Search This Blog

Monday, March 28, 2011

Kebocoran air radioaktif di loji Fukushima merebak

Berita Harian Online

2011/03/28

OSAKA: Air dengan radioaktif tahap tinggi bocor dari satu turbin reaktor di loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun, sekali gus menambah kebimbangan cecair itu meresap ke persekitaran.

Pegawai Tokyo Electric Power (TEPCO) berkata air terbabit yang ditemui di terowong bawah tanah yang menghubungkan reaktor nombor dua di loji berkenaan menunjukkan bacaan radiasi melebihi 1,000 milisievert sejam.
Dianggarkan terdapat beribu meter padu air itu di torowong terbabit.
“Kami perlu memeriksa jika air berkenaan boleh mengalir terus ke laut," katanya.

Setiap bangunan turbin reaktor dihubungkan dengan terowong penyelenggaraan yang cukup besar untuk pekerja berjalan melaluinya.

Dalam kes terowong reaktor nombor dua, air berkenaan meningkat hampir satu meter ke paras atas terowong setinggi 15.9 meter itu yang terletak 55 meter dari laut, menyebabkan kebimbangan ia akan melimpah.

Semalam, paras iodine radioaktif 1,850 kali ganda daripada had yang dibenarkan undang-undang dikesan dalanm air laut beberapa meter dari pantai tetapi pihak berkuasa menolak ia memberi ancaman segera terhadap kehidupan marin dan keselamatan makanan laut.
Sebelum ini, radiasi melebihi 1,000 milisievert sejam dikesan pada air dalam bangunan turbin reaktor nombor dua, sekali gus melengahkan kerja membaikpulih sistem penyejukan bagi memulihkan kawalan terhadap loji nuklear berkenaan. - AFP

Tiga Lelaki Ditahan Berkaitan Kes Samun

Gempar jumpa ular sawa



YONG PENG – Beberapa penduduk Kampung Parit Haji Yusuf, Yong Peng terkejut apabila menjumpai ular sawa batik yang kekenyangan ketika membersihkan kebun kelapa sawit.

Kejadian itu berlaku jam 11 pagi kelmarin apabila seorang penduduk yang sedang asyik membersihkan kebun terbabit dengan menggunakan jentolak, terlihat ular sawa terbabit melingkar tidur akibat kekenyangan dipercayai baru sahaja memakan anak babi hutan.

Penduduk berkenaan, Asmavi Bariman berkata, dia seperti biasa membersihkan kebun di kampung berkenaan kerana pemilik tanah terbabit bercadang mahu menanam kelapa sawit yang baru.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan menjumpai ular sawa berkenaan dan agak terkejut lalu menghalaunya dengan menggunakan jentolak sehingga ular terbabit lari ke dalam parit berdekatan.

“Saya meneruskan kerja dan tidak menghiraukan ular terbabit sebelum memberitahu perkara tersebut kepada seorang rakan yang datang.

“Setelah mendengar pandangan kawan saya yang mengatakan ular sawa terbabit mungkin akan menjadikan keadaan berbahaya satu hari nanti, jadi kami terus sahaja menghubungi Balai Bomba Yong Peng,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Yong Peng, Mohamad Mujid berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan jam 4 petang dan bergegas bersama lima anggota ke tempat kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, ular sawa berkenaan masih lagi berada di dalam parit dan keadaannya agak lemah kerana terlalu kenyang setelah membaham mangsanya yang dipercayai anak babi hutan.

"Kami menunggu beberapa ketika sebelum ular terbabit mengeluarkan kepalanya untuk bernafas dan kami tanpa berlengah menangkap kepala ular dengan menggunakan alat khas.

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan ular berkenaan dari parit dan kami juga menggunakan arus elektrik bervoltan rendah supaya ulat terbabit terus lemah dan tidak melawan.

Setelah dikeluarkan dari parit tempatnya bersembunyi kami terkejut kerana ular terbabit agak besar dan dianggarkan beratnya hampir 100 kilogram dan sepanjang tiga meter,” katanya.

Mohamad berkata, bagi memindahkan ular berkenaan bantuan daripada jentolak penduduk kampung terpaksa digunakan memandangkan jarak untuk ke jalan besar agak jauh serta ular terbabit agak besar.

Pelajar lepasan SPM maut



IPOH – Kegembiraan sekumpulan lima lelaki yang bersiar-siar di sekitar bandar raya ini bertukar tragedi apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Raja DiHilir, di sini, malam kelmarin.

Salah seorang daripada mereka Amit Pall Singh Balbri Singh, 18, baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 23 Mac lalu, mati di tempat kejadian.

Mangsa yang duduk di sebelah pemandu berasal dari Taman Ria, Bercham, parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian jam 9.15 malam itu, kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki mangsa cuba mengelak sebuah kereta lain yang tiba-tiba muncul di laluan mereka sebelum hilang kawalan dan merempuh pokok di sebelah kiri jalan.

Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk hadapan parah walaupun memakai tali pinggang keledar manakala, empat rakannya yang lain cedera ringan.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala, rakannya turut di bawa hospital sama untuk menjalani rawatan.

“Salah seorang mangsa yang cedera mengalami patah kaki manakala yang lain cedera ringan dan dirawat sebagai sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan meminta orang awam yang melihat kejadian itu supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian pada malam kelmarin mendapati beberapa orang ahli keluarga mangsa yang maut bertengkar dengan pegawai perubatan bertugas kerana tidak percaya bahawa dengan keputusan yang dinyatakan.

Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala ahli keluarganya tidak dapat menerima kenyataan itu.

Bagaimanapun, perkara itu selesai selepas pihak perubatan membawa mangsa menaiki ambulans ke hospital.

Wartawan terkejut jumpa anak harimau mati



KANTHAN – Gempar apabila seorang wartawan akhbar berbahasa Tamil terserempak dengan sekujur bangkai haiwan dipercayai anak harimau bintang ketika melalui Jalan Kanthan-Ipoh, awal pagi semalam.

S Lingeswaran, 26, bersama adiknya S Uthayakanthan, 15, pada ketika itu dalam perjalanan untuk membuat liputan di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti di Politeknik Ungku Omar (PUO).

Kata Lingeswaran, dalam kejadian 8.30 pagi itu, mereka yang melalui kawasan itu terlihat bangkai binatang seakan-akan anak kucing terbaring di tepi jalan.

“Kami yang berasa kasihan memberhentikan motosikal dan melihat haiwan itu secara dekat.

Alangkah terkejutnya kerana bangkai yang dilihat itu adalah seekor harimau bintang,” katanya.

Beliau segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk melaporkan kejadian itu.

“Saya yang masih tidak percaya kejadian itu, turut menghubungi rakan-rakan wartawan lain untuk melihat sendiri haiwan berkenaan secara dekat,” katanya yang kali pertama berhadapan dengan kejadian seperti ini.

Sementara itu, Penyelaras JPAM Unit Sungai Siput, A Balasundram berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi berhubung kejadian itu.

Beliau bersama 10 anggota lain tiba di tempat kejadian dan mendapati seekor haiwan dipercayai anak harimau bintang mati dipercayai dilanggar ketika melalui jalan berkenaan.

“Siasatan awal kami mendapati haiwan itu berusia dalam lingkungan setahun dengan berat antara tiga ke lima kilogram. Anggaran kasar panjang haiwan itu adalah 0.7 meter,” katanya.

Balasundram berkata, dia akan menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan ‘ahli keluarga’ haiwan berkenaan masih berada di kawasan berhampiran dan ia mungkin membahayakan pengguna jalan raya di sini.

“Sehubungan itu, kami berharap Perhilitan akan menyiasat perkara ini segera terutamanya dari segi keselamatan haiwan dan pengguna jalan raya supaya kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.

Nelayan hilang ditemui



KOTA KUALA MUDA – Seorang nelayan yang hilang semasa perjalanan pulang menangkap ikan awal pagi Sabtu lalu ditemui petang semalam setelah operasi mencari dan penyelamat dilakukan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, jenazah Allahyarham, Jais Yusuf, 41, dijumpai kira-kira jam tiga lebih oleh pasukan nelayan yang turut membantu dalam operasi berkenaan.

“Jenazah Allahyarham telah pun dihantar ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Anak kepada pasangan Aminah Abu Hasan, 65, dan Yusuf Yahya, 71, itu keluar menangkap ikan bersama lima nelayan lain jam lima petang Jumaat lalu dan dikatakan pulang semula ke pangkalan kira-kira jam 6 pagi.

Yusuf berkata, sebaik sahaja tiba di Pusat Pendaratan Ikan Kuala Muda, rakan nelayan mendapati mangsa tiada bersama dalam bot dan dipercayai terjatuh ketika cuaca ribut dan hujan lebat awal pagi kejadian.

