Search This Blog

Tuesday, April 19, 2011

Rugi ditipu penyewa kereta



KUAH - Seorang ejen pelancongan mendakwa ditipu seorang lelaki yang menyewa kereta sewanya dan tidak melunaskan bayaran tertunggak walaupun berjanji berbuat demikian.

Ejen pelancongan, Pisal @ Faisol Ayob mendakwa, lelaki terbabit menyewa kereta jenis Honda Accord selama 10 hari dengan bayaran RM3,500 dan kemudiannya menyambung sewa selama 18 hari dan sehingga kini belum melunaskan baki bayaran tertunggak sebanyak RM 6,800.

“Saya berjumpa dengannya buat kali terakhir pada 13 April lalu untuk mengambil kembali kereta sewa dan dia berjanji melunaskan baki bayaran dalam beberapa hari, namun lelaki terbabit gagal dihubungi dan menghilangkan diri, “ katanya.

Pisal membuat laporan polis mengenai penipuan itu dan turut berusaha mencari lelaki yang dipercayai masih berada di sekitar Langkawi.

Lelaki itu dipercayai menggunakan kereta sewa yang berlainan untuk menjalankan kegiatan penipuannya untuk mengelak dari dikesan.

Balai Polis Kuah mengesahkan menerima laporan yang dibuat dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Pesawah dipenjara lapan bulan

 

SIK - Seorang pesawah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sik, semalam, atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan mengambil dadah.

Dalam pertuduhan pertama, Hashim Ali, 37, didakwa memiliki satu keratan straw berisi dadah jenis heroin seberang 0.38 gram, kira-kira jam 7 petang, 8 Februari lalu, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Begia.

Bagi pertuduhan itu, Hashim didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan tambahan, Hashim pada 8 Februari lalu, kira-kira jam 7 petang, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Begia dengan tanpa kebenaran memberikan ke dalam diri sendiri dadah berbahaya.

Hashim dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa kepada hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku faham selepas mendengar kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya dan dia mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman dijalankan serentak bagi kedua-dua pertuduhan, bermula dari tarikh tangkapan iaitu 8 Februari lalu.

Mahkamah turut menetapkan supaya tertuduh diletakkan bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas Hashim bebas kelak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi.

Enam motosikal bertembung



KULIM - Seorang maut manakala dua lagi cedera parah apabila sekumpulan remaja yang menunggang motosikal terbabas, lalu berlanggar antara satu sama lain di kilometer 20.6 Lebuhraya Butterworth Kulim Expressway (BKE), awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila semua mangsa terlibat menunggang motosikal dengan laju dari arah Jalan Sungai Limau menghala ke Plaza Tol Lunas.

“Sebelum kejadian, Unit MPV Polis dari Balai Polis Lunas membuat pemantauan di sekitar tempat kejadian kira-kira jam 12.05 pagi dan berjaya mengarahkan beberapa kumpulan motosikal bersurai dari berkumpul di tepi lebuh raya. Kira-kira jam 2 pagi, sekumpulan penunggang motosikal dilaporkan menunggang motosikal dengan laju dan terbabas.

“Mangsa yang terbunuh seorang remaja lelaki 16 tahun dan masih bersekolah. Dari siasatan dijalankan, motosikal mangsa bergesel dengan sebuah motosikal lain, lalu terhumban sejauh 2.5 meter di tengah jalan sebelum dirempuh beberapa motosikal lain.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, patah paha kanan dan patah pergelangan kaki kiri mati di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Saksi kejadian berkata, enam motosikal terlibat dalam kemalangan itu dan seorang daripada mereka melarikan diri setelah mengalami kecederaan ringan.

“Ketika kemalangan berlaku, semua motosikal dan penunggang terlibat berselerak di atas jalan. Dua motosikal kemudiannya diletakkan ke tepi longkang berhampiran lebuh raya oleh beberapa remaja dipercayai rakan-rakan kepada mangsa.

“Remaja lain yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Seorang mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan kemudiannya dilihat melarikan diri meninggalkan kawasan kemalangan sebaik polis tiba,” katanya.

Sehingga kini, polis sedang menyiasat punca kemalangan. Namun, beberapa pemilik motosikal sudah dikenal pasti.

Polis palsu perdaya peniaga pasar



IPOH – Seorang lelaki dikesan menyamar sebagai polis memperdaya peniaga di Pasar Pasir Pinji dan menuntut bayaran kononnya dia dapat membantu mereka yang melanggar peraturan berniaga.

Sinar Harian difahamkan lelaki Melayu berusia dalam lingkungan 40-an itu mempunyai rekod jenayah lampau dan sebelum ini pernah didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Chang Tat Guan, 41, berkata, beliau mendapat panggilan daripada Pengerusi Rukun Tetangga Taman Melor, Tan Seong Fatt dan memberitahu ada seorang lelaki menyamar sebagai polis dan menjalankan penguatkuasaan di sekitar Pasar Pasir Pinji.

Menurutnya, Seong Fatt menyatakan ‘polis palsu’ itu menegur beberapa peniaga yang melanggar peraturan.

“Selepas itu, lelaki tersebut mula meminta wang dengan alasan akan melepaskan peniaga daripada dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Pasir Pinji, semalam.

Tat Guan yang tidak berpuas hati terus menuju ke pasar itu bersama tiga yang lain untuk bersemuka dengan suspek.

Katanya, beliau memperkenalkan diri sebagai ahli majlis dan bertindak membawa lelaki itu ke balai polis kerana mencurigai tingkah lakunya.

Jika disabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika pemeriksaan ke atas suspek dibuat, polis menemui sekeping gambar berpakaian seragam polis dengan pangkat Asisten Superintendan dan tali pinggang lambang polis.

Selain itu, pelekat lambang Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut dipamerkan di cermin bahagian tempat duduk penumpang kereta jenis Satria Neo bagi mengaburi mata orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian itu.

Mayat ditemui terapung



TAIPING - Mayat seorang lelaki dipercayai warga negara Myanmar ditemui terapung dalam sebuah parit berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Matang, dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mayat berkenaan telah ditemui orang awam sekitar jam 6.30 petang.

Menurutnya, sepasukan polis dihantar ke lokasi penemuan mayat setelah mendapat maklumat itu.

“Sampai di lokasi penemuan, polis mendapati keadaan fizikal mayat telah membengkak dan mereput.

“Berdasarkan keadaan mayat lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu, dipercayai mangsa mati dua hari sebelum ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Yusuf berkata, mayat itu telah dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan punca kematian dipercayai tidak mempunyai unsur jenayah.

Menurutnya, tidak terdapat sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa ketika ditemui.

“Kita percaya mangsa adalah warga Myanmar berpandukan satu kertas bertulisan Myanmar dijumpai bersamanya.

