Search This Blog

Wednesday, March 16, 2011

20 pelajar dibuang sekolah tanpa amaran

BUKIT KAYU HITAM: Ibu bapa kepada 20 pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini kesal dengan tindakan pengetuanya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang mereka dakwa membuang sekolah pelajar itu pada 10 Mac lepas tanpa memberi notis amaran dan peluang membuat rayuan.

Pelajar terbabit dikenakan tindakan itu dipercayai sebagai hukuman kerana mengasari seorang pelajar tingkatan empat pada 25 Februari lalu di surau sekolah itu.
Jasmi Mohd Noor, 44, bapa seorang daripada pelajar itu, berkata beliau sedar perbuatan kumpulan pelajar terbabit adalah salah dan pihak sekolah berhak mengambil tindakan disiplin terhadap mereka, namun hukuman buang sekolah adalah keterlaluan.
"Saya kesal dengan tindakan pengetua dan PIBG yang mengambil tindakan buang sekolah, sepatutnya mereka dikenakan hukuman rotan dahulu sebelum mengambil tindakan yang lebih berat," katanya kepada pemberita di sekolah itu di sini hari ini.

Ibu bapa kepada 20 pelajar terbabit telah bersemuka dengan pengetua di sekolah itu pada 8 pagi tadi bagi berbincang mengenai tindakan terhadap anak mereka namun kecewa kerana pengetua berkenaan berkeras tidak mahu mengubah pendiriannya.

Jasmi, seorang bekas guru, berkata ibu bapa pelajar terkejut mendapat tahu mengenai tindakan terhadap anak masing-masing menerusi surat bertarikh 10 Mac yang mereka terima pada 13 Mac.

"Sebelum ini, selepas tiga hari dari tarikh kejadian anak-anak kami diminta keluar dari asrama sekolah itu serta merta tanpa diberi peluang untuk membela diri.
"Ada pelajar yang tinggal di luar Kedah iaitu Terengganu dan Selangor tidak tahu arah tuju setelah diarah keluar sebelum 6.45 petang. Mujurlah mereka tinggal di rumah rakan terdekat sebelum pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang lagi bapa, Shukri Ali, 42, berkata beliau bimbang kerana pelajar-pelajar itu akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Ada tujuh bulan lagi mereka nak duduki SPM. Perkara yang berlaku kepada anak saya itu membuatkan anak saya murung dan tidak semangat," katanya.

Jabatan Pelajaran Kedah tidak dapat dihubungi untuk ulasan. - BERNAMA Berita Harian

Jurueletrik dituduh culik kanak-kanak

KUALA TERENGGANU – Seorang jurueletrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari rumahnya di Kuala Ibai, di sini hampir lima tahun lalu.

Wan Chee Hoo, 30, dari Selangor dituduh menculik mangsa dari rumahnya di Taman Ibai Indah, Kampung Tok Hadis, Kuala Ibai di sini, kira-kira 12 tengah hari 22 Oktober 2006.

Dia dituduh menculik dengan niat hendak menuntut wang tebusan dengan mengurung mangsa dalam sebuah kereta.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi. – Bernama
Kosmo! Online - Terkini: "

Pengajar maut kereta bertembung lori

Kosmo! Online - Terkini: "
16/03/2011 2:05pm

KUALA TERENGGANU – Seorang pengajar di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Felda Belara dekat sini, pukul 7.35 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata, mangsa Ahmad Afendie Othman, 26, dari Kampung Gong Badak di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Teris, Hulu Terengganu.

'Kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak lubang dan termasuk ke laluan sebelah kanan lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa,” katanya kepada pemberita di sini.

Akibat pertembungan itu, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori cedera ringan mendapat rawatan sebagai pesakit luar. – Bernama"

Anggota bomba dipukul ketika bertugas



16/03/2011 3:10pm

GEORGETOWN – Seorang anggota bomba hari ini membuat laporan polis bahawa dia telah dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenalinya ketika sedang menjalankan tugas-tugas memadam api kebakaran sebuah bangunan lama di sini pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, anggota berpangkat penyelia berusia 50 tahun itu membuat laporan polis bagi pihak jabatannya kerana lelaki awam terbabit mengganggu tugas anggota bomba.
Azmi berkata, sebelum kejadian itu, bomba menerima panggilan kebakaran sebuah bangunan kosong yang pernah dijadikan kilang papan di Jalan Bukit Dumbar di sini pada pukul 7.45 pagi.
Seramai 28 anggota dengan empat buah jentera dikerahkan dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian terus mengawal api daripada merebak ke bangunan-bangunan kilang kayu dan gaharu bersebelahan.
"Beberapa lelaki awam yang datang ke tempat kejadian kemudiannya memberi arahan kepada pasukan bomba untuk menyiram air di kawasan yang tidak disambar api tetapi pasukan bomba enggan berbuat demikian kerana mereka sibuk memadam api kebakaran,” katanya.
Azmi berkata, secara tiba-tiba seorang daripada lelaki terbabit berusia lingkungan 50-an dipercayai tidak berpuas hati kerana arahannya tidak dilayan terus memaki hamun pasukan bomba bertugas sebelum memukul anggota bomba berpangkat penyelia itu.
Katanya, insiden itu menimbulkan kekecohan dan berlaku pergelutan antara anggota bomba dan lelaki terbabit tetapi dapat dileraikan anggota bomba lain sebelum mereka memanggil polis. – Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Dadah: 2 beradik terselamat tali gantung

Kosmo! Online - Terkini: "
16/03/2011 4:09pm

SHAH ALAM – Dua beradik terselamat dari tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar ganja seberat 720 gram pada Mac tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Jamaludin Salleh, 58, dan Isa Salleh, 62, berikutan adik mereka Mohd Nor, 53, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu telah meninggal dunia.

Mohd Nor, Isa dan Jamaludin sebelum ini mengaku tidak bersalah mengedar tiga ketulan mampat dan 38 paket lutsinar berisi ganja seberat 720 gram di rumah No: 16, Jalan AU1 A/2, Taman Keramat, Ampang, kira-kira pukul 4 petang pada 16 Mac tahun lepas.

Mohd Nor merupakan peniaga air tebu, Isa seorang bekas tentera dan Jamaludin tidak bekerja.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes. – Bernama"

Pecah amanah: Bapa, anak lepas dan bebas



16/03/2011 6:24pm

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pengarah eksekutif Syarikat Chin Foh Berhad dan anaknya terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan sebuah rumah kedai dan wang tunai berjumlah RM241,459 enam tahun lalu.
Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya P. Viknesvaran, gagal membuktikan kes prima facie terhadap Kuan Shin @ Kuan Nyong Hin, 70, dan Kuan Pek Seng, 44.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud elemen unsur kesalahan pecah amanah seperti dalam pertuduhan.
"Pada waktu kejadian terdapat bukti jelas ada persetujuan daripada kalangan semua pengarah syarikat itu berhubung transaksi yang dilakukan mereka,” kata hakim Komathy.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua beranak itu didakwa melakukan kesalahan melibatkan wang RM157,199 untuk membayar yuran guaman kepada seorang peguam bernama Bodipalar Ponudurai Nathan, antara 15 Februari dan 8 November 2005.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan pecah amanah harta syarikat iaitu sebuah rumah kedai di Blok C, Pusat Perniagaan Kinrara, Taman Kinrara Seksyen 3, Puchong, di sini dengan melupuskannya kepada seorang pekerja syarikat itu Kwan Nyok Yin.
Kesalahan itu dilakukan di alamat 505, Jalan Tiong, Batu 3, Off Jalan Ipoh, disini pada 7 April 2005.
Sementara itu, pada tempat yang sama, Pek Seng sebagai pengarah urusan syarikat, turut menghadapi pertuduhan pecah amanah harta syarikat wang tunai RM84,260 dengan membuat bayaran kepada Syarikat Hen Wah Enterprise untuk membuat pengubahsuaian sebuah rumah di Damansara Heights pada 18 Okt 2005. – Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Pengusaha barangan lusuh temui bom lama

Kosmo! Online - Terkini: "
16/03/2011 6:27pm

TELUK INTAN – Seorang pengusaha kedai barangan lusuh menemui sebutir bom mortar dipercayai masih aktif di dalam timbunan barangan lusuh di kedainya di Jalan Maharaja Lela, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, pengusaha kedai terbabit menemui bom tersebut pada pukul 9.30 pagi lalu menghubungi polis.

Satu skuad unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dipanggil untuk memusnahkan bom berkenaan pada 4 petang ini, katanya kepada pemberita hari ini.

Kok Liang berkata, bom berukuran 56sm panjang dan mempunyai lilitan 23sm itu dipercayai peninggalan zaman perang dahulu. – Bernama"

Kes samun: Tukang urut maut ditikam

Kosmo!
16/03/2011 11:11pm

JOHOR BAHRU – Seorang tukang urut maut, manakala anak angkatnya cedera parah selepas ditikam dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Sri Serdang Baru, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Ruslan Hassan berkata, Demah Cinak, 43, ditikam dengan pisau di bahagian perut, manakala anak angkatnya Mahmudah, berusia lewat 20-an ditikam di belakang badan dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.

'Ketika kejadian kedua-dua wanita itu berada dalam rumah. Sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan kemudian berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an, yang dipercayai suspek kejadian itu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ruslan berkata, Demah yang berasal dari Indonesia mempunyai taraf penduduk tetap (PR) dan mengambil upah urut secara sambilan di rumahnya.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat, manakala anak angkatnya turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan. – Bernama"

Kereta hilang, pekerja rugi RM150,000




MANJUNG – Seorang pekerja syarikat Petronas Carigali Sdn Bhd kerugian hampir RM150,000 apabila kereta jenis Toyota Wish miliknya yang diletakkan di sebuah hotel dicuri.

Mat Zaid Ismail, 32, menyedari keretanya hilang apabila hendak pergi ke tempat kerja keesokan harinya.

“Saya dari Terengganu telah ditukarkan ke Manjung untuk bekerja dan menginap di sini, bersama rakan sebelum mencari rumah sewa. Saya meletakkan kenderaan berhampiran hotel kerana hujan.

“Selepas menyedari kereta hilang, saya membuat laporan polis di balai berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, beberapa dokumen penting termasuk kelengkapan diri dalam kereta itu turut lesap dan percaya penjenayah mempunyai taktik tertentu membolehkan kenderaannya dicuri walaupun dipasang kunci keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman mengesahkan menerima laporan itu dan menafikan melibatkan sindiket curi kereta mewah.

“Kereta itu diletakkan di kawasan awam, bukan bawah jagaan pihak hotel. Bagaimanapun, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
SH

Dapur mangsa pokok tumbang




BIDOR - Sebanyak lima batang pokok tumbang dan salah satu daripadanya menghempap bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Cegar, di sini, dalam kejadian ribut, petang kelmarin.

Kejadian pada jam 3 petang itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika akibat pokok tumbang di atas kabel elektrik kampung berkenaan.

Mangsa, Zaliha Che Abdullah, 32, berkata, ketika kejadian, dia berseorangan di rumah dan sedang berehat di dalam biliknya.

Menurutnya, pada waktu itu, hujan lebat melanda disertai dengan angin kencang dalam tempoh 30 minit.

“Tiba-tiba saya mendengar bunyi rekahan dan dentuman yang kuat di bahagian dapur rumah menyebabkan saya bergegas keluar.

“Setelah diperhatikan baru saya perasan bahawa bahagian bumbung rumah yang saya sewa ini sudah dihempap sebatang pokok tumbang akibat angin kencang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama melawat mangsa ialah wakil Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batang Padang, Arifsi Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cegar, Md Anuar Darus.

Sementara itu, Md Anuar berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku di kampungnya namun, kali ini menyebabkan lebih banyak pokok tumbang.

Beliau berkata, pada tahun lalu terdapat kejadian serupa dan hanya sebuah rumah rosak akibat ditimpa pokok.

“Kali ini lebih banyak pokok tumbang di laluan kampung dan ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Banyak pokok besar di kawasan kampung ini yang memerlukan perhatian serius untuk diatasi bagi mengelakkan sebarang masalah lebih besar, berlaku” katanya.

Katanya, pihaknya turut membuat permohonan untuk diberikan peruntukan bagi menebang pokok yang mendatangkan bahaya kepada penduduk.

“Setakat ini kita sudah menebang beberapa pokok besar namun, masih terdapat pokok yang berisiko untuk tumbang.

“Kepada pemilik pokok ini diharap dapat membantu dengan menebang pokok berkenaan agar tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk yang lain,” katanya.
SH

Desakan serah DNA bermotif jahat





AYER KEROH - Wanita Keadilan Melaka yakin tindakan sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai bermotif jahat.

Ketuanya, Mahani Masban berkata, disebabkan proses perbicaraan masih berlangsung, sebarang tindakan menjadi ‘jurucakap mahkamah’ dengan mengadakan demonstrasi mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Menurutnya, tindakan pihak NGO mengadakan beberapa siri demonstrasi itu juga dilihat sebagai usaha campur tangan politik bagi mengalihkan pandangan rakyat serta mendapatkan publisiti murahan.

“Beberapa sampel DNA (Anwar) telah diambil secara tidak sah dan mahkamah telah menolaknya sebagai bahan bukti. Apa perlu DNA diambil semula sedangkan yang lama itu pun sebenarnya boleh digunakan?

“Sekarang Anwar tidak perlu melakukan apa-apa dan mahkamah perlu bebas memberi sebarang keputusan adil tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan politik,” katanya, semalam.

Mahani berkata, Wanita Keadilan menyokong Anwar untuk tidak sesekali membenarkan DNA beliau diambil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa NGO yang mengadakan demonstrasi di beberapa lokasi, termasuk di Melaka, hujung minggu lalu.
SH

Dua sahabat dituduh miliki, menagih dadah




KOTA BHARU – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana dituduh memiliki dadah Promethazine dan menagih dadah jenis Metamphetamine, lima hari lalu.

Pasangan 20an dari kampung Lundang itu ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah beralamat tanpa nombor, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Mohammad Syawal Mohd Yusof dan Wan Nasaai Wan Md Nor dituduh secara bersama memiliki anggaran berat kasar 0.50 gram dadah Promethazine dan Dihyrocidine pada jam 7 malam, 10 Mac lalu.

Mereka berdepan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mereka masing-masing turut berdepan dakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana menagih dadah Metamphetamine pada jam 8 malam, tarikh sama ketika berada di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Kota Bharu.

Pada prosiding di mahkamah kelmarin, kedua-duanya merekodkan pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Majistret Norhaslinda Che Seman kemudian membenarkan Syawal diikat jamin RM7,800 manakala Nasaai sejumlah RM7,900 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan patologi mereka. Kes disebut semula 18 April depan.
SH

Ditahan cuba sogok wang




JELI - Dua warga Bangladesh ditahan ketika cuba sogok wang RM200 kepada anggota polis apabila didapati dokumen perjalanan mereka tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar (gambar) berkata, mereka berumur 24 dan 25 tahun datang ke sini dipercayai datang melawat kawan.

“Ketika kejadian dua anggota polis, membuat rondaan di sekitar taman perumahan bandar Jeli, menahan dua warganegara asing yang kelihatan mencurigakan.

“Apabila disiasat, dokumen perjalanan mereka tamat tempoh serta dokumen tersebut hanya salinan dan bukan yang asal,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada mereka cuba menyogok wang dengan mengeluarkan RM50, namun tidak diendahkan dan diberikan amaran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut kerana menyalahi undang-undang.

“Mereka tidak mengendahkan amaran tersebut malah cuba menyogok dengan tiga keping wang kertas RM50 lagi,” katanya.

Warga Bangladesh tersebut kini ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut.
SH

Anak ustazah curi motosikal




KOTA BHARU - Seorang mekanik yang dipercayai anak kepada seorang ustazah dan dua pelajar ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan mencuri motosikal di kawasan Ketereh, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketiga-tiga suspek terbabit yang berusia 17 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, tangkapan dibuat selepas pasukannya melakukan serbuan terhadap sebuah bengkel motosikal yang sebelum ini merupakan tempat mengajar al-Quran.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 6 pagi itu, pasukannya mendapati sejumlah al-Quran selain daripada motosikal dan komponen dileraikan berada di tempat tersebut.

