Search This Blog

Wednesday, March 23, 2011

'Nak abah, nak mama'


IPOH: “Nak abah, nak mama,” itu perkataan diucapkan berulang kali oleh Fatiha Shaiful Fadzilah, 4, yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan ibu dan bapa serta dua abang kembarnya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di Kilometer (KM) 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berdekatan Slim River itu, empat beranak terbabit maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki dirempuh sebuah treler dari belakang.

Mereka yang terbunuh ialah Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya, Siti Suzana Mohd Noor, 33, dan anak kembar mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun manakala dua lagi anak mereka iaitu Firdaus, 8, dan Fatiha, cedera.

Ibu saudara Fatiha yang juga adik bongsu Shaiful Fadzilah, Nor Azizah Shahar, 23, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, Fatiha ditempatkan di Wad Kebakaran hospital itu pada awal pagi semalam bagi rawatan susulan akibat kecederaan serta melecur di tangan kiri.

Nor Azizah berkata, abangnya tidak merancang pulang ke kampung sebelum ini, namun mengubah keputusan itu dan memaklumkan kepada keluarga di Kampung Gua Badak, Lenggong dari rumah mereka di Taman Ekamatahari, Labu, Seremban, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

“Sebelum ini, arwah pernah memaklumkan dia sekeluarga tak jadi balik berikutan kekangan kerja, namun mengubah keputusan itu pada saat akhir.


“Dia memaklumkan kepada kami sebelum bertolak pulang ke kampung. Bagaimanapun, selepas menunggu sehingga jam 2 pagi, tapi mereka belum tiba membuatkan kami sekeluarga curiga,” katanya.

Nor Azizah menghubungi Shaiful Fadzilah kira-kira jam 4 pagi untuk mengetahui keadaan mereka sekeluarga, namun tiada jawapan sebelum dihubungi polis lima minit kemudian memaklumkan arwah sekeluarga terbabit kemalangan ngeri menyebabkan dia bergegas ke Hospital Slim River.
metro

Kes curi: Empat warga Chile ditangkap




BAHAN BUKTI: Pegawai polis menunjukkan barangan curi seperti telefon bimbit dan komputer riba yang ditemui semula hasil penangkapan empat warga Chile, kelmarin. -- Foto ZAOBAO




SINGAPURA-POLIS semalam mengumumkan penangkapan empat lelaki warga Chile, yang dipercayai terlibat dalam satu siri mencuri melibatkan pelbagai barangan bernilai lebih $10,000.
Menurut polis, kesemua lelaki dari Amerika Selatan itu berusia antara 29 tahun dengan 39 tahun, dan mencuri barangan daripada beg yang dibiarkan tanpa pengawasan oleh mangsa.Minggu lalu, beberapa kes kecurian telah dilaporkan berlaku di kawasan Orchard Road dan beberapa gedung beli-belah di sini.Dalam kes-kes ini, barangan seperti beg berjenama, komputer riba dan telefon bimbit telah dicuri daripada mangsa yang tidak menyedari perbuatan itu atau telah meninggalkan beg mereka di tempat awam dengan tidak dijaga.Satu pasukan bertindak melibatkan pegawai polis dari Divisyen Polis Tanglin dan Bedok telah dibentuk bagi menangani kes-kes ini.Hasil siasatan rapi yang dijalankan, para pegawai berjaya mengenal pasti identiti mereka yang disyaki.Sekitar 4.30 petang kelmarin, satu operasi telah dijalankan dan keempat-empat suspek telah ditangkap di sebuah hotel di Geylang Road.Pelbagai barangan, termasuk 16 telefon bimbit pelbagai jenis, sembilan kamera, tiga komputer riba, dua alat pemain media, empat beg tangan berjenama, satu kad ATM, sekeping kad kredit dan tiga buku bank telah ditemui semula.Kesemua barangan itu dipercayai telah dicuri dan ditaksirkan bernilai lebih $10,000 secara keseluruhannya.Siasatan awal mendapati kesemua suspek ini dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes mencuri.'Polis kini sedang berusaha mengenal pasti dan menghubungi pemilik sebenar barangan yang telah dicuri ini,' kata polis dalam kenyataannya.Kesemua empat suspek akan dihadapkan ke mahkamah 9 pagi ini atas kesalahan Mencuri Dengan Niat Bersama.Jika didapati bersalah, setiap mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.Polis menasihat orang ramai agar menjaga barangan mereka dan tidak membiarkannya berada jauh dari pandangan.'Sekiranya perlu, mintalah bantuan rakan atau teman kerja anda tengok-tengokkan barangan anda,' kata polis lagi.

Tak sempat hantar sayur



BENTONG – Rutin harian sepasang suami isteri berulang alik mengambil bekalan sayur dari Kuala Lumpur berakhir dengan tragedi apabila mereka terbabit dalam kemalangan awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi di Kilometer 40.5 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, dekat sini.

Menurutnya, mangsa, Fong Lee Ping, 45, beralamat Taman Sri Melati, Batu Caves maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian penumpang hadapan lori dinaiki bersama suaminya.

“Mangsa bersama suami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jengka dan setibanya di tempat kejadian, suami mangsa dipercayai melanggar sebuah kenderaan lain di hadapannya.

“Akibat hentaman kuat di bahagian belakang kenderaan dipercayai lori itu, mangsa tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, suami mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Bentong.

“Polis masih mengesan jenis kenderaan yang dilanggar pasangan suami isteri ini kerana di tempat kejadian tiada sebarang petunjuk, namun dipercayai ia juga adalah kenderaan berat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian yang berlaku diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Rosli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
sh

Seorang lagi mangsa meninggal dunia



ALOR SETAR - Pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) terus menjadi tumpuan petugas media apabila seorang lagi mangsa kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, meninggal dunia setelah hampir 24 jam dirawat.

Allahyarham Che Ishak Hussin, 54, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, meninggal dunia jam 2 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB, menjadikan keseluruhannya enam mangsa maut akibat kemalangan itu.

Anak sulung mangsa, Mohammad Zahir, 36, ketika ditemui berkata, kira-kira jam 1 pagi semalam, ayahnya mengadu sesak nafas dan dikejarkan ke ICU, sebelum disahkan meninggal dunia satu jam kemudian.

“Saya dimaklumkan pihak hospital bahawa berlaku pendarahan dalam otak akibat kemalangan itu, malah kaki kanan ayah turut patah,” katanya.

Kelmarin, lima guru silat maut apabila van yang dinaiki sembilan orang terbabas dan melanggar pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang.

Kemalangan pada jam 3.30 pagi itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Buluh, Selangor selepas mengadakan persembahan silat pada majlis perkahwinan di sana.

Mereka yang terbunuh adalah Jumaat@Saad Mat Akir, 62, dari Jitra, Juhari Darus, 65, dari Kodiang, Ahmad Ismail, 65, dari Langgar, Sudin Deris, 65, dari Langgar dan Ishak Awang Kechik@Hanafiah, 78, dari Pokok Sena.

Mohammad Zahir berkata, ayahnya sangat aktif dalam persatuan Silat Rela Bakti Alor Rela, Langgar dan juga pemain serunai dan gendang.

Jenazah Che Ishak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

237 orang berpindah diKuala Muda


SUNGAI PETANI: Daerah Kuala Muda dilanda banjir kilat akibat hujan yang turun mulai petang semalam hingga malam tadi menyebabkan 237 orang dari 51 keluarga di tiga buah kampung terpaksa berpindah.
Kampung terbabit ialah Kampung Jerong dekat sini, Kampung Batu 5, Gurun dan
Kampung Sungkup Para, Bukit Selambau.

Mereka yang dipindahkan ialah seramai 150 dari 36 keluarga di Kampung
Jerong, 45 orang dari sembilan keluarga di Kampung Batu 5 dan 42 orang dari enam

keluarga di Sungkup Para.
Sehingga tengah hari tadi, terdapat mangsa di Kampung Jerong yang masih
berada di tempat pemindahan berupa khemah yang disediakan di atas jalan di
kampung itu.

Hujan berlaku sejak pukul 5 petang semalam hingga 9 malam tadi.

35 orang ditahan, 136 mesin judi dirampas


SANDAKAN: Polis menahan 35 orang dan merampas 136 buah mesin judi haram dalam serbuan terhadap enam premis di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata enam
premis itu diserbu dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 5.15 petang di
lima tempat iaitu Bandar Siang Garden, Bandar Ramai-Ramai, Taman Megah, Bandar
Labuk Jaya dan Bandar Sibuga Jaya.

Katanya 35 orang yang ditahan itu berusia antara 20 dan 50 tahun dengan 13
orang daripadanya adalah pekerja di enam buah premis yang diserbu itu.

Wang tunai sejumlah RM1,000 turut dirampas dan mereka yang ditahan akan
disiasat mengikut seksyen 4b (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya pada
sidang akhbar di sini hari ini.

Tiga terbunuh dalam serangan di Narathiwat



BANGKOK - Sepasang suami isteri dan seorang jirannya terbunuh apabila lelaki militan melepaskan tembakan menggunakan rifel M-16 di daerah Ruesor, Narathiwat malam tadi.

Jurucakap polis Ruesor Kapt Pairat Kiertcharoensiri berkata, mangsa dikenali sebagai Masarapi Kuno, 33, isterinya Noreeya Masaeming, 40, dan jiran wanita mereka Deeya Jeh-a-sae, 40.

