Search This Blog

Friday, March 18, 2011

51 syarikat digantung Sijil Pengesahan Halal


PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 51 syarikat digantung Sijil Pengesahan Halal (SPH) mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar piawaian halal Malaysia bagi 2010.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata daripada jumlah itu, enam syarikat ditarik balik taraf SPH oleh panel pengesahan halal dan tidak dibenarkan menggunakan logo halal.

Bagaimanapun, katanya, 23 syarikat lagi dikembalikan SPH selepas panel pengesahah halal berpuas hati dengan tindakan pembetulan syarikat terbabit sebagaimana diarahkan manakala 22 syarikat lagi masih dalam tindakan pembetulan.

"Rekod itu adalah hasil 1,384 pemantauan dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 1,077 bagi kategori produk makanan, 267 premis makanan di hotel dan restoran, 38 rumah sembelih dan dua pemantauan di kawasan gudang.

"Pemantauan dibuat berikutan Jakim menerima pelbagai aduan daripada pengguna berhubung penyalahgunaan logo dan juga sijil halal," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan kad kuasa pelantikan penolong pengawal perihal perdagangan kepada pegawai Jakim di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, di sini, hari ini. - Bernama

Seorang lagi dijangkiti virus kencing tikus


KUALA LUMPUR: Seorang lagi pelatih inspektor Pulapol, di sini, dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini, akibat jangkitan Adenovirus atau virus kencing tikus.
Kes terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan inspektor dan konstabel Pulapol yang ditempatkan di wad HKL mencecah 30 orang.

Komander Pulapol, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed, berkata jumlah itu termasuk seorang pelatih konstabel lelaki dan dua pelatih inspektor wanita dan seorang pelatih inspektor lelaki sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Pesara hampir bunuh diri kerana ditipu


KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas hampir membunuh diri berikutan tekanan melampau selepas ditipu 'tok guru' nombor ekor yang mendakwa beroperasi di sebuah rumah ibadat di utara tanah air sehingga menyebabkannya kerugian ratusan ribu ringgit.
Difahamkan, kejadian itu bermula selepas mangsa, bekas penjawat awam menerima risalah yang menyiarkan promosi kononnya boleh memperoleh RM1.5 juta melalui cabutan empat nombor ekor pada November tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 72, terlalu taksub mempercayai dakwaan itu selepas membaca testimoni yang terkandung dalam risalah terbabit sebelum menelefon nombor telefon tertera bagi mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk mengubah nasibnya yang bergantung hidup pada wang pencen.

Warga Nigeria dalang sindiket dadah


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria yang baru dibebaskan dari lokap dipercayai mendalangi sindiket mengedar dadah yang tertumpu di Taman Connought, Cheras, sejak hujung tahun lalu.
Difahamkan, suspek yang dikenali sebagai Mark berusia 40-an itu, sudah lama terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan pernah ditahan polis sebelum ini bagaimanapun dia dibebaskan beberapa hari kemudian.

Menurut sumber, suspek sudah merekrut beberapa rakan senegaranya untuk menyertai sindiket berkenaan dan kawasan 'panas' mereka adalah di kawasan belakang sebuah restoran makanan segera di Taman Connought.

Lelaki ditemui terbunuh


HULU SELANGOR: Seorang lelaki maut dipercayai dibunuh apabila mayatnya ditemui dalam keadaan kain pelekat terlilit pada leher mangsa di sebuah kawasan pelupusan sampah, Bukit Tagar, dekat sini, hari ini.
Dalam penemuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa disyaki dibunuh di kawasan lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam tong sampah dan dibawa oleh lori sampah sebelum dibuang ke kawasan pelupusan sampah berkenaan.

Selain lilitan kain pelekat pada leher mangsa itu, badan mangsa dipercayai turut dibalut dengan kain cadar dan turut diikat menggunakan tali.

Difahamkan, seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja di kawasan pelupusan sampah itu menemui mayat mangsa sebelum bertindak menghubungi polis.

Pekerja itu dikatakan sedang mengendalikan jentolak sebelum melihat mayat manusia dalam timbunan sampah berkenaan.

Mayat wanita tanpa kaki kiri


KENINGAU: Seorang lelaki tidak menyangka bau busuk yang disangka bangkai haiwan sebenarnya mayat wanita yang ditemui dalam keadaan mengerikan termasuk tiada kaki kiri dipercayai mati kira-kira tiga hari lalu di Kampung Bariawa Ulu, di sini, hari ini.
Matius Yuput, 52, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah bersama isterinya selepas menziarahi rumah anak mereka di Patikang dan melalui kawasan berkenaan, kira-kira jam 10 pagi.

"Ketika melalui jalan itu tiga jam sebelum itu, saya ada terhidu bau busuk seakan-akan bangkai haiwan tetapi hanya berlalu tanpa memeriksa punca sebenar bau itu.

"Sebaik tiba di rumah, saya menceritakan hal ini kepada seorang rakan tetapi dia seperti kurang berminat untuk mendengarnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Anak derhaka


KUANTAN: Seorang lelaki tergamak memaki hamun dan mencederakan ibunya hanya kerana permintaannya mendapatkan sejumlah wang tidak dipenuhi.
Warga emas yang berusia 61 tahun itu bukan saja terpaksa menelan segala maki hamun lelaki terbabit malah kepalanya turut cedera akibat tersembam di lantai selepas ditolak anak derhaka berkenaan.

Duka di hari perkahwinan


DUNGUN: Kegembiraan rombongan pengantin lelaki yang dalam perjalanan meraikan majlis perkahwinan bertukar duka apabila sebuah kereta yang berkonvoi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran simpang Tanjung Jara, dekat sini, hari ini.
Kemalangan berlaku apabila Perodua Kelisa dipandu Mohd Yuzal Md Yusof, 35, bersama isteri dan tiga anaknya serta seorang adik iparnya terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan tiga daripada mereka parah.

Tiga mangsa yang parah dalam kemalangan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu ialah anak Mohd Yuzal, Muhammad Faris Irfan, 2; isterinya, Rozila Ibrahim, 33, dan adik iparnya, Rosma Idayu, 20.

Muhammad Faris yang duduk di riba ibunya dilaporkan kritikal manakala Mohd Yuzal serta dua lagi anaknya, Fakrul Aiman, 10, dan Nor Fatihah Amirah, 7, mengalami kecederaan ringan.

Tiga rakan didakwa kerana bunuh lelaki



18/03/2011 4:53pm

KUALA LUMPUR – Tiga rakan hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah apartmen di Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini dua minggu lalu.
Penganggur S. Sangger, 39; Penyelia kilang S. Sivasangkar, 29; dan juruteknik K. Nirosh Kumar, 29, mengangguk faham pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Ahmad Shariff Akhbar Shah, 27, di No. 1515, Tingkat 15, Seasons Tower, Jalan 1/773 Off Changkat Thambi Dollah antara 5.30 pagi hingga 6 pagi, 6 Mac lalu.
Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penunggang motosikal maut terlanggar lori



18/03/2011 4:56pm

GEORGETOWN – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah lori yang berhenti di atas Jambatan Pulau Pinang, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, Leow Shen Kheong, 50, yang parah di kepala maut di tempat kejadian.
Dalam kejadian pukul 8 pagi tersebut, Shen Kheong yang menunggang bersendirian dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar lori rosak yang diletak di laluan kiri di Km 7.1 menghala ke Butterworth itu, katanya kepada pemberita di sini.
Shen Kheong ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kawasan pembinaan di Butterworth.
Mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. – Bernama

Dibunuh: Warga emas ditemui rentung



18/03/2011 5:07pm

IPOH – Mayat seorang warga emas yang ditemui hampir rentung di rumahnya di Jalan Ampang Baru 4, Ampang Baru di sini awal hari ini, dipercayai mangsa bunuh berikutan kecederaan di lehernya.
Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, mayat Ho Choong Fah, 84, ditemui pada pukul 1.50 pagi oleh sepasukan bomba yang memadamkan kebakaran di rumah tersebut.
Polis yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke lokasi dan menemui mayat Choong Fah terbaring di atas katil di sebuah bilik di rumah tersebut, katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Polis Perak dengan Persatuan Peniaga Melayu, Cina dan India di sini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kecederaan akibat tikaman di leher Choong Fah dan penyerang juga dipercayai cuba membakar rumahnya.
Choong Fah dipercayai tinggal bersendirian ketika kejadian, kata beliau. – Bernama

