Search This Blog

Monday, March 21, 2011

Guru silat maut kemalangan



LANGGAR - Seramai lima guru daripada Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Kedah maut, sementara empat cedera dalam kemalangan di Jalan Titi Idris, di sini, jam 3.30 pagi ini. 

Tiga maut, tiga parah kemalangan dua kenderaan



GUA MUSANG - Tiga sepupu maut manakala tiga lain parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Km 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.

Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pegawai Rashid Hussein Bank (RHB) di Kuala Lumpur, Hasmah Idrus, 28, dan sepupunya, Shaibah Che Danial, 34, manakala adik Hasmah, Siti Aminah, 22, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK).

Tiga yang cedera parah ialah adik Shaibah, Syaikhah, 25, menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) sebelum dihantar untuk rawatan lanjut di HKK dan pasangan suami isteri yang nama mereka belum diketahui dirawat di HGM.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Asisten Superintenden Zakaria Syahadan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12.45 tengah hari semasa empat sepupu yang berasal dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Sebaik sampai di satu selekoh kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan lain, tetapi tidak melepasi menyebabkan mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.-Bernama

Penganggur dihukum mati samun bersenjata api



GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penganggur setelah didapati bersalah melakukan rompakan menggunakan senjata api di sebuah kedai emas empat tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yassin juga memerintahkan R. Ravindran, 36, menjalani hukuman penjara maksimum 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua iaitu merompak barang kemas bernilai RM800,000 dengan menggunakan sebatang tukul besi.

Dalam penghakimannya Mohd Zaki berkata, mahkamah mendapati wujudnya keraguan pada kenyataan tertuduh semasa membuat pembelaan secara bersumpah dan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkapan dan hukuman gantung akan dijalankan setelah keputusan rayuan.

Ravindran dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 11 pagi 14 Jan 2007 di Gayathrii Tangga Maligai Jewellers di nombor 42, Lebuh Pasar, bersama-sama seorang rakannya yang telah meninggal dunia. 
Dia didakwa telah melepaskan tembakan yang boleh mengakibatkan kematian ketika melakukan rompakan itu.

Ravindran diwakili peguam bela Naran Singh manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar.- Bernama

Kastam tumpas 8 kes babitkan jumlah rampasan RM480,179

Utusan 
JOHOR BAHRU 20 Mac - Kastam Johor mematahkan lapan cubaan menyeludup rokok, minuman keras dan kertas terpakai bernilai RM480,179 di sekitar daerah ini dalam tempoh dua minggu ini.
Pengarahnya, Datuk Ramli Johari berkata, semua rampasan itu melibatkan nilai cukai RM3.6 juta dan tiga suspek yang berumur 25 hingga 27 tahun berjaya ditahan.
"Kes pertama adalah pukul 11.30 pagi, 1 Mac lalu apabila kastam menyerbu sebuah premis di Taman Perling membabitkan 9,600 batang rokok dan 1,476.3 liter minuman keras bernilai RM120,779.
"Sementara kes kedua pula adalah pada hari yang sama pukul 4.30 petang setelah pemeriksaan dilakukan di sebuah ladang getah di Jalan Tanah Merah, Plentong.
"Kita temui sejumlah satu juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM50,000," katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Johor, di sini kelmarin.
Kes ketiga katanya, pukul 10.30 malam, 8 Mac lalu apabila kastam merampas 1,000 batang rokok bernilai RM50,000 setelah memeriksa sebuah lori di tempat pemeriksaan kastam di Tanjung Puteri.
Bagi kes empat pula, beliau berkata, serbuan dilakukan pukul 12 tengah hari, 9 Mac lalu di Taman Pelangi dan hasilnya sejumlah 1,125 liter minuman keras bernilai RM30,000.
"Hanya melalui serbuan di Taman Pelangi kita berjaya menahan tiga lelaki berusia 20-an dan mereka kini direman," katanya.
Ramli berkata, percubaan kelima yang berjaya ditumpaskan ialah pukul 9 malam, 10 Mac lalu di Jalan Bukit Batu, Simpang Renggam melalui rampasan 2,250,000 batong rokok bernilai RM112,500.
Sementara kes keenam katanya, pukul 4.30 pagi, 11 Mac lalu yang mana sebuah lori membawa 2,577,600 batang rokok seludup ditahan dengan nilai RM186,312.
Esoknya kata Ramli, sekitar 10.30 malam, pihak kastam menyerbu satu stor di Taman Impian Emas, Skudai, dan hasilnya sejumlah 214,280 batang rokok yang tidak bercukai ditemui.