“Bagaimanapun, mereka cuba berpatah balik untuk mencari mangsa, namun hanya dapat menemui topi yang dipakainya,” katanya.

Mangsa, meninggalkan isteri dan tiga anak berusia antara satu hingga empat tahun.

Pekerja maut dirempuh kereta



KUAH - Seorang pekerja Syarikat Kontraktor Teguh Vitara Elektrik maut selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Bukit Mengali, Sungai Mengulu pagi, semalam.

Ishak Othman, 41, meninggal dunia selepas setengah jam dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Langkawi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Rakan sekerja mangsa, Idris Mansor, 19, berkata, mereka berhenti berehat untuk makan tengah hari ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhadapan Kompleks Kerajaan Negeri.

“Setelah selesai makan, Ishak bangun untuk meneruskan kerja dan secara tiba-tiba sebuah kereta Myvi terbabas dan terus melanggarnya,”

Menurutnya, kejadian itu berlaku begitu pantas dan mangsa tidak sempat mengelak dan terhumban sebelum terhempas di jalan raya.

“Saya terkejut dengan kejadian dan terus berlari ke arah mangsa dan mendapati bahagian kepala mangsa cedera teruk.” katanya.

Kereta berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Padang Mat Sirat ke Kuah dan dipandu dengan laju.

Pemilik syarikat berkenaan, Johari Bulat, 54, berkata, mangsa seorang yang kuat bekerja dan baik hati serta melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan empat anak berumur antara 3 hingga 17 tahun.

Pihak Polis Bahagian Trafik Langkawi menerima laporan mengenai kemalangan dan diklasifikasikan sebagai kemalangan maut.

Remaja curi dua tan besi



KULIM - Dua remaja lelaki 20-an ditahan ketika cuba mencuri besi di sebuah bangunan pusat membeli-belah di Bandar Putera kira-kira jam 1 petang, semalam.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, beliau mendapat maklumat dari bilik gerakan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan mengarahkan ahli yang berada di sekitar kawasan membuat pemeriksaan.

Katanya, apabila sampai di bangunan itu, sebuah kereta polis dari unit MPV sudah berada di tempat kejadian. PPKM kemudiannya membuat pemeriksaan dan menemui suspek di tingkat tiga dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka cuba melarikan diri dengan mengunci diri di dalam sebuah bilik. PPKM kemudiannya memaklumkan kepada polis dan meminta mereka menyerah diri.

“Dari pemeriksaan dibuat, hampir dua tan besi sudah dipotong untuk dijual. Kedua remaja ini bekerja di sebuah kilang di Kulim Hi Tech,” katanya kepada :Sinar Harian.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.

PPKM turut menemui resit jualan besi berjumlah ribuan ringgit dalam sebuah kereta dimiliki salah seorang suspek yang diletakkan di bahagian tepi bangunan.

Menurutnya, PPKM percaya suspek sudah lama melakukan perbuatan itu dan menjadikan bangunan kompleks membeli-belah yang ditinggalkan itu sebagai tempat mendapatkan bekalan besi. Ketika pemantauan dibuat, sebuah lori dilihat berlalu pergi tetapi PPKM gagal menjejakinya.

Pada perkembangan lain, Eng Khim meminta kerjasama semua ahli PPKM untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan yang akan diadakan malam ini jam 8 malam di Pejabat PPKM bagi memantapkan pertubuhan itu dalam memerangi masalah jenayah di Kulim.

Pemilik banglo disyaki curi air



PORT DICKSON – Sebuah banglo setingkat yang masih dalam pengubahsuaian, di sini, diserbu penguat kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) kerana disyaki mencuri air melalui penyambungan haram, baru-baru ini.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, penguat kuasa Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjaya membongkar aktiviti haram yang dilakukan pemilik kediaman banglo terbabit.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Azlan Abdul Aziz berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut selepas membuat risikan terhadap premis berkenaan yang disyaki berselindung di sebalik kerja pengubahsuaian.

Menurutnya, hasil siasatan dan pemeriksaan SPAN bersama Unit Penguatkuasaan Sains mendapati, premis terbabit telah membuat penyambungan haram menggunakan paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) bersaiz 25 milimeter tanpa melalui sebarang meter air.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, air daripada punca sambungan digunakan adalah untuk kegunaan membancuh simen.

“Kami mengambil tindakan dengan menyita paip penyambungan untuk dijadikan bahan bukti,” katanya.

Azlan berkata, pemilik banglo terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (AIPA 2006).

“Dia boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Motosikal rempuh pokok



 

Mangsa tidak nampak pokok tumbang, cedera ringan, badan digigit kerengga

HUSSAINI AMRAN



SEREMBAN - Seorang wanita muda berdepan detik mencemaskan apabila motosikalnya merempuh pokok yang menghalang jalan selepas tumbang berhampiran Taman Tasik Seremban, dekat sini, malam Jumaat lalu.

Mangsa, Siti Norlin Musa, 21, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, dia dalam perjalanan menuju ke Hospital Tuanku Ja’afar dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

“Ketika itu hujan lebat dan saya tidak dapat melihat pokok yang tumbang kerana suasana di tempat kejadian terlalu gelap.

“Dalam sekelip mata sahaja, motosikal saya merempuh pokok terbabit lalu terperangkap di antara dahan dan rantingnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, :pengalaman itu terpaksa dilaluinya selama kira-kira tiga minit sebelum seorang lelaki memberhentikan keretanya dan mencantas dahan serta ranting pokok dengan parang.

“Kemalangan kecil ini menyebabkan saya cedera ringan di kaki, selain badan digigit kerengga yang bersarang pada pokok terbabit.

“Saya amat bersyukur kerana terselamat. Terima kasih kepada pemandu kereta terbabit dan pengguna jalan raya lain yang membantu menyelamatkan saya,” katanya.

Pokok tumbang itu mengakibatkan kesesakan lalu-lintas di sekitar jalan berkenaan sebelum dialihkan anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

Kepala terbenam kena gilis



TAMPIN – Seorang remaja lepasan sekolah, T A Suman, 18, dari Taman Regent, Gemencheh, yang bekerja sebagai pemandu jentera penggelek, maut digelek kenderaan berkenaan.

Mayatnya hanya ditemui rakan sekerjanya, kira-kira jam 2.50 petang, Sabtu lalu.

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa lagi rakan sekerjanya sibuk menjalankan kerja pembinaan jalan pertanian di Bukit Bentan, Kampung Ladang, Gemas, di sini.

Rakan sekerjanya, S Madhaven, 48, berkata, dia turut menjalankan kerja membina jalan pertanian itu, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa bertugas dan rasa curiga apabila mendapati mangsa masih lagi tidak kelihatan turun ke lokasi dia bekerja.

“Ketika kejadian, mangsa bertugas menggelek permukaan jalan untuk diratakan di bahagian sebelah atas, sementara saya di bahagian sebelah bawah,” katanya.

“Bagaimanapun, saya mula rasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan meninjau tempat mangsa bekerja bagi melihat kea­daannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tampin, malam kelmarin.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia amat terperanjat apabila melihat mangsa terbaring di atas jalan dengan kepalanya terbenam ke dalam tanah dan jentera penggelek seberat empat tan pula terbenam dalam paya di sebelah kiri jalan.

Difahamkan, kejadian malang itu mungkin berlaku disebabkan jentera berkenaan tidak dapat dikawal ketika menuju jalan yang curam dan menggelongsor ke dalam paya.

Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi tidak bernasib baik apabila kepalanya digilis roda depan jentera penggelek.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Botol arak bertaburan



TELOK PANGLIMA GARANG - Tindakan orang awam membuang botol arak di kawasan taman permainan sekitar Telok Panglima Garang semalam, mengundang bahaya apabila terdapat kanak-kanak terkena serpihan kaca di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), E. Munusamy berkata, beliau kesal dengan tindakan orang awam yang sesuka hati membuang botol berkenaan di tempat awam sekali gus mencemarkan kawasan setempat.

Menurutnya, tindakan itu memberi impak kepada persekitaran apabila kawasan riadah terbabit dipenuhi dengan botol kaca yang sudah pecah dan mengundang bahaya kepada pengunjung taman berkenaan.

“Hal ini perlu diberi perhatian dan bukannya dibiarkan begitu sahaja lebih-lebih lagi taman permainan terbabit dijadikan sebagai lokasi minum arak.

