Search This Blog

Thursday, April 7, 2011

Penganggur, remaja bersalah tuduhan rogol


KANGAR 7 April - Seorang penganggur dihukum penjara 13 tahun dan sebatan tiga kali sementara seorang remaja dipenjarakan sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah merogol seorang pelajar secara bergilir-gilir, empat tahun lalu.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menjatuhkan hukuman terhadap remaja terbabit yang ketika kejadian berusia 16 tahun dan tidak bersekolah berdasarkan peruntukan Seksyen 83C Akta Kanak-kanak 2001.
Dia kini yang berusia 20 tahun dan rakannya, Mohd. Hafis Halim, 26, didakwa merogol anak yatim itu pada pukul 4 pagi, 27 Jun 2007 dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Pada hari tersebut, mangsa yang selesai bekerja di sebuah restoran di Kuala Perlis pada pukul 2 pagi diajak oleh rakan lelakinya untuk menumpang kereta yang dinaiki kedua-dua tertuduh itu yang tidak dikenalinya.
Pada mulanya mangsa enggan tetapi setelah dipujuk oleh rakannya, dia bersetuju menaiki kenderaan itu sebelum dibawa bersiar-siar selama dua jam termasuk ke Padang Besar.
Selepas itu mangsa dirogol bergilir-gilir dalam kenderaan itu di tempat letak kereta di hadapan Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Jalan Padang Golf Putra, di sini, sambil diperhatikan rakan lelakinya.
Bagaimanapun rakan lelaki tersebut tidak terlibat dalam jenayah itu yang dilaporkan oleh mangsa kepada polis pada keesokan harinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah memohon supaya tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal.
“Kes ini mempunyai saksi utama iaitu rakan lelakinya selain mangsa juga mengalami trauma yang teruk akibat kejadian sehingga terpaksa dipujuk hadir ke mahkamah,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, kedua-dua tertuduh terutama Mohd. Hafis sering tidak menghadiri prosiding dan melengah-lengahkan perbicaraan sehingga berlanjutan selama dua tahun.
Menurut Aisyaf Falina, tertuduh juga sering memberi pelbagai alasan sehingga sanggup menipu mahkamah dan bersembunyi dalam rumah kerana tidak mahu menghadiri perbicaraan. - Utusan
Utusan Malaysia Online - Terkini

Telur ayam di Pasar Pulau Tikus dirampas


PEGAWAI penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang memeriksa telur ayam di Pasar Pulau Tikus hari ini berikutan pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung penjualan telur ayam tiruan di pasar itu semalam. Sebanyak 270 butir telur ayam dari tiga gerai di pasar berkenan disita dalam pemeriksaan itu. - Foto BERNAMA



GEORGETOWN: Sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini merampas 270 biji telur ayam di tiga gerai di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini.
Pemeriksaan pada 10.30 pagi itu dibuat berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam mengenai telur ayam tiruan selepas aduan seorang pembeli yang dipercayai membeli telur itu.
"Kami merampas 90 biji telur ayam dari setiap gerai untuk dihantar ke makmal bagi menjalani ujian untuk menentukan kesahihan telur itu sama ada ia telur sebenar atau tiruan," kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK M Gunaselan.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata telur ayam yang dirampas itu dijual dengan harga 35 sen hingga 38 sen sebiji di pasaran tempatan.

Gunaselan berkata, pihak penguatkuasa akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, seorang peniaga Lim Siew Eng, 85, berkata dia terkejut dengan dakwaan berkenaan sehingga pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan di gerainya pagi ini.

"Saya sudah 50 tahun menjual telur ayam di sini dan hingga kini tidak pernah menerima aduan atau rungutan daripada pelanggan...ini kali pertama gerai saya diperiksa.
"Sejak berniaga di sini, saya langsung tidak tahu mengenai hal ini kerana saya mendapat bekalan telur ayam daripada seorang pembekal di Pasar Jalan Anson di sini. Saya tidak pernah mendapatkan bekalan dari tempat lain," katanya.

Semalam, CAP menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur ayam yang didakwa tiruan pada harga RM11 di pasar itu. Telur tiruan itu dikatakan mempunyai saiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar. - BERNAMA Berita Harian Online | Telur ayam di Pasar Pulau Tikus dirampas

Pejabat Kuin terbakar dilontar molotov

ALOR SETAR - Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini mengalami kebakaran kecil akibat perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab yang telah melontar bom molotov dan batu sungai pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku antara 3 dan 5 pagi tadi.

'Hanya kebakaran kecil yang berlaku dan kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000,” katanya. - Bernama

Tertuduh angguk faham, tetapi...

SH

IPOH – Seorang lelaki, Mohd Fairus Abd Aziz, 33, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memiliki dadah berbahaya di sebuah rumah di Kampung Tengku Hussien, dekat sini pada 1 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tertuduh telah dituduh memiliki dadah jenis heroin seberat 0.30 gram di rumah berkenaan.

Tertuduh yang berada dikandang Orang Kena Tuduh kemudian mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nur Hayati Mat.

Selepas pertuduhan dibacakan, Mohd Fairus mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya iaitu boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM 100, 000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh turut mempunyai pertuduhan tambahan iaitu dituduh memiliki dadah jenis heroin seberat 0.12 gram yang boleh dihukum di bawah akta yang sama

Nur Hayati menetapkan kes dipindahkan ke Mahkamah Majistret Ipoh.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhaimin Aris.

Mencuri untuk teman lelaki

SH


KUALA KANGSAR – Demi cinta, seorang remaja perempuan sanggup mencuri motosikal milik salah seorang penduduk sekampung dengannya untuk diserahkan kepada teman lelakinya, dipercayai warga Indonesia.

Remaja berusia 23 tahun itu melakukan kecurian itu di hada�pan rumah mangsa di kampung Senggang antara jam 12 malam hingga 5 pagi pada 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, hasil kecekapan anggota polis, remaja berkenaan berjaya ditahan bersama lima lagi suspek lain di lokasi berasingan termasuk warga Indonesia berusia 30-an yang dipercayai teman lelakinya itu.

Menurutnya, hasil siasatan awal, remaja berkenaan mengaku melakukan kesalahan mencuri motosikal jenis EX5 itu, manakala teman lelakinya mengaku memiliki barang curi.

“Remaja dan teman lelaki warga Indonesia yang juga Pendatang Tanpa Izin (Pati) itu ditangkap pada 3 April lalu dan pihak polis turut merampas sebuah motosikal EX5.

“Tiga lagi rakan suspek berusia antara 22 hingga 25 tahun turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam urusan aktiviti jual beli motosikal curi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini.

Abdul Gaffar berkata, semua suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada semua suspek berkenaan pernah terlibat dengan kes lain atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal, kita mendapati remaja berkenaan yang pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan tidak pernah mempunyai rekod kesalahan lain.

“Kita masih menyiasat dan tidak menolak kemungkinan kes curi itu dilakukan kerana wujud perasaan tidak puas hati atau dendam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Abdul Gaffar memberitahu, seorang lelaki berusia 40 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana melakukan kesalahan mencuri motosikal.

Menurutnya, lelaki, warga tempatan itu membuat pengakuan bersalah melakukan kesalahan mencuri motosikal ketika dihadapkan ke mahkamah, di sini.

Rumah terbakar ketika makan

SH


CHANGKAT LADA - “Sedang kami sekeluarga menjamu selera, saya terkejut melihat ada kepulan asap tebal dan api yang marak di bahagian atas rumah,” kata mangsa kebakaran, Mohd Khan Abdullah, 36 ketika menceritakan detik cemas itu.

