Search This Blog

Thursday, March 24, 2011

Tembak diri demi pingat


NEW DELHI: Seorang anggota polis di India semakin pulih di hospital, semalam selepas menembak dirinya sendiri dalam percubaan untuk memenangi anugerah keberanian, lapor media.
Mahesh Rajguru mendakwa enam orang yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arahnya ketika dia sedang bertugas mengawal sebuah kediaman bekas ahli politik di Jaipur, ibu negeri Rajasthan di timur negara itu.

Dia mendakwa kumpulan lelaki terbabit melarikan diri dengan kereta selepas serangan pada malam Isnin lalu, lapor agensi berita Press Trust of India. “Pegawai kanan kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kenyataan serta tempat berlaku jenayah mencurigakan,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis, Arun Macya.

“Dia mengakui tiada kejadian sebagaimana diceritakan berlaku dan dia menembak dirinya sendiri hanya untuk mendapatkan anugerah bagi menunjukkan keberaniannya,” tambah Macya.

Rajguru yang mengalami kecederaan akibat tiga das tembakan di perut dan bahu dimasukkan ke hospital awam Sawai Man Singh di Jaipur dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Sebaik mereka melihat saya, mereka mula menembak. Satu peluru mengenai perut saya,” ujar Rajguru dalam kenyataan asalnya sepertimana dilaporkan Times of India. “Apabila saya menjerit, mereka melarikan diri keluar dan melepaskan tembakan lagi ketika cuba memasuki kenderaan yang diletakkan di luar kediaman. Dua lagi peluru mengenai bahu saya,” katanya lagi.

Polis berkata, semua kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian milik pistol Rajguru dan mereka turut menemui dadah di kediamannya. - AFP

Sindiket pindah LPG tumpas

KUALA LUMPUR: Satu sindiket memindahkan gas petroleum cecair (LPG) subsidi secara haram dikesan berselindung di sebalik lesen perniagaan sah milik seorang wanita tempatan dan sengaja beroperasi secara terbuka bagi memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPD NKK) Selangor, Othman Nawang, berkata kegiatan sindiket terbabit bagaimanapun ditumpaskan semalam selepas sepasukan pegawai KPDNKK cawangan Gombak menjejaki pusat pemindahan haram itu di Jalan Sungai Kertas, Batu 10, Ulu Yam, dekat sini.

Menurutnya, lokasi sindiket terbabit sukar dijejaki dan dikenal pasti berikutan ia bukan saja terpencil, malah turut menggunakan nama premis perniagaan yang sah dan berdaftar dengan KPDNKK.

“Sebaik pegawai KPDNKK diketuai Ramli Nayan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11 malam tadi (kelmarin), beberapa pekerja yang ligat menjalankan kerja pemindahan gas di dalam premis terbabit melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kilang itu dijadikan markas memindahkan kandungan gas subsidi berjadual daripada tong domestik ke dalam tong industri secara tidak sah sedangkan lesen mereka hanya sebagai peruncit dan pemborong domestik,” katanya.

3 wartawan AFP, Getty dibebaskan

TRIPOLI: Tiga wartawan, termasuk dua petugas AFP yang ditawan tentera Muammar Gaddafi sejak hujung minggu lalu, dibebaskan di Tripoli, semalam.
Pembebasan itu menjadikan tujuh wartawan dibebaskan selepas empat petugas New York Times turut dilepaskan sebelum ini.

Bagaimanapun, empat wartawan stesen televisyen al-Jazeera masih ditawan.

Sekurang-kurangnya dua petugas media terbunuh sejak Libya dilanda konflik.

Wartawan Dave Clark dan jurugambar Roberto Schmidt dari AFP serta Joe Raedle (jurugambar Getty) tiba Hotel Rixos di tengah Tripoli sebelum mereka bertemu dengan seorang rakan sejawat yang menunggu di situ.

Pengerusi AFP, Emmanuel Hoog, berkata pembebasan itu sangat menggembirakan.

Syabu RM16.1 juta dalam kapal dirampas polis


24/03/2011 4:57pm


SHAH ALAM - Polis merampas 58 bungkusan syabu seberat 81.4 kg dan bernilai kira-kira RM16.1 juta dari sebuah kontena berisi perabut dan permaidani di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, seorang lelaki warga Iran berusia 32 tahun turut ditahan pada hari yang sama di Lembah Klang sebelum serbuan dilakukan ke atas kontena berkenaan.
Serbuan dan rampasan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Selangor.
Nordin berkata, lelaki tersebut yang bekerja sebagai jurujual telefon di Iran telah masuk ke Malaysia sebanyak dua kali dan hasil siasatan daripada dokumen-dokumen perkapalan yang ada padanya membolehkan polis menghidu penghantaran dadah berkenaan.
Beliau memberitahu sidang media di sini hari ini bahawa kontena yang membawa dadah yang disembunyikan di dalam gulungan 11 permaidani itu telah tiba di Pelabuhan Barat pada 19 Mac lepas. - Bernama

Anak pesara polis ke tali gantung edar ganja


24/03/2011 4:52pm


SHAH ALAM - Seorang anak pesara polis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar ganja sebarat 2.3 kilogram, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Rahim Uda berkata, tertuduh Mohamad Hasnizam Hussein, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dia juga memerintahkan Mohamad Hasnizam, penasihat tuntutan insurans, menjalani hukuman penjara dua tahun atas satu lagi tuduhan memiliki 10.52 gram ganja.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mengunci mangga di pintu jeriji rumahnya semasa kejadian adalah bersifat penafian semata-mata.
Sebaliknya, Abdul Rahim berkata, mahkamah menerima keterangan pihak polis bahawa mereka terpaksa memecahkan mangga di pintu jeriji rumah tertuduh. - Bernama

Dipenjara 8 tahun kerana miliki senjata api


24/03/2011 6:23pm


KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang lelaki yang mengaku salah memiliki senjata api dan peluru, bulan lalu.
Hakim Rofiah Mohamad turut menjatuhi hukuman enam sebatan rotan terhadap Suphon Ehsan, 30, bagi kesalahan itu.
Suphon didakwa memiliki sepucuk Revolver 357 Magnum Cal Smith & Wesson tanpa sebarang permit atau lesen yang sah pada pukul 4.25 pagi, 25 Februari lalu di sebuah chalet Perdana Resort di sini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh disebat tidak kurang enam sebatan. - Bernama

Polis Selangor jejaki 11 individu bantu siasatan kes bunuh



24/03/2011 6:33pm

SHAH ALAM - Polis Selangor sedang mengesan 11 individu termasuk enam warganegara asing bagi membantu siasatan lapan kes bunuh yang masih belum selesai di sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh tiga tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, daripada lapan kes itu, dua kes pada 2009, empat kes pada 2010 dan dua kes pada tahun ini.
"Polis Selangor masih belum dapat menyelesaikan kes-kes bunuh ini berikutan kegagalan mengesan kesemua individu terbabit. Justeru kita berharap bantuan daripada orang ramai untuk mengesan mereka yang boleh membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Individu terbabit ialah K. Devandran, 20, dari Kampung Sungai Terentang Tambahan Rawang; V. Ganasan, 30, dari Kampung Baru Kundang; T.Viyay Anad, 28, dari Taman Intan, Kapar, Klang; Arwan Mohd Johari Syariff Dong, 33, dari Jalan Besar, Banting; dan S. Muniandy, 43, dari Taman Sri Layang, Mentakab, Pahang.
Warganegara asing terbabit ialah Zaw Zaw Aung, 24, warga Myanmar, dari Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34 di sini; Aung Than Lwin, 25, warga Myanmar, dari Taman Bukit Kinrara, Puchong; MD Shahin, warga Bangladesh, 40-an, dari Taman Perdana, Kuala Lumpur; Aung Thaik, 31, dan Chit Lin, 23, kedua-duanya warga Myanmar dari Taman Desawan, Klang serta seorang wanita warga Indonesia, Zulfa Ismail, 22.
Mohd Adnan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua individu terbabit supaya menghubungi Pegawai Turus Jenayah Berat IPK Selangor Supt Dennis Leong di talian 013-8010104. - Bernama