“Dalam pada itu, sekiranya dibiarkan, masalah itu akan terus berlaku dan tinjauan saya sendiri ke beberapa taman permainan di sekitar Telok Panglima Garang mendapati botol arak bertaburan di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

E. Munusamy berkata, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat memastikan kawasan tempat awam seperti taman permainan bebas daripada masalah pembuangan botol arak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, beliau juga tidak mahu lebih ramai lagi kanak-kanak cedera akibat terpijak botol-botol arak yang dibuang di kawasan taman permainan berkenaan.

Antara taman permainan yang mempunyai longgokkan botol arak termasuklah Taman Perkasa, Taman Jaya Utama, Taman Pertiwi dan Taman Dato Hormat.

Penduduk, Latifah Mansor, 33, berkata, dia mengakui terdapat botol arak dicampakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam.

Katanya, kebanyakan si peminum arak akan menjadikan taman permainan sebagai port untuk melakukan aktiviti sosial tersebut pada waktu malam.

“Sebagai langkah mengelakkan masalah ini terus berlaku, kita harap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan di kawasan terbabit khususnya pada waktu malam hingga awal pagi.

“Dalam pada itu, sebagai penduduk, kita tidak mahu lebih ramai anak-anak kecil berhadapan dengan risiko kemalangan akibat terkena serpihan kaca botol berkenaan,” katanya.

Mangsa samun rugi RM4,000



KUALA DONG – Empat sekeluarga diikat menggunakan wayar dalam satu kes pecah rumah pada jam lebih kurang 4.30 pagi semalam di Kampung Kuala Dong.

Ketua Polis Daerah, Superin-tendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, berdasarkan maklumat, rumah mangsa dipecah masuk empat suspek warga asing yang melarikan rantai leher, cincin, wang tunai dan tiga telefon bimbit sehingga mengakibatkan mangsa kerugian sebanyak RM4,000.

Menurutnya, selepas mangsa diikat dan barangan berharga diambil, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta menerusi Jalan Lipis ke Sega.

“Siasatan mendapati suspek bertindak memasuki rumah mangsa daripada tingkap nako di bahagian belakang rumah.

“Keempat-empat mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan pula diikat menggunakan wayar,” katanya ketika ditemui di sini.

Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa kemudiannya berjaya melepaskan diri dan keluar dari bilik lalu menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara serta denda.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini menerusi talian kilat polis Raub 09-3554999 atau datang sendiri ke balai polis berhampiran.

“Pada masa sama, kita harap supaya masyarakat setempat meningkatkan tahap keselamatan rumah masing-masing.

"Di samping itu, kawalan secara berkala turut diadakan unit peronda polis Raub,” kata Wan Mohd Samsudin.

Jerit Allahuakbar sebelum mangsa melayang jatuh



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh warga Indonesia terbunuh, selepas dipercayai tergelincir lalu terjatuh dari sebuah bangunan tiga tingkat yang kini dalam pembinaan di Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Wakaf Tembesu di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Kiswanto, 28, dan berasal dari Jawa Barat, Indonesia, dikatakan sedang membancuh simen di tingkat atas bangunan, namun dipercayai tergelincir lalu jatuh.

Menurut seorang saksi, Norsaadah Mohd Azam, 25, yang juga penyelia tukang cuci di sekolah itu, dia hanya menyedari kejadian itu setelah salah seorang stafnya memberitahu ada orang terjatuh bangunan.

Dia kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan terlentang dan mengalami pendarahan pada telinga dan juga bahagian kepala.

“Semasa saya ke tempat kejadian, mangsa masih bernyawa dan mengikut staf saya, mangsa sempat melaungkan ‘Allahuakbar’, sebelum melayang ke bawah. Kepalanya banyak berdarah, mungkin terkena batu.

“Salah seorang staf saya kemudiannya menghubungi polis dan ambulans kira-kira jam 9.37 pagi bagi memaklumkan kejadian itu. Sementara itu, mangsa dipindahkan ke laluan koridor namun dia meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Sinar Harian difahamkan, bangunan yang kini dalam pembinaan itu ialah bangunan baru bagi asrama perempuan dan mula dibina sejak September tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan dada dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Pihak majikan mangsa juga bersetuju untuk menguruskan jenazah mangsa dan menguruskan penghantaran pulang balik ke Indonesia bagi pengebumian.

Lagi mangsa selekoh maut



SERATING – Seorang kakitangan syarikat pembinaan nyaris maut setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37, jalan Kuala Terengganu-Kuantan di selekoh Serating di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian ketika hujan renyai-renyai kira-kira jam 10.50 malam itu, Abdul Rahim Razali, 28, dikatakan memandu berseorangan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya (gambar) berkata, setiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta Proton Wira Aeroback lalu terbabas dan melanggar Perodua Kancil dari arah bertentangan.

“Pemandu Proton Wira Aeroback terbabit dipercayai melanggar sisi kanan kereta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan sebelum sebuah Perodua Myvi menghentam belakang Proton Wira Aeroback.

“Berikutan kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa di dalam kereta Proton Wira Aeroback yang remuk sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Gong Balai,” katanya.

Ahmad berkata, selain Abdul Rahim, tiga lagi mangsa mengalami cedera ringan termasuk pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi, manakala pemandu serta penumpang Perodua Kancil pula tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Gong Balai sebelum pemandu Proton Wira Aeroback dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan kurang cermat,” katanya.

Difahamkan penduduk setempat turut mengelar lokasi kemalangan sebagai ‘selekoh maut’ Serating kerana banyak kemalangan berlaku di kawasan itu terutama ketika cuaca buruk.

Sebelum ini, isteri Ketua Cawangan Khas Daerah (KCKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, ASP Afendi Mohd, Norhayati Ripin, 41, juga berdepan detik cemas apabila kereta KIA Matrix yang dipandu terlibat dalam kemalangan satu kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari 12 Mac lalu itu, Norhayati dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara dipandu Ahmad Shapawi Nik Wil, 50, di Kilometer 36, jalan Kuala Terengganu-Kuantan di selekoh tersebut.

Dibelasah kerana awek



KUALA TERENGGANU - Malang bagi seorang buruh apabila kepalanya dihentak dengan parang dan dipukul oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian di Flat Sri Kolam, Bandar Kuala Terengganu, malam Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 29 tahun itu bernasib baik kerana memakai topi keledar dan hanya mengalami kecederaan pada muka serta menerima beberapa jahitan akibat kejadian itu.

Situasi mencemaskan itu dikatakan berlaku apabila mangsa menafikan dia mempunyai hubungan dan melarikan seorang gadis, dipercayai adik salah seorang lelaki yang menyerangnya, selepas ditanya kumpulan lelaki terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan (gambar) berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10 malam, sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, ketika polis sampai, mangsa berada dalam keadaan lemah, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, manakala kumpulan lelaki yang dipercayai antara lapan hingga 10 orang itu sudah melarikan diri.

“Mengikut siasatan awal kita, mangsa sebelum itu berada di Bandar Kuala Terengganu dan segera pulang setelah dihubungi ahli keluarganya yang memaklumkan bahawa ada orang ingin berjumpa dengannya.

“Apabila sampai di tempat letak motosikal di flat kediamannya, mangsa kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki. Mangsa ditanya sama ada mempunyai hubungan dengan salah seorang adik perempuan salah seorang ahli kumpulan terbabit dan melarikannya, namun mangsa menafikannya,” katanya.

Tidak puas hati dengan jawapan diberikan, mangsa yang ketika itu masih memakai topi keledar, dihentak dengan parang pada kepala, sebelum ditumbuk oleh salah seorang daripada kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, adik mangsa ternampak kejadian itu, lalu meminta pertolongan daripada penghuni flat yang lain.

Apabila melihat orang ramai ingin meleraikan kejadian itu, kumpulan tersebut melarikan diri, dipercayai dengan dua buah kereta, manakala sebuah lagi kereta yang dipercayai milik kumpulan lelaki terbabit ditinggalkan.

Orang awam yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu kemudiannya mengambil keputusan memecahkan cermin kereta yang ditinggalkan itu.

“Suspek masih belum ditangkap tetapi kita telah kenal pasti kumpulan lelaki itu. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan dan Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan cedera parah.

“Individu yang memecahkan cermin kereta suspek pula bakal dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana rusuhan,” katanya.

Manoharan turut menasihatkan orang ramai yang berdepan situasi seperti itu supaya tidak mengambil tindakan singkat dengan memecahkan cermin kenderaan orang lain tanpa sebab kerana mereka boleh didakwa.

Beliau juga mengharapkan orang ramai yang mengetahui mengenai kejadian itu agar menghubungi polis segera bagi siasatan lanjut.

