Search This Blog

Sunday, April 10, 2011

Sukhoi Iran terhempas

TEHRAN: Sebuah pesawat latihan tentera udara Iran terhempas berhampiran bandaraya Shiraz, menyebabkan juruterbangnya terbunuh.


Agensi berita IRNA melaporkan pesawat itu adalah jenis Sukhoi buatan Russia.
Menurutnya, punca nahas itu belum dapat dipastikan. - AFPBerita Harian Online | Sukhoi Iran terhempas

Libya tembak dua helikopter pemberontak

TRIPOLI: Dua helikopter pemberontak yang melanggar zon larangan terbang di Libya ditembak jatuh oleh tentera Muammar Gaddafi di wilayah Brega, kata Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaaim.


“Pihak pemberontak menggunakan dua helikopter dan ditembak jath di wilayah Brega," katanya.
Kaaim turut membidas NATO yang menguatkuasakan zon larangan terbang itu kerana membenarkan pemberontak melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB itu.
“NATO pada Sabtu membenarkan pemberontak melanggar resolusi ini dan menggunakan helikopter tempur," katanya sambil menaambah NATO memihak dengan pemberontak. - AFP Berita Harian Online | Libya tembak dua helikopter pemberontak

Tentera Jepun, AS lancar usaha baru cari mayat mangsa tsunami


TENTERA Jepun menarik tali bagi mengalih kereta yang rosak dalam timbunan runtuhan di Onagawa, Miyagi, hari ini. Tentera Jepun dengan bantuan tentera Amerika Syarikat melancarkan usaha besar-besaran bagi mencari mayat mangsa gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu. - Foto AP



TOKYO: Tentera Jepun dan Amerika Syarikat melancarkan satu lagi usaha besar-besaran mencari mayat mangsa gempa bumi dan tsunami di sepanjang pantar timur laut Jepun.


Kira-kira 22,000 tentera Jepun dan 110 tentera AS melakukan pencarian menerusi darat, udara dan laut.
“Sebulan selepas gempa bumi dan tsunami, ramai mangsa masih hilang. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mencari mayat mangsa untuk keuarga mereka," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun, Norikazu Muratani.
Seramai 25,000 orang dikhuatiri maut dalam bencana pada 11 Mac lalu tetapi hanya 13,000 kematian disahkan. Banyak mayat kemungkinan besar sudah dihanyutkan ke laut dan tidak akan ditemui.


Pencarian serupa selama tiga hari dengan bilangan tentera lebih ramai minggu lalu hanya menemui 70 mayat.


Usaha terbaru hari ini hanya akan berlangsung sehari dan tidak membabitkan zon larangan di sekeliling loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi yang membebaskan radiasi. - AP Berita Harian Online | Tentera Jepun, AS lancar usaha baru cari mayat mangsa tsunami

Banjir: 255 dipindah di Hulu Terengganu



KUALA TERENGGANU: Hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah Hulu Terengganu di naiki air.


Sehingga 6 petang ini, seramai 255 orang dari Kampung Pelandang dan Kampung Cheting dipindahkan ke empat pusat pemindahan banjir di daerah itu, mulai 4.10 petang.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu berkata, seramai 40 orang dari Kampung Pelandang dipindahkan ke balai Kampung Pelandang manakala 140 pelajar sekolah pondok di kampung itu ditempatkan di masjid.
"Di Kampung Cheting pula, seramai 34 mangsa dari lapan keluarga dipindahkan ke balai raya kampung itu dan 41 orang lagi ditempatkan di Balai Raya Kampung Beris," katanya.


Beliau berkata, beberapa jalan di daerah itu turut ditutup kepada semua kenderaan apabila dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga 1.3 meter.


Jalan terbabit ialah Jalan Kuala Berang ke FELDA Mengkawang di Kampung Perih, Jalan Kuala Berang ke FELDA Mengkawang berhampiran Kampung Lubuk Periuk dan Jalan Kuala Berang ke Sungai Tong berhampiran Kampung Kuala Ping. - BERNAMA

Lemas di Lata Kinjang, Tapah

TAPAH: Seorang lelaki mati lemas ketika mandi di kawasan rekreasi Lata Kinjang di sini, hari ini.
Mayat Zulfazly Azhar, 21, ditemui orang awam yang mandi di kawasan air terjun itu pada 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata Zulfazly yang berasal dari Kuala Lumpur dikatakan datang berkelah di kawasan air terjun itu bersama keluarganya, tengah hari ini.
"Terdapat kecederaan di bahagian kepalanya dipercayai akibat terkena batu," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, mayat Zulfazly dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. - Bernama
myMetroLemas di Lata Kinjang, Tapah

