Search This Blog

Saturday, April 9, 2011

Tiga beranak terbunuh dalam kemalangan ngeri


KUALA LUMPUR - Tiga beranak terbunuh dalam satu kemalangan ngeri selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rawang, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Ismail Ibrahim, berkata dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa Mohd Farid Idris, 29, dan isterinya Eirlenna Asrani, 28, bersama anak mereka Muhammad Faiz Hakimi, 4, maut di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati, kereta Proton Satria yang dipandu oleh Mohd Farid sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dan dipercayai telah dilanggar dari belakang oleh sebuah lori bermuatan tar.

"Lori terbabit kemudiannya menyeret kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sejauh 70 meter sebelum kereta tersebut jatuh ke bawah tebing sedalam dua meter," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lori yang dipandu Duraisingam Karuppiah @ Veerakumah, 40, kemudiannya jatuh menghempap ke atas kereta yang dinaiki tiga beranak tersebut.- Bernama

SH

Wanita Vietnam ditemui mati dalam bilik hotel


LUMUT – Seorang wanita warganegara Vietnam ditemui mati, dipercayai dibunuh, di sebuah bilik hotel di Sitiawan dekat sini semalam, kata Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman.

Katanya, mayat wanita berumur 23 tahun itu ditemui terbaring dalam sebuah bilik oleh pekerja hotel berkenaan pada 1.30 tengah hari.

"Salah seorang petugas hotel memaklumkan terdapat seorang wanita terbaring di atas katil yang dipenuhi kesan darah pada katil, tilam dan bantal sebelum pihak hotel melaporkan kejadian itu kepada polis," katanya, hari ini.

Mohd Jamil berkata mayat berkenaan berselimut manakala muka ditutup dengan sehelai jaket jeans dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka pada bahagian kepala dan muka mangsa.

Menurutnya, polis turut menemui tiga botol arak, dompet dan pasport milik mangsa di tempat kejadian.
Mohd Jamil berkata siasatan awal mendapati motif kejadian bukan kes rompakan atau samun.

Katanya, polis sedang berusaha mengesan teman lelaki wanita berkenaan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan kerana pasangan berkenaan telah beberapa kali menginap di hotel berkenaan sebelum ini.- Bernama

SH

Warga emas ditemui lemas di Sungai Kurong Batang


KANGAR - Seorang wanita ditemui mati lemas di dalam Sungai Kurong Batang, di belakang rumahnya di Kampung Teluk Jambu, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Noordin berkata mayat Mahasa Abdullah, 77, ditemui oleh anak kepada warga emas itu pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Ketika dihubungi beliau yang mengesahkan kejadian itu berkata Mahasa dipercayai jatuh ke dalam sungai itu petang semalam berdasarkan keadaan mayat yang kembung.

Beliau berkata warga emas itu tinggal bersendirian dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai kematian mengejut. - Bernama

SH

Kase: Putrajaya perlu hapus saman ekor, bukan tangguh - The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 9 April – Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menangguhkan penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen tetapi menegaskan saman ekor perlu dihapuskan sama sekali.

Pengerusi Kase Datuk Mahfuz Omar(gambar) berkata, keputusan Kabinet itu telah mengesahkan dakwaan dan desakan pihaknya selama ini iaitu penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu adalah salah, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami ingin mendesak kerajaan agar terus menarik balik tindakan senarai hitam, bukan hanya menangguhkan sahaja.

“Penangguhan tidak bermakna apa-apa kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dilaksanakan semula.

“Cukuplah duit rakyat dikutip selama ini sehingga 1 April lalu,” kata beliau sambil menegaskan “kerajaan mempermainkan hak” rakyat.

Tempoh penyenaraian hitam ditangguhkan sehingga akhir Februari lalu dan kemudian dilanjutkan sehingga 10 Mac lalu bagi membolehkan saman dikeluarkan polis diselesaikan dengan diskaun.

Kase dimulakan tahun lalu bagi mendesak kerajaan menghapuskan saman ekor.

“Semasa mengumunkan perkara tersebut di Dewan Rakyat (23 Mac lalu), Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa keputusan penangguhan senarai hitam membabitkan Notis Pol 170A (iaitu saman rkor) tersebut adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa terdapat satu kes yang sedang dalam proses rayuan.

“Kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan ini sekali lagi dengan jelas telah menunjukkan bahawa tindakan kerajaan yang selama ini menyenarai hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen berasaskan Notis Pol 170A adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang kerana sudah terdapat kes di mahkamah yang telah memutuskan bahawa tindakan senarai hitam berasaskan sesuatu perkara yang belum dibuktikan adalah salah,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Oleh itu kata Mahfuz, yang juga Naib Presiden, pihaknya percaya kes yang dimaksudkan adalah kes Mahkamah Tinggi Kuching yang menjadi sandaran hujah Kase selama ini iaitu kes Leonard Lim Yaw Chiang melawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada 2009.

“Kami merasakan sesuatu yang aneh dan pelik apabila satu keputusan mahkamah telah dibuat pada 2009 lagi tetapi kerajaan langsung tidak mengambil endah, malah meneruskan tindakan senarai hitam yang jelas bertentangan dengan keputusan mahkamah tersebut,” kata beliau.

Malah menurut Mahfuz, kes yang dirujuk tersebut dikendalikan sendiri oleh Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan yang mewakili Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.

Oleh itu katanya, mustahil Penasihat Undang-Undang Kanan tersebut tidak memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negera dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan tentang kesan kes tersebut.

“Jika laporan dan nasihat telah diberikan tetapi kerajaan tidak mengikut nasihat tersebut, ia sesuatu yang malang kerana dengan jelas kerajaan tidak menghiraukan nasihat serta tidak menghormati keputusan mahkamah.

“Jika kerajaan tidak dinasihati, adalah malang kerana kerajaan mempunyai Penasihat Undang-undang yang gagal menjalankan tugas mereka,” kata Mahfuz lagi.

Mahfuz menambah, apa yang malang ialah segala tindakan kerajaan tersebut dengan jelas telah menindas dan membebankan rakyat.

“Rakyat dihukum, ditindas, dipaksa membayar kompaun walaupun kesalahan mereka belum dibuktikan. Rakyat dipaksa beratur, bersesak-sesak di kaunter-kaunter bayaran kompaun kerana takut dengan gertakan kerajaan untuk menyenarai hitam jika kompaun tidak dibayar,” katanya sambil menambah, rakyat ditekan sehingga ada yang terpaksa berhabis duit tabungan, terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk membayar kompaun kerana takut disenarai hitam.

Kini menurut Mahfuz, sekarang dengan bangganya kerajaan mengumumkan penangguhan senarai hitam.

“Alasannya kerana menunggu rayuan kes di mahkamah. Kenapa sebelum ini tidak menunggu keputusan rayuan tersebut terlebih dahulu?

“Selepas rakyat diperlakukan sedemikian rupa, baru sekarang tindakan tersebut ditarik balik? Malah Kerajaan melalui Timbalan Menteri Pengangkutan begitu bangga mengumumkan bahawa rakyat seharusnya bergembira dengan keputusan kerajaan menangguhkan senarai hitam tersebut,” katanya.

Justeru, Mahfuz bertanya mengapa rakyat harus gembira setelah mereka diperlakukan sedemikian?

“Kenapa rakyat harus gembira dipermain-mainkan oleh kerajaan? Kenapa rakyat harus gembira dengan penindasan dan paksaan kerajaan terhadap mereka?” katanya lagi.

Malah tegas Mahfuz, Kase tetap dengan pendiriannya sejak dari dulu lagi bahawa tindakan kerajaan menyenarai hitam adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

“Segala desakan kami selama ini akhirnya jelas dan nyata kebenarannya. Selain itu, kami sekali-kali tidak akan berdiam diri dan berpuas hati setakat ini sahaja.

“Kami ingin nyatakan bahawa kami tidak akan berhenti dengan desakan kami agar kerajaan menghapus kira kesemua saman ekor (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan sebelum 1 Februari 2011,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga mahu kerajaan khasnya JPJ dan polis agar menghormati dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Jangan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengikut prosedur serta undang-undang itu sendiri. Seterusnya kami juga mendesak kerajaan khasnya JPJ dan polis agar membuktikan segala kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pengguna-pengguna jalanraya jika terdapat bukti kukuh terhadap mereka.