“Tidak ada kesan pada mayat itu menunjukkan mangsa dipukul atau sebagainya dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati lemas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana majikan yang kehilangan pekerja untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8080222 untuk mengenal pasti mayat.

Jeritan nenek selamatkan cucu



PONTIAN - Jeritan seorang nenek yang berusia 75 tahun, berjaya menyelamatkan empat cucunya daripada hangus dalam kejadian kebakaran di lorong tengah, Taman Gembira, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Menurut Hashimah Abd Kadir, 43, ketika kejadian kesemua anaknya sedang tidur dan dikejutkan dengan jeritan ibunya, Rafiah Talib yang memberitahu rumah mereka terbakar.

“Keempat-empat anak saya, Rifdi Haziq, 16, Mohd Faris Dinie, 14. Batrisyiah Awatif, 9 dan Yasiera Qawien, sedang lena tidur ketika kejadian berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memapah ibunya yang terjatuh ke lantai akibat terlalu terkejut sehingga tercedera di bahagian kepala.

“Pada mulanya suaminya saya, Norman Ali, 41, pergi ke dapur dan kemudiannya melihat api keluar daripada perkakasan dapur.

“Bilik ibu saya terletak berhampiran dengan bahagian dapur dan terus menjerit memberitahu rumah terbakar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, suaminya juga teragak-agak untuk menyimbah air kerana api semakin marak memandangkan rumahnya dibina daripada kayu.

“Lantas suami terus mengejutkan semua orang yang ketika itu sedang lena tidur, keluar daripada rumah kerana api begitu cepat marak dan memusnahkan rumah kami,” katanya.

Menurutnya, tiada apa yang dapat diselamatkan memandangkan api begitu cepat marak dan mereka keluar sehelai sepinggang.

Tidak sempat selamatkan pakaian pelanggan
Hashimah yang juga mengambil upah menjahit di rumah turut melahirkan rasa kesal kerana tidak sempat menyelamatkan pakaian ditempah pelanggan.
Sementara itu, jiran mangsa, Fatimah Yusof berkata, dia menyedari kejadian kebakaran itu selepas dikejutkan ketukan pintu meminta tolong daripada anak lelaki mangsa, Rifdi Haziq, 16.
“Ketika kejadian berlaku saya baru sahaja hendak terlena dan dikejutkan dengan ketukan pintu yang kuat meminta tolong.
“Saya bingkas bangun dan mengejutkan suami yang kemudian segera membuat panggilan kecemasan,” katanya.
Menurutnya, suaminya turut menunggu di hadapan Taman Gembira memandangkan lokasi rumah yang agak terpencil.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan I, Bahtiar Selamat dari Balai Bomba Pontian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.17 pagi dan tiba lima minit kemudian.
Menurutnya dua jentera dari Balai Bomba daerah Pontian bersama tujuh anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Bahana merempuh



KUALA KANGSAR - Warga emas M Devane, 62, maut akibat cedera parah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 76 Jalan Ipoh-Gerik, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 12.05 tengah malam, kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Pantai, Ipoh.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 11.20 malam itu, kereta yang dinaiki mangsa telah membelok di satu kawasan garisan berkembar untuk memasuki simpang di seberang jalan secara tiba-tiba.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca dari tindakan pemandu yang membelok secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang Taman Ria.

“Kereta dari Kuala Kangsar itu kemudiannya dirempuh oleh sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata, kejadian turut menyebabkan penunggang motosikal, A Tinagaran, 32, cedera parah sementara pemandu kereta, yang juga rakan mangsa pula mengalami kecederaan ringan.

“Polis difahamkan mangsa dan rakannya tinggal di kawasan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Sauk, sementara penunggang motosikal dari Jalan Datuk Sagor, di sini.

“Mangsa masih bernyawa ketika di lokasi kejadian dan dikejarkan ke hospital dalam kadar segera, namun gagal diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian kemalangan itu masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

”Polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

731 individu bunuh diri sejak 2007 - Rosnah Shirlin



KUALA LUMPUR 19 April - Bagi tempoh tiga tahun sejak 2007, seramai 731 individu dilaporkan telah membunuh diri di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 
Beliau berkata, angka itu membabitkan 545 lelaki dan 186 wanita, manakala Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia pula menunjukkan 321 kes melibatkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu dan 298 kes golongan bujang.
"Bunuh diri boleh berlaku akibat beberapa penyebab yang berkait seperti faktor biologi, genetik, psikologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran dengan faktor kemiskinan, tiada pekerjaan, kegagalan akademik, hutang dan putus hubungan romantik juga menyumbang kepada kejadian itu.
"Gangguan bunuh diri atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan substans dan alkohol dan gangguan personaliti juga boleh mendorong kepada perlakuan bunuh diri,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Usha Nandhini di Dewan Negara, di sini hari ini.
Bagi mengatasi masalah itu, Rosnah berkata kementeriannya melaksanakan beberapa langkah pencegahan dan perawatan awal seperti kempen Promosi Kesihatan Mental dan Advokasi, menerbitkan risalah tentang kesihatan mental dan mewujudkan laman web bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai gejala tersebut. - Bernama

20 kertas siasatan jenayah siber dibuka tahun ini



KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 kertas siasatan jenayah siber telah dibuka bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini yang membabitkan penyebaran fitnah, penyelewengan maklumat, penghinaan, hasutan dan pornografi.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sepanjang tahun lepas, sebanyak 582 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu 422 disiasat mengikut kedua-dua seksyen tersebut yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan, katanya di Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zaitun Mat yang ingin tahu keberkesanan langkah kerajaan dalam menangani jenayah siber khususnya berkaitan fitnah, penyelewengan, hasutan dan pornografi.
Salang berkata bagi tempoh 2000 sehingga sekarang, sebanyak 17 kes didakwa mengikut kedua-dua seksyen terbabit termasuk tiga kes yang masih dalam perbicaraan.
Selain itu, mereka yang menyalahgunakan internet juga boleh didakwa mengikut akta lain seperti Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan, kata beliau.
"Selain pendakwaan di mahkamah untuk pesalah-pesalah dalam negara, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media juga akan mengambil tindakan secara teknikal seperti menyekat akses kepada laman-laman web terutamanya yang berbentuk ”phishing”, penipuan, pelbauran haram dan pornografi,” katanya.
SKMM juga katanya, telah menubuhkan Biro Aduan SKMM yang menerima semua jenis aduan bagi membolehkan siasatan dilakukan. - Bernama

