Search This Blog

Tuesday, March 15, 2011

Polis sahkan identiti mayat terdampar




KUANTAN - Pencarian mayat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuantan pada Jumaat lalu berakhir apabila pihak polis mengesahkan identiti mayat lelaki yang ditemui terdampar di Pantai Sepat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga menjumpai mayat lelaki tanpa baju kira-kira jam 5.30 petang di tepi pantai tersebut.

:Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mayat itu adalah Zuhaidi Othman yang terjun ke dalam sungai tersebut dekat Kampung Tajung Punai di sini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dituntut oleh pihak keluarganya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam kelmarin dan dibawa pulang ke Kuala Besut Terengganu.

“Keluarganya membuat pengecaman mayat mangsa dan kita mengklasifikasikan kes ini kematian mengejut,” katanya.

Sinar Harian, Sabtu lalu melaporkan mengenai kejadian seorang nelayan terjun ke dalam sungai itu selepas terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang membuat pemeriksaan di kampung tersebut.

Mangsa bagaimanapun hilang dan dipercayai lemas sebelum dijumpai terdapat di Pantai Sepat, kelmarin.
SH

Pengemis warga asing kena cekup




KUANTAN – Seorang warga Thailand yang menjalankan aktiviti mengemis di sekitar bandar Kuantan berjaya di tangkap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Menyelamat, semalam.

Pemangku Pegawai JKM Daerah, Rohayati Puteh berkata, pihaknya telah membuat intipan selama dua minggu sebelum menangkap pengemis terbabit di Pasar Malam Taman Gelora.

“JKM kerap mengadakan Operasi Menyelamat untuk mencari pengemis-pengemis di sekitar bandar.

“Bagaimanapun, dalam operasi semalam, sasaran utama kami adalah untuk menangkap pengemis warga Thailand tersebut memandangkan sebelum ini kami telah menerima banyak aduan mengenainya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Imigresen Negeri, semalam.

Sinar Harian keluaran 20 Februari lalu pernah melaporkan tentang kegiatan pengemis ini yang bijak menggunakan statusnya sebagai warga emas untuk menagih simpati masyarakat.

Biarpun telah berkali-kali ditangkap, namun pengemis tersebut tidak pernah serik, malah semakin berani menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.

“Kali ini, kami tidak akan memberi muka kepadanya lagi dan bertindak menyerahkannya kepada pihak Jabatan Imigresen untuk dibawa pulang ke negara asal. Kami harap, selepas ini dia (pengemis) tidak akan kembali lagi ke sini untuk mengemis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Khairul Azrin Mat Siah berkata, bagi membanteras isu pengemis, pihaknya mengadakan operasi berjadual di mana setiap minggu pegawai JKM yang ditugaskan akan ke lokasi sasaran pengemis seperti di pasar malam, pasar tani dan masjid untuk membuat tangkapan.

“Sekiranya pengemis yang ditangkap merupakan warga tempatan, kami akan berbincang dengan keluarga mereka terlebih dahulu sama ada mahu menjaga mereka atau sebaliknya.

“Ini kerana, kami tidak mahu mereka terlibat dengan aktiviti mengemis lagi sekiranya dibebaskan kelak. Jika tiada penyelesaian dari keluarga, kami sendiri akan memutuskan untuk menghantar pengemis terbabit ke Institusi Desa Bina Diri selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai disarankan untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat tentang pengemis bagi menangani masalah ini.

“Majoriti yang mengemis merupakan orang yang sama. Walaupun sudah bekali-kali ditangkap, mereka masih berani menjalankan aktiviti tersebut.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, agak sukar untuk kami membersihkan kawasan ini daripada masalah pengemis. Justeru, kami memerlukan kerjasama dari semua pihak agar masalah ini dapat menemui jalan buntu,” katanya.
SH

Songlap barang niaga




AYER KEROH - Seorang kerani di sebuah syarikat produk kesihatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah pecah amanah.

Tertuduh dari Kampung Padang, Malim, dekat ini didakwa terhadap lapan pertuduhan kes pecah amanah terhadap nilai produk sebanyak RM8,000 yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi.

Majistret Mohd Fairuz Johari menjatuhkan hukuman terhadap Ong Siow Wah, 27, selepas perhalusi keterangan dan hujah dikemukakan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama kes pertama, tertuduh sebagai orang gaji kepada Syarikat BH Ong Beauty Care Center yang diberi kuasa atas barang syarikat didapati melakukan pecah amanah terhadap barangan bernilai RM1,700 seperti bil tunai atas nama Ong Bing Hong.

Barangan tersebut bagaimanapun tidak diserahkan kepada Bin Hong, sebaliknya tertuduh menggunakan barangan tersebut ke atas diri sendiri.

Dia didapati melakukan kesalahan tersebut di Syarikat BH Ong Beauty Care Center, Plaza Pandan, Malim dekat sini, kira-kira 10.55 pagi, 18 April 2008.
SH

Mummy Siam dicekup




JOHOR BAHRU – Seramai 14 wanita berketurunan Siam yang terlibat dengan kegiatan pelacuran di sekitar bandar raya ini sejak tiga bulan lalu ditahan apabila polis menyerbu dua rumah di Bukit Chagar dan sebuah hotel, di sini, semalam.

Kesemua wanita berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 11 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Superintendan Mohammad Abd Hamid berkata, siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran itu diketuai oleh beberapa wanita yang dipanggil sebagai ‘mummy’.

Menurutnya, mummy terbabit yang juga berketurunan Siam kebiasaannya akan berurusan dengan orang tengah yang mencari pelanggan bagi kegiatan pelacuran ini menerusi panggilan telefon.

“Mereka (mummy) tidak akan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dan hanya menjawab telefon daripada pelanggan tetap sahaja sebelum ia disebarkan kepada pelanggan-pelanggan lain.

“Pelacur terbabit akan dihantar oleh mummy ini ke tempat yang sudah ditetapkan oleh pelanggan menerusi hasil perbincangan dilakukan dan kebiasaannya di hotel-hotel terkemuka termasuklah rumah tumpangan sekitar bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.

Mohammad berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati setiap wanita yang dilanggan dikenakan bayaran sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam, manakala pelacur yang agak berusia menjalankan kegiatan terkutuk itu secara bersendirian.

“Bagi wanita yang baru tiba ke negara ini, pelanggan ditawarkan seorang wanita pada harga RM200 sejam dan ada juga menjangkau sehingga RM600 bagi tempoh enam jam.

“Siasatan dilakukan mendapati seorang daripada 14 wanita terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Selain itu, katanya, kesemua wanita termasuk mummy berusia 32 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan

Seramai dua anggota dan lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut.
SH

Wanita maut jatuh bangunan



JOHOR BAHRU – Seorang wanita ditemui mati selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 12 bangunan pangsapuri Sri Panglima, di Bukit Saujana, di sini.

Mayat wanita dikenali sebagai Lu Siew Huen, 38, ditemui terlentang oleh orang ramai tepat jam 12 tengah hari.

Guru Tadika Hikmah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Kaseh Selamat, 31, dikatakan antara saksi terawal menyedari mayat yang terdampar di lorong pangsapuri terbabit.

“Saya memang tidak sedar kerana tiada bunyi dentuman atau aneh yang didengar biarpun jarak tempat wanita terbabit jatuh kurang 10 meter, sehingga saya didatangi oleh seorang ibu pelajar tadika ini yang mahu mengambil anaknya yang memaklumkan ada wanita berbaring berdekatan tadika itu.

