Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

Maut ketika balik dari tuisyen



KUALA TERENGGANU - Dua lelaki maut termasuk seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah motosikal yang dinaikimereka bertembung sesama sendiri dalam satu kemalangan di kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot, malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.40 malam itu, kedua-dua mangsa yang terbunuh dikenal sebagai Muhammad Areiff Hamzah @ Alias, 17, dari kampung Darat Batu Rakit yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah (SM) Tengku Mizan, Batu Rakit dan Mohd Azmizi Aziz, 24, dari kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian berlaku apabila motosikal EX-5 yang dinaiki Muhammad Areiff gagal mengelak lalu bertembung secara bertentangan dengan motosikal Yamaha 125-Z yang dinaiki Mohd Azmizi.

“Ketika kejadian, Muhammad Areiff dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu Rakit selepas menghadiri kelas tuisyen di Wakaf Tengah.

“Bagaimanapun apabila tiba di hadapan stesen minyak Shell kampung Padang Nenas, motosikal yang dinaikinya gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal Mohd Azmizi yang keluar secara tiba-tiba di kiri jalan,” katanya, semalam.

Zamri berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dalaman, kepala dan patah kaki meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

Tidak sempat beli barang



LEDANG - Hasrat seorang warga emas untuk membeli barang keperluan dapur di salah sebuah kedai di Pekan Bukit Gambir tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan ngeri di persimpangan Jalan Parit Kassan–Sagil berhampiran Parit Turun, di Bukit Gambir, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Tey Tong Yong, 67, mati di tempat kejadian apabila digilis lori yang membawa muatan batu.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Serom 8 menuju ke Bukit Gambir.

Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai dilanggar oleh lori yang datang dari arah Sagil menuju ke Panchor.

Akibat pelanggaran itu, mangsa hilang kawalan dan tercampak di atas jalan raya sebelum digilis tayar lori tersebut.

Difahamkan, motosikal mangsa juga terseret sejauh kira-kira tiga meter di bawah lori berkenaan.

Lebih menyayat hati apabila isteri mangsa yang tiba di tempat kejadian tidak mampu menahan kesedihan melihat keadaan suaminya mati dalam keadaan mengerikan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.

“Bagaimanapun, pemandu lori terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan ini.

“Manakala lori berkenaan ditahan di Balai Polis Tangkak untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

27 kes samun selesai



JOHOR BAHRU - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya menangkap tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun dan merampas sepucuk pistol tiruan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua tangkapan melibatkan lelaki tempatan berusia 20 hingga 47 tahun itu membolehkan pihaknya menyelesaikan 27 kes samun yang dilaporkan.

Menurutnya, polis menemui sepucuk pistol tiruan warna hitam yang disembunyikan di dalam plastik di bawah tempat duduk pemandu selain mendapati nombor casis dan enjin kereta dinaiki suspek sudah diubahsuai hasil daripada siasatan serta pemeriksaan dilakukan.

“Seramai tiga lelaki ditahan anggota kenderaan pelbagai guna (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di Lebuhraya Taman Perling-Pasir Gudang pada jam 12.20 pagi, 9 April lalu.

“Pemeriksaan rekod jenayah mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dalam kes samun dan ketiga-tiga lelaki ini ditahan reman sehingga 15 April ini.

“Polis percaya dengan tertangkapnya semua suspek-suspek ini akan dapat menyelesaikan lebih kurang 27 kes samun jalanan dan curi kenderaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini, semalam.

Selain itu, Mohd Mokhtar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya membuat tangkapan ke atas seorang rakyat warga Singapura di Jalan Seruling 2, Taman Kulai Baru yang turut melibatkan rampasan dadah pada jam 12.30 pagi, 9 April lalu.

“Polis berjaya merampas sekotak tin berwarna putih di dalamnya terdapat sepaket kecil plastik lut sinar berisi serbuk putih dan sepaket besar plastik lut sinar mengandungi sembilan paket kecil dadah jenis syabu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM100,000,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 12 April ini (semalam) dan semakan rekod jenayah lampau mendapati rakyat warganegara Singapura itu pernah ditahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan) kerana melakukan kesalahan ‘menyamar’ sebagai penjawat awam.

Stor simpan alat sukan terbakar



KANGAR – Sebuah stor menyimpan peralatan sukan dan sebuah bilik pengurusan sukan di blok aras satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.50 petang semalam.

Difahamkan, stor dan bilik pengurusan sukan itu menyimpan pelbagai peralatan sukan seperti kayu hoki, jersi dan bola. Malah sebahagian besarnya adalah stok baru yang dipindahkan dari aras bawah ke situ selepas kejadian banjir baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Nuzrin Nuiman berkata, kejadian kebakaran membabitkan blok terawal di sekolah berkenaan disedari pelajar sebelum bertindak memaklumkan kepada guru.

Beliau berkata, ketika kejadian, empat kelas membabitkan 120 pelajar Tingkatan Tiga di bangunan berkenaan sedang mengikuti waktu pembelajaran terakhir.

“Kita bersyukur kerana kebakaran yang berlaku ketika pelajar sedang mengikuti waktu pembelajaran akhir itu tidak melibatkan sebarang kemalangan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Bomba Negeri, Mohd Fadzil Haroon berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.54 tengah hari.

Menurutnya, tiga jentera dengan kekuatan 20 anggota dari Balai Kangar dan Arau dihantar untuk memadamkan api di sekolah sukan negeri itu.

Beliau berkata, setiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati asap tebal berkumpul di atas siling bangunan dan kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah stor menyimpan peralatan sukan.

“Bomba terpaksa memecahkan siling bangunan bagi mengawal api dan selepas 15 minit api dapat dikawal.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

Yang dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Azihani Ali berharap kementerian akan menyalurkan bantuan untuk membaik pulih blok bangunan sekolah yang menempatkan pelajar Tingkatan Tiga yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Dipukau pencuri kambing



PINANG TUNGGAL - Sepasang suami isteri mengalami kerugian hampir RM6,000 apabila kambing peliharaan mereka hilang dipercayai dicuri di Kampung Permatang Setar di sini.

Bagaimanapun kehilangan kambing peliharaannya iaitu sebanyak 14 terdiri lapan kambing betina, tiga jantan dan tiga anak kambing berusia dua bulan dari kandang yang hanya terletak lebih kurang 10 meter dari rumah dianggap misteri oleh pemiliknya Suhaili Arshad, 51, dan isteri Aini Adnan, 50.

Ini kerana pasangan itu merasakan mereka seperti dipukau apabila tidak dapat berbuat apa biarpun terdengar kambing peliharaan mereka mengembek sekitar jam 2 pagi semalam.

“Saya dan isteri terdengar kambing kami mengembek sebelum merasakan seperti diikat hingga tidak dapat bergerak sedangkan ketika itu kami belum tidur.

“Lebih kurang 10 minit kemudian kami terasa mengantuk dan tertidur di hadapan pintu bilik utama. Kami hanya tersedar pada jam 6.45 pagi sewaktu azan subuh pagi semalam (kelmarin),” katanya.

Suhaili pekerja am di Kolej Komuniti Kepala Batas berkata, dia dan isterinya seperti hilang ingatan apabila tidak memikirkan kambing mereka ketika bersiap untuk keluar bekerja pagi semalam.

“Kebiasaannya saya akan mengingatkan isteri membuka pintu kandang untuk melepaskan kambing mencari makan semasa sedang bersarapan sebelum keluar bekerja.

“Jika terlupa, isteri saya akan berbuat demikian kerana jika lewat kambing berkenaan akan bising,” katanya.

Menurutnya, pagi semalam mereka tidak mengingati kambing itu dan membuat hal masing-masing sebelum dia keluar bekerja.

“Ketika sedang bekerja saya menerima panggilan daripada isteri mengatakan kambing di kandang hilang sebelum bergegas pulang.

“Selepas puas mencari di sekitar kampung namun, kami gagal menemui kambing itu dan dalam masa sama mendapati tali yang digunakan mengikat kesemua kambing berkenaan mempunyai kesan dipotong,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu isterinya, Aini berkata, dia hanya tersedar kambing peliharaan masih terkurung dan belum dilepaskan sekitar jam 11 pagi selepas kakinya tersadung bendul di bilik air.

“Sebelum itu saya terlupa berkaitan kambing itu biarpun ia rutin harian saya sejak memelihara binatang berkenaan.

