Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Warga emas maut, rakannya cedera parah dirempuh kereta ketika berbual





2011/03/20

PASIR MAS: Seorang wanita warga emas maut, manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika mereka sedang berbual di hadapan sebuah gerai makan di Kampung Gaung, Tendong, dekat sini, awal hari ini.

Limah Yusof, 74, putus kedua-dua belah kaki dan lehernya setelah diseret kira-kira lima meter dari tempat perlanggaran dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi.
Rakannya, Siti Aminah Hassan, 57, dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan kritikal serta masih tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliluddin Rahim berkata pemandu kereta yang dipercayai merempuh mangsa, Nik Mohd Adam Azizul, 18, mengalami cedera ringan dan ditahan untuk siasatan lanjut. 

Beliau berkata kereta itu yang dalam perjalanan dari Pasir Mas menghala ke Kota Baharu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kedua-dua mangsa. 

Haliludin berkata mayat mangsa dihantar ke HUSM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan. - BERNAMA 

Imigresen Tawau tahan 117 warga asing



20/03/2011 6:48pm

TAWAU – Jabatan Imigresen Tawau berjaya menahan 117 warga asing dalam tiga operasi di sekitar bandar Tawau semalam.
Pengarah Imigresen Sabah, Mohammad Mentek berkata, mereka terdiri daripada 104 warga Indonesia dan 13 rakyat Filipina yang ditahan di atas pelbagai kesalahan bersabit Akta Imigresen.
Dalam operasi di kawasan Batu-Batu, seramai 24 orang iaitu 16 rakyat Indonesia dan lapan warga Filipina ditahan, manakala dalam operasi di sekitar pelabuhan dan pasar ikan Tawau, 69 lagi ditahan meliputi 66 warga Indonesia dan bakinya warga Filipina, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Operasi Kutip di sekitar Stesen Bas Lama Tawau pula menyaksikan 24 ditahan dengan 22 dari Indonesia dan bakinya rakyat Filipina.
"Kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) © Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan di bawah Seksyen 15 (1) © Akta yang sama iaitu tinggal melebihi masa,” kata Mohammad. – Bernama

Kanak-kanak maut terkena renjatan elektrik



20/03/2011 5:27pm

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebuah tiang lampu jalan, ketika dia sedang bermain di padang berhampiran rumahnya di Taman Batu 3, Shah Alam, petang semalam.
Mohd Marzuki Muda, 44, berkata, kejadian berlaku semasa anaknya, Muhammad Naquiddin, 11, dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di padang berhampiran.
"Tiba-tiba dalam pukul 6.50 petang, kawan-kawan Naquiddin datang ke rumah beritahu yang anak saya terkena renjatan elektrik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, Naqiuddin dilihat sudah tertiarap dengan sebelah kakinya melekat pada salah satu tiang lampu di padang itu.
"Kulitnya yang cerah juga sudah kelihatan gelap, saya cuba tolak kakinya dengan menggunakan kayu dan mengerak-gerakkan tubuhnya namun tiada tindak balas,” katanya. – Bernama

Jet tempur ditembak, terhempas



BENGHAZI 19 Mac - Sebuah pesawat tempur jenis MIG-23 ditembak jatuh hari ini di kubu kuat pemberontak, Benghazi, menyebabkan ia terhempas.
Pesawat tersebut melayang-layang di udara selepas beberapa minit ditembak dan terbakar di bahagian sayap kanannya sebelum jatuh terhempas di kawasan kediaman di selatan bandar itu.
Juruterbangnya bagaimanapun berjaya keluar daripada pesawat sebelum ia terhempas.
Menurut Institut Pengajian Strategik Antarabangsa di London, pesawat jenis MIG-23 buatan Rusia itu digunakan dalam perkhidmatan tentera Libya.
Bagaimanapun, pemberontak Libya mengakui pesawat yang terhempas itu milik mereka dan ia terhempas selepas diserang tentera Libya. - AFP

Pelajar 15 tahun terbunuh dalam kemalangan



20/03/2011 4:07pm

KANGAR – Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Putra terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah bas di Simpang Kampung Pondok, Jalan Abi Tok Hashim, dekat sini malam tadi.
Muhammad Shamin Akmal Murkamin, 15, yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira pukul 8.40 malam.
Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata, bas yang tiada penumpang sedang keluar dari Simpang Kampung Pondok, manakala mangsa dari arah Abi Tok Hashim hilang kawalan lalu melanggar bahagian depan bas.
Mangsa yang menetap di sebuah rancangan perumahan awam (RPA) di sini terbunuh di tempat kejadian, manakala pemandu bas berusia 60 itu membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kejadian itu.
"Ketika kejadian mangsa tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen memandu,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama

Satu maut, enam parah nahas bas persiaran, dua lori



20/03/2011 12:34pm

TAPAH 20 Mac – Seorang penumpang maut, manakala enam lagi parah apabila bas persiaran yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori di KM 341.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Bidor awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, yang terbunuh dikenal pasti Sahad@Shariff Md Din, 74, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Polis masih mengenal pasti mereka yang parah dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu yang turut menyaksikan 35 lagi termasuk pemandu bas cedera ringan, katanya kepada pemberita di sini.
Bas itu katanya, membawa 43 penumpang terdiri daripada anggota rombongan yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Nilai, Negeri Sembilan.
"Ketika tiba di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai merempuh belakang sebuah lori yang membawa muatan bahan mentah.
"Pemandu kemudian memberhentikan bas itu dan menurunkan penumpang sebelum sebuah lori yang membawa muatan kertas merempuh bahagian belakang bas terbabit termasuk beberapa penumpang yang sudah turun daripada bas tersebut,” katanya. – Bernama

Seorang maut, 6 parah bas persiaran rempuh lori





2011/03/20

BIDOR: Seorang penumpang bas persiaran maut, manakala enam parah selepas bas yang membawa 43 peserta rombongan dari Pulau Pinang ke Nilai 3, Negeri sembilan, merempuh belakang sebuah lori, sebelum dilanggar sebuah lori lain di Kilometer 341.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat plaza tol Bidor, 4.50 pagi tadi.

Polis mengesahkan identiti mangsa yang terbunuh sebagai Sahad@Shariff Md Din, 74.
Pelanggaran pertama hanya membabitkan kecederaan kepada penumpang.
Bagaimanapun pelanggaran kedua menyebabkan kematian dan kecederaan parah selepas ada penumpang yang sudah turun dan berada di tepi bas yang digilis kenderaan itu. 

