Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Pemandu lori dituduh rogol 4 anak tiri



Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2011/04/02

Mangsa juga alami penganiayaan 

MELAKA: Seorang pemandu lori dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas empat tuduhan masing-masing merogol dan menganiayai secara seksual terhadap empat anak tirinya berusia antara empat hingga 10 tahun pada 2009 dan 2010.
Bagaimanapun, tertuduh, R Gunasilan, 29, mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah. Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau yang tidak diwakili peguam, dibicarakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.
Untuk pertuduhan pertama, Gunasilan yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan didakwa merogol mangsa berusia 10 tahun 10 bulan di sebuah rumah, di Jalan Tanjung Kling, dekat sini, pada November 2010, manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menganiayai dari segi seks terhadap mangsa berusia lapan tahun lima bulan di alamat dan tarikh sama. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazwani Ishak, tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh menetap bersama dengan mangsa dalam sebuah rumah. 

Bagaimanapun, Zaharah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan lelaki terbabit perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa dan ibunya. 

Zaharah kemudian menetapkan 3 Mei sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam. 
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Gunasilan dihadapkan di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar. Untuk pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa merogol seorang lagi anak tirinya berusia sembilan tahun tiga bulan di alamat dan pada tarikh sama. 

Beliau turut didakwa menganiayai dari segi seks terhadap mangsa berusia empat tahun sembilan bulan di alamat sama pada awal Februari 2009. 

Gunasilan yang memakai t-shirt hijau bagaimanapun, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan, namun dia tidak membantah permohonan pendakwaan supaya tidak diikat jamin. 

Abu Bakar kemudian menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen dan melantik peguam. 

Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala pertuduhan menganiayai dari segi seks pula mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 

Soal halal, haram serbuk kopi



KLUANG - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Kluang mendesak Jabatan Agama Johor (JAJ) lebih telus berkaitan soal halal dan haram ekoran isu serbuk kopi di kedai Kluang Rail Coffee yang disahkan mengandungi gelatin babi.

Pengerusi Perkasa Kluang, Ghazali Alwi berkata, tindakan menjalankan proses menyamak kedai berkenaan bukannya dapat menyelesaikan isu yang sedang hangat diperkatakan berkaitan kedai kopi berkenaan.

Menurutnya, ekoran tersebarnya kenyataan daripada JAJ yang mengesahkan serbuk kopi kedai kopi itu mengandungi gelatin babi, kebanyakan orang Islam di daerah ini rasa tertipu disebabkan apa yang telah dilakukan kedai kopi ini.

“Kita tertipu dengan kedai kopi yang tidak mempunyai logo halal malah tertipu dengan pekerja kedai kopi berkenaan yang kebanyakannya adalah Islam,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Melayu, kelmarin.

Ghazali berkata, JAJ juga perlu memainkan peranan kerana banyak kedai bukan Islam mengambil pekerja Islam untuk menghalalkan makanan yang belum tentu halal.

Beliau juga akan berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad terlebih dahulu kerana mahu mengadakan bantahan terhadap Kluang Rail Coffee berkenaan.

“Saya akan membuat bantahan dan terlebih dahulu saya perlu berbincang dengan pihak polis bagi mengetahui apakah syarat -syarat yang diperlukan sekiranya mahu membuat bantahan.

"Jika perlukan permit, saya akan membuatnya kerana saya mahu membuat bantahan ini secara aman.

“Malah, saya juga mahu menggabungkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di daerah ini bersama melakukan bantahan terhadap kedai kopi ini.

"Saya juga akan sentiasa membuat bantahan jika pihak keretapi masih membenarkan Kluang Rail Cofee beroperasi di kantin mereka,” katanya.

Adik hilang khabar berita



JOHOR BAHRU - Seorang suri rumah dari Taman Ungku Tun Aminah, di sini, memohon bantuan Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Gelang Patah untuk menjejaki adik lelaki yang hilang khabar berita sejak hampir seminggu lalu.

Ter Poi Chew, 49, berkata, adik lelakinya, Ter Pech Eng, 47, gagal dihubungi selepas tiba di Guangzhou, China, pada 25 Mac lalu bagi tujuan membeli stok barangan perniagaan menjual alat permainan yang diusahakan di Singapura.

Menurutnya, dia juga diberitahu adik lelakinya pemergian ke China juga untuk bertemu dengan kenalan perempuan yang jarang ditemui ketika dihubungi sekitar jam 12.30 tengah hari.

"Saya menghubunginya pada 25 Mac dengan :harapan dapat bertemu dan melawatnya di kediamannya di Geylang, Singapura, namun dimaklumkan dia berada di China atas urusan perniagaan dan bertemu kenalan.

"Pech Eng juga ada memaklumkan dia akan kembali ke tanah air pada 28 Mac, namun sehingga ke hari ini (semalam), dia masih belum tiba,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Gelang Patah, Taman Sutera Utama, di sini, semalam.

Poi Chew berkata, lebih membimbangkan terdapat seorang wanita warganegara China hadir ke premis perniagaan Pech Eng dan mengeluarkan kenyataan membimbangkan.

"Wanita itu memberitahu kepada adik, ‘bagaimana sekiranya Pech Eng sudah tiada lagi?’.

"Saya juga ada menerima panggilan dari seorang wanita negara berkenaan yang memberitahu perkara sama dan mengarahkan laporan polis dibuat, sekali gus menimbulkan rasa bimbang terhadap keselamatannya.

"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah pada hari ini (semalam),” katanya.

Katanya, buntu dengan usaha dilakukan tidak menampakkan sebarang hasil, dia hadir ke Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Gelang Patah untuk mendapatkan :bantuan khususnya menerusi penglibatan pihak berkuasa, Kementerian Dalam Negeri dan kedutaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng berkata, dia sudah menghubung Setiausaha Menteri Dalam Negeri untuk membolehkan usaha menjejaki Pech Eng diperluaskan di merata tempat.

"Saya juga sudah faks maklumat diri dan gambar Pech Eng kepada :kedutaan di China khususnya di Guangzhou dengan harapan pihak berkuasa di sana dapat membantu mencari adik lelaki Poi Chew,” katanya.

Dalang curi motosikal tumpas



LEDANG – Seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai mekanik ditahan kerana dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah Ledang sejak setahun, lalu.

Suspek utama berkenaan turut ditahan bersama empat rakan lain setelah didapati berkomplot mencuri motosikal yang dilaporkan hilang pada Mac lalu.

Kelicikan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, akhirnya berjaya menahan kesemua suspek pada 22 Mac kira-kira jam 11 pagi di sebuah rumah di Tangkak, di sini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Harun Idris berkata, empat lagi suspek berusia 16 dan 17 tahun.

Menurutnya, mereka merupakan pelajar sebuah sekolah di Sagil, Ledang dan menjadikan waktu selepas sekolah untuk menjalankan aktiviti mencuri motosikal.

“Kepakaran sebagai mekanik membolehkan dalang ini untuk meleraikan komponen motosikal yang dicuri sebelum dijual kepada pelanggan.

“Manakala, rangka motosikal ini dipercayai dibuang ke dalam sungai di Sagil sebagai cubaan untuk melupuskan bukti kegiatan mereka,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 dan Seksyen 414 kanun yang sama.

Sementara itu, dalam kejadian yang berasingan pada 23 Mac lalu, polis IPD Ledang berjaya menahan dua penganggur di Bukit Gambir kerana mencuri motosikal yang dilaporkan hilang pada 15 Mac lalu.

Kedua-dua suspek berusia 18 dan 19 tahun serta ditahan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama.

Harun berkata, selain itu, pada 24 Mac lalu pada jam 9.45 malam, seorang lelaki ditahan kerana mencuri motosikal dan merampas motosikal yang dilaporkan hilang pada 21 Mac di bandar Tangkak.

“Suspek merupakan penganggur berusia 16 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek tiga kes curi motosikal ini telah didakwa di mahkamah dan sebutan semula kes, 11 April depan.

Sanggup terjun bangunan



RENGIT - Seorang daripada tiga lelaki cedera setelah terjun dari tingkat atas rumah dua tingkat, di Taman Cahaya Purnama, Peserai apabila menyedari sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan ke kediaman berkenaan.

