REMBAU - Tiga Orang Asli di sebuah kebun pisang dekat Kampung Legung Jaya, Kota, di sini menghadapi detik mencemaskan apabila didatangi enam lelaki bersenjatakan parang ketika sedang tidur nyenyak, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, ketiga-tiga mangsa cedera di kepala dan muka, manakala seorang daripadanya hampir putus jari kanannya akibat dilibas dengan parang.
Lebih menyedihkan, ketiga-tiga mereka terpaksa menapak dengan keadaan berlumuran darah sejauh kira-kira dua kilometer untuk pergi ke jalan besar bagi mendapatkan bantuan.
Mangsa, Wira a/l Cantik, 23, berkata, semasa kejadian, mereka bertiga terkejut apabila melihat sekumpulan penjenayah yang menutup muka dengan kain sudah masuk ke dalam rumah mereka, sambil mengacukan parang ke leher.
Menurutnya, dalam ketakutan, ketiga-tiga mereka bagaimanapun tidak berani melawan, sebaliknya merayu agar tidak dicederakan.
Namun, katanya, tangisan dan jeritan mereka tidak diendahkan, sebaliknya kumpulan penjenayah itu bertindak mencederakan semua mangsa.
“Mereka bukan sahaja merampas telefon bimbit dan duit RM800 simpanan kami. Tapi lebih kejam mereka mencederakan kami bertiga sebelum melarikan diri.
“Dalam keadaan sakit dan berlumuran darah, kami bertiga berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer untuk ke jalan besar bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Wira berkata, sebaik saja sampai di jalan besar, dia terus mendapatkan pondok telefon dan menghubungi majikannya, sebelum majikan bergegas ke tempat kejadian untuk menghantar mangsa ke Hospital Tampin.
Berikutan kejadian itu, katanya, dia dan seorang mangsa yang merupakan sepupunya dikenali sebagai Is, 16, menerima enam jahitan di kepala selain cedera di bahagian tepi mata.
Manakala, katanya, seorang lagi mangsa yang merupakan saudaranya berusia 24 tahun pula terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban kerana jari kanannya hampir putus.
“Sehingga kini saya masih trauma dan takut untuk bekerja semula di sana. Sebab itu kami bertiga bercadang untuk pulang ke kampung halaman di Kuantan, Pahang sebaik sahaja saudaranya keluar dari hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika ditemui mengesahkan kejadian.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya sedang menyiasat dan belum ada sebarang tangkapan.
“Kami masih lagi melakukan siasatan termasuk menjalankan gerakan mencari keenam suspek seperti yang didakwa mangsa. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 iaitu samun bersenjata,” katanya.