“Sebaik rasa sakit selepas tersadung, saya secara tiba-tiba teringatkan kambing peliharaan yang belum dilepaskan dan bergegas untuk berbuat demikian namun, terkejut apabila mendapati kandang kosong,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia tidak menolak kemungkinan kehilangan kambing peliharaannya itu ada kaitan dengan kejadian pukau yang dialami bersama suami sejak awal pagi kelmarin.

Pasangan itu kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kehilangan kambing mereka di Balai Polis Bertam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa berkaitan kehilangan kambingnya tapi enggan mengulas kerana masih menjalankan siasatan.

Jalan kaki ke balai polis



TELOK KEMANG – Sudah jatuh di timpa tangga. Itulah yang dialami oleh sepasang suami isteri bersama anaknya yang berusia setahun dari Gombak apabila mereka dirompak dan terpaksa berjalan kaki sejauh hampir tiga kilometer untuk membuat laporan di balai polis, kelmarin.

Zaihan Talib, 41, berkata, dia dirompak ketika berjalan kaki menuju ke pondok menunggu bas di Batu 2 Port Dickson bersama isteri dan anaknya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tidak sampai lima minit dan selepas dirompak dia cuba meminta bantuan daripada orang ramai dengan menahan kereta untuk menumpang dibawa ke balai polis, namun tidak diendahkan.

“Malah pemandu sebuah bas henti-henti juga tidak membenarkan kami menaikinya walaupun saya menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Zaihan berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 6.10 petang selepas dia pergi ke sebuah hotel di Batu 2 untuk melobi kerja.

“Saya datang bersama isteri dan anak menaiki bas ke Port Dickson. Selepas selesai urusan di hotel berkenaan, kami jalan kaki menuju ke sebuah pondok bas berhampiran.

“Sebaik sahaja tiba di perhentian bas, tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna silver dipandu seorang lelaki bersama tiga lagi rakannya terus menghalang kami. Kemudian lelaki yang duduk di bahagian belakang membuka pintu dan rakannya yang duduk di tempat hadapan mengacu pisau ke dada saya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu menumbuk bahagian mukanya sebanyak dua kali dan memaksa menyerahkan barang berharga.

“Dalam keadaan yang cemas ditambah risau dengan keselamatan isteri dan anak, saya terus memberikan beg duit, telefon bimbit serta beg pakaian yang mengandungi sebuah komputer riba.

“Selepas itu, mereka terus melarikan diri dengan memandu ke arah Port Dickson,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian, dia berjalan kaki hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk membuat laporan selepas gagal mendapat bantuan daripada orang ramai.

“Kami tiba sekitar jam 8 malam dan selepas selesai urusan di balai, saya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Tidak sempat jual besi curi



JERTIH – Hasrat dua remaja lelaki menikmati wang hasil jualan besi curi dari sebuah tapak binaan bangunan sarang burung walit tidak kesampaian apabila mereka terlebih dahulu diberkas polis sebaik saja membawa keluar besi itu di kampung Pangkalan Sentul, di sini.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, dua remaja berumur 16 dan 19 tahun itu menaiki sebuah Kancil disyaki ingin melarikan sejumlah muatan besi binaan.

Tidak sampai 500 meter selepas meninggalkan tapak binaan, sepasukan anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jertih yang menjalankan rondaan terserempak dengan kereta suspek dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengarahkan suspek berhenti namun mereka bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan ke arah persimpangan lampu isyarat Seberang Jertih sebelum membelok ke arah Kuala Besut melalui jalan Gong Kedak.

Bagaimanapun usaha suspek meloloskan diri gagal apabila kenderaan yang dipandu salah seorang daripada mereka memasuki jalan mati di kampung Kenjing iaitu kira-kira dua kilometer daripada tempat mereka mula-mula diarahkan berhenti.

Apabila terkandas, suspek dikatakan keluar dari kereta dan bersembunyi dalam sebuah stor rumah penduduk di situ tetapi berjaya ditahan.

Remaja berusia 16 tahun itu beralamat di Kampung Guntung Luar dan rakannya dari Kampung Bintang, Setiu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP NorZainy Mohd Noor berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine (pil kuda).

Kata beliau, pemeriksaan lanjut pada kenderaan itu turut menemui sejumlah besi binaan dalam bahagian tempat duduk belakang kereta yang mana kerusi belakangnya telah dibuka.

“Suspek juga melumur nombor pendaftaran belakang kereta dengan minyak gris bertujuan supaya ia tidak kelihatan jelas pada waktu malam,” katanya.

NorZainy berkata, cermin kenderaan itu juga gelap disyaki bertujuan memastikan orang ramai tidak dapat melihat barang yang dibawa mereka.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menagih dadah.

Lagi dakwa anak didera



MARANG - “Saya bimbang dengan keselamatan anak di pusat pemulihan itu dan hanya mampu berdoa agar dia dapat menghabiskan sesi pemulihannya,” kata ibu kepada seorang pelatih sebuah pusat pemulihan perempuan di sini, yang mendakwa anak didera petugas.

Ibu malang yang hanya ingin dikenal sebagai Ida, 40-an ketika ditemui Sinar Harian selepas mendapatkan salinan laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) berkata, anaknya sering didera secara lucah oleh petugas pusat pemulihan itu walaupun kesalahan dilakukan kecil.

Sebelum ini, dua beradik yang menjalani pemulihan akhlak mendakwa trauma akibat didera secara seksual dan mental oleh petugas pusat pemulihan itu sebagaimana yang disiarkan Sinar Harian Isnin lalu.

Gadis dua beradik itu mendakwa, mereka pernah dihukum secara lucah di hadapan pelatih dan petugas pusat pemulihan tersebut iaitu diarah menyapu minyak angin pada alat sulit mereka bagi membuktikan mereka tidak datang bulan ketika itu.

Tidak berpuas hati dengan hukuman yang diterima itu, dua beradik berkenaan diwakili bapa mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis daerah selain tidak mahu meneruskan sesi pemulihan di pusat pemulihan itu dijangka berakhir November tahun depan.

Sementara itu, Ida yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah turut mendakwa anaknya juga mengadu didenda ketuk ketampi sebanyak 500 kali sehingga pengsan hanya kerana kesalahan membawa makanan ke tempat tidur.

“Salah sikit sahaja anak saya didenda dengan teruk walaupun untuk kesalahan kecil. Saya berharap pihak berkaitan dapat menyiasat perkara itu agar mereka dapat menjalani pemulihan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berkata, kes tersebut masih dalam siasatan polis.

Mayat disangka ular



ALOR GAJAH - Seorang kaki pancing tidak menyangka objek yang disangka ular sawa telah membawa pertemuan kepada mayat seorang wanita yang hanya bercoli dan berseluar dalam tertiarap di Kolam Tadahan Air Macap Durian Tunggal, di sini, semalam.

Pemancing terbabit, Jamaluddin Nandoorkani, 26, berkata, dia yang tinggal di Johor, pertama kali memancing di kawasan itu bersama dua lagi sahabatnya tetapi ternampak objek besar dan pelik berwarna kuning kehitaman sebelum mendekatinya lebih kurang jam 1.40 tengah hari.

Menurutnya, pada mulanya dia mengesyaki objek berkenaan adalah ular sawa, lebih-lebih lagi dalam kawasan semak.

“Bagaimanapun, bau busuk yang kuat menyebabkan keinginan semakin memuncak untuk memastikan sama ada ia benar-benar ular sawa atau sebaliknya.

“Sebaik mendekati objek berkenaan, saya ternampak tangan manusia sebelum terpandang kepala dan menyebabkan saya terus berlari ketakutan ke arah dua rakan yang berada kira-kira empat meter dari tempat mayat ditemui,” katanya.

Jamaluddin berkata, sebelum ini dia sudah terhidu bau busuk tetapi tidak ambil peduli kerana menyangka bau perut ayam atau bangkai yang digunakan pemancing tetapi tidak menyangka ia adalah mayat manusia.

“Apabila tengok pertama kali, betul-betul macam ular sawa tetapi disebabkan rasa tak sedap hati, saya pun pergi lebih dekat dan ternampak mayat manusia yang sebahagian mukanya terbenam dalam air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan, penemuan mayat wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an tanpa identiti dan tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa.

Menurutnya, baju dan seluar mangsa termasuk beg alat solek ditemui kira-kira 50 meter dari tempat mangsa ditemui.

“Kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Banduan dituduh berkhalwat



KUALA ROMPIN – Seorang banduan yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana membunuh dengan niat anak teman wanitanya kini berhadapan pula tuduhan khalwat bersama wanita itu.