Ketika kejadian itu, mereka sedang menonton televisyen di rumah Masarapi apabila 10 militan itu melepaskan tembakan tersebut dan percikan peluru pada pukul 8.30 malam.

Lebih 4,000 orang terbunuh sejak pihak pemisah memulakan semula serangan bersenjatanya untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah selatan itu, Narathiwat, Pattani dan Yala tujuh tahun lalu.

Maut dilanggar lori



PASIR PUTEH – Seorang pemuda, Mohd Farid Che Nordin,27, ditemui maut di Kilometer 3.3 Jalan Sri Aman ke lampu isyarat Kemunting, di sini dipercayai dilanggar oleh sebuah lori ketika melintas jalan jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika kejadian, lori yang dipandu oleh pemuda berumur 30an itu dari arah Jerteh ke Kota Bharu.

“Mengikut pemandu tersebut, ketika itu dia melihat Mohd Farid berdiri di bahu jalan yang lurus itu dan tiba-tiba melintas sehingga berlakunya pelanggaran tersebut,’’ katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pemandu yang berasal dari Kampung Beris itu datang membuat aduan ke Balai Polis Pasir Puteh selepas sahaja kejadian tersebut berlaku.

Mohd Kamal berkata, manakala Mohd Farid yang berasal dari Kampung Surau meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan.

“Kepada orang ramai yang ada menyaksikan kejadian itu diharap dapat tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan polis ini,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Farid, Khadijah Abdul Rahman,58, berkata, kebiasaannya setiap pagi, anak ketiga daripada enam adik beradik itu akan mengikutnya ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

“Tetapi hari ini dia tidak ikut serta kerana pagi sebelum kejadian, makcik sempat tengok dia berjaga malam menunaikan solat Tahajud serta berzikir dan terlelap seketika, sebelum makcik kejutkan dia untuk ke masjid.

“Mohd Farid sudah tiga bulan berada di kampung apabila dia berhenti kerja di Kuala Lumpur kerana mengalami masalah rumah tangga,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Khadijah berkata, anaknya itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 bulan dan kini berada bersama bekas isterinya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, berita kematian Mohd Farid diketahuinya sebaik sahaja dihubungi oleh jiran tetangga.

Menurutnya, dia yang ketika itu masih berada di masjid terus bergegas ke tempat kejadian bersama suaminya, Che Nordin Hassan, 58.

Polis berkas empat lelaki, rampas dadah RM34,600



PETALING JAYA - Polis memberkas empat lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM34,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ria dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata, keempat-empat lelaki berumur antara 19 dan 33 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak 2008.

Kejayaan itu adalah hasil risikan polis hampir setahun sebelum polis menyerbu kediaman itu pada pukul 1 petang, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semasa menggeledah tempat itu, polis menemui dadah jenis ganja seberat 2,980 gram, heroin (502 gram), syabu (66 gram) dan 80 biji pil eramin 5.

"Dadah itu dibekalkan untuk pasaran di Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dadah ini juga telah siap dibungkus dalam paket plastik lutsinar sebelum diserah kepada 'runner' untuk diedar ke negeri-negeri terbabit," katanya.

Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan itu, iaitu yang berumur 33 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun.

"Suspek itu juga merupakan abang kepada suspek berumur 19 tahun dan keempat-empat mereka turut dikesan positif dadah," katanya.

Kesemua lelaki terbabit kini direman sehingga Isnin depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Belum ajal di pembahagi jalan



SKUDAI – Seorang pemandu lori dan kelindannya terselamat selepas lori yang dinaiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di kilometer 15.1 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), pada jam 11.45 tengah hari semalam.

Ketika kejadian, pemandu lori yang dikenali sebagai M Vismanathan, 40-an bersama pembantu, S Nagarajen, 27, dikatakan sedang menuruni jambatan, sebelum lori gagal dikawal kerana menghadapi masalah stereng, dan terbabas ke bahagian tengah jalan lalu melanggar pembahagi serta lampu jalan raya tersebut.

Lori terbabit dipercayai dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam perjalanan ke Pasir Gudang bagi menghantar muatan material pembuat plastik.

Nagarajen berkata, dia hanya mengalami cedera ringan di kepala dan mendapat rawatan pesakit luar, namun Vismanathan masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana cedera di tangan dan kepala.

”Kami bertolak dari Pulau Pinang kira-kira jam 5 pagi menuju Johor Bahru tetapi sebaik tiba di jalan berkenaan, pemandu menggelabah apabila stereng gagal membelok. Kejadian berlaku sangat pantas apabila treler terus merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik.

“Kami cuma cedera ringan di beberapa bahagian badan termasuk kepala selain mengalami luka kecil dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh petugas ambulans yang datang membantu mengeluarkan kami dari kepala lori sebelum polis tiba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Pekerja syarikat material plastik berkenaan, Fazali Mohd, 27, berkata, lebih lima kakitangan bertugas memunggah barangan yang tersadai ke dalam treler baru bagi memudahkan tugas mengalihkan treler berkenaan sebelum dihantar semula ke Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Roslan Hassan mengesahkan kejadian terbabit.

“Kejadian tidak membabitkan kenderaan lain. Kemalangan berlaku dipercayai lori gagal dikawal dan melanggar bahagian tengah pembahagi jalan.

“Muatan lori tersebut telah dibawa keluar dan pihak polis telah berusaha mengalihkan kenderaan tersebut bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, ekoran kejadian itu, Jalan Skudai menuju arah utara sesak sejauh tiga kilometer, manakala laluan ke Johor Bahru turut sesak.

Penjenayah tegar tumpas



KOTA TINGGI – Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Simpang Waha, di sini, semalam dan dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk samun dan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, sepasukan enam anggota polis diketuai Inspektor Khairul Anuar Muhammad Radzi membuat rondaan di kampung berkenaan telah melihat sebuah kereta bercermin gelap terbabas di bahagian kiri jalan dengan bahagian :hadapan kenderaan itu tergantung di tebing jalan.

Menurutnya, semasa polis menghampiri dan memperkenalkan diri, pemandu itu cuba mengundurkan kereta dan tindakan itu menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin kereta itu untuk menahan pemandu berkenaan.

“Suspek yang sudah berkeluarga dikenal pasti sebagai seorang penjenayah tegar yang telah melakukan banyak kesalahan dan amat dikehendaki polis. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Polis yang melakukan pemeriksaan di kereta suspek menemui sejumlah besar wang tunai, penimbang digital dan dua peket serbuk dipercayai heroin seberat 1,055 gram yang mempunyai nilai pasaran RM35,000.

Selain itu, polis turut menemui wang sejumlah RM9,409, mata wang Singapura SD78 dan Rp2,100, sebilah pedang samurai bersarung, peralatan pecah rumah dan pelbagai plat kenderaan termasuk pendaftaran Singapura.

Katanya, polis turut mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai dicuri dan sedang mengesan pemilik kenderaan tersebut.

Suspek yang pernah dikenakan sekatan di Slim River, Perak pada tahun 2010, di bawah Seksyen 6(3) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas – LLPK) pada tahun 1985 namun telah melanggar syarat dan melarikan diri selepas tiga bulan di sana.

Osman berkata, suspek yang didapati positif dadah itu telah pulang dan bersembunyi di sekitar daerah ini dan terlibat dalam tiga kes samun, tiga kes mendatangkan kecederaan, satu kes ugutan terhadap satu keluarga dan kegiatan mencuri kereta mewah.

“Suspek juga dipercayai menjalankan kegiatan jenayah tersebut bersama penduduk tempatan dan warga asing dan kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Bom disangka besi buruk

 

MUAR – Sorang pengawal keselamatan tidak menyangka besi buruk yang dijumpai dalam kebun di belakang rumahnya di Kampung Hj Abdullah, Sungai Abong merupakan sebutir bom mortar lama.

Bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang dipercayai sudah berusia lebih 50 tahun dipindahkan Unit Pemusnah Bom Muar kira-kira jam 9 pagi semalam sebagai langkah keselamatan.

Yaakob Abas, 56, berkata, beliau menjumpai bom tersebut ketika sedang membersihkan kebunnya itu pada Ahad lalu.

Menurutnya, sebelum ini kebun miliknya itu agak terbiar dan dipenuhi pokok-pokok liar.

“Sedang saya membersihkan semak berhampiran pokok getah, ternampak besi buruk yang tertanam separuh dalam tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Yaakob berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, beliau bersendirian berada dalam kebun berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada bom ini masih aktif atau sebaliknya. Saya yang takut bergegas pulang ke rumah demi keselamatan diri.

“Saya tidak menyangka dalam kebun ini mengandungi bom lama kerana jarak tempat penemuan bom dengan rumahnya kurang 50 meter,” katanya.

Yaakob berkata, kemungkinan di dalam kebun itu terdapat bom lama lain yang masih belum dijumpai lagi.

“Seramai tujuh anggota polis termasuk daripada Unit Pemusnah Bom Muar datang ke kebunnya dan berjaya memindahkan bom ini,” katanya.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan situasi itu, tetapi dia tetap menganggap penemuan itu sebagai pengalaman yang berharga.

Sementara Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, penemuan sebutir objek di Kampung Hj Abdullah itu bukan bom lama seperti yang diperkatakan.

“Ia adalah bom dummy yang digunakan untuk latihan. Bagaimanapun, pihak kami akan melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana bom ini boleh berada di dalam kebun milik Yaakob,” katanya ketika dihubungi.