Polis membuat serbuan setelah mendapat maklumat rumah terbabit dijadikan pusat pengedaran dadah secara kecil-kecilan di kawasan sekitar Peserai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, serbuan dilakukan pada 30 Mac lalu, jam 5.30 petang dan menahan tiga lelaki berumur sekitar 22 hingga 35 tahun.

Menurutnya, semasa serbuan terbabit juga ada cubaan melarikan diri apabila dua daripada tiga lelaki berkenaan memecah siling dan bumbung rumah tetapi gagal atas kecekapan pasukan polis dan bantuan awam.

“Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya menemui beberapa jenis dadah yang dipercayai sudah siap dipaket untuk edaran kawasan sekitar dan jumlah dadah yang berjaya dirampas ialah RM2,500.

“Dadah berkenaan adalah 15 paket lut sinar dadah jenis heroin (48.3 gram); satu paket lut sinar daun kering ganja (0.82 gram), lapan biji pil Eramin 5 dan satu paket hablur syabu (0.2 gram),” katanya pada sidang media di Balai Polis Rengit, semalam.

Beliau berkata, salah seorang suspek berkenaan mempunyai lima rekod kesalahan lampau termasuk empat kes jenayah dan satu kes berkaitan dadah selain sememangnya dikehendaki polis sebelum ini.

Adnan berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada seorang peniaga, pemandu lori dan penganggur ini akan dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Beliau berkata, turut dijumpai semasa pemeriksaan menyeluruh di rumah dua tingkat berkenaan ialah alat memproses dadah yang dipercayai digunakan oleh kumpulan suspek ini.

“Semua mereka ini akan direman sehingga 6 April ini, juga dipercayai kumpulan pengedar yang aktif sebelum ini dan ia kembali aktif apabila salah seorang yang menjalani hukuman sebelum ini telah dibebaskan.

“Polis mengucapkan terima kasih dengan segala aduan dan sumbangan orang ramai dalam membantu mengesan dan menjalankan siasatan sehingga tertangkap suspek berkenaan,” katanya.

Bapa, anak curi kereta



KLUANG - Bapa dan anak serta seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman buang daerah adalah antara enam suspek yang ditahan polis pada serbuan 29 Mac lalu, kerana disyaki terbabit dalam sindiket mencuri kereta lama jenis Datsun dan Nissan Sunny di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, polis berjaya menahan anak beranak itu di Kampung GSA, Chamek yang sedang sibuk meleraikan dan memotong kenderaan jenis lama yang dicuri.

“Hasil soal siasat terhadap dua beranak itu, polis sekali lagi membuat serbuan di lokasi berhampiran dan menahan dua lelaki yang menganggotai sindiket berkenaan.

“Seorang daripada dua suspek itu adalah pemuda berusia 21 tahun dari Perak yang sedang menjalani hukuman buang daerah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Katanya, polis juga menhan dua lagi ahli sindiket berkenaan yang sedang bermain snuker sekitar daerah ini kelmarin (30 Mac) hasil siasatan yang dilakukan.

Beliau berkata, kesemua suspek terbabit berusia antara 17 hingga 45 tahun dan dipercayai menjadi ahli sindiket mencuri kenderaan jenis lama untuk dileraikan sebelum alat ganti dan komponennya dijual kepada pelanggan.

“Dalam serbuan pertama pada Rabu lalu, polis turut merampas dua rangka kereta jenis Datsun dan Nissan Sunny bersama komponen dan enjinnya serta peralatan untuk memotong dan meleraikan kereta.

“Kita difahamkan alat ganti kenderaan lama jenis itu dikatakan sukar dicari dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap mereka,” katanya.

Mohd Fawzi berkata, anggota sindiket curi kereta lama berkenaan mewujudkan ‘bengkel bergerak’ di beberapa lokasi sekitar daerah ini yang dilengkapi :peralatan memotong dan meleraikan kenderaan bagi menyukarkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, dengan penahanan itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes kecurian kenderaan lama di daerah ini.

“Hasil siasatan, suspek mengaku menyasarkan kenderaan yang diletakkan di beberapa kawasan pusat beli belah daerah ini selain turut terbabit dalam jenayah mencuri motosikal.

“Kesemua suspek kini direman selama lima hari daripada tarikh ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Remaja cedera langgar pokok tumbang



TAMAN KEMPAS – Gara-gara tidak menyedari sebatang pokok berukuran lebih 10 meter tumbang merintangi jalan utama ke Taman Kempas, seorang remaja berlumuran darah di bahagian muka akibat terpelanting setelah melanggar sisa pokok berkenaan dalam kejadian jam 6.30 pagi Rabu lalu.

:Penduduk, Ghazali Abu Bakar, 63, berkata, dia menyedari pokok di hadapan rumahnya di sepanjang laluan masuk ke taman perumahan itu tumbang sebaik sahaja ingin keluar menunaikan solat subuh di surau.

“Saya berhajat ingin meminta pertolongan penduduk lain untuk menutup laluan masuk ke jalan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini selepas pulang solat berjemaah.

“Tetapi, terperanjat saya apabila mendapati seorang remaja yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim mengalami kemalangan akibat terlanggar dengan pokok itu,” katanya.

Ghazali berkata, kecederaan di bahagian muka remaja tingkatan lima itu menyebabkan darah tidak berhenti-henti mengalir dan dia bersama penduduk lain cuba menenangkannya yang mengerang kesakitan.

Menurut Ghazali, anaknya memaklumkan bahawa kejadian pokok tumbang itu berlaku pada jam 2 pagi.

:Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Komuniti, Saiful Azli Ahmad berkata, sebaik sahaja mengetahui mengenai kejadian itu, beliau terus menghubungi Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani bagi memohon kerja pembersihan dilakukan.

“Saya turut memaklumkan kepada Ahli Majlis berkenaan supaya memantau mana-mana pokok yang kelihatan condong atau mahu tumbang supaya turut sama dipotong dalam kerja pembersihan itu.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan pagi hari kejadian banyak kes melibatkan bencana ribut turut berlaku di beberapa kawasan lain dan permintaan itu akan dilaksanakan kemudian,” katanya.

Saiful turut memaklumkan, beliau turut menghubungi Telekom Malaysia bagi memaklumkan masalah telekomunikasi kerana kejadian pokok tumbang itu turut menyebabkan gangguan berkenaan.

Menurutnya, kerja pembersihan selesai kira-kira jam 9.30 pagi selain meminta supaya pihak berkenaan menyediakan lampu jalan serta menebang pokok yang mudah patah dan tumbang di laluan alternatif ke Tikam Batu dan Pinang Tunggal itu bagi mengelakkan sebarang kejadian sama berulang.

Pelajar politeknik maut



KULIM - Seorang Pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Izzat Fazree Fazlon, 23, maut apabila motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggangnya merempuh sebuah motosikal jenis Kawasaki yang membelok masuk ke Taman Bidara, kira-kira jam, 4.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Trafik Kulim, Asistant Superintendan, Ismail Ayob berkata, seorang mangsa mengalami cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang yang berusia 24 tahun mengalami cedera parah.

“Dari siasatan dijalankan polis mendapati kedua-dua motosikal ini dari arah simpang tiga Keladi.

"Apabila tiba di persimpangan Taman Bidara, penunggang motosikal Kawasaki cuba membelok. Mangsa yang datang dari arah belakang dilaporkan cuba memotong di sebelah kanan dan mereka bertembung," katanya.

Ismail berkata, akibat rempuhan kuat, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal Kawasaki parah.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kulim untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang parah dikejarkan ke hospital sama sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya.

Ismail menasihatkan kepada semua penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

“Tidak perlu menunggang motosikal dengan laju dan melulu kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan.

“Sekiranya penunggang motosikal takut kelewatan, mereka seharusnya keluar lebih awal. Dengan cara ini mereka tidak akan tergesa-gesa ketika menunggang motosikal, “ katanya

Otak anggota Rela bersepai



SELAMA - Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di Kampung Sungai Batu mati dalam keadaan ngeri dengan serpihan otak mangsa bertaburan di lantai dan siling bilik hadapan rumahnya, kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketika kejadian mangsa, Abd Hamid Abdlah, 49, dikatakan sedang mencuci laras senapang miliknya seorang diri.

