Search This Blog

Wednesday, March 30, 2011

Guru tumbuk kepala



BAGAN DALAM - Gara-gara tidak memberi jawapan yang betul berkaitan mata pelajaran Matematik, seorang murid perempuan Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Kuala Prai di sini mendakwa ditumbuk oleh guru berulang kali di kepala, empat hari lalu.

Akibat ‘hukuman’ itu, murid berkenaan, Nur Umi Aisyah Ismail, 11, bukan sahaja kesakitan di bahagian kepala hingga sering pening malah trauma untuk ke sekolah seperti biasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Nur Umi Aisyah mendakwa guru Matematik itu menghampirinya semasa dia membuat kerja sekolah yang diberikan guru itu.

“Saya sedar guru itu ada di sebelah memerhatikan saya menjawab kepada soalan yang diberi.

“Tiba-tiba saya berasa sakit di bahagian kepala selepas guru itu berulang kali menumbuk bahagian itu sambil memberitahu jawapan yang diberikan salah,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, akibat tumbukan kuat yang diterimanya, dia terasa pening dan dalam masa sama menangis kerana malu dilihat oleh 29 rakan sekelasnya.

“Dalam kesakitan saya padam jawapan yang dikatakan salah itu dan cuba membuatnya semula namun tiba-tiba telinga saya dipulas pula oleh guru itu.

“Sebelum berlalu, guru itu juga menarik telinga saya hingga menyebabkan saya hampir terjatuh dari kerusi,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Ujung Batu di sini, kelmarin.

Nur Umi Aisyah berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya semasa dijemput pulang dari sekolah.

Ibunya, Jamaliah Maani, 49, berkata, dia kesal dan tak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anaknya.

“Saya bergegas untuk berjumpa guru itu namun dia enggan menemui saya,” katanya.

Jamaliah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu di Balai Polis Butterworth sejurus selepas itu.

Bapa murid terbabit, Ismail Abdllah, 60, orang kurang upaya (OKU) yang cacat kedua belah kaki juga kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Hari ini (kelmarin) Nur Umi Aisyah enggan ke sekolah kerana masih trauma dengan kejadian itu walaupun dipujuk berulang kali.

“Saya bercadang menukarkannya ke sekolah lain kerana sebaik dimaklumkan kejadian itu, Guru Besar sekolah itu seolah-olah enggan mengakui kesalahan kakitangannya,” katanya.

Usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada sekolah itu tidak berjaya apabila Guru Besar, Muhamad Zainalee Ibrahim enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara (SPU).

Sementara itu Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Abu Bakar Muaz yang dihubungi enggan mengulas lanjut kerana belum mendapat laporan penuh mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu Jumaat lalu.

Gaji RM15,000 sebulan



GELANG PATAH – Hanya dengan RM50 bayaran yang dikenakan, pelacur warga Thailand mengaku mampu melayan lebih 10 lelaki setiap hari malah jumlah pendapatannya mencecah sehingga RM15,000 sebulan.

Namun kegiatan persundalan itu terbongkar apabila serbuan dilakukan dalam ‘Ops Minyak’ Jabatan Imigresen dengan kerjasama Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) di empat lokasi berasingan.

Timbalan Penolong Pengarah II, Jabatan Imigresen Negeri, Amzari Abdul Jalil berkata, empat pelacur warga Thailand berumur antara 25 hingga 40 ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial selain menjalankan kegiatan tidak bermoral.

“Hasil daripada maklumat awam, pihak kami telah memeriksa premis tiga tingkat yang mempunyai kira-kira 20 bilik mendapati salah satu bilik yang berada di tingkat bawah digunakan untuk menempatkan pelacur yang sedang menunggu pelanggan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kebanyakan pelanggan yang melanggan pelacur terbabit terdiri daripada pekerja asing yang tinggal berhampiran dilihat sering keluar masuk ke rumah tumpangan itu melalui pintu belakang bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

Amzari berkata, pihaknya turut merampas beratus-ratus pek kondom yang disimpan di bawah tilam di beberapa bilik berasingan di premis sama, selain ada sebahagian yang telah digunakan termasuk wang tunai hasil aktiviti pelacuran.

“Seorang lelaki tempatan juga ditahan dipercayai ‘bapa ayam’ di bawah Seksyen 56 (1) (d) akta berkaitan kerana memberi perlindungan kepada warga asing terbabit,” katanya.

Selain itu, Amzari berkata, sasaran lokasi seterusnya di tiga pasar raya berjaya menahan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) berumur lingkungan 21 hingga 36 tahun warga Indonesia yang dipercayai pekerja di pasar raya itu.

“Selain itu pihak kami turut menyerbu pusat cuci kereta di Tampoi dan berjaya menahan empat Pati di atas kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan,” katanya.

Menurutnya, kesemua pati dan beberapa warga asing berkenaan ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen, Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut.

Warga Singapura terpedaya, rugi RM7,500



JOHOR BAHRU – Seorang warga Singapura yang datang ke negara ini untuk membeli-belah kerugian RM7,500 selepas terpedaya dengan helah sindiket gores dan menang.

Penolong Pengurus di Singapura, Loh Kum Fai, 52, berkata, kejadian berlaku petang 1 Mac lalu ketika dia berseorangan di kompleks beli-belah City Square di sini.

Menurutnya, dia didatangi seorang wanita yang menyuruhnya membuka sekeping kertas cabutan bertuah dan dikatakan telah memenangi hadiah istimewa.

“Bagi menebus hadiah tersebut saya dibawa menaiki sebuah teksi yang ditemani seorang lagi rakan lelaki wanita terbabit ke suatu lokasi yang saya sendiri tidak pasti tempatnya.

“Saya dikatakan telah memenangi hadiah istimewa dan hanya boleh melihat hadiah dimenangi di atas kupon tersebut dengan menggunakan satu alat khas, namun diarahkan membuat pembayaran RM7,500 sebelum mengetahui hadiah sebenar yang dimenangi,” katanya kepada pemberita di Kelab Akhbar Cina sambil ditemani Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Kum Fai diberitahu beliau berjaya memenangi sebuah tilam jed, barangan elektrik rumah dan pengurut kaki.

“Saya diyakinkan bahawa barangan tersebut akan dihantar ke Singapura dan jika saya tidak mahu barangan terbabit, mereka akan mengambilnya kembali. Ketika itulah saya menyedari telah ditipu,” katanya.

Kum Fai yang terkilan atas kejadian tersebut mengakui tidak pernah mengetahui kegiatan sindiket gores dan menang sebelum ini.

Sementara itu, nasib sama turut dikongsi pekerja kilang di Singapura, Siew Kim Hong, 52, yang kerugian RM7,600 pada kejadian 21 Februari lalu.

Kim Hong berkata, taktik yang sama digunakan iaitu mengarahkan pembayaran RM7,600 sebelum dapat menebus hadiah yang dimenangi dan selepas pembayaran saya telah memenangi hadiah yang sama, seperti mangsa sebelum ini.

Sementara itu, Song Tuck berkata, setiap bulan pihaknya menerima 10 aduan berkenaan sindiket tersebut yang menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi mencari mangsa.

“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket tersebut dan pihak yang berwajib diharap menjalankan pemantauan secara berkala bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian tersebut.

“Sindiket itu kini mensasarkan mereka yang bekerja di Singapura atau warganegara itu sebagai modus operandi khususnya di kalangan warga emas,” katanya.

Katanya, beliau telah menerima lebih 2,000 kes sehingga tahun lalu.

Niat jual dadah terbantut



BATU PAHAT – Hasrat seorang lelaki, dipercayai mahu menjual dadah terbantut apabila dia ditahan polis yang sedang membuat Rondaan Cegah Jenayah pada 24 Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, anggota polis mendapati lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan lalu telah membuat pemeriksaan ke atasnya.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan, polis menemui dua paket plastik berisi dadah jenis heroin seberat 10.7 gram dan satu tiub straw juga dadah jenis heroin seberat 0.9 gram.

“Dipercayai ke semua dadah berkenaan adalah untuk dijual dan ia diletakkan di beg pinggang berwarna hitam. Keseluruhan dadah yang ditemui bersama lelaki berkenaan adalah 11.6 gram heroin.

“Lelaki berusia 43 tahun itu bekerja sebagai pekebun juga mempunyai rekod jenayah lampau itu turut positif dadah dalam ujian yang dilakukan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kelmarin.

Adnan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39a (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit :kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun atau tidak kurang 10 sebatan.

“Penagih tegar ini sememangnya tidak serik walaupun telah beberapa kali dijatuhi hukuman dan pihak polis mengharapkan bantuan orang ramai turut serta memberikan maklumat.

“Dengan adanya maklumat orang ramai, ia akan memudahkan pihak polis untuk membuat tangkapan berkaitan dengan apa juga kes yang membabitkan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Lelaki mengaku curi 14 kotak ubat gigi



IPOH - Seorang lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mencuri dengan niat di sebuah premis runcit, baru-baru ini.

Mohd Hirol Nizam Arshad, 35, didakwa mencuri 14 kotak ubat gigi di sebuah premis di kawasan Bercham Idaman, dekat sini sekitar 2.40 petang pada 26 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak lebih 10 tahun penjara atau denda.

Setelah mengemukakan bahan-bahan bukti dalam pertuduhan berkenaan, Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Al-Hirzan Mohd Akhir meminta mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh kemudiannya memohon hukuman diringankan dan denda dikurangkan dengan alasan mahu menjaga isterinya yang sarat mengandung.

Majistret Intan Nurul Fareena Zainal Abidin kemudiannya menetapkan hukuman tujuh hari penjara daripada tarikh tangkapan serta denda sebanyak RM500 dan memulangkan semua barang curi kepada premis berkenaan.

Sekiranya denda berkenaan gagal dibayar, Mohd Hirol boleh dikenakan hukuman dua bulan penjara.

Bantah perangkap had laju



SUNGAI SIPUT (U) – Satu demonstrasi diadakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai tanda memprotes tindakan pihak berkuasa menjadikan laluan dari Taman Muhibbah ke Taman Tun Sambathan, Jalan Ipoh ke Kuala Kangsar sebagai kawasan perangkap had laju.

Jarak yang ditetapkan terlalu dekat iaitu kira-kira 200 hingga 250 meter dan dengan kelajuan 60 Kilometer sejam.