Mayat lelaki ditemui di tangga



Anggota polis mengangkat mayat Sukhbir Singh a/l Amar Singh yang ditemui mati di tingkat bawah pejabat tiga tingkat berhampiran pejabat Utusan Malaysia Biro Negeri Sembilan di Taman AST, Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 20 Mac - Seorang kerani terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki warga emas terbaring di tingkat bawah perjabat tiga tingkat berhampiran pejabat Utusan Malaysia Biro Negeri Sermbilan di Taman AST dekat sini pagi semalam.
Mangsa, Sukhbir Singh a/l Amar Singh, 51, ditemui dalam keadaan terbaring kira- kira pukul 9.30 pagi ini dan dipercayai mangsa meninggal dunia kurang dari 24 jam.
Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, beliau mendapat panggilan telefon dari orang ramai melalui telefon mangsa kira-kira pukul 9.35 pagi.
''Memang pada awalnya saya ingin bertemu dengan mangsa pagi ini. Namun setelah mendapat panggilan dari telefon bimbitnya saya terkejut apabila orang ramai yang memaklumkan bahawa dia meninggal dunia.
''Sebaik sahaja saya menerima panggilan itu, saya terus bergegas ke pejabatnya di sini bersama ahli keluarga saya dan mendapati orang ramai memenuhi lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supritendan Mohd. Yusoff Awang yang mengesahkan kejadian itu meberitahu setakat ini pihaknya masih lagi menyiasat mengenai punca kematian mangsa.
''Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis kita mendapati tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
''Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk di bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris keluarganya," katanya.

Ayah langsung tak tegur


TAPAH: “Ayah bersikap pelik kerana bukan saja tidak mempelawa kami masuk ke rumahnya, malah langsung tidak menegur dan bertanya khabar serta memejam matanya ketika saya dan keluarga masuk.
“Kini baru saya sedar ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata Ismail, 44, anak kepada Sahad @ Shariff Md Din.

Shariff, 74, penumpang bas yang maut dalam dua kemalangan yang berlaku selang 10 minit membabitkan sebuah bas persiaran, sebuah treler dan sebuah lori kontena di Kilometer 341.9 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Bidor, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan pertama disebabkan kecuaian pemandu bas yang gagal mengelak treler sebelum melanggar bahagian belakangnya.

“Kemalangan itu menyebabkan beberapa penumpang cedera ringan, tapi ketika penumpang berusaha membantu ahli keluarga atau rakan mereka keluar, sebuah kontena merempuh belakang bas itu.

“Rempuhan itu menyebabkan seorang maut akibat terpelanting ke dalam longkang, manakala enam lagi cedera parah dan sebahagian besar cedera ringan,” katanya
metro

Suami tidur berpelukan


AMPANG: “Saya dihalau dari rumah oleh suami gara-gara minyak dagu yang diberi perempuan simpanannya yang kini sudah mengandung dua bulan,” kata Maya, 23, yang terkejut melihat suaminya tidur berpelukan dengan perempuan lain dalam bilik tidur mereka, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu menjawab tanda tanya mengenai sikap suaminya berusia 28 tahun yang dingin terhadapnya sejak dua bulan lalu dan menghalaunya keluar dari rumah mereka di Ampang.

Maya berkata, terkejut dan marah dengan perkara itu, dia yang baru sampai dari kampung di selatan tanah air meminta bantuan jiran dan memanggil pihak masjid yang juga wakil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menangkap mereka tetapi hanya diberi kaunseling saja.

“Mereka tidak dikenakan tindakan apa-apa atas alasan lengkap berpakaian tetapi saya sendiri melihat mereka tidur bersama di bilik tidur kami.

“Marah dengan sikap suami, saya mengunci semua pintu rumah bagi mengelak mereka keluar dan menunggu kedatangan pegawai masjid untuk menangkap mereka,” katanya.

Menurutnya, ketika menunggu dia melihat pasangan itu sudah bangun dan melihat suaminya berdiri di tepi tingkap sambil menjerit mahu mencederakan dirinya sekiranya tidak mahu membuka pintu.


“Suami menggugut melakukan sesuatu yang buruk ke atas saya dan keluarga hingga memaksa saya membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, pagi tadi (semalam).