“Buktikan dakwaan di mahkamah sebelum sebarang hukuman dilaksanakan,” katanya lagi.

Kase: Putrajaya perlu hapus saman ekor, bukan tangguh - The Malaysian Insider

Pemandu Kereta Hangus Terbakar

Akibat tayar pecah, seorang eksekutif jualan maut setelah kereta dipandunya terbabas dan merempuh besi penghadang jalan sebelum terbakar. Mangsa yang terperangkap, gagal dikeluarkan orang ramai setelah tersepit di tempat duduk.


Kemalangan berlaku 6.45 pagi di Kilometer 18.3, Lebuh Raya Maju Ekspressway. Siasatan awal polis, kereta ini dipercayai dipandu laju. Polis turut menemui serpihan tayar, dipercayai pecah sebelum kemalangan.


Usaha mengeluarkan mangsa juga tidak berjaya kerana api marak dengan cepat. Mangsa, Soh Ying Kiat, 29, Eksekutif Jualan sebuah syarikat menjual telefon bimbit.


Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya mengambil masa 15 minit bagi mengeluarkan mayat mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Qassem, 5 anggota al-Qaeda terbunuh

SANAA: Kementerian Dalam Negeri Yaman mengesahkan kematian pemimpin al-Qaeda di negara berkenaan, Qassem al-Rimi, dan lima anggota kanannya dalam serangan udara kelmarin.

Terdapat laporan bercanggah kelmarin mengenai siapa yang terkorban dan sama ada mana-mana anggota kanan al-Qaeda disasarkan itu sudah berjaya melarikan diri.

Dalam kenyataan menerusi laman webnya, kementerian berkenaan berkata Qassem meninggal dunia ketika peluru berpandu terkena kenderaannya di bahagian timur wilayah Saada. Turut terkorban adalah Ayed al-Shabwani, Ammar al-Walli, Saleh al-Tais, warga Mesir, Ibrahim Mohammed Saleh al-Banna dan orang keenam yang tidak dikenali.
Lewat kelmarin, selepas pada mulanya menyatakan Ammar dan Saleh al-Tais terbunuh, seorang pegawai kanan menyatakan mereka berjaya melarikan diri.

Pihak kementerian tidak mengulas mengenai nasib dua orang lagi yang menjadi sasaran mereka.

Qassem antara 23 orang yang berjaya membolos penjara kerajaan di Sanaa pada Februari 2006 dan mengaibkan kerajaan, kemudian diletakkan dalam senarai 152 suspek yang dikehendaki.

Saleh al-Banna, yang juga dikenali sebagai Abu Aymen al-Masri, dikatakan seorang ‘ideologist’ bagi kumpulan berkenaan.

Operasi kelmarin yang terbaru dalam siri tindakan sejak penghujung Disember lalu, di mana kerajaan melancarkan kempen terhadap al-Qaeda.

Selasa lalu, pasukan keselamatan membunuh Abdullah Mehdar, anggota penting dalam kumpulan itu, di wilayah Shabwa, di timur ibu negaranya. - AFP




Banjir: Thailand rugi RM25 juta




Beberapa buah kenderaan termasuk kenderaan berat meredah banjir di sebatang jalan raya di wilayah Surat Thani di selatan Bangkok pada 30 Mac lalu. Selatan Thailand dilanda banjir teruk sejak dua minggu lalu mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta. - REUTERS


BANGKOK 8 April - Banjir selama dua minggu di wilayah selatan Thailand mengakibatkan industri pelancongan negara itu mengalami kerugian perolehan pendapatan berjumlah 2.5 bilion Baht (kira-kira RM250 juta).
Menurut Majlis Pelancongan Thailand, ketibaan pelancong telah merosot sehingga 30 peratus berikutan gangguan kepada perkhidmatan pengangkutan jalan, kereta api, penerbangan dan perkhidmatan feri.
Bagaimanapun, kesan jangka pendek itu tidak memberi kesan buruk kepada industri pelancongan secara keseluruhan dalam masa jangka panjang.
Empat wilayah masih dilanda banjir ialah Nakhon Si Thammarat, Phattalung, Surat Thani dan Trang, kata seorang jurucakap Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand hari ini.
Katanya keadaan banjir di enam lagi wilayah iaitu Phangnga, Narathiwat, Satun, Chumphon, Songkhla dan Krabi — sedang beransur pulih.
Lapangan Terbang Nakhon Si Thammarat, yang ditutup sementara sejak Isnin lalu, kini dibuka semula semalam manakala perkhidmatan keretapi arah selatan dari Bangkok berhenti di Stesen Chai Ya, Surat Thani.
Angka korban banjir telah mencecah 58 orang dengan wilayah Nakhon Si Thammarat mencatat 25 kematian, Surat Thani (12), Krabi (10), Phattalung (5), Chumphon (3), Trang (2) dan satu di Phangnga. - BERNAMA
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Dadah RM110j dirampas




Noor Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 7 April - Polis sekali lagi melakar kejayaan besar apabila berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas 158.47 kilogram (kg) heroin, bernilai RM110 juta di sebuah rumah di Taman Puncak Jalil, di sini semalam.
Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman itu diperoleh kurang 24 jam selepas merampas 71.4 kg syabu bernilai RM17.9 juta bersama wang tunai berjumlah RM7.1 juta di ibu negara kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, rampasan dadah terbesar dicatatkan tahun ini, hasil maklumat awam dan risikan polis yang percaya ia diseludup melalui pelabuhan.
Katanya, setelah melakukan risikan di kawasan rumah teres yang disewa oleh dua lelaki warga Pakistan berusia 28 dan 30 tahun itu, satu serbuan dilakukan pukul 4.30 petang.
"Ketika itu kedua-dua suspek sedang memunggah 227 kotak berisi barangan seperti selimut, cadar, tuala dan baju kemeja.
"Hasil pemeriksaan, 14 daripada kotak yang mempunyai berat mencurigakan itu menemui 155 bungkusan berisi dadah jenis heroin dalam bungkusan selimut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dadah berkenaan yang telah siap diproses dan dibungkus akan diseludup keluar oleh sindiket sama ke luar negara.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Noor Rashid memberitahu, tiga bulan lalu, ahli sindiket sama ditahan di Australia kerana menyeludup masuk 80kg dadah jenis heroin.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Telur tiruan dirampas




Wong Kee Poh (dua dari kiri) memeriksa telur di sebuah gerai di Pulau Tikus, semalam.


PULAU PINANG 7 April - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri merampas 270 biji telur, disyaki tiruan dari tiga gerai di pasar Pulau Tikus, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, M. Gunaselan berkata, pemeriksaan dilakukan kira-kira pukul 10.45 pagi oleh tujuh anggota penguat kuasa yang diketuai oleh Md. Nasir Mohamd dan mengesan telur ayam yang didakwa tiruan dan dijual dengan harga antara 35 sen hingga 38 sen sebiji.
''Sebanyak 270 biji telur ayam disita dari tiga gerai yang diperiksa, manakala 90 biji diambil untuk siasatan lanjut," katanya di sini hari ini
Turut serta dalam pemeriksaan itu ialah Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Timur Laut, Wong Kee Poh bersama beberapa pegawainya.
Menurut Gunaselan, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika disabitkan kesalahan, denda maksimum yang boleh dikenakan RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi perbadanan, denda tidak melebihi RM250,000.
''Pihak kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk siasatan lanjut tentang perkara ini," katanya
Sementara itu, salah seorang pemilik gerai, Lim Siew Eng, 85, berkata, dia yang sudah 50 tahun menjual telur ayam di tempat itu tidak pernah menerima rungutan daripada pelanggannya mengenai telur ayam tiruan yang didakwa dijualnya.
''Ini kali pertama gerai saya diperiksa. Mereka merampas 90 biji telur ayam yang saya jual untuk menjalani ujian pengesahan ketulenan," katanya.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal dan penjual telur tiruan seperti yang didakwa oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembekal dan penjual telur itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan Palsu 1972.
"Kementerian juga telah menghantar penguat kuasa untuk memantau perkara tersebut. Perkara ini akan disiasat sehingga ke akar umbi kerana ia melibatkan kesihatan pengguna jika memakan barangan tiruan.
"Justeru, kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengesahkan sama ada telur tersebut tiruan atau tidak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Dua pegawai SPRM ditahan kerja berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam




KUALA LUMPUR 7 April - Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah ditahan kerja untuk tujuan siasatan berhubung kematian seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pekarangan bangunan suruhanjaya itu semalam.
Kedua-duanya ditahan kerana pelanggaran ingkar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM yang mana pegawai berkenaan gagal berada bersama mereka sepanjang tempoh itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini berkata, proses penahanan kerja itu juga bagi membantu melicinkan penyiasatan dalaman dan berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan.
"Ia dibuat di bawah Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 iaitu penahanan kerja bagi maksud penyiasatan," ujarnya.
Dalam kejadian itu, Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Kuala Lumpur, Jalan Cochrane di sini.
Kenyataan itu berkata, setelah selesai, hasil siasatan dalaman tersebut akan dibentangkan kepada Jawatan Kuasa Aduan SPRM yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd. Nor Abdullah.
Selain itu, jawatan kuasa itu dianggotai Datuk Muhammad Mohd. Nor; Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah; Chooi Mun Sau dan V. M Ravindran.
Katanya, terma rujukan jawatan kuasa itu adalah untuk memantau pengendalian SPRM tentang aduan mengenai salah-laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai suruhanjaya.
Tambahnya, ia juga mengenal pasti kelemahan dalam tatacara kerja SPRM yang mungkin menimbulkan aduan dan jika difikirkan sesuai untuk membuat apa-apa syor bagi yang sepatutnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

2 bot nelayan tempatan dibawa ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Dua bot nelayan tempatan ditahan dipercayai oleh agensi penguatkuasaan Indonesia di perairan negara kira-kira 45 batu nautika dari Barat Daya, Pulau Pinang dan 25 batu nautika dari perairan antarabangsa Malaysia-Indonesia, semalam.
Menurut sumber Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM), dua bot berkenaan dari Hutan Melintang, Perak dipaksa masuk ke sempadan perairan negara berkenaan, walaupun cuba dihalang pihak berkuasa negara ini.

Katanya, empat helikopter masing-masing milik APMM jenis jenis AW192 bersama dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Super Lynx dan Godell diarahkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai penahanan terbabit yang berlaku jam 12.40 tengah hari.
myMetro | 2 bot nelayan tempatan dibawa ke Indonesia

Pemandu rentung kereta terbakar dalam nahas

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda rentung apabila kereta Honda Prelude yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.3 Lebuh Raya Maju Expressway (Mex), di sini, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi selepas mangsa Soh Ying Kiat, 29 tahun, dipercayai gagal mengawal kereta yang dipandunya dari arah Putrajaya menghala ke Kuala Lumpur lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kereta mangsa terbakar dan mangsa mati di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat
myMetro | Pemandu rentung kereta terbakar dalam nahas

10 OKU dipaksa mengemis


TAHAN...pegawai JKM mengusung masuk seorang OKU yang didapati mengemis.
TAHAN...pegawai JKM mengusung masuk seorang OKU yang didapati mengemis.


JOHOR BAHRU: Pengurusan sebuah pusat jagaan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas berdaftar di Nilai, Negeri Sembilan, dipercayai mengambil kesempatan terhadap 10 penghuninya dengan memaksa golongan berkenaan mengemis sebelum membolot semua hasil.
Penghuninya pula dikerah mengemis di seluruh negara, termasuk di Rawang, Selangor, serta Ipoh, Perak, dan kini aktif di negeri ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, pada masa sama dalang pusat jagaan terbabit dipercayai turut mengambil kesempatan merekrut ahli baru terdiri daripada OKU di setiap lokasi yang disinggah bagi menambah hasil.

“Taktik itu terbongkar selepas seorang lelaki OKU berusia 30-an ditahan dalam Ops Pengemis yang dijalankan JKM di sekitar JB Sentral serta Larkin Sentral, kelmarin.

“Ketika ditahan, OKU itu mengemis dengan berkerusi roda dan ditolak seorang mak nyah yang juga berusia 30-an,” katanya.

Menurut Faizal, mak nyah itu dipercayai penjaga OKU berkenaan dan mendakwa mereka mempunyai hubungan persaudaraan selain aktif mengemis sejak lebih setahun lalu.

Pemeriksaan terhadap OKU berkenaan dalam operasi bermula jam tiga hingga 10 malam membabitkan 30 kakitangan JKM itu mendapati dia membawa dokumen perakuan sebagai penghuni sebuah pusat jagaan di Ulu Tiram yang memerlukan bantuan kewangan bagi membiayai kehidupannya.

“Pemeriksaan terhadap dokumen berkenaan mendapati pertubuhan itu didaftarkan di Nilai,” katanya.myMetro | 10 OKU dipaksa mengemis

Alahai budak Banting


KUALA LUMPUR: “Walaupun saya masih di tingkatan empat, kegilaan saya terhadap seks sangat kuat sehinggakan saya sanggup berulang-alik dari Banting ke Brickfields setiap hujung minggu semata-mata untuk melanggan pelacur.
“Malah, saya juga terpaksa menipu ayah kononnya saya mahu ke rumah kawan untuk mengulang kaji pelajaran dengan harapan ayah membenarkan saya meminjam motosikal Honda EX5 miliknya,” itu antara pengakuan seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Banting, yang hanya mahu dikenali sebagai Ezry (bukan nama sebenar), 16 yang ketagih seks sejak setahun lalu.

Melalui perbualan dengannya di sebuah rumah pelacuran di Brickfields baru-baru ini, tidak terdetik di hatinya untuk menipu ibu bapanya namun kerana kegilaan seks ‘melampau’ itu dia terpaksa menipu kedua-dua orang tuanya semata-mata untuk memuaskan nafsunya.

“Semuanya kerana pengaruh rakan yang membawa saya ke sini Februari tahun lalu. Sejak itu saya asyik teringat untuk datang lagi selepas kali pertama melangganinya.

“Saya tahu dari Brickfields ke Banting sejauh 160 kilometer pergi dan balik, tetapi saya tidak kisah dan sanggup. Malah, saya tidak keseorangan kerana saya turut ditemani seorang rakan sekolah yang bersama-sama melanggan pelacur di sini.

“Soal duit minyak kami tidak keberatan kerana selalunya kami ‘tong-tong’ (kongsi). Lagipun kami ke sini seminggu sekali saja iaitu pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, demi mendapatkan ‘seks seminggu sekali’ itu, dia kadangkala menyimpan wang saku pemberian ibu bapanya serta turut membuat kerja sambilan di sebuah kedai makan di Banting milik kenalannya.

“Setiap hari ayah beri RM6 wang poket sebagai perbelanjaan. Baki wang yang saya tidak guna akan disimpan untuk melanggan pelacur pada hujung minggu,” katanya.

Rakan Ezry yang mahu dikenali sebagai Mizi, 16, berkata kegiatan melanggan pelacur dianggap sebagai pemberi semangat untuknya mengulang kaji pelajaran menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

“Seronok sebenarnya di sini, bagaikan pesta. Mana tidaknya, kerana ayam-ayam (pelacur) di sini semuanya lawa dan murah, dengan hanya RM30 saya dapat memuaskan nafsu.

“Kalau dibanding di Banting dengan Brickfields banyak bezanya...Di Banting kawasannya sunyi sepi dan tiada pelacur tetapi di sini ‘heaven’ (seronok) sangat,” katanya.

Menurut Mizi, apa yang membuatkannya datang ke rumah pelacuran terbabit kerana pelacur di kawasan itu cantik termasuk dari Sabah dan Sarawak berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun.

Sementara itu sumber berkata, kawasan pelacuran terbabit sentiasa dipenuhi pelacur warga Malaysia, Indonesia, India, China, Myanmar dan Bangladesh dengan harga serendah RM30 hingga RM50 bagi sekali perkhidmatan.

Katanya, antara perkhidmatan ditawar seks, onani, ‘urutan harimau’ dan lain-lain.

Harian Metro 3 Mac lalu melaporkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan premis pelacuran di kawasan berkenaan namun kegiatan itu kini kembali beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi, berkata kawasan pelacuran berkenaan sudah beberapa kali diserbu pihak polis dan DBKL namun kegiatan itu masih diteruskan.myMetro | Alahai budak Banting

'Saya tak arahkan'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S Samy Vellu semalam menafikan bahawa beliau mengarahkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P. Chithirakala mengeluarkan RM4 juta daripada akaun institut itu dan menyediakan tiga keping cek untuk membeli saham untuk anaknya S Vell Paari.
“Ia pembohongan, tidak pernah memberi arahan seperti itu,” jawab Samy Vellu ketika diperiksa balas oleh peguam Chithirakala, Jadadish Chandra dalam perbicaraan MIED di Mahkamah Sesyen di sini.