Mohd Khan berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dia bersama isteri dan dua anak berusia empat serta lima tahun sedang makan tengah hari di bahagian bawah rumah.

Menurutnya, apabila melihat keadaan itu dia segera membawa anak dan isteri keluar dari rumah yang terletak di Jalan Kenangan 8 Felcra Bandar Baru Seberang Perak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Api yang marak begitu cepat menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Felcra Changkat Lada, Ali Hasan, 63, berkata, susulan kejadian itu, dia mewakili penduduk Changkat Lada memohon agar pembinaan balai bomba dipercepatkan di kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang lagi.

Menurutnya, sudah banyak berlaku kebakaran di kawasan Changkat Lada dan kesemuanya tidak dapat diselamatkan kerana balai bomba terletak sangat jauh serta memakan masa untuk datang ke sini.

“Di Changkat Lada ini sahaja ada lebih kurang 2,600 rumah, belum di tambah lagi di kawasan Seberang Perak yang juga mengalami masalah serupa apabila bomba datang lewat dari waktunya akibat jarak yang jauh.

“Kami amat berharap agar balai bomba di kawasan ini dipercepatkan pembinaannya untuk kepentingan penduduk di sini,” katanya.

Enam ditahan rogol gadis

SH


KUALA KANGSAR – Enam remaja berusia antara 18 hingga 24 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan merogol secara bergilir-gilir seorang remaja bawah umur, di sini Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, siasatan awal ke atas semua suspek, ada yang mengaku merogol mangsa manakala sebahagiannya menafikan melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, gerakan memburu semua suspek dilakukan sebaik menerima laporan daripada mangsa yang masih belajar di tingkatan empat di sebuah sekolah, di sini, 30 Mac lalu.

“Ditemani ibu bapanya, dia membuat laporan telah dirogol secara bergilir oleh enam lelaki pada 14 Mac lalu di sebuah Chalet di Sauk.

“Hasil laporan itu, pihak polis terus memburu suspek dan berjaya menahan mereka di lokasi berasingan di sekitar Kuala Kangsar,” katanya pada sidang media, di sini.

Tiga daripada enam suspek ditahan pada 30 Mac, seorang pada 4 April manakala dua lagi ditahan pada 5 April di lokasi berasingan, kesemua suspek dipercayai berasal dari Kuala Kangsar.

Abdul Gaffar berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, remaja perempuan yang berasal dari Kampung Ketior berkenaan telah bertemu salah seorang suspek yang juga merupakan teman lelakinya pada tengah hari 13 Mac lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, teman lelaki berkenaan bersama lima rakan membawa mangsa ke sebuah chalet di Sauk.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi, setelah disiasat, ada suspek sudah mengaku bersalah merogol dan ada yang menafikan dengan alasan hanya memegang tubuh mangsa sahaja,” katanya

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut, sementara mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak polis dimaklumkan mangsa juga difahamkan seorang yang agak sosial dan pernah tidak pulang ke rumah sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita sedang menunggu laporan pemeriksaan kesihatan mangsa daripada hospital.

“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiga beranak dalam ketakutan

SH


TAPAH ROAD – Bunyi kuat yang disangka rekahan kayu mengejutkan tiga beranak, di sini apabila melihat bumbung bahagian tengah rumah mereka ranap ditimpa sebatang pokok akibat ribut, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Zainab Abdul Shukor, 64, bersama anak dan cucunya sedang berehat di rumah sebelum mendengar bunyi kuat seakan kayu patah.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka, bunyi rekahan kayu itu datang dari pokok durian yang tumbang menghempap bumbung rumahnya.

“Ketika kejadian saya berada dalam bilik, tidak sampai beberapa saat, kami sekeluarga dikejutkan dengan sebatang pokok yang tumbang lalu merosakkan bumbung dan terjatuh di bahagian tengah rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainab berkata, akibat insiden itu, cucunya yang berusia tujuh tahun mengalami kecederaan ringan akibat dihempap ranting pokok yang tumpang menghempap rumah itu.

Katanya, mereka bertiga berada di rumah berkenaan kerana keadaan angin kencang dan hujan lebat sejak 4.30 petang.

“Banyak peralatan yang rosak terutama perkakas elektrik, namun saya bersyukur kerana anak dan cucu saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung

(JKKK) Pekan Kechil, Ismail Din berkata, insiden ribut itu hanya membabitkan kerosakan sebuah rumah.

“Pihak kami sudah memaklumkan pihak yang berkenaan agar dapat menyalurkan bantuan segera, harap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan dan kita juga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Remaja maut dirempuh

SH


ALOR SETAR - Seorang pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di jalan Kancut sekitar jam 2.15 petang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dan kereta yang melanggarnya menuju ke arah sama.

Namun katanya, apabila sampai di satu simpang ketika pemandu kereta ingin membelok masuk ke ke Taman Tengku Habsah, secara tiba-tiba pemandu itu merempuh motosikal berkenaan.

“Mangsa yang dikenali sebagai Alif Shalihin Sulaiman, 18, dari Taman Aman Anak Bukit maut di tempat kejadian, dia bagaimanapun dikatakan tidak sempat mengelak dari dirempuh kereta berkenaan.

“Akibat daripada rempuhan kuat, mangsa kemudiannya terpelanting sejauh 12 meter ke atas jalan, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta sudah tampil membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, S Suja, 36, berkata, sewaktu kemalangan itu berlaku dia dalam perjalanan ke hospital dengan membonceng motosikal dari arah bertentangan.

“Dari jauh saya melihat mangsa masih lagi bergerak dan menggelupur, namun apabila saya turun dari motosikal seterusnya menyeberangi jalan untuk ke tempat kemalangan, mangsa pengsan serta meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang juga dipercayai kakitangan penjara terkejut dengan kejadian menimpa anak lelakinya itu.

Polis buru pencuri motosikal

SH


KULIM - Polis memburu seorang lelaki yang terlibat dalam beberapa kejadian mencuri motosikal di sekitar kawasan Kulim.

Terkini suspek mencuri sebuah motosikal Honda C70 berwarna biru yang dilaporkan hilang di hadapan sebuah kedai komputer di jalan Mini Stadium Keladi.

Mangsa berusia 21 tahun dalam laporannya menyatakan pada 29 Mac lalu dia meletakkan motosikalnya di hadapan premis itu kira-kira jam 10 pagi.

Kira-kira jam 6.30 petang apabila dia keluar dari kedai itu, dia mendapati motosikalnya sudah tiada dipercayai dicuri.

Menurut jurucakap polis, polis dapat mengesan suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang di pasang di hadapan kedai itu.

Katanya, polis mempercayai motosikal mangsa dicuri kira-kira jam 10.41 pagi berdasarkan masa yang tercatat di CCTV.

“Polis mengenal pasti suspek terlibat. Dia seorang lelaki dipercayai berbangsa India, rambut di bahagian atas tengah berwarna putih. Bentuk badan kurus dan tinggi. Suspek ini dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian curi motosikal di sekitar Kulim. Bagi mereka yang ternampak suspek sila hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, suspek sering dilihat berlegar di sekitar kawasan Kulim.

Menurutnya, beliau yakin polis dan PPKM akan berjaya menahan suspek tidak lama lagi.

