Search This Blog

Friday, March 25, 2011

1,000 komputer judi bernilai RM3 juta dirampas


KUANTAN - Sebanyak 1,000 set komputer bernilai kira-kira RM3 juta yang disyaki digunakan dalam kegiatan perjudian internet di sekitar daerah ini berjaya dirampas hasil serbuan dalam Operasi Ops Dadu sepanjang 2010 hingga 23 Mac 2011.

Dalam tempoh hampir tiga bulan tahun ini sahaja, Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat 24 serbuan ke atas pusat internet yang dikenal pasti menyalahgunakan lesen perniagaan dan menjalankan aktiviti berunsur perjudian.

Hasil serbuan itu, 197 set komputer dianggarkan bernilai lebih RM500 ribu berjaya dirampas daripada 19 premis sekitar Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam tempoh itu, seramai 88 individu termasuk pelanggan dan penjaga premis yang terlibat menyediakan aktiviti berunsur perjudian tahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, operasi berterusan itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam serbuan terbaru yang dijalankan bersama MPK dan SPRM di beberapa pusat internet sekitar Taman Impianku dekat sini kelmarin, sebanyak 32 set komputer di rampas manakala 9 individu berjaya ditahan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terus berdegil menyediakan kegiatan perjudian di sebalik perniagaan internet yang sah apatah lagi di premis-premis haram,”katanya pada sidang media, petang semalam.

Mohd Jasmani berkata, pihaknya bekerjasama dengan MPK, TNB dan SPRM supaya tindakan dapat diambil terhadap individu atau premis terlibat mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Semua komputer yang dirampas akan dihantar ke bahagian forensik untuk pengesahan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada kes terlibat boleh didakwa di mahkamah atau sebaliknya.

“Individu yang didapati bersalah menjalankan kegiatan judi ini boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau tidak lebih lima tahun penjara bagi setiap mesin ,”katanya.

Beliau berkata, premis yang didapati menyalahgunakan lesen dikeluarkan MPK juga berdepan hukuman pembatalan lesen tersebut.

“Polis akan terus jalankan usaha membendung gejala ini yang dikhuatiri membawa kepada masalah sosial dan peningkatan kadar jenayah," katanya.

Tiga remaja wanita dicekup curi coklat


KUANTAN - Tiga remaja perempuan dicekup pekerja kedai di sebuah stesen minyak dekat sini kerana cuba mencuri pelbagai jenis coklat berharga kira-kira RM100, petang kelmarin.

Semua remaja berusia 15 tahun dari Taman Mahkota Aman dekat sini kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud berkata, remaja perempuan terbabit difahamkan datang ke kedai stesen minyak di Jalan Gambang itu kira-kira jam 2 petang kononnya untuk membeli barang.

Menurutnya, tindak tanduk mencurigakan ketiga-tiga remaja terbabit itu diperhatikan seorang pekerja berusia 25 tahun yang berada di kaunter.

“Hasil pemerhatian pekerja terbabit yang juga pengadu dalam kes itu mendapati remaja tersebut cuba mengambil beberapa keping coklat di atas rak dan dimasukkan ke dalam sebuah beg sebelum datang ke kaunter.

“Bagaimanapun remaja itu hanya membayar dua bungkusan gula-gula berharga RM1,”katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, pekerja terbabit mula curiga lalu menahan semua remaja itu ketika cuba keluar dan meminta mereka memulangkan balik coklat curi itu.

“Selepas mendapati ada coklat dalam beg remaja terbabit, pengadu kemudiannya menghubungi polis sebelum menyerahkan mereka untuk tindakan lanjut,”katanya.

Menurutnya, remaja terbabit ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Menagih gara-gara ingin kuruskan badan



MARANG - Kebanyakan wanita di Terengganu yang menagih dadah jenis syabu menggunakan dadah jenis itu untuk menguruskan badan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintenden Roslan Abdul Wahid.

Roslan berkata, golongan wanita dikesan menggunakan dadah jenis syabu sebagai pil menguruskan badan paling cepat dan berkesan untuk mengurangkan berat badan.

"Ia bukan sahaja diambil oleh wanita yang bekerjaya, malah pelbagai peringkat umur dikesan mengambil bahan larangan itu sebagai jalan mudah untuk menguruskan badan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-204 peringkat Terengganu hari ini.

Roslan berkata, sebahagian daripada kira-kira 10,000 penagih dadah yang ditahan pada tahun lalu terdiri daripada golongan wanita.

"Ada yang sanggup berbelanja RM1,000 untuk membeli satu gram syabu manakala bagi yang kurang berkemampuan, mereka menggunakan pil kuda berharga antara RM25 hingga RM30 sebiji," katanya.-Bernama

Pemandu teksi dipenjara, sebat kerana miliki ganja



SHAH ALAM - Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki ganja seberat 524.6 gram, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Hellmi Yahya, 32, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac tahun lalu.

Hellmi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan terhadap tuduhan memiliki ganja seberat 191.6 gram di Jalan Sungai Buaya, Sungai Jarom, Kuala Langat dekat sini, kira-kira 8 malam pada 23 Mac tahun lalu.

Dadah itu ditemui di dalam teksi milik tertuduh iaitu di atas alas kaki bahagian hadapan tempat duduk pemandu.

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan atas satu lagi tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 333 gram di Bukit Beruntong dekat sini, kira-kira 12.15 tengah malam pada 24 Mac tahun lalu.-Bernama

Koperal bebas daripada dua tuduhan rasuah


25/03/2011 5:33pm


SHAH ALAM 25 Mac - Seorang anggota polis berpangkat koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada dua pertuduhan rasuah, empat tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Wan Mohd Noorisham Wan Yaakob memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas T. Arthimoolan, 48.
Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Arthimoolan sebelum ini dibicarakan atas tuduhan bersetuju terima bagi dirinya suapan RM1,000 dari pemilik Syarikat Kitaran Global Industri (M) Sdn Bhd, Kenny Gan Kian Aun bagi membebaskan empat pekerja Kenny yang ditahan polis kerana tidak mempunyai permit kerja.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Alam Megah, Jalan Jenderam 28/22, Persiaran Kuala Langat dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam pada 19 Januari 2007. - Bernama

Disamun depan rumah




JOHOR BAHRU- Niat baik sepasang suami isteri untuk menziarahi kakak mereka berakhir dengan nasib malang apabila mereka di samun dua penjenayah sebaik tiba di hadapan rumah kakaknya itu di Jalan Bukit Kempas 1, Taman Bukit Kempas , di sini, awal bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang pada 9 Mac lalu itu, Chong Hwee Huat, 28, bersama isteri, Teoh Hooi Shan yang baru sahaja turun dari kereta didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal dan salah seorang dari mereka telah datang mengacukan pisau ke arahnya.

Hwee Huat kemudiannya bertindak melarikan diri dan dalam pada masa yang sama, isterinya yang masih berada di dalam kereta menekan hon untuk mendapatkan bantuan jiran-jiran berdekatan.

“Namun tiada seorang pun datang menolong. Selepas itu lelaki berkenaan telah memecahkan cermin kereta sebelah kiri dengan menggunakan pasu bunga.

“Saya merayu supaya tidak mengapa-apakan isteri saya dan menyerahkan segala dokumen dan beg duit kepada lelaki berkenaan. Kereta saya juga turut dilarikan oleh suspek,” katanya kepada pemberita dalam satu perjumpaan di rumah itu, semalam.

Turut hadir pada perjumpaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau.

Mangsa memberitahu, antara barang yang dilarikan penjenayah terbabit adalah kad pengenalan, pasport antarabangsa, kad kredit, kad ATM, tiga telefon bimbit, sejumlah wang dan barangan peribadi lain.

