Search This Blog

Saturday, March 19, 2011

SPRM cari dua saksi untuk hadir perbicaraan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua saksi lelaki bagi tujuan membantu siasatan dan bagi menghadirkan diri ke mahkamah di Jalan Duta, di sini.

SPRM, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan berkata pihaknya sedang mencari Rosadi Mustapha atau dikenali sebagai Sidi Lintah dengan alamat terakhir di No 54 Jalan 14, Taman Harmoni, Bandar Teknologi, Kajang Selangor.
Sidi Lintah, 39, dikehendaki bagi membantu siasatan dan perbicaraan di mahkamah di Jalan Duta pada 22 Mac ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai saksi itu diminta menghubungi Penolong Penguasa M Suganathan di talian 03-88867000 atau 017-5229914.

Saksi kedua yang sedang dicari ialah seorang ahli perniagaan Yee Gan Seng, 58, dengan alamat terakhir di No 2 Lorong 2, Jalan Bunga Raya, Kluang, Johor.

Yee dikehendaki bagi membantu satu kes perbicaraan SPRM pada 1 April ini.

Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai saksi itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Penguasa Azrul Azim dengan menelefon 019-2622738. - BERNAMA 

Ribuan anggota Baju Merah berhimpun di Bangkok





2011/03/19

BANGKOK: Ribuan anggota kumpulan antikerajaan Thailand dikenali sebagai Baju Merah, mengadakan demonstrasi secara aman di ibu negara hari ini, iaitu seminggu selepas ulang tahun pertama penganjuran demonstrasi jalanan mereka. 

Pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi Bagi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD), Jatuporn Prompan, mengetuai perhimpunan itu bagi meminta kerajaan membebaskan rakan mereka yang masih ditahan.
"Kami mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk memberi keadilan terhadap kematian 91 orang," katanya merujuk angka korban akibat serangan tentera pada 19 Mei tahun lalu ketika menyuraikan tunjuk perasaan selama tiga bulan mereka di ibu negara.
Kumpulan itu berhimpun di persimpangan Ratchaprasong pada tengah hari di lokasi sama mereka berkhemah selama beberapa minggu tahun lalu sebelum ia diambil alih pihak berkuasa. 

Kira-kira 300 penyokong Baju Merah masih ditahan kerana melanggar perintah darurat, manakala kebanyakan pemimpin utama mereka yang ditahan telah didakwa melakukan keganasan dan dibebaskan dengan jaminan baru-baru ini. 

Selepas itu, mereka berarak melalui Pratunam, Ratchathewi dan Yommarat menuju ke Monumen Demokrasi. 

Kumpulan Baju Merah mengadakan tunjuk perasaan jalanan pada 12 Mac tahun lalu bagi mendesak kerajaan membubarkan Parlimen. 
Mereka meneruskan demonstrasi untuk mencari keadilan kepada rakan yang maut serta masih ditahan, walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa Parlimen akan dibubarkan selewat-lewatnya pada minggu pertama Mei ini. - BERNAMA 

Imigresen Johor 7 wanita asing salah guna pas lawatan



19/03/2011 6:25pm

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor menahan tujuh wanita warga asing dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Nusa Bestari di sini semalam.
Penolong Pengarahnya Masri Adul berkata mereka yang terdiri daripada empat rakyat Vietnam dan tiga warga Filipina serta berusia antara 22 dan 36 tahun itu ditahan kerana menyalah guna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan.
"Ada di antara mereka cuba melarikan diri melalui pintu rahsia namun gagal kerana kami telah memantau tempat itu selama sejam sebelum serbuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Salah seorang daripada mereka juga dikesan cuba menyembunyikan diri dalam kereta milik majikan, katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa dokumen sah dan semua mereka dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan lanjut. — Bernama

18 PATI masuki negara ditahan



19/03/2011 11:15am

TAWAU – Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau menahan 18 warga asing termasuk tiga wanita kerana cuba memasuki negara ini secara haram malam tadi.
Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Tawau, ASP Mohamad Ismail berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berusia 13 hingga 47 tahun itu ditahan ketika menyusup masuk ke negara ini menggunakan bot melalui Sungai Serudung jam 8 malam.
Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan PGM setelah membuat intipan selama empat hari itu ialah tekong bot dan seorang awak-awak yang kedua-duanya berumur 17 tahun.
"Setelah memeriksa kesemua penumpang di atas bot berkenaan didapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada di sini hari ini.
Difahamkan bot yang membawa pendatang asing berkenaan berlepas dari Nunukan, Indonesia ke Kalabakan menjelang senja dan tekong dibayar oleh pihak tertentu sebanyak RM100 untuk setiap penumpang.
Penumpang bot pula memberitahu, mereka dikenakan bayaran sebanyak RM250 seorang oleh ”pengurus” di Nunukan. – Bernama

Bayi ditemui atas tangga pangsapuri





2011/03/19

KUALA LUMPUR: Bayi perempuan yang masih hidup dan bertali pusat ditemui di atas tangga tingkat dua sebuah blok pangsapuri Puncak Desa Kepong di sini awal pagi tadi. 

Bayi itu ditemui dengan kesan darah di kepalanya oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang meronda di situ pada 6.25 pagi.
"Pengawal itu yang dikenali sebagai Mohd Hasan Al Bana Sulaiman dan berumur 24 tahun kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan bayi berkenaan," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosli Hassan.
Beliau berkata, bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Selayang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. 