“Melihatkan dari imej yang ada pada CCTV, saya yakin pernah terserempak dengan suspek. Saya akan memaklumkan kepada lebih hampir 800 ahli PPKM di Kulim untuk memantau suspek. Sekiranya suspek ditemui, PPKM akan terus menghubungi polis. Sehingga ini beberapa perlakuan jenayah yang berlaku di Kulim berjaya dikurangkan tetapi gejala mencuri motosikal masih berlaku.

“PPKM akan memberikan komitmen penuh kepada polis untuk memastikan suspek ditahan. Saya dimaklumkan indeks jenayah Balai Polis Kulim juga menurun dengan banyak. Ini menunjukkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan polis penting untuk memastikan perlakuan jenayah dapat ditangani,” katanya.

Keluarga mayat wanita tanpa identiti dicari

SH


ALOR SETAR - Penemuan mayat tanpa identiti di Sungai Padang Terap, Kampung Lengkuas, Kepala Batas jam 3 petang, 26 Mac lalu masih belum dituntut ahli keluarga dan saudara terdekat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mayat wanita itu ditemui hanya memakai pakaian dalam dan berseluar jeans hitam.

Menurutnya, mayat yang ditemui hasil dari maklumat orang awam itu turut memakai rantai tangan berwarna perak.

“Tiada sebarang dokumen peribadi bersama dan kita anggarkan kejadian itu telah berlaku lebih kurang sepuluh hari.

“Mayat mangsa yang hampir reput itu juga menyukarkan pihak polis mengenal pasti identiti sebenar mangsa,” katanya kepada media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Adzaman berkata, mayat wanita itu tingginya 152 sentimeter dan sampel anggota badan turut dihantar ke jabatan kimia.

“Kejadian ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan jika orang ramai mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi Chief Inspektor Ling Hua Leong di talian 04-7144 222 atau 012- 506 7962,” katanya.

Sinar Harian 27 Mac lalu menyiarkan berita mengenai penemuan mayat wanita berkenaan yang dijumpai penduduk sewaktu memeriksa jala.

Pasar raya besar tipu pembeli

SH

PORT DICKSON - Sebuah pasar raya besar, di sini, dikesan cuba memperdaya pembeli dengan menggunakan tanda harga berbeza dengan kod bar yang tertera pada barangan.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Port Dickson, Yusuf Bakar berkata, penipuan itu terbongkar selepas harga sebenar diketahui semasa kod bar barangan diimbas di kaunter bayaran.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan terutama yang membeli barangan dalam kuantiti besar tidak sedar mereka ditipu.

“Kaedah ini sangat licik dan mengelirukan pelanggan, namun jumlah harga setiap barang yang ditipu tidak terlalu banyak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

:Yusuf berkata, pasar raya terbabit dikesan melakukan kegiatan itu dikenakan kompaun di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana mempamerkan tanda harga me�ngelirukan pelanggan.

“PPDNKK memandang serius perkara ini dan dari semasa ke semasa kami akan terus melakukan pemantauan sama ada di pasar raya besar mahupun kecil atau mana-mana premis perniagaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup kira-kira 8,000 liter minyak tanah di Jeti Kuala Lukut dekat sini, 15 Mac lalu dalam satu operasi pemeriksaan berkala yang dijalankan PPDNKK.

Katanya, bahan bakar dianggarkan bernilai RM16,000 itu dipercayai di seludup dari Singapura untuk pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dilibas kayu hoki

SH


BUKIT BERUANG - Gara-gara hutang, seorang jurujual kenderaan diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu hoki di kediamannya di Kampung Tengah, Klebang, dekat sini, lewat petang Jumaat lalu.

Jurujual berumur 46 tahun itu dikatakan tidak memulangkan wang RM7,600 yang dipinjam daripada salah seorang dari empat lelaki terbabit, yang juga kakitangan penguatkuasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan dan Operasi), Suprintendan R Gunarajan berkata, keempat-empat lelaki terbabit berumur antara 40 hingga 50-an.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, 1 April lalu. ketika mangsa berada di rumah, dia didatangi empat lelaki yang dipercayai menuntut hutang peribadi sebanyak RM7,600.

“Mangsa mendakwa, dia dipukul dan salah seorang lelaki terbabit menggunakan kayu hoki hingga menyebabkan mangsa menerima empat jahitan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Pati dituduh rasuah

SH


KUANTAN - Seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) mengaku bersalah memberikan suapan bernilai RM100 terhadap seorang anggota keselamatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Josim Ismail Chardar yang bekerja sebagai penyelamat di sebuah pusat rekreasi di sini tenang ketika membuat pengakuan di hadapan Hakim Nuradidah Ahmad di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memberi satu suapan iaitu wang tunai RM100 terhadap seorang konstabel sokongan di tempat letak kereta di belakang bangunan Center Point di sini kira-kira jam 1 petang pada 5 April lalu.

Suapan itu sebagai balasan baginya supaya tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh kerana kesalahan tertuduh masuk dan tinggal di negara ini tanpa memiliki permit sah yang membawa kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Namun hukuman terpaksa ditangguhkan kerana pertuduhan itu sepatutnya dibawa ke Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Nuradidah menetapkan tarikh sebut semula kes itu pada 12 April depan.

Dalam kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya dari SPRM itu, Shafinas Shahbudin itu menyaksikan tertuduh ditahan di Penjara Bentong sehingga sebutan semula kes terbabit pada masa ditetapkan

Ibu hamil nyaris keguguran

SH


SELANCAR – Seorang ibu hamil lima bulan nyaris keguguran selepas motosikal yang ditunggangnya terhumban secara tiba-tiba akibat angin kencang yang melanda Felda Selancar, baru-baru ini.

Sarizan Jaafar, 31, berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dia dalam perjalanan ke rumah selepas mengambil anak sulungnya, Batrisyia Nayli Mohd Aziz, 7, pulang dari sekolah.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, dia dikejutkan dengan pusaran angin lintang yang begitu kuat hingga menyebabkan dia sukar mengawal motosikalnya.

Katanya, akibat daripada itu, dia dan anaknya terpelanting kira-kira dua meter dari tempat kejadian.

“Kejadian ini berlaku dengan pantas, motosikal saya terhuyung-hayang dan sukar untuk dikawal sebelum saya dan anak terhumban akibat gegaran pusaran angin terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Sarizan berkata, ketika kejadian dia hanya mampu berdoa supaya kandungan dan anaknya selamat daripada sebarang malapetaka, selain menyifatkan pengalaman itu sebagai mimpi buruk yang pernah dilalui sepanjang hidup.

“Kejadian ini tidak akan saya lupakan sepanjang hidup, apatah lagi dalam keadaan saya sedang mengandung dan diuji dengan dugaan berat seperti ini hingga membuatkan saya trauma seketika,” katanya.

Bagaimanapun Sarizan bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan kanan dan dirawat selama dua hari di Hospital Segamat, Johor.

Menurutnya, suaminya, Mohd Aziz Osman, 30, sentiasa berada di sisi menemaninya dan memberi sokongan moral kepadanya supaya bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya tidak henti-henti menangis dan terus jumpa suami selepas kejadian itu dan dia (suami) terus membawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Saya bersyukur doktor mengesahkan bayi dalam kandungan selamat,” katanya.

Sinar Harian 2 April lalu melaporkan penduduk di kuarters kakitangan kilang Felda Selancar 3 berhadapan detik mencemaskan apabila sebahagian besar atap, bumbung dan zink rumah mereka diterbangkan angin.

Dalam kejadian itu, sebanyak 75 rumah mengalami kerosakan, termasuk harta benda penghuni apabila ribut kencang didakwa tiba-tiba berlaku di Felda berkenaan.

