Search This Blog

Monday, March 14, 2011

Bekas Pengurus Akaun Bank dituduh pecah amanah



SUNGAI PETANI - Seorang bekas pengurus akaun sebuah bank hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah wang milik pelanggan berjumlah RM74,000, awal tahun ini.

Dalam pertuduhan pertama Khor Gek Khim, 28, dituduh memindahkan wang secara perbankan internet berjumlah RM40,000 daripada akaun mangsa yang dikenali sebagai Beh Peoy Su ke dalam akaun orang lain yang dikenali sebagai Irene Ching Shwu Chyn, dengan melanggar undang-undang, 21 Januari lalu.

Pertuduhan kedua terhadap Khor ialah memindahkan wang secara perbankan internet berjumlah RM34,000 daripada akaun Beh ke dalam akaun orang lain yang dikenali sebagai Ng Moi Heng dengan melanggar undang-undang di lokasi sama 24 Jan lalu.

Khor yang berasal dari Taman Keladi di sini didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Hakim Zainol Saad menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 April ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Syazwani Syed Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj.

Media pada 26 Feb lalu melaporkan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Khor yang meletak jawatan secara sukarela pada 16 Feb lalu ditahan di rumahnya sekitar bandar ini pada 23 Feb lalu, selepas pegawai atasan dan para pelanggan bank berkenaan membuat aduan mengenai kegiatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, sehingga 25 Februari lalu sebanyak 13 laporan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan.
SH

Buang bukti dalam sungai




BATU PAHAT - Sebanyak 16 rangka motosikal ditemui di dalam sungai dekat Benteng Parit Sarang Buaya, Semerah, di sini yang dipercayai menjadi tempat pembuangan rangka motosikal yang dicuri.

Penemuan itu hasil maklumat orang ramai dan tindakan sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Semerah yang membuat pemerhatian selama tiga jam di benteng itu sebelum memeriksa sungai itu pada 2 Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, sebanyak 16 rangka motosikal ditemui di dalam sungai dan dipercayai adalah motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Batu Pahat.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis masih membuat siasatan bagi mengesan suspek, mana- kala rangka motosikal akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menimbulkan nombor casisnya.

“Dengan mengetahui nombor yang terdapat pada rangka motosikal tersebut, ia mungkin akan dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian yang dilaporkan,” katanya, baru-baru ini.

Adnan berkata demikian pada Program Sepagi Bersama Polis dan Pemimpin Masyarakat Setempat bagi kawasan Semerah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kecurian motosikal diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Polis juga memberi amaran keras kepada mereka yang terlibat dengan jenayah kecurian ini agar ia tidak menjadi trend kepada golongan muda khususnya.

“Di samping itu, polis juga mempergiatkan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah kecurian ini di kawasan yang menjadi tumpuan terutamanya sempena cuti persekolahan yang sudah bermula ini,” katanya.

Adnan juga berharap kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa agar dapat memerhatikan pergerakan anak-anak mereka.

Bagi kawasan Semerah, sebanyak 2.93 peratus menjadi penyumbang kepada indeks jenayah di Batu Pahat dan terdapat lapan kes kecurian motosikal dilaporkan di kawasan ini sepanjang Januari hingga Februari tahun ini dan tempoh sama pada tahun lepas.

Manakala bagi keseluruhan daerah ini untuk tempoh sama iaitu sebanyak 90 (2011) dan 117 (2010).
SH

Ikan mati mengejut




SEDELI KECIL - Sebanyak 50,000 siakap ternakan sangkar mati dalam tempoh 24 jam di Kuala Sungai Sedili Kecil, di sini, kelmarin.

Pemiliknya, Zakaria Jaafar, 57, berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku kepada perusahaannya sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Sebanyak 21 ikan induk seberat antara lima hingga 10 kilogram berusia tiga tahun yang disimpan untuk induk benih juga mati.

“Berdasarkan penilaiannya, hampir 30 tan siakap mati dengan nilai pasarannya mencecah RM320,000,” katanya.

Zakaria berkata, kebanyakan siakap itu seberat di antara 500 hingga 700 gram yang menunggu masa untuk dipasarkan ke pasaran tempatan dan Singapura.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk menjelang pagi semalam apabila kesemua siakap berjumlah lebih 50,000 ekor yang diternak dalam 114 sangkar mati.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar ketika melawat kawasan kejadian itu menyatakan simpati kepada pemiliknya dan meminta pihak berwajib menyiasat punca kematian ikan itu.

“Perusahaan siakap ini memakan masa untuk dipelihara bagi mencapai saiz pasaran serta mengeluarkan modal yang besar.

“Justeru, siasatan itu dapat membantu Zakaria mengetahui punca sebenar kejadian ini,” katanya.
SH

Perjalanan terakhir 4 sahabat




BIDOR – Perjalanan empat sahabat untuk menunaikan upacara keagamaan di Pengkalan Hulu, Grik bertukar tragedi apabila salah seorang maut sementara yang lain cedera dirempuh sebuah lori dari arah belakang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi semalam, mangsa, S Ananthan, 25, maut di tempat kejadian apabila kereta yang dinaiki bersama tiga lagi rakan dirempuh sebuah lori di kilometer 351 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, kereta yang dinaiki empat sahabat itu dikatakan mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti di lorong kecemasan.

Menurutnya, lori membawa muatan lori yang datang dari arah sama secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh kenderaan berkenaan.

“Mangsa yang tersepit mengalami kecederaan parah di bahagian badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika perlanggaran berlaku, mangsa bersama dua rakan berada di dalam kereta sementara seorang lagi berada di luar untuk memeriksa kereta yang rosak,” katanya.

Ananthan berasal dari Sungai Buloh, Selangor dipercayai bekerja sebagai penarik kereta.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, dua lagi rakan serta pemandu lori mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Roslan Bek berkata, daripada siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan keadaan jalan licin akibat hujan lebat menyebabkan lori berkenaan gagal mengawal kenderaannya.

Bagaimanapun, menurutnya, polis masih menjalankan siasatan insiden berkenaan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan saya harap pengguna sentiasa berwaspada dalam pemanduan terutama pada keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.
SH

Dua kedai hangus




GEORGETOWN - Dua rumah kedai yang diperbuat daripada kayu hangus dalam kebakaran di Jalan Ayer Itam petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba Paya Terubong, Goh Tian Lai berkata, kebakaran itu melibatkan kedai yang dijadikan kediaman pemilik di bahagian belakang premis itu.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 6.36 petang dan anggota bomba sampai di tempat kejadian tiga minit kemudian. Ketika tiba, api sedang marak berikutan binaan bangunan itu diperbuat daripada kayu dan kedudukannya sangat rapat antara satu sama lain.

“Siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan premis yang terlibat adalah dua namun masih ada kedai berdekatan yang terkena serpihan api namun kita berjaya mengawal api tiga minit kemudiannya namun kerja pemadaman selesai 25 minit kemudiannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pihaknya melakukan teknik pemadaman dari dua sudut iaitu kanan dan kiri secara serentak bagi mempercepatkan kerja pemadaman selain mengelakkan api daripada merebak ke premis lain.

“Kita berusaha memadamkan api bagi ia merebak ke premis lain dan dengan kekuatan 15 anggota dan pegawai dari dua balai, kita berjaya memadam api 25 minit kemudiannya. Operasi melibatkan enam jentera dari dua balai bomba iaitu dari Jalan Perak dan Paya Terubong.

“Kita juga menggunakan tiga pasukan bomba sukarela iaitu dari Kampung Pisang, Bukit Bendera dan Paya Terubong. Tiada mangsa dalam kejadian itu dan bomba masih menyiasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.
SH

Kasino dalam hutan




KULIM - Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) dari Balai Polis Kulim, yang diketuai seorang sarjan dan lima anggota berjaya mengesan tempat perjudian haram di sebuah pondok dalam ladang getah berhampiran Taman Dahlia kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.

Dari tinjauan dibuat, hampir 10 kereta mewah dipercayai dimiliki tauke judi yang meletakkan kenderaan di tepi hutan dan menggunakan motosikal untuk ke tempat perjudian yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan lereng bukit.

Jurucakap polis berkata, maklumat diperoleh hasil pemantauan sejak tiga minggu lalu dan kawasan perjudian didatangi oleh golongan elit bagi mempertaruhkan wang yang banyak.

“Tempat perjudian ini dikenali dengan panggilan ‘small casino’. Kawasan ini tersorok dan diawasi ketat oleh tonto yang diupah untuk mengawasi 600 meter dari kawasan pondok perjudian.