“Selepas diberitahu, saya tidak berani mendekati wanita terbabit, namun mengarahkan pembantu untuk melihat kondisi wanita itu. Setelah dimaklumkan wanita terbabit meninggal dunia, saya terus menelefon polis,” katanya.

Kaseh yang telah mengajar di tadika terbabit sejak 2005 bagaimanapun berkata, tidak pernah melihat wanita terbabit di sekitar pangsapuri tersebut.

Sementara itu, menurut pengawal keselamatan di situ, Ibrahim Kassim yang telah 10 tahun berkhidmat di pangsapuri terbabit mengakui wanita itu bukan penduduk di situ.

“Saya tidak pasti wanita ini datang dari tingkat berapa, namun difahamkan beliau terjun dari tingkat 12 hasil penemuan beg yang dipercayai milik wanita tersebut.

“Sepanjang 10 tahun bekerja, saya tidak pernah melihat wanita ini, malah hasil pertanyaan jiran-jiran juga tidak mengenali wanita terbabit,” katanya.

Wanita itu dipercayai telah datang ke pangsapuri terbabit kerana hasil kad pengenalan yang ditemui, beliau didapati berasal dari Tebrau, Johor Bahru.

Sementara, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian terbabit.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
SH

Polis tahan 14 lelaki bawa senjata tajam, objek menyerupai bom




AMPANG JAYA – Polis menahan sekumpulan 14 lelaki yang membawa pelbagai senjata tajam dan satu objek menyerupai bom tangan di Pandan Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Mereka berusia antara 18 dan 45 tahun itu dipercayai cuba memecah masuk dan menyamun sebuah kedai besi buruk, di situ, tetapi tidak sempat berbuat demikian selepas menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit sejurus menerima panggilan telefon orang awam kira-kira jam 9.30 malam setelah curiga melihat kumpulan lelaki terbabit berkumpul di situ.

“Hasil pemeriksaan, kami temui sejenis objek menyerupai bom tangan, sebilah kerambit, parang panjang (satu) dan pisau (tiga) di tempat diduduki suspek ketika berkumpul. Turut ditemui dua peket dadah jenis heroin seberat 0.26 gram, empat peket kecil syabu (0.64 gram) dan enam peket kecil ganja (33.19 gram).

“Bagaimanapun, kita tidak dapat pastikan sama ada objek menyerupai bom tangan itu benar-benar sejenis bom atau sebaliknya. Kita masih menunggu keputusan pihak terlibat,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil saringan awal ujian air kencing, sembilan suspek didapati positif dadah.

“Siasatan awal mendapati, dua daripada suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan penyalahgunaan dadah.

“Mereka direman sehingga 16 Mac ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (dadah) dan Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (objek menyerupai bom),” katanya.

Dalam kes berasingan, 61 individu ditahan dalam Operasi Tapis Khas untuk banteras penyalahgunaan dadah.

Seorang penuntut kolej dan seorang penjawat awam antara individu ditahan dalam operasi dijalankan sejak 12 Mac lalu oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Seramai 149 orang diperiksa, tetapi hanya 61 ditahan terlibat penyalahgunaan dadah,” katanya.
SH

Dituduh ceroboh premis perniagaan




IPOH – Seorang lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret Ipoh semalam, atas tuduhan melakukan pencerobohan jenayah di sebuah premis perniagaan di Jalan Kuala Kangsar pada 12 Mac lalu.

M.Ravichandran, 32, dituduh melakukan pencerobohan berkenaan kira-kira jam 4.30 petang di sebuah premis perniagaan milik sebuah syarikat perniagaan di sini.

Oleh itu, Ravichandran didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Di bawah seksyen berkenaan, Ravichandran bakal berdepan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM 3 ribu atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Al Hirzan Mohd Akhir memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh berdasarkan kepada insiden-insiden pecah rumah yang semakin berleluasa pada hari ini.

Bagaimanapun, Ravichandran memohon agar dikenakan hukuman yang lebih ringan berikutan masalah keluarga termasuk untuk menyara isteri serta kelima-lima anaknya yang masih kecil dan masih bersekolah.

Majistret Nurul Intan Fareena Zainal Abidin kemudiannya menetapkan agar Ravichandran dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan mulai dari tarikh dia ditahan.
SH

RM35,000 lesap sekelip mata




KUALA KANGSAR - Seorang guru, Hanafi Salleh, 44, berputih mata apabila wang yang baru beberapa minit dikeluarkan dari sebuah bank di Pekan Kuala Kangsar dilarikan penjenayah apabila kenderaan dinaikinya di pecah masuk, dalam satu kejadian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, guru dari Gerik berkenaan mengalami kerugian sebanyak RM35,000 dan kehilangan tiga telefon bimbit serta dokumen lain.

Hanafi berkata, dia mengeluarkan wang sebanyak RM32,000 dari CIMB Bank dan kemudiannya memasukkannya ke dalam beg dan diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan pacuan empat rodanya.

Menurutnya, dia kemudiannya berhenti untuk menyelesaikan urusan lain dan kenderaan diletakkan di tepi jalan besar, Jalan Daeng Selili.

“Saya baru sahaja keluar dan masuk ke sebuah kedai tiba-tiba penggera kenderaan saya berbunyi serta saya dapati cermin bahagian belakang kenderaan sudah pecah.

“Wang sebanyak RM35,000 termasuk wang yang sudah berada di dalam beg sebanyak RM3000 itu lesap dan semua kad ATM, kad pengenalan serta lesen memandu turut dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hanafi berkata, tayar kenderaan saya juga dipancitkan penjenayah dan saya percaya mereka sudah mengintip serta mengekori sejak dari bank lagi.

Katanya, wang yang dikeluarkan itu sepatutnya digunakan untuk membayar pinjaman rumah tetapi dia tidak menyangka kejadian seperti itu akan menimpanya.

“Saya segera membuat laporan polis selepas kejadian itu berlaku dan anggota polis segera datang ke lokasi untuk membuat siasatan,” katanya.

Menurut saksi yang melihat kejadian itu, perbuatan pecah masuk kenderaan berkenaan dilakukan oleh dua penjenayah menaiki sebuah motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut akan dilakukan.
SH

Percikkan api ranapkan rumah




BAGAN SERAI - Percikan api daripada kotak suis utama menjadi punca rumah seorang penduduk di Ladang Sungai Bogak, di sini, ranap dalam satu kejadian kebakaran.

Mangsa, M Munusamy, 40, berkata, kejadian litar pintas itu berlaku kira-kira jam 9 malam apabila dia melihat percikan api berlaku di kotak suis utama rumahnya.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku selain api semakin marak memenuhi ruang rumahnya.

“Mujurlah kesemua ahli keluarga saya selamat dalam kejadian ini tanpa sebarang kecederaan.

“Kerugian yang telah saya alami masih belum dapat dipastikan lagi buat setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Husin Din berkata, pihaknya hadir bagi memberi sedikit bantuan kecemasan kepada mangsa.

Katanya, diharap selepas ini lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada pihak berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.

“Diharap Munusamy dan keluarganya dapat bersabar menerima ujian seterusnya lebih berhati-hati pada masa hadapan supaya kejadian yang serupa tidak berulang kembali.

“Bantuan bencana alam dan baik pulih rumah akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.
SH

Seharian terapung diperairan




LUMUT - Dua penyelam menarik nafas lega selain berterima kasih kepada Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh kerana berjaya menyelamatkan mereka, setelah seharian terapung di perairan Lumut, di sini.

