Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

2 kapal ditahan pindah minyak





Dua buah kapal tangki asing bersama 34 anak kapal ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 11 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekali lagi menumpaskan kegiatan memindah minyak secara haram setelah menahan dua buah kapal di perairan Tanjung Piai dekat sini, malam tadi.
Kedua-dua kapal iaitu MT Sentek 20 dan Farmosaproduct Alphine ditahan ketika sedang rancak menjalankan aktiviti tersebut di 2.8 batu nautika (5.18 kilometer) dari barat daya Tanjung Piai kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua kapal tangki itu ditahan oleh bot laju Maritim Malaysia yang bertindak atas maklumat orang awam.
"Kita menerima maklumat pada pukul 6.20 petang mengatakan terdapat dua buah kapal yang berhimpit antara satu sama lain disyaki menjalankan kegiatan pindah minyak secara haram lalu menggerakkan bot laju untuk menjalankan siasatan.
"Ketika diperiksa, kami mendapati sejumlah 80,000 liter Marine Fuel Oil (MFO) sedang dipindahkan dari kapal MT Sentek 20 yang didaftarkan di Singapura ke kapal satu lagi didaftarkan di Monrovia, Liberia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak lapan kes pemindahan minyak secara haram di Tanjung Piai dilaporkan dan yang terbaru berlaku pada 10 Februari lalu.
Mengulas lanjut, tambahnya, hasil siasatan mendapati, kedua-dua kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit daripada Pengarah Jabatan Laut untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat 34 anak kapal berusia 22 hingga 58 tahun terdiri daripada 23 rakyat China, Indonesia (5), Taiwan (2), Filipina (2) dan masing-masing seorang Myanmar dan Singapura di atas kapal.
"Pemilik kedua-dua kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal.
"Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tujuh nelayan ditahan Indonesia selamat


JOHOR BAHRU: Semua tujuh nelayan yang ditahan Polis Air (PolAir) Republik Indonesia di kedudukan 12.5 batu nautika dari perairan Senggaran, berhampiran Tampok, Selasa lalu dilaporkan selamat dan kini berada di Balai Polis Pulau Bengkalis.
Kedudukan mereka disahkan Konsulat Indonesia di sini, selain panggilan telefon semua nelayan terbabit yang dibuat kepada ahli keluarga, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, tujuh nelayan itu ditahan kerana didakwa berada di perairan Indonesia dan rundingan untuk membebaskan mereka oleh empat anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM), hampir mencetuskan ketegangan selepas kira-kira 20 anggota PolAir mengacukan senjata kepada penguat kuasa berkenaan.

Dicabul pengarah teater

KUALA LUMPUR: Dua pelakon remaja yang terbabit dalam sebuah pementasan teater di Seremban, Negeri Sembilan, membuat laporan polis mendakwa dicabul pengarah teater itu ketika mengikuti sesi latihan.
Difahamkan, pengarah teater terkenal berusia 60-an itu dipercayai mencabul ramai lagi pelakon remaja yang mengikuti sesi latihan teater berkenaan, namun setakat ini polis menerima hanya dua laporan berhubung kejadian.
Suspek dikatakan mengambil kesempatan meraba mangsa di sebuah rumah di Seremban yang dijadikan tempat latihan pementasan bakal diadakan bulan depan.

Sumber berkata, latihan teater itu berjalan sejak tiga bulan lalu dan kejadian itu dipercayai berlaku beberapa minggu lalu.


“Setakat ini dua mangsa membuat laporan polis awal minggu ini dan akibat pendedahan itu, projek pementasan dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 April ini dibatalkan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, polis menerima laporan mangsa masing-masing berusia 14 dan 17 tahun.

Menurutnya, mangsa bersama 24 lagi pelajar sekolah menengah mengikuti sesi latihan itu setiap Sabtu dan Ahad dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Mangsa yang belajar di sekolah menengah di luar Seremban mendakwa pengarah produksi persembahan itu mengambil kesempatan mencabul mereka ketika latihan.

“Siasatan terperinci dijalankan kerana kita belum dapat pastikan berapa kali mangsa dicabul serta sama ada pelajar lain turut menjadi mangsa,” katanya yang dihubungi semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan.

