Mohd. Faidzul Azree Talib, 27, berkata, dia telah melantik syarikat Selumei Resources pada Ogos tahun lalu bagi melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut di Taman Cheras Jaya.
Menurutnya, dia telah menyerahkan wang tunai RM40,000 kepada kontraktor terbabit selepas diberi jaminan kerja-kerja pengubahsuaian akan siap dalam tempoh 60 hari seperti yang terkandung dalam surat perjanjian.
''Malangnya, mereka gagal menyiapkan kerja mengikut masa ditetapkan, malah syarikat itu juga menuntut bayaran tambahan RM4,000 kononnya untuk mempercepatkan proses pengubahsuaian.
''Tanpa berfikir panjang saya hanya menurut permintaan mereka untuk melihat rumah saya siap kerana mahu segera berpindah ke rumah baharu,'' katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pendengaran kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini hari ini.
Tidak tahan dengan kerenah kontraktor terbabit, dia kemudian membuat laporan polis dan membawa kes tersebut ke TTPM dengan harapan mendapat semula lebihan bayaran dan juga pelbagai ganti rugi ekoran kegagalan syarikat tersebut melakukan kerja-kerja pengubahsuaian.
''Rumah saya hanya siap 70 peratus dan 30 peratus lagi saya terpaksa menggunakan khidmat kontraktor lain, mengikut perkiraan syarikat tersebut perlu mengembalikan sebanyak RM14,000 kepada saya.
''Sudah banyak kali saya berbincang dengan kontraktor tersebut, malangnya mereka memberikan pelbagai alasan dan sehingga kini rumah saya masih gagal disiapkan.
''Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk memberhentikan proses pengubahsuaian dan membuat laporan polis selain membuat tuntutan di TTPM,'' katanya yang membeli rumah tersebut pada harga RM170,000.
Setelah selesai mendengar tuntutan tersebut, Presiden TTPM, Quaik Chong Yu, memerintahkan Selumei Resources membayar RM14,067,50 kepada Mohd. Faidzul Azree dalam tempoh 14 hari kerana gagal melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian rumah pelanggannya dengan sempurna.
Wakil Selumei Resources tidak hadir pada pendengaran tuntutan tersebut.