Jeffry Lim, 35 dan Khoo Way Seng, 40 yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur berjaya ditemui PGM Kampung Acheh setelah dilaporkan hilang seharian, apabila terpisah daripada kumpulan mereka semasa melakukan aktiviti selaman di Pulau Buluh, sekitar kawasan Pulau Sembilan, di sini.

Khoo Way Seng berkata, dia dan Jeffri datang bersama 11 rakan lain untuk berseronok di sekitar kawasan pulau selain melakukan aktiviti selaman bermula kelmarin.

Menurutnya, dia mempunyai tiga tahun pengalaman menyelam sementara Jeffri pula telah 19 tahun berpengalaman dalam aktiviti menyelam.

“Biasanya saya melakukan aktiviti menyelam di Kuantan, dan ini adalah kali pertama saya membuat selaman di Lumut, sementara Jeffri telah beberapa kali menyelam di sini,” katanya ketika ditemui di Pengkalan PGM Kampung Acheh, semalam.

Way Seng berkata, ketika naik ke darat selepas selaman kedua, mereka sebenarnya masih dapat melihat bot yang dinaiki bersama rakan lain, namun kemunculan merekan di permukaan air seolah-olah tidak disedari.

“Kami berdua berusaha memanggil rakan namun, sia-sia apabila bot ini semakin jauh dan kami secara perlahan-lahan dibawa arus.

“Setelah kejadian itu, kami telah berada selama enam jam di dalam air dan telah cuba untuk berenang ke pulau berdekatan tetapi tidak berjaya kerana telah kekurangan tenaga untuk melawan arus akibat seharian berlapar,” katanya.



Panik meningkat



Way Seng berkata, kepanikan mereka makin bertambah apabila kaki masing-masing telah mula merasa lenguh dan kekejangan, mereka mengambil keputusan untuk berpaut di sebuah batu berhampiran sebuah pulau.

Menurutnya, sepanjang berada di air mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berpelukan antara satu sama lain bagi melawan kesejukan, mengapungkan diri dan menunggu kemunculan mana-mana bot untuk menyelamatkan mereka.

“Kami bernasib baik apabila dijumpai sebuah bot nelayan setelah mendapat isyarat lampu yang kami berikan menggunakan lampu suluh.

“Kemudiannya mereka menghubungi PGM, kami diserahkan kepada bot peronda yang sedang menjalankan operasi mencari kami berdua, lalu dibawa ke Pengkalan PGM Kampung Acheh,” katanya.

Katanya, dia dan Jeffri berterima kasih kepada PGM dan lain-lain agensi yang berusaha mencari mereka termasuk bot nelayan yang menemui mereka sewaktu terapung di laut.

“Ini adalah pengalaman pertama kami berdua terpisah dari kumpulan penyelam dan seterusnya terpaksa bersabung nyawa di dalam air.

“Sungguhpun masing-masing mempunyai pengalaman menyelam, namun nyata malang tidak berbau dan selepas ini kami akan lebih mementingkan aspek keselamatan ketika membuat aktiviti selaman termasuk memaklumkan pihak berkenaan,” katanya.



Hanyut 1.5 batu



Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Wilayah Satu, Kampung Acheh, Perak, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, PGM berjaya menemui dua mangsa setelah lima jam 30 minit operasi menyelamat dijalankan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Manjung, bermula jam 5 petang, kelmarin.

“Mengikut maklumat yang diterima, pengadu, Jonathan Ong Tse Guan, bersama lapan rakan lain termasuk dua mangsa telah ke Pulau Buluh di sekitar kawasan Pulau Sembilan untuk melakukan selaman.

“Mereka tiba di kawasan itu pada jam 10.30 pagi dan memulakan selaman pertama di mana semua penyelam kemudiannya timbul ke permukaan dengan selamat,” katanya.

Shaari berkata, pada jam 12.30 tengah hari kumpulan berkenaan melakukan selaman kedua, dua mangsa, Khoo Way Seng dan Jeffri Lim disedari tidak muncul ke permukaan sekitar jam 2 petang.

Menurutnya, setelah menunggu hampir satu jam, pengadu bersama lain-lain rakannya telah membuat rondaan menggunakan bot di sekitar kawasan untuk mencari mangsa, namun gagal.

“Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian ini kepada Lumut Yacht Club yang kemudiannya memanjangkan makluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan PGM Wilayah Satu Kampung Acheh.

“Operasi mencari dan menyelamat kedua mangsa dimulakan sekitar jam 5 petang semalam (kelmarin) setelah mendapat maklumat daripada IPD Manjung, sementara pengadu bersama rakan-lain telah selamat sampai ke Lumut Yacht Club pada jam 6.30, seterusnya membuat laporan polis di IPD Manjung,” katanya.

Beliau berkata, PGM menggunakan dua bot penyelamat iaitu, PX10 diketuai Asisten Superintendan Jafri Bidin dan PAC24 diketuai Koperal Kamal Din.

“Operasi turut melibatkan dua bot TLDM bersama empat penyelam, satu bot APMM bersama empat penyelam, dan satu bot Pasukan Bomba dan Penyelamat Manjung bersama lima anggota.

“Bilik gerakan beroperasi 24 jam dan kita juga telah bergerak seawal 6 pagi hari ini (semalam) bagi memastikan mangsa dapat ditemui segera, dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan PAC24 pada jam 8.15 pagi semalam setelah menerima makluman daripada sebuah bot nelayan.

“Mangsa ditemui dalam jarak 1.5 batu nautika dari tempat mereka menyelam dan dibawa ke Pengkalan PGM Kampung Acheh dan diberikan rawatan oleh pihak Hospital Manjung, mereka disahkan tidak mengalami kecederaan serta berada dalam keadaan sihat,” katanya.
SH

Wanita ditipu hampir bunuh diri




DERGA - Seorang kakitangan kerajaan hampir membunuh diri beberapa kali disebabkan tertipu dengan sindiket telefon yang mendakwa dia telah memenangi cabutan bertuah sebanyak RM156,000 di Hong Kong pada November 2008.

Gara-gara percaya dengan lakonan pegawai dari agensi berkenaan, wang cabutan bertuah yang dimenangi itu dikatakan dilaburkan dalam satu program lumba kuda dan sekali lagi memenangi hadiah tunai sebanyak RM3,299,300.

Kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia mengakui tidak percaya dengan skim cepat menang seperti itu tetapi lakonan yang meyakinkan ditunjukkan oleh pegawai agensi berkenaan membuatkannya percaya.

Menurutnya, kerana terpedaya, dia memasukkan sebanyak RM98,593 ke dalam bank untuk mendapatkan hadiah berkenaan.

“Kerana masalah ini juga, rumah tangga saya hampir retak kerana saya menyembunyikan perkara ini selama setahun daripada pengetahuan suami, akhirnya terbongkar apabila kami memerlukan sejumlah duit bagi pembedahan mata ibu mentua saya pada tahun lepas.

“Selama tempoh itu, hidup saya sangat tertekan tetapi berusaha untuk menyembunyikan daripada pengetahuan keluarga terutamanya suami kerana sebelum ini kami berdua sentiasa terbuka untuk berbincang termasuklah urusan pengurusan kewangan keluarga,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Bilik Gerakan Parti Gerakan Kedah, dekat sini.

Mengimbas kembali ceritanya, Tan berkata, dia telah diminta memasukkan wang secara berperingkat-peringkat bermula dengan wang pendahuluan sebanyak RM6,240 untuk memproses sebelum diminta memasukkan wang RM9,360 untuk mendapatkan nombor pin hadiah.