“Saya mahu keadilan dan tindakan sewajarnya ke atas mereka. Saya yakin suami dan pasangan masih bebas melakukan maksiat,” katanya. Maya berkata, mereka berkahwin dua tahun lalu atas dasar cinta tetapi kira-kira dua bulan lalu, suaminya membuat perangai selepas mengenali wanita berkenaan.

Anak terbujur tepi tiang lampu



PILU...Mohd Marzuki (gambar kecil) menunggu hasil bedah siasat di luar bilik Mayat PPUM, semalam.

PILU...Mohd Marzuki (gambar kecil) menunggu hasil bedah siasat di luar bilik Mayat PPUM, semalam.

MUHAMMAD NAQIUDDIN...maut
MUHAMMAD NAQIUDDIN...maut

KUALA LUMPUR: “Luluh hati saya sebaik melihat anak sulong terbujur kaku di tanah. Malah, hampir pitam apabila mendapati dia tidak bernyawa,” kata Mohd Marzuki Muda, 44, bapa Muhammad Naqiuddin, 11, yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika bermain bola di kawasan permainan di Taman Perumahan Batu 3, Shah Alam, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa terkena arus elektrik voltan tinggi pada sebatang tiang lampu yang dipercayai mengalami masalah teknikal sejak beberapa bulan lalu di kawasan padang permainan berkenaan.
Malah, sebulan lalu seorang kanak-kanak dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika terpegang tiang itu, namun tidak mengalami kemalangan jiwa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Marzuki berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan-rakan anaknya sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menceritakan kejadian itu, Marzuki berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mengambil kayu untuk menjauhkan anaknya dari kawasan tiang lampu itu sebelum mendapati wajah Naqiuddin seperti terbakar.

“Selepas yakin tiada arus elektrik pada tubuhnya, saya mengusap dahi Naqiuddin sebelum mendapati seluruh tubuhnya panas.

“Biarpun pemeriksaan saya mendapati Naqiuddin tidak bernyawa, saya tidak putus-putus mendoakan keselamatannya dan berharap dia dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Menurutnya, dia dengan bantuan penduduk sekitar membawa anak sulungnya ke hospital swasta berhampiran kawasan berkenaan.

“Doktor mengesahkan Naqiuddin sudah meninggal dunia apabila arus elektrik memberi kesan kepada jantungnya. Atas arahan doktor, Naqiuddin dipindahkan ke PPUM untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian itu, anak ketiganya, Mohd Idzuddin, 4, berperangai pelik seolah-olah sesuatu perkara buruk akan berlaku apabila sering merengek untuk pulang ke kampungnya di Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Terengganu.

“Saya tidak menyangka rengekan itu menandakan kehilangannya,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 itu sentiasa taat kepadanya dan isteri, Ros Zakaria, 30-an.

“Sebelum Naquiddin keluar rumah, dia meminta kebenaran bermain di padang, malah sempat menunaikan solat Zuhur dan Asar,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Muhammad Naquiddin akan dikebumikan di Jerteh, Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian kerana renjatan elektrik.

Menurutnya, pihaknya sehingga kini menanti laporan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang masih menyiasat punca kemalangan itu

Menjerit sebelum kaki melekap


SHAH ALAM: Jeritan Muhammad Naqiudin Marzuki, 11, sebaik terkena renjatan elektrik sebelum tidak sedarkan diri mengejutkan lima rakannya yang bermain bola sepak di padang permainan di Lorong Intan, Batu Tiga, Shah Alam, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Naqiudin dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat bermain bola sepak bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, dia yang berlari di berhampiran tiang lampu di kawasan berkenaan terkena arus elektrik sebelum rebah.

Saksi kejadian yang juga rakan sepermainan mangsa, Mohd Salman Shahmi, 11, berkata ketika bermain Muhammad Naqiudin memberitahu mahu berhenti daripada bermain.

“Naqiudin memberitahu mahu pulang ke rumah dan kami tidak menghalangnya kerana hari pun sudah lewat,” katanya.

Mohd Salman berkata, seorang rakan melihat Naqiudin berlari ke lampu tiang sebelum menasihatkannya supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan kerana tahu ada arus elektrik pada tiang itu.


“Sama ada Naqiudin dengar atau tidak, saya tidak pasti dan ketika kami menyambung permainan, kami dengar jeritan kuat sebelum melihat Naqiudin terbaring berhampiran tiang itu.

