Search This Blog

Saturday, April 16, 2011

Remaja lelaki maut, rakan wanita cedera kereta masuk longkang


IPOH: Seorang remaja lelaki maut manakala rakan wanitanya cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam longkang di KM232.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar hari ini. 


Pemandu Toyota Vios itu, Hor Juin Yoong, 19, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala remaja perempuan Joanne Poa Wen, 18, kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Ketua Polis Trafik Perak, Supt Wan Abdullah Ishak, berkata Hor berasal dari Ipoh manakala Joanne dari Taiping dan ketika kejadian pada 9.50 pagi itu, mereka dalam perjalanan dari Taiping ke Ipoh.
"Kereta itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan tercampak ke dalam longkang ketika menuruni bukit," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata, anggota bomba dan penyelamat terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta itu. 

Mayat Hor dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat. - BERNAMA

Pemuda sesat di Hutan Lipur Cherok Tok Kun ditemui

BUKIT MERTAJAM — Seorang pemuda yang sesat ketika berjoging di Hutan Lipur Cherok Tok Kun di sini petang semalam ditemui pagi tadi.
Mohd. Hanif Hashim, 23, ditemui kira-kira 1.20 pagi dalam keadaan tidak bermaya dalam sebuah lubang dipercayai perigi lama oleh sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan penduduk kampung yang berusaha mencarinya sejak pukul 7 malam semalam.
Sumber polis berkata, pelbagai usaha untuk mengesan mangsa dijalankan yang yang turut disertai pihak polis, bomba dan pasukan Rela.
Setelah enam jam mencari, akhirnya mangsa berjaya dikesan menerusi telefon bimbitnya.
"Kita mendapat maklumat sebaik dimaklumkan oleh mangsa melalui telefon bimbitnya.
Bagaimanapun mangsa tidak dapat dihubungi semula selepas telefon bimbitnya dipercayai terjatuh di dalam lubang tempat dia dijumpai,” kata sumber polis situ. — Bernama

Di serbu 22 kali pusat hiburan tetap beroperasi upah GRO warga asing



GEORGE TOWN - Walaupun diserbu pihak berkuasa 22 kali tahun lepas kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral, sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini diserbu sekali lagi malam tadi kerana kesalahan yang sama.
Hasil serbuan itu sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya menahan 12 wanita warga asing yang didapati bekerja tanpa dokumen yang sah.
Ketua Operasi dari Cawangan D7 Bukit Aman ASP Shahrul Nizam Jaafar berkata 11 wanita warga China dan seorang rakyat Vietnam itu ditahan ketika leka melayan pelanggan.
Menurutnya, serbuan itu dibuat hasil intipan selama sebulan berikutan maklumat orang ramai mengenai pusat hiburan yang menawarkan perkhidmatan GRO (pelayan pelanggan) rakyat asing.
"Kesemua wanita terbabit yang berusia antara 17 dan 30 tahun juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral," katanya, hari ini.
Shahrul Nizam berkata siasatan mendapati seramai 20 GRO warga asing bekerja di pusat hiburan itu, namun lapan daripada mereka berjaya meloloskan diri menerusi laluan rahsia ketika serbuan dilakukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam satu serbuan oleh D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di pusat hiburan itu pada Disember lepas, seramai 23 GRO warga China, seorang warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis ditahan.

Pegawai kanan bergelar ‘Datuk’, staf ditangkap khalwat


GEORGE TOWN, 16 April — Seorang pegawai kanan sebuah kementerian bergelar ‘Datuk’ ditangkap awal hari ini selepas dipercayai berkhalwat. 

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang  bersama seorang anggota polis menyerbu sebuah hotel mewah di Batu Ferringhi kira-kira pukul 4 pagi dan mendapati lelaki berumur 51 tahun itu bersama pasangannya, 28, yang juga bekerja di kementerian yang sama, dalam sebuah bilik. 
Menurut laporan Bernama Online, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Batu Feringghi sebelum keterangan mereka diambil mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996. Pengarah jabatan agama Islam  Sazali Hussein ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Kebakaran berulang



JOHOR BAHRU –Sebuah kilang kitar semula yang dipercayai telah ditinggalkan di Taman Bukit Kempas, disini terbakar dalam kejadian 4 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.11 petang dan berjaya sampai ke lokasi pada pukul 4.30 petang,

Menurutnya, walaupun berdepan dengan aliran trafik yang padat: eko�ran waktu orang ramai baru pulang dari tempat kerja, namun pihaknya berjaya tiba dalam tempoh 19 minit.

“Ketika tiba api sedang marak dan anggota berjaya mengawal api dalam tempoh 7 hingga 8 minit. Ini adalah kebakaran ulangan kerana sebelum ini, kawasan ini pernah terbakar.

“Punca kebakaran masih disiasat, namun ia mungkin disebabkan bahan mudah terbakar yang terdapat di sini kerana dengan percikan yang kecil mampu menyemarakkan api di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Vijayan berkata, sebanyak dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dengan seramai 14 anggota petugas.

Katanya, kerja-kerja ‘water flooding’ sedang dilakukan bagi memastikan kawasan dan bahan-bahan di situ lembap dan selamat, manakala kerja pembersihan kawasan adalah tanggungjawab pemilik kawasan atau pusat terbabit.

Api marak dan asap hitam tebal menyelubungi kawasan itu dan asap kebakaran boleh dilihat 10 kilometer jauh dari kawasan kebakaran.

Seorang penduduk di situ, Jasman Singh berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas menaiki jambatan di Plaza Angsana dan melihat kepulan asap tebal.

“Pusat kitar semula ini pernah terbakar dua bulan lalu, dan kini terbakar lagi,” katanya.

Curi buah sawit



KOTA TINGGI - Seorang lelaki sanggup menggunakan kereta isterinya untuk melakukan jenayah dengan menjalankan operasi mencuri buah sawit.

Kegiatan suspek berusia 36 tahun itu bagaimanapun berjaya dikesan polis dan dia ditahan ketika hendak menjual hasil buah sawit di Bukit Lintang, Batu Ampat, di sini, pada 12 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, lelaki itu menggunakan kereta isterinya yang juga seorang guru untuk mengisi buah sawit yang dipercayai dicuri dari pusat pengumpulan di Felda Aping Barat dan Kampung Mawai.

Menurutnya, operasi itu diperoleh dari maklumat orang ramai dan pasukan polis diketuai Ketua Balai Mawai, Sarjan Ibrahim Mamat telah mengekori kereta yang dinaiki lelaki terbabit hingga ke pusat jual beli, sebelum menahannya.

"Hasil pemeriksaan, buah sawit itu dimuatkan di bahagian but kereta, tempat duduk hadapan dan belakang kereta terbabit. Berdasarkan jumlah tandan sawit yang diangkut, lelaki itu mampu meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 di pasaran gelap.

"Lelaki itu ditahan untuk bagi membantu siasatan. Dalam ujian yang dijalankan juga mendapati suspek positif heroin,” katanya ketika ditemui di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kelmarin.

Muhammad berkata, lelaki itu juga disiasat semada terlibat dengan kecurian buah sawit di kawasan berhampiran sejak kebelakangan ini, berikutan harga pasaran yang sedang meningkat kini.

Katanya, penahanan yang dibuat adalah susulan dua jam tangkapan pertama yang dilakukan pada 12 April lalu, seperti yang dikeluarkan Sinar Harian pada 13 April lalu, juga menggunakan kereta untuk mencuri buah sawit.

Konstabel Andri makin sembuh



GEORGETOWN - Tiada kata boleh digambarkan apabila melihat anak kesayangan bertambah pulih dan berupaya untuk duduk berbanding sebelum ini hanya terbaring kerana mengalami kecederaan teruk pada hampir keseluruhan badan akibat kemalangan jalan raya.

Bapanya, Jimin Torutuk, 42, bersyukur dengan perkembangan anaknya, Konstabel Andri Jimin, 23, yang terlibat dalam kemalangan 13 Februari lalu ketika baru selesai tugasan rondaan cegah jenayah.

