
Akibat terlalu takut kedua-dua tekong terbabit bertindak nekad terjun ke laut sebelum dibantu tekong ketiga.
:Ketua Ketua Penguatkuasa APMM Perak, Kapten (M) Ang Cheng Hwa berkata, sewaktu kejadian, mereka sedang menjalankan Ops Cegah Jenayah Octopus di sekitar perairan Pulau Pangkor, dekat sini.
“Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kami berjaya mengesan tiga bot yang mencurigakan sedang berlegar-legar sebelum mereka bertindak melarikan diri.
“Namun, apabila kami cuba menghampiri serta mengarahkan berhenti, bot itu terus memecut sehingga berlaku adegan mengejar yang berakhir kira-kira lima minit kemudian,” katanya kepada pemberita, semalam.
Operasi itu diketuai Bintara Muda Ahmd Faizul Mat Hassim dan Bintara Muda Ahmad Tarmizi Ahmad dibantu lima anggota lain menggunakan bot ronda Bot Kilat 10 dan 11.
Menurutnya, suspek yang melarikan diri gagal dikesan namun mereka menemui rokok keretek di dalam kedua-dua bot.
“Bot terbabit itu sarat dengan 190,000 karton pelbagai jenis rokok keretek dengan harga pasaran dianggarkan RM800.000.
“Nilai rampasan keseluruhan termasuk rokok, duti import, duti eksais, cukai jualan, bot dan enjin sangkut dianggarkan kira-kira RM875,000. Kes penyeludupan ini yang pertama dan terbesar di Perak tahun ini,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua bot terbabit ditunda ke jeti Lembga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh, Sitiawan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 (akta 235) yang membawa hukuman denda 10 kali ganda daripada nilai rampasan atau penjara 10 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, rokok yang dirampas adalah hasil daripada negara jiran dipercayai di seludup melalui jalan laut dan mendarat di sebuah lokasi pendaratan haram di pantai Barat Perak serta disyaki untuk diedarkan di sekitar pasaran gelap di Manjung dan Ipoh.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan aktivit menyalahi undang-undang diminta menghubungi APMM” katanya.