Polis rampas dadah, tahan dua suspek



18/03/2011 5:42pm

SEREMBAN – Polis menahan dua lelaki dan merampas heroin seberat 222.2 gram serta kanabis seberat 20.4 gram yang harga pasaran dianggar RM8,000, dalam Ops Tapis yang dilancarkan di daerah Jempol, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan, V.R. Ravi Chandran berkata, kedua-dua penganggur berumur 23 dan 37 tahun yang ditahan pada kira-kira pukul 11 malam itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata seorang pengawal keselamatan di Apartmen Seri Jasmin, Mantin dekat sini menjumpai 15 bungkusan mampat ganja yang dibalut dengan plastik dan kertas putih, dalam sebuah beg yang ditemui di sebuah unit apartmen kosong di kawasan itu pada kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
"Nilainya dianggar RM27,000. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya di sini hari ini. – Bernama

26,850kg kertas buangan haram dirampas



18/03/2011 6:16pm

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor merampas 26,850 kilogram kertas buangan selepas menahan sebuah lori di laluan keluar eksport di Kompleks Kastam Tanjung Puteri, di sini, tiga hari lepas.
Pengarah Jabatan Kastam Johor, Datuk Ramli Johari berkata, kertas buangan memerlukan permit untuk dieksport.
Bagaimanapun, pemandu lori itu sempat melarikan diri selepas terjun dari kenderaan itu ketika ditahan kira-kira 9.45 pagi, Selasa lepas oleh sepasukan anggota dari Unit Hasil (Eksport), katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ramli berkata, Sabtu lepas, pihaknya merampas rokok putih dan keretek pelbagai jenama bernilai RM10,862 dengan cukai dianggarkan RM106,466.34 dalam serbuan di premis di Taman Impian Mas, Skudai.
Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan kira-kira 10.30 malam itu, katanya. – Bernama

Pekerja MBI jumpa bom mortar tepi parit



18/03/2011 8:10pm

IPOH – Seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menemui sebutir bom mortar di tepi parit ketika dia sedang membersihkan kawasan itu di Taman Klebang Jaya, Chemur di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, bom yang ditemui pada kira-kira pukul 4.15 petang itu dipercayai peninggalan zaman perang dahulu.
"Satu skuad unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak akan memusnahkan bom itu malam ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dua hari lepas sebutir bom jenis yang sama ditemui oleh seorang pengusaha kedai barangan lusuh di dalam timbunan barangan lusuh di kedainya di Jalan Maharaja Lela, Teluk Intan. – Bernama

2 beradik mati lemas akibat terhidu asap kebakaran



18/03/2011 5:35pm



KUCHING 18 Mac – Dua beradik maut dalam keadaan menyayat hati akibat lemas terhidu kepulan asap tebal kebakaran rumah mereka di Jalan Setia Raja di sini malam tadi.
Kebakaran berlaku di bilik utama rumah didiami kanak-kanak itu yang terletak di tingkat tiga bangunan empat tingkat.
Mayat Natasha Haron, 6, dan adik lelakinya, Mohd. Ridzuan, 5, ditemui oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat selepas api berjaya dipadamkan. – Utusan

Polis tahan tiga lelaki, rampas DVD cetak rompak bernilai lebih RM500,000



GEORGE TOWN - Polis menahan tiga lelaki, ketika mereka sedang sibuk membungkus cakera padat digital (DVD) cetak rompak untuk diedarkan, semasa menyerbu sebuah premis di Gat Lebuh Maccallum di sini semalam.

Polis turut merampas lebih 100,000 keping DVD cetak rompak yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dan dipercayai untuk edaran tempatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 20an dan 30an itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

Kejayaan itu adalah hasil risikan sebelum sepasukan polis menyerbu premis itu yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan DVD itu pukul 4.30 petang, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan polis menjumpai sebanyak 62 guni plastik berwarna putih yang mengandungi 100,528 keping cakera padat cetak rompak dan 109 keping lagi dijumpai dalam sebuah kotak, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem yang jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tiga hingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Van konvoi seludup rokok



MELAKA - Satu sindiket penyeludupan rokok dari sebuah negara jiran mengguna van pelancongan untuk memunggah barangan terlarang itu semata-mata untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Selain itu, mereka turut dipercayai sanggup membayar ribuan ringgit kepada pemandu van berkenaan yang majoriti terdiri daripada belia untuk membawa masuk barangan terbabit.

Difahamkan, sindiket itu terpaksa menggunakan modus operadi begitu berikutan tertekan dengan operasi yang sering dijalankan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bagaimanapun, tindakan sindiket terbabit nyata memakan diri apabila ianya berjaya dihidu penguat kuasa kastam.

Hasilnya, rokok bernilai RM277,200 dengan cukai RM1.28 juta dirampas dalam cubaan menyeludup menggunakan konvoi tujuh van di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Kejadian kira-kira 10.30 malam pada 15 Mac itu turut menyaksikan tujuh lelaki berusia antara 23 dan 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua JKDM Melaka, Datuk Nasir Said berkata, Kastam Melaka, dengan kerjasama Kastam Johor, menjalankan operasi berkenaan selepas intipan selama lebih seminggu berikutan maklumat awam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, semua van berkenaan memasuki laluan bas di Bangunan Sultan Iskandar bagi melepasi kawalan dan pemeriksaan agensi penguatkuasaan.

“Bagaimanapun, tindakan mereka dikesan dan hasil pemeriksaan mendapati setiap van itu membawa muatkan antara 1,650 dan 2,000 karton rokok.

“Rokok berkenaan disusun di bahagian belakang van yang turut dipasang dengan langsir sebelum ditutup dengan kain hitam,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Melaka, di Banda Hilir, dekat sini, semalam.

Malaysiakini gagal batal saman fitnah Taib



KUALA LUMPUR - Portal berita Malaysiakini gagal membatalkan saman fitnah terhadapnya yang difailkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud setelah Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan plaintif.

Hakim Datuk John Louis O’hara ketika membuat keputusan berkata, setelah beliau mendengar hujah defendan, mahkamah mendapati isu perlembagaan yang dibangkitkan Malaysiakini bahawa tidak ada tindakan adalah tidak berasas dan ia bukan menyalahgunakan proses mahkamah.

O’hara berkata, beliau membuat keputusan itu setelah mengkaji peruntukan Akta Fitnah dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memerintahkan Mkini Dotcom memiliki portal berita membayar RM10,000 kepada Abdul Taib.

Bagaimanapun, hakim itu tidak menetapkan tarikh untuk saman itu didengar.

Pada 2007, Abdul Taib memfailkan saman setelah portal berita dalam talian itu menyiarkan 12 siri artikel daripada 6 April hingga 3 Mei 2007 yang beliau dakwa mengandungi perkataan memfitnah terhadapnya.

Mkini Dotcom diwakili peguam K Shanmuga dan Fahri Azzat sementara Yee Mei Ken untuk Abdul Taib.

Dalam kenyataan dakwaan, Abdul Taib menamakan Mkini Dotcom dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Gan Diong Keng, juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan.

Beliau berkata, perkataan memfitnah dalam artikel itu bagi makna biasa difahami antara lain bahawa beliau memiliki wang haram sebanyak RM32 juta hasil daripada aktiviti salah berkaitan perdagangan balak di Sarawak dan melakukan kesalahan jenayah dan boleh dikenakan pendakwaaan jenayah.

Abdul Taib berkata, beliau mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan sepucuk surat memohon kepada defendan, tetapi mereka gagal dan enggan mematuhi terma surat berkenaan.

Beliau memohon ganti rugi kerana menyebabkan kemudaratan teruk, faedah, kos dan relif lain yang mahkamah fikirkan munasabah. - Bernama 

Kes lacur artis: Waran tangkap Amin dikeluar



PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas perunding kewangan kerana gagal hadir pada prosiding rayuannya semalam berhubung sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menjadi perantara kepada empat artis bagi tujuan pelacuran 16 tahun lalu.

Hakim Datuk Sulong Matjeraie yang bersidang bersama-sama dua lagi hakimmengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Amin Jamadi, 41, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya V Shoba.