Menurutnya, dia terus terperdaya apabila agensi berkenaan memberitahu dia memenangi program lumba kuda hasil pelaburan hadiahnya dan hadiahnya berganda kepada lebih RM3 juta.

“Bagi mendapatkan hadiah lumba kuda itu saya perlu membayar wang proses sebanyak RM32,993 namun sekali lagi agensi berkenaan menghubungi saya dan memaklumkan terdapat masalah dengan akaun antarabangsa saya serta meminta memasukkan sebanyak RM50,000 untuk mengaktifkan kembali akaun berkenaan,” katanya.

Tan mendapatkan kerjasama daripada Parti Gerakan Kedah dan kerjasama yang diberikan membuatkan dia memperoleh kembali wangnya sebanyak RM50,000.

Menurutnya, kejayaan mendapatkan kembali sebahagian wangnya juga adalah hasil usaha polis terutamanya Polis Bukit Aman, dan dengan wang itu dapat mengurangkan beban pinjaman bank sebelum ini yang dibuat untuk mendapatkan wang hadiah terbabit.

“Hidup saya sangat tertekan dan hampir membunuh diri beberapa kali, dan walaupun di dalam waktu saya berhati-hati saya masih lagi boleh tertipu dan agensi berkenaan mengakui mendapatkan maklumat telefon rumah saya melalui peraduan teka dan menang daripada pasar raya yang dikunjungi sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai terus menasihati masyarakat supaya tidak terpedaya dengan skim atau panggilan yang mendakwa memenangi hadiah cabutan bertuah.
SH

Warga emas maut langgar lari



SABAK BERNAM - Hasrat seorang warga emas untuk menikmati kemudahan elektrik di rumahnya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan langgar lari, kira-kira jam 9.20 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, pasangan malang itu dipercayai dilanggar dari belakang berdasarkan kerosakan bahagian belakang motosikal dinaiki mereka.

Menurutnya, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas dan ketika di Parit 12 Ban Canel, motosikal yang mereka tunggangi dilanggar dari belakang dipercayai kereta menyebabkan mangsa kedua-dua mangsa tercampak.

“Mangsa, Piaaie Mangon, 75, dari Parit 14 Seri Gambut, Simpang Lima, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian kerana mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai terhentak.

“Sementara isteri, Painum Bakri, 70, masih bertarung nyawa dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh kerana mendapat kecederaan parah juga di bahagian kepala,” katanya.

Pihak polis memohon kerjasama saksi yang melihat atau orang ramai yang mengetahui mengenai kejadian itu untuk membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-3224 2222.

Mayat mangsa (Piaaie) dibawa ke Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat dan proses selesai kira-kira jam 10 pagi, semalam dan dituntut waris terdekat mangsa.

Sebelum ini, Sinar Harian edisi 19 Febuari lalu menyiarkan rintihan Piaaie yang mengharapkan kemudahan elektrik.

Allahyarham Piaaie dan isterinya, Painum bermastautin di Parit 14 Seri Gambut sejak 47 tahun lalu dan sepanjang hayatnya di sana, Piaaie menyuarakan hasratnya untuk menikmati kemudahan elektrik.

Piaaie dalam pertemuan sebelum ini menyatakan dengan tegas akan setia bermastautin di situ walaupun bekalan elektrik tiada dan tidak sesekali berpindah keluar serta akan mempertahankannya.

Menjadi harapannya untuk melihat kawasan itu menjadi kawasan penempatan yang maju dan sama sekali tidak mahu ianya lenyap kerana perpindahan demi perpindahan.

Namun sehingga kini, kemudahan itu masih belum dapat dipenuhi dan difahamkan, permohonan izin lalu oleh pihak Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sungai Besar sudah diajukan pada tahun lalu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam untuk memasang tiang.

Perkembangan terkini, perkara itu sudah dipanjangkan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk bekalan elektrik luar bandar.

Bagaimanapun menjadi polisi Kerajaan Negeri tidak membenarkannya kerana ia akan menggalakkan penerokaan haram di kawasan hutan simpan itu.

Namun, usaha masih diteruskan dan masih menunggu izin lalu dari Kerajaan Negeri untuk memasang tiang dalam usaha menyalurkan bekalan elektrik kepada penduduk di situ.
SH

Pengawal mengaku rogol remaja

SH: "

SHAH ALAM – Nasib seorang remaja 19 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap lima tuduhan merogol seorang remaja bawah umur akan diketahui 21 April ini.

Malah, hasratnya untuk memohon jawatan sebagai askar mungkin tidak kesampaian.

Muhammad Ariff Jamaludin, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, mengaku bersalah merogol pelajar tingkatan dua itu di sebuah rumah rakannya, di Apartmen Tanjung, Bukit Sentosa Selangor, antara jam 2 dan 4 petang, pada 26, 27, 28, 29 dan 31 Disember 2010.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Latifah Mohd Tahar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Ariff, dari Tapah, Perak, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi setiap kesalahan."

Premis terbakar




MENTAKAB – Tindakan pantas dua jentera bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah kedai menjual peralatan binaan di Jalan Ponniah di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dan Mentakab dianggotai 13 anggota serta pegawai berjaya mengawal api dari merebak ke deretan bangunan kedai bersebelahan.

Kebakaran turut mengakibatkan pemilik kedai kerugian ratusan ribu ringgit apabila tingkat atas yang dijadikan sarang burung walit turut hangus.

Ketua Balai Bomba Mentakab Hashnudin Hussin berkata, bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 8.09 malam.

Menurutnya, pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada anggota dan sebuah jentera dari balai Temerloh bagi membantu memadamkan api yang marak.

“Sebaik sampai, pemilik premis membuka pintu hadapan dan kita mempunyai laluan masuk mudah bagi memadamkan api.

“Pihak bomba menggunakan buih bagi memadamkan api yang marak dari tong-tong cat dari dalam kedai,” katanya semalam.

Hashnudin berkata, api telah mengakibatkan 80 peratus bangunan kedai itu hangus namun tidak menjejaskan pejabat dan stor di belakang kedai.

Beliau berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 9.55 malam dan punca siasatan masih dalam siasatan.

Sementara itu pemilik kedai Yap Seng Fei berkata, kerugian di kedai peralatan binaan mencecah RM200,000 tidak termasuk kerugian premis sarang burung walit.

Turut hadir melawat tempat kejadian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab Datuk Chuah Boon Seong.
SH

Cemas lori pasir terbalik




KUALA NERUS - Sebuah lori yang menurunkan muatan pasir terbalik dan memusnahkan separuh kedai makan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, lori yang dipandu Ishak Othman, 50, terbalik ketika menurunkan muatannya di jalan depan kedai makan berkenaan yang sedang dibaik pulih.

“Belum sempat pasir diturunkan, tiba-tiba ia (pasir) tumpah dan terkena kedai berdekatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di Kampung Padang Air.

Ishak berkata, muatan pasir berkenaan agak berat dan sukar baginya mengawal lori menyebabkan ia terbalik.

“Kejadian berlaku begitu pantas. Pasir tumpah ketika saya menekan jek,” katanya yang memandu seorang diri.

Sementara itu, pemilik kedai, Zainun Ngah, 60, berkata, ketika kejadian dia berada dalam kedai makannya.

“Saya leka mengemas kedai pada waktu itu. Tiba-tiba saya ternampak lori terbalik dan terus saya melarikan diri ke dapur untuk menyelamatkan diri.

“Pasir dalam lori itu tumpah dan terkena tiang kedai saya menyebabkan bumbung runtuh,” katanya.