Suami isteri maut dalam kemalangan

IPOH — Sepasang suami isteri terbunuh selepas treler yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi treler di Km 257 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar semalam.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 6 petang itu ialah pemandu treler Mat Nazri Idris, 47, berasal dari Kedah dan isterinya Nor Suzaimi Othman, 25 berasal dari Kelantan.
Ketua Polis Trafik Perak, Supt. Wan Abdullah Ishak berkata hari ini, kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Wan Abdullah berkata kejadian berlaku ketika treler yang dipandu Mat Nazri membawa muatan tiang lampu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth yang gagal dikawal merempuh bahagian belakang treler membawa muatan besi buruk di hadapannya ketika kedua-duanya menuruni bukit.
Akibat rempuhan itu bahagian depan treler mangsa remuk teruk dan kedua-duanya tersepit dalam kenderaan tersebut, manakala pemandu treler di hadapan tidak mengalami kecederaan dan melaporkan kejadian itu kepada polis, katanya.
Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum dihantar ke hospital. — Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Mayat wanita dibunuh dan dibakar ditemui di Pantai Sekakap

10 APRIL 2011: Anggota polis mengangkat mayat seorang wanita yang ditemui mati dibunuh dan mayatnya dibakar di dalam semak berhampiran Pantai Sekakap, di Mersing, Johor. - Utusan/NORAZMAN ABD RAHIMGambar 2 dari 30
MERSING 10 April – Hajat dua anggota tentera untuk menangkap ikan di Pantai Sekakap, di sini terbantut apabila mereka menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan rentung pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan dari anggota tentera terbabit kira-kira pukul 10.30 pagi tadi memaklumkan penemuan mayat tersebut selepas mereka mencari kayu untuk memasang jaring ikan di belukar pantai berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama Jalan Mersing-Sekakap.
“Mayat berkenaan dikenal pasti sebagai wanita berdasarkan jam tangan dan gelang kaki pada tubuh mangsa yang mayatnya 95 peratus hangus terbakar.
“Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain kurang 24 jam lalu dan mayatnya dimasukkan ke dalam beg pakaian sebelum dibakar di kawasan pantai yang terletak kira-kira 50 meter dari Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sekakap dan satu kilometer dari Kem Iskandar, dekat sini,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohd. Nor berkata, mangsa dipercayai berumur di bawah lingkungan di bawah 25 tahun berdasarkan keadaan fizikal tubuh dan berdasarkan pada bahagian kaki mangsa yang tidak terbakar, mangsa berkulit cerah.
Selain itu, katanya, terdapat seutas rantai pada leher mangsa yang tertera perkataan ‘Suemzar’.
“Pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan berkenaan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan akan ditempatkan di bilik mayat hospital berkenaan sementara menunggu pengecaman ahli keluarga,” katanya.
Mohd. Nor menyeru waris atau ahli keluarga yang kehilangan anak perempuan terutama remaja di bawah umur 25 tahun kurang dari 24 jam lalu agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Abd. Aziz Che Embong di talian 07-7993507 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, 07-7994222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Utusan
Utusan Malaysia Online - Terkini

Kandungan telefon Ahmad Sarbani disiasat

KUALA LUMPUR – Kandungan maklumat dalam telefon bimbit milik penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane Rabu lepas, kini dalam siasatan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, telefon bimbit milik allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed itu antara bukti yang disiasat Unit Forensik selain rakaman CCTV bangunan pejabat itu dan bukti di tempat kejadian.
"Unit Forensik sentiasa mencari bukti-bukti penting bagi melengkapkan laporan mereka sama ada dari telefon bimbit, CCTV atau kembali semula ke tempat kejadian.
"Setiap hari memang ada petunjuk baru tapi kita tidak boleh dedahkan kerana boleh menganggu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata sejak kes itu dilaporkan, polis menjalankan sisatan terperinci dengan sentiasa memanggil individu baru atau memanggil semula mana-mana 16 individu yang telah diambil keterangan sebelum ini bagi membantu siasatan.
Chin Wah berkata, siasatan dapat diselesaikan apabila semua laporan forensik diperoleh dan keterangan saksi selesai diambil.
"Kita semua perlu tunggu. Jangan bagi kami ”deadline” bila kes boleh diselesaikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Tembakan di kepala

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat konstabel dari Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala, di Kuarters Balai Polis Salak Selatan di sini, kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata terdahulu jiran si mati mendengar satu bunyi tembakan dilepaskan kira-kira 8 pagi.


"Kakaknya memberitahu jiran si mati bahawa pagi ini panggilannya tidak berjawab. Mereka kemudian menghubungi polis.

"Polis kemudian memecah pintu rumahnya dan menemui si mati yang hanya berseluar di dalam sebuah bilik dalam keadaan tertiarap," katanya memberitahu polis turut menemui sepucuk pistol jenis .38 berhampiran si mati.


Ku berkata, konstabel itu yang masih bujang, berasal dari Perak dan sudah lima tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia tanpa sebarang masalah disiplin.


Berdasarkan siasatan awal, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, katanya. - Bernama

myMetroTembakan di kepala

Dua beranak ke tali gantung

10 APRIL 2011: Hashim Arifin (kiri) bersama anaknya Hishamuddin Hashim (tengah) dibawa keluar selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana bersalah membunuh seorang penarik kereta di Kulim lapan tahun lalu, di Mahkamah Tinggi Alor Setar. - Utusan/KAMAL BASIR
ALOR SETAR: Dua beranak yang bekerja sebagai penarik kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bagi kesalahan membunuh seorang lelaki lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A.Rahim membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah.