Peguam Kartar Singh, yang mewakili kedua-dua perayu, sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah Mohd Amin tidak dapat dikesan. Seorang lagi perayu dalam kes itu iaitu bekas pengurus syarikat penerbitan Haslinda Merican M A Merican, 45, hadir di mahkamah.

Turut bersidang bersama Sulong ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Clement Allan Skinner dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azahar Mohamed.

Mohd Amin dan Haslinda masing-masing dihukum penjara 10 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Oktober, 2000 setelah mendapati mereka bersalah melakukan kesalahan itu di lobi Hotel Ming Court, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara jam 8 dan 10.30 malam, pada Jun 1995.

Pada 27 November 2008, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan kedua-dua mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara dan denda itu serta mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Tinggi, bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu, sementara menunggu rayuan diputuskan dan turut melanjutkan tempoh jaminan masing-masing yang dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Perbicaraan kes itu diberi liputan meluas media kerana beberapa nama berprofil tinggi dan artis disebut di mahkamah.

Pada prosiding semalam, panel hakim juga menangguhkan pendengaran rayuan mereka ke 16 Mei berikutan penarikan diri Hakim Azahar daripada mendengar rayuan itu.

Pelakon parah dibelasah



PETALING JAYA – Seorang pelakon yang baru meningkat naik menjadi mangsa keadaan apabila dia dibelasah gara-hara dituduh melanggar sebuah kereta lain dalam kawasan perumahannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa didatangi tiga lelaki yang tidak dikenalinya menuduhnya melanggar kereta milik seorang daripada suspek yang diletakkan di hadapan rumah.

Mangsa, Mustam Mustapa, 29, berkata, ketika kejadian dia baru pulang ke rumah selepas keluar makan bersama isterinya.

“Kereta terbabit berhenti di hadapan rumah dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 40 dan 20 tahun datang mengertak dan menyuruh saya mengaku bahawa saya yang melanggar kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya.

"Sedangkan saya tidak tahu langsung mengenai perkara itu dan mereka menuduh saya berdasarkan kesan kemek dan cat putih di sebelah kiri bahagian belakang kereta saya,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Menurutnya, tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kedua-dua lelaki itu bertindak memukul, menyepaknya bertubi-tubi dengan seorang daripadanya menghentak kepalanya dengan batang besi.

"Ketika dia memukul saya, ada seorang lagi lelaki Cina yang mendakwa ternampak saya melanggar kereta suspek.

“Saya dibelasah hampir 10 minit oleh kedua-dua lelaki itu dan ketika itu saya sudah jatuh tertiarap di atas jalan dan mereka langsung tidak beri peluang untuk saya bercakap, bila melihat saya cedera, lelaki berusia 40 tahun itu menyuruh saya masuk ke dalam rumah untuk membasuh luka,” katanya.

Difahamkan pelakon itu turut diugut bunuh jika dia tidak mengaku melanggar kereta lelaki terbabit.

“Saya dipaksa untuk mengaku bila saya mengaku langgar dia terus belasah saya tanpa henti,” katanya.

Pelakon watak Remi dalam Drama Bersiri Epilog Syurga Cinta itu memberitahu kerana panik melihat kecederaan yang dialaminya, lelaki terbabit membuang baju yang dipakainya di tempat lain.

“Saya tidak kenal lelaki itu, lagipun tidak logik saya yang langgar kerana saya tidak pernah melalui lorong rumahnya.

Jelasnya, lelaki terbabit turut melarikan kad pengenalan, telefon bimbit dan kad bank miliknya.

Akibat kejadian, dia terpaksa menerima lapan jahitan di kepala selain cedera pada mata dan beberapa bahagian anggota badan.

Laporan mengenai kejadian dibuat di Balai Polis Bandar Sri Damansara.

Jinakkan ular sawa 100kg



TAMAN PASIR PUTIH – Seberani namanya, seorang pemuda digelar hero ular dalam kalangan penduduk Kampung Bukit Pulai, di sini apabila berjaya menangkap ular sawa kali kelapan di sekitar kampungnya sejak tahun 2000.

Nur Satria Rabu, 25, berkata, terbaru sepasang ular sawa seberat 100 kilogram dan sepanjang empat meter berjaya ditangkap tiga hari lalu ketika ular berkenaan bermain di dalam air hulu Sungai Kim Kim.

Menurutnya, pada mulanya hanya seekor ular sawa yang muncul di permukaan sungai berkenaan, tetapi selepas dua jam ular itu ditangkap, muncul pula pasangannya.

“Saya terpaksa meminta bantuan tiga rakan yang kebetulan bersama-sama melepak di atas jambatan untuk mengangkat ular sawa berkenaan kerana terlalu berat.

“Pada mulanya kami agak terkejut juga kerana selepas dua jam ular sawa itu ditangkap, tiba-tiba muncul pula seekor lagi ular sawa di permukaan air yang sama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Nur Satria berkata, itu pengalaman kali pertama menangkap sepasang ular sawa kerana sebelum ini ular yang ditangkap secara solo, tetapi beratnya ada yang pernah mencecah sehingga 200 kilogram dan sepanjang 10 meter.

Menurutnya, ular sawa dengannya sudah menjadi seperti kawan, kerana persekitaran kampung yang semak-samun menjadi tempat pembiakan habitat itu.

“Penduduk di sini sudah terbiasa dengan kehadiran ular sawa dan kerap mendengar ular sawa menyusur di tepi rumah, malah beberapa kali menghadapi masalah kehilangan ayam di dalam reban.

“Sebelum ini ular sawa yang ditangkap ada yang saya lepaskan ke laut jauh dari kediaman penduduk dan ada pernah dihantar ke zoo, tetapi sepasang ular sawa kali ini akan saya akan bela di dalam sangkar yang bakal dibina dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, walaupun beberapa kali, malah meninggalkan beberapa parut kesan digigit ular sawa yang ditangkap, tetapi tidak pernah menakutkannya untuk terus menangkap ular sawa.

Menurutnya, keberanian ayahnya yang juga bekas penangkap ular sejak dari muda sehingga uzur menjadikan peniup semangat kepadanya untuk menuruti jejak langkah ayahnya.

“Saya tidak pernah merasa gerun, malah ketika pertama kali berdepan ular sawa yang besar, tidak pernah sekalipun terdetik rasa takut kerana pengalaman ayah banyak membantu saya,” katanya.

Masih tiada khabar berita



PONTIAN – Nasib tujuh nelayan dari Pontian Besar, Pontian yang ditahan pihak berkuasa Indonesia, di Bengkalis, Sumatera, pada 7 Mac lalu, masih belum diketahui.

Ahli keluarga mereka hidup dalam keadaan terumbang ambing kerana setelah 10 hari terpisah, mereka belum mengetahui status kedudukan semua nelayan terbabit sehingga kini.

Kesemua nelayan dalam dua bot pukat tunda meninggalkan pangkalan nelayan di Pontian Besar kira-kira jam 12.30 tengah hari, Isnin dan dimaklumkan ditahan kira-kira jam 6 petang, ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Mereka dikatakan menceroboh perairan Indonesia sedangkan kedua-dua bot berkenaan masih berada dalam perairan Malaysia di kawasan laut Senggarang, Batu Pahat pada bacaan alat Global Positioning System (GPS) yang digunakan bot pukat terbabit.

Kedudukan kedua-dua bot berkenaan di lokasi 01’ 26.958 N dan Long 103’ 04.046 E sepertimana disahkan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kukup yang berkejar ke lokasi sebaik menerima maklumat.

Bot berpendaftaran JHF 7281 milik Ibrahim Mohd Kassim telah ditahan bersama tiga awak-awak Ridzuan Aris, Mohd Zamri Hambali dan Subani Samsudin.

Manakala, bot kedua JHF 6963 milik Tang Chee Ming dikendalikan anak angkatnya Zainudin Adam yang menjadi Tekong, bersama awak-awak Rosli Abd Rashid dan Jamil Mat Top.

Abang Ibrahim, Tahir berkata, mengikut sepertimana kejadian yang lepas, nelayan yang ditahan akan diambil tindakan undang-undang setelah 20 hari perundingan tidak dapat diselesaikan.

“Sebagai contoh, seorang nelayan dari pangkalan di sini telah di penjarakan di Indonesia selama tiga tahun setelah dituduh menceroboh perairan negara berkenaan.