Pengerusi PSM Sungai Siput, M. Sugumaran berkata, pihaknya banyak menerima aduan mengenai masalah dikenakan saman apabila menggunakan laluan itu kerana had laju ditetapkan dirasakan terlalu rendah.

Menurutnya, papan tanda sebelum memasuki jalan itu menetapkan had laju 90 kilometer sejam membuatkan pengguna jalan raya sukar untuk memperlahankan kenderaan secara mendadak.

“Kita rasakan jarak yang ditetapkan terlalu dekat dan ramai yang datang bertemu kami melahirkan rasa tidak puas hati mengenai perkara ini. Jalan di laluan ini juga mempunyai tiga lorong dan tidak terlalu sempit sehinggakan had lajunya ditetapkan pada 60 kilometer sejam.

“Kami rasakan bagi mengelak perkara seperti ini berterusan, lebih baik sekiranya had laju ditetapkan kepada 70 kilometer sejam supaya kebarangkalian dikenakan saman adalah rendah,” katanya kepada pemberita selepas demonstrasi diadakan di sini.

Katanya, jika berlaku kecemasan dengan keadaan had laju seperti itu ia akan menyusahkan orang ramai dan mereka terpaksa membawa kenderaan dengan lebih laju.

“Keadaan ini boleh membawa tekanan kepada pemandu dan kita berharap pihak berkuasa boleh menaikkan had laju kepada 70 kilometer sejak kerana ia dirasakan lebih baik.

“Tambahan pula, jika dikenakan saman, suratnya hanya sampai dalam tempoh dua hingga tiga bulan dan ini menyusahkan penduduk.

“Kita berharap pihak berkuasa lebih peka dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar juga diminta oleh penduduk supaya membangkitkan perkara itu kepada pihak atasan serta disuarakan di Parlimen,” katanya.

Sama-sama mengaku salah



IPOH – Seorang lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan miliki dadah berbahaya, baru-baru ini.

Suhaimi Abdul Rashid 35, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan Mahkamah Majistret di sini sekitar 10.30 pagi sekitar 8 Februari 2011.

Ketika ditahan, Suhaimi didapati memiliki dadah yang dipercayai jenis heroin dan monoacetymorphines seberat 0.17 gram.

Dia boleh dipenjara tidak lebih lima tahun serta dikenakan pengawasan polis tidak lebih dua tahun.

Timbalan Pendakwaraya, Kavitha Sitharta memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada Suhaimi sebagai pengajaran tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.

Majistret Fauziah Hanim kemudiannya mendapati Suhaimi bersalah atas pertuduhan berkenaan dan mengenakan hukuman tiga bulan penjara kepadanya mulai dari tarikh dia ditangkap.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang lelaki turut mengaku salah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki dadah berbahaya di sebuah rumah pangsa di sini, awal Januari lalu.

S Balachandran, 38,didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 1.41 gram di rumah berkenaan sekitar 6.40 petang pada 2 Januari 2011.

Balachandran juga didapati positif dadah menerusi ujuian saringan air kencing yang dilakukan.

Hukuman tidak lebih lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadapnya.

Majistret, Fauziah Hanim kemudiannya menetapkan Balachandran dijatuhi hukuman enam bulan penjara bermula daripada tarikh tangkapan.

Ribut lima minit



PENDANG – Lebih 30 rumah dan lebih 10 warung peniaga musnah dalam kejadian ribut kuat berserta puting beliung yang melanda hanya lima minit di beberapa kawasan dalam daerah ini kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Beberapa kawasan yang ditimpa bencana ini termasuk warung di sekitar Pekan Bandar Baru Tanah Merah, Kampung Alor Ali, Kampung Kepala Parit, Kampung Jelai, Kampung Alor Parit, Kampung Banggol Pauh, Kampung Senggora dan Kampung Masjid Tokai.



Lebih 10 warung musnah

Seorang peniaga, Romzi Zakaria, 34, yang membuka perniagaan nasi ayam, bihun sup lebih 10 tahun berkata, kejadian ribut itu menggemparkan peniaga kerana kejadian kali ini merupakan ribut besar sehingga menyebabkan semua barang berniaganya rosak termasuk khemah.

Menurutnya, ketika kejadian hampir kira-kira hampir 6 petang itu menyaksikan lebih 10 warung peniaga di pekan Bandar Baru Tanah Merah itu runtuh satu demi satu dan semua kelengkapan berniaga berselerakan.

“Angin pusing menakutkan peniaga yang sedang menyediakan pesanan pelanggan.

“Saya terpaksa tanggung kerugian lebih RM2,000 apabila semua khemah dan kelengkapan berniaga rosak teruk dalam kejadian terbabit dan tambah menyedihkan apabila makanan yang dimasak tidak dapat dijual,” katanya kepada Sinar Harian.



Pinggan pecah diputar angin

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Abdul Azizn Ahmad, 23, turut berniaga bihun sup berkata dia terkejut melihat kejadian itu dan bergegas melarikan diri namun tidak jauh daripada tapak berniaga kerana tidak sempat mengambil duit di warung itu.

“Saya bersyukur kerana tidak berlaku apa-apa kecederaan pada mana-mana peniaga dan pelanggan kerana mereka segera melarikan diri ketika melihat angin kuat datang di kawasan terbabit,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang turut menjadi mangsa bencana itu, Mohd Rusdi Said,32, membuka perniagaan koey teow bergelut dengan ribut itu apabila cuba memegang semua khemah dan kanopi daripada dimusnahkan angin namun kekuatan angin menyebabkan dia gagal menyelamatkan lebih tujuh khemahnya itu.

Menurutnya, selain khemahnya turut musnah, beberapa pinggannya turut pecah di putar angin kuat itu menyebabkan dia kerugian lebih RM2,000.



Bumbung sangkut atas talian elektrik

Namun bagi seorang lagi peniaga, Azizan Abdullah, 45, yang membuka warung gulai itik berkata, ketika kejadian dia tidak berada di warungnya kerana hanya berniaga pada waktu pagi sahaja namun terkejut apabila melihat sebahagian warungnya musnah.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari Pekan Pendang ke Kampung Rambai namun saya tergerak hati untuk singgah ke warung untuk melihat jika apa-apa berlaku namun terkejut melihat sebahagian bumbung warung saya diterbangkan angin dan tersangkut di atas pendawaian elektrik dekat kawasan itu.

“Kejadian yang melanda pada kali ini adalah besar berbanding kejadian sebelum ini hanya mengalami kerosakan sedikit sahaja dan kejadian ini menyebabkan perniagaan di situ terbantut,” katanya.



Musnah depan mata

Lebih 30 rumah di beberapa kampung yang terlibat dengan bencana ini terutamanya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai terpaksa menanggung kerugian tinggi apabila rumah mereka rosak teruk dimusnah ribut kuat dalam masa yang sama petang kelmarin.

Seorang mangsa, Nor Haniza Adnan,23, dari Kampung Masjid Tokai itu merupakan anak sulung dalam keluarga itu turut berkongsi cerita sedih yang menimpa rumahnya dalam lima minit menyebabkan ibu bapanya terpaksa menanggung kerugian hampir RM15,000 apabila semua bumbung rumah mereka diterbangkan angin kuat itu.

Menurutnya, kejadian itu begitu menyedihkan mereka sekeluarga kerana menyaksikan sendiri dengan mata rumah mereka musnah memandangkan rumah di bahagian dapur baru sahaja dibina hampir dua minggu.

“Kemungkinan Allah SWT ingin menyelamatkan kami kerana sebelum beberapa minit kejadian saya mengajak emak untuk keluar berbual dengan nenek di luar rumah walaupun pada awalnya emak enggan mengikut namun selepas dipaksa dia (emak) turut mengikut saya dan mengajak semua adik,” katanya.



Rumah dua tingkat runtuh

Seorang lagi mangsa, Rashidi Ramli, 36, dari Kampung Tok Pauh mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila sebuah rumah dua tingkatnya runtuh dalam kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga hilang tempat tinggal.

“Kami hilang tempat tinggal apabila rumah ini musnah memandangkan rumah ini diduduki sembilan penghuni dari dua keluarga,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa di Kampung Jelai, Rohana Abdul Samad, 41, berkata kejadian itu turut meruntuhkan bilik airnya.



Pelbagai pihak lawat mangsa

Pembantu khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Ramlan Hamid yang hadir melawat mangsa ribut di Kampung Tok Pauh berkata, beliau bersimpati melihat keadaan rumah mangsa yang rosak teruk akibat bencana itu.

Menurutnya, beliau akan menguruskan bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat daerah dan Kerajaan Negeri.

Pokok keriang hempap rumah



KANGAR – Sebanyak 17 rumah dilaporkan dilanda ribut selepas hujan lebat melanda negeri ini, sejak petang kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ku Chik Ku Mat Esa ketika dihubungi berkata, kerosakan itu termasuklah, 10 di kawasan Guar Sanji, tiga di Bintong, dua di Simpang Empat, satu di Chuping dan satu di kawasan Indera Kayangan.

Menurutnya, JKM kini sedang menjalankan bancian kerosakan di setiap kawasan dan bantuan membaiki rumah yang rosak akan disalurkan secepat mungkin.

“Sebanyak 15 rumah dilaporkan dilanda ribut. Daripada jumlah itu hanya dua rumah iaitu di Kawasan Wang Ulu dan Kampung Kubang Arang teruk manakala selebihnya mengalami kerosakan kecil pada bahagian bumbung,” katanya.

Sementara itu, sepasang suami isteri dan seorang anak perempuan mereka berumur tiga tahun dari Kampung Kubang Arang, Sungai Batu Pahat dekat sini nyaris dihempap sebatang pokok yang tumbang mengenai rumah mereka kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Mangsa, Azizwazuraidi Azizan, 37, berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Zumie Abu Bakar, 39, dan anak bongsu mereka sedang tidur di ruang tamu manakala tiga lagi anak berumur antara 6 hingga 9 tahun tidur di sebuah bilik.

Menurutnya, dia yang terjaga selepas mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian bumbung rumah menyangka ada pencuri cuba memasuki rumah melalui bumbung.

“Apabila mendengar bunyi kuat itu, saya bangun dan keluar rumah sambil memegang sebatang kayu untuk menangkap pencuri itu.