Ajal ketika tonton TV


NARATHIWAT: Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menceroboh masuk ke sebuah kediaman dan menembak mati tiga orang awam termasuk satu pasangan yang menjadi sukarelawan pihak berkuasa di wilayah selatan Thailand, semalam.
Kira-kira 15 orang berpakaian hitam dan memakai topeng menceroboh masuk ke sebuah kediaman di wilayah Narathiwat sebelum melepaskan tembakan kepada tiga penduduk Islam yang menonton televisyen.

Mangsa terdiri daripada wanita berusia 53 tahun, sukarelawan keselamatan dan isterinya, 30, yang menjadi sukarelawan di Jabatan Kesihatan Thailand. Umat Islam dianggap pembelot sekiranya bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand. Mereka sering menjadi mangsa pemisah Islam. - AFP

Rogol: tukang rumah kena 30 tahun penjara, 12 sebatan


2011/03/24

ALOR SETAR: Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan merogol dan mencabul kehormatan seorang gadis bawah umur, tiga tahun lalu. 

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Saleh Abdullah, 41, gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja berusia 14 tahun di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Semiliang, Padang Terap pada jam 2.30 petang, 2 September 2008.
Dia didakwa mengikut Sekyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Saleh didakwa mencabul kehormatan mangsa di kawasan kebun getah di Kampung Kuala Janing, Padang Terap, pada jam 2.30 petang 27 September 2008.

Dia didakwa mengikut seksyen yang sama dengan pertuduhan pertama. 

Terdahulu itu, tertuduh ketika membela diri bagi kedua-dua tuduhan mengaku membuat rumah ayah mangsa namun tidak pernah membawa mangsa menaiki kereta dan merogol mangsa di dalam kereta atau di kebun getah.
Mohd Saleh berkata, dia juga tidak pernah berjumpa mangsa dan menjalinkan hubungan.

Kemudian, semasa mengemukakan rayuan, tertuduh memohon mahkamah memberi jawapan kenapa dia dihukum dan meminta hakim membuat keputusan yang seadil-adilnya. 

Ini kerana dalam proses penghujahan tertuduh mengatakan pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti kukuh dan keterangan dari saksi untuk dibuktikan di mahkamah. 

Hakim dalam jawapannya berkata, tertuduh gagal membangkitkan keraguan munasabah ketika pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rizal Fadzil meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada tertuduh. - BERNAMA 

Anak meninggal kereta bapa terbabas

BESUT: “Arwah anak menunjukkan sikap pelik dan sering mengadu sakit perut sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu,” kata Norizan Mohamad, 30, ibu Nurul Syzwani Salmi, 6, yang terbunuh dalam kemalangan kelmarin.
Nurul Syzwani parah di kepala dipercayai terkena hantukan kuat pada pintu kereta, meninggal dunia selepas kereta Honda dipandu bapanya, anggota polis berpangkat koperal, Salmi Abdul Samad, 30, terbabas ke dalam parit di Kampung Batang Gergaji, Apal, dekat sini.

Salmi yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan dalam perjalanan pulang ke tempat bertugas selepas bercuti di Kuala Lumpur.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, kereta dipandu Salmi berpusing beberapa kali ketika cuba mengelak sebuah kereta lain yang keluar dari persimpangan di Kampung Batang Gergaji, dekat sini.

Bagaimanapun, Salmi dan isteri cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Jabi.

Nurul Syzwani, anak tunggal pasangan berkenaan yang duduk di bahagian belakang dipercayai tercampak dan terhantuk pada pintu belakang menyebabkannya parah di kepala.

Treler muatan serbuk kimia terbalik, 2 selamat

SEREMBAN - Seorang lelaki dan wanita terselamat daripada maut walaupun treler yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Kilometer 275.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban dekat sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Saksi kejadian, K Youvaraja, 25, berkata, pada mulanya dia menyangka wanita berumur sekitar 20-an itu tidak lagi bernyawa.

“Saya membuat anggapan itu berdasarkan keadaan treler bermuatan serbuk kimia yang dipercayai terbalik selepas terbabas masuk ke parit di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, selepas memberhentikan motosikal, saya melihat seorang lelaki berumur sekitar 30-an yang cedera di muka dan tangan sedang duduk di tepi lebuh raya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian memintanya menyelamatkan seorang wanita yang tersepit pada tempat duduk penumpang treler.

Youvaraja yang bekerja sebagai pemandu kren berkata, wanita terbabit yang pada mulanya disangka meninggal dunia tiba-tiba menangis sambil meminta pertolongan.

“Tanpa membuang masa, saya segera menarik tubuhnya keluar daripada treler dan membawanya ke kawasan selamat.

“Mujurlah dia cuma cedera ringan di tangan dan muka walaupun tubuhnya tersepit pada tempat duduk,” katanya.

Menurutnya, pemandu treler dan wanita berkenaan dibawa dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Difahamkan, treler terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi pengadang lebuh raya dan memasuki parit sehingga mengakibatkan kenderaan berat itu terbalik.

Dua anak nyaris maut




JASIN - Dua kanak-kanak berumur 2 dan 4 tahun yang nyenyak tidur nyaris maut selepas tilam disambar api dalam kejadian kebakaran, kira-kira jam 6.20 pagi di Taman Maju di sini, semalam.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai operator kilang, E Esther, 27, berkata, ketika kejadian dia baru selesai mandi dan dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dalam bilik anaknya namun tidak mengesyaki apa-apa.

Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut melihat api di tepi tilam sebelum bergegas menyelamatkan anaknya ke tempat yang lebih selamat.

Katanya, dia cuba menyiram air di tilam berkenaan tetapi tidak berjaya, sebaliknya api semakin marak dan merebak ke tempat lain sebelum mengambil tindakan menghubungi pihak bomba.

“Saya terkejut dan dalam fikiran hanya mahu menyelamatkan anak. Saya bersyukur mereka selamat walaupun kehilangan harta benda.

“Selamat empat bulan menyewa di sini, seumur hidup saya ini kejadian kebakaran pertama yang pernah dialami sehingga hampir meragut nyawa kedua-dua anak saya,” katanya.

Esther yang bekerja di Ayer Keroh berkata, lebih menyedihkan ketika kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori baru keluar rumah untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

“Saya terpaksa keluar rumah bersama anak dan meminta bantuan daripada jiran berhampiran. Saya bernasib baik kerana kereta di depan rumah sempat dibawa keluar oleh jiran,” katanya.

Esther yang tinggal sehelai sepinggang bersama anaknya menumpang sementara di rumah abangnya yang terletak berhampiran.

Kerugian dianggarkan berjumlah RM8,000 dan dua jentera bomba dari Balai Bomba Jasin dan Ayer Keroh dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

Suami paksa isteri lakukan seks



KULIM - Seorang isteri beranak dua membuat laporan polis kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin di Balai Polis Kulim dengan mendakwa suaminya cuba memaksanya melakukan hubungan seks.