“Inilah yang merunsingkan kami kerana sungguhpun pihak Wisma Putra telah menghantar pegawainya untuk berunding pembebasan ketujuh saudara kami, namun 10 hari telah berlalu masih belum ada sebarang keputusan yang positif diambil oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Pihak PGM yang diketuai Ketua Bot Koperal Samsudin Rahmat berkejar ke lokasi setelah mendapat kelulusan daripada Pegawai Pemerintah Marin Kukup, Inspektor Aziz Abu Hashim.

“Kami tiba di lokasi berkenaan pada jam 7.30 malam tetapi pihak berkuasa Indonesia tidak menghiraukan kedatangan kami dan terus mengiringi kedua bot pukat tunda terbabit masuk ke perairan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, bapa Ridzuan, Aris Baba berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada PGM Kukup kerana bertindak pantas sehingga dapat memastikan lokasi di mana kedua bot pukat berkenaan ditahan.

Pemilik bot, Tan Chee Ming berkata, Zainuddin yang menjaga botnya selama 40 tahun dianggap sebagai anak sendiri.

“Kehilangan Zainuddin telah menjejas rezeki semua keluarga awak-awak yang bergantung hidup dengan bekerja di atas bot dan beliau sendiri kehilangan pendapatan serta bot yang bernilai hampir RM500,000.

“Sepertimana kejadian yang lalu, bot yang ditahan pihak berkuasa Indonesia tidak pernah dikembalikan,” katanya.

Tujuh ahli Geng Melor kena tangkap



JOHOR BAHRU – Seramai tujuh lelaki berusia 26 hingga 37 tahun yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah secara berkumpulan dikenali sebagai Geng Melor berjaya ditangkap oleh sekumpulan anggota dari Balai Polis Tampoi diketuai ketua balainya, pada 14 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya berjaya merampas lebih 40 jenis barangan dipercayai hasil pecah rumah, samun dan peralatan digunakan susulan daripada penangkapan kesemua lelaki terbabit.

Menurutnya, kumpulan Geng Melor terlibat dalam kes pecah rumah, ragut dan samun di sekitar bandar raya ini malah penahanan kesemua lelaki itu berjaya menyelesaikan 21 kes jenayah berkenaan.

“Barangan yang polis temui semula adalah 19 telefon bimbit, lapan parang dan pisau, empat jam tangan, 13 kasut, televisyen, LCD, Grinder, Drill, kamera, enam pemain video, bateri dengan kunci kereta, dua pemain kaset kereta, rekoder mini poket dan speaker.

“Antara peralatan dirampas adalah empat tukul, mesin pemotong rumput, gunting, lima pemotong besi, lima sepana, enam alat pemotong dawai, kuku kambing, empat pemutar skru, dua pahat, dua gergaji besi, dua batang ‘Allan Key’, sepana ubah suai serta kereta jenis Mini Clubman yang dilaporkan hilang di Balai Polis Daerah Johor Bahru Selatan,” katanya.

Jalaluddin berkata, semakan rekod oleh pihak mendapati enam daripada tujuh yang ditangkap mempunyai rekod kesalahan lalu melibatkan kes curi kenderaan, ditahan di bawah ordinan pencegahan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek terbabit ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 20 Mac ini,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan bersenjata) dan Seksyen 457 kanun yang sama (pecah rumah dan curi) di mana masing-masing boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun serta 14 tahun selain didenda atau sebatan.

28 kes curi motor selesai



JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya menangkap dua lelaki tempatan di sekitar Kluang yang dipercayai terlibat dengan kegiatan curi motosikal berkumpulan pada 12 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, susulan daripada penangkapan itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek di sekitar bandar raya ini dan daerah Kluang.

Menurutnya, kesemua yang terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak bulan November 2010 hingga Februari lalu berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun dan dua daripadanya merupakan pelajar sekolah.

“Susulan daripada tangkapan ini, polis berjaya membuat rampasan tiga motosikal yang dilaporkan hilang di Kluang dan Melaka Tengah, Melaka.

“Selain itu, tujuh rangka motosikal yang dilaporkan di Kluang dan Johor Bahru serta lima rangka motosikal sudah ditukar nombor casis (dipercayai curi) juga berjaya ditemui semula,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Jalaluddin berkata, kesemua lelaki terbabit kini sedang ditahan reman sehingga 18 Mac ini dan semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai kesalahan lampau.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis telah berjaya menyelesaikan 28 kes curi motosikal di daerah Kluang, Melaka Tengah dan Johor Bahru.

“Polis juga sedang mengenal pasti dua lagi remaja yang terlibat dalam kegiatan curi motosikal di daerah Kluang dan orang ramai diharapkan dapat memberikan maklumat untuk menjejali mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, polis kini sedang giat membuat rondaan dan pemantau di lokasi sasaran seperti di pusat kafe siber, pusat snuker serta pusat membeli-belah dalam usaha membanteras kegiatan curi motosikal di negeri ini.

8 kes samun jalanan selesai



TAIPING – Polis berjaya menyelesaikan lapan kes samun jalanan di sekitar daerah Taiping dengan tertangkapnya empat suspek pada 14 dan 15 Mac lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kesemua suspek yang ditahan adalah remaja berusia antara 17 hingga 22 tahun.

Menurutnya, polis yakin dengan penangkapan empat lelaki berkenaan berjaya menyelesaikan lapan kes samun membabitkan kedai serba guna 24 jam, 7 Eleven, kedai telefon bimbit dan juga kafe siber.

"Semua suspek ditangkap di sekitar kawasan Matang dan Simpang, buat masa ini, mereka akan direman selama tujuh hari sehingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Yusuf berkata, pihaknya turut menemui dua pisau dipercayai digunakan sebagai senjata ketika menjalankan aktiviti samun.

Menurut beliau, sekiranya didapati bersalah, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan.

"Hasil ujian air kencing yang dilakukan, dua daripada suspek didapati positif dadah," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Polis Taiping juga berjaya menangkap seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan seorang ahli perniagaan di Kawasan Perindustrian Tupai, Julai tahun lalu.

Yusuf berkata, pihaknya sentiasa memandang berat kes membabitkan samun jalanan yang berlaku di daerah itu sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Menurutnya, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan siasatan terperinci terhadap setiap kes yang dilaporkan.

Kereta depan rumah lesap



TELUK INTAN - Seorang wanita mengalami kerugian hampir RM80,000 apabila kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya lesap dalam tempoh hampir 80 minit.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian hanya disedari mangsa kira-kira 9.30 malam, Jumaat lalu apabila mendapati kereta jenis Toyota Wish miliknya tidak berada di rumah di Taman Antique Avenue, di sini.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berusia 41 tahun meletakkan kenderaan di hadapan rumah kira-kira jam 8.10 malam sebelum keluar melawat rakannya di kawasan perumahan yang sama.

“Daripada maklumat yang kita terima, mangsa meninggalkan kenderaan miliknya dalam keadaan berkunci dan pergi berjumpa rakannya tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pada jam 9.30 malam, wanita itu pulang daripada rumah rakanya dan mendapati kereta berkenaan telah lesap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kok Liang berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan operasi mencari kenderaan itu dengan mengedarkan maklumat kepada setiap balai sekitar daerah berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 37 (a) Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan taktik penjenayah yang menunggu peluang melakukan jenayah.

Katanya, sikap sambil lewa dengan tidak menjalankan langkah keselamatan terhadap barang bernilai termasuk kenderaan memberi ruang kepada penjenayah bertindak.

“Saya mahu orang ramai lebih berhati-hati, pasang kunci keselamatan pada kenderaan, ia dapat membantu mengurangkan risiko daripada dicuri,” katanya.

Lima lelaki ditahan



IPOH – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya menahan sekumpulan lima lelaki berusia antara 28 hingga 56 tahun di sekitar Ipoh dan Tapah yang disyaki dalam kes penipuan tanah di Bidor membabitkan seorang lelaki peniaga besi buruk pada 1 Mac lalu.

Tiga daripada ahli kumpulan terbabit mempunyai latar belakang yang berkait rapat dengan urusan tanah iaitu pembantu am dan bekas kakitangan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Ipoh.

