Search This Blog

Thursday, April 14, 2011

193 maut akibat kemalangan elektrik


MELAKA — Sebanyak 193 orang terbunuh manakala 214 orang lagi cedera akibat kemalangan elektrik di seluruh negara bagi tempoh 2005 hingga tahun lepas.
Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Rozimi Remeli berkata, daripada jumlah yang maut itu, sebanyak 45.9 peratus melibatkan kontraktor diikuti penganggur (25.2 peratus), pelajar sekolah (14.2) dan bakinya seperti suri rumah.
"Kebanyakan mangsa berusia antara 21 dan 30 tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik Peringkat Negeri Melaka oleh Pengarah Pelajaran Melaka Juliah Leman di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah di Bukit Katil di sini, hari ini.
Rozimi berkata, antara punca kemalangan elektrik itu ialah pemasangan dan senggaraan yang tidak sempurna serta tidak mematuhi prosedur kerja yang selamat. — Bernama

Pasangan AS batal saman JAIK, MAIK

ALOR SETAR 14 April — Pasangan warga Amerika Syarikat (AS) yang memfailkan writ saman terhadap Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan kerajaan negeri Kedah kerana menyerbu kondominium mereka lima tahun lalu, hari ini menarik balik tindakan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, See Mee Chun membuat keputusan membatalkan kes itu dalam kamar tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah bagi kos.
Randal K. Barnhart, 67, dan isterinya, Carole Joanne, 66, memfailkan writ saman itu pada 4 Jun 2008 terhadap JAIK, MAIK dan kerajaan negeri kerana mendakwa plaintif telah menceroboh dan menyerbu kediaman mereka, Kondominium Lagenda di Kuah, Langkawi tanpa sebab pada 14 Oktober 2006 kira-kira pukul 2 pagi.
Plaintif menamakan JAIK sebagai defendan pertama, MAIK (kedua) dan kerajaan negeri Kedah (ketiga).
Dalam saman itu, pasangan itu meminta pampasan sebanyak RM4,315 sebagai kos penerbangan mereka ke AS serta ganti rugi teladan atau kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Barnhart dan Joanne yang tidak hadir ke mahkamah hari ini diwakili peguam mereka Foong Chee Keen. — Bernama

3 siswi KIST maut, 2 parah dalam kemalangan

BESUT — Tiga pelajar wanita Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Jelawat, Bachok, Kelantan terbunuh manakala dua lagi rakan mereka cedera parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam satu kemalangan di kilometer 3, Jalan Jerteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Gerai, Bukit Kenak di sini pagi ini.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Viva, Nordiana Mohd Noor,22 yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, Zur Iras Zakaria, 19 dari Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kuala Terengganu dan Nurul Shahidah Abdul Jabar,19 dari Taman Rahmat, Tanah Merah, Kelantan.
Mereka yang cedera ialah Bazilah Abdullah, 19 dari Kampung Tiong Dalam, Kota Bahru dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19 dari Kampung Kelewek, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd. Noor berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 6 pagi apabila kereta Perodua yang dinaiki lima sekawan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kerteh itu dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapan mereka.
"Bagaimanapun, ketika cuba memotong lori berkenaan, kereta yang dinaiki oleh lima pelajar KIST ini telah bertembung dengan sebuah lori tangki minyak kosong dari arah bertentangan yang ketika itu menghala ke Kuala Terengganu.
"Pertembungan itu menyebabkan kereta tersebut terpusing balik ke arah Kuala Terengganu dan seorang daripada mangsa tercampak keluar dari kereta manakala lori tangki Petronas termasuk ke dalam parit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Daerah Besut di sini hari ini. — Bernama

Pistol Taser diguna lemahkan lelaki mengamuk

KUALA LUMPUR — Polis terpaksa menembak seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman menggunakan pistol ‘Taser’ setelah dia mengamuk hampir lapan jam di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di Seri Rampai di sini awal hari ini.
Selepas pelbagai pendekatan untuk memujuknya gagal, seorang anggota polis melepaskan tembakan menggunakan pistol itu pada pukul 2.30 pagi bagi melemahkan lelaki itu sebelum dia ditahan.
Dalam kejadian itu, seorang penduduk menerima lima jahitan di kepala selepas dilempar kaca manakala beberapa anggota penyelamat cedera terkena serpihan kaca tingkap dan pinggan yang dilemparkan lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP, Zakaria Pagan yang mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. — Bernama

Penyelia asrama dituduh bunuh pelajar


KANGAR — Seorang penyelia asrama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang murid berusia tujuh tahun pada 31 Mac lalu.

Hanif Mohd Ali, 26, dituduh membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee pada tarikh berkenaan antara pukul 6 petang dan 12 malam di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Islam Al Furqan, Jejawi dekat sini.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Hanif mengaku faham atas pertuduhan yang dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan manakala tertuduh diwakili Mohd. Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. — Bernama

Dua beradik lecur dibedah, bapa kritikal


ALOR SETAR – Dua beradik yang melecur ketika cuba menyelamatkan bapa mereka yang dipercayai membakar diri akibat kemurungan di rumahnya di Kampung Raut, Yan dekat sini pagi semalam akan menjalani pembedahan pemindahan kulit pada minggu depan.

Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, kedua-dua beradik itu, Amirul Hadi Zinol, 12 dan abangnya Badrul Amin Zinol, 14 akan menjalani pembedahan itu bagi menggantikan kulit yang telah terbakar.
Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Kebakaran HSB sementara bapa mereka, Zinol Ismail, 51, yang membakar diri, dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemerhatian yang serius.
Zinol yang melecur 100 peratus yang kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran di HSB pada mulanya dihantar ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSB petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi semalam, Amirul Hadi dan Badrul Amin melecur di bahagian tangan dan kaki selepas cuba menyelamatkan bapa mereka yang cuba membakar diri. - Bernama

Dijel kerana menipu konon boleh sewakan kereta

SINGAPURA
SEORANG lelaki semalam dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah atas satu siri kes penipuan.
Syamsul Hilal Ismail, 29 tahun, mengaku salah terlibat dalam 15 kes menipu dengan menawarkan khidmat menyewa kereta yang tidak wujud.Dia juga mengaku salah bagi tiga kes menggelapkan komputer riba bernilai $6,603 milik Maktab Rendah Temasek.Syamsul 'menawarkan' khidmat sewa kereta di Internet bagi musim Hari Raya lalu kerana mahu membayar hutang-piutangnya.Beberapa mangsa telah membayar antara $200 dengan $550 antara Ogos dan September lalu.Bagi dua kes lain pula, dia mendakwa menawarkan khidmat pinjaman dan menipu mangsanya dengan meminta mereka menyerahkan terlebih dahulu $1,000, menerusi pemindahan bank, sebagai 'duit bunga'.Setelah wang diterima, dia tidak menjawab panggilan telefon mangsa dan menghilangkan diri.
-cyberita