Yahaya selamat ditemui



ARAU – Pemuda terencat akal dari Kampung Bohor Mentalon, Tambun Tulang, Yahaya Ismail, 48, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu kini ditemui dalam keadaan yang baik hasil maklumat orang awam.

Adiknya, Fadillah Ismail, 41, ketika dihubungi berkata, dia menerima panggilan dari seorang lelaki tidak dikenali dari Sungai Petani memaklumkan ada melihat Yahaya di sebuah stesen bas di sana kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, lelaki berkenaan mengetahui mengenai kehilangan abangnya itu menerusi akhbar Sinar Harian dan bertindak menghubunginya menerusi nombor telefon yang tercatat dalam akhbar ini.

“Saya selepas menerima panggilan itu terus bergegas seorang diri ke Sungai Petani menaiki motosikal kira-kira jam 5 pagi.

“Setiba di sana kira-kira jam 8 pagi, saya melihat abang dalam keadaan yang menyedihkan selepas sebulan tidak mandi dan pakaian yang dipakainya juga kotor. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dia selamat dan sihat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Fadillah berkata, dia percaya, abangnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) itu tersalah menaiki bas yang sedang dalam perjalanan ke Sungai Petani.

“Saya percaya, abang ditumpangkan mana-mana individu dari satu tempat ke satu tempat sehingga membawakan dia menaiki bas yang dalam perjalanan ke Sungai Petani.

“Bagaimanapun, setiba di sana, dia tidak tahu cara untuk pulang memandangkan dia tidak pernah keluar jauh kecuali kawasan kampung ini sahaja,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, dia kini dapat melepaskan rasa lega kerana ibunya, Mariam Lebai Idris, 67, yang tidak dapat tidur lena sejak kehilangan Yahaya kembali ceria dan tenang.

“Ibu adalah orang yang paling risau sepanjang kehilangan abang. Malah tidur dan makannya menjadi tidak menentu kerana risaukan keselamatan abang kerana dialah peneman ibu setiap hari.

“Saya begitu berterima kasih kepada individu yang bertindak membantu saya mencari abang sepanjang tempoh ini terutama lelaki misteri yang menghubungi saya awal pagi kelmarin,” katanya.

Enam nahas maut dalam seminggu



BALING – Cubaan sebuah bas untuk memotong sebuah motosikal di Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik di sini membawa kepada kemalangan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.40 pagi itu, penunggang motosikal Yamaha itu, Mohd Firdaus Che Bi @ Harun, 17, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemboncengnya mengalami calar pada bahagian badan sahaja.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Cif Inspektor Mohd Basirul Hapi Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa dan seorang lagi pembonceng dalam perjalanan dari Kupang menuju ke Gerik.

“Apabila tiba di Kampung Sadek, disyaki bas Jabatan Penjara yang membawa penumpang hampir 40 orang ini cuba menukar lorong dengan memotong motosikal berkenaan.

“Tanpa disedari, mangsa ini terbabas dan jatuh di atas jalan dengan pemboncengnya dan kejadian ini telah dilihat seorang pemandu lain yang mengekori dan cuba menahan bas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Basirul Hapi berkata, keengganan pemandu bas itu yang tidak mahu berhenti menyebabkan saksi kejadian telah mencatat nombor pendaftaran bas berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bas itu milik Penjara Pokok Sena dalam perjalanan ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan tidak berhenti di tempat kejadian, malah meneruskan perjalanan sehingga ke destinasi.

“Selepas kita berjaya mengesan bas ini, pemandu terlibat telah datang ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah untuk menyerah diri pada jam 4 petang hari yang sama dan dilepaskan dengan jaminan polis.

“Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya sebabkan kematian,” katanya.

Selain kes kemalangan itu, Mohd Basirul Hapi berkata, sepanjang seminggu lalu sebanyak lima lagi nyawa terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal dan juga kereta.



Maut cuba potong van



Kes kemalangan maut seterusnya melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun dari Kampung Bukit Iboi menunggang motosikal Honda bersama seorang lagi penunggang motosikal lain telah bertembung kereta Proton dari arah bertentangan di Jalan Kupang-Bok Bak.

Mangsa, Roslizan Hasan yang mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Baling sebelum meninggal dunia pada keesokan hari pada jam 4 petang.

Mohd Basirul Hapi berkata, kejadian 16 Mac itu berlaku pada jam 9.45 malam apabila dua motosikal berkenaan cuba menukar lorong dengan memotong sebuah van sebelum bertembung dengan kereta yang menuju ke arah Kupang.

Seorang lagi penunggang yang turut terlibat dalam kemalangan itu, Aminudin Ahman, 18, hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Manakala, pemandu kereta Proton itu pula, Mohd Shamsol Ahmad, 26, turut mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan.



Dua kemalangan hari sama



Pada 19 Mac pula berlaku dua kemalangan maut di lokasi berbeza yang melibatkan dua penunggang motosikal.

Dalam kejadian pertama pada jam 9.45 pagi, Mohamad Hilmi Mohd Mayin, 25, dari arah Kuala Pegang menunggang motosikal model Yamah bernombor plat PDL 7761 telah melanggar bahagian pintu kiri van pelbagai guna (MPV) sebelum jatuh di atas jalan raya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah meninggal dunia di tempat kejadian di Simpang Tiga Kampung Landak, Jalan Sungai Petani-Baling.

Pemandu MPV model Daihatsu itu, Idris Othman, 50, dipercayai dalam perjalanan dari Gerik menggunakan jalan baru Kulim-Baling dipercayai gagal memberi laluan kepada penunggang motosikal itu dari arah bertentangan sebelum membelok.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya sebabkan kematian.

Tidak sampai 12 jam pada hari berkenaan, satu lagi kes kemalangan maut berlaku di simpang empat lampu isyarat Batu Satu, Kuala Ketil pada jam 7.05 petang apabila seorang penunggang motosikal melanggar kereta Proton.

Mangsa, P Saravanan, 35, dari Taman Bukit Pekaka di sini menunggang motosikal Suzuki mengalami kecederaan parah dan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Dalam laporan polis yang dibuat pemandu kereta terlibat, B Loganathan mendakwa kereta yang dipandunya dari arah Baling ke Kuala Ketil berhenti di lampu isyarat kerana lampu merah dan secara tiba-tiba motosikal mangsa melanggar keretanya dari belakang.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya sebabkan kematian.

Sinar Harian edisi 19 Mac juga pernah melaporkan mengenai kejadian kemalangan maut melibatkan dua sepupu yang baru pulang dari pusat rekreasi kolam air panas Ulu Legong apabila kereta MPV model Perodua Alza yang dipandu salah seorang ahli keluarga mereka melanggar penghadang besi jalan di Jalan Baling-Weng.

Rumah rosak dihempap pokok



KUALA NERANG - Sebuah rumah di Kampung Daksa, Mukim Kurong Hitam di sini, dihempap sebatang pokok akibat angin kuat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 petang itu menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah berkenaan rosak teruk dan kerugian dianggarkan sebanyak RM10,000.

Md Zahir Hashim berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa walaupun mengalami kerugian besar.

Menurutnya, mereka sekeluarga hanya mampu melihat kejadian berkenaan sahaja tanpa dapat melakukan sesuatu pun.

“Walaupun mengalami banyak kerugian, paling penting tidak ada ahli keluarga ataupun sesiapa yang tinggal berhampiran cedera disebabkan bencana berkenaan,” katanya.

Md Zahir turut menerima bantuan daripada wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat Kuala Nerang, Mohd Azam Abd Majid.

Mohd Azam berkata sumbangan yang disampaikan itu bertujuan meringankan beban mangsa.

Beliau berharap agensi berkaitan atau penduduk setempat dapat turun padang membantu meringankan beban ditanggung mangsa dan membaiki semula rumahnya.

Usaha seludup rokok gagal



KUALA KEDAH - Hasrat seorang lelaki berusia 44 tahun untuk memasarkan rokok yang diseludup dari Pulau Pinang musnah apabila dia ditahan di Tongkang Yard oleh Unit Penyeludupan dan Pencegahan (UPP), semalam.

Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata, rokok seludup sebanyak 295 karton yang dibawa oleh lelaki tempatan itu dimuatkan ke dalam bonet dan bahagian dalam kereta jenis Proton Saga.

Menurutnya, rokok yang diseludup dari Pulau Pinang itu berjumlah RM5,900 dan melibatkan jumlah cukai berjumlah RM27,553.

“Serbuan yang dibuat ke atas lelaki itu dibuat selepas menerima hasil maklumat orang awam dan kita segera bergegas ke lokasi berkenaan.

“Modus operandi yang dilakukan oleh lelaki ini juga berbeza dengan kes yang sebelumnya apabila dia tidak mengambil rokok dari Kuala Kedah tetapi dari Pulau Pinang,” katanya kepada media di pejabat UPP, Kuala Kedah, semalam.

Mohd Jasri berkata, rokok yang tidak boleh dibawa keluar dari Pulau Langkawi itu dipercayai akan dipasarkan untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, rokok itu dipercayai dijual dengan harga RM20 bagi satu karton dan harga mengikut pasaran dijual sekitar RM3.50 hingga RM4.50 sekotak.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu menjalankan kegiatan ini lebih kurang lima bulan lalu dan kegiatan dijalankan lebih dari lima kali, “ katanya.

Mohd Jasri berkata, selain itu, hasil siasatan juga mendapati kenderaan yang dinaiki lelaki itu bukan di atas namanya tetapi atas nama individu lain.