“Dari Taman Dahlia, polis terpaksa menggunakan jalan tanah dengan menaiki motosikal sejauh satu kilometer. Apabila tiba di lereng bukit yang dipenuhi dengan belukar dan ladang getah, polis terpaksa berjalan kira-kira 600 meter untuk sampai ke lokasi perjudian,” katanya.

Polis turut menemui penempatan pendatang asing tanpa izin yang bekerja di sekitar kawasan kebun sayur dan ladang getah yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perjudian.

Dari pemantauan dibuat, polis mendapati lebih tiga pondok kecil dibina dan ia mampu menempatkan hampir 12 pendatang.

Ketika serbuan dibuat, polis terpaksa berhati-hati berikutan terpaksa menggunakan laluan sempit untuk ke penempatan itu.

Laluan itu dilengkapi dengan pelbagai perangkap di mana beberapa batang buluh tajam serta besi diletakkan di sepanjang jalan selain beberapa lubang besar turut ditemui dan dipercayai ia sengaja dikorek bagi memperlahankan pergerakan polis.

“Polis berjaya mengesan hampir 10 pendatang asing yang tinggal di kawasan itu tetapi mereka berjaya melarikan diri ke puncak bukit bersempadan dengan Junjung.

“Dari tinjauan dibuat terhadap beberapa pondok yang ditinggalkan, polis menemui bekalan makanan yang banyak selain minuman keras dan rokok yang diseludup.

Polis akan membuat pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan lokasi perjudian dan penempatan warga asing tanpa izin ini dihapuskan sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian.
SH

Mencuri dalam tandas




KUALA ROMPIN - Jika kebiasaannya, pencuri lebih berminat menjadikan kedai emas dan bank sebagai sasaran, namun selera sebahagian ‘kaki curi’ di sini, sedikit berlainan apabila mensasarkan barangan peralatan tandas semata-mata.

Buktinya, sebuah tandas di stesen minyak di Kuala Rompin sering dijadikan sasaran sejak beberapa bulan lalu hingga mengundang rasa khuatir pemilik dan pekerja di stesen minyak berkenaan.

Dalam tempoh tiga bulan lalu, tandas di stesen minyak itu sudah tiga kali dimasuki pencuri yang mengambil kesempatan mencuri peralatan seperti pewangi tandas, kepala paip dan terbaru, batang paip pada saluran tempat membuang air kecil.

Lebih mengejutkan, kegiatan itu dilakukan sekitar jam 9 malam ketika kesemua pekerja di stesen minyak terbabit sedang sibuk melayan pelanggan hingga kehadiran ‘pencuri tandas’ itu sukar dikesan.

Pencuri terbabit dipercayai masuk ke tandas stesen berkenaan dengan membawa peralatan yang sesuai untuk memudahkan kerja-kerjanya.



Barangan tandas selalu hilang



Penyelia stesen minyak berkenaan, Faizal Abd Aziz, 32, berkata, kali terakhir tandas di stesen itu dimasuki pencuri malam kelmarin, setelah salah seorang pekerja di situ mendapati batang paip pada saluran tempat membuang air kecil lesap.

Faizal berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 9 malam kerana pada waktu sebelumnya, kesemua peralatan tandas mencukupi ketika dia membuat pemeriksaan.

“Saya diberitahu seorang rakan batang paip di tandas ini hilang dan berkemungkinan ia dicuri oleh pencuri sama yang sebelum ini turut mencuri barangan keperluan tandas dua minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyusahkan pengguna lain yang ingin menggunakan tandas di situ.

“Sikap mereka yang tidak berperikemanusiaan ini amat dikesali kerana ia hanya menyusahkan orang ramai untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam tandas ini,” katanya.

Faizal yang berkhidmat di stesen minyak itu sejak 16 tahun lalu berkata, perbuatan keji itu perlu dibanteras segera kerana dikhuatiri kejadian sama boleh berulang, selain pemilik terpaksa menanggung kos pemasangan semula yang tinggi.

“Kita sangat berharap pencuri ini dapat diberkas segera memandangkan perbuatannya hanya menyusahkan orang lain, selain ia dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada orang ramai,” katanya.



Suspek guna modus operandi sama



Rakan sekerja Faizal, Norhafizah Ab Razak, 28, berkata, kemungkinan suspek yang mencuri barangan keperluan tandas itu adalah orang sama yang mencuri sebelum ini.

Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatannya pada waktu malam iaitu ketika kesemua pekerja sedang sibuk dengan tugas masing-masing, supaya kehadirannya tidak disedari.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah sama, namun andaian ini belum dapat dibuktikan kerana dalang di sebalik kejadian ini masih tidak dapat dikesan dan ditangkap,” katanya.

Norhafizah juga tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan penagih dadah yang ingin mendapatkan duit poket untuk memenuhi ketagihan mereka.



Polis perlu buat rondaan



Seorang lagi pekerja, Mohd Amirul Shafiq, 18, berkata, pemantauan dan rondaan secara berkala oleh polis peronda (MPV) diyakini dapat membanteras gejala berkenaan daripada terus berleluasa.

Menurutnya, selagi dalang di sebalik kejadian itu tidak dicekup, selagi itu individu terbabit berani bertindak sesuka hati.

“Pemantauan berterusan pihak berkuasa seperti polis ke stesen minyak pada waktu malam diharapkan dapat mengelakkan kejadian ini terus berlaku pada masa akan datang,” katanya.
SH

Jumpa mayat terdampar




KUANTAN – Seorang peniaga, Mohd Faizul Ismail, 23, menyangka sekujur tubuh di tepi Pantai Sepat adalah kayu balak yang dihanyutkan ombak namun apabila didekati ia adalah mayat lelaki tanpa baju.

Mohd Faizul berkata, dia terlihat satu objek yang dipukul ombak ketika sedang minum di sebuah kedai makan di seberang jalan pantai itu bersama tujuh lagi rakannya kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, ketika itu dia menyangka kayu balak yang hanyut dibawa ombak. Bagaimanapun, tidak puas hati dengan objek yang dilihat, dia berlari ke tepi pantai dan mendapati sekujur mayat lelaki yang sudah membengkak dan mula berbau.

“Pada mulanya, saya sangka objek itu kayu balak tetapi selepas didekati, objek itu adalah mayat lelaki yang sudah berbau,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Faizul berkata, dia tidak panik sebaliknya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Mayat lelaki tidak berbaju dan berseluar jean biru itu dihantar pasukan polis ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan penemuan mayat lelaki di Pantai Sepat dan siasatan mengenainya masih dijalankan.
SH

Ditipu kenalan laman web sosial




KUALA TERENGGANU - Padah mempercayai kenalan yang baru sahaja sebulan dikenali melalui laman web sosial, seorang ejen jualan Astro terpaksa berputih mata dan kerugian sebanyak RM1,700.

Mangsa yang baru berusia 19 tahun berkata, kenalan wanita yang dikenal sebagai ‘Afrina Mohd Abidin’ itu dikenalinya sebulan yang lalu selepas mula berbalas mesej melalui laman sosial itu.

Menurut mangsa, kenalan wanitanya itu mendakwa menetap di United Kingdom manakala bapanya berasal dari Sabah dan ibunya dari England.

“Selama berkenalan dengannya, dia tidak pernah menunjukkan sebarang keraguan tetapi ada memberitahu yang dia berminat untuk pulang ke Malaysia dan membuat pelaburan di sini.

“Tetapi, dia tidak mempunyai kenalan kerana bapanya sudah meninggal dunia sewaktu dia berusia 25 tahun. Jadi dia harapkan saya akan dapat menolongnya sewaktu dia pulang ke Malaysia nanti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung Bukit, di sini, semalam.

Menurut mangsa, kenalan wanitanya itu berjanji untuk datang ke Malaysia pada bulan ini bagaimanapun, dia tiba-tiba memberitahu terpaksa menghadiri seminar di Scotland.

Sebelum wanita itu pergi ke Scotland, dia memberitahu mangsa yang dia ada menghantar pelbagai hadiah kepada saya, termasuklah kamus elektronik, laptop, i-Phone, bunga, jersi Manchester United dan pelbagai hadiah lain.

“Setelah beberapa hari menelefon pihak yang berkenaan, seseorang yang mendakwa sebagai wakil syarikat kurier mengatakan hadiah saya sudah sampai pada Khamis lalu. Bagaimanapun, saya perlu membayar sebanyak RM2,400 sebagai bayaran kastam.