Kelmarin, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menitahkan semua mangsa ribut di Felda Selancar mengadakan Solat Hajat dan membaca Yasin, selain membuat kenduri kesyukuran bagi memohon kesejahteraan serta keselamatan rakyat dari sebarang bencana.

Sultan Ahmad bertitah, majlis itu perlu diadakan hari ini di Masjid Felda Selancar 3 sebagai ikhtiar memandangkan keadaan cuaca sekarang tidak menentu, selain sebagai tanda kesyukuran selepas semua mangsa ribut selamat.

Bertukar nyawa

SH


JERANTUT FERI – “Ayah bukan jenis yang suka bergambar, namun sikapnya berubah kelmarin apabila membiarkan gambarnya dirakam sebelum turun ke kebun di seberang Sungai Pahang.
"Mungkin dia sudah tahu akan tinggalkan kami semua dan membiarkan gambarnya dirakam untuk kenangan.”
Itu cerita Saiyah Mohamed, 47, anak sulung kepada warga emas yang masih hilang di Sungai Pahang, Mohamed Sulaiman, 71, setelah bot yang dinaiki bersama isterinya, Hasnah Osman, 45, karam petang Selasa lalu.
Saiyah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang semasa bapa dan ibunya pergi ke kebun getah di seberang sungai untuk menyiram anak getah.
Menurutnya, sebelum itu, bapanya sempat bergurau dengan orang kampung, selain bergambar mesra walaupun sebelum ini dia tidak suka bergambar.
“Bapa sempat bergurau dan menyatakan dia mahu ke kebun bagi mencari duit yang banyak untuk ditinggalkan kepada emak sebelum dia berehat buat selama-lamanya.
“Kata-kata itu bagaikan dia sudah tahu apa yang bakal berlaku kepadanya,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Fatah Salleh, 32, berkata, dia berada di sangkar ikannya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi bot yang luar biasa dan apabila dilihat bot dipandu Mohamed berpusing-pusing beberapa kali diikuti suara wanita menjerit meminta tolong.
“Saya tidak dapat menghulurkan bantuan kerana tiada bot, namun berusaha menghubungi rakan yang ada bot memaklumkan kejadian supaya datang menyelamat.
“Ketika itu bot terus berpusing dan kedua mereka tercampak ke dalam sungai. Air begitu deras jadi tiada apa yang dapat dibantu melainkan melihat sahaja mereka,” katanya.
Fatah berkata, bot mangsa terus berpusing dan bergerak mengikut arus air sehinggalah ia karam dan tersadai di tebing Sungai Pahang tidak jauh dari sangkar ikannya, manakala bayangan Mohamed tidak kelihatan melainkan Hasnah yang tenggelam timbul.
Rakannya, Afendi Zainuddin, 31, berkata, setelah dihubungi Fatah, dia bersama abangnya terus mengambil bot untuk ke tempat kejadian, walaupun ketika itu keadaan mulai gelap.
Menurutnya, mereka tidak dapat menghampiri bot yang masih berpusing kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, sehinggalah mereka ternampak objek terkapai-kapai.
“Saya minta abang terus bergerak laju ke tempat tersebut, malangnya mangsa tidak kelihatan. Seketika kemudian saya melihat rambut terapung dan terus menarik rambut itu dan menaikkan Hasnah ke dalam bot serta terus memberi bantuan awal.
“Kami juga memerhatikan keadaan sekeliling untuk mencari Mohamed, namun keadaan semakin gelap, ditambah perlu bergegas untuk menghantar Hasnah ke Hospital Jerantut,” katanya.
Dia berkata, usaha mencari Mohamed tetap diteruskan malam itu bersama penduduk kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun tidak berhasil.
Operasi mencari masih dijalankan
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bermula awal pagi semalam membabitkan 21 anggota polis, lapan anggota bomba, 16 unit skuba, 11 anggota Jabatan Pertahanan Awam yang turut dibantu orang ramai.
Menurutnya, sehingga jam 7 petang semalam, tiada sebarang tanda penemuan mangsa dan operasi mencari terpaksa dihentikan seketika sebelum disambung hari ini.
“Walaupun kita menghentikan operasi mencari dan menyelam, namun di sebelah malam anggota bertugas bersama JKKK dan penduduk kampung tetap turun meronda sungai bagi mencari mangsa yang hilang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk yang kerap turun ke sungai supaya menggunakan jaket keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengawal keselamatan dituduh rogol anak tiri

SH


KUALA TERENGGANU- Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Dungun yang sebelum ini dituduh merogol anak tirinya yang juga remaja di bawah umur merayu agar dibenarkan diikat jamin di Mahkamah Sesyen, di sini kelmarin.

Sebelum ini, tertuduh, Zukiman Lah, 36, dari Jalan Nibong Stesen, kampung Padang Jambu, Dungun yang dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan merogol anak tirinya pada awal Januari dan 19 Jun tahun lalu tidak ditawarkan sebarang ikat jamin.

Walau bagaimanapun, selepas mendengar rayuan tertuduh melalui peguambela, Ayu Hisham n Co, Hakim Azman Mustapha menetapkan 21 April ini bagi menentukan keputusan permohonan rayuan itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Zulfazlia Mahmud.

Mengikut fakta kes, bagi pertuduhan pertama, dia dituduh melakukan persetubuhan dengan anak tirinya, 15, di sebuah rumah di Jalan Merpati, kampung Padang Jambu Dungun pada awal Januari tahun lalu, jam 4.30 petang.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan persetubuhan dengan gadis di bawah umur itu di pusat sumber sekolah tempat dia bekerja pada 19 Jun tahun lalu, jam 5.30 petang.

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan juga dikenakan sebatan.

Suami menghilang dirayu pulang

SH


RHU RENDANG - Sebuah keluarga dari Rumah Murah Darat Pak Chan, dekat sini dirundung kebimbangan berikutan ketua keluarganya keluar dari rumah hampir dua minggu lalu tanpa sebarang khabar berita.

Suami Fatimah Ibrahim, 62, Sana Ismail, 72, dilaporkan keluar dari rumahnya sejak 25 Mac lalu dan sehingga kini masih belum pulang menyebabkan Fatimah dan sembilan anaknya bimbang memikirkan keselamatannya.

“Pada hari pertama dia hilang, saya tiada di rumah kerana keluar membantu seorang penduduk membuat persiapan untuk mengadakan kenduri, sejak itu dia tidak pulang-pulang. Saya bimbang keselamatannya sebab ini kali pertama dia keluar sebegini lama.

“Puas kami bertanya orang kampung, keluar mencarinya di merata tempat namun usaha kami masih belum berhasil. Tetapi dalam tempoh 10 hari ini, dia (suami) menghubungi mak cik sekali pada hari kedua dia keluar dan berjanji pulang pada minggu ini,” katanya.

Fatimah berkata demikian di rumah menantunya di Rhu Rendang di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, janji suaminya itu hanya tinggal janji kerana dia masih belum pulang, menyebabkan Fatimah semakin bimbang dan cuba menghubungi suaminya semula untuk mengetahui perkembangan terbaru, tetapi gagal.

“Saya merasakan mungkin telefonnya kehabisan bateri. Jika dia marahkan keluarga, kami minta maaf, tetapi mustahil dia marahkan kami kerana dia sendiri telah menghubungi kami dan memberitahu akan pulang dalam minggu ini,” katanya.