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya. - BERNAM

Adeno: seorang lagi pelatih Pulapol dimasukkan ke ICU HKL



19/03/2011 5:34pm

KUALA LUMPUR 19 Mac — Seorang lagi pelatih Inspektor lelaki Pusat Latihan Polis (Pulapol) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan virus ”Adeno”.
Pelatih itu dimasukkan ke ICU kira-kira 8.30 pagi tadi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan sebelum ini, seorang pelatih Konstabel lelaki dan dua pelatih Inspektor wanita masih dirawat di unit itu, menjadikan jumlah yang dimasukkan ke ICU empat orang berbanding tiga semalam.
Menurut laman itu, jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang iaitu sembilan pelatih Inspektor lelaki, 11 pelatih Inspektor wanita dan empat pelatih Konstabel lelaki, manakala jumlah mereka yang dikuarantin ialah 347 orang.
Untuk maklumat lanjut, anggota keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas Pulapol. — Bernama

PGM rampas barangan seludup



Krishnan Ramasamy (depan) bersama seorang anggota PGM Tawau menunjukkan barang-barang yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Marin bernilai RM23,532 di Tawau, Sabah, kelmarin.


TAWAU 18 Mac - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini merampas pelbagai barangan bernilai RM23,532 hasil tiga pemeriksaan yang dilakukan di sini pada Rabu dan Khamis lalu.
Jurucakap PGM Tawau, Asisten Supritendan R. Krishnan berkata, dua lelaki tempatan berusia 25 dan 49 tahun turut ditahan dari salah satu lokasi yang diperiksa.
Barang-barang yang dirampas terdiri daripada 5,742 kilogram gula pasir, 2,601 kilogram minyak masak dan 120 botol minuman keras - dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini ke negara jiran.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas dua buah feri yang sedang menuju ke negara jiran, di kawasan perairan Laut Tanjung Batu.
"Dalam pemeriksaan itu, kita temui 153 kilogram minyak masak pelbagai jenama, 72 botol minuman keras (Mountain Chivaz), 48 botol (Benson VSOP) dan 703 kilogram gula pasir.
"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana tidak ada pihak yang tampil mengaku sebagai pemilik semua barangan tersebut," katanya.
Dalam pemeriksaan di jeti Pangkalan Kampung Pasir Putih pula, katanya, PGM merampas 2,448 kilogram minyak masak pelbagai jenis dan 5,040 kilogram gula dari sebuah jongkong.
"Kita turut menahan dua lelaki tempatan serta merampas jongkong dan enjin yang digunakan," katanya.

Remaja hilang selepas keluar makan



Nurfarahin menunjukkan foto adiknya, Nurfatin Amalina Asa'ri yang tidak pulang ke rumah sejak 9 Mac lalu.


KOTA TINGGI 18 Mac - Sesiapa yang mengenali gadis berusia 17 tahun, Nurfatin Amalina diminta dapat memujuknya agar kembali ke pangkuan keluarga selepas dia menghilangkan diri sejak lebih seminggu lalu.
Bapanya, Asa'ri Muhammad, 51, dari Kampung Makam dekat sini berkata, anak kedua daripada empat beradik itu hilang tanpa sebarang pesanan atau nota sejak 9 Mac lalu sehingga kesihatan dia dan isterinya, Zalina Golek, 40, terjejas kerana terlalu rindu dan bimbang.
Dia telah membuat laporan polis sebaik menyedari kehilangan anaknya yang dipercayai keluar rumah di Taman Koguna pada pukul 8.30 malam apabila dijemput sebuah kereta yang dipandu seorang wanita tidak dikenali untuk keluar makan.
"Tetapi saya dan ahli keluarga tidak perasan jenis kereta itu atau siapa di dalamnya. Sebelum hilang dia memakai baju kolar berbentuk V hitam, baju panas hitam serta berseluar coklat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Asa'ri, ahli keluarga mula berasa risau apabila Nurfatin Amalina masih belum pulang walaupun sudah lewat malam dan tidak menjawab panggilan telefon, malah dia turut menghubungi dan mencari rakan-rakan sekolah anaknya.
"Amalina ada buat missed call pada saya pada Jumaat lalu (11 Mac) tapi bila saya cuba panggil balik gagal dan ini menjadi tanda tanya," katanya lagi.
Kakak sulung Nurfatin, Nurfarahin, 21, berkata, setakat ini tiada sebarang perselisihan faham berlaku dalam keluarganya dan dia memohon orang ramai yang dapat membantu mencari adiknya itu menghubungi keluarganya di talian 017-7236049 atau 07-8834 610.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan gadis tidak pulang ke rumah dan siasatan sedang giat dijalankan.
"Siasatan itu juga termasuk menemu bual rakan-rakan sekolah dan kenalannya dan saya juga menyeru kepada orang ramai jika terjumpa atau mengetahui lokasi gadis ini berada agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau ahli keluarganya" katanya lagi.

14 ditahan salah guna dadah





KOTA TINGGI 18 Mac – Seramai 14 orang termasuk seorang wanita ditahan kerana terbabit kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam tiga serbuan yang dilakukan polis dalam tempoh 24 jam.
Operasi pertama kelmarin oleh tujuh anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Asisten Supritendan Mohd. Haidzir Che Pa telah membuat beberapa serbuan di Felda Bukit Aping Timur di sini.
Dalam serbuan ‘Ops Tapis’ bermula pukul 3 pagi hingga 12 tengah hari itu, seramai 10 penagih dadah berusia antara 20 hingga 45 tahun itu dicekup.
Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Bakawali, Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram yang membawa kepada penangkapan dua penagih dadah berusia 43 dan 44 tahun yang disyaki turut menjadi pengedar dadah.
Polis turut menemui satu bungkusan berisi serbuk kuning seberat 135 gram dipercayai heroin dan satu lagi bungkusan seberat 1 gram dipercayai syabu.
Kedua-dua mereka dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk membantu siasatan mengenai rangkaian pengedaran dadah di sekitar daerah ini
Pada pukul 3.30 pagi keesokannya, Ketua Balai Polis Mawai, Sarjan Ibrahim Mamat bersama tiga anggota lain berjaya mengesan sebuah kenderaan yang digunakan seorang lagi suspek pengedar di kawasan Felda Bukit Aping Barat di sini.
Kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang dipandu suspek berusia 32 tahun dan turut membawa seorang wanita berusia 22 tahun itu ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 28 gram, dadah dipercayai heroin seberat 25 gram, dadah dipercayai syabu seberat 0.5 gram dan ketamin seberat 0.5 gram.
Difahamkan, lelaki yang baru keluar Penjara Penor, Pahang pada September tahun lalu atas kesalahan dadah itu mengaku telah beberapa kali menjalankan pengedaran dadah di sekitar Felda Bukit Aping dan Felda Gugusan Tengaroh di Mersing.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan 13 lelaki dan seorang wanita ditahan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru kerana terbabit dalam kegiatan dadah.
Katanya, empat daripada suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Remaja kebas wang ibu, barang kemas nenek