“Pada mulanya kami hendak tolong, tapi takut. Kami kemudian memberitahu ahli keluarganya,” katanya.
Penduduk, Razali Abdullah, 52, berkata ketika kejadian, dia berehat di hadapan rumahnya sebelum melihat beberapa kanak-kanak bergegas ke rumah jirannya.

“Tidak lama kemudian saya lihat jiran bergegas keluar rumah dan memberitahu saya mengenai kejadian terbabit dan saya ke tempat kejadian.

“Sebaik sampai, saya lihat dia tidak sedarkan diri dan tertiarap manakala sebelah kakinya masih melekap pada tiang lampu terbabit. Saya dan bapanya mencapai sebatang kayu lalu cuba menarik kaki arwah jauh dari tiang elektrik itu,” katanya, semalam.

Putus dua kaki dirempuh kereta


PASIR MAS: “Saya sangkakan emak sudah tiba di kedai kopi untuk bersarapan, rupa-rupanya dia sempat berbual dengan anak sepupunya di hadapan sebuah kedai tinggal sebelum pertemuan itu berakhir dengan tragedi,” kata Roslan Mohamad, 45, anak kepada Limah Yusof, 74, yang terbunuh dalam kemalangan, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, Limah meninggal dunia di tempat kejadian akibat putus kedua-dua kakinya, manakala anak sepupunya, Siti Aminah Hassan, 58, cedera di kepala dan kaki akibat dilanggar sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki di Kampung Gaung, Tendong, dekat sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat, manakala Siti Aminah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan.

Menurut Roslan, kebiasaannya Limah berjalan kaki ke kedai kopi di seberang jalan berhampiran rumah mereka untuk bersarapan.

“Saya tak sangka pula dia (emak) singgah berbual bersama anak sepupunya itu sambil berdiri di kedai yang tidak beroperasi, sebelum mereka dirempuh kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki.

“Kebiasaannya, emak tidak akan singgah di situ dan terus ke kedai kopi, sebaliknya pagi tadi (semalam) dia sempat berbual dengan anak sepupunya mungkin bertanya mengenai hal berkaitan pokok bunga,” katanya.


Menurutnya, sebaik dimaklumkan jiran, dia bersama keluarga bergegas ke tempat kejadian dan hatinya pilu apabila dimaklumkan Limah sudah meninggal dunia.

“Sebelum kejadian, ayah (Mohamad Daud, 74,) yang berada di kedai kopi berhampiran turut terkejut dengan kemalangan itu sebelum meluru melihat keadaan emak.
“Jenazah emak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan jam 5.30 petang semalam,” katanya.

Menurut Roslan, arwah tidak menunjukkan sikap pelik atau sebaliknya, cuma dia sempat memberi beberapa barangan berharga kepada anak-anaknya tiga bulan lalu.

Sementara itu, Mohamad berkata, setiap pagi dia keluar dulu untuk bersarapan di kedai kopi berdekatan, manakala isterinya menyusul kemudian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian berlaku ketika warga emas terbabit sedang berbual di hadapan sebuah kedai sebelum dirempuh sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang pemuda berusia 20-an.

Atuk tercampak kelongkang


TAPAH: “Saya melihat ‘atuk’ (datuk) terpelanting ke dalam longkang di tepi lebuh raya apabila bas yang kami naiki dilanggar dari belakang oleh sebuah lori kontena,” kata Ahmad Nazirul Mohd Roslan.
Nazirul, 9, cucu kepada Sahad @ Shariff Md Din, 74, mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran, sebuah treler dan sebuah lori kontena di Kilometer 341.9, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah selatan, dekat Bidor, di sini, jam 4.50, pagi semalam.

Nazirul yang trauma selepas menyaksikan datuknya mati di depan mata berkata, sebelum kejadian, Allahyarham Shariff membantu beberapa penumpang yang cedera dalam kemalangan awal keluar dari bas.

Pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Tanjung Tokong, Pulau Pinang, itu berkata, ketika itu dia bersama kakaknya, Nurul Nazuwa Mohd Roslan, 17, neneknya yang juga isteri mangsa, Hasnah Khamis, 64, ibu, Hasni Shariff, 45, dan kembar ibunya, Sarimah, 45, keluar dari bas dan berada di bahu jalan.

“Atuk sedang membantu beberapa penumpang yang cedera keluar dari bas sebelum kami mendengar dentuman kuat dari arah belakang bas.

