Search This Blog

Sunday, April 17, 2011

Dua pemuda bebas tuduhan bunuh


ALOR SETAR: Dua pemuda hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas tuduhan membunuh naib pengerusi Pemuda MCA Padang Serai, Ching Eng Wah, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim, membuat keputusan itu ke atas Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Mohamad Zalmizi Hasim, 27, dari Bachok, Kelantan, tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Dalam penghakimannya, Zakiah berkata pihak pendakwaan gagal memanggil dua saksi penting dan tiada saksi yang benar-benar melihat pembunuh dan pistol yang dijadikan barang kes tidak berfungsi.
Eng Wah, 43, ditembak di kepala semasa memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai semasa dalam perjalanan pulang selepas bersarapan bersama isterinya, Low Mui Keow pada 17 Ogos 2007.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Nirwan dan Mohamad Zalmizi secara bersama dituduh melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Ching Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai kira-kira 8.50 pagi 17 Ogos 2007.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama, iaitu hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Dalam kes ini, pistol yang ditemui di rumah seorang saksi berkarat menyebabkan tembakan ujian tidak dapat dijalankan manakala isteri mangsa tidak melihat dengan jelas (wajah) pembunuh.
"Walaupun isteri mangsa dapat mengecam pembunuh melalui kawat cam, namun ia hanya atas rasa syak yang kuat dan tidak boleh dijadikan keterangan atau bukti di mahkamah," katanya.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing mempunyai seorang anak perempuan, semasa ditemui di luar mahkamah selepas dibebaskan bersyukur dengan keputusan itu namun masih menutup sebahagian muka mereka.

Abdul Nirwan berkata, beliau akan mengadakan majlis khenduri kesyukuran manakala Mohamad Zalmizi akan pulang ke Bachok malam ini untuk menemui keluarganya.

Mereka diwakili peguam Noran Singh dan Ai Cha Ran manakala Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor mengendalikan kes. - BERNAMA

Tiga maut dalam nahas di LDP


KUALA LUMPUR: Tiga terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios, sebuah lori dan sebuah motosikal di Kilometer 2.82 Lebuhraya Damansara-Puchong arah Putrajaya awal pagi ini. 


Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Polis Kontinjen Selangor, Supt Zulkifli Jonit, ketika dihubungi, berkata kejadian kira-kira 1 pagi itu bermula apabila pemandu Toyota itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke lorong kiri lalu merempuh bahagian belakang sebuah motosikal yang melalui jalan sama.

Pekerja MPK dihukum gantung bunuh wanita


KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, tengah hari tadi, selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita di Bukit Tebuan, Jalan Bukit Takal.

Hakim Datuk Abd Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhisham Fadly Mohamad, 30, selepas didapati bersalah membunuh Zaiton Mohamad.
-Bharian

Kastam Kelantan rampas rokok seludup nilai cukai lebih RM1.7j


KOTA BHARU — Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyelesaikan 39 kes penyeludupan rokok haram bernilai RM316,761 dengan nilai cukai lebih RM1.7 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Timbalan Pengarah Kastam Kelantan, Zakaria Yusoff berkata sejumlah 25,967 karton rokok pelbagai jenama telah dirampas daripada 39 kes di seluruh negeri itu.
"Dalam tempoh empat bulan pertama itu juga, dua individu telah ditahan dan didakwa di mahkamah berhubung kesalahan di bawah Seksyen 145 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan yang dilarang import," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, kes terbaru berlaku dua hari lalu, selepas mengintip selama lima jam Kastam Kota Baharu merampas 7,620 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM167,640 daripada sebuah lori di km21, Kampung Banggol Kewat, Kok Lanas, Jalan Machang-Kota Baharu.
"Dalam serbuan 11 malam itu kita mendapati lori itu dipenuhi dengan muatan sofa dan tilam terpakai yang digunakan untuk melindungi kotak-kotak dan guni berisi rokok tidak sah pelbagai jenama dengan cukai keseluruhan barangan rampasan itu bernilai RM713,217,” katanya.
Zakaria berkata kesemua barangan rampasan termasuk lori berkenaan dibawa ke Kastam Kota Baharu untuk tindakan lanjut dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan individu yang terlibat.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 145 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan yang dilarang import dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum tidak lebih dua puluh kali ganda daripada nilai rokok atau hukuman penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama, kosmo

Wanita maut dirompak awal pagi


KULIM — Seorang wanita yang pulang bercuti setelah dua minggu berpindah dari sini ke Kuala Lumpur terbunuh sementara ibunya cedera dalam satu kejadian rompakan oleh tiga lelaki di sebuah rumah banglo di Kampung Keladi, di sini awal pagi ini.
Menurut Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kedah, Supt. Law Tiang Huat, Norjaniati Mohd Isa, 40, ditemui terlentang dengan kesan luka di muka dan telah meninggal dunia.
Ibu wanita itu, Fatimah Abu Bakar, 70, yang lebam di muka dimasukkan ke Hospital Kulim untuk diberi rawatan. Keadaan warga emas itu stabil, katanya.
Beliau berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira 5 pagi ini, sepasukan anggota polis Kulim berkejar ke tempat kejadian.
"Polis percaya tiga lelaki bersenjatakan senjata tumpul menceroboh masuk rumah dua tingkat itu dengan mengumpil jeriji besi pintu tingkat bawah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. — Bernama, kosmo

Anak orang kaya ditahan mencuri



KULIM - Gara-gara gatal tangan, seorang pelajar lelaki menerima padah apabila dia ditangkap oleh orang awam di hentian bas Kulim kira-kira jam 4 petang semalam.

Dari siasatan dijalankan terhadap suspek, dia merupakan anak kepada seorang Setiausaha Timbalan Menteri dan berusia 17 tahun.

Ketika ditemui di Balai Polis Kulim, suspek berkata dia bersama beberapa orang rakan lain masuk ke dalam kedai dan mencuri beberapa helai pakaian.

Tanpa disedari perbuatan mereka itu di perhatikan oleh pemilik kedai terlibat. Sejurus meninggalkan kedai, pemilik premis itu telah memaklumkan kepada rakannya tentang perlakuan yang dilakukan oleh kumpulan pelajar itu.

“Bukan saya seorang terlibat, tetapi terdapat beberapa pelajar lain turut melakukan perbuatan mencuri pakaian dalam kedai itu.

“Kami kemudiannya berjalan ke hentian bas Kulim untuk balik ke asrama. Tiba-tiba tiga lelaki datang menghampiri saya dan memeriksa beg pakaian yang saya bawa.

“Mereka kemudiannya menemui lima helai baju yang dicuri dari kedai pakaian terpakai itu di dalam beg pakaian saya. Sedar perbuatan kami diketahui, beberapa orang rakan saya melarikan diri dan meninggalkan saya bersendirian. Saya kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim,” katanya. 

Polis buru pencuri kereta



GEORGETOWN - Hajat seorang perompak untuk melaram kereta yang baru dicurinya bersama teman wanita tidak kesampaian apabila polis berjaya mengesannya di Jalan Sungai Pinang di sini, petang semalam.

Suspek berusia 30an itu dikatakan melarikan kereta milik sepasang kekasih awal pagi semalam selepas pasangan itu berhenti di sebuah kedai serbaneka di Jalan Thean Theik, Air Itam, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian pada kira-kira jam 1.30 petang semalam, selepas sepasukan polis yang membuat rondaan berjaya mengesan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Air Itam, awal pagi semalam.

“Dalam kejadian jam 12.40 awal pagi, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Bandar Baru Air Itam membuat laporan polis keretanya disamun oleh suspek lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’.

“Ketika kejadian pemilik berkenaan yang sedang sakit berada di tempat duduk penumpang dalam kereta itu manakala teman wanitanya membeli ubat di kedai berkenaan. Dia yang terkejut dan takut selepas suspek mengacukan pisau ke perutnya mengambil keputusan keluar dari kereta dan menyelamatkan diri sebelum menjerit meminta pertolongan orang ramai,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Namun, Kong Meng berkata, suspek yang dipercayai lelaki Melayu bertindak melarikan kereta mangsa.