Menurutnya, pada waktu itu, dia bersama dengan cucunya bersiap-siap mengemas: kedai.

“Mujurlah tiada pelanggan kerana saya mahu menutup kedai. Terkejut juga apabila melihat timbunan pasir menimpa kedai saya.

“Kejadian ini pertama kali berlaku sepanjang 20 tahun saya berniaga makanan dan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya.

Anaknya, Mohamad Zawawi Harun, 34, memberitahu, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang hanya 100 meter dari kedai dan apabila terdengar dentuman kuat dia segera berlari ke arah kedainya itu.

“Saya lihat sebuah lori terbalik dan ia melanggar sebahagian kedai makan kami.

“Anggaran kerosakan barangan yang rosak mencecah RM8,000 kerana meja makan rosak teruk ditimpa bumbung,” katanya.
SH

Remaja bawah umur dituduh menagih




KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana dituduh menagih dadah berbahaya, 10 Mac lalu.

Remaja lelaki yang beralamat di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu itu ditahan pada tarikh berkenaan kerana didakwa memberikan dadah jenis metamphetamine kepada dirinya sendiri.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh melakukan kesalahan itu ketika berada di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD), Kota Bharu pada jam 5 petang.

Tertuduh berdepan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semasa prosiding pada jam 12.15 tengah hari itu, Majistret Norhaslinda Che Seman membenarkan pesalah juvana itu diikat jamin RM2,000 sementara menunggu laporan patoligi tertuduh. Kes disambung 18 April nanti.
SH

Sekumpulan pelacur Thailand diberkas




Dua pelacur warga asing diberkas sebaik sahaja diserbu oleh polis ketika melakukan maksiat di sebuah hotel di Jalan Abdullah Tahir, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 14 Mac - Kegiatan pelacuran sekumpulan wanita Thailand di bandar raya ini sejak tiga bulan lalu tumpas apabila polis menyerbu dua buah rumah di Bukit Cagar dan sebuah hotel di sini hari ini.
Kesemua 11 wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 11 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.
Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Supritendan Mohammad Abd. Hamid berkata, siasatan awal mendapati, kegiatan pelacuran itu diketuai oleh beberapa wanita yang dipanggil 'mummy'.
"Mummy yang juga warga Thailand ini biasanya akan berurusan dengan orang tengah dan mencari pelanggan bagi kegiatan pelacuran.
"Dia juga akan menghantar pelacur tersebut ke tempat yang telah ditetapkan oleh pelanggan, biasanya di hotel-hotel di sekitar bandar raya ini," katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir hari ini.
Mohammad berkata, siasatan mendapati setiap wanita yang dilanggan dikenakan bayaran RM200 manakala pelacur yang agak berusia menjalankan kegiatan tersebut secara bersendirian.
Menurutnya, kesemua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah, kecuali seorang yang tidak mempunyai sebarang dokumen.
"Kesemua wanita tersebut termasuk 'mummy' berusia 32 tahun itu, kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan," katanya sambil memberitahu seramai dua pegawai dan lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut.
Utusan

Stor 38,704 arak seludup diserbu



BUKIT MERTAJAM 14 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar satu kegiatan penyeludupan arak selepas menyerbu sebuah stor di kawasan Bukit Tengah, di sini dan merampas 38,704 tin minuman keras bernilai RM360,672 termasuk cukai, Jumaat lalu.
Kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama dua minggu oleh sepasukan anggota Pusat Risikan Kastam Zon Utara di sekitar stor berkenaan yang dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang menyerbu stor tidak bernombor itu, kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, ketika serbuan, premis berkenaan berkunci serta tidak berpenghuni.
“Kita terpaksa memecahkan kunci pagar dan stor untuk memasuki stor itu dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar minuman keras yang belum lulus kastam disimpan di dalamnya.
“Sebanyak 38,704 tin minuman keras jenama Darguner Brauerei Strong Beer ditemui disembunyikan di stor berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya tiada label cukai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, siasatan awal mendapati, stor tersebut disewakan kepada seorang lelaki Cina berusia 50-an yang dipercayai menjalankan perniagaan barangan terpakai, termasuk komputer lama.
Katanya, siasatan juga mendapati, minuman keras tersebut mempunyai campuran alkohol lebih 12 peratus berbanding kadar biasa antara tiga hingga lima peratus.
Beliau menambah, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik serta penyewa stor itu untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Seberang Jaya berhubung kes tersebut.
“Kes disiasat menurut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan atau menyembunyikan apa-apa barang kastam atau barang larangan,” katanya.
Katanya, pengimportan minuman keras memerlukan lesen import di bawah Butiran 18 Peraturan Kastam 1977 kecuali dengan satu lesen yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam.
Utusan

Dua pengedar pil khayal pusat hiburan tumpas


PULAU PINANG 14 Mac - Satu sindiket pengedaran pil khayal di beberapa pusat hiburan di bandar ini yang dipercayai didalangi oleh dua lelaki tempatan tumpas apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di Bukit Gambir di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Deputi Supritendan Lee King Chuan berkata, kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berusia 21 dan 34 tahun itu ditahan ketika serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri pada kira-kira pukul 2 petang.

Difahamkan, ketika ditahan, lelaki berkenaan sedang leka memasukkan pil khayal itu ke dalam beg untuk diedarkan kepada pelanggan pada sebelah malamnya.

"Hasil pemeriksaan di rumah mereka yang terletak di tingkat enam itu, polis merampas 14,150 biji dadah jenis Eramin 5 bernilai RM283,000 yang disimpan dalam sebuah bilik.

"Siasatan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan mendapati mereka telah menjalankan aktiviti pengedaran Eramin 5 di pusat hiburan di negeri ini sejak enam bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas King Chuan, pihaknya turut menyita kesemua barangan milik suspek iaitu sebuah kereta, komputer riba, barang kemas, pelbagai mata wang asing bernilai RM3,083, wang tunai berjumlah RM189,198, jam tangan Rolex dan Omega.

Kesemua barangan rampasan yang disita bernilai RM154,431.

Beliau berkata, kejayaan menumpaskan rangkaian pengedaran pil khayal tersebut adalah hasil daripada intipan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya iaitu mengedar dadah.

Utusan

11 cedera letupan gas hidrogen

Utusan

FUKUSHIMA 14 Mac - Seramai 11 orang cedera dalam satu letupan gas hidrogen di loji tenaga nuklear di Fukushima hari ini, letupan kedua dalam tempoh tiga hari yang menggegarkan loji tenaga nuklear Jepun, di mana pihak berkuasa bertungkus-lumus untuk mengelakkan kecairan teras reaktor yang boleh menyebabkan bahan radioaktif berbahaya terlepas ke udara.

Kejadian itu memburukkan lagi krisis nuklear di negara matahari terbit ini ekoran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang disusuli tsunami besar, pada Jumaat lalu.

Pasukan jurutera dan penyelamat berusaha sepanjang hujung minggu untuk mencegah malapetaka nuklear dan membantu berjuta-juta penduduk yang terputus bekalan elektrik atau air dalam krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Dinding tebal yang melindungi teras di reaktor No. 3 di Fukushima masih utuh selepas letupan itu, tetapi penduduk yang masih berada di zon pemindahan dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu diingatkan tidak keluar rumah, kata kerajaan.

Sebelum letupan itu, seorang pegawai Jepun berkata, 22 orang disahkan mengalami pencemaran radiasi dan sehingga 190 dipercayai terdedah kepada radiasi. - Reuters"

Banjir: Hampir 200 penduduk terjejas




Keadaan banjir yang melanda Kampung Segaliud, Sandakan, kelmarin.


