Search This Blog

Tuesday, April 12, 2011

Wanita Thai kekal jalani hukuman penjara

PUTRAJAYA – Seorang wanita warganegara Thailand kekal menjalani hukuman penjara selama 14 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakannya apabila rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Prapasiri Panyakhom, 38, gagal dalam rayuannya di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara 14 tahun yang dijatuhi terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 12 Februari 2009.
Hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak rayuan Prapasiri dan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi.
Prapasiri dihukum penjara 18 tahun dan didenda RM10,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian Ng Chuin Teik, 36, di sebuah rumah di Jalan Salleh, Taman Kim Teng, Johor Bahru kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 9 March 2008.
Dia yang tidak puas hati dengan hukuman penjara itu kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi yang telah membenarkan rayuannya dan mengurangkan hukuman penjara itu kepada 14 tahun bermula tarikh dia ditangkap iaitu 9 Mac 2008. – Bernama

Waspada pihak menyamar petugas TNB

KUALA LUMPUR –Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak yang menyamar sebagai anggota kerja atau kontraktor TNB yang menjadikan penduduk luar bandar sebagai sasaran.
TNB, di dalam satu kenyataan, berkata, pekerja yang menjalankan tugas di premis pengguna diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa baju-T berwarna merah dengan logo TNB berserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota.
"Anggota kerja yang perlu memeriksa meter hanya akan masuk ke halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kuasa yang memaparkan gambar anggota, nombor kad pengenalan dan nombor pekerja,” katanya.
Pekerja juga tidak dibenarkan membuat pemeriksaan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa TNB.
TNB juga mengingatkan bahawa sebarang transaksi pembayaran seperti deposit hanya dilakukan di kaunter-kaunter Kedai Tenaga dan bukan melalui orang perseorangan. – Bernama

Tindakan pantas jiran gagalkan samun

PETALING JAYA – Hasrat tiga penyamun untuk memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 20/8, Damansara Kim di sini awal pagi ini, terbantut selepas kelibat mereka disedari seorang jiran.

Tindakan pantas seorang pemuda yang menghubungi polis, membawa kepada penangkapan dua suspek berumur dalam lingkungan 20-an, manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sidiq, 21, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, beliau yang baru hendak tidur sedang menutup tingkap sebelum terlihat sebuah kereta yang mencurigakan di hadapan rumah jirannya.

"Saya lihat seorang lelaki mundar-mandir di hadapan rumah jiran sebelah sebelum suspek bertindak memanjat pagar dan masuk ke dalam kawasan rumah, manakala lelaki yang lain menunggu di dalam kereta.

"Saya lantas menghubungi Balai Polis Damansara dan polis tiba tidak sampai lima minit kemudian sebelum menahan dua penjenayah terbabit,” katanya kepada pemberita di hadapan rumahnya di sini. – Bernama

Lelaki warga Myanmar ditemui mati lemas

IPOH – Seorang lelaki rakyat Myanmar di temui mati lemas dalam longkang berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Simpang, Taiping, semalam.
Mayat lelaki lengkap berpakaian itu ditemui terapung dalam longkang yang dipenuhi air oleh seorang remaja lelaki ketika memancing di kawasan itu pada pukul 6.40 petang.
Lelaki itu dipercayai telah mati sejak dua hari lepas, kata Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah ketika dihubungi hari ini. – Bernama

Anggota polis dan adik cedera dibelasah

KUALA TERENGGANU – Akibat perselisihan faham berhubung siapa yang sepatutnya menjaga seekor kura-kura, seorang anggota polis dan adiknya cedera dibelasah lima lelaki dalam satu pergaduhan berhampiran sebuah pasar raya di Permaisuri, Setiu, semalam.
Kejadian pada pukul 7.30 malam itu berlaku apabila seorang pengawal keselamatan berusia 22 tahun itu dilaporkan ingin menyerahkan seekor kura-kura untuk dijaga oleh seorang kawan wanitanya berusia 20-an.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang dua lelaki dipercayai kawan kepada wanita itu terus mengajak mangsa ke belakang bangunan pasar raya itu dan akibat tidak puas hati dengan tindakan itu telah membelasah mangsa.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Supritendan Rohaizat Abd Ani berkata, mangsa sempat menghubungi abangnya berusia 26 tahun yang merupakan seorang anggota polis yang bertugas di daerah Setiu.
Semasa abang mangsa cuba meleraikan pergaduhan, secara tiba-tiba datang tiga lagi lelaki dengan dua daripadanya membawa dua bilah parang dan melibas mangsa dan akibatnya anggota polis itu cedera di bahagian bawah mata manakala adiknya cedera di pergelangan tangan, katanya.
Kelima-lima suspek yang berumur antara 20 hingga 30-an itu kemudian dilihat menaiki kereta jenis Honda CRV berwarna hitam dan dipercayai melarikan diri menghala ke Jertih. – Bernama

Empat lelaki diberkas polis

KAJANG – Polis menahan empat lelaki berusia 18 hingga 34 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dipercayai ganja serta heroin dalam dua kejadian berasingan di Kajang, Jumaat, lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, dalam kes pertama, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membuat serbuan di Taman Seri Mewah, di sini.

“Serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 petang di sebuah rumah dann berjaya menahan dua lelaki berusia 24 dan 34 tahun serta menjumpai beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja.

“Kedua-dua suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam satu lagi kes di Semenyih, dua lagi lelaki ditahan di Jalan Kuari, Kebun Kelapa Sawit kira-kira jam 6.40 petang.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 228 paket dadah yang dipercayai jenis heroin.

“Polis percaya dadah jenis heroin berkenaan untuk pasaran tempatan dan kesemua barangan rampasan berkenaan bernilai kira-kira RM20,000.

“Kesemua suspek yang ditahan kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sepasukan polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kajang yang diketuai Inspektor Amrul Yazid Anuar menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang menyamar sebagai pegawai kastam.

“Polis menerima aduan dari pengadu pada 9 April mengenai tindakan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan dengan memakai vest warna hitam dan terus melakukan pemeriksaan rokok distor miliknya di Bandar Baru Bangi.

“Selain itu, suspek juga bertindak merampas rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai kira-kira RM2,000 dan meminta wang tunai RM3,000 dari pengadu,” katanya.

Azman berkata, susulan dari laporan berkenaan, polis berjaya menahan suspek berusia 30-an itu di rumahnya pada 11 April 2011 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Suspek kini ditahan di lokap IPD Kajang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan penangkapan kesemua kes tersebut adalah hasil kerjasama penuh masyarakat setempat menyalurkan maklumat kepada polis.

Posmen palsukan kad kredit

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 individu termasuk tujuh posmen dan seorang pembantu am Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pintasan dan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Kesemua mereka yang berumur lingkungan 25 dan 40 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Cheras, secara berasingan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, dari 1 hingga 9 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata selain pekerja Pos Malaysia dan JPN, lima lagi yang ditahan adalah penganggur yang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita.

"Kesemua mereka ini disyaki terlibat dalam kegiatan ini sejak 2009," katanya.

Posmen dipecat

KUALA LUMPUR: Tujuh posmen yang dilapor ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan kad kredit telah ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa serta merta, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Bhd Datuk Syed Faisal Albar.
Beliau berkata Pos Malaysia kesal dan memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu walaupun ia merupakan kes terpencil.

"Pos Malaysia Bhd sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan kes-kes dan perbuatan salah laku atau merosakkan surat-surat dan item mel dan tidak memaafkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab di kalangan kakitangan pos," katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis dilapor menahan 13 individu termasuk tujuh posmen dan seorang Pembantu Am Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pintasan dan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 25 dan 40 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Cheras, secara berasingan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, dari 1 hingga 9 April lepas.

Syed Faisal berkata, Pos Malaysia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan terus membantu dalam siasatan mereka.

Pelajar Nigeria seludup syabu

SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal dari Iran dan seorang penuntut rakyat Nigeria di tahan selepas tiba di negara ini melalui udara kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM850,000.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Supt Abdul Razak Md Zin berkata dalam kes pertama, wanita Iran itu membawa dadah yang disorok di dalam bengkung dipinggangnya ketika ditahan pada Khamis lepas (7 April) di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Beliau berkata, ibu tunggal berusia 44 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan terutama bentuk badan dan gaya beliau berjalan selepas tiba dengan penerbangan dari Teheran pada pukul 11.30 pagi.

Hasil pemeriksaan badan, polis menemui lima paket syabu seberat 1.43 kg dengan nilai pasaran RM350,000 di dalam bengkung khas yang dipakai wanita yang tidak mempunyai pekerjaan itu, katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada keesokan harinya, seorang lelaki rakyat Nigeria berusia 32 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 2.30 petang setelah polis menemui dua bungkusan mengandungi syabu seberat 2.1 kg bernilai RM500,000 di sembunyikan dalam beg pakaiannya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu merupakan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Lembah Klang dalam pengajian Bahasa Inggeris.