Hosni Mubarak akhirnya ditahan



KAHERAH 13 April - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak diletakkan dalam tahanan selama 15 hari, kata pendakwa raya hari ini, sejurus selepas media kerajaan melaporkan dua anak lelakinya juga ditahan bagi tempoh yang sama.
Mubarak, 82, dimasukkan ke hospital di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh semalam, sejurus selepas mengalami serangan sakit jantung semasa disoal siasat oleh pendakwa.
Peguam Negara, Abdel Maguid Mahmoud membenarkan penahanan mereka bertiga 'sebagai sebahagian siasatan mengenai penggunaan kekerasan ke atas penunjuk perasaan semasa kekacauan pada Januari dan Februari lalu', menurut satu kenyataan jurucakap di laman Facebook Mahmoud.
Sebelum itu televisyen kerajaan melaporkan, dua anak lelaki Mubarak telah juga ditahan.
"Keputusan diambil untuk menahan Gamal dan Alaa selama 15 hari bagi memenuhi keperluan siasatan," menurut laporan itu.
Mereka dituduh menghasut penyokong supaya melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan semasa pemberontakan rakyat yang berlaku dari 25 Januari hingga 11 Februari lalu yang berkesudahan dengan pengunduran Mubarak dan mengakibatkan hampir 800 orang terkorban.
Sumber keselamatan berkata, Gamal dan Alaa dibawa ke penjara Tora di Kaherah dari Sharm el-Sheikh di mana mereka disoal siasat, sementara Mubarak dipercayai akan ditahan di hospital.
Mahmoud pada Ahad lalu mengarahkan siasatan dilancarkan, sebagai sebahagian siasatan lebih luas mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Lapor televisyen kerajaan, Mubarak enggan makan atau minum sejak mendapat tahu pagi semalam beliau akan disoal siasat.
Beliau dimasukkan ke wad orang kenamaan di Hospital Antarabangsa Sharm el-Sheikh selepas diserang sakit jantung semasa soal siasat itu.
Namun akhbar kerajaan Al-Ahram memetik sumber di Sharm el-Sheikh sebagai berkata, Mubarak pergi ke hospital 'dengan alasan tidak sihat bagi mengelak daripada disoal siasat lagi'. - AFP, Utusan

Isteri Raisuddin mengaku 'bercinta bak kekasih'



Raisuddin Hamzah melihat Siti Fatimah Suberi berbual dengan Norazmi Mohd. Arif ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 13 April - ''Kami bercinta seperti pasangan kekasih dan sudah mengenali selama enam bulan sejak kali pertama bertemu ketika dia (Raisuddin) datang ke kedai ayah.''
Pengakuan itu dibuat isteri kedua penyanyi Raisuddin Hamzah, Siti Fatimah Suberi dalam perbicaraan kes pembubaran perkahwinan mereka yang difailkan oleh bapa wanita tersebut, empat tahun lalu.
Prosiding didengar di hadapan Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.
Siti Fatimah, 23, dan Raisuddin, 54, diwakili oleh peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif manakala bapa Siti Fatimah, Suberi Abdullah, 51, diwakili oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie.
Ketika pemeriksaan utama Norazmi, Siti Fatimah berkata, dia dan Raisuddin merahsiakan hubungan mereka daripada pengetahuan bapanya kerana telah menjangka hubungan itu tidak akan direstui Suberi atas sebab-sebab peribadi.
Siti Fatimah turut mengaku dalam tempoh perkenalan itu dia berniat serta merancang untuk berkahwin di Songkhla, Thailand.
Katanya, pernikahan berlangsung pada 2 Januari 2007 tanpa paksaan mana-mana pihak di luar pengetahuan keluarganya.
Menurutnya, dia tidak bersetuju permohonan bapanya kerana yakin bahawa pernikahan tersebut sah di sisi hukum syarak.
Katanya, dia mempunyai surat-surat pengesahan perkahwinan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla dan Pejabat Agama Islam Gombak Timur.
Wanita itu bukan sahaja menafikan cadangan untuk menjodohkan dia dan anak lelaki Raisuddin seperti didakwa Suberi sebelum ini malah mendakwa dia tidak mengenalinya.
Namun, Siti Fatimah mengaku dia mengenali anak seorang doktor tetapi tidak pernah merancang untuk berkahwin kerana menganggap lelaki itu sahabatnya.
Mahkamah menangguhkan kes tersebut pada 25 Mei ini kerana dokumen pernikahan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak tidak seragam.

Penyeludup gula pasir tumpas



MAT Zawawi Mat Yaacob memeriksa sebahagian gula pasir yang dirampas di Laut Labuan Haji, Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 13 April - Kecekapan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Semporna mengesyaki sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar gula pasir seberat 696 kilogram di Laut Labuan Haji, Semporna, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasinya, Asisten Supritendan Mat Zawawi Mat Yaacob berkata, bot itu dikesan oleh anggota PGM yang menjalankan rondaan sedang menuju keluar dari perairan Semporna, pukul 2.45 pagi.
Katanya, pasukan itu menahan bot didaftarkan menggunakan pas Bajau Laut tersebut dan hasil pemeriksaan menemui bungkusan gula pasir yang cuba diseludup keluar.
"Anggaran rampasan bagi gula pasir dan bot yang digunakan untuk penyeludupan tersebut bernilai RM6,816.40. Dua suspek lelaki berusia 24 dan 34 tahun ditahan," katanya sambil memberitahu mereka akan didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan.

Enam beranak diikat sebelum disamun lima lelaki bertopeng



KUANTAN 13 April - Enam beranak menggigil ketakutan apabila diikat lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang menyamun mereka di rumah di Felda Jengka 23 dekat Maran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang juga peneroka berusia 65 tahun sedang nyenyak tidur bersama isteri, anak serta menantunya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata, mangsa yang dikejutkan dengan bunyi bising dari arah pintu pergi membuka lampu, namun terkejut melihat lima suspek.
"Suspek kemudian mengikat mereka sekeluarga termasuk anaknya yang berusia 11 bulan dengan wayar telefon," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kehilangan dua komputer riba, barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai RM200 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5,000.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai warga asing dan memasuki rumah mangsa melalui tingkap bahagian tepi rumah yang diumpil.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Saksi didakwa berbohong





KUALA LUMPUR 13 April - Pegawai pemasaran sebuah syarikat pengorek pasir, T. Sivanesan didakwa berbohong semasa memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock apabila ia bercanggah dengan kenyataannya dalam laporan polis serta prosiding semasa inkues.
Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah turut mendakwa Sivanesan dijanjikan habuan termasuk diberi jawatan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. sebagai balasan memberi keterangan memburuk-burukkan SPRM dalam prosiding inkues dua tahun lalu.
Menurut Muhammad Shafee, Sivanesan semasa keterangannya dalam prosiding semalam mendakwa dipukul sehingga pengsan sedangkan dalam laporan polis pada 11 September 2008 dia hanya menyatakan didera sehingga hampir pengsan.
Peguam itu turut menggambarkan Sivanesan sebagai talam dua muka serta tidak boleh dipercayai selain tidak setia pada sesiapa apabila lelaki itu mengaku merupakan ahli DAP dan Barisan Nasional (BN) dalam masa sama dan hanya setia kepada mereka yang berbuat baik dengannya.
''Ketika inkues kamu ditanya oleh peguam kamu, Gobind Singh Deo sama ada tangan kamu bergari atau tidak semasa keluarkan plastik ais di bahagian hadapan seluar dalam. Kamu kata tidak. Kenapa kamu tipu suruhanjaya?
''Kamu juga beri pernyataan bohong kerana jika dibelasah sehingga koyak seluar dalam bahagian depan dan belakang seperti yang didakwa, kamu sudah tiada. Saya cadangkan kamu datang ke sini untuk berbohong,'' katanya.
Sivanesan yang dilihat kerap terdiam dan tersenyum bagaimanapun menafikan dia berbohong dengan alasan perkataan digari tertinggal kerana dia demam dan dalam kesakitan semasa membuat laporan polis dan memberi keterangan dalam prosiding inkues dengan merujuk laporan itu.
Dia juga menafikan mendapat kerja di Kumpulan Semesta sebagai balasan bagi keterangannya dalam inkues selain tidak pernah berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, pembantunya, Lee Kee Heng dan ADUN Kinrara, Theresa Kok untuk membincangkan tentang habuan yang masih belum diperoleh.
Sivanesan yang sedang disiasat polis berhubung aduan peras ugut oleh bapa kawan adiknya bagaimanapun mengaku membuat laporan polis dan laporan SPRM selepas menerima ugutan bunuh serta amaran agar dia tidak mengganggu ketuanya, Wong Swee Leong yang juga seorang ahli DAP terkenal di Perak.
Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Samarajoo Manickam hari ini turut memberi keterangan berhubung modul, latihan dan teknik soal siasat untuk pegawai-pegawai SPRM.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Exco Selangor, Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini.
Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.