Hwee Huat yang bekerja sebagai jurutera di Singapura telah membuat laporan di Balai Polis Kempas pada hari yang sama kira-kira jam 2.05 petang.

“Kejadian berlaku cukup pantas dan saya tidak langsung menyangka dua lelaki yang menaiki motosikal itu mahu menyamun saya.

“Saya berharap mereka segera dicekup. Saya menasihatkan masyarakat di luar sana lebih berhati-hati dan tidak mudah leka terhadap persekitaran yang tidak dapat dijangka,” katanya.

sh

Perisian cetak rompak dirampas


25/03/2011 2:52pm


PUTRAJAYA - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyerbu sebuah pusat pengajian dan latihan di Klang semalam dan merampas 15 komputer dan 34 salinan perisian yang dipercayai cetak rompak membabitkan nilai RM107,000.
Ketuanya bahagian itu, Fahmi Kasim berkata, perisian cetak rompak itu disita pada 2.30 petang membabitkan Adobe After Effects CS4 dan Microsoft Office 2003.
Komputer yang dirampas bernilai RM45,000 dan perisian RM62,000, katanya pada sidang media di sini hari ini. - Bernama

Jurugambar fail saman balas tuntut RM100 juta daripada bekas peguam Sultan Johor



JOHOR BAHARU - Seorang jurugambar bebas istana hari ini memfailkan saman balas dan menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap peguam yang pernah mengendalikan urusan berkaitan Sultan Johor dan kerabat diraja yang didakwa menyebar surat berunsur fitnah kepada jabatan kerajaan dan media tempatan bulan ini.

Mohamed Ali Ismail, 46, yang juga seorang kontraktor persendirian, mengemukakan saman itu terhadap Kamal Hisham Jaafar, 41, menerusi firma guaman Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir, yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 10 pagi tadi.

Mohamed Ali berkata, surat yang didakwa disebarkan peguam berkenaan kepada jabatan kerajaan dan media tempatan melalui pos, emel dan juga faks itu, adalah fitnah, palsu dan berniat jahat dengan menuduhnya sebagai orang yang berniat merosakkan hubungan baik beliau dengan keluarga diraja
Johor.

Menerusi penyataan tuntutan yang difailkan hari ini, Mohamed Ali mendakwa perbuatan itu menjejaskan maruah dan reputasinya sebagai jurugambar bebas istana dan kontraktor persendirian yang menyebabkan dia dibenci dan hilang kepercayaan daripada rakan, masyarakat, anggota kerajaan dan istana.

Beliau menuntut ganti rugi am bagi fitnah sebanyak RM50 juta dan ganti rugi teladan sebanyak RM50 juta selain memohon mendapatkan perintah mahkamah menghalang Kamal Hisham daripada terus menerbit dan menyebarkan surat fitnah terhadap beliau.

Kamal Hisham menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates di sini, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 7 Mac lalu dan menuntut kerugian RM10 juta kerana mendakwa Mohamed Ali menulis dan menyampaikan secara lisan kandungan surat berunsur fitnah kepada Sultan Johor.

Dalam tuntutan saman itu, Kamal Hisham mendakwa Mohamed Ali berniat jahat dengan menuduh beliau bersubahat dengan tiga individu lain untuk menipu Sultan Johor berkaitan nombor pendaftaran beberapa kenderaan. - Bernama

Lelaki OKU maut dilanggar lori di Jalan Seremban-Port Dickson



SEREMBAN - Seorang lelaki daripada kalangan orang kurang upaya maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Seremban-Port Dickson berhampiran Sekolah Kebangsaan Mambau di sini semalam.

Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah berkata, dalam kejadian pukul 7.50 petang itu, K. Gunalan, 25, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh badan.

"Kejadian berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Springhill, Port Dickson dipercayai bertindak memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan," katanya, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori itu bertindak meninggalkan tempat kejadian dan memberhentikan lorinya di hadapan sebuah sekolah sebelum melarikan diri.

Polis kini berusaha mengesan pemandu lori itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali pemandu lori tersebut agar menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Taufiq Abd Samad di talian 012-2456710 bagi membantu siasatan.
sh

Jet Qantas alami kebakaran semasa penerbangan

Pesawat buat pendaratan cemas di Cairns


SYDNEY: Satu kebakaran di kokpit sebuah pesawat A330-200 milik syarikat penerbangan Qantas Airways telah memaksanya melakukan pendaratan cemas di Cairns semalam.
Kejadian itu merupakan masalah terbaru yang menimpa Qantas sejak berlakunya beberapa masalah yang dialami syarikat penerbangan itu kebelakangan ini.Pesawat tersebut sedang dalam penerbangan dari Manila, Filipina, ke Sydney di Australia, apabila kerosakan elektrik menyebabkan kebakaran kecil dan asap keluar dekat bahagian kiri cermin depan kokpit.Juruterbang menggunakan alat pemadam api bagi memadamkan api tersebut dan mengubah haluan penerbangannya ke lapangan terbang terdekat - Cairns, di utara wilayah Queensland - tempat mereka mendarat dengan selamat awal pagi semalam.Seorang jurucakap Qantas berkata: 'Kerosakan pada alat pemanas elektrik cermin depan berlaku hingga menyebabkan asap dan api sebesar satu hingga dua sentimeter dekat bahagian kiri cermin depan kokpit.'Bagaimanapun, juruterbang pesawat tersebut telah dapat memadamkan api tersebut.'Kami telah pun memulakan siasatan dalaman untuk memastikan punca insiden itu dan telah memberitahu pihak Biro Keselamatan Pengangkutan Australia,' kata beliau lagi.Jurucakap itu menambah tidak seorang pun daripada 147 penumpang dan 11 kakitangan pesawat itu cedera atau mengalami masalah lain dan perkhidmatan kecemasan tidak diperlukan di Cairns.Pesawat itu mendarat di Cairns selepas drama itu berlaku selang 50 minit penerbangan.Seorang penumpang memberitahu akhbar The Sydney Morning Herald bahawa kejadian itu 'amat menakutkan'.'Kami terhidu bau sesuatu terbakar yang amat kuat dalam kabin. Kapten kemudian menjelaskan menerusi alat pembesar suara tentang berlakunya masalah elektrikal yang bermakna kemungkinan risiko serius kebakaran mungkin berlaku,' kata beliau.'Kemudian beliau (kapten) menjelaskan bahawa kebakaran telah berlaku buat kali kedua dan mereka terpaksa menggunakan alat pemadam api dalam kokpit,' tambahnya.Pihak Qantas memuji para juruterbangnya kerana tetap tenang dalam menghadapi masalah itu.'Para juruterbang itu telah menjalankan tugas dengan baik bagi mengawal suasana dan dengan terbang mengubah haluan pesawat itu ke Lapangan Terbang Cairns bagi pendaratan cemas yang tidak dijadualkan,' kata syarikat penerbangan itu.Qantas telah menghadapi beberapa masalah dramatik sejak beberapa bulan lalu, termasuk menggantung penerbangan semua pesawat superjumbo Airbus A380-nya menyusuli satu kejadian letupan pada enjinnya sejurus selepas pesawat syarikat penerbangan itu berlepas dari Singapura hingga menyebabkan kerosakan pada pesawat berkenaan. -- AFP.
cyberita

