Search This Blog

Wednesday, April 6, 2011

Kilang tuntut ganti rugi




Seramai 100 pekerja bergaji hari terjejas pendapatan apabila AKSB gagal membekalkan air secara berjadual kepada kilang memproses ais kiub dan air minuman di Pasir Puteh sejak seminggu lalu. - Utusan/ Torek Sulong.


PASIR PUTEH 5 April - Sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan sejuk beku mendakwa kerugian ribuan ringgit berikutan gangguan bekalan air dan kegagalan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) membekalkan sumber air mencukupi sejak seminggu lalu.
Pengurus Kilang Nazri Frozen Food & Trading Sdn. Bhd., Mohd. Nazri Boniyamin mendakwa, sekiranya bekalan air gagal dipulihkan dengan segera, kemungkinan operasi di kilang itu akan lumpuh.
Beliau mendakwa, keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada kilang, tetapi juga menjejaskan sumber pendapatan lebih 100 pekerja.
“Kilang ini juga gagal memproses air minuman yang lazimnya dibekalkan kepada pengguna seluruh Kelantan dan Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di kilang berkenaan di sini hari ini.
Kilang milik bumiputera itu mula beroperasi selepas dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 20 April 2008.
Mohd. Nazri mendakwa, AKSB hanya mampu menghantar antara satu hingga tiga lori tangki air dan jumlah itu jauh daripada mencukupi keperluan sebenar kilang untuk beroperasi menghasilkan kiub ais.
Beliau berkata, kilang memerlukan sekurang-kurangnya 10 lori tangki air untuk memproses 600 botol air minuman sehari bagi memenuhi keperluan dan permintaan para peniaga di Kelantan dan Terengganu.
Utusan Malaysia Online - Timur

Penganggur, pemandu teksi edar dadah dihukum gantung




Lee Kum Choy (tengah) dan Norisam Akram Mullah (menutup muka) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mereka dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 5 April - Usaha seorang penganggur dan pemandu teksi untuk menyakinkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka tidak mengedar kanabis dua tahun lalu, gagal menyelamatkan mereka daripada hukuman gantung.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Norisam Akram Mullah, 39, dan Lee Kum Choy, 46, selepas didapati bersalah mengedar 4,749 gram kanabis.
Kesalahan itu didapati dilakukan di simpang tiga sekitar Blok H, Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Jalan Kuching, di Kuala Lumpur pada pukul 2.30 pagi, 19 Januari 2009.
Hakim Mohd. Sofian yang bertugas di sini berkata, mahkamah menolak keterangan Norisam bahawa dia hanya menahan teksi yang dipandu oleh Kum Choy untuk pergi ke rumah rakannya bernama Along di Jalan Ipoh dekat sini sebelum polis membuat tangkapan.
''Keterangan mengenai Along adalah rekaan semata-mata kerana tertuduh gagal memberikan alamat rumah Along selain isu itu hanya ditimbulkan pada peringkat pembelaan,'' kata beliau.
Hakim Mohd. Sofian turut menolak keterangan Kum Choy yang mendakwa dia tidak berniat berjumpa dengan Norisam tetapi sekadar bersiar-siar di sekitar Jalan Kuching.
Beliau juga tidak mempercayai alasan Kum Choy kerana pada pukul 2.30 pagi dia boleh mencari penumpang di kawasan lebih padat seperti di Bukit Bintang.
Mahkamah mendapati mereka mempunyai pemilikan, jagaan dan kawalan ke atas kanabis yang dijumpai di dalam bonet teksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadzillah Begum Abdul Ghani mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Rakyat Malaysia diculik




Pasukan bersenjata yang setia kepada Ouattara bersiap sedia di the Golf Hotel di Abidjan pada 3 April lalu bagi menggempur tentera yang setia kepada Gbagbo. – AFP


ABIDJAN, Ivory Coast 5 April – Seorang rakyat Malaysia, dua warga Perancis dan seorang rakyat Benin diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari Hotel Novotel, di sini semalam, kata satu sumber diplomatik.
Hotel itu terletak di kawasan dikuasai penyokong bekas presiden yang enggan melepaskan kuasa, Laurent Gbagbo.
Turut diculik ialah pengarah hotel tersebut dan pengerusi lembaga pengarah kumpulan agroindustri Sifca, Yves Lambelin.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah kekacauan politik di negara di pantai barat Afrika ini.
Dentuman senjata berat menggegarkan pusat ekonomi Ivory Coast ini hari ini, apabila pasukan bersenjata yang setia kepada Presiden yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, Alassane Ouattara bertempur dengan penyokong Gbagbo.
Bunyi tembakan juga kedengaran di daerah Plateau di bandar raya ini dan sebuah helikopter berlegar di perkarangan istana Presiden yang dikuasai penyokong Gbagbo yang enggan menyerah kalah.
Penduduk melaporkan pertempuran sengit di bahagian lain ibu kota ini, terutama sekitar daerah Cocody di mana pertempuran untuk menguasai kem pasukan keselamatan masih berlaku.
“Pejuang pro-Quattara cuba memasuki kem yang dikuasai penyokong setia Gbagbo,” kata seorang penduduk tempatan.
Pertempuran itu berlarutan pada hari kedua kempen serangan yang dilancarkan oleh pasukan bersenjata Ouattara untuk menawan kubu-kubu kuat Gbagbo di Abidjan dalam operasi yang digambarkan sebagai serangan ‘terakhir’.
Gbagbo terus menolak desakan supaya beliau berundur setelah tewas dalam pilihan raya Presiden pada November lepas.
Tentera Ouattara melancarkan gerakan bergerak dari utara untuk menawan hampir seluruh negara ini pada minggu lalu. –
Sementara itu, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan tentera Perancis melancarkan serangan menggunakan helikopter ke atas gudang senjata Gbagbo, semalam.
Serangan antarabangsa itu, turut dilancarkan ke atas Istana Presiden dan tiga kawasan strategik ketenteraan, sebahagian usaha masyarakat antarabangsa untuk menamatkan segera konflik empat bulan di negara ini dan menggulingkan Gbagbo, kata Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet dalam satu sidang media hari ini.
Beliau turut yakin konflik itu akan tamat dalam beberapa jam lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon memberitahu Parlimen, Gbagbo kini hampir menyerah diri dan dua jeneralnya sedang merundingkan bagi beliau berundur. - AFP/AP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Puak bersenjata Filipina bebas 12 tebusan

MANILA: Puak bersenjata Filipina hari ini membebaskan 12 tebusan selepas kumpulan guru dan pelajar itu ditahan selama empat hari di kawasan hutan terpencil, kata Menteri Dalam Negeri, Jesse Robredo.

“Pada 6 pagi ini, saya dimaklumkan oleh polis bahawa tebusan terbabit dalam perjalanan turun dari kawasan gunung. Difahamkan semua mereka tidak diapa-apakan,' katanya dalam siaran radio ke seluruh negara.- AFP

Kes denggi meningkat, mangsa wanita maut


KUALA LUMPUR: Sebanyak 336 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh 27 Mac hingga 2 April lalu, iaitu peningkatan 35 kes berbanding 301 kes pada minggu sebelumnya.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata kematian itu membabitkan seorang wanita berusia 43 tahun dari Selangor yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Akaun di sebuah syarikat swasta.
"Penyiasatan mendapati lokaliti kediaman kes adalah kawasan wabak denggi dengan kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi. Pembiakan yang dijumpai adalah di dalam premis kediaman dan di tanah lapang, di mana pemilik premis kediaman itu sudah dikenakan kompaun RM500," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu lalu iaitu Terengganu meningkat kepada 14 kes, Selangor (sembilan), Johor (lapan), Kelantan (tujuh), Perak (enam), Negeri Sembilan (tiga) dan Pahang (satu).