“Saya kemudiannya memasukkan wang sebanyak RM1,700 ke dalam akaun seperti yang diarahkan pada petang Khamis tetapi keesokannya saya mendapat panggilan bahawa baya-ran sebenarnya adalah USD1,700 dan bukannya RM1,700,” katanya.

Tetapi curiga dengan sikap orang tengah yang didakwa mengaku sebagai diplomat bahagian kastam itu kerana banyak berdolak dalih, mangsa kemudiannya membuat keputu-san untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada jam tiga petang, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Deputi Superintendan Ab Rahim Ab Razak ketika dihubungi semalam, mengesahkan ada menerima laporan itu.

Menurutnya, tangkapan masih belum dibuat dan pihak polis masih meneruskan siasatan kes itu sebelum mengambil tindakan seterusnya.
SH

Akibat ingkar lampu isyarat, dua kereta bertembung,




RANTAU PANJANG - Dua kereta jenis Proton Wira dan Avanza terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat berdekatan stesen minyak Petronas, di sini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, akibat salah sebuah kereta berkenaan tidak mematuhi lampu isyarat, kedua-dua kenderaan dari arah bertentangan bertembung dan mengalami kerosakan.

Pemandu kereta jenis Avanza, Ismail Awang, 60, berkata, dia bersama isteri dan cucunya dari arah Rantau Panjang menghala ke Kampung Rahmat selepas pulang membeli-belah di pekan Rantau Panjang.

Menurutnya, ketika sampai di lampu isyarat itu, dia membelok ke bahagian kanan jalan untuk menghala ke Kampung Rahmat, tetapi sebuah kereta jenis Wira dipercayai melanggar lampu isyarat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung.

“Kereta jenis Wira dari arah Banggol Kulim dan dipercayai mahu mengejar lampu isyarat yang ketika itu berwarna kuning.

“Disebabkan pelanggaran itu, tayar keretanya bocor dan menyebabkan kereta saya berpusing beberapa kali,” katanya.

Ismail berkata, semasa kejadian, dua lelaki masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an dan 40-an berada dalam kereta Wira itu.

Menurutnya, semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi masih terkejut dengan kejadian itu.
SH

Tembakau seludup

SH



KOTA BHARU - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) berjaya merampas 149 bandela berjumlah 9,588.5 kilogram daun tembakau diawet dengan nilaian RM124,504 yang dipercayai bukan hasil keluaran tempatan, tahun lalu.

Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman, berkata, sepanjang tahun 2010 juga Unit Penguatkuasaan membuat lapan rampasan daun tembakau diawet dan turut menyita sebuah lori.

Menurutnya, tembakau yang disyaki diseludup dari negara jiran itu dipercayai di bawa masuk ke negara ini melalui jalan darat dan akan dicampurkan dengan tembakau keluaran tempatan.

“Ia adalah untuk dijual bagi mengaut keuntungan lebih tinggi memandangkan harga tersebut RM10 untuk satu kilogram berbanding RM15 di pasaran tempatan dan mudah diperoleh,” katanya menerusi kenyataan media.

Ahmad berkata, sejumlah 1,785.5kg dirampas dalam rampasan pertama di Kampung Sungai, Bachok, kes kedua dan ketiga pula di Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas melibatkan sejumlah 1,603kg.

Rampasan di tempat lain, di Kampung Siram Pasir Mas sebanyak 991kg, Kampung Nibong Pasir Mas (552kg), Kampung Beris Lampu Besut (1,264kg), Kampung Becah Palas Bunut Susu (1,093kg) dan terakhir di Kampung Air batu Tanah Merah (2,300kg)

Beliau berkata, semua daun yang dirampas dilelong kepada pengilang rokok yang berdaftar dengan LKTN dan hasil daripadanya menjadi hak milik kerajaan.

Ahmad berkata, berdasarkan Seksyen 49 Akta LKTN 2009, pengawet berlesen di bawah LKTN tidak dibenarkan untuk membeli tembakau di awet daripada pengawet tidak berlesen.

“Sebarang pembelian daun tembakau seludup adalah tidak dibenarkan dan mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, pada tahun ini Unit Penguatkuasaan LKTN akan mempertingkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan dengan memperhebatkan rondaan dan pemeriksaan ke stesen-stesen pengawet serta menjalinkan hubungan dengan penduduk setempat dalam membanteras kemasukan daun tembakau dari negara jiran.

“Selaras dengan penguatkuasaan Akta LKTN 2009 (Akta 692), jabatan bukan sahaja mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap tembakau tetapi juga meliputi keluaran rokok tidak sah dalam pasaran di seluruh Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Unit Pencegahan Penyeludupan Kastam, Polis Diraja Malaysia akan diberikan keutamaan bagi tahun ini dengan menjalankan operasi mencegah penyeludupan bersepadu.

“Ini termasuklah menjalankan rondaan di darat dan laut, mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki serta melaksanakan operasi ke atas sasaran atau kawasan hitam penyeludupan

“Pada tahun ini, LKTN bertekad untuk mengurangkan serta membanteras penyeludupan tembakau dan rokok tidak sah di pasaran yang menyebabkan kehilangan RM2 bilion hasil kepada negara,” katanya.

Ahmad berkata, LKTN akan memainkan peranan dan bertindak tegas sebagai sebuah agensi kawal selia ke atas tembakau dan produk tembakau (rokok) setanding dengan agensi penguatkuasaan lain.

Bumbung 46 rumah, sebuah surau diterbangkan ribut


ALOR SETAR - Sebanyak 46 rumah dan sebuah surau di Blok B Taman Wira Mergong di sini dilanda ribut petang semalam menyebabkan bumbung rumah dan surau berkenaan diterbangkan angin.

Menurut seorang mangsa Fatimah Ahmad, 46, kejadian pada pukul 4.30 petang itu disusuli dengan hujan lebat menyebabkan rumahnya dimasuki air.

"Ketika itu saya bersama anak dan cucu menonton televisyen, tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat seperti kucing berlari di atas bumbung dan dengan sekelip mata bumbung rumah kami diterbangkan angin menyebabkan air hujan memasuki rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, anaknya membawa cucunya yang berusia enam bulan keluar daripada rumah untuk menyelamatkan diri kerana mereka menyangkakan gempa bumi berlaku.

"Saya melaungkan azan bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku kepada keluarga saya," katanya yang memberitahu itu adalah pengalaman pertama rumahnya dilanda ribut.

Seorang lagi mangsa, Mat Saad Yahaya, 57, berkata ketika kejadian dia berada di luar rumah dan melihat angin kencang menerbangkan bumbung rumah di kawasan itu.

"Tiba-tiba saya dengar bunyi macam letupan dan bila saya masuk ke dalam rumah saya lihat bumbung rumah saya turut diterbangkan angin, habis semua ruang dalam rumah termasuk bilik tidur basah kerana dimasuki air hujan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kejadian itu telah dimaklumkan kepada bahagian perumahan untuk tindakan selanjutnya.

"Taman Wira adalah perumahan awam, jadi kita telah memaklumkan kejadian itu kepada bahagian perumahan dan mereka telah mengarahkan kontraktor untuk membaiki bumbung-bumbung rumah yang rosak akibat dilanda ribut.

"Saya harap mereka (kontraktor) dapat menyelesaikan kerja-kerja pembaikan itu dengan segera kerana kita khuatir pada sebelah petang nanti hujan turun semula kerana sejak kebelakangan ini, hujan sering turun pada sebelah petang," katanya ketika melawat mangsa ribut di perumahan itu.

Pada lawatan itu juga, pasukan Skuad Sayang UMNO Bahagian Alor Setar menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada keluarga yang terlibat.

Polis Pulau Pinang rampas 14,150 biji pil Eramin , tahan dua lelaki

SH: "

GEORGE TOWN - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas 14,150 biji pil dadah sintetik jenis Eramin 5 yang bernilai RM283,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini, tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang DSP Lee King Chuan berkata, bertindak atas risikan, sepasukan polis menyerbu rumah itu pada pukul 2 pagi, Jumaat lalu dan menemui pil Eramin 5 itu dalam sebuah bilik tidur.

'Hasil sisatan, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Altis, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, barang kemas, jam tangan jenama Rolex dan sebuah komputer riba yang dianggarkan berjumlah RM154,431,' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah di pusat-pusat hiburan di sini sejak enam bulan lepas.