“Lelaki yang bekerja sebagai peniaga menjual barangan plastik di Alor Setar ditahan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

“Kes ini juga diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Jasri berkata, sekiranya disabitkan kesalahan denda tidak kurang sepuluh kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai dagangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Geng samun pasar mini tumpas



PETALING JAYA – Enam individu termasuk seorang wanita berusia 31 yang terlibat dalam 29 kes samun pasar mini di sekitar Petaling Jaya berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek pertama berjaya diberkas orang ramai sejam selepas dia menyamun sebuah pasar raya di Bandar Baru Sungai Buloh pada 15 Mac lalu.

Menurutnya, suspek pertama itu diberkas oleh saksi kejadian yang mengecam wajah suspek ketika sedang minum di sebuah restoran di kawasan sama.

“Susulan daripada penangkapan itu polis melancarkan gerakan memburu ke semua suspek terlibat dan berjaya menangkap lima lagi suspek di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.

Arjunaidi berkata, kesemua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes samun dan pemeriksaan air kencing menunjukkan ke semua mereka positif dadah.

“Dua daripada suspek yang ditahan berusia 25 dan 30 tahun adalah adik beradik yang masing-masing mempunyai 24 dan empat rekod jenayah,” katanya.

Polis turut merampas dua parang, dua topi keledar, sehelai jaket serta nombor pendaftaran palsu yang ditemui dalam kereta jenis perodua kelisa dan motosikal jenis Yamaha yang digunakan suspek untuk menyamun.

“Modus operandi suspek ialah masuk ke dalam pasar mini dengan memakai topi keledar berpenutup muka mengugut menggunakan parang dan melarikan wang tunai yang berada dalam peti simpanan tunai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 /397 kanun keseksaan.

Maut jatuh bangunan



KLANG – Seorang penganggur ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam Pangsapuri Mutiara, Bukit Raja, di sini, semalam.

Teoh Seng Chong, 47, dijumpai berlumuran darah di tepi longkang tingkat bawah pangsapuri berkenaan oleh orang awam, kira-kira jam 9.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Deputi Superintendan Beh Eng Lai berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sujurus menerima laporan daripada orang awam.

Katanya, berdasarkan kenyataan keluarga si mati, mangsa masih bujang dan tinggal bersama ibunya di tingkat tujuh pangsapuri itu.

“Difahamkan, mangsa pernah beberapa kali cuba bunuh diri dengan terjun bangunan, tetapi berjaya dihalang jiran yang melihat.

“Si mati dipercayai tertekan dengan penyakit yang dirahsiakan selama lapan tahun sehingga dia ditemui mati hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Sementara itu, saksi kejadian, N Selliah berkata, sebelum insiden itu, dia terdengar bunyi suara seperti orang bertengkar dari tingkat atas.

“Selepas itu, saya keluar rumah apabila terdengar rakan menjerit mengatakan ada orang jatuh. Apabila saya lihat, dia sudah terbaring berlumuran darah di longkang bawah pangsapuri.

“Sebelum ini, saya kerap dengar si mati bercakap dengan suara tinggi kepada ibunya, tetapi tidak faham apa yang dituturkan mereka kerana menggunakan bahasa Mandarin,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, dia tidak begitu mengenali mangsa kerana si mati kurang bergaul dengan penduduk di sini.

Kilang mi, kuew teow kotor diserbu kali ketiga




KEPONG – Kuew teow siap diproses dan dibungkus dijadikan alas ‘bantal’ tempat tidur kakitangan yang berehat selepas penat bekerja, antara situasi boleh dilihat dalam serbuan pihak Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke premis kilang mi, di sini kelmarin.

Selain itu, premis penghasilan mi dan kuew teow yang diedarkan sekitar Lembah Klang ini kotor serta jijik, kebanyakan pekerjanya pula hanya berseluar pendek dan tidak memakai apron serta penutup kepala.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainol Abidin berkata, tindakan ke atas premis pembuatan mi itu dilakukan masuk kali ketiga, sebelum kali pertama diserbu Oktober tahun lalu.

Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Gombak turut melakukan operasi sama pada bulan lalu, namun tahap kebersihan premis terbabit masih kotor dan tidak memuaskan.

“Lantai premis berair, licin dan kotor disebabkan tiadanya sistem saliran sempurna disediakan pemilik. Selain itu, pekerjanya tidak memakai uniform sempurna dengan apron dan penutup kepala serta penutup hidung.

“Keadaan premis ini memang kotor, namun ia lebih baik berbanding sebelum ini. Bagaimanapun kali ini kita tetap mengambil tindakan penutupan selama dua minggu,” katanya.

Razif berkata demikian selepas mengetuai operasi berkaitan susulan aduan penduduk berkenaan kilang mi kotor disiarkan akhbar ini 20 Mac lalu, berkaitan premis terletak di jalan utama, Taman Perindustrian Ehsan Jaya, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menegur wakil pengusaha berikutan keadaan pintu masuk ke dua pintu masuk utama yang juga kotor dan berbau busuk dari longkang dan bekas sampah berhampiran.

Bagaimanapun, wakil pengusaha berkenaan memaklumkan premis kilang berhampiran turut menyumbang pembuangan sisa ke dalam longkang dan kawasan di situ menyebabkan timbul masalah berkenaan.


Makanan di atas lantai

Wakil pemilik ketika ditemui semasa operasi dilakukan di premis terbabit tidak menafikan pernah memberitahu akan berpindah ke kawasan lain sejak tahun lalu, namun mengambil masa kerana mencari lokasi sesuai.

Dia memberitahu demikian ketika ditegur tindakan berikutan peletakan stok makanan sudah siap dibungkus seperti mi, kuew teow dan ‘yee mi’ di dalam kuantiti yang banyak di atas lantai.

Tinjauan juga mendapati, sisa makanan seperti beras bagi membuat mi berkenaan dan kulit telur dibuang ke dalam longkang.

Bekas beras hendak diproses juga diletakkan hanya dalam besen plastik di atas lantai begitu sahaja dan terdedah, selain keadaan tandas premis yang tiada sistem pengudaraan baik serta terlalu kotor.

Difahamkan, tindakan penutup premis itu diambil mengikut tiga Seksyen Undang-undang Kecil (UUK) di bawah kesalahan Seksyen 27, Sisa Makanan Atas Lantai dan Seksyen 19 (1)(d) Sisa Makanan Dibuang Ke Dalam Longkang.

Kesalahan mengikut UUK sama ini juga adalah di bawah Seksyen 8(5) di mana setiap pengendali makanan perlu memakai penutup kepala dan apron.

Selain penutupan premis, tindakan kompaun RM1,000 boleh dikenakan bagi setiap satu kesalahan mengikut seksyen berkaitan.

Difahamkan, pantauan dari masa ke semasa akan dibuat pihak Jabatan MPS, sepanjang tempoh penutupan ini.


Premis steamboat ditutup

Dalam pada itu, mengulas laporan Sinar Harian bertarikh 16 Februari lalu berkenaan pengusaha steamboat menggunakan lidi terpakai di kawasan Prima Selayang, Razif memaklumkan tindakan berhubung laporan sudah diambil.

“Pemeriksaan telah dijalankan pada 22 Februari lalu mendapati premis ini berada dalam keadaan tidak bersih dengan rating kebersihan 38 peratus. Pihak jabatan telah mengarahkan penutupan selama empat hari bagi pemilik premis menjalankan kerja pembersihan.

“Antara kesalahan dilakukan pemilik kilang tersebut ialah terdapat pekerja tidak mengamalkan ciri pengendali makanan dengan baik, seperti berkuku panjang, tidak memakai topi apron, memakai cincin dan gelang,” katanya.

Menurutnya, penyediaan makanan di situ juga didapati dilakukan di atas lantai yang licin dan bertakung air, selain keadaan premis yang sesak serta tidak teratur.

Premis steamboat itu kini sudah boleh beroperasi selepas didapati mematuhi penetapan dan pantauan oleh Unit Kawalan Mutu Makanan, Jabatan Kesihatan MPS.

Kuarters kerajaan sarang judi




SUNGAI MANGGIS- Kuarters kerajaan di Pekan Sungai Manggis kini menjadi tumpuan kaki judi dan penagih minuman keras walaupun kedudukan kuarters ini hanya satu kilometer dari beberapa pejabat kerajaan.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Hamri Ahmad mendakwa, aktiviti perjudian di kawasan tersebut sudah lama beroperasi dan beliau sendiri telah beberapa kali menghubungi polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, aktiviti ini berlarutan dari pagi hingga ke malam malah sering kali berlaku pertengkaran dan perbalahan dalam kalangan pemain judi berkenaan.

“Saya pernah menegur pemain judi tersebut namun aktiviti berkenaan masih berjalan hingga kini walaupun mereka pernah berhenti sekejap.

“Dalam pada itu, seharusnya PBT perlu memantau keadaan kuarters berkenaan selain mencari jalan mengelakkan kawasan tersebut daripada terus menjadi tumpuan kaki judi”, katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Seorang remaja, Mohd Fadhil Ahmad, 23, berkata beliau mengakui kawasan kuarters itu merupakan kawasan yang agak lama selain tidak di selenggara dengan betul dan diabaikan.

Menurutnya, beberapa buah rumah kerajaan telah diceroboh oleh pencuri bahan lusuh dan penagih dadah sedangkan kawasan berkenaan masih mempunyai penduduk dalam kalangan pelbagai bangsa.