Berikutan panggilan itu tidak terjawab, Fatimah dan ahli keluarga lain akhirnya terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Marang pada 2 April lalu dengan harapan suaminya dapat ditemui dan pulang segera kerana kesihatannya sudah mula terganggu.

“Saya tidak mengetahui pakaian yang dipakai suami pada kali terakhir dia meninggalkan rumah, tetapi berharap kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenainya, dapat menghubungi kami menerusi talian 019-9058373 atau 013-9107235 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Sinar Harian juga difahamkan oleh ahli keluarga ini bahawa warga emas itu turut membawa buku simpanan bank dan beg pakaian dipercayai berisi beberapa helai pakaian ketika keluar dari rumah di Kampung Darat Pak Chan pada 25 Mac lalu.

Pendawai tidak mengaku menagih

SH

KOTA BHARU – Seorang pendawai berusia 25 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menagih dadah jenis metamphetamine, 1 April lalu.

Tertuduh, Ahmad Fuad Jaafar dari Kampung Teluk Kandis, Salor didakwa positif dadah yang lebih dikenali sebagai pil kuda itu ketika berada di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu, jam 6.20 petang.

Ahmad Fuad dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, tertuduh yang menafikan melakukan kesalahan itu turut memohon pihak mahkamah untuk membicarakan dirinya terhadap tuduhan berkenaan.

Majistret Nur Zakiyah Sham��-sudin kemudian menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibenarkan mahkamah untuk diikat jamin sejumlah RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pendak-wa Raya, Cif Inspektor Yusri Mamat.

Rayu tidak puas hati hukuman rogol

SH


KOTA BHARU – Akibat tidak berpuas hati dengan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki kerana merogol gadis bawah umur dua tahun lalu, seorang Timbalan Pendakwa Raya negeri mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya negeri berkenaan, Wan Azimah Yacob sebelum ini tidak bersetuju dengan hukuman diputuskan Mahkamah Sesyen, tahun lalu.

Pada prosiding jam 11 pagi semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah bagaimanapun memutuskan 24 Mei depan untuk tarikh mendengar rayuan berkenaan.

Sebutan semula rayuan ditetapkan bagi memberi laluan persediaan pihak peguam bela, Sibri Ismail.

“Saya mohon tarikh lain kerana saya baru sahaja dilantik untuk membela tertuduh,” katanya.

Terdahulu, 27 Mei tahun lalu, Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Mohd Faizal Mohd Yusof selepas didapati bersalah merogol gadis berusia 14 tahun, 16 Mei 2009.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa dirogol di rumah tertuduh sendiri di Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, tarikh berkenaan.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan selepas disabitkan bersalah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Warga tua rentung dalam kebakaran

SH
TAMPARULI - Seorang warga tua rentung manakala seorang lelaki kurang upaya terselamat dalam kebakaran di Kampung Ulu Bawang, dekat sini malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Mongkaris Saidal, 90 ditemui rentung dalam rumahnya pada kira-kira pukul 10.00 malam sementara anak lelakinya yang kurang upaya Jison, dalam lingkungan umur 50-an, terselamat dalam kejadian itu.
Menurut anak Mongkaris, Rosnah, 38, beliau bersama keluarganya tingga berhampiran kuari di Kampung Bawang manakala ayahnya tinggal di Ulu Kampung Bawang.
"Baru pagi tadi saya tahu rumah bapa saya terbakar setelah diberitahu oleh jiran," katanya.
Rosmah berkata beliau kemudian memaklumkan ke balai polis Tamparuli mengenai kejadian itu.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran Faidzil Abdullah berkata sebuah jentera beserta tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian setelah dimaklumkan pada pukul 8.23 pagi tetapi tidak boleh sampai ke tempat kejadian kerana jalan sempit dan tidak boleh dilalui oleh jentera berat.
Bagaimanapun bahagian siasatan kebakaran negeri berserta pasukan bomba Tuaran pergi ke tempat kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membuat siasatan.
Polis kemudian membawa mayat mangsa ke hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya, katanya.
Punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan, katanya.- Bernama

Lapan pegawai imigresen hadapi 82 pertuduhan peroleh suapan lebih RM122,000

SH
SHAH ALAM - Lapan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang dekat sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 82 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM122,140 sebagai upah bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat, tahun lepas.
Bagaimanapun, Md Shahrizal Che Dan, 26, Nor Shahazlina Sulaiman, 25, Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25, Mohamad Huzzail Ahmad, 31, Ahmad Zahed Abd Alim, 28, Mohd Hafiz Zakaria, 27, Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, 26, dan Azmir Mahadi, 28, mengaku tidak bersalah.
Kelapan-lapan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

23 tahanan Imigresen Lenggeng belum dapat dikesan

SH: "

SEREMBAN - Sejumlah 86 orang pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng dekat sini Selasa lepas, berjaya ditahan semula.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata sehingga pukul 3 petang ini, seramai 23 orang lagi pendatang asing yang melarikan diri itu belum dapat dikesan.

'Operasi mengesan mereka masih berjalan dan kami jangka lebih ramai akan dapat ditangkap semula dalam tempoh 24 jam ini. Kami harap dapat menyelesaikan operasi ini selewat-lewatnya petang esok,” katanya di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, hari ini. - Bernama"

Empat keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Pujut

SH
MIRI - Empat keluarga hilang tempat tinggal setelah rumah mereka di Kampung Piasau Utara di Pujut di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi.
Penyandang dan calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut Andy Chia, berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung itu telah mewujudkan tabung khas untuk mengumpul derma bagi membantu keluarga malang itu.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat keluarga itu di sini hari ini, Chia berkata beliau dimaklumkan kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi berpunca daripada litar pintas.
"Keluarga berkenaan telah tinggal di rumah mereka itu selama 15 tahun," katanya.
Beliau turut meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan penyelenggaraan berkala ke atas pili-pili bomba di sekitar kawasan itu berikutan dakwaan pili bomba tidak berfungsi dengan baik semasa usaha memadamkan kebakaran rumah itu malam tadi. - Bernama

Mayat kedua mangsa lemas Air Terjun Gunung Berembun ditemui

SEREMBAN - Mayat seorang lagi remaja yang dihanyutkan 'kepala air' di air terjun Gunung Berembun di sini semalam, berjaya ditemui hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Zakaria Amat berkata mayat Mohd Ruzaini Baharuddin, 19, ditemui orang ramai yang membantu gerakan mencari itu pada kira-kira pukul 10.16 pagi.
"Mayat mangsa ditemui tertiarap berhampiran rumpun buluh tidak jauh dari tempat kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat," katanya.
Dalam kejadian petang semalam, dua pasangan remaja yang berkelah di air terjun itu dirempuh 'kepala air' menyebabkan seorang remaja wanita mati lemas manakala teman lelakinya hilang dihanyutkan arus deras tersebut.
Mayat Khairulhiza Khairul, 18, dari Mambau ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada pukul 4.30 petang semalam manakala usaha mencari Mohd Ruzaini dari Klang yang dihanyutkan 'kepala air' itu diteruskan.
Pasangan itu bersama dua rakan mereka, Mohd Halim Shiddik, 19, dan Nurul Faezah Noor, 19, dari Kuala Kubu Baharu ke kawasan air terjun terbabit untuk berkelah pada pukul 12 tengah hari.- Bernama
SH

Suami isteri masuk ICU makan cendawan beracun



ALOR SETAR - Sepasang suami isteri warga Thailand dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas memakan sejenis cendawan liar di Bukit Tangga, Changlun, 55 km dari sini semalam.
Thongthi Poi, 50, dan isterinya Boonma Gaeonin, 41, memungut cendawan itu di kebun getah tempat mereka bekerja sebagai penoreh.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Jitra dan kemudian dihantar ke HSB selepas tidak sedarkan diri. Keadaan mereka dilaporkan semakin pulih.
Anak perempuan pasangan itu, Pavini Boonma, 21, yang ditemui di HSB, berkata emak dan ayahnya mengutip cendawan itu ketika menoreh getah di kebun untuk dijadikan makanan tengah hari.
Pavani berkata emak dan ayahnya selalu makan cendawan dan kulat yang dipungut di kebun getah itu tetapi tidak pernah mengalami keracunan.
"Emak kata kawan-kawan dia beritahu cendawan itu boleh makan, sebab tu dia memungutnya untuk dimasak. Tak sangka pula jadi macam ini," katanya.
Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazali yang dihubungi berkata pasangan suami isteri itu dirujuk ke HSB pada 11 malam tadi bagi mendapatkan rawatan rapi.
"Keadaan mereka beransur pulih tetapi masih dalam pemerhatian hospital," katanya. - Bernama
SH

Kontraktor dan pemilik syarikat pembalakan dipenjara dan didenda



KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor dan seorang pemilik syarikat pembalakan, hari ini masing-masing dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan didenda RM35,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada Penolong Pengarah Operasi dan
Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Chin Boon Leong, 43, dan Hor Kin Onn, 43.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 24 bulan serta denda RM25,000, dan jika gagal membayar denda boleh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Manakala bagi pertuduhan kedua masing-masing dikenakan hukuman penjara 24 bulan serta denda RM10,000, dan jika gagal membayar denda di penjara enam bulan.
Mahkamah memerintahkan supaya hukuman berjalan serentak berkuatkuasa hari ini. Boon Leong, dan Kin Onn, didakwa atas kesalahan dengan niat bersama memberi rasuah RM5,000 kepada Mohd Yussainy Md Yusop pada kira-kira pukul 10.30 malam, 1 Februari tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua mereka didakwa terlibat dengan kesalahan sama memberi rasuah RM5,000, di daerah Sepang pada 12.05 tengah hari, 2 Februari 2010.
Kedua-dua perbuatan itu adalah sebagai dorongan supaya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan menyita sebuah lori yang tidak berdaftar, sebuah jentolak dan sebuah jengkaut yang digunakan untuk kerja-kerja pembalakan haram.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama
SH

Sekurang-kurangnya 15 mati, kapal migran tenggelam


ROM 7 April - Sekitar 130 hingga 250 orang dilaporkan hilang dan sekurang-kurangnya 15 oran dikatakan terkorban apabila bot yang membawa pelarian dari Libya ke selatan Sicily.

Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 47 orang termasuk seorang wanita yang sarat mengandung selepas bot yang penuh dengan penumpang itu hilang yang meninggalkan Libya dua hari lalu tenggelam pada pukul 4 pagi (10 pagi waktu tempatan).
Antara 15 hingga 20 mayat dilihat di dalam air setakat ini tetapi angin kuat dan laut yang bergelora membuatkan operasi mencari semakin susah. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Terkini

Kes Berlusconi mula dibicara


MILAN 6 April - Perbicaraan kes Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi atas tuduhan melanggan seorang pelacur bawah umur dan menyalahgunakan kuasa bermula di sini hari ini, berikutan pelbagai pendedahan sensasi yang telah menjejaskan populariti beliau.

Berlusconi tidak hadir pada perbicaraan tersebut yang ditangguhkan oleh panel hakim ke 31 Mei ini sejurus selepas kes itu didengar.

Wanita yang menjadi tumpuan kes, Karima El Mahroug, kini 18, dan lebih dikenali sebagai 'Ruby Pencuri Hati' juga tidak hadir.

Pasukan peguam bela sebelum ini berkata, mereka akan memanggil aktor Amerika Syarikat (AS), George Clooney dan bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo untuk memberi keterangan.

Langkah itu diambil dalam usaha untuk mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Ruby mengenai kedua-dua lelaki dalam keterangannya kepada pendakwa raya.

Menteri Luar, Franco Frattini juga dilaporkan termasuk dalam senarai saksi.

Seramai 33 wanita yang disebut oleh pendakwa raya sebagai peserta dalam pesta liar dan tarian erotik bersama-sama Berlusconi juga dijangka memberi keterangan.

Tuduhan mengadakan hubungan seks dengan orang bawah umur boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, manakala tuduhan menyalahgunakan kuasa boleh membawa hukuman penjara 12 tahun.

Berlusconi menyangkal tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai karut.

"Saya sudah hampir mencecah umur 75 tahun dan kalau saya nakal pun, 33 wanita dalam tempoh dua bulan agak keterlaluan bagi saya," kata beliau secara berkelakar pada Mac lalu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bakal pengantin rentung




Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan pasangan kekasih yang rentung di Kempas, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 6 April - Hajat sepasang kekasih melangsungkan majlis perkahwinan pada Jun ini tidak kesampaian apabila kedua-duanya rentung setelah kereta Perodua Kancil yang mereka naiki dirempuh sebuah lori sembilan tan di Kilometer 2.8 Jalan Kempas, Kempas, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pukul 11.15 malam, mangsa, Norhisham Wahab, 34, dan tunangnya, Rafidah Khairodin (gambar), 27, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, ketika kejadian kereta yang dinaiki mangsa berada di Jalan Permatang Lima sebelum cuba masuk simpang ke Jalan Kempas di sini.
Beliau berkata, sebaik sahaja kereta mangsa memasuki jalan berkenaan, kenderaan tersebut terus dirempuh oleh lori itu dari arah belakang sebelum diseret sejauh 90 meter dan terbakar.
"Kedua-dua mangsa tersepit dan dipercayai gagal keluar daripada kereta yang sedang marak terbakar.
"Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Larkin yang sampai ke tempat kejadian tidak lama kemudian berjaya mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ruslan berkata, pemandu lori berkenaan yang terus ke Balai Polis Trafik Taman Ungku Aminah sejurus kejadian telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih disiasat.
Sementara itu, kakak Rafidah, Sulasteri Khairodin, 31, berkata, ketika kejadian, adiknya yang tinggal di Kampung Permatang di Kempas keluar makan malam bersama Norhisham.
"Dia (Rafidah) yang bekerja sebagai kerani akauntan memang gembira untuk melangsungkan majlis persandingan pada Jun ini setelah bertunang tahun lalu.
"Tak sangka pula perkara begini berlaku kerana segala persiapan untuk majlis pernikahannya sudah siap," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Kulaijaya, hari ini.
Ibu Norhisham, Fatimah Kamin, 59, yang berada di lokasi sama berkata, anaknya yang bekerja di kedai perabot di sini tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali banyak mendiamkan diri sejak akhir-akhir ini akibat diserang demam campak.
"Tak sangka pula jadi begini kerana segala persiapan untuk majlis perkahwinannya pada Jun ini sudah hampir siap dibuat. Bagaimanapun, saya sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya lagi.
Jenazah Norhisham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi manakala jenazah Rafidah dikebumikan di Kampung Permatang, Kempas petang ini.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Syarikat insurans setuju pulang RM12,986.60 kepada lima guru


TERPEDAYA! Pada mulanya, mereka ditawarkan peluang pelaburan dalam bon didakwa diurus oleh Uni.Asia Life Assurance Bhd. (Uni.Asia) iaitu anak syarikat DRM-HICOM Bhd., tetapi selepas pembayaran sebanyak RM12,986.60 dibuat, rupa-rupanya ia adalah caruman bagi polisi insurans.