Manakala dua suspek yang turut bersubahat dalam kes penipuan itu merupakan pesara Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan ‘broker’ tanah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kumpulan berkenaan meyakinkan mangsa dengan menawarkan bantuan untuk memohon tanah seluas 9.6 hektar dan menyerahkan beberapa dokumen kelulusan dari PTG Ipoh.

Menurutnya, mangsa berkenaan yang berasa ragu-ragu membuat semakan di PTG Ipoh dan mendapati tiada permohonan tanah yang diluluskan atas namanya sehingga menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM24,000.

“Melalui penahanan itu kami turut merampas 45 keping kepala surat PTG Ipoh yang asli, sembilan cop dan 20 helai dokumen jabatan itu yang palsu, 13 helai resit rasmi bayaran premium jabatan yang palsu, empat keping salinan pelan tanah serta satu komputer riba dan pencetak yang disyaki digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Perak di sini, semalam.

Katanya, kesemua suspek berkenaan masih berada direman dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa dan suspek lain yang berkemungkinan terbabit dalam kegiatan ini,” katanya.

Ditipu pemborong kain Internet



YAN BESAR – Seorang suri rumah mendakwa ditipu apabila wangnya berjumlah RM670 lesap selepas melakukan urusan jual beli melalui laman sosial Facebook.

Nor Hayatilamin Ismail, 28, berkata, urus niaganya yang pertama dengan pemborong berkenaan berjalan lancar.

“Pada mulanya saya melayari Internet dan melihat laman Facebook itu dan terus menempah buat kali pertama sebanyak 10 pasang dan beberapa bulan kemudian kain yang saya tempah sampai tetapi tidak menepati jenis kain yang saya minta.

“Lepas tempahan pertama saya menempah buat kali kedua dengan tempahan sebanyak 40 pasang kain, tetapi sangat mengecewakan apabila kain yang sampai hanya 21 pasang dan bukan jenis kain yang saya inginkan,” katanya ketika kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, apabila dia bertanya kepada pemilik perniagaan berkenaan, mereka memberi alasan tidak menemui borang tempahan yang diisi secara dalam talian olehnya.

“Saya hanya berhubung dengan pemborong berkenaan melalui telefon dan mesej sahaja, setelah saya bertanya beberapa kali berkenaan hal ini saya tidak mendapat sebarang reaksi daripada pihak pemborong, dan apabila saya menghantar mesej kepada nombor berkenaan, mereka memberikan saya satu nombor untuk dihubungi, tetapi masih tidak mendapat jawapan,” katanya.

Nor Hayatilamin berkata, sebelum dia memasukan wang ke dalam akaun pemborong, setiap mesej yang diberikan pasti mendapat jawapan, namun setelah kesemua jumlah wang dibayar tidak ada sebarang mesej yang diterima.

“Saya tidak ada niat pun untuk menjatuhkan perniagaan sesiapa tetapi cukuplah jika pihak yang berkenaan membayar kembali baki duit yang saya telah bayar untuk harga kain yang ditempah, setelah saya memberi komen di laman sosial Facebook berkenaan isu ini, mereka terus menyekat saya daripada akaun Facebook mereka,” katanya.

Nor Hayatilamin berkata, pembelian secara dalam talian itu bukan yang pertama kali kerana dia banyak menjalankan urusan jual beli dalam Internet tetapi tidak menyangka perkara itu akan berlaku.

“Apa yang saya dapat tahu melalui laman sosial ini, bukan saya sahaja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa pelanggan lain juga turut menerima nasib sama, bila bertanya menggunakan laman Facebook pemborong, pelanggan terbabit diugut akan disaman kerana memburukkan perniagaan mereka,” katanya.

Sekali harung



AYER KEROH - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat minyak sanggup menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak menyamun sepasang kekasih sebelum merogol seorang daripada pasangan itu yang di bawah umur.

Akibat tindakan beraninya itu, dia berdepan dengan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen dekat sini, semalam.

Tertuduh, Rizal Azlie Abdullah, 35, dari Tanjung Kling didakwa terhadap dua pertuduhan berasingan, bagaimanapun tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan selepas faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama seorang rakan melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta kepunyaan Woo Pei Jiun, 18, iaitu sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua buah telefon bimbit jenis Sony Ericson.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah pondok kawasan Pantai Puteri, Tanjung Keling, kira-kira 11 malam, 23 Disember 2010.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati merogol seorang daripada pasangan kekasih itu yang berusia 14 tahun 11 bulan di sebuah ladang sawit, Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya antara 11.30 malam dan 1.30 pagi pada tarikh sama.

Dua peragut diberkas



PUCHONG – Demi cinta dan kasih kepada tunang tersayang, seorang lelaki sanggup dirempuh motosikal dinaiki dua suspek yang sebelum itu meragut beg tangan tunangnya itu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam kelmarin itu, gadis berusia 18 tahun dikatakan menunggu tunangnya di hadapan rumahnya di Jalan 5, Taman Bukit Kuchai dekat sini sebelum didatangi dua suspek warga Myanmar.

Suspek kemudian didakwa mengacukan pemutar skru ke arah muka mangsa sebeluu mengarahkannya menyerahkan beg tangan mengandungi sejumlah wang dan beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela)yang disandang.

Mangsa yang enggan berbuat demikian sempat menarik beg tangannya itu namun suspek berjaya merentap dan terus melarikan diri menaiki sebuah motosikla jenis Honda EX5.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kejadian itu bagaimanapun disedari tunang mangsa yang kebetulan menaiki motosikal menuju ke arah rumah tunangnya itu.

“Suspek tidak bernasib baik kerana menghala ke arah jalan yang bertembung dengan laluan digunakan tunang mangsa.

“Tanpa memikirkan keselamatan nyawanya sendiri, tunang mangsa terus menghalang suspek menggunakan motosikalnya sebelum dia dilanggar,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Razak berkata, bunyi bising akibat pergelutan antara suspek dan tunang mangsa menyebabkan penduduk setempat keluar memberi bantuan.

“Tunang mangsa berjaya mencekup salah seorang suspek manakala seorang lagi diberkas penduduk setempat.

“Beg tangan yang diragut berjaya diperolehi semula namun mangsa mengalami kecederaan dan lebam di tubuh badan akibat pergelutan itu,”katanya orang awam kemudian menyerahkan kedua-duanya kepada pihak polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki tidak mempunyai pekerjaan tetap, seorang mempunyai pasport manakala seorang lagi pemegang kad pelarian UNHCR.

Mati bersama




KOTA DAMANSARA – Kegembiraan dua sekawan mandi di kolam takungan banjir berhampiran kawasan perumahan Lake View Side Seksyen 6 dekat sini berakhir tragedi apabila kedua mereka mati lemas, petang semalam.

Mangsa, Badrul Amin Bastian, 9 dan Amir Razmi Asmawi, 11 yang tinggal di Flat Gugusan Cempaka 5 dikatakan turun ke kolam tersebut untuk mandi bersama rakan-rakannya yang lain kira-kira jam 6 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritenden Meor Hamdan Meor Mohamad berkata mangsa dipercayai lemas akibat dibawa arus deras.

Menurutnya, polis yang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.30 petang sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke tempat kejadian berjaya menemui kedua-dua mangsa tidak jauh antara satu sama lain.

“Mayat Badrul Amin Bastian ditemui kira-kira jam 7.40 disusuli mangsa kedua Amir Razmi lima minit kemudian kurang dua meter dari tempatnya terjatuh,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Polis tidak menolak kedua-dua mangsa lemas kerana tidak pandai berenang dan air deras di kolam selepas hujan

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Sehubungan pihaknya mengingat ibu bapa supaya memantau pergerakkan anak masing–masing terutama pada musim cuti persekolahan bagi memastikan tragedi seperti itu tidak berulang.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Dua remaja mangsa rogol



KUANTAN – Seorang remaja cuba mencederakan diri dengan mengelar pergelangannya menggunakan kaca kerana kecewa akibat diperkosa bergilir-gilir tiga rakan lelaki yang dikenali.

Remaja yang tidak bersekolah itu dikatakan pulang ke rumah selepas kejadian ngeri itu tetapi bertindak mencederakan diri selepas tersedar dari tidur.

Tindakan remaja itu disedari bapa saudaranya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Superintendan Mohd Haris Daud berkata, remaja berusia 15 tahun itu dirogol di sebuah pondok usang dalam ladang kelapa sawit, Kota Bahagia, Rompin.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang selepas mangsa bersama tiga rakan lelakinya meminum minuman keras Thai Song.