Anggota polis maut kemalangan motosikal



20/03/2011 12:49pm

BALIK PULAU – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar konkrit pada bulatan besar di Bayan Baru, awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Micklose Manggor, 28, dipercayai menunggang dari arah Bukit Jambul sebelum motosikalnya hilang kawalan ketika memasuki bulatan besar tersebut.
Ketua Bahagian Trafik Daerah Barat Daya, Cif Insp Mohd Zin Mat Ali berkata, Micklose yang mengalami cedera parah di kepala maut di tempat kejadian.
Akibat rempuhan kuat itu juga pistol dan peluru yang dibawanya bertaburan di atas jalan, kata Mohd Zin ketika dihubungi.
Micklose yang berasal dari Sabah menyertai pasukan polis sejak sembilan tahun lepas dan bertugas di Balai Polis Sungai Dua, Seberang Perai Utara. – Bernam

9 menyamar warga tempatan





PETALING JAYA – Helah seorang warga Indonesia yang mendakwa warga tempatan terbongkar selepas Jabatan Imigresen Selangor mendapati tiada parut suntikan BCG di tubuhnya dalam serbuan di pusat jagaan orang tua di sini baru-baru ini.:

Timbalan Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Kamal Bahrin Atan berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, pasukan 15 penguat kuasa itu menahan empat lelaki warga Pakistan yang menyamar sebagai pelawat serta melakukan kerja amal.

Katanya, kesemua warga asing itu berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan, antaranya menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta tiada dokumen perjalanan.

Menurutnya, wanita yang bekerja sebagai kerani di pusat jagaan itu mendakwa menetap di Klang.

“Wanita itu gagal menunjukkan dokumen surat pengenalan.

“Hasil siasatan lanjut, kita mendapati dia dipercayai bukan warga tempatan berdasarkan tiada parut suntikan BCG malah tinggal lebih masa,” katanya selepas operasi berkenaan.

Menurutnya, empat warga Pakistan itu cuba mengaburi Imigresen dengan mendakwa kononnya berada di pusat jagaan itu untuk melawat serta melakukan kerja amal.:

Bagaimanapun, helah itu gagal selepas Imigresen memeriksa dokumen mereka dan mendapati kesemuanya bekerja di pusat itu.

Sementara itu, Imigresen menjalankan serbuan pada hari yang sama di sebuah restoran berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, Imigresen menahan empat pekerja warga asing termasuk seorang lelaki.

“Mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas. Bagaimanapun, tiga pekerja dipercayai warga asing meloloskan diri.

“Pengusaha restoran itu mendakwa mengarahkan pekerjanya supaya tidak melarikan diri sekiranya premis itu diperiksa,” katanya.

JLKN minta polis siasat



KUALA LUMPUR - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meminta polis menyiasat bagi membuktikan kesahihan laporan dua siasatan dalamannya berhubung isu rambut pelatih keturunan Sikh yang didakwa dipotong pada 16 Januari lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, siasatan itu diminta menerusi laporan polis kedua yang dibuat Komandan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Bakap Mejar Shamsudin Abdul Aziz pada Selasa lepas.

“Komandan Kem PLKN Sungai Bakap telah membuat laporan polis bagi kali kedua pada 15 Mac di Balai Polis Bandar Baru, Kedah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya jika siasatan mendapati laporan berkenaan didapati tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Abdul Hadi berkata, ini kerana masih ada golongan tertentu menggunakan isu itu bagi kepentingan mereka, sekalipun dua siasatan dalaman JLKN tidak menemui sebarang bukti penglibatan pelatih lain atau pihak PLKN dalam kes tersebut.

Pada Januari lepas, seorang pelatih PLKN di Kem Sungai Bakap, Pulau Pinang, Basant Singh Surinderpal Singh mendakwa rambutnya dipotong semasa beliau sedang tidur.

Berikutan dakwaan itu, JLKN menjalankan dua siasatan dalaman menerusi jawatankuasa siasatan peringkat kem dan lembaga siasatan peringkat ibu pejabat.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kes itu yang telah dibincang secara mendalam pada peringkat Kementerian Pertahanan dipandang serius oleh Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Bernama

Pati makin ramai



GUAR CHEMPEDAK - Penduduk di daerah ini mendakwa kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) semakin berleluasa sehingga menimbulkan kerisauan kepada mereka.

Pati yang kebanyakan terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia itu dikatakan mewujudkan penempatan mereka di dalam ladang getah untuk menggelakkan dari dilihat oleh pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Hamzah Hussin, 54, berkata, kebanjiran Pati memang terasa kerana kebanyakan penoreh getah di sini hilang pekerjaan.

“Semua orang tahu, Pati tidak kisah soal gaji. Walaupun pendapatannya sedikit mereka tetap bekerja. Majikan mestilah nak kurangkan kos perbelanjaan. Orang kita (warga tempatan) pula bukan memilih tetapi mereka mempunyai keluarga yang harus di sara. Jadi pendapatan yang rendah pasti membuatkan mereka mencari pekerjaan lain.

“Disebabkan itulah kebanyakan ladang getah di sini dikuasai oleh Pati. Saya bersyukur kerana harga getah kita meningkat. Tetapi, yang untungnya bukan kita, tetapi majikan-majikan ini.” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih 10 khemah Pati dibina atas bukit di setiap ladang getah sekitar daerah ini.

“Bayangkan, setiap ladang mempunyai Pati. Berapa banyak ladang di dalam daerah ini. Itu belum masuk Bukit Perak lagi.

“Saya hairan mengapa isu Pati ini seolah-olah dipandang remeh dan tindakan yang dilakukan tidak konsisten sehingga Pati sewenang-wenangnya boleh masuk ke daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Sinar Harian melakukan tinjauan di beberapa ladang getah sekitar daerah ini dan kewujudan khemah itu adalah benar.


Majikan suruh lari


Warga asing yang hanya dikenali sebagai Ambritha, 28, berkata, dia telah berada di daerah ini lebih daripada tiga tahun.

“Saya kerja di sebuah kilang di daerah ini. Majikan saya cakap saya kena duduk dalam kebun ini kerana tempat ini selamat berbanding di dalam kilang.

“Saya tinggal di sini bersama enam orang rakan. Setiap minggu kami akan keluar ke pekan untuk mendapatkan makanan. Saya tidak takut kerana saya tidak ganggu orang. Lagipun orang kampung di sini semua baik,” katanya.

Ambrita yang enggan gambarnya diambil berkata, dia ke sini melalui ejen daripada Kemboja.

“Saya memang tidak tahu pasal permit. Ejen itu cakap cuma bayar duit dan kami boleh datang ke sini. Dokumen saya yang lain semuanya majikan saya pegang,” katanya.

Ambrita berkata, setakat ini belum pernah ada operasi yang melibatkan pihak berkuasa yang datang ke kebun ini.

“Majikan saya selalu berpesan, kena lari daripada mereka (pihak berkuasa). Disebabkan itulah kami bina khemah ini di kawasan tinggi supaya senang untuk melihat kehadiran pihak berkuasa,” katanya.