Dr Hasan berkata, sepanjang minggu lalu, 49 lokaliti wabak dikesan di 15 daerah yang dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu empat merupakan lokaliti panas.

Beliau berkata, "kawasan panas" di Selangor ialah di Seksyen 4 Bandar Rinching, Hulu Langat dan Taman Nirwana manakala kawasan panas di Kuala Lumpur ialah Rumah Kediaman Angkatan Tentera (RKAT) Ampat Tin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di Jalan Peel.

Bagi kes penyakit Chikungunya, dua kes dilapor bagi tempoh 27 Mac hingga 2 April lalu berbanding satu kes pada minggu sebelumnya.
Kes di Selangor dan Pahang itu menjadikan jumlah terkumpul bagi penyakit itu sebanyak 13 kes.

Namun, jumlah itu turun 97 peratus berbanding 508 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lalu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Kes denggi meningkat, mangsa wanita maut

Peniaga bebas tuduhan siar komen hina Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, menerusi portal internet.

Hakim SM Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Muslim Ahmad, 55.Pada 21 Jun lalu, Komathy melepaskan dan membebaskan Muslim selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes itu.
Bagaimanapun, pada 8 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha memerintahkan Muslim dipanggil membela diri untuk memberi keterangan pembelaannya selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. 

Muslim menghadapi tiga pertuduhan pindaan iaitu menghantar komen yang jelek sifatnya melalui portal negeri, www.perak.gov.my, pada 2.21 petang 7 Februari tahun lalu. 

Dia juga didakwa melakukan kesalahan serupa pada 2.27 petang hari yang sama, dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukannya sekali lagi pada 4.39 petang 8 Februari 2009. 

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di alamat No. 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini. 
Muslim yang diwakili peguam K Periasamy, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998. - BERNAMA

Warga Bangladesh mengaku bersalah sogok polis

SH: "

KUANTAN - Sehari selepas menyogok seorang anggota polis, seorang warga negara Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan mengaku bersalah terhadap tuduhan memberi suapan RM100 kepada seorang anggota polis.

Josim Ismail Shardar, 28, yang bekerja sebagai anggota penyelamat di sebuah taman tema air di sini, didakwa memberi suapan itu kepada seorang konstabel sokongan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa permit sah.
Dia melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di belakang bangunan Centre Point, Jalan Abdul Rahman di sini, pada 1 petang semalam.

Hakim Noradidah Ahmad menetapkan 12 April ini bagi menjatuhkan hukuman. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shafinaz Shabudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama"

Polis jumpa mayat hanyut di Pulau Jerejak

SH:

GEORGE TOWN - Polis Marin menjumpai mayat seorang lelaki yang hanyut dan terapung di kawasan perairan Pulau Jerejak di sini hari ini.

Komander Pasukan Gerakan Marin PDRM Wilayah Satu negeri, DSP Rosli Sufian berkata mayat itu ditemui pada pukul 2.15 petang dan identitinya masih belum dikenal pasti.

'Kami juga sedang menyiasat sama ada mayat itu mempunyai kaitan dengan satu laporan polis mengenai seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang Isnin lepas,' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat ataupun kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi polis dengan segera bagi membantu siasatan. - Bernama"

Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat gangsterisme, samun, pemerasan dan culik

SH:

JOHOR BAHARU - Pihak polis disini berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki rakyat Singapura yang dipercayai terlibat dalam kes gangsterisme, samun, pemerasan dan culik, selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui sepucuk pistol jenama Norinco
bersama kelopak, 41 butir peluru 9mm, 46 pedang dan parang pelbagai saiz, lapan topeng ski dan tiga meja untuk mengasah pedang serta parang.

'Kedua-dua lelaki berumur 33 dan 40 tahun itu kini direman sehingga Jumaat ini dan kesemuanya akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 3(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958,' katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini."

Telur ayam tiruan di Pulau Pinang



GEORGETOWN: Rupanya sebiji telur ayam tetapi ia telur ayam tiruan diperbuat daripada bahan kimia yang dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan dan dijual di pasaran terbuka di Pulau Pinang.


Telur palsu itu bersaiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar.


Demikian menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan itu pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus di sini semalam.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata siasatan mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan.

"Komponen bahan kimia ini boleh menjejaskan kesihatan pengguna seperti mengganggu metabolisme, otak, sel saraf serta menjejaskan fungsi hati," katanya.

Mohamed Idris berkata, kerajaan harus mengambil tindakan segera merampas dan mengharamkan semua telur ayam palsu itu kerana ia akan memperdaya pengguna selain memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Seorang mangsa pembelian telur ayam palsu yang hanya mahu dikenali sebagai Loh, 50, berkata beliau menyedari telur ayam yang dibelinya dari pasar di Pulau Tikus itu adalah palsu setelah mendengar aduan seorang pembeli menerusi siaran radio.
"Setelah mendengar aduan seorang pengguna dalam radio, saya terus memeriksa telur yang dibeli itu dan terkejut apabila mendapati telur ayam yang saya dibeli sememangnya palsu," katanya.

Loh berkata, beliau dan anggota keluarganya telah makan telur ayam palsu itu sejak sebulan lalu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Telur ayam tiruan di Pulau Pinang

Pengarah syarikat didenda RM10,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap bekas pengarah syarikat perkhidmatan jalur lebar kerana memberi peluang perniagaan kepada syarikat lain yang mana dirinya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Tan Huck Jin, kelmarin, selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk merayu hukuman yang sudah diputuskan sebelum ini.


Beliau turut memerintahkan Tan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum ini, pada 19 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Tan dan memerintahkan tertuduh dipenjarakan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak berpuas hati dan memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan Hakim Ainul Shahrin Mohamad pada keesokannya.

Pemilik kilang ais ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kilang ais dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memberi rasuah RM20,000 kepada pengurus kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana syarikatnya mencuri bekalan elektrik, Jun lalu.

Tertuduh, Teel Lye Hock, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi rasuah kepada Pengurus Kanan Unit Siasatan dan Risikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rumaizi Mohd Amin, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan mencuri tenaga elektrik yang dilakukan oleh syarikatnya, Pacific Tube Ice Sdn Bhd.

Bahana langgar pintu pagar temanita

KUALA LUMPUR: Gara-gara berselisih faham dengan teman wanita, seorang pengurus syarikat didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan melanggar pintu pagar rumah wanita itu, tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membuat keputusan itu terhadap Kelvin Miranda, 39, selepas berpuashati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Beliau turut memerintahkan Kelvin dipenjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda diputuskan.

Kelvin yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot kelihatan tenang ketika mendengar keputusan itu.

55 PATI larikan diri ditahan semula

SEREMBAN – Seramai 55 orang daripada 109 pendatang tanpa izin yang melarikan diri daripada Depot Tahanan Imigresen Lenggeng pada malam Isnin lepas berjaya ditahan semula sehingga tengah hari tadi.

Menurut jurucakap depot itu, 32 daripada mereka diberkas antara 6 petang semalam dan tengah hari tadi manakala 32 ditahan tidak lama selepas mereka melarikan diri.

'Mereka yang melarikan diri itu mungkin sudah sampai ke kawasan Broga, Jelebu dan Beranang,” katanya.