Jerung serang peminat sukan papan luncur



SYDNEY: Seorang peminat sukan papan luncur air cedera di bahagian lengan dan mukanya selepas beliau diserang seekor jerung di perairan dekat kawasan pantai New South Wales, ke utara bandar Sydney.
Beliau merupakan mangsa serangan jerung kedua di kawasan itu dalam masa seminggu.Encik Dave Pearson, 48 tahun, sedang meluncur di kawasan Crowdy Head, kira-kira 265 kilometer ke utara Sydney, sekitar senja kelmarin, apabila seekor jerung membaham papan luncurnya dan bahagian atas lengan kirinya.'Saya sedang berada di rumah apabila salah seorang peluncur bersama mangsa datang dan berjumpa saya,' kata Encik Adam Eady, seorang penjaga Crowdy Beach Surf Life Saving, kepada stesen radio ABC.'Saya mendapatkan alat pertolongan cemas dan syukur juga beberapa peluncur lain dapat menarik beliau keluar dari air dan membalut lengannya dengan tuala dengan menggunakan tourniquet untuk menahan pengaliran darahnya kerana banyak (darah) yang keluar.'Luka di lengannya memang amat dalam. Banyak yang rosak di situ,' katanya.Serangan jerung itu hanya selang beberapa hari selepas Cik Lisa Mondy, 24 tahun, diserang seekor jerung di kawasan perairan Nelson Bay, jauh di bahagian selatan Sydney, semasa beliau menjalankan aktiviti wakeboarding.Cik Mondy mengalami kecederaan serius pada bahagian atas lengan kiri dan lehernya.Encik Eady berkata beliau telah tinggal di Crowdy Head sepanjang hayatnya tetapi beliau belum pernah mendengar kisah serangan jerung.'Terdapat banyak umpan ikan di sekeliling (kawasan tersebut) ketika itu, dengan cuaca hujan baru-baru ini menyebabkan ikan-ikan terpaksa berenang keluar dari sungai-sungai lebih awal,' katanya.'Saya fikir jerung itu mengekori mereka sehingga ke kawasan pantai dan oleh kerana waktu hampir senja, ia mungkin tersalah sangka peluncur itu sebagai makanannya,' tambahnya.Beberapa laporan berkata haiwan itu mungkin jerung jenis bull shark manakala insiden di Nelson Bay pula membabitkan seekor jerung putih besar.Jerung memang lazim terdapat di perairan Australia tetapi serangan ke atas manusia oleh haiwan itu jarang terjadi.Menurut Fail Serangan Jerung Australia, sejak setengah abad yang lalu, hanya 53 kes kematian akibat serangan haiwan itu dilaporkan. -- AFP.

Polis siasat kes tembakan di Mount Erskine, Tanjung Bungah


25/03/2011 12:49pm


GEORGE TOWN 25 Mac - Polis sedang menyiasat satu kejadian tembakan rambang oleh orang yang tidak dikenali di kawasan perumahan Mount Erskine di Tanjung Bungah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, pada kejadian pukul 3 pagi itu, penduduk di kawasan berkenaan gempar apabila beberapa orang melepaskan beberapa das tembakan ke arah empat buah rumah teres dua tingkat di kawasan taman itu dan tembakan itu mengenai empat buah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.
"Polis mendapati ada kesan tembakan yang menembusi kereta dan menemui beberapa butir peluru bertaburan di atas jalan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-204 di sini hari ini. - Bernama

Lelaki maut rempuh lembu



25/03/2011 11:52am

IPOH - Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh sekumpulan lembu yang sedang melintas jalan di Batu 7, Jalan Batu Bertam-Selama, 125 km dari sini, semalam.
Dalam kejadian pada 10 pagi semalam, Abdullah Ahmad, 44, dari Kampung Lubuk Buaya, Selama, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Hospital Selama, kata Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak.
Katanya kejadian berlaku ketika Abdullah dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan Selama.
"Dia tercampak di atas jalan raya dan orang awam membantu menghantarnya ke hospital,” kata Wan Abdullah.
Dalam kejadian lain, seorang warga emas, Sing Leong Seah, 69, terbunuh selepas motosikal yang dinaikinya merempuh belakang sebuah treler di Km 46 Jalan Teluk Intan-Sitiawan pada 7.30 pagi semalam. - Bernama

Dadah RM16 juta dirampas

2011/03/25

SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 84.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM16 juta dari sebuah kontena yang berisi perabot di Pelabuhan Barat, dekat sini Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata rampasan dadah terbabit adalah yang terbesar di Pelabuhan Klang pada tahun ini dan taktik menggunakan kontena juga pertama kali digunakan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa selepas kegagalan mereka menyeludup dadah melalui jalan udara terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kejayaan ini dicapai selepas polis berjaya menahan seorang lelaki warga Iran berusia 32 di suatu kawasan di Lembah Klang. Ekoran penangkapan itu, polis berjaya menemui beberapa dokumen sehingga membawa kepada kejayaan rampasan dadah terbabit.
“Melalui siasatan, kontena terbabit didaftarkan di Iran dan ketika pemeriksaan dibuat, polis berjaya menemui 58 bungkusan dadah yang dibalut dengan kertas karbon yang disorokkan dalam 11 gulung karpet,” kata-nya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.
Berita Harian

Pakej jenayah ‘polis palsu’



AYER KEROH - Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, semalam, kerana menyamar sebagai penjawat awam, menyamun sepasang kekasih dan merogol remaja perempuan berumur 14 tahun.

Tertuduh, Mohd Harmozi Abdul Ghani, 27, dari Sungai Tuang, Tanjung Bidara dekat sini, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di dalam tiga prosiding berbeza.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Harmozi bersama seorang rakan yang dituduh menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai polis kepada seorang remaja dan kekasihnya berumur 14 tahun.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah pondok kawasan Pantai Puteri, Tanjung Keling, kira-kira jam 11 malam pada 23 Disember 2010.

Mohd Harmozi dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan kes menawarkan kepada mahkamah wang jaminan RM4,000 diberikan kepada tertuduh ketika pendakwaan.

Tertuduh ketika rayuan memohon jaminan dikurangkan kerana dia daripada keluarga susah dan perlu menyara seorang anak perempuan berumur 7 tahun.

:Majistret Muzila Mohamed Arsad yang membenarkan jaminan RM2,500 terhadap tertuduh turut menetapkan tarikh sebutan pada 26 April depan untuk lantikan peguam.

Terd:ahulu, di Mahkamah Sesyen, Mohd Harmozi turut tidak mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menyamun dan merogol.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama seorang rakan yang dituduh melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta kepunyaan remaja berumur 18 tahun, iaitu sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua telefon bimbit jenis Sony Ericson.

Mohd Harmozi dituduh melakukan :kesalahan itu pada tarikh dan di pondok kawasan yang sama, jam 11 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun 11 bulan di sebuah ladang kelapa sawit, Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya, antara jam 11.30 malam hingga 1.30 pagi pada tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara daripada lima hingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Shazwani Ishak ketika pendakwaan menawarkan kepada mahkamah wang jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan jaminan bagi :pertuduhan pertama dan kedua, masing-masing sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, selain turut menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan untuk lantikan peguam.

Dicekup hanya berseluar dalam




KULIM - Seorang isteri beranak dua ditangkap dalam keadaan separuh bogel bersama teman lelakinya di sebuah rumah teres dekat sini kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin.

Ketika serbuan dibuat, perempuan berkenaan hanya memakai seluar dalam dan berbaju singlet manakala pasangan lelaki berseluar pendek dan tidak berbaju.

Menurut jurucakap Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) berkata, PADK menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira jam 11.30 malam dan sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 12 pagi bersama empat anggota.

Katanya, sebelum membuat serbuan, PADK mengepung rumah itu untuk memastikan pasangan berkenaan tidak melarikan diri.

“Pasangan kekasih terlibat berusia 20-an dan bekerja di Kulim Hi Tech. Ketika serbuan dibuat, pintu pagar dan pintu rumah tidak berkunci. Apabila membuka pintu, PADK mendapati pasangan itu sedang berbaring di ruang tamu dan badan mereka ditutup dengan selimut.