Selesa masuk negara secara sah



Sementara itu, seorang pekerja restoran, Nawawi Abdul Salang daripada Indonesia berkata, Pati sememangnya akan memberikan kesan yang tidak baik.

“Saya tinggal di negara ini lebih dari 10 tahun, saya tidak perlu takut jikalau terserempak dengan pihak berkuasa.

“Bagi Pati, mereka akan hidup dalam keadaan tertekan dan tidak selesa. Disebabkan itulah mereka membina penempatan di atas bukit untuk mengelakkan diri mereka ditahan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia memang negara yang kaya dengan punca rezeki.

“Saya tidak nafikan ramai rakan-rakan saya berhijrah ke negara ini untuk mencari rezeki. Saya tahu, datang secara haram akan menyusahkan diri saya. Disebabkan itulah saya datang ke sini secara sah dan tidak menyusahkan sesiapa,” katanya.

Kumpulan samun, pecah rumah tumpas




JOHOR BAHRU – Hasil kecekapan polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dan pecah rumah sekitar bandar raya ini dengan penahanan dua suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun di kawasan Taman Sentosa, di sini, 7 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya kejayaan itu berjaya menyelesaikan sekurang-kurang 21 kes samun dan tujuh kes pecah rumah di Johor Bahru yang sudah bergiat aktif sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, susulan daripada penangkapan itu, pihaknya berjaya menemui semula dan merampas senjata digunakan selain barangan hasil samun serta pecah rumah menerusi serbuan dan pemeriksaan susulan ke sebuah rumah di Taman Sri Tebrau, di sini.

“Polis menerima laporan lapan mangsa berumur lingkungan usia 22 hingga 43 tahun yang berada di sebuah kafe siber di Bandar Baru Permas Jaya disamun oleh empat lelaki bersenjatakan dua parang setiap seorang.

“Suspek dikatakan merampas kesemua beg duit mangsa yang mengandungi wang tunai berjumlah kira-kira RM8,000, dokumen pengenalan diri, kad ATM, lapan telefon bimbit dan barangan berharga lain.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Johor berjaya menahan dua daripada empat suspek tidak sampai 48 jam selepas kejadian di kawasan Taman Sri Tebrau dan menemui senjata serta barangan hasil samun,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, baru-baru ini.

Antara barang yang ditemui adalah 12 parang panjang, tiga pisau, kapak, tiga rotan, besi, Sky Mask, 60 MyKad, 54 lesen memandu, dua pasport, 14 kad ATM, lima telefon bimbit dan wang tunai RM8,000.

Jalaluddin berkata, seorang daripada dua suspek terbabit yang ditangkap didapati dalam jaminan mahkamah di atas kesalahan melakukan samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan pada bulan Ogos 2010 di Taman Sri Tebrau.

“Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 18 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan bersenjata) dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.

“Pihak polis juga kini sedang giat memburu dua lagi ahli kumpulan (rakan sejenayah) yang masih bebas,” katanya.

Simpang maut ragut empat nyawa



BATU PAHAT – Dua maut dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan di kilometer 14.5 Jalan Yong Peng Muar yang digelar penduduk tempatan sebagai 'persimpangan maut Sri Medan'.

Kemalangan terbabit berlaku jam 10 pagi semalam juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah Muar dan juga Yong Peng sehingga dua kilometer.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu lori, Mohammad Syukri Musa, 39, dari Taman Tasik Jaya, Seremban dan pemandu kereta jenis Toyota, Selamat Maskor, 44, dari Kampung Sri Maamor, Tangkak.

Katanya, dalam kejadian berkenaan, treler dari Yong Peng dikatakan melanggar sebuah lori di hadapannya yang berhenti untuk memasuki simpang ke Sri Medan.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan lori itu ‘melintang’ jalan. Seterusnya sebuah lori lain dan kereta jenis Toyota dipandu korban tragedi dari arah Muar, gagal mengelak lori tersebut.

“Selain itu, kedua-dua mangsa yang cedera iaitu pemandu treler dan sebuah lagi lori tiga tan dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya terutamanya apabila berada di persimpangan jalan selain memberikan isyarat awal sebelum memasuki simpang.

Katanya, pemandu di bahagian belakang juga perlu peka dengan kenderaan di hadapannya serta menjaga jarak mereka dengan kenderaan di hadapan dengan jarak yang selamat.

Tiga pemuda temui ajal



BATU PAHAT - Tiga penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang membabitkan sebuah treler dan juga sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir juga Kilometer 28.5 Jalan Kluang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam kemalangan pertama dua pemuda maut dalam kemalangan jam 1.15 pagi di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir berdekatan Parit Bilal di sini.

Menurutnya, pemuda berkenaan mati di tempat kejadian apabila motosikal ditunggang mangsa ‘tersepit’ di bawah lori dipercayai ketika asyik berlumba.

“Amat menggerunkan apabila motosikal salah seorang mangsa kelihatan bulat seperti bola setelah tersepit di bawah treler tersebut. Mangsa yang maut adalah Muhammad Herman Jehia, 23, dari Kampung Parit Haji Dahlia, Yong Peng dan Mohd Iezwan Anuar, 18, dari Kampung Sri Wangi.

“Kejadian berlaku apabila kedua mangsa yang menunggang motosikal dikatakan cuba ‘menyelit’ di tengah-tengah di antara treler dan sebuah kereta. Bagaimanapun, motosikal tu dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke bawah lori dari arah bertentangan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lagi pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta, tengah malam tadi di Kilometer 28.5 Jalan Kluang.

Mangsa yang maut adalah Hafedy Othman, 18, dari Kampung Parit Khalil, Ayer Hitam manakala pemandu kereta hanya cedera ringan.

“Dalam kejadian itu, pemandu kereta dikatakan membuat pusingan ‘U’ menghala ke Ayer Hitam, manakala penunggang motosikal dipercayai cuba memintas sehingga berlaku pertembungan,” katanya.

Waris pesakit mental dicari




IPOH – Pihak Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan mencari waris seorang pesakit mental yang dikenali sebagai Mahanum Masskrid @ Ros Bukhara berusia 40-an.

Mahanum dimasukkan ke hospital itu untuk rawatan lanjut pada 10 Februari 2010 hingga kini.

Pihak hospital menghadapi kesukaran mengesan waris penama kerana beliau gagal mengingati maklumat latar belakangnya.

Sebelum ini penama pernah dirujuk di Hospital Slim River setelah ditemui merayau di sekitar daerah itu.

Berdasarkan maklumat, ibu bapanya telah meninggal dunia, beliau masih bujang dan tinggal di Tanjung Malim.