Lee berkata, kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati."

Bot pelancong terbakar sebelum karam

Utusan


BESUT 13 Mac – Keseronokan yang dibayangkan oleh sekumpulan 37 pelancong untuk bercuti di Pulau Perhentian bertukar menjadi pengalaman menakutkan hari ini apabila bot yang dinaiki terbakar sebelum karam.
Pelancong tersebut termasuk tiga rakyat asing dan 17 kanak-kanak terpaksa terjun ke dalam laut dan berpegang kepada tali. Bot itu dalam perjalanan menuju ke Pulau Perhentian.
Kejadian pukul 10.45 pagi itu berlaku kira-kira empat batu nautika dari Timur Laut Kuala Besut iaitu selepas 20 minit bot berkenaan meninggalkan jeti.
Selain tiga pelancong asing bersama seorang rakan warga tempatan, turut berada dalam bot malang itu ialah 33 anggota rombongan dari Melaka, seorang pemandu dan tiga pekerja bot.
Kejadian itu menyebabkan seorang ahli rombongan dari Melaka, Nurizam Hasan, 38, melecur di kedua-dua belah tapak tangan dan muka sementara sepasang suami isteri berusia 30-an mengalami sesak nafas.
Ketiga-tiga mangsa kini dirawat di Hospital Besut, di sini manakala beberapa orang mangsa lain menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Seorang mangsa, Arman Arshad, 34, berkata, rombongan dari Melaka itu disertai seramai 17 murid berusia antara lapan hingga 12 tahun.
Turut serta dalam rombongan dari Melaka itu ialah 16 orang dewasa iaitu sembilan wanita dan tujuh lelaki, manakala tiga pelancong asing itu berasal dari United Kingdom.
Menurutnya, rombongan itu tiba di Besut tengah malam semalam dan dijadualkan menaiki bot menuju ke Pulau Perhentian pada pukul 8 pagi.
“Kami pelik kerana jadual asal adalah pukul 8 pagi, tetapi ditunda kepada 9 pagi dan sekali lagi ditunda kepada pukul 10 pagi,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, kira-kira setengah jam selepas berlepas dari jeti Kuala Besut, bot itu berasap menyebabkan pemandu bot menghubungi pihak bomba dan rakan-rakan lain untuk datang membantu mereka.
“Apabila api semakin marak, kami yang semuanya memakai jaket keselamatan terjun ke laut seorang demi seorang dengan didahului oleh kanak-kanak dan berpegang kepada tali sebelum tiga buah bot datang untuk menyelamatkan kami dalam tempoh lima minit,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Noor Zainy Mohd. Nor ketika mengesahkan kejadian itu berkata, bot berkenaan baru sahaja meninggalkan jeti Kuala Besut untuk menuju ke Pulau Perhentian apabila ia terbakar.
“Siasatan awal mendapati berlaku masalah teknikal sehingga menyebabkan ia terbakar,” katanya

Guru wanita mati melecur

Utusan


PETALING JAYA 13 Mac – Seorang guru wanita maut akibat melecur teruk setelah pangsapuri studio yang disewanya di Damansara Perdana di sini, terbakar hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Elizabeth Wong, 25, dipercayai gagal melarikan diri sebelum mengalami sesak nafas dan ditemui mati dengan keadaan tubuh melecur 100 peratus di atas katil di rumahnya.
Penguasa Bomba dan Penyelamat (Bahagian Operasi) Selangor, Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zain berkata, kebakaran di satu unit rumah terletak di tingkat 7, Pangsapuri Ritz, Damansara Perdana itu dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 10.27 pagi.
Beliau berkata, dua jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara serta Sungai Buloh dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.
“Apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 10.41 pagi, api sudahpun berjaya dikawal daripada merebak oleh penghuni pangsapuri terbabit dengan menggunakan paip pemadam api di situ.
“Namun, asap tebal masih memenuhi ruang rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, setelah asap berjaya dikawal, pihaknya yang menjalankan pemeriksaan menemui mayat mangsa di atas katil.
Wan Mohd. Hamizi berkata, mayat mangsa tidak rentung tetapi melecur 100 peratus pada seluruh badannya.
Tambahnya, siasatan mendapati kebakaran itu memusnahkan 70 peratus daripada rumah tersebut dan paling teruk terbakar adalah kawasan tempat tidur mangsa.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil memberitahu mangsa tinggal sendirian di rumah tersebut.
Sementara itu, seorang kakitangan di pejabat pengurusan pangsapuri terbabit ketika ditemui memberitahu, mangsa baru sebulan menyewa unit pangsapuri tersebut.
Dia yang enggan dikenali berkata, semalam, mangsa ada mengadu kepada pemilik rumah bahawa suis elektrik di rumahnya gagal berfungsi dan meminta ia dibaiki segera.
“Saya difahamkan, pemilik rumah ada datang membaiki kerosakan tersebut tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kebakaran berpunca daripada masalah berkenaan,” katanya.

Tujuh nelayan rayu minta dibebas

Utusan


PONTIAN 13 Mac - Ahli keluarga tujuh nelayan di Pontian Besar di sini yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 7 Mac lalu merayu kerajaan membantu membebaskan mereka dengan segera.
Nurul Azlin Abd. Latiff, 28, isteri Ibrahim Mohd. Kassim, salah seorang nelayan yang ditahan berkata, tiga anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun amat merindui bapa mereka yang kini ditahan di Balai Polis Bengkalis, Kepulauan Riau.
Dia yang dapat bercakap dengan suaminya menerusi telefon petang kelmarin memberitahu, suaminya dan rakan-rakan sihat dan selamat serta meminta keluarga masing-masing mendoakan keselamatan mereka.
"Anak-anak saya sering bertanya kenapa ayah mereka tidak pulang lagi terutamanya Mohd. Danila Azib yang berusia tiga tahun. Dua abangnya, Muhammad Aiman Nur Hakim, 9, dan Muhammad Iman Nur Hakim, 6, juga merindui ayah mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan petang semalam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menghulurkan sumbangan kewangan serta barangan keperluan kepada ahli-ahli keluarga nelayan yang terlibat.
Selain Ibrahim yang bertindak sebagai tekong, turut ditahan ialah Ridzuan Aris, Mohd. Zam Hambali, Zainuddin Adam, Rosli Abd. Rashid, Jamil Md. Top dan Subani Samsuddin, rakyat Indonesia yang memilik permit kerja sah.
Kedua-dua bot pukat tunda yang dikendalikan oleh Ibrahim dan sebuah lagi oleh Zainuddin telah ditahan di kawasan perairan Senggarang, dekat Batu Pahat.
Aris Baba, 60, bapa Ridzuan berharap, perkara itu dapat diselesaikan dengan cara baik dan pihak berkuasa negara jiran itu membebaskan mereka dengan segera.
Dia juga dapat menghubungi anaknya melalui telefon baru-baru ini yang menyatakan mereka selamat namun, meminta bantuan kerajaan untuk membebaskan mereka.
"Dengan penggunaan peralatan seperti GPS, mereka tentu mengetahui kedudukan sebenar bot ketika melakukan kerja-kerja menangkap ikan," katanya yang merakamkan terima kasih kepada Polis Gerakan Marin (PGM) Kukup yang dapat mengesan mengenai kedudukan kedua-dua bot tunda tersebut pada masa kejadian.
Sementara itu, Ahmad meminta ahli keluarga tujuh nelayan berkenaan bersabar kerana pihak Wisma Putra sedang berusaha untuk membebaskan mereka.
Beliau berkata, Kementerian Luar telah menghantar wakil ke Indonesia bagi mengadakan rundingan dan mencari jalan penyelesaian supaya kumpulan nelayan itu dapat dibebaskan dengan selamat.
"Isteri atau ahli keluarga diminta tidak melayan sebarang panggilan telefon oleh pihak tertentu yang menyatakan mereka boleh membantu membebaskan nelayan tersebut," katanya.