“Dari siasatan dijalankan, perempuan itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Suaminya sedang menjalani hukuman penjara. Pasangan perempuan mengaku mengajak teman lelakinya datang ke rumahnya dan pernah melakukan hubungan seks sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, PADK kemudiannya mengarahkan perempuan dan lelaki itu untuk memakai pakaian sebelum dibawa ke Balai Polis Polis Sungai Kob untuk membuat laporan tangkapan terhadap diri mereka.

Pasangan perempuan kemudiannya di tahan di lokap Balai Polis Lunas manakala teman lelakinya di tahan di lokap Balai Polis Kulim.

Mereka akan di siasat dibawah seksyen 9(1)(2) Enekman Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Yayasan disaman lagi



SHAH ALAM - Belum selesai kes saman RM1 juta terhadap Yayasan Selangor (YS) oleh bekas Timbalan Pengurus (Pendidikan), Omar Hasbullah dan 10 bekas kakitangan lain, sekali lagi organisasi berteraskan pendidikan itu bakal berdepan satu lagi saman.

Kali ini, bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Mohd Saifulruddin Sulaiman yang dipecat baru-baru ini, akan memfailkan saman fitnah terhadap yayasan, Kerajaan Negeri, beberapa individu selepas pendedahan laporan audit yayasan itu.

“Tuduhan dan tohmahan yang melampau oleh pihak berkenaan sekan-akan memperlihatkan saya menyalah guna kuasa dan salah tadbir kewangan YS sedangkan tugas saya cuma menerima arahan dan melaksanakan arahan yang diberikan.

“Kesalahan yang ditujukan ke atas saya amat berat dan menyebabkan saya termasuk ahli keluarga terasa terhina dan tersinggung dengan kenyataan yang dibuat tanpa usul periksa dan membuat kenyataan yang mengelirukan tanpa fakta yang sebenar.

“Dengan itu, saya akan mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman malu dan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Selangor, Yayasan Selangor dan individu-individu serta pihak-pihak terbabit demi menjaga maruah dan membersihkan nama saya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kenyataan (berhubung laporan audit) dikeluarkan baru-baru ini oleh pihak berkenaan menjurus kepadanya dan segala pertuduhan mengelirukan itu menunjukkan beliau yang melakukannya.

“Sudah tiba masanya saya perlu memberikan kenyataan media demi membela diri saya sebelum diperkotak katikkan dengan laporan dan tuduhan yang melampau dan tidak berasas itu.

“Saya juga sekeras-kerasnya menolak segala dakwaan dan menyangkal penuh segala perihal ke- nyataan dan tuduhan yang dikeluarkan melalui laporan media massa dan elektronik terhadap diri saya berkenaan laporan audit yang dikeluarkan oleh Kerajaan Selangor melalui Pejabat,” katanya.

Kesan daripada itu katanya, beliau serta keluarga telah diaibkan dan dipandang serong oleh masyarakat sekali gus memudaratkan kehidupannya sekeluarga.

“Saya terasa terhina dengan dakwaan tersebut sedangkan fakta sebenar telah diberikan malah merasakan laporan audit ini dibuat tanpa merujuk fakta sebenar serta tidak mengikut tatacara audit betul.

“Laporan audit ini juga menjurus kepada panda- ngan pihak-pihak berkepentingan dan pandangan tersebut bulat-bulat diterima pakai sebagai fakta oleh Kerajaan Negeri, YS termasuk beberapa pihak yang berkepentingan dalam mengeksploitasi isu YS dan mengaitkan perbuatan dan perkara tersebut terhadap saya.

“Saya mempunyai dan memiliki segala bukti yang berasas dan akan mempertahankan diri serta menegakkan kebenaran di atas segala fakta-fakta yang dikelirukan dan ditokok tambah oleh pihak yang berkepentingan,” katanya.

:Dalam pada itu, beliau juga telah memfailkan saman dan aduan melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Kementerian Sumber Manusia kerana penamatan kontrak perjawatan dibuat secara melulu tanpa ‘natural justice’.

“Saya juga tidak diberi ruang untuk membela diri dan tiada ’Domestic Inquiry’ ke atas diri saya, ini memperlihatkan bahawa diri saya telah diperkotak katikkan demi memuaskan hati dan menjaga beberapa individu yang berkepentingan.

“Kenyataan terbaru dari Menteri Besar pula mengatakan bahawa Yayasan Selangor mempunyai lebihan pendapatan yang tidak memungkinkan ia bankrap.

“Fakta yang dikeluarkan amat berbeza dan berlainan dengan kenyataan terdahulu yang menyatakan bahawa Yayasan Selangor defisit dan perkara tersebut dilakukan oleh saya selaku Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor,” katanya.

Tempuh pelbagai kesulitan



BENTONG – Mangsa banjir di Kampung Chegar Medang dekat sini terpaksa menempuh pelbagai kesulitan dan berharap pihak berwajib dapat menyalurkan bantuan dengan kadar segera.

Seorang mangsa banjir, Abdul Rahman Jaafar, 54, berkata, rumahnya antara paling teruk dilanda banjir kerana ditenggelami air hampir 1.8 meter hingga menyebabkan kebanyakan harta benda rosak dan dihanyutkan air.

Menurutnya, air naik dengan begitu cepat sehingga menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menyelamatkan diri ke tempat lebih selamat walaupun berdepan saat cemas kerana salah seorang anaknya hampir lemas.

“Selepas kejadian berlaku, kebanyakan mangsa terpaksa membersihkan rumah masing-masing tanpa dibantu oleh pihak lain.

“Sehingga kini (semalam) masih banyak yang perlu dibersihkan dan ia mengambil masa agak lama untuk memastikan kesemuanya kembali seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak-anak tidak ke sekolah

Sementara itu, Zali Azman, 42, berkata, mereka sekeluarga sudah cuba mengemas barangan dan meletakkannya di tempat tinggi namun tetap ditenggelami air.:

Menurutnya, kejadian itu juga barangan persekolahan kedua anak-anaknya hanyut.

“Kedua-dua anak saya tidak dapat bersekolah dan dijangka akan bersekolah semula pada Isnin hadapan.

“Saya amat berharap supaya pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan segera bagi memastikan persekolahan anak-anak mangsa banjir tidak terjejas,” katanya.:

Bantuan makanan

perlu diberi

Manakala Zainudin Abdullah, 49, berkata selepas pulang ke rumah masing-masing, terdapat mangsa banjir yang tidak dapat bantuan keperluan makanan dan terpaksa berlapar.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada Pemuda Pas Kawasan Bentong kerana sudi menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir.

“Apa yang diharapkan adalah pada masa akan datang, mangsa banjir diberi bantuan makanan segera dan maklumat dikumpulkan dengan lebih teliti.

“Perancangan berhubung operasi penyerahan bantuan perlu dijalankan secara terperinci supaya tidak timbul sebarang masalah,” katanya.

JKKK kumpul senarai nama


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Benus/Chegar Medang, Mohd Jidin Latif berkata, pihaknya sudah meminta penduduk membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis berhubung kejadian yang berlaku.

Menurutnya, ia memudahkan urusan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir dan setakat semalam masih ada sebilangan kecil penduduk yang masih belum membuat laporan.


Mutu perkhidmatan ditingkatkan


Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mutu perkhidmatan operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, setiap jabatan yang bertanggungjawab akan berusaha memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin bagi memastikan mangsa banjir mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kes yang berlaku seperti ketiadaan makanan adalah kes terpencil, namun jawatankuasa bencana daerah akan memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang.

“Senarai mangsa banjir akan diserahkan segera kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan,” katanya.

Bapa mengaku tidak bersalah



KUANTAN - Seorang bapa beranak sembilan tidak mengaku bersalah atas tuduhan merogol anak kandungnya berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen 4, di sini semalam.