Banduan itu, Sha’ari, 32, yang beralamat di Kampung Batu Berendam, Melaka dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Rompin, kelmarin dan mengaku tidak bersalah atas dakwaan khalwat dengan seorang perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah beralamat No 5 Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Murni, Kuala Rompin.

Dalam prosiding itu, Hakim Abu Kasim Pilus memutuskan Sha’ari yang tidak diwakili peguam didenda sebanyak RM1,000 atau di penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Syarie, Burhan Husin memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada pasangan tertuduh selepas mereka tidak hadir dalam prosiding itu, kelmarin.

Abu Kasim memerintahkan teman wanita tertuduh supaya hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kes pada 27 Jun depan.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditangkap di sebuah rumah keluarga sebelah perempuan ketika pemeriksaan dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Rompin bersama saksi ke rumah itu.

Dalam kejadian jam 10.20 malam pada 27 April 2009 itu, pihak penguatkuasaan curiga selepas mendapati sebuah bilik di dalam rumah terbabit berkunci sebelum bertindak mengetuk pintu bilik itu.

Setelah 10 minit, bilik itu dibuka seorang perempuan yang berpakaian baju T dan berkain batik sementara tertuduh berpakaian baju belang hijau putih bersama seorang bayi yang sedang tidur di atas katil.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Sha’ari yang juga bekas juruhebah tapak ekspo dihukum penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Seksyen di Melaka selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian anak teman wanitanya itu.

Sha’ari didakwa menyebabkan kematian Muhammad Aidil, 2, di No 20-1 Kampung Batu Hampar, Peringgit, Jalan Tun Fatimah antara jam 4 petang hingga 4.30 petang pada 13 September 2009.

Peserta rugi ribuan ringgit



JONG BERLABUH - Seramai 27 peserta Projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dekat sini diancam bahaya selain terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila projek tanaman kelapa sawit mereka di kawasan seluas hampir 50 hektar diserang gajah liar.

Serangan haiwan itu dikatakan paling teruk pada tahun ini yang masuk malam kelima sejak 9 April lalu malahan terdapat penduduk ternampak dua gajah memakan tanaman peserta.

Pengerusi TSB Jong Berlabuh, Abdul Zakhir Abdullah Sani berkata, seramai tiga peserta mengalami kerugian teruk apabila lebih 200 anak pokok sawit milik mereka yang berusia tiga tahun musnah dicabut dan dimakan haiwan itu.

Menurutnya, kesan tinggalan haiwan itu jelas membuktikan ia masuk melebihi seekor dengan kerugian tanaman yang turut membabitkan anak pokok baru ditanam.

“Kami terpaksa menanggung kerugian saban tahun akibat serangan gajah liar. Kawasan lain yang terbabit dengan tanam semula sudah berjaya menikmati hasil mereka. Namun, peserta TSB di sini terpaksa menghadapi kesukaran dan kerugian.

“Kos untuk tanam semula amat tinggi dan ditambah pula dengan hasil yang gagal dikeluarkan, ia membebankan kebanyakan peserta yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Abdul Zakhir berkata, projek TSB itu terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Yong serta Rizab Taman Negara dan tidak mustahil haiwan itu datang dari kawasan hutan itu.

Menurutnya, lokasi itu menjadi antara faktor ancaman berterusan kerana pelbagai usaha seperti pembinaan pagar elektrik dan longkang gajah tidak memberikan apa-apa hasil untuk menghalang kemasukan haiwan itu.

Sementara itu, Setiausaha TSB, Ahmad Misfa Mohd Hashim berkata, haiwan itu turut menghampiri rumah penduduk untuk mencari makanan dan keadaan itu benar-benar membimbangkan penduduk terhadap tahap keselamatan mereka.

Menurutnya, pihak berkenaan diharap dapat tampil untuk mengatasi masalah itu supaya penduduk dan peserta tidak terus diancam bahaya serta mengalami kerugian.

“Penduduk berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan jangka panjang supaya masalah itu tidak lagi berulang dan membebankan mereka,” katanya.



TSB sumber pendapatan utama



Peserta TSB, Wan Manaf Wan Latiff pula berkata, TSB di bawah Risda itu adalah antara lokasi utama penduduk mencari rezeki terutama melalui projek sawit selain tanaman sampingan lain.

Menurutnya, ia terletak di seberang Sungai Pahang yang berdekatan dengan hutan simpan kerana kawasan itu adalah kampung lama dan lokasi penduduk bercucuk tanam.

“Ancaman haiwan liar dan kerugian hasil tanaman boleh diatasi jika kerajaan menyediakan lokasi baru untuk peserta memulakan projek tanpa perlu ke seberang sungai.

“Jika ada lokasi baru, ia diharap dapat disediakan untuk peserta. Ia membolehkan penduduk tidak perlu lagi menyeberang sungai untuk mencari lokasi terbaik bagi mengusahakan tanaman mereka,” katanya.

Dia berkata, kos untuk menjayakan pertanian di lokasi sedia ada itu agak tinggi terutama apabila ia sering musnah akibat serangan gajah.

Menurutnya, masalah itu secara tidak langsung membuatkan pendapatan penduduk terjejas apabila hasil tanaman tidak dapat dikeluarkan.

“Sampai bila peserta TSB perlu menanggung kerugian? Kami harap Kerajaan Negeri juga dapat tampil untuk membantu menangani masalah ini yang berlaku sejak sekian lama,” katanya.

Pencuri ambil kesempatan



BENTONG – Seorang mangsa kes pecah rumah terkejut apabila rumahnya di Taman Bentong Makmur dipecah masuk pencuri walaupun tidak sampai dua jam meninggalkan rumah kerana ada urusan di Bandar Bentong, kelmarin.

Mangsa, Len Seng Teck, 68, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku ke atas keluarganya dan mereka kehilangan beberapa barangan berharga.

“Sebelum ini saya hanya mendengar cerita rumah orang lain dipecah masuk tetapi kali ini, ia menimpa keluarga kami pula.

“Apa yang diharapkan adalah, pihak berwajib dapat mengesan individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kes pecah rumah ini supaya tidak berterusan dan membimbangkan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, sejak awal tahun ini hingga 11 April yang lepas, terdapat empat kes pecah rumah berlaku di Taman Bentong Makmur iaitu satu pada siang hari dan tiga pada waktu malam.

Menurutnya, kita memerlukan bantuan jiran setiap kali meninggalkan rumah kerana mereka dapat membantu memerhati dan menjaga harta benda ditinggalkan serta melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku perkara yang mencurigakan.

“Pihak polis sentiasa membuat rondaan berkala di kawasan perumahan namun penduduk juga perlu memainkan peranan dengan bersama-sama membantu menjaga harta benda masing-masing.

“Sikap yang perlu dipraktikkan adalah sentiasa memastikan kediaman dikunci dengan baik, menyimpan barangan berharga atau wang tunai di tempat selamat dan memasang alat keselamatan tambahan di kediaman iaitu kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas mengulas kejadian pecah rumah yang berlaku di Taman Bentong Makmur, dekat sini, petang kelmarin.

Seludup ubat batuk



RANTAU PANJANG – Dua warga Thailand ditahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila disyaki membawa masuk 59 botol ubat batuk dan 5 kilogram daun ketum di pangkalan haram di sini.

Pegawai Memerintah Batalion Ke 2 Rejimen Sempadan, Lt Kol Zambery Jefry Darus berkata, hasil pemeriksaan mendapati ubat batuk dan daun ketum yang diperoleh sekitar negeri Kelantan di bawa untuk melintasi sempadan ke Thailand

“Kita percayai kedua-dua barang ini akan diproses campuran ubat batuk dan daun ketum serta bahan campuran lain sebagai jenama minuman yang terbaru. Kedua-kedua warganegara Thailand bersama ubat batuk dan daun ketum diserahkan kepada pihak PDRM Rantau Panjang untuk tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, rampasan yang dibuat adalah hasil rondaan rutin pihaknya pada 10 April lalu di pangkalan haram sekitar Rantau Panjang.

Menurutnya, aktiviti yang berlaku di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand tidak tertumpu kepada penyeludupan bahan-bahan makanan tetapi turut melibatkan aktiviti haram melibatkan penyeludupan binatang kawalan dan ternakan, benih padi, pil kuda, ubat batuk, dan pendatang tanpa izin.

