Search This Blog

Sunday, March 27, 2011

Badan terputus dua dilanggar kereta Porsche



PATHUM THANI (Thailand): Seorang remaja perempuan berasal dari Laos terputus dua badannya apabila beliau dilanggar sebuah kereta Porsche yang dipandu terlalu laju petang kelmarin, lapor akhbar Thailand, The Nation.
Polis menukil seorang saksi sebagai berkata bahawa remaja berusia 17 tahun itu, yang bekerja di sebuah kedai, baru sahaja membeli makanan tengah harinya dari sebuah kedai mi dan hendak menyeberang jalan, apabila kejadian itu berlaku.Kemalangan itu berlaku sekitar 2.30 petang di Pathum Thani-Bang Bua Thong Road di hadapan Estet Perumahan Parichart di wilayah Muang.Pada mulanya, hanya bahagian bawah badan remaja itu yang ditemui di tengah jalan.Kemudian, bahagian atas badannya ditemui di tempat duduk penumpang kereta Porsche itu, yang telah ditinggalkan pemandunya kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.Bahagian atas badan remaja itu dipercayai tercampak dan merempuh cermin depan kereta itu dan tersadai di situ.Polis berkata kenderaan itu merupakan kenderaan curian dan pemandunya telah melarikan diri. -- Agensi.

Dua anak hilang sejak lima hari lalu


CEPATLAH PULANG: Cik Emah berharap kedua-dua anak lelakinya akan segera pulang. Muhammad Khairudin (atas) dan adiknya, Muhammad Adil Shaifullah (bawah) yang kali terakhir mereka berhubungan dengan keluarganya ialah pada 23 Mac lalu, ketika ibunya cuba menghubungi Muhammad Khairudin oada Khamis lalu, seorang pekerja asing menjawab panggilan beliau.. - Foto KHALID BABA

SINGAPURA
SEJAK lima hari lalu, beliau berendam air mata setiap malam memikirkan tentang nasib dua orang anak lelakinya.Ibu malang itu, yang mahu dikenali sebagai Cik Emah sahaja, sangat bimbangkan anak-anaknya, Muhammad Khairudin Abdul Malik, 15 tahun, dan adiknya, Muhammad Adil Shaifullah, 13 tahun, yang belum pulang sejak meninggalkan flat mereka di Ang Mo Kio Avenue 10, 22 Mac lalu.Kehilangan kedua-dua remaja itu mula dikesan apabila guru sekolah Muhammad Adil, murid darjah enam di Sekolah Rendah Anderson, menghubungi Cik Emah pada petang 22 Mac itu dan memberitahu bahawa anaknya tidak hadir ke sekolah.'Saya terkejut kerana saya tahu dia keluar rumah pada 6.30 pagi untuk ke sekolah bersama abangnya. Tak tahu pula dia ponteng,' kata Cik Emah, 36 tahun.Sepulangnya ke rumah, Cik Emah terjumpa baju seragam sekolah kedua-dua anaknya itu.Mereka berdua difahamkan telah pulang untuk menukar pakaian dan kemudian keluar semula semasa Cik Emah dan suaminya keluar bekerja.Beliau kemudian bertanya kepada Muhammad Khairudin, pelajar menengah dua di Sekolah Menengah Yishun, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) petang itu dan dia menjawab 'sedang dalam perjalanan pulang' dari Ang Mo Kio Hub.'Esoknya (23 Mac) dia kata nak hantar adiknya balik pada jam 7 malam tapi tak muncul juga.'Itulah kali terakhir dia berhubungan dengan kami,' kata Cik Emah, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 17 tahun dan seorang lagi anak lelaki berusia 16 tahun.Cik Emah bertambah bimbang setelah seorang pekerja asing menjawab panggilan yang dibuat Cik Emah ke telefon bimbit Muhammad Khairudin pada Khamis lalu.Pekerja asing itu mendakwa beliau terjumpa kad modul identiti pengguna (SIM) telefon bimbit itu di Lorong 17 Geylang.'Pekerja asing itu kemudian kata nak jumpa suami saya di Lorong 17 Geylang untuk pulangkan kad SIM itu tapi bila kami ke sana kelmarin dan cuba hubunginya lagi, taliannya sudah putus,' kata Cik Emah dengan nada hampa.Menurut Cik Emah, Muhammad Khairudin sebelum ini tinggal bersama bekas suaminya setelah mereka bercerai pada 2001.Muhammad Khairudin datang untuk tinggal bersama-sama Cik Emah pada November lalu kerana ingin bersama adik-beradiknya.'Sebelum ini Adil pernah beberapa kali tidak pulang ke rumah. Dia takut kalau saya marah bila dia balik lambat. Tapi tak pernah pula dia hilang begini lama,' kata Cik Emah yang kini hamil dua bulan hasil perkahwinan keduanya.Sejak kehilangan anak-anaknya, beliau yang bekerja sebagai penyelia pembersihan, begitu terjejas sehingga tidak dapat memberi tumpuan penuh pada pekerjaannya.'Puas sudah saya cari mereka, dari Ang Mo Kio ke Geylang dan Yishun. Saya beritahu adik-beradik saya dan mereka bantu mencari,' kata Cik Emah.Kali terakhir Muhammad Khairudin dilihat, dia memakai seluar jeans berwarna hitam dan kasut putih.Muhammad Adil memakai seluar panjang hitam dan baju lengan panjang berwarna coklat.Muhammad Khairudin dikatakan membawa sebuah gitar berwarna hitam yang baru dibeli bapa tirinya dua minggu lalu - salah satu permintaannya yang jarang ditolak ibu dan bapa tirinya, kata Cik Emah.'Saya percaya mereka kini sedang dalam jagaan seseorang. Tak mungkin mereka berdua boleh berada di luar begini lama tanpa makanan dan tempat berteduh,' kat Cik Emah sebak.Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kedua-dua remaja itu diminta hubungi polis di talian 1800-255-0000.

Buruh Indonesia maut jatuh bangunan



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh rakyat Indonesia maut apabila terjatuh dari bumbung bangunan asrama tambahan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini hari ini.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Kismantio, 28, dari Jamber, Jawa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata, lelaki itu dikatakan tergelincir ketika berada di atas bumbung bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan pada pukul 9.30 pagi.

Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat Mohd Hazrin Hakim Daud, 11, yang dihanyut arus setelah tergelincir ke dalam sungai Telemong di Kampung Nibong, Hulu Terengganu Jumaat lepas, masih diteruskan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, oeprasi dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan bantuan penduduk setempat. - Bernama

Terkejut masih terima saman



TAIPING – Seorang lelaki terkejut apabila menerima saman kereta lamanya yang sepatutnya dilupuskan setelah menukar beli kereta, Disember lalu.

Lee Wah Loi, 54, berkata, dia telah menukar beli kereta lamanya, Ford Telstar di salah sebuah pusat menjual kereta dan mengambil kereta baru untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Menurutnya, baru-baru ini, dia terkejut apabila menerima satu saman kesalahan meletak kenderaan atas kereta lamanya telah dihantar melalui pos kepadanya.

“Pada mulanya, saya tidak menghiraukannya tetapi apabila pihak kerajaan memberikan lanjutan tempoh untuk membayar saman, saya agak takut jika nama saya disenarai hitam,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Yew Tian Hoe dan ADUN Pokok Assam, Yee Seu Kai sejurus membuat laporan polis, di sini.

Wah Loi berkata, dia telah ke pusat jualan tersebut untuk mendapatkan kepastian, bagaimanapun setelah membuat pemeriksaan lanjut, kereta berkenaan masih lagi berdaftar atas namanya.

Katanya, kereta itu sepatutnya telah dilupuskan seperti yang dijanjikan.

"Sebelum ini pernah beberapa kali saya melihat kereta itu digunakan kakitangan pusat jualan berkenaan. di kawasan pekan Taiping

Untuk mengelakkan berlaku sebarang masalah di kemudian hari, Wah Loi tekad untuk membuat laporan polis.

"Kereta itu telah saya jual dan saya tidak mahu bertanggungjawab jika berlaku perkara tidak diingini kelak,” katanya.

Padah merokok bawah umur



SEREMBAN – Lima pelajar sekolah diberikan notis memerintahkan mereka hadir di mahkamah kerana kesalahan merokok di bawah umur.

Kesalahan tersebut dikesan semasa Operasi Penguat kuasaan Peraturan- peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) oleh Jabatan Kesihatan negeri di enam sekolah di daerah Kuala Pilah, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut penguat kuasaan terbabit.

“Kesemua notis tersebut dikeluarkan di bawah peraturan 13(1) iaitu Orang Belum Dewasa (OBD) tidak boleh merokok, mengunyah, membeli atau memiliki apa-apa hasil tembakau,sama ada untuk kegunaannya sendiri atau tidak.