KUANTAN 18 Mac - Dua warga emas bernasib malang apabila duit dan barang kemas mereka lesap, dipercayai dicuri oleh anak dan cucu mereka dalam kejadian berasingan di sini semalam dan Selasa lalu.
Kejadian pertama berlaku di Kampung Baru Chendering dekat Permatang Badak di sini, semalam apabila mangsa yang berusia 61 tahun sedang menjemur pakaian di belakang rumahnya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, anak mangsa yang berusia belasan tahun tiba-tiba 'naik angin' dan mengamuk.
"Mangsa yang sedang menjemur pakaian terkejut dengan sikap anaknya yang mengamuk dan marah kerana mahukan duit.
"Kemudian anak mangsa bertindak mengunci pintu dapur rumah sehingga menyebabkan ibunya tidak dapat memasukinya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa tiba-tiba teringat beg tangan yang diletakkan di dapur rumah itu dan kemudian mendapati beg tersebut hilang.
"Setelah diperiksa, mangsa mendapati beg yang mengandungi wang tunai RM1,000 dan barang kemas bernilai RM3,000 lesap dipercayai dilarikan anaknya," katanya.
Dalam kes kedua pula, Mohd. Haris berkata, seorang nenek berusia 67 tahun bernasib malang apabila barang kemas bernilai RM7,000 dilarikan oleh cucunya di Permatang Badak di sini, Selasa lalu.
Katanya, mangsa menyedari barang kemasnya hilang kira-kira pukul 3 petang hari kejadian.
Tambahnya, sebelum kejadian, cucu mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan sering mencuri wang neneknya.
"Namun, mangsa tidak pernah melaporkan kejadian itu kepada polis. Bagaimanapun, kejadian kali ini tidak dapat dimaafkan dan mangsa membuat laporan kerana tidak tahan lagi dengan sikap cucunya itu," katanya.
Tambah beliau, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Anak belasah ibu kerana duit





KUANTAN 18 Mac - Akibat enggan memberikan wang, seorang anak bertindak di luar batasan apabila sanggup mencederakan ibu kandungnya sendiri sehingga menyebabkan mangsa cedera di kepala, kelmarin.
Kejadian berlaku di rumah mereka di Kuala Terla, Jalan Perlong dekat Cameron Highlands.
Mangsa yang berusia 61 tahun dikatakan sering dipukul oleh anak lelakinya berusia 43 tahun yang tidak bekerja dan kejadian itu sering berlaku ketika suspek mabuk selepas meminum arak.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, dalam kejadian pukul 8 malam itu, suspek yang baru pulang ke rumah tiba-tiba mengamuk.
"Suspek dalam keadaan mabuk mengamuk dan memaki-hamun ibunya sebelum menolak mangsa hingga terjatuh ke lantai.
"Berikutan itu, kepala mangsa cedera, namun bapanya yang berusia lingkungan 60-an dan turut berada dalam rumah itu tidak diapa-apakan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Tambah beliau, mangsa melaporkan anaknya kerap memarahi dan memukul mereka suami isteri.
Katanya, suspek yang selalu meminta wang itu juga sering mengkasari, menyerang serta mengugut ibu dan ayahnya.
Berikutan laporan itu, kata Mohd. Haris, polis telah menahan suspek dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ganja ditemui dalam apartmen



SEREMBAN 18 Mac - Polis merampas dadah bernilai RM27,000 selepas menyerbu sebuah unit kosong di Apartmen Seri Jasmin, dekat Mantin dalam operasi Ops Tapis di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan R. Ravichandran berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 petang itu, 15 bungkusan mampat plastik dan kertas putih berisi ganja dirampas.
"Polis masih menyiasat penemuan dadah tersebut dan sedang berusaha mengesan individu yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Empat lelaki ditahan ketika khayal



PULAU PINANG 18 Mac - Polis menahan empat lelaki ketika mereka sedang khayal menghisap dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Blok Desa Mawar, Air Itam di sini malam semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut menemui pelbagai jenis dadah iaitu 16 gram heroin, ganja (45 gram), syabu (4.7 gram) dan serbuk putih dadah (7.7 kilogram) di kediaman tersebut bernilai kira-kira RM64,800.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hasil intipan selama dua minggu.
"Hasil pemeriksaan yang dibuat, polis menemui satu plastik berisi dua peket plastik ketulan ganja, beg berisi tujuh peket daun kering ganja serta bungkusan plastik hitam berisi 19 peket serbuk putih disyaki dadah.
"Turut ditemui di dalam rumah itu ialah satu peket plastik dan satu penyedut minuman plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki heroin. Berdasarkan jumlah dadah yang diperoleh, kita percaya kesemua suspek terlibat dalam pengedaran dadah di daerah ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Kong Meng, polis turut merampas satu alat penimbang digital, bungkusan plastik berisi peket-peket plastik kecil dan peralatan untuk menghisap dadah disyaki syabu.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua lelaki tempatan yang berusia antara 32 hingga 48 tahun itu mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah termasuk seorang yang pernah dikenakan hukuman buang daerah.
"Kesemua mereka kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama," katanya.