“Bagaimanapun, setiba di luar saya terkejut melihat sebatang pokok keriang berusia lebih 50 tahun berdekatan tumbang dan menghempap bumbung rumah kayu pemberian arwah nenek setahun lalu itu.

“Saya kemudiannya bertindak mendukung anak-anak yang sedang tidur ke rumah ibu saudara yang terletak bersebelahan, sebelum pokok itu meranapkan terus rumah kayu kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Dalam kejadian itu, beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA) Perlis bersama jentera hadir membantu memotong dan mengalihkan pokok itu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejurus menerima laporan kira-kira jam 8.30 pagi.

Azizwazuraidi berkata, bumbung rumahnya kini terjejas teruk manakala beberapa beberapa peralatan dalam rumah seperti almari, televisyen dan katil rosak selepas dimasuki air.

“Saya dan keluarga selepas ini akan menumpang berteduh di rumah ibu di Kampung Patai, Jalan Batu Dua dekat sini buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.

Nyaris maut dihempap siling



BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 14 keluarga yang menghuni di tingkat empat Flat Tingkat Bukit Minyak, di sini, nyaris maut dalam kejadian ribut, malam kelmarin.

Lebih malang, semua bumbung yang terbang itu turut menghempap empat kereta yang di parkir di hadapan flat berkenaan.

Mangsa, Mohd Saad Che Long, 40, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.45 malam ketika sedang menonton televisyen, manakala anak dan isteri berada di koridor belakang rumah.

Menurutnya, angin kencang seakan puting beliung kelihatan dari luar rumah sebelum bumbung dan siling diterbangkan ribut.

“Saya kemudiannya bergegas membawa isteri dan anak keluar dari rumah, kerana bimbang perkara sesuatu yang lebih buruk berlaku.

“Apabila keluar rumah, tiga lagi rumah turut mengalami nasib sama,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dia berkata, kejadian itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan pada kebanyakan struktur rumah, malah perkakasan di dalamnya turut rosak.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, S Parameswary, 38, berkata, kejadian ribut itu adalah yang kedua selepas kejadian pertama lima tahun lalu.

Namun, ketika itu hanya bumbung zink sahaja yang terbang, tetapi kejadian kali ini adalah terburuk pernah berlaku.

Mereka sekeluarga panik seketika apabila siling tiba-tiba runtuh dan menghempap kepalanya dan bapa, R Subramaniam, 65.

Begitupun, mujur tiada kecederaan serius berlaku, hanya mengalami kesakitan pada bahagian berkenaan dan dibawa ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Hanya dalam beberapa minit sahaja semuanya musnah. Bumbung pula terbang dan rumah kami basah dimasuki air,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan akibat dari kejadian.

Bagi Hasrulnizam Ahmad, 34, pula, tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaannya selain bersyukur kerana masih dipanjangkan usia.

Katanya, walaupun ribut memusnahkan hampir keseluruhan rumah yang disewa sejak tiga bulan lalu itu, namun dia lega kerana dia sekeluarga terselamat dari kejadian yang hampir meragut nyawa mereka itu.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Hasrulnizam berkata, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu dan terdengar bunyi angin kuat di luar, tetapi tidak menyangka bumbung rumahnya akan tertanggal.

“Dalam keadaan panik, saya menahan siling dari runtuh bagi membolehkan isteri dan anak keluar. Jika tidak, pasti kami sekeluarga terperangkap di dalam rumah.

“Buat sementara waktu, kami mungkin akan menumpang di rumah mertua. Tetapi, kejadian ini benar-benar membuatkan kami trauma,” katanya.



Tergamam nampak bumbung terbang hempap kereta



Dalam pada itu, suri rumah, Che Sham Abdullah, 48, yang menghuni di tingkat dua flat berkenaan tergamam melihat bumbung terbang lalu menghempap deretan kereta yang diletakkan di hadapan flat, termasuk kereta milik suami, Abu Osman Abdullah, 51.

Dia yang sedang mengangkat baju dari ampaian ketika itu berkata, dia hanya mampu memerhatikan kejadian yang dianggap luar biasa.

“Saya dapat lihat dengan jelas bagaimana bumbung itu terbang dan terus menghempap kereta.

“Sejurus kemudian, barulah saya menjerit memanggil suami untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Abu Osman berkata, dia baru selesai menunaikan solat sebelum dikejutkan dengan panggilan isterinya.

Dia yang masih belum mengetahui apa yang berlaku pada mulanya hairan mendengar jiran di tingkat atas menangis.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila dimaklumkan isteri, kereta mereka dan beberapa jiran lain rosak dihempap bumbung.

“Kejadian ini sungguh dahsyat berbanding apa yang berlaku lima tahun lalu,” katanya yang menganggarkan nilai kerugian yang dialami keempat kereta berjumlah RM40,000.

Bapa maut, anak cedera parah



JITRA - Seorang bapa yang juga pembonceng motosikal berkuasa tinggi jenis Honda Goldwing maut selepas motosikal yang dinaiki bersama anaknya terbabas lalu merempuh pengadang tengah jalan di Kilometer 27.5 arah utara Lebuh raya Utara Selatan di sini, semalam.

Dalam kejadian berhampiran susur keluar Jitra kira-kira jam 2 petang itu, mangsa warga Singapura, Kang Hun Beng, 60, maut di tempat kejadian.

Manakala penunggang motosikal yang juga anaknya, Kang Wei Jae, 25, cedera parah pada bahagian pinggang dan dikejarkan ke Hospital Jitra bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin berkata, semasa kejadian, penunggang motosikal dipercayai gagal mengawal kenderaan mereka sebelum terbabas dan merempuh pengadang tengah jalan dan kebetulan pada masa itu keadaan cuaca hujan.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala anaknya yang cedera parah dikejarkan ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Difahamkan dua beranak itu dalam perjalanan ke Thailand untuk bercuti bersama dan mempunyai saudara-mara di Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang pekerja buruh binaan juga maut dalam satu kemalangan yang membabitkan motosikal dengan sebuah kereta di susur keluar simpang berdekatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam ketika hujan lebat dan ribut itu, mangsa, Muhammad Firdaus Shukri dari Kampung Mempelam, Changlun yang menunggang motosikal bertembung dengan sebuah kereta.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Jitra bagi tujuan bedah siasat.

“Berdasarkan laporan bedah siasat mangsa meninggal disebabkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan jenazah mangsa dituntut keluarga kira-kira jam 11 malam kelmarin,” katanya.

Kecurian di masjid menjadi-jadi



SUNGAI PASIR – Masjid Muhibuddin Sungai Pasir di sini, dicemari dengan aktiviti mencuri harta benda milik pengunjung dan kemudahan beribadat.

Mohamad Radzi Samsudin, 56, berkata, sesetengah golongan yang hadir ke masjid bukanlah ingin menunaikan ibadat semata-mata, malah ada antaranya mempunyai niat jahat tertentu tanpa disedari.

“Buktinya, berlaku kecurian di Masjid Muhibbudin Sungai Pasir melibatkan kehilangan harta benda milik orang awam sehingga menyusahkan orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Radzi berkata, pada 24 Mac lalu, semasa dia ke masjid berkenaan jam 2.45 petang, dia sedari tiga kipas yang dipasang didinding dipercayai dicuri sedangkan tiga kipas itu masih ada selepas dia menunaikan solat Zohor.

Menurutnya, sebelum ini, tabung derma masjid yang ditempah khas menggunakan keluli dan diletakkan di sudut hujung masjid turut menjadi sasaran pencuri.

“Kita tidak mahu menyalahkan anak muda yang sering melepak di pekarangan masjid tanpa mengira waktu siang malam atau pengunjung luar yang datang menunaikan ibadat.

“Tetapi apa yang pasti, sebuah tabung derma berisi wang berjaya dilarikan pencuri di mana wangnya diambil dan tabung berkenaan dijual kepada pemungut besi buruk,” katanya.

Radzi berkata, beberapa hari selepas kejadian itu, jemaah masjid yang juga merupakan petugas memandikan jenazah yang dikenali sebagai Pak Daud ternampak kotak tabung derma berkenaan berada di atas lori mengangkut besi buruk dipandu seorang lelaki.

“Pak Daud kemudian membeli semula tabung berkenaan dengan harga RM10 dan meletakkan kembali di tempat asalnya,” katanya.

Radzi berkata, kes kehilangan tabung derma masjid sudah dilaporkan sebanyak empat kali.

Menurutnya, seorang jemaah, Abu Jan, 41, kehilangan motosikal jenis EX5 miliknya sebaik sahaja keluar dari menunaikan Solat Isyak berjemaah.

“Walaupun membuat laporan polis, namun sehingga kini motosikalnya masih belum ditemui,” katanya.

Radzi berkata, masjid boleh dikunjungi oleh semua tanpa mengira usia, pangkat dan golongan tertentu dan sebaiknya tugas menjaga kebajikan masjid merupakan kewajipan setiap individu.

“Pemantauan bukan sahaja perlu dilakukan jawatankuasa masjid semata-mata malah, semua kariah, penduduk, pengunjung, orang ramai dan anak muda juga perlu memikul tanggungjawab berkenaan.

“Saya berharap orang yang melakukan perbuatan terkutuk ini segeralah bertaubat dari menyusahkan orang ramai selain perbuatan mencuri yang dilakukan dalam rumah Allah juga boleh dianggap satu dosa,” katanya.

Rumah roboh angkara ribut



ALOR SETAR - Tidak sampai satu jam hampir 120 rumah rosak di sini terutama di bahagian bumbung akibat diterbangkan ribut dan hujan lebat, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Di Parlimen Kuala Kedah, sebanyak 93 rumah terlibat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, 32 rumah, di DUN Pengkalan Kundor dan DUN Anak Bukit sebanyak 19 rumah.

Ribut dan hujan lebat yang berlaku itu turut mengakibatkan 27 rumah di DUN Bakar Bata mengalami kerosakan.



Beranikan diri bantu jiran

Sebuah rumah yang dihuni warga emas, Shafie Othman, 72, di Kampung Simpang Empat Kuar, Alor Janggus roboh akibat ribut yang berlaku di kawasan berkenaan kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Jirannya, Che Dah Rashid, 52, berkata, sewaktu kejadian dia berada di rumah jiran Shafie dan melihat dinding rumah yang dihuni lebih 20 tahun itu bergegar akibat ditiup angin kencang.