“Saya sendiri bimbang dengan situasi ini dan tidak berani membiarkan rumah kosong tanpa penghuni terutama apabila melihat sendiri sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan sunyi dan gelap itu.

“Difahamkan, masih terdapat pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tinggal tetapi tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani masalah berkenaan”, katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di kawasan berkenaan dan turut mendapat laporan mengenai isu tersebut.

Lelaki terlepas hukuman sebat



KUANTAN - Seorang pembantu kedai makan yang mengaku salah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis bawah umur terlepas hukuman sebatan sebaliknya dia hanya dihukum penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap, 20 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Kamaruzaman Ab Hamed, 19 dari Kampung Belukar Baru, Batu 3, Jalan Gambang dekat sini bagaimanapun diperintahkan menjalani program pemulihan sepanjang hukuman berjalan.

Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris selepas beliau meneliti fakta kes dan menyabitkan tertuduh atas tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu.

Dalam hujah ringkasnya, Fathiyah berkata, tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan merogol gadis yang berusia 15 tahun 5 bulan itu bagaimanapun kejadian berlaku tanpa sebarang unsur paksaan.

Tertuduh yang didakwa merogol gadis terbabit dalam sebuah rumah di Batu 6, Jalan Pekan dekat Kampung Gudang Rasau di sini kira-kira jam 4 pagi, 11 Januari lalu sebelum itu merayu melalui peguamnya, Rizal Chek Hasyim supaya hukuman sebatan diketepikan dan mohon hukuman penjara paling minimum.

Dalam rayuan itu, Rizal berkata, tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Tertuduh yang tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau memohon supaya mahkamah memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki diri memandangkan dia masih muda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsuddin bagaimanapun memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat dan berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Beliau berkata, kes rogol melibatkan mangsa bawah umur kerap berlaku selain perlu mengambil kira kepentingan awam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa kes ini dilaporkan menghilangkan diri selama tiga hari sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga.

Usaha mencari gadis itu menemui jalan buntu sehinggalah dia pulang ke rumah dalam keadaan selamat.

Berdasarkan cerita rakan kepada keluarga, gadis itu menghilangkan diri kerana mengikut seorang lelaki bernama ‘Kamal’.

Berdasarkan maklumat itu, keluarga mangsa mencari “Kamal’ dan menemuinya ketika berada di hadapan sebuah kedai di Batu 6 dekat sini.

Ketika itu Kamal atau tertuduh itu mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa dan kejadian disahkan sendiri gadis terbabit.

Pegawai JPJ didakwa terima rasuah



KUANTAN - Seorang Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM150 daripada seorang lelaki sebagai dorongan menyelesaikan dua saman yang sebenarnya tidak wujud, Jun tahun lalu.

Tertuduh, P Prakash, 27 dari Kampung Jawa di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Syabudin di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai gunting rambut di Cenderawasih di sini kira-kira jam 2.35 pagi , 8 Jun 2010.

Dalam kejadian itu, tertuduh bersetuju menerima suapan RM150 sebagai dorongan menyelesaikan dua saman yang kononnya dihadapi pengadu atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Tertuduh tidak bernasib baik apabila dicekup pegawai SPRM kira-kira 10 minit selepas itu.

Ekoran itu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1)(a) dan (b) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang mohon dibicarakan dibenarkan diikat jamin RM3,000.

Dia yang difahamkan menjelaskan jaminan tersebut perlu hadir pada 24 April depan yang ditetapkan sebagai tarikh untuk sebutan lantikan peguam.

Lori pasir rempuh rumah



BUKIT PAYONG – Kecuaian seorang pemandu lori nyaris mengundang padah apabila lori penuh muatan pasir yang dipandunya terbabas, lalu merempuh sebuah rumah yang terletak di tepi jalan di Kampung Berang Pak Ayu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Payong ke Pekan Kedai Buluh, merempuh bahagian tepi rumah terbabit sehingga menyebabkan dinding rumah retak dan atap rosak.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri bersama empat anak, tiga cucu dan seorang menantunya bernasib baik kerana rempuhan itu tidak kuat dan hanya menyebabkan sebahagian kecil struktur rumah rosak.

Pemilik rumah, Ahmad Muda, 66, ketika ditemui Sinar Harian mengucapkan syukur keluarganya selamat dalam kejadian itu walaupun ketika kejadian, dia bersama isteri, Manis Semek Husin, 63, berada di dalam rumah bersama ahli keluarga lain.

“Mujurlah, kenderaan berat itu hanya melanggar bahagian atap rumah. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu hendak bayangkan apa yang berlaku kerana kami semua sedang berehat dalam rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Ahmad bagaimanapun tidak membuat laporan polis mengenai kejadian itu sehingga petang semalam, selepas pemandu kenderaan berat terbabit berjanji untuk menjelaskan ganti rugi bagi membolehkan dia membaiki semula atap rumahnya.

Disambar api ketika memasak



SEBERANG MARANG – Seramai tujuh pekerja dan pemilik kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang di sini, berdepan detik mencemaskan apabila bahagian dapur kantin sekolah itu terbakar pagi semalam.

Kejadian berlaku selepas waktu rehat tamat kira-kira jam 10.50 pagi, dipercayai berpunca daripada kebocoran paip gas dapur memasak yang tiba-tiba disambar api ketika pemiliknya, Zaleha Muda, 51, sedang memasak.

Bagaimanapun, pemilik dan pekerja kantin terbabit sempat menyelamatkan diri manakala kebakaran pada bahagian dapur itu tidak sempat merebak apabila pekerja dengan dibantu kakitangan sekolah bertindak pantas mengawal kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Marang, PPgB Romaina Harun ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, kejadian hanya mengakibatkan sebahagian kecil dapur dan siling kantin rosak.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada 11.04 pagi mengenai kebakaran tersebut dan dua jentera bomba dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian serta tiba di lokasi 10 minit kemudian untuk memadamkan kebakaran.

“Kita percaya punca kebakaran itu berlaku disebabkan paip gas dapur bocor dan kerugian masih belum ditaksirkan,” katanya.

Wanita hamil dipenjara 5 tahun



KAMPUNG RAJA - Seorang wanita hamil empat bulan menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana memiliki 1,190 biji dadah jenis Methamphetamine seberat 18.09 gram kira-kira empat tahun lalu.

Tertuduh, Zamrah Ariffin, 39, dari Tanah Merah, Kelantan kelihatan terkejut dan menangis selepas Majistret Ahmad ‘Adha’ Amer Yasser membacakan hukuman itu.

Mahkamah memerin-tahkan wanita itu menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan terhadapnya.

Wanita yang hadir ke mahkamah ditemani suami dan seorang anak lelakinya didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah restoran di Jertih, di sini kira-kira jam 7.45 malam pada 30 Julai 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sekurang-kurangnya tiga kali, tetapi tidak lebih sembilan kali sebatan.

Sebelum ini, dia dibicarakan atas tuduhan mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pihak pendakwa meminda pertuduhan kepada memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) selepas menerima hasil laporan lengkap kimia.

Sepanjang perbicaraan itu, seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

Dalam fakta kes menyebut, Zamrah ditahan bersama tiga yang lain termasuk dua kanak-kanak di dalam sebuah kereta di hadapan restoran itu.

Ketika pemeriksaan badan dilakukan, satu bungkusan terjatuh dari dalam baju kurungnya dan tiba-tiba dia menyepak bungkusan itu dengan kakinya.

Pemeriksaan pada tiga yang lain tidak menemui sebarang kesalahan, manakala Zamrah berada di tempat dia ditahan kerana didakwa sedang menunggu pelanggannya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor, Rozaime Ab Rahim sementara Zamrah diwakili peguam bela, Mohd Yusof Yakob. 

SK Pulau Serai terbakar lagi



PULAU SERAI – Mac 2011, genap setahun tragedi kebakaran yang menjadi peristiwa hitam buat warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai apabila bangunan dua tingkat yang menempatkan bilik pejabat dan guru besar musnah dalam satu kebakaran selepas solat Jumaat pada 17 Mac tahun lalu.

Kini, kesabaran mereka teruji sekali lagi apabila bangunan setingkat yang menempatkan bilik sementara pejabat dan juga bilik guru besar disambar api, menyebabkan segala urusan pentadbiran dan pengurusan sekolah terbabit dipercayai hampir lumpuh berikutan kemusnahan dokumen penting yang berada di bilik terbabit.

Kejadian kira-kira jam 1.10 petang semalam itu dipercayai berlaku ketika lebih 500 murid Tahun Empat, Lima dan Enam berada di dewan utama untuk mengikuti taklimat berkaitan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya, manakala yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing.

Menceritakan detik cemas sebelum tragedi, Penolong Kanan SK Pulau Serai, Abdul Razak Jusoh berkata, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari bilik terbabit.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan oleh kakitangan pentadbiran bahawa terdapat api di biliknya, beliau terus bergegas untuk menyiasat perkara itu.

“Sampai di situ, saya lihat ada percikan api pada bahagian siling, asap mula menyelubungi bilik terbabit.

“Saya cuba menyelamatkan beberapa barangan berharga. Namun, bimbang dengan keselamatan diri, tanpa berfikir panjang saya terus beredar dari situ sebelum bertindak memaklumkan kepada bomba,” katanya.