Samy Vellu, bekas presiden MIC, tidak setuju dengan cadangan peguam itu bahawa wang itu sebenarnya milik beliau tetapi disimpan di bawah nama Tan Sri Rashid Manaf, yang juga salah seorang pemegang saham AIMST Sdn Bhd.
Apabila disoal lagi, Samy Vellu berkata beliau tidak sedar sepucuk surat daripada Rashid meminta mengeluarkan cek berjumlah RM1 juta dan sekeping lagi cek bernilai RM1 juta lagi pada 3 Mei, 2007 yang didakwa untuk memperoleh 20 peratus saham dalam dua syarikat, Wirna Jernih Sdn Bhd dan Silver Line Sdn Bhd, untuk Vell Paari.

Beliau menegaskan bahawa dia masih ingat sudah menandatangani sepucuk surat sokongan untuk Silver Line bagi membida projek kem latihan khidmat negara tetapi tidak tahu mengenai pembelian saham seperti dinyatakan oleh peguam itu.

Samy Vellu berkata, MIED dan MIED Capital adalah dua entiti berbeza dan dia tidak mempunyai kaitan dengan MIED Capital di mana penandatangannya ialah bekas bendahari agung MIC, Tan Sri M Mahalingam dan Datuk M Kumaran.
Pengerusi MIED itu berkata, apabila MIC mencetuskan idea menubuhkan sebuah kolej perubatan, MIED tidak mempunyai dana dan beliau meminjam RM5 juta daripada sahabatnya Rashid, yang juga seorang peguam.

Pada 11 Mei tahun lalu, Chithirakala, 40, mengaku tidak bersalah menipu Mahalingam, 74, seorang pengarah dan penandatangan MIED Sdn Bhd, dengan memperdayakan beliau menandatangani dua keping cek, setiap satu bernilai RM1 juta dan sekeping cek bernilai RM2 juta pada 2007.
Ditanya mengapa rekod Pendaftar Syarikat (ROC) menunjukkan jumlah besar saham MIED Capital dimilik oleh Rashid, Samy Vellu berkata, dasar kerajaan menyatakan pemilikan 30 peratus Bumiputera dan sejak MIC tidak mempunyai wang ketika itu, parti itu mengambil keputusan untuk memperuntukkan 40 peratus saham tersebut.

Bekas Menteri Kerja Raya itu memberitahu mahkamah bahawa ia bukan keputusan dirinya tetapi keputusan lembaga dan ia telah direkodkan dalam minit mesyuarat Lembaga MIED.

Ditanya sama ada beliau boleh mengemukakan minit mesyuarat itu, Samy Vellu berkata beliau perlu memeriksa kerana beberapa dokumen kini berada di tangan polis dan Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai isu sama ada dia adalah pemegang saham Nimat Sdn Bhd yang membeli sebidang tanah bersebelahan dengan Bangunan MIC, Samy Vellu berkata: "Saya bukan pemegang saham, saya hanya mewakili MIC pada mulanya di mana Maika Holdings juga mempunyai saham dalam syarikat itu.

Ditanya sama ada Rashid juga mempunyai kepentingan dalam syarikat itu, katanya beliau tidak tahu mengenainya.

Chandra dibantu peguam Afifuddin Hafifi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais dan Wong Pooi Yoke-Bernama Perbicaraan di hadapan hakim Che Mohamad Zulkifly disambung semula pada 26 Mei ini.
myMetro | 'Saya tak arahkan'

Cermin mata lihat jin

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik gelaran ustaz, tiada siapa menyangka seorang lelaki mampu mengaut untung mencecah puluhan ribu ringgit apabila menipu mangsa yang meminta bantuannya dalam urusan membuat pinjaman peribadi dan jual beli kereta.
Difahamkan, setakat ini, seramai 40 mangsa sekitar Kuala Lumpur menjadi mangsa ustaz terbabit yang mendakwa mampu melihat jin melalui cermin matanya yang direndam dalam air ‘zafaran’.

Lelaki terbabit dikenali Haji Din berusia lingkungan 40-an pada mulanya hanya menjalankan rawatan perubatan Islam di Pahang sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan menjalankan perniagaan sebagai ejen pinjaman bersama seorang pembantu lelaki berusia 21 tahun.
Malah, ustaz terbabit yang sebelum ini sering memakai serban dan berjubah berubah perwatakan selepas berpindah ke Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit turut mendakwa menerima anugerah Datuk malah mempunyai ijazah dalam bidang kedoktoran dan pernah berkhidmat sebagai pakar bedah di Australia sebelum pulang ke Malaysia pada 2009.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai ustaz MZ berkata, dia mengenali Haji Din ketika membawa seorang kenalan berubat dengan lelaki terbabit di Pahang.
Menurutnya, perkenalan itu berlanjutan sehingga Haji Din berpindah ke ibu kota dan mereka sering bertemu sebelum dia memperkenalkan rakannya kepada ustaz terbabit.

“Ramai rakan saya yang mahu membuat pinjaman peribadi tetapi tidak boleh berikutan nama mereka disenarai hitam meminta bantuan Haji Din.
“Ini kerana Haji Din mendakwa mampu menyelesaikan masalah mereka dan berjanji pinjaman peribadi yang dimohon akan diluluskan bank walaupun nama mereka sudah disenarai hitam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka lelaki terbabit sebenarnya menipu mangsa menggunakan gelaran ustaz supaya mereka mempercayainya sebelum bertindak menghilangkan diri selepas menerima wang untuk proses membuat pinjaman peribadi.

“Saya ketika ini turut rasa bersalah kerana memperkenalkan rakan-rakan kepada ustaz terbabit menyebabkan mereka ditipu. “Sejak kejadian itu, saya sudah memutuskan hubungan dengannya dan tidak tahu dia berada ketika ini,” katanya.

Mangsa, Mohd Nordin Abd Aziz, 26, berkata, dia mengenali Haji Din melalui ustaz MZ yang membawanya berjumpa lelaki itu pada Disember tahun lalu.
myMetro | Cermin mata lihat jin

Cabul budak lima tahun

KUALA LUMPUR: Perbuatan keji seorang pemandu ‘teksi sapu’ yang dibayar secara bulanan mencabul seorang kanak-kanak berusia 5 tahun berakhir apabila mangsa mendedahkan perbuatan terkutuk pemandu itu selepas menjadi mangsa sejak enam bulan lalu.
Difahamkan, lelaki yang berusia 56 tahun itu menyediakan perkhidmatan teksi sapu di kawasan persekolahan menggunakan kereta Perodua Viva.

Menurut sumber, ibu mangsa mengatakan anaknya kelihatan sentiasa murung sejak kebelakangan ini dan tidak banyak bercakap seperti biasa.
Risau dengan keadaan anaknya, ibu kanak-kanak terbabit mencuba pelbagai cara untuk mencari punca kemurungan kanak-kanak malang itu. Bagaimanapun, mangsa akhirnya menceritakan perbuatan terkutuk pemandu teksi sapu itu kepada ibunya selepas dipujuk ketika makan malam di restoran di Subang, beberapa hari lalu. Sumber itu berkata, setiap kali dijemput oleh pemandu keji itu, mangsa diarahkan supaya duduk di bahagian penumpang hadapan untuk memudahkan suspek meraba kemaluannya.