Warga emas mati terbakar



KEADAAN rumah Ho Choong Fah (gambar kecil) yang dipercayai dibunuh dan dibakar di Ampang Baru, Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 18 Mac - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh dan dibakar di rumahnya di Ampang Baru di sini awal pagi ini.
Mangsa, Ho Choong Fah, 84, ditemui mati di atas katil selepas sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan setelah memadamkan kebakaran rumah tersebut pada pukul 1.50 pagi ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, kebakaran itu dilaporkan berlaku pukul 9 malam tadi.
"Selepas api berjaya dipadamkan, anggota bomba menemui mayat mangsa yang sudah rentung di atas katil dalam rumah itu.
"Polis menemui kesan kelar di leher mangsa dan tidak menolak kemungkinan dia dibunuh sebelum rumahnya dibakar," katanya di sini hari ini.
Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.

2 maut, 7 cedera MPV hilang kawalan



BALING 18 Mac - Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dekat sini berakhir dengan tragedi apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terlanggar penghadang jalan di Jalan Baling-Weng di sini malam tadi.
Dalam nahas dekat Kampung Seberang Pekan sekitar pukul 11.30 malam itu, dua daripada sembilan yang menaiki MPV jenis Perodua Alza itu maut akibat terhantuk pada besi penghadang jalan.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahim Abdullah berkata, pelanggaran itu telah meragut nyawa Mohd. Shaznor Hafiz Azizul, 20, dan Mohd. Iqbal Hariz Marzuki, 4.
Menurutnya, Mohd. Shaznor adalah anak saudara kepada pemandu kenderaan itu, Marzuki Abdul Razak, 37, yang merupakan bapa kepada Mohd. Iqbal Hariz.
"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan bahagian badan setelah terkena besi penghadang jalan," katanya ketika ditemui pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Rahim memberitahu, Marzuki yang juga seorang peniaga dipercayai hilang kawalan ketika memandu untuk pulang ke rumahnya di Bandar Baharu selepas mandi di kolam air panas itu.-utusan

Warga emas dihalau, ditumbuk keluarga sendiri





KUALA KUBU BHARU 18 Mac – Selama 18 tahun, Wong Soo Tian (gambar) sanggup merantau ke Indonesia bekerja di beberapa kem pembalakan di tengah hutan belantara semata-mata mahu mencari rezeki untuk menyara isteri dan tiga anak tercinta.
Sepanjang tempoh tersebut, Soo Tian tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa apabila setiap bulan mengirim wang untuk perbelanjaan keluarga, malah sentiasa mencari kesempatan pulang ke tanah air menjenguk mereka jika ada kelapangan.
Namun, Soo Tian kini berusia 81 tahun tidak menyangka akan dibuang oleh isteri dan anak-anak selepas bersara hanya kerana mereka enggan menjaga dirinya yang sudah tua.
Lebih malang, lelaki warga emas ini bukan sahaja tidak dibenarkan tinggal di rumah sendiri di Kampung Chong 5, Rasa di sini, malah turut ditumbuk dan diugut bunuh oleh anak sulungnya semasa merayu untuk menumpang berteduh di situ, petang semalam.
Soo Tian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di sini hari ini memberitahu, sebelum kejadian beliau menumpang di rumah saudaranya.

Mayat dalam timbunan sampah





Keadaan mayat yang ditemui di tempat pelupusan sampah di Kerling, Hulu Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 18 Mac - Seorang pekerja di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Bukit Tagar, Kerling di sini terkejut apabila menemui mayat lelaki dalam timbunan sampah di kawasan itu hari ini.
Mayat yang penuh dengan kesan tetakan itu ditemui seorang pekerja warga Indonesia ketika melakukan kerja-kerja menolak sampah menggunakan jentolak pada pukul 11.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat tanpa identiti tetapi dipercayai penduduk tempatan itu ditemui hanya memakai seluar pendek warna kuning jenama Wong Leng H.J.
Beliau menambah, mangsa tidak memakai seluar dalam dan berbaju namun tubuhnya dililit dengan sehelai cadar tilam berzip.
"Kita juga menemui sehelai kain pelikat berwarna biru dan hitam dengan corak segi empat dililit pada leher mangsa. Tali rafia biru turut ditemui berbelit di leher mangsa," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Norel Azmi memberitahu, anggota polis forensik yang memeriksa mayat itu menemui kesan luka masih baru di kepala, paha dan betis kanan lelaki terbabit, manakala beberapa kesan calar turut ditemui pada lutut dan badannya.
Beliau berkata, polis percaya mangsa adalah rakyat tempatan kerana menemui kesan suntikan BCG pada lengan kanan mangsa.
Katanya, siasatan mendapati, mangsa dibunuh di tempat lain dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya dibawa menggunakan lori sampah untuk dicampak di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala identiti mangsa dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya sambil memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-utusan

Lagi bom ditemui


JAKARTA: Polis Indonesia menemui bahan letupan di pinggir bandar raya ini, semalam selepas empat ‘bom buku’ dihantar kepada pemimpin Islam berfahaman sederhana dan badan antikeganasan.
Bom terbaru dijumpai di sebuah kompleks kediaman di kawasan Cibubur danmeletup sejurus selepas skuad bom mengalihkannya ke kawasan tanah lapang. Tiada kecederaan dilaporkan. “Sebaik anggota polis dari skuad bom mengesan bungkusan yang mengandungi bahan letupan itu mereka segera mengalihkannya. Sejurus selepas itu ia meletup,” jelas jurucakap Polis Kebangsaan, Boy Rafli Amar.