Polis Kedah tahan 4 lelaki, rampas dadah dan pistol





2011/03/28

ALOR SETAR: Polis menahan empat lelaki, termasuk seorang warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM55,000 bersama sepucuk pistol dan dua kereta dalam tiga serbuan di sini, Sungai Petani dan Changlun sejak Jumaat lalu hingga semalam. 

Dalam serbuan jam 9.15 pagi di Sungai Petani semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah rumah di Taman Seruling kerana di dapati memiliki 10 paket dadah jenis syabu seberat 24.5 gram dengan nilai pasaran RM8,400 dalam rumah yang didiami suspek.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata hasil pemeriksaan di rumah berkenaan polis turut menemui sepucuk pistol jenis semi automatik model Glock yang disembunyikan dalam beg pakaian dipercayai milik lelaki terbabit dan sebuah kereta model PROTON Wira yang dilaporkan hilang di Bandar Baru Air Hitam, Pulau Pinang.
"Ujian air kencing juga mendapati suspek positif mengambil dadah selain mempunyai tiga rekod jenayah yang semuanya berkaitan dadah. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini. 

Selain itu, beliau berkata, polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 28 tahun kerana memiliki pelbagai jenis dadah, termasuk heroin, ganja, syabu dan khayal serta sebuah kereta PROTON Iswara. 

Ahmad berkata, dalam satu lagi kes Jumaat lalu, polis menahan seorang warga Afrika di Shahab Perdana, di sini dan merampas 15 ketulan mampat dadah jenis ganja bernilai RM37,500. 
"Ketika disoal siasat suspek yang juga warga Nigeria mengaku seorang pelajar di sebuah universiti di Bangkok, Thailand. Dia berkemungkinan sedang menunggu untuk menaiki bas tetapi kita belum dapat mengenalpasti lokasi ditujunya," katanya. 

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. 

Bot nelayan pecah tersadai


KUALA TERENGGANU: Sebuah bot nelayan yang pecah dipukul ombak besar ditemui terdampar di Pantai Tok Jembal berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata empat nelayan asing yang berada dalam bot milik warga tempatan yang didaftar di Johor itu sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai pada kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam.

"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan empat orang nelayan asing berenang ke darat dan terus menghilangkan diri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya polis menahan seorang daripada nelayan itu yang berasal dari Kemboja di sebuah kedai kopi di Kampung Tok Jembal sejurus selepas kejadian itu.

"Tiga lagi rakannya yang berasal dari Kemboja dan Thailand ditahan berdekatan sebuah sekolah di kampung berkenaan kira-kira pukul 12 malam tadi.

"Hasil siasatan mendapati keempat-empat nelayan yang berusia 23 hingga 27 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Kes disiasat mengikut Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Warga Thai diperintah bela diri edar Methamphetamine



28/03/2011 4:07pm

KOTA BHARU 28 Mac – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki warganegara Thailand supaya membela diri atas tuduhan mengedar 1,137 gram Methamphetamine, tiga tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah menetapkan 24 Mei depan untuk tertuduh, Nawee Wae Tayeh, 40-an, membeli diri selepas mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Tertuduh didakwa mengedar dadah tersebut pada lebih kurang pukul 11 pagi, 19 Februari 2008 di Lorong Hijau, Unit Lalulintas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen Rantau Panjang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati.
Dalam keterangan pihak pendakwaan semasa perbicaraan sebelum ini, tertuduh yang memandu sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand XF 1024, telah ditahan bersama-sama 83,966 biji dadah jenis Methamphetmine seberat 1137 gram. Ketika itu, kenderaan tersebut dari arah Thailand ke Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nurul Ezwaney Husin, sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed. - Utusan

Gempa kuat melanda Jepun



KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.5-magnitud berlaku berhampiran pantai timur Honshu di Jepun pada pukul 6.24 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gempa itu terletak 370km timur laut dari Tokyo dan 4,337km timur laut Kudat, Sabah.

Honshu telah dilanda dengan beberapa gempa bumi kuat bulan ini.- Bernama

Kuasa polis PBB diserah pada Timor Leste



DILI 27 Mac - Pasukan polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada polis Timor Leste untuk menjaga keselamatan negara mereka sendiri, mulai esok.
Penyerahan kuasa itu berlaku selepas lebih empat tahun pertumpahan darah yang hampir menjerumuskan negara ini ke dalam kancah perang saudara.
Menurut PBB dan kerajaan Timor Leste, mulai esok, pasukan Polis Kebangsaan Timor Leste (PNTL) bertanggungjawab ke atas seluruh negara dengan dibantu polis PBB.
"Kami akan terus saling bekerjasama tetapi PNTL akan kekal dengan kuasanya.
"PBB hanya akan memberi perhatian dalam menyediakan latihan dan menyokong keperluan perkhidmatan polis Timor Leste untuk memperkuatkan keupayaan mereka dalam jangka masa panjang," ujar Wakil Khas PBB untuk Timor Leste, Ameerah Haq.
Seramai 1,280 orang polis PBB akan kekal di negara ini bagi menyokong PNTL sehingga selesai pilihan raya presiden pada tahun 2012 dan mereka yang dalam misi keamanan itu akan beredar dari negara ini.
"Penyambungan tanggungjawab kepolisan oleh PNTL buat masa ini bermanfaat untuk membolehkan PNTL memikul tugas mereka sebelum pilihan raya pada tahun hadapan dan sebelum PBB menamatkan misinya," ujar Haq.
Pada tahun 2006, pergolakan berlaku apabila 600 orang askar yang dipecat mendakwa berlakunya diskriminasi dan membuatkan 155,000 orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini melarikan diri serta mendorong PBB untuk kembali ke sini.
Namun pada tahun 2009, PBB mengatakan keadaan kembali stabil untuk PNTL menyambung kembali tanggungjawab mereka.
Penyerahan kuasa yang pertama berlaku di daerah Lautem di kawasan timur negara separuh pulau ini diikuti dengan hampir kesemua daerah serta unit lain yang tidak menunjukkan peningkatan kadar jenayah. - AFP

Guru lapor insiden gangguan seksual dapat penghargaan polis



MOHAMAD Nasir Ramli memeriksa perbarisan anggota polis pada sambutan Hari Polis Ke-204 di Tanjung Emas, Muar, Johor, baru-baru ini.


MUAR 27 Mac - Kepantasan seorang guru wanita melaporkan insiden gangguan seksual terhadap pelajar sekolahnya sehingga suspek ditahan, membolehkannya menerima penghargaan dalam sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini kelmarin.
Rosmah Kaharuddin, 47, yang merupakan kaunselor pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Muar telah menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.
Jelas Rosmah, kerjasama antara pihak polis dan sekolah adalah amat penting dalam memastikan keselamatan para pelajar di dalam sekolah dan di luar kawasan sekolah.
"Dalam kejadian itu, pelajar-pelajar perempuan sekolah saya telah diganggu seorang lelaki di luar kawasan sekolah yang suka membuka pakaian di khalayak ramai.
"Bimbang kepada keselamatan para pelajar, saya membuat laporan polis dan selepas tangkapan dibuat, rupa-rupanya lelaki itu melakukan kes yang serupa di banyak tempat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, hubungan baik antara masyarakat dan polis membawa pelbagai manfaat dan kerjasama baik tersebut sewajarnya diteruskan.
Dalam majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat IPD Muar, Mohamad Nasir turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada tujuh orang awam yang memberi kerjasama baik dan pelbagai sumbangan kepada pihak polis.
Di samping itu, seramai 19 pegawai dan anggota dari IPD berkenaan diberi penghargaan di atas kejayaan dalam membanteras dan menyelesaikan kes jenayah di daerah ini.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Pasukan T-Baton Wanita IPD Muar serta pertunjukan kawad kaki dari Kadet Polis SMK Dato Sri Amar Diraja Muar.