Data bakal dibentang hari ini



Bagi Pembantu Tadbir sekolah terbabit, Fatimah Che Wan Ngah, 49, segala usaha yang dilakukan sejak setahun lalu bagi mengumpulkan semula data yang hilang berikutan tragedi kebakaran di bangunan lama pada Mac tahun lalu hanya sia-sia, setelah komputer dan fail yang disimpan di bilik pejabat di bangunan setingkat yang terbakar semalam turut musnah.

Fatimah ketika ditemui di lokasi kejadian kelihatan hiba kerana segala maklumat yang tersimpan di bilik terbabit, diusahakannya sejak berbulan lamanya dan bakal dibentangkan ke Pegawai Audit, hari ini, musnah bersama peralatan lain termasuk perabot serta barangan elektrik.

“Saya rasa terkedu. Tidak mampu nak cakap apa-apa lagi. Semua kerja termasuk mengumpul maklumat yang musnah lalu sudah saya siapkan. Tunggu masa hendak hantar kepada pegawai terlibat sahaja.

“Kini semua tinggal abu. Tidak tahu yang mana hendak dimulakan. Maklumat yang ada di dalam komputer di dalam bilik yang terbakar itu amat penting untuk kegunaan sekolah, Namun, apa boleh buat, saya hanya redha menerima ketentuan Tuhan,” luah Fatimah.



Murid panik lihat api



“Cikgu suruh kami lari ke belakang. Jadi semua murid berkumpul di tempat seperti diarahkan. Ketika itu saya melihat api menjulang. Ia membuatkan saya rasa takut dan panik,” kata Mohd Adhan Sabri, 10, murid SK Pulau Serai yang pertama kali berdepan api besar apabila bangunan sekolahnya terbakar, dekat sini, tengah hari semalam.

Mohd Adhan ketika menceritakan detik mencemaskan itu berkata, ketika kejadian, mereka semua berada di dewan utama kerana sedang mengikuti taklimat daripada guru mengenai Program Kempen Keselamatan Jalan Raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, sebaik mendapat tahu berita mengenai kebakaran itu, gurunya mengarahkan semua murid berada di bahagian belakang dan tidak menghampiri kawasan kebakaran kerana bimbang keselamatan mereka.

“Nasib baik kami semua berada jauh dari bilik yang terbakar itu. Jika tidak, mungkin kami akan mengalami kecederaan kerana api yang marak itu turut menyebabkan letupan kecil serta serpihan atap melayang ke tanah,” katanya.

Dua pemuda dituduh rogol mangsa sama



KOTA BHARU - Dua pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana berdepan tuduhan merogol seorang mangsa sama awal Disember, dua tahun lalu.

Khairulnizam Kamarulzaman, 23 dan Muhammad Zulfadli Adnan, 22 dituduh dalam tuduhan berasingan pada 1 Disember 2009 kerana merogol remaja perempuan berusia 18 tahun dua bulan ketika itu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan jijik tersebut di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Puteh, Machang.

Khairulnizam berdepan dakwaan melakukan perbuatan itu pada jam 12 tengah malam sehingga jam 1 pagi, tarikh berkenaan.

Manakala, Muhammad Zulfadli didakwa merogol mangsa sama selepas Khairulnizam pada jam 1 hingga 1.30 pagi, hari dan tempat yang sama.

Pembantu restoran dan pembantu mekanik itu dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat jika sabit bersalah.

Sebutan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Hazimah Ghazali di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Hakim Irwan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sejumlah RM8,000 setiap seorang masing-masing seorang penjamin dengan syarat melaporkan diri di Balai Polis Machang setiap 1 hari bulan.

Mereka turut disyaratkan untuk tidak mendekati mangsa sepanjang tempoh jaminan. Kes disebut semula 24 April depan.

Peniaga terbunuh, rakan cedera selepas kereta masuk gaung



KAMPAR - Seorang peniaga terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 306.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata Thai Keen Chong, 33, yang berasal dari Malim Nawar, Kampar, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila kereta Toyota yang dipandu Thai dalam perjalanan dari Kampar ke Ipoh itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum tercampak ke dalam gaung sedalam tujuh meter.

Beliau yang dihubungi hari ini berkata, mayat Thai dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat, manakala rakan Thai, Goh Soon Fook, 35, dari Ipoh yang mengalami kecederaan parah di kepala, sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua ahli perniagaan itu tersepit dalam kereta berkenaan, dan anggota bomba dipanggil untuk mengeluarkan mereka.

Seorang maut, dua parah dalam kemalangan di lahad Datu



LAHAD DATU - Seorang maut dan lima lagi cedera, dua daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di kilometer 30, Jalan Lahad Datu-Sandakan semalam.

Salimun@Nasir Suratman, 54, dari Kampung Jawa, Tawau mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Lahad Datu.

Dua yang parah dikenali sebagai Sardami@Asmah Kaspi, 56 iaitu pemandu kereta terbabit daan Sardim@Saadiah Kasim, 55. Mereka kini dirawat di hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata, kejadian pada pukul 3.45 petang itu turut menyebabkan pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta seorang lagi penumpang kereta cedera ringan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Sardami yang dalam perjalanan ke Tawau cuba memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.- Bernama

Mayat warga emas ditemui separuh rentung dalam kereta



BUTTERWORTH - Mayat seorang lelaki warga emas ditemui separuh rentung dalam keretanya yang terbakar di tepi jalan di Jalan Solok Tuna di sini hari ini.

Ketua Polis Derah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata, mangsa Jagjit Singh, 70, dipercayai keluar minum bersama empat rakannya sebelum kejadian itu.

"Punca kematian belum diketahui kerana polis sedang menunggu hasil siasatan bomba," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Khaw Kee Leong, 42, pemilik kedai makan yang dikunjungi lelaki itu sebelum kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, berkata beliau dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa ada sebuah kereta sedang terbakar.

"Saya ambil alat pemadam api bagi membantu memadamkan kebakaran dan semasa memadamkan api baru saya perasan ada orang dalam kereta itu.

"Lelaki itu kelihatan lemah. Pukul 8 pagi tadi dia (mangsa) singgah di kedai saya untuk minum bersama empat rakannya," katanya.

Anak saudara lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Dave berkata bapa saudaranya itu telah lama tinggal seorang diri di sini kerana isteri dan anaknya tinggal di Singapura.

"Dia tidak mempunyai pekerjaan dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.- Bernama

Mayat pemancing jatuh laut ditemui terapung dekat jeti


LUMUT: Misteri kehilangan seorang kaki pancing yang tidak pulang ke rumahnya sejak dua hari lalu, terjawab apabila mayat mangsa dalam keadaan kembung ditemui terapung berhampiran jeti Sungai Pinang Kechil, Pulau Pangkor, di sini, semalam.
Mayat Leo Ding Khoon, 54, ditemui sepasukan anggota Polis Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi semalam, selepas usaha mengesannya hampir menemui jalan buntu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, mangsa dilaporkan hilang selepas keluar memancing seorang diri di jeti berkenaan, pagi kelmarin.

Beliau berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam laut dan kejadian itu disedari beberapa kaki pancing di kawasan itu.

“Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi polis sebelum gerakan mencari dan menyelamat dilakukan.

“Bagaimanapun, pasukan penyelamat disertai anggota bomba dan penyelamat serta PGM gagal menemui mangsa kelmarin sebelum usaha mencari diteruskan hari ini (semalam),” katanya.


Katanya, usaha mencari dan menyelamat yang diteruskan semalam membuahkan hasil apabila mayat mangsa ditemui terapung di bawah jeti.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Wilayah Satu, Kampung Acheh, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada kakak mangsa, Leo Poh Chu, 58, sebelum memulakan usaha mencari dan menyelamat.

“Mangsa ditemui kira-kira 10 meter daripada tempat dia jatuh. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat,” katanya.

Saya hilang 6 kawan baik


ALOR SETAR: “Saya kehilangan enam kawan baik sekali gus,” kata Johari Arifin, 54, yang masih bersedih dengan berita kematian lima guru silat termasuk seorang pemain serunai dan gendang dari Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, semalam.
Beliau berkata, dia terkejut kerana semua mangsa meninggal dunia kawan baiknya yang terbabit dalam aktiviti pertunjukan silat di negeri itu.

“Saya memang mengenali semua mangsa kerana sama-sama mengadakan persembahan di merata tempat,” katanya.

Drebar, kelindan cedera treler terbalik


JOHOR BAHRU: Gara-gara stereng gagal berfungsi dengan baik, seorang pemandu treler dan kelindannya nyaris maut apabila lori yang membawa muatan bahan berasaskan plastik merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di kilometer 15.1 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
M Vesinathan, 40-an dan kelindannya, S Nagarajan, 27, ketika itu menuruni jambatan di jalan berkenaan menuju Kawasan Perindustrian Pasir Gudang bagi menghantar kira-kira 250 tan bahan berkenaan sebelum Vesinathan hilang kawalan apabila brek gagal memberhentikan kenderaan.

Nagarajan ketika dihubungi berkata, hujan renyai menyebabkan permukaan jalan licin, sekali gus menyebabkannya berdepan detik cemas.

“Kami bergerak dari Seberang Prai, Pulau Pinang kira-kira jam 5 pagi tadi menuju ke Pasir Gudang, tetapi sebaik tiba di lokasi, saya menggelabah apabila stereng gagal membelok menyebabkan treler merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik.

“Kami hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh petugas ambulans yang datang membantu mengeluarkan kami dari kepala lori,” katanya.