Beliau juga dipercayai mempunyai seorang kakak, Rosmawati Bukhara yang tinggal di Behrang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi Unit Kerja Sosial Perubatan: 05-5332333 sambungan 5973 (Norhapisah Ismail) atau Wad 5 Perempuan di sambungan 5406 (jururawat bertugas).

Kena panah petir



IPOH – Hujan lebat diikuti dentuman petir yang kuat mengakibatkan salah satu menara di Masjid Datuk Panglima Kinta rosak dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Menara setinggi hampir 30 meter itu dipercayai terkena petir yang kuat sehingga menyebabkan bahan binaannya terjejas.

Masjid yang dijadikan bangunan warisan itu berusia 113 tahun dan hasil binaannya menggunakan seni pertukangan batu yang sukar ditemui pada masa kini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa serpihan batu daripada menara berkenaan jatuh di bahagian hadapan masjid.

Turut kelihatan pita pengadang menutupi kawasan itu bagi mengelakkan jemaah terkena serpihan batu yang jatuh.

Bilal masjid, Rashid Yusof berkata, kejadian itu berlaku antara jam 3.30 hingga 3.40 petang sewaktu hujan lebat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sejurus mendapat maklumat daripada sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kejadian, beliau terus bergegas untuk melihat kerosakan menara itu.

“Nasib baik perkara itu berlaku beberapa jam selepas jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

“Jika tidak, pasti ada dalam kalangan mereka yang mungkin berhadapan dengan situasi tidak diingini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, petang kelmarin.

Berdasarkan sejarah, masjid terbabit adalah yang pertama di bandar raya Ipoh yang dibina oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof sebagai memperingati isterinya yang meninggal dunia.

Keunikan masjid ini ialah pada seni bina yang asli dan unik manakala bahagian belakang terdapat tanah perkuburan keluarga Panglima Kinta.

Di sebelahnya pula dibina Madrasah Kamaliah yang merupakan Sekolah Arab pertama di Ipoh. Difahamkan, masjid itu mampu menampung lebih 500 jemaah pada satu-satu masa.

Rashid berkata, pihak masjid sudah mengajukan kerosakan itu kepada kontraktor agar memperbaikinya dengan kadar segera.

Sementara itu, kontraktor, Kamal Basir ketika ditemui berkata, pihaknya akan cuba memperbaiki kerosakan terbabit dalam tempoh tiga minggu.

Menurutnya, menara itu agak sukar untuk dibaiki kerana ia terlalu tinggi dan akan mengambil masa membaik pulih bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Bagaimanapun, struktur masjid ini secara keseluruhan masih selamat untuk digunakan jemaah,” katanya.

Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya RM10,000 diperlukan untuk memperbaiki kerosakan menara berkenaan.

Ribut jengah Guar Kepayang



PENDANG – Sekurang-kurangnya dua rumah rosak teruk akibat dipukul ribut yang melanda beberapa kampung di Mukim Guar Kepayang, di sini, kelmarin.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Tanjung Radin, Banggol Besi dan beberapa kampung lagi.

Sinar Harian difahamkan, penduduk yang menjadi mangsa bencana itu terpaksa menanggung kerugian yang tinggi akibat kerosakan yang dialami kediaman mereka.

Mangsa, Nor Laila Khamis, 30, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat dan ribut akan melanda memandangkan keadaan cuaca pada ketika itu panas terik sebelum pergi ke rumah ibunya di Kampung Majapahit, Pendang.

“Saya sempat duduk di rumah ibu hanya lima minit, dan kemudian saya mendapat panggilan daripada kakak memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya sangka hanya beberapa zink rumah sahaja yang tercabut, jadi saya tidaklah tergesa-gesa mahu pulang memandangkan keadaan waktu itu juga hujan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas beberapa minit, dia sekali lagi dihubungi kakaknya memaklumkan bahawa seluruh kayu dan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Ketika itu saya mula panik, dan segera pulang.

“Namun, saya bersyukur, ketika kejadian, suami berada di tempat kerja dan empat anak saya turut berada di rumah ibu,” katanya.

Suaminya, Mohd Ritauddin Mansor, 36, berkata, dia segera pulang ketika dihubungi.

Mohd Ritauddin berkata, semua kelengkapan rumah termasuk barang-barang elektrik mengalami kerosakan.

Seorang lagi penduduk yang tinggal di Kampung Banggol Besi turut mengalami nasib yang sama.

Senapi Hanafi, 57, berkata, dinding bahagian atas rumahnya rosak teruk akibat dihempap sebatang Pokok Setol yang berusia lebih 10 tahun.

“Saya tak sangka rumah saya turut jadi mangsa.

“Ketika itu, saya berada di majlis kenduri, sejurus pulang saya dapati orang ramai berkumpul di rumah saya bagi melihat keadaan rumah yang dihempap pokok,” katanya.

Senapi berkata, dia bersyukur kerana anak perempuannya yang berada di rumah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, dalam kejadian terbabit bukan sahaja memusnahkan rumah penduduk namun beberapa kedai dan satu bengkel mencuci kereta turut terjejas.

Pemilik bengkel, Abdul Rahim Hasyim, 58, berkata, setelah melihat keadaan angin yang berpusing-pusing dari arah sawah berdekatan menyebabkan dia bersama pelanggannya melarikan diri kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya alami kerugian yang tinggi memandangkan bengkel mencuci kereta itu baru sahaja siap dan beroperasi selama satu bulan.

“Walaupun keseluruhan bumbung bengkel diterbangkan angin namun kenderaan pelanggan yang sedang dicuci tidak mengalami apa-apa kerosakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul turut meluangkan masa melawat semua mangsa-mangsa ribut dan meminta semua mangsa membuat laporan polis agar dapat dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang.

Menurutnya, kawasan Kampung Banggol Besi jarang sekali berlaku bencana ribut memandangkan kawasan itu terkenal sebagai kawasan banjir.

Suami jururawat tauke syabu



SURA JETTY – Seorang tauke syabu yang hidup mewah hasil jualan dadah tidak menyangka perniagaan sulit berselindung di sebalik aktiviti menangkap ikan menggunakan dua bot gentian kaca miliknya itu, berjaya dihidu pihak berkuasa.

Suspek berusia 40-an dan pernah ditahan sebelum ini kerana kesalahan mengedar ganja disyaki kembali aktif memasarkan produk yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penagih tempatan itu.

Maklumat sulit itu akhirnya memaksa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah melakukan serbuan di rumahnya dekat sini, sebelum bertindak menahan suspek yang difahamkan suami kepada seorang jururawat kanan selain turut menyita beberapa harta benda miliknya.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, suspek yang difahamkan pernah menjalankan perniagaan kedai kasut di bandar ini ditahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Harta benda suspek turut disita termasuk dua bot gentian kaca, sebuah kereta Ford Laser, sebuah motosikal Honda EX5 dan tiga enjin bot nelayan.