Mangsa berusia lingkungan 30-an dikatakan mempunyai masalah rumah tangga dan kini dalam proses penceraian.

Suami mangsa yang bekerja sebagai seorang peniaga diarahkan supaya tidak menghampiri isterinya kerana bimbang mangsa dicederakan.

Menurut mangsa, sebelum kejadian, suaminya balik ke rumah dan meminta isterinya melakukan hubungan seks tetapi ditolak.

Si suami yang berang kerana nafsunya tidak dilayan telah mengasari mangsa dan berlaku sedikit pergelutan.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perlakuan suaminya kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat aduan bersama adik perempuannya.

Menurut jurucakap polis, ini bukan kali pertama polis menasihati pasangan itu supaya tidak bergaduh dan cuba berbaik semula tetapi gagal.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata, polis akan menyiasat kes ini dan menasihati si suami supaya tidak melakukan perkara sama terhadap isterinya.

“Si suami kemudiannya berjanji tidak akan berbuat demikian dan akan menunggu sehingga keputusan mahkamah selesai.

“Ketika ditemui, suami mangsa menyatakan dia telah berusaha untuk berbaik dengan isterinya tetapi gagal setelah rumah tangga mereka diganggu oleh pihak ketiga. Si suami pernah ternampak keretanya dipandu oleh lelaki lain dan dipercayai ada menjalinkan hubungan cinta bersama isterinya,” katanya.

Diminta mengulas mengenai perlakuan isteri menolak kehendak suami untuk melakukan hubungan seks, Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, adalah satu kesalahan bagi mana-mana isteri menolak keinginan suami untuk bersama mereka.

“Permasalahan dalam rumah tangga itu adalah satu perkara biasa, sedangkan lidah lagi tergigit. Tetapi berdosa bagi seorang isteri menolak permintaan suami untuk bersama mereka. Isteri boleh dianggap nusyuz atau derhaka. Tidak ada istilah suami merogol isteri dalam Islam apabila seorang lelaki sudah sah dinikahkan dengan seorang perempuan,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada pasangan itu supaya mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling dari PADK untuk mengatasi masalah rumah tangga yang dihadapi memandangkan pasangan itu sudah mempunyai anak dan masih kecil.

Mati lepas rebah depan klinik



CHUKAI – Kakitangan dan pesakit Klinik Hijrah di Jalan Sulaimani, di sini, gempar apabila seorang lelaki secara tiba-tiba rebah di hadapan bangunan klinik berkenaan, sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari kelmarin, lelaki terbabit, dipercayai warga Bangladesh yang tiba-tiba rebah ketika berjalan itu memeranjatkan orang ramai yang berada dalam klinik.

Sinar Harian difahamkan, sejurus mangsa rebah, dua lelaki yang kebetulan berada di situ membawanya masuk ke dalam klinik lalu doktor memeriksanya, sebelum mengesahkan dia sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, si mati yang berumur dalam lingkungan 30-an itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, hasil laporan bedah siasatan yang dijalankan.

“Kita klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut. Bagaimanapun identiti si mati tidak dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

“Sekarang jenazah mangsa masih berada di Hospital Kemaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Sehubungan itu, Abdullah Sani meminta sesiapa yang mengenali si mati agar tampil untuk memberi maklumat di balai polis berdekatan atau menghubungi pihaknya segera menerusi talian 09-8592222 agar pengurusan serta pengebumian jenazah dapat dilakukan segera.

Katanya, pada hari kejadian, si mati memakai baju T berwarna kuning dan berseluar jeans hitam.

Berang bila gambar dirakam



KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, kelmarin, kerana menyamar sebagai anggota polis dan merompak secara berkumpulan terhadap seorang anak anggota polis Gerakan Am.

Tertuduh, Mohd Sudami Abdul Ghani, 25, dari Kampung Tok Dor, Atas Tol Kuala Terengganu, mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya, iaitu mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sudami dituduh berpura-pura memegang jawatan sebagai anggota polis dengan menunjukkan sekeping kertas berukuran A4 salinan report polis sebagai kad kuasa kepada mangsa, sebelum mengarahkan mangsa, Shahrol Fazely Ismail mengeluarkan kad pengenalan di hadapan CIMB, bersebelahan Pasaraya Mydin Mall pada 13 Mac 2010, jam 1.15 petang.

Dia juga turut dituduh melakukan jenayah itu bersama seorang rakannya, Ameerul Shakur Rahim, 24, dengan niat melakukan rompakan ke atas mangsa dengan mengambil satu telefon bimbit mangsa.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim, Tuan Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nordin Kassim.

Tuan Azman kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan merompak dan setahun penjara bagi pertuduhan menyamar yang berjalan serentak bermula semalam.

Rakan tertuduh, Ameerul Shakur Rahim, 24, dari Jalan Fikri Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu sebelum ini telah mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan melibatkan kelakuan sama sebelum ini, dan dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan lima rotan bagi ketiga-tiga kes.

Mohd Sudami kelihatan berang dan menunjukkan isyarat lucah sebaik menyedari gambarnya dirakam media.

Gusti dalam kafe



KUALA TERENGGANU – Bagai medan gusti! Gara-gara salah faham, dua pekerja di salah sebuah kafe di Jalan Pejabat, di sini, sanggup menjadikan tempat mereka mencari rezeki sebagai lokasi melampiaskan marah masing-masing dalam satu pergaduhan, malam semalam.

Perselisihan faham membabitkan tukang masak wanita berusia 43 tahun dan pelayan lelaki berumur 20 tahun itu kemudian berakhir dengan peristiwa berdarah, apabila kedua-dua mereka cedera akibat ditumbuk dan ditoreh dengan pisau pemotong roti.

Drama pergaduhan itu dikatakan berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika kedua-dua pekerja terbabit berada di kafe, melakukan kerja masing-masing sebelum tukang masak wanita mengeluarkan kata-kata bersifat sinis terhadap pelayan lelaki berkenaan.

Menyedari kata-kata itu ditujukan kepadanya, pelayan terbabit mula membalasnya hingga mencetuskan pertengkaran mulut.

Sinar Harian difahamkan, panas hati dengan keadaan itu, pelayan terbabit kemudian bertindak ke dapur lalu menumbuk wanita berkenaan hingga berlaku pergelutan.

Natijahnya, pelayan berasal dari Kondo Rakyat, Kuala Ibai itu cedera pada bahagian muka dan menerima 20 jahitan akibat ditoreh dengan pisau pemotong roti.

Manakala tukang masak wanita yang berasal dari Kampung Gelugor Kedai itu pula cedera dan lebam pada bahagian muka serta kepala, dipercayai ditumbuk dan dipukul.

Susulan kejadian itu, kedua-dua mereka membuat laporan polis di Balai Polis daerah Kuala Terengganu sekitar jam 10 malam.

Bagaimanapun, kedua-duanya kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar di tempat awam.

Tiga nyaris maut



KOTA BHARU – Seorang pegawai kanan penguat kuasa, antara tiga individu yang nyaris maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Pengkalan Chepa-Kota Bharu, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Cif Inspektor Wan Zakaria bersama dua lagi yang belum dikenal pasti identitinya cedera parah dan dihantar ke hospital dengan bantuan orang awam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu seorang pemuda dikatakan hilang kawalan selepas mengelak sebuah kereta yang berundur dari tempat letak kereta di hadapan Restoran Selera Daun Pisang berdepan Taman Uda Murni di sini.