Hashim Ariffin, 56, dan anaknya Hishamuddin Hashim, 31, dituduh secara bersama membunuh Mohd Rafi Che Ani pada 7 Februari 2003 di hadapan kedai buah Majlis Daerah Kulim di Jalan Kulim-Kelang di Kulim.
Setelah meneliti keterangan pembelaan dan pendakwaan, Zamani berkata, pembelaan yang dikemukakan oleh dua orang saksi bercanggah antara satu sama lain.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norsyuhada Mohd Yatim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam RSN Rayer. - Bernama
myMetroDua beranak ke tali gantung

Seorang lelaki maut ditikam sebelum dibakar di dalam kereta

KUALA LUMPUR 10 April – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dan lehernya dijerut sebelum dibakar dalam sebuah kereta Honda Civic di Happy Garden, Brickfields, di sini awal pagi ini.
Mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu ditemui seorang lelaki yang kebetulan berada di lokasi tersebut serta menyaksikan kejadian itu pukul 3.30 pagi.
Difahamkan, saksi melihat empat lelaki menaiki kereta Perodua Myvi warna putih memberhentikan kenderaan mereka sebelum salah seorang keluar dan menyimbah sejenis cecair ke arah sebuah kereta Honda Civic.
Kereta Honda Civic itu tiba-tiba terbakar dan keempat-empat suspek melarikan diri sebelum saksi menghubungi pihak berkuasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu, keadaan mangsa ketika ditemui rentung 90 peratus.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam di dada dan lehernya dijerut sebelum dibakar bersama keretanya.
“Mayat yang belum kenal pasti identitinya itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis sedang memburu empat suspek berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Utusan
Utusan Malaysia Online - Terkini

3 warga asing maut bertembung lori





Mayat tiga warga asing yang maut apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Kuantan-Kemaman, semalam.


KUANTAN 9 April – Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Proton Saga yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Ular di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Kuantan-Kemaman dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Kereta terbabit memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dari arah Kemaman ke Kuantan.
“Ekoran itu, pemandu kereta dan dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai warganegara Indonesia dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Khas ADUN Kupang, anak bongsu maut






Dua maut dan dua cedera dalam kemalangan antara kereta Proton Wira dengan lori di Telok Pendiat-Charuk Nau, Baling, semalam. – MINGGUAN/AZMAN MD. NOOR


BALING 9 April – Pegawai Khas kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kupang, Yahaya Md. Daud, 40, dan anak bongsunya maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Simpang Empat, Telok Pendiat - Charuk Nau, Baling, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori dari arah Carok Nau menuju ke Simpang Telok Pendiat bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu Yahaya dari arah bertentangan ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang melintas secara tiba-tiba.
Akibat kejadian itu, Yahaya dan Muhamad Fahin Afdal, 2, tersepit dalam kenderaan mereka dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Baling.
Anak mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan Yahaya mati di Hospital Baling pada pukul 2 petang.
Dalam kejadian itu, Yahaya yang memandu kereta bersama isterinya, Rusnani Abu Bakar, 30, anak sulungnya, Mohamad Faiz, 3, dalam perjalanan ke Hospital Baling (HB) untuk mengambil ubat salah seorang anak mereka yang demam.
Md. Daud berkata, akibat kemalangan itu, isteri Yahaya cedera parah dan anaknya dirawat di HB.
Pemandu lori berkenaan, Zakaria Harun, 47, hanya mengalami kecederaan ringan.Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Tiga beranak terbunuh di Serendah






Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan tiga mangsa kemalangan ngeri di Serendah, semalam.


SERENDAH 9 April – Tiga beranak yang berpisah selama empat hari hanya sempat melepaskan rindu beberapa jam sebelum kesemua mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh di simpang ke Ladang Sungai Gapi berhampiran Serendah dekat sini, pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Faiz Hakimi, 4, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta mereka remuk teruk dirempuh sebelum dihempap lori tanah 10 tayar.
Mohd. Farid dan Eirlenna masing-masing bertugas sebagai pembantu perubatan dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampar, Perak ke ibu kota dengan menaiki kereta Proton Satria.
“Semasa melalui tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Farid dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
“Kenderaan mangsa diseret sejauh 70 meter sebelum terjatuh ke cerun sedalam dua meter. Lori yang gagal berhenti itu terbalik lalu menghempap kereta tersebut sehingga menyebabkan kesemua mangsa tersepit di bawah kenderaan berat itu,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, mayat tiga beranak itu hanya berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang remuk selepas tiga jam.
“Usaha mengeluarkan mayat yang dilakukan oleh anggota bomba memakan masa kerana kereta tersebut berada di bawah lori,” ujarnya.
Menurutnya, pemandu lori tersebut, K. Duraisingam, 40, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, ibu Mohd. Farid, Azmah Zarif, 50-an memberitahu, anak dan menantunya bertolak pulang dari rumahnya di Kampar pada pukul 5.30 pagi ini.
“Ahmad Farid meninggalkan anaknya dengan saya selama empat hari untuk dijaga kerana Eirlenna berkursus di Negeri Sembilan. Pada pukul 9.30 malam semalam, kedua-dua mereka tiba di Kampar untuk mengambil semula Muhammad Faiz Hakimi selepas terlalu rindu empat hari tidak bertemu,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga beranak itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar petang ini.Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Tujuh terbunuh, 13 cedera ditembak dalam kompleks beli-belah

AMSTERDAM 10 April – Tujuh terbunuh termasuk penembak dan sekurang-kurangnya 13 cedera dalam satu insiden tembakan rambang yang berlaku di sebuah kompleks membeli-belah di bandar Alphen Rijn, semalam.
Menurut Datuk Bandar, Bas Eenhoorn, seorang lelaki dengan sepucuk pistol automatik mula menembak secara rambang menyebabkan enam orang pengunjung terbunuh sebelum dia menembak dirinya.
"Kejadian itu turut menyebabkan 13 pengunjung cedera dengan empat daripada mereka dalam keadaan kritikal," kata Eenhoom. – Reuters
Utusan Malaysia Online - Terkini

Warga emas ditemui mati berhampiran rumah

SANDAKAN 7 April - Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui mati oleh anggota keluarganya di kawasan Jalan Hulu Sibuga, semalam.
Mangsa, Sum Wan Sung, 89, dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Fasa 3, Taman Mawar, Batu 5 di sini selepas dipercayai keluar untuk membeli barang di sebuah pasar berhampiran rumahnya sejak petang kelmarin.
Keluarga mangsa telah menemui mayatnya kira-kira pukul 1.30 petang semalam di sebuah kawasan berhampiran rumah mereka.
Pihak polis yang dimaklumkan oleh keluarga terbabit berhubung penemuan mayat mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk dibedah siasat.
Sementara itu, seorang anak mangsa yang dikenali sebagai Wong berkata, kehilangan mangsa disedari selepas dia masih tidak pulang semasa mereka bersiap untuk makan pada malam tersebut.
Mereka kemudiannya mencari mangsa di sekitar kawasan perumahan dan pasar yang sering dikunjunginya tetapi hanya menemui barangan miliknya sahaja seperti payung, kasut dan barangan yang dibeli berhampiran sebuah jambatan.
Wong berkata, laporan dibuat di pondok polis kawasan perumahan itu kira-kira jam 12 tengah malam hari yang sama selepas mangsa masih belum pulang ke rumah
Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

Mangsa tembak mahu berehat panjang



JOHOR BAHRU 9 April - Pengawal peribadi kepada pemilik sebuah premis pengurup wang, Allahyarham Isa Jamalludin, 63, yang ditembak dalam kejadian samun di Jalan Kuning di sini semalam pernah menyatakan hasrat untuk 'berehat panjang'.
Isteri Isa, Juriah Sarip, 58, memberitahu, suaminya itu berkata demikian ketika menghubungi kerani tempat dia bekerja kira-kira setengah jam sebelum kejadian samun itu berlaku pukul 5 petang semalam.
"Allahyarham ada hubungi kerani dan berbual kira-kira 20 minit dan mengatakan mahu berehat panjang selepas ini.
"Saya sendiri tak menyangka apa yang dikatakan oleh Allahyarham itu ada maksud tersirat. Bagaimanapun saya sekeluarga reda dengan apa yang terjadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Skudai Baru di sini hari ini.
Semalam, seorang pengawal peribadi kepada pemilik sebuah premis pengurup wang maut selepas ditembak mati dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan senjata tajam di Jalan Kuning di sini semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa mati di tempat kejadian selepas ditembak dua kali di bahagian dada sebelum suspek melarikan diri dengan sejumlah wang dengan menaiki dua buah kereta jenis Proton Wira Aeroback dan Waja.
Menurut Juriah, arwah suaminya yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi pengawal peribadi kepada pemilik sebuah premis pengurup wang sebaik sahaja bersara pada 1992 sehingga sekarang dan tidak pernah mengalami sebarang kejadian yang tidak diingini kerana sentiasa berhati-hati.
"Dia sendiri sebelum ini ada kata nak serah tugasnya itu kepada anak buahnya yang turut bekerja di tempat sama," katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini selepas solat Asar.
Selain isteri, Allahyarham turut meninggalkan tiga anak, Saifuddean, 37; Suzanne Irdawati, 36, dan Intan Syazwani, 29, yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi pemberita berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Israel terus mengganas

GAZA: Empat lagi penduduk Palestin terbunuh dan kira-kira enam yang lain cedera apabila tentera Israel meneruskan serangan udara di Semenanjung Gaza semalam, hari ketiga berturut-turut.

Sementara itu, pejuang Palestin bertindak balas dengan melancarkan serangan roket terhadap wilayah selatan Israel, menyebabkan lima penduduk Yahudi cedera.


Sekurang-kurangnya 18 penduduk Palestin, termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun terbunuh sejak Israel melancarkan serangan Khamis lalu dan 36 sejak sengketa terbaru bermula 20 Mac lalu.

Israel mendakawa serangan terbaru itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas sebuah bas sekolah oleh pejuang Palestin. Serangan rejim Zionis itu pada awal pagi semalam turut membunuh seorang pegawai kanan Hamas dan dua pengawal peribadinya. Mereka terbunuh serta-merta apabila kereta yang mereka naiki menjadi sasaran pesawat pengebom Israel.


Lima lagi penduduk Palestin cedera dalam serangan kedua di utara Gaza dan serangan ketiga membunuh seorang penduduk dan mencederakan seorang lagi.


Dalam keganasan kelmarin, sembilan penduduk Palestin terbunuh, termasuk seorang lelaki tua dan dua wanita apabila rumah mereka di Khan Younis dibom.

Serangan itu turut mencederakan tiga wanita, menurut sumber pasukan perubatan Palestin.


Israel berkata, serangan yang dilakukan itu hanya mensasarkan pejuang Palestin. - AP

myMetroIsrael terus mengganas

Rakaman CCTV jadi bukti penting

KUALA LUMPUR: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil daripada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, kini menjadi bukti penting dalam menyelesaikan kes kematian Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihak kini sudah pun mengambil rakaman CCTV berkenaan dan dijadikan bahan bukti penting untuk kes itu.

“Satu analisa sedang dilakukan bagi mengenal pasti rakaman berkenaan. Begitupun, jika kes kematian yang diklasifikasikan mati mengejut itu angkara perbuatan jenayah, polis tidak akan memandang ringan dan akan mengambil tindakan. “Buat masa ini, kita tidak tahu adakah ia perbuatan jenayah atau tidak,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog sempena Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju semalam. Menurut Zulkifli, pihak polis memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan kes yang kini menjadi perhatian umum.

myMetroRakaman CCTV jadi bukti penting

Warga emas mati lemas

KANGAR: Mayat seorang warga emas dipercayai mati lemas di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Teluk Jambu, Bintong, dekat sini, semalam.
Mangsa, Mahasa Abdullah, 77, yang menetap seorang diri di rumah berkenaan, ditemui terapung oleh anak lelakinya, Salleh Abu Bakar, 56, kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata mangsa dipercayai tergelincir ke dalam sungai berhampiran rumahnya petang kelmarin sebelum ditemui anak lelakinya.
“Anak lelaki yang berkunjung ke rumah ibunya mendapati mangsa tiada dan keluar mencari sebelum menemui mayat mangsa terapung di permukaan sungai.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTF, dekat sini.

Beliau berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berhubung penemuan mayat warga emas berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.
myMetroWarga emas mati lemas

Cucu jumpa mayat nenek

TAMPIN: Menyedihkan apabila mayat seorang warga emas yang mati akibat serangan jantung ditemui kira-kira seminggu selepas kejadian itu di Kampung Geduk Sawah, Gemencheh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Zahrah Maebah, 77, yang tinggal seorang diri di rumahnya, ditemui terlentang dengan badannya dihurung lalat di dalam bilik air oleh cucu yang menziarahinya.

Cucu mangsa, Az-Afif Md Haznen, 19, berkata dia ke rumah neneknya untuk makan bersama serta memberikan barang keperluan.

“Saya sampai di rumah nenek kira-kira jam 2.45 petang iaitu selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jamek Tunku Besar. Sebaik tiba saya memberi salam dan memanggil nenek tapi tidak berjawab. “Kerana bimbang nenek ditimpa sesuatu, saya terus masuk sebelum terhidu bau busuk dan nampak lalat memenuhi ruang dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, dia kemudian terkejut apabila melihat neneknya terlentang atas simen dalam bilik air dengan badannya dihurung lalat.


Katanya, dia meluru keluar memberitahu jiran serta menghubungi ibu bapanya dan yakin wanita itu sudah meninggal dunia seminggu lalu berdasarkan baju dipakai yang tidak berganti dan barang makanan yang dibawa sedikit tidak terusik.

“Kebiasaannya setiap hujung minggu, saya akan menziarahinya dengan membawa barang keperluan harian serta nasi dan lauk untuk dimakan bersama,” katanya.

Harian Metro difahamkan, mangsa juga adalah bekas Ketua Wanita Umno cawangan Kampung Geduk dan Ahli Jawatankuasa Wanita Umno bahagian Tampin pada 1970-an.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat wanita terbabit.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kematian wanita warga emas itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


“Bedah siasat dilakukan di Hospital Tampin mendapati mangsa mati akibat serangan jantung,” katanya.


Jenazah Zaharah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geduk Sawah, kira-kira jam 2 petang semalam.

myMetroCucu jumpa mayat nenek

Kekasih maut dalam hotel

IPOH: Hubungan cinta dua benua sepasang kekasih berakhir tragedi apabila seorang daripadanya mati dibunuh di sebuah hotel di Sitiawan, kira-kira 80 kilometer dari sini, petang kelmarin.

Ia berikutan penemuan mayat gadis warga Vietnam berusia 23 tahun dalam keadaan hampir bogel dengan hanya berseluar dalam, kira-kira jam 1.30 petang.


Mayat ditemui oleh seorang pekerja hotel yang sebelum itu melakukan rutin pembersihan bilik apabila mengesyaki perkara buruk selepas melihat mangsa diselimuti cadar dan kaku serta tidak menyahut apabila dipanggil beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman (gambar) berkata, pekerja terbabit yang ketakutan bergegas keluar untuk memaklumkan kepada pengurusan hotel yang kemudian melaporkan kepada polis.


“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kecederaan dan pendarahan teruk di kepala kesan pukulan objek tumpul.


“Sehubungan itu, polis kini mengesan seorang lelaki tempatan dikenali Pan Hin Keong, 40, dengan alamat terakhirnya di No 476, Kampung Jering, Ayer Tawar, Sitiawan untuk membantu siasatan,” katanya. Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Manjung di talian 05-683522.

myMetroKekasih maut dalam hotel

Mati akibat hentakan kuat

GEORGETOWN: Kematian seorang warga Myanmar yang ditemui di kawasan tempat letak kereta di Pusat Squash Antarabangsa Nicol David di Bukit Dumbar, di sini, awal pagi kelmarin dikenal pasti disebabkan hentakan kuat di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, hasil bedah siasat dilakukan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati ada kesan objek tumpul dipercayai digunakan sebagai senjata.

Menurutnya, hentakan kuat di kepala mangsa itu dipercayai menyebabkan mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Katanya, sehingga kini polis masih lagi meneruskan siasatan berkaitan kejadian itu termasuk mengenal pasti punca kematian sebenar mangsa dan masih tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya, semalam.


Kelmarin, polis menemui mayat Zam Thian Mang, 25, seorang operator sebuah kilang perabot di Johor jam 12.55 tengah malam dengan kesan berlumuran darah di kepala.

Mangsa yang berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan terlentang di kawasan tempat letak kereta dan dipercayai diserang menggunakan topi keledar.

Siasatan polis turut menemui beberapa pecahan cermin topi keledar berhampiran lokasi kejadian. Mangsa dipercayai diserang atau dibelasah dengan teruk lebih daripada dua lelaki.

Polis juga menemui dokumen penting mangsa seperti pasport, wang tunai berjumlah RM210 dan lesen memandu antarabangsa dalam dompet milik mangsa.

Menurut Gan, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.

myMetroMati akibat hentakan kuat

Arwah tutur kalimah Allah

BALING: Perjalanan untuk mengambil ubat seorang kanak-kanak dua tahun, bertukar tragedi apabila dia dan bapanya maut selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah lori yang datang daripada arah depan di Jalan Simpang Empat Telok Pendiar- Carok Nau di sini, 10.30 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, Mohamad Fahin Afdal Yahaya, 2, maut selepas kereta yang dipandu bapanya, Yahaya Md Daud, 39, merempuh sebuah lori ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Hospital Baling (HB) bagi mengambil ubat lelah yang dialami Fahin.

Mangsa yang diriba ibunya Rusnani Abu Bakar, 30, maut di tempat kejadian selepas cedera parah akibat tersepit di tempat duduk depan manakala bapanya yang juga Pegawai Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (Dun) Kupang maut di HB, kira-kira jam 1.30 petang, semalam.

Ketika kejadian mereka sekeluarga berada di dalam kereta berkenaan termasuk anak sulung mereka Mohd Faiz, 5, sebelum dirempuh lori yang tiba-tiba masuk ke jalan mereka. Rempuhan menyebabkan kedua kenderaan terperosok di dalam longkang bersebelahan jalan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan ketika ditemui berkata, lori berkenaan dalam perjalanan daripada Carok Nau menuju ke Simpang Telok Pendiat cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba masuk ke jalan sebelum bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu Yahaya.


“Ibu mangsa yang berada di hadapan cedera parah manakala abangnya hanya cedera ringan walaupun terhumban ke depan kereta akibat rempuhan yang kuat itu.

“Anggota bomba serta orang ramai yang berada di tempat kejadian juga membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menghantar kesemua mangsa ke HB,” katanya.

Menurut Mat Daud, pemandu lori berkenaan, Zakaria Harun, 47, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan kejadian.

Sementara itu, pengasuh mangsa, Azmah Awang, 45 yang juga ibu saudara mangsa terkejut apabila mengetahui kejadian malang itu.

Azmah berkata, anak saudaranya yang diasuh sejak kecil adalah seorang yang riang dan kehilangannya amat dirasai.


“Saya sering bersamanya dan jarang berpisah, saya mengasuh Fahin dan abangnya dari pagi hingga lewat petang apabila ibu dan bapanya keluar bekerja.


“Saya tidak menyangka kepetahan dia bertutur dan melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ beberapa hari sebelum kejadian ialah petanda awal dia akan meninggalkan saya,” katanya.


Azmah berkata, sebaik saja Fahin terjaga daripada tidur, dia selalu melaungkan kalimah itu walaupun tidak jelas. Dia tidak mengesyaki apa-apa malah menganggap Fahin baru belajar bertutur.


Menurutnya, dua anak saudara itu tinggal bersebelahan rumahnya di Kampung Tanah Periok, Mukim Kupang dijaga sepenuh masa kerana ibunya mengikuti kursus kenaikan pangkat sebagai jururawat di Alor Setar dan kebetulan bercuti pada hari ini (semalam) dan esok (hari ini) jadi kedua mereka tinggal bersama ibunya.

myMetroArwah tutur kalimah Allah

Pencuri sawit lagak ‘pemancing’

TELUK INTAN: Misteri kehilangan kelapa sawit milik beberapa penduduk kampung berhampiran tebing sungai sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu terjawab susulan penahanan tiga lelaki awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, beberapa penduduk yang melakukan rondaan rutin melihat kelibat mencurigakan tiga ‘pemancing’ menaiki sebuah sampan usang melalui sebuah anak sungai di Changkat Jong.

Sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan penduduk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terdapat puluhan tandan kelapa sawit dalam sampan berkenaan, dipercayai dicuri dari sebuah ladang berhampiran sungai terbabit, sekali gus menahan tiga lelaki berusia berusia 20 hingga 40 tahun itu.

Siasatan awal mendapati, dengan bermodalkan sampan berkenaan, ketiga-tiga suspek berlagak seperti pemancing untuk menjalankan kegiatan mencuri kelapa sawit milik penduduk kampung berhampiran beberapa tebing sungai sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Mereka dipercayai beroperasi seawal jam 1 pagi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan penduduk tempatan terutama pemilik ladang kelapa sawit.

myMetroPencuri sawit lagak ‘pemancing’

Sembunyi baju dalam cuba tipu penguat kuasa

GEORGETOWN: Dua pasangan kekasih termasuk seorang daripadanya yang cuba menyembunyikan bungkusan berisi pakaian dalam di sebalik pintu bilik hotel, ditahan dalam operasi cegah maksiat berasingan di Batu Ferringhi, di sini.
Dalam operasi kira-kira jam 3.35 pagi Rabu lalu itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, sebuah bilik hotel diperiksa dan apabila pintunya diketuk sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, lelaki berusia 20-an itu tidak memakai seluar dalam apabila tangannya masih lagi memegang seluar dalam miliknya dipercayai tidak sempat dipakai.

Katanya, pemeriksaan juga turut dilakukan ke atas suspek wanita berusia 20-an dan didapati dia juga hanya memakai baju dan seluar sedangkan colinya berada dalam beg plastik.


“Semua barangan berkenaan kemudian dirampas sebagai bahan bukti dan pasangan berkenaan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Khairul Azman berkata, dalam satu lagi pemeriksaan di sebuah bilik hotel kira-kira jam 4.50 pagi selepas pihaknya menerima maklumat awam berjaya menahan sepasang pasangan kekasih.

Menurutnya, sebaik pintu bilik dibuka didapati terdapat seorang wanita berpakaian lengkap, manakala lelaki bersembunyi di sebalik pintu hanya dengan bertuala tanpa baju.

Katanya, ketika pemeriksaan mereka gagal membuktikan dokumen pernikahan yang sah ketika diminta dan akhirnya mengaku masih belum berkahwin sebelum ditahan dan dibawa ke Pejabat JHEAIPP untuk siasatan lanjut.
myMetroSembunyi baju dalam cuba tipu penguat kuasa

Tanam bayi perempuan baru lahir


DI SINI... ‘kubur’ bayi baru lahir yang dibuat suspek bagi menutup rahsia kelahiran oleh teman wanitanya.
DI SINI... ‘kubur’ bayi baru lahir yang dibuat suspek bagi menutup rahsia kelahiran oleh teman wanitanya.

HULU SELANGOR: Hanya kerana takut rahsia terbongkar, sepasang kekasih yang sudah terlanjur sejak setahun lalu akhirnya nekad menanam sendiri bayi perempuan yang dilahirkan tidak cukup bulan berhampiran tempat tinggal teman lelakinya itu.
Bagaimanapun, salah seorang jiran lelaki berusia 26 tahun itu yang curiga dengan tindakan pelik pasangan itu bertindak menghubungi pihak berkuasa.


Difahamkan, polis yang menerima panggilan berhubung kejadian terbabit segera ke rumah lelaki itu sebelum menahannya yang kebetulan berada di dalam rumah berkenaan.


Hasil pendedahan lelaki berkenaan, polis akhirnya menemui ‘kubur bayi’ yang baru dilahirkan teman wanitanya dalam keadaan ditutupi zink bagi mengelakkan dikesan orang ramai.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy berkata, berikutan penemuan itu, suspek yang dipercayai berasal dari Indonesia kini ditahan reman selama empat hari sehingga 12 April bagi membantu siasatan.


“Mayat bayi sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi bedah siasat. Hasil bedah siasat dijangka diperoleh esok (hari ini).


“Namun, usaha mengesan teman wanita suspek yang juga ibu kepada mayat bayi ditemui itu masih gagal dan kita percaya teman wanitanya itu sudah melarikan diri ke Indonesia,” katanya, semalam.


Terdahulu, dalam penemuan mayat bayi perempuan itu kira-kira jam 10 malam kelmarin, mangsa dipercayai dilahirkan tidak cukup bulan iaitu usia kandungan masih tujuh bulan.


Sebaik dilahirkan, bayi itu dikatakan meninggal dunia menyebabkan pasangan itu panik dan bertindak menanam mayat bayi terbabit di kawasan berhampiran bagi mengelakkan dikesan.


Suspek yang bekerja di sebuah kilang baja ayam sejak setahun lalu dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri menyebabkan suspek takut untuk menghantar bayi itu ke hospital.


Difahamkan, teman wanita suspek yang bekerja di ibu kota sering bertandang ke rumah teman lelakinya itu menyebabkan mereka sering mengadakan hubungan terlarang.myMetroTanam bayi perempuan baru lahir

Nahas 3 beranak


REMUK...beginilah keadaan kereta mangsa yang remuk teruk akibat kemalangan itu.
REMUK...beginilah keadaan kereta mangsa yang remuk teruk akibat kemalangan itu.

HULU SELANGOR: Pada mulanya hasrat satu pasangan suami isteri pulang ke Kampar, Perak, untuk mengambil anak mereka selepas empat hari ditinggalkan di kampung, namun, semuanya tidak kesampaian selepas tiga sekeluarga itu terbunuh dalam satu kemalangan di kilometer 40 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Serendah, di sini, pagi semalam.
Mereka meninggal di tempat kejadian akibat kereta yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung selain turut dihempap sebuah lori yang merempuh kereta mangsa dari belakang.


Kereta jenis Proton Satria itu dipandu oleh Mohd Farid Idris, 29, manakala isterinya, Eirlenna Asrani, 28, duduk di bahagian belakang dan anak tunggal pasangan ini Muhammad Faiz Hakimi, 4, di tempat duduk hadapan.
Kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi itu menyebabkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian.


Difahamkan, Mohd Farid bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala isterinya bertugas sebagai kerani di pusat perubatan yang sama.


Pasangan itu terpaksa menghantar anak tunggal mereka ke rumah ibu Mohd Farid di Kampar, Perak, dekat sini, untuk dijaga kerana Eirlenna mengikuti kursus di Seremban, Negeri Sembilan empat hari lalu.
Ibu Mohd Farid, Hasmah Zahrain yang ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB), di sini, berkata dia tidak menyangka kepulangan anak dan menantunya di Kampar, Perak adalah pertemuan mereka kali terakhir.


“Semalam (kelmarin) Mohd Farid bersama isteri pulang ke rumah saya kira-kira jam 9 malam untuk mengambil semula anak mereka yang sangat dirindui.
“Namun, kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) mereka bertolak semula untuk pulang ke rumah mereka di Taman Segar, Cheras, bagi memulakan kerja seperti biasa,” katanya.


Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, kereta dipandu Mohd Farid dirempuh sebuah lori dari bahagian belakang menyebabkan mangsa gagal mengawal keretanya sebelum diseret dan terjunam ke dalam gaung selain dihempap lori berkenaan.


Bagi abang mangsa, Mohd Husaini Idris menyifatkan kehilangan adiknya yang juga anak kelima daripada lapan beradik itu satu kehilangan besar dan tidak menyangka isteri dan anak mangsa turut terbunuh dalam kemalangan itu.


“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi sebelum bergegas datang ke sini (HKKB). Ketika pulang ke kampung, Mohd Farid bersikap seperti sangat letih dan sering tidur.


“Malah, kakak ipar Eirlenna juga bersikap sama. Namun, kami tidak menyangka ia adalah perubahan dan petanda mereka akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.


Difahamkan, jenazah tiga sekeluarga itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar, Perak, petang semalam.


Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku apabila lori yang membawa muatan tar dipercayai dipandu oleh K Duraisingam, 40, tiba-tiba melanggar belakang kereta mangsa.


Akibat rempuhan itu, kereta jenis Proton Satria yang dipandu Mohd Farid Idris, 29, diseret sejauh 70 meter sebelum terjunam ke dalam tebing berhampiran.


“Lori yang dipandu lelaki terbabit turut gagal dikawal menyebabkan lori itu kemudiannya jatuh menghempap ke atas kereta yang dinaiki tiga sekeluarga terbabit.


“Mohd Farid bersama anaknya dan isteri yang duduk di tempat penumpang belakang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan dan kepala,” katanya.


Sepasukan bomba dan polis bergegas ke tempat kejadian mengambil masa hampir satu jam sebelum berjaya mengangkat lori dan mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.


Ismail berkata, pemandu lori itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.myMetroNahas 3 beranak

6 maut lelaki serang pusat beli-belah

AMSTERDAM: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 11 lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah pusat beli-belah yang penuh sesak di sini sebelum menembak dirinya sendiri, semalam.

Datuk Bandar, Bas Eenhoorn berkata, kejadian berlaku di pusat beli belah Ridderhof di kawasan Alphen aan den Rijn, kira-kira 25 kilometer ke barat daya Amsterdam.
Beliau berkata, empat daripada mangsa yang cedera kini kritikal, lima lagi parah manakala dua mangsa cedera ringan. Penyerangnya seorang lelaki berusia kira-kira 25 tahun dan memakai jaket dan berambut perang.
“Penyiasat sedang berusaha mengenal pasti identiti penyerang. Kejadian ini amat menyedihkan terutama kerana Alphen dikenali sebagai kawasan yang tenang,” katanya.

Sementara itu seorang saksi dikenali sebagai Maart Verbeek berkata, penyerang memiliki mesingan dan melepaskan tembakan secara rambang. – AP