Che Dah berkata, setelah melihat kejadian itu, dia segera ke rumah Shafie dan mengarahkannya keluar menyelamatkan diri.

Menurutnya, kejadian yang berlaku begitu pantas dan hampir mengakibatkan Shafie dihempap pintu rumah.

“Shafie mengalami masalah pendengaran, jadi agak sukar untuk saya mengarahkan dia keluar dengan segera dan saya mengambil keputusan untuk membawa Shafie keluar dari rumah itu.

“Pada waktu itu saya hanya ingat nak selamatkan Shafie kerana bimbang perkara yang lebih buruk berlaku kerana dinding di rumahnya bergegar akibat ditiup angin,” katanya ketika ditemui.

Che Dah berkata, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan nyawa walaupun dia berdepan dengan risiko dihempap rumah berkenaan.

Jiran Shafie, Fatimah Bakar, 54, berkata, sewaktu kejadian dia sedang menunaikan solat Asar dan terdengar bunyi angin kuat.

Menurutnya, selesai menunaikan solat di bilik rumahnya dia segera turun dan bersembunyi di bahagian tandas yang berada di luar rumah.

“Saya turun kerana takut tinggal dalam rumah kerana rumah saya pada waktu itu bergegar dan sewaktu bersembunyi saya lihat bahagian bumbung rumah saya ditiup angin dengan kuat.

“Sebelum ini pernah berlakunya kejadian ribut di kawasan ini namun, tidaklah seteruk hari ini (kelmarin) sehinggakan rumah bergegar,” katanya.

Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Simpang Empat Kuar, Ibrahim Hussain berkata, sebanyak lima buah rumah di kawasan berkenaan rosak akibat kejadian ribut yang berlaku.

Ibrahim berkata, pada bulan lalu, kejadian ribut turut berlaku di kawasan berkenaan sehingga mengakibatkan jerami diterbangkan angin sejauh setengah kilometer.



Berpaut pada tiang khemah

Lain pula kisahnya di padang latihan paintball, Taman Jubli Emas, Suka Menanti apabila hampir 20 orang terpaksa berpaut pada tiang khemah bagi mengelakkan khemah diterbangkan angin kuta.

Pemain paintball, Khairul Anuar Baharom, 20, berkata, pada awalnya dia melihat angin yang kuat daripada arah barat dan tidak sampai 15 minit khemah yang dibina bergoyang dan hampir terbang.

Menurutnya, hampir 45 minit pemain paintball di kawasan berkenaan terpaksa berpaut pada tiang khemah berkenaan.

“Sebelum ini pernah berlaku kejadian ribut namun, kali ini lebih teruk kerana saya dapat lihat sendiri tiang pada khemah itu juga bengkok,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan berkenaan juga mendapati beberapa tiang lampu dan tiang bendera di kawasan taman riadah berkenaan tumbang.

Tergamam lihat atap terbang



POKOK SENA - Sebuah keluarga di Kampung Telaga Bata, Mukim Limbong tergamam melihat bumbung rumah mereka diterbangkan angin ribut satu demi satu sehingga akhirnya hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin hanya dalam masa setengah jam.

Mangsa, Izwan Shahdan, 26, berkata, dia dan ibu bapanya tidak mampu berbuat apa-apa berikutan tiupan angin begitu kencang.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun pada awalnya melihat keadaan ribut itu sangat luar biasa.

“Paling penting adalah tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa dan kami sekeluarga selamat daripada bencana ini yang mengakibatkan kami mengalami kerugian sehingga RM6,000,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini.



Laung azan selepas lihat angin kencang



Kejadian yang sama turut berlaku di Taman Seri Kota sehingga menyebabkan bumbung surau taman itu diterbangkan angin. Keadaan itu juga memaksa penduduk taman menutup bahagian berkenaan dengan plastik bagi mengelak air masuk ke dalam surau dan merosakkan karpet dan perabot lain.

Penduduk taman, Abdullah Arshad, 50 berkata, dia yang baru sahaja pulang dari bekerja terkejut melihat angin kuat sebelum berlari masuk ke dalam rumahnya yang bersebelahan dengan surau berkenaan.

Menurutnya, angin yang terus bertiup kencang menyebabkan bumbung surau terangkat menyebabkan dia berlari masuk ke dalam surau dan melaungkan azan bagi meredakan keadaan.

“Semasa angin yang kuat itu bertiup, saya seperti terdengar orang berlari-lari kuat di atas bumbung dan saya mengambil keputusan untuk melaungkan azan dalam surau berkenaan.

“Selain bumbung surau ini yang rosak, rumah saya juga mengalami sedikit kerosakan kesan dari ribut ini,” katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Datuk Mohd Roshidi Osman.



Pokok kekabu hempap rumah



Di Kampung Masjid Lama, Mukim Tualang pula, lima sekeluarga di sini terpaksa keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri dan pada waktu yang sama sebatang pokok kekabu berhampiran rumah turut tumbang dan menghempap dapur rumah berkenaan.

Penduduk, Md Isa Abdullah, 57 berkata, mereka sekeluarga terpaksa melarikan diri selepas melihat ribut yang disifatkan sangat luar biasa.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak ada ahli keluarga lain yang berada di bahagian dapur rumahnya dan kesan daripada kejadian berkenaan dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

“Kami sekeluarga berlari keluar rumah dan berlindung di sebuah rumah saudara kami, selepas melihat keadaan rumah kami bergegar,” katanya.

Ribut turut menerbangkan bumbung tapak perhimpunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Barathy, Jalan Stadium dan bumbung tiga bilik darjah sekolah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, K Maniam berkata, akibat kejadian itu bekalan elektrik bagi bangunan tiga buah bilik darjah itu turut terputus.

Menurutnya, kejadian berkenaan tidak membabitkan kemalangan jiwa kerana semua pelajar dan kakitangan pelajar sudah pulang. Kejadian itu turut mendapat perhatian ADUN Derga, Dr Cheah Soon Hai.

Sinar Harian difahamkan terdapat kira-kira 16 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang turut terlibat.

Antaranya Taman Seri Kota, Taman Satria, Kampung Hutan Gelam, Kampung Tebu, Kampung Pengkalan Kerian, Kampung Lengkuas, Kampung Hutan Pulai, Kampung Bohor dan Kampung Telaga Bata dan hanya satu rumah di DUN Bukit Lada iaitu di Derang.

Terkedu kena serbu

 

SEREMBAN – Seorang pengusaha bengkel pengimpal besi terkedu apabila bengkelnya diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi khas yang dilakukan di Kampung Jiboi, Ampangan, di sini, semalam.

Sepasukan enam pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (BHEPPP SPAN), Mohadir Hid melakukan serbuan berkenaan, bermula jam 12 tengah hari.

Ketika serbuan, pemilik premis dipercayai berumur lingkungan 40-an itu bagaimanapun tidak melarikan diri dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang mahu menjalankan pemeriksaan.

Jurucakap Sains berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan curi air di bengkel berkenaan, sejak sebulan lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik premis membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis High Density Polyethylene (HDPE) bersaiz 20 milimeter,” katanya.

Pelajar jumpa bom lama di kebun getah

 

HULU LANGAT – Polis menemui sebutir bom jenis lama berukuran lilit 107 sentimeter (cm) dan panjang 102 cm di sebuah lokasi tanam semula kebun getah di Sungai Long, semalam.

Difahamkan bom berkenaan dijumpai salah seorang pelajar sekolah yang mengadakan aktiviti persekolahan dikawasan berkenaan pada 25 Mac lalu sebelum memaklumkan kepada bapanya.

Pada mulanya pelajar berkenaan bimbang dimarahi bapanya bertindak menyembunyikan perkara berkenaan namun memaklumkan juga perkara berkenaan kepada bapanya yang segera menelefon polis untuk mendapatkan bantuan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian di kawasan tanam semula kebun getah yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Lebuh Raya Sungai Long – Semenyih.

“Setibanya di lokasi polis telah menemui sebutir bom jenis lama berukuran lilit 107 sentimeter (cm) dan panjang 102 cm.

“Unit pemusnah bom telah dimaklumkan dan usaha meletupkan bom berkenaan akan diadakan pada esok pagi (hari ini)”, katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menghubungi polis dan balai polis berhampiran sekiranya menemui sebarang objek yang mencurigakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Polis menyeru kepada masyarakat yang menemui atau mengetahui sebarang penemuan objek yang mencurigakan agar segera menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

“Kerjasama masyarakat setempat amatlah diperlukan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini”, katanya.

Polis tahan 22 remaja lelaki



PEKAN – Polis berjaya menahan 22 remaja lelaki bersama 14 motosikal semasa Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar kawasan Pulau Serai dan Peramu, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, sebanyak 80 peratus daripada remaja itu adalah pelajar berusia dalam lingkungan 14 hingga 17 tahun manakala selebihnya berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Menurutnya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk menjalani pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Pelbagai kesalahan dikesan semasa operasi itu antaranya tiada lesen motosikal, tidak memakai topi keledar serta ketiadaan cukai jalan yang sah. Malah, enam motosikal yang ditahan tidak mempunyai cukai jalan dan semua ibu bapa serta penjaga turut dipanggil serta-merta ke balai polis.

“Sebanyak 34 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan. Saman itu dikenakan ke atas ibu bapa dan penjaga selaku pemilik kenderaan terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Amran berkata, operasi yang bermula lewat petang kelmarin itu merupakan hasil daripada aduan dan maklumat daripada orang ramai berhubung ‘senario’ mat rempit yang semakin berleluasa di kawasan itu.

Menurutnya, seramai enam pegawai dan anggota Bahagian Trafik dan Unit Pencegahan Jenayah IPD Pekan yang berpakaian biasa membuat pemantauan serta sekatan sebelum menahan semua remaja terbabit dalam tempoh masa dua jam.

“Kita berjumpa dengan semua ibu bapa terbabit untuk memberi amaran awal, selain sesi kaunseling dan nasihat kepada remaja yang ditahan sebagai langkah memupuk kesedaran mengenai tindakan mereka yang melanggar undang-undang.