Susulan maklumat daripada mangsa, ibu kanak-kanak itu yang terkejut dengan kejadian itu membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis USJ 8, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan suspek sudah ditahan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
myMetro | Cabul budak lima tahun

Tak terlepas tali gantung

KUALA LUMPUR: Lima tahun selepas dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah, seorang pengawal keselamatan bagaimanapun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam terhadap pertuduhan serupa dan oleh hakim yang sama.
Shamuddin Sohan, 42, yang didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 941 gram sembilan tahun lalu, dikenakan hukuman mati itu oleh Hakim Datuk Lim Yee Lan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pada 2006, hakim Lim melepas dan membebaskan Shamuddin daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes itu.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Shamuddin dipanggil membela diri untuk memberi keterangan pembelaannya selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

“Mahkamah berpendapat keterangan daripada tertuduh dalam pembelaannya hanya berbentuk penafian semata-mata,” kata hakim Lim dalam penghakimannya di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Shamuddin didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, di sini pada 1.45 pagi 29 Mei 2002 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama. - Bernama
myMetro | Tak terlepas tali gantung

Bicara serentak

SHAH ALAM: Kes empat daripada lapan pegawai Jabatan Imigresen Selangor yang didakwa atas 83 tuduhan memperoleh rasuah RM122,140 daripada orang tengah dan pemilik feri sebagai upah memudahkan urusan kemasukan warga Indonesia ke negara ini tahun lalu dibicarakan serentak di Mahkamah Sesyen.
Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu pada sebutan semula kes itu selepas menolak bantahan pembelaan yang mewakili tertuduh, Ahmad Zahed Abd Alim, Mohd Hafiz Zakaria, Azmir Mahadi dan Mohd Khairul Haqimie Kamarudin.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 13, 14, 15, 18,19 dan 20 sebagai tarikh perbicaraan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sinti yang mewakili pendakwaan memohon kes itu dibicarakan serentak atas alasan kebanyakan saksi keempat-empat tertuduh adalah sama.

Katanya, semua tertuduh bertugas di tempat sama dengan skop tugas serupa dan dakwaan terhadap mereka membabitkan tujuan sama.

“Apa yang membezakan adalah orang tengah tetapi tujuan sogokan diberikan adalah sama,” katanya.
myMetro | Bicara serentak

Cedera sepadan orang jatuh bangunan

KUALA LUMPUR: Laporan bedah siasat dilakukan terhadap Penolong Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara Jabatan Kastam Diraja Selangor (KDRM), Ahmad Sarbani Mohamed, 56, dilaporkan konsisten dengan kecederaan seperti orang jatuh dari bangunan.
Bedah siasat yang memakan masa lebih 19 jam itu dilakukan selepas Ahmad Sarbani ditemui mati di tingkat satu bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Jalan Cochrane, di sini, Rabu lalu.

Ahmad Sarbani dikatakan pergi sendiri ke bangunan berkenaan menaiki motosikal untuk bertemu seorang pegawai penyiasat bagi mengubah percakapan yang dibuatnya sebelum ini membabitkan kes rasuah yang sedang disiasat SPRM.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata laporan bedah siasat yang dilakukan pihak hospital menunjukkan kecederaan dialami Ahmad Sarbani seperti kesan orang jatuh.

“Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan makmal dan yakin keputusannya akan diperoleh kurang dari seminggu,” katanya ketika ditemui di perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), di sini, semalam.

Menceritakan perkembangan siasatan, Zulkifli berkata, sehingga kelmarin, seramai enam pegawai SPRM termasuk dua yang digantung tugas sudah dipanggil polis dan dirakamkan percakapan mereka.
“Polis kini sedang meneliti dan menganalisis rakaman CCTV di bangunan berkenaan. Malah, kita (polis) mempunyai petunjuk positif kepada siasatan kes berkenaan.
myMetro | Cedera sepadan orang jatuh bangunan

Raba kepala sebaik sedar

JOHOR BAHRU: Selepas empat hari koma akibat dibelasah dua lelaki dengan topi keledar, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Gemas, Negeri Sembilan, Mohd Saufi Shamsul Baharin, 15, akhirnya menunjukkan perubahan positif.
Ketika dikunjungi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam, Saufi dilihat sudah sedar dan kerap meraba bahagian kepalanya yang dipenuhi kesan jahitan pembedahan.

Selain memberi tindak balas positif terhadap pertanyaan doktor dan jururawat, remaja berkenaan turut dikatakan lebih suka berusaha sendiri duduk, makan serta minum tanpa mengharapkan bantuan.
Berikutan keadaan kesihatan yang semakin pulih, dia dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) ke wad Pembedahan Neuro di hospital sama untuk pengawasan dan pemerhatian doktor.

Pengarah HSA, Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican ketika dihubungi mengesahkan Saufi stabil dan beransur pulih.

“Selepas dirawat di ICU, Saufi kini stabil dan mula ditempatkan ke wad biasa sejak semalam (kelmarin). Buat masa ini, dia juga sudah boleh duduk, makan bubur dan mengenali orang di sekelilingnya,” katanya.
Menurut Dr Rooshaimi, walaupun semakin pulih, Saufi masih diletakkan di bawah pemerhatian doktor.

“Melihat keadaan pesakit, kami yakin dia ingat dan mengenali orang di sekelilingnya selain tahu di mana dia berada,” katanya.
Usaha menemubual keluarga mangsa tidak berhasil berikutan Saufi dilihat hanya bersendirian di katil wad berkenaan.

Dalam kejadian jam 6 petang Isnin lalu, Saufi bukan saja muntah darah, malah koma selepas dibelasah dua lelaki menggunakan topi keledar di tempat menunggu bas di Kampung Londah.

Sebelum itu, mangsa dikatakan didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang terus menghentak kepalanya. Dia yang mulanya hanya mengalami sedikit kesakitan pulang ke rumah seperti biasa lalu menceritakan kejadian kepada bapanya.

Tidak lama kemudian, mangsa pening dan hendak muntah lalu masuk ke dalam bilik air dan bapa mangsa yang terkejut, menghantarnya ke Klinik Kesihatan Gemas.

Saufi dikejarkan ke Hospital Segamat sebelum dirujuk ke HSA.
myMetro | >Raba kepala sebaik sedar

Pelajar koma muntah darah

TAMPIN: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Gemas muntah darah dan koma selepas dibelasah dua lelaki menggunakan topi keledar di tempat menunggu bas di Kampong Londah, dekat sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Mohd Saufi Shamsul Baharin, 15, dikatakan didatangi dua lelaki menaiki motosikal lalu terus menghentak kepalanya menggunakan topi keledar.

Selepas dibelasah, remaja itu sempat pulang sebelum dia mengalami muntah darah di dalam bilik air rumahnya lalu dikejarkan ke hospital.
Harian Metro difahamkan, pelajar itu yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan selama kira-kira tujuh jam bagi membuang darah beku dalam kepalanya.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, ketika kejadian, Mohd Saufi sedang menunggu bas bersama beberapa rakannya di tempat menunggu bas di situ.

“Tiba-tiba datang dua lelaki menaiki motosikal menyerang mangsa menggunakan topi keledar sebelum mereka melarikan diri. Dia yang mulanya hanya mengalami sedikit kesakitan pulang ke rumah seperti biasa lalu menceritakan kejadian kepada bapanya.
“Beberapa minit kemudian, pelajar itu berasa pening dan hendak muntah lalu masuk ke dalam bilik air rumahnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, bapa mangsa bagaimanapun terkejut selepas melihat anaknya muntah darah serta tidak bermaya lalu menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Gemas sejurus kemudian.
Menurutnya, Mohd Saufi bagaimanapun dikejarkan ke Hospital Segamat sebelum dipindahkan ke HSA kerana kecederaan yang dialaminya.

“Mangsa kemudian menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dalam kepala yang dialami berikutan kejadian terbabit.

“Bapa Mohd Saufi kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian menimpa anaknya pada malam hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan terus melakukan siasatan dan berjaya memberkas dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun di sekitar Gemas tidak lama selepas itu bagi membantu siasatan kes terbabit.

Katanya, dua lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
myMetro | Pelajar koma muntah darah

11 pelajar direman bantu siasatan

KUALA TERENGGANU: Sebelas pelajar sekolah menengah di Marang direman sehingga esok untuk membantu siasatan polis kerana menceroboh sebuah sekolah agama sebelum membelasah seorang pelajar tingkatan lima, Wan Nur Azri Wan Mohammad, 17, di sekolah berkenaan.
Kesemua pelajar tingkatan tiga, empat dan lima dari daerah berkenaan ditahan di rumah masing-masing tengah malam semalam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pelajar terbabit kini direman tiga hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah.
“Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai masalah dengan rakan sekelasnya yang kemudian memanggil sekumpulan pelajar dari sekolah lain untuk membelasah mangsa,” katanya.

Wan Nur Azri yang cedera di beberapa bahagian badan dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, petang semalam, dan polis sudah merakamkan keterangannya.

Akhbar semalam melaporkan, sekumpulan 20 pelajar dari sekolah di Marang bertindak seperti mafia, meredah perjalanan sejauh dua kilometer untuk menceroboh sebuah sekolah agama semata-mata bagi membelasah seorang pelajar sekolah berkenaan, pagi kelmarin.
Mangsa, Wan Nur Azri dari Kampung Bukit Surau Haji Daud, Marang cedera di muka, dahi dan belakang badan akibat dibelasah kumpulan pelajar terbabit.
myMetro | 11 pelajar direman bantu siasatan

2 kereta kepung pengurup wang

JOHOR BAHRU: Rompakan yang berlaku di Jalan Kuning 2, Taman Pelangi di sini, petang semalam, bagaikan aksi dalam filem Hollywood apabila dua kereta mengepung sebuah kenderaan jenis Hyundai Sonata milik pengurup wang sebelum kenderaan berkenaan dihujani tembakan menyebabkan seorang daripada tiga penumpangnya maut.
Bukan setakat itu saja, malah dalam kejadian jam 5.10 petang itu, empat penjenayah terbabit turut berjalan kaki ala ‘koboi’ ke arah kereta dipandu rakan jenayah yang menunggu hampir 15 meter dari lokasi kejadian, di jalan besar selepas membunuh serta mengambil beg dipercayai berisi wang tunai dari kereta Sonata itu.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, lelaki yang maut itu berusia 63 tahun dan bertugas sebagai pengawal peribadi kepada pengusaha kedai pengurup wang yang turut berada di dalam kereta Sonata berkenaan.
Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, Sonata berkenaan berada di tempat meletak kenderaan berhampiran premis pengurup wang terbabit apabila dua kereta iaitu Proton Wira serta Waja tiba-tiba mengasak kereta itu.

“Kira-kira 10 minit kemudian, tiga lelaki keluar dari Waja dan seorang lagi dari Wira lantas meluru ke arah Sonata berkenaan.

“Penjenayah yang keluar dari Wira memakai topeng manakala tiga lagi rakannya tidak bertopeng,” katanya.
Menurut saksi, penjenayah bertopeng itu kemudian melepaskan tembakan ke arah kereta Sonata berkenaan dan mengenai mangsa yang duduk di sebelah pemandu.

“Penjenayah kemudian memecahkan cermin kereta itu sebelum membuka butnya dan mengambil beg berisi wang manakala pemandu serta pemilik kedai pengurup wang itu tidak diapa-apakan,” katanya.
Tidak lama kemudian, keempat-empat penjenayah itu berjalan ke jalan besar dan menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu, meninggalkan kereta Waja serta Wira.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian lalu bergegas ke sana.

“Siasatan terhadap Wira dan Waja yang ditinggalkan penjenayah mendapati ia dilaporkan hilang di Lembah Klang dan operasi memburu penjenayah terbabit sedang dijalankan. Jumlah kerugian belum dapat dipastikan.

“Pengawal peribadi yang terkena tembakan itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di badan,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Menurut beliau, setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan tidak menolak kemungkinan rompakan itu dirancang rapi.

“Kami percaya lebih daripada tiga penjenayah terbabit dalam rompakan ini dan kami sedang mengenal pasti identiti mereka.

“Jumlah kerugian masih disiasat dan penjenayah terbabit dianggap berbahaya. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
myMetro | 2 kereta kepung pengurup wang

Meninggal silih berganti

KOTA TINGGI: Dalam tempoh 46 hari, keluarga di Kampung Muhibbah, Sungai Papan di sini, kehilangan dua insan tersayang iaitu bapa dan anak dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di lokasi hampir sama di Jalan Tanjung Belungkor.
Pada 21 Februari lalu, Sumarno Sahidan, 54, meninggal dunia dirempuh kereta di Kilometer 13 jalan berkenaan pada jam 10.45 pagi dan terbaru, anak kedua arwah, Jamadi, 25, maut selepas kereta Proton Waja dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda, pada jam 8 malam kelmarin, dua kilometer dari lokasi bapanya terbabit dalam kemalangan.

Ibu mangsa, Halimah Wahab, 44, berkata lebih menyayat hati, dia baru saja berurusan di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Johor Bahru untuk menuntut simpanan arwah suaminya, kelmarin.
“Remuk hati saya apabila melihat Jamadi tersepit di tempat duduk pemandu. Tambahan pula, 46 hari lalu, saya turut berada dua kilometer dari situ melihat jenazah suami.

“Saya kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata. Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan itu, abang mangsa, Suhandi, 30, yang duduk di tempat duduk penumpang depan, hanya terseliuh kaki dan dibenarkan pulang selepas dirawat di HKT. Ketika kejadian, kedua-duanya dalam perjalanan pulang daripada memancing di Tanjung Penawar.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas selepas bergesel dengan dua kereta dari arah bertentangan ketika cuba memotong sebuah motosikal, lalu bertembung dengan Proton Waja dipandu Sumarno.

Pemandu pacuan empat roda berkenaan, lelaki berusia 24 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Menurut Halimah, Jamadi ada berpesan kepadanya supaya menyediakan masakan lemak ketam dan mahu menjamah hidangan istimewa itu apabila pulang daripada memancing.

“Makanan kegemaran Jamadi itu sudah siap namun Tuhan lebih sayangkannya, dia tidak sempat menjamahnya,” katanya.

Menurut Halimah, Suhandi yang bekerja di Endau, sebelum itu pulang ke rumahnya bersama isteri dan anak pada 1 April lalu sempena kenduri tahlil 40 hari bapanya (Sumarno) meninggal dunia.

Menurut Halimah, dia perasan dengan perubahan sikap Jamadi yang cepat melenting apabila diusik beberapa hari sebelum kemalangan.

“Selepas suami meninggal dunia, saya minta Jamadi yang bekerja di Pontian pulang menemani saya. Dia masih bujang dan gemar bergurau. Saya tidak sangka perubahan sikap itu tanda dia akan pergi selamanya,” katanya.
myMetro | Meninggal silih berganti

Mayat bayi 5 bulan dekat stesen LRT

AMPANG: Penemuan mayat bayi perempuan berusia lima bulan yang ditinggalkan di kawasan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, di sini, menggemparkan pengguna perkhidmatan berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mayat bayi dibalut surat khabar ditemui ditinggalkan di tingkat bawah stesen LRT berkenaan.

Orang ramai yang terkejut dengan penemuan berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum beberapa anggota bergegas ke tempat kejadian.
Menurut sumber, polis percaya bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan di lokasi lain sebelum individu terbabit meninggalkan mayat itu di kawasan berkenaan.

“Polis yang tiba di tempat kejadian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun mendapati CCTV itu gagal merakamkan individu terbabit.

“Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Ampang (HA) untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
myMetro | Mayat bayi 5 bulan dekat stesen LRT

Penceroboh perkosa wanita

GOMBAK: Seorang wanita ditutup mata, diikat tangan dengan tali sebelum dirogol seorang lelaki yang menceroboh bilik tidurnya di rumah kedai yang disewa berhampiran Stesen Bas Rawang, dekat sini, Rabu lalu.
Sebelum kejadian, mangsa berusia 20-an tidur bersendirian di rumah itu selepas pulang kerja kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja di sebuah kedai serbaneka terjaga daripada tidur apabila mendapati lehernya dicekik seorang lelaki sebelum matanya ditutup dengan kain.
“Tindakan lelaki itu mengakibatkan mangsa terkejut dan berlaku pergelutan ketika cuba mempertahankan diri, namun gagal, malah suspek turut mengikat tangan mangsa dengan tali.

“Selepas menghalang mangsa meronta-ronta, lelaki itu menyelak baju dan kain mangsa sebelum merogolnya.

“Mangsa yang tinggal berseorangan di bilik itu tidak menyangka dirinya menjadi pemuas nafsu lelaki terbabit yang gagal dikenali kerana ketika kejadian matanya ditutup,” katanya.
Sumber berkata, puas mangsa merayu dilepaskan, namun suspek tidak menghiraukannya, malah bertambah ghairah meratah tubuh wanita terbabit.

“Selepas merogol, suspek mengambil dompet mangsa dan melarikan diri.
“Malah, mangsa dibiarkan tanpa dilepaskan ikatannya. Mangsa berjaya melepaskan diri tidak lama kemudian, namun suspek melarikan diri,” katanya Mangsa membuat laporan di Balai Polis Rawang kerana bimbang dengan keselamatan dirinya jika kejadian itu berulang.
myMetro | Penceroboh perkosa wanita

Jumpa semula kereta hilang 11 tahun lalu

BURAIDAH (Arab Saudi): Seorang lelaki semalam menemui semula keretanya yang hilang 11 tahun lalu.
Muhammad N memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada polis tempatan mengenai kereta itu yang dilaporkan hilang pada 2000.

“Mulanya memang saya berharap dapat menemuinya semula. Tetapi selepas puas mencari dengan bantuan rakan dan anggota keluarga, saya merasakan ia tidak akan ditemui,” kata Muhammad.
Menurutnya, kereta itu berada dalam tahanan polis sejak beberapa tahun lalu. Tetapi hanya baru-baru ini saja polis bertindak mengesan pemilik sebenarnya dengan merujuk kepada nombor casis kereta itu. - Agensi
myMetro | Jumpa semula kereta hilang 11 tahun lalu

3 maut, 34 lagi jatuh sakit lepas minum susu

BEIJING: Tiga orang maut dan 34 lagi sakit di barat laut China akibat keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada susu yang tercemar.
Siasatan awal mendapati mangsa dari bandar raya Pingliang mengalami keracunan nitrit selepas meminum susu, lapor kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Nitrit adalah bahan kimia yang digunakan untuk membuat pewarna dan mengawet daging.
Dua ladang tenusu yang disyaki sudah ditutup dan pihak pengurusannya disoal siasat, menurut kenyataan itu.

Pingliang terletak dalam wilayah Gansu.

Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Amerika Syarikat berkata, keracunan nitrit mengakibatkan pening, loya, sesak nafas, pitam dan serangan secara tiba-tiba.
Keracunan makanan adalah perkara biasa dalam dalam industri makanan di China kerana tahap keselamatan dan kawalan yang lemah. - AFP
myMetro | 3 maut, 34 lagi jatuh sakit lepas minum susu

Kesan cedera akibat jatuh



FORENSIK HUKM dan anggota bomba meninjau kawasan pejabat SPRM di mana, Penolong Pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati.
FORENSIK HUKM dan anggota bomba meninjau kawasan pejabat SPRM di mana, Penolong Pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati.
  • Polis rampas CCTV



  • Siasatan selesai seminggu
    KUALA LUMPUR: Laporan awal hasil bedah siasat kematian Ahmad Sarbani Mohamed, pegawai kastam yang ditemui mati di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada Rabu lalu, mendapati kecederaan pada tubuhnya adalah selari dan konsisten dengan kesan akibat jatuh dari tempat tinggi.Berikutan itu, setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut tetapi tidak menolak siasatan mengikut seksyen lain jika laporan penuh siasatan serta bedah siasat mendapati ada unsur yang meragukan.

    Selain itu, polis mengakui ada petunjuk tertentu berhubung kematian Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor itu dan berharap semua pihak bersabar dan memberi peluang kepada polis menerima laporan makmal yang lengkap kerana ada bahan bukti masih dianalisis.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata polis turut merampas kamera litar tertutup (CCTV) pada bangunan pejabat SPRM itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana ia sedang dianalisis.

    “Kita ada petunjuk tertentu yang sedang kita ikuti dan semua pihak diharap bersabar, kita tak mahu wujud kebimbangan yang keterlaluan,” katanya yang turut menegaskan bedah siasat hanya dilakukan sekali mengikut prosedur oleh pasukan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
    Beliau juga menjelaskan siasatan dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi selepas polis menerima laporan penuh ujian makmal yang sedang dijalankan termasuk kemungkinan wujud unsur jenayah.

    “Bedah siasat dilakukan semalam (kelmarin) dan keputusan penuh belum dapat diberikan. Selagi laporan ujian belum diperoleh, keputusan penuh bedah siasat tidak diketahui.

    “Kita harap laporan itu akan diperoleh dalam tempoh terdekat, mungkin kurang seminggu sebelum punca sebenar kematian diketahui... cuma setakat ini saya boleh katakan kesan kecederaan mangsa selari dan konsisten akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur, di sini semalam.

    Dalam kejadian pagi Rabu lalu, Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan. Allahyarham dikatakan datang secara sukarela ke pejabat SPRM untuk berbincang mengenai siasatan kes rasuah dengan pegawai penyiasat agensi itu.

    Mengulas lanjut, Zulkifli mengesahkan, polis sudah merakamkan percakapan enam pegawai SPRM Wilayah Persekutuan sejak hari kejadian tetapi enggan mengesahkan sama ada mereka termasuk dua pegawai yang digantung tugas oleh agensi itu kerana ingkar perintah berhubung pengendalian saksi.

    Sementara itu, dua jentera Bomba dilihat memasuki perkarangan pejabat berkenaan pada jam 2.15 petang semalam, sebelum beberapa kenderaan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk ke premis itu lima minit kemudian.
    Dua jentera dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur itu diletakkan di tepi bangunan, berdekatan lokasi Ahmad Sarbani dikatakan terjatuh.

    Penolong Pengarah Operasinya, Azizan Ismail, ketika dihubungi berkata, pihaknya diminta oleh polis ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan khususnya dalam penyediaan peralatan.

    Difahamkan, premis itu ditutup kepada orang awam mulai jam 12.30 tengah hari, dipercayai bagi mengelak sebarang gangguan penyiasatan di kawasan pejabat agensi itu. Beberapa pegawai polis bersama anggota forensik turut dilihat berbincang di perkarangan bangunan berkenaan.


  • Berita Harian Online | Kesan cedera akibat jatuh

    Berat wanita hanya 11kg ketika maut

    Berita Harian Online | Berat wanita hanya 11kg ketika maut: "Berat wanita hanya 11kg ketika maut


    2011/04/09

    SYDNEY: Seorang wanita berusia 27 tahun dilaporkan mempunyai berat badan hanya 11 kilogram (kg) ketika meninggal dunia menyebabkan polis Australia melancarkan siasatan.

    Wanita terbabit, yang tinggal bersama ibu bapanya di Brighton, Adelaide, terlantar sakit tulang belakang sejak sekian lama dan mati pada 19 Mac, lapor The Adelaide Advertiser.

    Polis tidak memberi komen sama ada dakwaan akan dibuat tetapi mengakui sudah melancarkan siasatan.
    “Polis dapat mengesahkan bahawa detektif menyiapkan laporan berkaitan kematian wanita berusia 27 tahun dari Brighton. Siasatan akan memberi tumpuan kepada punca dan sebab kematiannya,” kata jurucakap pihak berkuasa.

    Kerajaan negeri juga melakukan pemeriksaan sama ada wanita terbabit menghubungi mana-mana pihak berkuasa kesihatan sebelum kematiannya. – AFP"

    Tentera laut terbunuh atas kapal selam nuklear Britain

    Berita Harian Online | Tentera laut terbunuh atas kapal selam nuklear Britain: "Tentera laut terbunuh atas kapal selam nuklear Britain


    2011/04/09

    LONDON: Pegawai Tentera Laut Diraja terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam kejadian di atas kapal selam yang dilengkapi nuklear Britian, kata polis.

    Ia berlaku, katanya, apabila seorang ahli politik yang melawat kapal selam itu cuba menghalang lelaki bersenjata berkenaan.

    Beliau berkata, seorang anggota tentera laut ditahan susulan dipercayai terbabit dengan kes pembunuh Jumaat lalu, di pelabuhan Inggeris selatan di Southampton.
    Pihak polis turut menegaskan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas. - AFP"

    Serangan tentera Israel ragut 11 nyawa Palestin

    Berita Harian Online | Serangan tentera Israel ragut 11 nyawa Palestin: "Serangan tentera Israel ragut 11 nyawa Palestin


    2011/04/09

    GAZA: Pesawat pejuang Israel dan kereta kebal membedil Gaza Jumaat dan awal hari ini, meragut 11 nyawa di sepanjang tebing kawasan antara kedua-dua negara, selepas hampir dua tahun perang antara negara jiran itu tamat.

    Israel mendakwa selatan negaranya diserang pihak palestin yang bersenjatakan mortar.

    Ia bermula Khamis lalu apabila militan Hamas melepaskan peluru berpandu anti kereta kebal ke arah bas sekolah yang menyebabkan seorang remaja cedera termasukk pemandu bas berkenaan. - AFP"

    Rundingan gencatan senjata: Ketua negara Afrika lawat Libya

    Berita Harian Online | Rundingan gencatan senjata: Ketua negara Afrika lawat Libya: "Rundingan gencatan senjata: Ketua negara Afrika lawat Libya


    2011/04/09

    JOHANNESBURG: Satu kumpulan ketua pemimpin negara Afrika akan melawat Libya hujung minggu ini untuk berbincang dengan pemimpin Libya bagi menuntut Libya menguatkuasakan segera gencatan senjata.

    Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dan beberapa pemimpin peringkat tinggi Kesatuan Afrika akan bertemu di Mauritania, di sini hari ini sebelum ke Libya bagi menemui Presiden Muammar Gaddafi.

    Mereka akan bertemu di Tripoli disusuli pertemuan dengan pemimpin pemberontak di Benghazi dalam usaha mengakhiri konflik di negara berkenaan.
    “Jawatankuasa sudah meminta persetujuan NATO untuk memasuki Libya dan berjumpa dengan pemimpin Libya di Tripoli.
    'Delegasi pemimpin Kesatuan Afrika juga dijadual bertemu dengan Majlis Peralihan Kuasa Interim Kebangsaan di Benghazi pada 10 dan 11 April ini,' kata Kementerian Luar Libya, hari ini."

    2 rakyat Palestin maut serangan udara Israel

    Berita Harian Online | 2 rakyat Palestin maut serangan udara Israel: "2 rakyat Palestin maut serangan udara Israel


    2011/04/09

    BANDARAYA GAZA: Dua rakyat Palestin terbunuh dan seorang lagi parah akibat serangan udara Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza, awal hari ini.

    Menurut kumpulan perubatan Palestin, ketiga-tiga lelaki Palestin yang sedang dalam perjalanan menggunakan kereta itu ditembak pesawat pejuang Israel.

    Tiga lagi serangan udara Israel mensasarkan terowong penyeludupan berdekatan Rafah, kem pelarian Jabaliya di utara Semenanjung Gaza dan sebuah kereta di timur Bandaraya Gaza. - AFP"

    12 maut menjelang pilihan raya Nigeria

    Berita Harian Online | 12 maut menjelang pilihan raya Nigeria: "12 maut menjelang pilihan raya Nigeria


    2011/04/09

    ABUJA: Sekurang-kurangnya 12 maut akibat letupan di pejabat Pilihan Raya Nigeria, manakala satu balai polis yang menyimpan kertas undi diserang menjelang pilihan raya Parlimen Nigeria.

    Presiden Goodluck Jonathan mengutuk keras serangan bom itu dan mengerahkan kawalan keselamatan ditingkatkan segera sebelum pengundian bermula yang sebelum ini ditangguhkan dua kali.

    Letupan bom berlaku di Suleija, berdekatan ibu negara, Abuja, dengan sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala 26 cedera.
    Menurut polis, serangan ke atas balai polis pula menyebabkan empat terbunuh di timur laut Nigeria, dengan kejadian serangan yang sering berlaku itu dikaitkan dengan pergerakan Islam. - AFP"

    4 mati ditembak di Selatan Thai

    Berita Harian Online | 4 mati ditembak di Selatan Thai: "4 mati ditembak di Selatan Thai


    2011/04/09

    YALA: Seorang suspek bersenjata terbunuh antara empat terbunuh dalam tembak menembak dengan anggota pasukan keselamatan di wilayah bergolak di Selatan Thailand, hari ini.

    Lelaki Muslin berusia 47 tahun itu maut dalam kejadian berbalas tembakan itu selepas 70 pegawai polis dan anggota tentera mengepung sebuah rumah di Wilayah Yala hari ini selepas kumpulan yang dikaitkan pengganas itu cuba bersembunyi di premis berkenaan.

    Polis berkata, mangsa adalah lelaki yang dikehendaki pihak berkuasa yang dikaitkan dengan rangkaian pengganas dan dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian tembak menembak dan pengeboman.
    Dalam kejadian itu, dua lagi suspek dipercayai memboloskan diri. - AFP"

    Jurujual cedera, rugi RM20,000 kena samun


    KUANTAN: Seorang jurujual bukan saja kerugian RM20,000 apabila wang tunai dan kad tambah nilai disamun tiga lelaki warga Indonesia malah muka dan kedua-dua lengannya turut ditoreh menggunakan pisau dalam kejadian di Kota Gelanggi, dekat Jerantut, Rabu lalu.


    Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia 18 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai menutup premis menjual kad prabayar dan tambah nilai.
    Difahamkan, kereta dinaiki mangsa ditahan tiga lelaki bersenjatakan pisau selepas bergerak beberapa meter dari premisnya.
    Malah, seorang daripada suspek kemudian membuka pintu pemandu yang kemudiannya terus menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkannya pening.

    Suspek kemudian bertindak menoreh muka dan kedua-dua lengan mangsa sebelum mereka merampas kad tambah nilai dan wang tunai masing-masing bernilai RM10,000 dan juga dua telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

    Berikutan itu, mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian sebelum mendapatkan rawatan berikutan kecederaan dialaminya.

    Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Inspektor Hazuriana Mat Hussin, berkata siasatan awal mendapati mangsa memaklumkan mengecam suspek yang menyamunnya sebelum serbuan dilakukan di rumah kongsi pekerja warga asing yang terletak kira-kira 300 meter daripada premis mangsa.
    "Mangsa dapat mengecam suspek berikutan mereka sering membeli kad tambah nilai di premisnya dan hasil serbuan, dua suspek berusia 22 dan 27 tahun ditahan," katanya.

    Beliau berkata, usaha memburu seorang lagi suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
    Berita Harian Online | Jurujual cedera, rugi RM20,000 kena samun

    Ketua Cabang PKR mengaku tak bersalah terima suapan


    KUALA LUMPUR: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rantau Panjang, Mohammad Agos Mohd Noor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan bersubahat dengan seorang ibu tunggal, menerima rasuah RM50,000 bagi mendapatkan anugerah Dato’ D’Raja tahun lalu.


    Mohammad Agos, 52, didakwa bersubahat dengan Nor Azimah Jamaludin, 31, menerima wang RM50,000 daripada Izuldin Hani Mohd Noor sebagai dorongan mendapatkan anugerah itu daripada Persatuan Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus negeri Kelantan.
    Wang itu diterima melalui sekeping cek Public Bank Berhad bertarikh 7 Disember 2010, di Restoran McDonald Taman Melati, Setapak, pada 8 Disember 2010.
    Bagi kesalahan itu, Mohammad Agos didakwa mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

    Dia juga didakwa dengan tuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Nor Azimah untuk menipu Izuldin dengan memperdayakan beliau bahawa Nor Azimah boleh mendapatkan anugerah berkenaan sedangkan ia tidak sah mengikut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.

    Berikutan itu, ia mendorong Izuldin untuk menyerahkan cek Public Bank bernilai RM50,000. Bagi kesalahan yang didakwa dilakukan pada jam 5 petang hari sama, Mohammad Agos didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan Mohammad Agos dijamin dengan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei depan bagi tarikh sebutan kes. Pihak pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa manakala tertuduh diwakili peguam Wan Helmi Wan Hasan.
    Di mahkamah berasingan, Nor Azimah mengaku tidak bersalah menerima suapan RM50,000 dan pertuduhan pilihan menipu Izuldin, membabitkan transaksi, tempat dan masa yang sama. Dia yang tidak diwakili peguam, dibenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Nor Azimah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(AA) Akta SPRM yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau yang mana lebih tinggi.

    Sementara itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam pula, Nor Azimah turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima dua keping cek bertarikh 12 November dan 30 November 2010, bernilai RM150,000 daripada seorang ahli perniagaan, Salleh Jahaya, sebagai dorongan untuknya mendapatkan anugerah Dato' D’Raja daripada persatuan sama.

    Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, memperdaya Salleh untuk mempercayai dia boleh mendapatkan anugerah itu menyebabkan mangsa menyerahkan kedua-dua cek berkenaan.

    Nor Azimah didakwa melakukan kesalahan itu di Brass Cafe Hotel Crystal Crown, Persiaran Raja Muda Muda, Klang pada 13 November dan antara 20 hingga 30 November tahun lalu.

    Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sintin untuk memindahkan kes berkenaan bagi dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur. M Bakri menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
    Berita Harian Online | Ketua Cabang PKR mengaku tak bersalah terima suapan