“Kegiatan aktiviti ekonomi lintas sempadan secara haram ini dilihat kebiasaan penduduk sekitar mencari rezeki. Ini dapat dilihat terdapat lebih kurang 120 pangkalan haram yang diperbuat tangga konkrit dibina sepanjang Sungai Golok sama ada di sebelah tebing Thailand dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, semua tindakan yang dilakukan penyeludup tidak berjaya dan mudah dihidu oleh pihak berkuasa melalui kebijaksanaan penilaian modus operandi dan tipu helah yang sentiasa berubah-ubah untuk mengelirukan pasukan keselamatan.

Katanya, anggotanya sentiasa memperketat kawalan serta operasi di pangkalan-pangkalan haram sepanjang Sungai Golok.

Beliau turut menegaskan bahawa anggotanya sedikit pun tidak berganjak dari mempertahankan dan mengawal sempadan negara dan tidak akan berkompromi dalam apa juga bentuk ancaman dan tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang tidak menghormati undang-undang negara.

Pelajar tingkatan 1 suspek rogol



KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kes rogol seorang kanak-kanak berusia 9 tahun.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Rozita Md Saat Suspek itu berkuatkuasa semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Polis menahan remaja terbabit di hadapan rumahnya pada jam 1 pagi kelmarin kerana dipercayai merogol mangsa yang juga jiran tinggal bersebelahan rumah suspek di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Peniaga maut, isteri parah kereta terbabas di KM 19 Gua Musang



GUA MUSANG - Seorang peniaga terbunuh manakala isterinya parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh tiang elektrik di Kilometer 19, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, awal hari ini.
Sharpan Che Soh, 38, yang memandu kereta itu cedera parah di kepala dan badan dan mati di tempat kejadian.
Isterinya, Yusdiawati Yusof, 30, kini dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, pasangan itu dalam perjalanan dari Kampung Binjai Dua, Kota Baharu menuju ke Kuala Lumpur untuk tujuan perniagaan.
Mayat Sharpan, yang dibedah siasat di HGM, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai Dua petang ini.- Bernama

Dua beradik cedera selamatkan bapa bakar diri



ALOR SETAR - Dua beradik berusia 12 dan 14 tahun melecur teruk ketika cuba menyelamatkan bapa mereka yang dipercayai membakar
diri akibat mengalami kemurungan di rumah mereka di Kampung Ruat, Yan, dekat sini pagi tadi.
Akibat kejadian pada 7.30 pagi tadi, Amirul Hadi Zinol, 12, dan abangnya Badrul Amin Zinol, 14, melecur di bahagian tangan dan kaki dan dimasukkan ke
Hospital Sultanah Bahiyah di sini manakala bapa mereka dirawat di Hospital Yan kerana terbakar seluruh badan.
Ibu mereka, Salmah Saad, 47, berkata ketika kejadian beliau keluar menghantar anak ke sekolah yang terletak satu kilometer dari rumah mereka.
Menurut beliau, kebiasaannya suaminya yang akan menghantar anak-anak ke sekolah namun pagi tadi beliau disuruh berbuat demikian kerana suaminya ingin
membawa Amirul Hadi mengambil ubat di klinik kerana demam.
"Semasa saya balik, saya lihat suami sudah terbaring atas tilam dan hampir keseluruhan badan terbakar. Badrul Amin dan Amirul Hadi sudah lari ke rumah
nenek mereka di sebelah rumah kami untuk selamatkan diri," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah.- Bernama

Operasi keluarkan mayat mangsa lemas

BESUT — Operasi mengeluarkan mayat Muhammad Safawi Mat Hussin, 14, yang lemas dibawa arus air terjun di Lata Belatan, Jabi dekat sini Jumaat lepas dipertingkat dengan kekuatan pasukan operasi ditambah kepada 70 orang melibatkan pelbagai agensi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut yang juga Ketua Operasi Menyelamat, DSP Noor Zainy Mohd. Noor berkata laluan air yang laju menyukarkan operasi menarik keluar mayat yang tersangkut pada sebatang kayu dalam sebuah lubang sedalam empat meter.
"Pada masa ini, kami sedang menutup lubang-lubang laluan air di lokasi kejadian dengan kanvas bagi memudahkan pasukan operasi membawa naik mayat yang kini semakin membengkak.
"Jika strategi yang digunakan tidak berhasil, kami bercadang untuk meminta bantuan daripada Syarikat Air Terengganu (Satu) bagi menggunakan saluran PVC untuk mengalihkan laluan air daripada melalui lokasi mayat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Dalam kejadian Jumaat lepas, Muhammad Safawi, pelajar Tingkatan Dua, SMK Mengabang Telipot, Kuala Terengganu di bawa arus ke lubang air itu ketika berkelah bersama tujuh anggota keluarganya di kawasan itu kira-kira pukul 11.00 pagi. — Bernama

Methamphetamin: Penjara 9 tahun, 10 sebatan


SHAH ALAM — Seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 139.86 gram, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira faktor bahawa dadah itu adalah jenis sintetik yang laris di pasaran dan digemari golongan muda.
Beliau memerintahkan Yoong Pak Tien, 33, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 11 Okt 2008.
Yoong didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tandas dalam pasar raya Jusco di Persiaran Bukit Raja 2, Bandar Baru Klang, Klang dekat sini, kira-kira 9.30 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan. — Bernama

Nelayan Malaysia ditahan dilayan baik

JOHOR BAHRU — Enam nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika menangkap ikan di perairan Pontian 10 Mac lepas berada dalam keadaan sihat dan menerima layanan baik daripada pihak berkuasa republik itu.
Konsul Malaysia di Pekan Baru, Zamani Ismail berkata pada ketika ini keenam-enam nelayan negara ini ditahan di Rumah Tahanan Negara, Pekan Baru, republik itu.
"Saya telah melawat mereka, dan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat dan menerima layanan baik daripada pihak berkuasa Indonesia,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihak Wisma Putra sedang berunding dengan pihak berkuasa Indonesia bagi membolehkan kesemua nelayan tempatan yang berasal dari Pontian itu dibebaskan dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Zamani enggan mengulas lanjut sama ada keenam-enam nelayan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah republik itu dalam jangkamasa terdekat ini di atas dakwaan kesalahan mereka itu. — Bernama

Edar dadah, nelayan ke tali gantung

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang nelayan selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin danmonoacetymorphines, tahun lepas.
Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu terhadap Beh Boon Kim, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Boon Kim dari Perak didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 125.5 gram dan dadah jenismonoacetymorphines seberat 23.2 gram di sekitar Jalan Medan Imbi Off, Jalan Imbi dekat sini pada pukul 3.30 petang, 22 Januari tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum menurut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ghazali dalam penghakimannya berkata dakwaan tertuduh bahawa dia tidak memandu kereta Kancil yang mana di dalam kereta tersebut mengadungi kotak limau berisi dadah, adalah penafian semata-mata.
"Tertuduh dalam pembelaannya juga turut menyatakan bahawa dia tidak melihat isi yang ada di dalam kotak itu sewaktu diperiksa oleh beberapa anggota polis ketika serbuan, ini juga adalah penafian,” katanya.
Ghazali berkata keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan keenam dan kelapan iaitu Inspektor Luther Nurjip dan Sarjan Sidek Paiman daripada Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi adalah konsisten.
"Kedua-dua saksi berkenaan menyatakan bahawa riak muka tertuduh ketika melihat isi kotak itu adalah terkejut dan takut sedangkan dalam pembelaan, Boon Kim menyatakan dia langsung tidak terkejut melihat kotak limau itu,” jelasnya.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menampilkan lapan saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.
Tertuduh diwakili peguam Suzana Norlihan Alias. - Bernama

Warga India dipenjara 4 tahun miliki ketamin di KLIA

SHAH ALAM — Seorang penjual telefon bimbit warga India bernasib baik apabila terlepas daripada hukuman mati, sebaliknya dihukum penjara empat tahun atas tuduhan pilihan memiliki ketamin seberat 2.39kg di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki semasa menjatuhkan hukuman itu berkata cara tertuduh, Mohamed Ali Shaik Dawood, 35, membawa masuk dadah itu ke dalam negara ini jelas menunjukkan dia cuba mengelirukan pihak berkuasa.
Mohtarudin memerintahkan Mohamed Ali menjalani hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 27 Dis 2009.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama KLIA, kira-kira pukul 6.45 pagi.
Mohamed Ali didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama

Perhilitan diminta tangkap gajah liar


TEMERLOH 13 April — Peserta Projek Tanam Semula (TSB) Risda Kampung Jong Berlabuh, dekat sini meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Pahang (Perhilitan) menangkap gajah-gajah liar yang memusnahkan pokok sawit di projek kelompok mereka.