“Saya baru sampai ke sini (Pulau Pinang) untuk menggantikan ibunya yang pulang ke Kota Marudu, Sabah kerana ingin menguruskan beberapa perkara termasuk menjenguk adik perempuan Andri yang tinggal keseorangan di sana. Selama ini saya dan ibunya bergilir-gilir menjaga Andri di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana menyembuhkan Andri walaupun tidak sepenuhnya pulih. Namun perkembangannya hari ini sangat menggembirakan saya walaupun ingatannya masih belum pulih sepenuhnya. Kali pertama saya melihat keadaannya, luluh hati saya apabila dia tidak mengenali saya dan ibunya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HPP.

Menurutnya, beliau tidak kisah untuk mengeluarkan wang simpanannya hanya untuk menampung perbelanjaan tambang dari Kota Marudu ke Pulau Pinang kerana nyawa anaknya lebih penting daripada segala-galanya.

“Saya hanya ada dua anak, saya tidak kisah dengan wang ringgit, apa yang penting adalah nyawa anak saya. Kesusahan saya dan isteri terbalas dengan perkembangan anak saya hari ini walaupun terpaksa merentas jambatan gantung di Kota Marudu, mengharungi perjalanan selama dua jam sebelum sampai di Lapangan Terbang Kota Kinabalu seterusnya berlepas menggunakan pesawat ke Pulau Pinang,” katanya.

Jimin berkata akan memohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa anaknya pulang ke Sabah dan memulakan tugas apabila pulih sepenuhnya.

“Saya ingin memohon supaya Andri ditukar ke Sabah, senang untuk kami sekeluarga menjaganya kerana tidak sanggup lagi jika berlaku perkara yang tidak diingini ke atasnya seperti sebelum ini. Namun ia terpulang kepada pihak atasan untuk menimbang permohonan saya ini berikutan laporan doktor, Andri perlu tinggal di sini (HPP) lebih kurang sebulan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Andri cedera teruk apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta awal pagi 13 Februari lalu ketika pulang ke rumah sewanya di Jalan Pattani. Berikutan kejadian itu, dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP dalam keadaan yang tidak sedarkan diri.

Andri dikunjungi Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar dan beberapa pegawai polis lain dalam lawatan sempena Hari Polis 2011 dengan pemberian sagu hati kepada pesakit di wad C13 dan C14 di HPP.

Dalam lawatan itu, 50 pesakit termasuk enam anggota polis dikunjungi selain beramah mesra dengan pegawai polis antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Zahruddin Abdullah dan Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam IPK negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Hussin. 

Hilang 24 jam, ditemui mati



KAMPUNG SELEKOH – Keresahan sebuah keluarga akan kehilangan seorang warga emas selama 24 jam terjawab apabila mayatnya ditemui lemas dalam parit, kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Selekoh, Alor Pongsu, kelmarin.

Mayat Bardiah Uda, 81, ditemui kira-kira jam 7.40 malam oleh sepasukan anggota bomba dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya.

Anak Mangsa, Saadiah Abdullah, 59, berkata, ibunya keluar dari rumah tanpa pengetahuan anak-anaknya sekitar jam 2.30 petang, Rabu lalu.

Menurutnya, sebelum ini, ibunya yang mengalami masalah kesihatan itu tidak pernah keluar meninggalkan rumah seorang diri.

“Petang itu, kami semua berada di rumah, saya terlelap seketika kerana itu tidak menyedari arwah sudah berjalan keluar merayau di sekitar rumah.

“Apabila menyedari ibu tiada, kami sekeluarga dibantu saudara mara berusaha mencari sehingga lewat petang, namun tidak menemuinya, khuatir berlaku kejadian tidak diingini kami segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Serai pada hari yang sama kehilangannya,” katanya ketika ditemui, di sini.



Redha dengan kejadian



Saadiah berkata, meskipun terkilan dengan insiden yang berlaku, dia sekeluarga redha dengan pemergian ibunya itu.

Menurutnya, kali terakhir dia melihat ibunya dalam pakain kain batik dan berbaju kurung kedah.

“Saya redha dengan pemergian arwah, terima kasih dengan semua pihak yang terlibat berusaha membantu mencari ibu saya,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan pagi semalam di Tanah perkuburan Islam Kampung Matang Pasir.



Pakaian dalam semak



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Rohana Mustapa berkata, operasi mencari mayat mangsa ditingkatkan apabila anjing pengesan dari unit K9 menemui pakaian mangsa yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran.

Katanya, pengecaman pakaian milik mangsa yang dilakukan ahli keluarga warga emas berkenaan menjadikan usaha mencari mangsa berjaya.

“Mayat mangsa ditemui Unit K9 Bomba dan Penyelamat Putrajaya yang kita hubungi untuk membantu operasi ini.

“Sejak laporan kehilangan diterima, bomba bersama polis, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela dan penduduk kampung berusaha melancarkan gerak mencari namun tidak menemui mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati ahli keluarga terutama yang mempunyai ahli kurang upaya agar sentiasa mengawasi mereka bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan berterima kasih kepada semua penduduk yang bersama membantu memberi maklumat sehingga berjaya menemui mangsa,” katanya.

Turut menyertai operasi berkenaan ialah Penghulu Mukim Semanggol, Ahmad Firdaus Abd Rahim, Ketua Kampung Matang Pasir Yusof Mat, Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan Dua (PBK 2) Ahmad Izuwan Zakarian dan Komander Operasi, Inspektor Azharul Hairi.



Kes mati mengejut



Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan penemuan mayat warga emas berkenaan dan turut menghantar anggota bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut kerana tidak menemui sebarang bukti menunjukkan berlaku unsur jenayah terhadap mangsa.

“Kita harap orang ramai dapat mengambil pengajaran dan lebih berhati-hati serta mengawal ahli keluarga yang mempunyai situasi yang serupa dengan warga emas berkenaan supaya perkara yang sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di pejabatnya di sini, semalam.

14 premis mesin judi aktif



BIDOR – Kewujudan 14 premis yang menjalankan kegiatan mesin judi di sekitar kawasan ini dikesan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cegar, Md Anuar Darus berkata, kehadiran premis itu menyebabkan timbul pelbagai aduan daripada penduduk setempat berkaitan kegiatan yang turut melibatkan ahli keluarga mereka.

Menurutnya, premis berkenaan mula menjadi tarikan golongan muda khususnya belia dan pelajar sekolah.

“Hasil daripada aduan penduduk juga kita dapati terdapat hampir 14 premis yang beroperasi menjalankan kegiatan mesin judi ini di sekitar Pekan Bidor.

“Keadaan ini agak membimbangkan penduduk kampung, harap pihak berkuasa dapat menjalankan pemantauan,” katanya.

Md Anuar berkata, sehingga kini, pihaknya tidak pasti sama ada perniagaan yang dijalankan itu mendapat kelulusan atau tidak.

Katanya, sebagai ahli JKKK, tindakan selanjutnya terhadap sekatan operasi premis berkenaan adalah di luar bidang kuasa mereka.

Sinar Harian difahamkan, pihak JKKK pernah menerima aduan dari sebuah keluarga yang mendakwa suaminya gemar menghabiskan duit berjudi di premis berkenaan.

Md Anuar berkata, isteri lelaki itu mengadu pendapatan sebagai peraih sawit dihabiskan di mesin judi sehingga mengabaikan kepentingan keluarga.

“Sekiranya perkara ini berlaku, ia telah memberi kesan negatif terhadap usaha membangunkan sahsiah penduduk dan kami harap tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memantau kegiatan mesin judi ini,” katanya.

Pasangan suami isteri dicari



TELUK INTAN - Polis mencari dua suspek yang juga pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes penipuan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek dipercayai terlibat dalam lima kes penipuan melibatkan wang berjumlah RM6.297 juta.

Menurutnya, suspek itu dikenali sebagai Song Siew Weng, 49, beralamat di Taman Desa Pakatan, Ipoh.

“Pasangannya dikenali sebagai Chong Heoy Choo berusia 50, beralamat di Lorong Tupai Mas, Taiping,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak (IPD), semalam.

Kok Liang berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah melalui perkenalan bersama mangsa dan merapatkan hubungan dengan mengunjungi rumah mangsa beberapa kali.

Menurutnya, selain itu, suspek juga akan menunjukkan kemewahan kepada mangsa dengan mendermakan wang kepada sekolah dan tokong.

“Tujuan suspek berbuat demikian ialah untuk memancing minat mangsa supaya menganggap suspek mempunyai kewangan kukuh menerusi perniagaan yang dijalankan.

“Setelah berjaya memancing kepercayaan mangsa, suspek akan meminta mereka untuk menyerahkan sejumlah wang secara berperingkat dikatakan bagi mendapatkan projek,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai melakukan kes yang sama di beberapa daerah selain Hilir Perak dan kini pihaknya giat mencari mereka.

Katanya, kelima-lima mangsa penipuan berusia di antara 56-70 tinggal di kawasan Hutan Melintang dan Teluk Intan mengalami kerugian lebih kurang RM6.297 juta.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sekiranya orang ramai melihat kedua-dua suspek boleh menghubungi IPD Hilir Perak menerusi talian 05-6299222,” katanya.

Hilang nyawa 90 minit



BUKIT MERTAJAM – Kita biasa menyebut istilah mati hidup semula, tetapi untuk melihat perkara itu berlaku memang jarang sekali.

Tetapi, bagi seorang warga emas berusia 65 tahun, diberi peluang kedua untuk hidup merupakan satu keajaiban yang tidak pernah disangka.

Kelmarin, dia yang dikenali sebagai Hock dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) berikutan tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika bertengkar dengan abangnya yang berusia 70 tahun di rumahnya dekat Tanah Liat, kira-kira jam 11.30 pagi.

Ketika menerima rawatan kecemasan di Unit Kecemasan hospital itu, mangsa didapati tidak bernafas dan dia disahkan meninggal dunia sejurus kemudian.

Bagaimanapun, kira-kira 90 minit kemudian, dia didapati bernafas semula menyebabkan keadaan di unit berkenaan kecoh seketika dan dia terus dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagi keluarganya, kejadian itu merupakan satu keajaiban kerana pada mulanya mereka beranggapan sudah kehilangan anggota keluarga tersayang.

Namun, kesedihan itu bertukar kepada kegembiraan apabila pihak hospital mengesahkan mangsa masih hidup.

Isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 56, berkata, tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaannya apabila dia mendapat kembali suaminya.

Menurutnya, kejadian itu umpama mimpi ngeri buat mereka sekeluarga sehinggakan ada ketika mereka tidak percaya apa yang sedang berlaku.

“Semalam (kelmarin) selepas pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan suami sudah tidak bernyawa lagi selepas nadinya tidak berdenyut lagi.

“Selepas menerima pengesahan itu, saya dan anak sulung segera ke Balai Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) untuk membuat laporan. Begitu pun, belum sempat kami membuat laporan, panggilan diterima dari pihak hospital mengatakan suami hidup semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Lim berkata, dia tidak dapat menahan diri dan berkali-kali mengucapkan syukur kepada tuhan kerana memberi peluang kedua untuk hidup.

Katanya, suaminya kini masih ditempatkan di ICU dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun masih belum sedarkan diri.

Berikutan itu, anak sulungnya yang berusia 26 tahun telah pergi bersembahyang di sebuah tokong pagi semalam untuk mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada bapanya.

“Doktor memberitahu kejadian sebegini memang jarang sekali berlaku di dunia, dan suami saya antara yang bertuah kerana dipilih untuk hidup semula selepas meninggal dunia selama 90 minit,” katanya.

Arwah minta maaf: Abang ipar



ALOR SETAR - “Arwah sempat minta maaf dan minta tolong saya supaya jaga anak-anak.”

Demikian luahan abang ipar kepada seorang lelaki yang membakar diri akibat tekanan di Kampung Ruat, Yan, Harun Saad, 49, yang sempat berbicara dengan Allahyarham Zinol Ismail, 51, sejurus selepas kejadian berlaku pada Rabu lalu kira-kira jam 8.33 pagi.

Menurutnya, ketika itu, Allahyarham berada dalam keadaan terbaring selepas api yang membakar tubuhnya dan dua anak lelakinya, Badrul Amin, 14, dan Amirul Hadi, 12, berjaya dipadamkan keluarga dan jiran bersebelahan.

“Saya terkejut melihat arwah langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi kesakitan selepas api pada badannya dipadamkan, malah dia mampu berbicara seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Saya sempat berbual selama seminit sebelum arwah dibawa ke ambulans dan melihat keadaannya yang kritikal, saya sudah jangka dia tidak dapat bertahan lama,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.

Harun berkata, hubungan Allahyarham dengan adik-beradik iparnya tiada masalah, malah dia juga sering membantu keluarga mentua ketika masih sihat.

Menurutnya, masalah kemurungan yang dialami Allahyarham hanya berlaku pada awal bulan Mac di mana dia dilihat seolah-olah mengalami tekanan perasaan dan sering menyatakan rasa bosan dalam hidup.

“Arwah sangat menyayangi anaknya dan tidak pernah mengasari mereka.

“Pemergiannya sudah pasti memberi tamparan hebat kepada isteri dan anak-anak memandangkan dia yang bekerja keras membanting tulang untuk mendapatkan rezeki,” katanya.

Harun berkata, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ruat, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Pengebumian dihadiri oleh orang kampung dan keluarga terdekat.

Penjenayah licik ambil peluang



KUANTAN - Seorang remaja tidak menyangka niatnya untuk membantu dua lelaki mengundang padah apabila motosikalnya dibawa lari, dalam kejadian berhampiran perhentian bas dekat Bukit Rangin Jalan Bypass Kuantan di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Nordin Mustapha berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika mangsa yang tidak bersekolah itu dalam perjalanan dari rumahnya di Jalan Batu 11 Gambang di sini, untuk ke tempat kerja.

“Pekerja kilang berusia 17 tahun itu dikatakan memperlahankan motosikalnya apabila melihat dua lelaki meminta pertolongan.

“Ketika sampai di tempat kejadian, kedua-dua suspek berada di tepi jalan bersama sebuah lagi motosikal meminta tolong daripada mangsa,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Menurutnya, salah seorang suspek memberikan alasan mahu menumpang motosikal mangsa untuk ke stesen petrol berhampiran mendapatkan minyak motosikal.

“Namun sebaik sahaja mangsa memperlahankan motosikalnya, suspek bertindak menendang mangsa. Akibat tendangan itu, mangsa terjatuh dan suspek sepantas kilat melarikan motosikal mangsa bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggu di tepi jalan terbabit.

“Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek berikutan kejadian berlaku dalam sekelip mata dan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira jam 11 pagi,” katanya.

Nordin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, niat baik seorang wanita cuba membantu dua tetamu tidak diundang yang pada mulanya disangka menghadapi masalah untuk mencari rumah seseorang memakan diri apabila dia menjadi mangsa samun dua lelaki itu dalam satu kejadian di Taman Amalina Perdana, Raub, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa, seorang suri rumah berusia 48 tahun terpaksa berputih mata apabila rantai emas bernilai kira-kira RM500 yang dipakai lesap selepas diragut salah seorang suspek.

Nordin berkata, akibat tindakan kasar dua penjenayah itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian leher.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berada di dalam rumahnya sebelum ternampak kelibat dua lelaki bermotosikal berlegar-legar di hadapan kediamannya itu.

“Mangsa bergegas keluar dari rumahnya untuk bertanyakan tujuan lelaki terbabit berada di situ kerana disangka tersesat atau sedang mencari rumah seseorang.

“Ketika wanita itu berada di hadapan pintu pagar, salah seorang suspek turun dari motosikal dinaikinya sambil tercegat di depan pintu pagar seolah-olah mahu bertanya sesuatu,” katanya.

Nordin berkata, wanita itu menegur lelaki yang berhenti di depan pintu pagar rumahnya tanpa mensyaki mereka adalah penjenayah.

“Ketika mangsa mendekati lelaki itu, suspek secara tiba-tiba menyentap rantai lehernya hingga terputus.

“Selepas mendapatkan habuannya, dua penjenayah terus melarikan diri dengan memecut motosikal yang dinaiki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak sempat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek terbabit kerana kejadian berlaku dengan pantas malah dia sendiri tidak menduga lelaki yang cuba dibantunya itu adalah penjenayah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit dipercayai berusia dalam lingkungan 20 tahun dan kes masih lagi dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

‘Syurga' dadah diserbu



KAJANG - ‘Syurga’ sekumpulan penagih dan pengedar dadah di sebuah kebun kelapa sawit, berhampiran jirat Cina di Sunway Semenyih, di sini bagi melepas gian terbongkar apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah ini, semalam.