SANDAKAN 14 Mac – Seramai 180 orang penduduk di Kampung Segaliud di sini terpaksa berpindah ke tempat selamat apabila rumah mereka ditenggelami air akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, 150 orang mangsa telah menumpang sementara di rumah jiran dan keluarga terdekat.
“Sebanyak 30 orang lagi mangsa telah berpindah ke masjid kampung berkenaan ekoran kedudukan masjid itu berada di atas bukit di kampung tersebut,’’ katanya ketika ditemui semasa meninjau keadaan banjir di kampung berkenaan semalam.
Samsudin berkata, bantuan akan segera disalurkan kepada kesemua keluarga mangsa banjir yang menetap di kampung berkenaan.
“Saya telah menghubungi pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Sandakan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk datang sendiri meninjau keadaan sekali gus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan”, katanya.
Beliau amat bersimpati dan berharap penduduk dapat bersabar dengan bencana banjir yang saban tahun melanda kampung tersebut.
Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, pihaknya akan memanjangkan permasalahan yang melanda kampung itu terutama kerosakan teruk beberapa kemudahan awam akibat ditenggelami air kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, antaranya adalah jambatan gantung dan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Segaliud yang dihanyutkan arus deras selain dewan serbaguna yang ditenggelami air.
“Perkara ini akan saya panjangkan ke pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selain ke kementerian berkaitan agar langkah penyelesaian dapat diambil dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak mereka terutama yang masih kecil bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
Utusan

Peragut guna kereta curi ditangkap dalam masa kurang 24 jam




PETALING JAYA 14 Mac - Kegiatan sekumpulan penjenayah menggunakan kereta curi untuk meragut dan menyamun akhirnya terbongkar apabila kurang 24 jam kejadian ragut dilaporkan. Salah seorang daripadanya ditahan di Batu 14, Puchong, dekat sini awal pagi tadi.
Kejayaan itu susulan laporan polis seorang mangsa wanita berusia 40-an selepas beg tangannya mengandungi wang tunai RM100 serta dokumen peribadi dilarikan, semalam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4 petang, mangsa yang memandu kereta Proton Satria warna perak terlibat dalam kemalangan setelah kenderaannya hilang kawalan dan terbabas di selekoh berhampiran Putra Height, dekat sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, ketika mangsa keluar melihat kenderaannya, sebuah kereta Proton Satria warna biru dinaiki dua lelaki menghampiri mangsa.
Katanya, salah seorang daripada suspek lalu masuk ke dalam kereta mangsa dan meragut beg tangannya sebelum melarikan diri.
"Maklumat lengkap yang diberi mangsa mengenai jenis, warna dan nombor plat WJC 4545 yang digunakan suspek dapat membantu pihak polis untuk mengesan suspek.
"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek-suspek merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Seri Kembangan pada 9 Mac lalu.
"Polis percaya suspek menggunakan kereta curi dan bersedia mengambil peluang untuk meragut dan menyamun mangsa yang berseorangan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini hari ini.
Katanya, bertindak hasil maklumat tersebut, polis mengesan salah seorang suspek sedang memandu kereta dengan nombor plat sama ketika membuat rondaan di kawasan Putra Heights, pukul 3.50 pagi.
"Pihak polis minta suspek memberhentikan kenderaan itu bagaimanapun dia memecut laju keretanya sehingga melanggar palang tol menghala ke Puchong.
"Suspek yang dikejar sejauh kira-kira 10 kilometer akhirnya terbabas dan berjaya diberkas.
"Dia memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah didapati positif syabu ketika ditangkap," katanya.
Zainal memberitahu, polis menemui satu paket kecil dadah syabu seberat 2.4 gram dan satu beg tangan mengandungi peralatan untuk mencuri kereta.
"Suspek direman tujuh hari sehingga 20 Mac ini dan polis sedang memburu rakan-rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam jenayah ragut, samun dan curi kenderaan," katanya
Utusan

Mualaf mati dipercayai dibunuh anak

Berita





2011/03/15

KULIM: Seorang lelaki yang memeluk Islam kira-kira seminggu lalu, ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan badan, akibat dipukul oleh anak kandungnya sendiri di rumahnya di Taman Selasih di sini, kelmarin.

S Ramadas, 63, ditemui berlumuran darah dalam keadaan terlentang di atas katil dalam bilik tidur utama, kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan anggota polis selepas menerima aduan daripada suspek kononnya bapanya meninggal dunia.
Berikutan itu, anak sulung mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh, ditahan bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata sebelum itu anak lelaki mangsa memaklumkan kepada polis kononnya dia menemui mayat bapanya tanpa memberitahu kejadian sebenar.

Berikutan itu, sepasukan polis ke rumah suspek dan menemui mayat mangsa dengan kecederaan di kepala dan badan, dipercayai dipukul dengan objek keras.

Bagaimanapun, Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir, yang mengambil keterangan suspek mendapati keterangan diberikan bercanggah dengan aduan dibuat ketika mendakwa menemui mayat bapanya.

"Selepas menyoal siasat suspek, dia mengaku melakukan kekerasan terhadap bapanya sehingga menyebabkan kematian dengan memukul. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dua beranak itu," katanya di sini, semalam.
Mangsa yang mempunyai tiga anak, memeluk Islam pada 8 Mac lalu. Mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan jenazahnya akan diuruskan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk dikebumikan.

Angka kematian rasmi gempa bumi melebihi 2,400 orang

Berita


2011/03/15

TOKYO: Angka kematian rasmi akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda perairan timur laut Jepun kini melebihi 2,400 orang, kata polis hari ini.

Agensi Polis Kebangsaan negara itu berkata, 2,414 orang disahkan maut dan 3,118 masih hilang manakala 1,885 mengalami kecederaan selepas bencana alam itu melanda petang Jumaat lalu.
Jumlah kematiah sehingga semalam ialah 1,647 orang. - AFP"

Ribuan ikan air tawar mati

myMetro


MELAKA: Pelbagai jenis ikan air tawar membabitkan spesies haruan, keli, puyu dan sepat yang didapati mati dan terapung di permukaan Sungai Paya Redan, di sini, baru-baru ini, menggemparkan penduduk di kawasan terbabit.

Penduduk mendakwa kejadian itu dipercayai berpunca daripada sisa toksik dari kilang berhampiran dan ia disedari sejak Ahad lalu apabila warna air sungai kehitaman serta berminyak menyebabkan hidupan mati dipercayai tercemar.


Penduduk, Abu Bakar Aziz, 51, berkata, kebanyakan ikan pelbagai saiz dan jenis mati bergelimpangan dan terapung di permukaan sungai dan menimbulkan pencemaran bau.

Menurutnya, pencemaran air sungai pernah berlaku sebelum ini, tetapi ketika itu ia cuma berbau.


Dia berkata, sebelum ini air sungai terbabit keruh, tetapi ikan di dalamnya masih boleh dimakan.


“Sungai ini mengandungi pelbagai jenis ikan yang boleh dimakan dan secara tidak langsung menjadi sumber rezeki sampingan penduduk yang menjala atau menjaringnya setiap hari.


“Penduduk dari Bukit Nibong dan Paya Dalam turut memancing ikan sungai di sini setiap hari,” katanya."