Majoriti yang melarikan diri itu adalah warga negara Myanmar yang bertindak membakar blok tahanan mereka sebelum merempuh pagar sebelum lari ke satu kawasan kelapa sawit. - Bernama

Denggi: Satu kes kematian di Selangor

KUALA LUMPUR – Sebanyak 336 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh 27 Mac hingga 2 April iaitu peningkatan 35 kes berbanding 301 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian itu melibatkan seorang wanita berusia 43 tahun dari Selangor yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Akaun di sebuah syarikat swasta.
"Penyiasatan mendapati lokaliti kediaman kes adalah kawasan wabak denggi dengan kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi. Pembiakan yang dijumpai adalah di dalam premis kediaman dan di tanah lapang, di mana pemilik premis kediaman itu sudah dikenakan kompaun RM500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata terdapat tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu lepas iaiatu Terengganu meningkat kepada 14 kes, Selangor (sembilan), Johor (lapan), Kelantan (tujuh), Perak (enam), Negeri Sembilan (tiga) dan Pahang (satu).
Dr Hasan berkata sepanjang minggu lepas, 49 lokaliti wabak dikesan di 15 daerah yang dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu empat merupakan lokaliti panas.
Menurutnya “Kawasan panas” di Selangor ialah di Seksyen 4 Bandar Rinching, Hulu Langat, Taman Nirwana manakala kawasan panas lain ialah di Kuala Lumpur iaitu Rumah Kediaman Angkatan Tentera (RKAT) Ampat Tin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di Jalan Peel di sini.
Bagi kes penyakit Chikungunya, dua kes dilapor bagi tempoh 27 Mac hingga 2 April berbanding satu kes pada minggu sebelumnya.
Kedua-dua kes itu masing-masing berlaku di Selangor dan Pahang menjadikan kes terkumpul bagi penyakit itu ialah 13 kes.
Jumlah kes itu turun 97 peratus berbanding dengan 508 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Putih mata ditipu pegawai palsu




KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor, 45, terpaksa berputih mata setelah kerugian RM1,400 kerana ditipu gara-gara terpedaya dengan isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar individu tidak dikenali kononnya terpilih menerima projek segera yang ditawarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Kejadian berlaku pada 30 Mac lalu apabila mangsa seorang lelaki yang berasal dari kampung Losong menerima kiriman SMS daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Penolong Pengarah JKR negeri memaklumkan permohonannya untuk mendapatkan projek itu berjaya.

Isi kandungan SMS itu turut meminta mangsa menghubungi ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ itu agar perbincangan lebih lanjut dapat dilakukan dengan segera berkaitan projek yang ditawarkan.

Teruja dengan khabar gembira itu, tanpa melengahkan masa, mangsa terus menghubungi nombor tersebut dan dijawab oleh ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ terbabit namun diminta agar menghubunginya kemudian kerana mendakwa sedang bermesyuarat.

Keesokan harinya iaitu pada 1 April, mangsa sekali lagi menghubungi nombor tersebut dan dimaklumkan oleh ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ itu bahawa permohonannya untuk mendapatkan projek tersebut sudah diluluskan dan kini dalam proses mengeluarkan tender.

Beberapa minit kemu-dian, selepas berbual dengan ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ terbabit, mangsa menerima satu kiriman SMS daripada ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ itu meminta agar mangsa memasukkan RM1,400 ke dalam akaunnya sebagai wang proses.

Sinar Harian difahamkan, setengah jam selepas menerima pesanan itu, mangsa tanpa berfikir panjang pergi ke bank di bandar raya ini untuk memasukkan wang diminta.

Pada 3 April, mangsa menerima kiriman SMS daripada ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ itu lagi memaklumkan wang proses sudah diterima dan meminta agar mangsa berjumpa dengannya pada hari itu di pejabatnya.

Sejurus tiba di kaunter pejabat JKR itu, selepas menceritakan tujuannya kepada salah seorang kakitangan di situ, mangsa terkejut setelah diberitahu namanya tidak tersenarai dan lebih mengecewakan, nombor telefon yang kononnya milik ‘Ketua Penolong Pengarah JKR’ itu tidak benar sama sekali.

Menyedari dirinya sudah ditipu, mangsa me-ngambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu kelmarin sekitar jam 12 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintenden Azmi Adam ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
SH

Rahsia buruh enggan buka pintu terbongkar




KUALA TERENGGANU - Rahsia seorang buruh yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumahnya walaupun diarahkan berkali-kali terbongkar apabila polis menemui selaras senapang angin buatan sendiri di dalam biliknya di kampung Padang Ujib, Manir, dalam serbuan awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, senapang angin yang disangkut di dinding bilik rumahnya itu ditemui setelah pemeriksaan dijalankan di kediaman suspek, 28, kira-kira jam 5.20 pagi.

“Suspek yang tinggal bersendirian enggan membuka pintu walaupun diberi masa beberapa jam dan disebabkan kedegilan suspek, kami terpaksa mengambil tindakan memecahkan pintu rumah itu.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, kami berjaya menemui suspek yang ketika itu bersembunyi di dalam sebuah bilik di rumah terbabit dan turut menjumpai selaras senapang angin dipercayai buatan sendiri yang digantung didinding bilik tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Manoharan, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek kini ditahan di balai polis daerah Kuala Terengganu dan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen serta turut didakwa di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB).
SH

Nelayan dipenjara 12 tahun




GEORGETOWN - Seorang nelayan terlepas daripada maut di tali gantung kerana dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim, Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan Mohd Ali Abdullah, 48, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 21 Julai 2009 setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki kanabis seberat 1,150.14 gram, dua tahun lalu.

Mohd Ali mengaku melakukan kesalahan itu di rumahnya kira-kira jam 2.40 pagi, 21 Julai 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta yang sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sekurang-kurangnya 10 kali.

Tertuduh yang meringkuk dalam tahanan di penjara selama dua tahun, menerima peluang kedua apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan, memiliki dadah itu.

Terdahulu, dalam rayuan, peguam yang mewakili tertuduh, Syahril Rezwan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan supaya anak guaman berpeluang memulakan hidup baru bersama keluarga.

Tertuduh mempunyai dua anak lelaki berusia empat tahun dan lima tahun.

Menurut Syahril, anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Dalam pada itu, pengakuan bersalah tertuduh sebelum kes bicara bermula telah menjimatkan kos dan masa mahkamah.

“Oleh itu, saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kepada tertuduh menjalani kehidupan yang normal,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam lagipun tertuduh diberikan peluang kedua menerusi pertuduhan pilihan.

“Kesalahan dadah adalah serius dan hukuman yang dijatuhkan adalah untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat bahawa negara tidak bertolak ansur dengan kesalahan seperti ini,” katanya.

Mengikut fakta kes, hasil maklumat awam, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sebarang Perai membuat serbuan di sebuah rumah di Juru, Bukit Mertajam pada masa dan tarikh yang sama.

Dalam serbuan itu, polis menjalankan pemeriksaan di ruang tamu dan bilik pertama rumah tertuduh, tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke dalam bilik kedua di bahagian hujung rumah yang dalam keadaan berkunci dan ia dibuka oleh tertuduh tersendiri dijumpai barang-barang salah.

Daripada pemeriksaan bilik itu, polis menjumpai bungkusan daun kering yang disyaki ganja, sebilah pisau, sebatang lilin, satu pemetik api, bungkusan plastik lut sinar yang kosong, satu bongkah kayu, 12 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat dan dibaluti dengan daun kering disyaki ganja dan 31 peket plastik lut sinar berisi daun kering disyaki ganja.

Dalam pada itu, polis juga menjumpai satu beg plastik hitam di dalamnya mengandungi dua ketulan mampat dibaluti daun kering dan peket plastik lut sinar disyaki ganja di bawah katil dalam bilik itu.
SH

Dua beradik terlibat dadah diarah bayar denda



ALOR SETAR - Dua beradik yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam, atas dua pertuduhan berbeza, diarahkan membayar denda atau bakal berdepan dengan hukuman penjara.

Mohd Badrul Suhaidy Safie, 28, berhadapan dengan pertuduhan memiliki ganja seberat 6.87 gram dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1983) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Februari 2009, sekitar jam 12.45 pagi di hadapan rumah di Kampung Mergong Tengah, Alor Setar.

Majistret, Sasha Diana Sabtu mengarahkan Mohd Badrul Suhaidy membayar denda RM7,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang ditetapkan.