Biapun berdepan tindakan agresif tiga lelaki dipercayai pengedar dadah yang mengacu parang panjang, kecekapan anggota polis berjaya mematahkan tindakan tersebut dan mengawal situasi tegang itu.

Malah, polis berjaya menahan ketiga-tiga lelaki terbabit selain 50 penagih lingkungan usia 30-an hingga 50-an.

Turut dirampas dalam operasi tersebut, 320 paket dadah dipercayai heroin.

Dituduh cedera pelajar



KUALA PILAH – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelajar tingkatan tiga.

Tertuduh berumur, S Vijayakumaran, 18, dari Simpang Ladang Sungai Gemas, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Vijayakumaran dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berumur 15 tahun, dengan menggunakan sebuah topi keledar warna biru gelap menyebabkan mangsa cedera parah dan mengalami retak tulang tempurung di kepala sebelah kiri.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Perhentian Bas Simpang Jalan Gemas-Londah Gemas, Tampin, kira-kira jam 6 petang pada 4 April lalu.

Vijayakumaran dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Kesesakan yang membawa hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Shukri Hussain yang mengendalikan kes menawarkan kepada mahkamah wang jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam V Gobhi bagaimanapun meminta wang jaminan dikurangkan.

Hakim Azura Alwi kemudiannya membenarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 Mei depan.

Maut tercampak keluar kereta



MASJID TANAH - Seorang lelaki maut serta-merta di tempat kejadian selepas kereta milik ibunya yang dipandu terbabas di satu selekoh tajam sebelum tercampak keluar di Batu 25, Kampung Ramuan China Kecil, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kereta jenis Proton Saga Aeroback yang dipandu mangsa, Mohd Faizal Sofian, 30, dari arah Masjid Tanah menuju ke Lubok China bersama dua lagi rakan, Mohd Azwan Isnin, 25 dan Mohd Faizal Sumardi, 23.

Difahamkan, kereta yang dipandu hilang kawalan sebaik melalui satu selekoh tajam lalu terbabas ke kanan jalan dan meluncur laju melanggar tembok besi sebuah rumah kedai dan sebatang tiang elektrik sebelum terseret sejauh kira-kira 78 meter.

Saksi kejadian, Kamarudin Isnin, 44, berkata, dia yang belum tidur ketika itu terkejut sebaik terdengar bunyi dentuman kuat beberapa meter dari rumahnya.

“Saya terus keluar dan mendapati ada sebuah kereta sudah melintang di atas jalan raya.

“Masa kejadian saya baru selesai menonton televisyen dan hendak keluar kunci pintu pagar tetapi belum sempat keluar, saya terdengar bunyi benda terseret kuat dan berdentum,” katanya.

Menurutnya, dia melihat dua penumpang sudah keluar menyelamatkan diri dan seorang lagi yang memang sudah terbaring atas jalan raya berada dalam keadaan tidak bergerak.

“Salah seorang mangsa meminta bantuan supaya menghubungi pihak berkuasa tetapi rakan mereka sampai lebih awal dan terus bawa mereka ke klinik berdekatan, sementara menanti kedatangan pihak polis serta bomba,” katanya.

Kakak mangsa, Saliza Sufiyan, 33, pula berkata, petang sebelum kejadian, arwah adiknya yang bekerja bertukang dengan suaminya keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 malam dan tidak memaklumkan hendak ke mana dalam keadaan kurang sihat.

“Seminggu dia demam dan sejak tiga hari lalu, memang dia memerap di rumah sahaja.

“Jika keluar pun, dia balik cepat tetapi pada hari kejadian, sebaliknya pula yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, sejak seminggu lalu perwatakannya nampak sedikit berubah kerana mudah ambil hati.

“Apa sahaja yang emak tegur seolah-olah sukar diterima dan pasti berlaku sedikit perselisihan faham meskipun hanya perkara kecil.

“Arwah adik ada datang ke rumah kami di Taman Wira Mas, Lubok China, memaklumkan ingin meminjam wang RM100 sebagai perbelanjaan dan hendak ke Sungai Buloh untuk bekerja di sana,” katanya.

Saliza berkata, arwah juga sempat makan di rumahnya walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian.

“Suami saya juga ada maklumkan arwah kelihatan murung sejak seminggu lalu, malah kerap datang kerja lewat dan mahu pulang ke rumah lebih awal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kereta yang dipandu Mohd Faizal hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok dan sebatang tiang elektrik.

“Kereta dipandu mangsa terbabas sebaik melalui selekoh tajam yang dipercayai licin disebabkan hujan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, sementara dua lagi penumpang, Mohd Faizal Sumardi mengalami kecederaan ringan dan Mohd Azwan Isnin patah bahu kanan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Buaya di Sungai Junjong Mati



JURU – Penduduk yang tinggal di sekitar Juru, terutamanya pemancing yang leka melakukan aktiviti rutin mereka di sepanjang Sungai Junjong Mati, di sini, digemparkan dengan kemunculan seekor buaya, petang kelmarin.

Buaya sepanjang kira-kira tiga meter itu dikatakan muncul sekitar jam 5 petang dan dilihat di tebing sungai, berhampiran kawasan paya bakau dekat sungai berkenaan.

Kemunculan buaya itu sekali gus menarik perhatian penduduk yang datang untuk melihat buaya berkenaan dengan lebih dekat.

Begitu pun, kira-kira dua jam kemudian buaya itu masuk semula ke dalam sungai selepas beberapa penduduk membaling batu ke arahnya.

Saksi, M Selvasendran, 25, berkata kelibat buaya memang sering dilihat di kawasan terbabit, namun setakat ini ia belum pernah mengganggu manusia.

Malah, dia sendiri pernah terserempak dengan buaya itu ketika sedang menjalankan kerja mengorek sungai kira-kira sebulan lalu.

“Kejadian berlaku ketika saya sedang mengendalikan jengkaut dan tiba-tiba buaya itu muncul dan menggigit bahagian hadapan jengkaut.

“Saya cuba menghentaknya dengan jengkaut tetapi ia tidak mati, dan terus masuk semula ke dalam sungai,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Raja Mohd Faizul Raja Senik,24, berkata, kehadiran buaya di kawasan sungai itu sudah menjadi kebiasaan bagi pemancing dan penangkap ketam berikutan pernah beberapa kali terserempak dengan reptilia berkenaan.

Begitu pun, menurutnya, ia adalah kali pertama dia berhadapan dengan buaya berkenaan kerana selama ini dia hanya mendengar cakap orang sahaja.

“Kawasan ini memang menjadi tumpuan kaki pancing dan kehadiran buaya di tebing sungai memang mengejutkan semua orang.

“Saya percaya bukan hanya seekor buaya yang terdapat di sini, tetapi lebih dari itu,” katanya.

Hajat baiki rumah lebur



KUANTAN - Hajat sepasang suami isteri warga emas menggunakan wang RM55,000 hasil simpanan mereka selama lima tahun untuk membaiki rumah lebur apabila wang yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di sini itu disamun dua lelaki bermotosikal, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi, di sini, salah seorang penyamun bertindak memecahkan cermin tingkap kereta sebelah penumpang depan menggunakan batu sebelum melarikan beg tangan berisi wang tunai berkenaan yang diletakkan mangsa di bawah tempat duduk.

Ketika kejadian mangsa, Ramlah Abdul Rahman, 56 dan suaminya, Ismail Wan Jaafar, 60, menaiki kereta jenis Proton Iswara dipandu menantunya, Sharifah Nazatul Shima Syed Mohd Sidek, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Bukit Goh, dekat sini.

Sharifah Nazatul ketika ditemui berkata, selepas selesai urusan pengeluaran wang kira-kira jam 11.15 pagi, mereka bertiga terus menaiki kereta untuk pulang ke rumah dan langsung tidak menduga kejadian itu akan berlaku.

Dia berkata, ketika mereka berhenti di lampu isyarat Jalan Bukit Ubi, dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z berhenti di sebelah keretanya.

“Pembonceng motosikal itu tiba-tiba melompat turun lalu menghentak cermin tingkap kereta hingga pecah dengan seketul batu sebelum lelaki itu menghulurkan tangannya ke bahagian bawah tempat duduk ibu mertua saya dan merampas beg tangannya.