Penduduk gempar tong gas seberat 60 kg melayang

Utusan


MELAKA 13 Mac - Penduduk sekitar Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini gempar apabila sebuah tong gas silinder seberat 60 kilogram tiba-tiba melayang memasuki sebuah kilang lama mengeluarkan pakaian, petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila tiga daripada lima tong gas yang disimpan dalam sebuah stor sebuah kilang pengeluar gas ammonia mengalami kebocoran.
Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut.
Timbalan Penguasa Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat negeri, Kamaruzaman Md. Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pukul 7.20 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati tiga tong gas mengandungi ammonia mengalami kebocoran, manakala dua tong lagi sudah tercampak dengan salah sebuah daripadanya memasuki kawasan kilang berhampiran.
"Sebuah lagi tong gas tercampak kira-kira 100 meter dalam kawasan kilang yang sama. Kita percaya dua tong gas itu melayang disebabkan impak daripada tiga tong gas yang mengalami kebocoran dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
Menurut Kamaruzaman, semua pihak bernasib baik kerana dua tong gas yang tercampak tidak menjunam, sebaliknya jatuh dalam keadaan menegak.
Katanya, jika dua tong gas tersebut jatuh menjunam dikhuatiri menyebabkan ia meletup dan akhirnya mengeluarkan gas ammonia yang menyebabkan masalah pernafasan.
"Mujurlah pada waktu kejadian tiada kakitangan atau orang awam berada dekat dengan kawasan terbabit terutama ketika dua tong gas berkenaan tercampak.
"Kita percaya tiga tong gas yang bocor telah mengalami kerosakan sebelum ini, mungkin berlaku ketika kerja-kerja pemunggahan dijalankan dan pekerja kilang tidak menyedari masalah itu," katanya.
Jelasnya, bomba mengambil masa sejam untuk menyembur air di udara dalam kawasan kilang bagi membebaskan gas ammonia ekoran kebocoran tiga tong gas berkenaan.
Menurutnya, seramai 35 anggota dan lima jentera termasuk satu Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) Negeri Sembilan dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengawal kebocoran gas yang berlaku.
Menurut Kamaruzaman, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengawal penyebaran gas ammonia tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Solok Pantai Kundur, Omar Wahab mendakwa, kilang tersebut sering mengeluarkan bau gas ammonia sehingga menjejaskan kesihatan penduduk.
Menurut Omar, pihaknya mengesyaki operasi kilang terbabit tidak mematuhi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa sehingga menyebabkan kebocoran gas berlaku.

Lagi gadis kita jadi keldai dadah

Utusan


KUALA LUMPUR 13 Mac – Seorang gadis Malaysia berusia 20 tahun ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu ke negara jiran itu semalam.
Sumber polis berkata, suspek ditahan bersama syabu seberat 528 gram bernilai lebih RM200,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Juanda, Surabaya, Jawa Timur.
Beliau berkata, suspek yang baru tiba dengan penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur dikesan menyembunyikan syabu terbabit dalam tiga botol bedak bayi yang disimpan dalam bagasi pakaiannya.
“Suspek yang kononnya mahu melancong ke Surabaya ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan terbang terbabit setelah dilihat bersikap mencurigakan semasa pemeriksaan di pintu masuk.
“Pemeriksaan ke atas bagasinya kemudian menemui tiga botol bedak bayi mengandungi 15 bungkusan kecil aluminium disyaki syabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, setelah ditimbang, kesemua syabu terbabit didapati seberat 528 gram yang mengikut harga pasaran dianggarkan bernilai lebih RM200,000.
Beliau berkata, gadis terbabit apabila disiasat mengaku menerima upah lumayan daripada satu kumpulan sindiket untuk membawa dadah tersebut ke Madura, Indonesia.
Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang giat berusaha untuk membendung kegiatan penyeludupan dadah menggunakan jalan udara.
“Kita percaya masih ada sindiket didalangi warga asing cuba menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup dadah ke negara-negara jiran.
“Kes terbaru dilaporkan ini menunjukkan masih ada sindiket dadah antarabangsa menggunakan modus operandi lama iaitu mengeksploitasi gadis tempatan untuk dijadikan keldai dadah,” katanya.
Tambahnya, taktik digunakan suspek kali ini bagaimanapun berbeza kerana sebelum ini rakyat Malaysia yang ditangkap menyeludup dadah ke negara jiran menggunakan kaedah mengikat dadah di perut, menyumbat dalam dubur dan batang paip plastik PVC (Polyvinil Cloride).

3,200 korban termasuk mangsa hilang di Jepun

Utusan

14/03/2011 2:48am

TOKYO 14 Mac - Jumlah korban akibat tsunami yang melanda Jepun Jumaat lalu meningkat kepada lebih 3,200 orang, menurut agensi polis kebangsaan.

Jumlah itu termasuk mangsa yang masih hilang, pihak berkuasa tempatan menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat dari masa ke semasa.

Pihak berkuasa ketika ini telah mengenalpasti sebanyak 1,597 mangsa, 1,481 secara rasminya masih hilang, angka tersebut tidak termasuk 200 hingga 300 mangsa yang telah ditemui di pantai Miyagi. - Dpa"

Dua sepupu dipenjara 10 tahun, 10 sebatan

Utusan
KUALA TERENGGANU 13 Mac - Dua sepupu dihukum penjara masing-masing 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah."

Keluarga 7 nelayan dinasihat waspada panggilan berhelah


PONTIAN: Keluarga tujuh nelayan yang ditahan Polis Air (PolAir) Indonesia, Selasa lalu, diminta jangan menghiraukan panggilan yang diterima pihak tertentu yang mendakwa boleh membebaskan nelayan berkenaan dari tahanan di Pulau Bengkalis, Indonesia, sebaliknya memberi masa kepada kerajaan berusaha membawa mereka pulang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada maklumat yang diperoleh, semua tujuh nelayan berkenaan berada dalam perairan Malaysia ketika kejadian.

“Kami masih tidak tahu bagaimana mereka boleh ditahan dan berharap kemelut itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Sebaik menerima berita mengenai kejadian itu, kami terus memantau perkembangan kes bagi memastikan semua nelayan terbabit dibebaskan segera.

“Hasil lawatan wakil kerajaan di republik berkenaan, kami dapati semua nelayan dalam keadaan selamat dan percayalah, kerajaan berusaha sedaya upaya membawa mereka pulang,” katanya ketika melawat keluarga mangsa di sini, semalam.

Tujuh nelayan membabitkan dua kumpulan menaiki dua bot pukat tunda berbeza, mereka ialah tekong bot bernombor pendaftaran JHF7281B, Ibrahim Mohd Kassim, 28, serta tiga awak-awaknya, Redzuan Aris, 35, Mohamad Zamri Hambali, 26 dan warga Indonesia, Subani Samsuddin berusia lingkungan 40-an.

Tiga lagi nelayan diketuai tekong, Zainodin Adam, 53, serta dua awak-awak, Rosli Ab Kassim, 34 dan Jamil Md Top, 53, menaiki bot pukat tunda bernombor pendaftaran JHF6963B.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pontian mengingatkan keluarga mangsa supaya jangan terpedaya dengan panggilan telefon yang meminta wang atas alasan dapat membantu membebaskan nelayan terbabit.“Keluarga diingatkan supaya jangan melayan panggilan tidak dikenali daripada pihak yang menyatakan boleh mengusahakan pembebasan nelayan.

“Saya percaya panggilan telefon itu bukan daripada pihak berkuasa, sebaliknya dilakukan orang tengah yang cuba mengambil kesempatan dalam insiden ini,” katanya.

Bomoh ‘nyah’ tukar emas jadi beras


JOHOR BAHRU: Seorang bomoh ‘mak nyah’ memperdayakan seorang warga emas supaya menyerahkan kepadanya barangan kemas dan wang tunai RM28,000 dengan mendakwa hartanya akan hilang disedut dan bakal terkena bala angkara perbuatan khianat.
Bomoh ‘mak nyah’ itu juga mendakwa mampu memulihkan warga emas itu jika dia menyerahkan barangan kemas dan wang tunai untuk ditapakan di kayangan oleh Dewa Mayang Mengurai dan Kiai.

Turut menjadi mangsa bomoh dua alam itu ialah datuk saudara dan sepupu mangsa yang masing-masing kerugian RM50,000 dan RM 27,000, selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas untuk dipertapakan. Bagaimanapun, harapan mangsa menyelamatkan barangan kemas dan wang tunai itu musnah apabila ia bertukar menjadi beras.

Dalam kejadian bulan lalu, mangsa, Esah Yaakub, 59, yang ditemani suami dan dua anaknya ke rumah bomoh berusia 30-an di Kampung Paya Mengkuang untuk mengambil barang yang siap dipertapakan dewa kayangan itu.

“Sebelum pulang ke rumah kami, bomoh terbabit mengarahkan supaya jangan membuka beg kecuali selepas tiba di rumah.