Pengerusi TSB Kampung Jong Berlabuh, Abdul Zakhir Abdullah Sani berkata gajah itu kerap kali menceroboh kawasan berkenaan dan yang paling kerap ialah tahun ini.
"Tahun ini, sudah lima kali haiwan itu menceroboh dan memusnahkan tanaman sawit di kawasan hampir 50 hektar yang disertai 27 peserta.
Beliau berkata, tiga peserta TSB di situ mengalami kemusnahan lebih 200 pokok sawit akibat serangan gajah itu membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Pelbagai usaha dilakukan penduduk, antaranya mengali longkang lebar, namun usaha itu gagal, sebaliknya gajah itu terus menceroboh dan memusnahkan pokok sawit di situ, katanya.
Abdul Zakhir bimbang jika tidak ditangkap atau diusir, gajah itu akan turut menceroboh kawasan penempatan kerana sudah ada tanda tanda haiwan itu menghampiri kawasan penempatan penduduk.
Kawasan TSB itu terletak di seberang Sungai Pahang dan ia merupakan kawasan kampung lama yang dibangunkan semula dengan projek TSB sawit Risda bagi memberikan sumber pendapatan kepada penduduk. — Bernama

Lanun bebas kapal Thailand


MOGADISHU: Lanun Somalia semalam berkata, mereka menerima wang tebusan bernilai lebih RM15 juta bagi membebaskan kapal kargo Thailand yang ditawan sejak 25 Disember tahun lalu.
Pemimpin lanun di bandar Hobyo di tengah Somalia, Abdi Yare, berkata kapal MV Thor Nexus itu dibebaskan tengah hari kelmarin.

“Kami menerima wang tebusan itu daripada pemilik kapal terbabit sehari sebelumnya,” katanya.

Kata Abdi, kapal MV Thor Nexus itu dirampas rakan mereka di Puntland sebelum dibebaskan di Eel Dhanaane.

Eel Dhanaane adalah perkampungan kecil terletak di antara Hobyo dan Garaad di utara.

Kapal 20,377 tan itu berlayar dari Bangladesh ke Emiriah Arab Bersatu bersama 27 anak kapal dengan membawa baja ketika dirampas lanun.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan yang memantau aktiviti maritim di rantau itu, Ecoterra International, lanun Somalia masih menahan lebih 40 kapal yang disahkan dirampas.

Turut berada dalam tahanan mereka kira-kira 700 anak kapal. - AFP

Maut atas riba adik


MANTIN: “Hancur luluh hati ini apabila saya hanya boleh mendengar nafasnya berdengus kencang di riba dengan keadaan mukanya hampir hancur dan berlumuran darah,” kata Zuraini Zainal Chandra, 23, mangsa yang terselamat dalam nahas jalan raya mengorbankan dua nyawa di Jalan Pajam-Mantin di sini, semalam.
Perjalanan dua beradik dan rakan mereka yang baru pulang bekerja berakhir dengan tragedi memilukan berikutan seorang daripadanya terkorban apabila kereta dinaiki bertembung dengan motosikal di laluan berkenaan, kira-kira jam 12 tengah malam.

Selain pemandu, Zakaria Zainal Chandra, 31, penunggang motosikal berkenaan, D Jevan, 25, turut maut di tempat kejadian dan klinik berdekatan.

Menceritakan detik ngeri itu, Zuraini berkata, dia bersama abangnya (Zakaria) dan rakannya, R Janani, 23, yang baru selesai bekerja di sebuah kilang membuat papan tanda di Nilai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Desa Pelangi, di sini.

“Ketika itu, saya dan rakan yang duduk di belakang nyenyak tidur kerana terlalu kepenatan, manakala abang memandu kereta.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati kereta berpusing beberapa kali sebelum terbalik dalam longkang.

“Saya yang cedera di muka akibat terkena serpihan cermin segera bangun dan menarik rakan keluar. Apabila diperiksa, saya melihat abang tiada di tempat pemandu dan mendapati dia terbaring di luar,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di sini, semalam.

Menurutnya, dia meletakkan kepala abangnya di atas riba dan cuba memanggil namanya, namun tiada sahutan.“Saya hanya mampu menitiskan air mata dan berharap dia dapat diselamatkan walaupun cedera parah pada muka. Selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Mantin, dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian itu, gadis berkenaan hanya cedera pada muka, manakala rakannya cedera di kaki kanan.

Kata Zuraini, abangnya yang dianggap pendiam dilihat agak periang dan peramah berbanding biasa dengan rakan sekerjanya ketika sedang bekerja sebelum kejadian.

Sementara itu, isteri mangsa, Zumaidah Abdullah, 23, berkata, suaminya berpesan sebelum keluar bekerja pada Ahad lalu.

“Dia memberitahu ‘kalau saya sudah mati, awak kena jaga anak-anak dan jangan sesekali membiarkan mereka,’. Saya hanya mengangguk dan melihat dia pergi bekerja.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika ini dan tidak menyangka ia petanda dia meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.

Pemandu beri perhatian isu menyamar pekerja TNB

KUALA LUMPUR: Kes penipuan membabitkan beberapa individu yang mengaku sebagai kakitangan atau kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan mensasarkan mangsa di kawasan perumahan luar bandar, mendapat perhatian Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Penganalisis Komunikasi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Liyana Taff, individu terbabit mengenakan pakaian seragam dengan logo TNB didakwa meminta orang ramai dan pemilik rumah di kawasan luar bandar membuat pembayaran muka dengan mendakwa kerajaan akan memulangkan semula wang mereka menerusi bil bulanan elektrik penduduk.

Beliau berkata, kerajaan tidak memberi kuasa atau melantik mana-mana kementerian atau agensi untuk menjalankan projek yang memerlukan orang ramai membuat pembayaran muka itu bagi perkhidmatan pemasangan kabel dalaman.

“Kerajaan juga tidak pernah mewajibkan pemilik rumah menanggung kos perkhidmatan pemasangan kabel dalaman kecuali deposit penyambungan meter berjumlah RM100.

“Bagaimanapun, dalam kes yang jarang berlaku, ada kos penyambungan dikenakan sekiranya sesebuah rumah itu terletak pada jarak yang jauh daripada garis perkhidmatan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Anak berhutang RM10 bapa pula dibelasah lapan lelaki


PORT DICKSON: Angkara wang RM10, seorang pemilik bengkel berusia 40 tahun parah ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di sebuah bengkel di sekitar Air Kuning, di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, lapan lelaki berusia 29 hingga 31 tahun ke bengkel berkenaan untuk meminta wang daripada anak mangsa yang berhutang dengan salah seorang daripada kumpulan itu.

Bagaimanapun, anak mangsa berusia belasan tahun enggan memulangkan wang berkenaan menyebabkan suspek memukul remaja terbabit.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, menyedari kejadian itu, mangsa menegur tindakan kumpulan berkenaan yang ketika itu hanya seramai tiga orang.

“Akibat berang ditegur, seorang daripada suspek menghubungi lima rakannya sebelum mereka menyerang dan menetak lelaki itu menggunakan parang hingga menyebabkannya cedera di kepala, tangan dan perut sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, isteri mangsa berusia 30-an yang turut berada di tempat kejadian segera menghubungi polis.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Baljeet berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu melakukan usaha memburu suspek dan memberkas tiga suspek di tiga lokasi berasingan di daerah ini tidak lama selepas itu.

Asal boleh lari

JOHOR BAHRU: Lapan penjenayah berhimpit dalam kereta Perodua Kancil untuk melarikan diri selepas cubaan memecah masuk sebuah kilang di kawasan perindustrian di Jalan Plentong 8 di sini, awal pagi kelmarin, digagalkan polis.
Dalam serbuan jam 4.15 pagi itu, 10 penjenayah yang datang dengan menaiki Proton Waja dan Kancil mengintai sasaran sebelum lari lintang-pukang apabila mendapati mereka dikepung polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sebelum itu pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan kumpulan pecah kilang yang aktif melakukan samun di kawasan berkenaan.

“Dua daripada penjenayah yang berusia 20 dan 47 tahun ditahan manakala lapan lagi rakannya melarikan diri dengan berhimpit dalam kereta Kancil.

“Dalam cubaan melarikan diri itu, penjenayah mengundurkan kereta ke arah anggota polis dan kami terpaksa melepaskan sedas tembakan ke arah kereta berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Tiga motosikal milik polis rosak dirempuh kereta Kancil terbabit dan penjenayah dapat meloloskan diri.