Setiausaha UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, yang juga wakil kepada Penyelaras Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, Hadzir Abdullah berkata, isteri mangsa, Norhafiza Hamid, 42, memaklumkannya, mangsa sempat bergurau dan bersarapan pagi bersama keluarga sebelum naik ke rumah.

“Tiba-tiba mereka terdengar bunyi letupan. Isteri mangsa kemudiannya mengarahkan anak perempuan mereka berusia 17 tahun untuk melihat apa yang berlaku.

“Anak mangsa kemudiannya menjerit apabila melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah, “ katanya.

Hadzir berkata, beliau dimaklumkan penduduk kampung, mangsa sedang mencuci senapangnya ketika kejadian berlaku kerana terdapat rotan yang digunakan untuk mencuci laras senapang berada di tempat kejadian di mana mayatnya ditemui.

Mangsa mempunyai empat anak berusia 21, 17, 12 dan tujuh tahun.

Waris mangsa, yang berada di tempat kejadian Abdul Aziz Othman berkata, dia bersama keluarganya ke rumah mangsa sehari sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, mangsa mengalami penyakit sukar tidur dan dengan kehadiran keluarganya diharap dapat menggembirakan mangsa.

“Saya memang dengar bunyi letupan seperti tayar motosikal meletup dan kemudiannya memeriksa di luar rumah. Saya masuk ke dalam rumah dan membuat pemeriksaan.

“Saya terkejut apabila ternampak mangsa dalam keadaan parah dan berlumuran darah. Dalam keadaan cemas saya berlari turun ke bawah dan meminta bantuan jiran. Mangsa tidak dapat di selamatkan kerana mengalami kecederaan parah di kepala, ” katanya.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, mangsa mati di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah di kepala.

“Sehingga kini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang faktor jenayah berlaku. Polis akan meneruskan siasatan mengesahkan motif kematian mangsa. Mayat mangsa dihantar ke hospital Kulim untuk di bedah siasat, ” katanya.

Arwah tunjuk banyak perubahan



CHANGLUN - ”Ketupat kacang yang arwah minta saya buat untuk persiapan kenduri doa selamat yang ingin diadakan pada Khamis malam Jumaat lalu di rumah kami bertukar kepada majlis tahlil untuknya,” kata Marina Darus, 43, isteri kepada Allahyarham Abd Halim Hat, 52.

Suaminya itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar malam kelmarin selepas tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari bumbung semasa membantu membaiki rumah seorang rakannya, pagi kelmarin.

Marina yang ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Eriang dekat sini semalam, berkata, arwah suaminya seorang tukang rumah, namun pada masa kejadian dia bercuti dan hanya pergi membantu seorang rakannya membaiki rumah tidak jauh dari rumah mereka.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana sedang bekerja dan hanya dimaklumkan oleh adik saya, Mariani Darus mengenai kejadian yang menimpa suami.

“Walaupun arwah banyak menunjukkan perubahan sebelum pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya, namun perubahan itu langsung tidak disedari dan hanya terlintas difikiran saya selepas majlis pengebumiannya semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, bermula dengan insiden kambing peliharaan suaminya mati, arwah mula memberitahunya yang dia tidak mahu lagi menjaga kambing disebabkan kambing peliharaannya selalu mati dan kemungkinan dia tidak sesuai untuk menternak haiwan itu.

“Saya begitu pelik kerana sebelum ini arwah sangat berminat menjaga kambing, namun tiba-tiba kecewa kerana kambingnya mati. Kemudian dia juga ada memberitahu teringin makan mi goreng seperti yang saya masak pada malam sebelum kejadian, tetapi saya tidak larat untuk memasaknya pada waktu itu.

“Jadi keinginan mi goreng yang dia mahu makan saya sediakan semasa sarapan pagi sebelum kejadian pagi kelmarin. Namun apa yang memilukan saya, jika sebelum ini setiap kali hendak bersarapan dia pasti akan mandi dan solat subuh terlebih dahulu, tetapi pada pagi itu selepas bangun tidur dia terus makan mi goreng itu dua, tiga suap sebelum mandi,” katanya.

Malah Marina berkata, sehari sebelum kejadian juga, arwah ada meminta dia menyediakan ketupat untuk dijadikan hidangan untuk kenduri doa selamat yang ingin diadakannya pada malam kelmarin.

“Anak sulung, Noraida Abd Halim, 25, membantu saya membuat ketupat memandangkan saya tidak sempat melakukannya seorang diri kerana bekerja.

“Namun tidak sempat ketupat direbus, dia pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata. Saya tidak sangka pelbagai perubahan yang ditunjukkan arwah sebenarnya satu petanda dia akan pergi selama-lamanya dan kenduri doa selamat itu sebenarnya adalah majlis tahlil untuk dirinya,” katanya.



Jatuh timpa rakan



Rakan arwah yang juga pemilik rumah tempat arwah membaiki bumbung itu, Md Khir Ahmad, 59, berkata, dia tidak sangka kejadian terbabit akan menimpa rakannya itu.

Menurutnya, pada masa kejadian, arwah tiba-tiba jatuh dari bumbung dan terus menimpa atas bahunya yang ketika itu berada di atas tangga dalam bilik tempat mereka membaiki bumbung rumah itu.

“Saya tidak sempat hendak berbuat apa-apa memandangkan dia jatuh dengan cepat dan terus tidak sedarkan diri.

“Saya hanya cedera ringan sahaja namun turut dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut pada masa itu. Bagaimanapun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kepada kami kerana sewaktu membuat kerja membaiki rumah kami berbual seperti biasa,” katanya.

:Sementara itu, jenazah Abd Halim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titi Kerbau di sini, pagi semalam.

Turut hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dan kenalan arwah.

Bakar kereta elak dikesan



SEREMBAN – Pihak polis tidak menolak kemungkinan besar sebuah kereta yang ditemui rentung kelmarin, mempunyai kaitan dengan kes samun mikro-cip di Senawang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, siasatan terhadap kes berkenaan masih dijalankan.

“Sebuah kereta terbakar, dipercayai ada kaitan dengan kes samun di kawasan Perindustrian Senawang, berhampiran kilang On Semiconductor pada 30 Mac lalu.

“Walaupun ini kejadian kedua, kami berharap akan menemui beberapa lagi petunjuk bagi menyelesaikan kes ini,” katanya kepada media.

Menurutnya, kereta terbabit dijumpai di sekitar ladang kelapa sawit di Labu oleh orang awam.

“Kita menerima laporan ada kereta terbakar kira-kira jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari,” katanya.

Difahamkan, kereta jenis Naza Ria yang hangus terbakar adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kajang pada 30 Mac 2011, hari yang sama kes samun berlaku.

Dua hari lalu, sebuah lori keselamatan yang membawa muatan barang elektronik dirempuh sebuah treler, dipercayai sebagai taktik menyamun mikro-cip bernilai lebih RM1 juta.

Padah merogol adik saudara



AYER KEROH - Seorang askar Kem Komando mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana merogol adik saudaranya, minggu lalu.

Tertuduh, Syamsul Ab Wahab, 25, dari Masjid Tanah membuat :pengakuan itu selepas faham pertuduhan yang dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Katar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol seorang perempuan Melayu berumur 14 tahun tujuh bulan di Taman Rebana Jernih, kira-kira jam 3.30 petang pada 23 Mac 2011.

Anak bongsu itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

“Jika mahkamah membenarkan jaminan, saya menawarkan jaminan RM20,000 diberikan terhadap tertuduh,” katanya.

Abu Bakar kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin.

Beliau turut menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar laporan perubatan.

Sementara itu, di kamar Mahkamah Sesyen 2, seorang penganggur yang berdepan dua pertuduhan dituduh merogol seorang juvana pada 6 Mac lalu.

Alif Mohamad, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Alif didapati merogol seorang perempuan berumur 13 tahun empat bulan di Tanjung Beruas, Melaka Tengah kira-kira jam 2.30 pagi, 6 Mac lalu.

Hakim Zaharah Hussain membenarkan jaminan RM8,000 selepas Ifa Sirrhu menawarkan jaminan RM10,000 terhadap mahkamah.