Ketua Polis Jakarta, Dadang Raharja berkata kepada Metro TV: “Bungkusan itu diletakkan dalam beg plastik dengan tanda amaran mengandungi bom yang ditulis dalam bahasa Arab.” Sejak Selasa lalu, polis Jakarta sudah menemui empat ‘bom buku’ dan satu daripadanya dihantar kepada seorang pemimpin Islam liberal, Ulil Abshar Abdalla yang mendukung masyarakat majmuk dan toleransi beragama. Bom berkenaan meletup dan mencederakan empat orang. Satu lagi bom ditemui Khamis lalu di kediaman pemuzik Ahmad Dhani yang dikenali dengan lagu-lagunya yang membantah fahaman ekstrim dalam beragama. Bom lain dihantar melalui pos kepada bekas Ketua Pegawai Polis antikeganasan, Goris Mere dan Pengerusi Organisasi Pemuda Pancasila, Yapto Suryosumarno. Jurucakap Polis Jakarta, Baharudin Djafar berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak bahan letupan akan ditemui di ibu negara Indonesia itu.

“Kami sedang melakukan operasi mencari lebih banyak bom buku ini,” katanya. “Pihak polis sudah lebih daripada bersedia untuk menangani keadaan ini dan mengharapkan orang ramai melaporkan penerimaan sebarang bungkusaan mencurigakan yang dihantar kepada mereka,” tambahnya. - AFP

Tiga sahabat didakwa sebabkan kematian lelaki


KUALA LUMPUR: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, dua minggu lalu.
Bagaimanapun S Sangger, 39; penganggur, S Sivasangkar, 29; penyelia kilang dan K Nirosh Kumar, 29; juruteknik hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut pertuduhan mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian Ahmad Shariff Akhbar Shah, 27.

Kesalahan dilakukan di bilik No 1515, Tingkat 15, Seasons Tower, Jalan 1/773 Off Changkat Thambi Dollah antara jam 5.30 pagi dan 6 pagi, 6 Mac 2011.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamed Hanifa manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.

3 tertuduh lari lokap ditahan semula


KLANG: Kompleks Mahkamah Klang di sini, semalam gempar seketika apabila tiga lelaki yang baru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan samun melarikan diri sebelum sempat dimasukkan ke dalam lokap mahkamah.
Bagaimanapun, tindakan berani mati mereka itu ternyata sia-sia apabila dua daripada mereka ditangkap di luar mahkamah, manakala lelaki ketiga ditahan semula ketika bersembunyi dalam semak di tepi Sungai Klang. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof ketika dihubungi pemberita berkata, kejadian itu berlaku jam 11.50 pagi apabila tiga lelaki berkenaan dibawa untuk ditahan di lokap mahkamah. “Bagaimanapun, selepas gari di tangan tertuduh yang berusia antara 19 dan 23 tahun itu dibuka, mereka nekad membuka pintu lokap sebelum melarikan diri.

“Dua daripada lelaki itu dapat ditahan semula di luar bangunan mahkamah, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri dengan terjun ke tepi bukit, sebelum menghala ke arah stesen kereta api. “Lelaki ketiga itu kemudian menyembunyikan diri dalam semak di tepi Sungai Klang, sebelum ditahan semula oleh polis pada jam 1.25 tengah hari,” katanya.

Kedudukan Kompleks Mahkamah Klang di atas bukit terletak kurang 200 meter dari Stesen Kereta Api Klang. Mohamad berkata, sebelum kejadian, tiga sekawan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan samun di Sepang dan masing-masing diperintahkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan

Peragut maut, rakan cedera dilanggar saksi


SUBANG JAYA: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut manakala rakannya cedera apabila dilanggar sebuah kereta ketika cuba melarikan diri selepas meragut seorang wanita di USJ 8, di sini, awal pagi semalam.
Suspek dikatakan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala meninggal dunia sebaik tiba di hospital manakala rakannya yang dilaporkan cedera sempat melarikan diri biarpun saksi kejadian cuba mengejarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kedua-dua suspek dikatakan cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun yang berusaha menahan kumpulan terbabit selepas menyaksikan kejadian ragut itu.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila kedua-dua suspek yang menaiki motosikal bertindak memecahkan cermin kereta seorang wanita berusia 30-an yang berhenti di lampu isyarat.

“Ketika kejadian, wanita terbabit bersama ibu dan anak lelakinya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Sebaik memecahkan cermin hadapan sebelah pemandu dipercayai menggunakan kayu, seorang daripada suspek menarik beg tangan milik wanita berkenaan yang diletakkan di atas pehanya,” katanya.

Sumber berkata, tersentak dengan itu, wanita terbabit cuba mempertahankan beg tangannya menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Namun, suspek dapat melarikan beg berkenaan. Bagaimanapun, kejadian itu disaksikan seorang lelaki yang bekerja sebagai peniaga berusia 47 tahun yang kebetulan berada berhampiran.
“Lelaki terbabit yang berang dengan tindakan peragut itu mengejar motosikal yang dinaiki dua suspek dengan kereta miliknya,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek hanya sempat memecut laju kenderaan mereka itu sehingga di tiba di USJ8, di sini.

“Peniaga terbabit yang berjaya menahan mereka nekad merempuh belakang motosikal dinaiki kedua-dua suspek menyebabkan mereka terjatuh.

“Kedua-dua suspek yang cedera cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas peniaga terbabit,” katanya.