“Ketika itulah saya menyaksikan atuk tercampak ke dalam longkang selepas sebuah lori kontena yang datang dari arah belakang, melanggar bas menyebabkan bas itu merempuh atuk. Saya tidak mahu naik bas lagi selepas ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah (HT), di sini, semalam.


Sebaik melihat jasad datuknya terbujur kaku dalam longkang berlumuran darah, Nazirul berlari ke belakang lori kontena kerana ketakutan sebelum ditenteramkan ibu dan ahli keluarganya yang lain.

Nenek dan kakak Nazirul turut cedera ringan dalam kemalangan itu.
Seorang lagi mangsa, Norma Mat, 50, berkata, jeritan kesakitan dan suara tangisan memecah kesunyian Subuh itu.

Menceritakan detik cemas sebelum kemalangan kedua berlaku, Norma berkata, kebanyakan penumpang sedang tidur sebelum dikejutkan gegaran kuat menyebabkan ada penumpang tercampak ke hadapan.

“Saya terjaga apabila tiba-tiba terhumban ke tempat duduk hadapan. Dalam keadaan mamai, saya melihat bahagian depan bas remuk selepas merempuh sebuah treler.

“Saya bersama penumpang lain berasak-asak keluar dari bas dan ada penumpang yang duduk di barisan depan tidak boleh bergerak kerana patah kaki,” katanya.

Menurutnya yang cedera di dagu, dada dan kaki kiri, sebaik keluar, dia dan sebahagian daripada 43 penumpang lain, termasuk lebih 10 kanak-kanak, duduk di bahu jalan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

“Sebuah lori kontena dari arah belakang, tiba-tiba merempuh bas dinaiki kami kira-kira 10 minit kemudian. Rempuhan kuat itu menyebabkan ramai penumpang terutama yang berada dalam atau berhampiran bas, cedera akibat terperosok atau dihimpit bas,” katanya.

Lima maut lombong meletup di Pakistan





2011/03/21

43 terperangkap bawah tanah 

QUETTA: Sekurang-kurangnya lima pelombong terkorban dan 43 lain terperangkap bawah tanah apabila letupan menyebabkan runtuhan dalam satu lombong arang batu di wilayah Baluchistan, Pakistan semalam, kata pihak berkuasa. 

Sejumlah 48 pelombong bekerja kira-kira 1.2 kilometer dalam lombong bawah tanah itu dan pihak berkuasa berkata harapan menemui mangsa terselamat amat tipis.
Lombong di daerah Sorange di wilayah dilingkari pemberontakan tidak mempunyai pengudaraan baik dan dipenuhi gas, selepas tiga letupan, kata mereka.
“Pekerja penyelamat menemui lima mayat, 43 pelombong masih terperangkap di dalam,” kata Imdad Lehri, seorang pegawai polis di sini, bandar utama wilayah kepada AFP menerusi telefon. 

Mohammad Iftikhar, ketua inspektor wilayah lombong sebelum itu memberitahu AFP, tiga mayat dibawa keluar dan usaha menyelamat mereka yang terperangkap sedang dijalankan, namun dihalang teruk dengan pelepasan gas. 

“Peluang untuk pelombong terselamat amat tipis,” katanya. 

“Pelombong maut akibat sesak nafas, namun kuantiti besar gas menyebabkan kesukaran usaha menyelamat.” 
Katanya, gas beracun itu memaksa pihak berkuasa menghentikan seketika operasi menyelamat apabila beberapa pekerja penyelamat pengsan dalam ruang dipenuhi gas. 

“Operasi menyelamat tergendala buat beberapa ketika. Pekerja penyelamat berdepan kesukaran teruk,” katanya. 

“Sesetengah anggota pasukan tidak sedarkan diri berikutan kehadiran besar gas beracun di dalam. Rakan mereka berjaya menarik mereka ke permukaan,” kata Iftikhar menambah pihak berkuasa berharap untuk meneruskan usaha menyelamat dalam tempoh empat jam. 

Setiausaha dalam negeri Baluchistan, Akbar Hussain Durrani mengesahkan insiden itu. 

Lombong arang batu itu dikendalikan syarikat milik negara Pakistan Mineral Development Corporation. -AFP 

Buruh maut tersepit penyodok jentolak





2011/03/21

CHUKAI: Seorang buruh kuari di Hulu Jabor dekat Kampung Jabor Perasing Jaya di sini, maut selepas tersepit penyodok jentolak yang digunakan untuk menolak keluar sebuah lori yang terkandas dalam lumpur, petang kelmarin. 