Saksi kejadian, Wan Karzaman Wan Mohd, 50, berkata, pemandu Hilux itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang Toyota Wish sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh ketiga-tiga mangsa terbabit.

Dia yang ketika itu menunggang motosikal di belakang Hilux sempat mengelak dan melihat semua mangsa yang sedang makan tengah hari di meja luar kedai berkenaan dirempuh dengan kuat.

“Mereka tidak sempat lari kerana kejadian berlaku pantas menyebabkan semuanya cedera dan terbaring dalam runtuhan kedai kadad prabayar,” katanya.

Menurutnya, kesan pelanggaran yang kuat itu juga merobohkan sebuah kedai menjual kad prabayar yang terletak bersebelahan restoran itu.

Sementara itu, pemilik restoran, Fauziah Awang Mohd ditemui masih berada dalam keadaan terkejut kerana kejadian berlaku hanya lima meter di belakang kaunter tempat dia berdiri.

“Saya lihat serpihan kaca dan debu simen bertebaran masuk ke dalam ke dalam kedai selepas kedengaran satu dentuman kuat di belakang saya.

“Serpihan itu juga masuk ke dalam lauk-pauk yang disediakan untuk dibeli pelanggan pada waktu tengah hari yang diletakkan bersebelahan laluan masuk ke dalam kedai,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sejak hampir 10 tahun berniaga di restoran itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar yang ditemui melawat lokasi kemalangan mengesahkan kejadian.

Satu maut, 30 cedera letupan di perhentian bas


24/03/2011 2:11am


BAITULMAQDIS 23 Mac – Sebutir bom meletup di tengah kesesakan di sebuah perhentian bas menyebabkan seorang wanita Israel terbunuh dan lebih daripada 30 orang cedera.
Kejadian tersebut berlaku sejam selepas puak militan mengancam untuk membalas serangan Israel di Gaza.
Pihak berkuasa berkata, bom tersebut disembunyikan di dalam sebuah beg di perhentian berdekatan terminal bas di tengah Baitulmaqdis.
“Letupan tersebut berlaku sekitar pukul 3 petang waktu tempatan,” kata ketua polis Baitulmaqdis, Aharon Franco. – AFP

7 warga asing berbasikal diculik di Lembah Bekka



24/03/2011 2:13am

BEIRUT 24 Mac – Tujuh warga asing yang sedang berbasikal di Lembah Bekka diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata, kata sumber keselamatan.
Bagaimanapun, sebab kejadian tidak dapat dikenal pasti.
Menurut sumber dari pihak keselamatan, lelaki bertopeng dan bersenjata dalam sebuah kereta Mercedez warna hitam dan dua buah van putih menculik ketujuh-tujuh warga asing berkenaan di Zahle. – Reuters

Dadah RM16 juta disorok dalam kontena karpet



24/03/2011 3:23pm



SHAH ALAM 24 Mac – Polis merampas 81.4 kilogram syabu bernilai RM16.1 juta yang diseludup di dalam kontena mengandungi karpet dan perabot di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Isnin lalu.
Kesemua dadah yang dibawa dari Iran itu ditemui selepas seorang lelaki warga Iran diberkas pada hari yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, kesemua dadah itu disorokkan dalam gulungan karpet di dalam kontena tersebut.
Ini merupakan taktik terbaru sindiket dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa selepas sering diberkas di lapangan terbang. – Utusan

Cubaan seludup syabu RM16 juta dipatah


2011/03/24

SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Selangor mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 81.4 kilogram dianggarkan bernilai RM16 juta ringgit dengan menggunakan kontena di Pelabuhan Barat, dekat sini, Isnin lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Nordin Kadir, berkata rampasan dadah terbabit adalah yang terbesar di Pelabuhan Klang pada tahun ini.
Katanya, taktik terbabit juga pertama kali digunakan sindiket dadah antarabangsa selepas kegagalan menyeludup dadah menerusi pintu udara terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KDRM KLIA tahan wanita Vietnam, rampas dadah RM567,000


2011/03/24

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala (KLIA) menahan seorang wanita Vietnam di KLIA dan merampas 2.266 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai kira-kira RM567,000 tiga hari lalu. 

Pengarahnya, Datuk Govinden Mutosamy, berkata wanita berusia 30-an yang baru tiba dengan penerbangan Thai Airways itu ditahan pada kira-kira jam 8.50 malam.
Beliau berkata, pihaknya menemui enam bungkusan plastik mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu itu selepas memeriksa dua beg kecil yang ditemui dalam sebuah beg pakaian seorang penumpang yang barutiba, Isnin lepas.
"Bahan disyaki dadah itu disembunyikan di dalam lapisan kain dinding bahagian belakang, tengah dan hadapan pada setiap beg kecil itu," katanya pada persidangan akhbar di Ibu Pejabat Kastam Narkotik, Kampung Jijan dekat sini, hari ini.

Katanya, wanita yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Kuala Lumpur itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Govinden berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Iran yang tiba di KLIA dengan penerbanagan Kuwait Airways pada 11 Mac lalu dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 5.4 kilogram bernilai RM1.4 juta. 

Beliau berkata, lelaki berumur 20-an itu ditahan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas imbasan pada bagasinya menampakkan imej yang meragukan. 
"Hasil pemeriksaan, kami berjaya menemui enam bungkusan plastik serbuk kristal jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.4 kilogram yang nilai pasaran dianggar RM1.4 juta. 

"Dokumen perjalanan yang diperiksa menunjukkan lelaki itu dalam perjalanan dari Kuwait ke Kuala Lumpur. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA 

Pikat gadis animasi hingga ke ranjang


RAMPAS...Zainal Abidin (tengah) menunjukkan DVD dan CD permainan komputer lucah yang dirampas.
RAMPAS...Zainal Abidin (tengah) menunjukkan DVD dan CD permainan komputer lucah yang dirampas.

SEREMBAN: ‘Kegilaan’ remaja lelaki termasuk pelajar sekolah terhadap permainan komputer lucah menerusi cakera padat (CD) perisian komputer dan cakera video digital (DVD) menawarkan pengalaman sebagai pelakon untuk ‘memancing’ watak gadis animasi sehingga tahap melakukan hubungan seks di alam maya, kini membimbangkan.
Difahamkan, pemain perlu menempuh beberapa peringkat sama seperti kehidupan seorang lelaki di alam nyata, antaranya merangkumi proses mengurat gadis maya idaman bermula sesi temu janji (dating) hingga datang ke rumah untuk mengambil hati kedua-dua ibu bapa teman wanitanya itu. Sejurus semua peringkat itu diselesaikan, pemain akan diberi peluang untuk mengakhirinya di ranjang bersama gadis berkenaan yang menayangkan susuk tubuh bogel dan menggiurkan.

Perkara itu dibongkar Bahagian Kawalan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan yang merampas puluhan bahan haram terbabit di sebuah premis menjual peralatan komputer di pusat beli-belah Terminal One di sini, pada 8 Mac lalu.

Ketua Cawangannya, Zainal Abidin Othman, berkata serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya berhubung kewujudan permainan lucah yang dijual secara terbuka dengan harga RM15 sekeping.

“Hasil pemeriksaan merampas 25 CD dan empat DVD permainan komputer lucah pelbagai judul yang kebanyakannya memaparkan gadis animasi mengghairahkan dipercayai dari Jepun.

“Berikutan itu, kami menahan seorang penjaga kedai iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun untuk tindakan lanjut. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002 kerana kesalahan membabitkan filem lucah atau bahan publisiti filem lucah.