Wanita Myanmar kebuluran dikurung enam hari


KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Myanmar berusia 36 tahun terpaksa mengharungi detik hitam apabila dia yang diculik dari rumah majikannya dikurung selama enam hari dan dibiarkan kebuluran dalam bilik di sebuah rumah di Taman Segar, Cheras, di sini.
Sepanjang dikurung, wanita terbabit, Nge Lay tidak dibenarkan menjamah sebarang makanan atau minuman. Difahamkan, mangsa yang bekerja di sebuah kilang membuat cakera padat di Merlimau, Melaka pada mulanya ‘diselamatkan’ ejen pekerja asing iaitu seorang lelaki senegaranya selepas mangsa mengadu kepada lelaki itu mengenai keadaan kesihatannya yang teruk dan mendakwa dia tidak mampu meneruskan kerjanya pada 4 Mac lalu.

Dia kemudiannya dibawa ke sebuah di Taman Segar pada malam hari sama.

Bagaimanapun, ‘kebebasan’ mangsa tidak bertahan lama apabila dia dikurung lelaki yang ‘menyelamatkannya’ malah, pasportnya turut dirampas.

Selepas enam hari dikurung jeritan mangsa didengari seorang lelaki yang lalu di kawasan berkenaan yang kemudiannya membantu mangsa mendapatkan pertolongan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Badan Tindakan Alternatif yang beribu pejabat di Butterworth, Pulau Pinang.

Mendedahkan perkara itu, aktivis Badan Tindakan Alternatif, B Kalai Vanar, berkata dia menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 malam pada 9 Mac lalu dan bertindak bersama sekumpulan ahli badan itu pergi menyelamatkan mangsa.

“Kami ke tempat kurungan mangsa dan terpaksa memecahkan pintu rumah yang bermangga sebelum membawa mangsa membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, mengikut cerita mangsa, wanita itu yang mengalami masalah kesihatan memaklumkan kepada ejennya supaya membawanya pulang dari kilang membuat cakera padat di Merlimau yang menjadi tempat dia mencari rezeki sejak dua tahun lalu.

Ibu tiri diburu, bapa ditahan


AMPANG: Ibu tiri kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menjadi mangsa dera masih diburu manakala bapa kandung kanak-kanak malang itu yang dipercayai turut mendera mangsa sudah ditahan polis kelmarin di sebuah pangsapuri di Jalan Duta di ibu negara.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata pihaknya mendapat laporan berhubung kejadian itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menahan reman lelaki terbabit dan direman sehingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan laporan perubatan, terdapat kesan kecederaan di atas kening kanan, lebam pipi kanan dan calar pada bawah dagu kanak-kanak itu.

“Selain itu, terdapat juga kesan calar lama pada bahagian belakang kepala dan muka mangsa. Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di sekitar Ampang bersama Ketua Polis Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa juga ada memberitahu pihak JKM dia sering dipukul ibu tiri dan bapa kandungnya sendiri. Harian Metro kelmarin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera diselamatkan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menerima laporan daripada jiran mangsa kira-kira jam 1 tengah hari Rabu lalu mendakwa kanak-kanak itu sering didera di rumahnya di Taman Putra Sulaiman, di sini.

Bekas banduan, kekasih dicekup edar dadah


KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara dan kekasihnya antara 14 individu ditahan sepanjang tempoh 24 jam dalam tiga Ops Tapis bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini, bermula Rabu lalu.
Lelaki berusia 32 tahun itu yang baru dibebaskan dari Penjara Penor, Pahang, atas kesalahan membabitkan dadah ditahan bersama teman wanitanya yang berusia 22 tahun di dalam kereta jenis Ford Laser.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata penahanan itu dibuat susulan dua serbuan awal di sekitar Felda Bukit Aping Timur dan Felda Ulu Tebrau.

“Kereta bercermin gelap dengan nombor pendaftaran Singapura itu ditahan pada jam 3.30 pagi, 17 Mac lalu oleh Ketua Balai Polis Mawai, Sarjan Ibrahim Mamat bersama tiga anggotanya.

“Ia susulan maklumat dikumpul dalam dua serbuan sebelum itu dan hasil siasatan, suspek lelaki terbabit mengaku sudah beberapa kali mengedar dadah di sekitar Felda Bukit Aping dan Felda Tenggaroh, Mersing,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Nyaris bunuh diri rugi RM136,292


MANGSA TIPU...Ng sedih rugi RM136,292.
MANGSA TIPU...Ng sedih rugi RM136,292.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas hampir membunuh dirinya akibat tekanan melampau selepas ditipu ‘tok guru’ nombor ekor yang mendakwa beroperasi di sebuah rumah ibadat di Utara tanah air menyebabkannya kerugian lebih RM100,000.
Difahamkan, kejadian bermula selepas mangsa, bekas penjawat awam menerima risalah yang menyiarkan janji kosong untuk memenangi wang RM1.5 juta melalui cabutan empat nombor ekor pada November tahun lalu. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 72, terlalu taksub mempercayai dakwaan itu selepas membaca testimoni yang terkandung dalam risalah terbabit sebelum menelefon nombor telefon tertera bagi mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk mengubah nasibnya yang bergantung hidup pada wang pencen.

Menurutnya, gambar patung berhala pada risalah itu serta senarai pemenang nombor ekor menjadikannya yakin untuk menghubungi nombor telefon berkenaan.

“Seorang lelaki yang dikenali sebagai Lee menjawab panggilan itu dan dengan nada meyakinkan, dia menerangkan mengenai skim berkenaan yang akan membolehkan saya memenangi wang RM1.5 juta melalui pembelian nombor ekor.

“Saya memasukkan RM250 ke dalam akaun diberikan untuk mendaftarkan diri pada 15 November lalu,” katanya ketika membuat pendedahan di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Katanya, dia diminta memasukkan lagi RM360 dan RM500 dua hari berturut-turut dan pada 17 November lelaki itu menghubunginya untuk memaklumkan dia sudah memenangi cabutan nombor ekor bernilai RM1.5 juta.