Menurutnya, pihaknya mengekori kumpulan itu selepas mendapati mereka sedang mensasarkan sebuah kilang untuk dipecah masuk.

“Kami merampas sebuah motosikal Yamaha FZ150 yang dilaporkan hilang di Kulai, sebilah pisau pemotong kertas dan kerambit, serangkai kunci Proton Waja, sekeping surat pajak, dua jarum suntikan, jam tangan, tiga dompet dan pemutar skru,” katanya.

2 maut motosikal bertembung


KUALA TERENGGANU: “Sikapnya berubah apabila banyak mendiamkan diri dan hanya tersenyum tanpa berkata-apa ketika kali terakhir kami bertemu pada petang sebelum kejadian,” kata Che Rosdi Salam, 20, rakan kepada Mohd Azmizi Aziz, 24, yang maut dalam kemalangan berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Padang Nenas, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, motosikal Yamaha 125Z ditunggang Mohd Azmizi yang baru keluar dari stesen minyak itu bertembung sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang Muhammad Areiff Hamzah @ Alias, 17, dan kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Che Rosli berkata, Mohd Azmizi yang bekerja sebagai mekanik menunjukkan sikap pelik apabila seolah-olah seperti ‘kaki bangku’ ketika bermain futsal sehari sebelum itu, sedangkan kebiasaannya dia paling aktif dan ceria.

“Saya tidak sangka kelakuan peliknya ketika kami bermain futsal itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.

Mohd Azmizi dari Kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot, di sini, anak sulung daripada tujuh beradik.

Sementara itu, Anuar Hamzah @ Alias, 41, abang kepada Muhammad Areiff, berkata, dia tidak menduga rutin harian adiknya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berulang-alik menunggang motosikal berakhir dengan tragedi menyayat hati.

Katanya, adiknya, pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Tengku Mizan Zainal Abidin itu mengalami kecederaan dalaman dan kepala serta patah kaki.

“Ketika kejadian adik bongsu daripada 13 beradik itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kelas tuisyen di Wakaf Tengah dengan menaiki motosikal milik bapa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Amat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Lelaki cekik isteri tegur jumpa kekasih

GOMBAK: Akibat tidak tahan leteran isteri, seorang suami mencekik dan menampar muka isterinya ketika bertengkar di rumah mereka di Kampung Selayang Indah, di sini, pagi kelmarin.
Lebih kejam apabila lelaki berusia 30-an terbabit melepaskan geram terhadap anak lelaki mereka berusia lima tahun dengan menolak kanak-kanak itu hingga dahinya terhentak di lantai.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an menegur suaminya itu supaya tidak keluar rumah untuk berjumpa wanita lain.

Menurut sumber polis, suami mangsa yang bengang dengan teguran serta leteran isterinya itu tetap mahu keluar berjumpa teman wanitanya.

“Tindakan itu mengundang pertengkaran selama beberapa minit sebelum lelaki terbabit mencekik leher dan menampar muka isterinya.

“Anak lelaki mereka yang melihat pertengkaran itu menangis sebelum menghampiri ayahnya. Ini menyebabkan lelaki itu menolak anaknya hingga terjatuh ke lantai.

“Kanak-kanak itu lebam di dahi,” katanya di sini, semalam.

Katanya, selepas kejadian itu, lelaki terbabit keluar rumah.
“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya membuat laporan di Balai Polis Selayang, kira-kira jam 12 tengah hari semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan laporan mangsa dan siasatan lanjut dijalankan.

Anak bongsu lesap

BOTA: “Su pergi mana? Pulanglah ke rumah... kami sekeluarga merindui Su,” rayu Mariam Isa, 54, kepada anak perempuan bongsunya, Suraidah Mokhtar, 16, yang dilaporkan hilang sejak Mac lalu.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaacob itu menghilangkan diri sejak keluar dari rumah keluarganya di Kampung Lambor Kanan Pasir Sena, dekat sini, pada 23 Mac lalu.

Mariam berkata, beliau menyedari perubahan sikap Suraidah ketika cuti persekolahan selama seminggu, tapi tidak sangka anaknya bertindak demikian pada hari ketiga sesi persekolahan bersambung.

Katanya, Suraidah menjadi malas dan tidak berminat pergi ke sekolah berbanding sebelumnya sentiasa ceria serta suka ke sekolah.

“Saya ada bertanya sama ada dia mempunyai masalah peribadi atau di sekolah, tapi dia nafikan. Pada hari kejadian dia tidak pergi ke sekolah dan memberitahu mahu pergi ke Taiping.

“Tapi, dia tidak nyatakan tujuan pergi ke sana. Saya berasa tidak sedap hati dan melarangnya pergi. Namun dia berkeras untuk keluar rumah dan tidak pulang hingga kini,” katanya.

Mariam berkata, dia dan semua ahli keluarga tidak lena tidur dan gelisah memikirkan keselamatan diri Suraidah yang langsung tidak menghubungi mereka sejak keluar dari rumah.

Sehubungan itu, dia merayu kepada Suraidah supaya pulang ke pangkuan keluarga dan membantu melakukan persediaan perkahwinan kakaknya pada 23 April ini.
Mariam meminta orang ramai yang mengenali dan mengetahui di mana Suraidah berada supaya menghubungi kakaknya, Rosnani di talian 013-4269100 ataupun abang iparnya, Anuar di talian 012-5500376.

Dua lelaki sumbat 25 tandan sawit dalam kereta ditahan

KOTA TINGGI: Kehilangan buah sawit di Felda Aping Barat serta kawasan berhampiran terjawab berikutan penahanan dua lelaki di Batu 2, Kampung Bukit Samsu di sini, semalam, selepas pemeriksaan mendapati mereka menyumbat 25 tandan komoditi curi itu di dalam kereta Proton Wira.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, kelapa sawit berkenaan ditemui disumbat di dalam but serta tempat duduk belakang Wira terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata kakitangan pusat pengumpulan buah sawit Felda berkenaan ternampak kedua-dua suspek berusia 20-an memunggah sawit ke dalam kereta.

“Mereka menghubungi Balai Polis Mawai memaklumkan kejadian itu. Polis mengekori kereta terbabit dan setiba di Batu 2, suspek diarah berhenti oleh Ketua Balai Polis Mawai, Sarjan Ibrahim Mamat yang mengetuai operasi.

“Suspek bagaimanapun memecut kereta, tetapi dipintas tidak jauh dari situ. Pemeriksaan menemui 15 tandan sawit di dalam but, manakala 10 lagi di tempat duduk belakang,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Menurutnya, berat keseluruhan sawit berkenaan ialah 375 kilogram (kg) yang dipercayai bakal dijual kepada peraih berlesen di pinggir bandar itu.

Beliau berkata, berdasarkan harga semasa, suspek mampu memperoleh RM200 hingga RM300 hasil jualan sawit curi itu.

“Kami menemui sarung tangan, kain buruk dan lampin pakai buang kanak-kanak dipercayai milik anak seorang daripada suspek di dalam kereta itu. “Kedua-dua suspek akan disiasat sama ada turut terbabit kes kehilangan sawit di lokasi lain,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bimbang anak tak pulang

KAPAR: Seorang ibu bukan sahaja sedih anak kesayangannya hilang, malah turut bimbang akan keadaan anaknya yang kurang upaya (OKU).
Remaja OKU itu dilaporkan hilang pada 15 Mac lalu, dirayu pulang ke pangkuan keluarga berikutan ibu bapanya bimbang keselamatannya.

Kehilangan Mohd Adam Mohd Mansor, 21, (gambar) disedari ibunya kira-kira jam 6 petang ketika pulang ke rumah di Lot 3041, Lapis Satu, Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar, di sini.

Orang ramai yang tahu di mana Mohd Adam berada sila hubungi bapanya, Mohd Mansor Mohd Sarip di talian 016-3830488 atau ibunya, Azian Dasuki, 016-3688245.

Pukau, cabul gadis depan lif


AMPANG: Seorang lelaki mencabul seorang gadis selepas memukaunya, tengah hari kelmarin.
Lelaki berusia 40-an itu pada mulanya menyapa mangsa sebelum memukau dan merabanya selain meminta wang.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila lelaki terbabit menunggu mana-mana gadis di hadapan lif tingkat bawah sebuah pusat beli-belah, di sini.

“Mangsa yang bekerja di tingkat atas pusat beli-belah itu keluar pejabatnya untuk makan tengah hari. Sebaik mangsa tiba di tingkat bawah, mangsa disapa lelaki terbabit yang berbadan gempal.

“Lelaki itu menyapa mangsa konon dapat melihat tuah pada wajahnya. Seterusnya lelaki itu meminta tangan mangsa untuk ditilik,” katanya.

Beliau berkata, selepas mangsa menyerahkan tangan kanannya, dia berasa seperti dipukau apabila membiarkan saja diperlakukan lelaki terbabit.

“Lelaki itu meraba kemaluan dan payu dara mangsa selama beberapa minit. Selepas puas meraba, lelaki terbabit menyuruh mangsa naik ke pejabatnya semula dan mengambil wang tunai untuk diserahkan kepadanya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Cubaan larikan kereta gagal


SELAMAT...Man melihat kereta jirannya yang gagal dilarikan suspek, semalam.
SELAMAT...Man melihat kereta jirannya yang gagal dilarikan suspek, semalam.

PETALING JAYA: Sikap prihatin seorang jiran yang menghubungi polis selepas curiga kehadiran tiga lelaki memasuki kawasan rumah jirannya berjaya menahan dua daripada mereka dalam kejadian di SS20, Damansara Utama, di sini, awal pagi semalam.
Jiran berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 21, berkata ketika dia hendak menutup tingkap rumahnya sebelum tidur kira-kira jam 2.50 pagi, dia ternampak kelibat tiga lelaki mencurigakan berjalan dalam hujan menuju rumah jirannya.

“Saya yakin lelaki terbabit ada niat untuk melakukan jenayah selepas melihat mereka memasuki rumah jiran saya dengan memanjat pagar,” kata ketika ditemui.

Beliau berkata, dia memerhati selama beberapa ketika sebelum menghubungi Balai Polis Damansara.

“Saya menghubungi polis kira-kira jam 2.55 pagi dan lima minit kemudian, anggota polis tiba dengan empat kereta peronda dan memberkas dua daripada tiga lelaki terbabit,” katanya.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis menggagalkan cubaan dua lelaki berusia 20-an yang mahu mencuri sebuah Toyota Rush di dalam kawasan rumah manakala seorang lagi melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis. “Seorang suspek ditahan ketika menyorok di tempat duduk belakang sebuah lagi kereta milik mangsa dan seorang suspek ditemui menyorok di dalam Honda Civic dipandu mereka yang turut dilaporkan hilang, di Jalan Tun Razak, semalam. “Polis turut menemui alat curi kenderaan seperti pemutar skru dan alat pecah rumah yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka.” katanya yang ditemui di tempat kejadian selepas memberi sijil penghargaan kepada Man kerana berani tampil melaporkan kejadian jenayah itu hingga polis menahan suspek terbabit.

Arjunaidi berkata, suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) kerana cubaan mencuri kenderaan.

Sementara itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chu, 25, berkata ketika kejadian dia dan ahli keluarganya tidur nyenyak.
“Saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada jiran yang mengatakan sepasukan polis ada di hadapan rumah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepada jiran dan polis kerana bertindak pantas,” katanya.

Pelajar tingkatan empat hilang selepas ke sekolah

PUTRAJAYA — Seorang pelajar perempuan, Nur Atiqah Tajuddin, 16, yang ke sekolah pada petang Jumaat lepas untuk menghias kelas tidak pulang ke rumahnya di Presint 9 sehingga hari ini.
Ibunya Roslinda Karim, 46, berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya, ketika beliau pulang ke rumah pada waktu rehat hari yang sama sebelum kembali ke tempat kerja di sebuah kementerian di sini pada pukul 2 petang.
"Selepas Nur Atiqah tidak pulang ke rumah petang itu, saya hubungi rakannya yang sama-sama ke sekolah dan diberitahu anak saya sudah keluar dari sekolah dan ke perhentian bas berhampiran untuk bertemu seorang lagi rakan perempuannya berusia 12 tahun yang dilaporkan turut hilang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Roslinda berkata, Nur Atiqah, anak keempat daripada enam beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (1) tidak membawa telefon bimbit dan sebarang dokumen pengenalan diri.
Cubaan beliau menghubungi rakan Nur Atiqah yang dilaporkan hilang bersamanya juga gagal apabila telefon bimbit itu dijawab oleh invidividu tidak dikenali. — Bernama

Mesir tahan dua anak lelaki Mubarak


SHARM EL-SHEIKH: Pegawai kanan polis Mesir berkara dua anak lelaki bekas Presiden Hosni Mubarak ditahan 15 hari untuk siasatan peranan mereka dalan keganasan terhadap penunjuk perasaan dan rasuah. 


Mej Jen Mohammed el-Khatib, ketua keselamatan Sinai Selatan, memberitahu orang ramai di luar sebuah mahkamah di bandar peranginan Sharm El-Sheikh bahawa kedua-dua mereka ditahan di Kaherah semetara menunggu hasil siasatan.
Mubarak, 82, dimasukkan ke hospital malam tadi berikutan serangan jantung ketika siasatan berhubung dakwaan rasuah dan serangan terhadap penunjuk perasaan yang menjurus kepada pengunduran beliau, bermula.
Mubarak dipercayai membimbing anak lelaki bongsunya, Gamal yang juga pegawai tinggi dalam parti pemerintah, untuk menggantikan beliau. - AP 

Kereta api barang tergelincir, Ekspres Rakyat lewat sejam


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Ekspres Rakyat Butterworth-Singapura mengalami kelewatan tiba dan bertolak selama satu jam berikutan insiden tren kargo yang tergelincir antara Padang Rengas dan Bukit Berapit di Perak pagi tadi. 


Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dua gerabak kosong yang digunakan untuk membawa simen tergelincir pada 5.35 pagi.
Kerja baik pulih dijangka siap sebelum tengah hari ini.
"KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami," menurut kenyataan itu. 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 1-300-88-5862. - BERNAMA 

Penganggur cederakan tukang masak didenda RM6,000



13/04/2011 4:35pm

KUALA LUMPUR 13 April – Seorang penganggur hari ini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan seorang tukang masak, termasuk menetak mangsa dengan sebilah parang, dua bulan lalu.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas S. Daianatan, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Daianatan bersama empat orang lagi yang masih bebas dengan niat bersama mencederakan S. Mohanadas, 27, dengan sebilah parang di bahagian kepala di bawah blok 100, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai Dalam, di sini pada pukul 3 pagi, 27 Feb lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — Bernama

'Dia hendak pukul saya sampai mati' - Perayu

PUTRAJAYA 12 April - ''Saya tidak berniat bunuh dia, saya cuma mempertahankan diri kerana dia (si mati) mengatakan hendak pukul saya sampai mati,'' demikian rayuan seorang wanita warga Thailand yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana menyebabkan kematian lelaki tersebut.
Prapasiri Panyakhom, 38, menjelaskan kepada Mahkamah Rayuan hari ini bahawa dia tidak sengaja menyebabkan kematian Ng Chuin Teik, 36, selepas rakannya itu memukulnya bertalu-talu menggunakan topi keledar.
Wanita tersebut yang tidak diwakili peguam bela turut menyatakan, dia merindui anaknya berusia 15 tahun yang kini berada di Thailand dan tidak mengetahui bahawa dia ditahan di penjara sejak tarikh tangkapan pada 9 Mac 2008.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hasan Lah yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman penjara 14 tahun.
Prapasiri mengaku bersalah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap lelaki itu pada pukul 12.30 tengah hari, 9 Mac 2008 di rumah No. 11, Jalan Salleh, Taman Kim Teng, Johor Bahru, Johor.
Pembantu gerai menjual ikan di pasar itu dikenakan hukuman penjara 18 tahun dan denda RM10,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen.
Dia yang tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut merayu ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan rayuan itu dibenarkan apabila hukuman penjara dikurangkan kepada 14 tahun.
Ringkasan fakta kes menyatakan, pada hari kejadian, pertengkaran berlaku di antara wanita itu dan Chuin Teik selepas perayu memarahi lelaki tersebut agar berhenti bermain judi daun terup kerana dikhuatiri akan kalah.
Teguran Prapasiri membangkitkan kemarahan mangsa lalu memukulnya menggunakan topi keledar menyebabkan wanita itu berlari ke dapur dan mengambil pisau dan terus menikam lehernya.