11 cedera loji nuklear meletup

myMetro
"TOKYO: kerajaan Jepun semalam berkata, 11 orang cedera, seorang daripadanya parah, akibat letupan di sebuah loji nuklear.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, empat anggota tentera dan tujuh petugas loji cedera apabila Unit 3 loji Nuklear Fukushima Dai-ichi meletup semalam.
Tidak lama kemudian, sebuah lagi reaktor dalam loji itu kehilangan kapasiti penyejukan, meningkatkan kemungkinan akan berlaku satu lagi letupan.

Menurut Edano, seorang pekerja parah tetapi masih sedar sementara empat anggota tentera hanya cedera ringan dan sudah kembali bertugas. - Reuters"

Anak tak pulang lepas solat Jumaat

myMetro


GOMBAK: “Dua hari sebelum dia hilang sikapnya berlainan daripada hari biasa selain banyak bercakap dia bermanja dengan saya seperti tidak mahu berenggang,” kata Siti Rakiah Jahan, 71, ibu lelaki kelainan upaya (OKU), Mohd Afedi Khairudin yang dipercayai hilang sejak Jumaat lalu.

Mohd Afedi, 37, tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk menunaikan solat Jumaat di surau berhampiran Batu Enam, Kampung Sungai Pusu, di sini.


Menurut Siti Rakiah, walaupun anaknya itu OKU, mereka sekeluarga tidak bimbang untuk melepaskan dia keluar rumah seorang diri kerana semua jiran tetangga bekerjasama mengawasi anak bongsu daripada sembilan beradik berkenaan.

Sesiapa yang menemui Mohd Afedi boleh menghubungi Mazli Khairudin di alamat Nombor 50, Kampung Sungai Pusu, Gombak atau menghubungi talian 019-2244540, 019-3080965 atau 019-3408176."

Rampas bom dalam serbuan




BUKTI...senjata dan dadah yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...senjata dan dadah yang dirampas daripada suspek.


RAMPAS...bom tangan yang dirampas.
RAMPAS...bom tangan yang dirampas.

AMPANG: Polis memberkas 14 lelaki dan menemui pelbagai senjata termasuk bom yang dipercayai mengadakan perbincangan untuk melakukan jenayah berhampiran sebuah kedai besi buruk, di Pandan Jaya, dekat sini, Sabtu lalu.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, kira-kira jam 9.30 malam ketika kumpulan itu duduk berkumpul sebelum polis menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil pemeriksaan polis menemui satu bom tangan, kerambit, parang panjang, tiga pisau dan pelbagai jenis dadah.
“Polis turut menemui dua tiub heroin seberat 0.26 gram, empat peket kecil syabu seberat 0.64 gram dan enam peket kecil ganja seberat lebih 33 gram.

“Bagaimanapun, sama ada bom tangan itu palsu atau tidak, kami masih menunggu keputusan pihak berkaitan,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati enam daripada suspek positif dadah manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau bersangkut dua kes samun dan 12 kes dadah.
“Hasil siasatan mendapati semua yang ditahan berusia 18 hingga 45 tahun bekerja sebagai buruh dan peniaga, malah ada antara mereka pelajar,” katanya.

Amiruddin berkata, 14 lelaki itu direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 3 Akta Bahan Hakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, menurutnya, sepanjang Ops Tapis Khas yang dijalankan bahagian narkotik itu sejak 12 Februari lalu berjaya menahan 61 penagih dan pengedar dadah.

“Sepanjang operasi yang dilakukan bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam membabitkan kekuatan anggota seramai 11 pegawai dan 78 anggota dari pelbagai bahagian dan cawangan.

“Hasilnya, seramai 149 termasuk seorang wanita diperiksa dan daripada jumlah itu 61 daripadanya positif dadah dan ditahan,” katanya.
myMetro

Baby insaf


BERSYUKUR...pengalaman dipenjara menginsafkan Nur Dhiya.
BERSYUKUR...pengalaman dipenjara menginsafkan Nur Dhiya.

KUALA LUMPUR: “Cukuplah pengalaman tujuh bulan dipenjarakan di luar negara selepas menjadi keldai dadah,” kata Nur Dhiya Ain Rosman, 20, yang dibebaskan dari penjara Cape Town, Afrika Selatan, 9 Mac lalu.
Anak kedua daripada empat beradik berasal dari Jalan Tun Sambathan 4, Brickfields, di sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada jam 6 pagi hari sama.

Nur Dhiya dipenjarakan di Cape Town selama tujuh bulan bermula 14 Ogos tahun lalu hingga 9 Mac lalu selepas ditahan dan didapati bersalah kerana membawa 1.2 kilogram dadah jenis syabu.

Menurutnya, ketika ditahan dia tidak mengetahui apa-apa mengenai dadah itu dan terkejut selepas menyedari ditipu rakan baik yang dikenali sejak kecil.

Katanya, dia bersetuju melancong ke Cape Town selepas diajak rakan baiknya itu yang menawarkan tiket penerbangan dan penginapan percuma selama empat hari ke negara itu, tetapi rakannya membatalkan percutian pada saat akhir menyebabkan dia terpaksa pergi seorang diri.

“Rakan saya itu meyakinkan saya akan selamat kerana akan ditemani wakil syarikat yang menguruskan pelancongan percuma itu dan bakal ditempatkan di sebuah hotel mewah selama empat hari.

“Selama di sana saya dilayan dengan baik dan apabila tiba saat untuk pulang pada 14 Ogos tahun lalu, seorang wanita yang mendakwa wakil syarikat itu yang menemani saya menyerahkan sebuah beg kecil sebagai sagu hati tanpa diketahui isinya.

“Ketika di lapangan terbang kira-kira jam 10 malam selepas melalui pemeriksaan pengimbasan, saya ditahan pegawai imigresen negara itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, semalam.

Nur Dhiya berkata, sebaik ditahan, dia hanya berdoa kerana tidak mengetahui motif rakan baiknya serta wakil syarikat pelancongan itu berbuat demikian dan hanya mengetahui dirinya dikhianati selepas dipenjara.

“Saya sungguh insaf dengan pengalaman ini kerana pertama kali berjauhan dengan ibu, ayah dan adik-beradik. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini.

“Saya menasihatkan remaja supaya berhati-hati dengan rakan sendiri dan orang yang baru dikenali kerana kebanyakan mereka mempunyai muslihat,” katanya yang dibebaskan daripada penjara selepas Mahkamah Tinggi Cape Town memutuskan dia tidak bersalah dalam kes pengedaran dadah.

Menurutnya, walaupun dilayan dengan baik, pengalaman tinggal dalam penjara bersama tahanan warga Afrika amat menginsafkan kerana mereka sering bergaduh menyebabkan dirinya tertekan selain berjauhan orang tersayang.

Harian Metro pada 15 Ogos tahun lalu melaporkan Nur Dhiya ditahan di lapangan terbang Cape Town selepas dikesan membawa 1.2 kilogram syabu dan ditempatkan di sebuah pusat tahanan.

Sementara itu, ibu dan bapanya, Roslah Abd Jani, 44, dan A C Musa Abu Chik, 43, bersyukur kerana mimpi ngeri keluarganya berakhir apabila Nur Dhiya atau lebih dikenali sebagai Baby dibebaskan dan kini kembali ke pangkuan keluarga.

Roslah berkata, sebelum ini dia tidak boleh tidur malam dan setiap hari berusaha menghubungi Kedutaan Malaysia di Cape Town untuk mengetahui keadaan anak gadisnya itu.