“Kami menjangkakan kes itu akan didakwa ke mahkamah dalam tempoh terdekat dan semuanya terserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Zainal, hasil siasatan pihaknya tidak menolak kemungkinan penjualan bahan itu berada di pasaran sejak tahun lalu, namun tiada tindakan diambil kerana ia berada dalam lambakan permainan komputer lain.
“Bahan lucah itu dipercayai turut dijual di kawasan lain dan kami menyiasat punca bekalan sama ada gelap atau secara terbuka.

“Berikutan itu, kami akan memperhebatkan operasi gempur dan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan aktiviti tidak sihat terbabit dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata, penelitian pihaknya mendapati permainan itu digemari remaja kerana memberi keseronokan luar biasa kepada mereka untuk berusaha memikat gadis animasi cantik sehingga mengajaknya melakukan hubungan seks.

Orang ramai yang mempunyai maklumat perkara seumpama itu boleh menghubungi pejabat BKF KDN negeri di talian 06-7611152 untuk tindakan selanjutnya.

Anak pesara polis ke tali gantung kerana edar ganja


2011/03/24

SHAH ALAM: Seorang anak pesara polis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar ganja sebarat 2.3 kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda berkata, tertuduh Mohamad Hasnizam Hussein, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dia juga memerintahkan Mohamad Hasnizam, penasihat tuntutan insurans menjalani hukuman penjara dua tahun atas satu lagi tuduhan memiliki 10.52 gram ganja.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mengunci mangga di pintu jeriji rumahnya semasa kejadian adalah bersifat penafian semata-mata.

Sebaliknya, Abdul Rahim berkata, mahkamah menerima keterangan pihak polis bahawa mereka terpaksa memecahkan mangga di pintu jeriji rumah tertuduh. 

Beliau berkata, mangga itu juga sudah dikemukakan ke mahkamah sebagai bahan bukti. 

Berdasarkan keterangan saksi, polis menemui beg berisi dadah terbabit yang dicampak dari balkoni rumah yang didiami tertuduh ketika melakukan serbuan. 
Mohamad Hasnizam didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat D-2-11, Seksyen 8, Kota Damansara dekat sini, kira-kira jam 1 pagi, 14 Februari 2009. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Mohamad Hasnizam yang memiliki diploma dalam bidang kejuruteraan turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki 10.52 gram ganja di tempat, masa dan tarikh yang sama. 

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan tiga orang saksi. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhli Mat Sutris sementara Mohamad Hasnizam diwakili peguam Salim Bashir. - BERNAMA 

Serbu kondo syabu RM3.5j


BUKTI...Kang menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...Kang menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki warga Iran dan seorang wanita Thailand yang berselindung di sebalik kehidupan mewah di kondominium yang menjadi pusat pengedaran syabu bernilai RM3.5 juta diberkas, baru-baru ini.
Difahamkan, sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lalu aktif mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu di sekitar Lembah Klang dengan bantuan ejen rakyat tempatan.

Sindiket terbabit juga dipercayai membawa bekalan dadah yang siap diproses dari negara asal mereka melalui pelabuhan, lapangan terbang, perkhidmatan kurier dan kargo dalam negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata hasil maklumat orang awam, pihaknya melakukan intipan ke atas ahli sindiket terbabit yang rata-rata menyewa di kediaman mewah yang dijadikan pusat kegiatan mereka.

“Seorang ahli sindiket itu ditahan ketika memandu keluar dari sebuah kondo mewah di Jalan Tun Razak pada jam 10 malam 20 Mac lalu dan susulan tangkapan itu, kami melakukan beberapa siri tangkapan pada hari sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, ahli sindiket terbabit berusia antara 18 hingga 39 tahun ditahan di Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Putra Mas.

Menurutnya, tiga daripada mereka menggunakan visa pelajar manakala selebihnya pelancong.

“Taktik mereka mudah dengan mereka akan menyewa di kediaman mewah yang dijadikan pusat kegiatan mereka dan melantik warga tempatan sebagai ejen pengedaran.
“Bekalan syabu berkualiti tinggi pula dibawa dari negara asal untuk dipasarkan di pasaran tempatan dan kadang kala mereka memasarkan dadah itu ke negara lain untuk mendapat pulangan lumayan,” katanya.

Katanya, syabu seberat 11.5 kilogram (kg) yang bernilai RM3.5 juta di pasaran itu dirampas bersama sebuah Perodua Myvi, Proton Gen.2, Hyundai Elantra dan wang tunai berjumlah RM25,000 termasuk mata wang Riyal.

Kang berkata, 10 suspek itu direman tujuh hari hingga Ahad ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan edar dadah yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kami juga menjejaki individu lain termasuk ejen tempatan yang terbabit sindiket itu,” katanya.

Anak mengamuk ibu kahwin lain

KUALA LUMPUR: Berang kerana tidak bersetuju perkahwinan semula ibunya dengan individu lain, seorang lelaki berusia 28 tahun bukan saja memaki-hamun bapa tirinya, malah bertindak kejam membelasah ibu kandungnya sendiri di rumah mereka di Jalan Teratai, Ampang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, wanita berusia lewat 40-an terbabit mendakwa cedera di tubuh selain patah tangan kanan selepas terkena pasu bunga yang dihentak anak lelaki tunggalnya itu.

Kecewa dengan tindakan kejam anaknya itu, mangsa ditemani suami membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung insiden berkenaan.

Difahamkan, wanita terbabit baru berkahwin dengan lelaki berusia lewat 40-an kira-kira empat bulan lalu selepas dia kematian suami dua tahun lalu. Namun, anak lelakinya itu dikatakan tidak merestui hubungan berkenaan selain sering memberontak.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, ketika mangsa berada di rumah mereka, suspek dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan marah.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, suspek dikatakan memaki-hamun bapa tirinya dengan kata-kata kesat. Tindakan bapa tiri suspek yang mendiamkan diri menyebabkan suspek bertambah berang, namun dia tidak menyerang lelaki terbabit.

“Sebaliknya, suspek beralih arah kepada ibunya sebelum dia memaki-hamun wanita berkenaan. Tidak tahan dengan tindakan biadab anak lelakinya itu, wanita terbabit mula mempertikaikan sikapnya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka lebih 20 minit,” katanya.

Difahamkan, bapa tiri suspek masih mengambil pendekatan berdiam diri kerana pada mulanya dia yakin kedua-dua beranak itu mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri selain tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Sumber itu berkata, suspek bagaimanapun hilang pertimbangan sebelum dia dikatakan memecahkan semua barangan dalam rumah itu.

Gadis lari dicalit minyak dagu

GOMBAK: “Saya percaya, Ain terkena ilmu minyak dagu...jika tidak mustahil dia menghilangkan diri dan meninggalkan keluarga sehingga kini tanpa khabar berita,” kata Jawahir Ramli, 48, ibu Noor Ain Zakaria, 23, yang menghilangkan diri sejak Khamis lalu.
Jawahir berkata, anaknya yang bertugas sebagai pembantu klinik mengenali seorang lelaki dikenali sebagai Khairul ketika menjalani latihan praktikal di Hospital Bentong, Pahang pada Oktober lalu.

Menurutnya, perkenalan anaknya dengan lelaki itu selepas bapa saudara Khairul dimasukkan ke hospital dan sejak itu hubungan mereka semakin akrab.