“Sekiranya benar pelajar tersebut didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Dr. Zailan berkata, kesemua notis tersebut di bawah Seksyen 32B memerintahkan mereka hadir di mahkamah.

“Jabatan juga akan sentiasa menguat kuasakan Undang-undang Kesihatan Awam demi kepentingan awam ,” katanya.

Beliau berkata, selain penguat kuasaan, pihaknya turut memberi penerangan serta mengedarkan risalah mengenai tempat larangan merokok, keperluan tanda larangan merokok dalam premis atau bangunan, serta bahaya rokok demi kepentingan masyarakat.

Mangsa harapkan bantuan



RAWANG – Tiga lagi keluarga terjejas berikutan kebakaran di Kampung Banggali, Batu 17, di sini yang memusnahkan kediaman mereka, mengharapkan bantuan wakil dan agensi setempat.

Penduduk terlibat, P Sivasangkaran, 54, berkata, buat masa ini dia termasuk dua lagi keluarga terpaksa mengeluarkan simpanan sendiri di samping bantuan sanak saudara dan rakan untuk membina semula rumah.

“Selepas kejadian tempoh hari beberapa wakil setempat ada turun melawat kami dan kata hendak bantu. Tetapi sehingga sekarang kami masih menanti.

“Kita terpaksa menggunakan simpanan ada untuk mendirikan rumah. Jika tidak sampai bila hendak menumpang di rumah rakan dan saudara mara,” katanya.

:Menurut Sivasangkaran yang bekerja sebagai pemandu lori ini, 24 keluarga setinggan di situ masih menagih janji untuk ditempatkan di Sungai Dua Tambahan, berikutan tanah diduduki sejak lebih 60 tahun itu sudah dibeli pihak persendirian sekitar 2005.

Katanya, bagaimanapun kawasan di Sungai Dua Tambahan itu belum boleh diduduki kerana terdapat pihak dibenarkan mengusahakan tanaman ciku nangka di situ.

“Kita hairan bagaimana, wakil rakyat sebelum ini boleh benarkan pertanian di kawasan tersebut, sedangkan masalah kami belum diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk hanya mahu dikenali sebagai Sundra berkata, dia hairan hanya pihak luar prihatin lebih banyak menyumbang kepada mangsa kebakaran di situ.

Katanya, terdapat pihak yang datang ke selepas kejadian kebakaran kali pertama pada 16 Mac dan kali kedua kebakaran pada 21 Mac lalu.

“Tetapi mereka hanya janji di depan media akan bantu, sampai sekarang (semalam) kita masih tidak mendapat apa-apa pembelaan,” katanya.

Ditemani ular



GEORGETOWN - Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan separuh bogel tersangkut di parit kawasan pembinaan Gurney Paragon, Jalan Kelawai, di sini, petang semalam.

Mayat wanita yang tidak dikenali ditemui hanya memakai coli dan seluar dalam.

Pengawal keselamatan tapak pembinaan berkenaan, K Thinagaran berusia 40-an berkata, dia menemui mayat itu ketika bersama seorang lagi kawan berbual di kawasan bersebelahan parit.

Menurutnya, dia terkejut melihat sesuatu objek putih terapung dan tersangkut di parit itu bersama-sama dengan seekor ular.

“Pada mulanya kami ingatkan itu mayat lelaki kerana mayat dari belakang, selepas itu baru didapati mayat itu wanita.

“Mayat wanita mempunyai kesan calar-calar di bahagian badan manakala leher juga ada kesan gigitan,” katanya,

Thinagaran yang terkejut melihat mayat itu segera memaklumkan kepada majikannya sebelum menghubungi polis.

Mayat itu yang dipercayai keturunan Cina atau warga Jepun berumur lingkungan 30an dijumpai kira-kira jam 3.10 petang. Polis masih menyiasat punca kematian mangsa.

Bagaimanapun, unit forensik yang tiba dan membuat siasatan mendapati kematian mangsa tidak mempunyai kaitan jenayah kerana tiada kesan tikam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan penemuan itu ketika dihubungi, semalam.

Daging babi hutan RM40,000 dirampas

 

PADANG BESAR – Sebanyak lapan tan daging babi hutan dengan anggaran nilai RM 40,000 dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar di sebuah premis di Kampung Kolam, di sini kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Turut dirampas sebuah lori yang digunakan untuk memunggah daging babi itu bernilai RM 60,000.

Komander UPP Padang Besar, Asisten Superintendan, Noor Janihan Nanyan berkata, ketika rondaan anggota UPP diketuai Inspektor Noor Hisham Jaafar tiba di premis berkenaan, pemilik premis sedang memunggah turun daging babi hutan itu dari lori ke premisnya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, daging berkenaan berdasarkan lesen yang ditunjukkan pemilik premis berumur 57 tahun itu perlu disimpan di lokasi yang lain iaitu di Kampung Baru, Padang Besar di sini.

“Kita mendapati, pemilik premis ini sudah menyalahgunakan lesen menyimpan kerana hidupan liar yang dirampas semalam sepatutnya disimpan di alamat premis lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perhilitan Perlis, Hamidi Jamaluddin.

Noor Janihan berkata, pihaknya percaya bekalan daging babi yang sudah diproses itu diperoleh daripada pembekal Ipoh, Perak untuk dijual di pasaran tempatan dan ke Thailand.

“Hasil siasatan mendapati, daging babi ini diambil daripada pembekal dan ini adalah rampasan hidupan liar babi pertama UPP Padang Besar dan hasil rampasan daging akan diserahkan kepada Perhilitan,” katanya

Sementara itu, Hamidi berkata, lelaki berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 46(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kesemua daging yang dirampas itu akan ditanam untuk dilupuskan.

Tiga beradik menderita



JEMPOL – Akibat keracunan makanan, tiga beradik di Ladang Batang Jelai, Jeram Padang, dekat sini terpaksa menanggung sakit sejak dua minggu lalu.

Ketiga-tiga mereka, B.Saravanan, 14; B.Yogeswaran, 10, dan B. Anandraju, 8, mengalami keracunan makanan berpunca daripada makanan diambilnya tidak berzat sehingga badan mereka tidak bermaya.

Bagaimanapun, disebabkan kesempitan hidup menyebabkan bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang merupakan penoreh getah tidak mampu menghantar anaknya ke klinik untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, nasib mereka mendapat perhatian MIC negeri yang bertindak segera untuk mengelakkan masalah lebih buruk.

Pengerusi MIC negeri, Datuk T.Rajagopalu dan Ketua Putera MIC negeri, Dr.S.Thinagaraj meluangkan masa melawat keluarga berkenaan pada program mesra rakyat anjuran Putera MIC cawangan Ladang Batang Jelai.

Thinagaraj berkata, keadaan tiga beradik itu amat merisaukan kerana mereka didapati kekurangan gizi dan dehidrasi menyebabkan tidak bermaya.

“Mereka harus segera menerima rawatan susulan di hospital bagi membolehkan keadaan kesihatan mereka kembali normal,” katanya.

Menurutnya, bapa kepada tiga beradik itu bekerja sebagai penoreh getah selain masalah ketiadaan ambulans di ladang terpencil tersebut.

“Malah, bapanya juga hanya diberikan elaun perjalanan sebanyak RM6 untuk mendapatkan rawatan anaknya di klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, MIC akan membantu masalah itu dengan memastikan tiga beradik itu menerima rawatan secepat mungkin.

Malah, Rajagopalu yang hadir mengetuai rombongan tersebut turut menyatakan akan mengaturkan keperluan asas bagi keluarga tersebut serta mendaftarkannya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rahsia rumah teres



PORT DICKSON - Rahsia di sebalik seunit rumah teres di Taman Politeknik, dekat sini terbongkar apabila ia didapati dijadikan stor menyimpan rokok seludup pelbagai jenama.

Kegiatan itu dapat dihidu pasukan polis dan berjaya merampas 300 karton rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM8,000.

Menariknya, kegiatan penyeludup bukan dilakukan di kawasan terpencil, sebaliknya di taman perumahan yang dikelilingi dengan jiran tetangga.

Bagaimanapun, serbuan dijalankan kira-kira 12.30 tengahari, kelmarin oleh enam anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson berjaya membongkar kegiatan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, serbuan dijalankan selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Semasa serbuan, keadaan rumah tersebut kosong dan hanya dijadikan tempat menyimpan rokok-rokok. Polis percaya rokok tersebut adalah untuk pasaran tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, Baljeet berkata, seorang lelaki berusia 39 tahun yang menjaga rumah tersebut ketika serbuan ditahan.