“Apabila kami keluar dari rumah bomoh itu, anak saya mengesyaki sesuatu tidak kena sebelum mengambil beg dan membukanya. Kami terkejut apabila mendapati hanya beras di dalam beg dan bukannya wang serta barang kemas yang diberikan kepadanya sebelum ini.

“Kami masuk semula ke rumah bomoh berkenaan untuk meminta penjelasan dan dia yang menyedari tembelangnya pecah mula berlakon seolah dirasuk makhkuk alam ghaib dan bercakap dengan nada suara garau.

“Berang dengan gelagatnya itu, anak saya hilang sabar dan mengheretnya ke balai polis sebelum bomoh itu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Esah berkata, dia mengenali bomoh dua alam itu melalui datuk saudaranya Februari lalu kerana ingin mengubati sakit badan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan harta saya akan hilang kerana disedut individu yang iri hati terhadap saya,” katanya.

Katanya, bomoh itu memujuknya menyerahkan wang tunai dan barang kemas dalam simpanan untuk dipertapakan bagi mengelak ia hilang disedut makhluk dari alam ghaib.

“Saya sering berulang-alik ke rumah bomoh berkenaan untuk proses perubatan secara alam ghaib dalam pada masa sama dia mempengaruhi saya dengan pelbagai cerita karut membuatkan saya percaya apa diperkatakannya. “Memang bingung apabila dimaklumkan wang simpanan dalam akaun bank juga boleh disedut apa lagi barang kemas, namun disebabkan risau dakwaan itu benar saya menyerahkan kepadanya tanpa usul periksa. “Malah, saya juga sanggup mengeluarkan wang daripada akuan pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan memindahkannya ke akuan bank baru.

“Seperti dipukau kad mesin juruwang automatik (ATM) akaun baru itu diserahkan kepada bomoh dua alam berkenaan,” katanya. Selepas tembelang bomoh itu terbongkar, Esah hanya terkedu apabila barang kemasnya lesap dan baki dalam akaun bank baru hanya tinggal RM11, manakala barang kemas miliknya dipercayai digadai. Sepanjang tempoh berubat dengan bomoh dua alam itu, Esah mendakwa sakit badannya bertambah teruk menyebabkan dia percaya ada orang iri hati dan menggunakan sihir terhadapnya supaya lumpuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa di Balai Polis Tanjung Kupang.

“Siasatan berhubung kes itu masih dijalankan dan berharap mangsa memberi masa kepada polis menyelesaikan kes ini,” katanya.

Pesara tentera disamun lepas keluar duit RM5,000


KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pesara tentera berusia 60 tahun untuk menggunakan wang RM5,000 yang baru dikeluarkannya daripada sebuah bank untuk membawa ahli keluarganya bercuti sempena cuti sekolah lebur apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di Setapak, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dihampiri dua lelaki bermotosikal berusia 20-an ketika berjalan menuju kereta yang diletakkan berhampiran bank berkenaan.

Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, seorang daripada suspek meletakkan sebilah pisau di dada lelaki terbabit sebelum mengarahkannya menyerahkan beg serta sampul surat yang mengandungi wang itu.

“Pada mulanya mangsa enggan berbuat demikian, namun rakan suspek memukulnya sebelum mengugut membunuhnya jika enggan menyerahkan wang berkenaan.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya terpaksa menyerahkan wang berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, sebelum kedua-dua suspek meninggalkan kawasan berkenaan, seorang daripada mereka mengugut membunuhnya jika melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Seorang lagi mangsa amukan di kafe meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa serangan kumpulan samseng dalam kejadian amuk sekumpulan lima lelaki bersenjata di kafe siber, di Taman Melati, di sini, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin, manakala rakannya berusia 25 tahun masih tidak sedarkan diri.
Mangsa, Ahmad Wahirin Arsalan, 19, yang koma selepas terjun dari tingkat satu bangunan kafe siber itu ketika melarikan diri daripada kumpulan samseng terbabit disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 malam.

Menurut sumber, seorang lagi mangsa berusia 25 tahun pula masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kritikal biarpun baru selesai menjalani pembedahan di hospital berkenaan.

Menceritakan perkembangan kes berkenaan, sumber itu berkata, pihak berkuasa menahan empat lagi lelaki berusia antara 20 hingga lewat 30-an dipercayai ahli kumpulan penyerang.

“Semua suspek ditahan berasingan di Wangsa Maju dan Setapak oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Keempat-empat suspek ditahan berasingan antara jam 10 hingga 12 tengah malam tadi (kelmarin) sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, keempat-empat suspek akan direman tujuh hari bermula kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan kematian seorang daripada dua mangsa yang dirawat di HKL serta penahanan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit insiden berkenaan.
“Ahmad Wahirin maut akibat cedera serius pada kepala dan ia dipercayai berlaku ketika dia terjun daripada bangunan kafe siber itu untuk melarikan diri daripada kumpulan penyerang,” katanya.

Pesara tentera disamun lepas keluar duit RM5,000


KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pesara tentera berusia 60 tahun untuk menggunakan wang RM5,000 yang baru dikeluarkannya daripada sebuah bank untuk membawa ahli keluarganya bercuti sempena cuti sekolah lebur apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di Setapak, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dihampiri dua lelaki bermotosikal berusia 20-an ketika berjalan menuju kereta yang diletakkan berhampiran bank berkenaan.

Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, seorang daripada suspek meletakkan sebilah pisau di dada lelaki terbabit sebelum mengarahkannya menyerahkan beg serta sampul surat yang mengandungi wang itu.

“Pada mulanya mangsa enggan berbuat demikian, namun rakan suspek memukulnya sebelum mengugut membunuhnya jika enggan menyerahkan wang berkenaan.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya terpaksa menyerahkan wang berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, sebelum kedua-dua suspek meninggalkan kawasan berkenaan, seorang daripada mereka mengugut membunuhnya jika melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Nikah datuk ‘kacak’


KULIM: Menggunakan umpan tersalah mendail nombor telefon, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun melalui detik mencemaskan apabila mendakwa dinikahkan dengan pemilik nombor telefon berkenaan dalam tempoh perkenalan hanya kira-kira lima bulan.
Lebih mengejutkan, ‘suami’ yang mendakwa lelaki kacak berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pegawai bank itu seorang datuk berusia 63 tahun yang juga penoreh getah.

Bagaimanapun, remaja itu yang bekerja di sebuah pasar raya, dekat sini, ‘bernasib baik’ kerana ketika dinikahkan kononnya di sebuah pejabat agama di Thailand, dia dalam keadaan ‘uzur’ menyebabkan suaminya terpaksa menyimpan hajat menjamah tubuh gadis itu untuk sementara waktu.
Begitupun, selepas empat hari bernikah, remaja terbabit menyatakan hasrat berpisah dengan suaminya sebelum membuat laporan polis dan jabatan agama.

Ketika mendedahkan pengalamannya, remaja yang mahu dikenali sebagai Lis berkata, dia berkenalan dengan warga emas terbabit Oktober lalu apabila lelaki itu mendakwa tersilap mendial nombor telefonnya.

Bermula saat itu, katanya, lelaki terbabit kerap menghantar SMS serta berbual dengannya walaupun mereka tidak pernah berjumpa.
Menurutnya, sejak berkenalan, lelaki itu kerap menambah nilai kredit telefon bimbitnya selain memasukkan wang ke akaun adiknya untuk kegunaan termasuk membeli-belah.

“Dia kerap tambah nilai telefon saya selain memasukkan wang ke dalam akaun adik untuk kegunaan saya dan memberitahu dia berusia 30-an, masih bujang dan bekerja sebagai pegawai bank.
“Beberapa minggu lalu, kami membuat keputusan untuk berjumpa di stesen bas dekat sini. Sebaik saya tiba, lelaki itu bersama rakannya membawa saya ke Thailand untuk bernikah,” katanya.

Lis berkata, selepas empat hari bernikah dia berasa tidak sedap hati sebelum meluahkan hasrat tidak puas hati terhadap perkahwinannya dan minta berpisah.

“Saya bingung bagaimana proses pernikahan itu berlaku dan kerana tidak puas hati saya membuat laporan di Balai Polis Kulim kerana rasa tertipu dan mungkin dipukau,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kulim pada 7 Mac lalu.

Sementara itu, lelaki terbabit yang enggan dikenali berkata, dia tertarik dengan remaja itu yang pandai mengambil hati selain suka mendengar suaranya.