Pati Indonesia dipenjara 10 tahun sebabkan kematian anak



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) Indonesia kerana menyebabkan kematian anaknya, dua tahun lepas.
Hakim Nor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas Adi Mahasab, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Adi, 29, bekas pekerja kilang, sebelum ini didakwa membunuh anaknya, Nur Fadilah yang berusia empat bulan di Flat Seri Angkasa, Taman Bayu Perdana, Klang pada 2 Dis 2009 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, turut dihukum penjara setahun kerana mencederakan isterinya, Kamriah Sabtu.
Bagaimanapun, tertuduh diperintah menjalani hukuman itu serentak mulai tarikh dia ditahan, iaitu 7 Dis 2009.
Dalam penghakimannya, Nor Azian berkata mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah Adi serta kecederaan teruk yang dialami kedua-dua mangsa.
Katanya, jika tertuduh ditahan lama dalam penjara, ia akan membebankan kerajaan serta pembayar cukai, oleh itu, beliau berharap Adi akan dihantar pulang ke Indonesia sebaik selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan, ketika kejadian, Adi dan isterinya bertengkar sebelum bergaduh, yang kemudian berakhir dengan tertuduh memukul Kamriah serta menghempas anaknya ke lantai.
Kamriah meminta bantuan tuan rumah Hussain Ali, yang kemudian menghubungi polis.
Isteri Adi serta Nur Fadilah yang meninggal dunia dalam pergaduhan itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dan bedah siasat mendapati mangsa cedera teruk di kepala akibat hentakan benda tumpul.
Tertuduh melarikan diri selepas kejadian dan dia ditahan di sebuah flat di Seksyen 25 Shah Alam lima hari kemudian. - Bernama

Warga emas, remaja maut dalam dua kemalangan di Pahang



KUANTAN - Seorang warga emas dan seorang remaja maut dalam dua kemalangan yang berlaku dalam tempoh 80 minit di negeri ini semalam.
Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Najib Jusoh berkata dalam kejadian pertama kira-kira 7.10 pagi, Muhammad Faiz Jamaluddin, 17, maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Km 9 Jalan Jerantut-Temerloh.
Kejadian berlaku apabila kereta itu dipercayai membuat pusingan 'U' dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki Muhammad Faiz dan adiknya Mohd Zaki, 14, yang datang dari arah bertentangan, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kejadian itu juga menyebabkan Mohd Zaki cedera parah. Kira-kira 80 minit kemudian, Muhammad Deraman, 62, maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Km 39.7 Jalan Maran Maran Jengka.
Mohd Najib berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Muhammad terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Viva.
Mangsa yang tersepit dan cedera parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya. - Bernama

Doktor ke penjara selepas gagal dapat lanjutan masa merayu



PUTRAJAYA - Seorang doktor terpaksa meringkuk dalam penjara selepas gagal dalam usaha untuk mengenepikan hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan terhadapnya kerana kesalahan menjual bahan psikotropik, kira-kira lima tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hasan Lah, yang bersidang bersama Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, memerintahkan Dr Ravinder Singh Dhillon, 50, menjalani hukuman itu mulai hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas panel berkenaan menolak permohonan Dr Ravinder untuk melanjutkan masa bagi menfailkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini menolak rayuannya, memandangkan dia terlewat 30 hari untuk menfailkan notis usul berhubung perkara berkenaan.
Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor menolak rayuan Dr Ravinder berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret bagi dua kesalahan membekalkan bahan psikotropik dan satu kesalahan menyimpan bahan itu di tempat tidak berkunci.

Pemilik Klinik dan Surgeri Batu Lima di Lorong Sungai Dua Besar 1, Batu Lima, Jalan Kapar, Klang itu didakwa melakukan kesemua kesalahan terbabit di klinik berkenaan pada 23 November 2006. - Bernama

Ketua Geng Jongang mati ditembak



SEREMBAN - Ketua kumpulan penyamun warga asing berusia linkungan 20-an yang digelar "Geng Jongang" mati ditembak anggota polis selepas cubaan menyerang anggota terbabit menggunakan parang dan ketika itu dua rakannya sedang memotong pagar sebuah rumah yang terletak di lot tepi di Taman Bukit Sendayan kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Bekas pemain bola sepak dan isteri dihadapkan ke mahkamah atas kes dadah



MARANG - Bekas pemain bola sepak Terengganu dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 120 gram di Bukit Payong, dekat sini pada 9
April lalu.
Mohd Asrul Zainuddin, 21, bagaimanapun dilepaskan atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mamat kerana tertuduh merupakan saksi pendakwaan.
Isteri beliau, Razulaika Rashid, 34, dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Razulaika mempunyai tiga orang anak bersama suami pertamanya manakala Mohd Asrul yang juga bekas penjaga gol skuad Piala Presiden Terengganu adalah suami keduanya.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Razulaika sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Azizah Yusoff.
Nor Azizah menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes. Pada 12 April lalu, media melaporkan mengenai penahanan Mohd Asrul dan isterinya dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam 9 April lalu di sebuah rumah di Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payong dekat sini.
Dalam serbuan itu, polis menemui 30 botol berisi dadah jenis heroin seberat 120 gram yang disorok di dalam sebuah beg tangan dipercayai milik isteri pemain bola sepak itu yang berasal dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai, di sini.
Sebaik serbuan dilakukan, Mohd Asrul dari Kampung Bukit Nangka, Tepoh ditahan ketika berada di dalam bilik air manakala isterinya ditangkap ketika cuba melarikan diri bersama sebuah beg tangan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas harta kepunyaan kedua-dua suspek yang keseluruhannya bernilai RM217,412 termasuk wang tunai. - Bernama

Pemandu teksi warganegara Pakistan antara ditahan Operasi Halang



KUALA LUMPUR - Seorang warganegara Pakistan yang mendakwa dirinya layak bekerja sebagai pemandu teksi semata-mata kerana memiliki lesen memandu antarabangsa ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi hari ini.
Ketua Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Mohd Zamri Zainal Abidin berkata lelaki berumur 24 tahun itu ditahan di Jalan Sultan kira-kira 11.30 tengah hari tadi dalam 'Operasi Halang ke atas Kenderaan Pengangkutan Awam dan Perdagangan.'
"Dia memberi alasan mempunyai lesen memandu antarabangsa. Selain itu, dia juga akan didakwa kerana memandu teksi yang telah tamat tempoh cukai jalan dan tindakan juga akan dibuat kepada pemilik teksi tersebut," katanya.
Operasi dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama JPJ, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
Ketua Inspektor Trafik dan Penguatkuasaan DBKL Shaiful Anuar Shahrum berkata 160 tindakan dan kompaun telah dikeluarkan oleh agensi yang terlibat terhadap pemandu bas, teksi dan lain-lain kenderaan di mana 129 telah dikeluarkan oleh DBKL, 27 oleh JPJ dan empat lagi daripada JAS.
"Mereka dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti meletakkan kenderaan di atas garisan kuning, tiada lesen memandu serta mengeluarkan asap yang menyebabkan pencemaran," katanya.
Shaiful Anuar berkata operasi seumpama ini yang dijalankan dua kali sebulan bertujuan untuk mencegah pemandu kenderaan awam khususnya daripada meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sesuai sekaligus menyebabkan kesesakan jalan raya. - Bernama