Pelajar gagal dapat deposit RM46,980



PELAJAR pun jadi mangsa penipuan! Itulah yang dialami oleh 58 penuntut Universiti Multimedia (MMU) di Melaka apabila sebuah syarikat perkhidmatan gagal memulangkan deposit rumah berjumlah RM46,980 kepada mereka sejak hampir setahun lalu.
Wakil pelajar tersebut, Muvinraj Christopher Pillay, 20, berkata, kesemua pelajar sesi kemasukan Jun 2009/2010 universiti berkenaan mula mendiami sebuah apartmen di Bukit Beruang yang dijadikan asrama pelajar pada Ogos 2009.
Menurutnya, syarikat tersebut ketika itu meminta setiap pelajar membayar wang deposit RM210 yang merangkumi yuran utiliti dan kunci kediaman.
"Selepas memasuki rumah tersebut, setiap seorang daripada kami diminta membayar lagi RM600 sebagai deposit rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Muvinraj, syarikat terbabit berjanji akan memulangkan semula kesemua wang deposit berjumlah RM810 yang diterima daripada setiap pelajar terbabit apabila mereka keluar dari pangsapuri tersebut pada Jun 2010.
Namun, dakwanya, semua itu hanya janji kosong belaka apabila sehingga kini, syarikat terbabit masih gagal memulangkan wang deposit tersebut walaupun telah beberapa kali didesak.
"Apabila ditanya, mereka cuma kata akan memulangkan deposit itu kepada pelajar tetapi sehingga kini setelah hampir setahun berlalu, kami masih belum menerima satu sen pun daripada mereka.
"Malah syarikat terbabit juga cuba melepaskan tanggungjawab apabila menyalahkan kami kerana menyebabkan kerosakan harta benda di dalam rumah," katanya.
Muvinraj memberitahu, dengan bantuan pihak universiti, kesemua pelajar terbabit bersetuju memfailkan tuntutan mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Wisma Persekutuan di Ayer Keroh pada Mac lalu.
Bagaimanapun, notis tuntutan itu gagal diserahkan memandangkan syarikat terbabit telah berpindah dan notis berkenaan dikembalikan semula kepada pelajar berkenaan.
Pada pendengaran tuntutan itu semalam, Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak berkata, tribunal tersebut tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana syarikat terbabit tidak mengetahui kes tersebut dibawa ke TTPM.
Beliau kemudian menetapkan 5 Mei ini untuk mendengar semula tuntutan itu selepas para pelajar tersebut dapat membuktikan serahan notis tuntutan mereka kepada syarikat terbabit.

Pelacur, pelanggan 'beraksi' ditahan

PULAU PINANG 13 April - Seramai empat lelaki yang sedang asyik mengadakan hubungan seks bersama pelacur ditahan dalam Ops Noda oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Jalan Lebuh Light di sini.
Kehadiran polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut secara mengejut itu menyebabkan ada di antara mereka nekad cuba melarikan diri tanpa seurat benang.
Bagaimanapun kesemua mereka berjaya ditahan beberapa minit kemudian.
Seramai empat pelanggan warga tempatan berusia dalam linkungan 20-an dan 10 wanita tempatan serta Indonesia berusia 25 hingga 43 tahun dipercayai pelacur ditahan dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 4 petang itu.
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan mendapati wanita-wanita berkenaan menjalankan kegiatan tidak bermoral itu dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam dengan bayaran antara RM40 dan RM70.
"Polis turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bertindak sebagai penjaga hotel berkenaan untuk siasatan lanjut.
"Serbuan dilakukan berdasarkan intipan selama dua minggu lalu dan kegiatan pelacuran itu dipercayai bermula sejak sebulan lalu," katanya di sini hari ini.
Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 52 keping kondom, empat jeli KY dan tiga keping resit bilik hotel.
Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 372 A dan 372B Kanun Keseksaan.

Empat kali terjun



JATUH...aksi pelakon lagak ngeri profesional bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbani.

JATUH...aksi pelakon lagak ngeri profesional bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbani.


pix_topright

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lagak ngeri profesional melakukan empat kali terjunan dalam pelbagai posisi dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di sini, semalam, bagi mendapatkan gambaran tepat kemungkinan punca kematian Penolong Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara, Klang, Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56.
Pelakon itu memulakan aksinya dengan terjun dari tingkap bilik pantri di tingkat tiga iaitu tempat terakhir mangsa berada pada hari kejadian.


Persiapan bagi melakukan aksi terjunan semula itu bermula kira-kira jam 10 pagi membabitkan seorang pelakon lagak ngeri yang ukuran badan serta pakaiannya, sama seperti dipakai Allahyarham Ahmad Sarbani. Selain itu, beberapa kru penggambaran termasuk jurukamera turut ditempatkan bagi merakamkan aksi berkenaan.


Menurut sumber yang ditemui di lokasi, empat kamera digunakan termasuk satu menggunakan jentera 'Turn Table Ladder' (tangga cakera putar) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPMKL) selain beberapa monitor (skrin) bagi memudahkan pasukan penyiasat termasuk doktor dan forensik menyaksikan terjunan itu.


“Aksi lakonan semula itu bertujuan mendapatkan gambaran kejadian sebenar berdasarkan bukti serta kesan ditemui di lokasi pada hari kejadian.


“Pelakon lagak ngeri juga bersaiz tubuh sama dengan mangsa dan berpakaian sepertinya ketika kejadian berlaku. Kos menggunakan khidmat kru penggambaran serta pelakon lagak ngeri profesional itu melebihi RM15,000,” katanya.


Sumber itu berkata, pelakon berkenaan melakukan empat terjunan dengan pelbagai gaya pada paras ketinggian melebihi sembilan meter dan bagi tujuan keselamatan beg udara berukuran 20x30 meter persegi digunakan.