“Malah, dia pernah datang ke rumah kami berjumpa Ain dan ketika itu saya sudah tidak berkenan kerana sikapnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan suka melepak.

“Sejak perkenalan mereka, sikap anak saya juga berubah apabila selalu keluar malam dan balik lewat. Apabila ditanya dia memberitahu keluar bersama kawan-kawan,” katanya.

Jawahir berkata, bagaimanapun hubungan mereka terputus pada Disember lalu selepas bapa Noor Ain memberi air penawar yang diberikan seorang pensyarah dan sikapnya kembali berubah.

“Saya sangka segalanya selesai, namun tidak menyangka dia melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini.

“Pada hari kejadian anak saya keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja seperti biasa kira-kira jam 8.30 pagi dengan membawa Proton Wira milik suami dan tiada apa yang mencurigakan,” katanya.

5 warga asing ditahan bersama daging tenggiling


24/03/2011 2:47pm


KUALA TERENGGANU - Empat warga Vietnam dan seorang warga Kemboja ditahan oleh Jabatan Terengganu kerana memiliki daging dan sisik tenggiling dalam satu serbuan di Kampung Durian Guling, Marang, semalam.
Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Yusoff Shariff berkata, tangkapan itu dibuat setelah dua renjer jabatan itu terserempak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika mereka keluar dari Hutan Simpan Tembat berhampiran pondok kawalan Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan di Hulu Terengganu.
"Dua lelaki itu kemudian menaiki sebuah kenderaan yang dinaiki oleh tiga lelaki dan anggota kita terus mengekori kenderaan itu sejauh 70 kilometer dari Santuari Gajah Sungai Ketiar sebelum menahan mereka di Kampung Durian Guling.
Yusoff berkata, daging tenggiling itu disimpan dalam botol minyak masak dan sisiknya pula diletakkan dalam plastik beras.
Barang-barang lain yang ditemui dalam kenderaan itu termasuk parang, kapak, tukul serta pasport selain kayu gaharu seberat satu setengah kilogram. - Bernama

Mayat pengawal keselamatan dijumpai



24/03/2011 1:11pm

SHAH ALAM - Mayat seorang pengawal keselamatan berumur 62 tahun yang lengkap berpakaian ditemui terlentang dengan kepalanya bertutup dengan sehelai kain pelikat di dalam kawasan sebuah sekolah rendah agama di Kuala Selangor pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, mayat mangsa, Arbain Asan ditemui di bahagian pagar belakang sekolah berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 7.45 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Telok Piai, Kuala Selangor, telah bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu selama lima tahun.
"Mangsa dipercayai diserang menggunakan benda tumpul berdasarkan kepada kecederaan yang dialami di bahagian atas dan belakang kepala.
"Suspek yang menyerang mangsa juga dipercayai memecah masuk ke kawasan sekolah berikutan penemuan kesan pecah masuk di pejabat dan kantin sekolah terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini. - Bernama

Pesakit mental penagih dadah di Kedah meningkat


24/03/2011 3:08pm


ALOR SETAR - Pesakit mental di kalangan penagih dadah turut meningkat di Kedah, kata seorang pakar perubatan.
"Pesakit mental yang disebabkan oleh pengambilan dadah semakin meningkat setiap tahun dan golongan remaja dan dewasa adalah yang terbanyak menghidap penyakit mental disebabkan pengambilan najis dadah,” kata Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah di sini, Dr. Ahmad Rasidi M. Saring.
Beliau berkata, pengambilan dadah adalah antara faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat sakit mental selain faktor persekitaran, faktor individu itu sendiri dan faktor kesihatan diri seseorang.
Beliau berkata, ada juga penjawat awam yang mendapat rawatan mental tetapi mereka masih boleh bekerja seperti biasa. - Bernama

Kastam KLIA berjaya rampas dadah bernilai RM567,000


24/03/2011 3:45pm


NILAI - Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menahan seorang wanita Vietnam di KLIA dan merampas 2.266 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai kira-kira RM567,000 daripadanya, tiga hari lepas.
Pengarahnya Datuk Govinden Mutosamy berkata, wanita berusia 30-an yang baru tiba dengan penerbangan Thai Airways itu ditahan pada kira-kira pukul 8.50 malam.
Beliau berkata, pihaknya menemui enam bungkusan plastik mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu itu selepas memeriksa dua beg kecil (briefcase) yang ditemui dalam sebuah beg pakaian seorang penumpang yang baru tiba, Isnin lepas.
"Bahan disyaki dadah itu disembunyikan di dalam lapisan kain dinding bahagian belakang, tengah dan hadapan pada setiap beg kecil itu,” katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Kastam Narkotik, Kampung Jijan dekat sini, hari ini.
Katanya, wanita yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Kuala Lumpur itu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut. - Bernama

Sarang pelajar ponteng di Terengganu diserbu

24/03/2011 3:46pm


KUALA TERENGGANU - Pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu dan beberapa agensi lain hari ini menggempur beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Marang yang menjadi tumpuan pelajar ponteng dan menahan 31 pelajar menengah, tiga daripada pelajar perempuan.
Kebanyakan pelajar itu yang menjadikan rumah-rumah kosong dan surau berhampiran sebagai tempat ponteng, bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pegawai-pegawai itu, malah ada yang sanggup bersembunyi dalam paya daripada ditahan.
Mereka yang lengkap berpakaian sekolah dan berpakaian sukan memberikan pelbagai alasan apabila ditanya kenapa mereka ponteng sekolah dan ada yang bersikap kurang ajar dengan memaki guru dan anggota Rela yang menahan mereka dalam operasi itu.
Kesemua pelajar berkenaan kemudian dikumpulkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir, sebelum ibubapa mereka dipanggil ke sekolah untuk menjemput mereka pulang setelah diberikan motivasi.
Pengarah Pelajaran Terengganu Razali Daud berkata, operasi berkenaan bertujuan memberi peringatan kepada pelajar terlibat tentang keburukan ponteng sekolah. - Bernama

10 maut nahas bas-kereta api di China


2011/03/24

BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera apabila sebuah bas berlanggar dengan kereta api penumpang di barat laut China. 

Agensi berita Xinhua melaporkan kebanyakan penumpang bas berkenaan adalah pelajar dalam perjalanan ke sekolah tetapi tidak menyatakan sama ada mereka adalah antara mangsa dalam nahas di ibu negeri Xinjiang, Urumqi.
Bas berkenaan merempuh penghadang di tepi landasan dan berlanggar dengan kereta api penumpang berkenaan.
Gambar di laman web agensi berita itu menunjukkan bas berkenaan berada di atas landasan dengan cermin depannya berderai. - AFP 

Mangsa banjir di Kerian bertambah

2011/03/24
IPOH: Mangsa banjir di Kerian bertambah seramai 19 orang lagi setakat pagi ini, menjadikan jumlah keseluruhan 359 orang berbanding 340 orang petang semalam.

Mereka adalah dari Kampung Alor Setangguk iaitu seramai 168 orang, Batu 37/38 Jalan Keretapi (48), Kampung Parit Haji Abu Hasan Ban (46), Kampung Parit Abu Hasan (31), Batu 40 Bukit Merah (44), Parit Mat Keling (4), Kampung Perlis (2), Kampung Tebuk Pancur (8) dan Kampung Parit Ayer Hitam (8).
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Fauzi Mat Nayan, berkata semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, Sekolah Kebangsaan Bukit Merah dan dewan orang ramai di Alor Pongsu, Batu 38 Parit Abu Hasan dan Batu 40 Bukit Merah.
"Kampung terbabit dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga 1 meter berikutan pelepasan air dari empangan Bukit Merah akibat hujan lebat sejak empat hari lalu," katanya.