“Polis juga akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dari mana bekalan rokok tersebut diperolehi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Kempen Derma Darah

Sempena Peringatan Hari Polis ke 204 peringkat daerah Port Dickson, di sini semalam.

Baljeet berkata, rokok yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut serta diambil tindakan di bawah Akta Kastam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis turut menahan empat lelaki warganegara asing atas kesalahan permit lawatan tamat tempoh di taman perumahan sama.

“Ketika penahanan di buat keempat-empat lelaki itu sedang berkeliaran di sekitar kawasan taman itu.

“Kesemua mereka berusia antara 35 hingga 40 tahun,” katanya.

Baljeet turut menyeru orang ramai tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kediaman mereka.

Barang tiruan dirampas



KUALA SELANGOR – Hasil tiga operasi secara besar-besaran yang dijalankan pada bulan Mac, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Selangor berjaya merampas barang tiruan dengan jumlah kos keseluruhannya RM11,424.

Kesemua operasi tersebut dijalankan di sekitar Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sekinchan.

Ketua Pegawai Kuasa Daerah PPDNKK Kuala Selangor, Sabtu Ibrahim berkata, operasi terbesar berjaya merampas barang tiruan berupa aksesori telefon bimbit jenama Nokia.

Operasi itu susulan aduan pengguna sewaktu PPDNKK menjalankan kempen sembang pengguna yang diadakan di Sekinchan baru-baru ini.

Menurutnya, pengguna terbabit memberikan segala maklumat mengenai barang tiruan tersebut di Tanjong karang.

“Pihak kita, terus mengambil tindakan dengan membuat siasatan dan satu operasi secara besar-besaran dijalankan sekitar Sekinchan dan Tanjong Karang.

“Hasil operasi tersebut, kita berjaya merampas barang yang disyaki tiruan iaitu barang-barang peralatan jenama Nokia dan harga kos rampasan tersebut sebanyak RM10,451,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kebanyakan rampasan tersebut adalah daripada premis-premis tetap.

“Sekiranya bersalah, pesalah boleh didenda RM1,000 bagi perseorangan atau tiga tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali.

“Barang-barang tiruan ini dijual dengan harga di antara RM10 hingga RM30,”katanya.

“Selain daripada itu, satu lagi operasi rampasan pakaian dan seluar yang disyaki tiruan iaitu berjenama Levi’s dan Adidas di sekitar Kuala Selangor. Kos rampasan tersebut bernilai RM7,500,”katanya.

Sabtu berkata, satu lagi operasi iaitu menawarkan harga jualan murah tanpa notis bertulis daripada pihak berkuasa.

“Peniaga ini menawarkan harga yang murah dalam menjual peralatan komputer tanpa pengetahuan pihak PPDNKK.

“Kesalahan tersebut adalah di bawah kesalahan 3(1) Perintah Perihal Dagangan Harga Jualan Murah 1997,”katanya.

Menurutnya, pihak PPDNKK juga turut mengadakan operasi kecil-kecil seperti membuat pemantauan tanda harga di pasar tani dan kedai-kedai.

“Kita sentiasa akan terus membuat operasi dan pemantauan supaya pihak peniaga tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Saya juga ingin menasihati pengguna supaya lebih peka dan berhati-hati terhadap barang-barang jenama yang dijual oleh peniaga.

“Sekiranya barang tersebut disyaki tiruan, boleh terus membuat aduan kepada PPDNKK,”katanya.

Pemandu teksi kena belasah

 

AMPANG - Seorang pemandu teksi menerima 11 jahitan di kepala dan 14 jahitan di pipi selepas dibelasah serta dicederakan dengan sebilah pisau tanpa belas kasihan oleh dua penumpangnya.

:Kejadian berlaku awal pagi 23 Mac lalu, semasa dia menghantar kedua-dua lelaki yang menaiki teksinya di Jalan 10 Taman Putra.

Mangsa, Tho Cheong Lin, 54, berkata, penumpang terbabit minta dia menghantar mereka ke Pudu Ulu, Cheras.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu duduk di bahagian belakang manakala seorang lagi duduk di sebelahnya.

Katanya, sebaik tiba di depan Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya, salah seorang penumpang mengarahkannya masuk ke kawasan perumahan di Taman Maju Jaya dengan alasan rumahnya di situ.

“Semasa saya berhenti, salah seorang daripada lelaki itu bertanya harga tambang yang harus dibayar.

“Saya beritahu kepada dia, bayaran tambang adalah RM9.60 dan kemudian lelaki yang duduk di bahagian belakang turun daripada teksi, dia menyerahkan wang RM10 kepada saya dan apabila saya mahu pulangkan baki, tiba-tiba lelaki itu menumbuk kepala saya,” katanya kepada pada sidang media bersama Ahli Undangan Negeri (ADUN), Teratai, Jenice Lee, di sini, semalam.

Cheong Lin berkata, lelaki yang duduk di sebelahnya turut memukulnya dengan menggunakan topi keledar.

Katanya, dalam keadaan cemas, dia cuba mempertahankan diri dengan menumbuk lelaki itu dan berusaha menutup pintu sebelah kiri teksinya.

Menurutnya, apabila dia menoleh ke sebelah kanan, seorang lagi lelaki terbabit sempat menoreh pipinya dengan sebilah pisau.

“Lelaki itu gagal merampas kunci teksi dan telefon bimbit apabila saya memukul tangannya.

“Kedua-dua mereka kemudian melarikan diri, kepala serta pipi saya pula berlumuran darah,” katanya.

“Saya segera ke hospital untuk menerima rawatan kemudian ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya kepada Sinar Harian.

Cheong Lin berkata, insiden itu pertama yang berlaku ke atas dirinya selepas 28 tahun menjadi pemandu teksi.

Katanya, dia kini lebih berhati-hati memilih penumpang kerana khuatir kejadian sama berulang.

Sementara itu, Jenice berkata, beliau menyarankan pemandu teksi supaya lebih berwaspada dan berhati-hati.

“Penumpang pula diingatkan turut berhati-hati kerana kejadian jenayah juga boleh berlaku ke atas mereka,” katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Rempuh kereta elak dicekup polis



KUALA TERENGGANU - Rahsia tindakan berani seorang pemuda yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya dengan sanggup melanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan terbongkar setelah polis menjumpai 50 biji pil kuda pada badannya, dalam Operasi Cegah Samseng Jalanan di Jalan Kamaruddin, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pemuda yang berusia 21 tahun itu dikatakan berpatah balik apabila ‘terkejut’ melihat sekatan jalan raya yang diadakan pihak polis.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Mat berkata, dalam usaha melarikan diri, pemuda itu merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan yang menyebabkan dia terbabas ke bahu jalan.

“Bagaimanapun, dia masih cuba untuk melarikan diri, namun dengan kecekapan kami, dia hanya mampu melarikan diri sejauh 50 meter dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan pada badannya, kami berjaya menjumpai 50 pil kuda yang disorokkan di dalam bekas besi pemetik api dan untuk mengaburi mata pihak berkuasa, dia menjadikan bekas itu sebagai ‘kepala’ tali pinggang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Khazahari, hasil siasatan awal mendapati, pemuda itu yang kini ditahan di lokap balai polis daerah Kuala Terengganu merupakan seorang ‘keldai dadah’ yang beroperasi di sekitar bandar raya ini.

Sementara itu, Khazahari berkata, dalam operasi yang turut diadakan di Jalan Pusara itu, sejumlah 35 saman dikeluarkan melibatkan 40 kesalahan dan sebuah kereta serta tiga buah motosikal disita.

Hilang rumah kerana sebatang lilin



KUALA TERENGGANU - Hanya kerana sebatang lilin, seorang ibu tunggal kehilangan rumah yang didiami bersama sembilan anak sekelip mata setelah rumah yang berusia hampir 20 tahun itu hangus dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Banggol Mempelam, Serada, di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berpunca daripada api lilin yang dinyalakan Fatimah Mohd, 60, bertujuan mencari beberapa pelita plastik lagi kerana sebelum kejadian, bekalan elektrik di sekitar kawasan kampung itu terputus.

“Beberapa minit sebelum kejadian, bekalan elektrik di sini terputus secara tiba-tiba. Jadi disebabkan keadaan yang begitu gelap ketika itu, saya bersama dua anak menyalakan sebatang lilin bertujuan mencari pelita yang disimpan di bahagian dapur rumah.

“Ketika sedang memasukkan minyak tanah ke dalam pelita tersebut, saya langsung tidak sedar minyak itu tumpah sedikit dan sekelip mata sahaja, api lilin yang diletakkan berhampiran terus menyambar minyak tanah itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Menurut Fatimah yang juga seorang guru Pintar Al-Quran di Tabika Kemas Banggol Mempelam, dia bersama dua anaknya cuba memadamkan api tersebut menggunakan tuala basah, namun gagal kerana ia merebak terlalu cepat.