Menurutnya, hasil laporan yang diterima pengadu, pasukan polis menggerakkan operasi menjejaki suspek.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan kereta berkenaan kira-kira jam 1.30 petang di kawasan Jalan Maqbul, Sungai Pinang di sini.

Bagaimanapun, kereta yang dipandu suspek terbabas apabila melalui sebatang jalan di sebuah perumahan di sini dan suspek melarikan diri serta meninggalkan kekasihnya.

“Sehingga kini, kami sedang memburu suspek manakala teman wanitanya pula sedang ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Empat beranak terselamat




PEKAN NENAS - Seramai empat sekeluarga berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran di Kampung Pak Kalib, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Misnan Abd Manaf, 42, berkata, ketika :kejadian, mereka sekeluarga sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi 'tek..tek..' dari kotak elektrik di hadapan rumahnya.

Menurutnya, ketika itu, bau hangit sangat kuat tetapi tidak mengetahui puncanya sehinggalah melihat kotak elektrik di :hadapan rumah mengeluarkan api kecil.

“Bau hangit sangat ketara, kemudian, semua lampu terpadam dan bila kami keluar, saya lihat api kecil dari kotak elektrik,” katanya kepada Sinar Harian.

Misnan berkata, tidak lama kemudian, api menyambar dinding dan peralatan membuat perabot di hadapan rumah.

Menurutnya, walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga sempat keluar dari rumah sebelum api semakin marak meski pun sehelai sepinggang.

“Kami hanya mampu menjerit meminta tolong dari jiran yang kemudiannya bersama-sama menyiram air bagi memadam kebakaran namun api terus marak,” katanya.

Isterinya, Norizah Zainal, 40, mengalami kecederaan pada lengan selepas terjatuh ketika cuba mematikan fius elektrik.

“Saya cuba mematikan fius namun api terus menyambar tetapi mujur sempat mengelak tetapi terjatuh ke lantai,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Pekan Nenas, Md Ali Mohd Lah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, pihaknya berkejar ke tempat kejadian kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya lagi, sebuah jentera dari Balai Bomba Pekan Nenas bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Kami berjaya mengawal api dari terus merebak ke bahagian belakang rumah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas, Tang Nai Soon, turut mengunjungi keluarga berkenaan dan menghulurkan wang tunai RM500 serta bantuan segera bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.

Menurutnya, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pontian, dan bantuan disalurkan kelak.

Temui tulang manusia



MERSING – “Saya amat terkejut apabila melihat cebisan tulang yang saya pijak adalah tulang manusia.”

Demikian kata seorang penuntut dari Universiti Tun Hussin Onn (UTHM), Batu Pahat, yang menjumpai secebis tulang di Pulau Batu Ayam Pantai Penyabong, Endau, di sini, awal pagi semalam.

Pengalaman itu tidak mungkin akan dilupakan Siti Farhana SM Johan, 22, apabila pada mulanya benda yang dipijaknya disangka batang kayu, rupanya adalah tulang manusia dalam :keadaan kering.

“Pada waktu itu, saya berjalan-jalan di sepanjang pantai kerana mengikuti program kokurikulum yang dijalankan. Sedang asyik berjalan, saya terasa seperti terpijak sesuatu.

“Saya terpandang dan melihatnya ianya adalah cebisan tulang kering yang terdapat di celah batu-batu di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Pelajar jurusan kejuruteraan awam itu kemudiannya terus memberitahu rakannya yang lain, sebelum jurulatihnya, Adam Kamari menelefon pihak polis.

Siti Farhana yang masih trauma berkata, cebisan tulang yang ditemuinya itu adalah dipercayai tulang di bahagian punggung hingga ke lutut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, tulang tersebut yang dijumpai itu adalah dipercayai seorang individu yang hilang pada Disember lalu.

Menurutnya, pada tahun lalu, ada dua kes melibatkan dua individu yang telah jatuh dari bot yang sehingga kini masih belum dijumpai.

“Pihak polis masih menyiasat untuk mengenal pasti cebisan tulang tersebut sama ada ianya ada kaitan dengan orang hilang pada Disember lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Nor memberitahu, cebisan tulang berkenaan telah dihantar ke Hospital Mersing untuk dianalisa bagi mengenal pasti identitis.

Sesat lebih 6 jam ketika joging



BUKIT MERTAJAM – Seorang pemuda yang sesat ketika berjoging di Hutan Lipur Cherok Tokun, di sini, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 1.20 pagi semalam.

Mohd Hanif Hashim, 23, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dalam sebuah lubang dipercayai perigi lama berbatu oleh sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan penduduk kampung yang berusaha mencarinya sejak jam 7 malam.

Turut membantu operasi lebih enam jam itu adalah anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bukit Mertajam, bomba sukarela dan Ikatan Relawan Rakyat berjumlah lebih dari 200 orang.

Mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk mencari mangsa di seluruh pelosok hutan tebal itu.

Komunikasi dibuat bersama mangsa melalui talian telefon bimbit bagi mengetahui kedudukannya, namun, usaha itu pada mulanya gagal menemui mangsa.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat dihubungi apabila telefon bimbitnya dipercayai terjatuh dalam lubang berkenaan menyebabkan anggota penyelamat terpaksa mencarinya dengan berpandukan sahutan suaranya.

Kira-kira jam 11 malam, mercun dibakar beberapa kali ke udara bagi memberikan isyarat kepada mangsa untuk mengetahui kedudukannya.

Tepat jam 12.07 malam, laungan azan oleh penduduk kampung kedengaran sebagai alternatif untuk mencari mangsa berikutan dia sudah gagal dihubungi.

Pelbagai cara digunakan

SELEPAS pelbagai usaha dilakukan gagal berikutan keadaan yang semakin gelap, alternatif lain diambil bagi memberi isyarat kepada mangsa.

Dengan bantuan pihak polis, dua das tembakan dilepaskan pada jam 12.33 pagi dan tujuh minit kemudian, lokasi mangsa dikenal pasti.

Pasukan penyelamat bergegas mencari mangsa di lokasi dimaksudkan dan akhirnya pada 1.20 pagi, mangsa selamat dibawa turun.

Mangsa kemudiannya segera dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Hashim Ibrahim, 53, ketika dihubungi berkata, anaknya berada dalam keadaan selamat dan sihat.

“Dia tiada apa-apa, hanya luka kecil dan calar di tangan. Ketika di HBM dia hanya diberi satu suntikan dan dibenarkan pulang sejurus kemudian.

“Hari ini (semalam), dia pergi kerja seperti biasa kerana semalam (kelmarin) dia mendapat cuti sakit selepas mengadu tangannya bengkak,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang kelmarin, Mohd Hanif dikatakan sesat selepas berjoging seorang diri melalui trek hutan, tidak seperti kebiasaannya yang menggunakan trek bertar.

Rumah urut selindung sebalik pusat refleksologi



SHAH ALAM - Dua rumah urut yang berselindung di sebalik nama pusat refleksologi di Seksyen 25 dekat sini diserbu pihak berkuasa kelmarin.

Rumah urut yang dipercayai menawarkan khidmat seks dan urutan batin itu diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Imigresen Selangor.

Ketua Bahagian Penguat kuasa MBSA, Abdul Hakim Mahmud berkata hasil risikan pihaknya berjaya menahan empat tukang urut warga Indonesia dan Thailand dan lima warga tempatan berusia 19 hingga 25 tahun.

Hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah pusat urut yang baru sahaja beroperasi tidak mempunyai lesen manakala sebuah lagi mempunyai lesen namun tidak dipamerkan.

“Tindakan diambil di bawah Undang-Undang kecil Pusat Kesihatan dan Penjagaan Kesihatan MBSA (2007) perkara 3 menjalankan perniagaan rumah urut tanpa kebenaran daripada MBSA,”katanya kepada Sinar Harian.