Edar ketamin : Rakyat India dihukum mati



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang buruh kasar rakyat India kerana mengedar 3.01 kilogram dadah jenis ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Tambang Murah (LCCT), Sepang, awal tahun lepas.
Hakim Nor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Khader Waheed, 40, yang memilih untuk berdiam diri setelah diperintah membela diri pada prosiding hari ini.
Dalam penghakimannya, Nor Azian berkata mahkamah tidak mempunyai pilihan selain mensabitkan Khader mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.
Beliau berkata apabila prima facie dibuktikan dan tidak ada pembelaan bagi menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, maka tertuduh secara automatik disabitkan kesalahan.
Khader, dari Tamil Nadhu, India, didakwa melakukan kesalahan itu di laluan keluar Balai Ketibaan Antarabangsa LCCT pada 13 Jan 2010.
Tindakan tertuduh itu juga menyebabkan peguamnya, Mejar (B) Ghazali Nik Taib terkejut dan meminta mahkamah membacakan semula pilihan bagi membela diri, namun, Khader tetap memilih untuk berdiam diri.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan berkata pada peringkat ini, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain mensabitkan Khader dengan pertuduhan mengedar dadah. - Bernama

Helikopter bawa 23 penumpang terhempas di timur laut India


GAUHATI: Seorang penggubal undang-undang India berkata, sebuah helikopter membawa 23 penumpang terhempas dekat sempadan dengan China. 


Kesemua penumpang dikhuatiri maut.Takam Sanjay berkata, kejadian hari ini beberapa minit selepas helikopter MI-17 sepatutnya mendarat di Tawang, timur laut India.
Sebanyak 18 penumpang dan lima anak kapal pesawat berkenaan, sedang dalam penerbangan biasa di antara Tawang, tempat terkenal bagi penganut Buddha dan Gauhati, ibu negeri wilayah Assam. - AP, bharian

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran di Seremban


SEREMBAN: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mati rentung dalam kebakaran di sebuah rumah papan di Kampung Baru Ulu Temiang di sini, petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Zakaria Amat berkata, mangsa yang berusia sekitar 40-an dipercayai terperangkap di dalam sebuah bilik dalam kebakaran kira-kira jam 3.30 petang itu."Semasa kejadian, mangsa dikatakan berada bersama dengan pemilik rumah itu Low Saw Chan yang berusia 76 tahun. Low turut cedera di kaki dan mukanya bagaimanapun dapat diselamatkan oleh orang ramai," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
"Selepas api dapat dipadamkan sepenuhnya, kita dapati mayat seorang lelaki rentung. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar," katanya.

Anak Low, Tan Kong Meng, 55, yang tinggal di Taman Sri Pulai berkata, dia bergegas ke rumah keluarganya itu apabila mendapat tahu tentang kebakaran tersebut dan mendapati rumah itu telah musnah terbakar.

"Saya bagaimanapun bersyukur kerana ibu saya selamat," katanya.

Tan berkata OKU itu tinggal dengan ibunya sejak setahun lepas tetapi lelaki itu tidak mempunyai hubungan keluarga dengan mereka. - BERNAMA

Pelajar parah jatuh bangunan sekolah


SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perempuan cedera parah selepas terjatuh daripada tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya, di sini hari ini. 


Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi itu, Masuria Surentharan, 15, dikatakan terjatuh dari bahagian koridor Blok F sekolah itu menyebabkan dia cedera di kepala dan patah kedua-dua kakinya.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Roslee Ismail berkata, pelajar terbabit masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, ketika kejadian Masuria dan pelajar lain sedang bersiap untuk memulakan sesi persekolahan. 

"Saya diberitahu bahawa pelajar berkenaan terjatuh dari tingkat tiga sekolah. Dia kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan. 

"Setakat ini kami tidak mahu membuat apa-apa spekulasi mengenai punca kejadian dan menyerahkannya kepada polis untuk membuat siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sekolah itu di sini hari ini. 

Bernama difahamkan pelajar itu yang adalah anak bongsu dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Taman Bukit Permai, Sungai Lalang di sini. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA 

Pengebom dikenal pasti


JAKARTA: Polis Indonesia mengesahkan pengebom berani mati yang menyerang masjid di Cirebon, Jawa Barat, Jumaat lalu adalah Muhammad Syarif, kader baru dalam aktiviti pengganas.
Ketua Pusat Kesihatan dan Perubatan Polis Indonesia, Mosaddeq Sidiq, berkata disebabkan militan itu orang baru, pihak berkuasa tidak memiliki sebarang maklumat mengenainya di pangkalan data.

“Identiti penyerang itu disahkan melalui perbandingan cap jari, rekod gigi dan DNA ahli keluarganya,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Indonesia, semalam.

Muhammad Syarif meletupkan dirinya ketika umat Islam baru saja memulakan solat Jumaat di Masjid Az-Zikra dalam kawasan balai polis Cirebon.

Serangan itu menyebabkan kira-kira 30 orang, termasuk anggota keselamatan, cedera.

Kata Mosaddeq, analisis dibuat polis mendapati ketiga-tiga data dibandingkan itu sepadan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Indonesia, Matius Salempang, berkata pihak berkuasa belum dapat mengesahkan motif di sebalik serangan berkenaan.

Ulama radikal dan kontroversi, Abu Bakar Bashir, pula mendakwa serangan itu dilakukan individu berpenyakit mental.
“Saya tak nampak apa alasan agama untuk membenarkan serangan itu.

“Jika ada sesiapa berpendapat ada hujah menghalalkannya, sila tampil dan membincangkannya dengan saya,.

“Bagaimana seseorang boleh meledakkan bom ketika orang lain bersolat?” katanya. Abu Bakar berkata, dia bersetuju dengan pandangan ulama lain yang mengesyaki penyerang terbabit gila.

“Seorang pemuda yang memahami agama pasti tidak tergamak melakukan tindakan begitu.

“Jika serangan itu didalangi sesebuah kumpulan, saya fikir mereka adalah musuh Islam yang mempergunakan pemuda terbabit bagi mencetuskan kekeliruan,” katanya. - JP

Bom kereta sasar tentera


YALA: Sebuah bom kereta meletup di sebatang jalan sibuk di Yala, semalam, membunuh seorang anggota separa tentera dan mencederakan 23 yang lain.
Polis berkata, kejadian berlaku ketika anggota keselamatan lalu berhampiran trak pikap yang dipasang bahan letupan.