“Kita juga berusaha mengatasi masalah rempit secara tuntas dan berkesan untuk mengelak kegiatan ini memberi kesan buruk kepada pengguna lain yang mengamalkan sikap berhemah ketika di jalan raya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawal pergerakan anak masing-masing selain tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen serta cukai jalan kerana ia mampu membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

Rugi kira-kira RM15,000



KAMPUNG RELAI - “Ketika kejadian rompakan berlaku, saya baru selesai solat dan tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan adik ipar yang meminta tolong dan menyatakan bahawa rumahnya dimasuki perompak.

Demikian kata Ibrahim Deris, 75, mengenai kejadian rompakan yang berlaku di rumah adik iparnya, Nasarudin Omar, 48, yang tinggal kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dalam kejadian terbabit, adik iparnya bersama isteri, Che Minah Che Ali, 45, serta anak kedua mereka, Nazmiza Hazimasuriati, 26, yang tidur di dalam dua bilik berasingan di tingkat atas rumah mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga perompak bersenjatakan parang dan pisau yang memecah masuk rumah mereka.

“Ketika kejadian, adik ipar sekeluarga sedang lena tidur sebelum didatangi tiga perompak yang datang dari arah dinding yang sedia terbuka di bahagian dapur,” katanya.

Menurut Ibrahim, mereka mengikat tangan dan kaki adik ipar menggunakan tali kipas manakala isteri dan anak perempuannya diikat menggunakan kain tudung.

“Selain itu, mereka turut mencederakan adik ipar dan isteri dengan menumbuk serta terajang di bahagian badan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ibrahim berkata, dia sekeluarga terkejut apabila mendapati mangsa melaung namanya dari luar kawasan rumah kira-kira jam 3 pagi dan menyatakan terdapat tiga perompak memasuki rumahnya.

“Menurut adik ipar, selepas perompak melarikan diri, Che Minah berjaya melepaskan ikatan kain tudung yang mengikat pergelangan tangan dan kaki serta turut melepaskan ikatan suami dan anak mereka.

“Setelah yakin perompak tiada di kawasan rumah mereka, Nasarudin bertindak lari ke kawasan halaman rumah dan memanggil kami sekeluarga mendapatkan bantuan,” katanya.

Ibrahim berkata, setelah mendengar jeritan mangsa, mereka sekeluarga segera menuju ke rumah tersebut untuk membantu mangsa sekeluarga dan turut cuba mengesan perompak itu.

“Selain membuat laporan polis di Balai Polis Kerambit, ahli keluarga juga cuba mengesan perompak di sekitar kawasan kampung namun usaha kami hanya sia-sia,” katanya.

Ibrahim berkata, kes tersebut adalah kejadian pertama berlaku di rumah yang didiami oleh adik iparnya dan menjadi mimpi ngeri bagi mereka sekeluarga kerana hampir meragut nyawa ahli keluarganya.



Kerugian RM15 ribu



Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut berkata, rompakan berlaku sekitar jam 2.15 pagi di sini, awal pagi kelmarin.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila tiga suspek di mana dua daripadanya bersenjatakan sebilah parang dan pisau serta memakai kain sarung sebagai penutup muka memecah masuk rumah mangsa dengan memanjat bahagian dinding dapur yang sedikit terbuka,” katanya.

Abdul Razak berkata, salah seorang daripada suspek mengarahkan isteri mangsa, Che Minah menunjukkan tempat menyimpan barang kemas dan wang tunai.

Menurutnya, suspek lain bertindak mengejutkan anak perempuan mangsa yang tidur di bilik bertentangan sebelum dibawa ke bilik orang tuanya serta diikat kaki dan tangan.

“Tiga perompak itu mempunyai tugasan masing-masing di mana seorang bertindak menggeledah rumah tersebut bagi mencari barangan berharga, seorang bertindak mengawasi keadaan sekitar dengan memegang pisau manakala seorang lagi suspek mengawasi mangsa dengan memegang parang.

“Ketika berulang alik di sekitar bilik tersebut, suspek yang memegang pisau ternampak bekas senapang dan bertindak meminta senapang tersebut daripada mangsa,” katanya.

Abdul Razak berkata, risau dengan keselamatan ahli keluarga, Nasarudin bertindak memberitahu tempat letak senapang tersebut di bahagian belakang almari ruang tamu rumah mereka.

Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak mengambil senapang tersebut manakala suspek lain yang menggeledah rumah tersebut berjaya menemui sebuah komputer riba dan dua telefon bimbit.

“Suspek turut merampas dua cincin emas, dua gelang tangan, sepasang subang dan seutas rantai serta turut melarikan komputer riba, telefon bimbit dan tunai RM5,200.

“Suspek juga mengambil kunci van milik mangsa dan melarikan van terbabit kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa dan meletakkannya di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.

Abdul Razak berkata, adalah dipercayai terdapat seorang lagi suspek yang memandu kenderaan lain menunggu di kawasan ladang kelapa sawit tersebut dan kesemua suspek bertindak memindahkan barangan rompakan tersebut ke dalam kenderaan itu.

Menurutnya, ketika siasatan dijalankan, pihak polis dengan bantuan penduduk kampung menemui sepucuk senapang dipercayai milik mangsa di kawasan pagar rumah itu.

“Pihak kami menemui senapang itu di kawasan semak di luar pagar rumah mangsa dan kami percaya senapang itu milik mangsa yang dilarikan perompak ketika kejadian tersebut berlaku.

“Menurut mangsa, ketiga-tiga suspek berdialog dalam loghat Indonesia,” katanya.

Abdul Razak berkata, dalam kejadian rompakan yang berlaku kira-kira 45 minit itu, perompak berjaya melarikan barangan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM15,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan Samun Berkumpulan Tanpa Senjata Api dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

“Saksi yang tahu mengenai kejadian rompakan tersebut atau mengetahui tentang kumpulan terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk membantu siasatan,” katanya.

Bertarung nyawa



KUALA ROMPIN - Jaket keselamatan serta pengalaman menyelam berjaya menyelamatkan empat pekerja bot kargo daripada mati lemas selepas bot yang mereka naiki karam di Perairan Tanjung 100, Kuala Rompin, di sini, malam kelmarin.

Kesemua daripada mereka terapung kira-kira 12 jam sambil berpaut sesama sendiri berada dalam kesejukan dan cemas dilambung ombak ketika kepekatan malam dan hujan lebat.

Keempat-empat mangsa ialah, tekong bot, Sani Awang Ali, 57, dan Fong Tong Loi, 61, masing-masing beralamat di Kampung Bahagia Mersing, manakala, Shah A/L Lenggok, 33, dan Irawan Tiow, 27, pula dari perkampungan Orang Asli Kampung Labung, Endau, Mersing.

Mereka yang dilaporkan hilang lewat malam semalam akhirnya berjaya dikesan oleh sepasukan polis bersama Ahli Persatuan Memancing Kuala Rompin selepas kesemua mereka berjaya diselamatkan kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kejadian penuh dramatik itu bermula kira-kira jam 8.30 malam, iaitu ketika hujan lebat, selepas dua jam mereka bertolak dari Jeti Endau Tanjung Gemok menuju ke Jeti Jabatan Laut, Bandar Lama Kuala Rompin.



Detik cemas ketika bot mulai karam



Sani: berkata, kejadian itu disedari selepas mendapati enjin bot kargo yang dibawanya itu dipenuhi air hingga menyebabkan lantai bot turut dinaiki air laut secara perlahan-lahan.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila bot dipenuhi air menyebabkan mereka semua memutuskan untuk terjun ke dalam laut dan berpaut dalam satu kumpulan sebelum bot itu tenggelam.

“Sebelum bot tenggelam kami sempat menghubungi polis dan kerani tempat kami bekerja supaya dapat memaklumkan segera kepada pihak berkaitan berhubung masalah yang kami hadapi di tengah laut.

“Dalam tempoh itu juga saya nasihatkan rakan-rakan supaya tidak panik dan memakai jaket keselamatan serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sebaik saja bot terbalik,” katanya kepada Sinar Harian.



Tidak putus berdoa



Menurutnya, sebaik saja keempat-empat mereka berada di dalam laut mereka berada dalam ketakutan, namun tetap menguatkan semangat berjuang meneruskan hidup.

“Di dalam hati ini, saya tidak putus-putus berdoa dan berzikir kepada Allah SWT dan berharap supaya kami segera diselamatkan,” katanya.

Sani berkata, akibat paras suhu air laut yang rendah dan sejuk menyebabkan dia mengalami kekejangan pada bahagian kaki, namun bernasib baik kerana mempelajari asas regangan ketika berada di laut.

“Beberapa kali kaki saya kejang akibat kesejukan ketika di dasar laut, tetapi dengan asas keselamatan yang dipelajari saya mampu bertahan untuk tempoh yang lama,” katanya.



Perut lapar, seluruh badan kesejukan



Seorang lagi mangsa, Irawan berkata, kejadian yang dialami itu adalah detik yang tidak akan dilupakan sepanjang dia menjadi pekerja bot kargo itu apabila terpaksa bertarung nyawa di atas laut.

“Di dalam laut yang gelap kami membentuk formasi antara kami dalam bentuk bulatan dan terpaksa berpaut antara satu sama lain, selain terpaksa bersengkang mata kerana bimbang hanyut dipukul ombak pada ketika itu,” katanya.

Irawan yang juga suku kaum Orang Asli berkata. ketika di laut, dia berada dalam keadaan lapar serta kesejukan terlampau, namun tetap menempuhinya juga untuk terus hidup dan selamat.

“Saya tidak mahu mati di sini (dalam laut) kerana jika mati sekali pun biar jasad saya disemadikan di dalam tanah perkuburan dan bukan di lautan luas seperti itu,” katanya.



Kuatkan semangat untuk hidup



Tong Loi berkata, meskipun usianya sudah tua, namun kudratnya meneruskan kehidupan masih ada dan tidak mahu nyawanya melayang di tengah lautan terbabit dengan mudah.

“Kalau tiada semangat macam mana mahu balik semula ke darat, saya perlu kuat hadapi semua ini walaupun kudrat saya tidak lagi kuat seperti waktu muda dahulu, namun ia bukan penghalang untuk saya terus berjuang bersama rakan lain,” katanya.