Tertuduh berusia 35 yang juga seorang nelayan dari Kampung Genting Pulau Tioman, Rompin, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya selesai dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan rogol ke atas anak perempuannya di dalam sebuah bilik rumah tidak bernombor di Kampung genting, Tioman kira-kira jam 10 pagi pada 3 Oktober 2009.

Hakim, Mohd Azhar Othman menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selepas peguam bela tertuduh, Husin Safri merayu supaya jaminan itu dikurangkan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Suhada Shamsudin meminta supaya tertuduh dikenakan jaminan RM8,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebat.

Sebelum ini tertuduh juga menghadapi tuduhan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun di lokasi sama pada pertengahan 2009 kira-kira jam 2 petang dan tidak dibenarkan diikat jamin selepas dihadapkan ke mahkamah pada 7 Oktober tahun lalu.

Hidayatul meminta mahkamah supaya membicarakan kes itu serentak dengan tuduhan pertama namun Husin merayu supaya memberikan masa untuk membuat persediaan.:

Mohd Azhar menerima rayuan peguam bela tertuduh dan menetapkan tarikh perbicaraan semula pada 18,19 dan 20 April depan.

Sementara itu, semua anak perempuan tertuduh yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir ke mahkamah.

Pati lari lintang pukang



TELUK INTAN - Serbuan di tapak pembinaan bangunan di Jalan Durian Sebatang, di sini, pagi kelmarin, menyebabkan warga asing yang berkampung di situ lari lintang pukang menyelamatkan diri, namun berjaya ditahan atas kecekapan anggota operasi.

Seorang pemegang pas pelajar antara 22 warga asing yang ditahan dalam operasi Ops Sapu oleh Imigresen Cawangan Teluk Intan.

Ketuanya, Khairul Anuar Sulaiman berkata, pemegang pas pelajar itu adalah lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun ditahan kerana melanggar syarat pas yang diberikan.

Menurutnya, lelaki warga Bangladesh itu bekerja sebagai buruh binaan bersama-sama 21 pendatang tanpa izin (Pati) yang lain di tapak pembinaan bangunan kerajaan.

Katanya, operasi yang diketuainya sendiri turut melibatkan lapan anggota Imigresen Cawangan Teluk Intan, lapan anggota Rela cawangan Langkap dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kira-kira 11 pagi dan berakhir 12 tengah hari.

"Kami berjaya menahan 11 lelaki warga Indonesia, seorang warga Bangladesh dan dua orang lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 45 tahun, lapan wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 41 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan di kawasan itu

"Setiap mereka mempunyai kesalahan berbeza iaitu tinggal dalam negara lebih masa, tinggal dalam negara tanpa permit yang sah dan kesalahan melanggar syarat pas lawatan,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, pihaknya turut menahan seorang warga tempatan yang juga Penyelia Projek di situ untuk membantu siasatan.

Katanya, kesemuanya ditahan di Depot Tahanan Langkap 14 hari untuk siasatan dan jika sabit kesalahan mereka akan dihantar pulang ke negara asal.

'Rumah kami dinaiki air, selut'



KAMPUNG KILANG MAKAU – Hujan lebat selama dua hari berturut-turut selain projek mengorek dan meratakan tanah yang sedang dijalankan di hadapan laluan masuk ke rumah penduduk dikatakan menjadi punca kediaman mereka dinaiki air dan selut.

Mohd Zin Saamah, 56, berkata, walaupun menetap selama 30 tahun di kampung berkenaan, ini merupakan pengalaman pertama rumah mereka didinaiki air dan selut.

Menurutnya, hujan lebat sejak jam 5 hingga 6 petang Isnin lalu dan berlarutan sehingga lewat malam dan air selut mulai naik sehingga paras buku lali menyebabkan beberapa peralatan rumah, barangan elektrik dan perkakasan lain rosak.

“Penduduk mulai membersihkan rumah pada kejadian pertama, hari Isnin malam tetapi hujan lebat keesokan hari menyebabkan perkara sama berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zin berkata, keletihan ahli keluarga membersihkan rumah berganda apabila terpaksa melakukan kerja pembersihan kali kedua selepas kejadian hujan lebat petang Selasa lalu.

Omar Mat, 48, berkata, keadaan itu juga memberi risiko kepada ahli keluarga terutama anak kecil yang sibuk bermain air.

“Tikar getah, karpet, almari, pakaian, sofa dan peralatan rumah lain rosak dan mendatangkan kerugian kepada penduduk,” katanya.

Dakwanya, kerja mengorek dan meratakan tanah di laluan masuk ke rumahnya itu mungkin antara punca kejadian.

Omar berkata, sistem perparitan jalan raya dan projek pembinaan yang dibina lebih tinggi dari paras rumah turut menjadi faktor rumah dimasuki air.

“Projek yang dijalankan kilang berdekatan perlu lebih memberi perhatian terhadap masalah penduduk lebih-lebih lagi apabila hujan lebat. Mereka perlu membuat siasatan terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa perancangan kerana memberi kesan mendalam kepada penduduk,” katanya.

Pertama kali dilanda banjir



KUALA KETIL –“Ini adalah pertama kali kampung ini dilanda banjir kilat,” kata seorang penduduk di Pekan Lama Kuala Ketil.

Abd Razak Latiff berkata, dia sudah lama tinggal di kampung itu dan tidak pernah berhadapan dengan banjir kilat seperti ini.

Menurutnya, sejak adanya projek pembangunan di kawasan sekitar pekan lama itu, masalah mula timbul, bertambah teruk apabila kini musim hujan.

“Saya tidak menghalang pembangunan diadakan di sini tetapi harus mengambil kira dengan penduduk yang tinggal di sekitar pekan ini.

“Malah, aktiviti pembangunan yang berjalan harus dirancang seperti menyediakan longkang terlebih dahulu agar memudahkan pengaliran air,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Razak mendakwa, dulu kawasan mereka terdapat longkang tetapi ditimbus untuk projek berkenaan dan kini tiada lagi saluran air.

Dianggarkan kira-kira 50 rumah dilanda banjir kilat termasuk di Kampung Besah, Kuala Bakong dan Kampung Padang Kulim serta kawasan berhampiran.

Sementara itu, ketika hujan lebat tanpa henti sejak petang hingga malam, MIC Bahagian Baling diketuai L Maran bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah telah turun padang meninjau kawasan terlibat.

Mohd Khairul Azhar berkata, bancian telah dibuat terhadap rumah-rumah mangsa berkenaan dalam bencana terbabit bagi memudahkan bantuan segera diberikan.

Menurutnya, bantuan bantal dan dapur memasak akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk menggantikan kerosakan yang ditanggung mangsa.

Selain melawat mangsa banjir kilat dari rumah ke rumah, mereka juga turut melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kuala Ketil dan Sekolah Kebangsaan Jemerli yang mana turut banjir.

Pecah rumah awal pagi




BANTING – Pasangan suami isteri di Taman Setia Jaya di sini terkejut apabila rumah mereka dimasuki pencuri awal pagi semalam.

Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chong berkata, dia terkejut apabila mendapati pintu rumahnya terbuka dan mengesyaki kejadian tidak diingini telah berlaku.

Menurutnya, kebetulan pada hari kejadian dia hanya tinggal berdua dengan isterinya kerana anak-anaknya tiada di rumah.

“Lebih kurang jam 3 pagi saya dan isteri terjaga dari tidur. Saya tiba-tiba rasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu telah berlaku.

“Saya ambil keputusan untuk lihat keadaan rumah tetapi terkejutnya melihat pintu rumah terbuka luas,” katanya.

Ah Chong berkata, selepas menutup pintu rumah dia segera melihat bilik tidur anak perempuannya.