“Polis memberi amaran keras kepada mana-mana pengedar dan penagih yang masih bergiat aktif agar segera menghentikan perbuatan penyalahgunaan dadah sebelum kami mengambil tindakan tegas,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk cekup penuntut IPT




TAMAN PERMINT - Seorang gadis penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tidak mam-pu meluahkan kata-kata, sebaliknya air mata yang gugur di kelopak matanya sudah cukup menggambarkan penyesalan atas perbuatan dilakukan sebaik dia dibawa ke balai polis setelah dicekup penduduk kampung atas kesalahan khalwat.

Berikutan perbuatan sumbangnya mengunjungi rumah sewa selain berada dalam keadaan mencurigakan bersama teman lelaki di sebuah rumah sewa di taman perumahan, dekat sini, lewat senja kelmarin, gadis itu juga mungkin berdepan tindakan tatatertib termasuk disingkirkan dari IPT tersebut jika dia didapati bersalah oleh mahkamah.

Menceritakan detik hitam yang dialami itu, gadis terbabit yang difahamkan sedang mengikuti latihan amali berkata, dia sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dan hanya singgah di rumah teman lelakinya itu untuk menukar pakaian.

Bagaimanapun, dia sama sekali tidak menyangka kunjungannya ke rumah sewa yang didiami beberapa penuntut lelaki yang juga rakan sekuliah itu membawa padah apabila tindak-tanduknya diperhatikan jiran tetangga sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

“Tidak sangka pula gerak-geri diperhatikan penduduk kampung yang akhirnya menyebabkan saya boleh ditangkap khalwat,” katanya.

Pasangan terbabit, masing-masing penuntut IPT berdekatan dicekup penduduk kampung di sebuah rumah sewa di Taman Permint kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Pasangan remaja berusia belasan tahun itu ketika ditemui mengakui tidak berniat melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun keadaan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim apatah lagi berada di rumah itu telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menyebabkan mereka ditangkap khalwat.

Perempuan yang berasal dari Manir bersama teman lelakinya dari Marang itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk diambil keterangan sebelum disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir negeri Terengganu, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dengar bunyi pelik


TERBALIK... bas pesiaran yang terbalik dalam kemalangan berhampiran Tol Simpang Ampat, awal pagi semalam.
TERBALIK... bas pesiaran yang terbalik dalam kemalangan berhampiran Tol Simpang Ampat, awal pagi semalam.

ALOR GAJAH: “Saya dengar bunyi pelik di luar tapi tidak syak apa-apa sebelum terasa bas bergegar dan terhoyong-hayang lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya dan terus melencong ke kiri jalan.”
Begitu kata penumpang bas pesiaran, Shibli Sabtu, 26, selepas bas dinaiki bersama lapan penumpang lain terbalik di Kilometer 214.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam. 
Dalam kejadian itu, semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu berdepan detik mencemaskan apabila bas dipandu lelaki berusia awal 30-an hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan.

“Ketika leka bermain telefon bimbit, tiba-tiba bas merempuh sesuatu dengan kuat sebelum senget ke kanan. Rakan saya pula tercampak ke lantai bahagian depan.

“Saya dengar penumpang menjerit dan meraung ketakutan selepas bas terbabas ke kiri sebelum terbalik ke kanan dan terseret, mengakibatkan sembilan penumpang lain tercampak dari tempat duduk,” kata penuntut pusat pengajian tinggi awam itu.

Katanya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang dijadualkan jam 12.40 tengah malam dari Perhentian Bas Bukit Jalil ditangguhkan ke jam 1 pagi akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Malah bas juga dirasakan tidak stabil kerana halajunya berubah-ubah.

Seorang lagi penumpang, Azlan Abdullah, 46, berkata pemandu lewat memulakan perjalanan kira-kira 30 minit daripada masa dinyatakan dan berhenti di Hentian Sebelah Nilai.

“Selepas memandu 30 minit, sekali lagi pemandu berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk menghilangkan mengantuk dan meneruskan perjalanan 10 minit kemudian sebelum terbabit kemalangan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan mereka terlelap dan dia tersedar apabila bas dirasakan senget sebelum terbalik dan terseret sejauh 50 meter.

“Saya cuba pegang tempat duduk depan dengan kuat tapi tetap tercampak. Keadaan huru hara kerana ramai penumpang tercampak dari tempat duduk.

“Saya cuba tendang cermin depan dengan harapan kami semua tidak terperangkap di dalam bas tapi tidak berjaya.

“Kemudian saya cuba membuka pintu kecemasan di atas bumbung bas dan dari situl kami semua merangkak keluar dari bas yang terbalik itu.

“Saya bersyukur kami semua, termasuk pemandu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, sumber Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bas pesiaran dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu hilang kawalan selepas terlanggar penghadang jalan dan melencong ke kiri lalu melanggar tebing dan terbalik ke kanan.

Bagaimanapun, bas itu hanya membawa sembilan penumpang dan mereka menyambung perjalanan ke Johor Bahru menggunakan bas pesiaran lain.

Empat pelatih masih di ICU


KUALA LUMPUR: Empat pelatih inspektor dan konstabel Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) yang terkena jangkitan Adenovirus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 21 lagi di wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh sehingga petang, semalam.
Seramai 12 pelatih dirawat di HKL manakala 13 di Hospital Sungai Buloh.
Mereka yang dirawat di ICU adalah seorang pelatih konstabel, seorang pelatih inspektor lelaki dan dua lagi pelatih inspektor wanita.

Komandan Pulapol KL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed berkata, jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula 336 berbanding 389 kelmarin.

Daripada jumlah pengasingan terbabit, 117 pelatih inspektor wanita, 180 pelatih inspektor lelaki dan 33 konstabel selain enam kakitangan Pulapol.
Akhbar ini melaporkan dua pelatih Pulapol maut akibat jangkitan terbabit.

Mangsa, Mohd Riduan Ishak, 26, meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi, 17 Mac lalu dan seorang lagi pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 25, meninggal dunia 8 Mac lalu.


Berikut adalah pelatih yang ditempatkan di HKL dan Hospital Sungai Buloh:

Pelatih inspektor lelaki (seorang di ICU) - Mohd Muharram Mohd Ariffin, G Gopinath A/L Govindran, Noor Azlan Zaidi, Zarul Shahrin Mohd Mustafa, Izsrole Al Halmy Mohd Ismail, Simon A/L Vadelu, Muhammad Azizi A Rahman, Kalidasan A/L Rajakumar, Mohd Izat Ab Rahaman.