Dadah: Penganggur dipenjara, sebat

KUALA LUMPUR 12 April - Seorang penganggur dihukum penjara dua tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 5.49 gram, dua bulan lalu.
Mohd. Sulaiman Mat Jelani, 37, yang tidak diwakili peguam bela mengaku memiliki dadah tersebut di Stesen Minyak Petronas, Taman Tenaga, Jalan Jelawat, Cheras di sini pada pukul 7.30 malam, 8 Februari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan sebatan maksimum sembilan kali.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd. Nasir memerintahkan tempoh hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada hari kejadian.

Dua maut, kereta bertembung motosikal

SEREMBAN 12 April - Dua lelaki terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Pajam-Mantin, dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, penunggang motosikal, D. Jevan, 25, maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta, Zakaria Zainal Chandra, 31, pula meninggal dunia ketika mendapat rawatan di wad kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini.
Menurut jurucakap polis, kejadian berlaku apabila Zakaria yang memandu kereta Perodua Kancil bersama dua lagi penumpang wanita sedang menghala ke Mantin dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Jevan dari arah bertentangan.
"Pertembungan itu mengakibatkan kereta berkenaan terbabas dan terbalik ke dalam longkang. Dua penumpang wanita berusia 20-an itu cedera ringan dan dirawat di HTJ.
"Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan keadaan jalan juga licin serta gelap. Namun, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian," jelasnya.
Pegawai Turus Trafik negeri, Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

7 posmen, kakitangan JPN komplot palsu kad kredit


KUALA LUMPUR: Tujuh posmen dan seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara anggota sindiket yang ditahan kerana memalsukan kad kredit dengan nilai penipuan hampir RM1 juta sejak dua tahun lalu.


Turut ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Polis Kuala Lumpur itu, lima individu termasuk tiga wanita, berusia 25 hingga 40 tahun.
Mengikut modus operandi mereka, sindiket yang beroperasi di Lembah Klang itu memperalatkan posmen terbabit untuk memintas kad kredit yang sepatutnya dihantar ke alamat pelanggan sebelum mengambil cip pada kad berkenaan.
Anggota sindiket kemudian melekatkan cip itu pada kad kredit lain yang dipalsukan dan mendapatkan pengesahan daripada bank dengan mendakwa mereka pemilik sebenar kad kredit melalui maklumat diri pelanggan yang disalurkan kakitangan JPN terbabit sebelum menggunakannya untuk membeli pelbagai barangan mewah.

Selain itu, anggota sindiket juga menggunakan modus operandi dengan menghantar kad kredit dilekatkan cip palsu yang tidak berfungsi kepada pelanggan dan apabila mangsa menghubungi bank untuk mengaktifkannya, sindiket terbabit mengambil kesempatan berbelanja tanpa disedari pemilik. 

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki di Pos Laju Taman Shamelin, Cheras, pada 1 April lalu, selepas kakitangan pejabat pos itu mengesan suspek yang cuba menuntut kad kredit milik seorang wanita menggunakan kad pengenalan palsu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata susulan penahanan itu, polis berjaya menahan tujuh posmen yang menjadi dalang kegiatan itu selain seorang pembantu am JPN yang berperanan sebagai pembocor maklumat peribadi pelanggan bersama empat suspek lain termasuk tiga wanita. 
Berikutan itu, katanya, polis merampas 10 kad kredit disyaki palsu, 11 sampul surat mengandungi kad kredit yang tidak dihantar oleh posmen terbabit, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard serta 19 telefon bimbit pelbagai model.

“Semua suspek ditahan di beberapa lokasi termasuk rumah serta Pejabat Pos dan polis juga berusaha mengenalpasti rangkaian sindiket terbabit selain kemungkinan masih ada saki baki anggotanya yang masih bebas,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, semalam.

Amar Singh berkata, semua suspek kini direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong supaya harta diserahkan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda.

Susulan kejayaan itu, beliau berkata, polis sudah mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi kewangan bagi mencari kaedah lebih selamat dalam proses penghantaran kad kredit kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar, dalam kenyataannya semalam, berkata pihaknya sudah menamatkan perkhidmatan semua posmen terbabit dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Pos Malaysia Berhad tidak akan memaafkan kakitangan pos yang merosakkan surat dan barang yang perlu dihantar serta sebarang perbuatan salah laku,” katanya.

Arus deras Sungai Dungun hanyut pelantar pam pasir


DUNGUN: Arus deras di Sungai Dungun berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan sebuah pelantar mengepam pasir di sungai itu dihanyutkan air hingga tersangkut di bawah Jambatan Dungun, kelmarin. 


Keadaan berkenaan membimbangkan orang ramai dan syarikat melombong pasir yang berpangkalan di Kampung Che Lijah, berikutan struktur atas pelantar terbabit tersangkut di kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kabel elektrik sepanjang 100 meter itu merentasi di sepanjang jambatan terbabit menghubungkan dari Kampung Tanjung Pagar ke Kampung Pulau Serai.
Penyelia syarikat terbabit, Ismail Rani, 37, berkata beliau menyedari pelantar itu hilang ketika tiba di tempat kerja kira-kira jam 7.30 pagi, sebelum menggunakan bot gentian kaca untuk mencarinya. 

Katanya, beliau menemui pelantar itu tersangkut di bawah jambatan itu, kira-kira lima kilometer dari tempat kerja mengepam pasir milik syarikatnya di Kampung Che Lijah. 

“Pemeriksaan kami mendapati struktur atas pelantar itu tersangkut di rasuk jambatan dan keadaan arus sungai menyebabkannya turut bergesel dengan kabel elektrik di situ, " katanya. 

Katanya, pihaknya akan menunggu paras sungai surut dan arus sungai semakin tenang untuk menunda kembali pelantar itu ke lokasi kerja melombong pasir. 
“Kami akan berhubung dengan TNB untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan kabel itu putus atau tercedera yang boleh menyebabkan penduduk di Kampung Pulau Serai bergelap,” katanya. 

Ismail berkata, beliau tidak menyangka pelantar terbabit boleh dihanyutkan arus deras kerana diikat dengan lima buah sauh termasuk ditambat pada pokok besar di tepi sungai itu. 

Katanya, Sungai Dungun yang melimpah berikutan hujan lebat di kawasan hulu dipercayai menjadi punca arus sungai berkenaan semakin kuat sejak beberapa hari lalu. 

Bapa lemah dengar berita anak jatuh jambatan


GEORGETOWN: Suasana sedih menyelubungi keluarga peguam muda yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, tanpa sebab jelas kerana mangsa dikatakan baru saja tiba dari Kuala Lumpur, semalam. 


S Thilagumaran, 25, yang berkemeja dan berseluar hitam, dipercayai terjatuh dalam laut di Kilometer 3.5 Jambatan Pulau Pinang selepas meninggalkan Toyota Vios miliknya di ruang henti kecemasan di atas jambatan pada jam 6 pagi.Bapanya dikenali sebagai Suppramaniam, 60-an, tiba dari Sungai Karangan, Kulim, Kedah, bersama beberapa ahli keluarga di tempat kejadian, tidak mampu berdiri apabila melihat kereta anak berada di situ.
Suppramaniam menjadi lemah hingga memaksa ahli keluarga yang mulanya menahan perasaan melepaskan kesedihan tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang memperlahankan kenderaan masing-masing untuk mengetahui apa berlaku di tengah jambatan itu. 

Adik beradik mangsa terpaksa memapah bapa mereka masuk ke dalam kereta milik Thilagunaran yang ditinggalkan tanpa dikunci, manakala ahli keluarga lain hanya duduk di tepi jalan sambil merenung ke arah laut. 

Semua barang peribadi Thilagumaran seperti dompet, telefon bimbit dan kunci kereta ditinggalkan di atas tempat duduk pemandu. 

Bot peronda Pasukan Gerakan Marin (PGM), Unit Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan operasi mencari dan menyelamat. 
Rakan mangsa yang enggan dikenali, berkata Thilagumaran baru saja pulang ke Sungai Karangan malam kelmarin sebelum keluar semula ketika ahli keluarga sedang nyenyak tidur. 

Sementara itu, Pegawai Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Prai, Mohd Roslin Kamis, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada Unit Peronda Jambatan Pulau Pinang mengenai kes orang terjatuh ke laut, pada jam 8.38 pagi. 

Satu jentera bersama lapan anggota tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian, mendapati sebuah kereta di ruang henti kecemasan di bahu kiri jalan. 

"Unit Marin dan Skuba dengan lapan anggota turut dipanggil membantu operasi yang mungkin mengambil masa lama kerana arus deras," katanya.