Zaharah yang menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan bagi lantikan peguam turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekal

Rantai leher nenek diragut



SIKAMAT – Seorang nenek di Kampung Bukit Merbah di sini, menjadi sasaran peragut ketika leka menyapu sampah di hadapan rumahnya apabila seorang lelaki muncul secara tiba-tiba meragut rantai lehernya.

:Kejadian berlaku jam 3 petang itu menyebabkan mangsa, Mariam Madon, 68, mengalami kerugian dianggarkan RM1,500.

:Menurutnya, kejadian itu membuatkannya trauma kerana tidak menyangka walaupun berada di kawasan rumah sendiri dan dikelilingi jiran lain, penjenayah masih berani meragut rantai lehernya. 
“Secara tiba-tiba seorang lelaki muda merentap rantai leher di bawah tudung, sementara seorang rakannya menunggang motosikal dan menunggu di bawah.

“Kejadian berlaku terlalu pantas tetapi saya bersyukur kerana tidak dicederakan oleh mereka dan laporan polis telah dibuat di balai polis berhampiran,” katanya.

:Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jaafar Sidek Abdullah ketika ditemui berkata, sebelum ini kejadian ragut tidak pernah berlaku di kawasan berkenaan.

:Menurutnya, penduduk perlu berjaga-jaga dan berhati-hati kerana penjenayah kini semakin berani.

“Mereka mempunyai pelbagai cara melakukan jenayah. Sasaran utama adalah warga emas dan kanak-kanak kerana dua golongan ini adalah individu yang tidak mampu melawan,” katanya kepada Sinar Harian ketika melawat Mariam di rumahnya bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail yang hadir menyampaikan sumbangan.

:Sehubungan itu, Jaafar berharap polis lebih kerap mengadakan aktiviti rondaan terutama pada waktu pagi dan tengah hari ketika orang lain sibuk bekerja.

:“Ketika itu, kawasan perumahan sunyi dan penjenayah akan mula mencari sasaran,” katanya.

Geng Rantau Sabak tumpas




SABAK BERNAM – :Enam kes samun berkawan tanpa senjata dan empat kes pecah rumah di Sabak Bernam serta dua kes pecah rumah di Hutan Melintang, Perak berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya tiga lelaki dan seorang wanita daripada lapan suspek Geng Rantau Sabak.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata, kejadian samun dan pecah rumah itu menyumbang kepada peningkatan kes jenayah di Sabak Bernam di mana suspek warga asing ini mensasarkan pemilik ladang dan pemilik kebun kelapa sawit di kawasan perkampung sebagai mangsa.

“Kita menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan, menjejak seterusnya menangkap suspek yang terlibat dalam jenayah ini.

“Hasil kerjasama dan kerja keras semua anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam dan balai, kita berjaya menangkap empat suspek ini antara 2 dan 3 Mac 2011, lalu, di sekitar Sabak Bernam.

“Walaubagaimanapun, empat lagi saki baki Geng Rantau Sabak yang diketuai Samaldin Muda atau Din Lombok yang memiliki kad pengenalan palsu, masih lagi diburu untuk membantu siasatan dan mereka adalah Suhardi atau lebih dikenali sebagai Aweng, 25, Genoh, 25, Gadi atau Ghani 23 dan Jas, 22,” katanya.

Beliau berkata demikian dpada satu sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.

Noor Mushar berkata, modus operandi penjenayah terbabit adalah melakukan pembahagian tugas sesama mereka sebelum melakukan samun.

Katanya, suspek melakukan jenayah sekitar jam 3 ke jam 6 pagi dengan memotong nako tingkap untuk masuk ke rumah mangsa.

“Suspek mengikat ibu jari kaki dan ibu jari tangan mangsa menggunakan wayar dan mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya melawan sebelum mula menggeledah rumah mangsa untuk mencari barang berharga seperti telefon bimbit, barang kemas, laptop dan wang tunai serta melarikan kenderaan mangsa.

“Kes terakhir mereka dilakukan di Parit 15 Sugai Panjang pada 1 Mac lalu, di mana sebuah kereta jenis Proton Wira dilarikan bersama wang tunai RM2,500, lima telefon bimbit dan barang kemas.

“Walaubagaimanapun, kenderaan itu berjaya ditemui semula. Dianggarkan jumlah kerugian bagi keseluruhan kes yang dilakukan kumpulan ini adalah RM150,000,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, tiga kenderaan mangsa yang dilarikan dalam tiga kes samun berasingan iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga, Wira dan Avanza yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula apabila kenderaan itu ditinggalkan tiga ke empat kilometer dari rumah mangsa.

Peniaga warga asing diserbu



SELAYANG – Sebilangan peniaga warga asing di Pasar Borong Selayang, di sini berjaya meloloskan diri dalam operasi bersepadu dikelolakan pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama agensi terlibat, awal pagi semalam.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, aksi berani mati mereka melintas laluan utama tiga lorong yang sibuk bagi kedua-dua hala Jalan Ipoh, dapat dilihat dalam serbuan sekitar jam dua pagi itu.
Beberapa kumpulan dipercayai warga Myanmar dan Bangladesh sempat melarikan diri ke Flat Desa Bakti, Kuala Lumpur, kira-kira satu kilometer dari ‘port’ perniagaan kaki lima mereka.
Pengarah Jabatan Penguat kuasa dan Keselamatan MPS, Azmi Ismail ketika diminta mengulas hasil operasi itu, bagaimanapun menyifatkan usaha kali ini satu kejayaan dari segi moral agensi terlibat.
“Selalunya sukar kita ambil tindakan kepada peniaga warga asing ini kerana tempat perniagaan mereka terletak di sempadan antara MPS dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Bagaimanapun, dalam ops ini kita berjaya mencekup 69 warga asing bekerja dan berniaga di pasar ini, manakala 12 ditahan Jabatan Imigresen kerana langsung tiada dokumen,” katanya.
Azmi berkata demikian selepas operasi berkenaan disertai 80 anggota penguat kuasa MPS, 50 penguat kuasa DBKL, 145 Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan 20 anggota Jabatan Imigresen serta polis, semalam.
Turut serta dalam operasi berkenaan ialah Pegawai Rela Daerah Gombak, Lt Kol (Rela) Jaafar Abd Rahim dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Selayang, Ramly Atan.
Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya akan membuat pantauan 24 jam selama sebulan susulan operasi ini.
“Terdapat cadangan supaya port peniaga Myanmar ini dipenuhkan dengan aktiviti seperti konsep pasar uptown dimulakan dari jam 9 malam hingga 9 pagi di sini.
“Jika cuti umum atau hujung minggu kawasan ini penuhkan, mungkin peniaga asing tidak akan ada tempat berniaga lagi,” katanya.
Dalam operasi itu, hampir satu lori MPS penuh dengan jualan sayuran disorok dan disimpan warga asing yang sempat melarikan diri, dirampas pihak MPS.

Pejabat Ahli Parlimen terima banyak aduan.
Sementara itu, Ramly berkata, pihaknya sering menerima aduan berikutan aktiviti perniagaan warga asing terbabit.
“Isunya, mereka ini memegang dokumen UNHCR menyebabkan golongan pelarian ini tidak boleh dikenakan tindakan dihantar ke depoh tahanan.
“Sedangkan kegiatan perniagaan mereka menjejaskan peniaga tempatan. Ramai gemar membeli barangan seperti sayur-sayuran dengan mereka kerana harga dijual lebih murah berbanding dijual peniaga tempatan,” katanya.
Ramly berkata, jualan warga asing lebih murah berikutan mereka hanya berniaga di kaki lima tanpa perlu membayar lesen dan tapak sewa, berbanding harga jualan warga tempatan lebih tinggi bagi menampung kos itu.
Katanya, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen sudah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Imigresen berhubung isu ini dimaklumkan perniagaan dibenarkan kepada warga asing atas dasar moral.
“Tetapi, buat masa ini kita tidak benarkan warga asing berniaga kerana tempat peniaga tempatan pun tidak mencukupi, malahan jalan dikuasai peniaga warga asing sekarang agak sempit.
“Tempat parkir kenderaan juga tidak mencukupi. Lagi isu ditimbulkan peniaga asing ini berkaitan kekotoran kerana selepas berniaga mereka tinggalkan sampah,” katanya.