“Kami tidak mampu ‘melawan’ api yang merebak sepantas kilat itu. Dalam keadaan kelam kabut itu, kami tidak mampu berbuat apa-apa kecuali hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Fatimah berkata, walaupun kini terpaksa tinggal sehelai sepinggang, namun dia tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, anak ketujuh daripada sembilan beradik, Wan Nur Asyikin Mukhtar, 25, dia terkilan kerana segala dokumen dan sijil penting yang bakal dibawa pada hari pendaftaran di tempat kerja baru awal bulan April ini tidak dapat diselamatkan.

“Saya balik ke rumah petang semalam (kelmarin) untuk mengambil segala dokumen dan sijil yang akan dibawa pada hari pendaftaran di tempat kerja baru nanti dan semalam, saya telah pun membeli tiket untuk balik semula ke rumah sewa di Kemaman hari ini.

“Namun, semuanya hancur berkecai setelah segala dokumen dan sijil itu hangus,” katanya sebak.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Roslan Shafii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.48 malam dan tiba di tempat kejadian jam 9.08 malam dengan kekuatan anggota seramai 15 anggota.

“Ketika sampai di tempat kejadian, hampir 90 peratus rumah dua tingkat separuh kekal itu sudah hangus dan sehingga kini, kami masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca kejadian serta anggaran kerugian,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Maut dirempuh mat rempit



KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang warga emas yang bermotosikal, menukar laluan secara ‘mengejut’ untuk membuat pusingan U mengundang padah setelah dia maut dirempuh mat rempit yang sedang beraksi ala-ala ‘Superman’ di Jalan Semarak, Bukit Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa, Ali Ab Rahman, 63, meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat cedera parah pada kepala selepas tercampak ke atas pembahagi jalan.

Manakala mat rempit berusia 22 tahun itu yang berasal dari Kampung Batu Enam, Kuala Nerus yang dipercayai melanggar mangsa, turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di wad kecemasan di HSNZ.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Mat berkata, warga emas yang menunggang motosikal Honda c90 itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pak Katak di sini.

Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri, jalan dua lorong sehala kemudian memasuki laluan kanan secara tiba-tiba dipercayai untuk membuat pusingan U.

“Pada masa sama, datang motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang pemuda itu yang berada di lorong kanan dan disebabkan dalam keadaan memecut, dia gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mereka tercampak ke atas pembahagi jalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut Khazahari, polis menahan pemuda itu untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejar hingga ke dalam sawah



KUALA BESUT - Taktik pendatang asing tanpa izin (Pati) menyorok di atas siling rumah, celah cerucuk besi dan atas pokok untuk mengelak ditahan pihak berkuasa tidak berjaya apabila 37 orang ditahan dalam operasi di dua lokasi berasingan di Besut, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen negeri, Mohd Shahril Khalil berkata, operasi sehari membabitkan 25 anggota Imigresen dibantu 15 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di lokasi pertama di sebuah tapak projek rumah pangsa di sini, berjaya menangkap beberapa Pati menyorok di celah cerucuk besi dan atas siling bangunan.

Menurutnya, di tapak projek ini pihaknya berjaya menahan 31 Pati iaitu 16 warganegara Bangladesh, 14 Indonesia dan seorang Myanmar dan kesemuanya 29 lelaki serta dua perempuan berumur 18 hingga 60 tahun.

“Seramai 50 warga asing yang bekerja di tapak projek itu dan pendatang asing yang tidak memiliki dokumen bertempiaran melarikan diri sebaik sahaja menyedari kedatangan kami termasuk ada yang bersembunyi,” katanya.

Mohd Shahril berkata, dalam serbuan kedua di sebuah tapak pembinaan rumah kos rendah Kampung Padang Luas dekat Jertih, seramai enam Pati ditahan daripada 30 warga asing yang diperiksa.

Menurutnya, Pati yang ditahan di lokasi kedua ini membabitkan empat lelaki dan dua perempuan iaitu tiga warga Indonesia dan tiga lagi Bangladesh berumur antara 22 hingga 32 tahun.

“Di tapak projek perumahan ini, anggota Imigresen dan Rela terpaksa mengejar Pati sehingga ke dalam sawah berhampiran dan ada yang dijumpai bersembunyi di atas pokok,” katanya.

Menurutnya, semua Pati yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) akta sama iaitu tidak memiliki pas yang sah.

Mohd Shahril berkata, semua Pati yang ditangkap ditahan reman di Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut dan Imigresen Terengganu akan terus mengadakan operasi dari masa ke masa.

Sudah rasa ada tak kena



KUALA TERENGGANU - Malang bertimpa. Seorang pemilik kedai makan bukan sahaja terpaksa berputih mata kerana menanggung kerugian hampir RM30,000 setelah premis yang disewanya hangus, namun lebih terkilan, segala peralatan memasak sempena perkahwinan anak perempuannya pada Sabtu ini yang disimpan sementara di dalam premis itu, juga tidak dapat diselamatkan dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Aur, Chendering, awal pagi, semalam.

Bertambah malang, premis yang disewa sejak tiga bulan lalu oleh Nor Azizah Nuna Sultan, 40, dari Kampung Batu Burok itu tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF) yang sekali gus menyukarkan pihaknya untuk membuat sebarang tuntutan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 pagi itu, premis dua pintu terbabit hanya disedari terbakar oleh orang ramai yang secara kebetulan masih berada di sekitar kawasan itu apabila melihat asap tebal keluar dari bahagian bumbung premis.

Menurut Nor Azizah, ketika kejadian, dia berada di rumahnya di Kampung Batu Burok dan hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4 pagi.

“Tetapi sebelum itu, saya sendiri merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan disebabkan fikiran berkecamuk, saya tidak dapat tidur.

“Lebih meresahkan, saya terdengar bunyi petir yang begitu kuat sekitar jam 3 pagi dan saya tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja teringat keadaan kedai makan ini.

Resahnya nyata setelah kira-kira jam 4 pagi, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada orang awam tidak dikenali memaklumkan kedainya terbakar.

“Mungkin mereka mendapatkan nombor telefon saya yang sememangnya diletakkan di hadapan kedai itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Nor Azizah berkata, walaupun segala peralatan memasak sempena perkahwinan anak keduanya, Farah Alina Ariffin, 21, yang bakal berlangsung pada Sabtu ini hangus sama sekali, namun dia tetap meneruskan majlis itu kerana kad jemputan sudah diedarkan.

“Tetapi, kami akan memikirkan perancangan baru bagi mengurangkan kos perbelanjaan untuk majlis itu memandangkan musibah yang berlaku.

“Ini sebab, sumber pendapatan kami sekeluarga 100 peratus bergantung pada hasil jualan di kedai makan ini,” katanya dalam nada sebak.

Berhubung ketiadaan CF di premis yang disewanya itu, Nor Azizah berkata, dia hanya mengetahui premis tersebut tidak mempunyai CF setelah hampir sebulan menyewa di situ.

“Saya pernah bertanyakan hal ini kepada pemilik premis, namun jawapan yang diberikan, dalam proses mendapatkan CF tetapi sehingga kini, langsung tiada sebarang berita berhubung perkara itu,” katanya.

:Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Roslan Shafii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 4.13 pagi dengan kekuatan anggota seramai 15 anggota.

“Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Nelayan hilang dikhuatiri lemas



KUALA MUDA – Seorang nelayan dikhuatiri lemas semasa dalam perjalanan pulang bersama sekumpulan lima nelayan lain di sini dalam kejadian awal pagi semalam (Sabtu).

Mangsa, Jais Yusuf, 41, bapa kepada tiga anak hilang ketika dalam perjalanan pulang sebaik sahaja selesai menangkap ikan bersama rakan nelayan lain.

Menurut ibu saudara mangsa, berita kehilangan itu diketahui ketika ahli keluarga lain sibuk menghantar nenek mangsa untuk menunaikan umrah.

“Berita kehilangan ini kami rahsiakan daripada pengetahuan nenek mangsa yang baru sahaja berlepas untuk menunaikan umrah pada hari yang sama kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan.

“Sebaik sahaja urusan penghantaran selesai, semua ahli keluarga terus ke sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keadaan mangsa,” katanya menjelaskan Jais sering membawa anak-anak menemui neneknya itu di kampung.

Menurutnya, Jais bersama rakan nelayan lain turun menangkap ikan malam sebelum kejadian dan kehilangannya hanya disedari apabila bot yang mereka naiki sampai di Pusat Pendaratan Ikan Kuala Muda.