Sementara itu, Mohd Badrul Hafifi Safie, 26, pula dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali kerana dengan tanpa kebenaran memberikan ke dalam diri sendiri dadah berbahaya iaitu methaphetamine.

Mohd Badrul Hafifi didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Mei 2010 sekitar jam 2.45 petang di rumahnya di Perumahan Awam mergong, Alor Setar.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,200 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar jumlah ditetapkan selain akan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil.
SH

Hanyut 11 hari




GEORGETOWN - Empat nelayan warganegara Indonesia terpaksa mengalami detik yang menyeksakan selepas enjin bot menangkap ikan rosak sehingga mengakibatkan mereka hanyut dibawa arus laut selama 11 hari.

Bukan sahaja terpaksa tidur di tengah laut dengan bertemankan cahaya matahari dan kesejukan malam malah stok makanan yang dibawa mereka juga habis menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut selama 48 jam sebelum diselamatkan oleh Anggota Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Tekong bot, Irwan Shah Ridhwan, 27, bersama dengan Suhaimi Shah Putra, 21, Sulaiman Aliyas, 17, dan Adi Shah Putra, 17, dikatakan keluar ke laut pada 25 April lalu untuk menangkap ikan di sekitar perairan Belawan, Sumatera Indonesia.

Namun masuk hari keenam mereka menangkap ikan, enjin bot yang dibawa mereka mengalami masalah teknikal dan tidak boleh berfungsi sehingga membuatkan mereka terpaksa membiarkan bot itu hanyut dengan harapan akan dibawa arus ke pesisir pantai.

Irawan berkata, dia dan rakan-rakannya hanya bertawakal kepada tuhan sahaja dan tidak menjangka pada hari ke 10 sepasukan penyelamat daripada APMM datang memberikan bantuan kepada mereka.

“Kami hanya ingat mati sahaja kerana tidak tahu berapa lama lagi terpaksa berada di laut dengan keadaan lapar. Saya sendiri tidak tahu di mana kami berada ketika diselamatkan pasukan APMM.

“Memang amat perit kerana terpaksa berdepan dengan cuaca yang tak menentu selain hujan dan panas. Syukur kepada Allah kerana pasukan penyelamat dari Malaysia datang membantu menyelamatkan kami. Kalau tidak, saya tidak tahu apakah musibah seterusnya yang bakal menimpa,” katanya ketika ditemui media sebaik sahaja diselamatkan pasukan APMM.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim negeri Komander Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata operasi menyelamat empat nelayan bot itu dijalankan selepas APMM menerima maklumat daripada seorang nelayan tempatan yang menjumpai bot berkenaan pada 9.45 malam.
SH

Kehilangan haiwan ternakan terjawab




PADANG PELIANG – Kehilangan banyak ternakan penduduk di Kampung Bukit Tegor dan Kampung Bendang Bawah dekat sini akhirnya terjawab dengan penangkapan seekor ular sawa di sebuah reban ayam berhampiran rumah seorang penduduk kampung itu awal pagi semalam.

Sinar Harian difahamkan ular sawa seberat 20 kilogram dan panjang lebih lima meter itu berjaya ditangkap tiga penduduk kampung yang sedang bertugas di pondok kawalan Skim Kejiranan Polis Kampung Bukit Tegor.

Penduduk, Azami Kamis, 47, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila dia bersama dua rakannya berada di pos kawalan berkenaan bagi mengawasi kawasan kampung, namun tiba-tiba rakannya, Shahabudin Ahmad, 50, datang memaklumkan kejadian terbabit.

“Setelah mendapat maklumat mengenai ular terbabit yang didakwa sedang membaham ayam di sebuah reban menyebabkan saya bersama dua rakan lagi segera ke kawasan itu.

“Saya terkejut setelah melihat ular sawa sebesar itu berada di reban terbabit dan sedang membaham dua ayam ternakan milik rakan,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan pemilik reban itu bahawa mereka menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi ayam dan angsa sehingga pemilik reban itu cuba mendekati kawasan berkenaan.

“Saya dan rakan cuba menangkap ular itu dengan menggunakan tali, namun sukar apabila ular terbabit cuba bertindak dengan menggulung tali yang dijerut itu.

“Tangkapan ular ini adalah kes pertama memandangkan sebelum ini penduduk hanya berjaya menangkap ular yang bersaiz kecil sahaja,” katanya.
SH

Dapur musnah dihempap pokok




KEDAWANG - Keluarga mangsa ribut di Kampung Bukit Lembu, Mukim Kedawang mendapat perhatian Pejabat Daerah Langkawi yang tampil memberikan bantuan kepada mereka.

Akibat ribut, bahagian dapur rumah seorang ibu tunggal yang didiami bersama lapan anaknya musnah selepas dihempap pokok kekabu.

Jamilah Ibrahim, 48, kematian suami sepuluh tahun lalu manakala tiga daripada lapan anaknya masih bersekolah dan mereka hanya bergantung pada pendapatannya sebagai pekerja am di Galeri Laman Padi serta pendapatan anak sulungnya.

Anak mangsa berkata, kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu kira-kira jam 10 malam.

Berikutan kejadian itu, Ketua Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah menyampaikan sumbangan bernilai RM500 dari Tabung Bencana Pejabat Daerah Langkawi.

“Kami ada menyediakan bantuan kepada mangsa bencana dan mereka boleh memohon bantuan dari Tabung Bencana melalui ketua kampung dengan mengemukakan surat laporan polis mengenai kejadian bencana alam yang menimpa mereka,” katanya kepada wakil Sinar Harian.

Subhi berkata, beliau berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa.

“Masyarakat Langkawi perlu peka terhadap perubahan cuaca terutamanya ketika musim hujan dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.

Pejabat Daerah Langkawi turut menyampaikan sumbangan Tabung Bencana kepada sebuah keluarga di Kampung Tanjung di Mukim yang sama minggu lalu.

Pegawai dari Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pegawai dari Jabatan Pembangunan Persekutuan Langkawi sudah melawat rumah mangsa sejurus selepas kejadian bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Mansor Bahari.
SH

Dua beranak hilang




SUNGAI ULAR - Seorang wanita berusia 39 tahun bersama seorang bayi lelaki berusia satu tahun dua bulan yang masih belum ditentukan identiti kerana masih tidak mempunyai sijil kelahiran dan sebelum ini menerima bantuan dari Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Halim Hassan, Biro Agama Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pejabat Agama Islam Negeri Kedah (PADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain dilaporkan hilang dari penempatan baru mereka di Kampung Paya Tok Betok.

Menurut Halim, kehilangan mereka hanya disedari kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin apabila pegawai JKM datang ke rumah mereka untuk membuat pemeriksaan terhadap dua beranak itu.

Katanya, sebelum ini dua beranak itu tinggal di Desa Aman dan terpaksa hidup melarat dengan menagih simpati orang ramai.

“Sebelum ini dua beranak itu tinggal di Desa Aman dan tidak menerima sebarang bantuan. Mereka terpaksa pergi ke rumah jiran dan rakan untuk mendapatkan makanan. UMNO Bahagian Padang Serai bersama jabatan kerajaan terlibat serta NGO pergi ke rumah mereka dan berbincang untuk memindahkan mereka ke sebuah rumah di Kampung Paya Tok Betok di mana bantuan JKM akan diuruskan.

“Bagaimanapun, dua beranak itu didapati tidak berada di rumah dan kesemua barangan yang didermakan kepada mereka sebelum ini turut tiada. Saya dimaklumkan oleh jiran yang tinggal di kawasan itu, dua beranak ini keluar dari rumah dengan individu lain dengan menaiki teksi,” katanya.

Menurutnya, beliau bimbang dengan status anak wanita itu kerana sehingga kini bayi itu tidak mempunyai sijil kelahiran.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada JKM atau polis sekiranya ternampak dua beranak ini dengan seberapa segera kerana khuatir akan keselamatan mereka.