Ng berkata, lelaki itu berjanji menghantar slip nombor ekor itu dan dia menerimanya melalui pos beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan berkata dia perlu memasukkan sejumlah wang lagi bagi bagi urusan ‘sembahyang’, melindungi tiket loteri berkenaan serta mendakwa dia ditahan di Thailand kerana menyimpan nombor loteri yang sudah dimenangi itu.
“Saya yang yakin sudah memenangi wang jutaan ringgit memasukkan lebih banyak wang ke dalam akaun milik seorang lelaki bernama Tan Chung San sehingga kehabisan wang simpanan berjumlah RM136,292.

“Setiap kali dihubungi Lee atau tok guru yang dipercayai berasal dari Thailand dan fasih berahasa Malaysia, mereka turut menyanyikan sebuah lagu berunsur keagamaan dan saya bagai dipukau mengikut setiap permintaan mereka,” katanya.

Katanya, permintaan terakhir Lee adalah memasukkan wang RM52,000 untuk membayar cukai kepada Bank Negara dan disebabkan dia kehabisan wang simpanan, dia membuat keputusan meminjam dengan anak saudaranya.

“Saya hanya sedar selepas anak saudara menyergah ketika meminta wang dan selepas itu, saya menjadi tertekan dan hampir membunuh diri.

“Bagaimanapun, adik saya membantu membuat laporan polis dan laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sebanyak 16 kes membabitkan penipuan menggunakan risalah nombor ekor yang bersifat keagamaan direkodkan pihaknya sejak 2008.

Menurutnya, semua mangsa ditipu melalui modes operandi sama dan ada juga mangsa membuat pinjaman dengan ceti haram semata-mata untuk memenuhi permintaan bomoh nombor ekor itu.

“Mangsa yang semuanya warga emas terdiri dari berbilang bangsa dan secara keseluruhan, mereka hilang kira-kira RM2 juta,” katanya.

Tauke stesen minyak trauma, rugi RM40,000


SHAH ALAM: Seorang pengusaha stesen minyak bukan saja trauma akibat dirompak sekumpulan tiga lelaki malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM40,000 hasil kutipan harian stesen minyaknya, di sini, semalam.
Rompakan yang berlaku di hadapan sebuah bank di Seksyen 26 itu terjadi dalam sekelip mata ketika mangsa baru meletakkan motosikalnya berhampiran bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 40-an tidak menyangka didatangi tiga suspek bersenjatakan pisau dan parang.

Katanya, ketiga-tiga suspek mengarahkan mangsa menyerahkan wang dibawanya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

“Mangsa hanya menurut kehendak penjenayah berusia lewat 20-an dan awal 30-an itu kerana takut dicederakan.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, di sini,” katanya.Zahedi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun secara berkumpulan.

Mayat kena ikat tangan, kaki ditemui





2011/03/19

PETALING JAYA: Kemusykilan mengenai bau busuk yang dihidu penduduk di Blok 4, Rumah Pangsa Taman Medan Baru, Taman Medan 32, di sini terjawab selepas polis menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan kaki dan tangannya terikat di sebuah rumah di tingkat empat rumah pangsa lima tingkat itu, semalam.

Polis yang menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah hari, menghantar sepasukan anggota kereta peronda untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di dalam salah sebuah bilik di rumah terbabit yang tidak dihuni sejak lebih dua bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang bengkak dan berbau busuk.
-bharian

Meninggal selepas tolak kereta





2011/03/19

BUTTERWORH: Hasrat melawat kakaknya di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila Mohd Edris Che Amat, 57, meninggal dunia selepas rebah ketika menolak kereta yang rosak di Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim, di sini, semalam. 

Anaknya, Mohd Izaruddin, 24, berkata ayahnya yang bekerja di Penang Port Sdn Bhd (PPSB) kelihatan biasa ketika keluar bekerja pagi kelmarin dan tidak menunjukkan perubahan sikap.
“Ayah beriya-iya hendak ke Kuala Lumpur dan membeli tiket tiga minggu lalu. Biasanya dua tiga hari hendak berjalan baru beli tiket, tetapi kali ini lain pula,” katanya.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, pembantu kapten feri itu bersama dua rakannya membantu menolak kereta yang rosak untuk ditolak ke terminal feri. 

Bagaimanapun, selepas menolak kenderaan itu 10 meter, Mohd Edris tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri dan anggota perubatan mengesahkannya meninggal dunia di tempat kejadian. 

Warga tua maut dibakar



Oleh Nurhayati Abllah

2011/03/19

MAYAT Choong Fah (gambar kecil) ditemui rentung terbakar  di atas katil rumahnya di Ampang Baru, Ipoh,  semalam. - Foto Muhaizan Yahya
MAYAT Choong Fah (gambar kecil) ditemui rentung terbakar di atas katil rumahnya di Ampang Baru, Ipoh, semalam. - Foto Muhaizan Yahya
Mangsa ditemui rentung atas katil, ada kesan kelar di leher

IPOH: Seorang warga tua dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibiarkan dijilat api dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mangsa di Ampang Baru, di sini, semalam. 

Mayat Ho Choong Fah, 84, yang turut mempunyai kesan kelar di leher, ditemui di atas katilnya jam 1.50 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata mayat mangsa ditemui selepas sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyela-mat Ipoh membuat pemeriksaan dan memadam kebakaran di rumah itu sebaik mendapat laporan jam 12 tengah malam.
“Sebaik kebakaran dipadamkan, anggota bomba menemui satu mayat di atas katil dengan kesan terbakar. Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan kelar pada leher mangsa,” katanya selepas menghadiri majlis suai kenal bersama Persatuan Peniaga dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, semalam. 

Mohd Shukri berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher yang menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sebelum suspek membakar rumah mangsa. 