“Sebaik tiba di Pusat Pendaratan Ikan, mereka dapati Jais yang sebelum ini masih kelihatan, tiada bersama dan telah membuat keputusan untuk berpatah balik mencarinya.

“Namun dalam pencarian itu, hanya topi mangsa sahaja yang dijumpai,” katanya menjelaskan mangsa berkemungkinan dipukul ribut atau terjatuh dari bot tanpa disedari.

Abang mangsa, Ridzuan Yusuf, 48, berkata, laporan polis telah dibuat dan setakat ini penduduk kampung serta rakan terdekat sedang cuba mencari mangsa.

“Bagaimanapun, cuaca ribut dan hujan lebat berlaku awal pagi kejadian membataskan pergerakan mencari dan menyelamat,” katanya.

Dalam pada itu, rakan nelayan yang keluar bersamanya menangkap ikan semasa kejadian telah melakukan rondaan mencari di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan seorang nelayan hilang semasa menangkap ikan di laut dan sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum ditemui.

Buruh Indonesia maut tergelincir





2011/03/27

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh warga Indonesia maut selepas tergelincir ketika sedang melakukan kerja pembinaan di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini, jam 9.30 pagi tadi.

Bangkai anak harimau kumbang ditemui di Kanthan





2011/03/27

SUNGAI SIPUT: Orang ramai di sini gempar apabila menemui satu bangkai haiwan dipercayai anak harimau bintang di Kanthan dekat sini pagi tadi. 

Penyelaras Jabatan Pertahanan Awam Unit Sungai Siput, A Balasundram, berkata beliau terima panggilan telefon pada jam 9.45 pagi dan setiba di situ beliau melihat bangkai haiwan itu yang dipercayai berusia setahun dan berat antara 3 hingga 5 kilogram.
Katanya, bangkai haiwan itu diserah kepada PERHILITAN.

Lagi mangsa banjir Kerian dipindahkan





2011/03/27

IPOH: Seramai 31 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Daerah Kerian malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 289 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sejak kawasan berkenaan dilanda banjir sejak seminggu lalu. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kerian berkata, semalam hanya 258 mangsa masih berada di pusat pemindahan apabila lebih 200 mangsa dibenarkan kembali ke rumah mereka.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan dinaiki air malam tadi menyebabkan 31 penduduk terbabit terpaksa dipindahkan.
"Semua mereka adalah penduduk Kampung Batu 40 Jalan Bukit Merah. Mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan selamat," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau berkata, semua mangsa kini berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah dan SK Alor Pongsu. 

Paras air di kawasan terbabit masih sekitar antara 0.5 meter hingga 1 meter. 

Banjir melanda kawasan terbabit berikutan langkah melepaskan air dari empangan Bukit Merah yang berada di paras bahaya akibat hujan lebat. 
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini diminta menghubungi bilik gerakan di talian 05-7213723. - BERNAMA 

Kedai cat terbakar


KUALA LUMPUR: Sebuah kedai dua tingkat yang menjual cat dan peralatan logam musnah dalam kebakaran di Salak Selatan kira-kira 8.20 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Pudu, Shuhaimi Mahmood, berkata pemilik kedai dikenali sebagai Teoh, 30, hanya menyedari kejadian itu ketika memasuki kedainya selepas mendapati api sedang marak di bahagian belakang.

Sebanyak empat jentera bersama 28 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Pudu, Hang Tuah dan Tun Razak tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Semasa tiba di tempat kejadian api dah marak ke bahagian depan kedai itu. Bagaimanapun kita berjaya mengawalnya dari merebak ke bahagian atas setengah jam kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shuhaimi berkata, barang-barang yang terdapat di dalam kedai terbabit merupakan bahan yang mudah terbakar dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 9.30 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

Mangsa ribut terima sumbangan JKKKP



POKOK ASSAM – Kediaman milik seorang penduduk yang rosak ditimba pokok tumbang akibat kejadian ribut, baru-baru ini mendapat perhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru Pokok Assam.

Pegawai Kemajuan Perkampungan daerah Larut Matang, Hor Choon Kee berkata, rumah milik Goh Beng Seong, 40 an mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Kunjungan telah dibuat dan kami dapati sebahagian daripada dapur dan belakang rumah Beng Seong rosak teruk.

“Kami telah membuat permohonan bantuan bencana di Pejabat Daerah dan JKKKP turut memberi sedikit sumbangan kepada Beng Seong untuk melakukan kerja baik pulih termasuk menebang pokok berkenaan,” katanya.

Choon Kee berkata, kawasan Pokok Assam menjadi laluan angin kerap berlaku ribut.

Katanya, dengan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban Beng Seong untuk mengambil upah menebang pokok yang menimpa kediamannya.

“Walaupun sumbangan tersebut tidak cukup untuk membaiki keseluruhan rumah yang rosak tetapi ia sebagai bantuan segera juga tanda prihatin pihak JKKKP,” katanya.

Rumah hangus, 7 terselamat



AIR KUNING – “Meskipun kehilangan rumah, saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” kata seorang mangsa kebakaran, Azzemi Adnan, 43.

Dalam kejadian jam 8.50 malam Rabu lalu, kediaman dua tingkat miliknya di Kampung Sungai Kurung Dalam, di sini hangus.

Ketika kejadian, isteri, ibu serta lima anaknya berada dalam rumah berkenaan, namun sempat menyelamatkan diri.

Azzemi berkata, semasa kejadian, dia berada di surau berhampiran rumahnya sebelum menyedari bahagian depan rumahnya terbakar.

“Saya terus bergegas pulang ke rumah, dalam fikiran saya hanya untuk menyelamatkan ahli keluarga termasuk ibu yang sudah tua.

“Hasil bantuan penduduk kampung, semua yang berada dalam rumah sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Akibat insiden itu, lapan beranak kini tinggal sehelai sepinggang.

Azzemi berkata, semua peralatan dan dokumen penting termasuk keperluan sekolah anak-anaknya tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan cepat.

Buat sementara waktu, katanya, dia sekeluarga menumpang sementara di rumah abangnya.

“Rumah itu baru kami duduki beberapa tahun lalu, walaupun sedih saya tetap bersyukur kerana tiada seorang ahli keluarga saya yang tercedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Hassan Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, dua jentera bersama 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

“Hampir 80 peratus rumah telah terbakar, api hanya berjaya dikawal kira-kira satu jam selepas kejadian,” katanya.

Tak sempat selamat



ALOR SETAR - “Tom keluar, Tom keluar”, jerit Syafie Mat Darus, 72, kepada isterinya selepas menyedari rumah yang diduduki tiga beranak di Kampung Bakar Bata terbakar kira-kira jam 5 petang semalam.

“Ketika kejadian, saya masih di masjid dan pulang ke rumah kira-kira jam 5.20 petang. Ketika itu, saya ternampak kepulan asap di bahagian bumbung dapur dan bertindak segera memanggil isteri yang ketika itu masih berada dalam rumah.

“Selepas isteri saya keluar, saya pun menghubungi bomba. Kebakaran itu memang cepat, dalam beberapa minit sahaja hampir keseluruhan rumah kami hangus terbakar,” katanya.

Menurutnya, kebakaran terlalu pantas sehingga gagal untuk menyelamatkan sebarang harta benda.

“Barang kemas, duit ringgit, semuanya di dalam rumah, saya memang tak sempat nak selamatkannya. Jumlah kerugian dianggarkan RM85,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Jiran mangsa, Asriah Kasa, 42, berkata, sewaktu mula ternampak api pada bahagian bumbung rumah mangsa, dia segera memanggil pemilik rumah yang dikenali sebagai Mak Teh supaya keluar rumah.

“Pada masa itu, saya perasan kelibat Mak Teh seperti ingin masuk ke dalam rumah mujurlah dia batalkan hasratnya itu,” katanya.

Sementara itu, sewaktu pihak bomba dan penyelamat sedang memadamkan kebakaran, beberapa orang penduduk bertindak menenteramkan isteri mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut dengan kejadian itu.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Polis Alor Setar, Abdul Rashid Mahmud, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.31 petang, dan mengambil masa empat minit untuk sampai ke tempat kejadian.

“Kebakaran itu berjaya dipadamkan dengan bantuan 15 anggota dengan tiga jentera bomba dari Balai Bomba Alor Setar,” katanya.

:Abdul Rashid berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan andaian awal pihaknya berkemungkinan disebabkan litar pintas.

Mekanik ambil kesempatan



KULIM - Seorang suri rumah berusia 40-an yang mengambil upah menghantar kanak-kanak ke tadika diugut seorang mekanik kerana keengganannya membayar kos membaik pulih kenderaan yang dilaporkan terlalu mahal.