Pelatih inspektor wanita (dua di ICU) - Nor Hafizah Ilias, Nur Asyikin Othman, Saidatul Akmar Shariffuddin, Shanthanamary A/P Shunmigan, Nadhrah Hazwani Taufik, Nadia Mohd Husin, Nurul Shazrina Nazri, Nor Amanina Mohd Yusob, Nurol Akmal Abdullah, Parameswary A/P Sinasamy, Shazrin Irda Ezanee, Roshila Harun.

Pelatih konstabel lelaki (seorang di ICU) - Mohammad Siman, Ahmad Taufiq Abd Halim, Wan Azman Wan Ismail, Muhamad Najihin Musa.

Ahli keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas, Pulapol KL untuk maklumat lanjut.

VIP dalang seludup wang


BACHOK: Golongan VIP dikesan menjadi dalang bagi kegiatan pemindahan wang ke luar negara secara haram yang bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu.
Kegiatan itu dilakukan dengan mereka menjadikan agensi pengurup wang sebagai ‘keldai’ memindahkan wang terbabit secara rahsia.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menjelaskan, kegiatan itu kini semakin berleluasa terutama membabitkan tempat seperti London, Dubai, Hong Kong, Singapura dan Jepun.

Katanya, kementerian sejak tahun lalu menarik balik 50 lesen agensi pengurup wang apabila dikesan terbabit dalam kegiatan haram itu.

“Kita dapati kegiatan ini semakin berleluasa dan meluas ke beberapa negara sejak kebelakangan ini.

“Kebanyakan mereka yang terbabit adalah golongan konglomerat yang memindahkan wang haram menggunakan khidmat agensi ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Pekan Jelawat, di sini, semalam.

Awang Adek berkata, kerajaan sehingga kini tidak dapat memastikan berapa jumlah sebenar wang yang dibawa keluar oleh ‘penyeludup’ berkenaan.

Katanya, sebahagian besar individu yang terbabit dalam kegiatan itu menjalankan urusan perniagaan, termasuk bagi pembelian harta benda di luar negara.
“Mereka menyembunyikan kegiatan ini secara sengaja untuk mengelak membayar cukai kepada kerajaan,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana agensi selain melakukan pembekuan aset dan akaun bank jika ada individu dikesan membawa keluar wang secara haram.

“Kita kini berusaha membanteras kegiatan ini dengan lebih giat lagi menerusi Bank Negara Malaysia (BNM).

“Usaha itu termasuk memeriksa buku harian agensi pengurup wang bagi mengesan tiada aktiviti meragukan,” katanya.

Ditumbuk, rompak, culik




LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk  sekumpulan penjenayah.
LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk sekumpulan penjenayah.

JOHOR BAHRU: “Saya hanya ingat mati apabila diculik. Penculik itu bukan saja menutup mata saya tetapi turut mencekik leher, menumbuk muka bertubi-tubi dan mengikat tangan selepas saya dihumban ke tempat duduk belakang kereta keluarga,” kata mangsa culik, Yuen Mei Kien, 49, semalam.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menempuhi detik mencemaskan apabila diculik kumpulan penjenayah hampir dua hari, termasuk dirompak dan dikurung di sebuah rumah, sebelum dibebaskan awal pagi semalam.

Yuen berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi Khamis lalu ketika dia meletakkan kereta berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Bukit Indah, di sini, kerana mahu menaiki kenderaan rakan untuk menuju ke tempat kerja di Singapura.

Yuen yang bekerja sebagai ketua pentadbir di sebuah syarikat swasta di negara republik itu berkata, ketika turun dari kereta, tiba-tiba dua lelaki menghampirinya dan merampas kunci kereta sebelum dia dihumban ke kereta milik keluarganya.

“Lebih kuat saya meronta, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bertindak lebih ganas dan mencekik saya hingga saya terpaksa akur dengan arahan mereka demi menyelamatkan nyawa.

“Setiap kali bertanya termasuk nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM), mereka menumbuk muka saya, mengakibatkan hampir keseluruhan wajah menjadi lebam, terutama di mata.

“Kemudian mereka mengurung saya di dalam kereta hampir 10 jam sementara mengeluarkan wang saya bernilai RM10,000 daripada ATM,” katanya.

Yuen berkata, sepanjang perjalanan dalam kereta, dia mendengar kumpulan penjenayah berkomunikasi dalam Bahasa Tamil sebelum dia dikurung di bilik gelap di sebuah rumah bagi mengelakkannya melarikan diri.
Bagaimanapun kira-kira jam 2.30 pagi semalam, penjenayah menghantarnya ke Jalan 1/3, Taman Bukit Indah, di sini, menggunakan kereta sebelum menghilangkan diri.

“Keadaan saya lebih buruk daripada banduan penjara. Saya bukan saja kelaparan kerana tidak diberikan makan minum hampir dua hari, malah cedera hampir seluruh badan.

“Melihat keadaan saya yang tidak bermaya, mereka mengambil keputusan meninggalkan saya di tepi jalan biar pun pada awalnya mengugut menghumban saya ke dalam longkang,” katanya yang kemudian dibantu beberapa pengguna jalan raya.

Yuen yang masih trauma dengan kejadian itu meminta bantuan orang ramai yang ada maklumat berkaitan kereta keluarga Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JMA 8711 yang dilarikan penjenayah itu supaya menghubungi polis secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa turut kehilangan wang tunai RM500, S1,000 (mata wang Singapura), telefon bimbit dan kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.

“Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa secepat mungkin selain menjalankan usaha bagi menangkap penjenayah terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.

9 wanita dicekup dalam serbuan antimaksiat


GEORGETOWN: Keghairahan tujuh wanita warga asing dan dua wanita tempatan yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di tepi jalan akhirnya membawa padah apabila mereka dicekup dalam serbuan di Lebuh Chulia, di sini, kelmarin.
Serbuan terbabit dilakukan pada jam 9.30 malam oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

Jurucakap polis berkata, ketika pemeriksaan, beberapa wanita dilihat berkeliaran di kaki lima jalan berkenaan dipercayai menunggu pelanggan untuk menawarkan perkhidmatan seks.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis menahan semua pelacur terbabit yang berusia antara 20 hingga 30-an yang kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, semua wanita warga asing itu mempunyai dokumen sah namun dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja dan menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 39 Peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari pelanggan untuk tujuan persundalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, mengesahkan tangkapan itu.