Difahamkan, terjunan yang dilakonkan itu bagi memudahkan polis mendapatkan gambaran sebenar pada hari kejadian sekali gus mengetahui bagaimana cara jatuhan dan kesan kecederaan yang dihadapi mangsa selepas terjatuh dari tingkat tiga.
Proses siasatan dan lakonan semula itu dihentikan kira-kira jam 2 petang berikutan hujan lebat.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang turut menyaksikan proses siasatan itu berkata, ia dijalankan dengan bantuan beberapa jabatan seperti JBPMKL, St John Ambulans serta turut disaksikan wakil SPRM dan KDRM. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai proses siasatan itu dan menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan. Allahyarham Ahmad Sarbani terbunuh selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM ketika hadir bertemu seorang pegawai penyiasat bagi mengubah percakapan yang dibuatnya dua hari sebelum hari kejadian iaitu 6 April lalu.


Laporan bedah siasat dilakukan terhadap arwah mendapati ia konsisten dengan kecederaan seperti orang jatuh dari bangunan.


Sehingga kini, 40 saksi terdiri daripada pegawai SPRM, KDRM dan ahli keluarga mangsa sudah dipanggil bagi membantu siasatan selain pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik mangsa.

Mohon gali semula kubur



IPOH: Taksub kepada ajaran sesat selain didera secara fizikal oleh suaminya, dipercayai menjadi punca kematian mengejut seorang suri rumah yang pada awalnya dikaitkan dengan penyakit paru-paru berair.
Sumber polis berkata, mangsa berusia 37 tahun sebelum ini didakwa suaminya mati secara mendadak di rumahnya yang terletak di Pengkalan, Mac lalu.


Bagaimanapun, punca kematian mangsa mula diragui ahli keluarga wanita terbabit yang mengesyaki wujud unsur jenayah berikutan terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.


“Berdasarkan maklumat awal, keluarga mangsa mendakwa suami wanita terbabit tidak membenarkan mangsa pulang bertemu ahli keluarga lain.


“Malah, mangsa yang mengidap pelbagai penyakit sebelum ini sengaja tidak dibawa berjumpa dengan doktor,” katanya.


sebaliknya dibawa bertemu dengan bomoh bagi menjalani kaedah perubatan tradisional,” katanya.


Menurutnya, suami mangsa didakwa lebih percaya terhadap amalan ajaran sesat yang turut dikaitkan dengan punca kematian isterinya itu. “Selain itu, keluarga mangsa turut mengaitkan punca kematian itu dengan faktor kecuaian berikutan mangsa tidak segera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.


“Susulan kematian mengejut itu, pemeriksaan awal mengesahkan mangsa mati akibat penyakit paru-paru berair sebelum jenazah dikebumikan,” katanya.
Namun, ahli keluarga mangsa yakin wanita terbabit mati akibat faktor lain apatah lagi selepas suami mangsa dikatakan cuba menyerang salah seorang adik mangsa sejurus berlaku perselisihan faham.


“Dalam kejadian itu, suami wanita terbabit turut mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan bunuh terhadap adik iparnya itu hingga menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap punca kematian wanita berkenaan,” katanya.


Susulan pelbagai persoalan itu, keluarga mangsa bertindak membuat dua laporan polis di Balai Polis Simpang Pulai dan Balai Polis Ipoh pada 30 Mac lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan semula terhadap punca kematian mangsa.


Difahamkan, keluarga mangsa berharap kubur mangsa digali semula dan ujian bedah siasat terperinci dilakukan.

Dua ajar pelajar 14 tahun aksi porno dicekup


HULU SELANGOR: Dua lelaki yang ‘mengajar’ seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun melakukan hubungan seks di rumah sewa mereka di Bukit Beruntung, di sini ditahan beberapa jam selepas ibu gadis itu membuat laporan polis, Isnin lalu.
Laporan polis itu dibuat selepas gadis berkenaan menceritakan perbuatan dua lelaki terbabit termasuk seorang teman lelakinya ketika berada di rumah sewa lelaki itu. Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggu bas untuk ke sekolah kira-kira jam 6.30 pagi dihampiri teman lelakinya yang menunggang sebuah motosikal.

“Mangsa dipujuk teman lelakinya itu yang berusia 20-an membonceng motosikal kononnya untuk menghantar mangsa ke sekolah.

“Namun, mangsa tidak dihantar ke sekolah sebaliknya dibawa ke rumah sewanya di Bukit Beruntung,” katanya.

Menurut sumber, setibanya di rumah suspek, mangsa kemudian disuruh masuk ke dalam sebuah bilik kononnya tidak mahu rakannya yang lain ‘mengusik’ mangsa.

“Suspek menyuruh mangsa berbaring dan membuka pakaian sekolah. Suspek dikatakan mengajar mangsa melakukan hubungan seks.

“Selepas itu, suspek keluar bilik dan menyuruh seorang rakannya masuk ke dalam bilik itu terbabit dan melakukan perkara sama kepada mangsa,” katanya.

Dendam ‘ponteng’ gotong-royong


SAKIT...Muhammad Affiq yang cedera menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
SAKIT...Muhammad Affiq yang cedera menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

KAJANG: “Saya terus dipukul sebaik dibawa ke satu blok bersebelahan asrama pada awal pagi kononnya untuk berbincang hal peribadi,” kata Muhammad Affiq Ahmad Nordin, 17, yang menerima tiga jahitan di tepi mata kiri selain mengalami sakit dada selepas dibelasah sekumpulan pelajar sebuah sekolah berasrama, di sini, kelmarin.
Beliau yang tidak tahu punca dirinya dibelasah mengagak kejadian itu berpunca apabila kumpulan pelajar terbabit dipanggil guru kerana ‘ponteng’ gotong-royong di sekolah berkenaan beberapa hari sebelum kejadian itu.


Katanya, akibat kejadian itu, dia pengsan sebelum kumpulan pelajar terbabit membawanya ke katil dan membersihkan darah pada lukanya.


“Sebaik sedar kira-kira jam 6.30 pagi saya mendapati kesan luka pada muka sudah dibersihkan. Mungkin ketika saya tidur, mereka membersihkannya. Saya juga diugut supaya menyatakan terjatuh tangga jika ada rakan atau guru bertanyakan luka pada muka saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Cheras Jaya, di sini, semalam.


Bapanya, Ahmad Nordin Muhyi, 49, berkata dia kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya itu kerana kejadian pergaduhan di asrama sekolah anaknya itu sudah banyak kali berlaku.


“Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang rakan yang juga guru sebaik melihat kesan luka pada muka anak,” katanya.


Beliau berharap pihak pengurusan sekolah menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata mangsa dikejutkan kumpulan pelajar terbabit kira-kira jam 2 pagi sebelum diajak ke blok bersebelahan asrama bagi berbincang mengenai masalah peribadi.
“Sebaik tiba di blok berkenaan, mangsa dipukul dan dibelasah tanpa henti sehingga dia tidak sedarkan diri.


“Bagaimanapun, mangsa dipercayai dihantar semula ke bilik asramanya oleh kumpulan pelajar terbabit kerana mangsa memberitahu ketika sedar pada kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa berada di atas katil dalam bilik asramanya,” katanya.


Katanya, berikutan itu, mangsa cedera serius dan sakit di dada serta menerima tiga jahitan di mata kiri.