“Ibu mentua saya cuba melawan sehingga berlaku tarik-menarik bagaimanapun penjenayah terbabit berjaya merampas beg berisi wang itu setelah talinya terputus," katanya.

Sharifah Nazatul berkata, dia dan bapa mentuanya yang berada di bahagian belakang cuba membantu dengan turut sama bergelut untuk mempertahankan beg itu daripada dilarikan namun gagal sebaliknya hanya mampu melihat kedua-dua penjenayah melarikan diri dengan memecut motosikal yang dinaiki bersama wang terbabit.

Dia berkata, dalam kejadian itu, ibu mentuanya bukan sahaja mengalami cedera ringan pada bahagian tangan akibat pergelutan itu malah trauma apabila mengenangkan peristiwa tersebut.

“Saya dapat rasakan betapa hancurnya hati mereka apabila wang simpanan yang dikumpulkan sejak sekian lama lesap begitu saja,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komi-sioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, pihaknya sudah mengenal pasti salah seorang daripada dua suspek terlibat yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an.

Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa, polis berjaya mendapatkan lakaran wajah seorang daripada mereka dan gerakan memburu suspek giat dijalankan.

“Mangsa memaklumkan dapat mengecam wajah seorang daripada suspek walaupun cuba melindungi muka dengan memakai topi keledar.

“Bagaimanapun mereka tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki dua penjenayah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, selain wang tunai, mangsa juga turut kehilangan kad pengenalan dan buku akaun bank yang disimpan dalam beg itu,” katanya.

Mohd Jasmani juga meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil menghulurkan maklumat bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pejalan kaki maut dirempuh



KUANTAN - Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam satu kemalangan di Batu 3 Jalan Gambang, di sini, kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.35 pagi itu, mangsa, Razali Mohamad, 32 dari Kampung Razali Batu 4, Jalan Gambang di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguat kuasa/Tadbir Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa cuba melintas jalan.

Menurutnya, pada masa yang sama, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan ke Gambang dari bandar ini tiba dan gagal mengelak mangsa yang berada di atas jalan.

“Akibat rempuhan kuat, pekerja swasta itu maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala serta badan,” katanya ketika ditemui, di pejabatnya di sini, semalam.

Zainalabidin berkata, mayatnya sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan, kelmarin

“Polis sudah menahan pemandu kereta terbabit bagi membolehkan keterangannya direkodkan berhubung kejadian itu.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Teraniaya akibat MyKad




KAMPUNG SEBERANG GUAI – Seorang lelaki terkejut apabila namanya digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk menubuhkan sebuah syarikat di Kuala Lumpur sejak 2008.

Mangsa yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Bor, Bahtorin Jaafar, 48, berkata, perkara ini langsung tidak diketahuinya sehinggalah dia menerima surat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meminta beliau menjelaskan kompaun sebanyak RM4,400 bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965.

“Saya terkejut menerima surat itu lebih-lebih lagi mengetahui apabila diminta membayar kompaun dalam jumlah yang besar.

“Saya segera membuat aduan polis dan SSM untuk siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bahtorin berkata, kemudian, SSM menunjukkan dokumen berkaitan syarikat itu dan jelas menunjukkan isi kandungan dokumen adalah tidak benar melainkan nama dan nombor kad pengenalan sahaja.

Menurutnya, dokumen itu juga meletakkannya sebagai salah seorang pengarah syarikat yang dilantik pada 30 September 2009 menggantikan salah seorang pengarah lain.

“Bagaimanapun, SSM membekukan syarikat itu sementara waktu untuk siasatan lanjut setelah mendapati terdapat perbezaan tandatangan saya dengan individu terbabit pada Borang 8A.

“Buat masa ini, saya masih belum menerima maklumat terkini tetapi berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana melibatkan maruah dan nama baik saya,” katanya.

Menurut Bahtorin, beliau juga bimbang salinan kad pengenalan yang dipegang individu terbabit turut digunakan bagi tujuan memohon pinjaman bank.

“Saya berharap orang ramai dapat mengambil iktibar melalui pengalaman saya ini supaya jangan sesekali memberikan salinan kad pengenalan kepada mana-mana individu tanpa tujuan yang betul,” katanya

Remaja perempuan ditahan dalam Ops Samseng

 

KUALA TERENGGANU- Seorang remaja perem-puan dan seorang lelaki antara dua yang ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Samseng Jalanan dan Cegah Jenayah melibatkan daerah Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Operasi itu yang bermula dari jam 8.30 malam, berakhir pada jam 4.15 pagi dengan kekuatan anggota seramai dua pegawai dan 10 anggota trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri serta seorang pegawai dan 23 anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Turut terlibat dalam operasi itu ialah seorang pegawai dan tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, 10 anggota GD (tugas am) Kuala Terengganu, seorang pegawai dan 28 GD Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun serta 2 pegawai dan 10 anggota PVR (sukarelawan) Kuala Terengganu.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man berkata, operasi itu diadakan di beberapa lokasi iaitu di Shahbandar, Batu Burok, Kuala Ibai, Chabang Tiga, Durian Burung, Losong, Padang Midin dan Wakaf Beruas bagi Kuala Terengganu manakala di Dungun pula, operasi itu dibuat di Jalan Yahaya Ahmad dan Jalan Baru Pak Sabah.

“Dalam operasi itu, kita telah keluarkan 257 saman dengan pelbagai kesalahan dan turut menyita 13 buah motosikal. Bagi tangkapan di bawah Ops Warta, kita telah menahan dua lelaki Melayu dan kutipan kompaun yang dikenakan ialah RM550.

“Seorang remaja perempuan yang berusia 22 tahun juga ditahan setelah positif Methamphetamine dalam ujian urin yang dibuat. Kesalahan sama juga dikenalpasti di Kuala Terengganu dan kita telah menangkap seorang lelaki Melayu. Kedua-dua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ismail berkata, polis kini giat melakukan sekatan jalan raya pada setiap kali solat Jumaat di seluruh negeri sebagai salah satu langkah pencegahan jenayah dan mat rempit.

Menurutnya, pihaknya akan terus melakukannya sebagai salah satu cara mengekang kegiatan rempit daripada terus berleluasa.

Maut di bawah kereta nenek



MARANG – Gara-gara ingin mengalihkan kereta ke tempat lebih teduh seorang nenek diselubungi penyesalan sepanjang hayatnya apabila terlanggar cucu sendiri hingga menyebabkan kanak-kanak berumur setahun lima bulan itu meninggal dunia.

Dalam kejadian di kampung Pulau Rusa lebih kurang jam 9 pagi kelmarin, Fatimah Muda, 56, terkejut apabila mendapati cucunya, Izzah Badrinna Mohd Faizul bermain di hada-pan kereta lalu ingin memberhentikan kenderaan dengan menekan brek.

Malangnya pedal disangka brek itu rupa-rupanya pedal minyak menyebabkan kereta meluncur ke depan.

Akibatnya, kenderaan jenis Proton Saga automatik yang dipandu terlanggar cucunya sendiri termasuk pasu bunga yang berada di hadapan kereta.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan kanak-kanak kecil yang ketika itu hanya memakai lampin rebah dan cedera di bahagian kepala serta dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Merchang.



Ibu dengar deruman enjin kuat

Walaupun nenek mangsa tidak dapat menahan kesal atas perbua-tan yang disifatkannya sebagai kecuaian sehingga meragut nyawa cucunya sendiri namun dia bakal berdepan dengan tinda-kan undang-undang selain tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Liza Abdul Razak, 26, sedang membersihkan kawasan halaman rumah tidak jauh dari rumah keluarga mentuanya iaitu tempat kejadian berlaku.

“Saya sedang membersihkan halaman rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi deruman enjin yang kuat dari rumah ayah dan ibu.

“Apabila ke sana, saya dapati anak bongsu saya sudah terbaring di muka pintu betul-betul depan kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Liza berkata demikian ketika menunggu jenazah anaknya selesai menjalani proses bedah siasat di rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Katanya, selepas mendapati Izzah dalam keadaan sedemikian, dia lantas berlari mendapatkan mangsa dan mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu masih bernyawa lalu mendapatkan pertolongan untuk membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Merchang.

“Saya hanya mampu meraung sekuat hati selepas mendapati Izzah tidak lagi bergerak di ribaan saya ketika dalam perjalanan menghantarnya ke klinik.

“Terasa baru sekejap saya tinggalkan arwah bersama dua kakaknya, Murni Atirahy, 7, dan Nor Nadia Farhana, 4, di rumah mentua dan saya masih terasa dia berada depan saya, tetapi dalam sekelip mata juga dia meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.



Fikiran saya kosong: Bapa

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Faizul Mohamad Nawi, 27, yang bekerja sebagai nelayan hanya mengetahui mengenai kejadian ngeri itu selepas pulang daripada menangkap ikan kira-kira jam 11 pagi lalu bergegas ke HSNZ Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, jenazah anaknya terpaksa ditahan di rumah mayat HSNZ hingga petang kelmarin untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian sebelum dibenarkan dibawa pulang untuk dikebumikan pada malam kelmarin.

“Selepas mengetahui keadaan sebenar anak saya, fikiran saya kosong dan tak mampu berkata apa-apa.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya tambahan pula arwah tidak menunjukkan sebarang perangai ganjil sepanjang minggu ini,” katanya.



Ambil keterangan

Sementara itu, difahamkan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang sudah mengambil keterangan ibu mangsa, Liza dan suaminya, Mohd Faizul serta ahli keluarga lain yang berada di lokasi kejadian semasa jenazah dituntut di HSNZ.

Keterangan diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan kes nenek malang terbabit yang terlanggar cucu sendiri ketika mengalih kenderaan jenis Proton Saga Automatik di hadapan rumahnya di Pulau Rusa di sini.

Sinar Harian juga dimaklumkan keluarga mangsa bahawa polis turut mengambil kenderaan yang kini ditempatkan di IPD Marang untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, pasa-ngan suami isteri itu turut berharap dakwaan terhadap ibu mereka digugurkan kerana mereka sudah memaafkan ibu mereka yang secara tidak sengaja terlanggar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Petanda tidur tidak nyenyak



GUA MUSANG - Kegelisahan seorang penebang balak dua hari tidak nyenyak tidur petanda dia meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya selepas ditimpa balak bergolek di kawasan hutan di Pos Blau, dekat sini, petang kelmarin.

Md Noor Harun, 52, yang berasal dari Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, maut apabila sebatang balak yang ditebang dan dipotongnya tiba-tiba bergolek menindihnya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.

Menurut isterinya, Maznah Musa, 44, arwah memang menyatakan tidak sedap hati semasa dua malam berada di rumah dan kerap bangun tengah malam dengan keadaan termenung.

Beliau berkata, ketika ditanya mengenai keadaannya yang agak gelisah itu, arwah tidak dapat menceritakan sehingga dia segera turun dari rumah pada jam 5 pagi kelmarin untuk bekerja menebang balak di hutan tersebut.

“Saya terkejut apabila menerima telefon jam 8 malam diberitahu mengenai kejadian tersebut dan terus bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi mendapat pengesahannya.

“Sebaik tiba, saya sedih kerana orang yang saya harap selama ini untuk memberi belanja bagi memelihara sembilan anak telah tiada lagi,” katanya.

Maznah berkata, arwah sebenarnya pulang ke rumah dua hari lalu kerana ada majlis perkahwinan anak saudara dan kebiasaannya Md Noor tinggal antara seminggu hingga dua minggu dalam hutan.

Bagaimanapun, katanya, arwah pulang dalam keadaan gelisah dan tidak sangka perubahan itu petanda Md Noor akan tinggal keluarga untuk selama-lamanya.

“Arwah juga sebelum ini menyatakan yang dia pernah dua kali ditimpa dahan kayu patah semasa menebang balak hingga mengalami kecederaan parah di dada.

“Walaupun dalam keadaan begitu, dia menyatakan hasratnya untuk terus bekerja menembang balak sebagai mata pencarian hidup berikutan banyak pengalaman dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dua kali kejadian kemalangan itu semasa dia belum berumah tangga dengannya lagi dan kejadian kali ketiga petang kelmarin sampai ajalnya.

Tempat tinggal hangus



KOTA BHARU - Lima sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Muring, Kubang Getah, Ketereh di sini, pagi kelmarin.

Kejadian dikatakan berpunca daripada periuk nasi elektrik yang digunakan sebelum penghuninya keluar rumah pada jam 11.30 pagi.

Mangsa, Kasmawati Hussin, 29 berkata, beliau memasak nasi untuk hidangan tengah hari sebelum keluar meninggalkan rumah untuk mengambil anaknya di sekolah berdekatan.

“Beberapa minit saya sampai di sekolah, jiran menghubungi memberitahu rumah saya sudah terbakar dan saya bergegas ke rumah tanpa menunggu anak keluar dari kelasnya.

“Jiran beritahu sebelum kejadian ada lihat asap dari arah dapur dan saya akui ada menggunakan periuk elektrik untuk memasak nasi sebelum keluar mengambil anak di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kasmawati berkata, antara barangan paling berharga yang didapati hangus termasuk barangan kemas dianggarkan bernilai RM11,000 dan barangan lain seperti elektrik dan perabot RM30,000.

Menurutnya, saudara-mara terdekat yang melihat kejadian memberitahu kebakaran rumah kayu berkenaan mengambil masa 10 minit sahaja dan tidak ada apa-apa berangan yang dapat diselamatkan.

Sementara itu, suaminya, Mohd Zuhaldi Mohamad Nor, 32 berkata, ketika kejadian, beliau berada di sekolah memandu di Kampung Aman, Kandis Bachok bagi membolehkan beliau memperoleh lesen memandu lori.

“Semasa menerima panggilan telefon daripada jiran, saya tidak percaya lalu segera menelefon isteri dan ibu saudara, tetapi kedua-dua mereka gagal dihubungi.

“Apa yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu, saya hanya memikirkan anak bongsu yang masih berada di pra sekolah, takut jika dia (anak) berada di rumah jika betul berlaku kebakaran dan saya bersyukur kerana ahli keluarga masih selamat,” katanya.

Beliau berkata, tiga anaknya yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kubang Kiat, Ketereh terselamat dan sekarang ini hanya tinggal sehelai pakaian seragam yang dipakai hari kejadian.

Mohd Zulhadi berkata, ketika ini, keluarganya terpaksa menumpang di rumah datuk isterinya, Hassan Mamat, 80, yang terletak bersebelahan rumahnya.

Mereka yang ingin membantu mangsa berkenaan boleh melawat mereka di Kampung Muring, Kubang Getah, Ketereh atau hubungi Mohd Zulhadi menerusi 017-9059322.

Pemandu maut, penumpang cedera parah kemalangan di lebuh raya

IPOH - Seorang remaja lelaki maut, manakala rakan wanitanya cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan tercampak ke dalam longkang di KM 232.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar di sini hari ini.

Pemandu kereta Toyota Vios itu, Hor Juin Yoong, 19, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala remaja perempuan Joanne Poa Wen, 18, kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Trafik Perak Supt Wan Abdullah Ishak berkata, Hor berasal dari Ipoh manakala Joanne dari Taiping dan ketika kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, mereka dalam perjalanan dari Taiping ke Ipoh.

Kereta itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan tercampak ke dalam longkang ketika menuruni bukit, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba dan penyelamat terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta itu.

Mayat Hor dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

Kedi asing ditahan, dipercayai tawar khidmat seks

JOHOR BAHRU — Jabatan Imigresen menahan 26 pendatang tanpa izin semasa mereka melaporkan diri bagi memulakan kerja sebagai kedi wanita di sebuah kelab golf terkemuka di Kulaijaya, hari ini.
Kesemua wanita warga Indonesia yang berumur antara 21 hingga 46 tahun itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Johor, Mohd. Nakhafi Hasan dalam satu kenyataan berkata, wanita terbabit mendakwa ditipu ejen pekerja asing bagi mendapatkan permit pekerjaan.
Akibat gaji RM500 mereka akan dipotong sebanyak RM400 oleh ejen terbabit setiap bulan bagi urusan permit, mereka dipercayai menawarkan khidmat seks pada sebelah malam bagi menampung kos hidup,” katanya.
"Ops Kutip” hasil maklumat awam itu berakhir dalam masa sejam dan wanita terbabit dibawa ke ibu pejabat Imigresen Johor di Taman Setia Tropika di sini untuk siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan. — Bernama

Mayat lelaki ditemui tergantung dekat kuil di Perak

BATU GAJAH — Mayat seorang lelaki ditemui tergantung di sebuah rumah kosong berhampiran kuil di Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di sini hari ini.
Mayat S.Ramu, 59, ditemui pada pukul 8 pagi oleh mereka yang datang ke kuil itu untuk bersembahyang.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat bagi memastikan punca kematian lelaki itu.
Polis juga sedang menyiasat motif kejadian dan setakat ini kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut, katanya kepada pemberita di sini, hari ini. — Bernama

Paras air semakin naik


Beginilah keadaan banjir di Kampung Bukit Garam, Kinabatangan, Sabah, semalam.


KINABATANGAN 15 April - Seramai 126 orang daripada 19 keluarga di Kampung Bukit Garam dan Kampung Buang Sayang di sini dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir ekoran paras air Sungai Kinabatangan semakin naik.
Penolong Pegawai Daerah, Arisin Arifin berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan yang berpindah ke pusat pemindahan banjir dan rumah keluarga ialah seramai 791 orang daripada 164 keluarga, membabitkan sebanyak 135 buah rumah.
"Sehingga pukul 4 petang ini, paras air sungai semakin naik kepada 10.19 meter melebihi paras amaran di Pangkalan Bukit Garam. Paras bahaya ialah 10.3 meter," katanya.
Tambah Arisin, seramai 123 orang daripada 25 keluarga lagi di Kampung Buang Sayang terputus hubungan dan pihaknya sedang memantau keadaan mereka dari masa ke semasa.
Katanya, sejak Isnin lalu empat buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Litang , SK Desa Permai, SK Sangau dan SK Balat masih lagi di tutup.
-Utusan

Rakyat Malaysia dijatuhi hukuman gantung di Singapura

SINGAPURA 15 April - Seorang lelaki rakyat Malaysia dijatuhi hukuman gantung sampai mati, semalam selepas disabit kesalahan menyeludup dadah ke Singapura, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh AFP, hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Chan Seng Onn menjatuhi hukuman tersebut ke atas Dinesh Pillai Raja Retnam, selepas mendapati dia bersalah menyeludup 19.35 gram dadah jenis heroin ke republik ini.
Keputusan tersebut dibuat seminggu selepas mahkamah menolak rayuan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lagi rakyat Malaysia, Yong Vui Kong, 23, kerana menyeludup 47 gram heroin ke negara ini pada 2007.
"Tertuduh didapati bersalah seperti yang didakwa dan dikenakan hukuman mati," jelas Seng Onn dalam keputusannya.
Dinesh ditahan pegawai narkotik Singapura pada 2009 bersama-sama sebungkus heroin, selepas dia dijanjikan bayaran berjumlah AS$67 (RM201) untuk menyerahkan paket tersebut kepada seseorang yang tidak dikenalinya. - AFP

Hanya tinggal 15 hari hantar borang LHDN


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam mengingatkan pembayar cukai hanya tinggal 15 hari untuk menghantar borang cukai Pendapatan Selain Perniagaan Individu Bermastautin (Borang BE). 


Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim dalam kenyataannya, berkata tarikh akhir mengemukakan borang BE bagi Tahun Taksiran 2010 ialah 30 April.
Kegagalan mengemukakan borang BE adalah satu kesalahan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh dikenakan denda minimum RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.hasil.gov.my atau hubungi pusat khidmat pelanggan melalui talian 
1-300-88-3010. – BERNAMA. 

Pelajar sakit perut terkejut disahkan mengandung


KUANTAN: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah dekat Kuala Lipis di sini, yang membuat pemeriksaan di hospital selepas mengadu mengalami sakit perut terkejut apabila dia disahkan mengandung, kelmarin. 


Tindakan mangsa berusia 15 tahun yang cuba menyembunyikan rahsia menjadi mangsa rogol teman lelakinya daripada pengetahuan keluarga akhirnya terbongkar selepas pemeriksaan yang dilakukan di Hospital Kuala Lipis (HKL), jam 2 petang kelmarin.
Berikutan keadaan anaknya itu, ibu mangsa berusia 40 tahun yang terkejut dengan hasil pemeriksaan berkenaan bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan yang mengesahkan menerima laporan berkenaan, berkata mangsa sering mengadu kepada ibunya mengenai kesakitan luar biasa yang dialaminya di bahagian perut menyebabkan wanita terbabit berasa curiga dan kemudian membawa anaknya ke HKL untuk menjalani rawatan. 

"Bagaimanapun, doktor kemudian mengesahkan mangsa hamil sebelum pelajar terbabit mendedahkan dia dirogol teman lelakinya di sebuah taman perumahan di Kuala Lipis awal Februari lalu," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam. 

Abdul Razak berkata, susulan laporan terbabit, gerakan memburu suspek yang berusia lingkungan 20-an dijalankan sebaik memperoleh gambarnya yang diberikan mangsa. 

"Suspek berjaya ditahan awal pagi semalam sebelum dibawa ke IPD Lipis untuk membantu siasatan lanjut. 
"Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek sejak kira-kira lima bulan lalu dan sering keluar bersama sebelum kejadian rogol terbabit berlaku," katanya. 

Beliau berkata, suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol. 

Polis buru suami isteri licik tipu mangsa RM6.2j


Song Siew Weng (kiri) dan  Chong Heoy Choo

Song Siew Weng (kiri) dan Chong Heoy Choo

Suspek tunjuk kemewahan dakwa boleh bantu dapat projek

TELUK INTAN: Polis memburu sepasang suami isteri, Song Siew Weng, 49 dan Chong Heoy Choo, 40, bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan yang membabitkan wang berjumlah RM6.2 juta.
Perkara itu terbongkar apabila lima mangsa pasangan itu membuat laporan polis mengenai kegiatan licik mereka. Siew yang beralamat di No 58, Persiaran Pengkalan Timur 11, Taman Desa Pakatan, Ipoh, berbadan gempal, berkulit cerah dan berambut pendek manakala Heoy Choo beralamat di No, 39, Lorong Tupai Mas, Taiping, Perak, berambut kerinting paras bahu selain berbadan gempal dan berkulit cerah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata modus operandi suspek adalah mengenali sasaran sebelum memperdayakan mereka dengan menunjukkan kekayaan kepada mangsa.

“Suspek akan mengajak mangsa makan makanan mahal di rumah sambil menunjukkan kemewahan dengan menderma ribuan wang ringgit kepada tokong atau sekolah.

“Suspek menyatakan dirinya menjalankan perniagaan besar sebelum memperdaya mangsa dengan menunjukkan keuntungan besar melalui pindah milik tanah kerajaan kepada tanah swasta.

“Mangsa yang tertarik dengan gaya hidup suspek yang kaya-raya kemudian menyatakan minat terbabit dalam perniagaan itu,” katanya di sini, semalam.
Kok Liang berkata, kerugian terbesar RM5.1 juta dialami mangsa berusia 56 tahun yang diperdaya suspek kononnya boleh mendapatkan kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi projek membina parit di bawah jalan kononnya bernilai RM110 juta.

"Dalam kes itu, mangsa dibawa suspek melawat tapak projek di beberapa tempat berasingan termasuk Sungai Manik dan Seberang Perak di negeri ini serta Sekinchan, Selangor," katanya.

Beliau berkata, mangsa lain membabitkan pengadu berusia 73 tahun yang mendakwa kerugian RM767,464 dan mangsa berusia 63 tahun kerugian RM130,000 yang diperdaya suspek kononnya mereka boleh memperoleh tanah rizab kerajaan, masing-masing seluas 120 dan 16 hektar di Kilometer 8, Jalan Baroh, Hutan Melintang, bagi tujuan pertanian.

Katanya, seorang lagi berusia 67 tahun pula mendakwa kerugian RM120,000 dalam bentuk tunai dan RM30,000 selepas suspek kononnya suspek akan menawarkan tender membekalkan buah-buahan kepada pelatih anggota Tentera Laut Diraja Raja Malaysia (TLDM) di Lumut, manakala mangsa berusia 58 tahun menyerahkan wang RM100,000 kepada suspek berhubung perolehan tender membekal bahan runcit kepada Pangkalan TLDM berkenaan.

Kok Liang meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi Ketua Cawangan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Deputi Superintendan Teh Jern Wah di talian 019-5922599 atau Pegawai Penyiasat, Sitti Zubaeda M Kasim di talian 017-2777896 atau balai polis berhampiran. 

Remaja serang pelajar guna topi keledar kena dakwa


KUALA PILAH: Remaja lelaki berusia 18 tahun yang menyerang seorang pelajar Tingkatan Tiga hingga koma menggunakan topi keledar di sebuah perhentian bas di persimpangan Jalan Gemas-Londah dekat sini, awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 


Tertuduh, S Vijayakumaran, yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah sama dengan mangsa, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi dan meminta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan topi keledar terhadap Muhammad Saufi Samsul Bahrey, 15, menyebabkan tempurung kiri kepalanya retak.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah perhentian bas di persimpangan Jalan Gemas-Londah dekat sini, jam 6 petang, 4 April lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan. 

Azura kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 23 Mei depan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Shukri Hussain, manakala tertuduh diwakili V Gobhi. 
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Gemas, yang sedang menunggu bas bersama beberapa rakannya koma selepas diserang dengan topi keledar oleh seorang lelaki. 

Pembalak maut dihempap pokok

GUA MUSANG: Seorang pembalak maut apabila sebatang pokok yang ditebang menindihnya dalam kejadian di hutan Gunung Ayam, dekat Pos Blau di sini, petang kelmarin.
Dalam insiden kira-kira jam 4 petang itu, Md Noor Harun, 52, dari Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, dekat sini, yang melakukan kerja menebang bersama beberapa rakannya, mati di tempat kejadian.
Isteri mangsa, Maznah Musa, 44, berkata kejadian itu berlaku ketika suaminya hendak memotong balak yang ditebang bagi memudahkan jentolak menariknya ke kawasan lapang.
“Tiba-tiba balak itu bergolek dan menindih suami saya. Arwah sudah 22 tahun menebang balak dan pernah dua kali cedera parah akibat ditimpa dahan pokok yang ditebang tetapi beliau tidak pernah serik.

“Kejadian petang kelmarin adalah tugas terakhir suami saya. Saya tidak menyangka kemalangan itu berlaku kerana beliau sudah lama membalak,” katanya di sini, semalam.

Maznah berkata, suaminya sering memberitahu dirinya sering diburu rasa takut setiap kali membalak tetapi terpaksa melakukannya demi mencari rezeki.

“Arwah tidak mahu berhenti membalak walaupun tahu kerja itu merbahaya. Ini kerana ia mampu menghasilkan pendapatan yang tinggi serta menampung keperluan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, suaminya juga sering dilihat gelisah dan tidak lena tidur sebelum kejadian itu.

“Sebelum keluar rumah, arwah menyuruh saya mengejutkan anak yang sedang tidur untuk bersalam dengannya. Sebelum ini, beliau tidak pernah meminta berbuat demikian setiap kali masuk hutan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya awal pagi semalam. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, dekat sini. 

Koperal dakwa dianiaya rakan sekerja


Koperal Jenain Subi
Koperal Jenain Subi

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, April tahun lalu, mendakwa dianiaya rakan sekerja ketika memberi keterangan pada peringkat pendakwaan.

Jenain, 49, yang memberi keterangan dari kandang saksi di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar, semalam, mengakui hubungan rapat dengan tiga lagi anggota polis peronda tetapi tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, tiada sebab untuk mereka menganiaya atau mengenakannya.
Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Idham bahawa tiada sebab bagi Konstabel Mohd Izham Mahayadin, Konstabel Mohamad Hafizd Mohd Yusof dan Koperal Azhar Hashim bercakap bohong ketika memberi keterangan di mahkamah sebelum ini.
Jenain yang dipanggil membela diri terhadap pertuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu, berkata dia tetap mengatakan Izham berbohong ketika memberi keterangan pada perbicaraan pada peringkat pendakwaan.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sejak mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 25 tahun lalu, berkata Mohamad Hafizd dan Azhar berbohong ketika memberi keterangan mengenai keadaan kereta Proton Iswara Aeroback putih bernombor pendaftaran BET5023 dalam keadaan terhoyong-hayang serta tayar kereta itu ditembak, iaitu keterangan sama dengan Mohd Izham.

Terdahulu, Jenain menafikan satu daripada tembakan yang dilepaskannya terkena kepala remaja itu tetapi mengakui melepaskan 21 das tembakan terhadap kereta yang dipandu Aminulrasyid.

Jenain tidak bersetuju dengan cadangan Idham dalam pemeriksaan balas bahawa sebagai seorang penembak yang mahir, dia tidak perlu melepaskan banyak tembakan untuk memberhentikan kereta berkenaan.
Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Idham bahawa sebagai penembak yang mahir, dia boleh melepaskan satu atau dua das tembakan ke arah kereta itu kerana sudah pasti tembakan akan terkena sasaran.

Selain itu, Jenain bersetuju dengan cadangan Idham bahawa hebahan yang diterima ketika dia dan Mohamad Hafizd berada di depan Bank Muamalat di Plaza Masalam, ialah untuk mengejar atau menahan kereta Proton Iswara Aeroback putih berkenaan kerana pemandunya melarikan diri daripada diperiksa polis.

Tertuduh juga bersetuju, hebahan itu juga tidak mengarahkannya untuk menembak kereta berkenaan.

Dia menafikan dapat melihat dengan jelas siapa berada dalam kereta berkenaan apabila ia melalui persimpangan di Hotel Concorde kerana tingkap kereta ketika itu tertutup.

Sementara itu, cubaan Idham untuk mengemukakan laporan polis yang dibuat Jenain pada pagi hari kejadian, dibantah peguam M Athimulan berikutan laporan polis itu tidak dikemukakan ketika kes pendakwaan sebelum ini.

Berikutan itu Latifah menetapkan 23 Mei ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak mengenai laporan polis berkenaan, sama ada boleh dianggap sebagai kenyataan dan boleh diterima sebagai bukti atau sebaliknya. 

30 keluarga dipindah kes tanah jerlus


 LUBANG besar terbentuk di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru berikutan tanah mendap akibat banjir kilat selepas hujan lebat petang semalam.
LUBANG besar terbentuk di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru berikutan tanah mendap akibat banjir kilat selepas hujan lebat petang semalam.


Penempatan sementara disedia hingga siasatan IKRAM selesai
KUALA LUMPUR: Hampir 30 keluarga yang terbabit dengan kejadian tanah mendap di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru, Khamis lalu, akan dipindahkan dari kediaman mereka buat sementara sehingga siasatan kejadian itu diselesaikan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata buat sementara waktu, kesemua warga tempatan yang terbabit dengan kejadian berkenaan akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas.
“Apa yang penting sekarang, saya masih menunggu IKRAM menyelesaikan laporan mereka kerana kita mahu mengetahui adakah kawasan ini selamat untuk diduduki penduduk,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghabiskan lebih sejam melawat lokasi mendapan selain meninjau keadaan mangsa yang kini menetap sementara di Dewan Orang Ramai, Jalan Hamzah, Kamp Raja Nong berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dijangka mengambil masa dua minggu bagi membaiki kerosakan di kawasan itu.


Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan jangka panjang, beberapa alternatif lain masih dipertimbangkan termasuk pembinaan semula saliran induk Sungai Bonus yang sudah didirikan sejak 30 tahun lalu selain membina kolam takungan banjir di kawasan Air Panas.


Selain menyediakan penempatan sementara, Raja Nong berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), UMNO serta Barisan Nasional (BN) akan menghulurkan bantuan kepada mangsa terbabit.
Dalam kejadian yang berlaku Khamis lalu, jalan raya yang dibina diatas Sungai Bonus, berhadapan rumah penduduk mendap, sebaik hujan lebat yang melanda selama sejam kira-kira 8.30 malam berhenti.


Mendapan itu dipercayai berlaku berikutan ketidakupayaan Sungai Bonus menampung aliran air yang banyak dari kawasan tadahan Air Panas dan Sungai Klang menyebabkan tekanan meningkat dan seterusnya membentuk mendapan selepas hujan berhenti.


Seorang penduduk, Abdul Ghani Mohd Noor, 47, berkata, kejadian hampir serupa pernah berlaku di kawasan itu sebelum ini namun ia tidak seburuk Khamis lalu.