Menurutnya, sepanjang proses pernikahan dengan remaja itu, tidak berlaku sebarang paksaan, malah semua dokumen berkaitan ada dalam simpanannya.

“Saya menikahinya di Thailand dan memiliki semua dokumen yang diperlukan, malah ketika bernikah tidak berlaku sebarang paksaan. “Sejak menikahinya kami tidak pernah bersama kerana dia datang bulan,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia mempunyai anak berusia tujuh bulan hingga 30 tahun dan remaja itu isteri keduanya.

Menurutnya, dia sudah bernikah empat kali, tetapi tidak kekal lama dan bercerai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) untuk memastikan kesahihan status perkahwinan pasangan itu.

Sementara itu, jurucakap PADK berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan susulanmyMetro

2 inspektor pelatih wanita pula dijangkiti adenovirus

Berita


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2011/03/14

PULAPOL pertingkat aspek penjagaan kebersihan elak virus

KUALA LUMPUR: Dua inspektor pelatih wanita dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam, selepas dikesan dijangkiti 'adenovirus'.
Dua pelatih wanita berkenaan adalah antara 32 pelatih termasuk seorang kakitangan PULAPOL KL yang kini menerima rawatan di wad biasa hospital terbabit sejak seminggu lalu akibat jangkitan virus itu.
Dua pelatih lelaki membabitkan seorang inspektor pelatih dan seorang konstabel pelatih pula masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

Komandan PULAPOL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed, berkata seorang daripada pelatih lelaki berkenaan dimasukkan ke wad ICU petang kelmarin manakala seorang lagi sudah seminggu berada di wad sama.

“Mereka yang sedang menerima rawatan di wad biasa pula terdiri daripada 15 inspektor pelatih lelaki, 10 inspektor pelatih wanita dan selebihnya adalah konstabel pelatih lelaki serta seorang kakitangan PULAPOL Kuala Lumpur.

“Sehingga jam empat petang semalam, seramai 688 konstabel pelatih dan inspektor masih menjalani pengasingan di bilik gerakan PULAPOL sehingga kesihatan mereka pulih,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang pelatih, Mohd Azizan Azirid, 25, dari Kuala Kangsar, maut selepas diserang bakteria Leptospirosis (kencing tikus) dan adenovirus.

Berikutan kejadian itu, semua program latihan di PULAPOL Kuala Lumpur dihentikan sementara waktu sehingga mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, keluarga pelatih boleh menghubungi bilik gerakan khas PULAPOL di talian 03-26882062 atau 03-26882009 untuk mendapat maklumat terkini mengenai isu jangkitan virus dan situasi di pusat latihan berkenaan.

Zulkifli berkata, pemantauan rapi termasuk aspek penjagaan kebersihan dititikberatkan di kawasan PULAPOL bagi mengelak lebih ramai pelatih dan pekerja PULAPOL menghidap virus berkenaan.

Guru rentung terperangkap dalam rumah

Berita




2011/03/14

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita sebuah sekolah swasta ditemui rentung dipercayai terperangkap dalam kebakaran di tingkat 7, sebuah kondominium di Damansara Perdana, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 10.20 pagi, ketika Elizabeth Wong Chen Mee, 25, tinggal bersendirian sebelum pengawal keselamatan mendengar letupan dan melihat api marak dari kediaman mangsa.
Tiga pengawal keselamatan yang memecahkan pintu gagal memasuki kediaman mangsa berikutan asap tebal. Api berjaya dipadamkan 15 minit kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Meyor Hamdan Meyor Mohamad, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Damansara yang tiba 10 minit kemudian, membuat pemeriksaan sebelum menemui mangsa terlentang di sisi katil.

“Hasil pemeriksaan, mangsa mengalami 80 peratus rentung dan motif kejadian masih disiasat. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya, semalam.

Difahamkan, mangsa yang baru sebulan menyewa kondominium berkenaan sudah beberapa kali mengadu dengan pemilik rumah berhubung masalah elektrik yang dihadapinya, dengan aduan terakhir dibuatnya pagi kelmarin.

Kondominium 18 tingkat yang baru siap dibina sejak empat tahun lalu itu sudah mencatatkan empat kebakaran, tetapi tidak membabitkan sebarang kematian sebelum tragedi terbaru semalam.

100,000 tentera bantu mangsa bencana

Berita Harian




2011/03/14


  • Foto

    SEBUAH keluarga sedang berjalan melalui kawasan bandar yang musnah di Minami Sanriku, semalam.

  • Foto

    PENDUDUK tempatan terharu dan sedih ketika melalui sebuah kawasan di Sendai.

Perdana Menteri Jepun keluar arahan berikutan insiden gempa bumi, tsunami

SENDAI: Jepun semalam mengerah 100,000 tentera untuk membantu mangsa yang terselamat dari kejadian gempa bumi dan tsunami ketika dunia mula menghulur bantuan kepada negara yang dilanda bencana terbabit.
Kerahan berkenaan diarahkan Perdana Menteri Naoto Kan untuk menambahkan lagi bilangan tentera selepas skala kemusnahan besar yang semakin jelas.
Menteri Pertahanan, Toshimi Kitazawa berkata sejumlah 100,000 tentera kira-kira 40 peratus daripada pasukan bersenjata akan dihantar dalam masa sehari atau dua lagi.

“Terlalu ramai penduduk yang masih lagi tersisih dan menantikan bantuan. Realiti ini amat suram,” katanya yang dipetik Kyodo News.

Di bandar pelabuhan kecil Minamisanriku sendiri nasib kira-kira 10,000 penduduk sendiri masih belum diketahui, lebih daripada separuh penduduknya, lapor NHK.

Polis dan tentera melaporkan penemuan beratus-ratus mayat di lokasi sepanjang tepi pantai termasuk lebih 200 ditemui di satu kawasan baru semalam.
Tawaran bantuan datang dari seluruh dunia termasuk musuh tradisi.

Walaupun hubungan yang menjejaskan negara itu tahun lalu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan Menteri Luarnya Yang Jiechi turut menghantar ucapan takziah. Sepasukan 15 penyelamat China tiba tengahari semalam, kata kementerian luar Jepun.

Katanya sebanyak 69 negara dan lima pertubuhan bantuan antarabangsa menawarkan bantuan sehingga pagi semalam.

Antaranya termasuk New Zealand yang juga mengalami tragedi gempa sendiri bulan lalu di Christchurch.

Sepasukan 66 penyelamat Jepun yang berada selama dua minggu membantu usaha mencari dan menyelamat di Christchurch dilaporkan akan pulang untuk berhadapan dengan tragedi di tanah air sendiri.

Palang Merah Jepun semalam menghantar 62 pasukan kecemasan untuk membantu mangsa, kata persekutuan Palang Merah Antarabangsa yang membabitkan 400 doktor, jururawat dan pakar lain.

Pasukan mencari dan menyelamat serta anjing pengesan tiba dari Jerman dan Switzerland manakala penyelamat dari Britain dan Perancis dalam perjalanan.

Kapal pembawa pesawat USS Ronald Reagan tiba di pantai awal pagi semalam. Jepun meminta bantuan untuk membawa helikopter Jepun dan pengangkutan tenteranya ke kawasan terjejas, kata Armada Pasifik Amerika Syarikat.

Sepasukan 144 orang dari Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat akan ke Misawa untuk menyertai operasi darat. Pasukan terbabit termasuk 12 anjing untuk mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan turut membabitkan 150 tan kelengkapan menyelamat, kata USAID.

Australia, Korea Selatan dan Singapura juga menawarkan bantuan pasukan mencari dan menyelamat serta anjing pengesan. Manakala Australia menawarkan hospital mudah alih dan pasukan pengecaman mangsa bencana, kata Menteri Luar, Kevin Rudd. – AFP

Budak tiga tahun lemas jatuh parit

Berita Harian




2011/03/14

JERANTUT: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang diletakkan di bawah jagaan tiga abangnya ketika ibu bapanya keluar mengambil seorang lagi abang di sebuah asrama sekolah, ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit besar di depan rumahnya di Taman Wira, di sini petang kelmarin.

Razif Aiman yang ditinggalkan bersama saudara kandung berusia 9, 12 dan 14 tahun pada jam 2.30 petang kelmarin, disedari hilang oleh ibunya, Rashiah Mohd Ali, 45, sejam kemudian sebaik saja kembali ke rumah apabila mendapati mangsa tiada di rumah.
Rashiah berkata, beliau pergi ke rumah jiran lalu bertanya mengenai anaknya kepada kanak-kanak lain, dan seorang daripada mereka mengakui ternampak Razif berada berdekatan parit besar sejurus sebelum kehilangannya.
“Saya kemudian meminta pertolongan jiran untuk mencari anak saya tetapi gagal menemuinya,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata gerakan mencari anak bongsu daripada lima beradik itu dimulakan sebaik pihaknya menerima aduan daripada keluarga mangsa.