Ke semua tukang urut warga tempatan beragama Islam diserahkan kepada Jais untuk manakala tukang urut warga asing yang tidak mempunyai permit kerja diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Terkejut tengok ular melingkar



AYER MOLEK – Seorang remaja terkejut apabila terlihat seekor ular tedung selar dalam keadaan melingkar ketika dia sedang mengangkat pakaian di ampaian rumahnya di Kampung Surau Batu, Paya Dalam, di sini, kelmarin.

:Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, Mohd Faiz Husnin, 18, dikatakan keluar mengangkat pakaian sebelum terlihat reptilia itu di bawah tempat menyimpan baja tanaman berhampiran ampaian baju.

:Ibu remaja terbabit, Noraini Baharan, 48, berkata, sebaik ternampak ular berkenaan, anak ketiganya itu dalam keadaan cemas terus memberitahunya.

Menurutnya, suasana di rumah ketika itu agak riuh seketika berikutan bimbang ular berkenaan menyusur masuk ke ruang dalam rumah.

“Saya dan anak yang lain ketika itu terlalu takut memandangkan saiz ular berkenaan didapati agak besar.

“Lebih membimbangkan apabila suami saya tiada di rumah kerana sedang berkursus di Ipoh, Perak,” katanya.

Noraini menambah, tergamam dengan apa yang berlaku, dia terus menghubungi suaminya di Ipoh yang juga seorang kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Suami terus menghubungi pihak bomba dan penyelamat di sini untuk mendapatkan bantuan bagi menangkap ular berkenaan.

“Saya berasa lega selepas ular tedung selar itu dapat ditangkap dan dipercayai ular itu datang dari semak berhampiran rumah,” katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bukit Katil diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hasnol Ismail yang bergegas ke rumah Noraini berjaya menangkap ular tedung selar berukuran kira-kira tiga meter panjang.

Menurut seorang anggota bomba terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Zahar, ular tedung itu berjaya ditangkap kira-kira lima minit selepas mereka tiba.

“Semasa menangkapnya, kami syak ular itu sedang mengintai seekor tikus yang kebetulan berada berhampiran tempat simpanan baja di tepi rumah itu,” katanya.

Helah ‘ustaz’ licik terbongkar



BUKIT KATIL - Berhati-hati sekiranya anda didatangi sepasang suami isteri yang mendakwa mereka ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ yang mengajar tahfiz al-Quran dan boleh mengubati pelbagai penyakit.

‘Ustaz’ licik yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Ustaz Aslam’ didakwa mempergunakan agama dan pakaian jubah serta berkopiah untuk meyakinkan orang ramai sebelum memaksa mereka menyerahkan wang bertujuan untuk pendaftaran tahfiz anak atau menjual air kononnya untuk mengikat kasih suami isteri.

Perkara itu didedahkan mangsa ketika ditemui Sinar Harian, semalam menceritakan bagaimana mereka dalam keadaan sedar tidak sedar menyerahkan wang kepada ‘ustaz’ berkenaan.

Mangsa, Masidah Abdul Malik, 34, berkata, dia menyerahkan RM200 kepada ‘ustaz’ itu sebagai pendaftaran masuk anaknya lelakinya, Mohd Amirul Azim Azhari, 9, untuk menyertai kelas tahfiz yang didakwa ‘ustaz’ berkenaan di bawah seliaannya.

“Saya mengenali ‘ustaz’ ini selepas dia ke klinik tempat saya bekerja bersama wanita yang didakwa isterinya untuk mendapatkan rawatan, Ustaz ini berperawakan menarik, berusia 20an, berjubah, berkopiah serta isterinya berpurdah.

“Sewaktu isterinya mendapatkan rawatan, dia mula bercerita tentang dirinya yang didakwa mengajar di sebuah pusat tahfiz di negeri ini bersama isterinya,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu kemudian datang ke rumahnya, Februari lalu kira-kira 9 malam dan menyuruhnya mengisi borang dan mahu melihat anaknya yang mahu didaftarkan sebagai murid tahfiz di sekolah yang didakwanya itu.

Sebaik sahaja melihat anaknya, ustaz tersebut mengusap-usap kepala anaknya dan menyatakan anaknya itu mempunyai potensi besar sebagai seorang hafiz.

“Saya kemudian memanggil jiran yang juga berminat dan diberikan penerangan membuatkan hati kami begitu terpaut untuk mendapatkan khidmatnya.         “Cuma apa yang pelik, isterinya tidak bercakap sepatah kata pun sepanjang pertemuan tersebut. Namun, kerana ghairah mahu mendaftarkan anak saya, saya terus mengisi borang yang diberi itu.

“Selepas itu ustaz ini meminta pendahuluan sebanyak RM200 sebagai pembelian kitab-kitab dan perdaftaran masuk anak saya,” katanya.

Mangsa yang mula sangsi terus diyakinkan bahawa anaknya akan diambil dari rumah untuk mengikuti kelas iaitu Sabtu dan Ahad selama tiga jam mulai minggu tersebut dengan yuran sebanyak RM100 sebulan.

“Saya kemudian berbincang dengan suami, namun suami menasihatkan agar jangan mudah percaya memberi wang tersebut. Tetapi, selepas saya diberikan ayat yang didakwa ayat pendinding yang ditulis dan dibacanya, tiba-tiba suami bangun ke bilik dan keluar semula menyerahkan RM200 kepada ustaz tersebut.

“Saya terasa seperti dipukau sedangkan suami pada mulanya enggan percaya dengan ustaz tersebut,” katanya.

Selepas itu, Masidah berkata, ustaz tersebut bagai tidak berpuas hati dan cuba menyakinkan jirannya pula supaya membayar yuran RM400 pada malam itu juga untuk mendaftarkan dua anaknya.

Jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Sabri pula bercerita, dia meminta tempoh sehingga hari anaknya memulakan kelas untuk menyerahkan wang berkenaan.

“Namun, ustaz ini terus mendesak dengan memberi alasan jika lewat, tiada lagi ruang untuk anak saya belajar di situ. Saya bagai ‘ditarik-tarik’ menyerahkan wang berkenaan, tetapi membatalkan hasrat untuk mendaftarkan dua orang anak sebaliknya mendaftarkan seorang sahaja dengan membayar RM200,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebaik mendapat wangnya, katanya, ‘ustaz’ itu meminta diri dan berjanji akan datang semula pada hari Sabtu untuk mengambil anaknya dan anak Masidah untuk memulakan kelas.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, kelibat ‘ustaz’ berkenaan tidak kelihatan, malah ketika menghubunginya, ‘ustaz’ berkenaan tidak berjawab dan memberi banyak alasan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Lebih mengejutkan apabila Masidah mendapati ayat pedinding yang diberikannya itu tidak ada dalam al-Quran selepas merujuk kepada seorang guru agama yang kemudian melarang dia mengamalkannya,

“Malah, seorang rakan sekerjanya saya yang dikenali sebagai Ane mendakwa pernah turut ditipu ‘ustaz’ sama yang menjual air dalam sebuah botol besar berharga RM50 yang didakwa air pengikat kasih suami isteri.

Masidah berkata, dia dan suami ada ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memeriksa maklumat ‘ustaz’ berkenaan, namun sehingga kini pihak JAIM belum memberi sebarang maklumat.

Bagaimanapun, dia belum berhasrat untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu. 

Malang berganda



SEREMBAN – Malang bagi seorang pengecat kereta apabila dia maut selepas terjatuh daripada motosikal ditungganginya semasa memotong sebuah kereta di hadapan.

Mangsa yang terbaring atas jalan raya kemudiannya digilis sebuah lori tanpa muatan dari arah bertentangan menyebabkan kepala mangsa pecah.