Menurutnya, saat-saat genting itu akan diingatinya sepanjang hidup kerana menjadikannya lebih bersemangat dan berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri selepas ini.

Rakannya, Shah berkata, sebaik sahaja tiba di darat, seluruh anggota badannya menjadi lemah dan tidak berdaya berikutan seluruh tenaganya dikerahkan ketika menentang ombak di lautan.

“Saya tidak berdaya lagi, tapi keadaan sudah semakin pulih namun ia memerlukan rehat yang secukupnya untuk kembali normal,” katanya.



Isteri syukur suami terselamat



Isteri Sani, Jariah Mohd Shah, 58, berkata, dia tidak putus-putus mendoakan suaminya itu selamat sejak diberitahu polis berhubung dengan apa yang berlaku ke atas suaminya.

“Dalam hati saya tekad mengatakan bahawa suami selamat sejak keluar dari rumah dan Alhamdulillah telahan saya menjadi kenyataan apabila dia selamat kembali semula ke darat,” katanya.

Dentuman kuat menakutkan



MARANG – Sebuah kedai dalam pembinaan ranap manakala seorang remaja nyaris maut dalam dua kejadian pokok tumbang iaitu di Kampung Pasir Puteh, Merchang dan Kelulut di sini, berikutan kejadian hujan lebat dan angin kencang melanda daerah ini sejak kelmarin.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari di Kampung Pasir Puteh kelmarin, mangsa, Juliana Abdullah, 26, berkata, dia pasti punca pokok kelapa itu tumbang mendadak dan meranapkan kedai milik bapanya, Mohd Jaafar Mohd Hassan, 55, disebabkan angin kencang.

“Saya tergamam apabila terdengar bunyi dentuman kuat, disusuli serpihan kepingan atap berterbangan sejurus selepas sebatang pokok kelapa tiba-tiba tumbang dan menghempap kedai milik ayah. Ketika itu saya hanya sempat tunduk dalam ketakutan,” katanya.

Juliana berkata, ketika kejadian, dia berada di gerai jagung milik keluarganya yang terletak beberapa meter sahaja dari lokasi kejadian, sebelum berlari ke arah rumah di belakang kedai milik bapanya yang musnah selepas pokok kelapa tumbang.

Sementara itu, Mohd Jaafar berkata, kejadian itu turut memusnahkan atap rumah mereka yang terletak di belakang gerai itu.

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke sekolah berdekatan untuk mengambil cucu pulang ke rumah. Hanya isteri, Fatimah Yusof berada di rumah ketika itu manakala Juliana berada di gerai menjual jagung di hadapan rumah.

“Saya amat bersyukur kerana cucu masih belum pulang. Jika tidak, saya tidak dapat bayangkan nasib yang bakal menimpanya kerana dia sering bermain di kawasan kedai itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kejadian itu, Mohd Jaafar mengalami kerugian kira-kira RM25,000 hasil simpanannya selama 15 tahun berniaga jagung secara kecil-kecilan di hadapan rumah, setelah kedai dalam pembinaan itu musnah sama sekali dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri yang berada di rumah ketika itu selamat,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kampung Kelulut, semalam, seorang remaja, Mohd Tarmizi Mohd Nor, 19, yang sedang nyenyak tidur nyaris maut apabila sebatang pokok kelapa tumbang di bahagian bilik tidur rumah keluarganya.

“Saya hanya tersedar apabila mendengar dentuman kuat yang cukup menakutkan. Nasib baik pokok itu tumbang menghempap atap bilik sebelah,” kata Mohd Tarmizi mengenai kejadian jam 7.30 pagi itu.

Menurutnya, cuaca ketika itu hujan berserta angin kuat dan dia juga pasti punca pokok kelapa itu tumbang mendadak disebabkan faktor itu.

Sementara itu, bapanya, Mohd Nor Yaacob, 49, berkata, ketika kejadian, hanya Mohd Tarmizi berada di rumah manakala dia dan empat lagi anaknya serta isteri tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Saya bersyukur Tarmizi selamat walaupun terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,800,” katanya.

Nasib keluarga ini turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berkucupan dalam kereta



KAMPUNG RAJA – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditahan ketika sedang bermadu kasih dengan pasangannya di dalam sebuah kereta dihukum denda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berkhalwat pada Disember 2007.

Wanita berusia 21 tahun yang menuntut di sebuah IPT di Maran, Pahang itu membayar denda yang diperintahkan Hakim Syarie Mohd Nazri Yusof, manakala pasangannya telah dikenakan denda RM2,200 pada September 2008.

Dia itu didakwa mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, satu tangkapan khalwat telah dilakukan terhadap pasangan itu yang berada dalam sebuah kereta yang berhenti berhampiran Kem Seri Keluang dekat Bukit Keluang, kira-kira jam 3.40 petang, pada 9 Disember 2007.

Menurut fakta, ketika itu pintu kereta tertutup rapat dan penguat kuasa mendapati lelaki mencium pipi tertuduh serta kedua-duanya berkucupan mulut.

Ketika ditahan, tertuduh lelaki berusia 19 tahun beralamat di Kampung Gong Nangka, Jerteh bekerja sebagai buruh, manakala tertuduh perempuan berusia 17 tahun beralamat di Kampung Padang Luas Dalam adalah seorang penuntut.

Terdahulu, mahkamah menegur sikap tidak bertanggungjawab tertuduh perempuan itu yang sebelum ini lebih 20 kali gagal hadir ke mahkamah bagi mendengar kesnya sejak 2008.

Dalam rayuannya, penuntut itu yang hadir ditemani ibunya merayu mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana masih belajar.

Sementara itu, Nik Mohd Shahril Irwan dalam penghujahannya meminta penuntut itu dikenakan hukuman berat yang setimpal kerana sebagai seorang yang terpelajar, tidak wajar dia melakukan perbuatan tidak bermoral itu yang boleh menjurus kepada perbuatan zina.

Beliau berkata, masalah moral termasuk gejala sosial dalam kalangan penuntut semakin serius memandangkan banyak pengakuan dibuat tertuduh lain semasa disoal siasat penguat kuasa Pejabat Agama sebelum ini mengaku pernah terlanjur dengan pasangan lain.

Peniaga dituduh edar dadah



KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis pada 2 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Izudin Yusof, 29, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Selepas mempertimbangkan pengakuan tidak bersalah tertuduh, hakim menetapkan 21 hingga 23 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Hazeelia Muhammad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Yasin Aminuddin Anwar.

Mengikut fakta kes, pada 2 Oktober tahun lalu, jam 9 malam, tertuduh dituduh mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 208 gram di tepi jalan Kampung Mengabang Telipot.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39b (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 b (2) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Miliki dadah: Kena hukuman sebat



KOTA BHARU – Seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin berdepan hukuman sebat tidak kurang tiga hingga sembilan sebatan selepas mengaku sebagai pemilik 2.45 gram Heroin, Januari lalu.

Hashim Ab Manaf membuat pengakuan salah itu di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsuddin di mahkamah tersebut, semalam.

Lelaki 32 tahun itu dituduh memiliki dadah berkenaan ketika berada di alamat Lot 1484 Kampung Padang Layang, Kota Bharu, jam 3.20 petang.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Hashim boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga sehingga sembilan sebatan rotan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 sementara menunggu tarikh hukuman dijatuhkan, 28 April depan.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Raya, Asisten Superintenden Ridhwan Phang Abdullah.

Sempat guna sehari



WAKAF AIK – Seorang kontraktor hanya sempat menggunakan pacuan empat rodanya sehari sebelum ia hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor, tengah hari semalam.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.52 tengah hari dan bergerak keluar pada jam 12.53 tengah hari.

Menurutnya, kekuatan sebuah jentera bersama tujuh anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 1.10 tengah hari dan berjaya menamatkan operasi pada jam 1.35 tengah hari.

“Kenderaan yang terlibat ini jenis Mitsubishi Storm yang dikatakan dibeli semalam oleh pemiliknya.

“Pemilik kenderaan ini meletakkan kenderaannya di tepi jalan berhampiran tapak projek kerjanya dan seketika kemudian dia melihat kenderaannya berasap dan mengeluarkan api,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, pemilik pacuan empat roda berkenaan, Wan Noor Zairi Wan Jaafar, 36, berkata, dia cuma mampu menyaksikan kenderaan Mitsubishi Storm yang baru dibeli kelmarin untuk kegunaan syarikatnya dengan harga RM43,000 hangus terbakar di depan mata.

“Saya baru sahaja meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan untuk singgah ke tempat projek. Kira-kira 10 minit selepas itu, saya nampak asap keluar dari kenderaan itu sebelum nampak api di bahagian bonet depan,” katanyasemalam.

Mengakui terkejut dengan kejadian itu, namun dia bersyukur kerana kebakaran tidak berlaku semasa dia berada di dalam kenderaan.

Wan Noor Zairi yang bertugas sebagai pengurus projek Wanajitu Construction berkata, dia tidak pasti punca kebakaran namun ada merasai sesuatu yang tidak kena pada kenderaan itu semasamemandunya.

Mati terbakar atas kereta api

v>

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat di atas bumbung kereta api.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat di atas bumbung kereta api.

MAUT...anggota polis mengusung mayat mangsa.
MAUT...anggota polis mengusung mayat mangsa.

RAWANG: “Sebaik terdengar letupan dan diikuti orang menjerit, saya keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat badan seorang lelaki terbakar dipercayai akibat terkena renjatan elektrik,” kata pemandu kereta api, Zalani Noor, 49.
Berikutan kejadian kira-kira jam 5.45 pagi semalam itu, mangsa yang belum dikenali identitinya melecur hampir 40 peratus badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. 
Mangsa bersama dua rakannya dipercayai menceroboh masuk ke kawasan Stesen Komuter Rawang, di sini, semalam, untuk mencuri besi buruk daripada gerabak kereta api yang tidak lagi digunakan di kawasan itu sebelum terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi.

Zalani yang tinggal di kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran tempat kejadian berkata, sejurus terdengar letupan dari belakang rumahnya dia menjenguk ke luar rumah melalui tingkap.

“Ketika itu saya melihat kebakaran di sebuah gerabak kereta api lama di kawasan stesen itu.