Lebih malang lagi, kelima-lima guru sekolah menengah dari Bachok berusia 40-an itu mendakwa turut diperdaya oleh ejen syarikat terbabit apabila terpaksa membayar caruman sehingga 25 tahun berbanding tempoh dinyatakan hanya 10 tahun.
Akibat tidak berpuas hati dengan penipuan ejen tersebut, kelima-lima guru terbabit memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini bagi menuntut kembali wang yang telah 'dilaburkan'.
Dalam prosiding di hadapan Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak, 'mangsa' pertama, Sakinah Yahya memberitahu, dia telah didatangi seorang ejen syarikat insurans terbabit pada Ogos tahun lalu yang memberitahu DRB-HICOM, telah mengeluarkan bon bernilai RM20,000 dengan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
''Ejen itu menawarkan kepada saya membeli bon tersebut yang dakwanya diuruskan oleh Uni.Asia dengan bayaran secara ansuran dan saya memilih membayar tunai sebanyak RM1,200 selama enam bulan pertama,'' katanya.
Bagaimanapun dakwanya, selepas tiga bulan, dia mendapati ia bukannya dana pelaburan tetapi polisi insurans nyawa yang jika diketahui, awal-awal lagi dia akan menolaknya kerana telah mempunyai polisi insurans lain.
''Saya juga kesal kerana telah mengajak suami yang menghidap sakit buah pinggang dan kawan-kawan lain turut serta 'melabur' kerana menyangka ia telus,'' ujarnya yang mengemukakan tuntutan wang RM2,616.20 dipulangkan kepadanya selain wang RM2,701 milik suaminya, Mat Yassin M. Noor.
Turut mengemukakan tuntutan ialah Norzaharani Awang membabitkan bayaran sebanyak RM2,534.20, Zaiton Kadir (RM2,571.50) dan Syarifah Awang (RM2,563.70).
Reihana bagaimanapun menegur tindakan kumpulan guru terbabit yang bersetuju menyerahkan sejumlah wang kepada ejen syarikat insurans berkenaan walaupun tidak mengetahui status dan kesahihannya.
''Sebagai golongan profesional, adalah wajar kalian menyemak serta mendapatkan kesahihan mengenai pelaburan yang ditawarkan itu sebelum menyerahkan wang dan bersetuju menyertainya,'' katanya.
Syarikat Uni.Asia yang enggan memanjangkan kekeliruan bagi menjaga nama baiknya, bagaimanapun bersetuju memulangkan kesemua wang yang dituntut dalam tempoh 30 hari sebagaimana diputuskan oleh tribunal.
Wakil syarikat itu juga memaklumkan bahawa bon tersebut memang dikeluarkan oleh DRB-HICOM tetapi ia telah 'dipergunakan' oleh ejen terbabit semata-mata untuk menarik pelanggan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Dua gengster ditahan polis




MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff (kiri) menunjukkan berpuluh-puluh parang yang dirampas semasa sidang akhbar di IPK Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 6 April - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang daripadanya warga Singapura selain merampas sepucuk pistol, 41 butir peluru dan 46 bilah pedang dan parang yang disyaki digunakan dalam kegiatan gangsterisme, penculikan dan peras ugut di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun dan lelaki warga jiran berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, pukul 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan oleh sekumpulan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di rumah itu pihaknya turut merampas barangan lain antaranya tiga topeng muka dan meja mengasah pedang.
"Kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah di negeri ini termasuklah gangsterisme, peras ugut, samun dan kemungkinan juga kes culik.
"Kita percaya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah yang melibatkan suspek sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis republik berkenaan untuk menyiasat latar belakang suspek warganegara berkenaan.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 3(1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

4 pelajar 'hilang' ditemui di KL




SHAFIEN Mamat (kanan) memberi nasihat kepada empat remaja yang ditemui semula ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 6 April - Kurang 24 jam dilaporkan hilang selepas ke sekolahnya dekat sini, pagi semalam, empat pelajar perempuan termasuk dua-beradik ditemui di sebuah hotel bajet di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Pasangan adik-beradik itu, Beh Chin Yuan, 15, dan Beh Ee Xuan, 14, dipercayai hilang bersama dua rakan karib mereka iaitu Ong Shi Nee dan Soon Shi Xian, masing-masing berusia 15 tahun selepas keluar untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Mutiara di Simpang Ampat dekat sini.
Pelajar itu ditemui selepas salah seorang menghubungi ibu bapanya malam tadi dan memaklumkan yang mereka berada di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, remaja terbabit menghubungi ibu bapanya selepas terbaca mengenai berita kehilangan mereka di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina malam tadi.
"Ibu bapa mereka yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada anak masing-masing segera ke Kuala Lumpur sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira pukul 4 pagi ini.
"Tindakan pantas media yang cepat menyalurkan maklumat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak polis berjaya menemui remaja terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Laporan kehilangan empat remaja terbabit dibuat di Balai Polis Komuniti Bandar Tasek Mutiara sebelum satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS pukul 3.30 petang semalam, selepas mereka didapati tidak berada di sekolah walaupun dilihat keluar dari rumah dengan uniform sekolah.
Keempat-empat remaja terbabit juga meninggalkan nota serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa mereka akan 'pergi jauh' selain meminta supaya keluarga masing-masing tidak bimbang.
Tambah Shafien, siasatan mendapati kesemua mereka ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari Simpang Ampat untuk berjalan-jalan dan menggunakan alasan mahu mencari kerja kerana bimbang dimarahi ibu-bapa masing-masing.
"Mereka tiba ke Kuala Lumpur petang semalam dan sejurus tiba terus bersiar-siar sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang.
"Saya harap para remaja tidak bertindak sedemikian kerana bimbang ia ada kaitan dengan mana-mana kes culik atau sindiket tertentu yang melibatkan remaja," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Skandal jejas imej tentera

SYDNEY: Angkatan tentera Australia digemparkan dengan satu lagi skandal, semalam selepas seorang rekrut muda didakwa merakamkan adegan seksnya bersama anggota kadet wanita dan menyiarkannya melalui Skype untuk tontonan rakannya.
Menteri Pertahanan Stephen Smith, berkata sekiranya perkara itu benar, ia adalah pecah amanah terburuk, selepas wanita berusia 18 tahun daripada Akademi Pasukan Pertahanan Australia menghebahkan insiden itu kepada umum. Wanita itu memberitahu stesen televisyen Ten Network bahawa dia mengetahui mengenai insiden itu apabila dihubungi pegawai penyiasat Jabatan Pertahanan yang mendapat maklumat daripada anggota kadet lain. Wanita yang hanya dikenali sebagai Kate itu mendakwa dia mengadakan seks secara rela tetapi pasangannya merakam adegan itu di webcam untuk tontonan enam rakan rekrut berkenaan tanpa pengetahuannya. Gambar mereka juga turut diambil dan diedarkan di akademi berkenaan yang menjadi kolej elit Australia untuk merekrut tentera. “Dunia saya bagaikan sudah berakhir,” katanya.