“Pada hari kedua dia tinggal di rumah barunya, JKM memberikan bantuan segera dengan memberikan wang tunai RM200 kepada wanita itu. Selain itu banyak barangan keperluan harian disumbangkan kepadanya oleh pihak yang prihatin. Tindakan meninggalkan rumah itu adalah tidak betul kerana dia seharusnya memaklumkan kepada saya.

“Kita tidak akan menahan mereka sekiranya tidak mahu tinggal di rumah yang disediakan tetapi tindakan meninggalkan rumah itu tanpa memaklumkan kepada sesiapa termasuk JKM adalah tidak wajar. Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat keluarga ini sila menghubungi JKM atau mana-mana balai polis berhampiran. Saya akan membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka,” katanya.
SH

Suspek sambung reman




IPOH – Seorang suspek yang ditembak polis pada 29 Mac lalu berhubung kes dadah disambung reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Permohonan reman dibuat oleh Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Inspektor Mohd Faiz Mohd Suid di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Suspek yang berusia 34 tahun itu pula diwakili tiga peguam iaitu M Kula Segaran, Augustine Anthony dan N Selvam.

Hadir sama di mahkamah, kakak suspek, K Santhana Kumari, 38, dan isteri suspek A Bama, 30.

Sementara itu, Kula Segaran dalam sidang media selepas itu memberitahu bahawa beliau telah meminta pihak mahkamah supaya membawa suspek ke hospital untuk menjalani pemeriksaan ke atas kecederaan di siku kiri dan tapak tangan kanan akibat tembakan yang dilepaskan.

Beliau berkata, Mohd Fitri kemudiannya membenarkan permohonan itu dan meminta suspek menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurutnya, pada 29 Mac jam 2.15 petang, suspek yang menggunakan kereta kakaknya cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya ketika melalui Jalan Tun Abdul Razak.

Katanya, akibat cubaan itu dua anggota polis yang menaiki motosikal mengejar suspek dan suspek kemudiannya ditembak di bahagian tangan.

Sementara itu, kakak suspek, Santhana Kumari berkata, keluarganya sedikit kecewa dengan pihak polis kerana didakwa tidak memaklumkan penahanan suspek.

Beliau berkata, peguam yang mewakili adiknya itu akan membawa perkara itu ke Parlimen dan satu surat akan dihantar kepada Ketua Polis Negara bagi meminta penjelasan terhadap tindakan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang dihubungi menafikan bahawa keluarga tidak dimaklumkan mengenai penahanan suspek.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, ada ahli keluarga yang hadir di tempat kejadian dan sedia maklum dengan kejadian itu.

“Sebagai rakyat, kita perlu tahu hak kita dan boleh minta peguam. Kedua-dua pihak (polis dan suspek) mempunyai hak masing-masing,” katanya.
SH

Ternakan mati keracunan




BERUAS – Sebanyak 12 ternakan lembu milik persendirian dan bantuan Risda di Kampung Gelung, dekat sini, disyaki mati akibat keracunan 4 April lalu.

Penternak, Abd Rahim Kamis, 53, berkata, kejadian disedari pada kira-kira jam 3.40 petang hari kejadian sewaktu dia sedang mengawasi ternakan itu yang meragut rumput di ladangnya.

Menurutnya, beberapa ekor lembu dilihat rebah dan mati di ladang berkenaan secara tiba-tiba.

“Saya terus menghampiri ternakan itu dan mengesyaki lembu berkenaan telah terminum air yang mengandungi racun.

“Saya telah membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Beruas dan menganggarkan kerugian kira-kira RM20,000,” katanya.

Abd Rahim berkata, siasatan masih dijalankan berhubung kematian 12 lembu berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Veterinar Daerah Manjung, Ab Wahab Hussin berkata, beliau telah dimaklumkan berkenaan kejadian daripada Balai Polis Beruas pada jam 4.20 petang hari kejadian.

Menurutnya, beliau ke lokasi kejadian bersama beberapa kakitangan lain untuk membuat tinjauan dan siasatan.

“Beberapa organ dari 12 lembu yang mati serentak itu telah diambil untuk dihantar ke makmal.

“Setakat ini tiada sebarang kepastian mengenai punca kematian dan ia masih lagi dalam siasatan Jabatan Haiwan Negeri Perak,” katanya.

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Changkat, Baharuddin Suib menasihatkan kepada semua petani agar lebih berhati-hati dalam penggunaan racun makhluk perosak di ladang mereka.

“Diharap penternak lebih bertanggungjawab terhadap ternakan mereka supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.
SH

Pemandu maut rempuh treler




KUALA KANGSAR –Seorang pemandu lori maut dalam satu kemalangan membabitkan lori dan sebuah treler di kilometer 256.1 Lebuh raya Utara Selatan, berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.35 malam itu. mangsa, Ong Kim Wooi, 46, mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, lori yang dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan sebelum merepuh bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan tiang simen cerucuk.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang ketika itu dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, pemandu treler, seorang lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Taman Perling, Johor Bahru itu telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mereka yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.
SH

Lelaki jatuh dari tingkat tiga Bangunan SPRM

SH: "
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat tiga Bangunan SPRM Jalan Cochrane, di sini.

Mangsa dipercayai Penolong Pengarah Kastam Pelabuhan Klang datang ke pejabat SPRM untuk berjumpa pegawai penyiasat, tetapi bukan untuk disiasat.

Unit Forensik tiba jam 12.30 tengah hari, sebelum pasukan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tiba 10 minit kemudian"

Pelajar ponteng disyaki minum arak




KEMAMAN – Akhlak pelajar di daerah ini semakin parah apabila segelintir mereka disyaki turut terlibat dengan gejala minum arak dengan penemuan botol dan tin minuman keras itu di beberapa lokasi panas tempat mereka melepak ketika ponteng sekolah.

Sinar Harian difahamkan port ponteng itu mula dikesan turut menjadi lokasi untuk remaja minum minuman haram itu sejak beberapa bulan lalu.

Susulan itu, bagi membendung masalah keruntuhan akhlak remaja terbabit yang berkait rapat dengan gejala ponteng sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga mengadakan Operasi Bersepadu Basmi Ponteng 2011 sehingga 17 pelajarnya yang cuba mengelak daripada mengikuti aktiviti kokurikulum berjaya dicekup semalam.

Cubaan pelajar terbabit yang memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan sekolah gagal, apabila kelibat mereka dikesan jawatankuasa gerak gempur basmi ponteng yang ketika itu sedang melakukan rondaan sehingga mereka panik dan bertindak melarikan diri ke dalam bas sekolah berdekatan.

Bagaimanapun, tindakan itu umpama ‘tikus masuk perangkap’ sekali gus memudahkan kerja jawatankuasa gerak gempur ponteng itu kerana dari awal bas itu diletakkan di situ sebagai persediaan mengangkut pelajar yang ditangkap sempena operasi bersepadu tersebut.

Selain sekolah, operasi bersepadu itu turut membabitkan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Geliga, Pondok Polis Kuala Kemaman, Rela Kemaman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kemaman dan 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sekitar termasuk JKKK Geliga Baru dan JKKK Rumah Murah Geliga.

Setiausaha PIBG merangkap Kaunselor SMK Geliga, Jamal Sidek berkata, ujian urin yang dilakukan ke atas pelajar terbabit melibatkan pelajar Tingkatan Satu seramai enam orang, Tingkatan Dua (lima) dan Tingkatan Tiga (enam) itu mendapati semua negatif dadah.

Menurutnya, pelajar yang ditangkap bertindak memanjat pagar di belakang sekolah kira-kira jam 1.40 tengah hari ketika pelajar lain sibuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur sebelum memulakan aktiviti kokurikulum.

“Setiap Selasa semua pelajar ini diwajibkan mengikuti aktiviti kokurikulum yang akan tamat antara jam 4.30 dan 5 petang.

“Jadi, bagi mereka tidak ingin mengikuti aktiviti kokurikulum ini mereka akan ponteng, sebab itulah kes ponteng pada setiap Selasa di sekolah ini agak tinggi berbanding hari biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, gejala ponteng aktiviti kokurikulum dipandang serius kerana markah bagi aktiviti itu akan dikira untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) nanti apabila pelajar tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kehadiran dalam kegiatan kokurikulum adalah sangat penting. Jadi, ibu bapa jangan salahkan sekolah jika markah kokurikulum anak rendah.

“Sebaliknya ibu bapa perlu pastikan anak mereka wajib hadir aktiviti kokurikulum ini setiap minggu,” katanya.



Ada kedai jual arak kepada pelajar

Mengulas mengenai gejala minum arak dalam kalangan pelajar di port ponteng, Jamal berkata, kes itu masih lagi disiasat.

“Pada masa sama, kita difahamkan terdapat kedai tertentu yang tanpa rasa bersalah menjual arak kepada pelajar pada Jumaat di belakang kedai. Difahamkan kedai terbabit terletak di Fikri. Jadi kita minta pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar yang terdiri daripada remaja Islam tidak terus hanyut.

“Dalam menangani masalah ini, kita minta ibu bapa turut memainkan peranan dengan memastikan anak mereka tidak terlibat dengan masalah ponteng yang seterusnya boleh mengakibatkan mereka terjebak dengan banyak gejala negatif lain termasuk minum arak, hisap dadah dan hidu gam,” katanya.

Sementara itu, semua pelajar yang ditangkap itu kemudian diarahkan menunaikan solat Zuhur sebelum mengikuti aktiviti kokurikulum.

Jamal berkata, semua pelajar itu akan diberikan kaunseling dan tegasnya operasi bersepadu itu akan diadakan secara berterusan.



Minta pantau kedai jual arak

Pihak berkuasa diminta mengambil langkah segera memantau kedai arak yang dipercayai bebas menjual arak murah sehingga memudahkan pelajar Melayu Islam untuk membeli minuman haram berkenaan.

Ketua Operasi Bersepadu Basmi Ponteng SMK Geliga merangkap Setiausaha JKKK Kampung Geliga Baru, Zurkanain Zubir berkata, premis perniagaan menjual arak itu perlu dipantau untuk memastikan ia memiliki lesen dan perlu diberi amaran agar tidak menjual minuman keras kepada orang Islam terutama pelajar.

“Selain memantau kedai jual arak, pihak berkuasa juga perlu memantau kedai menjual rokok yang masih tidak mematuhi arahan dengan menjual rokok mengikut batang kepada remaja di bawah 18 tahun.

“Tindakan pemilik kedai yang menjual rokok mengikut batang itu dan bukan secara sekotak membolehkan lebih ramai pelajar mampu untuk membeli rokok,” katanya.
SH

Padah merompak doktor




KOTA BHARU - Seorang lelaki didakwa menembak seorang doktor dan melarikan kereta doktor berkenaan di Kuarters Hospital Tanah Merah (HTM), tiga tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Anuar Ismail, 39, dari Kampung Kangkung, Pasir Mas itu, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan pada 20 Februari 2008, jam 8.45 malam itu, Anuar merompak Perodua Kancil, DAM 8668 dan melepaskan tembakan yang menyebabkan kecederaan Dr Mazlina Mat Daud, 36 di bawah Blok C, Kuarters HTM, Tanah Merah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pada prosiding jam 10 pagi semalam, tertuduh yang hadir berpakaian lokap hijau menafikan melakukan perbuatan itu dan memohon dibicarakan atas tuduhan berkenaan.

Azman kemudiannya mengajukan pertanyaan sama ada tertuduh mahu melantik peguam sendiri ataupun menyerahkan kepada mahkamah menyebabkan Anuar bersetuju mencari peguamnya sendiri.

“Mahkamah menetapkan tarikh lain untuk memberi peluang kepada kamu mendapatkan peguam dan jika tidak mampu, maka mahkamah akan melantiknya.

“Kesalahan ini membawa kepada hukuman mati dan peruntukkan undang-undang memberi hak untuk kamu mendapatkan khidmat peguam,” katanya.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki diburu polis kerana menembak seorang doktor serta melarikan keretanya, 20 Februari tiga tahun lalu.

Kejadian menyebabkan doktor klinik pergigian hospital itu mengalami kecederaan di paha selepas penjenayah berkenaan melepaskan tembakan ketika beliau berada dalam kereta.

Mangsa yang mengandung berkata, penjenayah berkenaan mengheretnya keluar bersama anak lelaki dan terus melarikan diri dengan keretanya.
SH

3 lagi mayat ditemui di pantai

myMetro | 3 lagi mayat ditemui di pantai: "NEW YORK: Tiga mayat ditemui di pantai di Long Island, di timur bandar raya New York, menjadikan jumlah penemuan mayat setakat ini kepada lapan orang di kawasan sama sejak Disember lalu.

Media tempatan mengaitkannya dengan perbuatan pembunuh bersiri, tetapi polis mendakwa mereka belum mempunyai suspek setakat ini. Empat mayat pelacur ditemui dekat Oak Beach di bandar raya ini Disember lalu dan mangsa kelima ditemui tidak jauh dari tempat itu minggu lalu.


Tiga lagi tubuh ditemui, semalam. “Mayat berkenaan kini berada di pejabat pemeriksaan petugas perubatan. Kaitan penemuan itu tidak dapat disahkan sehingga identiti mereka dikenal pasti,” kata jurucakap polis Suffolk. - AFP"

Dua lelaki jual ubat hapus kesan radiasi nuklear ditahan

myMetro | Dua lelaki jual ubat hapus kesan radiasi nuklear ditahan: "TOKYO: Polis Jepun, semalam menahan dua lelaki yang menjual ubat didakwa mereka dapat melindungi orang ramai daripada kesan radiasi nuklear.

Dua lelaki berkenaan iaitu peniaga makanan kesihatan, 50, dan pembantunya yang berusia 29 tahun didakwa menjual ubat berkenaan tanpa lesen, kata jurucakap Jabatan Polis Tokyo. “Iklan yang disiarkan mereka menyatakan ubat yang diberi nama Premium Zeolite boleh menyerap bahan radiasi dan membuangnya daripada tubuh manusia dalam tempoh enam jam melalui proses perkumuhan,” ujarnya.


Menurutnya, ubat itu terbukti tidak efektif untuk membebaskan bahan radiasi seperti mana didakwa. Dua lelaki terbabit menjual 10 botol ubat itu kepada tiga orang antara 17 Februari hingga 29 Mac lalu dengan harga 47,500 yen (RM1,705). - AFP"

Kereta terjunam enam tingkat

myMetro | Kereta terjunam enam tingkat: "MELBOURNE: Seorang wanita terselamat selepas kereta yang dipandunya terjunam ke bawah dari tingkat enam tempat letak kenderaan di bandar ini.

Wanita itu hanya mengalami luka di kepala selepas keretanya merempuh tembok penghadang sebelum terdampar di atas jalan raya.


Kereta itu terjatuh di atas lorong sempit di bandar raya ini.

Anggota bomba terpaksa memotong kenderaan itu bagi membantu mengeluarkan wanita berusia 41 tahun itu selepas bumbungnya remuk.


Dipercayai kereta wanita itu menghempap bumbung bangunan yang bersambung sebelum terjunam dengan bahagian penumpang hadapan menghempap jalan.


Anggota paramedik yang bergegas untuk membantu pemandu kereta itu terkejut selepas mendapati wanita terbabit hanya luka di kepalanya.

Anggota paramedik unit rawatan rapi, Matthew Riddle berkata: “Kereta itu terjunam di atas jalan mengenai bahagian penumpang depan dan wanita terbabit masih di tempat duduk pemandu, menahan dirinya supaya dia tidak jatuh.


“Jarak antara kereta dan dinding di kedua-dua sisi kenderaan adalah 30 sentimeter, jadi kami terpaksa berhimpit di celah ruang itu untuk menyelamatkan wanita berkenaan,” katanya."

Gempa bumi gegar Jakarta

myMetro | Gempa bumi gegar Jakarta: "JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.4 magnitud melanda Selat Sunda semalam, menggegarkan bangunan di bandar raya ini.

Agensi gempa Indonesia berkata, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 23 kilometer dan kira-kira 83 kilometer ke tenggara Ujungkulon, di Pulau Jawa. - Reuters"

32 terbunuh

myMetro | 32 terbunuh: "NEW YORK: Tiga puluh dua orang terbunuh apabila sebuah pesawat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhempas dalam ribut petir di Kinshasha, ibu negara Republik Demokratik Congo, semalam.

Seorang penumpang bagaimanapun terselamat dalam nahas antara paling buruk membabitkan pengangkutan badan dunia itu.


“Kami mengesahkan hanya seorang daripada 33 orang dalam pesawat berkenaan terselamat,” kata timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq.

Pesawat Fokker 100 yang dikendalikan oleh misi PBB di Republik Demokratik Congo, MONUSCO, terhempas setelah juruterbangnya cuba mendarat dalam hujan lebat,” kata saksi.


Ketua pasukan pengaman PBB, Alain Le Roy memberitahu pemberita, kemalangan mungkin berlaku kerana ribut, menyebabkan pesawat itu terbabas dari landasan lalu terhempas.


Menurutnya, siasatan sudahpun dimulakan.

Pesawat malang itu membawa 29 penumpang, kebanyakannya pegawai PBB dan anggota pasukan pengaman serta empat anak kapal dari bandar Kisangani ke Lapangan Terbang N’Djili, Kinshasha.


Kemalangan pesawat adalah perkara biasa di negara itu tetapi ini kali pertama ia membabitkan kapal terbang PBB. - AFP"

Sebak dibebas


AMPANG: Seorang ibu tunggal tiga anak dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada tiga tuduhan memiliki dadah, tahun lalu.
Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu terhadap Kasmah Yaacob@Suppiah, 47, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Kasmah yang kelihatan sebak dilihat memeluk ahli keluarganya. Sebelum ini, Kasmah didakwa bersama anggota polis, Asraf Rushdi Kamarudin, 29, dan juruteknik, Chan Chee Leong, 38 atas tuduhan memiliki 90 gram ganja, 0.13 nimetazapam dan 10.6 gram methamphetamine. Kesalahan dilakukan di bilik utama sebuah flat di Pangsapuri Mega Indah, Taman Mega Indah, di sini, pada jam 3.45 petang, 20 April 2010. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta itu yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum seumur hidup, dengan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 23 Februari lalu, Asraf dan Chan dilepas dan dibebaskan mahkamah terhadap pertuduhan sama di akhir kes pendakwaan manakala Kasmah diperintah membela diri.

Roszianayati dalam penghakimannya berkata, dakwaan bahawa tertuduh hanya tetamu di rumah yang mempunyai dadah terbabit berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Katanya, keterangan itu turut disokong pegawai serbuan yang bersetuju bahawa wang tunai RM7,000 yang dirampas daripada beg tangan Kasmah terletak di ruang tamu rumah menimbulkan inferens yang munasabah bahawa Kasmah adalah tetamu di unit itu dan bukan penghuni.


Mahkamah juga menerima keterangan anak perempuan Kasmah bahawa dia menghantar ibunya ke rumah terbabit untuk mengambil beberapa dokumen. Roszianayati juga berpendapat, polis yang terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam rumah menunjukkan Kasmah dikunci daripada luar oleh seseorang.

Kasmah diwakili peguam bela Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pihak pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abdul Zawawi.
myMetro | Sebak dibebas

Jaga mengaku rompak dipenjara tiga tahun

myMetro | Jaga mengaku rompak dipenjara tiga tahun: "KUALA LUMPUR: Tugasnya sebagai pengawal keselamatan sepatutnya membantu pihak berkuasa membanteras jenayah. Sebaliknya dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merompak secara berkumpulan ke atas sebuah stesen minyak dengan menggunakan parang, awal bulan lalu.

Akibat daripada perbuatannya itu, Mohd Hidir Bedilah, 37, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua tahun pengawasan polis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Hidir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap juruwang, Ismail Puasa, 30, dan rakan sekerjanya, Nurhozaymatin Tahmit, 22, dengan menggunakan sebilah parang dan melarikan wang tunai RM352 serta 12 kotak rokok jenama Dunhill.


Kesalahan dilakukan di sebuah stesen minyak yang terletak di Jalan Nipah, Cheras pada jam 7.18 malam, 6 Mac 2011.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau disebat jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, Hidir yang bertopeng didakwa masuk ke dalam stesen minyak sambil mengacukan parang dan meminta wang daripada mangsa."

Pusat judi guna kod kena serbu

SERDANG: Sebuah pusat judi komputer di Sungai Besi, di sini yang menggunakan kod tertentu untuk memasukinya diserbu selepas beberapa anggota polis menyamar sebagai pelanggan, malam kelmarin.
Serbuan kira-kira jam 10 malam hingga 1 pagi itu menyaksikan penahanan dua penjaga pusat berkenaan termasuk seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Indonesia masing-masing berusia 20-an.

Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintendan Mohd Uzir Othman berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan sembilan pelanggan berusia antara 20-an dan 40-an yang sedang leka berjudi.

Katanya, pihaknya juga merampas 19 komputer yang dijadikan sebagai mesin perjudian selain merampas wang tunai lebih RM500.

“Kami masuk ke pusat judi itu selepas menyamar sebagai pelanggan kerana mereka menggunakan kod tertentu dan hanya dibuka kepada pelanggan tetap,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di luar pusat itu bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, pusat judi berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Dua penjaga pusat itu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana pasport mereka tamat tempoh manakala pemilik pusat judi itu yang kini sedang dikesan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
myMetro | Pusat judi guna kod kena serbu

Panjat bumbung

GEORGETOWN: Seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan bertindak memanjat bumbung sebuah hotel untuk meloloskan diri daripada ditahan dalam satu operasi maksiat di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah (SPT), kelmarin.
Lelaki berusia 20-an itu adalah antara empat pasangan kekasih berusia antara 20 dan 30-an yang dicekup selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel di Seberang Jaya dan Butterworth.

Operasi cegah maksiat bermula dari jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 9 pagi itu membabitkan sepasukan 12 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Penolong Ketua Unit Operasi, Ibrahim Md Jaki.

Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Jaafar Ismail berkata, dalam pemeriksaan itu, beberapa hotel diperiksa selepas semakan di buku pendaftaran masuk mendapati terdapat pasangan mencurigakan.

Beliau berkata, di salah sebuah hotel, salah seorang pegawai penguat kuasa agama dimaklumkan seorang lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap bilik hotel untuk ke bumbung.


“Ketika lelaki berkenaan cuba melarikan diri, perbuatannya dilihat dan disedari sebelum dia disergah menyebabkannya terkejut dan menyerah diri.

“Pemeriksaan lanjut di bilik yang disewa lelaki berkenaan menemui seorang wanita dan soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku pasangan kekasih.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan kedua-duanya berpakaian lengkap,” katanya.

Jaafar berkata, dalam pemeriksaan di sebuah hotel di Seberang Jaya kira-kira jam 3 pagi, seorang lelaki yang hanya bertuala mengaku tinggal berseorangan di dalam bilik sedangkan teman wanitanya bersembunyi di bilik air.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu lelaki berusia 20-an terbabit enggan memberi kerjasama ketika diminta pegawai penguat kuasa agama, namun terpaksa akur selepas pelbagai jenis pakaian wanita ditemui dalam bilik berkenaan.


Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Butterworth sebelum laporan tangkapan dibuat di Balai Polis Butterworth untuk siasatan lanjut.


“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


“Semua pasangan itu dibebaskan dengan ikat jamin JHEAIPP selepas keluarga dan waris hadir menjamin mereka,” katanya.
myMetro | Panjat bumbung

Diperkosa bergilir-gilir dalam semak

myMetro | Diperkosa bergilir-gilir dalam semak: "KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang terlalu mudah mempercayai seorang lelaki yang juga jirannya akhirnya dirogol bergilir-gilir dalam satu kawasan semak di Batu Arang, Rawang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 15 tahun termakan pujuk rayu untuk mengikut lelaki terbabit yang berusia 26 tahun dengan alasan ingin dibawa bersiar-siar.


Menurut sumber, mangsa dan suspek bertemu di sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang sebelum dipelawa untuk dihantar pulang ke rumahnya di Taman Aman, Sea Park, Petaling Jaya dengan menaiki motosikal jenis RXZ.

“Mangsa kemudian bersetuju dan tidak mengesyaki apa-apa yang buruk bakal berlaku kerana mereka tinggal berjiran.


“Sebaik menunggang motosikal, suspek kemudian memberitahu ingin singgah sebentar di kawasan Chow Kit bagi berjumpa rakannya,” katanya."

Lapan pelajar ditahan

HULU SELANGOR: Lapan pelajar tingkatan empat dan lima yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dua daripada mereka cedera Jumaat lalu, ditahan polis, kelmarin.
Difahamkan, polis turut merampas dua topi keledar yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dalam pergaduhan itu.

Menurut sumber, dua pelajar mengalami kecederaan di muka dan hidung itu sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan dua kumpulan membabitkan lapan pelajar sebuah sekolah menengah dekat sini bergaduh yang berkesudahan dua daripada mereka cedera dan dimasukkan ke hospital.


Pergaduhan itu membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima sekolah yang sama berlaku di kawasan sekolah pada kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.
myMetro | Lapan pelajar ditahan

Murid 11 tahun kerap tertidur lepas kemalangan

BUTTERWORTH: “Selepas kemalangan itu, saya kerap tertidur dan ada ketika sehari hingga tiga kali saya tertidur. Malah, pernah ketika main permainan komputer, berbual-bual dan di dalam kelas saya tertidur tanpa disedari,” kata Muhammad Abrar Mazlan, 11.
Murid Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, dekat sini, itu mengalami masalah berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 15 Mac lalu apabila dilanggar kereta ketika hendak melintas jalan di Pekan Darat.

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Abrar cedera di kepala, patah tulang rusuk selain mengalami gegaran di kepalanya.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang, dia bersama rakan menunggang basikal untuk ke padang berdekatan rumahnya di Pekan Darat.

“Kami menaiki dua basikal, rakan saya sempat menyeberangi jalan, tetapi saya tidak sempat. Seingat saya, tiada kenderaan menghala ke arah saya, namun saya tidak ingat apa yang berlaku dan apabila sedar saya sudah ada di hospital,” katanya.


Ibunya, Norwatt Muhammad Yusuf, 42, berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya selama empat hari.

Katanya, sepanjang di hospital, anaknya lebih banyak tidur dan kurang makan. Gejala itu berulang selepas anaknya keluar hospital.

“Saya berjumpa doktor untuk mengetahui punca kelakuan peliknya dan doktor memberitahu kelakuannya sementara saja,” katanya.

Norwatt berkata, dia masih bimbangkan keadaan diri anaknya itu kerana Muhammad Abrar pernah beberapa kali mengadu sakit tulang rusuk selain trauma akibat kemalangan berkenaan.

“Dia ada mengadu sakit tulang rusuk di bahagian kanan yang patah dalam kejadian itu, tetapi sudah dicantumkan kembali melalui pembedahan,” katanya.
myMetro | Murid 11 tahun kerap tertidur lepas kemalangan

Lori ‘melekat’ belakang treler

KUALA KANGSAR : Seorang pemandu lori maut apabila lori dipandunya merempuh lalu ‘melekat’ di belakang sebuah treler membawa muatan tiang simen cerucuk dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 256.1, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran terowong Menora, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam, Ong Kim Wooi, 46, parah di seluruh anggota tubuhnya dan gagal dikeluarkan orang ramai berikutan tersepit dalam kenderaan terbabit.

Difahamkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa lebih satu jam untuk memotong komponen kepala lori yang remuk bagi mengeluarkan mayat mangsa. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa maut akibat cedera parah dalam kemalangan itu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 malam kelmarin, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang berada di hadapan lorong sama.

“Pelanggaran kuat itu menyebabkan mangsa dari Taman Perling, Johor Bahru itu maut di tempat kejadian.


Bagaimanapun, katanya, pemandu treler iaitu seorang lelaki India berusia 47 tahun tidak cedera dan kemalangan itu tidak membabitkan mangsa lain.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dituntut waris kira-kira jam 6 petang semalam.
myMetro | Lori ‘melekat’ belakang treler

‘Esok rumah kita kenduri’

MUAR: “Ayah, malam esok rumah kita kenduri,” itulah kata-kata terakhir Mohd Azrul Afiq Norman, 7, yang ditemui lemas ketika mandi di sebuah parit di Kampung Parit Ulu Semerah, Air Hitam Batu 18, berhampiran Batu Pahat di sini, semalam, dan kata-katanya itu menjadi kenyataan kerana keluarganya mengadakan majlis tahlil untuknya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu meluahkan kata-kata berkenaan kepada bapanya, Norman Waki, 45, ketika menikmati ayam goreng kegemarannya selepas pulang daripada kenduri di rumah datuknya yang terletak berhampiran.

Mangsa ditemui lemas kira-kira jam 5.30 petang di parit kira-kira 20 meter dari rumahnya.

Norman dan isteri, Norizah Miskam, 41, tidak menyangka kata-kata anak bongsu mereka itu bermaksud majlis tahlil untuk dirinya sendiri.

“Selepas kejadian barulah saya menyedari maksud kata-kata Azrul itu,” katanya.


Norman tidak menyangka tragedi itu menimpa anak bongsunya memandangkan Azrul sebelum ini tidak pernah mandi di parit berkenaan dan sekadar memerhati rakan lain melakukannya.

Menurut Norman, sejak tiga hari lalu, Azrul turut berubah menjadi pendiam sedangkan dia sentiasa periang dan menjadi penghibur keluarga.

Ibu saudara Azrul, Noraini Abdullah, 42, menyambut jasad murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama itu sejurus ditemui.

“Mereka menghulurkan tubuh Azrul dan saya yang berada di tebing menyambutnya dengan harapan dia selamat, namun luluh hati apabila mendapati dia sudah tidak bernyawa,” katanya.

Menurut Noraini, dia mengetahui kejadian malang itu apabila anaknya pulang ke rumah sambil menangis dan memaklumkan Azrul terjatuh ke dalam parit ketika mereka bermain.


“Ketika itu saya berada di rumah ibu bersebelahan rumah Azrul dan memaklumkan ibu arwah sebelum bergegas ke parit berkenaan.


“Kami cuba mencarinya dan kebetulan dua lelaki yang juga jiran kampung, Miskan Kusno serta Musman Ahmad (masing-masing berusia 61 dan 48 tahun) melalui jalan berkenaan,” katanya.


Menurut Noraini, selepas dimaklumkan, kedua-dua lelaki berkenaan terus terjun dan menyelam untuk mencari Azrul, tetapi gagal mengesan mangsa.


Beberapa minit kemudian mereka menemui mangsa terdampar di tepi parit, tidak jauh dari lokasi mereka menyelam.


Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Muar sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru selepas solat Zohor, semalam.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
myMetro | ‘Esok rumah kita kenduri’