“Tidak lama kemudian saya terdengar orang menjerit meminta tolong. Saya ke tempat kejadian dan melihat dua lelaki cuba memadam api yang menyambar rakan mereka.

“Selepas gagal memadam api itu, kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan rakannya dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Zalani berkata, gerabak yang terbakar itu sudah dua tahun terbiar dan sering didatangi penagih dadah bagi mencuri besi buruk untuk dijual.

“Saya percaya kumpulan lelaki tiga itu turut ingin melakukan melakukan kegiatan sama, namun tidak bernasib baik apabila seorang daripada mereka maut terkena renjatan elektrik,” katanya.

Zailani memaklumkan kejadian itu kepada pengurus stesen berkenaan sebelum mereka membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya menemui mayat seorang lelaki di atas bumbung satu daripada gerabak kereta api yang terbiar itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 40 peratus badan mangsa melecur akibat terkena renjatan dari kabel elektrik bervoltan 25 kilovolt (KV).

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan identiti mangsa belum dikenal pasti,” katanya.

Difahamkan, polis tidak menemui peralatan untuk memotong kabel di sekitar tempat kejadian dan situasi itu menunjukkan kemungkinan mangsa bersama dua rakannya mahu mencuri besi buruk dan bukan mencuri kabel.

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya difahamkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan keseluruhan anggota badan terbakar teruk.

“Jarak bumbung gerabak tempat mayat mangsa ditemui dengan kabel kira-kira satu meter menyebabkan risiko untuk terkena renjatan elektrik amat tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Fazil berkata, jumlah voltan yang terkandung dalam kabel di stesen berkenaan sebanyak 25KV dan sesiapa saja yang terkena renjatan akan terbunuh.

“Gerabak kereta api berkenaan dua tahun tidak digunakan, namun kejadian ini tidak menjejaskan operasi perkhidmatan KTMB,” katanya.

Pembuat roti fitnah pesaing dijel 18 bulan


SEOUL: Mahkamah Korea Selatan, semalam menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas seorang pembuat roti yang memuat turun gambar sebuku roti mengandungi tikus mati dalam usaha mencemari reputasi kedai pesaingnya.
Pembuat roti berusia 35 tahun itu mendakwa dalam satu laman web popular bahawa dia menemui tikus dalam roti yang dibeli dari kedai roti berkenaan sejurus sebelum Krismas tahun lalu.

Kim yang mempunyai cawangan kedai roti di Pyeongtaek, kira-kira 70 kilometer di selatan Seoul mengakui dia memalsukan kejadian itu bagi menjatuhkan reputasi kedai pesaing dan memajukan perniagaannya. Hukuman berat tidak dapat dielakkan terhadap defendan kerana dia dengan sengaja merancang jenayah hingga menyebabkan kerugian perniagaan pesaingnya,” kata Mahkamah Daerah Pusat Seoul seperti mana dipetik agensi berita Yonhap. - AFP

Ibu sakit rindu anak menghilang 13 tahun lalu


KOTA BHARU: “Siti, pulanglah segera dik. Ibu sedang menderita kerana terlalu rindukan kamu.” Begitulah rayuan seorang abang kepada adik bongsunya, Siti Norbahyah Harun, 28 (gambar) yang menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Puteh, Telipot, dekat sini, kira-kira 13 tahun lalu.
Rozali Harun, 43, berkata, mereka mengharapkan kepulangan adik bongsunya itu, selain menjenguk ibunya, Mek Wok Mohamed, 69, yang kini menghidap penyakit lelah kronik.

Rozali berkata, ibunya kerap menerima rawatan di hospital.

“Kami semua tidak tahu di mana dia berada dan kali terakhir dapat berhubung kira-kira 10 tahun lalu selepas dapat bercakap melalui telefon.

“Ketika itu dia menyatakan dirinya dalam keadaan selamat dan berada di Seremban, selain bekerja kilang tanpa memberitahu alamat tepat,” katanya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat di mana Siti Norbahyah berada diminta hubungi Rozali di talian 019-9896196 atau kakaknya, Siti Hawa di talian 017-6813281.

Lari bawa adik


KUALA LUMPUR: Seorang bapa dalam kebimbangan selepas anak tirinya yang berperwatakan ‘tomboi’ melarikan diri dari rumah bersama teman wanita dengan membawa sekali adik tirinya berusia 12 tahun sejak dua minggu lalu.
Mohd Suhairi Salleh, 38, berkata, dia terkejut apabila anak tirinya itu, Nurul Zahirah Syuhaida Ja’afar, 15, melarikan diri dengan membawa anak kandungnya, Nor Zulayka dalam kejadian 11 Mac lalu.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang kakak Nurul Zahirah apabila mendapati gadis itu membawa adik tirinya keluar dari rumah bersama beg pakaian selepas menginap satu malam di rumah sewa kakaknya itu di Persiaran Puchong Jaya Selatan.

“Ketika itu cuti sekolah dan kedua-duanya pergi ke rumah kakak Nurul Zahirah dan tidur di situ sebelum mereka melarikan diri bersama teman wanita anak tiri saya itu yang hanya dikenali sebagai Sara,” katanya.

Mohd Suhairi berkata, Nurul Zahirah Syuhaida sememangnya agak sukar dikawal serta dipercayai berkenalan dengan teman wanitanya berusia 16 tahun yang tidak lagi bersekolah ketika tinggal bersama neneknya di Lembah Subang.

Mohd Suhairi meminta bantuan orang ramai yang mengetahui di mana anaknya itu berada supaya menghubunginya di talian 016-3859643 atau 017-2096167 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Suspek direman bergelar Datuk


KUANTAN: Wang tunai berjumlah ratusan ribu ringgit serta lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan adalah antara bahan bukti yang disita ketika serbuan sepasukan pegawai dan anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Bank Negara Malaysia serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di rumah milik pegawai kanan kastam negeri di Temerloh, semalam.
Pegawai kanan berpangkat Datuk dan isterinya yang berusia dalam lingkungan 50-an itu kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memperoleh dan menyetujuterima suapan daripada ejen membabitkan wang dipercayai berbilion ringgit. Kedua-duanya akan dituduh mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Reman dikeluarkan Majistret Nordiana Abdul Aziz kira-kira jam 4.30 petang, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Pegawai Pendakwa SPRM, Raja Mohd Shasrizam Raja Nik Mahmud, berkata tertuduh dan isteri direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntuk denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengeluarkan reman tujuh hari, namun mahkamah mengarahkan perintah reman hanya empat hari bermula hari ini (semalam).

“Kedua-dua tertuduh ditemui pegawai SPRM di kediaman mereka di Temerloh semalam (kelmarin),” katanya.

Duit berselerak


PUTRAJAYA: Sepasang suami isteri yang juga pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Wilayah Timur ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wang tunai bernilai ratusan ribu ringgit turut ditemui berselerak dalam rumah mereka, kelmarin.
Mereka ditahan dalam satu operasi bersepadu yang diketuai pasukan tindakan khas SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) serta lima agensi lain yang dilakukan secara serentak di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ketua Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata pasangan suami isteri itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam perlakuan jenayah rasuah.

“Ketika serbuan, kita menjumpai wang tunai berselerakan di rumah pasangan suami isteri terbabit dalam jumlah ratusan ribu. Berikutan itu, kami menahan mereka berdua untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Mustafar berkata, dalam operasi yang bermula jam 10 pagi hingga tengah malam itu, pasukan terbabit menyerbu 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM.

“Selain menahan dua individu berkenaan, kami turut menyita lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasasan 2001,” katanya.

Katanya, serbuan ke atas entiti berkenaan dilakukan kerana dipercayai terbabit dengan pengisytiharan cukai kastam di bawah harga sebenar, mengelakkan cukai pendapatan, aktiviti pengubahan wang haram dan pengaliran wang secara tidak sah ke luar negara yang membabitkan nilai berbilion ringgit.

Menurutnya, semua aktiviti itu membabitkan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Kami percaya pelaku kesalahan itu didalangi satu sindiket memandangkan modus operandi yang dijalankan berselindung di sebalik pengurup wang di negara ini untuk melakukan transaksi pembayaran tidak sah.

“Ini kerana ia turut membabitkan beberapa pihak termasuk agensi, individu dan pihak ketiga,” katanya.

Lubang angin jadi laluan penyamun


KUALA LIPIS: Tiga penyamun bersenjatakan parang menyusup masuk melalui lubang angin sebelum mengikat tiga beranak, dalam kejadian samun rumah kedai di Kampung Relai Kerambit, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, tiga penyamun mengikat mangsa dan ahli keluarganya menggunakan wayar kipas dan tudung sebelum menggeledah dalam rumah mangsa.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 47 tahun bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia 25 tahun nyenyak tidur dikejutkan tiga penyamun terbabit sebelum dikumpulkan penyamun berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, tiga penyamun menggunakan kain pelekat menutup muka mereka dan mengarahkan mangsa mendiamkan diri.

Menurutnya, suspek menyelongkar bilik mangsa sebelum menemui beg menyimpan senapang patah dan meminta mangsa menunjukkan lokasi senjata itu disimpan.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek menggugut mencederakan isteri mangsa jika enggan bekerjasama sebelum mangsa terpaksa memberitahu bahawa senjata itu disimpan di belakang almari di ruang tamu.

“Selepas 45 minit berada dalam rumah mangsa, suspek melarikan diri bersama barang kemas, komputer riba, telefon bimbit serta wang tunai RM5,200 dengan menggunakan van milik mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya melepaskan diri sebelum meminta bantuan orang awam untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Lipis, kira-kira sejam selepas kejadian,” katanya.
Polis menemui semula senapang patah milik mangsa yang dibuang dalam semak manakala van berkenaan ditemui di Kilometer 1, Jalan Kerambit-Jerangsang, dekat sini.

Lori terbalik 2 nyaris maut

DUNGUN: Seorang pemandu lori dan kelindannya nyaris maut selepas kenderaan mereka terbalik di Kilometer 56, Jalan Jerangau - Jabur, Felda Jerangau Barat, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, pemandu, Zaini Abd Manan, 34, dan kelindannya dikenali sebagai Rosmi, 36, terpaksa memecah cermin depan lori dengan menendangnya bertalu-talu untuk keluar.