“Kita menahan seorang mekanik yang berusia 23 tahun serta dua rakannya juga masing-masing merupakan bekas pelajar.

“Siasatan juga mendapati, remaja terbabit mencuri motosikal di sekitar Kok Lanas dan diserahkan kepada mekanik terbabit sebelum dileraikan,” katanya.

Katanya, komponen yang dileraikan dipercayai telah dijual dan hasil jualan itu nanti akan dibayar upah kepada remaja terbabit.

Menurutnya, hasil serbuan di bengkel terbabit, pasukannya turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang baru dicuri dan belum dileraikan komponennya.

”Ketiga-tiga suspek terbabit berasal dari Ketereh dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak enam bulan lalu.

”Polis kini mengesan beberapa lagi rakan suspek untuk membantu siasatan kerana kegiatan mereka terdapat rangkaiannya,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman mulai semalam untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda.
SH

Wanita ditipu kekasih maya




BUKIT BERUANG - Gara-gara cinta mendalam terhadap ‘kekasih maya’ yang hanya dikenali di sebuah laman web sosial, seorang wanita warga emas terpedaya hingga kerugian hampir RM400,000 akibat ditipu.

Wanita berusia 58 tahun yang juga pesara itu berkenalan dengan kekasihnya enam bulan lalu sebelum mula dipujuk rayu supaya memasukkan wang ke dalam akaun dengan alasan kiriman wang pos (:money order:) untuk membiayai sebuah projek lebuh raya dan pemasangan lampu isyarat di Kuching, Sarawak, gagal ditunaikan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye berkata, disebabkan kasih dan cinta yang mula berputik, mangsa sanggup memasukkan sejumlah wang tunai ke dalam beberapa nombor akaun yang diberikan beberapa kali sehingga nilainya mencecah RM370,000, Februari lalu.

Menurutnya, mangsa juga dijanjikan wang berkenaan hanya pinjaman dan akan dibayar balik dalam masa terdekat.

“Suspek menyamar dengan menghantar gambar seorang lelaki berkulit putih dan berperwatakan menarik sehingga mangsa jatuh cinta walaupun tidak pernah mengenalinya.

“Mangsa tidak menyedari sebenarnya dia berurusan dengan empat individu yang sememangnya merancang menipunya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Ghee Lya berkata, apabila wang yang diminta semakin banyak, saudara mangsa cuba menasihatkannya dan akhirnya mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir, 7 Februari lalu.

"Polis berjaya memberkas empat individu yang disyaki terbabit dalam penipuan itu iaitu dua warga Nigeria, seorang warga Uganda yang juga pelajar sebuah kolej dan seorang warga tempatan.

"Semua mereka ditahan di sekitar Sungai Buloh, Selangor, Dang Wangi, Kuala Lumpur dan Mantin, Negeri Sembilan," katanya.

Menurutnya, tiga warga asing terbabit dituduh di mahkamah, mengikut Akta Imigresen 1959/63, sementara warga tempatan berkenaan masih disiasat.
SH

Dua penyamun dicekup polis




SUBANG JAYA – Belum sempat memburu mangsa barunya, dua penyamun dicekup polis ketika berlegar-legar di kawasan perumahan Persiaran Indah, Putra Heights awal pagi kelmarin.

Difahamkan, Sabtu lalu, suspek dan rakannya meragut seorang wanita berusia 40-an di Putra Heights selepas berpura-pura memberi bantuan kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, ketika kejadian mangsa men�galami kemalangan sebelum datang dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Satria berwarna biru bertanyakan keadaannya.

“Seorang daripada suspek kemudian terus masuk ke dalam kereta mangsa dan melarikan sebuah beg mengandungi wang tunai RM100 dan beberapa dokumen peribadi.

“Kedua-duanya kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa terpinga-pinga di tepi jalan. Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu petang Ahad lalu,” katanya.

Zainal berkata, lebih kurang jam 3 pagi kelmarin, tindakan mencurigakan suspek yang memandu kenderaan sama disedari polis peronda yang kemudian menghampiri mereka.

“Berlaku kejar-mengejar apabila suspek yang diarahkan berhenti terus memecut laju kenderaan dipandunya ke arah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan melanggar palang tiang hentian tol di Puchong Barat.

“Dengan bantuan beberapa anggota polis peronda yang lain, suspek berusia lingkungan 30-an yang kelam kabut apabila keretanya melanggar pembahagi jalan akhirnya terpaksa memberhentikan kereta,” katanya. Katanya, pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan berjaya menemukan semula beg yang diragut sebelum ini selain beberapa alatan mencuri kenderaan termasuk pencucuk tayar, nat pembuka tayar, pemutar skru, pemotong wayar serta empat peket lut sinar dadah dipercayai jenis syabu.

Turut dijumpai dalam kereta suspek, katanya beberapa batang penyedut minuman, telefon bimbit, soket kereta, wang tunai RM300, segugus kunci dan smart tag.

“Kereta dipandu suspek pernah dilaporkan hilang di Seri Kembangan dan kita masih menyiasat sekiranya ada saki-baki bersangkutan kes ragut dan curi kenderaan dilakukannya.

“Dengan tertangkapnya suspek yang merupakan seorang penganggur, polis berjaya menyelesaikan dua kes jenayah,” katanya.

Zainal berkata, suspek yang mempunyai rekod bersabit kes dadah direman sehingga 20 Mac depan untuk siasatan lanjut.
SH

6 beranak tinggal sehelai sepinggang





BESUT - Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Pengkalan Teras dekat sini musnah dalam satu kebakaran pagi semalam.

Mangsa, Fauzi Ali, 38, berkata, dia hanya menyedari rumahnya terbakar kira-kira jam 10.15 pagi ketika menukang rumah di Kampung Mak Sara dekat Jertih, setelah dimaklumkan anak saudaranya.

Menurutnya, bagi mengesahkan kejadian itu, dia menghubungi anak Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Pada mulanya saya amat bimbangkan keadaan isteri dan anak, tetapi saya bersyukur apabila mendapati mereka selamat,” katanya.

Fauzi yang tinggal di rumah milik saudaranya itu berkata, ketika kejadian semua keluarganya tidak ada di rumah.

Menurutnya, isteri dan empat anaknya berusia dua hingga 16 tahun berada di rumah keluarga mentuanya di Kampung Gong Tiong kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

“Api dipercayai bermula di bahagian tiang tengah antara dua bilik rumah dan marak dengan cepat menyebabkan semua perkakas rumah termasuk dua mesin jahit dan 10 pasang pakaian pelanggan serta dokumen penting hangus,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Zamri Awang Long berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.26 pagi dan tiba tiga minit kemudian.

“Seramai enam anggota bersama sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal 15 minit kemudian,” katanya.

Punca dan kerugian masih dalam siasatan.
SH

Rumah terbakar dipanah petir




KLANG - “Saya hanya fikirkan keselamatan diri dan anak-anak tanpa sedar yang saya hanya berkemban. Bila berada di luar kawasan kejadian, baru saya sedar yang saya ketika itu tidak berbaju,” demikian cerita Rahmah Marsup, 44, salah seorang mangsa kejadian berkenaan detik yang dilaluinya.

Menurutnya, sebelum kejadian dia masuk ke bilik air untuk mandi selepas selesai membasuh pinggan.

“Ketika berada dalam bilik air, tiba-tiba anak menjerit memaklumkan rumah jiran terletak hanya bersebelahan terbakar.

“Tanpa berfikir panjang, saya berlari keluar sambil menarik tangan anak-anak tanpa memikirkan yang saya ketika itu tidak berbaju,” katanya.

Dia berkata, jiran terdekat menyerahkan sehelai baju untuk dipakai dan saat itu dia sekeluarga hanya mampu melihat rumah yang didiami selama 16 tahun musnah terbakar.

“Apa yang menyedihkan pakaian dan peralatan sekolah anak-anak musnah begitu juga dengan peralatan berharga lain.

“Amat sukar untuk kami memulakan kehidupan baru tambahan lagi kami bukan dalam kalangan keluarga yang berduit dengan suami hanya bekerja sebagai pemandu lori,” katanya yang tinggal bersama suami, enam anak dan seorang menantu di rumah terbabit.