“Saya dan isteri sangat terkejut apabila lihat keadaan bilik berselerak dan ada beberapa barang seperti telefon bimbit, wang tunai, barang kemas dan kunci rumah hilang,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun dia mengalami kerugian akibat kehilangan beberapa barang yang dicuri, namun dia dan isteri berasa gembira serta bersyukur kerana mereka masih selamat.

“Kejadian yang berlaku benar–benar buat kami risau sekiranya anak–anak tinggal bersama.

Menurutnya, dia berharap kejadian tersebut tidak berulang lagi dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada khususnya pada awal pagi terutama ketika hujan lebat.

“Kejadian ini juga memberi iktibar kepada keluarga kami supaya lebih berhati–hati walaupun pintu rumah sudah pun berkunci,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat ketika ditemui turut mengesahkan kejadian tersebut, sekali gus akan menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Lelaki mangsa langgar lari maut




KLANG - “Jaga diri dan anak baik-baik, kalau abang tiada nanti pandai-pandailah hidup berdikari,” itulah antara pesanan terakhir arwah Shamshudin kepada isteri keduanya yang dikenali Azila Yusuf, 29, kira-kira sehari sebelum kemalangan maut menimpanya.

“Saya tidak sangka rupa-rupanya ia adalah pesanan terakhir arwah agar saya menjaga tujuh anak termasuk lima anak bersama isteri pertama.

Beliau yang bekerja di kedai perabot. berkata, suami juga tidak sempat untuk menyaksikan perkahwinan anak sulung pada tahun hadapan.

“Bagaimanapun kami sekeluarga reda di atas pemergiannya cuma kematiannya amat mengejutkan kami.

“Walaupun begitu, saya akan membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka sehingga mereka berjaya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Dalam kejadian semalam, hasrat seorang pekerja kilang plastik untuk ke tempat kerjanya di Shah Alam tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggang seorang diri dilanggar kenderaan lain di kilometer 19, Lebuh raya Kesas.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Shamshudin Ab Rahman, 48, beralamat di Kampung Kedai Buluh, Badang, Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kenderaan lain ketika mangsa berada di lorong paling kanan menyebabkan mangsa dan motosikalnya terjatuh.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa cuba bangun untuk menyelamatkan diri bagaimanapun dalam masa yang sama dia dipercayai dilanggar kenderaan lain.

“Berikutan itu, mangsa yang cedera parah pada anggota badan dan patah tangan kanan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Bilik Mayat, HTAR untuk bedah siasat,” katanya.

“Setakat ini Polis belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan yang melanggar mangsa.

“Oleh itu, kita minta sesiapa yang menyaksikan kejadian terbabit tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Rumah pusat dadah diserbu



KAJANG – Polis berjaya menahan 11 lelaki tempatan berusia 18 hingga 30 tahun dan merampas dadah jenis ganja, syabu serta eramin-5 dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Berjaya Baru, Sungai Chua, awal pagi semalam.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hasil maklumat orang ramai dan intipan polis di rumah berkenaan.

Kesemua suspek merupakan rakyat tempatan sekitar Bangi, Kajang serta Johor tinggal di rumah sewa berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan dadah jenis ganja, syabu dan eramin-5 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000 berjaya ditemui.

Difahamkan, kegiatan berkenaan dipercayai baru bergiat aktif kira-kira dua bulan untuk pasaran tempatan rumah sewa berkenaan dijadikan sebagai “port” atau lokasi kesemua suspek untuk aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Azman Ayob, ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Sempena Hari Polis ke-204 di Surau Al Amin IPD Kajang mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

“Kesemua suspek berusia 18 hingga 30 tahun kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut.

“Kejayaan tangkapan ini juga adalah hasil keberkesanan Ops Payung yang dijalankan oleh IPD Kajang serta penyaluran maklumat dari masyarakat setempat”, katanya.

Cinta berakhir: Remaja tikam, kelar bekas kekasih



SHAH ALAM – Gara-gara tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta berakhir, seorang remaja bertindak ganas menikam serta mengelar bekas kekasihnya dalam kejadian di Robson Height, Brickfield, Jumaat lalu.

Sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dihubungi suspek yang dikenali sebagai Sivam, 27, yang mengugut membunuh dirinya jika mangsa tidak datang berjumpa untuk menyelesaikan masalah mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu, bersetuju bertemu suspek.

Katanya, mangsa tiba di tempat yang dijanjikan tetapi suspek secara tiba-tiba bertindak ganas dengan mengelar pergelangan tangan serta kaki kirinya.

“Suspek panik dan terus membawa mangsa ke sebuah hospital dan menerima 10 jahitan di pergelangan tangan,” katanya semalam.

Zakaria berkata, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, dan kertas siasatan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Menurutnya, suspek ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Kasih anak, sanggup jamin ayah dituduh merogol



KUALA TERENGGANU - Kasih seorang anak! Walaupun masih bergelar penuntut, namun disebabkan tidak sanggup melihat bapa kandung meringkuk di penjara atas tuduhan merogol, seorang anak sanggup menjadi penjamin dengan membayar wang jaminan sejumlah RM10,000 setelah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Sebelum ini, pada 17 Mac lalu, tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, dari kampung Wakaf Tengah tidak dibenarkan diikat jamin selepas ahli keluarganya gagal menghadirkan diri semasa pertuduhan dijalankan.

Namun, Hakim Tuan Mohd Azman Mustapha semalam membenarkan anak kepada ‘tok bomoh’ yang dituduh merogol seorang guru tadika berumur 29 tahun pada 7 Mac lalu selepas mengambil kira pengakuan tidak bersalah atas tuduhan itu.

Selain itu, Tuan Mohd Azman turut mempertimbangkan permohonan peguam bela tertuduh, Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir yang memohon agar tertuduh dibenarkan diikat jamin selepas mengambil kira faktor usia dan juga kesihatan tertuduh semakin uzur.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Chooi Ooi Goik dan hakim menetapkan 18 April sebagai tarikh perbicaraan.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, pada 7 Mac lalu jam 12 tengah malam di kampung Seberang Tepoh, tertuduh dituduh merogol seorang guru tadika di dalam sebuah bilik di kediaman ‘tok bomoh’ berkenaan ketika sedang merawat mangsa selepas mendakwa terkena buatan orang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesala-han.

Hubungan seks lebih 25 kali



CHUKAI – Disangkakan demam panas, rupa-rupanya sakit mahu bersalin.

Itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan seorang bapa yang hanya mengetahui anak gadisnya sarat mengandung dan cuma menunggu saat untuk melahirkan bayi ketika menghantar anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana suhu badannya panas.

Hati bapa mana yang tidak hancur apabila mengetahui berita berkenaan daripada doktor, apatah lagi si anak gadis masih di bawah umur.

Bagaimanapun, demi maruah, bapa berkenaan nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di sini, Selasa lalu.

Meskipun sudah sarat mengandung, namun ‘perut membusung’ gadis itu yang dikatakan tidak kelihatan menyebabkan bapa terbabit dan ahli keluarga lain tidak menyedari anaknya itu mengandung luar nikah.

Sinar Harian difahamkan, pada hari sama bapa berkenaan membuat laporan polis, anak gadisnya yang ditahan di wad juga telah selamat bersalin di Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, suspek bagi kes berkenaan adalah teman lelaki mangsa sendiri.

“Suspek berumur 19 tahun dan berasal dari Bukit Kelulut, Marang. Sekarang kita sedang mengesan suspek.

“Berdasarkan soal siasat awal juga, mangsa yang sudah tidak bersekolah turut mengakui telah melakukan hubungan seks lebih daripada 25 kali bersama teman lelakinya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawal pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlalu bebas seterusnya mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.

Mejar tentera dituduh rasuah lagi



KOTA BHARU – Seorang pegawai tentera berpangkat Mejar yang dituduh menerima rasuah empat hari lalu sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Gua Musang kerana dua tuduhan sama, kelmarin.