Abdul Razak berkata, wanita terbabit ditahan reman sehingga Khamis ini manakala lelaki Nigeria itu direman sehingga Sabtu. Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Pegawai pendakwa trafik dituduh rasuah

SHAH ALAM: Seorang pegawai pendakwa trafik, Cif Inspektor Afnizanizam Mohamad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah, pertengahan tahun lalu. 
Afnizanizam mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, meminta suapan bernilai RM12,000 daripada tiga tertuduh kes memiliki dadah, Noraini Abd Latif, Mohammad Qayyum Muizz Ramlan dan Armadi Darma Basrul, bagi melepaskan mereka daripada pertuduhan mengikut Seksyen 6 dan 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM6,000 daripada Noraini untuk melepaskan ketiga-tiga individu berkenaan.
Afnizanizam didakwa melakukan kesalahan meminta itu pada 19 Mei lalu dan kesalahan kedua dilakukan pada 24 Mei lalu, di Pejabat Pegawai Pendakwa Trafik di Mahkamah Majistret Selayang, Gombak.

Jika sabit kesalahan, Afnizanizam boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. 

Dua remaja maut motosikal bertembung

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut apabila motosikal mereka berlanggar antara satu sama lain di Jalan Kampung Padang Nanas, Bukit Rakit dekat sini malam tadi. 
Mereka ialah Muhammad Arieff Hamzah, 17, dari Kampung Buluh Gading dan Mohd Azmizi Aziz, 24, dari Kampung Padang Nanas.
Muhammad Arieff adalah pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Tengku Mizan di Batu Rakit.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin, berkata dalam kemalangan jam 10.40 malam itu, Mohd Azmizi dikatakan secara tiba-tiba menunggang keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Padang Nanas lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Arieff.

"Ketika itu Muhammad Arieff dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit setelah selesai menghadiri kelas tuisyen di Kampung Wakaf Tengah. Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya. 

7 posmen, pembantu am ditahan kes pintasan kad kredit

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 individu termasuk tujuh orang posmen dan seorang pembantu am Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pintasan dan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian hampir RM1 juta. 
Mereka yang berumur lingkungan 25 dan 40 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Cheras, secara berasingan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, dari 1 hingga 9 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata selain pekerja Pos Malaysia dan JPN, lima lagi yang ditahan adalah penganggur yang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita.
"Semua mereka disyaki terlibat dalam kegiatan ini sejak 2009. Tangkapan pertama telah dibuat pada 1 April lepas, apabila seorang lelaki berumur 37 tahun ditahan di Pejabat Pos Taman Shamelin, Cheras," katanya.

Amar Singh berkata lelaki itu ditahan kerana cuba mengambil bungkusan yang mengandungi kad kredit yang didaftarkan atas nama seorang wanita.

"Pejabat Pos telah menghubungi wanita itu yang menafikan dia telah mendapat kad kredit yang dipohonnya.

"Pemeriksaan mendapati, suspek turut menggunakan kad pengenalan palsu atas nama pelanggan (wanita) itu bagi menuntut bungkusan kad kredit berkenaan," katanya.
Bertindak atas maklumat itu, polis kemudian menahan lelaki terbabit dan pemeriksaan ke atasnya, polis menemui 10 keping kad kredit pelbagai bank yang dipercayai palsu.

"Sindiket itu akan menggunakan posmen bagi memintas kad kredit mangsa dan posmen terbabit akan dibayar upah antara RM50 sehingga RM100 bagi satu kad kredit yang berjaya dipintas," katanya.

Beliau berkata sindiket itu kemudian akan mengeluarkan cip yang ada pada kad kredit asal dan meletakkan pada kad kredit lain.

"Seterusnya kad kredit asal akan ditampal dengan cip yang palsu sebelum kad kredit itu dipulangkan semula kepada pemilik secara pos.

"Suspek yang bekerja di JPN pula akan mengesahkan identiti sebenar pemilik kad kredit itu sebelum kad itu disahkan dan seterusnya dapat digunakan kumpulan terbabit," katanya.

Susulan penahanan semua suspek itu, polis turut berjaya merampas sebuah kereta, 19 telefon bimbit dan 11 sampul surat yang mengandungi kad kredit. - BERNAMA 

Wanita Iran, lelaki Nigeria ditahan seludup syabu

SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal dari Iran dan seorang penuntut rakyat Nigeria di tahan selepas tiba di negara ini melalui udara kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM850,000. 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Supt Abdul Razak Md Zin, berkata dalam kes pertama, wanita Iran itu membawa dadah yang disorok di dalam bengkung dipinggangnya ketika ditahan pada Khamis lalu di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.
Beliau berkata, ibu tunggal berusia 44 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan terutama bentuk badan dan gaya beliau berjalan selepas tiba dengan penerbangan dari Teheran pada 11.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan badan, polis menemui lima paket syabu seberat 1.43 kg dengan nilai pasaran RM350,000 di dalam bengkung khas yang dipakai wanita yang tidak mempunyai pekerjaan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sehari kemudian seorang lelaki rakyat Nigeria berusia 32 tahun pula ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 2.30 petang selepas polis menemui dua bungkusan mengandungi syabu seberat 2.1 kg bernilai RM500,000 disembunyikan dalam beg pakaiannya.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu adalah penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Lembah Klang dalam pengajian Bahasa Inggeris.

Abdul Razak berkata, wanita terbabit ditahan reman sehingga Khamis ini manakala lelaki Nigeria itu direman sehingga Sabtu.
Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, sejak awal tahun sehingga kini, seramai 42 rakyat asing ditahan kerana menyeludup dadah ke Malaysia dengan majoriti terdiri daripada rakyat Iran iaitu 26 orang dan 10 rakyat Nigeria.

"Setakat ini rampasan dadah di Selangor ialah 94.2 kg syabu, 25 kg ketamin dan 6.3 kg ganja," katanya. - BERNAMA 

Polis buru pencuri motosikal

KULIM - Polis memburu seorang lelaki yang terlibat dalam beberapa kejadian mencuri motosikal di sekitar kawasan Kulim.

Terkini suspek mencuri sebuah motosikal Honda C70 berwarna biru yang dilaporkan hilang di hadapan sebuah kedai komputer di jalan Mini Stadium Keladi.

Mangsa berusia 21 tahun dalam laporannya menyatakan pada 29 Mac lalu dia meletakkan motosikalnya di hadapan premis itu kira-kira jam 10 pagi.

Kira-kira jam 6.30 petang apabila dia keluar dari kedai itu, dia mendapati motosikalnya sudah tiada dipercayai dicuri.

Menurut jurucakap polis, polis dapat mengesan suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang di pasang di hadapan kedai itu.

Katanya, polis mempercayai motosikal mangsa dicuri kira-kira jam 10.41 pagi berdasarkan masa yang tercatat di CCTV.

“Polis mengenal pasti suspek terlibat. Dia seorang lelaki dipercayai berbangsa India, rambut di bahagian atas tengah berwarna putih. Bentuk badan kurus dan tinggi. Suspek ini dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian curi motosikal di sekitar Kulim. Bagi mereka yang ternampak suspek sila hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, suspek sering dilihat berlegar di sekitar kawasan Kulim.

Menurutnya, beliau yakin polis dan PPKM akan berjaya menahan suspek tidak lama lagi.

“Melihatkan dari imej yang ada pada CCTV, saya yakin pernah terserempak dengan suspek. Saya akan memaklumkan kepada lebih hampir 800 ahli PPKM di Kulim untuk memantau suspek. Sekiranya suspek ditemui, PPKM akan terus menghubungi polis. Sehingga ini beberapa perlakuan jenayah yang berlaku di Kulim berjaya dikurangkan tetapi gejala mencuri motosikal masih berlaku.

“PPKM akan memberikan komitmen penuh kepada polis untuk memastikan suspek ditahan. Saya dimaklumkan indeks jenayah Balai Polis Kulim juga menurun dengan banyak. Ini menunjukkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan polis penting untuk memastikan perlakuan jenayah dapat ditangani,” katanya.

Keluarga mayat wanita tanpa identiti dicari



ALOR SETAR - Penemuan mayat tanpa identiti di Sungai Padang Terap, Kampung Lengkuas, Kepala Batas jam 3 petang, 26 Mac lalu masih belum dituntut ahli keluarga dan saudara terdekat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mayat wanita itu ditemui hanya memakai pakaian dalam dan berseluar jeans hitam.

Menurutnya, mayat yang ditemui hasil dari maklumat orang awam itu turut memakai rantai tangan berwarna perak.

“Tiada sebarang dokumen peribadi bersama dan kita anggarkan kejadian itu telah berlaku lebih kurang sepuluh hari.

“Mayat mangsa yang hampir reput itu juga menyukarkan pihak polis mengenal pasti identiti sebenar mangsa,” katanya kepada media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Adzaman berkata, mayat wanita itu tingginya 152 sentimeter dan sampel anggota badan turut dihantar ke jabatan kimia.

“Kejadian ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan jika orang ramai mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi Chief Inspektor Ling Hua Leong di talian 04-7144 222 atau 012- 506 7962,” katanya.

Sinar Harian 27 Mac lalu menyiarkan berita mengenai penemuan mayat wanita berkenaan yang dijumpai penduduk sewaktu memeriksa jala.