Gabenor Yala berkata, serangan itu sengaja dirancang ketika penduduk Thailand bercuti panjang kerana menyambut tahun baru. - AFP

Warga Thailand cuba seludup diesel ditahan


LANGKAWI: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Satu Langkawi menahan tiga lelaki Thailand dan merampas 6,000 liter minyak diesel kira-kira 1.75 batu nautika dari Pulau Langgun perairan Langkawi di sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM wilayah itu DSP Salehuddin Md Zaman berkata penahanan dan rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan yang dalam keadaan mencurigakan pada pukul 7.45 malam.

"Mereka yang ditahan berusia antara 21 dan 31 tahun. Kami percaya minyak diesel itu hendak diseludup ke negara jiran," katanya pada sidang akhbar di pangkalan PGM Langkawi di sini, petang tadi.

Beliau berkata bot nelayan itu juga telah diubahsuai dengan menambah tangki untuk mengisi minyak.
-mymetro

Polis berkas penyamun guna taktik kemalangan


KUALA LUMPUR: Taktik sekumpulan warga asing yang melakukan samun dengan berlakon "dilanggar" kenderaan terbongkar dengan penangkapan empat lelaki di sebuah rumah di Kampung Pandan, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mereka yang dipercayai warga India berumur antara 23 dan 27 tahun ditahan selepas "mementaskan lakonan" di Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) kira kira pukul 11 malam Sabtu lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohan Singh berkata mangsa mereka ialah seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai chef di sebuah hotel yang dalam perjalanan ke rumah abangnya di Wangsa Melawati.

Ketika sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapan kereta mangsa dan terjatuh seolah-olah dilanggar keretanya, menyebabkan beliau berhenti dan keluar dari kereta untuk membawa lelaki itu ke hospital.

Bagaimanapun, rakan ''mangsa kemalangan'' yang berada di situ meminta mangsa menghantar mereka ke rumahnya di Kampung Pandan, dan apabila tiba di rumah tersebut mangsa telah diikat tangannya dan mulut dilekat dengan pita oleh empat lagi rakan mereka yang ada di rumah terbabit.

Warga emas dan remaja maut


KUANTAN: Seorang warga emas dan seorang remaja maut dalam dua kemalangan yang berlaku dalam tempoh 80 minit di negeri ini semalam.
Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Najib Jusoh berkata dalam kejadian pertama kira-kira 7.10 pagi, Muhammad Faiz Jamaluddin, 17, maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Km 9 Jalan Jerantut-Temerloh.

Kejadian berlaku apabila kereta itu dipercayai membuat pusingan ''U'' dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki Muhammad Faiz dan adiknya Mohd Zaki, 14, yang datang dari arah bertentangan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kejadian itu juga menyebabkan Mohd Zaki cedera parah.

Kira-kira 80 minit kemudian, Muhammad Deraman, 62, maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Km 39.7 Jalan Maran Maran Jengka.

Mohd Najib berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Muhammad terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Viva.

Mangsa yang tersepit dan cedera parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya.

Dua rakan dihukum gantung


ALOR SETAR: Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mereka didapati bersalah mengedar ganja seberat 938.30 gram dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Khairulnizan Osman, 29, dan Mohd Azizi Hashim, 28, yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Khairulnizan seorang pembantu kedai makan dan Mohd Azizi yang bekerja dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Sungai Buloh, Tikam Batu dekat Sungai Petani pada 9.30 malam 27 Jan 2009.

Zakiah membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata keterangan saksi-saksi pembelaan bercanggah antara satu sama lain dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Tim.-mymetro

Keluarga masih gagal kesan



HILANG...empat daripada lima mangsa culik (dari kiri) Mathun, Jayasingam, Dilipan dan Gobi.

HILANG...empat daripada lima mangsa culik (dari kiri) Mathun, Jayasingam, Dilipan dan Gobi.


BIMBANG...ahli keluarga mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat mereka.
BIMBANG...ahli keluarga mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat mereka.


SERDANG: Misteri kehilangan lima lelaki disyaki diculik pada 4 April lalu oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan mendakwa dari Jabatan Narkotik Bukit Aman masih menjadi tanda tanya.
Ini kerana sebahagian ahli keluarga mangsa yang tampil membuat sidang media di Taman universiti Indah, Serdang, Jumaat lalu menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan semua yang hilang itu kerana sehingga kini gagal menghubungi atau mengesan mereka.

Mangsa terbabit ialah N Mathun, 27, P Dilipan, 21, R Gobi Krishna, 27, G Jayasingam, 32, dan M Ari Kumar, 27. Semua mereka bersahabat baik sejak zaman persekolahan.

Menurut abang Mathun, Muthu Kumaran, 31, adik dan anak saudaranya Dilipan, keluar rumah kira-kira jam 5 petang pada hari kejadian dengan menunggang motosikal untuk bertemu tiga rakannya di Jaya Jusco Taman Equine, Seri Kembangan.

“Pada kira-kira jam 9.30 malam, teman wanita Mathun menghubungi saya menyatakan gagal menghubungi adik menyebabkan saya mencarinya di sekitar pasar raya itu.

“Saya juga pergi ke kedai kopitiam kegemaran Mathun dan mereka mendakwa adik saya berada di restoran itu bersama empat yang lain.

“Seorang pekerja memberitahu sekumpulan lelaki tiba-tiba datang ke arah mereka dan menahan semua mereka.

“Kumpulan lelaki terbabit mendakwa mereka polis dari Jabatan Narkotik Bukit Aman sebelum menggari mangsa.
“Kami sekeluarga amat sedih dengan kejadian ini dan bimbang keselamatannya,” katanya.

Turut berada di sidang media itu ialah isteri mangsa, Jayasingam yang enggan namanya didedahkan.

Menceritakan pada hari kehilangan Jayasingam, dia menyedari suaminya hilang apabila diberitahu isteri rakan suaminya Ari Kumar yang turut diculik kira-kira jam 9 malam.

“Kami cuba memeriksa di Balai Polis Serdang dan Seri Kembangan, namun difahamkan, tiada sebarang tangkapan dibuat membabitkan suami kami.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kami (polis) menyiasat kes itu. “Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini, jadi polis meminta kerjasama orang awam supaya memberikan sebarang maklumat kejadian,” katanya.

40 Mat Rempit cuba rempuh

AMPANG: Dua remaja mengalami detik cemas hampir 10 minit apabila kereta dipandu diekori kira-kira 40 Mat Rempit yang dipercayai cuba melakukan sesuatu yang buruk terhadap mereka dalam kejadian di Ampang, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Sabtu lalu itu, mangsa ketakutan apabila kumpulan Mat Rempit terbabit cuba merempuh kereta mereka, namun sempat mengelak.