“Selepas meminum minuman keras itu, tiga lelaki berkenaan mabuk dan merogol remaja itu secara bergilir-gilir,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Katanya, bertindak atas laporan bapa saudara remaja berkenaan, sepasukan Unit Forensik melakukan siasatan dan mendapati ada tompokan air mani dan beberapa puntung rokok di tempat kejadian.

“Polis menahan tiga suspek berusia 17 tahun ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain, Mohd Haris memberitahu, polis menahan dua lelaki berusia 18 tahun kerana disyaki merogol gadis berusia 16 tahun di Pantai Air Leleh, Pekan.

Hasil siasatan, gadis itu sebelum ini mendakwa melakukan hubungan seks bersama beberapa lelaki mengandung 13 minggu.

“Semua lelaki terbabit kini ditahan reman dan akan menerima hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan,” katanya.

Simpanan dalam bank lesap



DESA MURNI - Seorang ibu dan anak lelakinya mengalami kerugian kira-kira 6,101.41 apabila duit simpanan mereka di dalam tiga bank lesap tanpa diketahui punca pengeluaran wang simpanan itu.

Mangsa, Natrah Aziz, 43, berkata, pada 6 Mac lalu dia mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM200 di salah sebuah institusi bank di bandar Temerloh dan melihat baki masih ada sebanyak RM1,451.41 dan selepas itu dia tidak membuat sebarang transaksi pengeluaran.

Menurutnya, sehinggalah pada 14 Mac lalu dia mahu mengeluarkan wang simpanannya itu dan terkejut melihat baki di dalam akaun hanya tinggal sebanyak RM150.00.

“Saya terus bertanya kepada pihak bank berhubung baki wang simpanan saya sedangkan selepas 6 Mac lalu saya tidak mengeluarkan wang. Saya begitu terkejut dan meminta pihak bank menunjukkan penyata transaksi akaun, saya turut menunjukkan resit lama yang masih disimpan sebagai bukti.

“Daripada penyata dan siasatan yang dilakukan pihak bank itu menunjukkan terdapat pihak bank lain yang mengambil wang saya itu tanpa sebarang tujuan, sedangkan saya tidak berhutang dengan mana-mana bank mahupun hutang kad kredit.

“Saya begitu kesal dengan perkara ini menyebabkan kepercayaan saya pada pihak bank semakin pudar,” katanya.

Nasib sama menimpa anak lelakinya, Fakhrul Razi Ahmad Khairi, 21, di mana dia baru sehari membuka akaun di salah sebuah bank di bandar ini dan keesokannya wang simpanannya sebanyak RM1800 untuk tujuan membeli kereta juga lesap.

“Saya begitu kecewa dan sedih apabila pihak bank menuduh saya sengaja menayangkan nombor pin kepada orang awam ketika saya membuat aduan kepada mereka berkaitan permasalahan ini,” katanya.

Menurut Fakhrul Razi, dia meminta supaya pihak bank memberi perhatian serius berhubung kehilangan wang simpanan itu.

Ekoran kejadian itu mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

13 mekanik terlibat



KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal adalah antara 13 yang ditahan disyaki terlibat dengan sindiket curi, lerai dan jual komponen kereta yang berleluasa di sekitar daerah ini.

Anggota berumur 43 tahun yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi undang-undang itu, bagaimanapun dikatakan melakukan jenayah terbabit demi kepenti-ngan diri menjadikan hasil curi terbabit sebagai alat ganti kenderaan untuk dijual kepada pelanggan.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustapa berkata, anggota tersebut yang berasal dari Kelantan dan turut bekerja sebagai mekanik itu telah dihantar ke Subang Jaya bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang sama di sana.

“Anggota polis tersebut ditahan bersama seorang lagi suspek semalam dan buat masa sekarang kita masih menyiasat siapa dalang di sebalik sindiket ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pondok Polis Mengabang Telipot, di sini, semalam.

Serbuan yang dilakukan dalam dua kejadian berasingan dikenal sebagai Ops Lejang Lerai itu melibatkan 13 suspek berumur 30 hingga 40 tahun iaitu 11 daripadanya ditahan di Kuala Terengganu pada 8 Mac lalu dan dua ditahan di Marang, semalam.

Kesemua mereka yang merupakan mekanik dikatakan melakukan sindiket mencuri dan meleraikan kenderaan bagi tujuan menjualnya sebagai alat ganti kepada pelanggan.

Menurut Jamshah, melalui serbuan di bengkel dan rumah perseora-ngan, pihaknya menemui kulit enjin, pintu, peralatan memotong kenderaan dan komponen lain yang disyaki dicuri selain mengesan dua kereta curi daripada 10 yang dirampas pihaknya.

“Kegiatan ini telah dijalankan sejak setahun lalu dan kita dapati modus operandi yang digunakan adalah dengan mencuri kereta lama seperti Proton Israwa, Wira, Wira Aeroback, Proton Saga dan Kelisa,” katanya.

Pihaknya juga berjaya menyelesaikan tujuh kes berikutan penahanan suspek terlibat iaitu lima di daerah ini dan masing-masing satu di Kemaman dan Subang Jaya, bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk memastikan sama ada wujud rangkaian dengan negeri lain di luar Terengganu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motor, Seksyen 411 kanun yang sama kerana menyimpan barang curi dan Seksyen 414 membantu menyembunyikan dan melupuskan barang curi.

Sementara itu, pihaknya turut menjejaki tiga lelaki untuk membantu siasatan kes terbabit iaitu Anuar Awang Hamad, 40, dan anaknya, Mohd Rafizzi Anuar, 21, beralamat di Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering dan Md Yus Sani Md Yusuf di alamat Jalan Pelabuhan Kuaters Perikanan Chendering, di sini.

“Sesiapa yang mendapat maklumat mengenainya boleh menghubungi kami menerusi melalui talian 09-6354724,” katanya.

SH

Polis cari waris mangsa langgar lari



CHUKAI – Polis Kema-man meminta waris seorang lelaki warga emas yang maut dalam kejadian langgar lari awal pagi semalam tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan menuntut jenazah berkenaan di Hospital Kemaman (HK).

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, mayat lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu yang dipercayai mengalami kecacatan pada kaki kiri dan berjalan menggunakan alat sokongan, ditemui kira-kira jam 1 pagi dalam keadaan terbaring di tepi pembahagi jalan di Kilometer 152, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran bangunan Risda Kemaman, dekat sini.

Menurutnya, mangsa yang berkulit sawo matang dan berpakaian seluar sukan berwarna hitam serta berkain pelekat dipercayai dilanggar kenderaan berat ketika melintas jalan.

“Akibat dilanggar, mangsa terpelanting dan kepalanya cedera parah disebabkan terhentak pada pembahagi jalan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dan ketika ditemui polis hanya menemui sebuah dompet pada mangsa yang berisi wang tunai sebanyak RM200 tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Abdullah Sani berkata, memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri mangsa mahupun laporan polis yang dibuat sebelum ini berhubung kehilangan lelaki terbabit, pihaknya tidak dapat menghubungi waris mangsa bagi membantu siasatan.

“Pihak pengurusan bilik mayat hospital hanya boleh menyimpan mayat mangsa tidak lebih dari tiga hari sebelum diserahkan kepada pejabat agama bagi tujuan pengebumian.

“Polis juga tidak menemui sebarang kesan kemalangan seperti kesan brek dan sebagainya di tempat kejadian yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Malah katanya, orang awam yang ditemui di kedai berhampiran juga tidak menyedari kejadian kemalangan itu berlaku dan disyaki terjadi ketika hujan lebat.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah dan pendarahan teruk di kepala dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Abdullah Sani berharap sesiapa yang kehilangan ahli keluarga dapat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk mengecam mayat terbabit.
SH

Tiga premis kotor



KOTA BHARU - Tidak serik. Biarpun banyak operasi penutupan premis kotor dijalankan di sekitar daerah ini tetapi peniaga di sini tetap berdegil dan tidak patuh kepada arahan kebersihan.

Dalam operasi kira-kira lima jam, semalam, terdapat tiga daripada lima premis menjual makanan di bandar ini diarahkan tutup kerana kotor.

Berkuat kuasa semalam juga, dua gerai makan dan sebuah restoran di Jalan Sultan Yahya Petra dan di sekitar bandar dekat sini tidak dibenarkan beroperasi berikutan gagal mengikuti seragam kebersihan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983.

Bukti keseriusan pihak berkuasa tempatan (PBT), ketiga-tiga premis berkenaan dikenakan kompaun dan diberikan tempoh selama 14 hari untuk membersihkannya dan sekiranya pihak berkaitan masih belum berpuas hati ia akan dilanjutkan.

Dalam operasi yang dijalankan bermula jam 10 pagi itu juga, pihak kesihatan turut merampas barangan dilarang digunakan keluaran negara jiran termasuk produk tanpa label iaitu teh timbang, belacan, sirap dan jus limau.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussein berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun maksimum RM500 kepada premis yang gagal mengikuti peraturan ditetapkan di bawah Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan 1986.

“Dalam operasi ini kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu untuk menjalankan pemeriksaan secara teliti terhadap barangan di setiap premis dan memastikan pemilik kedai berurus niaga dalam keadaan memuaskan.

“Bermula Januari sehingga Februari tahun ini sebanyak 75 premis sudah diperiksa dan 11 kompaun sudah dikeluarkan,” katanya.

Operasi Penggredan Premis Makanan dan Penutupan Premis Kotor yang diketuai oleh Pengarah Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan, Mat Seman Mohd Nor itu juga turut mendapati dinding premis berhabuk, bahan masakan tidak diasingkan mengikut jenisnya, bahan pencuci tangan tidak disediakan di sink dan keadaan kedai tidak diurus dengan baik.

Seramai 15 pegawai termasuk anggota penguat kuasa MPKB-BRI dan juga 5 pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu menyertai operasi berkenaan.

Ada juga di antara kedai yang diperiksa sebelum operasi terbabit didapati tidak memuaskan malahan semalam keadaannya juga teruk dan ini menunjukkan tahap kesedaran peniaga terhadap kualiti kebersihan premis masih lemah.

Sehubungan itu, Mohd Anis juga turut menasihatkan orang ramai supaya memilih premis yang dilabelkan gred A (amat baik-76 sehingga 100 markah) dan B (baik-60-75) serta mengelak daripada mengunjungi kedai makan gred C (memuaskan-50-60) dan Gred D (di bawah 50 peratus ditutup).

“Masih ada lagi premis makanan di daerah ini yang tidak menepati tahap kebersihan digariskan dan saya menasihatkan kepada peniaga supaya mengikuti peraturan kerana pihak kita akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan kedai makan di sini bersih serta selamat dikunjungi,” katanya.

Wanita didenda RM2,500 miliki produk terlarang



TANAH MERAH – Pemilik premis perniagaan produk kesihatan dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana memiliki 11 produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, pada 24 Mac 2009.

Majistret Tuan Ahmad Farid Ahmad Kamal memerintahkan Yatihara Hamat, 40 dikenakan denda RM2,500 dan jika gagal membayarnya boleh dipenjara enam bulan.

Tertuduh didapati memiliki 11 produk kesihatan yang disahkan bukan keluaran berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada jam 11.35 pagi di premis perniagaan di Tingkat Bawah Bangunan Tabung Haji, Jalan Hospital Dalam Bandar, Tanah Merah, pada tarikh itu.

Antara produk berkenaan termasuk Raja Super Resdung, kapsul Rapat Wangi, Montok Indah, Kemut Ajaib, jamu Kacip Fatimah, jamu Tongkat Ali dan Minyak Penawar Hitam.

Dia didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang juga satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Banjir luar biasa landa Merchang



MARANG - Banjir luar biasa yang melanda Alor Tuman di Pulau Kerengga, Pulau Rusa di Serating dan kawasan pantai Merchang mengejutkan penduduk di situ apabila rumah masing-masing ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Menurut rata-rata penduduk yang ditemui Sinar Harian, memberitahu, walaupun tiga lokasi itu terletak di kawasan rendah namun jarang dilanda banjir seperti itu melainkan Terengganu dilanda banjir besar.

Menurut penduduk Ismail Shuib, 58, dari Alor Tuman, selain hujan lebat yang turun sejak kelmarin, keadaan menjadi lebih buruk dipercayai disebabkan berlakunya limpa-han air bukit.

“Saya dapati limpahan air bukit tidak bergerak keluar dari kawasan ini kerana muara sungai Merchang yang tertutup,” katanya.

Ibu tunggal warga Singapura dihukum gantung


WARGA Singapura, Noor Atiqah M Lasim yang juga seorang ibu tunggal diiringi anggota polis selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah mengedar sebanyak 372.4 gram heroin dan morfin di LCCT dua tahun lalu. - Foto Yazit Razali

18/03/2011 12:38pm

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang ibu tunggal warga Singapura kerana didapati bersalah mengedar dadah di terminal penerbangan tambang murah di Sepang dua tahun lepas.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Atiqah M. Lasim, 27, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah berhubung pertuduhan mengedar 342.1 gram heroin dan 30.3 gram monosetil morfin pada 5 Januari 2009.
Noor Azian, semasa membacakan keputusannya, berkata, semasa perbicaraan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang merupakan seorang pembantu peguam di republik itu.
Menurut hakim, pembelaan tertuduh, yang mempunyai anak perempuan berusia enam tahun, bahawa beg berisi dadah itu milik orang lain adalah tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai. – Bernama

Bunuh: Tiga dijatuhi hukuman gantung



18/03/2011 3:43pm

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas tiga lelaki atas kesalahan membunuh seorang penganggur dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas pengimpal K. Yogeswaran, 25; penarik kereta P. Murugan, 23; dan peninjau trak penunda R. Sureshvarman, 27, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mereka bertiga dengan niat bersama-sama telah membunuh J. Parkas yang berusia 26 tahun semasa kejadian pada 28 Julai 2009 kira-kira pukul 1.30 pagi di Jalan Dahlia 2, Seksyen BB2 Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Akhtar berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ke atas ketiga-tiga mereka melampaui keraguan munasabah.
Beliau berkata, daripada penelitiannya terhadap keterangan para tertuduh, beliau bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa kebanyakan keterangan pembelaan merupakan “perubahan fikiran secara mendadak” kerana hujah-hujah pembelaan itu tidak ditimbulkan semasa kes pendakwaan. – Bernama

Warga emas ditemui mati terbakar di atas katil di rumah



18/03/2011 2:24pm



IPOH 18 Mac – Seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun ditemui mati terbakar di atas katil di sebuah rumah di Ampang Baru di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan mengesahkan kejadian dan kes itu masih dalam siasatan. – Utusan

Bomoh didakwa merogol wanita berumur 29 tahun



MOHD. Fauzi Anang yang didakwa atas tuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 17 Mac - Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita pada awal bulan ini.
Mohd. Fauzi Anang, 59, didakwa merogol mangsa yang berusia 29 tahun itu di sebuah rumah bernombor 628, Kampung Seberang Tepoh, dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam, 7 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin menetapkan 18 April ini untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela serta sebutan jaminan setelah tiada sesiapa yang hadir untuk menjadi penjaminnya hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad.

Lima suspek didakwa menipu





MOHD. Shukri Dahalan menunjukkan kepala surat dan dokumen mengenai kes penipuan dalam pembelian tanah pada sidang akhbar di Ipoh, Perak, semalam. - Utusan/Roy Azis Abd Aziz


IPOH 17 Mac - Seorang pesara pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) adalah antara lima suspek yang ditahan kerana terlibat dalam kes penipuan pembelian tanah seluas 9.7 hektar di Bidor dengan menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), baru-baru ini
Selain pesara itu, empat lagi yang ditahan adalah dua bekas kakitangan dan seorang pembantu am di PTG Ipoh serta seorang broker tanah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, kesemua mereka berusia antara 28 hingga 56 tahun ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang peniaga besi buruk yang terpedaya dengan penyamaran kumpulan itu.
Menurutnya, suspek menyamar sebagai pegawai di PTG dan menawarkan bantuan memohon tanah di negeri itu kepada peniaga tersebut.
Katanya, suspek kemudian meyakinkan mangsa bahawa permohonan untuk tanah yang dimohon telah diluluskan dengan menyerahkan beberapa dokumen kelulusan daripada PTG.
"Penipuan itu terbongkar apabila mangsa membuat semakan di PTG dan mendapati tiada permohonan tanah diluluskan di bawah namanya manakala dokumen-dokumen yang diserahkan suspek adalah palsu.
"Ekoran itu, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM24,000 telah membuat laporan polis dan kesemua suspek berjaya ditangkap di sekitar Ipoh dan Tapah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, semasa tangkapan tersebut, polis merampas sembilan cop PTG palsu, 45 keping kepala surat PTG, 20 helai dokumen PTG palsu dan 13 resit rasmi bayaran premium PTG palsu.
Selain itu katanya, turut dirampas 4 keping salinan pelan tanah dan sebuah komputer riba yang disyaki digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu tersebut.
"Siasatan mendapati kumpulan tersebut telah memalsukan surat kelulusan permohonan tanah dengan menggunakan kepala surat PTG Ipoh serta meniru tandatangan pegawai yang berkuasa meluluskan permohonan.
"Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil semakan polis mendapati tiada rekod kesalahan lama membabitkan mereka," katanya.
Menurutnya, pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa-mangsa atau suspek lain yang terlibat dalam kes penipuan itu.
Mohd. Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tampil membuat laporan polis sekiranya terdapat keraguan berhubung transaksi pembelian tanah dan memeriksa di PTG mengenai kesahihan sesuatu dokumen pembelian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang wanita dan seorang lelaki yang dikenal pasti terlibat dalam penipuan membabitkan penggunaan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
"Kita telah mengenal pasti kedua-dua suspek yang terlibat dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.
Pada 7 Februari lalu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad membuat dua laporan polis selepas menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan mempunyai tanda tangannya berhubung kelulusan tanah pertanian di dua lokasi oleh kerajaan negeri.
Surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering manakala surat kedua dengan menggunakan modus operandi sama membabitkan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu.

Gadis kelar tangan selepas kecewa dirogol



KUANTAN 17 Mac - Akibat kecewa selepas dirogol secara bergilir-gilir tiga rakannya yang mabuk, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bertindak mengelar kedua-dua belah tangan di rumahnya di Kota Bahagia dekat Rompin baru-baru ini.
Remaja perempuan itu dipercayai dirogol tiga rakannya ketika mereka sama-sama mabuk selepas mengambil minuman keras di sebuah pondok usang di kebun kelapa sawit Kota Bahagia pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika empat remaja itu mengambil minuman keras dalam sebuah pondok usang di kebun tersebut.
"Selepas itu, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja sedar, dia mendapati dirinya telah dirogol oleh rakan-rakannya.
"Kecewa dengan kejadian itu, mangsa bertindak mengelar kedua-dua belah tangannya dengan menggunakan pisau. Bagaimanapun, tindakan mangsa disedari oleh bapa saudaranya lalu bertindak membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Haris, sepasukan anggota unit Forensik yang menerima laporan mengenai kejadian itu menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menemui beberapa puntung rokok dan kesan air mani di pondok tersebut.
Katanya, polis kemudian menahan tiga suspek berusia 17 tahun bagi membantu siasatan dan mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd. Haris berkata, polis menahan dua lelaki yang dipercayai merogol rakan wanita mereka berusia 16 tahun pada Februari lalu di kawasan Pantai Air Leleh dekat Pekan, baru-baru ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 18 tahun kini ditahan mengikut seksyen yang sama di IPD Pekan bagi membantu siasatan.
"Dipercayai remaja perempuan itu melakukan hubungan seks bersama dua rakan lelakinya atas dasar suka sama suka," katanya.
Pada Februari lalu, remaja perempuan tersebut didapati mengandung 13 minggu selepas melakukan pemeriksaan doktor.

Dua maut kereta dinaiki sembilan sekeluarga terbabas



18/03/2011 2:23pm

BALING 18 Mac – Dua maut apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki sembilan sekeluarga terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Baling-Weng, Kampung Seberang Pekan dekat sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu turut menyebabkan tiga yang lain cedera parah, manakala empat lagi termasuk pemandu cedera ringan.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Cif Insp Mohd Basirul Hapi Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Alza yang dipandu oleh Marzuki Abdul Razak, 37, hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.
Katanya, penumpang hadapan iaitu anak saudara Marzuki, Mohd Shaznor Hafiz Azizul, 20, dan anak Marzuki, Mohd Iqbal Hariz, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri Marzuki, Roslina Hussein, 31, dan dua anak mereka cedera parah, manakala Marzuki serta dua lagi anaknya dan seorang anak saudaranya Mohd Nizam Abd Rahman, 13, cedera ringan.
Mohd Basirul berkata, MPV itu dinaiki Marzuki, isterinya dan lima anak mereka yang berusia antara dua dan 10 tahun serta dua anak saudara Marzuki. – Bernama

Sindiket samun, pecah rumah tumpas



JOHOR BAHRU 17 Mac - Polis Johor menumpaskan empat sindiket yang terlibat dalam kes samun, pecah rumah dan curi motosikal di bandar raya ini membabitkan kerugian lebih RM20,000 selepas menahan seramai 17 suspek, baru-baru ini.
Kesemua suspek ditahan dalam tempoh tidak sampai 48 jam terlibat dalam jenayah itu di sekitar bandar raya ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kes pertama, pihaknya menahan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian samun sebuah kafe siber di Bandar Baru Permas Jaya yang berlaku pada pukul 4.30 pagi 6 Mac lalu.
"Dalam kejadian itu, dua suspek, masing-masing bersenjatakan parang merampas wang lapan orang pelanggan berjumlah RM8,000 selain kad ATM, lapan telefon bimbit dan beberapa barangan lain.
"Hasil maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang berusia 22 dan 43 tahun pada pukul 10.20 malam keesokan hari di Taman Sentosa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurut beliau, kumpulan itu dipercayai mempunyai dua lagi ahli dan telah melakukan sekurang-kurangnya 21 kes jenayah samun dan tujuh kes pecah rumah sekitar bandar raya ini.
Kedua-dua suspek direman sehingga esok dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun atau sebatan.
Dalam kes kedua pula katanya, polis menahan empat lelaki ahli 'Geng Muru' yang dipercayai menyamun sebuah rumah di Taman Dawani, Senai dekat sini pada 7 Mac lalu.
Beliau memberitahu, tiga suspek bersenjatakan parang masuk ke rumah itu sebelum mengikat kaki dan tangan penghuni rumah tersebut manakala anak mangsa dikurung dalam bilik air.
Katanya, kumpulan itu melarikan wang tunai berjumlah RM800, lima unit telefon bimbit, sebuah komputer riba, barang kemas dan alat pemain cakera video digital (DVD) yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000.
Bagaimanapun, katanya, melalui talian hotline yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya, keempat-empat mereka berjaya diberkas di Taman Kota Masai dan Taman Sri Paloh, Kluang dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun dan pihaknya percaya kumpulan itu terlibat dalam 20 kes samun sekitar Kulaijaya dan Kluang.
Kesemua suspek direman sehingga Isnin ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun atau sebatan.

Lelaki tumbuk isteri, syak main kayu tiga



KOTA MARUDU 17 Mac - Polis menahan seorang lelaki kerana mencederakan isterinya di rumah mereka di Kampung Samparita dekat sini, baru-baru ini.
Tindakan lelaki berkenaan dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu selepas mengesyaki isterinya itu bermain kayu tiga.
Suspek dilaporkan menumbuk serta mengacukan parang di leher isterinya yang berusia lingkungan 40-an setelah dia didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, mangsa membuat laporan di balai polis di sini berhubung kejadian itu pada Ahad lalu.
"Wanita terbabit mendakwa dia ditumbuk di bahagian bahu dan paha kiri malah dia turut diacukan dengan parang pada lehernya.
"Akibat tidak tahan serta takut dengan tindakan suaminya itu, mangsa membuat laporan polis pada Ahad lalu.
"Suspek diberkas di pekan baru Kota Marudu dan ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Isa menasihatkan semua pasangan suami isteri agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang sekiranya berlaku pertengkaran.
Katanya, pasangan suami isteri sepatutnya mengambil tindakan melalui saluran yang sedia ada dan bukannya bertindak di luar batasan undang-undang.-utusan