Mangsa berkata, dia hanya mengarahkan mekanik menukar pelapik brek yang rosak. Setelah siap dibaiki dia dapati mekanik terlibat telah menukar beberapa barangan lain tanpa kebenarannya sehingga mengakibatkan kos yang dikenakan terhadapnya terlalu tinggi.

“Pada mulanya mekanik itu meminta RM50 sahaja untuk membaiki kereta dan saya bersetuju dengan jumlah itu. Setelah dibaiki, isteri kepada mekanik itu datang ke rumah saya dan memaklumkan beberapa alat gantian lain harus ditukar kerana sudah rosak.

“Dia menyatakan kos keseluruhan dikenakan adalah RM450.

"Barangan yang dikatakan rosak adalah tidak benar, kerana saya baru menukarnya tiga bulan lalu dan ia masih baru,” katanya.

Kerana berang dengan sikap mangsa yang enggan membayar baki, mekanik terlibat menahan kereta mangsa di Taman Angsana kira-kira jam 6.30 petang dan mengugut untuk mencederakannya.

Mangsa yang ketakutan keluar dari kereta untuk meminta pertolongan. Penduduk yang ternampak kejadian itu keluar dari rumah dan membantu mangsa. Mekanik terlibat kemudiannya merampas kunci kereta mangsa dan melarikan diri.

“Saya kemudiannya pergi ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya

Pengerusi Persatuan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim berkata, dia sudah menerima laporan polis dibuat oleh mangsa dan memintanya membuat aduan kepada Tribunal Pengguna.

Menurutnya, penipuan dibuat mekanik itu adalah satu contoh di mana pengguna wanita sering menjadi mangsa, kerana mereka kurang berpengetahuan tentang kerosakan kenderaan dan harga alat ganti.

“Mekanik terlibat seharusnya memaklumkan kepada mangsa sekiranya mahu membaiki bahagian lain dan tidak mengambil keputusan sendiri.

“Dari apa yang ditunjukkan kepada saya, semua alat ganti yang ditukar oleh mekanik itu masih dalam keadaan baik dan saya hairan mengapa mekanik itu mahu menukarnya dengan yang lain. Kita sebagai pengguna jangan mudah tertipu, kerana ada undang-undang yang sentiasa melindungi kita,” katanya.

Lubuk DVD haram diserbu



GEORGETOWN - Sebuah premis yang dikesan menjadi lubuk pengedaran cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD) lagu pelbagai tajuk cetak rompak untuk pasaran sekitar Georgetown diserbu pihak berkuasa petang kelmarin.

Hasilnya, anggota Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang berjaya merampas 11,820 bahan berkenaan iaitu 11,454 DVD dan 370 CD pelbagai tajuk bernilai RM60,000.

Serbuan diketuai pegawai kanan penguat kuasa, Wan Mohd Marzuki Abdul Kadir bersama 15 anggota kira-kira jam 5 petang kelmarin atas maklumat orang ramai dan intipan yang dilakukan sejak sebulan lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Pulau Pinang, M Gunaselan berkata, walaupun premis itu pernah diserbu sebelum ini namun pemiliknya masih berdegil dan terus menjalankan kegiatannya.

“Ketika serbuan, tiga lelaki berjaya melarikan diri tetapi kami berjaya menahan seorang lelaki yang menjaga premis itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lelaki berusia 25 tahun dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terperangkap dalam banjir



SINGKIR DARAT – Seorang warga emas bersama beberapa ahli keluarga yang lain terpaksa tidur dalam keadaan rumah dilanda banjir.

Tom Hussin, 76, berkata, dia yang tinggal di situ hampir 35 tahun terpaksa tinggal di rumah yang dimasuki air pada setiap musim hujan.

“Setiap kali musim hujan sahaja saya dan ahli keluarga yang lain berasa susah hati kerana terpaksa tinggal dalam rumah yang dinaiki air.

“Air akan masuk ke rumah saya kerana kedudukan rumah lebih rendah jika dibandingkan dengan tempat lain, " katanya.

Menurutnya, untuk mengelak keadaan itu terus berlaku, mereka terpaksa membina tembok di bahagian pintu depan rumah untuk menghalang air dari masuk ke rumah.

Tom berkata, walaupun tembok sudah dibina, apabila tiba musim hujan sahaja air akan tetap memasuki rumahnya berikutan tiada saluran untuk air hujan mengalir keluar dari kawasan rumahnya.

“Setiap barang yang ada dalam rumah, kami terpaksa melapik batu bata bagi mengelakkan barangan kami terutamanya barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan sebagainya terkena air.

“Air yang naik ke rumah saya ini terdiri daripada air kotor kerana apabila hujan turun air daripada longkang juga mengalir bersama,” katanya.

Tom berkata, memandangkan hujan hampir setiap hari sejak kebelakangan ini, dia dan keluarganya terpaksa sentiasa berjaga-jaga dan memindahkan barangan elektrik ke tempat yang lebih tinggi.

Majlis Ketua Kampung (MKK) Singkir, Mohamad Yusof Husin berkata, pihaknya sebelum ini mengadakan gotong- royong menyelesaikan masalah itu, namun masalah banjir masih tidak dapat diselesaikan.

“Kami membuat saliran dari rumah ini ke sawah, namun usaha ini gagal apabila sesetengah pihak menyekat laluan itu.

“Jadi saya mohon kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di atas jasa baik mereka untuk menyediakan saluran baru supaya air dari kawasan ini dapat disalurkan keluar seterusnya dapat mengatasi keperitan yang terpaksa ditanggung keluarga Tom,” katanya.

Mohamad Yusof berkata, penduduk kampung pernah membuat permohonan kepada pihak berkenaan untuk membuat saluran supaya air dapat mengalir keluar dari kawasan ini namun, tiada sebarang tindakan diambil.

Penolong Jurutera JPS Yan, Affrizal Amran berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan di ambil.

“Pihak kami akan ke tempat kejadian untuk melihat keadaan terlebih dahulu, sebelum mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini.

“Jika masalah ini berkaitan dengan tanah milik persendirian, kita perlu mengkaji jalan yang terbaik bagi mengatasi masalah kedua-dua pihak,” katanya. 

Taktik sembunyi ketum gagal



PADANG BESAR – Polis Padang Besar berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand berumur 44 tahun dan merampas sebanyak 330 bungkusan daun ketum yang dibalut dengan kertas lut sinar di Kompleks Imigresen, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, sepasukan anggota diketuai Inspektor Nik Ahmad Kamil yang menjalankan tugas pemantauan di laluan masuk ke Kompleks Imigresen di sini menahan seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis yang mencurigai tindakan dan gelagat lelaki berkenaan yang seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu bertindak menjalankan pemeriksaan lebih teliti sehingga membawa kepada penemuan 66 kilogram daun ketum di bahagian belakang kenderaan.

“Selepas melihat gelagat suspek yang mencurigakan, anggota bertindak membuat pemeriksaan lebih teliti di semua bahagian kenderaan jenis Mitsubishi Chams warna kelabu dan bernombor pendaftaran Thailand berkenaan.

“Hasilnya, polis menemui sebuah tempat simpanan yang direka khas penyeludup di bahagian tempat duduk belakang untuk memuatkan barangan seludup ini.

“Kita percaya sebelum ini kenderaan tersebut digunakan untuk menyeludup minyak bersubsidi ke negara jiran Thailand.

“Bagaimanapun, selepas sekatan ketat anggota penguat kuasa, penyeludup menukar taktik dengan membawa pula daun ketum yang lebih ringan malah boleh mendatangkan keuntungan yang lebih lumayan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Padang Besar, semalam.

Che Man berkata, berdasarkan soal siasat, pihaknya percaya suspek yang bekerja sebagai peniaga hanya mengambil upah menyeludup daun ketum yang diperoleh dari kawasan Beseri dekat sini dengan bayaran satu perjalanan RM200.

“Difahamkan, di Thailand, harga daun ketum yang belum diproses dijual sekitar RM70 sekilo berbanding hanya RM18 sekilo di sini,” katanya.

Kes disiasat mengikut 30 (3) Akta Racun 1952 dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Ibu resah anak tak pulang

 

BUKIT MINYAK – “Mak cik bimbangkan keselamatannya, entah makan, entah tidak. Tidurnya pula tidak tahu di mana,” luah seorang ibu, Samsiah Puteh, 50, selepas anak kesayangan gagal pulang ke rumah sejak 14 Mac lalu.

Samsiah berkata, anaknya, Fuad Abd Ghani, 28, disedari hilang oleh kakaknya, Che Minah Puteh, 67, sekitar jam 2 pagi bersama motosikal milik sepupunya.