“Kita membahagikan anggota kepada tiga kumpulan untuk operasi mencari dengan kumpulan pertama masuk semula ke parit berdekatan tempat kejadian, manakala kumpulan kedua pula menyusuri parit itu sejauh 500 meter dari tempat kejadian.

“Kumpulan ketiga menjalankan operasi mencari di Kampung Jaya kerana parit ini melalui kampung ini sebelum ke Sungai Pahang.
“Usaha mencari itu turut disertai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada kira-kira jam 9.15 pagi keesokan harinya.

49 murid terperangkap dalam gua

Berita Harian




2011/03/14

 ANGGOTA bomba membawa keluar murid yang terperangkap dalam gua di Jerantut, kelmarin.
ANGGOTA bomba membawa keluar murid yang terperangkap dalam gua di Jerantut, kelmarin.
JERANTUT: Sekumpulan 49 murid sekolah rendah dan 10 guru pengiring warga Singapura yang terperangkap dalam sebuah gua di Kompleks Gua Kota Gelanggi, berikutan laluan keluar ditenggelami air berjaya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Jerantut lewat petang kelmarin.

Kumpulan murid berusia tujuh tahun itu, bersama guru pengiring dan pemandu pelancong melakukan aktiviti eksplorasi ke dalam beberapa gua bermula jam 10 pagi dan tiba di Gua Penyu kira-kira 2 petang.
Ketua Balai Bomba Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanafi berkata, lapan anggota bomba dengan satu jentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada kumpulan pelancong itu.
Beliau yang mengetuai operasi itu berkata, operasi menyelamat itu bermula kira-kira jam 3 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 7.30 malam.

“Kedudukan gua tempat kumpulan itu terkandas dengan laluan keluar utama hanya sejauh 200 meter, tetapi sukar dilalui kerana paras air meningkat hampir dua meter.

“Kami terpaksa menggunakan kaedah menyelamat menggunakan tali, kerana bot bomba tidak dapat masuk ke dalam kawasan gua yang sempit, " katanya di sini semalam.

Yahaya berkata, kumpulan murid itu dibawa keluar secara berperingkat dalam kumpulan kecil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, kumpulan pelancong yang ingin melakukan aktiviti di lokasi pelancongan dinasihatkan memaklumkan kepada pihak polis.

Lesap RM20,000 percayakan bomoh

Berita Harian


Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/03/14

Wanita dipukau serah wang, barang kemas

GELANG PATAH: Seorang wanita yang terpengaruh dengan pujukan seorang bomoh untuk mengubah nasibnya serta menolak bala, mendakwa kerugian wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM20,000 selepas ditipu bomoh perawakan lembut bulan lalu.
Mangsa, Esah Yaakub, 59, berkata kejadian itu berlaku selepas beliau dan suami pergi ke rumah bomoh berkenaan di Kampung Paya Mengkuang dekat sini, untuk berubat kerana mengesyaki beliau terkena ‘buatan orang’.
Bomoh itu kemudian mengarahkannya supaya menyerahkan barang kemas dan wang simpanan kononnya untuk dijampi bagi mengelak barang terbabit dicuri.

“Saya mengenali bomoh berkenaan melalui datuk saudara kerana ingin mengubati sakit badan, tetapi ketika menemui lelaki itu, dia memberitahu harta saya akan hilang.

“Saya ketika itu kebingungan dan tidak mengerti apa-apa, lalu terus menyerahkan barang kemas serta wang simpanan kepada bomoh terbabit untuk mendapatkan perlindungan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, akibat dipukau beliau juga sanggup mengeluarkan wang simpanan yang disimpannya sejak bertahun lalu dan menyerahkannya kepada bomoh terbabit.
“Sejak daripada itu, saya terus berulang alik ke rumah bomoh terbabit malah dia juga turut datang ke rumah saya di Kampung Melayu untuk melakukan proses perubatan menerusi alam ghaib seperti didakwa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tembelang bomoh berkenaan terbongkar selepas dia dan anaknya pergi ke rumah bomoh berkenaan untuk mengambil semula barang kemas dan wang tunai yang diserahkannya sebelum itu.

Esah berkata, bomoh terbabit kemudian menyerah sebuah beg didakwa mengandungi semua barang kemas dan wang tunai miliknya dan meminta hanya dibuka selepas tiba di rumah.

Turut menjadi mangsa bomoh berperawakan lembut itu ialah datuk saudara dan sepupu mangsa yang masing-masing kerugian RM50,000 dan RM27,000 selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas untuk dilindungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

2 maut kenderaan terbalik

Berita Harian

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2011/03/14

ORANG ramai membantu mengeluarkan mayat Mohd Fizal (gambar kecil), selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbalik akibat melanggar pokok kelapa sawit, di FELDA Kota Gelanggi 1, Jerantut.
ORANG ramai membantu mengeluarkan mayat Mohd Fizal (gambar kecil), selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbalik akibat melanggar pokok kelapa sawit, di FELDA Kota Gelanggi 1, Jerantut.
Elak lopak air punca pemandu terbabas, langgar pokok sawit

JERANTUT: Dua kakitangan FELDA Agricultural Sdn Bhd yang dalam perjalanan pulang selepas berurusan di Johor Bahru maut, apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas melanggar pokok kelapa sawit sebelum terbalik di Jalan FELDA Kota Gelanggi 1, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, Mohd Fizal Ismail, 27, yang juga penumpang belakang dari FELDA Kota Gelanggi I, maut di tempat kejadian, manakala Mohd Saad Ab Wahab, 28, meninggal dunia di Hospital Bandar Jengka, Maran.
Pemandu kenderaan itu, Azizi Mat Tuah, 47, dan rakannya, Muhamad Asri Ishak, 32; Mohd Shahril Amirul Mohd Nor, 21, dan Muhamad Taufik Mohd Zulkefli, 20, yang cedera dikejarkan ke HBJ untuk menerima rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit dipercayai cuba mengelak lopak air ketika hujan sebelum pemandunya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Katanya, kenderaan dinaiki mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar pokok kelapa sawit dan terbalik dengan empat tayarnya ke atas.

Beliau berkata, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Jerantut yang tiba di tempat kejadian mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang.
Zakaria berkata, siasatan turut mendapati, penumpang yang mengalami kecederaan parah sempat diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Bandar Jengka untuk menerima rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing dan dibawa pulang ke FELDA Kota Gelanggi 1, malam kelmarin.,” katanya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

32 korban kemalangan laut

Kosmo!
Oleh ATIKAH DALI

Bot ekspres yang berlanggar dengan tongkang turut mengakibatkan 13 maut dalam kejadian di Bintulu, Sarawak pada 19 Oktober 2010.


PUTRAJAYA - Kemalangan di laut jarang berlaku di perairan negara ini berbanding kemalangan jalan raya yang kerap berlaku dan meragut banyak nyawa hampir setiap hari.
Jabatan laut baru-baru ini mendedahkan seramai 32 orang terkorban daripada jumlah 54 kemalangan laut yang dilaporkan berlaku di perairan negara ini sepanjang tahun 2010.
Daripada jumlah kematian itu, 24 daripada mereka terdiri daripada warga asing manakala bakinya pula merupakan rakyat tempatan.
Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Kapten Ahmad Othman berkata, kesemua yang maut itu melibatkan mereka yang menaiki bot penumpang dan bot nelayan.

Rimas diliputi debu amang

Kosmo!
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
KUANTAN – Namanya Kampung Selamat namun kehidupan kira-kira 50 keluarga di kawasan itu didakwa terancam kerana pencemaran udara yang berlaku sejak tiga bulan lalu.

Rata-rata mereka mendakwa terdedah kepada pencemaran udara yang berpunca daripada amang (hasil sampingan industri perlombongan bijih timah) yang ditempatkan di beberapa kawasan berdekatan kampung mereka.

Akibatnya, penduduk khususnya kanak-kanak mengalami masalah batuk-batuk dan selesema serta kediaman berhabuk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut, Manap Muda berkata, mereka mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya kerana ia menjejaskan kesihatan penduduk."