Kejadian berlaku di Jalan Seremban-Mantin berhadapan Taman Bunga Raya, Mantin dekat sini, petang kelmarin, apabila mangsa, Shaiful Nizam Abu Hassan, 30, menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda datang dari arah Mantin ke Seremban.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian cuba memotong kereta jenis Proton Iswara di laluan sama hadapannya.

Jurucakap polis berkata, mangsa bagaimanapun gagal memotong, sebaliknya terjatuh ke atas jalan raya di laluan bertentangan.

“Tidak lama selepas itu, sebuah lori satu tan dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa yang sudah terjatuh atas jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Jurucakap polis berkata, pemandu lori berusia lingkungan 40-an bagaimanapun bertindak memberhentikan kenderaannya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Kemalangan itu menyebabkan kepala mangsa hancur selain beberapa kecederaan lain di bahagian badan.
“Pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah tampil membuat laporan polis. Bagaimanapun, pemandu Proton Iswara terbabit gagal dikesan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat dan jenazah sudah dituntut keluarga tengah hari semalam.
Mangsa yang berasal dari Rembau bekerja sebagai pengecat kereta di sebuah bengkel dan mempunyai empat orang anak.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Superintendan Abd Halil Hamzah ketika mengesahkan kejadian berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Faizrizarima Mohd Fauzi di talian 06-6033394 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Simpanan RM3,000 lesap



MENTAKAB - Kes kehilangan wang simpanan dalam bank bukanlah perkara baru kerana sudah ramai pengguna menjadi mangsa kepada pencuri yang tidak dikenali, namun hingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

Terbaru, seorang pengguna, Khairul Anuar Mat Noh, 39, berkata, pada 11 April lalu, dia memasukkan cek bernilai RM3,000 ke dalam akaunnya di sebuah bank di bandar ini.

Menurutnya, pada 13 April lalu pula, dia sekali lagi ke bank itu untuk menyemak baki sama ada cek itu sudah dimasukkan pihak bank.

“Saya ke bank itu dengan harapan melihat baki wang dan mahu mengeluarkannya. Tetapi, pada hari itu kad saya tidak dapat digunakan. Saya hairan berikutan kad mesin juruwang automatik (ATM) itu tidak dapat membuat sebarang transaksi.

“Kemudian, saya berjumpa dengan pegawai bank di kaunter untuk bertanyakan mengenai kad saya itu. Lalu, pegawai itu membantu saya menyemak baki dalam akaun,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Anuar berkata, selepas membuat semakan, pegawai itu memberitahu wang dalam akaunnya sudah tiada kerana ada seseorang yang mengeluarkannya pada hari yang sama kira-kira jam 7.44 pagi.

Menurutnya, dia begitu terkejut kerana diberitahu ada seseorang yang mengeluarkan wang itu menggunakan sistem dalam talian (online) dan ditukarkan ke bank lain.

“Saya memang terkejut dan tidak puas hati mengenai perkara ini. Saya seolah-olah sudah hilang kepercayaan untuk menyimpan wang dalam bank.

“Saya juga kesal berikutan pihak bank menyalahkan saya kerana cuai, sedangkan saya tidak pernah memberikan kata laluan kad ATM kepada mana-mana pihak,” katanya.

Selepas kejadian itu, Khairul Anuar membuat laporan di balai polis Mentakab dan berharap pihak bank bertanggungjawab dengan memulangkan semula wang itu.

Warga emas maut



BENTONG – Seorang warga emas maut selepas merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi kira-kira jam 8.00 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, Yusuf Abdul Rahman, 67, beralamat di Dungun, Terengganu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

Menurutnya, mangsa memandu kenderaan jenis Perdana V6 berwarna hitam seorang diri.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang treler yang sedang bergerak perlahan di laluan kiri lebuh raya.

“Mangsa tersepit di bahagian pemandu dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat dan dituntut keluarga.

“Kes kemalangan ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

“Susulan kejadian ini, semua pengguna jalan raya perlu memandu dalam jarak yang selamat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Rosli berkata, pemandu kenderaan dinasihatkan tidak memandu terlalu hampir dengan kenderaan di bahagian hadapan dan mengekalkan jarak selamat kenderaan mereka walaupun ketika berlaku kesesakan lalu lintas.

Curi kabel TM kritikal



KOTA BHARU- Telekom Malaysia (TM) Kelantan terpaksa membelanjakan kira-kira RM1.37 juta bagi penyambungan semula kabel yang dicuri sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini.

Pengurus Besar TM Kelantan, Ab Rashid Che Othman berkata, peruntukan berkenaan membabitkan kos menyambung semula kabel sepanjang 4.8 kilometer yang dicuri melibatkan 359 kes kecurian.

Menurutnya, pada tahun ini kes kecurian kabel menunjukkan peningkatan sebanyak 33 peratus melibatkan seramai 10,324 pengguna berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 268 kes sahaja.

“Bagi saya, jumlah kecurian kabel ini sangat kritikal dan satu ancaman kepada operasi TM Kelantan. Daerah yang paling teruk adalah Pasir Mas iaitu sebanyak 117 kes (33%) diikuti Kota Bharu, 77 kes (22%) dan Tumpat serta Bachok masing-masing 39 kes (115),” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penghargaan Kepada Pasukan Keselamatan/ Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Penyampaian Sagu hati Kepada Penangkap Pencuri Kabel TM 2010/2011 di Sekolah Kebangsaan Mantera, dekat sini, semalam.

Hadir menyampaikan penghargaan dan sagu hati melibatkan 14 kes tangkapan pencuri kabel ialah Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Ab Rashid berkata, hasil kerjasama daripada polis di samping SRS, seramai enam pencuri berjaya diberkas sepanjang tahun ini dan pada bulan Januari sahaja sebanyak 14 tangkapan dilakukan.

“Sebagai penghargaan, TM memberikan sumbangan sebanyak RM65,000 pada tahun lalu dan RM14,000 lagi sagu hati tahun ini kepada pihak yang berjaya menangkap pencuri kabel,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Kampung Mantera disebabkan kampung ini dikenal pasti sebagai kawasan kecurian kabel tegar dan kebanyakan kabel di sekitar menjadi sasaran pencuri.

Turut sama hadir pada program berkenaan ialah, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, Datuk Ismail Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Kelantan, Abd Hadi Mohd Salleh.

Warga emas tawar RM1,000



KUALA KRAI - Seorang warga emas dari Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, dekat sini, meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang pemuda, juga anak angkatnya berusia 30 tahun, yang dikatakan melarikan barang kemas miliknya sejak dua minggu lalu.

Warga emas terbabit, Esah Ngah, 72, mendakwa, kejadian berlaku awal pagi 1 April lalu, menyebabkan dia kerugian kira-kira RM12,000 selepas gelang tangan dan cincin emas miliknya itu dilarikan pemuda berkenaan.

Esah yang kecewa dan terkejut dengan perbuatan anak angkatnya itu turut menawarkan ganjaran tunai RM1,000 kepada sesiapa yang berjaya mengesan lelaki terbabit dan menyerahkannya kepada polis.

“Saya tak sangka dia sanggup buat begini sedangkan saya layan dia selama ini macam anak sendiri dan tidak pernah menghampakan permintaannya, termasuk bila dia minta duit belanja,” katanya kepada Sinar Harian.

Esah berkata, kejadian cincin dan gelang tangannya dilarikan berlaku selepas anak angkatnya itu berpura-pura membantunya mencuci barang kemas terbabit dengan alasan berkarat.

“Dia rendam cincin dan gelang dalam satu bekas, kemudian minta makcik ambilkan air tambah kerana katanya air tak cukup dan masa makcik pergi ambil air itulah dia larikan barang kemas berkenaan,” katanya.

Esah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira sejam selepas kejadian itu dan dimaklumkan pemuda terbabit memang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi motosikal dan pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini.

Mengulas lanjut, Esah berkata, dia mula mengenali pemuda berasal dari Sibu, Sarawak, Mohamad Azhar Abdul Aziz selepas pemuda itu datang ke rumahnya pertengahan tahun lalu kerana berkawan dengan seorang anak bongsunya, Kamarulzaman Senik.