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Abdul Latif Mat Said, 46, dikatakan enggan keluar walaupun sudah diarahkan dengan alasan sudah biasa berada dalam penyodok jentolak ketika jentera itu sedang bekerja.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata sebelum kejadian, mangsa dari Kuantan, Pahang tiba di tempat kejadian jam 5.15 petang dan masuk dalam penyodok untuk mengambil minyak diesel yang diletakkan di atas sebuah para yang agak tinggi di kawasan kuari itu.
Beliau berkata, selepas selesai menurunkan minyak diesel, pemandu jentolak terbabit mahu membantu menolak sebuah lori mengangkut batu yang terkandas dalam lopak air berhampiran tapak kuari itu dan meminta mangsa turun daripada penyodok jentolak itu tetapi dia tetap enggan. 

“Ketika jentolak berkenaan menolak lori itu, mangsa yang berada dalam penyodok tergelincir dan tersepit antara mata jentolak dan belakang lori itu,” katanya. 
Abdullah Sani berkata, pemandu jentolak dan pemandu lori serta beberapa pekerja yang berada di situ segera membantu mangsa yang parah di kepala. 

Katanya, polis menahan pemandu jentolak berusia 46 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda. 

‘Datuk, 2 budak terpelanting’





  KEADAAN bahagian hadapan bas persiaran yang remuk selepas merempuh belakang  lori kontena  dalam kemalangan  di KM341.9 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Bidor,  semalam.
KEADAAN bahagian hadapan bas persiaran yang remuk selepas merempuh belakang lori kontena dalam kemalangan di KM341.9 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Bidor, semalam.

BIDOR: "Sebaik bas kami dirempuh sebuah lori kontena dari arah belakang, saya melihat ada penumpang termasuk datuk saya dan dua kanak-kanak terpelanting selain ada yang terperosok ke bawah bas dan tersepit.

"Ketika itu saya dan ramai lagi penumpang hanya mampu menjerit dan menangis kerana terlalu cemas serta takut melihat kejadian ngeri itu," kata Nurul Najwa Roslan, 17, seorang daripada 43 mangsa kemalangan jalan raya membabitkan bas persiaran yang mereka naiki bersama dua lori di Kilometer 341.9, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Plaza Tol Bidor, di sini, awal pagi semalam.
Kemalangan jam 4.50 pagi itu menyebabkan datuk Nurul Najwa, Sahad@Shariff Md Din, 74, terbunuh di tempat kejadian manakala sebahagian besar lagi penumpang cedera, termasuk enam daripada mereka parah dengan kebanyakannya patah kaki.
Lebih memilukan, kaki seorang daripada kanak-kanak berkenaan hancur selepas dihimpit bas ke pembahagi jalan di tepi lebuh raya. Difahamkan, kaki kanak-kanak itu terpaksa dipotong.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata Sahad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam lagi parah.
bharian

Tiang lampu ragut nyawa budak



PETALING JAYA – Kegembiraan seorang kanak-kanak yang sedang bermain bola sepak bersama lima rakannya tidak berpanjangan apabila dia meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik dari sebatang tiang lampu limpah di taman permainan Taman Batu 3, Shah Alam kelmarin.
Muhammad Naqiuddin Mohd. Marzuki, 11, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Shah Alam selepas dia gagal diselamatkan ekoran terkena rencatan elektrik dari tiang lampu yang mempunyai kuasa 240 volt itu.
Difahamkan, kejadian sewaktu hujan renyai pada pukul 6.30 petang itu berlaku apabila salah satu kaki mangsa terkena pada tiang berkenaan. Sebaik direnjat, kakinya melekat pada tiang tersebut manakala mukanya berubah menjadi gelap.
-kosmo

Maut ketika berbual di warung



SEORANG kanak-kanak Azuan Azizan menunjukkan lokasi Limah dan Aminah tercampak selepas dirempuh sebuah kereta di Kampung Gaung, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS - Seorang suami hanya mampu mengalirkan air mata selepas tidak sanggup melihat keadaan jenazah isterinya yang menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas dirempuh sebuah kereta semalam.
Limah Yusof, 74, ditemui mati dengan kedua-dua kaki dan tangannya hancur manakala kepala serta tengkoknya pula parah dalam kejadian pukul 8 pagi di Kampung Gaung, Tendong dekat sini itu.
Kemalangan itu turut mengakibatkan sepupu Limah, Aminah Hassan, 58, cedera parah. Dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu.