Search This Blog

Monday, April 18, 2011

Sesat lebih 6 jam di hutan



BUKIT MERTAJAM – “Saya menjadi hairan apabila petunjuk arah yang dilekatkan di daun sepanjang trek tiba-tiba hilang. Apabila toleh ke kiri, kanan, depan dan belakang, semuanya hutan. Saya gagal mencari jalan pulang,” itu sebahagian pengalaman yang ditempuhi Mohd Hanif Hashim, 23, ketika dia sesat di Hutan Lipur Cherok Tokun, petang Jumaat lalu.

Mohd Hanif ketika ditemui di rumahnya di Taman Sejahtera, di sini berkata, kebiasaannya dia akan melalui trek lain untuk naik ke atas berjoging, tetapi entah kenapa hari itu dia ingin melalui trek hutan itu.

Pada mulanya dia mengekori dua lelaki yang kebetulan melalui trek sama, tetapi tidak sampai seminit dia duduk berehat, kelibat mereka hilang.

Dia yang tidak biasa dengan trek itu kemudiannya meneruskan perjalanan untuk menjejaki dua lelaki itu namun, selepas berjalan lebih 20 minit kelibat mereka gagal ditemui.

Dalam keadaan letih, dia cuba berpatah balik dengan mengikut petunjuk tapak kaki yang dilekatkan di daun, tetapi petunjuk arah yang sebelum itu ada juga tiba-tiba hilang.

“Saya tidak berputus asa dan terus bergerak ke bawah untuk mencari jalan pulang. Begitu pun, saya tergelincir ke bawah, di celah batu berikutan keadaan trek yang licin.

“Selepas hampir sejam saya cuba untuk meloloskan diri dari celahan batu itu, tetapi tidak berjaya. Saya mula takut kerana tidak nampak jalan keluar.

“Saya terus memanjat dan akhirnya berjaya keluar dari celahan batu itu,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia meneruskan perjalanan untuk turun ke bawah selepas itu, namun, cabaran datang sekali lagi apabila dia terjatuh buat kali kedua.

Kali ini dalam sebuah lubang berbatu di kedudukan kira-kira 400 meter dari aras laut menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar.

Jelasnya, dalam keadaan itu dia sempat berpaut pada ranting pokok dan segera menelefon ayahnya, Hashim Ibrahim, 53.

Bagaimanapun, panggilan pertamanya tidak diambil serius bapanya.

Namun, selepas panggilan kedua dibuat, baru bapanya percaya bahawa anaknya itu benar-benar sesat.

Sepanjang berada dalam lubang itu, dia tidak berhenti-henti berdoa dan melaungkan azan seperti yang disuruh bapanya.

Tambahnya, dia juga mendengar bunyi siren bomba, selain laungan azan dari masjid berhampiran sepanjang berada di situ namun, tidak berdaya untuk berbuat apa kerana badan dirasakan terlalu lemah.

“Semakin lama saya di dalam lubang itu, macam-macam perasaan timbul,” katanya.

Dalam pada itu, selepas hampir empat jam berada di dalam hutan tebal, dia mula terdengar suara orang memanggilnya, malah dia juga menerima panggilan telefon daripada orang kampung yang bertanyakan tentang lokasinya.

“Mereka menyuruh saya menjerit ‘tolong’ bagi memudahkan mereka mengesan kedudukan saya, tetapi, pelik apabila mereka tidak dapat mendengar jeritan saya,” katanya.

Begitu pun, tidak lama kemudian, penduduk dan anggota penyelamat berjaya menemuinya di lubang itu.

“Saya bersyukur kerana berjaya diselamatkan dan berterima kasih kepada semua pihak,” katanya.

Wanita dalam edah ditangkap khalwat



KAMPUNG RAJA – Seorang wanita yang masih dalam tempoh edah selepas dua bulan bercerai dengan suaminya ditahan Penguat Kuasa Pejabat Agama kerana disyaki berkhalwat dengan seorang duda di sebuah rumah dekat Jertih.

Dalam serbuan jam 3.45 petang itu wanita terbabit yang berusia 31 tahun dan pasangannya 28 tahun berada berdua-duaan di rumah sewa wanita itu di sebuah taman perumahan di Jertih.

Bertindak atas maklumat orang ramai, serbuan dengan kerjasama polis yang diketuai Ketua Balai Polis Kampung Raja, Inspektor Yaakob Md Taib telah pergi ke rumah teres terbabit.

Sebaik tiba di rumah itu, pintu rumah diketuk selama beberapa minit sebelum dibuka, wanita terbabit membuka pintu sambil mendukung anaknya berusia lingkungan setahun.

Penguat kuasa dan polis memperkenalkan diri kemudian membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan menemui pasangan wanita tersebut berada di dalam tandas bilik utama rumah.

Ketika ditanya hubungan mereka, lelaki itu memberitahu tidak mempunyai hubungan suami isteri atau muhrim dengan wanita terbabit.

Wanita itu dikatakan baru berpisah dua bulan dengan suaminya ketika ditahan masih tempoh edah yang berbaki sebulan lagi.

Menurut sumber, pasangan itu telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan waris terdekat masing-masing.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral iaitu berkhalwat disiasat di bawah Seksyen 31(a)dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

‘Geng 72’ curi basikal tumpas



KAMPUNG MOLEK – Misteri kehilangan basikal berdekatan kawasan sekolah serta pusat siber sekitar bandar Dungun yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini terjawab apabila polis berjaya memberkas lapan remaja yang disyaki dalang aktiviti jenayah itu.

Kumpulan remaja terbabit yang menggelar diri mereka ‘Geng 72’ dipercayai menjadikan basikal milik pelajar yang diletakkan berhampiran kawasan sekolah, pusat siber dan di rumah kediaman sebagai modus operandi.

Basikal yang dicuri dipercayai dileraikan sebelum diubah suai mengikut warna ikon kumpulan mereka sebagai aktiviti sosial yang difahamkan sering berpusat di Dataran Dewan Merdeka Dungun.

Berikutan laporan dibuat orang ramai, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor Zubir Ismail melancarkan operasi khas mengesan suspek sebelum berjaya menahan remaja berusia belasan tahun dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Nibong, kampung Molek, Gong Pasir dan Balai Besar.

Turut dirampas 12 basikal, sebahagiannya siap diubahsuai dipercayai dicuri kumpulan terbabit di beberapa lokasi sekitar bandar Dungun.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan kesemua suspek ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

10 kereta pancit



ARAU – Lebih 10 kereta pancit dalam perjalanan pulang dari Padang Besar, semalam.

Kejadian berlaku gara-gara struktur jalan yang teruk dan kewujudan lubang besar di susur keluar menghala ke Changloon, berhadapan pintu masuk utama kampus tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Tambah menyedihkan apabila tiga kenderaan termasuk Proton Wira dan Gen 2 bengkok besi rim dan bumper depan.