“Saya mengorbankan segala-galanya demi menyelamatkan Baby kerana dia masih muda dan masa depannya masih panjang,” katanya yang menghabiskan ribuan ringgit untuk membebaskan anaknya dengan pertolongan pelbagai pihak
myMetro

OKU rentung kereta terbakar

myMetro


KAJANG: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang berkaki palsu, maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar akibat hilang kawalan di Kilometer 17.4, Lebuhraya Silk, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi, mangsa, A Vimala Sagasvananam, 26, dalam perjalanan dari Semenyih menghala ke Kajang memandu kereta Proton Persona seorang diri hilang kawalan sebelum terbabas selepas melanggar pembahagi jalan di lebuh raya terbabit.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, akibat rempuhan kuat, kereta terbabit kemudiannya terbakar dan mangsa yang masih berada di dalam kenderaan gagal menyelamatkan diri dan turut rentung."

Jaga mengaku perkosa remaja

myMetro


SHAH ALAM: Angan-angan seorang pengawal keselamatan untuk menyertai tentera mungkin terkubur apabila dia mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol remaja berusia 14 tahun dalam lima kejadian berasingan di Bukit Sentosa, dekat sini, akhir tahun lalu.

Muhamad Ariff Jamaludin, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan pada prosiding sebutan semula kes itu, semalam.
Hakim Latifah Mohd Tahar, bagaimanapun menetapkan 21 April depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Ariff dari Tapah, Perak, didakwa merogol mangsa di sebuah unit pangsapuri di Bukit Sentosa, dekat sini, antara 26 dan 31 Disember tahun lalu."

Lelaki uzur kena saman




ABDUL WAHAB menunjukkan saman yang diterima di samping motosikal jenis Honda 70cc di rumahnya di Kampung Telok Durian, Kupang, Baling semalam.


BALING - Seorang guru agama yang uzur terkejut apabila menerima saman atas kesalahan menunggang motosikal secara laju di Kilometer 46, Jalan Alor Setar Butterworth tiga tahun lalu.
Abdul Wahab Tampal, 65, yang hanya mampu menunggang motosikal sejauh tidak sampai lima kilometer itu mendakwa dikenakan saman menggunakan motosikal berkuasa di antara 90 hingga 250 kuasa kuda.
Guru agama ini juga hanya menggunakan motosikal Honda 70cc sahaja dan tidak pernah ke mana-mana dengan motosikal itu kecuali ke masjid atau rumah saudara terdekat.
"Saya hanya menunggang motosikal buruk ini di sekitar kampung ini sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Durian, Kupang dekat sini semalam.
Abdul Wahab didakwa menunggang motosikal jenis Honda bernombor Plat PCV 9314 melakukan kesalahan itu pada 10 September 2008 kira-kira pukul 7.30 pagi.

Pengedar Eramin 5 tumpas




KING CHUAN (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis Eramin 5 serta wang tunai dan barangan yang disita di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran Eramin 5 di beberapa pusat hiburan sekitar negeri ini apabila menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM283,000 di sebuah apartmen di Bukit Gambir, Gelugor di sini pada 11 Mac lalu.
Kedua-dua suspek berusia 21 dan 34 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang.
Difahamkan, ketika ditahan, lelaki berkenaan leka memasukkan pil khayal itu ke dalam beg untuk diedarkan kepada pelanggan di beberapa pusat hiburan di sini.
Timbalan Ketua JSJN negeri, Deputi Supritendan Lee King Chuan berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya melakukan intipan sejak dua bulan lalu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di kediaman yang terletak di aras enam itu menemui 14,150 biji dadah jenis Eramin 5 yang disimpan dalam sebuah bilik.
“Siasatan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan mendapati mereka telah menjalankan aktiviti pengedaran Eramin 5 di pusat-pusat hiburan di negeri ini sejak enam bulan lalu.

Rakyat Myanmar curi rim kereta



AMPANG JAYA – Percubaan tiga lelaki Myanmar untuk melakukan jenayah kali pertama dengan mencuri 20 set rim sport kereta bernilai RM50,000 di sebuah kedai menjual tayar mengundang padah apabila dua daripada mereka ditahan di Jalan Wawasan 4/1 Bandar Baru Ampang di sini kelmarin.
Lelaki berusia 17 dan 23 tahun itu ditahan pada pukul 6 pagi oleh sepasukan polis yang bergegas ke lokasi tersebut sebaik menerima panggilan daripada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek sedang leka memunggah barangan tersebut ke dalam dua buah van.
Bagaimanapun katanya, salah seorang suspek dapat melarikan diri manakala dua lagi dapat ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang (IPD) untuk disoal siasat.

Nyaris maut dihempap pokok




BATANG pokok yang tumbang dipotong untuk menyelamatkan dua beradik yang menaiki kereta Proton Saga BLM di Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA – Dua beradik nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki mereka remuk dihempap pokok yang tumbang ketika angin kencang dan hujan lebat melanda Jalan Persiaran Kewajipan menghala ke arah Summit USJ di sini semalam.
Kejadian pukul 5.35 petang itu berlaku ketika mereka sedang melalui jalan tersebut sebelum sebatang pokok yang berada di kiri jalan tumbang lalu menimpa bahagian tengah kereta mangsa.
Ketika kejadian, kereta itu dipandu seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan kakak kepada lelaki berusia 27 tahun tersebut.
“Dalam kejadian itu, dua beradik berkenaan bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan tetapi kereta mereka pula rosak teruk di bahagian tengah akibat dihempap pokok.
“Sepasukan anggota bomba dari sini mengambil masa selama setengah jam untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan menyelamatkan mangsa,” kata Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Subang Jaya, Deputi Supritendan Tengku Anuar Raja Husin.
Tambahnya, kejadian itu menyebabkan kesesakan hampir satu jam ekoran pihaknya terpaksa menutup jalan bagi mengawal lalu lintas.

Rogol anak tiri: Penjara 15 tahun kekal



14/03/2011 6:31pm

PUTRAJAYA – Seorang pemotong rumput kekal menjalani hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak tirinya berumur sembilan tahun, 11 tahun lalu.
Ia berikutan kegagalannya dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Termerloh pada 12 Mei 2009.
Panel tiga hakim, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 42 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman.
Dua hakim lain dalam panel tersebut alah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohamed Apandi Ali.
Lelaki itu didakwa atas dua tduhan iaitu merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan zakarnya ke dalam mulut kanak-kanak perempuan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Felda Jengka 8, Bandar Jengka, Maran, Pahang, kira-kira pukul 10 malam, antara 9 Feb dan 11 Feb 2000.
Dalam prosiding rayuan, lelaki itu, yang tidak diwakili peguam, berkata beliau telah insaf dan perlu menjaga ibunya yang uzur.
Menurut fakta kes, lelaki itu melakukan perbuatan itu semasa ibu mangsa sedang menjalani rawatan di hospital akibat keguguran.
Dalam keterangan, mangsa memberitahu kejadian itu berlaku tiga malam berturut-turut dan dia memaklumkan insiden itu kepada ibunya selepas ibunya keluar dari hospital.
Pada 12 Jun 2006, Mahkamah Sesyen Temerloh melepas dan membebaskan lelaki itu atas dua tuduhan itu di akkhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Temerloh membenarkan rayuan pendakwaan dan menjatuhi hukuman 15 tahun dan tiga sebatan rotan setiap pertuduhan terhadap lelaki itu.
Lelaki itu, yang bekerja di Awana Golf Club di Genting Highlands, diperintah menjalani hukuman itu serentak.
Ketika memohon mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Timbalan Pendakwa Raya, Andi Razalijaya A. Dadi, berkata perayu telah mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu.
Akibat perbuatan perayu, kanak-kanak itu menghadapi trauma dan masa depannya terjejas, katanya. - Bernama
-kosmo