Kurangkan rungutan
Ditanya cadangan pihaknya supaya isu warga asing ini tidak berterusan, Ramly berkata, antara pilihan adalah supaya pasar terbabit ditutup.
Menurutnya, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan Pasar Borong Selayang hari ini bukan pasar borong sebenar kerana ia sudah dipindahkan ke Pasar Borong Kuala Lumpur.
“Kita mahu kurangkan rungutan. Mungkin peniaga tempatan ada di situ sekarang boleh dipindahkan jika Pasar Borong Kuala Lumpur itu dibesarkan.
“Selain itu, kita lihat semasa ada penguat kuasa, warga asing ini tidak berniaga. Sebab itu kita harap pantauan 24 jam dilakukan pihak MPS bersama DBKL,” katanya.
Ramly berkata, biarpun perlu pihak berkuasa tempatan perlu membayar kos tambahan kawalan 24 jam di kawasan berkenaan, tetapi ia tidak dilihat sebagai bebanan berbanding kos terpaksa dikeluarkan bagi menangani masalah ditimbulkan peniaga warga asing.

Isteri pegawai kanan Kastam dibebaskan

SH


KUANTAN - Pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pahang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama suaminya yang juga pegawai kanan agensi itu dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan ke atasnya selesai dijalankan, semalam.

Wanita berusia 50 tahun itu ditahan 29 Mac lalu di rumahnya di Temerloh dan di direman empat hari, sebelum dibebaskan semalam.

Suaminya yang bergelar Datuk berusia 51 tahun masih ditahan selepas SPRM mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman selama empat hari lagi bermula semalam hingga 4 April depan bagi membantu siasatan.

Perintah lanjutan reman terhadap Datuk itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abdul Aziz.

Sebelum itu, SPRM memohon reman ke atas pegawai kanan itu dilanjutkan selama lima hari bagaimanapun peguam pasangan tersebut, Mohamed Sazali Abdul Aziz berpendapat tempoh itu cukup sekadar tiga hari.

Mengambil kira permohonan kedua-dua pihak, Nordiana memutuskan tempoh reman dilanjutkan selama empat hari.

Pasangan tersebut dikatakan cuba mengelak daripada berhadapan dengan pihak media.

Tindakan itu gagal apabila juru gambar sudah bersedia dan sempat merakam kelibat pasangan itu.

75 rumah rosak

SH


SELANCAR - Penduduk di kuarters kakitangan kilang Felda Selancar 3, di sini, berhadapan detik mencemaskan apabila sebahagian besar atap, bumbung dan zink rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, sebanyak 75 rumah mengalami kerosakan, selain harta benda turut terjejas apabila angin kencang didakwa berlaku secara tiba-tiba.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, ribut terbabit merupakan kejadian terburuk pernah berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi hanya melibatkan kecederaan kecil kepada penduduk.

“Saya difahamkan, seorang pelajar dan ibu mengandung terhumban dari motosikal akibat tempias daripada angin kencang, manakala seorang peneroka tercedera di bahagian kepala apabila perhentian bas runtuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pihak pengurusan Felda telah melaksanakan kerja pembaikan rumah-rumah yang rosak bermula kelmarin selepas penduduk membuat laporan polis.

“Setakat ini kita telah pun menyalurkan bantuan segera kepada penduduk di kawasan berkenaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan saya turut menyalurkan bantuan peribadi kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk dan berharap kesemua mangsa ribut itu dapat bersabar.

“Kita bersyukur kerana tiada mangsa yang cedera teruk walaupun ada di antara mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kita akan berikan bantuan dan nasihat kepada mereka,” katanya.

Pejalan kaki maut di lebuh raya



BENTONG – Seorang pejalan kaki yang sedang melintas di Kilometer 64.1 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dekat sini maut apabila dirempuh sebuah kenderaan kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, Tika Bahadur, 27, warganegara Nepal dipercayai melintas di laluan laju untuk ke seberang jalan.

Menurutnya, ketika sedang melintas, mangsa dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Kenderaan itu dinaiki oleh tiga orang termasuk seorang pemandu dan ketiga-tiganya tidak mengalami kecederaan.

“Namun kenderaan dinaiki mereka rosak teruk di bahagian hadapan akibat kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, Tika Bahadur mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan yang sedang menuruni bukit dan gelap.

“Kemungkinan, pemandu kenderaan tidak nampak mangsa sedang melintas atas faktor dinya-takan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 :dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Rosli berkata, pejalan kaki dinasihatkan tidak melintas di lebuh raya kerana ia berbahaya terutama pada waktu malam.

Menurutnya, kejadian seperti ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua pejalan kaki terutama di lebuh raya supaya mematuhi undang-undang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kaki pancing temui mayat terapung



DUNGUN - Keseronokan seorang kaki pancing yang ingin mencuba nasib untuk mendapatkan habuan ikan darat di satu kawasan takungan air bertukar cemas apabila menemui satu objek mengerikan, disyaki mayat manusia terapung di permukaan air.

Kejadian mencemaskan itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi semalam ketika seorang penduduk dikenali sebagai Mohamad Ab Karim, 30-an tiba di satu kawasan takungan air di belakang sebuah kilang bata dekat Kampung Dendang, Dungun.

Panik dengan penemuan objek misteri itu, Mohamad dikatakan terus meninggalkan lokasi terbabit lalu memaklumkan kepada penduduk berhampiran sebelum memberitahu pihak berkuasa berkaitan penemuan mayat yang dalam keadaan terlangkup dalam air itu.

Sebaik menerima maklumat, beberapa anggota dari Balai Polis Bukit Besi bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan bagi mengesahkan identiti objek terbabit.

Setelah diperiksa, ia didapati mayat seorang lelaki berbangsa Indonesia berumur dalam lingkungan 40-an.

Identiti mayat terbabit dikenali sebagai Nanang dan mangsa yang difahamkan bekerja sebagai buruh sambilan dipercayai kali terakhir dilihat Rabu lalu oleh penduduk.

Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan penemuan mayat itu dan kes terbabit masih dalam siasatan pihaknya.

“Berdasarkan keadaan fizikal mayat terbabit, kita percaya ia sudah beberapa hari berada di dalam air dan polis masih menjalankan siasatan sama ada kematian mangsa disebabkan lemas atau ada unsur jenayah,” katanya.

Sebak tengok mayat anak



KAMPUNG RAJA - Misteri kehilangan seorang pemuda yang me-ngalami masalah mental di Kampung Tok Tor dekat Jertih sejak Jumaat lalu terungkai, selepas mayatnya dijumpai tersangkut pada kayu di sebatang sungai Kampung Kuala Kenak tidak jauh dari rumahnya, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Nor Zainy Mohd Noor berkata, mayat Muhammad Azrim Awang Kechik, 20, dijumpai sendiri oleh bapanya jam 10.10 pagi semalam, tujuh hari selepas dia keluar dari rumah dengan menunggang basikal.

Menurutnya, keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa pada 27 Mac lalu di Balai Polis Jertih selepas usaha mencari mangsa di rumah saudara mara gagal menemuinya.

“Sehari selepas dia tidak pulang rumah, abang mangsa menemui basikal yang dinaiki adiknya itu, ditinggalkan di atas jambatan simen di kampung Kuala Kenak,” katanya.

Nor Zainy berkata, sebelum ini keluarga mangsa tidak mengesyaki mangsa lemas di sungai berkenaan dan mereka yakin mangsa tidak turun ke sungai kerana mangsa memang selalu meninggalkan basikal sedemikian.

Beliau berkata, mayat mangsa yang sudah reput ditemui dalam keadaan terlentang dan tersangkut pada kayu di sungai berkenaan.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut membantu membawa mangsa ke tebing dengan sebuah bot sebelum mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Mangsa dipercayai mati sekitar enam hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang reput dan punca kematian disahkan akibat lemas serta hasil siasatan mendapati kematian mangsa tidak ada unsur jenayah,” katanya.



Hancur luluh tengok mayat anak



JERTIH – Hancur luluh hati seorang bapa apabila menemui sendiri mayat anaknya dalam keadaan menyedihkan tersangkut pada semak di dalam Sungai Kuala Kenak dekat Gong Mak Som Alor Lintah, semalam.