Menurutnya, dia khuatir akan keselamatan anaknya itu berikutan dia mempunyai masalah mental sejak berusia 17 tahun.

“Pada malam sebelum hilang, dia ada di rumah kakak terletak bersebelahan dengan rumah mak cik.

“Kira-kira jam 10 malam, makcik ada memanggilnya supaya pulang ke rumah. Bagaimanapun, terkejut selepas dimaklumkan bahawa Fuad hilang bersama motosikal sepupunya yang diletakkan di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Telok, di sini.

Samsiah berkata, laporan dibuat di Balai Polis Bukit Tengah, 24 jam selepas kehilangan anaknya itu, namun selepas 11 hari dia masih gagal ditemui.

Dia berkata, ada orang awam memaklumkan kepadanya pernah terlihat kelibat Fuad menaiki motosikal dengan berhelmet melalui jalan besar di Kota Permai pada awal pagi dia dilaporkan hilang, tetapi tidak diketahui arah tujunya.

Dalam pada itu, jelasnya kali terakhir Fuad dilihat hanya berseluar kotak hitam dan putih tanpa baju, manakala motosikal yang ditunggangi adalah jenis Honda EX5 berwarna biru dengan nombor pendaftaran PJC 6407.

Menurutnya, Fuad tidak pernah menunggang motosikal semenjak kematian bapanya empat tahun lalu. Justeru, dia khuatir jika berlaku sebarang insiden tidak diingini berlaku ke atas anaknya itu, tambahan pemuda itu turut mempunyai masalah kurang daya ingatan.

Sehubungan itu, dia merayu sesiapa yang terserempak dengan Fuad supaya segera menghubunginya di talian 017-4496414.

Lima motosikal dibakar



SUNGAI PETANI – Lima motosikal dibakar dalam satu pergaduhan di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang kira-kira jam 9 malam kelmarin dan dipercayai berlaku akibat tindakan tidak puas hati.

Dipercayai, pergaduhan tercetus daripada dua kumpulan tertentu yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebelum bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, dua lelaki India berusia lingkungan 20-an ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Sementara itu, lima motosikal turut dibakar oleh ahli kumpulan terbabit kerana dipercayai dilakukan atas unsur rasa tidak puas hati.

“Manakala dua lelaki lain didapati cedera dalam pergaduhan itu,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, semalam.

Dalam majlis sama, seramai 41 individu turut menerima sijil penghargaan termasuk 10 orang awam yang bertindak sebagai Skuad Pencegah Jenayah Sukarela kerana membantu polis dalam menangani kes jenayah.

Rumah kena rempuh



JITRA - “Bunyi brek yang kuat sebelum disusuli dengan dentuman seperti guruh mengejutkan kami sekeluarga dari tidur pada malam kejadian sebaik kenderaan terbabit merempuh sebahagian rumah kami,” kata Norizan Mohd Noor, 40, yang mana rumahnya dirempuh sebuah kereta Proton Iswara.

Kejadian awal pagi kelmarin itu berlaku apabila kereta itu merempuh sebahagian rumah Norizan yang terletak kira-kira 25 meter dari selekoh Jalan Kelubi di Kampung Kelubi Luar dekat sini.

Norizan ketika ditemui berkata, dia yang ketika itu baru sahaja hendak melelapkan mata dikejutkan dengan bunyi seakan-akan guruh yang berdentum kuat pada bahagian hadapan rumahnya.

Menurutnya, sebaik bergegas ke arah luar bilik dia mendapati sebuah kereta merempuh rumahnya, namun pemandu itu berjaya melarikan diri.

“Saya tidak sempat melihat pemandu terbabit kerana dia sempat melarikan diri dan terkejut melihat terdapat sebuah kenderaan peronda polis di hadapan rumah saya pada ketika itu.

“Rupa-rupanya saya difahamkan polis, pemandu kereta itu dikejar polis kerana memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum dia melarikan diri dengan memandu dengan laju melalui jalan itu sebelum merempuh rumah saya,” katanya.

Norizan yang juga peniaga makanan turut mengalami kerugian kira-kira RM4,000 termasuk kerosakan pada bahagian dinding rumahnya yang retak akibat rempuhan kuat pada bahagian pintu rumahnya itu.

Menurutnya, selain itu motosikal milik keluarganya yang diletakkan di luar rumah turut rosak akibat terkena rempuhan terbabit.

“Kejadian yang berlaku turut menjejaskan pendapatan saya kerana terpaksa menutup gerai makanan yang dijalankan di pekarangan rumah saya pada waktu pagi.

“Bagaimanapun mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana masing-masing berada dalam bilik tidur sewaktu kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu.

“Polis mengekori kenderaan itu dari kawasan Asun kerana berada dalam keadaan mencurigakan dan selepas mendapati ia diekori, pemandu terbabit segera memecut dan memasuki Jalan Kelubi sebelum terbabas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kita mendapati dia membawa beberapa kotak minuman keras dalam but kenderaannya dan kini polis masih mencari pemandu yang melarikan diri itu untuk membantu siasatan,” kata Sawaludin.

Siasat dalang penipuan balak



PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap kes penipuan kawasan balak melibatkan seorang VIP bergelar Datuk Seri di Pahang.

Ahli Perniagaan itu, Lee Sin, 59, berkata, dia pernah bertemu dengan Datuk Seri terbabit di kediamannya pada Februari 2000 bagi membincangkan mengenai projek pembalakan di Pekan, Pahang.

:Menurutnya, dia bersetuju dengan tawaran diberikan dan kemudiannya melaburkan sebanyak RM300,000 sebagai rakan kongsi 10 peratus untuk sebuah syarikat.

“Saya dijanjikan untuk mengusahakan sebuah kawasan seluas 4,000 hektar milik sebuah parti politik di sebuah, namun saya hanya sempat membawa keluar balak untuk 2,800 hektar pertama sahaja kerana selebihnya adalah disahkan oleh Jabatan Perhutanan sebagai milik Kerajaan Pahang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, dia kemudian memfailkan saman di mahkamah terhadap Kerajaan Pahang dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Keputusan pada 25 Januari 2007 Mahkamah Tinggi Kuantan mengarahkan kerajaan Pahang membayar ganti rugi RM37 juta dengan kadar faedah 8 peratus setahun kepadanya.

Menurutnya, hingga kini dia tidak menerima apa-apa bayaran daripada Kerajaan Pahang dan jumlah ganti rugi kini sudah meningkat sehingga RM70 juta.

“Kerajaan Pahang membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan di �Putrajaya, namun ia ditolak dan terakhir pada 17 September 2008 Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa kerajaan Pahang tetap perlu membayar ganti rugi kepada saya.

“Bukan pasal wang saya bertemu media pada hari ini (semalam) tetapi mahu pihak berkuasa siasat perkara ini kerana ia melibatkan penipuan terancang membabitkan pemimpin di negeri itu di samping turut menggunakan nama parti politik untuk meyakinkan peniaga seperti saya,” katanya.

Pada awal tahun ini dia menerima saman dari parti politik terbabit yang menyatakan dia tidak mengikut perjanjian ditetapkan iaitu menanam kelapa sawit di kawasan tanah sama

Laporan mengenai perkara itu telah dibuat di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya.

Bot nelayan jadi sasaran pencuri



CHUAH – Seorang nelayan di sini, kerugian kira-kira RM30,000 kerana kehilangan sebuah bot yang dipercayai dicuri di Jeti Sungai Rampai, baru-baru ini.

Difahamkan, kapal nelayan yang hilang, dipercayai dicuri oleh individu yang sering melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Affandi berkata, dia turut menanggung kerugian apabila enjin kuasa kuda miliknya dan penutup enjin turut hilang dipercayai dicuri individu sama.

“Kejadian berlaku pada Selasa lalu, iaitu sekitar jam 1 pagi hingga ke 5 pagi dan menyedarinya ketika mahu turun ke laut.

“Saya berasa sangat kecewa memandangkan nelayan adalah pekerjaan dan sumber ekonomi utama saya,” katanya ketika ditemui.

Affandi kemudiannya membuat laporan polis di balai berhampiran.

Sinar Harian dimaklumkan enam tahun lalu, kejadian sama berlaku melibatkan kos kerugian mencecah RM200,000 dan antara barangan yang hilang adalah 11 buah kapal nelayan. Pada tahun itu juga terdapat empat siri kecurian.

Gara-gara kerbau lintas jalan



ENDAU - Sebuah bas ekspres yang membawa 14 penumpang terlibat dalam kemalangan di KM 7 Jalan Mersing-Endau kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Nahas berlaku apabila bas ekspres berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah van yang melanggar kerbau.

Pemandu bas ekspres, Mohd Yusuf Awang, 47, berkata, dia sempat mengelak van yang melanggar kerbau menyebabkan bas yang dipandu terbabas ke tepi jalan dan masuk ke dalam parit.

“Walaupun keadaan terlalu gelap, saya masih nampak van yang berada di tengah jalan dan terus mengelak dalam situasi cemas yang berlaku sekelip mata. Mujurlah saya dan penumpang selamat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Manakala, pemandu van, Hamidan Ali, 41, berkata, semasa sedang memandu, tiba-tiba dia terpandang kerbau melintas jalan dan terus hilang kawalan menyebabkan berlaku kemalangan.

Menurutnya, dia bersama kakaknya, Rugayah Ali, 45, dalam perjalanan ke Pahang untuk berniaga pakaian.

“Kejadian seumpama ini kali pertama berlaku dan saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Mohd Noor Rasid mengesahkan kejadian berkenaan.

Gagal kawal diri kerana putus cinta



SERDANG – Gara-gara bekas teman wanita enggan menerima cintanya kembali, seorang pemuda sanggup terjun dari sebuah pangsapuri setinggi 15 tingkat di Serdang Perdana, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dikatakan nekad mengambil keputusan terbabit selepas enggan menerima nasihat daripada rakan-rakan yang dikirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit miliknya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, mangsa berusia 27 tahun itu ditemui orang ramai di tingkat bawah pangsapuri berkenaan sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Bukit Serdang bekerja sebagai pembantu pusat siber di tempat sama bekas teman wanitanya bekerja.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan pernah beberapa kali mengugut untuk membunuh diri dan menyatakan hasrat itu kepada beberapa rakannya. Ia rentetan mangsa dikatakan tidak dapat menerima hakikat putus cinta dengan teman wanitanya yang berusia 19 tahun itu.

“Bimbang sesuatu tidak baik, rakan-rakannya memberikan nasihat dengan menghantar SMS supaya dia tidak bertindak bodoh. Bagaimanapun, mangsa benar-benar melakukan tindakan itu pagi semalam,” katanya.

Abd Razak berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

“Dia dipercayai mati akibat hantukkan kuat selepas terjatuh ke lantai dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya selepas menyerahkan surat penghargaan kepada empat orang awam dan dua wakil akhbar termasuk Sinar Harian sempena sambutan Hari Polis ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pagi semalam.

Dalam program sama, 30 anggota polis berkhidmat di bawah IPD Serdang turut diberi surat penghargaan atas kejayaan mereka membanteras jenayah.

Rumah pusat dadah diserbu



KAJANG – Polis berjaya menahan 11 lelaki tempatan berusia 18 hingga 30 tahun dan merampas dadah jenis ganja, syabu serta eramin-5 dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Berjaya Baru, Sungai Chua, awal pagi semalam.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hasil maklumat orang ramai dan intipan polis di rumah berkenaan.

Kesemua suspek merupakan rakyat tempatan sekitar Bangi, Kajang serta Johor tinggal di rumah sewa berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan dadah jenis ganja, syabu dan eramin-5 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000 berjaya ditemui.

Difahamkan, kegiatan berkenaan dipercayai baru bergiat aktif kira-kira dua bulan untuk pasaran tempatan rumah sewa berkenaan dijadikan sebagai “port” atau lokasi kesemua suspek untuk aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Azman Ayob, ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Sempena Hari Polis ke-204 di Surau Al Amin IPD Kajang mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

“Kesemua suspek berusia 18 hingga 30 tahun kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut.

“Kejayaan tangkapan ini juga adalah hasil keberkesanan Ops Payung yang dijalankan oleh IPD Kajang serta penyaluran maklumat dari masyarakat setempat”, katanya.

Kumpulan curi motosikal tumpas



BANTING -Geng curi motosikal di Pekan Banting berjaya ditumpaskan kelmarin oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat melalui kerjasama kerjasama polis bantuan dan maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, dengan tertangkapnya empat lelaki berkenaan ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar jenayah curi motosikal di daerah itu.

Menurutnya, beliau memuji sikap prihatin orang awam yang benar–benar menunjukkan kerjasama menyalurkan maklumat kepada polis.

“Kes curi motosikal menjadi kerisauan masyarakat turut berpunca daripada kelalaian pemilik motosikal itu sendiri yang tidak mementingkan ciri-ciri keselamatan pada motosikal masing-masing.

“Penunggang motosikal dinasihatkan perlu berwaspada dengan keadaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika sambutan Hari Polis ke-204 di IPD Kuala Langat, semalam.

Nordin Manan berkata, beliau berharap kejayaan ini memberi semangat kepada orang awam dan polis untuk terus menjadi orang tengah dalam menyalurkan maklumat.

Menurutnya, maklumat itu memberi impak yang besar dalam menumpaskan sesuatu kes terutamanya kes yang melibatkan kecurian motosikal.

“Walau bagaimanapun, polis akan sentiasa membantu bagi mengurangkan kadar indeks jenayah di sesebuah kawasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seramai 119 penerima Sijil Penghargaan Hari Polis yang terdiri daripada lima pegawai, 80 anggota polis, 33 ahli Persatuan Isteri Polis Kuala Langat (Perkep) dan seorang orang awam turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Hadir sama, Orang Besar Daerah Kuala Langat, Raja Dato Uzair Tengku Zainon Rashid Shah.

Kedai runcit jual arak




RAWANG – Premis beroperasi ‘dua dalam satu’ dengan membuka kedai runcit dan pada masa sama menjual minuman keras (arak) di Jalan Wellman, Pekan Rawang di sini dipertikaikan penduduk setempat.

Wakil penduduk enggan dikenali berkata, masalah timbul apabila kedai arak sepatutnya ditutup pada jam 9 malam, sedangkan perniagaan runcit di premis sama boleh beroperasi pada bila-bila masa.

“Bagaimana ia hendak dipantau pihak berkuasa terutama yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen?

“Sebab itu kita harap jika hendak jual arak, jual minuman itu sahaja dan tidak buka perniagaan lain,” katanya, ketika memberikan komen berhubung Operasi Arak oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sekitar Rawang dan Gombak, malam kelmarin.

Turut serta dalam operasi diketuai Pengarah Jabatan Perlesenan MPS, Affendei Samingan itu ialah Jabatan Kastam Diraja Kuala Lumpur dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Hadir sama, Ahli Majlis MPS, Gunarajah R George dan N Gopalan Krishnan.

Dalam pada itu, wakil penduduk terbabit juga berharap, biarpun jualan minuman mempunyai alkohol (beer) di bawah paras rendah, ia harus turut dilabelkan sebagai ‘tidak halal’.

“Kita nampak buat masa ini minuman beralkohol bawah enam peratus dijual seperti biasa dengan minuman lain, kadang-kala dalam satu peti sejuk yang sama. Ia patut disyaratkan pihak lesen supaya diletakkan tanda ‘tidak halal’ atau ‘haram untuk orang Islam’,” katanya.

Pengarah Jabatan Penguat kuasa dan Keselamatan (MPS), Azmi Ismail ketika memberi komen berhubung aduan itu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlesenan. 

Vila Datuk dipecah masuk



KUALA ROMPIN: - Seorang doktor bergelar Datuk mengalami kerugian RM1,800 selepas vila miliknya di sini, dipecah masuk malam Rabu lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika vila terbabit tidak berpenghuni.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketika kejadian, doktor yang bertugas di sebuah klinik perubatan swasta di Petaling Jaya itu tiada di vila berkenaan.

“Suspek memecah masuk dengan mengumpil pintu pada bahagian depan vila tersebut sebelum bertindak melarikan beberapa barangan antaranya televisyen, video pemutar suara dan beberapa barangan lain yang masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan Hari Polis ke-204, di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Rompin, di sini, semalam.

Johari berkata, kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan di vila berkenaan sebelum bertindak melaporkannya kepada polis.

“Pengawal keselamatan terbabit terkejut selepas pintu hadapan di unit vila itu terbuka dan berkemungkinan ia dimasuki pencuri selepas mendapati barangan di dalam vila berkenaan dicuri,” katanya.

Beliau berkata, doktor terbabit difahamkan hanya berada di vila itu untuk beberapa hari sebelum pulang semula ke tempat tinggalnya.

“Suspek terbabit dipercayai mengambil kesempatan memecah masuk dan mencuri barangan set karaoke selepas vila itu ditinggalkan sementara pemiliknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih peka dan mengambil langkah pencegahan keselamatan kediaman mereka supaya ia tidak dijadikan sasaran pencuri.

“Orang ramai perlu segera menyalurkan apa jua bentuk laporan kepada polis sekiranya terdapat sebarang jenayah yang berlaku di kawasan kediaman mereka,” katanya.