Pada pertuduhan kali kedua itu, Komandan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani tersebut didakwa menerima rasuah RM400 dari Ahmad Saifuddin Ibrahim melalui perpindahan akaun Maybank 16 Januari dan 27 Ogos tahun lalu.

Mohamad Nazri Osman dituduh melakukan kesalahan itu dengan tujuan menyenangkan urusan berkaitan pembekalan perkhidmatan pengangkutan bas kepada kem berkenaan.

Dua pertuduhan di mahkamah itu semalam menjadikan pegawai tentera tersebut kini berdepan enam tuduhan membabitkan penerimaan suapan daripada individu yang sama.

Nazri didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan mengikut mana-mana yang tertinggi.

Pada prosiding tersebut, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dirinya dibicarakan atas kesemua dakwaan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh penetapan peguam bela tertuduh.

Penyeludup dihukum



KOTA BHARU – Seorang penyeludup minyak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan enam sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver 357, Februari lalu.

Warganegara Malaysia yang berasal dari Cabang Empat, Tumpat itu disabitkan bersalah selepas mahkamah menerima pengakuannya sebagai pemilik senjata api berkenaan.

Suphon Ensau, 30 didapati bersalah memiliki senjata api bersama enam biji peluru hidup yang disorokkan di dalam sarung bantal di sebuah bilik di Perdana Resort, Jalan Pantai Cahaya Bulan, jam 4.25 pagi, 25 Februari lalu.

Ketika diminta mengemukakan rayuan sebelum hukuman diputuskan semalam, tertuduh mengakui memiliki pistol tersebut dengan tujuan mencari seseorang yang didakwa membunuh abang angkatnya di Thailand.

“Saya mencari individu yang membunuh abang angkat saya ketika beliau sedang menunaikan sembahyang untuk dibawa ke Thailand serta diserahkan kepada pihak polis di negara tersebut.

“Tetapi belum sempat jumpa pembunuh itu, saya sudah ditangkap polis di sini (Kota Bharu),” katanya.

Sebelum itu, tertuduh mengajak dua orang rakannya, Mohd Nashul Fadhli dan Syaiful Fadhli Hussin untuk mengambil Revolver 357 Magnum Cal Smith & Wesson berkenaan daripada seorang lelaki di Cabang Empat, Tumpat.

Mereka kemudiannya menginap di resort berkenaan sebelum kelicikan tiga sahabat dihidu pihak berkuasa dalam satu serbuan yang membawa kepada penangkapan mereka.

Hasil tangkapan itu, Suphon Ensau dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (hukuman lebih berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan enam sebatan rotan terhadap tertuduh kerana memiliki senjata api manakala hukuman penjara selama empat tahun kerana memiliki peluru hidup tersebut.

Hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan yang dibuat terhadapnya.

86 PATI ditahan tidak memiliki permit



ANGGOTA-ANGGOTA Jabatan Imigresen melakukan proses dokumentasi terhadap PATI yang ditahan dalam satu operasi khas di Papar, Sabah, semalam.


KOTA KINABALU 24 Mac - Pembinaan sebuah bangunan perniagaan di Jalan Pintas Tuaran dekat sini tergendala seketika apabila lebih 100 pekerja binaan bertempiaran melarikan diri apabila diserbu sepasukan anggota Jabatan Imigresen semalam.
Dalam 'Ops Kutip' yang diadakan pukul 10 pagi itu, kebanyakan pekerja tidak menyedari kawasan itu sudah dikepung menyebabkan kesemua mereka gagal melarikan diri ketika serbuan dilakukan.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Mohamad Mentek berkata, ketika serbuan, terdapat di kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa anak mereka ke kawasan pembinaan itu.
Selain itu jelas beliau, pihaknya juga mengesan pekerja wanita berusia 20-an yang tidak memiliki dokumen sah.
"Selain memeriksa seramai 119 PATI dari pelbagai negara, kita turut menahan beberapa individu dipercayai majikan kepada pekerja tersebut. Sebanyak 97 daripada mereka ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.
Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, 86 daripadanya tidak memiliki permit atau dokumen perjalanan yang sah dan dihantar ke Depot Tahanan Sementara Papar untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, seramai 62 daripada yang ditahan merupakan warga Filipina manakala 24 lagi warga Indonesia. Kesemua mereka berusia antara 3 hingga 60 tahun.

Warga emas maut dirempuh lori


KUANTAN 24 Mac - Seorang warga emas terbunuh ketika cuba melintas jalan di Kilometer 22, Jalan Lipis-Merapoh di Padang Tengku dekat Kuala Lipis semalam.

Mangsa, Mohamad Isa Ali, 59, dari Kampung Beralas, Padang Tengku meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, lori yang membawa muatan perabot dan peralatan sekolah berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.
"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan melintas secara tiba-tiba dari kanan ke kiri jalan sebelum dirempuh lori terbabit. Ekoran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Lima rumah rosak dipukul ribut





Mohammad Nazir Jaffar melihat bumbung rumahnya diterbangkan angin ribut di Melaka, semalam.


MELAKA 24 Mac - Sebuah rumah rosak teruk dan empat lagi mengalami kerosakan kecil dalam kejadian ribut yang melanda Taman Pandan Jaya, Jalan Pandan di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi dan ketika angin kuat dan hujan lebat itu, sebuah rumah tercabut bumbung dan selebihnya sekadar mengalami kerosakan kecil pada dinding.
Mohammad Nazir Jaffar, 28, berkata, ketika kejadian, dia, isteri dan dua anak berusia dua tahun dan 10 bulan sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan.
"Tiba-tiba saya terkejut daripada tidur apabila terdengar bunyi letupan kuat dan saya panik apabila melihat bahagian bumbung hadapan rumah terangkat diterbangkan angin.
"Saya terus memeluk anak dan membawa membawa mereka menyelamatkan diri dengan lari ke arah dapur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dia turut meminta adiknya yang menetap di sebelah rumah untuk membantu menyelamatkan beberapa barang daripada ditimpa hujan lebat.
''Kejadian ini amat mengejutkan saya sekeluarga dan ini merupakan kali pertama ia berlaku sejak menyewa di sini sejak tiga tahun lalu," ujarnya.
Kejadian itu turut merosakkan beberapa perabot rumah berkenaan seperti almari, katil, tilam dan tikar getah dengan kerugian dianggarkan melebihi RM1,000.
Seorang lagi mangsa, Mohamed Rassed YS Mastan, 51, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama isteri dan dua anaknya.
"Saya terbangun daripada tidur apabila air hujan masuk ke ruang tamu dan bilik akibat siling rosak dipukul ribut," ujarnya.
Katanya, mujurlah isteri dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, setelah diperiksa, tiga keping bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin kuat akibat ribut yang melanda.
Sementara itu, Sani Norwachi, 64, berkata, air memasuki bilik tidur utama rumahnya setelah beberapa keping bumbung rumahnya pecah.