Sementara itu, pekerja syarikat bahan plastik berkenaan, Fazali Mohd, 27, berkata, pihaknya menugaskan lebih lima kakitangan bagi memunggah barangan yang tersadai di treler itu ke treler lain.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Roslan Hassan mengesahkan kejadian itu.

“Kejadian tidak membabitkan kenderaan lain dan ia dipercayai berpunca apabila treler berkenaan gagal dikawal sebelum melanggar bahagian tengah pembahagi jalan.
“Muatan lori terbabit sudah dibawa keluar dan kini polis berusaha mengalihkan kenderaan itu bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk,” katanya.

‘Ayah tidak tunjuk kelakuan pelik, cuma sakit dada’


ALOR SETAR: “Arwah ayah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma sehari sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh, Selangor, dia ada mengadu sakit dada,” kata Mohammad Zahir, 36, anak sulung kepada Che Ishak Hussin, 55, yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada jam 2 pagi semalam.
Beliau berkata, arwah sudah lama membabitkan diri dalam persatuan Silat Rela Bakti Alor Rela, Langgar dan dia adalah pemain serunai dan gendang.

“Arwah seorang peramah dan dia suka bersembang dengan kawan dalam persatuan ini, terutama bagi memantapkan seni persembahan silat di Kedah.

“Saya sangat sedih dengan kehilangannya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semasa ayah meninggal awal pagi tadi (semalam), kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi.

“Arwah meninggal disebabkan masalah pendarahan dalam otak kerana arwah memang ada penyakit jantung. Sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh pun, dia ada mengadu sakit dada,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HSB, semalam.

Che Ishak yang berasal dari Kampung Tualang, Pokok Sena, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 pagi selepas bertarung nyawa hampir 24 jam.

Dua kenderaan rempuh 2 beranak


MELAKA: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang terjadi ke atas dua beranak apabila mereka tercampak kira-kira empat meter ke dalam longkang sebelum dihimpit dua kenderaan yang terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di sini, semalam.
Difahamkan kejadian jam 12.30 tengah hari di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Semabok, dekat sini, ketika Misliah Nafahan, 34, bersama anaknya perempuannya, Nursamsiah Samawi, 6, berjalan kaki pulang ke rumah mereka.

Sebelum kejadian, ibu kepada tiga anak mengambil anak bongsunya itu dari Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan berjalan kaki di bahu jalan Lebuh AMJ dengan laluan mengikut arus kenderaan.

Tiba-tiba sebuah kereta yang dilanggar van diseret kenderaan itu kira-kira 40 meter lalu merempuh dua beranak itu.

Menurut saksi kejadian, Sazly Mak Lip, 32, ketika kejadian, dia memandu di bahagian kanan jalan dan ketika itu semua kenderaan mula bergerak selepas lampu isyarat di persimpangan Semabok-Duyong bertukar hijau.

Katanya, tiba-tiba dia melihat van meluru laju lalu merempuh Perodua Viva yang berada di lorong sama iaitu bahagian kiri jalan.


“Rempuhan itu menyebabkan Perodua Viva diseret sebelum merempuh dua beranak yang berjalan kaki di kiri bahu jalan.

“Ketika memberhentikan kenderaan bagi melihat kejadian itu, saya mendapati kedua-dua mangsa terjerumus dalam longkang yang dipenuhi sampah-sarap dan keladak berwarna hitam.
“Kedua-dua kenderaan itu terperosok dalam saliran longkang konkrit itu dengan wanita terbabit tersepit di tengah-tengah dua kenderaan itu, manakala anaknya di bahagian belakang van itu,” katanya.

Sazly berkata, orang ramai yang berada di tempat kejadian segera menyelamatkan wanita dan anaknya itu.

yang ketika itu berada di dalam longkang mereka dikejarkan ke Hospital Melaka dengan menaiki kenderaan pengguna jalan raya di situ.

“Mangsa sempat diselamatkan kerana ketika itu laluan berkenaan agak sibuk dan dipenuhi oleh orang ramai,” katanya.

Difahamkan, van berkenaan dikatakan dipandu seorang lelaki, bagaimanapun pemandunya menghilangkan diri selepas kejadian dan hanya meninggalkan kelindannya, manakala Perodua Viva itu dipandu seorang lelaki berusia 40-an.

Sementara itu, suami mangsa, Samawi Masnah, 45, berkata, ketika kejadian, dia masih di tempat kerja sebelum mengambil dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan Semabok sebelum mereka bergegas ke Hospital Melaka (HM).

‘Andai saya mati dalam nahas’


PASIR PUTEH: “Adakah ayah dan ma (ibu) reda, andai kata saya mati dalam kemalangan jalan raya,” kata Mohd Farid Nordin, 27, berseloroh kepada ayahnya, Nordin Hassan, 57, sebelum terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 3.3, Lebuhraya Taman Seri Aman-Kampung Dalam Kemunting, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Mohd Farid yang berjalan kaki seorang diri dari rumah keluarganya di Kampung Surau maut dilanggar lori yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kota Bharu.

Difahamkan kejadian berlaku ketika bekas pegawai perhubungan awam syarikat telekomunikasi di Shah Alam itu, dalam perjalanan ke bandar Pasir Puteh untuk urusan peribadi.

Menurut Nordin, dia yang bersiap untuk pulang ke rumah bersama isterinya, Khadijah Abdul Rahman, 58, tergamam apabila dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa Mohd Farid ketika menuruni anak tangga Masjid Ibrahimi.

“Tiba-tiba ada jiran datang ke masjid memberitahu anak saya meninggal dunia. Bagaikan tidak percaya dengan kejadian itu, kami bergegas ke tempat kejadian melihat keadaan Mohd Farid.

“Pilu hati kami melihat jasadnya terbujur kaku di atas jalan raya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh,” katanya.


Menurut Nordin, Mohd Farid biasanya mengikutnya dan isteri menunaikan solat Subuh di Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, namun disebabkan keletihan selepas bersolat tahajud dan berzikir, keluarganya meninggalkannya bersolat di rumah.

“Awal pagi tadi (semalam), saya lihat Mohd Farid berzikir dan bertahajud di ruang tamu seorang diri. Memikirkan dia mengantuk kerana berjaga malam, saya dan isteri meninggalkannya di rumah,” katanya.
Menurutnya, Mohd Farid baru bercera dan berhenti kerja sejak tiga bulan lalu dan pulang ke kampung mencari ketenangan hidup.

“Sejak perceraian itu tingkah lakunya banyak berubah. Mungkin teringatkan keluarganya termasuk anak sulung yang berusia 10 bulan dijaga bekas isterinya di Kuala Lumpur.

“Tingkah lakunya juga banyak berubah dan tidak ceria seperti sebelum ini apatah lagi dia manja dengan ibunya,” katanya.

Menurutnya, dia bersama isteri sedar perubahan sikap Mohd Farid apabila mengeluarkan perkataan berkaitan kemalangan sehingga menyebabkan mereka berdua tergamam dan mengambil pendekatan berdiam diri.

“Dua hari lalu, Mohd Farid tanya ‘kalau saya mati kemalangan, ayah dan mak reda ke?’. Kami berdua terdiam dan tidak sangka dia nak tanya soalan macam tu kerana tidak pernah mengungkapnya sebelum ini. “Mungkin disebabkan tertekan dengan masalah rumah tangga menyebabkan perkataan itu diucapkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan, Mohd Kamal Zainal, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut menimpa seorang pemuda sebaik dilanggar lori yang dalam perjalanan dari Jerteh ke Kota Bharu.

Katanya, pemandu lori terbabit berasal dari Kampung Beris Pak Abu Besut, membuat aduan ke Balai Polis Pasir Puteh selepas kejadian dan kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Guru rugi RM4,000 disamun dua lelaki


ARAU: Seorang guru memasak berdepan detik mencemaskan apabila bukan saja dipijak, tetapi turut diugut dengan ‘pisau Rambo’ di lehernya ketika disamun dua lelaki di depan dewan orang ramai Kampung Gelam, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, mangsa, Hasnah Hashim, 47, dari Taman Bukit Kayangan Indah, Kangar mengalami luka kecil di leher dan tangan serta kerugian RM4,000 apabila rantai lehernya dilarikan suspek bermotosikal.

Hasnah isteri kepada Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Perlis, Adnan Jahaya, berkata ketika kejadian tiada sesiapa di situ kerana kelas memasak dikendalikannya belum dimulakan.

“Saya bersendirian di situ dan kebetulan waktu itu hujan sebelum didatangi dua suspek berusia 30-an dengan alasan untuk berteduh dari hujan.

“Seorang daripada mereka menerpa dan menolak saya hingga jatuh tertiarap. Dalam masa sama seorang lagi meletakkan pisau di leher serta memijak belakangsaya,” katanya.

Hasnah berkata, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana tangannya dipegang suspek selain badannya turut dipijak.


“Mereka merentap rantai sebelum melarikan diri apabila saya menjerit,” katanya. Hasnah berkata, jeritannya disedari seorang penduduk sebelum dia bertindak menjerit ke arah suspek.

“Suspek melarikan diri apabila penduduk kampung mula datang ke situ,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Arau, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain mengesahkan kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Bayi dilarikan ibu saudara


PULANGKAN...Tirumurthy menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
PULANGKAN...Tirumurthy menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

SERDANG: “Dia cemburu melihat kami terlalu menyayangi bayi kami hingga melarikannya sejak seminggu lalu,” kata S Tirumurthy, 30, bapa bayi berusia empat bulan yang dipercayai dilarikan ibu saudaranya.
Tirumurthy berkata, bayinya, Yogashini dibawa lari gara-gara dia dan isteri melimpahkan kasih sayang dan terlalu memanjakan anak sulungnya itu dengan membeli pelbagai barangan berjenama.

