KUALA KANGSAR: Laluan menuruni bukit selepas Terowong Menora meragut dua lagi nyawa menjadikan angka mangsa terkorban di lokasi maut itu kepada tiga orang dalam tempoh kurang seminggu.
Dalam insiden terbaru kira-kira jam 6.15 petang kelmarin, pemandu dan kelindan lori treler maut dalam keadaan ngeri apabila tersepit berlumuran darah di tempat duduk masing-masing selepas melanggar belakang treler membawa muatan besi terpakai lalu ‘melekat’ di belakang kenderaan berat itu.
Perlanggaran itu menyebabkan pemandu treler membawa muatan tiang elektrik konkrit, Nazri Idris, 45, dan kelindan wanita, Nur Suzilawati Othman, 25, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan seluruh anggota badan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Roslan Mohamed berkata, pemandu sebuah lagi treler bagaimanapun terselamat dan tidak cedera dalam kemalangan di Kilometer 256.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara itu.
“Rempuhan kuat menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit selepas bahagian kepala treler dinaiki mereka remuk teruk. Sepasukan anggota bomba dan penyelamat digegaskan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa yang paling teruk tersepit ialah pemandu apabila anggota bomba dan penyelamat mengambil masa lebih lima jam sebelum mengeluarkan mayatnya pada jam 11.55 malam,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas treler dipandu mangsa yang beralamat di No 11A, Lorong 43B, Taman Bandar Baru, Sg Lalang Bidong, Kedah, gagal mengelak treler di lorong kiri di hadapannya yang dipandu perlahan kerana menuruni bukit di kawasan kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dan kelindan wanitanya yang beralamat di Blok G, Aparment Permata, Jalan Perda Utama, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka awal pagi semalam.
“Punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Justeru, polis meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.
Kejadian ngeri petang kelmarin berlaku hanya kira-kira 800 meter dari lokasi kemalangan pada 4 April lalu yang mengorbankan pemandu sebuah lori selepas kenderaan dipandunya merempuh treler membawa muatan cerucuk simen juga di laluan menuruni bukit.
myMetro | Mati tersepit keluar terowong