“Selepas itu, Azhar (Mohamad Azhar) minta nak tumpang dan sepanjang tiga bulan tinggal di rumah makcik, dia memang tunjuk perwatakan baik dan orang kampung pun puji bila tengok dia pakai jubah bila pergi masjid.

“Makcik pun tak pernah berkira bila dia kadang-kadang minta duit belanja kerana sudah anggap dia macam anak sendiri, jadi memang tak sangka dia sanggup buat begini,” katanya.

Mereka mengenali Mohamad Azhar yang menunggang motosikal Yamaha LC berwarna merah bernombor DBP 2939 iaitu kenderaan sama digunakan ketika melarikan barang kemas milik Esah, diminta menghubungi Kamarulzaman menerusi 013-9759058.

Identiti mayat wanita masih disiasat





RAUB – Polis Raub minta kerjasama orang ramai agar dapat membantu siasatan bagi kes penemuan mayat wanita di Kilometer 3.5 Jalan Baru Bukit Fraser – Raub pada 13 April lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mayat wanita lengkap berpakaian itu ditemui orang awam sekitar jam 4 petang.

Menurutnya, walaupun proses bedah siasat dijalankan, punca kematian dan identiti masih tidak dapat dikenal pasti berikutan faktor perubahan kondisi mayat yang melebihi tiga hari ketika ditemui.

“Berdasarkan keadaan cuaca di Bukit Fraser yang agak sejuk, mayat masih dalam keadaan baik dan terdapat hanya beberapa bahagian tidak dapat dikenal pasti akibat proses pereputan itu.

“Kita juga kekurangan bukti untuk mengklasifikasikannya dan setakat ini, kita rekodkan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

Wan Mohd Samsudin berkata, anggaran usia kurang daripada 30 tahun, ketinggian purata wanita Asia dan usaha masih diteruskan bagi mengumpul maklumat serta bukti yang mempercepatkan lagi proses siasatan.

Katanya, mayat wanita yang ditemui itu dalam keadaan lengkap berpakaian seperti seluar jeans dan baju lengan panjang belang melintang berwarna merah putih, tetapi tiada kasut ditemui.

“Terdapat loket Jade berukiran patung berserta rantai tali hitam dalam poket seluar jeans, gelang tali dan aksesori gelang lain di pergelangan tangan kirinya serta sebentuk cincin pada bahagian jari kedua kaki sebelah kanan.

“Siasatan juga mendapati ada tatu di bahagian belakang pinggang dan juga tatu ‘Joseph’ di lengan kirinya,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berharap agar orang ramai yang kehilangan saudara, ahli keluarga atau rakan dengan mempunyai ciri seperti tadi agar tampil menyalurkan maklumat terus kepadanya menerusi 013-9333000 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Nasharudin Mohd Shariff menerusi 019-9000910 atau talian kilat polis Raub, 09-3554999.

Kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengenal pasti mayat sekali gus mempercepatkan proses siasatan kes.

Remaja parah, kereta melekat di kepala lori





SHAH ALAM – Seorang remaja cedera :parah setelah kereta yang dipandunya melekat di kepala lori dalam kemalangan di Persiaran Selangor, di sini, semalam.

Perodua Kancil yang dipandu remaja itu, dikenali hanya sebagai Arif, sedang menuju ke arah Bulatan Stadium kira-kira jam 11 pagi apabila ia terbabas ke laluan bertentangan, dipercayai akibat jalan licin kerana basah.

Pemandu lori, dikenali sebagai Ahmad, dalam usia 40-an berkata, kereta itu muncul di hadapannya secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya langsung tidak sempat mengelak.

“Kami sekeluarga tidak dapat keluar segera kerana kedua-dua pintu lori remuk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad, bersama isteri dan anak lelakinya, dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam untuk berniaga ayam golek, sempena hari terbuka sebuah syarikat swasta.

Katanya, orang ramai membantu mengeluarkan Arif, Ahmad dan keluarga dari kenderaan.

Jurucakap polis berkata, Arif dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Dua nelayan Kemboja didakwa bunuh tekong Thailand



KUALA TERENGGANU - Dua nelayan warganegara Kemboja hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh tekong warganegara Thailand di perairan negara ini.
Tertuduh, Arifin Salleh, 27, dan adiknya Kadir, 25, didakwa membunuh Phat Phetpuk di dalam sebuah bot nelayan kira-kira 1 tengah hari, 27 Mac lalu di perairan Malaysia.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari wilayah Dombei Komprecho, Kemboja hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Siti Faraziana kemudian menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud.
Sementara itu, Kadir turut didakwa di Mahkamah Sesyen dengan pertuduhan cubaan membunuh seorang lagi nelayan Thailand, Visak Phonet apabila dengan sengaja memotong tali bot yang dipegang mangsa semasa mangsa berada di dalam laut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama. Dia yang mengaku tidak bersalah, didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Hakim Zainal Abidin Kamaruddin menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes. - Bernama

Kumpulan jual telefon bimbit tiruan tumpas, sembilan lelaki ditahan



KUALA LUMPUR - Satu kumpulan menjual telefon bimbit tiruan tumpas berikutan penahanan sembilan lelaki dan rampasan 73 telefon dan dua buah kenderaan yang kesemuanya bernilai RM111,000 dalam satu operasi di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Othman Nawang berkata kesemua mereka berumur antara 19 hingga 68 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Gombak ketika sedang asyik menawarkan telefon tiruan kepada orang ramai.
"Kejayaan operasi itu hasil risikan dan maklumat orang ramai sejak tiga minggu lepas. Ketika dihampiri anggota kami, mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap kerana kesalahan menjual barangan tiruan," katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.
Dalam pemeriksaan awal, pihaknya menemui 73 telefon bimbit tiruan jenis Nokia dan i-phone4 di dalam poket mereka dan juga dalam dua kenderaan.

Kesemua mereka kini ditahan reman untuk satu tempoh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika disabit kesalahan pemilik premis itu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya. - Bernama

Letupan awal takbir

JAKARTA: Pengebom berani mati yang menyerang masjid polis di Cirebon kelmarin dikatakan berjalan ke saf pertama ketika imam melakukan takbiratul ihram.
Kata pegawai polis Indonesia, lelaki terbabit sebelum itu berdiri di bahagian tengah saf kedua.

“Ketika solat baru saja bermula kira-kira jam 12.17 tengah hari (waktu tempatan), terdengar letupan kuat di situ,” katanya kepada media, semalam.
Akibat ledakan itu, katanya, jemaah Masjid ad-Zikra yang berada di sekitar pengebom terbabit cedera terkena serpihan letupan, termasuk paku.

Katanya, imam adalah antara mangsa yang cedera serta 30 jemaah lain.

Pengebom itu pula mati di tempat kejadian.
Sementara itu, polis berkata, mereka percaya penyerang terbabit bernama Muhammad Syarif, seorang pemuda pendiam dan sangat jarang bergaul dengan masyarakat.

Malah, kata saksi, dia juga panas baran dan memarahi orang tuanya.
Jiran suspek, Enjoh, berkata pemuda terbabit sering keluar rumah pada waktu pagi dan pulang apabila malam.

“Jika Syarif melihat ibunya tidak bertudung atau leka menonton televisyen, dia akan marah-marah,” katanya.

Saksi lain berkata, suspek berhenti seketika di sebuah warung kopi di depan masjid sebelum bergerak ke situ sambil menutup perutnya dengan hujung sejadah yang disangkut pada bahunya.

Katanya, lelaki terbabit berusia 24 atau 25 tahun, sempat meminum sebotol teh sejurus tiba dengan menaiki beca.

Suspek juga menawarkan minyak wangi kepada beberapa pengunjung warung berkenaan. “Tak ada yang mencurigakan kerana biasalah bagi lelaki ke masjid untuk solat Jumaat.