Lebih menyayat hati, tubuh anak lelakinya itu, Muhammad Azrim Awang Kechik sudah reput keseluruhan badan ditemui terapung di permukaan sungai itu dengan lengkap berpakaian.

Awang Kechik Othman, 58, berkata, dia sebak sebaik melihat kelibat objek terapung dan tersangkut pada kayu itu adalah anaknya berdasarkan pakaian yang dipakainya.

“Keadaan dia amat menyayat hati dan sudah reput malah bahagian perut sudah kosong,” katanya sedih.

Awang Kechik berkata, sebaik menemui mayat anaknya, dia meminta saudaranya menghubungi polis dan memberitahu keluarga.

Katanya, sudah hampir seminggu anaknya hilang tetapi hanya malam kelmarin tergerak di hatinya untuk mencari di sungai itu iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat basikal anaknya ditemui pada 26 Mac lalu dan tiga kilometer dari rumahnya.

“Saya menaiki sampan bersama dua yang lain kira-kira jam 7 pagi semalam mencari di kedua-dua tebing anak Sungai Besut itu dan kira-kira jam 10.10 pagi, kami menemui mayatnya,” katanya yang ditemui di pekarangan bilik mayat semalam.

Awang Kechik berkata, anak keenam daripada 10 beradik itu keluar rumah kira-kira jam 3 petang lalu menunggang basikal dan terus tidak pulang ke rumah.

Selalunya jika keluar, dia akan pulang ke rumah sebelum malam tetapi kali itu dia langsung tidak pulang.

Katanya, sebelum ini pernah dia tidak pulang ke rumah sehingga tiga hari tetapi selalunya dia pergi rumah kakaknya sama ada Kampung Gong Bayor atau di Semerak, Pasir Putih, Kelantan.

Bagaimanapun, kehilangan Muhammad Azrim kali ini merisaukan seisi keluarga kerana walau merata tempat dicari tetapi tidak ditemui.

“Dia juga sering meninggalkan basikal di serata tempat walaupun tidak rosak kemudian berjalan kaki ke tempat yang diingini,” katanya.

Menurutnya, anaknya mengalami masalah mental ketika di Tingkatan Lima bermula dengan meracau-racau sebelum keadaannya menjadi bertambah teruk.

Suri rumah kantoi miliki dadah




KUALA TERENGGANU - Lain dicari, lain pula yang dijumpa. Sepasukan polis dari cawangan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada mulanya ingin menangkap seorang suri rumah yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah, malam kelmarin.

Bagaimanapun, setelah ditangkap di salah sebuah restoran di Pasir Panjang, wanita berusia 28 tahun itu didapati memiliki dua tiub pil kuda dan satu tiub berisi heroin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak berkata, tangkapan itu dibuat kira-kira jam 11 malam, sewaktu suri rumah itu sedang asyik menjamu selera di sebuah restoran.

Menurutnya, wanita yang berasal dari Bukit Payong, Marang itu memang dicari susulan pernah terlibat dengan kes jenayah dan polis telah membawanya ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kita telah jalankan ujian urin ke atasnya dan dia didapati positif dadah jenis pil kuda. Kita juga dapati dia mempunyai beberapa kes jenayah lampau, melibatkan penyalahgunaan dadah. Sekarang dia disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia kini direman selama tiga hari, bermula semalam. Kita juga sedang membuat siasatan lanjut berhubung penglibatannya dengan kes pecah rumah yang kini dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian difahamkan, suri rumah itu baru sahaja keluar dari Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan beberapa bulan lalu.

Dia dikatakan dipenjarakan atas kesalahan penyalahgu­naan­ dadah sebelum ini.
SH

Jambatan runtuh jejas laluan




KUALA KRAI - Kira-kira 2,000 penduduk yang terjejas selepas jambatan konkrit di Kampung Mersek, dekat Manek Urai Lama, di sini, runtuh akibat banjir Selasa lalu diminta bersabar sementara laluan itu dapat dipulihkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, kerja membaik pulih laluan itu mungkin memakan masa kerana memerlukan pembinaan sebuah jambatan baru yang menelan kos ratusan ribu ringgit.

Menurutnya, masalah itu juga sudah dilaporkan kepada agensi kerajaan berkenaan termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa sama, saya akan terus berusaha supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan buat sementara ini, penunggang motosikal boleh menggunakan laluan alternatif yang disediakan,” katanya di sini, semalam.

Selain penduduk Kampung Mesek, Buah Karak dan Sungai Garam, jambatan konkrit yang runtuh itu juga menjadi laluan penduduk beberapa kampung di Dabong seperti Slow Mengkuang dan Slow Temiang untuk ke bandar Kuala Krai kerana jaraknya lebih dekat.

Mohd Fauzi berkata, laluan itu sebelum ini memang sering terputus setiap kali air sungai naik dan arus deras yang menyebabkan hakisan pada bahagian kepala jambatan namun kejadian kali ini paling teruk kerana melibatkan struktur runtuh.

“Awal Oktober tahun lalu kita sudah baiki bahagian kepala jambatan ini di sebelah satu lagi yang terhakis akibat arus deras dan kali ini, bahagian di sebelah sini pula yang runtuh.

“Jika tengok pada masalah hakisan yang sering berlaku dan kerosakan teruk kali ini, jambatan ini tidak boleh dibaiki lagi dan memang perlu diganti (jambatan) baru,” katanya.

Difahamkan, agensi kerajaan berkenaan ada memohon peruntukan kira-kira RM200,000 bagi pembinaan jambatan baru selepas kejadian penduduk terputus hubungan pada awal Oktober 2010 itu namun tidak diluluskan.
SH

Yazid cedera kereta terbabas



KOTA BHARU - Dua mesyuarat yang perlu dihadirinya terpaksa ditangguhkan apabila Presiden Persatuan Wartawan Melayu (PWM) Malaysia, Datuk Yazid Othman terlibat dalam kemalangan pada 29 Mac lalu.

Dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pasir Puteh berkenaan, beliau yang juga Pengerusi Koperasi Petani dan Nelayan Kelantan Berhad (Kopenel) dan Pengerusi Penerangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh mengalami kecederaan di bahagian muka dan dahi.

Yazid berkata, walaupun masih dirawat di hospital, namun beliau masih terkilan kerana tidak sempat menghadiri majlis penting iaitu mesyuarat bersama ketua-ketua Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh pada paginya keesokannya.

Pada sebelah petang pula, beliau sepatutnya memberi taklimat kepada wakil-wakil UMNO Bahagian yang akan merasmikan 117 cawangan UMNO seluruh bahagian Pasir Puteh.

“Sebelum kejadian kemalangan, saya tertidur di tempat bersebelahan pemandu dan tersedar apabila berada di Hospital Gua Musang (HGM).

“Walaupun terkilan kerana tidak sempat menghadiri dua majlis penting, namun saya bersyukur kerana terselamat dan hanya mengalami kecederaan di bahagian muka, dahi, dagu serta kejang di bahagian badan,” katanya semasa ditemui Sinar Harian, di Hospital Pakar Perdana, di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha koperasi berkenaan yang juga pemandu Discovery Landrover, Tuan Azudin Tuan Mohamad berkata, beliau mengiringi Yazid untuk menghadiri dua majlis penting di Pasir Puteh.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira jam 11 malam itu berkata, kenderaan yang dinaiki mereka terbabas semasa keadaan hujan.

“Memandangkan keadaan hujan pada malam terbabit, semasa berada di jalan Chegal Perah, Kuala Lipis (sempadan Gua Musang), saya memandu dalam kelajuan sederhana, namun semasa berselisih dengan lori, saya cuba memberhentikan kenderaan, tetapi Landrover berkenaan terbabas.

“Saya kemudian bergegas menyelamatkan Datuk (Yazid) setelah melihat mukanya berlumuran darah dan bernasib baik kerana ada orang kampung di situ yang datang membantu dan bawa beliau ke HGM,” katanya.

Beliau berkata, nasib baik ada kenalan dari Pasir Puteh yang lalu ke tempat kejadian dan kenderaan yang rosak teruk itu dikendalikan orang berkenaan bersama pihak polis peronda.