Seorang lagi mangsa, Warga Indonesia, Suparti Ramjan, 40, yang menyewa r:umah bersebelahan Rahmah bersama lapan rakan senegara berkata, petir kuat menyebabkan dia dan rakan serumah menutup suis utama rumahnya, bagaimanapun sepantas kilat petir menyambar suis dan asap keluar.

“Saat itu api mula menyala, kami masing-masing panik dan menjerit kuat sambil mengendong keluar bayi berusia sebulan yang juga anak rakan serumah yang masih dalam pantang.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barangan berharga dan peralatan lain memandangkan kebakaran berlaku dengan pantas tambahan lagi dengan tiupan angin yang agak kuat ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian petang semalam.
SH

Pemuda trauma diserang




ASAHAN – Gara-gara menegur sekumpulan lelaki yang sering mengganggu adik lelakinya, seorang pemuda bukan sahaja dibelasah, malah dipukul teruk dengan menggunakan senjata tajam seperti parang.

Mangsa, Norhafizal Husin, 29, berkata, dalam kejadian 4 Mac lalu, dia tidak menyangka niatnya secara baik menegur enam lelaki terbabit akhirnya mengundang padah sehingga mengalami cedera parah di kepala dan tangan kiri.

:Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit kerap mengganggu adiknya ketika pulang dari sekolah, termasuk orang awam yang lalu-lalang di sekitar kawasan Taman Gunung Emas.

“Tak sangka, niat saya menegur secara baik disalah tafsir sehingga mengundang kemarahan dan mereka tiba-tiba terus menyerang saya dengan kayu serta parang.

“Sebenarnya, banyak aduan yang diterima. Bukan adik saya sahaja diganggu tetapi penduduk di sini juga berdepan masalah sama sehingga menimbulkan kebimbangan dan rasa kurang selesa dengan sikap samseng terbabit,” katanya ketika ditemui sewaktu menerima
kunjungan rombongan Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di rumahnya, kelmarin.

Norhafizal berkata, berikutan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Asahan dan trauma sehingga terpaksa berehat sementara di rumah.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Pergerakan Pemuda UMNO DUN Asahan, Suhaizan Noh berkata, program ziarah itu adalah antara inisiatif yang dilakukan selepas menerima berita yang menimpa salah seorang pemuda dalam kawasan DUN berkenaan.

Menurutnya, selain melawat, pihaknya juga dapat mengetahui masalah yang dihadapi dan bantuan diperlukan berikutan mangsa cedera di tangan sehingga menyukarkannya melakukan urusan seharian.

“Ini adalah kes serius dan kita prihatin dengan kejadian seumpama ini.

“Diharap polis segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam kes pukul ini,” katanya.

Suhaizan yang juga Belia 4B Kawasan Alor Gajah turut melahirkan kesal dengan sikap kumpulan samseng yang terus menyerang mangsa.

“Tak sepatutnya dalam masyarakat hari ini, masih ada yang mengamalkan undang-undang rimba dengan mengambil tindakan mengikut perasaan sehingga berani mencederakan orang.

“Kita risau, jika dibiarkan kumpulan terbabit bermaharajalela, tidak mustahil lebih banyak masalah ditimbulkan sehingga mengganggu keharmonian penduduk di sini,” katanya.
SH

Sebak, bebas tuduhan rasuah





ALOR SETAR - Seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak dapat menahan sebak apabila dia dibebaskan daripada tuduhan secara rasuah meminta dan memperoleh suapan RM1,500 dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Ismail membuat keputusan membebaskan Faizal Ahmad, 33, daripada dua tuduhan itu.

Keputusan dibuat Hakim setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan meminta suapan daripada Choh Chin Hoe di pejabat AADK, Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada 28 Februari 2009, jam 5 petang.

Suapan yang diminta itu bertujuan tidak menghantar Chin Hoe ke rumah sakit untuk tidak melakukan ujian air kencing bagi kali kedua dan tidak membawa Chin Hoe ke balai polis untuk tahan reman selama seminggu.

Tuduhan pertama yang dibuat terhadap Faizal adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Faizal didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM1,500 daripada Chin Hoe pada 2 Mac 2009 jam lebih kurang jam 10.34 pagi di Maybank cawangan Alor Setar Jalan Sultan Badlishah.

Dorongan yang dilakukan itu untuk tidak menghantar Chin Hoe ke rumah sakit bagi ujian air kencing kali kedua dan tidak membawa Chin Hoe ke balai polis untuk ditahan reman.

Dia melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dengan pertuduhan pertama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim dan tertuduh diwakili peguam Loo Yook Khin.
SH

Dua geng samun dicekup




BUKIT MERTAJAM – Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib dua lelaki yang selama ini menjalankan kegiatan samun dan curi, akhirnya tumpas di tangan polis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, suspek pertama berusia 24 dicekup sepasukan polis dari cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT dalam satu serbuan kira-kira jam 7.45 pagi, 11 Mac lalu di sebuah rumah dekat Flat Terubuk, Seberang Jaya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menjumpai satu kunci kereta jenis Perodua Viva yang dilaporkan dicuri di Lunas, Kedah dengan nombor pendaftarannya ditukar, satu anak kunci sebuah hotel di Perai, dua telefon bimbit, sebilah pisau dan sehelai jaket hitam berada dalam simpanan suspek.

“Berikutan tangkapan pertama, kita membuat serbuan di Lunas dua jam kemudian dan berjaya menangkap suspek kedua berusia 23 tahun. Turut ditemui bersama-sama suspek adalah tiga komputer riba, satu beg sandang, satu kunci kereta jenis Naza Ria, satu cangkuk penunda kereta dan satu monitor televisyen LCD.

“Kita menemui Mykad dipercayai milik mangsa samun di Bukit Tengah, SPT dalam satu kes pada 6 Mac lalu, dan juga peralatan untuk pecah rumah.

“Hasil siasatan mendapati, kedua suspek terlibat dalam tidak kurang dari sembilan kes samun dan curi kenderaan yang mana masing-masing lapan di SPT dan satu di Lunas. Dari jumlah itu, dua kes membabitkan kes samun, lima curi dan dua curi kenderaan,” katanya pada satu sidang media di IPD SPT, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Abd Lah.

Zahruddin dalam pada itu berkata, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod tangkapan jenayah lampau.

Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan separuh daripada kes curi, samun dan curi kenderaan dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, namun masih giat memburu saki-baki kumpulan yang masih berada sekitar daerah ini.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda serta boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun penjara, denda atau sebat.

Ia turut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, selain Seksyen 380 dan Seksyen 379 kanun yang sama, kerana mencuri dalam bangunan dan curi kereta.
SH

13 mangsa buat laporan polis





TAIPING – Ibu Polis Kontinjen (IPK) Perak atau Bukit Aman, Kuala Lumpur diminta menghantar lebih ramai anggota dan kereta peronda bagi membanteras penjenayah rompak dan ragut di daerah ini.

Ini kerana, seramai 13 mangsa rompakan dan ragut yang berlaku antara Februari dan Mac membuat laporan polis di Balai Taiping, Pokok Assam, Aulong dan Kamunting mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pokok Assam, Datuk Ho Cheng Wang.

Cheng Wang berkata, dia akan menulis surat kepada Ketua Polis Daerah dengan memanjangkan kepada IPK Perak dan Bukit Aman untuk menambahkan anggota polis dan kereta peronda di sini.

Menurutnya, dia ingin mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pasukan khas untuk menangkap penjenayah itu.

“Ahli Pasukan Keselamatan Sukarelawan Taiping (PKST) juga sedang menjejaki lokasi penjenayah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan mangsa yang terlibat.

Sementara itu, mangsa rompak, Chan Ng Wan, 72 berkata, dia mengalami luka di mukanya selepas dirompak dua lelaki kira-kira jam 10 malam ketika berbasikal di Kampung Boyan pada 6 Mac lalu.

Menurutnya, dia ke kedai berhampiran untuk membeli rokok dengan berbasikal yang kemudiannya diserang perompak sebelum bergelut dan mukanya ditoreh dengan pisau.

“Nasib baik torehan itu tidak terkena mata saya hanya sedikit kecederaan bahagian dahi.

“Saya berharap penjenayah ragut itu dapat ditangkap dengan kadar segera sebelum orang lain pula yang menjadi mangsanya,” katanya.
SH

Penyamun licik kena berkas



MUAR - Tindakan berani sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memasuki negara ini untuk melakukan kegiatan jenayah berjaya dipatahkan apabila diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Pahang serta IPD Segamat pada Jumaat, lalu.