“Bagaimanapun, setengah jam kemudian berlaku letupan kuat di dalam masjid,” katanya. - Detik
myMetroLetupan awal takbir

Pencuri gigit anjing saman polis

PHOENIX: Seorang lelaki yang menggigit anjing polis selepas dia diserang haiwan itu, menyaman pihak berkuasa semalam.

Dalam samannya, Erin Sullivan, 33, mendakwa anjing polis itu mencabul hak asasinya.


Dia juga mendakwa menjadi mangsa kekerasan berlebihan oleh polis apabila menggunakan anjing berkenaan bagi menahannya.

Sebelum itu Sullivan dikejar pihak berkuasa apabila melarikan diri daripada anggota keselamatan yang cuba menahannya berhubung kes kecurian.


Kejadian berlaku tahun lalu.


Apabila anjing polis itu berjaya menyambar anggota badan Sullivan, dia kemudian membalasnya dengan menggigit haiwan itu sehingga cedera.


Sullivan menamakan pentadbir Phoenix dan Glendale serta empat anggota polis dalam samannya.


Dia menuntut pentadbir Glendale membayar ganti rugi AS$200,000 (RM604,799) dan AS$250,000 (RM755,999) dari Phoenix.


Sullivan kini dipenjara lapan tahun atas kesalahan mencuri di Glendale. - AP

Nenek parah kena rogol, dibakar kerana enggan layan kekasih

JAKARTA: Seorang nenek parah selepas dia dirogol dan dibelasah kekasihnya kerana enggan melayan kemahuan seksnya, awal pagi semalam.

Mangsa yang berusia 51 tahun turut mendakwa kemaluannya dibakar lelaki terbabit.


Kekasih nenek itu baru berusia 27 tahun.

Media melaporkan, lelaki terbabit pergi ke rumah mangsa di Jatinegara, Jakarta Timur, dalam keadaan mabuk dan minta kemahuan seksnya dilayan.


Kata mangsa, dia enggan melayan kekasihnya kerana ketika itu lelaki terbabit terlalu mabuk serta dalam keadaan marah.


“Dia kemudian menumbuk kepala sehingga saya terjatuh, sebelum ditendang berkali-kali.


“Dia memperkosa saya di ruang tamu sebelum mengambil mancis dan membakar alat sulit saya,” katanya. - Detik

Pegawai JPJ dirempuh

ALOR SETAR: “Saya sangka penunggang motosikal itu akan berhenti tetapi dia memecut dan merempuh saya, menyebabkan saya terjatuh dan pengsan,” kata Rahmad Zaini Othman, 25, penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang patah kaki selepas dirempuh di sekatan pemeriksaan berhampiran Stadium Darulaman, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.45 petang, Rahmad Zaini patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. Dia akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat.

Rahmad Zaini yang hampir tiga tahun berkhidmat sebagai penguat kuasa JPJ berkata, dia bersyukur kerana terselamat walaupun kejadian itu hampir meragut nyawanya.
“Saya tak sempat mengelak kerana ketika saya tahan motosikal itu, penunggangnya seperti mahu berhenti tetapi dia tiba-tiba memecut dan merempuh saya sebelum melarikan diri.

“Saya tak ingat apa-apa selepas itu, cuma saya terdengar bunyi rempuhan kuat sebelum pengsan,” katanya ketika ditemui di wad HSB, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Felda Jengka, Pahang tetap akan meneruskan kerjayanya, cuma sekarang terpaksa bercuti panjang untuk mendapatkan rawatan sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, ini kes kedua membabitkan anggotanya dirempuh, dengan insiden pertama berlaku Januari lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang merempuh Rahmad Zaini dan setakat ini motosikal itu dikesan milik lelaki berusia 62 tahun berdasarkan pemeriksaan cukai jalan.
myMetroPegawai JPJ dirempuh

‘Dua dalam satu’

JOHOR BAHRU: Seramai 26 wanita warga Indonesia bukan saja memasuki negara secara haram atau melanggar syarat pas lawatan sosial, malah ada yang bekerja sebagai kedi di sebuah kelab golf terkemuka di Kulaijaya, di sini, berani menjual tubuh kepada pemain golf yang mendapatkan khidmat mereka.
Kesanggupan mereka menawarkan pakej ‘dua dalam satu’ itu dipercayai antara punca kelab berkenaan sering dikunjungi pemain golf yang mahu mendapatkan khidmat seks, tanpa perlu bimbang kerana perbuatan itu disyaki selamat.

Bagaimanapun, helah pendatang asing tanpa izin (Pati) itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen menyerbu kelab golf berkenaan dan menahan kumpulan wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 46 tahun.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Johor, Mohd Nakhafi Hasan berkata, 20 anggota penguat kuasa imigresen terbabit dalam Ops Kutip bermula jam 8 pagi semalam.

Menurutnya, operasi dilancar berdasarkan maklumat orang awam dan ketika serbuan, kumpulan Pati berkenaan dan segelintir wanita yang mempunyai pas lawatan sosial baru memulakan tugas harian sebagai kedi.

Katanya, mereka yang panik dengan kehadiran pihak berkuasa memberi pelbagai alasan bagi mengelak dicekup.
“Ada antara mereka mempunyai pas lawatan sosial mendakwa ditipu ejen pekerja asing bagi mendapatkan permit sementara bekerja di kelab golf itu.

“Mereka juga menyatakan hanya memperoleh gaji bersih RM100 selepas ejen berkenaan membuat potongan RM400 bagi urusan permit,” katanya.
Nakhafi berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan wanita berkenaan turut terbabit dalam kegiatan pelacuran pada waktu malam di luar kawasan resort, termasuk menjadi rebutan di kalangan pemain golf yang berkunjung ke situ.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit, di mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, katanya, ada antara mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki pas sah untuk tinggal di negara ini.

“Manakala pemilik premis akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit,” katanya.
myMetro‘Dua dalam satu’

Lebih 1,000 ayam mati


KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 ekor ayam yang diternak di dua kampung di Merchang, Marang, dekat sini, mati dipercayai akibat wabak hawar, menyebabkan penduduk terbabit mengalami kerugian lebih RM13,000.

Difahamkan, wabak itu mula dikesan sejak seminggu lalu di Kampung Bukit Kecil dan Kampung Durian Pahit apabila ayam ternakan milik beberapa penternak tiba-tiba menjadi lemah dan hidung didapati berair sebelum mati secara berperingkat.


Penternak, Mat Ghani Taib, 56, berkata wabak berkenaan mula menyerang dua ladang ternakannya sejak seminggu lalu apabila ayam diternak mati secara berperingkat.

Katanya, ayam terbabit juga didapati berubah kebiruan sebelum dia meminta vaksin daripada Jabatan Veterinar di Merchang dan Marang bagi menyelamatkan ayam ternakannya yang lain.


“Selain memberi ayam ubat untuk diminum, saya turut menyembur racun di ladang ternakan bagi mengatasi masalah ini, tetapi segala usaha hanya sia-sia apabila ayam saya mati sedikit demi sedikit, menyebabkan saya buntu memikirkan cara menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Negeri Terengganu, Abdul Hamid Mohd Salleh berkata, tindakan segera perlu diambil pihak berkaitan, terutama Jabatan Veterinar, bagi menangani masalah daripada terus merebak.

Laung azan baru jumpa

BUKIT MERTAJAM: “Selepas melaungkan azan berkali-kali, baru saya terdengar suara Hanif minta tolong,” kata seorang penduduk Kampung Cherok To’ Kun, di sini, yang terbabit dalam operasi mencari mangsa sesat dalam hutan Bukit Mertajam, kelmarin.
Shahruddin Che Amat, 38, berkata selepas mendengar suara mangsa, dia bersama beberapa penduduk terpaksa meredah dan menebas belukar sejauh 10 meter sebelum menemui Mohd Hanif Hashim, 23, dalam gaung.

Mohd Hanif ditemui jam 12 tengah malam semalam dalam keadaan keletihan selepas sesat dalam hutan kira-kira tujuh jam.
Shahruddin berkata, sebaik mengenal pasti Mohd Hanif berada dalam gaung sedalam kira-kira enam meter itu, dia meminta dua remaja turun ke gaung untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami dapat mengenal pasti lokasinya selepas berhubung melalui telefon bimbit serta butiran kawasan yang diberitahunya.

“Dua remaja kampung ini terpaksa turun ke gaung untuk membantu dan menyelamatkannya,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Hashim Ibrahim, 53, berkata anaknya kerap mendaki bukit berkenaan tetapi kali ini anaknya menggunakan laluan baru.

Katanya, Mohd Hanif menghubunginya jam 6.45 petang memaklumkan sesat di hutan itu sebelum dia meminta bantuan pihak berkuasa dan penduduk.
“Mohd Hanif hubungi saya dan memberitahu dia terjatuh serta sesat dalam hutan itu dan bimbang kerana keadaan semakin gelap.

“Begitupun, saya bersyukur dia selamat ditemui dan hanya calar sedikit. Menurutnya, dia terjatuh dua kali ketika mencari jalan keluar sebelum kali terakhir jatuh ke dalam gaung,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat bermula kira-kira jam 7 malam dengan bantuan 200 orang yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Selain penduduk, turut terbabit dalam operasi menyelamat ialah polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Bomba dan Penyelamat serta pertubuhan sukarela.

Dalam operasi itu, polis menggunakan pelbagai cara termasuk menyalakan bunga api serta tembakan cahaya merah (SOS Fire).

Difahamkan, kejadian orang hilang di bukit berkenaan sering berlaku, terutama selepas lewat petang.
myMetroLaung azan baru jumpa

Padah lori undur




MUAR: Tindakan seorang lelaki menaikkan lori tanah ke atas sebuah treler secara bersendirian membawa padah apabila lori itu dipercayai mengundur, menyebabkan mukanya hancur apabila tersepit di antara belakang lori dan kepala treler dalam kejadian di tapak pembinaan rumah kedai berhampiran Laluan Pintas Muar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Yeo Chuan Kuan, 32, dari Jalan Bakariah, di sini, ditemui rakan sekerja yang juga pekerja jengkaut bagi meratakan tanah di situ dalam keadaan tersepit sebelum melaporkannya kepada polis.


Difahamkan, pasukan bomba dan perubatan yang datang kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.
myMetroPadah lori undur

Suami kena cekup di Bali

IPOH: Rancangan manis berbulan madu ke Bali, Indonesia, bersama suami berakhir tragedi apabila si suami ditahan polis negara berkenaan kerana cuba menyeludup dadah.
Lebih mengharukan apabila si isteri tidak dapat menerima kenyataan suaminya terbabit dengan gejala dadah sebelum mengalami histeria sejurus suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Isteri suspek yang tidak percaya dengan apa yang berlaku kemudian ditenteramkan oleh orang ramai yang simpati dengan kejadian itu sebaik pasangan itu tiba di lapangan terbang negara berkenaan.
Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, suspek, Chong Eng, 38, ditahan pihak berkuasa bebas cukai di Lapangan Terbang Bandara Ngurah Rai, Bali, sebaik tiba dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Menurutnya, suspek yang tiba di lapangan terbang terbabit kelmarin menimbulkan rasa curiga pihak berkuasa yang kemudian melakukan pemeriksaan rapi ke atasnya.

Difahamkan, pihak berkuasa mula curiga terhadap suspek selepas menemui objek aneh sewaktu suspek melalui mesin imbasan x-ray.
Pegawai kastam di lapangan terbang itu kemudian memeriksa rapi tubuh suspek sebelum menemui sebungkus plastik berisi serbuk putih di dalam saku seluarnya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati serbuk putih seberat 2.49 gram itu adalah dadah sintetik jenis ketamin yang popular di kalangan pengunjung disko.
Difahamkan, dadah berkenaan dianggar bernilai RM900 mengikut nilai pasaran negara berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan yang diperoleh suspek dari Pulau Pinang sengaja diseludup ke pulau peranginan itu sebagai bekalan ketika berhibur dan berseronok.

Suspek memberitahu dia datang ke pulau berkenaan untuk berbulan madu dan melancong bersama isterinya selepas sekian lama merancang percutian berkenaan.

Difahamkan, suspek warga Malaysia itu akan didakwa di mahkamah dan bakal dihukum penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Penangkapan itu adalah kes terbaru selepas seorang lelaki warga Malaysia ditahan di sebuah hotel terkemuka di Batam, Riau, 18 Mac lalu.

Dalam serbuan jam 2.30 petang (waktu tempatan), suspek ditahan di lobi hotel ketika dipercayai menunggu orang hubungannya di pulau peranginan berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil ecstasy bernilai RM10,000 disembunyikan dalam bagasi dibawanya.
myMetroSuami kena cekup di Bali

IPD Melaka Tengah terbakar angkara khianat


SIASAT... IPD Melaka Tengah gempar apabila berlaku kejadian kebakaran di tepi pintu bilik Pejabat Sarjan Penguat Kuasa Trafik.
SIASAT... IPD Melaka Tengah gempar apabila berlaku kejadian kebakaran di tepi pintu bilik Pejabat Sarjan Penguat Kuasa Trafik.

MELAKA: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, gempar apabila kebakaran berlaku di tepi pintu bilik unit trafik dipercayai akibat perbuatan khianat kira-kira jam 7 malam kelmarin.
Bagaimanapun, kebakaran kecil itu disedari seorang anggota cawangan penguat kuasa trafik yang kebetulan melalui kawasan itu untuk ke tandas, sekali gus mengelak api merebak ke bahagian blok lain.

Difahamkan, anggota terbabit bertindak pantas menggunakan alat pemadam api untuk memadam api yang turut menyambar belakang sebuah motosikal jenis Honda CBX 750 cc.
Kebakaran itu juga didakwa berlaku akibat bahan mudah terbakar yang diisi di dalam botol kaca sebelum dipercayai dilemparkan ke atas bumbung dan dinding pejabat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kebakaran itu tercetus dipercayai akibat bahan mudah terbakar, namun beliau enggan menghuraikan terperinci mengenainya.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan kerosakan yang berlaku. Saya tidak boleh mengulas mengenainya sehingga menerima laporan lengkap siasatan,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan perbuatan khianat dan masih menyiasat motifnya.
Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, dua anggota trafik dilihat sibuk membersihkan motosikal berkuasa tinggi yang terjejas dalam kebakaran itu, petang semalam.

Pemerhatian mendapati ada kesan serbuk pemadam api dan asap hitam di dinding, selain beberapa serpihan kecil kaca bertaburan di atas lantai simen dan atas bangunan pejabat itu.

myMetroIPD Melaka Tengah terbakar angkara khianat

Pendedahan Raja Petra mula disiasat

Akuan bersumpah dibuat penulis blog diteliti semula


KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Raja Petra Kamarudin mengenai beberapa individu yang dikatakan menyalur maklumat kepadanya supaya membuat satu akuan bersumpah (SD) dua tahun lalu, bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.
Ketua Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya sudah mula menjalankan siasatan terperinci ber-hubung dakwaan pengendali portal Malaysia Today itu selepas laporan polis mengenainya dibuat pihak tertentu sebelum ini.
Kertas siasatan itu dibuka susulan pendedahan Raja Petra mengenai beberapa individu mendesaknya membuat akuan bersumpah itu kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ismail bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sama ada mereka yang disebut Raja Petra itu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Kita sudah memulakan siasatan. Kita akan menyiasat secara terperinci dari segenap aspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khamis lalu, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa polis membuat siasatan terhadap beberapa individu terbabit yang didakwa Raja Petra menyalurkan maklumat kepadanya sehingga beliau membuat SD pada 18 Jun 2008 bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya.
Individu yang dimaksudkan Raja Petra adalah Nik Azmi Nik Daud, John Pang selain penulis blog, Din Merican serta seorang pegawai risik angkatan tentera dikenali sebagai Kolonel Azmi Zainal Abidin.

Dalam SD itu, Raja Petra mendakwa kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

Dalam temu bual bersama TV3 di Perth, Australia, baru-baru ini, Raja Petra mendakwa beliau didesak dan dipengaruhi beberapa individu yang tidak mahu Najib menggantikan Abdullah.

Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, polis akan mengkaji dan melihat semula akuan bersumpah Raja Petra dua tahun lalu bagi menentukan tindakan lanjut yang bakal diambil.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin, dalam kenyataan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menggantung tugas rasmi Kolonel Azmi yang juga pegawai kanan Markas Tentera Darat sehingga siasatan ke atasnya berhubung dakwaan Raja Petra itu selesai.

Azizan dilaporkan berkata, ATM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat dakwaan itu secepat mungkin dan hasilnya akan dijadikan asas untuk tindakan yang bakal diambil terhadap pegawai berkenaan sekiranya didapati benar.
Berita Harian Online | Pendedahan Raja Petra mula disiasat

Pelatih PULAPOL disahkan hidap ILI

10 lagi diasing akibat demam panas


KUALA LUMPUR: Seorang pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang hadir untuk lapor diri ke pusat itu pagi semalam, dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan mengalami gejala penyakit menyamai Influenza (ILI).
Komandan PULAPOL, SAC Zulkifli Mohamed, berkata konstabel lelaki itu pada mulanya dimasukkan ke HKL pada jam 10 pagi semalam selepas disyaki menghidap denggi, namun rawatan susulan mengesahkan beliau mengalami ILI.
“Seramai 10 lagi pelatih, iaitu tiga konstabel lelaki, empat inspektor lelaki dan tiga inspektor wanita pula terpaksa diasingkan selepas mendapat nasihat HKL.

“Mereka dilapor mengalami suhu badan yang tinggi atau demam panas,” katanya kepada pemberita pada sesi lapor diri pelatih pusat itu di sini, semalam.

Zulkifli berkata keadaan itu dikesan dalam ujian saringan kesihatan yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan kepada semua pelatih yang kembali bagi meneruskan latihan selepas dua minggu bercuti akibat jangkitan Adenovirus, sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata 1,963 pelatih konstabel dan inspektor dijadual melapor diri semalam bagi meneruskan latihan selepas diberi cuti oleh pihak hospital dan polis berikutan penularan virus yang meragut nyawa tiga pelatih pusat itu. “Kami jangka memulakan kembali sesi latihan Isnin,” katanya.

Zulkifli berkata, sesi latihan mungkin akan dilanjutkan akibat tergendala selama dua bulan.

“Semua sedia maklum bahawa latihan tergendala selama dua bulan. Jadi, kita sudah buat cadangan kepada ibu pejabat dan kini menunggu kelulusan berhubung peruntukan hampir RM2 juta bagi tempoh lanjutan itu,” katanya. – BERNAMA
Berita Harian Online | Pelatih PULAPOL disahkan hidap ILI

Gajah berang terkejut bunyi motosikal


 PENDUDUK menunjukkan rumahnya yang musnah akibat diserang sekumpulan gajah liar  di Kampung Pasir Tumbuh, Gua Musang, kelmarin.
PENDUDUK menunjukkan rumahnya yang musnah akibat diserang sekumpulan gajah liar di Kampung Pasir Tumbuh, Gua Musang, kelmarin.
GUA MUSANG: Sekawan gajah naik minyak dipercayai akibat terkejut dengan cahaya lampu dan bunyi motosikal ditunggang seorang lelaki lalu mengejar mangsa yang memecut ketakutan di Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, Md Zain Yaacob, 59, dalam perjalanan pulang selepas minum kopi di Kampung Mentero, di sini.
“Ketika pertengahan jalan, saya terserempak sekumpulan 12 gajah. Enam daripada haiwan itu meluru ke arah saya, disebabkan terkejut dengan bunyi enjin motosikal serta cahaya lampu. “Menyedari gajah itu akan bertindak ganas, saya terus memecut motosikal dan selamat sampai ke rumah,” katanya semalam.

Md Zain berkata, ketika melarikan diri daripada diserang sekawan gajah itu, beliau sempat melihat beberapa gajah sedang merosakkan dua rumah penduduk di kawasan terbabit.

“Saya dapat lihat dua rumah musnah dirosakkan gajah, syukurlah tiada penghuninya ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, kejadian serangan sekawan gajah itu sudah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Jajahan Gua Musang, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil.
Berita Harian Online | Gajah berang terkejut bunyi motosikal

Lelaki tipu pakar sakit jiwa RM5.5j

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk didakwa menipu jutawan membabitkan RM5.5 juta selepas berjanji akan menyelesaikan masalah tanah milik mangsa yang kini disewa sebuah kementerian sejak tahun 70-an.

Mangsa yang juga pakar sakit jiwa, Tan Sri Dr M Mahadevan, 82, menerima bayaran terakhir RM4 juta pada 1980 daripada kementerian berkenaan. Bagaimanapun, selepas itu, mangsa tidak lagi menerima bayaran sepatutnya sehingga tertunggak RM26 juta.
Mangsa berjumpa dengan Datuk yang menjanjikan mampu menyelesaikan masalah itu dengan syarat perlu mengeluarkan modal RM5.5 juta sebelum semua tunggakan dibayar.
Percaya dengan helah Datuk berusia 29 tahun itu apabila ditunjukkan surat kementerian yang mengatakan akan membuat pembayaran dalam tempoh 60 hari, mangsa terus melakukan transaksi seperti diminta kepada Datuk berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas transaksi dibuat, Datuk itu menghilangkan diri dan mangsa membuat laporan polis pada Oktober tahun lalu di IPKKL. Namun tiada tindakan diambil sebelum masalah itu diadu kepada Fasilitator Kanan Pendidikan sebuah kolej, V Ragunathan.

Ragunathan berkata, melalui keterangan dan bahan bukti diberikan mangsa, Datuk itu membuat janji palsu dan memaksa mangsa memasukkan RM5.5 juta dalam akaunnya untuk menyelesaikan masalah.
Berita Harian Online | Lelaki tipu pakar sakit jiwa RM5.5j

Siang kedi, malam pelacur


ANGGOTA Jabatan Imigresen memeriksa dokumen perjalanan sebahagian wanita warga Indonesia yang ditahan dalam operasi di Kulaijaya, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Siang jadi kedi, malam jual diri. Itu pengakuan sebahagian daripada 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap oleh penguat kuasa Jabatan Imigresen Johor di sebuah kelab golf terkemuka di Kulaijaya semalam.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor, Mohd. Nakhafi Hasan berkata, semua wanita warga Indonesia berusia 21 hingga 46 tahun itu ditahan ketika baru melaporkan diri untuk memulakan tugas sebagai kedi kira-kira pukul 8 pagi.
Menurut beliau, siasatan mendapati, sebahagian PATI yang ditahan itu mencari pelanggan dalam kalangan pemain golf ketika bertugas sebagai kedi.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati semua warga Indonesia yang ditahan itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Malah mereka menjalankan kerja tambahan sebagai pelacur selepas selesai bertugas sebagai kedi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! Online - Negara

Pegawai kanan ditangkap khalwat

Kosmo! Online - Negara: "
Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my
GEORGE TOWN – Seorang pegawai kanan bergelar Datuk di sebuah kementerian ditangkap kerana berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel mewah di Batu Feringghi dekat sini awal pagi semalam.

Suspek yang berusia 51 tahun, itu ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi mencegah maksiat pada kira-kira pukul 4 pagi.

Pasangannya yang merupakan bekas pembantu peribadi suspek berusia 28 tahun turut ditahan kerana berada di dalam bilik tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah JHEAIPP, Sazali Hussein ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut."