
Ketua Cawangan Pejabat KPDNKK Teluk Intan, Omar Ismail, berkata, intipan selama seminggu yang dijalankan Penolong Pegawai Penguatkuasa Tingkatan Kanan KPDNKK, Putrajaya, Mohd Hashim Mat Daud, bersama 10 anggotanya berjaya merampas 2,440 liter dipercayai diesel bersubsidi di Lorong Iswara dan Lorong Pertama, Hutan Melintang.
Menurutnya, operasi pertama dijalankan kira-kira 8.15 pagi, Isnin lalu, di Lorong Iswara berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang sedang memindahkan minyak ke dalam bekas berlainan.
“Kami percaya lelaki yang ditahan itu adalah pemandu lori dan siasatan lanjut giat dijalankan.
“KDPNKK turut merampas sebuah lori dan 1,320 liter minyak diesel iaitu 130 liter (empat tong) 10 liter (26 tong) dan 18 liter (30 tong),” katanya kepada pemberita di Pejabat Cawangan KDPNKK Teluk Intan, malam kelmarin.
Omar berkata, serbuan kedua dilakukan pada hari yang sama kira-kira jam 9.15 pagi di Lorong Pertama, namun, pemandunya melarikan diri.
Menurutnya, di kawasan itu, pihaknya berjaya merampas diesel bersubsidi sebanyak 1,120 liter yang diletakkan dalam beberapa bekas 20 liter (16 tong), lapan liter (100 unit) dan sebuah tong kosong.
“Kesemua diesel yang dirampas berjumlah RM4,392 tidak termasuk dua lori.
“Kami percaya modus operandi yang dijalankan individu tidak bertanggungjawab dengan menyedut diesel menggunakan pam dari tangki lori berhenti di kawasan Jalan Hutan Melintang – Sabak Bernam di hadapan sebuah kilang kelapa sawit, dekat Hutan Melintang,” katanya.
Beliau berkata, diesel itu akan dipindahkan ke tangki yang disediakan sebelum di bawa ke tempat singgah atau depot untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, beliau juga percaya, diesel ini diisi ke dalam tong pelbagai saiz sebelum dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah daripada pasaran.
“Kami menjalankan siasatan di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peruntukan (3) Akta Kawalan Bekalan 2006 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun,” katanya.