Beliau berkata, jalan raya di Batu 38 Alor Pongsu-Selama turut ditutup kepada kenderaan ringan. - BERNAMA 

Lori bawa sawit terbakar




BULOH KASAP - Sebuah lori sawit terbakar di persimpangan lampu lsyarat Buloh Kasap menghala ke arah Batu Anam dekat sini, petang kelmarin.

Pemandu lori terbabit, Mohd Halim Ibrahim, 47, berkata, kejadian berlaku begitu cepat dan dia bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri keluar daripada lori berkenaan.

“Kejadian berlaku sekitar jam 7 malam sewaktu saya sedang memandu lori ini dari arah Segamat ke Pekan Buloh Kasap setelah menurunkan kelapa sawit di Palong Koko untuk menuju pulang ke rumah di Taman Sri Kenangan, Buloh Kasap.

“Sebaik berhenti di persimpangan untuk menanti lampu isyarat, saya terhidu bau getah terbakar dan terus bergegas keluar daripada lori setelah melihat kepulan asap keluar dari bahagian hadapan lori bersama api yang sedang marak,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas, dia hanya mampu menyelamatkan dompetnya yang sempat dicapai selain terbayangkan isteri dan anaknya yang sedang menanti di rumah.

“Kebakaran ini mengakibatkan beberapa dokumen penting turut terbakar seperti permit, beberapa helai baju, dokumen syarikat, buku jual beli kelapa sawit dan wang tunai berjumlah RM80.

“Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian tersebut tanpa mengalami kecederaan dan tidak mengakibatkan kerosakan kepada kenderaan yang berdekatan sewaktu kejadian,” katanya. 

Ibu, anak diseret 23 meter



IPOH – Seorang remaja yang sepatutnya mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam, tidak kesampaian selepas maut dalam satu kemalangan di Jalan Bercham-Tanjung Rambutan, di sini, malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, motosikal yang ditunggang mangsa turut mengorbankan pembonceng yang juga ibu mangsa.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, kemalangan berkenaan berlaku kira-kira jam 10.14 malam kelmarin apabila motosikal yang dinaiki mangsa dari arah Tanjung Rambutan menghala ke Bercham telah terbabas sendiri dan jatuh ke atas jalan.

Menurutnya, sebuah kereta dari arah yang sama kemudiannya melanggar dan menyeret kedua-dua mangsa sejauh 23 meter.

“Penunggang motosikal dikenali Muhammad Aliff Adam Yusri, 18 manakala pembonceng Awaliah Mohd Ali Napiah, 42.

Mangsa maut di tempat kejadian dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa tinggal di Kampung Tersusun, Batu 8, Ulu Kinta.

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga mangsa, bagaimanapun mereka enggan mengulas lanjut mengenai kejadian yang berlaku.

Difahamkan juga, Muhammad Aliff merupakan pelajar Sekolah Menengah Teknik Slim River.

Pati lari lintang pukang



TELUK INTAN - Serbuan di tapak pembinaan bangunan di Jalan Durian Sebatang, di sini, pagi kelmarin, menyebabkan warga asing yang berkampung di situ lari lintang pukang menyelamatkan diri, namun berjaya ditahan atas kecekapan anggota operasi.

Seorang pemegang pas pelajar antara 22 warga asing yang ditahan dalam operasi Ops Sapu oleh Imigresen Cawangan Teluk Intan.

Ketuanya, Khairul Anuar Sulaiman berkata, pemegang pas pelajar itu adalah lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun ditahan kerana melanggar syarat pas yang diberikan.

Menurutnya, lelaki warga Bangladesh itu bekerja sebagai buruh binaan bersama-sama 21 pendatang tanpa izin (Pati) yang lain di tapak pembinaan bangunan kerajaan.

Katanya, operasi yang diketuainya sendiri turut melibatkan lapan anggota Imigresen Cawangan Teluk Intan, lapan anggota Rela cawangan Langkap dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kira-kira 11 pagi dan berakhir 12 tengah hari.

"Kami berjaya menahan 11 lelaki warga Indonesia, seorang warga Bangladesh dan dua orang lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 45 tahun, lapan wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 41 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan di kawasan itu

"Setiap mereka mempunyai kesalahan berbeza iaitu tinggal dalam negara lebih masa, tinggal dalam negara tanpa permit yang sah dan kesalahan melanggar syarat pas lawatan,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, pihaknya turut menahan seorang warga tempatan yang juga Penyelia Projek di situ untuk membantu siasatan.

Katanya, kesemuanya ditahan di Depot Tahanan Langkap 14 hari untuk siasatan dan jika sabit kesalahan mereka akan dihantar pulang ke negara asal.

Beruas dilanda banjir kilat



BERUAS - Hujan lebat berterusan sejak malam Selasa lalu menyebabkan 16 keluarga dari beberapa buah kampung dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Inderawati, di sini bermula malam kelmarin.

Pegawai Daerah Manjung, Ahmad Shafiee berkata, pemindahan serta-merta itu membabitkan 38 mangsa banjir berikutan hujan berterusan dari jam 3.30 petang hingga jam 1 pagi kelmarin.

Menurutnya, antara kampung yang dinaiki air termasuklah Kampung Kilang, Kampung Gelung, Kampung Cenderung Kelubi, Kampung Jalan Pertanian dan Kampung Belakang Masjid.

“Semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir kilat yang melanda mula surut.

“Bagaimanapun, bilik gerakan banjir kita akan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan berikutan musim hujan tidak menentu sekarang ini,” katanya ketika dihubungi, di sini sempena lawatannya ke Bilik Gerakan Banjir di Kampung Belakang Kilang, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan, proses perpindahan penduduk kampung turut dibantu anggota bomba yang tiba di kawasan itu, kira-kira jam 8.30 malam.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah memaklumkan, antara punca lain yang dikesan mengakibatkan kenaikan paras air di kampung yang terlibat adalah keadaan sungai yang cetek.

Menurutnya, keadaan cetek serta sebu di Sungai Beruas dan kelubung dikenal pasti antara punca berlaku banjir kilat selain hujan berterusan.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap punca masalah ini termasuk kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Beruas,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, jumlah kerugian yang dialami semua mangsa banjir, masih dalam peringkat penilaian sebelum bantuan sewajarnya disalurkan.

Air sungai melimpah



Limpahan air sungai menyebabkan beberapa kawasan kampung dinaiki air.

Seorang penduduk, Mohd Zamri Awang, 31, berkata, hujan lebat berlarutan menyebabkan paras air sungai semakin tinggi dan melimpah keluar hingga menenggelamkan beberapa kawasan dan laluan kampung.

“Saya perasan paras air di Sungai Beruas telah mula naik kira-kira jam 2 pagi semalam (kelmarin).

“Saya hanya sedar banjir kilat berlaku sekitar jam 4 pagi tadi (semalam) ketika terjaga dari tidur, mujurlah beberapa barangan termasuk perkakas elektrik sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Kabung, di sini.

Sinar Harian dimaklumkan, Kampung Sungai Kabung dan Kampung Pulau Meranti merupakan antara kawasan yang mudah dinaiki air apabila hujan lebat kerana lokasinya yang terletak berhampiran Sungai Beruas.

Mohd Zamri berkata, sebelum ini, air yang melimpah daripada Sungai Beruas hanya akan bertakung di sekeliling halaman rumah sahaja.