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan tinggal sendirian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya. 
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. 

Dua beradik mati saling berpelukan



Oleh Misiah Taib

2011/03/19

ANGGOTA perubatan memeriksa mayat dua beradik di  Pangsapuri Tabuan Park, Kuching, kelmarin.
ANGGOTA perubatan memeriksa mayat dua beradik di Pangsapuri Tabuan Park, Kuching, kelmarin.
Kakak cuba selimutkan adik elak terkena api

KUCHING: Dua beradik ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan saling berpelukan, selepas bilik utama di tingkat dua kediaman mereka di Pangsapuri Tabuan Park dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Dua beradik terbabit, Natasja Harun, 6, serta adiknya, Mohd Nurrzwan Syah, 5, dipercayai lemas akibat terhidu asap, ditemui di belakang pintu bilik ibu bapa mereka oleh anggota bomba dan penyelamat, sebaik berjaya memadam kebakaran kira-kira jam 7 malam.
Ketika kejadian, dua beradik malang itu berada di rumah ketika bapa mereka berusia 28 tahun keluar bekerja, sementara ibunya berusia 20-an keluar membeli barang tidak jauh dari kediaman mereka.

Tiga lagi kena jangkitan ‘Adenovirus’ masuk ICU



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2011/03/19

Pesakit pelatih inspektor PULAPOL KL termasuk 2 wanita

PUTRAJAYA: Tiga lagi pelatih inspektor Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pagi semalam selepas dijangkiti ‘Adenovirus’. 

Tiga pelatih terbabit termasuk dua wanita sebelum ini dirawat di wad biasa HKL. Ini menjadikan empat pelatih termasuk seorang konstabel ditempatkan di ICU hospital itu akibat jangkitan virus berkenaan, sehingga malam tadi.
Komandan PULAPOL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed, berkata empat pelatih yang dimasukkan ke ICU adalah antara kumpulan 23 pelatih yang sedang menerima rawatan di wad biasa HKL sejak dua minggu lalu.
“Sehingga jam 8 malam tadi, seramai 389 pelatih konstabel dan pelatih inspektor masih menjalani pengasingan di bilik gerakan PULAPOL hingga kesihatan mereka pulih,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. 

Semalam, pelatih inspektor, Mohd Ridzuan Ishak, 26, meninggal dunia pagi kelmarin selepas dirawat di ICU selama seminggu. 

Kematian pertama membabitkan seorang pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 21, dari Kuala Kangsar, Perak yang meninggal dunia pada Selasa minggu lalu selepas dirawat selama lima hari di unit rawatan sama. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi perhatian serius terhadap jangkitan ‘Adenovirus’ dan sering mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 
“Langkah-langkah pembersihan diteruskan bagi memastikan jangkitan virus terkawal dan pelatih yang sudah sihat dibenarkan menjalani aktiviti riadah ringan. 

“Pelatih wanita pula akan ditempatkan ke asrama baru sebaik proses pembersihan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Sementara itu, ahli keluarga mangsa kedua yang meninggal dunia akibat dijangkiti ‘Adenovirus’, Allahyarham Mohd Azizan melakukan ujian kesihatan di HKL bagi mencegah virus itu daripada merebak. 

Bapa mangsa, Ishak Taharin, 48, berkata beliau sekeluarga menjalani pemeriksaan, kelmarin ketika menunggu proses bedah siasat yang dijalankan terhadap anaknya. 

“Hospital memaklumkan keadaan kami sekeluarga baik dan bebas daripada ‘Adenovirus. Pihak hospital turut membekalkan beberapa jenis ubat antibiotik sebagai langkah pencegahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Sementara itu, ahli keluarga yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan pelatih PULAPOL atau perkara lain boleh menghubungi bilik gerakan PULAPOL di talian 03-26882009 dan 03-26882062. 

Janda Singapura dihukum gantung





SHAH ALAM – Seorang janda beranak satu warga Singapura dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan mengedar 372.4 gram dadah campuran heroin dan morfin dua tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Noor Atiqah M. Lasim (gambar), 27, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah firma guaman dekat sini selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Malah dalam penghakimannya, Noor Azian berkata, mahkamah mendapati wanita itu mempunyai pengetahuan dan kawalan ke atas dadah-dadah tersebut.
“Tertuduh di dalam pembelaannya menyatakan dadah di dalam beg itu bukan miliknya dan dia hanya membawa bagi pihak orang lain tanpa mengetahui isi kandungan beg itu.
“Pembelaan itu tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai oleh mahkamah kerana seseorang tidak akan membawa beg milik orang lain tanpa sebab,” katanya.

Pemandu bas diarah bela diri



MOHD. KAMIL diperintah membela diri oleh Mahkamah Khas Trafik Ipoh semalam atas tuduhan menyebabkan kematian 10 penumpang bas Sani Ekspres.


IPOH - Pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 37, yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan 10 penumpang maut diperintah membela diri pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam.
Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memerintahkan demikian setelah pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut.
"Berdasarkan keterangan saksi, ekshibit (barang bukti) dan keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan kes prima facie telah berjaya dibuktikan," jelasnya dalam penghakiman bertulis.

Anak Exco didakwa miliki dadah




MOHD. FAIZ (kiri) memperkatakan sesuatu kepada salah seorang rakannya selepas dituduh memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kangar semalam.


KANGAR – Seorang anak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis bersama tiga lagi rakannya mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memiliki dadah tahun lalu.
Mohd. Faiz Mansor, 27, bersama Nuri Cham Churi Mat, 36, Nazeri Yusof, 39 dan Fuziana Muhammad, 25, didakwa memiliki 1.46 gram heroin dan 0.4 gram morfin di pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik, Padang Besar pukul 7 malam pada 7 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta yang sama.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.