Penyamun gajet tumpas

BANDA HILIR - Gerak-geri seorang lelaki yang mencurigakan akhirnya membawa kepada penemuan pelbagai peralatan komunikasi dipercayai dicuri di dalam kereta lelaki terbabit.

Kegiatan lelaki itu terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan sepasukan polis terhadap kereta suspek, Khamis lalu.

Berikutan penemuan itu, polis turut berjaya mengesan dan menahan empat lelaki lagi dipercayai daripada kumpulan sama, sekali gus mematahkan sindiket dipercayai terbabit dalam kegiatan samun serta mencuri gajet telekomunikasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, lelaki pertama ditahan polis kira-kira 3.30 petang, Khamis lalu selepas pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kancil miliknya terdapat enam komputer riba, tiga telefon bimbit, tiga peralatan jalur lebar serta peralatan pecah rumah.

Beliau berkata, hasil penemuan itu, polis menahan empat lagi lelaki berusia antara 21 dan 27 tahun di beberapa lokasi di daerah ini.

“Siasatan awal polis mendapati kumpulan ini terbabit dalam beberapa siri kegiatan pecah rumah di negeri ini.

“Polis percaya dengan penahanan lima lelaki ini, kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini semalam.

Salehhudin berkata, kesemua suspek kini sedang direman bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi serta Seksyen 457 kerana samun.

Remaja maut dirempuh

ALOR SETAR - Seorang pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di jalan Kancut sekitar jam 2.15 petang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dan kereta yang melanggarnya menuju ke arah sama.

Namun katanya, apabila sampai di satu simpang ketika pemandu kereta ingin membelok masuk ke ke Taman Tengku Habsah, secara tiba-tiba pemandu itu merempuh motosikal berkenaan.

“Mangsa yang dikenali sebagai Alif Shalihin Sulaiman, 18, dari Taman Aman Anak Bukit maut di tempat kejadian, dia bagaimanapun dikatakan tidak sempat mengelak dari dirempuh kereta berkenaan.

“Akibat daripada rempuhan kuat, mangsa kemudiannya terpelanting sejauh 12 meter ke atas jalan, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta sudah tampil membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, S Suja, 36, berkata, sewaktu kemalangan itu berlaku dia dalam perjalanan ke hospital dengan membonceng motosikal dari arah bertentangan.

“Dari jauh saya melihat mangsa masih lagi bergerak dan menggelupur, namun apabila saya turun dari motosikal seterusnya menyeberangi jalan untuk ke tempat kemalangan, mangsa pengsan serta meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang juga dipercayai kakitangan penjara terkejut dengan kejadian menimpa anak lelakinya itu.

Pemandu van dituduh cabul pelajar

KUALA TERENGGANU - Angkara nafsu! Seorang pemandu van prebet sapu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang pelajar Tingkatan Empat, 2 April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Sahabuddin Razali, 26, dari Kampung Baru Pusu Tiga, Kuala Terengganu tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul gadis bawah umur yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.

Pertuduhan dijalankan Inspektor Ravi Vatarajoo di hadapan Majistret, Nor Azizah Jusoh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat telah mencabul kehormatan pelajar Tingkatan Empat, pada 2 April lalu antara jam 1.30 petang hingga 1.45 petang di dalam sebuah van di tempat letak kereta berhampiran Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Nerus.

Tertuduh yang sudah berumah tangga dituduh bertindak demikian sebelum menghantar mangsa pulang ke rumah.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 5 Mei depan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. 

Menyorok dalam bilik air

KUALA TERENGGANU - Rahsia kehidupan mewah sepasang suami isteri yang tidak bekerja tetapi memiliki aset keseluruhan sejumlah RM217,412 terbongkar, selepas polis menemui 30 botol dadah jenis heroin di kediaman mereka di Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang, 9 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, dadah seberat 120 gram yang bernilai RM30,000 itu dirampas selepas pemeriksaan dilakukan di dalam beg tangan yang dibimbit oleh suspek wanita, 34, kira-kira jam 9.30 malam.

“Suspek wanita yang berasal dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai itu cuba melarikan diri ke arah bahagian dapur sambil membimbit beg tangan berkenaan sejurus menyedari pihak polis membuka jeriji pintu rumah tersebut menggunakan alat khas.

“Polis terpaksa bertindak sedemikian kerana tuan rumah enggan membuka pintu walaupun berulang kali diarahkan berbuat sedemikian,” katanya dalam sidang media, semalam.

Menurut Roslan, dadah yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar dari negara jiran itu bernilai RM30,000.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut dalam kediaman itu juga menemui suami suspek, 21, yang juga bekas pemain bola sepak Piala Presiden Terengganu dari Kampung Bukit Nangka, Kuala Nerus yang ketika itu berada di dalam bilik air, dipercayai cuba menyembunyikan diri.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 15 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, harta pasangan terbabit iaitu wang tunai RM3,700, akaun-akaun bank RM182,289, sebuah kereta jenis Honda Feroi bernilai RM23,000, sebuah motosikal Honda Ex-5 bernilai RM3,500, barang kemas iaitu seutas rantai tangan bernilai RM3,425 dan seutas rantai leher RM1,498 turut disita.

Sementara itu, Roslan berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai antara pengedar dadah jenis heroin yang bukan sahaja aktif di Marang, tetapi turut aktif di daerah lain berdasarkan jumlah heroin yang dimiliki mereka. 

Rumah PPRT dilanda banjir kilat

KAMPUNG GAUNG - Kegembiraan seorang penerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Khazimie Abdullah, 44, tidak bertahan lama apabila rumah belakang masjid Kampung Gaung yang diperoleh itu sentiasa berdepan masalah banjir kilat setiap kali hujan.

Khazimie berkata, masalah itu bukan asing baginya kerana setiap kali hujan lebat, kawasan itu akan ditenggelami air berikutan sistem perpari-tan tidak sistematik selain kawasannya juga rendah.

“Sebelum ini saya menumpang di rumah ibu tidak jauh dari sini.

“Saya mula mendiami rumah PPRT ini sekitar 2008 lalu dan gembira dengan sumbangan kerajaan ini,” katanya.

Khazimie berkata, dia tidak menyangka kegembiraan itu tidak lama berikutan terpaksa menghadapi masalah banjir kilat.

“Bayangkan, jika hujan lebat tidak berhenti beberapa jam, kawasan rumah saya akan digenangi limpahan air dari longkang kerana saiznya agak kecil selain aliran air tidak lancar kerana tersumbat.

“Pagi tadi (kelmarin) paras air hadapan rumah saya sedalam kira-kira 0.5 meter sehingga memaksa saya meletakkan motosikal di hadapan pintu utama rumah, malah air juga sudah memasuki bahagian dapur rumah,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menghadapi situasi itu setiap kali hujan lebat berpanjangan kerana longkang tidak sistematik.

“Bagi saya jika saiz dan kedalaman longkang sama sebagaimana longkang di kawasan kubur di sini, masalah ini akan dapat diatasi,” katanya.

Menurutnya, kejadian banjir kilat itu pernah disuarakan kepada pihak berkenaan tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil.

“Kejadian banjir kilat sebegini sebenarnya lebih serius sebelum pembinaan longkang konkrit dilakukan di sini kira-kira tiga tahun lalu bagi menggantikan parit, namun tidak sangka ia masih berterusan sehingga kini biarpun keadaannya tidak serius sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Bot nelayan karam

KUALA DUNGUN - Dua nelayan tempatan berhadapan ujian berganda apabila bot milik mereka yang berlabuh di sebuah jeti milik individu di muara sungai dekat sini dihanyutkan arus deras sebelum karam di dasar sungai.

Kejadian awal jam 5 pagi itu dipercayai berlaku apabila tali pengikat tunggul yang diikat pada bot berukuran 15 meter panjang itu terputus, sebelum dihanyutkan arus deras sejauh hampir 150 meter dari lokasi asal ia dilabuhkan.

Pemilik Aking Boat, Hakim Ismail, 42, berkata, dia menyedari dua bot nelayan yang berlabuh di pekarangan jeti miliknya itu hanyut setelah dimaklumkan pekerjanya sebelum menghubungi kedua-dua pemilik bot terbabit untuk memaklumkan mengenai kejadian.

Katanya, ketika kejadian, arus sungai mencecah tebing dan kelajuannya amat luar biasa sehingga bot miliknya yang turut berlabuh berhampiran bot yang tenggelam itu juga nyaris dihanyutkan.

“Pada masa kejadian, ada kira-kira 12 bot sedang berlabuh di situ, dua daripadanya hanyut dan gagal diselamatkan, namun 10 yang lain terselamat.

“Keadaan arus ketika itu amat luar biasa, tidak pernah berlaku sebelum ini, seolah-olah ada sumber air lain yang masuk ke sungai ini. Dasar sungai yang cetek dan dipenuhi benteng pasir menyebabkan bot yang hanyut itu terus karam,” katanya.

Sehubungan itu Hakim yang mengusahakan industri membuat bot menyaran pihak berkenaan mengambil tindakan segera mendalamkan dasar sungai untuk mengelakkan kejadian sama berulang.