14 ditahan salah guna dadah





KOTA TINGGI 18 Mac – Seramai 14 orang termasuk seorang wanita ditahan kerana terbabit kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam tiga serbuan yang dilakukan polis dalam tempoh 24 jam.
Operasi pertama kelmarin oleh tujuh anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Asisten Supritendan Mohd. Haidzir Che Pa telah membuat beberapa serbuan di Felda Bukit Aping Timur di sini.
Dalam serbuan ‘Ops Tapis’ bermula pukul 3 pagi hingga 12 tengah hari itu, seramai 10 penagih dadah berusia antara 20 hingga 45 tahun itu dicekup.
Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Bakawali, Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram yang membawa kepada penangkapan dua penagih dadah berusia 43 dan 44 tahun yang disyaki turut menjadi pengedar dadah.
Polis turut menemui satu bungkusan berisi serbuk kuning seberat 135 gram dipercayai heroin dan satu lagi bungkusan seberat 1 gram dipercayai syabu.
Kedua-dua mereka dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk membantu siasatan mengenai rangkaian pengedaran dadah di sekitar daerah ini
Pada pukul 3.30 pagi keesokannya, Ketua Balai Polis Mawai, Sarjan Ibrahim Mamat bersama tiga anggota lain berjaya mengesan sebuah kenderaan yang digunakan seorang lagi suspek pengedar di kawasan Felda Bukit Aping Barat di sini.
Kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang dipandu suspek berusia 32 tahun dan turut membawa seorang wanita berusia 22 tahun itu ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 28 gram, dadah dipercayai heroin seberat 25 gram, dadah dipercayai syabu seberat 0.5 gram dan ketamin seberat 0.5 gram.
Difahamkan, lelaki yang baru keluar Penjara Penor, Pahang pada September tahun lalu atas kesalahan dadah itu mengaku telah beberapa kali menjalankan pengedaran dadah di sekitar Felda Bukit Aping dan Felda Gugusan Tengaroh di Mersing.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan 13 lelaki dan seorang wanita ditahan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru kerana terbabit dalam kegiatan dadah.
Katanya, empat daripada suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

4 pasangan ditangkap khalwat



Seorang remaja lelaki cuba bersembunyi di bahagian atas siling bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa di sebuah rumah tumpangan di Tawau, semalam.


TAWAU 19 Mac - Bersembunyi di atas siling, berpura-pura menghantar beg dan mengaku pasangan sebagai adik kandung adalah antara gelagat empat pasangan Islam yang ditangkap khalwat dalam operasi bersepadu yang diadakan di daerah ini malam tadi.
Kesemua mereka yang berusia belasan hingga 30 tahun, ditahan dalam sebuah rumah tumpangan dalam operasi melibatkan enam jabatan, diketuai oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Lima jabatan lain adalah Jabatan Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Imigresen serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain empat pasangan itu, JHEAINS turut menahan seorang wanita Islam lain kerana bekerja di sebuah premis yang menjual minuman keras dan dia didakwa atas kesalahan bersubahat menjual arak.
Ketua operasi yang juga merangkap Pegawai Penguat Kuasa MPT, Azinun Sanarul berkata, dalam operasi yang sama, MPT turut memeriksa enam premis perniagaan serta mengeluarkan tiga notis amaran dan tiga kompaun.
Katanya, notis dan kompaun itu dikeluarkan kerana premis-premis terlibat melakukan kesalahan di bawah Ordinan Awam, Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Tumpangan).
"Selain itu, Imigresen turut membuat beberapa tangkapan dalam operasi ini. Sehingga ini, saya difahamkan mereka masih melakukan siasatan sebelum laporan dikemukakan kepada MPT," katanya di sini hari ini.

Bayi dibuang di pangsapuri



Bayi perempuan yang ditinggalkan di tangga sebuah apartmen di Kepong, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.


KUALA LUMPUR 19 Mac - Seorang pengawal keselamatan yang menjalankan rondaan di Apartmen Puncak Desa, Kepong dekat sini terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih hidup di tangga tingkat dua kediaman itu, hari ini.
Bayi malang itu ditemui dalam keadaan berdarah di bahagian kepala dan masih bertali pusat kira-kira pukul 6.20 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pengawal keselamatan itu segera memaklumkan kepada penyelia apartmen berkenaan sebelum menghubungi polis.
"Bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Selayang dan keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya.

9 wanita asing diselamatkan



ANGGOTA penguat kuasa Imigresen memeriksa dokumen sembilan wanita warga asing yang diperalatkan sebagai pekerja pembersihan di Segamat, semalam.


SEGAMAT 19 Mac - Jabatan Imigresen Johor menyelamatkan sembilan wanita warga asing yang dipergunakan sebagai pekerja pembersihan selama lapan tahun di sebuah rumah teres di sini hari ini.
Dalam serbuan pukul 6.45 pagi itu, jabatan tersebut mendapati semua wanita berkenaan tinggal di negara ini secara haram setelah tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.
Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 41 tahun itu mendakwa dipaksa bekerja dari pagi hingga ke malam sebagai pekerja pembersihan dengan bayaran tidak setimpal, malah salah seorang daripadanya sudah bekerja sebagai pekerja pembersihan selama lapan tahun.
Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, semua wanita itu bekerja sebagai pekerja pembersihan sambilan yang menerima tempahan melalui panggilan telefon.
Menurutnya, majikan mereka mengenakan bayaran serendah RM50 kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seperti mengemas rumah dan mencuci pakaian.
"Hasil siasatan mendapati setiap hari mereka ini akan dihantar ke tiga hingga empat rumah mengikut tempahan daripada pelanggan walaupun caj perkidmatan dikenakan lumayan, mangsa hanya dibayar mengikut gaji pembantu rumah iaitu sekitar RM350 hingga RM400.
"Majikan mereka pula mengaut untung berganda apabila menerima bayaran mencecah ribuan ringgit sehari hasil kutipan caj perkhidmatan wanita warga asing terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

50 ejen pindah wang haram



BACHOK 19 Mac - Kementerian Kewangan mendapati 50 ejen pertukaran wang asing tempatan terbabit dalam pemindahan wang haram ke luar negara yang melibatkan sindiket antarabangsa.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, penggubahan wang haram milik sindiket itu dilakukan ejen pertukaran wang terbabit dengan menggunakan kaedah menghantar kiriman wang melalui bank dalam jumlah yang besar bagi mengelak daripada dikenakan cukai.
Katanya, sindiket berkenaan dikesan mempunyai pertalian dengan syarikat di luar negara seperti Jepun, Singapura, Britain, Dubai dan Hong Kong dengan ejen berkenaan menggunakan alasan penghantaran wang berkenaan untuk membeli harta dan operasi perniagaan di luar negara.
"Sehingga ini lebih 50 lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pihak terbabit telah ditarik balik selepas didapati mereka melanggar syarat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.
"Kerajaan juga membekukan aset dan akaun bank milik mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di pekan Jelawat di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi mencegah kegiatan itu, pihak BNM akan melakukan pemeriksaan terhadap buku penghantaran wang ejen berkenaan selain mengemaskini saluran penghantaran wang ke luar negara.
- Bernama

Penumpang terkandas kereta api terbakar atas jambatan



MACHANG 19 Mac - Beratus penumpang Keretapi Tanah Melayu (KTM) Senandung Wau terkandas beberapa jam selepas enjin kereta api itu terbakar di Paloh Rawa di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.55 malam itu, kereta api yang mempunyai 14 gerabak dan dipenuhi penumpang itu dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur.
Menurut pemandunya, Tang Peng Huan, kebakaran disedarinya ketika kereta api yang dipandunya berada di atas Jambatan Kusial, Tanah Merah menyebabkan dia bertindak pantas mengenal pasti lokasi sesuai untuk menghentikan kereta api tersebut.
Sebaik menemui lokasi sesuai, dia bertindak memisahkan kepala kereta api dengan gerabak penumpang.