Mangsa, Hasrul Adha Hussain, 31, berkata, dia bersama tiga rakan yang dalam perjalanan pulang ke Jitra dari Padang Besar cuba mengelak lubang berkenaan, namun tidak berjaya kerana jalan sempit.

Menurutnya, disebabkan itukereta yang dipandunya mengalami kerosakan pada tayar depan dan belakang termasuk dua rim bengkok.

“Laluan sempit kerana ia jalan sehala khusus untuk pengguna yang ingin membuat lencongan keluar menghala ke Changloon sahaja,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Hasrul berkata, dia terpaksa menghubungi rakan di Napoh untuk datang menghantar tayar baru dan peralatan untuk menukar.

“Kami juga menanggung kerugian besar lebih RM3,000 bagi nilai tayar dan dua rim,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Mohammad Ummar Yakob, 18, berkata, dia bersama rakan terpaksa mengeluarkan duit membeli tayar baru dengan harga RM185 disebabkan kejadian itu.

“Pihak berkenaan sepatutnya lebih peka dan perlu mengambil serius perkara ini, kerana ia membabitkan imej negeri dan Padang Besar sebagai lokasi utama pelancongan Perlis,” katanya kesal dan berharap pihak berkenaan mengambil tindakan penyelesaian segera.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati, beberapa kenderaan dilihat terpaksa berhenti di bahu jalan bagi tujuan menukar tayar.

Lubang di lorong sempit yang menjadi punca kerosakan berkenaan juga amat besar dan merbahaya terutama kepada pengguna motosikal.

Usaha menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal kerana pegawai berkenaan bercuti bagaimanapun, Sinar Harian akan terus menghubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Wanita maut dirompak awal pagi



KULIM - Seorang wanita tinggal bersama kakak dan ibunya ditemui mati dalam satu kejadian rompakan di sebuah banglo di Jalan Keladi Kemahang, Kampung Keladi, kira-kira jam 4.50 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Superintendan Lau Tian Huat berkata, mangsa, Norjaniaty Mohamad Isa , 41, ditemui mati terlentang di atas katil di bilik bawah rumahnya.

Menurutnya, ibu mangsa, Fatimah Abu Bakar, 70, cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Kulim, manakala mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di hospital sama.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menahan tiga lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun untuk membantu siasatan.

Tian Huat berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kakak mangsa, Mulliati Mohd Isa, 47, dalam laporan polis berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi benda terjatuh dengan kuat di bilik bawah rumahnya di mana mangsa berada dan dikejut ibunya menyatakan rumah mereka dimasuki pencuri.

Menurutnya, suami wanita itu tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.

Tiga rakan maut rempuh lori rosak kemalangan di LDP



KUALA LUMPUR – Tiga sahabat maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar motosikal serta lori rosak di Kilometer 28.2 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Putrajaya, awal pagi semalam.

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Zulkifli Jonit berkata, sebelum kejadian jam 12.30 pagi itu, lori rosak terbabit berhenti di laluan kecemasan lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, datang sebuah kereta dipandu laju seorang daripada tiga mangsa maut itu terus merempuh belakang sebuah motosikal sebelum melanggar lori itu.:

“Kita percaya pemandu kereta hilang kawalan sebelum terbabas melanggar dua kenderaan berkenaan.

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu, Sak Jia Kit dan dua rakannya, Tan Jun De serta Johnson Sia Boon berusia lingku-ngan 20-an mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya menerusi SMS, se:malam.

Empat ditahan



MANJUNG – Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah ini.

:Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an dan berasal dari Bota.

“Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam 10 kes kecurian motosikal di Manjung masih ditahan untuk siasatan lebih terperinci.

“Kita masih cuba mengumpul bukti, termasuk mencari rangka motosikal yang dibuang dan berusaha mengesan rakan suspek yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis turut meneruskan Ops Dadu di sekitar daerah Manjung.

Menurut Mohd Jamil, lima berjaya di tangkap dalam 14 serbuan ke atas beberapa premis yang menjalankan perniagaan loteri haram.

“Manakala 72 mesin judi dirampas bersama enam tangkapan bagi daripada 16 serbuan untuk kegiatan mesin judi.

“Kita juga melakukan lima serbuan untuk kes perjudian di tempat bebas dengan dua serbuan berjaya bersama 15 tangkapan,” katanya.

Katanya, untuk kes pendatang asing, 27 serbuan di pusat hiburan dan tempat tinggal dilaksanakan bersama tangkapan 51 pendatang atas kesalahan menyalah guna pas lawatan.

“Kita berjaya menahan 33 wanita Vietnam di pusat hiburan, 13 wanita Cina serta satu wanita Thailand di restoran, dan empat wanita Indonesia berusia lingkungan 20 ke 30 tahun dalam serbuan di sebuah hotel di sini,” katanya.

Penduduk diserang penyakit gatal



KLUANG - Penduduk-penduduk di kawasan Lot 145 dan 146 Mukim Kahang mengadu mengalami gatal-gatal berikutan terbinanya bangunan sarang burung walit berhampiran kediaman yang hanya tidak sampai 50 meter dari rumah mereka.

Menurut sumber Majlis Perbandaran Kluang (MPK), kawasan berkenaan paling banyak mendapat aduan iaitu lebih 400 penduduk dan mereka juga telah menandatangani petisyen tidak berpuas hati terhadap pembinaan tempat burung walit di kawasan berkenaan.

Pengadu yang dikenali sebagai Ah Wong, 63, berkata, beliau sudah tinggal di kawasan perumahan tersebut selama 26 tahun tetapi sejak terbinanya bangunan industri sarang burung walit berkenaan, penduduk-penduduk mengalami banyak masalah terutamanya gangguan bising.

Katanya, bunyi yang dihasilkan tidak henti-henti sehingga menyukarkan kanak-kanak di kawasan perumahan ini tidur kerana jarak antara rumah terlalu hampir.

“Saya dan penduduk kawasan perumahan ini mahu agar bangunan sarang burung walit ini dikeluarkan daripada kawasan perumahan kami ini kerana ia menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pengusaha burung walit ini.

“Jika mahu membuat perusahaan dan tempat burung walit, buatlah di kawasan yang jauh daripada kawasan kediaman agar tidak mengganggu penduduk sekitar,” katanya kepada Sinar Harian.

Niat murni bawa padah




PENDANG – Seorang remaja lelaki maut ketika cuba menyelamatkan seorang rakan yang hampir lemas ketika mereka sedang mandi di Sungai Pendang petang, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang di Sungai Pendang di Kampung Sukamari itu mengejutkan orang ramai terutamanya penduduk kampung sehingga lebih 300 penduduk keluar ke lokasi kejadian bagi melihat operasi mencari.

Mangsa, Muhammad Syahmi Zolkepele, 13, adalah pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang itu lemas ketika cuba menyelamatkan seorang rakan yang turut mandi bersama beberapa rakan lain.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Pendang, Sarjan Fairol Azhar berkata, jabatan itu menerima panggilan kes kira-kira jam 1.30 petang daripada polis yang memaklumkan bahawa terdapat seorang remaja jatuh di sungai.

Menurutnya, JPAM segera ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kejadian itu bagi menjalankan operasi mencari mangsa bersama tujuh anggota JPAM Pendang dan Kota Setar.

“JPAM mengambil masa hampir satu jam setengah dalam usaha mencari mangsa di sungai terbabit memandangkan keadaan air sungai ketika itu berada dalam keadaan berputar dan arus air kuat menyukarkan operasi mencari.

“Mangsa berjaya ditemui kira-kira 2.45 minit petang dengan jarak 10 meter daripada tempat mangsa jatuh ketika mandi di sungai itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Maut akibat memandu laju



KUALA KANGSAR – Hov Khay Beng, 19 maut akibat kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya di kilometer 232.5 Lebuh Raya Utara Selatan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa memandu kereta jenis Toyota Altis semasa kejadian.

Menurut beliau, dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa dikatakan bersama seorang penumpang, Poa Wen Hui, 18.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta yang dipandu mangsa terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.

“Mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan serius manakala penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata, mangsa dan penumpang yang berasal dari Taiping, dipercayai dalam perjalanan dari arah selatan ketika kejadian.

“Kereta mangsa dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba ketika menuruni bukit berhampiran kilang simen YTL sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Hasil soal siasat bersama penumpang, polis difahamkan mangsa memandu dengan laju sebelum hilang kawalan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut difahamkan kereta mangsa terhumban ke dalam longkang selepas melanggar pembahagi jalan.

“Polis masih menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jal

Misteri bot terjawab



KUALA TERENGGANU- Misteri penemuan sebuah bot nelayan yang pecah dan terdampar di pesisir pantai belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Teluk Ketapang pada 27 Mac lalu hampir terjawab kini setelah dua nelayan warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 kanun sama sebagai cubaan membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pada awalnya, siasatan mendapati punca bot berkenaan pecah dan terdampar di lokasi itu adalah disebabkan dipukul ombak besar.

“Penemuan pembantu tekong yang diselamatkan seorang nelayan tempatan di kawasan perairan Marang pada 28 Mac, sehari selepas itu telah menjawab teka teki berkenaan.

“Berikutan hasil siasa-tan, pembantu tekong tersebut mengaku telah berlakunya pergaduhan antara mereka di atas bot ketika berada di tengah laut menyebabkan dia dan tekong dipukul dengan objek tumpul lalu dihumban ke dalam laut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, tekong yang dipercayai dipukul itu masih tidak dijumpai dan operasi mencari sedang diteruskan.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 29 Mac menyiarkan empat nelayan warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah bot nelayan yang pecah dan terdampar di pesisir pantai belakang LTSM, Teluk Ketapang 27 Mac lalu.

Tiga nelayan dari Kemboja dan seorang dari Thailand itu ditahan di dua tempat berasingan beberapa jam selepas orang ramai menyedari kehadiran bot nelayan di situ kira-kira jam 5 petang.

Keesokkan harinya, seorang lagi nelayan warga asing iaitu pembantu tekong, 54, ditemui di tengah laut di kawasan perairan Marang diselamatkan oleh seorang nelayan tempatan.

Dia yang mengalami kecederaan lebam di bahagian mata sebelah kiri itu mendakwa dia terjatuh ke dalam laut selepas berlakunya pergelutan antara dia, tekong dan empat lagi awak-awak yang berada di dalam bot terbabit.

Penunggang motosikal, pembonceng maut



PUCHONG – Gara-gara sikap pemandu kereta menukar haluan secara tiba-tiba tanpa isyarat, seorang penunggang motosikal bergesel dengan kenderaan itu di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Rosmaini Mohd Yunus dikatakan menunggang motosikal bersama seorang rakan di lebuh raya LDP menghala ke Sunway.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, kejadian di kilometer 19.5 itu berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail tiba-tiba menukar haluan dari kanan ke kiri masuk ke susur Lebuh raya Kesas dari arah Puchong ke Cheras.

“Kenderaan itu kemudian berlanggar dengan motosikal dinaiki dua lelaki yang berada di sebelah kiri jalan.

“Kedua-duanya mangsa cedera parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Penunggang meninggal dunia ketika menerima rawatan” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Mohd Rizan Mohd Ripin cedera namun berada dalam keadaan stabil.

“Pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Hailmi Zil Azam di talian 03-89410806,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bumbung diterbangkan ribut



SERDANG JAYA – Puluhan penghuni Taman Serdang Jaya di sini terus dilanda resah apabila perumahan mereka sekali lagi menjadi laluan angin lintang menyebabkan ratusan bumbung di kawasan itu terbang ditiup angin petang Jumaat lalu.

Seorang penghuni, Arbaiah Yusof, 55, berkata, kejadian angin ribut melanda kawasan itu sejak tahun 1978 ketika mereka mula-mula menduduki perumahan itu.

Katanya, dalam kejadian Jumaat lalu, dia yang mengambil wuduk terkejut apabila mendengar bunyi dentuman petir yang kuat.

“Ketika itu saya hendak berwuduk bagi menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan dengan bunyi guruh dan angin kuat.

“Sedar-sedar atap rumah jiran sudah terbang ke rumah saya dan dalam masa sama atap rumah di tingkat atas juga melayang diterbangkan angin,” katanya yang berasa sangat takut kerana tinggal berseorangan ketika itu.

Arbaiah berkata dalam keadaan gusar itu dia hanya mampu menadah tangan berdoa supaya angin tidak terus bertiup kencang dan menyebabkan kerosakan.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana wakil rakyat terus menghulurkan bantuan atap baru untuk dipasang semula.

“Ia berikutan rumah saya basah akibat siling rumah bocor kerana atap rosak,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Dr Mohamad Satim Diman yang melihat kerja-kerja pemasangan atap itu, semalam.

Beliau menyumbang 700 kepingan bumbung kepada rumah yang mengalami kerosakan di Jalan Raya 6, Jalan 5/2, Jalan 5/5, Jalan 5/1, Jalan 3/12, Jalan 3/10 dan Jalan 5/5.

Seorang lagi penghuni, Mohd Amir Abdullah, 19, berkata, dia sedang menonton televisyen ketika kejadian angin ribut melanda kawasan itu.

“Bekalan elektrik tiba-tiba terputus akibat hujan lebat bersama angin yang kuat memang merisaukan saya sekeluarga.

“Kami bernasib baik meskipun sepuluh keping atap diterbangkan, namun siling yang ada dapat menghalang air hujan dari masuk ke dalam rumah,” katanya. 

Sekeluarga nyaris maut




TELOK KEMANG – Satu keluarga yang dalam perjalanan menuju ke Seremban nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba di Kilometer 23.3 lebuh raya Telok Kemang–Seremban sekitar jam 11.20 malam, semalam.

Mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, dia memandu kereta dalam kadar kelajuan sederhana dan secara tiba-tiba bahagian hadapan mengeluarkan asap.

Menurutnya, dia terus memberhentikan kereta di bahu jalan dan mengarahkan semua lima ahli keluarganya keluar sebelum menghubungi pihak bomba.

Dalam kejadian berkenaan, polis menghantar semua mangsa untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Port Dickson, bagaimanapun tiada kecederaan dialami.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, ketika tiba di tempat kejadian kereta terbabit sudah terbakar keseluruhannya dan kerja pemadaman terus dilakukan.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dua beradik dituduh bunuh Phat Phetpuk



KUALA TERENGGANU- Dua beradik warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang tekong warga Thailand di perairan Terengganu pada Mac lalu.

Ariffin Salleh, 27, dan adiknya, Kadir Salleh, 25, dituduh membunuh Phat Phetpuk, warganegara Thailand kira-kira jam 1 tengah hari ketika menangkap ikan di perairan Terengganu pada 27 Mac lalu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud di hada-pan Majistret, Siti Faraziana Zainuddin. Siti Faraziana menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Kadir turut didakwa atas pertuduhan cuba membunuh seorang nelayan warganegara Thailand pada hari sama kira-kira jam 1 tengah hari dalam bot nelayan di perairan Terengganu.

Dia dituduh memotong tali bot dipegang mangsa ketika berada di laut dengan menggunakan pisau dengan niat dan gerak geri menyebabkan kematian.

Kakitangan MPK ke tali gantung

 

KUALA TERENGGANU- Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu bas, Zaiton Mohamad atau lebih dikenal sebagai ‘Kak Nab’ pada 16 April 2008.

Hakim, Datuk Abd Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zulhisham Fadly Mohamad, 30, dari Kemaman selepas mendapati pihak pembelaan yang diwakili dari Tn Law Chamber Of Abdullah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Dalam penghakimannya, Abd Rahim menjelaskan seluruh keterangan saksi serta pendakwaan menjelaskan niat sebenar tertuduh adalah untuk membunuh mangsa dengan menanam mangsa bersama keretanya selepas memukul sehingga pengsan dalam satu pertengkaran antara mereka berdua.

Katanya, sekiranya kejadian itu tidak berlaku dengan niat, tertuduh yang masih dalam keadaan waras dapat menyelamatkan mangsa dengan menghantarnya ke hospital kerana mangsa hanya pengsan selepas dipukul dan bukannya menanam mangsa bersama keretanya menggunakan jentolak.

Katanya, laporan perubatan mendapati, mangsa meninggal disebabkan lemas tertimbus kerana hasil bedah siasat menemui pasir dalam kerongkong mangsa.

Dengan itu, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pendakwaan yang dijalankan oleh Pendakwaraya Jazamuddin Mahmod berjaya membuktikan prima facie kes tersebut.

Sejurus keputusan dibacakan, ahli keluarga tertuduh termasuk isteri dan dua anaknya menitiskan air mata kesedihan namun sebaliknya tertuduh masih boleh tersenyum tenang di dalam kandang tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh dituduh membunuh seorang pemandu bas yang juga ibu saudaranya pada 16 April 2008 di antara jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari di dalam kebun buah naga di Mukim Hulu Kemaman, Bukit Tebuan, Jalan Bukit Paka, Kemaman dengan bertindak menanam mangsa bersama keretanya di dalam lubang.

Dia menggunakan jentolak untuk menimbus mangsa yang ketika itu masih bernyawa selepas pengsan dipukul.

Gajah serang tanaman sawit



KEDAIK ASAL – Tanaman sawit seluas kira-kira 0.8 hektar yang diusahakan penduduk Orang Asli di sini musnah apabila ‘dikerjakan’ sekumpulan enam ekor gajah liar yang dipercayai sesat dari Hutan Sementok, Kedaik.

Seorang pemilik kebun, Amran Boji, 42, dilaporkan mengalami kerugian ribuan ringgit selepas anak pokok yang baru ditanam dua minggu lalu musnah dimakan haiwan liar terbabit.

Kehadiran kumpulan gajah itu turut membimbangkan penduduk kerana mendakwa haiwan terbabit pernah mengejar penduduk yang melalui kawasan kebun di situ.

Berikutan itu, penduduk meminta bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menghalau gajah berkenaan, namun kecewa kerana masih tiada tindakan dibuat.



Serangan sejak tiga hari lalu



Seorang penduduk, Ramli Ason, 48, berkata, dia menyedari kehadiran gajah liar itu pada petang Jumaat lalu selepas mendengar bunyi haiwan berkenaan semasa membersihkan kebunnya.

Dia yang sudah tiga kali terserempak dengan haiwan liar itu terkejut apabila mendapati sekumpulan enam ekor gajah sedang melanyak tanaman sawit berhampiran kebunnya.

“Saya tidak menunggu lama di situ kerana bimbang kehadiran saya dapat dihidu gajah terbabit sebelum bertindak melaporkan kepada pemilik kebun berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, banyak tanaman dimusnahkan kumpulan gajah liar itu menyebabkan pemilik tanaman menanggung kerugian besar.

“Akibat serangan berulang kali oleh kumpulan gajah itu, anak-anak kelapa sawit yang ditanam tidak sempat membesar kerana habis dilanyak haiwan itu.

“Setiap daripada kami terpaksa membelanjakan RM14 bagi sepokok sawit tidak termasuk kos baja, menebang, membersihkan kawasan, mengorek lubang, menanam dan sebagainya,” katanya.



Hampir jadi korban gajah



Seorang penduduk, Mohd Nasir Harun, 40, berkata, dia hampir menjadi korban gajah apabila salah seekor daripadanya cuba mengejarnya ketika keluar menoreh getah pada petang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, dia yang hanya berada lima meter dari tempat gajah itu mencari makanan bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

“Mungkin gajah itu terkejut dengan kehadiran saya. Saya lari menyelamatkan diri selepas mendapati gajah terbabit mula mengeluarkan bunyi tanda amaran supaya tidak mendekati kumpulan mereka.

“Pada ketika itu saya tidak mampu berfikir apa-apa dan terus melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa yang ketika itu seolah-olah seperti telur di hujung tanduk,” katanya.



Kejadian didakwa kali kedua



Ketua UMNO Cawangan Kedaik Asal, Adnan Boji berkata, kejadian itu merupakan yang pertama tahun ini dan kejadian sama pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, sebuah motosikal penduduk di kampung itu rosak teruk akibat dipijak gajah yang sedang ‘naik angin’.

Menurutnya, kejadian kali ini pula menyebabkan kemusnahan pada tanaman penduduk dan sekiranya keadaan itu dibiarkan boleh mengakibatkan nyawa pekebun di situ terancam.



Kecewa Perhilitan lambat bertindak



Tok Batin Kedaik Asal, Booh Suan meluahkan rasa kecewa apabila Perhilitan didakwa gagal menghalau kumpulan gajah itu keluar daripada kawasan kebun penduduk.

Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya bertindak segera memandangkan haiwan liar itu boleh mengancam nyawa manusia.

“Saya difahamkan penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri menghalau binatang itu memandangkan Perhilitan masuk untuk memantau dan memasang mercun sahaja.

“Jadi saya berharap Perhilitan lebih peka dengan masalah ini memandangkan ia mengancam nyawa penduduk,” katanya.

Artis dikir barat ditahan



TANAH MERAH - Gara-gara berpakaian menyerupai wanita serta mendakwa dirinya wanita ‘sejati’, seorang penyanyi dikir barat terkenal dicekup ketika mengadakan persembahan di sebuah tapak ekspo di bandar ini, malam Jumaat lalu.

Biar pun ramai yang mengetahui dirinya lelaki, namun penyanyi berusia 25 tahun terkenal dengan lagu-lagu Bollywood itu cuba menyakinkan pihak berkuasa agama dengan memberikan alasan terbabit bagi mengelakkan dirinya ditangkap ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam menerusi Ops Insaf.Tangkapan dilakukan sekumpulan anggota penguat kuasa agama diketuai Rosli Ismail bersama lima Skuad Amru dan tujuh anggota Rela.

Ketika tangkapan dibuat, penyanyi berasal dari Kuala Betis, Gua Musang itu difahamkan baru selesai mendendangkan dua lagu, namun, persembahannya terpaksa dihentikan serta merta sebaik diarahkan pihak penguat kuasa agama.

Sebelum ini, difahamkan lelaki dari masyarakat Orang Asli itu pernah ditahan pihak berkuasa agama Pasir Mas, tahun lalu, di atas kesalahan sama sebelum dikenakan denda sebanyak RM800.

Bagaimanapun, tangkapan tersebut nyata tidak memberikan kesan apabila dia kembali mengulangi perbuatan sama.

Selain lelaki itu, turut ditahan bersamanya adik lelakinya berusia 20an dan juga seorang lelaki berusia lewat 20an, dipercayai rakan sekampungnya bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Agama Islam Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan penyanyi dikir barat itu.

“Dia sepatutnya melakukan persembahan kedua malam tadi (kelmarin), namun, terpaksa dibatalkan kerana pihak penganjur melanggar permit yang diberikan.

“Penyanyi itu dijangka dihadapkan ke mahkamah Jun ini kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Kanun Jenayah Syariah kerana berpakaian tidak senonoh dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000,” katanya.

Tiga kereta remuk teruk



TANAH MERAH - Gara-gara tertidur ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pagi kelmarin, tiga kereta yang diletakkan di hadapan rumah kedai di Kampung Salak di sini, rosak teruk dilanggar seorang lelaki.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Machang.

Disebabkan tertidur ketika memandu, pemandu kenderaan itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh kereta Mazda, Alza dan Honda yang diletakkan sederet di hadapan rumah kedainya itu.

Anak pemilik kenderaan yang dirempuh dikenali sebagai Adri,22, berkata, kesan pemandu menekan brek jelas dapat dilihat di atas jalan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan dikejutkan emak yang memberitahu keretanya baru dua minggu dibeli dilanggar.

“Saya terus bergegas keluar dan melihat bukan sahaja kereta emak yang rosak malah kereta ayah dan juga jiran turut rosak,” katanya kepada Sinar Harian.

Adri berkata, hasrat pemandu mahu ke tempat kerja pagi kelmarin terbantut berikutan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian menyebabkan kereta mangsa rosak teruk pada bahagian belakang selepas merempuh tiang rumah kedai dan berpusing merempuh sebatang lagi tiang sehingga bahagian hadapan kereta berputar menghala ke arah Pasir Mas.

“Pemandu dalam perjalanan dari arah Pasir Mas, tetapi kemalangan menyebabkan kereta berpusing arah sebaliknya.

“Bagaimanapun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

7,620 karton rokok dirampas



KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Kelantan merampas 7,620 karton rokok tidak sah dengan nilaian cukai RM713,217.60 yang disembunyikan di sebalik perabot terpakai dalam lori berkunci.

Timbalan Pengarah Kastam Kelantan, Zakaria Yusoff berkata, muatan berkenaan berjaya dirampas sepasukan penguat kuasa kastam Kota Bharu ketika menjalankan rondaan tiga hari lalu setelah mengesan sebuah lori yang mencurigakan di Jalan Machang.

Menurutnya, pasukannya mengekori lori berkenaan bagaimanapun hilang daripada pandangan ekoran kesesakan lalu lintas dan kemudiannya berjaya dikesan setelah ia ditinggalkan berhampiran Kelab Snuker di Kilometer 21 Kampung Banggol Kewar, Kok Lanas, dekat sini.

“Pasukan kita membuat intipan untuk mengesan pemandu lori ini bagaimanapun, selepas lima jam intipan pasukan masih tidak berjaya mengesan pemandu yang dipercayai melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota kastam.

“Setelah gagal mengesan pemandunya, kira-kira jam 11.15 malam anggota kita terpaksa memotong kunci dan hasil pemeriksaan didapati lori tersebut membawa muatan sofa bersama tilam terpakai yang melindungi rokok bernilai RM167,640,” katanya kepada media semalam.

Hadir sama, Penolong Kanan Pengarah Kastam 1 (Siasatan), Datin Nor Ashikin Ahmad.

Zakaria berkata, pihaknya mempercayai tilam dan sofa buruk tersebut digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi menyembunyikan kotak-kotak serta guni berisi rokok pelbagai jenama.

Katanya, pihaknya kini masih mengesan pemandu terbabit dan siasatan awal juga mendapati lori yang membawa rokok dari Pantai Barat itu menggunakan plat palsu.

Antara tujuh jenama rokok yang dirampas semalam ialah, Crazy Horse, Gudang Garam, Fisher dan League.

Sehingga April tahun ini, pihaknya berjaya memperoleh sebanyak 39 kes penyeludupan rokok melibatkan 25,967 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM316,761.05.

7 Pondok Darul Naim hangus



KOTA BHARU- Sebanyak tujuh unit rumah Pondok Darul Naim, Padang Halban, di sini, hangus dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 4.50 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Ngah Wan Long berkata, kira-kira RM70,000 kerugian ditanggung penghuni termasuk perabot dan barangan elektrik.

“Pihak kami menerima panggilan dari Bilik Kawalan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu kira-kira jam 5.29 petang dan menghantar sebuah jentera bomba dan tiga jentera bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.

“Seramai 20 anggota bomba terlibat dan sebaik sampai di tempat kejadian, kami dapati hampir 80 peratus rumah sudah terbakar dan hanya tinggal sedikit sahaja api yang belum dipadamkan,” katanya semasa ditemui di Pondok Darul Naim, Padang Halban, Melor, di sini.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak bomba mengesyaki ia mungkin berpunca daripada litar pintas dari rumah paling hujung.

“Semasa siasatan, kami dapati unit rumah paling hujung yang dikatakan memulakan cetusan api mengalami litar pintas dari penggunaan elektrik, namun ketika kejadian, semua penghuninya tiada (keluar bekerja),” katanya.

Menurutnya, dengan pertolongan penghuni di situ, punca air untuk kegunaan bomba mudah didapati, selain pelajar pondok turut membantu mangsa menyelamatkan barang-barang mereka.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk penghuni pondok mengambil langkah berjaga-jaga terutama semasa menggunakan barangan elektrik dan tidak membiarkan ia dipasang apabila meninggalkan rumah.

“Bagi suri rumah, mereka dinasihatkan berhati-hati semasa memasak dapur menggunakan dapur gas bagi memastikan keselamatan terjamin tambahan penghuni pondok tinggal dalam jarak dekat (lapan kaki) sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kompleks Madrasah Darul Naim (Pondok), Mohd Aziz Che Man berkata, sudah dua kali penghuni mengalami kebakaran dan kebakaran pertama berlaku pada 2005 lalu sejak unit rumah itu dibina sejak 1995.

“Seramai 20 ahli keluarga daripada tujuh unit rumah terselamat dalam kejadian kebakaran ini dan terdapat 200 unit rumah yang ada di pondok di ini dengan 122 daripadanya mempunyai penghuni,” katanya.

Beliau yang juga guru pondok berkata, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Ketereh, unit rumah lain yang berdekat berjaya diselamatkan.

“Selepas ini, pihak pondok akan bekerjasama dengan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan penghuni didedahkan dengan keselamatan,” katanya.

Samseng laut




SEORANG wakil daripada Persatuan Nelayan Kelanang menunjukkan bot yang tersadai di pengkalan itu.
SEORANG wakil daripada Persatuan Nelayan Kelanang menunjukkan bot yang tersadai di pengkalan itu.


Ceroboh kawasan nelayan lain, ugut bila lapor pihak berkuasa 


BANTING: Lebih 100 nelayan dari lima pangkalan nelayan di sini mendakwa mata pencarian mereka terjejas teruk selepas perairan tangkapan mereka diceroboh kumpulan nelayan kawasan lain yang menggunakan khidmat samseng.Nelayan terbabit ialah dari Pengkalan Nelayan Tongkah, Pengkalan Nelayan Kelanang, Pengkalan Nelayan Permatang Pasir, Pengkalan Nelayan Bandar dan Pengkalan Nelayan Pulau Carey.
Wakil nelayan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah mendakwa kumpulan nelayan dari pangkalan berhampiran menceroboh perairan mereka setiap hari bermula jam 5 pagi untuk mengutip hasil tangkapan dengan menggunakan pukat hanyut. 


"Bayangkanlah, mereka datang bersama 50 bot dan melakukan aktiviti tangkapan ikan kurang 5 batu nautika dari kawasan kami. 


"Kami tidak marah jika ia dilakukan lebih lima batu nautika dari sini. Habis semua hasil laut dikaut mereka yang menggunakan pukat hanyut,” katanya kepada Sentral di sini. 


Sebelum ini, hasil tangkapan nelayan di sini boleh mencecah sehingga 15 kilogram (kg) sehari, tetapi sejak kebelakangan ini mereka hanya memperoleh dua hingga tiga kg saja. 
Malah, kegiatan yang didakwa berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu semakin membimbangkan kerana ia mula membabitkan kegiatan samseng. 


Jika ada mana-mana nelayan membuat laporan kepada pihak penguat kuasa atau pihak atasan, individu terbabit akan dicari dan nyawa pengadu akan terancam. 


Abdullah berkata, kejadian samseng itu bukan cerita rekaan kerana ia pernah dialami sahabatnya. 


"Sebelum ini, sahabat saya membuat aduan kepada pihak penguat kuasa. Namun, dia akhirnya menemui ajal apabila dilanggar lari sekumpulan individu. 


"Kami bukan ingin menuduh, tetapi ia terjadi selepas arwah membuat aduan kepada pihak penguat kuasa. Sebelum ini, ada beberapa kes pukul yang terjadi ke atas kami yang membuat aduan," katanya. 


Beliau berkata, pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak penguat kuasa dan beberapa ahli politik pernah meninjau kawasan itu tetapi masih tiada tindakan diambil. 


Tinjauan Sentral mendapati banyak bot tersadai kerana mereka tidak mampu menanggung kos bahan bakar yang tinggi dan upah pekerja. 


Berikutan itu, mereka menggantikannya dengan sampan kerana kos lebih murah. 

2 terperangkap 9 hari dalam kontena


Warga Bangladesh maut selepas tiba di Singapura 


DHAKA: Dua pekerja pelabuhan Chittagong, Bangladesh yang tertidur di dalam sebuah kontena terperangkap tanpa makanan dan minuman apabila kontena itu dibawa belayar dan tiba di Singapura melalui Malaysia, sembilan hari kemudian.
Din Islam, 30, berkata beliau dan rakan sekerjanya, Alamgir, terperangkap ketika tidur di dalam kontena 1 April lalu, tanpa sebarang bekalan kecuali sekotak rokok.
Polis Singapura berkata, Din Islam dan mayat Alamgir ditemui Ahad lalu oleh seorang pekerja di Terminal Kontena Pasir Panjong, selepas mereka mendengar bunyi ketukan kuat. 

Pihak berkuasa republik itu mengklasifikasikan kes Din Islam sebagai sahih. 

Polis Singapura tidak mengesyaki sebarang penipuan. Bagaimanapun, ada pihak berpendapat dua lelaki terbabit mungkin sengaja memasuki kontena untuk mencari kerja di luar negara. 

Akhbar Dhaka The Daily Star melaporkan, sebelum ini ramai warga Bangladesh meninggalkan Bangladesh melalui pelabuhan Cox’s Bazar di tenggara negara itu menuju ke Malaysia dan ada yang terbunuh. 
Akhbar The New Paper dan Straits Times Singapura melaporkan kes itu. 

Kontena itu dibawa dari Pelabuhan Chittagong ke Singapura oleh kapal kargo Hansa Caledo, yang memulakan pelayaran pada 2 April. 

Din Islam memberitahu polis Singapura, beliau dan Alamgir baru menyelesaikan kerja pembersihan di Pelabuhan Chittagong dan masuk ke dalam sebuah kontena untuk berehat apabila ia tiba-tiba terkunci dari luar. 

“Kami menjerit dan menumbuk dinding untuk menarik perhatian, tetapi tiada siapa datang membantu. 

“Kemudian kami tidur dan tidak mengetahui bahawa kontena itu sudah dibawa belayar. Apabila kami sedar, kami mungkin sudah dalam kapal,” katanya. 

Dia berkata, Alamgir yang berusia lingkungan 40-an pengsan dan meninggal dunia selepas beberapa hari. 

“Saya benar-benar tidak tahu apa harus dilakukan. Saya amat takut, menangis dan berdoa kepada Allah agar menyelamatkan saya,” katanya. 

Sejurus tiba di Singapura, kontena terbabit dipindahkan ke dermaga pelabuhan. 

Ahad lalu, pekerja yang sedang memindahkan kontena ke atas lori treler untuk dipunggah ke sebuah lagi kapal menuju Vietnam, terdengar ketukan kuat. 

Apabila pintu dibuka, mereka menemui Din Islam bersama mayat Alamgir yang mereput tanpa dokumen perjalanan. – Agensi 

Bayi lemas dalam kolam ikan hiasan




RIDUAWAN Che Man, 34, menunjukkan kolam ikan hiasan  di mana anaknya Muhamad Amirul Wajdi (gambar kecil), berusia 14 bulan ditemui lemas di rumah mereka di Taman Teja, Changlun petang kelmarin. Muhammad Amirul dikatakan merangkak sebelum jatuh di dalam kolam sedalam 0.5 meter itu. - Foto Rahmat Othman
RIDUAWAN Che Man, 34, menunjukkan kolam ikan hiasan di mana anaknya Muhamad Amirul Wajdi (gambar kecil), berusia 14 bulan ditemui lemas di rumah mereka di Taman Teja, Changlun petang kelmarin. Muhammad Amirul dikatakan merangkak sebelum jatuh di dalam kolam sedalam 0.5 meter itu. - Foto Rahmat Othman


Kakak, abang tak sedar adik merangkak keluar 


CHANGLUN: Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan ditemui mati lemas dipercayai terjatuh ke dalam kolam ikan hiasan di halaman rumahnya di Taman Teja, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, Muhamad Amirul Wajdi Riduawan dikatakan merangkak seorang diri dari dalam rumahnya menuju ke kolam ikan itu tanpa disedari abang dan kakaknya yang berada di dalam rumah.
Bapa mangsa, Riduawan Che Man, 34, berkata ketika kejadian beliau baru selesai memotong rumput di halaman rumah dan berehat di bangsal tepi rumahnya sebelum terdengar jeritan anak sulungnya, Nurizzati Irwani, 9, memberitahu adik bongsu daripada empat beradik itu lemas dalam kolam sedalam 0.5 meter itu. 


“Anak sulung saya mengangkat adiknya dari kolam itu dan meletakkan di tepi. Tanpa berfikir panjang, saya terus melakukan bantuan pernafasan ke mulut anak saya dan ketika itu beliau menunjukkan tindak balas. 


“Saya kemudian membawa anak ke Hospital Jitra (HJ) untuk mendapatkan rawatan segera tetapi doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia jam 9 malam kelmarin akibat lemas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 


Riduawan berkata, ketika kejadian, isterinya, Zaliza Said, 34, sedang tidur di dalam rumah akibat keletihan selepas baru pulang membeli-belah di Padang Besar, Perlis. 
Katanya, tiga anaknya yang lain ketika itu sedang bermain dengan arwah tetapi mula mencari adik mereka selepas mendapati beliau tiada di dalam rumah. 


“Empat anak saya termasuk arwah tinggal dengan saya kerana ibunya bertugas sebagai jururawat di Hospital Pulau Pinang dan berulang-alik seminggu sekali untuk bersama keluarga. 


“Disebabkan saya sudah berjanji untuk membawa keluarga bercuti di Perlis selain menziarahi ibu saya yang sedang sakit, isteri mengambil cuti untuk menjaga anak-anak tetapi saya tidak sangka ia akan berakhir dengan tragedi,” katanya. 


Beliau berkata, arwah anaknya manja sejak seminggu lalu dan kerap memanggil abah berulang kali kelmarin seperti sudah tahu ajalnya akan tiba. 


Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, dekat sini, malam kelmarin. 

Sembilan jual telefon bimbit tiruan ditahan




SEORANG pegawai  KPDNKK memeriksa telefon bimbit jenama tiruan dalam operasi di sebuah stesen minyak di MRR2 Gombak, semalam.
SEORANG pegawai KPDNKK memeriksa telefon bimbit jenama tiruan dalam operasi di sebuah stesen minyak di MRR2 Gombak, semalam.


Warga asing dicekup dalam operasi bersama KPDNKK, JPN 


KUALA LUMPUR: Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, menahan sembilan warga asing yang dipercayai menjual telefon bimbit tiruan kepada orang awam di sebuah stesen minyak di Gombak di sini, semalam.
Ketua Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, dalam serbuan Ops Tiruan jam 11.40 pagi itu, pihaknya merampas 73 telefon bimbit berjenama pelbagai jenis bersama dua kenderaan yang digunakan suspek bernilai kira-kira RM111,000.
Bagaimanapun, katanya, dua lagi kenderaan yang dipandu anggota kumpulan itu berjaya melarikan diri dalam serbuan itu.


Katanya, telefon bimbit itu dipercayai diperoleh daripada sindiket barangan tiruan di sekitar daerah Gombak dan kawasan lain di Selangor, sekali gus kegiatan itu membolehkan kumpulan terbabit mengaut keuntungan besar dengan menjalankan operasi setiap hari bermula dari jam 10.30 pagi hingga lewat malam.


“Telefon tiruan itu dibeli murah daripada pengedar iaitu RM200 hingga RM300 seunit, tetapi mereka menjualnya antara RM500 hingga RM1,000.


“Terdapat juga suspek menawarkan mangsa untuk bertukar telefon dengan telefon tiruan yang lebih canggih,” katanya kepada pemberita selepas melakukan serbuan di sini, semalam. 
Othman berkata, pemeriksaan awal suspek mendapati semua suspek dipercayai warga asing dan tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.


“Soal siasat mendapati, empat daripada suspek menggunakan kad pengenalan palsu, manakala selebihnya mempunyai kad pengenalan diri yang diragui. Suspek bertindak licik menggunakan kad pengenalan warga negara palsu bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,” katanya.


Beliau berkata, serbuan dijalankan hasil daripada aduan orang awam serta pemilik stesen minyak itu yang mendakwa suspek mengganggu keselamatan pengguna stesen minyak berkenaan. 

Kucup gambar anak sebaik dibebas hukuman gantung


ABDUL NIRWAN   (kiri) dan Mohammad Zalmizi berpelukan   selepas  mereka terlepas hukuman gantung.
ABDUL NIRWAN (kiri) dan Mohammad Zalmizi berpelukan selepas mereka terlepas hukuman gantung.

ALOR SETAR: Suasana di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini semalam sebak apabila seorang daripada dua lelaki yang dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh Naib Ketua Pemuda MCA Bahagian Padang Serai, Ching Eng Wah, empat tahun lalu menitiskan air mata sambil berkali-kali mengucup gambar anak perempuannya yang didakwa tidak ditemui sejak tiga tahun lalu. 


Mohammad Zalmizi Hasim, 27, yang juga tertuduh kedua pada mulanya kelihatan tenang, namun mengalirkan air mata sebaik polis membuka kunci garinya di kandang tertuduh selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan melepas dan membebaskan Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dan Mohammad Zalmizi.
Keputusan itu dibuat oleh Zakiah selepas mahkamah mempertikaikan kegagalan pihak pendakwaan memanggil dua saksi penting dalam kes itu untuk memberi keterangan bagi mensabitkan kesalahan terhadap kedua-dua tertuduh.
Suasana penuh emosi itu berlarutan hingga ke pekarangan mahkamah apabila Mohammad Zalmizi berulang kali mencium gambar anaknya yang kini berusia enam tahun yang didakwa tinggal bersama isterinya di Bachok, Kelantan. 


Mohd Zalmizi berkata, dia akan pulang ke kampungnya di Bachok secepat mungkin untuk bertemu anak perempuan tunggalnya yang berusia dua tahun ketika ditinggalkan. 


“Gambar dialah yang menjadi peneman ketika saya merinduinya dan ia sentiasa ada di dalam poket saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan untuk saya membina semula kehidupan bersama anak dan isteri,” katanya sebak. 


Mengikut pertuduhan, Abdul Nirwan dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Mohammad Zalmizi dituduh melakukan kesalahan membunuh hingga menyebabkan kematian Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat Jalan Lunas-Padang Serai, Pekan Padang Serai kira-kira jam 8.50 pagi, 17 Ogos 2007. 
Zakiah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membawa dua saksi penting iaitu lelaki bernama Jefri Din dan Herman Hamzah yang membawa kepada penemuan pistol yang didakwa menjadi senjata pembunuhan. 


Katanya, pihak pendakwa gagal memanggil Jefri iaitu lelaki yang memberi maklumat mengenai penemuan bungkusan berisi pistol di dalam semak yang dikatakan berada di belakang rumah Herman yang dijadikan senjata untuk membunuh Eng Wah. 


“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuat ujian ke atas pistol yang dijumpai itu kerana ia sudah tidak boleh berfungsi untuk dikaitkan sebagai senjata yang membunuh mangsa. 


“Selain itu, isteri mangsa yang juga saksi utama pendakwaan juga tidak nampak siapa yang menembak mangsa kerana sedang sibuk mencari telefon bimbitnya dan hanya terlihat dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan tergesa-gesa memecut ke arah Baling,” katanya. 


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Ana Rozana Mohd Noor, manakala, Abdul Nirwan diwakili oleh Ai Cha Ran dan Mohammad Zalmizi diwakili oleh Naran Singh. 

Warga tua rempuh api selamatkan suami uzur



Foto
DERETAN rumah hangus di Pondok Tafiz Darulnaim, Kampung Kubang Bongor, Ketereh.

KETEREH: Seorang isteri warga tua sanggup menggadai nyawa dengan merempuh api untuk menyelamatkan suaminya yang uzur, dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah, di Pondok Tafiz Darulnaim, Kampung Kubang Bongor, Padang Halbam, dekat sini, petang kelmarin.
Pengorbanan Aminah Harun, 70, menarik keluar Masud Ahmad, 86, yang tidak dapat melihat dan berjalan, berjaya menyelamatkan suaminya itu daripada menjadi mangsa kebakaran.

Aminah berkata, sebelum kejadian, beliau sedang membaca al-Quran sebaik selesai sembahyang Asar, manakala Masud pula berehat di ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, sebaik selesai membaca al-Quran, beliau terhidu bau sesuatu terbakar lalu membuka pintu belakang rumahnya untuk mengetahui punca bau berkenaan.

"Selepas membuka pintu belakang itu, saya melihat rumah berhampiran sudah terbakar dan api marak dengan pantas, menyebabkan saya terus menerpa ke arah suami yang sedang berehat di ruang tamu rumah.

"Saya terpaksa menarik suami keluar rumah dan ketika itu, api mula marak membakar rumah sehingga saya gagal menyelamatkan sebarang harta benda. 
"Saya bersyukur kerana suami yang uzur selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku terhadap penghuni rumah yang terbabit dalam kebakaran itu,” katanya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, tujuh rumah papan berdekatan, musnah, tetapi tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana sebahagian besar penghuni tiada di rumah kerana bekerja.

Seorang guru pondok berkenaan, Mohd Zukri Othman, 40, berkata beliau terlihat asap dari sebuah rumah dan cuba memadamnya dengan menggunakan air daripada paip berhampiran.

"Api marak dengan pantas. Mujurlah ketika kejadian kebanyakan penghuni rumah berkenaan keluar bekerja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok, berkata sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.29 petang. 

Katanya, sebaik tiba, semua rumah papan terbabit sudah 80 peratus hangus dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak kepada 30 lagi kediaman berhampiran.

"Kami juga dibantu dua jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama 12 anggota dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

"Kerugian dianggarkan kira-kira RM70,000 dan punca kejadian masih disiasat," katanya. 

2 pekerja kontrak lemas dalam saluran pembetungan


ANGGOTA bomba memeriksa lubang pembetungan di Jalan Bagan Jermal, Tanjung Tokong, semalam.
ANGGOTA bomba memeriksa lubang pembetungan di Jalan Bagan Jermal, Tanjung Tokong, semalam.
GEORGETOWN: Dua pekerja kontraktor pembersihan pembetungan maut, selepas kedua-duanya terjatuh ke lubang saluran pembetungan di Jalan Bagan Jermal, Tanjung Tokong, di sini, semalam. 



Mangsa Roshidi Ramli, 20, dan Zakaria Ahmad, 32, dikatakan memasuki lubang saluran sedalam 15 meter milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) itu kira-kira jam 11 pagi untuk melakukan kerja mengorek pasir.
Kedua-duanya yang tidak memakai kelengkapan keselamatan dipercayai tergelincir ketika paras air dalam saluran berkenaan naik secara tiba-tiba.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari dan terus bergegas ke tempat kejadian. 


“Mayat Roshidi ditemui jam 1.02 tengah hari dan dikeluarkan daripada lubang berkenaan tujuh minit kemudian sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. 


“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam. 


Katanya, mayat Zakaria pula ditemui di loji kumbahan Kampung Bagan Jermal pada jam 9.30 malam semalam oleh pasukan penyelamat yang turut dibantu Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) dan Unit Skuba Bomba. 
Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Sufian Mohd Yusoff, 19, berkata beliau diarahkan oleh majikannya untuk memanggil Roshidi dan Zakaria yang ketika itu bertugas di lubang pembetungan kedua. 


“Saya terkejut apabila mereka tidak berada di sana, malah panggilan saya beberapa kali tidak disahut oleh mereka. Bimbang sesuatu buruk berlaku, saya terus memaklumkan kepada majikan mengenai kejadian itu,” katanya. 


Sementara itu, isteri Zakaria, Nas Fatihah Azman, 26, dari Sungai Tiram, Bayan Lepas, berkata hatinya merasa gelisah apabila panggilan ke telefon bimbit suaminya kira-kira jam 1 tengah hari tidak dijawab. 


“Hati saya amat resah dan dua jam selepas itu saya menerima panggilan telefon daripada jiran yang memberitahu mengenai kejadian yang menimpa suami saya. 


“Saya seperti tidak percaya ketika diberitahu mengenai tragedi berkenaan,” katanya yang dikurniakan dua anak lelaki selama sembilan tahun berkahwin dengan Zakaria.