Kesemua suspek sangat dikehendaki polis kerana kelicikan mereka dalam melakukan banyak kegiatan jenayah di beberapa lokasi.

Bagaimanapun, pihak polis berjaya mengesan kedudukan serta lokasi persembunyian suspek beralamat di Cenderawasih, Rompin Pahang serta memberkas semua penjenayah selepas insiden pecah masuk rumah di Kampung Muda Jaya, Pagoh pada 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, penyamun itu hanya sempat menyamun sebuah telefon bimbit sahaja.

Menurutnya, penyamun tersebut gagal menyamun lebih banyak barang apabila mangsa seorang wanita mengandung melarikan diri melalui tingkap meminta pertolongan jiran-jiran.

“Akibat daripada kejadian ini, wanita berkenaan mengalami cedera ringan di beberapa bahagian anggota badannya dan tahan di wad selama sehari di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Namun dia dibenarkan keluar keesokannya berikutan keadaan mangsa dan anaknya stabil manakala ahli keluarganya yang masing-masing cedera di bahagian kepala turut mendapat rawatan di pusat perubatan yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan ke atas suspek mendapati, suspek menggunakan kenderaan awam dari tempat persembunyian ke rumah mangsa serta menyorokkan senjata yang digunakan untuk menyamun di Dusun Damai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.

“Kesemua suspek yang berasal dari Lombok Timur, Indonesia memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah sejak setahun lalu dan difahamkan turut melakukan kegiatan jenayah pada tahun yang sama.,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 18 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun sehingga mendatangkan kecederaan.

Difahamkan, sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asis:ten Komisioner Che Yussof Che Ngah.
SH

Kejadian lalu berulang kembali




SEGAMAT - Hujan lebat yang turun sejak kelmarin mengakibatkan beberapa kampung di daerah Segamat kembali dilanda banjir seperti di Kampung Batu Badak, Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Paya Dalam Segamat.

Berikutan kejadian tersebut, penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan seperti di pusat pemindahan Balai Raya Gemerih 4 yang menempatkan mangsa daripada Kampung Batu Badak dan Seberang Batu Badak.

Sebanyak enam keluarga melibatkan 34 mangsa berpindah ke pusat tersebut sejak 12 Mac lalu.

Sementara itu pusat pemindahan mangsa banjir Balai Islam Kampung Paya Dalam menerima tujuh keluarga dan 36 mangsa banjir.

Menurut salah seorang mangsa banjir, Abdullah Osman, 56, berkata air Sungai Segamat mula naik secara perlahan sejak beberapa hari yang lalu.

Namun hujan yang berterusan mengakibatkan air di Sungai Segamat naik secara mendadak sehingga mengakibatkan rumahnya dan beberapa rumah jiran dilanda banjir.

“Pengalaman banjir pada Januari lalu masih lagi segar diingatan isteri serta lima lagi anak saya. Kini tidak sampai dua bulan, rumah kami dilanda banjir lagi. Namun kali ini kami sekeluarga lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Menurutnya, ketika banjir besar Januari lalu, rumahnya dinaiki air sedalam lima meter serta hampir menenggelamkan keseluruhan rumah dan dia juga mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit ketika itu.

Ketua Kampung Batu Badak, Anuar Abd Karim, 65, berkata, setakat ini hanya beberapa rumah sahaja dinaiki air terutamanya yang berhampiran Sungai Segamat.

Pihaknya akan membuka pusat pemindahan banjir pada bila-bila masa sahaja jika paras air terus meningkat.

“Pusat pemindahan banjir di kampung ini disediakan di Balai Raya Gemerih 4. Apa yang penting ialah penduduk kampung harus mengambil iktibar pada banjir besar lalu supaya mereka tidak mengalami kerosakan harta benda yang banyak, namun keselamatan diri adalah paling utama,” katanya.

Sehingga kini, paras air di Sungai Segamat menujukan penurunan dan semua mangsa banjir sudah pulang ke rumah masing-masing.
SH

Terjun bangunan




MUAR – Bagaikan pelagak ngeri apabila seorang lelaki yang menghidap penyakit mental bertindak berani terjun rumahnya di tingkat empat Blok B Taman Warisan, Jalan Junid di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, Zulkarnain Mustapa Kamal, 28, dipercayai memanjat tembok koridor rumahnya sebelum terjun dari rumahnya itu.

Abang mangsa, Hairul Nizam, 28, berkata, mangsa baru sahaja sehari pulang ke rumahnya selepas seminggu menjalani rawatan mental di sebuah hospital.

Menurutnya, mangsa yang mengalami masalah mental sejak berusia 18 tahun sudah dua kali terjun daripada rumahnya.

“Kejadian pertama berlaku pada Januari lalu, namun mangsa terselamat dan hanya mengalami kecederaan pada kaki dan pinggang.

“Saya tidak menyangka mangsa akan mengulangi perbuatan ini dan sebelum kejadian, mangsa bersama tiga ahli keluarga yang lain sedang berehat diruang tamu,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada mulanya, mangsa kelihatan gelisah dan sering mundar-mandir di dalam rumah sambil memberi tahu kepada ibunya bahawa kakinya sakit dan ingin mendapatkan rawatan di hospital.

“Sedang leka kami menonton televisyen, mangsa bertindak keluar rumah dan saya menyangka dia pergi bersiar-siar di sekitar kawasan rumah.

“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi seperti ‘tayar meletup’ dan bergegas ke koridor rumah terlihat mangsa terbaring dalam keadaan mengiring dengan kepala dipenuhi darah,” katanya.

Dia serta keluarga yang lain terkejut dengan insiden tersebut dan bergegas mendapatkan adiknya tetapi keadaan mangsa terlalu lemah.

“Zulkarnain yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia selepas tiba di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden tersebut dan laporan mangsa mempunyai penyakit mental.

“Kematian mangsa tidak mempunyai unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
SH

SBY digesa pecat menteri

myMetro


JAKARTA: Aktivis Kumpulan Hak Asasi Manusia mendesak Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, semalam supaya memecat Menteri Hal Ehwal Agama dan menarik balik pengharaman terhadap amalan secara terbuka kumpulan minoriti Islam.

Beberapa pentadbir wilayah di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam mengeluarkan arahan melarang anggota kumpulan Ahmadiyah meletakkan papan tanda di masjid dan sekolah kelolaan kumpulan itu. Peraturan itu dikuatkuasakan selepas kumpulan fanatik Islam membunuh tiga pengikut Ahmadiyah awal bulan lalu. Dua hari selepas itu, satu lagi kumpulan mengamuk di jalanan dan membakar beberapa gereja.


“Gesaan Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali supaya mengharamkan kumpulan Ahmadiyah menyemarakkan tindakan ganas dilakukan ke atas pengikut kumpulan itu,” kata Timbalan Pengarah Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia rantau Asia, Phil Robertson dalam satu kenyataan. “Presiden Susilo seharusnya bertindak agar sebarang bentuk diskriminasi tidak wujud dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan toleransi beragama dan beliau perlu memecat Suryadharma Ali daripada jawatannya,” ujarnya. - AFP"

Spesis dilindungi bernilai RM500,000

myMetro


TEMERLOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang merampas pelbagai jenis spesis dilindungi dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM500,000 dalam empat serbuan di negeri ini.

Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd Shariff, berkata tangkapan terbaru semalam membabitkan seorang pemilik restoran di Merapoh, Lipis yang didapati memiliki pelbagai bahagian hidupan liar dipercayai untuk hidangan makanan eksotik di restorannya.


'Kami menemui 54 helai bulu burung kuang, satu kepala burung ruak-ruak, 16 kilogram daging kijang, dua pelanduk yang telah dilapah dan pelbagai jenis daging haiwan liar dalam botol kaca dipercayai kulit dan kuku harimau belang di restoran itu,' katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 68(2)(c)Akta Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun. - Bernama"

Rakyat Indonesia saman Kedutaan AS, akhbar Australia

myMetro


JAKARTA: Satu kumpulan rakyat Indonesia memfailkan saman satu bilion dolar, semalam terhadap Kedutaan Amerika Syarikat di bandar raya ini dan dua akhbar Australia ekoran laporan artikel daripada kabel AS yang bocor, menuduh presiden negara itu menyalah gunakan kuasa.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Kesatuan Buruh itu berkata akhbar The Age dan Sydney Morning Herald gagal melakukan siasatan secukupnya sebelum menerbitkan berita itu.


“Kami memfailkan saman fitnah di mahkamah daerah Jakarta Pusat terhadap syarikat akhbar berkenaan hari ini kerana tuduhan itu mencemarkan maruah negara,” kata peguam kumpulan itu, Habiburokhman. “Mereka sudah mencemarkan nama baik Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan memberi gambaran bahawa Indonesia adalah negara yang mengamalkan rasuah,” tambahnya. - AFP"

4 cedera dalam letupan bom di pejabat kumpulan Islam

myMetro

JAKARTA: Sebutir bom meletup di pejabat kumpulan Islam berfahaman sederhana di bandar raya ini mencederakan empat orang, termasuk seorang anggota polis, kata seorang saksi kejadian kepada stesen televisyen Metro TV, semalam.

“Pejabat kami menerima satu bungkusan mencurigakan yang mengandungi kabel dengan bau yang kuat. Kami lalu menelefon polis,” ujar Fia Anwar. “Ketika polis memeriksa bungkusan itu, ia meletup. Empat orang cedera, termasuk anggota polis dan pengawal keselamatan kami,” tambahnya. - AFP"

2 mangsa ditemui selamat

myMetro


TOKYO: Pasukan penyelamat semalam menarik keluar dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita dari timbunan kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu Jumaat lalu.

Seorang wanita, Sai Abe, 70 ditemui masih hidup di bawah runtuhan sebuah rumah yang dihanyutkan oleh tsunami.


Wanita berkenaan kesejukan tetapi keadaannya itu tidak mengancam nyawa.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 20 tahun diselamatkan di Ishimaki di wilayah paling teruk terjejas, lapor NHK.


“Saya dihanyutkan oleh tsunami tetapi mujur saya dalam keadaan baik,” kata lelaki itu. - AFP"

Sukar lelap teringat anak ‘ghaib’

myMetro
"KUALA LUMPUR: “Saya tidak boleh melelapkan mata kerana teringatkan anak bongsu saya,” kata ibu tunggal, Jummilah Ramly.

Jummilah, 51, dari Banting, Selangor, berkata dia risaukan keadaan anak bongsunya, Athirah Baharom, 15, yang keluar dari rumah sejak 15 Februari lalu tanpa perselisihan faham.


Menurutnya, gadis berkenaan yang masih belajar di tingkatan tiga itu seorang yang pendiam, tetapi percaya dia keluar dari rumah pada hari kejadian akibat pengaruh rakannya yang suka gaya hidup mewah.

Katanya, tahun lalu, Athirah pernah keluar rumah tanpa pengetahuannya, tetapi pulang sehari kemudian, bagaimanapun sehingga ke hari ini, dia tidak dapat dikesan.


“Saya berharap Athirah akan pulang segera, ibu dan adik-beradik lain merinduinya,” katanya, di sini.


Jummilah berkata, pada hari kejadian, Athirah bersama kakak sulungnya berada di rumah dan dia tidak menunjukkan reaksi pelik.


Bagaimanapun, katanya, selepas kakaknya keluar membeli barang dan pulang dua jam kemudian, dia tidak berada di rumah dan apabila menghubungi rakannya, masing-masing memberitahu tidak mengetahui mengenainya.


Jummilah berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Banting pada 22 Februari lalu dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Athirah diminta menghubunginya di talian 012-9275960 atau 012-3147334."

Pegawai kanan KSSB ditahan

myMetro


SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) ditahan polis pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes ugut terhadap seorang kakitangan anak syarikat kerajaan negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata lelaki itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi di Seksyen 7, di sini, semalam berikutan satu laporan yang mengaitkannya dengan kes ugutan.
“Seorang lelaki ditahan kira-kira jam 9.30 pagi tadi (semalam) membabitkan laporan yang dibuat pertengahan Februari tahun lalu mengenai kes ugutan.

“Suspek dipercayai mengugut pekerja KSSB dengan menggunakan telefon,” katanya.



Bagaimanapun, Mohd Adnan enggan mendedahkan siapa lelaki itu dan jawatannya dalam KSSB."

Baca Yasin mengundur


BIMBANG...Siti mendedahkan ajaran bomoh yang digelar Tok Belagak.
BIMBANG...Siti mendedahkan ajaran bomoh yang digelar Tok Belagak.

SHAH ALAM: Mampu mengimbas siapa yang bakal masuk syurga atau ke neraka, mampu menghantar roh orang sudah mati ke Makkah untuk beribadat hingga kiamat dan memulihkan mangsa santau dengan bacaan Yassin secara mengundur - itu antara kebolehan luar biasa Tok Belagak.
Namun, semua itu dakyah songsang satu kumpulan dipercayai ajaran sesat yang kini bergiat aktif di pinggir bandar raya ini untuk mencari pengikut. Ia diketuai seorang bomoh lelaki berusia 50-an yang digelar Tok Belagak.

Mendedahkan perbuatan bertentangan akidah itu, seorang ibu tunggal yang mendakwa dua anak lelakinya berusia 30-an terpengaruh ajaran terbabit berkata, dia amat bimbang akidah anaknya akan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Wanita berumur 56 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, pada mulanya kedua-dua anak lelakinya itu menemui lelaki terbabit untuk mendapatkan penawar penyakit dialaminya yang tidak sembuh sejak sekian lama.

“Pada mulanya anak-anak saya ingin mencarikan penawar untuk sakit saya dan tidak kebah sejak dulu. Namun, selepas diberikan air kononnya boleh menyembuhkan penyakit saya, anak tertarik untuk mengikuti ajaran kumpulan digelar Darul Saka itu.

“Mereka tertarik menyertai kumpulan itu selepas melihat penampilan ahli dan ketua ajaran terbabit. Dari luar mereka kelihatan alim dan warak serta selalu membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan anak untuk menyertai kumpulan mereka pada mulanya sejak dua tahun lalu.

“Tok Belagak pula tak kedekut menurunkan ilmu kepada anak saya untuk mengubati mereka yang terkena saka dan mereka seperti teruja kerana mempunyai ilmu itu,” katanya.

Namun, Siti pelik apabila anaknya membaca surah Yasin secara mengundur ketika mengubati orang yang mengalami sakit buatan orang atau dirasuk.

“Lebih menghairankan apabila Tok Belagak mendakwa boleh tahu berapa banyak amalan arwah suami saya ketika hidup. Arwah meninggal dunia lima tahun lalu dan Tok Belagak mendakwa mampu menghantar roh suami saya ke Makkah untuk beribadat sehingga kiamat untuk menampung dosa ketika masih hidup.

“Saya rasa itu dah cukup melampau kerana saya sentiasa mendoakan untuk arwah suami. Tok Belagak mendakwa dia tahu sejauh mana amalan arwah. Bagi saya itu semua kerja Allah dan dia tidak patut mengeluarkan kenyataan begitu,” katanya.

Siti berkata, dia mula mencurigai amalan kumpulan diketuai bomoh terbabit sejak Ramadan tahun lalu, apabila melihat anaknya yang rajin ke masjid atau surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat sunat tarawih tidak lagi berbuat demikian, malah tidak sekali pun melakukan ibadah itu.

“Bagai nak gugur jantung apabila mereka menyatakan tak perlu menunaikan solat tarawih di masjid atau surau kerana mereka bersolat dengan Rasullulah s.a.w di langit. Saya mempersoalkan kenyataan mereka, tetapi sedih betul anak-anak yang saya sayangi memarahi dan meminta saya tidak masuk campur urusan ibadah mereka,” katanya.

Menurutnya, dia kini buntu memikirkan cara untuk memulihkan akidah kedua-dua anak itu, namun pada pada sama tidak berani mendedahkan kegiatan songsang bomoh terbabit kerana bimbang keselamatan diri.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengikuti anaknya ke tempat bomoh itu beroperasi untuk ikhtiar mengubati penyakitnya, tetapi selepas menghidu ajaran songsang bomoh terbabit, dia tidak lagi mengikut anaknya ke sana.

“Tok Belagak yang mempunyai isteri dan lima anak turut mendakwa menjalankan aktiviti membuang saka dari jarak jauh. Malah, dia mendakwa mempunyai kawasan jajahan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Saya difahamkan di kawasan Lembah Klang saja, lebih 300 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sudah terpengaruh dengan mengikuti dan menyebarkan ajaran Tok Belagak menerusi blognya di Internet,” katanya.myMetro

Tangan tergilis mesin tebu


BANTU...anggota bomba cuba mengeluarkan tangan Nurul yang tersangkut pada gigi mesin perahan tebu.
BANTU...anggota bomba cuba mengeluarkan tangan Nurul yang tersangkut pada gigi mesin perahan tebu.

KULAIJAYA: “Mak, tolong mak, sakit!” jerit Nurul Aminah Murjini, 15, apabila tangan kirinya tersepit pada gigi mesin perahan tebu di sebuah gerai menjual air tebu di Taman Kulai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, tangan kiri Nurul separas siku hampir hancur akibat tersangkut pada gigi mesin perahan tebu ketika membantu ibunya menjual air tebu di gerai berhampiran rumah kedai di Batu 21, Jalan Kulai-Johor Bahru.

Kejadian berlaku apabila tudung pelajar tingkatan tiga itu tiba-tiba tersangkut pada gigi mesin berkenaan yang sedang ligat berputar.

Menurut saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 30-an, mangsa gagal menarik keluar tudungnya yang tersangkut ketika mesin berputar.

“Mungkin Nurul panik hingga menyebabkan dia gagal mematikan suis elektrik mesin berkenaan. Akibatnya, tangan kirinya separas siku turut termasuk ke bahagian berkenaan.

“Mesin itu akhirnya terhenti dan kami cuba membantu mengeluarkan tangan Nurul, tetapi gagal lalu menghubungi bomba untuk membantu mangsa,” katanya.

Hamid berada di situ untuk membeli makanan di gerai bersebelahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Murjini Sunarto, 46, berkata, dia sedang membersihkan kebun di Kampung Sri Paya, dekat sini, sebelum dihubungi isteri yang memaklumkan kejadian itu.

“Kebiasaannya, pembantu mengendalikan mesin perahan tebu, tetapi hari ini (semalam), dia mengambil cuti kerana ada urusan.

“Nurul menggantikannya buat sementara saja, sejurus tiba di lokasi, saya terkejut mendapati tangan kirinya tersepit di gigi mesin berkenaan,” katanya.

Menurut Murjini, dia bimbang dengan masa depan anak bongsunya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelapa Sawit.

Nurul terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira 15 minit sebelum tangannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya.

Dia dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk rawatan.myMetro

Konstabel polis bebas tuduhan minta suapan RM500

myMetro


SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang konstabel polis kereta peronda daripada tuduhan meminta suapan RM500 daripada seorang pemandu lori, empat tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan Muhamad Azman Ramli, 27, membela diri atas tuduhan kedua iaitu memperoleh suapan RM200.


Mat Ghani ketika memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi tuduhan pertama iaitu meminta suapan dan sebaliknya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi tuduhan memperoleh suapan. Mahkamah menetapkan 24 Mac ini untuk Muhamad Azman yang semasa kejadian bertugas di Balai Polis Bukit Puchong, Subang Jaya, membela diri. - Bernama"

Wanita dibunuh, anak perempuan ditikam

myMetro
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 43 tahun terbunuh manakala anak perempuannya cedera ditikam di Kampung Sri Rendang Baru, Tampoi, kira-kira jam 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an berjaya ditahan sepasukan polis sejurus selepas kejadian itu.


Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan bedah siasat.

Menurut Ruslan, buat masa ini, polis masih menyiasat motif serangan, namun tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada samun."

Lebih 20 kenderaan rosak dihempap pokok


Lebih 20 kenderaan rosak dihempap pokok


2011/03/16

  ANTARA   kenderaan   dihempap pokok dalam kejadian ribut di Seksyen 13, Shah Alam petang semalam.
ANTARA kenderaan dihempap pokok dalam kejadian ribut di Seksyen 13, Shah Alam petang semalam.
SHAH ALAM: Lebih 20 kenderaan rosak, enam daripadanya rosak teruk apabila dihempap pokok dalam kejadian ribut lebih sejam di Seksyen 31, Kota Kemuning, dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Kejadian itu juga mengakibatkan lebih 100 pokok yang ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di bahu jalan beberapa kawasan taman perumahan dan zon industri, turut tumbang.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Shah Alam, bergegas ke tempat kejadian bagi membantu memotong dan membersihkan beberapa batang pokok yang tumbang di beberapa jalan yang turut mengakibatkan kesesakan.
Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata petugas Bilik Gerakan Bencana MBSA turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu penduduk yang terbabit sebaik menerima maklumat.

Seorang pemilik kereta yang rosak dihempap pokok, Farish Effendy, berkata sebelum kejadian, beliau meletakkan kenderaannya di depan sebuah restoran di Jalan Anggerik Mokara di sini, untuk bertemu seorang rakannya.

Katanya, kejadian itu berlaku sekelip mata dan beliau terkejut apabila sebatang pokok di depan restoran berkenaan tumbang dan menghempap kenderaannya.

Penduduk, Mohd Salleh Rosman, pula berkata kejadian bermula dengan hujan air batu kira-kira jam 5.30 petang, selama kira-kira 10 minit, diikuti hujan lebat dan angin kencang.
"Selain kenderaan, khemah surau dan pasar malam turut diterbangkan angin kencang," katanya.

Seorang lagi mangsa, Manaf Ismail, 47, pula kerugian apabila van yang diletakkan bersebelahan kenderaan Farish turut dihempap pokok berkenaan.

Beberapa kenderaan turut menjadi mangsa ribut tidak jauh dari Pondok Polis Kota Kemuning dan di depan pangsapuri berdekatan.

Pemilik restoran, Zaidi Abas, 48, berkata beberapa pelanggannya kelam-kabut menyelamatkan kenderaan sebaik ribut berlaku.

"Syukur semua pelanggan saya berjaya menyelamatkan kenderaan mereka walaupun beberapa kenderaan lain yang ditinggalkan pemilik berdekatan restoran menjadi mangsa pokok tumbang," katanya.
Berita Harian

Syarikat haji kena bayar RM17,500



2011/03/16

KUALA TERENGGANU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, memerintahkan Aflah Haj dan Umrah Service membayar RM17,500 kepada dua pelanggannya selepas syarikat pengendali pakej haji dan umrah itu gagal memberi perkhidmatan ditawarkan.

Presiden TTPM, Reihana Abd Razak dalam keputusannya, memerintahkan wakil syarikat itu, Mustafar Ismail membayar RM10,500 kepada W Abd Razak W Hassan, 50, dan RM7,000 kepada Mohamad Idris, 50, dalam tempoh 30 hari bermula semalam.
Mohammad ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana keputusan TTPM membolehkannya mendapatkan semula wang yang dibayar kepada syarikat berkenaan selepas menunggu hampir dua tahun.
“Saya membuat pembayaran tiga kali bermula November 2008, Januari dan Mac 2009. Syukur kerana berjaya mendapatkan semula wang berkenaan. Dengan duit yang ada, saya sedang mencari syarikat lain untuk meneruskan impian untuk ke tanah suci sekali lagi bagi mengerjakan umrah.

“Terima kasih kerana TTPM menyelesaikan masalah ini tidak sampai sebulan,” katanya, semalam.

TTPM turut memerintahkan syarikat pemaju perumahan, Se Purnama Development Sdn Bhd membayar RM5,000 kepada Mamat Salleh, 59, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan bermula semalam.

Wang itu dibayar Mamat sebagai pendahuluan bagi menempah rumah mampu milik Fasa 2 di Kampung Padang, Setenga, Kuala Berang.
Tuntutan bagi mendapatkan semula wang pendahuluan itu dibuat selepas permohonan Mamat untuk mendapatkan pinjaman di bank tidak berjaya dan usahanya untuk menemui pegawai syarikat pemaju untuk mendapatkan wang pendahuluan itu sebelum ini tidak berhasil.
Berita Harian Online 

Perjalanan ke enam wilayah terjejas teruk menggerunkan



Laporan R Magendran di Tokyo
bhnews@bharian.com.my
2011/03/16

  LALUAN dari Sendai ke Fukushima ditutup hanya dilalui trak tentera, polis dan penyelamat saja.
LALUAN dari Sendai ke Fukushima ditutup hanya dilalui trak tentera, polis dan penyelamat saja.
FUKUSHIMA: Perjalanan enam wartawan kumpulan Media Prima ke kawasan dilanda tsunami di Timur Laut Jepun ibarat telur di hujung tanduk kerana Lebuh Raya Tohoku ke enam wilayah terjejas teruk itu sudah ditutup dan hanya kenderaan berpelekat khas keluaran Polis Metropolitan Tokyo dibenar menggunakan laluan berkenaan.

Iwate, Miyagi, Fukushima dan Ibaraki di timur laut Jepun yang secara keseluruhannya dikenali sebagai Tohoku adalah kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jepun membantu mendapatkan pelekat khas bagi penulis, wartawan New Straits Times, Harian Metro, TV3, jurugambar New Straits Times Press (NSTP) dan jurukamera TV3 bagi menggunakan Lebuh Raya Tohoku, yang menjadi laluan utama ke kawasan berkenaan.
Rasa cemas mula menyelubungi kami apabila laporan berita terkini menyatakan kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi semakin teruk dan ada kemungkinan zon larangan 30 kilometer diperluaskan dan semua laluan keluar masuk ditutup sama sekali.

Setakat jam 9.10 malam tadi (8.10 malam waktu tempatan), kerosakan loji pertama dan ketiga dilapor mengalami kebocoran serius. Sementara itu, di loji kedua dan keempat dilaporkan berlaku letupan manakala loji lima dan enam sudah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Perjalanan meredah jalan kampung sejauh 15 kilometer dalam keadaan gelap dan suhu mencecah -1 darjah Celcius sebelum sampai ke Fukushima cukup memenatkan pemandu kami, Kaneo Hayakawa, 63, dan kami sepakat berbahaya untuk pulang ke Tokyo serta-merta kerana salji sudah mula turun dan semakin lebat.

Sepanjang perjalanan 330 kilometer dari Tokyo yang memakan masa hampir lapan jam itu agak menggerunkan kerana kami tidak berselisih dengan sebarang kenderaan lain kecuali trak tentera, polis atau penyelamat yang dikerah untuk operasi pemindahan, manakala bahagian tertentu lebuh raya yang rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu masih jelas kelihatan.
Dari segi bekalan makanan pula, hampir semua rak makanan kedai di Tokyo hampir kosong, terutama di kedai menjual roti, kerana semuanya dikumpul untuk dihantar kepada mangsa bencana, termasuk bekalan air bersih dan minuman lain.

Bekalan air paip, elektrik serta komunikasi masih belum pulih sepenuhnya dan keadaan cuaca yang bertambah buruk dengan salji semakin lebat dijangka menyukarkan lagi kehidupan mangsa di pusat perlindungan sementara selain membantutkan kerja pembersihan.

Ketika meninggalkan Tokyo kira-kira jam 2.30 petang semalam, kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi dilaporkan agak teruk, tetapi tidak terlalu serius, tetapi satu lagi letupan pada lewat petang semalam mengakibatkan penduduk setempat cemas.

Walaupun media asing melaporkan tahap radiasi sudah 400 kali ganda melepasi kadar normal dan menasihatkan orang ramai jangan meninggalkan rumah, tiada sebarang amaran seumpamanya dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan Jepun yang memantau rapi kejadian itu.

Malah, Kedutaan Besar Malaysia di Jepun juga mengesahkan tiada amaran rasmi seumpamanya dikeluarkan dan van yang dinaiki penulis bersama rakan wartawan lain hanya perlu melepasi satu sekatan jalan 15 kilometer sebelum sampai di hotel tempat menginap iaitu Bonari Hotel di pekan Inawashiro, Fukushima.

Hotel itu terletak kira-kira 100 kilometer dari loji nuklear Fukushima Daiichi, iaitu bersempadan dengan kawasan yang diisytiharkan sebagai zon larangan dan setakat jam 8.30 petang (7.30 petang) semalam, tiada arahan berpindah atau meninggalkan kawasan itu dikeluarkan, malah, ada beberapa rakyat tempatan turut menginap di hotel tempat kami tinggal, yang juga antara pusat peranginan musim sejuk terkemuka di negara itu.
Berita

Guru disyaki cabul murid kena tahan

Berita


2011/03/16

GEMAS: Polis menahan seorang guru lelaki sekolah kebangsaan di sini, Jumaat lalu kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam.

Guru berumur 20-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu dua kali dengan kejadian pertama pada 8 Mac lalu.
Guru terbabit menjemput dua murid perempuan ke rumahnya kira-kira jam 3 petang untuk menyusun jadual waktu.

Selepas selesai, seorang daripada murid disuruh pulang untuk menukar pakaian bagi menyertai kegiatan kokurikulum.

Ketika tiada orang lain di rumah, guru terbabit mencium pipi dan leher mangsa, meramas buah dada serta meraba kemaluannya.

Kejadian kedua berlaku keesokan hari apabila guru sama menjemput enam murid ke rumah dan dijamu minuman serta kek. Ketika kejadian, isteri guru terbabit tiada di rumah kerana bekerja.

Perbuatan guru itu terbongkar apabila rakan mangsa menceritakannya kepada guru tuisyen yang kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Gemas, Jumaat lalu."

Pelajar wanita cedera dikelar kekasih adik

Berita


2011/03/16

KULIM: Seorang pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, cedera di tengkuk dan tangan selepas dikelar dengan senjata tajam oleh seorang pelajar lelaki di kawasan asrama IPTA itu, malam Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suspek yang berusia awal 20-an dikatakan bertemu dengan mangsa yang berusia 21 tahun untuk berbincang mengenai hubungan antara lelaki itu dengan adik mangsa yang juga pelajar di IPT sama.
Difahamkan, dalam perbincangan itu mangsa melarang suspek berkawan dengan adik perempuannya kerana tidak mahu pengajiannya terganggu sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran, sebelum suspek yang naik berang mencederakan mangsa dengan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata mangsa dirawat di Hospital Kulim dan keadaannya dilaporkan stabil, manakala suspek ditahan reman untuk siasatan."

Kenduri kahwin jadi majlis tahlil




RAZALI tetap mendirikan khemah untuk mengadakan kenduri bagi menjamu tetamu yang hadir di rumahnya di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa semalam.


KOTA BHARU – Majlis kenduri kahwin yang sepatutnya diadakan semalam bagi meraikan bakal pengantin bertukar menjadi jamuan makan dan tahlil ekoran kematian pengantin lelaki, Muhammad Nor Farhan, 26, yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Pasir Puteh-Jelor di Bukit Gedombak, dekat sini Khamis lalu.
Bapa Muhammad Nor Farhan, Razali Salleh, 50, berkata, tindakan itu dilakukan bagi memenuhi hajat arwah anaknya yang ingin menjamu penduduk dan rakan-rakannya. Muhammad Nor Farhan sepatutnya bernikah dengan pasangannya, Tuan Norhidayah Tuan Lah, 24, pada pukul 8 malam hari kejadian.
Bagaimanapun, pekerja Felcra itu maut empat jam sebelum bernikah apabila kereta jenis Proton Satria yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa sekam padi.
Sebelum kejadian, anak sulung daripada enam beradik itu dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kuala Berang, Terengganu ke rumahnya di Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini.
Bercerita lanjut, Razali memberitahu, tujuan dia sekeluarga mengadakan kenduri itu ialah untuk meraikan jemputan yang datang dari jauh dan yang tidak mengetahui mengenai nasib yang menimpa anaknya.
Tinjauan Kosmo! pada pukul 11 pagi semalam mendapati, sebuah khemah berwarna biru dipasang dengan kerusi dan meja selain seekor kambing menjadi sajian tetamu.
“Kejadian tersebut turut membuatkan saya merasa risau mengenai nasib lima lagi anak lelaki saya yang bakal berkahwin kelak. Mungkin kejadian itu akan berulang terhadap mereka.
“Mereka bekerja jauh dan apabila pulang ke kampung, semuanya memandu kereta. Saya terlalu bimbang mengenai nasib mereka,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo!