina membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 21 saksi pendakwaan manakala peguam A. Vasudevan yang mewakili kedua-dua tertuduh mengemukakan empat saksi pembelaan.
Beliau juga membenarkan permohonan Vasudevan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi.
Bagi tujuan tersebut, Rozina menaikkan jaminan RM12,000 terhadap kedua-dua tertuduh menjadi RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat kedua-dua mereka melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang untuk ke luar negara
mstar

Empat Sekeluarga Dalam Perjalanan Rai Hari Lahir Datuk Maut Kemalangan


Keadaan Kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga selepas bertembung dengan sebuah lori treler di KM63 Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai, awal pagi tadi. Kesemua mangsa maut ditempat kejadian iaitu Diong Kah Keng, 24 serta isterinya, Koh Kiah Hui, 23; adiknya Diong Kah How, 21 dan seorang saudara mereka, Choi Kok Sin, 23. -Foto BERNAMA 

PEKAN: Empat sekeluarga yang sedang dalam perjalanan untuk meraikan hari lahir datuk mereka yang ke-81 berakhir tragedi apabila kesemua mereka maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler di KM63 Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai, awal pagi tadi.
Kesemua mangsa dikenali sebagai Diong Kah Keng, 24 serta isterinya, Koh Kiah Hui, 23; adiknya Diong Kah How, 21 dan seorang saudara mereka, Choi Kok Sin, 23.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata ketika kejadian pada 4.50 pagi tadi, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Kah Keng sedang berkonvoi bersama dua lagi kereta ke Kuantan untuk meraikan hari lahir datuk Kah Keng.
Bagaimanapun, katanya setiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut melanggar bahagian kanan lori treler yang dipercayai terkeluar daripada laluannya.
"Ini menyebabkan kereta tersebut berpusing sebelum terperosok ke bawah lori terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya bomba mengambil masa hampir dua jam bagi mengeluarkan mayat kesemua mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat.
Yahaya berkata setakat ini, pemandu lori terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Ong Yuet Lian, 43, berkata, mereka bertolak dari Johor Baharu kira-kira 1 pagi.
Katanya dia yang berada berada di hadapan sekali dalam konvoi berkenaan hanya menyedari kemalangan itu selepas dihubungi seorang lagi anaknya, Diong Kah Sian, 15, yang menaiki sebuah lagi kenderaan. - BERNAMA

Dua Lelaki Ditahan Guna Perisian Komputer Tiruan



GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Pulau Pinang menahan dua lelaki dipercayai pemilik dan pekerja sebuah kedai menjual komputer kerana menggunakan perisian komputer tiruan di Kompleks Bukit Jambul semalam.
Ketua Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang M. Guna Selan berkata kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi pada pukul 1.30 petang selepas menerima aduan daripada Microsoft Malaysia.
"Dalam serbuan itu KPDNKK turut merampas sebuah unit pemprosesan data komputer (CPU) dan sebuah komputer peribadi yang mempunyai perisian tiruan. Nilai rampasan berjumlah RM26,600," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan mengikut Akta Hak Cipta 1987 untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara lima tahun atau denda antara RM2,000 hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Parah akibat dendam


TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 25 tahun cedera parah selepas ditetak dan dibelasah sekumpulan 13 lelaki dalam pergaduhan di sebuah taman permainan di Taman Semarak, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa cedera di kepala, belakang dan dada, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tawau.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi rakan ke taman berkenaan bagi menyelesaikan dendam lama dengan sekumpulan lelaki.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka dikepung 13 lelaki di taman terbabit sebelum dua rakan mangsa sempat melarikan diri.

Usaha mangsa yang cuba melarikan diri gagal apabila dihalang lelaki terbabit yang nekad menetak dan membelasah mangsa sehingga berlumuran darah sebelm penduduk taman yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, berkata sebaik menerima aduan itu, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, semua lelaki terbabit sudah melarikan diri sebelum mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakan dari kampung bersebelahan iaitu Muhibbah Bal, ke taman itu dengan niat untuk bergaduh.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, mereka dikepung sekumpulan lelaki, sebelum dua rakan mangsa melarikan diri meninggalkan mangsa yang kemudian dibelasah dan ditetak.

“Hasil siasatan juga mendapati parang dan kayu adalah antara senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya.

Ibrahim berkata, mangsa masih dirawat di Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan segera menyalurkan maklumat kepada polis jika menyedari sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka,” katanya.-mymetro

Helikopter berlegar 5 minit sebelum junam ke sawah


PASIR MAS: “Hampir lima minit helikopter itu dilihat berlegar-legar di kawasan kampung sebelum mendarat cemas dengan keadaan bahagian hadapannya menjunam di dalam kawasan sawah kira-kira 100 meter di hadapan rumah saya.
“Kejadian itu memang mencemaskan, namun mujur tiada kemalangan jiwa berlaku,” kata Noraidah Ismail, 34, saksi kejadian sebuah helikopter mendarat cemas di Kampung Surau dekat Salor di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dua juruterbang helikopter yang sedang menjalani latihan di kawasan berkenaan berdepan detik mencemaskan sebaik pesawat dinaiki menghadapi masalah teknikal pada bahagian ekor sebelum melakukan pendaratan cemas.

Situasi itu menyebabkan penduduk kampung bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan juruterbang terbabit, namun kedua-duanya selamat.

Noraidah berkata, dia yang berehat di rumah bersama suami, Amran Che Min, 35, dan dua anak terkejut mendengar bunyi bising seperti kipas rosak di hadapan rumah.

“Sebaik keluar rumah, saya lihat helikopter itu betul-betul menghadap rumah dalam keadaan menjunam. “Saya segera mendapatkan suami serta anak kerana bimbangkan keselamatan mereka berikutan kedudukannya hampir dengan rumah.


“Selepas mendarat, dua juruterbang keluar dari helikopter dan seorang daripadanya bertanya kepada suami mengenai lokasi untuk membolehkan maklumat disalurkan kepada pusat latihan mereka di Pengkalan Chepa,” katanya ketika ditemui di kawasan terbabit, semalam.

Suri rumah itu berkata, sebelum kejadian penduduk kampung melihat helikopter itu terbang rendah.
“Kejadian ini pertama kali berlaku dan mungkin masalah kipas rosak menjadi punca kejadian. Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana juruterbangnya mampu mengawal helikopter dan mendarat cemas,” katanya.

Sementara itu usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan daripada syarikat helikopter berkenaan di lokasi kejadian tidak berhasil berikutan keengganan kakitangannya mendedahkan kejadian itu selepas mendakwa mendapat arahan pihak atasan supaya tidak memberi sebarang kenyataan.

Helikopter berkenaan terpaksa diangkut menggunakan lori dan proses memindahkannya ke dalam kenderaan itu mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum dibawa ke pusat latihannya di Pengkalan Chepa.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang, kelmarin.-mymetro

Penipu pakej umrah ditahan


GEORGETOWN: Kelicikan pengarah wanita syarikat sebuah agensi pelancongan yang menjadi buruan pihak berkuasa sejak dua tahun lalu kerana dipercayai menipu pakej umrah dan ziarah, berakhir apabila dia dicekup dalam serbuan di Taman Senawang, Negeri Sembilan, Selasa lalu.
Wanita berusia 37 tahun yang sudah berkahwin itu ditahan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hasil intipan dan pemantauan empat hari.

Difahamkan, suspek turut dipercayai terbabit dalam beberapa kes penipuan pakej berkenaan membabitkan beberapa pelanggan termasuk di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, M Gunaselan berkata, tindakan diambil hasil empat waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown sebelum ini.

Katanya, suspek dilaporkan gagal menghadirkan diri pada setiap perbicaraan berdasarkan aduan seorang wanita mualaf berusia 37 tahun di Pulau Pinang, dua tahun lalu.

“Mangsa menghadapi pelbagai masalah kononnya visa tidak dapat dikeluarkan, tiket penerbangan dan pelbagai masalah yang lain sebelum suspek menghilangkan diri.


“Mangsa yang mengesyaki ditipu, membuat laporan dan tuntutan di Tribunal Pengguna Pulau Pinang, 30 Januari 2009 dan memperoleh perintah supaya syarikat suspek membayar balik keseluruhan wang mangsa,” katanya.

Gunaselan berkata, suspek dipercayai gagal membuat sebarang pembayaran sehingga hari ini dan dikesan bersembunyi di Seremban.
Menurutnya, ketika pegawai penguat kuasa KPDNKK tiba, suspek cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Seremban untuk dibuat laporan tangkapan.

Katanya, wanita itu kemudian diserahkan kepada KPDNKK Pulau Pinang pada jam 2 pagi kelmarin, untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 dan jika gagal mematuhi perintah mahkamah boleh didenda RM1,000 sehari,” katanya.