“Ibu saudara saya, R Saraswathi, 43, memberi alasan ingin membawa bayi kami ke majlis keramaian rakannya dan akan pulang selepas dua hari.

“Namun, janji tinggal janji apabila dia bukan saja tidak pulang ke rumah, malah menghilangkan diri dengan mematikan talian telefon bimbitnya seolah-olah sengaja mengelak daripada kami,” katanya ketika ditemui di Serdang, kelmarin.

Katanya, tanggungjawab menjaga anak sulungnya itu diberikan kepada ibu saudara yang sudah lama tinggal bersama, malah mereka suami isteri menganggap wanita itu seperti ibu kandung.

“Saya kesal dengan tindakan dia kerana segala keperluan dan wang sakunya kami tanggung. Mungkin dia cemburu melihat kami dikurniakan anak sedangkan dia dua kali gagal dalam rumah tangga.


“Saya pernah ternampak dia mencuci wajah anak saya selepas isteri menciumnya sebelum keluar bekerja. Saya hairan melihat perlakuan mak cik, namun tidak mahu buruk sangka,” katanya.

Katanya, selepas gagal menjejaki ibu saudaranya termasuk menghubungi telefonnya, dia dan isteri membuat laporan polis di Kajang, Khamis lalu.
“Kami terperanjat apabila dimaklumkan anggota polis ada laporan dibuat terhadap kami yang mendakwa mahu menjual anak selain sepakat untuk menukar agama.

“Kami tak pernah membincangkan hal itu, malah langsung tiada niat berbuat demikian,” katanya.

Katanya, dia hairan dengan tindakan ibu saudaranya itu, malah beranggapan wanita terbabit sengaja berbuat demikian kerana mahu menutup kesalahannya yang melarikan anak mereka.

“Sudah lima hari kami mencari mereka termasuk berjumpa rakan dan saudara terdekat. Isteri saya dibuang kerja kerana gagal membuat permohonan cuti kecemasan.

“Kami tahu mak cik tidak akan mencederakan atau melakukan sesuatu kepada anak kami, tapi saya harap dia pulang kerana anak saya tidak sihat dan menghidap batuk kronik,” katanya.

Kes khalwat hakim dipindah ke Mahkamah Tinggi Syariah


GEORGETOWN: Kes khalwat membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran, 43, dan pasangannya, Nurul Izani Md Isa, 34, akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi mengikuti prosiding perbicaraannya.
Keputusan itu ditetapkan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya selepas pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syariah, Mohammad Zulhairi Aziz membuat permohonan supaya perbicaraan kes itu dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah ke Mahkamah Tinggi Syariah Georgetown.

Mohammad Zulhairi memohon untuk memindahkan perbicaraan kes yang dibicara mengikut Seksyen 101, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang 2004) selepas mengambil kira status tertuduh yang juga ketua hakim yang mana ia bertujuan bagi mengelak ketidakadilan berlaku ketika prosiding perbicaraan.

Bagaimanapun, tarikh perbicaraan bagi kes itu belum ditetapkan berikutan ia akan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Georgetown.

2 beradik geng samun stesen minyak dicekup


PETALING JAYA: Dua beradik yang menjadi ahli kumpulan geng samun kedai serbaneka dan stesen minyak bukan saja aktif dengan aktiviti berkenaan, malah dipercayai penagih dadah tegar.
Siasatan polis juga mendapati si adik berusia 25 tahun itu mempunyai 24 rekod jenayah, manakala abangnya berusia 30 tahun lima rekod jenayah termasuk samun, dadah dan curi kereta.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata tangkapan pertama dilakukan orang awam selepas seorang suspek kumpulan terbabit menyamun di Bandar Baru Sungai Buloh pada 15 Mac lalu kira-kira jam 2 petang.

“Suspek yang mahu melepaskan lelah di sebuah gerai makan iaitu kira-kita sejam selepas menyamun ditangkap mangsa yang mengecam nombor pendaftaran kenderaan dinaiki bersama beberapa orang awam yang berada di situ,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, susulan itu, dalam tempoh 24 jam polis memberkas lima lagi rakan lelaki terbabit termasuk dua beradik dan seorang wanita berusia 31 tahun melalui serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Katanya, semua mereka dipercayai melakukan aktiviti samun bagi mendapatkan wang tunai membeli dadah. Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis heroin.


“Dengan tertumpasnya geng terbabit, polis menyelesaikan 29 kes samun membabitkan kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Menurut Arjunaidi, taktik yang digunakan kumpulan terbabit mudah dengan memakai topi keledar bertutup bersenjatakan parang akan melakukan aktiviti samun wang tunai dan barang berharga sebelum melarikan diri sama ada menaiki motosikal atau sebuah kereta Kelisa.
Selain itu, hasil tangkapan terbabit, polis merampas sebuah motosikal Yamaha, kereta Kelisa bernombor pendaftaran palsu, dua parang dan topi keledar.

Siasatan polis juga mendapati si adik berusia 25 tahun itu mempunyai 24 rekod jenayah, manakala abangnya berusia 30 tahun lima rekod jenayah termasuk samun, dadah dan curi kereta.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata tangkapan pertama dilakukan orang awam selepas seorang suspek kumpulan terbabit menyamun di Bandar Baru Sungai Buloh pada 15 Mac lalu kira-kira jam 2 petang.

“Suspek yang mahu melepaskan lelah di sebuah gerai makan iaitu kira-kita sejam selepas menyamun ditangkap mangsa yang mengecam nombor pendaftaran kenderaan dinaiki bersama beberapa orang awam yang berada di situ,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, susulan itu, dalam tempoh 24 jam polis memberkas lima lagi rakan lelaki terbabit termasuk dua beradik dan seorang wanita berusia 31 tahun melalui serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Katanya, semua mereka dipercayai melakukan aktiviti samun bagi mendapatkan wang tunai membeli dadah. Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis heroin.

Pengikut Khatam Batu enggan taubat


IPOH: Kumpulan ajaran sesat Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah yang diharamkan di Perak, disifatkan sebagai keras kepala kerana enggan bertaubat walaupun sudah diberi peluang kembali ke pangkal jalan dengan syarat meninggalkan amalan bertentangan dengan ajaran Islam itu.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sikap tegar kumpulan itu menyebabkan fatwa pengharaman tarekat berkenaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, akan diwartakan tidak lama lagi.

Antara amalan yang meragukan tarekat berkenaan ialah mengerjakan ibadat haji secara ghaib atau dipanggil Khatam Batu dan berpegang bahawa semua orang boleh melakukan Israk Mikraj.

“Selepas mengeluarkan fatwa ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah Kampung Menderang, Sungkai, itu haram, kita sebenarnya masih memberi masa dan peluang kepada kumpulan itu dengan memberi nasihat, meminta mereka menarik balik (amalan) dan bertaubat.

“Malangnya apa yang saya tahu mereka (pengikut) masih tegar dan kita terpaksa wartakan fatwa itu.

“Apabila kami wartakan kelak, ia jadi fatwa dan undang-undang serta tindakan mahkamah akan diambil jika mereka meneruskan amalan itu. Ketika ini pihak berkuasa sedang memantau aktiviti mereka,” katanya.


Harussani berkata, amalan tarekat berkenaan iaitu mengerjakan ibadat haji secara ghaib atau dipanggil Khatam Batu dan berpegang bahawa semua orang boleh melakukan Israk Mikraj, jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

“Nabi pun naik unta pergi buat haji dan tiada seorang pun sahabat Nabi buat haji secara ghaib. Setengah ajaran lain pula ada kata tok guru hilang pada waktu Zuhur kerana bersembahyang di Kaabah, sedangkan ketika waktu Zuhur yang dikatakan itu di Makkah belum Subuh lagi, jadi macam mana boleh sembahyang Zuhur di sana.
“Mengenai Israk Mikraj pula, itu hanya Rasullullah lalui. Cuma disebutkan dalam sembahyang, kita ini Mikraj kepada Allah iaitu bermakna apabila sembahyang kita tidak boleh ingat yang lain kecuali Allah, maknanya kita keluar kepada Allah,” katanya.

Mengenai latar belakang tarekat berkenaan, Harussani berkata, tarekat itu pada asalnya baik dan dipimpin ulama besar yang hanya menerima anak murid selepas begitu lama berdamping selain melihat fahaman akidah dan pelaksanaan syariah bakal anak murid mereka itu.

“Sekarang ini, dia (tok guru) tidak kira seperti itu, sesiapapun boleh masuk, jadi apabila masuk dengan akidah yang tidak kuat, tidak memahami syariat dan melihat pula pada tok guru yang bersikap begitu, itulah sebab mereka mendewakan tok guru. Tok guru pula apabila didewa-dewakan, membuat dan mengubah syariat, ini yang menjadi kacau,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Harian Metro melaporkan kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Mohd Yusop Husin, yang mengesahkan fatwa pengharaman itu kerana ajaran kumpulan berkenaan berpusat di Sungkai, kira-kira 100 kilometer dari sini yang diketuai lelaki diberi gelaran Sheikh berusia 50-an serta mempunyai kira-kira 100 pengikut itu bertentangan dengan amalan Tarekat Naqsyabandiah yang asal.