Sukar cari mangsa gempa di Myanmar



TARLAY 27 Mac - Usaha menyelamatkan mangsa gempa bumi Myanmar terus berhadapan kesukaran ekoran beberapa kawasan masih tidak dapat dimasuki sehingga ke hari ini, tiga hari selepas gempa melanda.
Pasukan bantuan pula menyuarakan kebimbangan angka korban akibat gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter berhampiran sempada Thailand dan Laos itu akan meningkat.
"Mengikut pengalaman kami, angka kematian akan terus meningkat," kata seorang pekerja bantuan kepada AFP yang enggan dikenali.
Tachileik, pekan yang terletak di sempadan antara Myanmar dan Thailand serta perkampungan berdekatan Tarlay dan Mong Lin di negeri Shan menjadi kawasan yang paling terjejas terus akibat bencana yang turut dapat dirasakan sehingga di ibu negara Vietnam, Hanoi.
"Buat masa ini kami tidak tahu berapa ramai yang terjejas. Kami masih cuba mendapatkan angkanya.
"Pengangkutan bagaimanapun berhadapan dengan kesukaran. Kami masih tidak dapat memasuki beberapa kawasan dan tidak tahu keadaan mereka dan tidak tahu berapa ramai yang tinggal di kawasan pergunungan ini," kata seorang pegawai Myanmar. - AFP

Pemberontak Libya mara



SEORANG anggota tentera pemberontak mengibarkan bendera Libya ketika berjalan di hadapan kereta kebal yang musnah dibedil dalam serangan udara Tentera Bersekutu di bandar Ajdabiya, kelmarin. - AFP


BENGHAZI 27 Mac - Pemberontak Libya hari ini meneruskan kemaraan selepas menawan semula empat bandar utama daripada tentera Muammar Gaddafi dalam kemenangan pertama mereka sejak kuasa Barat melancarkan serangan udara.
Pemberontak yang sebelum ini berada di ambang kekalahan di kubu kuat mereka, Benghazi di timur Libya sebelum serangan tentera bersekutu dilancarkan pada 19 Mac lalu, menawan semula Ajdabiya dan Brega, 160 dan 240 kilometer ke barat, semalam sebelum kembali menguasai bandar minyak Ras Lanuf hari ini.
Bandar Bin Jawad, kira-kira 50 kilometer ke selatan Ras Lanuf turut berjaya di tawan hari ini selepas mengambil kesempatan daripada serangan udara Perancis yang memusnahkan kereta kebal tentera Gaddafi.
Mendapat dorongan daripada serangan udara itu, mereka hari ini mensasarkan pekan Al-Bisher, 30 kilometer lagi ke barat, di jalan menghala ke bandar kelahiran Gaddafi, Sirte.
Di Tripoli, jurucakap kerajaan Mussa Ibrahim malam tadi berkata, serangan udara tentera bersekutu bukan sekadar membunuh askar tetapi juga penduduk awam di sepanjang jalan di antara Ajdabiya dan Sirte.
"Malam ini serangan udara ke atas negara kami diteruskan dengan sehebat-hebatnya dan kami mengalami banyak korban jiwa di kalangan anggota tentera dan orang awam," kata Ibrahim.
Beliau mengulangi seruan supaya gencatan senjata diisytiharkan dan sidang tergempar diadakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan campur tangan ketenteraan itu bagi menghalang rejim Gaddafi daripada menyerang penduduk awam.
Namun Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Robert Gates dalam wawancara disiarkan hari ini menuduh tentera Gaddafi menempatkan mayat 'penduduk yang dibunuhnya' di lokasi serangan udara tentera bersekutu, bagi menggambarkan seolah-olah merekalah mangsa serangan itu.
Serangan udara tentera bersekutu itu diperhebatkan semalam dengan 160 misi serangan, berbanding 153 kelmarin, menurut Pentagon.
Di barat Libya, jet pejuang Perancis memusnahkan sekurang-kurangnya lima pesawat perang dan dua helikopter tentera Gaddafi di kawasan Zintan dan Misrata semalam, sementara lima kereta berperisai Libya di musnahkan dalam serangan udara pesawat Britain di Ajdabiya dan Misrata kelmarin.
Semalam, pemberontak dengan bantuan bedilan udara Barat itu membanjiri Ajdabiya, di mana kereta kebal dan kenderaan tentera yang musnah berselerak di jalan raya. - AFP

Wang tidak boleh beli segala-galanya



PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan melakukan operasi pemeriksaan cermin gelap kenderaan. - Gambar hiasan


BAGI sesetengah orang, wang berkuasa menyelesaikan banyak masalah malah boleh melancarkan urusan dan jaminan untuk mencapai sesuatu matlamat.
Namun ramai tidak menyedari kuasa wang jugalah menyebabkan ramai tersungkur dan musnah kerananya. Wang juga menyebabkan kita silap membuat pilihan sehingga menjejaskan reputasi dan masa depan.
Satu kisah benar yang dipaparkan Jejak Rasuah minggu ini memberi iktibar bahawa wang tidak boleh membeli segala-galanya.
Seorang pengurus syarikat swasta yang dikenali sebagai Lim juga termasuk dalam golongan yang mempercayai wang boleh membantunya daripada disaman dalam satu operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Operasi yang dijalankan di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Melaka bertujuan untuk mengesan pengguna cermin gelap melebihi had dan tanpa surat kebenaran.
Lim yang memandu kereta Mercedes-Benz berwarna hitam tidak menyangka keretanya ditahan kerana menggunakan cermin tingkap terlalu gelap.
Dia bagaimanapun dengan angkuh mendakwa merupakan orang kenamaan (VIP) dan memperlekehkan tindakan seorang anggota penguat kuasa JPJ yang dikenali sebagai Daud.
Daud dengan tenang meminta Lim menunjukkan sebarang surat kebenaran untuk menggunakan cermin gelap namun lelaki itu gagal berbuat demikian.
Berikutan itu, Daud mengeluarkan buku notis untuk dicatat maklumat peribadi Lim dan kesalahan yang dilakukannya, tetapi tidak semena-mena Lim merayu agar dia tidak disaman.
Lim yang ketika itu dalam perjalanan ke satu mesyuarat untuk menandatangani satu tender penting, mula terfikir untuk memberi rasuah kepada penguat kuasa tersebut agar urusannya tidak tergendala.
Tiba-tiba Lim menghulurkan wang berjumlah RM400 kepada Daud tetapi anggota JPJ itu enggan menerimanya.
Tanpa Lim sedari, tindakannya itu sedang diperhatikan oleh seorang pegawai SPRM, dikenali sebagai Ismail yang berada tidak jauh daripada mereka.
Ismail memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SPRM kepada Lim dan menahannya kerana telah cuba menyogok Daud ketika menjalankan tugas supaya tidak disaman atas kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaannya.

Radiasi 10 juta lebih tinggi


TOKYO: Pekerja kecemasan bekerja keras mengepam keluar air bercampur bahan radioaktif dari kawasan loji nuklear Fukushima Daiichi, semalam selepas kadar pencemaran di situ melonjak 10 juta kali ganda berbanding biasa.
Menurut sumber, disebabkan kadar pencemaran terlalu tinggi ketika disukat kali pertama, petugas terus meninggalkan kawasan itu tanpa mengambil bacaan kedua.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa lama mereka terdedah kepada bahan radioaktif itu, atau sejak bila kadar berkenaan berlaku di loji terbabit.

Bagaimanapun, memang diakui air di semua empat kompleks loji paling bermasalah sangat tercemar dan radiasi di satu daripada reaktor terbabit empat kali lebih tinggi daripada had selamat.

Setakat ini, pihak berkenaan berkata, sesetengah kawasan stabil. - AP

Banjir di thailand , 2 mati


BANGKOK: Kejadian banjir besar yang melanda selatan Thailand mengorbankan tiga orang dan membabitkan puluhan ribu lagi menyebabkan kerugian bernilai AS$10 juta (RM31 juta), kata sumber kerajaan, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Pencegahan Bencana, sebanyak 34 daerah dalam lima wilayah di negara itu diisytiharkan berada dalam zon darurat sejak hujan lebat turun mulai Rabu lalu.

“Hujan yang turun sejak 23 Mac lalu menyebabkan banjir, angin kencang dan tanah runtuh di beberapa kawasan,” kata Gabenor wilayah Nakhon Si Thammarat, Theera Mintrasak yang paling teruk dilanda banjir.

“Kira-kira 30,000 keluarga atau 80,000 orang menjadi mangsa banjir,” tambahnya sambil berkata tiga yang terkorban itu termasuk seorang yang lemas dan dua sami yang menjadi mangsa tanah runtuh ketika bermeditasi di hutan. - AFP

Korban dijangka meningkat


TARLAY, (Myanmar): Pasukan penyelamat, semalam bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa gempa bumi yang melanda timur negara itu tiga hari lalu, manakala petugas bantuan bimbang angka kematian kian meningkat.
Sumber kerajaan berkata, 75 orang terbunuh ekoran gempa berukuran 6.8 magnitud yang melanda negara itu di sempadan Thailand dan Laos, Khamis lalu memusnahkan kediaman dan bangunan kerajaan hingga ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal. “Pihak kami menjangkakan angka kematian mungkin bertambah,” kata petugas bantuan yang tidak mahu dikenali. Bandar Tachileik, Tarlay dan Mong Lin di negeri Shan paling teruk dilanda gempa apabila gegaran dapat dirasakan hingga ke Hanoi di Vietnam.