Tali diikat kuat



“Kalau tak ada beting pasir di muara, bot pakcik hanya hanyut, tetapi akibat muara sungai cetek, arus pula deras, sebab itulah ia karam,” kata Yusuf Salleh, 67, salah seorang pemilik bot yang karam di Muara Sungai Dungun setelah dihanyutkan arus deras sejauh hampir 150 meter dari lokasi ia dilabuhkan.

Yusuf berkata, dia menggunakan bot kayu berukuran kira-kira 15 meter panjang itu untuk menangkap ikan di perairan Dungun bersama tiga awak-awak lain sejak 16 tahun lalu.

Dia yang membeli bot terpakai itu dengan harga RM30,000 berkata, setiap kali melabuhkan bot berenjin 37 kuasa kuda itu, dia akan memastikan botnya diikat ketat dengan tali yang disangkut pada tunggul berisi pasir kira-kira 50 kilogram setiap satu.

Bagaimanapun, dia yang tinggal di Batu Tiong itu terkejut dari tidur apabila dihubungi pemilik jeti persendirian, memaklumkan mengenai botnya.

“Bot berkenaan memang sudah diikat dengan kuat, talinya tidak pernah terputus sebelum ini walaupun musim tengkujuh, ia tidak pernah dihanyutkan air.

“Namun kejadian arus sungai pada awal pagi tadi (semalam) agak luar biasa seolah-olah ada air pasang, ia karam setelah tersangkut pada beting pasir. Apa pun saya kena terima ujian tuhan,” katanya.



Arus deras bantut usaha naikkan bot



Arus deras dengan keadaan dasar sungai yang dipenuhi ranting kayu menyukarkan tugas penyelam menarik dua bot nelayan yang tenggelam itu.

Kesukaran itu diakui penyelam berpengalaman, Rosamuwar Ali, 31, yang ditugaskan menarik bot yang karam di muara sungai Dungun itu.

Rosamuwar berkata, bot yang karam itu berada dalam keadaan hampir bergesel antara satu sama lain dan arus yang terlalu deras menyukarkannya untuk menghampiri bot milik nelayan tempatan yang dihanyutkan arus deras itu.

“Kalau saya teruskan juga, ia mungkin membahayakan keselamatan saya kerana boleh menyebabkan saya tersepit dicelah dua bot yang karam itu.

“Buat masa ini kita terpaksa menghentikan dulu operasi sehingga keadaan paras air sungai surut semula,” katanya.

Dirogol kekasih kakak

SETIU – Ajakan seorang lelaki untuk mencari kekasihnya yang hilang, membawa padah apabila seorang gadis berumur 16 tahun 7 bulan, yang juga adik kepada kekasih lelaki berkenaan, dirogol di dalam kereta di kawasan semak di Lembah Bidong.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, mangsa mengikut teman lelaki kakaknya atas dasar kepercayaan dan sama sekali tidak menyangka akan berlaku kejadian seumpama itu.

“Suspek berumur 26 tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat swasta di Kemaman.

“Pada hari kejadian, 6 April lalu kira-kira jam 3.30 petang, suspek dikatakan mengajak adik kekasihnya untuk menjejaki kakaknya (kekasih suspek) di tempat kerja, namun ketika sampai di sana, didapati kakak mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an tiada.

“Disebabkan tidak berjaya menjejaki kakak mangsa, suspek mengambil keputusan untuk menghantar semula mangsa pulang ke rumah di Batu Rakit, tetapi semasa dalam perjalanan, suspek dikatakan melencong ke satu lorong di dalam semak lalu terus merogol mangsa,” katanya kepada Sinar Harian sempena lawatan kali pertamanya ke Balai Polis Sungai Tong, semalam.

Menurutnya, selepas merogol mangsa, suspek menghantarnya semula ke rumah dan mangsa telah menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibunya sebelum membuat laporan polis.

“Bertindak berdasarkan maklumat, sepasukan anggota polis berjaya menjejaki suspek pada petang hari sama bagi membantu siasatan.

“Suspek yang kini ditahan reman selama seminggu bermula 6 April sehingga hari ini (12 April) disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, sempena lawatan kali pertama Rohaizat ke Balai Polis Sungai Tong, satu perjumpaan bersama wakil penduduk kampung iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah diadakan bagi kawasan itu.

“Perjumpaan itu dibuat bagi mengetahui permasalahan yang berlaku pada peringkat kampung dan komuniti bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terutama melibatkan kes jenayah setempat.

Orang ramai tidak takut lagun ragut 23 nyawa

PASIR PUTEH – Walaupun sudah meragut 23 nyawa, orang ramai terus mengunjungi Lagun Maut di Kuala Semerak, di sini bersama keluarga.

Penduduk, Zakaria Hassan, 52, berkata, pengunjung tidak menghiraukan papan tanda amaran yang diletakkan sebaliknya terus bermandi manda sambil mencari pelbagai spesies moluska bercangkerang dua seperti tiben, lala dan kepah bersama anak-anak kecil tanpa rasa takut.

Menurutnya, mereka sepatutnya lebih berwaspada kerana lagun maut itu boleh meragut nyawa bila-bila masa sahaja.

”Dasar lagun ini selalu berubah dan kita tidak mengetahui dengan tepat kawasan mana yang sepatutnya dielakkan.

“Kes mati lemas yang berlaku tidak tertumpu pada kawasan tertentu, keseluruhan lagun itu berbahaya sebenarnya,” katanya.

Katanya, walaupun lagun itu kelihatan cetek, namun terdapat kawasan tertentu yang berbahaya seperti mendapan lumpur dan kawah di dasar sungai.

Dia kesal kerana orang ramai memandang remeh papan tanda ‘Lagun Maut’ diletakkan pihak berkuasa tempatan, sebaliknya lagun itu terus dikunjungi terutama cuti sekolah.

Pada awal 80-an, Kuala Semerak berhampiran Pantai Bisikan Bayu yang sekian lama cetek tertutup secara semula jadi yang mewujudkan kawasan berair seakan-akan lagun serta dipenuhi mendapan Lumpur.

Walaupun sungai itu nampak ‘mati’ namun dikatakan masih mengalirkan arus di dasarnya serta ‘bersambung’ dengan laut.

Seorang lagi penduduk, Ramli Mohamad, 46, berkata, air di lagun itu berkemungkinan mengalir dari bawah tanah ke laut pada masa tertentu dan mengheret mangsa ke dasar dan mayat mangsa hanya ditemui selepas air laut memasuki semula ke sungai tersebut.

“Ada kes mayat ditemui di tempat yang sebelum itu menjadi tumpuan penyelamat, kemungkinan mangsa ditarik ke dalam mendapan Lumpur bersama arus dan timbul ke dasar selepas ditolak air laut,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga pusaran air dalam masa tertentu dan tidak terduga menarik mangsa ke dasar sungai.

Suami isteri dipukau kerugian RM25,000

GUA MUSANG - Pasangan suami isteri dipercayai dipukau sebelum barang kemas pusaka arwah mentua bernilai RM25,000 lesap dilarikan pencuri yang pecah masuk rumahnya di Kampung Baru Hulu, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika kejadian antara jam 3 hingga 5 pagi itu, Nik Norihan Mamat, 35, sedang tidur bersama suaminya, Mohamad Kadir, 42, di ruang tamu rumahnya.

Kejadian tersebut disedari Mohamad yang bangun dari tidur kira-kira jam 5.45 pagi untuk mengambil air sembahyang bagi menunaikan solat Subuh dan ternampak keadaan dalam rumah bersepah.

Sangsi dengan kejadian itu, Mohamad terus ke dapur dan tersepak beg duit kecil isterinya yang berada di atas lantai dalam keadaan terbuka sebelum ternampak pintu dapurnya turut terbuka.

“Saya yang masih tidur ketika itu terus dikejutkan suami lalu bangun untuk melihat apa yang telah berlaku dan apabila diberitahu mengenainya, saya terus bergegas mencari satu lagi beg tangan yang berisi barang kemas.

“Semasa naik semula ke ruang tamu menemui beg itu juga dalam keadaan terbuka dan apabila memeriksa mendapati semua barang kemas pusaka arwah mentua hilang,” katanya.

Nik Norihan berkata, dia bersama suaminya yang terkejut mengenai kejadian terus melakukan pemeriksaan di sekitar dapur rumah dan ternampak tingkap terbuka.

Beliau percaya pencuri itu memasuki rumah menerusi tingkap selepas dibuang cermin sebelum keluar menerusi pintu dapur sebaik berjaya mengambil barang kemas bersama tunai lebih RM900.

“Kita juga menemui sepasang selipar yang dipakai pencuri tersebut yang ditinggalkan di depan pintu dapur dan memakai selipar saya yang masih baru,” katanya.

Menurutnya, pencuri terbabit dipercayai menggunakan ilmu pukau kerana tidak sedar ketika berlaku kejadian itu hingga beg tangan yang berisi barang kemas diletakkan atas almari berhampiran tempat tidur dapat diambil pencuri.

“Kami amat sedih kerana barang kemas pusaka mentua yang dihadiahkan kepada kami untuk dipakaikan dikebas pencuri dan wang juga turut hilang hingga tidak dapat berbelanja,” katanya.

Beliau berkata, suaminya membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang kira-kira jam 6 pagi kerana tidak sabar untuk menunggu siasatan lanjut.

Polis ambil keterangan bapa mangsa

KUALA TERENGGANU: Polis sudah mengambil keterangan Khairul Azhar Abdullah, 46, bapa kepada Siti Nur Hazwani, 3, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, pagi semalam.
Keterangan berkenaan diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan kes Khairul Azhar terlanggar anak sendiri ketika mengundur kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero miliknya di hadapan kedai makan di Batu 21, Bukit Ara, Hulu Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Polis juga turut mengambil kenderaan miliknya yang kini ditempatkan di IPD Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, K Manoharan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Akhbar semalam melaporkan seorang bapa terlanggar anak sendiri yang berusia tiga tahun ketika mengundurkan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero miliknya di depan kedai makannya, kelmarin.

Mangsa yang tersedar terlanggar sesuatu, memberhentikan kenderaannya dengan segera.

Amah kitar semula

PUTRAJAYA: Segelintir agensi pembantu rumah asing di negara ini dikesan mengaut keuntungan sehingga berlipat kali ganda daripada seorang pembantu rumah, dengan meminta mereka melarikan diri selepas bekerja antara dua hingga tiga bulan dengan sesebuah majikan.
Menggunakan taktik “recycle” (kitar semula), agensi terbabit akan menghantar seorang pembantu rumah selepas majikan membayar wang deposit antara RM8,000 hingga RM10,000 untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah berkenaan.

Bagaimanapun, selepas dua atau tiga bulan, pembantu rumah ini akan menimbulkan pelbagai masalah, sebelum melarikan diri semula kepada agensi pembantu rumah berkenaan.

Agensi terbabit, kemudian menghantar pembantu rumah sama kepada majikan lain, dan sekali lagi meraih sehingga RM8,000 bagi setiap pembantu rumah.

Difahamkan, proses berkenaan berulang beberapa kali sehingga agensi pembantu rumah berkenaan mendapat keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit untuk setiap pembantu rumah.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), M Matheevani, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada majikan yang ditipu agensi pembantu rumah tidak bertanggungjawab itu, menyebabkan mereka kerugian hingga ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang pembantu rumah.

Katanya, sepanjang 2009, NACC menerima 746 aduan berhubung perkara itu, sementara tahun lalu saja jumlah itu meningkat sehingga 1,363 aduan.

“Melihat kepada aduan yang diterima ia boleh dianggap serius kerana jumlah kerugian ditanggung majikan yang kami rekodkan sepanjang 2010 mencecah RM8.178 juta.
“Jumlah itu hanya berdasarkan kes yang dilaporkan kepada kami, malah kami percaya lebih ramai lagi yang mengalami kerugian akibat sikap tidak bertanggungjawab agensi pembantu rumah asing yang mengaut keuntungan di atas angin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Matheevani berkata, apabila dimaklumkan kepada agensi terbabit, mereka berjanji akan menghantar pembantu rumah lain, namun semuanya janji tinggal janji.

Ia menyebabkan, kebanyakan majikan kecewa dan meminta agensi memulangkan semula wang deposit, tetapi biasanya pelbagai alasan yang diberikan, dan ada diantara mereka hanya mendapat semula suku daripada jumlah keseluruhan yang dibayar.

Lebih menyedihkan, Matheevani, terdapat juga kes pembantu rumah yang tidak pandai melakukan kerja rumah, walaupun pada awalnya mereka dijanjikan dengan pembantu rumah terlatih dan berkelayakan.

Malah, ada juga agensi pembantu rumah asing yang tidak melengkapkan dokumen yang diperlukan termasuk permit masuk dan pemeriksaan kesihatan, sebelum menyerahkan kepada majikan walaupun mereka sudah membayar ribuan ringgit.

“Kami pernah mengendalikan satu aduan mengenai seorang pembantu rumah di mana majikan ini sudah membayar RM10,000, tetapi pembantu rumah yang dihantar tidak mempunyai permit kerja dan tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.

“Keadaan ini menyebabkan majikan serba salah, kerana bimbang mereka dikenakan tindakan kerana menggaji pembantu rumah yang tidak mempunyai permit kerja,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau majikan yang mempunyai masalah mengenai agensi pembantu rumah asing boleh membuat aduan sekiranya berdepan dengan senario seperti ini.

“Kadang-kadang mereka tidak mengetahui saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan, mereka sama ada boleh hadir ke NACC atau mengemukakan aduan kepada kami bagi membolehkan kami membantu,” katanya.

“Ini mengelakkan lebih ramai majikan yang ‘terkena’ akibat sikap mereka yang hanya ingin meraih keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada orang lain,” katanya.

Sindiket tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang dengan menahan enam lelaki berusia antara 30 hingga 40-an selain merampas pelbagai komponen kenderaan dianggarkan RM5 juta.
Kumpulan sindiket dipercayai mempunyai rangkaian seluruh negara dan bergiat aktif sejak 2009 itu dikatakan menyasarkan kenderaan yang baru ditinggalkan di sesuatu kawasan tumpuan seperti pusat membeli-belah sebelum melarikannya.

Difahamkan, ahli kumpulan terbabit memerlukan kurang lima minit untuk melarikan sebuah kereta. Antara kenderaan yang menjadi pilihan mereka adalah Proton Waja, Proton Wira Aeroback, Proton Iswara dan lori jenis Hicom.

Sebaik berjaya melarikan kenderaan itu, ahli sindiket terbabit meleraikan komponen di sebuah stor di ibu kota sebelum menyerahkan kepada seorang individu yang diamanahkan membawa barangan curi berkenaan ke Melaka dan Johor bagi proses penjualan.

Dalam serbuan berasingan pada 8 dan 9 Mac lalu di beberapa bengkel, stor dan rumah di Batu Berendam dan Durian Tunggal, Melaka serta Skudai, Johor, polis merampas 1,603 komponen kenderaan termasuk enjin yang sudah dileraikan ahli kumpulan terbabit selain menahan enam individu termasuk pemilik bengkel berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, polis percaya pihaknya menyelesaikan 250 kes curi kenderaan yang dilaporkan sepanjang beberapa tahun lalu.

“Malah, semakan dilakukan selepas kejayaan ini menunjukkan 81 kes konsisten dengan laporan kehilangan yang dibuat sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Menceritakan semula modus operandi kumpulan sindiket ini, Bakri berkata, kumpulan yang menyasarkan kenderaan nasional kerana permintaan alat ganti tinggi dalam pasaran itu memeriksa suhu enjin sebelum melarikan kereta berkenaan.
“Ini kerana, kumpulan itu percaya sekiranya suhu enjin masih panas pemilik kenderaan itu tidak akan kembali ke keretanya dalam kadar segera. Malah, mereka (ahli sindiket) mengambil masa selama lima minit menghidupkan kenderaan itu sebelum melarikannya,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 8 pagi pada 8 Mac lalu, diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner, Mohd Adnan Abdullah di Batu Berendam dan Durian Tunggal, Melaka, pihaknya menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas menyerbu sebuah rumah dan menemui tiga stor penyimpanan komponen kenderaan dileraikan.

Bakri berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas enam kereta dicuri sekitar Lembah Klang dan sebuah lori dilarikan di Johor.

“Hasil siasatan susulan membawa kepada satu lagi serbuan di lima lokasi berasingan, sebuah stor, dua rumah, dan dua kedai alat ganti kenderaan keesokan harinya (9 Mac) di Skudai, Johor. Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Mereka direman beberapa hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Juruterbang terkorban


LAWAT...Muhyiddin (tiga dari kanan) melihat Kapten Shamimi yang menjalani pembedahan di Dewan Bedah Hospital Sibu, malam tadi.
LAWAT...Muhyiddin (tiga dari kanan) melihat Kapten Shamimi yang menjalani pembedahan di Dewan Bedah Hospital Sibu, malam tadi.

SIBU: “Helikopter itu terhoyong-hayang sebelum terhempas,” kata seorang saksi yang melihat kejadian helikopter jenis Bell 206 Jet Ranger yang membawa anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bintangor, Sarikei terhempas di Dataran Sibu berhadapan Wisma Sanyan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, pesawat milik Sabah Air itu dalam penerbangan pulang ke Lapangan Terbang Sibu selepas menurunkan penumpang di tempat kejadian.
Sebelum kejadian, helikopter itu menerbangkan anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri pulang ke Sibu selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat, masing-masing di Sarikei dan Kanowit.

Difahamkan, helikopter itu terhempas beberapa minit selepas menurunkan Setiausaha Akhbar Menteri Pelajaran, Hafiz Abdul Halim bersama dua pengawal pengiring Timbalan Perdana Menteri untuk menghadiri Program Pemantapan Profesion Perguruan Bersama Warga Guru Bahagian Sibu yang bakal dirasmikan Muhyiddin di sebuah hotel di sini.


Akibat kemalangan itu, juruterbang pesawat itu, Kapten Sahaimi Ghazali, 38, yang parah pada hati dan paru-paru kanan akibat hentakan kuat disahkan meninggal dunia jam 8.36 malam di Hospital Sibu selepas menjalani pembedahan.

Saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian, angin bertiup kencang.

“Melihat helikopter itu terhempas, saya bersama tiga rakan bergegas membantu mengeluarkan juruterbang dengan memecahkan cermin dan membuka pintu pesawat dari dalam,” katanya.

Kejadian itu turut menarik perhatian ramai kerana berlaku di depan sebuah hotel terkemuka di bandar ini menyebabkan lokasi kejadian dikerumuni orang ramai.

Anggota polis terpaksa mengawal lokasi kejadian bagi mengelak proses siasatan terganggu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pesawat itu cuba berlepas dari tempat kejadian dalam cuaca buruk dan angin kencang.

“Siasatan mendapati helikopter itu hilang kawalan akibat angin kencang sebelum terhempas.

“Juruterbangnya yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sibu, tetapi disahkan meninggal dunia jam 8.36 malam tadi, kira-kira tujuh jam selepas kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Muhyiddin turut melawat mangsa yang menjalani pembedahan di Hospital Sibu, petang semalam.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga roh arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

“Jasa arwah perlu dikenang kerana meninggal dunia ketika menjalankan tugas untuk negara.

“Saya secara peribadi sudah menyampaikan bantuan awal kepada keluarga mangsa, manakala bantuan yang lain yang bersesuaian akan diberikan kemudian kepada keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian cek bantuan modal sekolah bantuan kerajaan (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan sekolah Conforming di Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart di sini, malam tadi.

Upah pukul menantu

KUALA LUMPUR: Kerana mementingkan darjat seorang wanita berusia 50-an didakwa sanggup mengupah sekumpulan tiga samseng bagi membelasah menantunya di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.
Lebih kejam, wanita terbabit turut mengarahkan kumpulan samseng itu untuk memaksa lelaki berkenaan berusia lewat 20-an supaya menceraikan isteri yang juga anak kandungnya berusia awal 20-an.
Difahamkan, tindakan itu dilakukan wanita terbabit kerana tidak merestui hubungan perkahwinan pasangan berkenaan sejak enam bulan lalu kerana hanya bekerja sebagai operator di sebuah kilang di ibu kota dan tidak mampu memberikan kemewahan kepada anaknya itu, selain tidak setaraf dengannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa cedera pada kepala dan badan selepas dibelasah lebih 30 minit.


Tidak berpuas hati dengan tindakan itu selain yakin ibu mentuanya menjadi dalang insiden terbabit, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, mangsa yang menaiki motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja mendakwa tiba-tiba dihalang sebuah kereta.

“Selepas itu, tiga lelaki masing-masing berusia lewat 30-an turun daripada kenderaan itu sebelum mengarahkannya menceraikan isterinya.

“Tersentak dengan itu, mangsa mempersoalkan tindakan kumpulan terbabit sebelum cuba untuk meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, tindakan mangsa menyebabkan seorang daripada suspek memaki-hamunnya menyebabkan berlaku pertengkaran lebih 10 minit di kawasan berkenaan.

“Pertengkaran itu yang tidak menemui penghujungnya bertukar pergelutan apabila seorang daripada suspek gagal mengawal kemarahannya sebelum menumbuk muka mangsa.

“Mangsa yang terjatuh mendakwa bukan saja ditendang, malah turut dipijak ketiga-tiga suspek. Ketika itu, mangsa hanya menahan kesakitan dengan menutup kepalanya menggunakan tangan,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas membelasah mangsa lebih 30 minit, seorang daripada suspek mengarahkan mangsa menceraikan isterinya selain mengugut untuk membelasahnya jika enggan berbuat demikian.

Mangsa yang sudah melangsungkan perkahwinan dengan anak wanita terbabit sejak enam bulan lalu mendapatkan rawatan di sebuah hospital berhampiran kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dia dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Sebaik pulang ke rumah dan berbincang dengan isteri serta ahli keluarga lain, mangsa tampil membuat laporan insiden itu kerana yakin ibu mentuanya menjadi dalang.

Difahamkan, ibu mentua mangsa tidak merestui hubungan perkahwinan itu sebaliknya terpaksa bersetuju untuk melangsungkan majlis berkenaan kerana didesak anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Suspek culik dua gadis sunti direman seminggu


ALOR SETAR: Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengeluarkan perintah reman selama seminggu terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa menculik dua beradik perempuan termasuk mengadakan hubungan seks dengan seorang daripada mereka yang berusia 14 tahun.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Datin Chan Lee Fong bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah dengan kenderaan polis kira-kira jam 10 pagi, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Suspek juga didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Kes ini akan disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan IPD Pendang kerana kejadian melarikan kedua-dua gadis itu berlaku di sini, manakala perbuatan rogol itu didakwa berlaku di Pendang.

“Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum mengemukakannya kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam Harian Metro melaporkan dua beradik perempuan berumur 13 dan 12 tahun bukan saja melalui detik mencemaskan apabila dilarikan seorang lelaki lebih 17 jam, malah seorang daripada mangsa dipercayai dirogol sebelum diselamatkan bapa mereka keesokan harinya.

Sebelum kejadian culik itu, kedua-dua mangsa berjalan untuk pergi ke sebuah kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Perepet, Kota Sarang Semut, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin apabila didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna perak.
Lelaki itu menarik tangan kedua-dua mangsa masuk ke dalam keretanya dan melarikan mereka ke Yan untuk menemui rakan suspek.

Mangsa merayu suspek supaya menghantar mereka pulang, bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebaliknya suspek membawa mangsa meronda-ronda sekitar pantai di Kuala Sala dan Pendang.

Difahamkan seorang daripada mangsa dirogol suspek ketika mereka berhenti tidur di dalam kereta di Tokai, Pendang.

Bagaimanapun, dua beradik itu diselamatkan bapa mereka yang melihat kelibat dua anaknya dalam kereta dipandu suspek di Simpang Empat, Kuala Sala pada jam 10 pagi kelmarin, ketika mencari mereka dengan menunggang motosikal.

Siswa asing proses syabu


BUKTI...Wan Abdul Bari (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...Wan Abdul Bari (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) warga asing ditahan polis selepas serbuan di rumah mereka di Jalan Seri Jati, Puchong, Khamis lalu, menemui dadah jenis syabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, polis merampas dadah seberat 2,173 gram yang dianggarkan berharga lebih RM500,000.

Difahamkan, sebelum itu polis menerima aduan orang awam yang mengesyaki kondominium terbabit dijadikan pusat pemprosesan dan pengedaran dadah sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata polis bergegas ke lokasi dan terserempak beberapa lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.

Hasil pemeriksaan, polis menemui kunci rumah yang membawa kepada penemuan syabu dalam kondominium terbabit.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk tujuan pemprosesan dadah terbabit.

Beliau berkata, selain menahan dua pelajar IPT berusia 26 dan 38 tahun terbabit, seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun turut ditahan.

“Mereka terdiri daripada warga Nigeria dan Liberia. Ahli perniagaan terbabit sudah beberapa kali berulang-alik ke Malaysia atas urusan perniagaan dan rekod menunjukkan kali terakhir dia memasuki negara ini pada 3 Mac lalu.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, polis meneruskan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, pada 9 April lalu, satu lagi sindiket dadah didalangi rakyat tempatan ditumpaskan di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Batu 6, Jalan Klang Lama.

Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Tapis Bersepadu itu membawa kepada penangkapan dua lelaki berusia 34 dan 38 tahun serta seorang wanita berusia 38 tahun.

Dalam serbuan itu, polis merampas 47.5 gram dadah jenis heroin yang cuba disembunyikan wanita terbabit dalam seluar dalamnya.

Kempunan pulut durian

JITRA: “Saya sedih kerana arwah kempunan kerana tak sempat menjamah pulut durian yang dibeli pada malam Jumaat lalu kerana dia suka makan. Sampai sekarang saya masih teringatkan dia apabila terpandang buah durian yang masih banyak di rumah,” kata Hasnah Hasan, 51.
Hasnah adalah sepupu Allahyarham Md Zahir Saad, 43, yang meninggal dunia akibat dihempap sebatang pokok yang ditebangnya di kawasan bukit berhampiran Kampung Perik, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pokok yang ditebang mangsa dikatakan pecah dua sebelum membidas muka dan badan mangsa sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan, mangsa dmengambil upah menebang pokok di tanah milik seorang penduduk kampung di situ bersama dua rakannya untuk tujuan pembersihan bagi memberi laluan untuk penanaman semula pokok getah di kawasan itu.

Sebelum ini, mangsa yang berasal dari Kampung Pokka, Kuala Nerang itu dikatakan pernah bekerja kontrak dengan Lembaga Getah Malaysia sejak lima tahun lalu mahir menebang pokok tetapi semalam nasibnya tidak baik apabila menemui ajal ketika bekerja.

Menurut Hasnah, kali terakhir dia menghubungi arwah pada malam Jumaat lalu untuk menjemput dia dan seorang lagi abangnya makan durian bersama keluarganya untuk meraikan kepulangan anak perempuannya yang sedang menunggu hari untuk bersalin.

Beliau berkata, arwah memberitahu yang dia mempunyai banyak urusan lain dan menyuruh mereka makan dahulu sebelum dia sampai.

“Saya tunggu dia sampai tengah malam tetapi dia tidak datang, namun saya masih simpan buah durian yang masih ada untuk dia tetapi tak sangka dia tidak sempat menjamah buah durian itu selepas dia meninggal dunia pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Jitra (HJ), di sini, semalam.
Hasnah berkata, arwah yang masih bujang kerap datang ke rumahnya setiap minggu untuk membasuh pakaian dan makan di situ kerana sudah kehilangan ibu sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia sudah berpesan kepada arwah supaya berhenti kerja sebagai pemotong pokok kerana kerja itu sangat merbahaya tetapi arwah berkeras untuk melakukan kerja itu bagi mencari pendapatan sampingan.

“Dia kata ajal maut di tangan Allah dan kalau nak mati, kat mana pun boleh mati sebab itu saya tak berdaya nak menghalang dia dari terus melakukan kerja memotong pokok itu.

“Dia seorang yang rajin kerana sanggup melakukan pelbagai kerja sampingan lain untuk menambah pendapatan malah sebelum ini saya sudah mencari calon isteri untuk dia tetapi dia tidak mahu,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Mansor Ibrahim, 46, berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa dan seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Ramli 40-an sempat minum bersama sebelum arwah meneruskan kerjanya.

Katanya, mereka bertiga berpecah ke beberapa tempat di kawasan bukit itu untuk meneruskan kerja masing-masing dan jarak dia dengan arwah hanya 60 meter.

“Tidak lama selepas itu, saya langsung tak dengar bunyi mesin pemotong itu dan cuba memanggil arwah beberapa kali tetapi dia tidak menyahut menyebabkan saya mengajak Ramli mencarinya.

“Setibanya di tempat kejadian, saya terkejut apabila mendapati kepala dan badan Md Zahir berlumuran darah menyebabkan saya berlari memangkunya tetapi ketika itu dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Mansor berkata, dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung sebelum memaklumkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, semalam.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Rumah Mayat HJ untuk pemeriksaan sebelum dituntut keluarganya kira-kira jam 4 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokka, malam tadi.

Saki baki pendatang diburu

SEREMBAN: Polis masih meneruskan operasi memburu saki baki pendatang tanpa izin yang meloloskan diri selepas merusuh dan membakar sebuah blok di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di sini, Isnin minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, pihaknya setakat ini sudah menahan 97 tahanan daripada jumlah 109 orang yang melarikan diri dari pusat berkenaan.

“Jumlah penahanan masih sama (97) dan kita sememangnya sedang mengesan saki baki pendatang asing berkenaan (12) melalui operasi yang masih diteruskan.

“Kita berharap semua mereka akan dapat ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Menurut Hamdan, pihaknya amat menghargai maklumat daripada orang awam terutama penduduk setempat yang bekerjasama membantu memberkas tahanan terbabit.

“Sekiranya orang ramai ada terserempak dengan pendatang asing yang mencurigakan, mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Suami mahu fail cerai pergi selamanya

BUKIT BERUNTUNG: “Saya sukar mempercayai mayat itu suami saya,” kata Norshida Abd Rahman, 38, isteri kepada Abd Rahim Othman, 39, yang ditemui mati di dalam keretanya di kawasan letak kenderaan sebuah stesen minyak dekat sini, semalam.
Menurutnya, dia dijemput polis dari rumahnya di Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya kira-kira jam 12.35 tengah hari semalam bagi mengecam mayat seorang lelaki.

Katanya, dia bersama anak sulungnya, Mohd Fadzli, 16, dan anak bongsu, Fatin Amira, 5, bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai penyelia tapak projek pembinaan di Sabah pulang ke kediaman mereka Isnin lalu untuk bercuti bersama keluarga.

Katanya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada jam 5.50 petang Khamis lalu selepas pulang dari Sabah pada 4 April lalu.

“Suami memaklumkan dia pulang untuk bercuti dan mahu memfailkan saman permohonan cerai kami pada 18 April nanti di Mahkamah Syariah Kuala Kubu Bharu.

“Saya pelik dan hairan kerana dia enggan menjawab panggilan telefon dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Tidak sangka perselisihan faham antara kami membawa penyelesaian dengan khabar buruk ini,” katanya. Katanya, mayat suaminya ditemui dengan mulut berbuih dan tangan kebiru-biruan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut, namun masih menjalani siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, polis menolak kejadian ini ada kaitan unsur jenayah,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) pada jam 1.30 petang semalam untuk bedah siasat.

Geng Waja Ais ditahan


KAJANG: Satu sindiket curi kereta sekitar Kajang dan Serdang dikenali sebagai Geng Waja Ais ditumpaskan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam beberapa siri serbuan, Jumaat lalu.
Sindiket dianggotai enam lelaki dan seorang wanita itu menjadikan kereta Proton Waja sebagai sasaran dan mereka mengambil masa lima hingga 10 minit melarikannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Ayob berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah meletakkan kenderaan di sebelah kereta Proton Waja yang mahu dicuri sebelum menggunakan kikir tembaga diubah suai untuk mengumpil pintu dan menggunakan kunci pendua bagi menghidupkan enjin.

“Semua suspek ditahan pada 8 April lalu ekoran siasatan dijalankan ke atas seorang lelaki yang ditahan unit kereta peronda IPD Kajang pada 7 Februari lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

“Enam lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun yang ditahan itu dipercayai bekerja di kilang ais juga penagih syabu,” katanya pada sidang media di IPD Kajang, semalam.

Azman berkata, sindiket terbabit menjual kereta curi pada harga murah dan komponennya turut dileraikan untuk dijual di pasaran gelap.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas empat Proton Waja dilaporkan hilang sekitar Lembah Klang.

3 ahli Kumpulan Firdaus dicekup

KOTA BHARU: Polis menumpaskan dalang curi kenderaan dikenali Kumpulan Firdaus berikutan tertangkapnya tiga suspek dipercayai terbabit dalam tujuh kes kecurian kenderaan di bandar ini sejak enam bulan lalu.
Semua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada 6 dan 7 April lalu sebaik menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan dilakukan kumpulan berkenaan.

Penahanan semua suspek terbabit dilakukan susulan tangkapan seorang lelaki berusia 22 tahun ketika berada di sekitar Kampung Sungai Kambus, Pulau Gajah, Sabak, kira-kira jam 2.30 pagi, pada Rabu lalu.

Dengan tertangkapnya suspek pertama, dua lagi lelaki yang juga ahli Kumpulan Firdaus berusia 24 dan 30 tahun ditahan di bandar ini serta di sebuah rumah di Kampung Paya Senang antara jam 2.45 dan 5 pagi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kerjayaan memberkas semua suspek hasil maklumat kegiatan mencuri kenderaan dilakukan mereka di sekitar bandar ini sebelum tangkapan pertama dilakukan di tepi jalan dekat Sabak.

Menurutnya, hasil soal siasat lelaki itu membawa kepada penahanan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian kereta di daerah ini sejak enam bulan lalu.

“Kami menemui beberapa peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan seperti pemutar skru, pelbagai jenis kunci kosong,” katanya.

Bebas empat pertuduhan terima rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Zulkifli Othman (gambar) dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik akademi memandu.
Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Salleh gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Seramai 19 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding itu.

Bagi tuduhan pertama Zulkifli, 50, dituduh menerima suapan berbentuk penginapan untuk satu malam di Hotel Renaissance, di sini, bernilai RM427.75 daripada Lim Kok Han sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu perniagaan di akademi itu, pada 5 petang, 5 Julai, 2007.

Zulkifli turut menghadapi tuduhan yang sama menerima suapan berbentuk penginapan di Hotel Concorde, di sini bernilai RM204.70, daripada Lim jam 7.20 petang, pada 3 Ogos 2007.

Dua lelaki samun RM1,881


GOMBAK: Dua lelaki bersenjata pisau menyamun sebuah kedai 24 jam di Rawang Idaman sebelum melarikan wang RM1,881, rokok dan minuman keras, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang pekerja kedai yang berada di kaunter tergamam apabila seorang lelaki memakai topi keledar masuk dan mengacukan pisau lipat ke arahnya.

Menurut sumber, suspek mengambil kesempatan di atas ketiadaan pelanggan menyerbu masuk untuk menyamun barang di dalam kedai berkenaan.

“Suspek yang berselindung di sebalik topi keledar kemudian meminta mangsa membuka mesin wang, namun gagal kerana mangsa enggan berbuat demikian.

“Selang beberapa minit kemudian datang seorang lagi lelaki yang memakai topi keledar menarik mangsa ke bahagian belakang kedai,” katanya.

Sumber berkata, ketika kejadian seorang lagi rakan mangsa yang mengira wang di belakang terkejut apabila suspek menendang rakannya sehingga terjatuh.

“Suspek mengarahkan rakan mangsa menyerahkan wang. Takut diapa-apakan rakan mangsa menyerahkannya kepada suspek.

“Malah, suspek mengurung mangsa di dalam bilik dan mengambil beberapa kotak rokok dan minuman keras,” katanya.
Katanya, dua suspek terbabit kemudian melarikan diri.

Bagaimanapun, rakan mangsa menyelamatkannya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Rawang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan laporan mangsa dan siasatan lanjut dijalankan bagi memburu suspek.

Nafi cabul bekas isteri

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, di sini, semalam, atas tuduhan mencabul bekas isteri dan mencederakan anak perempuannya, empat tahun lalu.
Azlon Daud, 45, yang tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan didakwa melakukan kekerasan jenayah seksual terhadap seorang bekas isterinya yang berusia 41 tahun di sebuah rumah di Nakhoda Dalam, Kampung Nakhoda, Batu Caves, dekat sini, pada jam 6 petang, 21 Jun 2009.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, jika sabit kesalahan.

Azlon juga didakwa atas dua tuduhan mencederakan bekas isteri (ketika itu masih isteri) dan anak perempuan mereka berusia 16 tahun di rumah mereka di Gombak, pada jam 9.30 malam dan 9.50 malam, 29 April 2008.

Bagi perbuatan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Hafizah Kamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 untuk tuduhan mencabul, manakala RM3,000 dikenakan bagi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Beliau turut menetapkan dua syarat tambahan terhadap Azlon iaitu dia diwajibkan melapor diri di Balai Polis berhampiran dengan kediamannya dan tertuduh dilarang sama sekali untuk mendekati kedua-dua mangsa terbabit sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayah Raihan Md. Nasir.
Mahkamah menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan.

Suspek bunuh wanita dicekup


SEREMBAN: Polis menahan lelaki berusia 30 tahun yang disyaki terbabit dalam pembunuhan wanita warga China yang ditemui dalam keadaan berbogel dan berulat di rumah kedai dua tingkat di Taman AST di sini, Jumaat lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata lelaki itu yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan mangsa ditahan kira-kira enam jam selepas penemuan mayat berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai hubungan rapat dengan mangsa berusia 30 tahun yang menyewa bilik di situ. Kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan, termasuk motif pembunuhan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.
Dalam kejadian Jumaat lalu, pemilik rumah yang melawat bangunan itu kira-kira jam 3 petang, menemui mayat mangsa terbaring dalam keadaan bogel dengan kepalanya ditutup kain. Pemeriksaan menemui kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dijerut.

Berikutan itu, polis mengesyaki pembunuhan dilakukan orang dikenali mangsa kerana tiada kesan pecah masuk, selain keadaan rumah tidak berselerak dan barang berharga mangsa tidak dilarikan.

Sementara itu, Hamdan berkata, polis meneruskan operasi memburu baki pendatang tanpa izin yang melarikan diri selepas merusuh dan membakar sebuah blok di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng dekat sini, Isnin lalu.

“Sehingga kini, kita menahan 97 daripada keseluruhan 109 pendatang yang melarikan diri,” katanya.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, 109 tahanan berusia antara 20 hingga 50 tahun merusuh dan membakar blok mereka selepas tidak berpuas hati dengan kesesakan dan makanan yang didakwa tidak sedap.

Menyamar kastam nak rampas rokok





AZMAN menunjukkan pengumpil kereta dan  kunci  Proton Waja yang berjaya dirampas semula dalam serbuan bulan lalu di Kajang, semalam. - Foto NIK HARIFF HASSAN
AZMAN menunjukkan pengumpil kereta dan kunci Proton Waja yang berjaya dirampas semula dalam serbuan bulan lalu di Kajang, semalam. - Foto NIK HARIFF HASSAN

Lelaki tipu, peras ugut pekedai ditahan polis

KAJANG: Seorang lelaki yang menyamar pegawai kastam dalam ‘operasi rampasan’ rokok bernilai RM2,000 Sabtu lalu, ditahan polis dalam serbuan di Taman Seri Mewah Kajang, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan jam 3 pagi hasil maklumat orang ramai.
“Suspek menyamar sebagai pegawai kastam untuk membuat pemeriksaan rokok di kedai runcit lalu merampas barang berkenaan. Suspek turut memeras ugut RM3,000 peniaga itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan polis merampas van Kia Pregio bersama kuncinya.
Azman berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis berjaya menumpaskan Geng Waja Ice yang mencuri kereta antara lima hingga 10 minit dalam serbuan berasingan bulan lalu.

Polis menahan seorang lelaki yang memandu Proton Waja dan turut merampas kereta berkenaan.
Polis turut menahan enam suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun termasuk seorang wanita dalam dua serbuan di Kajang.

Azman berkata, polis menemui semula empat kereta Proton Waja, tujuh kunci pelbagai kereta dan kikir tembaga dipercayai diguna suspek untuk mencuri kereta. 

2 pengedar dadah tumpas



Oleh Shah Che Ahmad

2011/04/12

Polis rampas bekalan RM20,000 diperoleh dari selatan tanah air

KAJANG: Polis berjaya menumpaskan dua pengedar dadah yang aktif beroperasi sejak beberapa bulan lalu di sekitar Kajang dan Serdang dalam serbuan berasingan di sini, Jumaat lalu. 

Dalam serbuan pada jam 6.30 petang di Kebun kelapa sawit Jalan Kuari Semenyih, polis memberkas dua suspek berusia dalam lingkungan 18 dan 25 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, polis merampas 228 bungkus heroin dan wang tunai RM980.
“Siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah yang sudah siap diproses dari daerah selatan tanah air dan kemudian diedarkan di sini. 

“Kita (polis) tidak menolak kemungkinan sindiket dadah di selatan tanah air itu masih bebas dan sedang giat beroperasi,” katanya. 

Azman mengesahkan nilai rampasan keseluruhan dadah yang dirampas mencecah RM20,000. 

Siasatan lanjut mengesahkan kedua-dua suspek bebas daripada sebarang rekod kesalahan lampau. 
Dalam serbuan berasingan di Pangsapuri Taman Seri Mewah Kajang, polis memberkas dua lelaki berusia 24 dan 34 tahun atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah jenis ganja. 

“Pasukan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kajang, Deputi Superintendan Fatah Ahmad, membuat intipan ke lokasi selepas mendapat maklumat daripada orang ramai. 

“Dalam serbuan pada jam 1.30 tengah hari, polis menemui ketulan mampat dipercayai ganja di dalam pangsapuri itu, ” katanya. 

Katanya, siasatan lanjut juga mengesahkan semua suspek positif dadah selepas menjalani ujian air kencing. 

Semua suspek kini direman dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori mati jika sabit kesalahan. 

3 lelaki Nigeria bekal syabu dicekup





2011/04/12

KUALA LUMPUR: Satu lagi sindiket pengedaran dadah didalangi warga asing berjaya ditumpaskan apabila polis menahan tiga lelaki Nigeria serta seorang wanita Liberia serta merampas 2.1 kilogram syabu dianggarkan RM500,000 dalam serbuan di Kondominium Jalan Sri Jati, Jalan Puchong di sini, Khamis lalu. 

Difahamkan, dalam serbuan jam 3.30 petang itu, tiga suspek warga Nigeria yang kebetulan berada di luar kondominium berkenaan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan selepas berlaku satu pergelutan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata seorang lagi anggota sindiket ditahan selepas polis menyerbu kondominium yang disewa suspek dan menemui beberapa peralatan menimbang dan membungkus dadah.
“Kita turut menemui serbuk dipercayai syabu diletakkan di atas surat khabar lama dalam kondominium terbabit dan kita percaya ia sedang diproses untuk pembungkusan kerana terdapat peralatan menimbang dan membungkus di situ. 

“Siasatan awal mendapati empat suspek termasuk wanita Liberia yang ditahan adalah penuntut di dua kolej swasta di ibu negara, manakala seorang lagi adalah ahli perniagaan,” katanya pada pemberita pada sidang media di sini, semalam. 

Wan Abdul Bari berkata, selepas ujian saringan air kencing dilakukan, polis mendapati keempat-empat suspek berusia antara 26 hingga 38 tahun itu negatif dadah dan mereka kini direman tujuh hari hingga Khamis ini untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, polis menahan tiga rakyat tempatan berusia antara 28 hingga 38 tahun dan merampas 20 paket heroin seberat 49 gram bernilai RM2,000 dalam serbuan di pangsapuri Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, Sabtu lalu. 
Pemeriksaan seorang daripada suspek yang juga wanita berusia 28 tahun menemukan 19 paket heroin disorokkan di dalam seluar dalam yang dipakainya manakala sepaket lagi heroin ditemui di dalam rumah terbabit. 

“Seorang lagi suspek cacat sebelah kakinya dan bergerak menggunakan kerusi roda. 

“Daripada siasatan awal polis, mempercayai kumpulan ini aktif mengedar dadah sekitar Brickfields dan Petaling sejak setahun lalu dan menjadikan rumah mereka pusat urusan jual beli dadah, ” katanya.