Stesen televisyen terbabit, semalam melaporkan wanita itu tidak diberikan kaunseling, malah diarahkan pegawai pertahanan supaya meminta maaf kepada rakannya kerana memalukan mereka dengan menghebahkan cerita itu kepada pihak media. Kes itu kini disiasat polis dan pegawai pertahanan memberi amaran sesiapa yang didapati melakukan jenayah akan ditamatkan dalam perkhidmatan tentera. Tentera Australia dikenali dengan reputasi buruk kerana mempunyai budaya meminum minuman keras dan mengganggu wanita. - AFP
myMetro | Skandal jejas imej tentera

Bank anjur skim piramid ditutup

myMetro | Bank anjur skim piramid ditutup


MANILA: Bank Pusat Filipina semalam berkata, sebuah bank negara itu ditutup kerana menjalankan skim piramid, menarik beribu-ribu pelabur dengan memberi hasil pulangan yang tinggi.

Bank Pusat Filipina berkata, bank terbabit menggunakan simpanan baru untuk membayar faedah simpanan lama.


Sehubungan itu, Bank Pusat berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman mendakwa 10 pegawai kanan dan anggota lembaga pengarah Banco Filipino atas tuduhan jenayah. Pihak berkuasa kewangan Filipina menutup bank terbabit bulan lalu selepas ia berdepan dengan pengeluaran wang simpanan secara besar-besaran.

Bagaimanapun, peguam Banco Filipina, Harry Roque menyangkal tuduhan itu dan berkata, tindakan Bank Pusat itu dilakukan semata-mata kerana bertindak balas selepas bank berkenaan mengemukakan tindakan undang-undang membantah penutupannya secara haram minggu lalu. - AP"

Tentera, isteri ditembak dalam bas

myMetro | Tentera, isteri ditembak dalam bas:


ZAMBOANGA: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang pegawai tentera, isteri dan seorang pengawal sebelum membakar mayat mangsa dalam serang hendap terhadap sebuah bas di selatan Filipina, semalam.

Kumpulan pemeras ugut dipercayai bertanggungjawab terhadap keganasan itu, yang terbaru dalam siri serangan terhadap bas di Mindanao, kata pegawai tentera tempatan, Kolonel Buenaventura Pascual.


Pegawai terbabit, isteri dan pengawalnya adalah penumpang bas itu. - AP"

Thailand guna bom berangkai

myMetro | Thailand guna bom berangkai: "GENEVA: Thailand semalam didakwa menggunakan bom berangkai terhadap wilayah Kemboja Februari lalu, tindakan yang melanggar perjanjian pengharaman penggunaan senjata itu.

Pakatan Bom Berangkai (CMC) berkata, Thailand mengesahkan hasil siasatan pegawai CMC pada mesyuarat 5 April lalu, pengakuan pertama sejak pengharaman senjata itu dikuatkuasakan kuasa tahun lalu.


Bom berkenaan menyebabkan dua orang terbunuh, kata CMC, penaung beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang memainkan peranan utama dalam mempengaruhi sejumlah besar negara menandatangani pengharaman itu.

Bom berangkai menyelerakkan beratus-ratus bom kecil di kawasan yang luas dan didakwa menjadi punca kepada kematian dan kecacatan beribu-ribu orang, khususnya di negara miskin, selalunya selepas bertahun-tahun peperangan berakhir.


“Agak mengejutkan ada negara menggunakan senjata itu selepas masyarakat antarabangsa mengharamkannya,” kata Pengarah CMC, Laura Cheeseman.


“Thailand mempelopori pengharaman global terhadap periuk api dan adalah tidak patut ia menggunakan senjata yang diharamkan yang boleh menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap orang awam dengan cara yang sama,” katanya.

Antara kawasan yang menjadi sasaran bom itu di Kemboja ialah Kampung Svay Chrum dan Sen Chey, berhampiran kuil Preah Vihear yang menjadi rebutan kedua-dua negara. - Reuters"

48 pelarian diselamat

myMetro | 48 pelarian diselamat:


ROME: Pasukan pengawal pantai Itali semalam menyelamatkan 48 pelarian dan mengesan 15 mayat selepas sebuah bot yang sarat dengan 200 orang dari Libya karam malam sebelumnya.

“Kami menyelamatkan 48 orang sementara 15 mayat dikesan oleh kru helikopter,” kata jurucakap pengawal pantai, Vittorio Alessandro yang berpangkalan di Pulau Lampedusa, selatan Itali.


“Kami masih menaruh harapan. Bot dan helikopter kami mencampakkan pelbagai jenis jaket dan bot keselamatan untuk mangsa,” katanya.

Dalam kenyataannya, pasukan berkenaan berkata, bot sepanjang 13 meter itu meninggalkan bandar Zuwarah di barat Libya dua hari lalu.


Kebanyakan penumpang adalah warga Eritrea dan Somalia.


Beratus-ratus pelarian Afrika dari Libya, kebanyakannya pekerja asing yang terkandas selepas revolusi rakyat Libya menentang Muammar Gaddafi bermula, mendarat di Itali sejak beberapa hari lalu.

Lebih 20,000 pendatang asing yang melarikan diri akibat kekacauan berterusan di Tunisia juga tiba di Lampedusa. Pendatang dan pelarian sering menggunakan bot usang dan bot nelayan yang sesak untuk belayar menuju ke Itali. - AFP"

Maut selamat kekasih lemas

SEREMBAN: “Saya terkilan tidak sempat menarik baju yang dipakainya walaupun dia menjerit meminta tolong,” kata seorang pelajar kolej swasta, Nurul Faizah Nor, 19, rakan kepada dua mangsa lemas ketika berkelah di kawasan rekreasi Sungai Gunung Berembun, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa masing-masing pekerja kedai kasut, Khairun Niza Kharul, 18, dari Mambau, dekat sini dan teman lelakinya yang juga pelajar kolej, Mohd Rozane Baddarudin, 19, dari Klang, Selangor ditemui lemas selepas berkelah di situ.

Katanya, mereka berempat datang dari rumah sewa di Seremban Dua, dekat sini, menaiki dua motosikal ke kawasan rekreasi itu, kira-kira jam 12.30 tengah hari. Menurut Nurul Faizah, ketika kejadian dia bersama tiga rakan itu mandi-manda di kawasan air terjun di kawasan berkenaan sebelum hujan lebat secara tiba-tiba menyebabkan paras air sungai meningkat secara mendadak.

“Kedua-dua rakan lelaki naik terlebih dahulu ke tebing untuk menyelamatkan barangan makanan.

“Namun, saya dan Khairun Niza terus mandi sebelum berasa tidak sedap hati melihat paras air semakin naik dan terus naik ke batu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.


Dia yang masih kelihatan terkejut dan trauma berkata, sebaik berada di atas batu dia menoleh ke arah rakannya itu dan terkejut melihat Khairun Niza terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong selepas dihanyutkan arus deras.

Katanya, dia hanya sempat menarik baju Khairun, tetapi terlepas kerana arus deras menariknya dan melihat kejadian cemas itu,Mohd Rozane terus terjun untuk menyelamatkan teman wanitanya. “Dalam keadaan arus deras Mohd Rozane turut lemas dan mujur saya sempat melompat ke atas kayu dan memanjat ke tebing ketika hampir dibawa arus.

“Saya dan teman lelaki,(Mohd Khalim Shiddik, 19) hanya mampu memandang kedua-duanya rakan kami dibawa arus deras,” katanya yang sebak dengan kejadian itu.

Sementara itu, Mohd Khalim berkata dia juga berasa bimbang selepas melihat paras air meningkat dan arus semakin deras disebabkan hujan lebat dan mengajak rakannya untuk balik.myMetro | Maut selamat kekasih lemas