“Kami belum pasti berapa ramai orang yang menjadi mangsa gempa. Kami masih cuba mendapatkan angka sebenar,” kata seorang pegawai kerajaan. “Pengangkutan amat sukar. Kami belum dapat pergi ke beberapa tempat yang dilanda gempa dan masih tidak tahu apa yang berlaku terhadap penduduk di sana. Kami juga tidak pasti berapa ramai penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan itu,” tambahnya. - AFP

4 sahabat dicekup bawa syabu


TEMERLOH: Reaksi muka gelabah serta takut ketika melalui pemeriksaan polis di sekatan jalan raya membongkar kegiatan jahat empat sahabat yang membawa syabu dan ketamin dipercayai untuk diedarkan di Kilometer 145, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, Mentakab, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, empat sahabat berusia 21 hingga 39 tahun itu yang menaiki pacuan empat roda Mitshubishi Storm dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman, Terengganu.

Difahamkan, seorang daripada suspek ditahan itu anggota polis berusia 39 tahun berpangkat lans koperal, bertugas di sebuah Balai Polis di Kuala Lumpur yang kini sedang digantung kerja kerana dipercayai terbabit dengan kes jenayah.

Mimpi jumpa arwah sepupu


BACHOK: “Beberapa hari lalu, arwah anak (Allahyarham Nordin), ada bermimipi bertemu sepupunya yang sudah meninggal dunia setahun lalu akibat kemalangan di Terengganu, sambil melambai-lambaikan tangan ke arahnya.
“Tidak sedap hati dengan mimpi itu, dia segera memberitahu saya dan abangnya. Tidak sangka, dia benar-benar dipanggil menghadap Illahi selepas terbabit dalam kemalangan maut,” kata Mohamad Deraman, 45, ayah kepada Nordin Mohamad, 15, yang maut dalam kemalangan, malam kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu menyebabkan hasrat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, dekat sini, menemani rakannya mengeluarkan wang di sebuah bank tidak kesampaian apabila motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Kampung Binjai.

Mangsa parah di kepala selepas motosikal dinaikinya dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan, manakala rakannya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Mohamad Deraman berkata, dia tidak menyangka mimpi pelik arwah membawa kepada berita paling menyedihkan buat mereka sekeluarga.

“Mimpi itu saya dan abang-abangnya menyebabkan kami semua berasa pelik. Arwah memberitahu didatangi sepupu dikenali sebagai Aris yang meninggal dunia dalam kemalangan di Terengganu, tahun lalu.

“Pada malam kejadian, saya berasa tidak sedap hati sehingga saya mengambil keputusan tidak keluar rumah seharian sehinggalah dimaklumkan kemalangan menimpa anak keenam daripada lapan beradik itu,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berbual dengan arwah beberapa jam sebelum kejadian, selain diajak remaja berkenaan bermain karom ketika berada di kedai makan miliknya di Pulau Melaka, Kota Bharu.

“Arwah memang mesra dengan saya dan kami sering meluangkan masa bersama-sama di kedai termasuk di kedai membaiki motosikal milik abangnya yang terletak bersebelahan.

Mohamad berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Belanga, Kota Bharu, selepas solat Zuhur, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abdul Rafar, ketika ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan itu.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa bersama rakannya yang dikenali sebagai Amirul menunggang motosikal dari Binjai menghala ke Bachok.

Bagaimanapun, motosikal Honda EX-5 yang dinaikinya bertembung dengan sebuah Proton Satria dari arah bertentangan menyebabkan Nordin meninggal dunia manakala rakannya cedera parah.

Buruh ditumbuk-- ditetak


KUALA TERENGGANU: Seorang buruh yang didakwa melarikan seorang gadis cedera di muka apabila ditumbuk dan ditetak dengan parang dua suspek dalam satu kejadian di Flat Sri Kolam, di sini, Jumaat lalu.
Sebelum kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 29 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu ingin menemuinya, dan dia tidak mengesyaki apa-apa terus pulang ke rumahnya.

Sebaik tiba di pekarangan flat berkenaan, mangsa didatangi sekumpulan 10 lelaki menaiki tiga kereta dengan membawa senjata tajam dan seorang daripadanya menuduh mangsa melarikan adiknya dan berlaku pertengkaran.

Namun mangsa menafikan tuduhan itu menyebabkan kumpulan berkenaan berang dan menetak mangsa dengan parang ke atas topi keledar dipakainya sebelum seorang lagi suspek menumbuk mukanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketika itu adik mangsa ternampak insiden berkenaan dan memberitahu orang ramai untuk membantu.

Lelaki tempatan seludup minyak kena tahan


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan minyak petrol ke Thailand.
Serbuan dilakukan di sebuah rumah dijadikan stor penyimpanan minyak petrol dan minyak masak di Changlun, Kedah jam 6.30 petang, kelmarin.

Menurut Ketua Operasinya, Hashim Mat Daud, ketika serbuan suspek leka mengisi petrol ke dalam tong yang digunakan untuk menyeludup bersama seorang lelaki warga Thailand dipercayai pelanggannya.

“Kami merampas 700 liter minyak petrol, 64 kilogram minyak masak, satu pam penyedut minyak, 11 biji tong dan kenderaan pacuan empat roda nombor pendaftaran Thailand dianggarkan RM35,000.

“Taktik mereka mudah iaitu membeli bekalan minyak secara runcit di stesen minyak berhampiran dan disimpan di dalam tong besar sebelum diisi ke dalam kenderaan pacuan empat roda untuk dibawa ke Thailand,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek berkenaan menjalankan kegiatan penyeludupan lebih dua tahun lalu di rumah berkenaan.

Katanya, mereka ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dan Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual tanpa lesen sah.

Maut dihentam penutup tong


IPOH: Malang menimpa seorang pekerja kilang apabila dia maut selepas muka dan kepalanya dihentam penutup tong diperbuat daripada besi sebaik cuba memotong tong berkenaan untuk dijadikan tempat pembuangan sampah di sebuah kilang, petang kelmarin.
Difahamkan, mangsa cuba memotong tong berkenaan dengan alat memotong khas sebelum berlaku satu letupan kecil menyebabkan penutup tong itu tercabut dan menghentam muka dan kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di Kawasan Perindustrian Bukit Merah itu, Rozaidi Rackapli, 24, berasal dari Kampung Matang, Taiping, maut kira-kira sejam selepas kejadian itu ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, ketika kejadian, mangsa memotong tong besi tanpa muatan menggunakan sejenis alat dikenali ‘Oxy-Acetelen’. Beliau berkata, perbuatan itu dipercayai menghasilkan tekanan kuat sehingga berlaku letupan kecil menyebabkan penutup tong terpelanting dan menghentam muka mangsa serta tercampak tiga meter sebelum tidak sedarkan diri.

Askar ‘ghaib’ tiga minggu ditemui dalam gaung


TAMPIN: Misteri kehilangan seorang anggota tentera yang tidak melaporkan diri di kem selama tiga minggu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah gaung di Kilometer 10, Jalan Gemas-Tampin, berhampiran Felda Sungai Kelamah, di sini, kelmarin.
Lebih memilukan apabila mayat mangsa, Prebet Mohd Zaki Ahmudhi, 27, yang ditemui kira-kira jam 1.35 petang hanya tinggal rangka dalam keadaan terbenam di dalam lopak air di gaung kira-kira tiga meter.

Difahamkan, mangsa dipercayai meninggal akibat kemalangan berikutan motosikal ditungganginya dijumpai tidak jauh dari kawasan berkenaan. Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berasa pelik apabila dimaklumkan anak lelakinya itu tidak melaporkan diri di Kem Syed Syaruddin, Gemas, di sini, sejak 5 Mac lalu.

“Saya diberitahu pihak tentera sudah berusaha mencari dia (Mohd Zaki), namun tidak berhasil kerana masih gagal menghubungi atau menemuinya.

“Berikutan itu, hati saya amat bimbang dan tidak berhenti berdoa kepada Allah supaya dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, kelmarin.

Menurutnya yang turut membuat laporan polis mengenai kehilangan itu, dia tersentak apabila menerima panggilan polis dan tentera supaya datang ke HT untuk membuat pengecaman mayat.