Menurutnya, Yazid dirawat hampir sehari di HGM dan dihantar ke Hospital Pakar Perdana sehari selepas itu.

Turut hadir melawat Yazid, Pengerusi Tetap UMNO Pasir Puteh, Datuk Jailani Jaafar dan jawatan kuasa UMNO. Isterinya, Datin Norbaya Musa turut berada di sisinya.

Warga emas disamun

SH


TUMPAT - Seorang warga emas pertaruhkan nyawanya apabila bergelut dengan tiga penyamun dengan mata dan mulut ditutup dalam kejadian samun menyebabkan dia kerugian hampir RM13,000, di Kampung Pulau Raja, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, warga emas terbabit, Che Zaharah Che Daud, 81, turut dipijak di dada apabila dia cuba melawan demi menyelamatkan wang kutunya berjumlah RM5,000 dan barang kemas bernilai RM8,000 yang disimpan di dalam plastik diletakkan di dalam kereta sorong yang ditolaknya itu.

Akibatnya dia mengalami kecederaan lebam berhampiran bibirnya serta giginya hampir tercabut serta menerima rawatan di klinik berdekatan.

Che Zaharah berkata, dia dalam perjalanan ke gerainya di Sungai Pinang untuk berniaga nasi pagi tetapi tidak menyangka rutin paginya sejak 10 tahun lalu bertukar tragedi apabila didatangi tiga lelaki yang tidak dikenali.

“Makcik langsung tidak menyedari ada orang mengekori makcik dari belakang. Memang ada dengar enjin motosikal tetapi tidak menyangka mereka itu penyamun, lagi pun awal pagi sangat, jalan masih gelap lagi.

“Sebaik sahaja hampir sampai di jambatan Pulau Raja, tiba-tiba makcik diterkam dari arah belakang oleh salah seorang daripada mereka.

“Lelaki itu terus menutup mata dan mulut makcik dengan tangannya,” katanya memaklumkan rutinnya yang berjalan sambil menolak kereta sorong setiap pagi untuk ke gerainya hampir satu kilometer dari rumahnya itu.

Menurutnya, selepas matanya ditutup, salah seorang daripada penyamun itu meraba lehernya mencari rantai tetapi tidak dijumpai oleh penyamun itu.

“Makcik ditarik hingga rebah dan terlentang di tanah tetapi mata dan mulut tetap ditutup tangan penyamun itu, waktu itu juga makcik rasa ada salah seorang daripada mereka pijak dada makcik,” katanya.

Menurutnya, apabila tidak menemui barang kemas di tubuhnya, penyamun itu mengambil plastik di dalam kereta sorongnya dan salah satu plastik itu mengandungi barang kemas termasuk cincin dan rantai, wang tunai serta dompet.

“Makcik sempat melihat tiga penyamun itu melarikan diri dengan sebuah motosikal, tetapi tidak sempat cam muka mereka kerana mereka membelakangi makcik,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan panik, dia kehilangan arah seketika untuk mencari jalan pulang ke rumah.

“Makcik mundar mandir sekejap, akhirnya dapat juga gagahkan diri pulang ke rumah yang hanya jaraknya beberapa meter sahaja dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, dia terus kejutkan suaminya, Abdullah Bakar, 82 dan anaknya, Abdul Ghani, 43 apabila sampai di rumah dan mereka berdua terus kejar penyamun itu tetapi gagal.

“Peristiwa ini menjadi pengajaran buat makcik, makcik tidak akan bawa wang yang banyak lagi untuk pergi berniaga, lagi pun semua wang sudah dikebas penyamun itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

3,604 mangsa banjir masih di pusat pemindahan

Kosmo! Online - Terkini: "
02/04/2011 11:01am

KANGAR - Sebanyak 3,604 mangsa banjir di Perlis masih berada di pusat-pusat pemindahan sehingga pagi ini berbanding lebih 4,000 orang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir berkata, kebanyakan mangsa adalah daripada kawasan Kangar membabitkan 2,955 orang yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan.

Sebanyak 590 mangsa adalah daripada kawasan Arau yang ditempatkan di lima pusat pemindahan manakala di kawasan Padang Besar jumlah mangsa hanya 59 orang yang ditempatkan di satu pusat pemindahan.

Setakat ini lebih 1,000 mangsa telah dibenarkan pulang dan hampir 20 pusat pemindahan telah ditutup. - Bernama"

Tukang emas maut terjatuh dari tingkat dua

KLANG - Seorang tukang emas berusia 25 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua rumah kedai yang didiaminya di Jalan Tingkat Off Jalan Tengku Kelana di sini awal pagi ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, mangsa, S.Karthi yang masih bujang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki itu dipercayai sedang mencuci emas di sinki yang terletak bersebelahan dengan tingkap apabila emas itu tiba-tiba terjatuh melalui tingkap itu ke atas bumbung asbestos di bangunan rumah kedai berkenaan. - Bernama"

Punca kebocoran radioaktif loji nuklear ditemui



02/04/2011 3:00pm

TOKYO 2 April - Pihak pengurusan loji tenaga nuklear di Fukushima, Jepun hari ini menemui punca kebocoran radioaktif yang mengalir ke laut iaitu keretakan di lubang konkrit reaktor Nombor Dua.
Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) berkata, radiasi di lubang berkenaan diukur sebanyak 1,000 milisievert sejam.
Pemerhati nuklear Jepun berkata, TEPCO kini bersiap sedia untuk menuang konkrit ke dalam lubang berkenaan bagi menghentikan kebocoran itu. - Reuters

62 pegawai kastam telah ditahan – SPRM

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

02/04/2011 2:55pm

Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA 2 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seramai 62 orang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKCM) telah ditahan setakat ini berhubung aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, 'Operasi 3b' yang dijalankan ke atas pegawai JKDM itu mendapati lebih daripada RM10 bilion telah dihantar dan diseludup ke luar negara. – Utusan"

3,604 mangsa banjir masih di pusat pemindahan



02/04/2011 11:01am

KANGAR - Sebanyak 3,604 mangsa banjir di Perlis masih berada di pusat-pusat pemindahan sehingga pagi ini berbanding lebih 4,000 orang malam tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir berkata, kebanyakan mangsa adalah daripada kawasan Kangar membabitkan 2,955 orang yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan.
Sebanyak 590 mangsa adalah daripada kawasan Arau yang ditempatkan di lima pusat pemindahan manakala di kawasan Padang Besar jumlah mangsa hanya 59 orang yang ditempatkan di satu pusat pemindahan.
Setakat ini lebih 1,000 mangsa telah dibenarkan pulang dan hampir 20 pusat pemindahan telah ditutup. - Bernama

Enam Umat Islam Masih Hilang, Seorang Maut Selepas Tsunami Di Sendai

Pengedar dadah nekad terjun bumbung



BATU PAHAT 1 April - Akibat takut dicekup polis, dua daripada tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah bertindak nekad dengan terjun dari bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Cahaya Purnama, Peserai di sini semalam.
Tindakan itu juga menyebabkan serpihan atap hampir terkena anggota polis yang memburu suspek.
Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai dalam kejadian pukul 5.30 petang.
Rumah itu dipercayai dijadikan markas pengedaran pelbagai jenis dadah untuk pasaran di sekitar Peserai.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, suspek yang ditahan berusia dalam antara 20 dan 30-an dan polis turut merampas sejumlah dadah jenis heroin seberat 48.3 gram, ganja (0.82 gram), pil Eramin 5 (lapan biji) dan syabu (0.2 gram).
"Salah seorang daripada suspek ditahan di dalam rumah manakala dua rakannya cuba meloloskan diri dengan memecah siling sebelum menyelusup keluar menerusi bumbung," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Rengit di sini hari ini.
Adnan memberitahu, suspek yang ditahan terdiri daripada pemandu lori, peniaga dan penganggur, malah salah seorang memiliki lima rekod jenayah lampau dan turut dikehendaki pihak polis.
Mereka kini ditahan reman hingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Utusan Malaysia Online - Selatan

Rasuah: ADUN Lenggeng dihukum penjara tiga tahun, denda RM20,000




MUSTAFA Salim kelihatan tenang ketika wajahnya dirakamkan sekumpulan jurugambar di Mahkamah Sesyen, Seremban, semalam. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN


RASAH 1 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim hari ini dihukum penjara tiga tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, atas kesalahan menerima rasuah daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mendapatkan permit menjual pasir, tiga tahun lalu.
Mustafa yang memakai kot warna hitam kelihatan tenang di kandang tertuduh sebaik sahaja Hakim Amran Jantan membacakan hukuman tersebut setelah tertuduh didapati bersalah pada 4 Mac lalu.
Dalam keputusannya, Amran menyatakan bahawa kesalahan tersebut adalah serius kerana ia dilakukan oleh individu yang berjawatan seperti tertuduh.
"Hukuman bon tidak wajar kerana ia memberi gambaran yang tidak baik kepada masyarakat, seolah-olah mahkamah tidak memandang serius kes rasuah," katanya.
Amran turut memerintahkan Mustafa dihukum penjara 12 bulan sekiranya beliau gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga Isnin ini setelah pihak pembelaan memaklumkan akan mengemukakan rayuan.
Bagi tujuan tersebut, hakim berkenaan memerintahkan jumlah ikat jamin tertuduh RM6,000 sebelum ini ditambah kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mustafa, 52, didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada M. Manimaran di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.
Mustafa yang dipilih sebagai ADUN Lenggeng pada 2008 didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.
Dakwaan terhadap Mustafa yang diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha, dikemukakan mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi dan Penguasa Kanan SPRM, Jasmi Buang.
Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Lebih 50 pegawai kastam ditahan



KUALA LUMPUR 1 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 50 lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara hasil operasi susulan suruhanjaya itu yang memasuki hari keempat, bermula Isnin lalu.
Penahanan semua pegawai pelbagai pangkat dan jawatan itu diperoleh dalam serbuan SPRM di pelabuhan utama negara di Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.
Dalam operasi itu, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM500,000 di salah sebuah rumah pegawai kastam berkenaan.
Menurut sumber, modus operandi mereka terlibat adalah memudahkan barang-barang diimport masuk ke dalam negara tanpa pemeriksaan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Lokasi operasi pula tertumpu di pelabuhan-pelabuhan utama negara dan tangkapan tertinggi adalah di Pelabuhan Klang.
“Jadi apa sahaja jenis barang ‘dihalalkan’ masuk ke sempadan dengan bayaran suapan tertentu yang dikenakan,” kata sumber tersebut di sini hari ini.
Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara dalam operasi besar-besaran tersebut.
Dalam satu serbuan di Pahang, dua pegawai JKDM yang juga pasangan suami-isteri ditahan selain ratusan ribu ringgit ditemui berselerakan di rumah mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf meminta semua pegawai di jabatannya terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing seperti yang diamanahkan.
“Pegawai-pegawai agensi itu perlu mengekalkan khidmat terbaik kepada pelanggan jabatan iaitu masyarakat,” katanya mengulas penahanan ke atas pegawai JKDM yang dilakukan SPRM, sejak Isnin lalu.
Menurutnya, penahanan tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
“Hasil operasi itu, beberapa pegawai JKDM telah disiasat lanjut. JKDM percaya di atas kewibawaan SPRM dalam menjalankan siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat JKDM Putrajaya, di sini hari ini.
Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Risau anak kena kurung

;IPOH: Hati ibu mana tidak keruan apabila anak gadis kesayangan hilang dari rumah sejak lebih sebulan lalu apabila diperdaya dan dilarikan teman lelakinya yang juga ahli geng curi motosikal.
Lebih mengejutkan apabila Norhaslina Zol, 22, hilang dari rumahnya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, di sini, hanya selepas dua jam teman lelakinya itu meluahkan hasrat untuk berkahwin kepada ibu bapa gadis berkenaan.

Ibu mangsa, Sabariah Abdul Manaf, 54, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada 28 Februari lalu, seorang lelaki bermotosikal datang ke rumahnya dan memperkenalkan diri sebagai teman rapat Norhaslina.

Katanya, lelaki berusia awal 20-an bernama Anwar itu kemudian menyatakan hasrat mengahwini Norhaslina.

“Suami, Zol Abdul Hamid, 64, tidak membantah namun menasihatkan lelaki terbabit mengikut aturan adat Melayu sekiranya benar-benar mahu memperisterikan Norhaslina.


“Lelaki itu kemudian meminta kebenaran untuk keluar makan seketika dengan anak saya itu sebelum pulang sekitar jam 10.30 malam,” katanya.

Namun, tidak beberapa lama kemudian Norhaslina menyelinap keluar semula dari rumah sebelum hilang begitu saja hingga kini.

“Dia tidak membawa sebarang pakaian dan saya yakin kehilangannya itu ada kaitan dengan teman lelakinya yang juga lesap begitu saja.

“Kami sekeluarga yang bimbangkan keselamatannya kemudian berusaha menghubungi telefon bimbitnya, namun Norhaslina memberi alasan berada di Selangor,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memujuk anaknya itu supaya kembali, namun dia seolah-olah dikurung bersama beberapa wanita lain tidak dikenali.


“Kali terakhir saya cuba menghubunginya panggilan saya diangkat seorang wanita yang memberi pelbagai alasan kononnya Norhaslina tidak menggunakan telefon bimbit itu lagi.


“Akibat bimbang keselamatannya, saya dan anak lelaki, Zamri Zol, 35, membuat laporan di Balai Polis Jelapang,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengetahui di mana Norhaslina berada diminta menghubungi talian 019-5495124 atau balai polis berhampiran.
myMetro | Risau anak kena kurung

Ajal tertembak diri sendiri

BANDAR BAHARU: “Anak perempuan saya menjerit dan menggeletar setelah ternampak ayahnya terbujur kaku dalam keadaan berlumuran darah ketika memeriksa biliknya apabila mendengar bunyi letupan dari bilik itu.”
Begitu kata Nurhafiza Abdul Hamid, 42, menceritakan detik awal anaknya, Nurshahirah, 17, menemui suaminya, Abd Hamid Abdlah, 49, yang maut dipercayai tertembak di kepala ketika mencuci senapang patah di rumahnya di Kampung Sungai Batu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, penoreh getah berkenaan yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dikatakan sempat bersarapan bersama isteri dan anaknya di dapur rumah mereka.

Nurhafiza berkata, sebaik selesai bersarapan, suaminya bergegas ke bahagian atas rumah lalu masuk ke dalam biliknya dipercayai untuk mencuci senapang patah yang menjadi rutin hariannya sejak beberapa tahun lalu.

“Kira-kira 10 minit kemudian, kami terkejut mendengar bunyi letupan dari bilik arwah dan sejurus terdengar letupan itu, Nurshahirah berlari ke atas untuk memeriksa apa yang berlaku.


“Ketika sampai di hadapan pintu bilik, tiba-tiba Nurshahirah terus menjerit dan terkejut dengan apa yang dilihatnya berikutan keadaan ayahnya terbujur di atas lantai dengan kepala berlumuran darah.

“Kami semua terkejut dan tergamam dengan kejadian itu lalu menghubungi jiran berhampiran kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian. Saya pun tidak sangka kejadian ini hingga menyebabkan kehilangan orang tersayang,” katanya.

Nurhafiza berkata demikian ketika menerima kunjungan wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Menurutnya, dia bersama anak-anaknya masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu selain tidak mengetahui bagaimana ia boleh berlaku.

Katanya, suaminya yang tidak keluar menoreh getah berikutan hujan pada sebelah pagi sebelum itu tidak menunjukkan sebarang petanda aneh, sebaliknya bersikap seperti biasa dan mesra dengan ahli keluarga.


“Saya menganggap kejadian sebagai satu takdir, dan kami sekeluarga reda pemergian arwah,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara tujuh hingga 21 tahun.


Sementara itu, Helmy berkata, arwah dikenali aktif dan sering terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk turut menyertai pertandingan sepak takraw di Kampung Cherok Menanti, di sini, baru-baru ini.


“Semua penduduk kampung mengenali arwah kerana dia juga mudah mesra, pada masa sama berharap keluarganya bersabar dan menerima kematiannya sebagai ujian Allah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmy Aris ketika ditemui berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan mati mengejut.


Katanya, mangsa cedera parah di bahagian muka dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
myMetro | Ajal tertembak diri sendiri