“Kami hampir lemas selepas lori terbalik kerana tingkap ditutup berikutan hujan selain penyaman udara rosak.

“Bagi menyelamatkan diri, kami menendang bertalu-talu cermin depan lori sehingga pecah untuk keluar selepas gagal membuka pintu,” kata Zaini.

Menurutnya, mereka berdua yang keletihan dan menahan sakit akibat kemalangan itu terbaring di tepi jalan dalam hujan lebat sebelum dibantu orang ramai dan dihantar ke Klinik Felda Jerangau untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, sebelum kejadian, dia dan Rosmi menghantar barangan alat ganti kenderaan dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

“Selepas melalui satu selekoh, tayar belakang lori membuang menyebabkan kenderaan itu terhoyong-hayang sebelum merempuh sebatang tiang telefon di situ,” katanya.

Menurutnya, dia berjaya mengawal stereng lorinya dan kenderaan itu naik semula ke kaki lima jalan sebelum terbalik.
“Kami bersyukur ketika itu tiada kenderaan datang dari arah bertentangan,” katanya.

Bertarung nyawa


IPOH: Seorang pemandu lori kontena bertarung nyawa menahan kesakitan hampir tiga jam apabila tersepit dselepas terbabas ke dalam gaung sedalam 15 meter di sini, awal pagi semalam.
Mangsa tersepit kakinya meraung kesakitan, manakala kelindannya berjaya merangkak keluar menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di Kilometer 265.8, Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara itu, lori kontena membawa muatan mikrocip dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang itu terbabas ke bahu lebuh raya sebelum terjatuh ke dalam gaung.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil masa agak lama mengeluarkan mangsa berikutan kepala lori terjunam di dalam gaung.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.30 pagi sebelum tiba lapan minit kemudian bersama dua jentera dan 12 anggota.

“Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan tali kabel daripada jentera bomba bagi memastikan kepala lori berkenaan tidak terus menjunam ke dalam gaung sekali gus membolehkan kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

“Anggota bomba bertungkus-lumus tiga jam menstabilkan kepala lori yang mahu menggelungsur ke dasar gaung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa, S.S Thinakaran, 44, berjaya ditarik keluar dan dibawa ke atas tebing dengan selamat.

“Namun, apa yang mengejutkan, mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki boleh berdiri dan berjalan sebaik berjaya diselamatkan oleh sepasukan bomba dan penyelamat.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan itu kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan ambulans untuk membuat pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurutnya, kelindan lori dikenali Rozairi Zainal Abidin, 30 an, tidak mengalami kecederaan.

Bebas tuduhan tawar wanita untuk pelacuran


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan menawarkan wanita untuk pelacuran kepada seorang anggota polis, tiga tahun lalu.
Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu terhadap Au Chee Long, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Malini Anne gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri,” katanya.

Au kelihatan tenang ketika mendengar keputusan itu.

Mengikut pertuduhan, Au didakwa menawarkan lima wanita warga China bagi maksud persundalan kepada seorang anggota polis yang dikenali dengan nama Goh di Raya Spa dan Recreation Centre, daerah Dang Wangi, di sini, pada kira-kira jam 12.10 awal pagi, 7 September 2008.

Bantu mangsa banjir, kereta sendiri tenggelam


BALING: “Saya memang terkejut apabila melihat kereta Perodua Kancil yang diletakkan di pekarangan Masjid Pekan Kupang ditenggelami air ketika saya sibuk membantu mangsa di beberapa kampung berhampiran.”
Begitu kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Telok Durian, Mukim Kupang, Samsudin Senawi, 56, apabila kereta miliknya ditenggelami air setinggi satu meter dalam banjir kilat akibat hujan lebat selama tiga jam, semalam.

Samsudin berkata, dia menerima panggilan memaklumkan beberapa kawasan dinaiki air lalu keluar membantu penduduk kira-kira jam 2 pagi sebelum meletakkan keretanya di pekarangan masjid berkenaan.

Menurutnya, dia menaiki kenderaan rakan lain membantu penduduk terbabit, dan pulang ke masjid berkenaan kira-kira jam 6 pagi untuk menunaikan solat subuh.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati pekarangan masjid berkenaan sudah digenangi air sedalam satu meter, dan kereta saya juga turut ditenggelami,” katanya, semalam.

Hujan lebat selama tiga jam bermula kira-kira jam 8 malam menyebabkan lebih 300 rumah di 18 kampung dinaiki air berikutan air Sungai Ketil dan Sungai Iboi melimpah.

Mimpi kedai makan roboh jadi kenyataan


MARANG: Mimpi biasanya dianggap mainan tidur, namun bagi seorang lelaki mimpi dialami menjadi petanda benar kedai makan miliknya yang masih dalam pembinaan roboh dipukul ribut, kelmarin.
Pemilik kedai, Jafar Hassan, 55, dari Kampung Pasir Putih, Merchang di sini, berkata dia terjaga tidur pada jam 3 pagi kelmarin selepas bermimpi kedainya roboh.

“Mimpi itu membuatkan saya tidak sedap hati dan keluar memeriksa keadaan kedai di hadapan rumah sudah 80 peratus siap dan lega kerana kedai masih elok,” katanya.

Namun, Jafar mengakui mimpi berkenaan menyebabkan dia resah dan sukar melelapkan mata hingga ke subuh berikutan bimbang ia menjadi kenyataan.

“Bagaimanapun jam 1.30 tengah hari kelmarin ketika mengambil cucu dari Sekolah Kebangsaan Merchang di sini, saya dikejutkan panggilan telefon anak memberitahu kedai roboh dipukul ribut,” katanya.

Lebih malang, katanya, rumahnya turut rosak apabila struktur kedai yang roboh itu menghentam pokok kelapa berhampiran mengakibatkan pokok kelapa itu pula tumbang menghempap serambi rumahnya.

Kunci kereta masih terlekat


RANTAU PANJANG: “Saya curiga bila melihat sebuah kereta ditinggalkan dalam keadaan kuncinya masih terlekat, sebelum menemui anggota Unit Pencegah Penyelupan (UPP) memaklumkan kejadian itu,” kata peniaga air tebu, Zuri Hussin, 36, yang menemui sebuah kereta dengan mayat seorang lelaki mengerikan dalam but kereta di Cabang Empat Salam, dekat sini, malam kelmarin.
Orang ramai termasuk Zuri curiga dengan sebuah kenderaan yang ditinggalkan selain bau busuk menyebabkan dia membuat laporan.

Sepasukan anggota polis menjalankan siasatan menemui mayat lelaki dengan kesan cedera pada muka dan kepala dipercayai dibelasah.

Zuri berkata, memang biasa orang luar meletakkan kenderaan di tepi gerainya, namun kereta ditinggalkan bersama kunci sejak malam kelmarin, menyebabkan timbul kecurigaan.

“Saya perasan kereta jenis Toyota Altis itu diletakkan di situ sejak kelmarin, namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah semalam, apabila kenderaan itu masih belum berganjak.

“Tidak sedap hati, saya menjengah ke dalam kereta itu dan mendapati keadaannya tidak berkunci sebelum terhidu bau busuk,” katanya.

Menurutnya, dia membuka but kereta dan terkejut mendapati mayat lelaki cedera teruk di muka dan kepala.

“Terkejut dengan keadaan itu, saya memberitahu anggota UPP yang sedang menjalankan tugas di sekatan jalan raya, Chabang Empat Salam sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Yap Tiong Hai, 56, beralamat di Batu 2, Jalan Kuala Krai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkan kepada polis bagi membantu siasatan.

“Saya difahamkan kejadian awal berlaku di Kampung Tok Pelanduk Rantau Panjang, sebelum kenderaan terbabit ditemui berdekatan dengan Cabang Empat Salam, dekat Rantau Panjang, yang jaraknya kira-kira lima kilometer.

“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan dan mangsa dipercayai mati kerana parah. Selain itu, senjata tajam juga dipercayai digunakan,” katanya.

Katanya, sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah, IPPD Pasir Mas dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dilakukan berhubung kejadian berkenaan serta melancarkan gerakan memburu suspek.

Tertiarap dalam longkang


KOTA KINABALU: Suara pertengkaran didengari dari bangunan yang dalam pembinaan di Jalan Kepayan, di sini, malam kelmarin berakhir dengan penemuan mayat seorang wanita dalam longkang berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Minah Ismavin, 20-an, dalam keadaan kepala masih berdarah dan mayatnya di dalam longkang ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan pembinaan berkenaan.

Mangsa berbaju-T hijau dan berseluar hitam ketat ditemui tertiarap sebelum pengawal keselamatan terbabit melaporkan kepada majikannya.

Difahamkan, mangsa sudah bercerai dengan suaminya dua tahun lalu dan sering dilihat berada di kawasan pembinaan berkenaan kerana dipercayai mempunyai kekasih bekerja di situ.

Menurut seorang pekerja binaan di kawasan terbabit, Bosman Ismail, 57, dia bersama beberapa pekerja lain terdengar bising dan pekikan wanita di sebuah blok bangunan dalam pembinaan malam kelmarin.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, saya bersama beberapa pekerja meninjau kawasan berkenaan tetapi hanya menemui sepasang selipar dan telefon bimbit.

“Saya menemui kesan tompokan darah dalam bangunan itu dan mengesyaki berlaku pergaduhan, namun tidak menemui sesiapapun di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui.

Katanya, dia mengenali mangsa kerana mempunyai hubungan dengan seorang rakan sekerjanya.
“Saya terdengar mereka bertengkar pada malam sebelum kejadian (kelmarin) tetapi beranggapan hanya pertengkaran biasa.

“Tetapi pagi tadi (semalam), saya terkejut dimaklumkan beberapa pekerja menemui mayat seorang wanita dalam longkang berhampiran tempat kami bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis yang menerima maklumat ke tempat kejadian menemui mayat seorang wanita lengkap berpakaian tertiarap di dalam longkang.

“Siasatan awal mendapati, ada kesan luka pada belakang kepala mangsa dan dipercayai baru dibunuh berdasarkan keadaan darah yang masih belum kering,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan disebabkan cemburu namun siasatan lanjut masih dilakukan.

Sofi berkata, mangsa yang juga warga asing dipercayai menjadi pekerja pembinaan di kawasan itu sejak tiga bulan lalu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.