Lapan terbunuh nahas






KEMALANGAN maut meragut nyawa sepasang suami isteri dan anggota tentera di KM 9 Jalan Kluang-Teck Wah Heng di Kluang, semalam.


BATU PAHAT 19 Mac - Seramai lapan orang termasuk sepasang suami isteri maut dalam empat kemalangan berasingan di daerah ini dan Kluang hari ini.
Di Kluang, kereta Proton Saga dinaiki sepasang suami isteri bertembung dengan Proton Persona dipandu seorang anggota tentera pada pukul 7.45 pagi di Kilometer 9, Jalan Kluang-Teck Wah Heng.
Difahamkan kereta dipandu anggota tentera itu, Norizan Musa, 33, hilang kawalan di selekoh sehingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu.
Ketika kejadian, mangsa, Muaz Abdul Rahman, 57, dikatakan dalam perjalanan membawa isterinya, Maznah Muhamed, 53, ke Stesen Bas Kluang kerana wanita itu berhasrat untuk mengunjungi rumah anak mereka di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, Norizan dan Maznah maut di tempat kejadian manakala Muaz meninggal dunia di Hospital Kluang.
Sementara itu, di Sri Medan, dua maut dalam kemalangan kira-kira 10 pagi membabitkan sebuah treler, dua lori dan sebuah kereta di Kilometer 14.5 Jalan Muar-Yong Peng.
Dua yang meninggal dunia ialah pemandu lori, Mohammad Syukri Musa, 39, dari Taman Tasik Jaya, Seremban dan pemandu kereta Toyota, Selamat Maskor, 44, dari Kampung Sri Maamor, Tangkak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, dalam satu lagi nahas, dua pemuda maut dalam kemalangan pukul 1.15 pagi di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir berdekatan Parit Bilal di sini apabila motosikal dinaiki mereka terbabas ke bawah lori.
Adnan berkata, dua pemuda itu ialah Muhammad Herman Jehia, 23, dari Kampung Parit Haji Dahlia, Yong Peng dan Mohd. Iezwan Anuar, 18, dari Kampung Sri Wangi.
Katanya, Hafedy Othman, 18 dari Kampung Parit Khalil, Ayer Hitam maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta di Kilometer 28.5 Jalan Kluang tengah malam tadi.

10 ditembak mati di kelab malam



20/03/2011 2:27am

MEXICO 20 Mac – Seramai 10 ditembak mati apabila seorang lelaki bersenjata menyerbu sebuah kelab malam dan melepaskan tembakan awal pagi ini di Acapulco, kata pihak polis.
Kejadian tersebut turut menyebabkan empat orang mengalami kecederaan dan ia dipercayai angkara kumpulan pengedar dadah di Mexico..
Kementerian Keselamatan Awam Guerrero berkata, 10 mangsa tersebut terdiri daripada lelaki berusia 25 dan 45 tahun. – AFP

2 serang askar Thailand maut





2011/03/20

ANGGOTA tentera  Thailand memeriksa mayat anggota puak pemisah  dalam serangan di Yala, semalam.
ANGGOTA tentera Thailand memeriksa mayat anggota puak pemisah dalam serangan di Yala, semalam.
YALA: Dua lelaki bersenjata disyaki anggota puak pemisah, terbunuh dalam pertempuran di wilayah selatan Thailand yang bergolak, selepas melancarkan serang hendap ke atas pasukan keselamatan semalam, kata polis.

Seorang pegawai kanan polis berkata lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan renjer separa tentera awal pagi di kawasan pergunungan di wilayah Yala.
“Serangan itu dibalas pasukan keselamatan, menyebabkan berlaku pertempuran. Dua anggota pemisah terbunuh dalam serangan itu,” katanya.
Beliau berkata anggota lain kumpulan itu kemudian melarikan diri, manakala pasukan keselamatan berjaya merampas tiga laras raifal M-16 di lokasi kejadian.

Serangan itu adalah yang terbaru selepas kerajaan Thailand mengumumkan peningkatan keganasan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia dan mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Sementara itu di wilayah Pattani, dua lelaki bersenjata membunuh seorang penjaja dalam satu kejadian tembakan dari kenderaan, manakala tiga renjer tentera di Narathiwat cedera dalam serangan bom tangan.

Keganasan di selatan Thailand bermula sejak 2004 dan setakat ini sudah mengorbankan lebih 4,500 orang. – Reuters 

Lagi bayi mati tersedak susu




INILAH pusat jagaan di Shah Alam tempat Adelia didakwa tersedak susu sebelum meninggal dunia.


KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri, Muhammad Nizzam Aminuddin dan Fariza Tukir tidak akan dapat melupakan detik hitam dalam hidup mereka pada Rabu lalu apabila menerima panggilan kecemasan mengatakan anak bongsu mereka, Adelia yang baru berusia dua bulan sedang nazak di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Shah Alam, Selangor.
Pada waktu itu, mereka sibuk memilih pakaian untuk Adelia di sebuah pasar raya di Shah Alam.
Muhammad Nizzam, 34, masih ingat dia bersama isterinya berkejar ke Pusat Perubatan Darul Ehsan di Seksyen 14 selepas pengurusan taska memaklumkan arwah dihantar ke sana dari sebuah klinik di Seksyen 10.
Mangsa sebelum itu dipercayai tersedak ketika diberi minum susu botol oleh kakitangan taska itu.

Adenovirus: Seorang lagi masuk ICU



KUALA LUMPUR - Seorang lagi pelatih inspektor lelaki Pusat Latihan Polis (Pulapol) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam akibat jangkitan Adenovirus.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan sebelum ini, seorang pelatih konstabel lelaki dan dua pelatih inspektor wanita masih dirawat di unit itu, menjadikan jumlah yang dimasukkan ke ICU empat orang berbanding tiga kelmarin.
Menurut laman itu, jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang iaitu sembilan pelatih inspektor lelaki, 11 pelatih inspektor wanita dan empat pelatih konstabel lelaki manakala jumlah mereka yang dikuarantin ialah 347 orang.