Beliau berkata, setakat ini, empat remaja ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Digilis lori kontena


RAWANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya digilis sebuah lori kontena di Kilometer 439.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Kuala Lumpur, dekat sini semalam.
Mangsa, Zulhisham Abdul Latip, 43, adik jurukamera Astro Awani, Shamsul Kamal Abd Latip yang pernah menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum ditawan tentera Israel dalam kapal Marvi Marvara.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal bersendirian tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian sebelum terjatuh dan digilis lori kontena 23 tan muatan batu kapur yang mengekorinya.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian apabila parah di kepala.

Saksi, Ghazali Maulud, 34, berkata sebaik mangsa terjatuh, pemandu lori kontena yang mengekori mangsa cuba mengelak dengan memasuki laluan tengah lebuh raya, tetapi gagal .

“Akibatnya mangsa yang terbaring di tengah lebuh raya digilis di kepala sebelum turut melanggar motosikal mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, sebuah skuter 

Suami maut, isteri cedera

GUA MUSANG: Kegembiraan sepasang suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti enam hari, di kampung untuk bertemu saudara-mara berakhir dengan tragedi memilukan apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi di Kilometer 19 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Mentera, peniaga, Sharpan Che Soh, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala isterinya, kerani bank, Yusdiawati Yusof, 30, terselamat walaupun cedera di badan serta dahi dan kini dirawat di Hospital Gua Musang (HGM).


Difahamkan, pasangan suami isteri yang belum mempunyai anak itu, dalam perjalanan dari Kampung Binjai Dua, Kedai Mulong, Kota Bharu, sebelum terbabit kemalangan apabila kereta Toyota Caldina dipandu Sharpan terbabas sehingga merempuh tiang akibat hilang kawalan di selekoh tajam.


Adik Sharpan, Shariful Che Soh, 31, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sri Wang (SKSW) Gua Musang, berkata kali terakhir dia bertemu abangnya itu ketika mereka berkumpul di kampung Jumaat lalu sebelum pulang ke Gua Musang pada petang Sabtu.


Katanya, pada pertemuan terakhir itu, arwah, anak kedua daripada 11 beradik bersama isterinya masih berada di kampung dan tidak menyatakan bila hendak pulang ke Kuala Lumpur.


“Ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi ini (semalam), saya terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada seorang anggota polis memaklumkan kemalangan maut membabitkan abang saya.


“Saya bergegas ke HGM dan sayu melihat mayat arwah. Tidak sangka pertemuan saya dengannya di kampung Jumaat lalu, adalah yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HGM.


Menurut Shariful, dia bersyukur isteri abangnya terselamat walaupun cedera parah.
“Arwah adalah abang yang ceria dan sentiasa mengambil berat mengenai keadaan kesihatan adik-beradik lain.


“Walaupun tinggal berjauhan kerana menguruskan perniagaan di Kuala Lumpur, dia sentiasa mengingati keluarga di kampung,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan itu.

Dua terbakar selamat bapa


YAN: Tindakan berani dua beradik menyelamatkan bapa mereka yang nekad membakar diri di rumah keluarga mereka di Kampung Ruat semalam, membawa padah apabila kedua-duanya parah akibat melecur disambar api.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Badrul Amin Zinol, 14, bersama adiknya, Amirul Hadi, 12, masing-masing melecur antara 30 hingga 40 peratus di bahagian tangan, kaki dan punggung, manakala bapa mereka, Zinol Ismail, 51, parah apabila melecur 100 peratus.

Difahamkan, Zinol dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak Mac lalu mencurah petrol diambil dari motosikalnya sebelum membakar dirinya dalam bilik di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik mereka itu.

Adik ipar Zinol, Mohd Rozali Saad, 40, berkata, ketika kejadian dia hendak ke kedai sebelum terdengar bunyi bising dan asap keluar dari rumah mangsa yang terletak bersebelahan rumah.

“Saya terkejut apabila melihat Badrul Amin dan Amirul Hadi berlari keluar dari rumah mereka sambil meraung kesakitan dengan kesan terbakar pada badan.

“Apabila masuk ke dalam bilik di rumah itu, saya dapati Zinol yang hampir seluruh tubuhnya terbakar terbaring dalam keadaan mengiring di tepi katil, manakala sebahagian bilik itu terbakar.

“Saya segera mengambil air di telaga berhampiran untuk memadam api bagi mengelak kejadian lebih buruk,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian Zinol yang juga petani, berseorangan di dalam bilik, manakala dua anaknya tidur di ruang tamu rumah.
Bagaimanapun, Badrul Amin yang bersekolah petang menyedari kejadian itu meluru ke dalam bilik cuba menyelamatkan bapanya sebelum berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan pintu bilik berkenaan terkunci.

Keadaan itu menyebabkan Amirul Hadi yang berada di luar bertindak menendang pintu bilik berkenaan. Bagaimanapun, tindakan kedua beradik terbabit menyelamatkan Zinol akhirnya disambar api.

Ketika kejadian, anak bongsu mangsa, Nurul Amani Syuhadah, tiga tahun, turut berada di rumah berkenaan tetapi sempat menyelamatkan diri dengan berlari ke rumah nenek mereka.

Dalam pada itu, ibu dua beradik terbabit, Salma Saad, 47, berkata, ketika kejadian dia keluar menghantar anak kelimanya, Nurul Ain Farhanah, 9, ke sekolah terletak berhampiran rumah mereka.

“Kebiasaannya suami yang akan menghantar anak ke sekolah, tetapi pagi tadi (semalam) dia meminta saya menghantar anak kerana hendak tidur.

“Namun, selepas saya pulang ke rumah kira-kira 10 minit kemudian, saya terkejut mendapati dia dalam keadaan berdiri dengan seluruh tubuh berasap akibat kesan terbakar sebelum rebah di dalam bilik itu,” katanya.

Katanya, ketika itu Badrul Amin dan Amirul Hadi lari ke rumah nenek mereka yang terletak bersebelahan.

Salma, seorang suri rumah berkata, suaminya mengalami masalah mental sejak mereka berkahwin 20 tahun lalu, tetapi penyakit berkenaan serius sejak awal Mac lalu.

Malah, katanya, suaminya pernah cuba menggantung diri pada minggu lalu dan pernah membakar motosikal miliknya di rumah mereka.

“Sepanjang berkahwin, kami tidak ada masalah. Malah, Zinol juga adalah bapa yang penyayang dan tidak pernah memukul anak-anak,” katanya.

Katanya, sepanjang perjalanan ke hospital, suaminya itu juga meminta maaf dan tidak berniat untuk mencederakan Badrul Amin dan Amirul Hadi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintendan Syed Mohd Nasir Syed Darus ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Mangsa memang mengalami masalah mental dan pernah dua kali menerima rawatan di hospital akibat masalah itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Lima hari tak pulang


PUTRAJAYA: “Kami terlalu risaukan keselamatan dirinya, sudah lima hari dia menghilangkan diri dan sehingga kini belum ada khabar berita apatah lagi dia keluar sehelai sepinggang. Kami bimbang penyakit kulit dan asma dihidapinya berulang,” kata Jamsari Yaakob, 42, abang ipar kepada Norizah Atikah Nordin, 12 yang hilang sejak Jumaat lalu.
Norizah Atikah, pelajar tahun enam di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1) di sini keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang untuk menghadiri sesi pemilihan badminton di sekolah, manakala dia dan keluarga pulang ke kampung di Tanjung Karang, Selangor.