Penyelia dijatuhi hukuman gantung



SHAH ALAM 24 Mac – Ketika serbuan polis dijalankan dua tahun lalu, seorang penyelia tuntutan insurans sempat mencampakkan tiga buah beg berisi dadah dari tingkap rumahnya bagi mengelakkan diberkas.
Malangnya, tindakan itu dilihat oleh seorang pegawai polis menyebabkan lelaki tersebut ditangkap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Hari ini, lelaki itu terpaksa menerima hakikat hayatnya akan berakhir di tali gantung apabila dijatuhi hukuman mati setelah disabitkan kesalahan mengedar seberat 2,297 gram kanabis.
Hakim Datuk Abd. Rahim Uda memutuskan demikian selepas mendapati Mohammad Hasnizam Hussein, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Menurut hakim berdasarkan keterangan pegawai tangkapan, tertuduh dilihat menjinjing ketiga-tiga beg yang mengandungi dadah itu ke biliknya sebelum mencampakkan beg-beg tersebut menerusi balkoni pada malam kejadian.
Katanya, mahkamah menolak keterangan bela diri tertuduh yang menafikan pintu rumahnya berkunci, sedangkan saksi pendakwaan mengemukakan mangga pintu pagar besi yang telah dipotong sebelum serbuan dilakukan.
‘‘Mahkamah mendapati tertuduh secara jelas mempunyai kawalan, pemilikan dan pengetahuan mengenai dadah tersebut,’’ kata beliau.
Mohammad Hasnizam didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di rumah No. D-12-11 Seksyen 8, Kota Damansara pada pukul 1 pagi, 14 Februari 2009.
Tertuduh turut dihukum penjara dua tahun mengikut Seksyen 6 akta sama setelah didapati bersalah memiliki 10.52 gram kanabis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhli Mat Sutris manakala tertuduh diwakili peguam Salim Bashir.

Wanita, bekas suami dipenjara setahun



TAMPIN 24 Mac - Seorang wanita bersama bekas suaminya dihukum penjara setahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuang bayi mereka yang baru dilahirkan.
Hukuman ke atas Norsharifah Diana Shafee, 27, Suhaimi Mohd. Yusuf, 30, dijatuhkan oleh Majistret Nur Shafrida Hashim.
Turut menerima hukuman yang sama, seorang rakan mereka, Norfaridah Maryelah, 26, apabila mengaku bersubahat dengan pasangan terbabit untuk membuang bayi itu.
Norsharifah Diana dan Suhaimi didakwa meninggalkan anak kandung mereka itu dengan niat membuangnya di depan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Dua, Air Kuning Selatan kira-kira pukul 6.40 pagi, 10 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Norfaridah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Norsharifah Diana melahirkan bayi tersebut di dalam bilik air di rumah Suhaimi di Kampung Parit Buloh, Air Kuning Selatan dekat sini dengan dibantu oleh bekas suaminya itu dan Norfaridah.
Mereka kemudiannya memandikan bayi itu dan membalutnya dengan sehelai kain sarung sebelum ditinggalkan di sebuah rumah kosong.
Bayi malang itu bernasib baik apabila seorang wanita yang kebetulan lalu di situ sejam kemudian menyelamatkannya dan membuat laporan polis.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Zahid Ahmad sementara Norsharifah Diana diwakili peguam K. W. Teoh.
Suhaimi dan Norfaridah pula tidak diwakili peguam.

Lindsay minta bicara kes curi


2011/03/25

LOS ANGELES: Aktres bermasalah, Lindsay Lohan semalam menolak satu tawaran hakim untuk mengakhiri kes jenayah mencuri kerana percaya mempunyai peluang baik untuk menang. 

“Lohan mempertahankan beliau tidak bersalah dan tidak pernah mengaku mencuri sejak permulaan kes itu difailkan,” kata peguam bela, Shawn Holley dalam kenyataan beberapa jam selepas aktres terbabit memaklumkan kepada hakim beliau tidak akan menerima tawaran itu.
Hakim Kieth Schwartz tidak mendedahkan kepada umum tawaran kepada Lohan itu tetapi berkata, jika aktres itu mengaku tidak bersalah mengambil rantai AS$2,500 (RM7,500), dia boleh dihukum penjara.
Pendakwa juga mahukan hukuman penjara ke atas bintang Mean Girl itu yang dalam perhatian kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk pada 2007 diikuti laporan sebuah premis kepada polis bahawa Lohan mengambil seutas rantai leher tanpa kebenaran pada Januari lalu. 

“Walaupun ramai yang menasihati beliau memilih jalan selamat dengan menerima tawaran itu, kebenarannya adalah Lohan tidak bersalah, dia mempunyai pembelaan kukuh dan kami yakin juri mendengar secara adil,” kata Holley. 

Semalam tarikh akhir bagi Lohan untuk memaklumkan kepada Schwartz mengenai pengakuannya. Dia tidak dikehendaki hadir di mahkamah pada 22 April untuk perbicaraan awal. 

Pendakwa menuduh Lohan selepas sebuah premis barangan kemas mendakwa beliau mengambil rantai leher tanpa kebenaran Januari lalu. – AP 

Peniaga terkejut bil telefon RM11,579


KLANG: Seorang peniaga perisian komputer, Albert Khoo, tidak pernah ke Afrika dan Thailand tetapi terpaksa membayar tunggakan bil telefon bimbit berjumlah RM11,579 kerana didapati membuat lebih 100 panggilan dari luar negara.

Masalah ini disedari apabila Albert,27, menerima dua penyata ‘ganjil’ daripada syarikat telekomunikasi itu dengan satu daripadanya memperinci tunggakan RM11,579.05 manakala satu lagi penyata memaklumkan beliau tidak menanggung sebarang hutang.
Lebih malang, tindakannya mahu membatalkan hutang bukan miliknya itu sejak dua tahun lalu termasuk menggunakan perundangan, tidak berhasil apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Isnin lalu, mengarahkannya membayar hutang kepada syarikat telekomunikasi berkenaan.
Berikutan itu, beliau meminta bantuan guaman Pemuda MCA Klang untuk mengatasi kemelut dihadapinya itu.

“Saya sudah menjelaskan kepada syarikat telekomunikasi itu sejak 2009 bahawa saya tidak pernah berada di Afrika, Ethiopia dan Thailand ketika hampir 100 panggilan antarabangsa itu dibuat.

“Saya sudah memenuhi semua kehendak syarikat telekomunikasi bagi membatalkan bil berkenaan, tetapi mereka tetap mewajibkan saya melunaskan hutang yang bukan milik saya itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Pemuda MCA, di sini semalam.
-bharian

Guru didakwa cabul murid



Oleh Ifwan Tun Tuah

2011/03/25

Sebutan kes ditetap 5 Mei

TAMPIN: Seorang guru sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang murid perempuannya di Gemas, dekat sini, awal bulan ini. 

Muhamad Shafik Supaat, 29, (kanan) yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Majistret Siti Nur Shafrida Hashim dan meminta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dengan niat mencabul kehormatannya apabila menarik mangsa masuk ke bilik, memeluk badan, mencium dan meraba buah dadanya di sebuah rumah di Taman Hala Cara Baru, Londah, Gemas, jam 3 petang, 7 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap kanak-kanak sama dengan memaksanya duduk atas peha, memeluk badan, mencium dan meraba buah dadanya di rumah sama, kira-kira jam 4.45 petang, 10 Mac lalu. 

Berikutan itu, Mohamad Shafik didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. 

Siti Nur Shafrida menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mei depan di Mahkamah Majistret Gemas dan membenarkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Zahid Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Jamil Abas.
-bharian

Pelajar kena cekup maki guru


2011/03/25

KUALA TERENGGANU: Pelajar perempuan berusia 14 tahun memaki guru dan anggota RELA yang menahannya bersama dua rakan dalam Operasi Ponteng Sekolah peringkat negeri, semalam. 

Kejadian berlaku di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, ketika pelajar berkenaan yang berpakaian biasa asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara kira-kira jam 10 pagi.
Pelajar itu antara 53 pelajar berusia antara 14 dan 17 tahun yang ditahan dalam operasi ponteng sekolah bermula jam 8 hingga 11 pagi.
Dalam operasi itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing. 

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar, berkata 13 pelajar ditahan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak), SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh) dan masing-masing tiga dari SMK Bukit Guntong; SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri serta dua SMK Panji Alam. 

“Lokasi serbuan adalah port pelajar itu ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng kononnya untuk menyokong rakan yang menyertai acara sukan di kompleks itu,” katanya selepas memberi taklimat kepada pelajar terbabit dan ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri, semalam.
bharian