Kejadian bermula selepas mangsa yang selesai mengisi minyak membunyikan hon kepada Mat Rempit terbabit kerana menghalang laluan.

Mangsa, Nurul, 18, berkata sebelum kejadian, dia dan rakan baru saja mengisi minyak di stesen minyak berdekatan sebelum diekori Mat Rempit terbabit.

“Mereka cuba merempuh kereta kami, namun saya sempat mengelak sebelum semua mereka berpatah balik ke jalan lain selepas mengekori kami,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan itu menakutkan apabila puluhan Mat Rempit yang berkeliaran di kawasan Ampang pada setiap hujung minggu dan menjadikan jalan berkenaan sebagai litar lumba.

Katanya, pihak berkuasa perlu menangani isu itu bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima laporan terbabit dan tindakan sewajarnya diambil.

4 wanita direman enam hari

EMPAT wanita ditahan reman enam hari di Mahkamah Kota Bharu bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang wanita di sebuah bilik hotel disini, kelmarin. Foto: Fathil Asri (17/04/2011)
EMPAT wanita ditahan reman enam hari di Mahkamah Kota Bharu bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang wanita di sebuah bilik hotel disini, kelmarin. Foto: Fathil Asri (17/04/2011)
KOTA BHARU: Empat wanita direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang ibu lima anak, Rozi Hana Md Zin, 34, di sebuah bilik hotel, di sini, tengah hari kelmarin.
Suspek berusia antara 39 dan 49 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan pada petang hari sama.

Perintah tahanan reman yang bermula semalam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu bermula semalam sehingga 23 April ini.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian dengan kelalaian.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati wujudnya unsur jenayah terhadap kematian mangsa.

“Bagaimanapun, kami masih meneruskan siasatan berhubung kes ini,” katanya.-mymetro

Sebelas hari di ‘neraka’


BUKIT MERTAJAM: “Sepanjang 11 hari dikurung, saya tak diberi makan, tak dibenarkan ke bilik air dan hanya terfikir mati kerana sering diugut untuk ditikam jika cuba melepaskan diri,” kata Nor Sahanita Rahmat, 15, menceritakan pengalaman ngerinya apabila diculik dan dikurung di sebuah rumah di Lunas, Kulim.
Remaja itu dilaporkan hilang pada 4 April lalu dipercayai membonceng motosikal bersama seorang lelaki berhampiran kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kechil, Juru, dekat sini.

Bagaimanapun, katanya, dia sebenarnya diugut oleh kenalan kepada rakan perempuannya supaya mengikut mereka ke tempat yang dirahsiakan.

Nor Sahanita berkata, pada hari kejadian, dia diajak rakannya untuk berjumpa, tetapi apabila tiba di tempat dijanjikan, terdapat seorang remaja lelaki dan perempuan menunggang motosikal lain ada bersama rakannya itu.

“Remaja perempuan yang berusia belasan tahun itu minta saya dan rakan mengikutnya dan jika kami enggan, dia mengugut mahu menikam kami dengan pisau yang dibawa dan kerana takut kami berdua hanya mampu mengikut arahannya.

“Mereka membawa kami ke sebuah rumah kosong yang terletak di ladang kelapa sawit di Lunas, Kulim, tanpa mengetahui tujuan sebenar dibawa ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sejak itu, Nor Sahanita dikurung di dalam sebuah bilik kosong dalam rumah berkenaan dengan tangan diikat, manakala rakannya diikat mulut dan diletakkan di ruang tamu rumah.

Katanya, sepanjang dikurung, kira-kira tujuh remaja lelaki dan perempuan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat menghisap dadah.
“Hampir setiap masa di depan mata saya mereka menghisap dadah dan perasaan takut menghantui diri jika mereka yang dalam keadaan khayal itu menyuntik dadah ke badan saya atau melakukan sesuatu.

“Saya turut dibawa ke Selama dan Taiping, Perak dengan motosikal untuk membeli dadah walaupun keadaan saya sangat lemah ketika itu kerana tak diberi makan langsung,” katanya.

Menurut Nor Sahanita, nasibnya baik kerana abang kepada seorang ahli kumpulan berkenaan datang pada Jumaat malam untuk berjumpa adiknya dan dia mengambil kesempatan itu menjerit meminta tolong.

Dia kemudian dibawa ke rumah lelaki terbabit untuk diberi makan sebelum dihantar pulang kira-kira jam 4 petang kelmarin (Ahad), tetapi hanya ditinggalkan di Plaza Tol Juru tanpa diketahui sebabnya.

Kejadian itu menyebabkan Nor Sahanita trauma dan takut untuk keluar seorang diri, malah dia akan minta ahli keluarga menemaninya jika mahu keluar rumah bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, bapanya, Rahmat Eussoff, 47, berkata dia menerima panggilan telefon daripada kakitangan peronda Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) yang memberitahu Nor Sahanita ada di Plaza Tol Juru.

Kejar pencuri kereta


GEORGETOWN: Tindakan nekad seorang ahli perniagaan mengejar dua lelaki yang melarikan keretanya menyebabkan penjenayah itu berputih mata apabila mereka gagal melarikan kenderaan itu dalam satu kejadian di tempat letak kereta di hadapan pusat beli-belah Queensbay, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suspek cuba melarikan pacuan empat roda Toyota Hilux milik, N Saravanan, 30-an, namun gagal apabila suspek yang sedang memandu kenderaan itu menyedari mangsa mengejar mereka.

Dua suspek yang kelamkabut selepas menyedari mangsa mengejar mereka dipercayai memandu kereta itu secara melulu sebelum merempuh dua kereta iaitu Myvi dan Hyundai di tempat letak kenderaan sama.

Menurut mangsa, dia bersama keluarganya dari Sungai Petani, Kedah ke pusat beli-belah berkenaan dan ketika mahu ke tempat letak kereta, dia terkejut apabila mendapati kenderaannya sedang bergerak.

Menyedari kemungkinan keretanya dicuri, mangsa mengejar dan melihat dua lelaki tidak dikenali sedang memandu kenderaan itu.

“Mereka yang menyedari kehadiran saya memecut laju sebelum merempuh dua kereta lain,” katanya.

Saravanan berkata, kedua-dua suspek itu meninggalkan keretanya dan melarikan diri dengan kereta lain yang dipercayai sudah menunggu mereka di kawasan pesisiran pantai.

Akibat kejadian itu, kereta mangsa rosak teruk di bahagian hadapan dan remuk di kedua-dua bahagian sisi dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bayan Lepas kira-kira jam 10.30 malam kelmarin

Sewa teksi samun lori


PETALING JAYA: Hanya menggunakan teksi yang disewa, sindiket samun lori kargo yang aktif sekitar Selangor tumpas dalam Ops Kargo selepas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, membuat beberapa tangkapan pada 8 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis percaya dapat menyelesaikan lima kes samun lori kargo dengan tertangkapnya suspek dalam beberapa serbuan di Shah Alam, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Hutan Melintang, Perak.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lapan lelaki berusia 25 hingga 33 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes samun berkenaan.