“Sejurus tiba di hospital, hati saya luluh apabila mendapati dokumen pengenalan diri termasuk maklumat yang berada dalam sebuah telefon bimbit adalah miliknya,” katanya. Katanya, walaupun pedih, dia reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

“Beberapa hari sebelum kejadian, dia menghubungi saya untuk bertanyakan khabar. Saya menasihatkannya supaya berwaspada ketika berada di jalan raya,” katanya yang tidak menyangka melihat rangka mayat anaknya. Jenazah Allahyarham dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Kluang, Johor, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Satu lori TV LCD hilang


PETALING JAYA: Empat lelaki melarikan sebuah lori sarat dengan televisyen LCD dianggarkan bernilai RM200,000 di Kampung Baru Subang, dekat sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, semua suspek menyamar pemandu dan penumpang teksi sebelum menahan lori terbabit.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu lori bersama kelindannya yang datang dari Subang Jaya membawa 70 televisyen LCD itu dihalang sebuah teksi.

“Pemandu lori itu yang terkejut memberhentikan kenderaannya. Dua penyamun terbabit keluar dari teksi dan mengacukan pistol ke arah pemandu dan kelindannya serta mengarahkan mereka keluar dari lori,” katanya.

Sumber berkata, penyamun terbabit mengikat mata mangsa sebelum membawa mereka masuk ke dalam teksi.

“Selepas itu, suspek membawa lari lori terbabit manakala mangsa dibawa menaiki teksi ke Kampung Baru Sungai Buloh sebelum meninggalkan mereka berdua di tepi jalan.

“Penyamun terbabit melarikan diri meninggalkan mangsa dalam keadaan terpinga-pinga. Mereka berdua kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan kejadian itu.

Tinggal impian


SEBAK...Seri Mahani menunjukkan gambar Mohd Farriz yang lemas di kawasan takungan air, semalam.

SEBAK...Seri Mahani menunjukkan gambar Mohd Farriz yang lemas di kawasan takungan air, semalam.

JOHOR BAHRU: “Adik baru menceritakan impiannya untuk mendapat 5A dalam UPSR dan belajar di Mesir seperti abang saudaranya, tidak sangka pada hari ini semuanya hanya tinggal kenangan,” kata ibu mangsa lemas, Mohd Farriz Mohd Saparman, 12, yang ditemui di sebuah kawasan takungan air di Kangkar Pulai di sini, semalam.
Suri rumah itu, Seri Mahani Marwan, 36, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya, Farriz atau mesra dengan gelaran Adik adalah pada pagi kelmarin sebelum murid darjah enam itu ke sekolah selain meminta kebenarannya untuk meneruskan latihan kompang pada waktu petang. Menurutnya, bagaimanapun anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar rumah dan berjanji pulang awal untuk mengulang kaji pelajaran.

“Siapa sangka hari ini kami hanya menemui jasad kakunya selepas menjalankan usaha mencarinya selama beberapa jam selepas dia tidak pulang ke rumah petang semalam (kelmarin).
“Kami tidak sangka mayat Adik ditemui di sebuah kawasan takungan air terbiar itu.

“Selepas ini, rumah kami pasti kesunyian tanpa Adik kerana dia suka menyakat adik-beradiknya yang lain selain gemar bergurau,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Mangsa, yang berasal dari Taman Pulai Bistari, di sini, ditemui di dalam kawasan berkenaan pada jam 5.55 petang.
Sebelum kejadian, mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai, di sini, dan dua lagi rakannya dikatakan keluar bermain di kawasan itu selepas menamatkan sesi persekolahan petang kelmarin, tetapi terus tidak pulang ke rumahnya.

Keluarganya kemudian mencarinya di sekitar kawasan berkenaan, tetapi gagal sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Kangkar Pulai, pagi semalam.
Usaha mencari mangsa turut disertai penduduk kampung yang menemui basikal mangsa di tepi kawasan takungan air di sekitar kawasan Sekolah Menengah Kangkar Pulai, di sini.

Seorang penduduk terbabit dalam usaha mencari Mohd Farriz, Mohd Zaini Saimon, 40, berkata penduduk kampung menemui basikal mangsa di tepi kawasan takungan air atas bukit dekat tempat kejadian.

“Kami mengesyaki sesuatu terjadi kepadanya kerana basikal itu kepunyaan mangsa, kami cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan tetapi tidak menemui sebarang tanda sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Zaini berkata, skuad penyelam yang tiba ke tempat kejadian tidak lama selepas itu menemui mayat mangsa dalam lombong berkenaan.

Pelakon penipu


TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).
TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mualaf yang pernah berlakon dalam beberapa drama Cina terbitan produksi tempatan, rupa-rupanya turut bijak ‘berlakon’ apabila memperdaya ribuan mangsa menyertai skim perniagaan jualan langsung (MLM) dianjurkannya, menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50 juta.
Dia yang dikenali dengan nama K dan berusia awal 40-an, bijak memperdayakan mangsa melabur skim MLM didalanginya apabila menjual nama kerabat diraja sebuah negeri di Pantai Timur dengan mendakwa dia anak angkat keluarga diraja.

Selain itu, K bijak memanipulasi statusnya sebagai saudara baru menyebabkan skim pelaburan dianjurkannya mudah mendapat ahli dengan jumlah keahlian mencecah 30,000 orang termasuk dari Indonesia dan Thailand.
Kebanyakan mangsa adalah kakitangan kerajaan dan warga emas yang terpengaruh apabila K mendakwa mampu memberi pulangan keuntungan sehingga 60 peratus daripada modal permulaan RM3,700 satu lot.

Penipuan K didedahkan tiga mangsanya, Mohd Fahmi Anuar, 32, Adam Lim, 31, dan Adlan Shah Haris, 35, yang membuat aduan kepada Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mereka yang mengetuai ahli kumpulan pelaburan terbesar di Johor dan sekitar Lembah Klang berkata, K juga meyakinkan pelabur dengan memaklumkan syarikatnya mempunyai lombong berlian di Kanada dan kilang pemprosesannya di China.
Menurut Mohd Fahmi, pada mulanya dia musykil, tetapi selepas diberi penerangan kononnya pelaburan itu mempunyai lesen sah selain melihat K menggunakan kereta mewah bernombor VIP yang didaftarkan dengan alamat istana, dia tidak teragak-agak mencuba nasib.

“Saya mengajak rakan lain melabur dan gembira apabila menerima pulangan pertama seperti yang dijanjikan selepas sebulan melabur.
“Namun, sejak Oktober tahun lalu sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang bayaran dan setiap kali menelefon K tidak pernah berjawab,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM250,000 melalui dua pakej yang disertai.

Mohd Fahmi berkata, dia bersama rakan lain pergi ke rumah K tetapi mendapati rumah lelaki itu dikawal ketat dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) selain dipasang pagar berduri.

“Saya yakin lelaki itu masih tinggal di rumah berkenaan berdasarkan kereta dan keadaan rumah yang kemas tetapi dia sengaja berbuat demikian kerana enggan bersemuka dengan kami yang ‘mengejarnya’ sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Katanya, ramai pelabur mengalami kerugian dan ada antara mereka sanggup menjual kebun, membuat pinjaman bank, menjual barang kemas dan juga meminjam daripada along.

Adlan Shah pula berkata, banyak janji K tidak ditepati malah pelbagai alasan direka bagi melepaskan diri.

“Awalnya kami dimaklumkan proses pembayaran mempunyai sedikit masalah selepas berlaku pertukaran dalam sistem elektronik bagi penambahbaikan dan dia meminta kami menunggu hingga hujung bulan.

“Dia berjanji membayar tunggakan keuntungan kepada ahli melalui pembayaran cek sebaik saja masalah membabitkan sistem itu selesai tapi sehingga sekarang kami tak mendapat apa-apa,” katanya yang mendakwa kerugian hingga RM4 juta, hasil pelaburan bersama beberapa orang bawahannya.

Menurutnya, K juga bijak memerangkap ketua kumpulan sepertinya untuk melepaskan diri daripada dimarahi ahli.

“Selepas cek keuntungan diserahkan kepada ketua kumpulan K akan memaklumkan kepada semua ahli kononnya bayaran dibuat. “Namun, belum sempat kami menunaikan cek dia membekukan akuan bank menyebabkan cek tidak boleh ditunaikan, tapi ahli memarahi kami kerana menyangka dia benar-benar memberikan duit,” katanya.

Adlan Shah juga mendakwa, K memeluk agama Islam hanya sebagai usaha untuk meyakinkan mangsanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan laporan itu.

Sempat minta maaf pada ibu sebelum ajal


KANGAR: “Pada malam kejadian, arwah beritahu bapa itu kali terakhir dia membawa motosikal dan mahu bapa menghantarnya ke mana-mana selepas ini,” kata Sharizal Kassim, 28, abang Mohd Hafizi, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Sanglang berhampiran simpang Sungai Padang, dekat sini, malam Jumaat lalu.
Turut maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu ialah rakan mangsa yang membonceng motosikal berkenaan, Mohd Shawal Shahabudin, 17, selepas dirempuh dan digilis sebuah lori simen.