“Sejak awal tahun, ini adalah kejadian kedua berlaku dan merupakan kejadian paling teruk pernah dialami penduduk apabila paras air mencecah hingga 0.2 meter dan melimpah masuk ke dalam rumah, air hanya surut sekitar jam 8.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Mohd Zamri berkata, keadaan itu kemungkinan berpunca daripada Sungai Beruas yang semakin cetek.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera sama ada menjalankan kerja pendalaman sungai atau membuat penyelenggaraan terhadap parit di kawasan kampung itu bagi mengelak masalah sama berulang.
sh

Mangsa rogol hilangkan diri



GERIK - Polis Gerik, di sini, sedang giat mengesan seorang mangsa rogol bapa tiri bagi membantu perbicaraan kes tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa berusia 17 tahun yang juga anak kedua daripada tiga beradik dirogol di rumahnya sendiri sekitar Januari 2009.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada waktu tengah malam tersebut diketahui oleh ibunya sendiri.

“Kerana tidak tahan dengan kejadian rogol ini, mangsa membuat laporan polis pada 10 Januari 2009 dan mendapati mangsa dirogol pada waktu tengah malam sewaktu semua ahli keluarga yang lain sedang tidur.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Tanjung Rambai, terpaksa merelakan kejadian ini kerana kesian melihat ibunya yang baru melahirkan anak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Wan Jamil berkata, mangsa adalah seorang pelajar cemerlang di sekolah dan aktif dalam kegiatan kokurikulum telah menghilangkan diri sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, keluarga mangsa juga dikatakan telah berpindah ke Kampung Air Ganda, 15 kilometer dari sini, manakala bapa tirinya masih tinggal bersama ibu dan adik mangsa.

“Pihak polis cuba mengesan mangsa melalui alamat pada kad pengenalan beliau dan bertanya dengan keluarga dan jiran-jiran namun, semuanya tidak tahu di mana mangsa berada sekarang.

“Dalam masa sama, pihak polis turut menghubungi bapa kandung mangsa yang berada di Pulau Pinang namun, masih gagal dikesan,” katanya.

Katanya, diharap mangsa atau pihak yang berkenaan dapat menghubungi Pegawai Penyiasat kes tersebut, Inspektor Mohd Ropiza Hassan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 019-392 1855.

“Pihak polis turut meminta mangsa supaya hadir ke perbicaraan kesnya di Mahkamah Kuala Kangsar pada 4 April 2011 jam 8.30 pagi bagi meneruskan pendakwaan,” katanya.

Enam saksi dicari



IPOH – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengesan enam saksi bagi membantu satu kes bunuh yang berlaku di Menglembu baru-baru ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Gleen Sinnapah berkata, keenam saksi ini amat diperlukan bagi membantu siasatan pihak polis.

“Justeru, kerjasama orang awam diperlukan bagi mengesan saksi-saksi ini bagi melicinkan kerja siasatan.

“Sebarang perkembangan boleh hubungi saya di talian 05-2241588 atau Asisten Superintendan A Nirmala, 05-2451609,” katanya.

Ibu mengandung lari berkemban selamatkan diri



RAWANG - Seorang wanita mengandung sembilan bulan yang hanya menunggu masa melahirkan, terpaksa menyelamatkan diri dalam keadaan berkemban semasa kejadian kebakaran di rumahnya di Kampung Benggali, Batu 17, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa, Nora Naim, 35, berkata, ketika itu dia baru hendak mandi, terkejut apabila diberitahu anaknya yang berusia empat tahun bahawa ‘ada api’ di rumah.

“Saya terus berlari keluar dan hanya sempat mencapai sehelai baju mengandung serta kad pemeriksaan kesihatan kandungan dalam keadaan berkemban dan basah kuyup,” katanya kepada Sinar Harian.

Rumahnya merupakan salah satu daripada dua yang hangus sama sekali, manakala empat rumah sekitarnya terjejas antara 20 ke 30 peratus .

Menurut Nora, semasa keluar meminta bantuan, dia tidak menyangka anak perempuannya itu, masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar untuk mencarinya.

Katanya, ketika itu dia hanya tinggal berdua dengan anaknya di rumah,

“Nasib baik jiran menyelamatkan anak saya dengan pantas dan membawanya keluar. Jika tidak, tidak tahu nasib anak saya.



Punca kebakaran masih misteri



Menurut Nora yang juga Ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah Brickfields, buat masa ini dia tidak bertugas kerana menunggu hari melahirkan , manakala suaminya hanya mendapat gaji hari sebagai buruh binaan.

Katanya, berikutan pendapatan yang tak seberapa, pemilik rumah di situ prihatin memberi mereka tinggal bersebelahan rumahnya secara percuma sejak tiga bulan lalu.

“Saya tidak tahu punca kebakaran. Anak saya tidak main api ketika itu, namun, yang pasti bermula dari tilam yang diletakkan di tepi dinding depan rumah .

“Biasanya, saya mengunci pintu rumah, tetapi semasa kejadian saya tidak berbuat demikian kerana suami akan pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, pemilik dua rumah terjejas, Nurdin Abdullah, 33, berkata, anggaran kerugian berikutan kebakaran itu adalah sekitar RM50,000.

Difahamkan, mangsa kebakaran terlibat kini menumpang di rumah rakan dan saudara mara terdekat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang (BN), Lee Li Yew; Penyelaras Parlimen Selayang, Chan Wun Hoong dan Timbalan MIC Bahagian Selayang, MB Raja ketika melawat keluarga mangsa terlibat kebakaran tidak menolak akan memberikan bantuan sewajarnya.

Curiga kebakaran kerap berlaku



Dalam pada itu, timbul kemusykilan penduduk kampung setinggan yang wujud hampir 100 tahun itu kerana sebelum kejadian terbaru ini, kebakaran turut berlaku di rumah berhampiran.

Penduduk G Raysim, 38, berkata, sejak keluarganya tinggal di kampung itu lebih 60 tahun lalu, belum pernah berlaku kejadian kebakaran.

Menurutnya, kebakaran membabitkan empat rumah, dengan dua daripadanya hangus sama sekali lima hari lalu, dalam jarak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Kebakaran sebelum ini pun kita curiga bagaimana ia berlaku. Sebab itu 24 dari 48 keluarga asal tinggal di sini sudah membuat laporan polis berhubung kebimbangan ini, selepas kejadian semalam (kelmarin),” katanya.

Menurut penduduk enggan dikenali, baru-baru ini mereka menerima tekanan pihak tertentu menggesa mereka berpindah kerana mahu menjalankan projek pembangunan di kawasan berhampiran.

Katanya, bagaimanapun keputusan penempatan semula mereka sepatutnya ke Kampung Sungai Tua Tambahan, belum selesai dan tertangguh sehingga kini.

“Jadi, kita harap masalah ini dapat dibantu secepat mungkin kerana bimbang esok atau lusa rumah kami pula terbakar.

“Aduan masalah ini juga sudah dipanjangkan ke Pejabat Menteri Besar dua bulan lalu, tetapi projek pembangunan tetap dijalankan walaupun masalah kami belum selesai,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Rawang Sungai Dua, Abdul Nasir Jalil ketika ditemui di tempat kejadian, memaklumkan punca kebakaran kelmarin dan lima hari sebelum itu masih dalam siasatan.

Katanya, andaian penduduk mengenai sebab kejadian termasuk seperti bom koktel dicampakkan ke rumah yang terbakar, juga akan diteliti.

sh