“Kegiatan sindiket itu dihidu pihak berkuasa susulan laporan dibuat seorang mangsa samun lori di Subang Perdana pada 25 Mac lalu.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM 31,100, dua teksi, sebuah kereta Proton Iswara, pistol tiruan, lapan telefon bimbit dan beberapa televisyen yang dipercayai hasil jualan barangan samun itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di IPD Ampang semalam.

Tun Hisan berkata, sindiket yang menggunakan teksi yang disewa dan pistol itu menjadikan lori kargo yang melalui jalan sunyi sekitar Selangor sebagai sasaran melakukan samun.

Penjenayah dipercayai warga asing ditembak mati di Seremban


SEREMBAN: Seorang penjenayah dipercayai warga asing yang cuba memecah masuk rumah penduduk ditembak mati polis dalam kejadian di Taman Bukit Sendayan, di sini, pada kira-kira jam 4 pagi tadi. 

Lelaki maut kena hempap pokok



MAT RAJAB bergambar bersama anak bongsunya, Mahira seminggu sebelum maut dihempap pokok.
MAT RAJAB bergambar bersama anak bongsunya, Mahira seminggu sebelum maut dihempap pokok.
Tragedi 15 tahun lalu berulang ragut nyawa 

GRIK: Kira-kira 15 tahun lalu, nyawa Mat Rajab Hamat yang bekerja sebagai penebang balak hampir melayang dihempap pokok, namun terselamat. Bagaimanapun, kejadian hampir sama berulang kelmarin, tetapi kali ini ia meragut nyawanya.
Kejadian itu berlaku jam 11.30 pagi di kawasan hutan Lawin Utara dekat sini, iaitu empat hari selepas beliau berpindah bekerja ke kawasan berkenaan.
Mangsa yang berasal dari Kampung Padang Kunyit di sini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Grik (HG). 

Isterinya, Sharifah Hashim, 42, berkata suaminya kelihatan kurang bersemangat ketika keluar bekerja menaiki Toyota Hilux milik majikan bersama lapan rakan lain jam 6.40 pagi. 

“Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, seorang rakan sekerja, Tajol Roslan meminta suami saya pulang selepas arwah mengadu tidak sedap hati selain asyik bercerita mengenai kematian anak saudaranya di Felda Bersia. 

“Ketika melakukan kerja, rakannya memaklumkan pokok ditebang suami saya condong ke arahnya. Walaupun suami sempat mengelak ke sebelah kanan, dahan balak yang besar menghempap tubuhnya menyebabkan arwah tersungkur lalu cedera di kepala dan patah paha. 
“Selepas kejadian itu, rakan-rakannya cuba membawa keluar arwah dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi suami meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Padang di sini, semalam. 

Sharifah berkata, insiden kali ini yang kedua suami dihempap pokok selepas kejadian pertama 15 tahun lalu yang hampir meragut nyawanya sejak arwah menjadi penebang balak pada usia 19 tahun. 

“Saya reda dengan kejadian ini kerana ia takdir Ilahi,” katanya. 
Sharifah berkata, suaminya seorang pendiam tetapi terlalu mengambil berat mengenai tujuh anak mereka berusia dua hingga 18 tahun, terutama pelajaran mereka. 

“Sejak sebulan ini, hampir setiap hari arwah berpesan supaya semua anak kami termasuk Maisarah, 16, yang baru memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka supaya belajar bersungguh-sungguh dan pandai menjaga diri. 

“Sehari sebelum kejadian, suami juga menyerahkan wang RM1,000 kepada bapa tiri saya, Yaakub Samat, 76, untuk dikumpul bagi membeli tanah,” katanya. 

Sementara itu, Maisarah berkata, bapanya ada menghubunginya jam 11.15 pagi kelmarin dan berjanji akan menghubunginya semula 15 minit kemudian. 

“Saya menunggu panggilan ayah sehingga tengah hari dan tidak menduga ketika itu dia sudah ditimpa kemalangan,” katanya. 

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang di sini, jam 6 petang kelmarin. -utusan

Pesara polis lemas tersangkut jaring


KUANTAN: Seorang pesara polis ditemui lemas ketika menarik jaring yang dipasang di Sungai Belat, Batu 12, di sini, awal pagi semalam. 


Ramli Mustapha, 62, difahamkan tiba ke tempat kejadian bersama isterinya, Andi Tandi Lolo, jam 6.30 pagi semalam untuk melihat tiga jaring yang dipasang petang kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, Andi Tandi, 52, berkata terdapat seekor ikan tengalan terlekat di jaring pertama dipasang arwah suaminya tetapi agak kecewa apabila mendapati kepala ikan berkenaan dimakan memerang.
Berikutan itu, katanya, arwah turun semula ke dalam sungai untuk melihat jaring kedua yang terletak tidak jauh dari tempat pertama. 

“Ketika berada dalam sungai dan menarik jaring kedua, saya meninggalkannya untuk meninjau jaring ketiga dari atas tebing. 

“Selepas menunggu agak lama, arwah tidak datang melihat jaring ketiga, menyebabkan saya bimbang dia ditimpa kejadian buruk lalu mengambil keputusan meminta bantuan penduduk taman perumahan berhampiran mencari arwah,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Rangin, di sini. 

Disebabkan gagal mencari Ramli, mereka menghubungi Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang tiba di tempat kejadian jam 10 pagi. 
Selepas 15 minit, anggota berkenaan menemui mangsa yang tersangkut di jaring ikan dipasangnya sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. 

“Saya reda tetapi tidak menyangka arwah suami yang pandai berenang dan sudah biasa dengan sungai meninggal dunia akibat lemas berhampiran jaring dipasangnya,” katanya. -utusan

Perompak lori guna pistol mainan tumpas


PETALING JAYA: Kelicikan sekumpulan penjenayah yang hanya menggunakan pistol mainan untuk merompak lori dan treler membawa muatan barangan elektrik bernilai ratusan ribu ringgit di sekitar Lembah Klang, berakhir apabila lapan anggota kumpulan itu dicekup polis, baru-baru ini. 


Semua lelaki berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 8 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata pihaknya percaya kumpulan itu mendalangi kes samun sejak beberapa bulan lalu dengan menggunakan dua teksi yang disewa untuk tujuan penyamaran.
“Mereka akan memintas treler disasarkan menggunakan teksi sebelum mengacukan pistol untuk mengarahkan pemandu memberhentikan treler.

“Mereka mengikat pemandu treler dan meninggalkannya di tepi jalan sebelum melarikan treler itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, semalam.