Sharizal dari Sanglang, dekat sini, ketika ditemui berkata, adiknya yang parah daripada pinggang ke bawah dan patah tangan kanan akibat digilis lori simen terbabit meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), di sini, pada jam 12.40 malam kelmarin.

Katanya, walaupun parah dan kehilangan banyak darah, adik bongsunya itu masih mampu berkata-kata dan meminta maaf kepadanya serta ibu bapa mereka iaitu Kassim Yahya, 70, dan Che Amah Ismail, 68, ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sharizal berkata, sebaik dimaklum kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan hampir tumbang apabila melihat adiknya yang parah dengan cebisan daging bertaburan di atas jalan raya, manakala Mohd Shawal sudah tidak bernyawa.

Dalam pada itu, bapa Mohd Shawal, Shahabudin Mohd Noor, 40, berkata, ketika kejadian dia berada di Pulau Pinang sebelum dimaklumkan kejadian berkenaan oleh isterinya.

Katanya, dua hari sebelum kejadian anaknya itu memberitahu ibunya dia ingin dikebumikan di sebelah datuknya jika dia meninggal dunia.

“Saya tidak menyangka itu permintaan terakhirnya. Anak sulung saya itu juga pernah meminta untuk memakai baju Melayu yang digemarinya sebelum kejadian dengan memberi alasan tidak dapat memakainya lagi,” katanya.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa menaiki motosikal dan dalam perjalanan dari Kampung Batas Pauh ke rumah Mohd Hafizi di Sanglang, dekat sini.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori simen yang membuat pusingan U merempuh motosikal sebelum mereka tercampak ke bawah lori sebelum kedua-duanya digilis lori terbabit.

Difahamkan, pemandu lori terbabit yang juga penduduk berdekatan melarikan diri.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya ketika dihubungi, berkata kemalangan itu diklasifikasikan sebagai kes langgar lari.

Katanya, kedua-dua mangsa pelajar di sekolah menengah di Simpang Empat itu dipercayai dilanggar dari belakang. “Lokasi terbabit berbahaya dan gelap pada waktu malam, tambahan ketika itu hujan lebat dan mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam, pemandu lori terbabit belum membuat laporan dan polis masih memburunya. Katanya, saksi yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi 04-9778563.

Kawan karib kebas RM20,000


KESAL...Megat Khairul menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Megat Khairul menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

SHAH ALAM: Impian seorang peniaga kedai telefon untuk memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Caldina musnah apabila jurujual kereta yang juga rakan baiknya melarikan wang pendahuluan RM20,000.
Difahamkan, suspek turut menipu rakan lain hingga mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sebelum melarikan diri bersama wang mangsa.

Mangsa, Megat Khairul Afiq Ramli, 22, berkata dia tertarik pakej yang ditawarkan rakannya itu pada April tahun lalu kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai lain selain memberi tempoh singkat untuk mendapat kereta.

Katanya, harga MPV Toyota Caldina baru yang ditawarkan rakannya itu RM30,000 berbanding tempat lain melebihi RM100,000.

“Dia begitu meyakinkan apabila mendakwa harga itu termasuk cukai import. Saya tidak mempunyai perasaan syak wasangka dan mengeluarkan wang simpanan demi memenuhi impian.

“Saya menyerahkan wang berkenaan selepas yakin dengannya yang bersungguh-sungguh mahu menguruskan pembelian kereta dalam dua bulan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, janji tinggal janji apabila kereta yang ditunggu tiada, malah rakannya melarikan diri bersama wang miliknya.

Megat Khairul berkata, rakannya yang berusia 25 tahun itu turut menukar nombor telefon hingga usaha menjejakinya gagal.

“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 25 Mac lalu.

“Saya mahu dia mengembalikan wang kami atau berdepan tindakan,” katanya.

Kebas wang atuk RM65,000


JOHOR BAHRU: Dia dijadikan cucu angkat dan ditatang bagai minyak yang penuh, namun segala jasa datuknya dibalas dengan pengkhianatan apabila melesapkan wang pencen milik warga emas itu berjumlah RM65,000.
Lebih memilukan Yasin Sagi, 80, dari Kampung Majidee Baru, di sini, cucu angkatnya yang dipanggil nama Gemuk, 30-an menipunya dengan mendapatkan cap jarinya ketika menemaninya melakukan urusan di bank.

Yasin yang mengalami masalah pendengaran berkata, Gemuk tinggal di Stulang, tidak jauh dari rumahnya dan sering mengunjunginya, selain ringan tulang.

“Dia menggelar saya ‘Atuk’ dan kerana itu saya menjadikannya cucu angkat. Keluarga saya juga menyenangi sikapnya yang tidak berkira selain gemar membantu.

“Rupa-rupanya itu semua helahnya untuk mencuri duit saya. Kini semua wang hasil titik peluh sepanjang 30 tahun bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) lesap,” katanya.

Yasin berkata, dia menyedari Gemuk mencuri duitnya selepas menerima rekod pengeluaran wang di bank antara 23 Disember tahun lalu hingga 4 Januari lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, Gemuk menemaninya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sebuah bank di Larkin Perdana untuk membuka buku akaun simpanan bank.

“Pada 23 Disember, Gemuk membawa saya ke cawangan bank di Jalan Wong Ah Fook mengeluarkan RM2,000 bagi membeli baja. Gemuk kemudian membuat permohonan mendapatkan kad ATM (mesin juruwang automatik) atas nama saya tanpa pengetahuan saya.

“Saya yang kurang tahu prosedur bank hanya mengikut permintaannya apabila dia meminta cap jari pada satu borang,” katanya.

Menurutnya, dengan kad ATM itu Gemuk membuat beberapa pengeluaran antara 23 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu, sehingga semua wang pencennya RM65,000 di dalam akaun habis.

Yasin berkata, dia hanya menyedari wang pencennya licin selepas dimaklumkan menantu, Ungku Chik, 40-an, selepas menerima makluman dari bank mengenai rekod pengeluaran wang menggunakan kad ATM dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap hari secara berterusan selama dua minggu.

“Sejak itu, Gemuk menghilangkan diri. Saya tidak sangka dia menipu dan mencuri duit saya,” katanya. Yasin turut kecewa dengan pengurusan bank berkenaan yang memberi kebenaran kepada individu lain bagi membuat urusan permohonan kad ATM.

Yasin membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 4 Januari lalu dan jurucakap balai polis berkenaan mengesahkan menerima laporan itu.

“Kami masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Gemuk menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254422,” kata jurucakap itu.

Najis tikus bertaburan di dapur



Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2011/03/28

PENGUAT KUASA MPK memeriksa sebuah premis dalam Ops Bersih 4 di Klang.
PENGUAT KUASA MPK memeriksa sebuah premis dalam Ops Bersih 4 di Klang.
7 restoran diarah tutup dua minggu dalam 'Ops Bersih 4' 

KLANG: Sisa makanan tidak diuruskan, najis tikus bertaburan dan anak lipas merayap di dapur restoran. Sukar dipercayai tetapi itulah hasil penemuan operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 4’ di Jalan Istana, di sini, baru-baru ini.
Pemilik restoran terbabit mendakwa dapurnya sebelum ini dalam keadaan bersih dan terurus tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Timbalan Pemangku Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang diperiksa pasukan penguat kuasa itu meloyakan. 

Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan terpaksa melayan kerenah pengusaha restoran yang tidak berpuas hati apabila premis mereka dikenakan tindakan. 

Ada antara mereka bersikap biadap apabila mengherdik dan mempertikaikan tugas pihak penguat kuasa. 

Bagaimanapun, peniaga terbabit terpaksa mengalah selepas pihak penguat kuasa menerangkan kesalahan mereka. 
Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan yang sepatutnya dan kebanyakan premis hanya bersih di bahagian depan tetapi kotor di belakang. 

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini dan memberi notis sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya membungkus makanan menggunakan surat khabar dan menggunakan pinggan mangkuk sumbing. 

"Mereka mencampur bahan mentah bersama makanan yang sudah dimasak di dalam peti sejuk dan tidak memberi suntikan demam kepialu kepada pekerja," katanya sambil menambah kebanyakan premis yang terbabit dalam operasi ini adalah kategori C, iaitu memuaskan. 

Amran berkata, pihaknya menjumpai najis tikus dan lipas di beberapa premis. 
Berikutan itu, katanya, tujuh daripada lapan premis yang diperiksa diarah tutup dua minggu bagi memberi masa kepada mereka membersihkan premis masing-masing. 

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah. 

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1987. 

Bulan lalu, lapan premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 3 yang diadakan di sekitar Jalan Tengku Kelana.