Katanya, dia meminta adiknya menumpang rumah kawan yang juga jiran sebelah rumah sepanjang mereka sekeluarga di kampung.

Namun, katanya kira-kira jam 9.30 malam dia dimaklumkan jiran itu bahawa Atikah tidak pergi ke rumahnya.

Berikutan itu, dia terus menghubungi telefon bimbit Atikah, namun panggilan diputuskan dan SMS dihantar tidak dijawab walaupun telefonnya aktif.

“Saya menelefon beberapa rakannya dan dimaklumkan Atikah pulang sebaik tamat sesi pemilihan bersama mereka, tetapi dalam perjalanan dia berjumpa rakan yang juga jiran kami dikenali Nur Atiqah Tajuddin, 15, ebelum mengikut remaja itu.

“Bagaimanapun, rakannya tidak tahu ke mana mereka pergi kerana semua pulang ke rumah,” katanya ketika hadir ke Harian Metro di sini.

Jamsari berkata, pada hari kejadian, Atikah yang berkulit cerah dengan ketinggian kira-kira empat kaki memakai kemeja-T lengan panjang, seluar sukan dan tudung hitam, serta memakai beg sandang hitam.

Hilang kaki kerana menolong



DIRAWAT...Zainal tidak cedera serius.
DIRAWAT...Zainal tidak cedera serius.



MALANG...Rosamiah masih koma.
MALANG...Rosamiah masih koma.


AMPANG: Keprihatinan seorang lelaki menyelamatkan sepasang suami isteri yang tersepit selepas kemalangan bertukar tragedi apabila dia kehilangan kaki kanan dari paras paha akibat dilanggar sebuah kereta lain, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ong Kim Koon, 52, dilanggar dari belakang ketika berusaha mengeluarkan Zainal Mohammad, 45, dari Perodua Viva yang dipandunya.


Sebelum itu, Ong berjaya mengeluarkan isteri Zainal, Rosamiah Hashim, 38, selepas kereta dinaiki pasangan terbabit berlanggar dengan sebuah Toyota Vios di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Tesco Ampang, di sini.


Bagaimanapun, ketika Ong mengeluarkan Zainal, dia dirempuh sebuah Toyota Estima dari arah belakang menyebabkannya tersepit pada Perodua Viva berkenaan.


Pemandu Toyota Estima yang melanggarnya pula melarikan diri dari tempat kejadian. Mujur, Ong dibantu beberapa individu lain yang lalu di kawasan itu dan membawanya ke hospital.


Ong yang ditemui di Hospital Ampang (HA) di sini, semalam, berkata sebelum kejadian itu dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pandan Mewah selepas habis bekerja dan melihat dua kenderaan terbabit kemalangan.


“Saya memberhentikan kereta dan turun untuk meninjau keadaan kenderaan itu. Selepas melihat sepasang suami isteri dalam Perodua Viva tersepit dan meronta-ronta sambil menjerit meminta pertolongan menyebabkan saya membantu.


“Selepas berusaha kira-kira 10 minit, saya berjaya mengeluarkan mangsa wanita sebelum meletakkannya di bahu jalan dan memintanya menghubungi polis berikutan dia sedar,” katanya.
Ong berkata, dia kemudian berusaha pula mengeluarkan mangsa lelaki, namun tiba-tiba sebuah kenderaan merempuhnya dari arah belakang.


“Saya tak sedarkan diri selepas itu dan hanya tersedar selepas berada di HA. Saya terpaksa menerima hakikat pahit apabila doktor memaklumkan kaki kanan saya terpaksa dipotong akibat parah manakala kaki kiri saya pula patah,” katanya.


Difahamkan, sehingga lewat petang semalam Rosamiah masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HA, manakala suaminya, Zainal dirawat di hospital sama.


Zainal berkata, dia berterima kasih kepada Ong dan jika tidak kerana tindakan lelaki terbabit membantunya, yakin dirinya dan isteri mungkin maut.


“Saya akan menyaman pemandu kenderaan itu RM2 juta, namun wang itu bukan untuk kegunaannya sebaliknya akan diserahkan kepada rumah anak yatim,” katanya.


Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Deputi Superintendan Wan Zaharuddin Wan Omar ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah mengenal pasti pemilik Toyota Estima yang melarikan diri itu.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Tiga rumah tertimbus


RANAU: “Ketika kejadian saya bersiap untuk ke kebun sebelum berasa rumah bergoyang. Saya segera keluar dan melihat tanah di belakang rumah mula terhakis.
“Saya terus beritahu ahli keluarga lain supaya keluar dan menyelamatkan beberapa dokumen penting. Beberapa minit kemudian rumah kami roboh,” kata Mumin Rosidi, 60, yang terselamat selepas rumahnya musnah akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Kundasang Lama dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan tiga rumah musnah keseluruhannya, sementara 13 lagi rosak akibat runtuhan tanah yang berlaku di tiga kampung di daerah ini.

Dalam kejadian di Kampung Kundasang Lama, sebuah rumah musnah keseluruhannya serta 10 lagi rosak, manakala di Kampung Mohimboyon pula dua rumah musnah manakala dua lagi rosak. Di Kampung Dumpiring pula sebuah rumah mengalami kerosakan.

Mumin berkata, sebelum kejadian dia bersama 20 ahli keluarganya termasuk enam cucunya baru lepas menikmati sarapan.

“Selepas semua ahli keluarga berjaya keluar rumah, beberapa minit kemudian rumah kami musnah akibat runtuhan lereng bukit.

Samseng China salah culik


KUALA LUMPUR: Salah mangsa. Itulah yang terjadi kepada seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang diculik oleh satu kumpulan ketika berurus niaga di Guangzhou, China, 5 Mac lepas.
Lelaki berumur 34 tahun itu dibebaskan lima hari lepas apabila kumpulan itu menyedari dia bukanlah orang yang mereka cari.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa lelaki itu pergi ke China pada 5 Mac untuk urusan perniagaan dan selepas itu gagal dihubungi.

"Pada 25 Mac, ahli keluarganya menerima panggilan telefon dari kumpulan tersebut yang meminta wang sebanyak RM100,000 untuk membebaskannya kerana mangsa dikatakan telah menipu kumpulan itu," katanya.

Ahli keluarga lelaki itu kemudian datang ke pejabat Chong di sini untuk membuat aduan dan selepas aduan itu disiarkan akhbar, kumpulan itu menyedari lelaki itu bukanlah orang yang mereka cari lalu membebaskannya. - Bernama, metro

Dibelasah berebut kekasih

AMPANG: Seorang pelajar perempuan bukan saja ditumbuk dan diterajang, malah turut dipukul menggunakan sebatang kayu oleh tiga pelajar perempuan akibat berebut teman lelaki, kelmarin.
Difahamkan, walaupun pelajar perempuan tingkatan tiga itu lembik akibat ditumbuk dan diterajang di perutnya, kumpulan pelajar terbabit yang berlagak samseng terus memukul mangsa dengan kayu sehingga cedera.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan keluar sekolahnya di daerah ini kira-kira jam 2 petang apabila tiga pelajar perempuan terbabit yang bersekolah di sekolah sama bertindak menunggunya di luar pagar sekolah.

“Sejurus melihat mangsa keluar, tiga pelajar itu mengajak mangsa mengikut mereka ke satu kawasan lain.