Hasil penahanan mereka, polis turut merampas wang tunai RM31,000, dua teksi, beberapa pistol mainan serta sebahagian barangan elektrik yang dilarikan mereka, antaranya set teater rumah dan televisyen.

Difahamkan, selepas beberapa siri samun membabitkan treler bermuatan elektrik di sekitar Lembah Klang dengan kes terbaru pada 25 Mac lalu, polis menubuhkan pasukan khas menerusi Operasi Kargo.
“Kita sedang mengesan dua lelaki, G Elango, 29, dan G Kesavan, 23, untuk bantu siasatan,” katanya.-utusan

Aksi bogel model Vietnam dikecam



pix_gal0
Pengkritik tuduh Ngoc Quyen langgar tradisi 

HANOI: Model dan aktres terkenal Vietnam dituduh melanggar nilai dan tradisi tempatan selepas menyiarkan gambar bogelnya di internet dalam kontroversi yang mendapat tumpuan media negara itu.
Ngoc Quyen, 23 (atas), menyiarkan beberapa gambar bogelnya yang dirakam di tepi sungai di pedalaman Vietnam dengan keterangan foto ‘jaga alam semula jadi seperti anda menjaga anggota badan sendiri.’
Kisah Quyen mencetuskan sensasi media negaranya selain tersebar dalam Facebook dan dibincangkan dalam forum sembang dengan ramai pengulas mengkritik langkah berbogel semata-mata bagi menimbulkan kesedaran sesuatu isu. 

Pada masa sama, selebriti itu menjelaskan, beliau menyiarkan gambar itu sebagai inisiatif peribadi yang tiada kaitan dengan mana-mana kempen alam sekitar. 

Antara ulasan diterima laman web popular Dan Viet ialah pandangan Huyen Trang yang berkata: “Bergambar bogel tidak diterima budaya Vietnam. Dia tidak melindungi tetapi mencemarkan alam semula jadi.” 

“Jika Ngoc Quyen masih ada ibu bapa, apakah pandangan mereka? Saya pasti malu,” kata seorang pengulas lagi di laman web Nikovn.com. 
“Secara peribadi, saya tidak nampak sebarang unsur seni cuma penampilan seksi,” kata seorang pengarang hiburan. 

Seorang jurugambar, Thai Phien, 48, berkata anggota tubuh wanita sudah digunakan beratus tahun lalu dalam bidang seni negara itu tetapi biasanya tidak mendedahkan kesemuanya. 

“Orang ramai sudah mengubah pandangan mengenai gambar bogel tetapi pihak yang menguruskan budaya di sini masih bersikap konservatif. 

“Bagaimanapun, gambar Quyen masih jauh untuk dikategorikan sebagai seni,” katanya. 

Ketika diwawancara VietnamNet, Quyen ditanya mengenai reaksi ibu dan teman lelakinya apabila isu gambar bogelnya menjadi hangat. 

“Ibu dan teman lelaki memahami dan menyokong saya walaupun berdepan kontroversi. Saya menghantar gambar berkenaan untuk menggembirakan teman lelaki dan menghangatkan hubungan kami tetapi saya tidak sangka ia menjadi kontroversi,” katanya. – Agensi 

Pelajar kembali ke sekolah selepas kejadian bunuh terburuk di Brazil


RIO DE JANEIRO: Kumpulan pertama pelajar kembali ke Sekolah Rendah Tasso Da Silveira semalam iaitu 11 hari selepas kejadian bunuh terburuk dalam sejarah Brazil. 


"Kita sabar menanti dengan tangan terbuka kepada mana-mana pelajar yang ingin kembali ke sekolah," kata Guru Besar sekolah itu, Luis Marduk kepada media tempatan apabila pelajar mulai kembali ke sekolah selepas menyaksikan seorang bekas pelajar menembak 10 pelajar perempuan dan dua lelaki.
"Matlamat langkah ini ialah untuk menilai keadaan psikologi setiap pelajar yang terjejas akibat kejadian buruk itu apabila kelas bermula," katanya.
Mereka yang terbunuh berusia di antara 13 dan 15 tahun, ditembak seperti gaya hukuman mati oleh Wellington Menezes de Oliveira, yang muncul semula di bekas sekolahnya untuk bertindak kejam. 

Pelajar yang kembali ke sekolah semalam adalah mereka yang tidak menyaksikan kejadian berkenaan. Lebih ramai pelajar dijangka pulang ke sekolah hari ini. 
- AFP 

Kucing lapar alasan hakim batal hukuman





2011/04/19

LONDON: Hakim di Britain membatalkan hukuman penjara lelaki yang didapati bersalah atas tuduhan mencuri dan membenarkan tertuduh pulang ke rumah untuk memberi kucingnya makan. 

Hakim, David Cooper, mulanya menetapkan hukuman penjara kepada Steven Thorne, kerana beberapa kali ditahan kerana mencuri arak.
Tetapi, selepas dimaklumkan keadaan kucing tertuduh oleh peguam bela, Julie Brice, Cooper mengubah fikiran.

Jumlah kerugian akibat kebakaran menurun


KEPALA BATAS: Jumlah kerugian akibat kebakaran yang berlaku di seluruh negara tahun lalu menurun sebanyak 24.5 peratus iaitu RM757 juta berbanding RM1 bilion pada 2009. 


Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat), Datuk Wan Mohamad Nor Ibrahim berkata penurunan itu menunjukkan keberkesanan JBPM menyelamat harta benda apabila berlaku kebakaran.
"Walaupun kita tidak dapat mengurangkan kejadian kebakaran, tetapi yang penting pihak bomba dapat mengurangkan jumlah kerugian dan saya harap aliran penurunan ini bukan sementara dan berterusan dari tahun ke tahun," katanya kepada pemberita ketika melawat Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas.
Wan Mohamad Nor berkata tahun lalu, jabatan itu menerima 55,529 panggilan kebakaran manakala pada 2009 sebanyak 56,643 panggilan. 

Beliau turut menasihati orang ramai supaya segera menghubungi bomba jika berlaku kebakaran bagi membolehkan bomba sampai awal ditempat kejadian. 

"Orang awam selalu mendakwa pihak bomba sampai lewat di tempat kejadian dan menurut rekod, kita lambat menerima panggilan kebakaran dan itu membuatkan anggota saya gagal sampai awal di tempat kejadian. 

"Saya harap orang ramai dapat segera menghubungi pihak bomba jika berlaku kebakaran kerana ia akan memudahkan anggota bomba untuk sampai awal. 
"Jabatan Bomba dan Penyelamat sendiri menetapkan masa 10 minit untuk tiba di lokasi kejadian yang berdekatan selepas menerima panggilan dan kurang 20 minit bagi tempat yang agak jauh," katanya. - BERNAMA , utusan