“Mangsa dipercayai tidak mengetahui perkara sebenar hanya mengekori kumpulan terbabit sebelum mereka berhenti di hadapan sekolah rendah berhampiran,” katanya.

Menurutnya, seorang memarahi mangsa kerana kononnya mangsa merampas teman lelakinya yang juga pelajar sekolah sama.

“Bengang dengan tuduhan itu, mangsa dan pelajar terbabit dipercayai bertengkar. Ahli kumpulan lain turut masuk campur menyebabkan keadaan bertambah tegang.

“Kumpulan itu dikatakan ‘naik angin’ apabila mangsa tidak mengendahkan amaran mereka supaya memutuskan hubungan dengan teman lelakinya itu,” katanya.

Ibu lemas diri, 3 anak


NEWBURGH (Amerika Syarikat): Seorang wanita yang baru saja bergaduh dengan suaminya, telah memandu van bersama tiga anaknya ke dalam Sungai Hudson malam semalam menyebabkan semua mereka maut.
Sebelum itu seorang lagi anaknya yang turut berada dalam van itu telah diarahkan keluar.

Menurut ketua pasukan bomba, Michael Vatter, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang diarahkan keluar dari van mini itu berlari ke stesen bomba berhampiran dan melaporkan kejadian.

Kanak-kanak itu memberitahu ibunya memandu van mini di pelantar nelayan dekat Newburgh kira-kira 100 kilometer di utara bandar raya New York ke dalam sungai berkenaan. Tiga adiknya iaitu dua adik lelaki berusia 5 dan 2 tahun serta adik perempuan, 11 bulan, berada dalam van mini itu bersama ibunya.

Anggota bomba, polis dan petugas penyelamat menjalankan operasi mencari selama satu jam sebelum menemui van mini itu tiga meter di dalam air. - AP

Terperangkap dalam kontena dengan mayat rakan


SINGAPURA: Seorang lelaki Bangladesh yang terperangkap selama sembilan hari dalam kontena kapal semakin pulih di hospital di republik ini selepas ditemui bersama mayat rakannya, lapor media, semalam.
Pekerja pelabuhan Chittagong, Din Islam, 30, ditemui Ahad lalu di dalam kontena di terminal Pasir Panjang, bersebelahan mayat seorang lelaki.

“Siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua lelaki dipercayai pekerja pelabuhan dari Bangladesh yang terperangkap dalam kontena tanpa sengaja ketika sedang berehat,” kata jurucakap polis Singapura.

Dua sahabat itu memasuki kontena untuk melelapkan mata seketika selepas makan malam dan merokok ketika shif kerja malam pada 1 April lalu. Akhbar tabloid popular Singapura, The New Paper melaporkan Din dan mayat rakannya mula mereput ditemui selepas pemandu treler mendengar mangsa mengetuk dinding kontena. - AFP

Tiga penuntut kolej swasta maut nahas di Jertih


KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar sebuah kolej swasta terbunuh manakala dua lagi rakan mereka cedera kereta yang dinaiki bertembung dengan lori tangki minyak di Jertih, dekat sini, kira-kira jam 6 pagi tadi.


Identiti pelajar yang maut dikenali sebagai Noor Diana Mohd Noor, 22, yang memandu kereta Perodua Viva, Zur Iras Zakaria, dan Nurul Shairah Abd Jabar, masing-masing berusia 19 tahun.
Rakan mereka yang parah dan sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu ialah Bazilah Abdullah, Nur Adilah Mohd Ghazali, masing-masing berusia 19 tahun.
Pemandu lori tangki minyak Petronas dilaporkan tidak cedera dikenali sebagai Khairi Ayub, 43.
bharian

Peragut kantoi




 LOKASI kejadian ragut membabitkan mangsa seorang pesara guru wanita.
LOKASI kejadian ragut membabitkan mangsa seorang pesara guru wanita.
Suspek dikenali orang awam, kena berkas ketika berada di rumah
MUAR: Tindakan dua pemuda termasuk seorang anak polis, meragut beg tangan berisi wang tunai yang mahu digunakan seorang pesara guru bagi membeli kelengkapan mengerjakan umrah, menerima padah apabila mereka dicam orang ramai, membolehkan kedua-duanya ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu.
Kejadian ragut itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin dekat Jalan Pesta 1/1 di pinggir bandar ini, ketika mangsa Azizah Mohd Don, 59, keluar dari kereta Honda City yang dipandunya untuk ke sebuah kedai serbaneka berhadapan tempat letak kenderaan itu, apabila dua pemuda bermotosikal meragut beg tangannya.

Perbuatan jenayah itu disaksikan beberapa orang awam dan jeritan Azizah sejurus beg tangannya dilarikan turut menarik perhatian seorang posmen yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba mengejar peragut berkenaan tetapi gagal.

Azizah yang akan menunaikan umrah bersama suaminya mulai Sabtu ini, bernasib baik apabila seorang lelaki yang berada di tempat kejadian mengecam seorang daripada peragut terbabit yang tinggal berhampiran rumahnya sebelum menyalurkan maklumat itu kepada polis.

Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Datuk Kosai, yang terletak berhampiran tempat kejadian sebelum berhasil menahan dua pemuda berusia 20 dan 21 tahun.

Hasil pemeriksaan terhadap dua pemuda terbabit, polis menemui wang tunai berjumlah kira-kira RM200 serta telefon bimbit milik mangsa yang dilarikan mereka serta merampas sebuah motosikal curi yang digunakan untuk kegiatan itu.
Siasatan lanjut terhadap pemuda terbabit membawa polis kepada lokasi beg tangan dan dokumen perjalanan milik mangsa yang dibuang di tepi jalan di Laluan Pintas Muar berhampiran rumah suspek itu.

Jurucakap polis yang mengesahkan tangkapan dua suspek terbabit, berkata kedua-dua pemuda berkenaan tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Dua pemuda itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam, sebelum Majistret Nor`iza Mohamed membenarkan polis menahan reman kedua-duanya selama tujuh hari sehingga 19 April ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kegiatan ragut yang didalangi mereka selama ini.

Sementara itu ketika ditemui, Azizah berkata, kejadian ragut yang menimpanya itu berlaku dengan pantas sejurus beliau keluar daripada keretanya dan berjalan menuju ke arah sebuah kedai yang terletak berhadapan dengan kenderaannya.

“Ketika berjalan, saya terdengar dua kali bunyi enjin motosikal dengan kuat daripada arah belakang sebelum ia melintasi saya dan pemboncengnya meragut beg tangan saya.

“Saya bernasib baik kerana tidak terjatuh sebab beg tangan itu dipegang agak longgar menyebabkan saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Nasib baik anak perempuan saya yang berusia 13 tahun berada dalam kereta kerana jika dia mengikut saya, sudah tentu kami akan terjatuh ketika beg tangan direntap," katanya.

Beliau berkata, beg tangan terbabit mengandungi sejumlah wang tunai yang mahu digunakannya untuk membeli beberapa kelengkapan sebelum berangkat menunaikan umrah, selain dokumen pengenalan diri dan kad bank.
-kosmo

Melancong, melacur


SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang ditahan di sebuah hotel di Sri Petaling.

SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang ditahan di sebuah hotel di Sri Petaling.

Enam wanita warga asing, seorang penjaga kena cekup
KUALA LUMPUR: Kegiatan enam wanita warga China berusia antara 20 hingga 30 tahun yang kononnya memasuki negara ini sebagai pelancong, terbongkar apabila mereka ditahan kerana terbabit kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Seri Petaling di sini, malam kelmarin.
Mereka yang menggunakan khidmat sindiket untuk mendapatkan pelanggan itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam.
Polis turut menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai penjaga pelacur wanita warga China berkenaan.

Ketua Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata polis menjumpai lebih 100 kondom dan minyak urut, cecair pelincir serta puluhan tuala dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Beliau berkata, semua pelacur terbabit mempunyai dokumen perjalanan sah dan rekod menunjukkan ada di kalangan mereka kerap keluar masuk ke negara ini sebagai pelancong sejak setahun lalu.

“Sindiket itu menerima tempahan pelacur daripada pelanggan melalui panggilan telefon dan menggunakan beberapa bilik di tingkat tiga hotel ini sebagai tempat pelanggan melepaskan nafsu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket pelacuran yang baru tiga bulan beroperasi di hotel berkenaan itu menyediakan tiga bilik yang ditempah untuk kegunaan pelanggan mereka.

Sementara itu di Petaling Jaya, sepasukan polis dari D7 IPK Selangor di ketuai Ketua Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abd Karim menyerbu sebuah premis rumah kedai di Jalan PJS 8/4, Sunway Mentari kerana menjalankan operasi perjudian haram online.

Dalam operasi pada jam 11.30 malam itu, enam lelaki termasuk seorang penjaga premis dan lima pelanggan berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan, manakala 20 buah komputer serta wang tunai RM964 dirampas.

“Kita percaya pusat perjudian ini baru beroperasi selama dua minggu dan membenarkan pelanggan tetap dan dikenali saja masuk.

“Mereka menggunakan kamera litar tertutup untuk mengecam pelanggan dan kebanyakannya bermain judi ‘roulette’ online,” katanya.

Katanya, walaupun premis itu sudah beberapa kali diserbu sejak tahun lalu, pemilik premis terus berdegil menjalankan kegiatan haram terbabit memandangkan ia mendapat permintaan ramai.
-bharian

Kastam rugi duti import RM3.41b bilion


Ada pihak isytihar nilai barang lebih rendah 


PETALING JAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM), menjelaskan anggaran kebocoran atau kerugian hasil duti import yang sepatutnya dikutip agensi itu sepanjang tahun lalu sebanyak RM3.41 bilion.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, pada 2010 KDRM mencatat kutipan duti import RM7.68 bilion atau 30 peratus daripada RM11.09 bilion anggaran yang sepatutnya dikutip.
Katanya, jumlah itu normal dan mengikut standard Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi agensi pemungut hasil di negara membangun. 

Beliau berkata, kebocoran itu dipercayai akibat penyelewengan pihak tidak bertanggungjawab mengikrarkan barang dagangan import dengan nilai rendah berbanding sepatutnya. 

Katanya, menurut kajian IMF, tiada agensi pemungut hasil di seluruh dunia mengutip 100 peratus disebabkan pelbagai faktor termasuk pihak tidak bertanggungjawab meraih untung melalui penipuan ketika mengikrar nilai barangan serta cubaan lari membayar cukai. 

Sehubungan itu, katanya, nilai kebocoran duti import disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Operasi 3B adalah RM3.41 bilion, bukan RM108 bilion seperti dilaporkan akhbar tertentu, siasatan itu turut membabitkan beberapa pihak lain. 
Mohamed Khalid berkata, KDRM satu daripada enam agensi dalam pasukan penyiasat dipengerusikan Peguam Negara menerusi Operasi 3B yang dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara dan SPRM. 

“Malah, KDRM menghantar 20 pegawai pakar pelbagai bidang menyertai pasukan penyiasat itu bagi me-mastikan pihak menyeleweng, dikenakan tindakan tegas. 

“Laporan kononnya wang berselerak dalam rumah seorang pegawai kastam juga tidak berasas dan menjejaskan imej kami, memang wang ditemui di rumah itu, tetapi tidak berselerak,” katanya selepas merasmikan persidangan Kastam Kebangsaan anjuran Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) di sini, semalam.
-bharian

6 sekeluarga kena ikat, dirompak


KUANTAN: Enam sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 11 bulan menempuh detik cemas apabila diikat menggunakan wayar telefon oleh lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang menyamun rumah mereka di Bandar Jengka 23, Maran, awal pagi semalam. 



Mangsa ialah pasangan peneroka berusia lingkungan 60-an bersama empat anak, menantu serta seorang cucunya berada dalam rumah berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, semua mangsa sedang tidur di bilik masing-masing sebelum dikejutkan dengan kehadiran penyamun terbabit yang turut bertindak mengikat mereka sekeluarga.
Peneroka terbabit bangun untuk memeriksa namun terkejut apabila mendapati lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang sudah berada di dalam rumahnya. 


Berikutan itu, keluarga berkenaan kerugian kira-kira RM5,000 apabila penyamun melarikan dua buah komputer riba, barang kemas, telefon bimbit serta wang tunai sebanyak RM200. 


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nordin Mustapha berkata, mangsa bagaimanapun gagal mengecam muka suspek tetapi memaklumkan mereka dipercayai warga asing berdasarkan dialek digunakan mereka ketika bercakap dengan mangsa. 


Nordin berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit masuk ke rumah mangsa melalui tingkap bahagian tepi rumah berkenaan berikutan penemuan kesan kumpilan. 
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
-bharian

Mahkamah bebas wanita bakar suami tanpa niat


ADELAIDE: Seorang wanita Australia yang berhasrat membakar bahagian sulit suaminya tetapi tidak sengaja menyebabkan lelaki itu menemui ajal, dibebaskan daripada tuduhan membunuh selepas hakim memutuskan perbuatannya akibat daripada penderaan yang dialami sejak berdekad. 


Rajini Narayan, 46, membakar suaminya, Satish Narayan, pada 8 Disember 2008 selepas mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit.
Hakim Mahkamah Tinggi Australia Selatan, John Sulan, berkata wanita itu menghadapi kepayahan hidup selama beberapa tahun berikutan penderaan mental dan fizikal oleh suaminya.
Sulan memerintahkan Rajini dihukum enam tahun penjara dan kemudian menggantung hukumannya. Beliau berkata, wanita itu sudah cukup menderita. 

Pihak pendakwa mengheret wanita itu ke mahkamah dan mendakwanya atas tuduhan membunuh. Oktober lalu, juri mensabitkan beliau dengan tuduhan membunuh walaupun beliau menafikan yang beliau berniat membunuh suaminya. 

Ketika perbicaraan, Rajini berkata, beliau bercadang menggunakan minyak tanah dan lilin untuk membakar kemaluan suaminya bagi tujuan penyucian selepas mengetahui beliau mempunyai hubungan sulit. 

Lelaki itu bersumpah tidak melakukan perkara dan berpaling ke arahnya. Rajini mengaku membaling minyak tanah dan lilin itu ke arah suaminya dan beliau kemudian menemui ajal. 
“Untuk kali pertama dalam hidup, kamu berjaya berhadapan dengan suami dan mempunyai semangat untuk bertindak tegas terhadap orang yang mendera kamu selama 20 tahun,” kata Sulan semalam. – AP