Pengerusi Karyawan Negeri Sembilan, Siti Salbiah Zahari berkata, pihaknya terpaksa menghentikan teater itu dan akan menggantikannya dengan pementasan lain.

“Kita tunda projek ini sehingga Jun selain mengadakan persembahan dengan tajuk berbeza dan mengambil pengarah lain untuk menjayakannya.

“Saya tidak boleh membuat sebarang ulasan disebabkan perkara ini masih dalam siasatan polis, tetapi kami akan berusaha menjayakan pementasan teater membabitkan golongan remaja kerana matlamat kami ialah menarik minat pelajar terhadap persembahan seni ini,” katanya.

Dua Datuk diarah bela diri


KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah sebuah syarikat diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM185 juta milik syarikat itu dengan memindahkan ke dalam akaun syarikat mereka, 13 tahun lalu.
Hakim S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Datuk Yip Yee Foo, 52, dan Datuk Chung Wai Meng, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat itu didakwa menyalahgunakan wang RM185 juta dengan memindahkannya daripada akaun bank syarikat berkenaan di Deutsche Bank (Malaysia) ke akaun bank Cycle & Carriage Limited di Standard Chartered Bank di Singapura. Wang itu bertujuan untuk pembelian 26,724,337 unit saham syarikat oleh syarikat mereka, Ecoplex Sdn Bhd dan Fulham Finance And Trade Limited.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan mereka bagi pertuduhan utama menggunakan muslihat untuk menipu syarikat sama sehingga wang itu dipindahkan ke akaun syarikatnya, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa menggunakan muslihat untuk menipu syarikat Cold Storage (M) Bhd menyebabkan wang itu dipindahkan daripada akaun bank syarikat itu di Deutsche Bank (Malaysia) ke akaun Cycle & Carriage Limited di Standard Chartered Bank, di Singapura untuk pembelian unit saham syarikat berkenaan oleh syarikat mereka.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 87A (a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) yang boleh dihukum menurut Seksyen 91, akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Tingkat 18-20, Menara IMC, 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 16 September 1997 dan 20 Mac 1998.
Komathy dalam penghakimannya berkata kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi penting iaitu seorang broker saham dari Singapura menyebabkan wujud jurang dalam kes pendakwaan.

Bagaimanapun mahkamah mendapati tertuduh atas kapasiti sebagai pengarah syarikat ketika itu terdapat unsur pecah amanah seperti yang terdapat dalam pertuduhan pilihan.

Penunggang maut tercampak 20 meter


RAWANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kereta di Kilometer 4, Jalan Batu Rawang di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan mangsa, Saifullah Bumantaris, 20, yang menunggang motosikal Yamaha 125 bersendirian tercampak kira-kira 20 meter sebelum meninggal dunia.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Bandar Country Homes menghala ke Pekan Rawang untuk membeli barang keperluan.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, mangsa dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah kereta.

Menyamun hendak berjudi


MELAKA: Tiga lelaki anggota sebuah kumpulan penjenayah dikenali ‘Kumpulan Ah Nga’ yang dikesan aktif melakukan samun dengan taktik berpura-pura menyewa kedai atau premis tertentu di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan negeri itu sejak tiga tahun lalu, akhirnya ditumpaskan dalam satu operasi polis pertengahan bulan lalu.
Difahamkan, suspek penjenayah berusia 44 hingga 51 tahun itu dikesan melakukan samun sejak 2008 hingga 2010 sebelum menggunakan hasil rompakan untuk membiayai tabiat keji mereka yang gemar berjudi dan berhibur.

Mendedahkan kejayaan berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata ketiga-tiga suspek yang sememangnya disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki, akhirnya ditahan hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah (IPD) melakukan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek pada 17 Februari lalu, jam 12.05 tengah malam di tepi jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) menghala pusat bandar.

Katanya, tangkapan dibuat selepas mereka disyaki terbabit dalam kes samun dengan modus operandi berpura-pura menyewa kedai di sekitar negeri itu.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dua kereta iaitu Proton Iswara dan Perodua Kancil, sebilah parang, satu cota berwarna hitam, seikat tali, satu gulung pita pelekat, empat telefon bimbit, tiga jam tangan dan rantai leher emas serta jed hijau.

“Kita percaya selain parang dan cota berkenaan, tali dan pita pelekat itu digunakan untuk mengikat serta menutup mulut mangsa,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK), di sini semalam.

Raja Shahrom berkata, siasatan terhadap semua suspek mendapati mereka menyamun kedai atau premis dengan menggunakan maklumat yang disiarkan dalam surat khabar.
“Anggota Kumpulan Ah Nga ini akan menghubungi nombor talian kedai atau premis yang diiklan dalam surat khabar dan berpura-pura mahu menyewa. Mereka kemudian mengadakan pertemuan dengan pemilik premis dan mengambil kesempatan melakukan samun jika bersendirian.

“Kumpulan ini menyamun harta benda yang ada pada pemilik premis tadi seperti beg duit, barang kemas, telefon bimbit dan sebagainya dengan mengikat mangsa. Mangsa juga ditinggalkan di situ sebelum berjaya melepaskan diri.

“Hasil soal siasat semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun berkawan di sekitar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek, masing-masing dari dari Johor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan itu, masih direman dan akan merujuk kepada kontinjen di negeri lain bagi memastikan sama ada mereka turut terbabit dengan kejadian samun di negeri berkaitan.

“Setakat ini juga, selepas dirujuk kepada kontinjen Johor didapati kumpulan ini, terbabit dalam 50 kes samun di sana berdasarkan modus operandi sama digunakan.

“Siasatan lanjut juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai 20 rekod kesalahan lampau, termasuk samun dan pecah rumah,” katanya.

Bukan itu saja, katanya, polis juga cuba mengesan tiga lagi rakan penjenayah terbabit yang masih bebas.

“Kita berharap sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan dua daripada mereka diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho di talian 019-7778228.Mereka ialah Pak Tiew Liau atau dikenali Rambut Putih dan Yong Ah Kong atau nama panggilannya, Ah Kong, nombor kad pengenalan 600206-05-5349,” katanya.

Rompak guna teksi


BATU PAHAT: Empat penjenayah warga Vietnam menggunakan teksi sebagai pengangkutan ketika memecah masuk beberapa kilang sekitar daerah ini.
Bermodalkan hanya RM10 bagi tambang teksi untuk ke kilang disasarkan, mereka juga menggunakan teksi ketika melarikan barangan dicuri.

Taktik yang digunakan sejak beberapa bulan itu bagaimanapun menemui noktah apabila keempat-empat penjenayah berkenaan ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Parit Bilal, jam 10 malam, Jumaat minggu lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam sekatan itu, polis menahan teksi dinaiki empat suspek berkenaan.

“Dalam pemeriksaan dijalankan ke atas teksi berkenaan, kami menemui kelengkapan untuk melakukan jenayah seperti parang, pemotong besi serta pelbagai jenis pemutar skru.

“Semua suspek yang berusia 20-an gagal memberikan penjelasan berkaitan peralatan itu,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Semerah, semalam.

Pemandu teksi berkenaan dibebaskan selepas siasatan mendapati dia tiada kaitan dengan kumpulan penjenayah terbabit.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada suspek tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan, manakala seorang lagi tiada dokumen perjalanan sah.

“Kami syak permit digunakan suspek palsu dan siasatan lanjut mendapati semuanya terbabit dalam beberapa kes pecah kilang sekitar daerah ini.
“Penahanan kumpulan itu membolehkan kami menyelesaikan lima kes pecah kilang dan kami masih menyiasat sama ada mereka turut mempunyai rakan jenayah yang masih bebas atau terbabit dengan kes lain,” katanya.

Menurut Adnan, suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda, suspek juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen.

Polis terima laporan kes keluarga diugut bunuh


KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kes ugutan bunuh oleh seorang lelaki warga Nigeria ke atas satu keluarga akibat tidak berpuas hati selepas mangsa melaporkan perniagaan haram dijalankan suspek.
Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh, berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, mangsa berusia 43 tahun itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Cheras November lalu dan pihaknya akan meneliti laporan perubatannya yang didakwa ditumbuk suspek berusia 40-an.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengugut dan memukul,” katanya, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ada berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak akibat masalah perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, kes berkenaan tidak dipandang ringan kerana membabitkan ugutan bunuh.

Akhbar ini semalam melaporkan seorang isteri dan ahli keluarganya kini hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan bunuh daripada seorang lelaki warga Nigeria yang tidak berpuas hati selepas suami mangsa melaporkan perniagaan haram dijalankannya.

Difahamkan, suspek juga ada kaitan dengan kumpulan samseng yang aktif di Cheras membuatkannya berani bertindak mengugut dan membelasah suami mangsa.

25 lelaki ditahan


KUALA LUMPUR: Seramai 25 lelaki ditahan sejak kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan berdarah hingga menyebabkan seorang terbunuh dan dua lagi koma dalam kejadian di sebuah kafe siber di Taman Melati, Wangsa Maju, di sini.
Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata penahanan mereka adalah bagi merakam keterangan berhubung lima lelaki bersenjata parang, besi dan rantai dipercayai terbabit menyerang kafe siber itu, awal pagi kelmarin.

“Semua mereka ditahan adalah rakan mangsa. Mereka ini pernah terbabit pergaduhan dengan kumpulan lima lelaki itu.

“Malah daripada jumlah itu, ada antara mereka dikenal pasti saksi kejadian yang boleh membantu kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sekumpulan lima lelaki yang dipercayai terbabit kejadian awal pagi kelmarin sudah dikenal pasti dan polis akan menahan mereka dalam jangka masa terdekat.

“Semua mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam). Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mencari beberapa lagi suspek,” katanya.

Difahamkan, rakan mangsa yang diculik dalam kejadian serangan itu sudah ditemui dan ada antara yang ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian awal pagi itu, seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Helmi Khamaruddin, 20, maut di tempat kejadian akibat patah leher selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan rumah kedai ketika cuba menyelamatkan diri daripada diserang kumpulan itu. Dua rakannya pula koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), juga akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri.

2 pengedar dadah sasar remaja dicekup


KLUANG: Dua lelaki dipercayai pengedar dadah yang menyasarkan remaja di daerah ini sebagai pelanggan mereka diberkas dalam dua serbuan berasingan di sini, kelmarin.
Dalam serbuan pertama pada jam 3.30 petang oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, suspek pertama dijejak sekitar Jalan Kampung Paya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arshad, berkata pemuda berusia 29 tahun itu yang menyedari kehadiran polis cuba meloloskan diri, namun gagal.

“Pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dua peket plastik lut sinar dipercayai mengandungi heroin dan syabu.

“Heroin seberat 16.78 gram, manakala syabu pula mencecah 1.5 gram dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Beliau berkata, hasil soal-siasat suspek pertama, pihaknya turut memberkas seorang lagi suspek yang terbabit pengedaran dadah.

“Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di Felda Kahang Timur jam 9 pagi semalam dan pemeriksaan menemui sepeket plastik berisi heroin seberat 15.85 gram.

“Kedua-duanya kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati mandatori,” katanya.

300 terkorban



myMetro
pix_middle
TOKYO: Gempa paling kuat melanda Jepun semalam membentuk tsunami setinggi 10 meter dan menghanyutkan rumah serta menolak kapal ke darat.
Bencana terburuk dalam tempoh 300 tahun di Jepun itu turut mencetuskan kebakaran, termasuk di sebuah loji nuklear.


  • FotoMUSNAH...ada antara kenderaan awam rosak apabila terhumban ke dalam jurang akibat laluan di situ runtuh.
  • FotoTAK DAPAT DISELAMATKAN...runtuhan rumah dan kereta dihanyutkan ke laut selepas ombak besar melanda bandar Kesennuma.
  • FotoDUA KALI BENCANA...sebahagian daripada rumah di Natori terbakar selepas dilanda tsunami.
Sehingga malam tadi, sekurang-kurangnya 300 orang disenaraikan sebagai maut atau hilang akibat gempa bumi sekuat 8.9 magnitud itu.

Pakar seismologi Amerika Syarikat (AS) dan Jepun berkata, kejadian semalam adalah gegaran kelima paling dahsyat di seluruh dunia sejak 1900 atau yang ketujuh dalam sejarah.

Laporan menyatakan, ombak besar tercipta di Lautan Pasifik menghanyutkan sebuah kapal Jepun membawa 100 orang.

Lebih 300 rumah di bandar Ofunato turut musnah sama sekali.

Ombak besar juga memusnahkan apa saja yang ada di laluannya, termasuk kapal kontena, kenderaan dan ladang.

Kerajaan berkata, gempa yang dapat dirasakan sehingga ke Beijing itu menyebabkan kerosakan besar-besaran.

Di Sendai, imej televisyen menunjukkan ombak berlumpur bergerak ke darat pada kelajuan tinggi dan memusnahkan kawasan kediaman berhampiran Sungai Natori.

Pegawai kerajaan tempatan di Miyagi, Ken Hoshi berkata, dia tidak pernah melihat bencana seburuk itu.

Di Tokyo, sejumlah kecederaan dilaporkan apabila bumbung bangunan dewan runtuh ketika majlis penganugerahan ijazah berlangsung.

Di ibu negara Jepun itu juga, asap dilihat berkepul-kepul di sekurang-kurangnya 10 lokasi ketika penduduknya mengalami gangguan elektrik.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami menyeluruh sehingga ke Amerika Selatan, New Zealand dan Hawaii, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan orang ramai menjauhi pantai.

Pertubuhan Palang Merah pula mengingatkan, tsunami di antara empat dan 10 meter boleh menenggelamkan sebahagian daripada pulau yang ada di laluan ombak itu.

Sementara itu, kerajaan berkata, tiada sebarang kebocoran radiasi dikesan di loji nuklear di Onagawa walaupun ia terbakar.

Gempa pertama berlaku hanya kurang dari 400 meter ke timur laut Tokyo, diikuti lebih 40 gegaran susulan.

Satu daripadanya sekuat 7.1 magnitud.

Seorang pegawai kerajaan tempatan di Kurihara, Miyagi, berkata gegaran itu sangat kuat sehingga pekerja di situ terpaksa berpaut untuk mengelak daripada jatuh.

“Kami tak boleh keluar dari bangunan dengan segera kerana gegaran itu berterusan,” katanya.

Perdana Menteri, Naoto Kan, mengadakan mesyuarat tergempar sejurus selepas bencana itu berlaku dan kerajaan menghantar kapal tentera ke Miyagi untuk memberikan bantuan.

Gempa bumi itu berlaku pada jam 2.46 petang (1.46 petang waktu Malaysia) selama dua minit.

Bencana itu turut menyebabkan indeks pasaran saham Nikkei merudum, manakala nilai mata wang yen berbanding dolar AS terjejas teruk. - AFP

Pilu lihat anak digilis kereta

myMetro
SERENDAH: “Saya sedih melihat mayat anak digilis kenderaan dalam kemalangan itu,” kata C Suppiah, 74, menceritakan tragedi menimpa anaknya, S Karuppiah, 35, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38, Jalan Kuala Lumpur menghala Ipoh, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika mangsa yang menunggang motosikal dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang.


Menurut Suppiah, lebih memilukan sejurus mangsa tercampak dari motosikal, beberapa kenderaan lain gagal mengelak sebelum menggilis dan menyeret tubuhnya beberapa meter.

“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan anak terbabit kemalangan. Saya sebak selepas melihat mayat anak dalam keadaan menyayat hati dikerumuni orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan."

Lelaki mati di salun isteri

Berita Harian

2011/03/12

SERI KEMBANGAN: Seorang ahli perniagaan yang juga jurulatih seni mempertahankan diri, ditemui mati dalam keadaan tangan, kaki dan mulut diikat dengan kain di sebuah premis dua tingkat miliknya di Taman Puncak Jalil, di sini, malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Manogaran, 42, ditemui dalam keadaan terlentang di salah sebuah bilik yang digunakan sebagai premis perniagaan salun oleh isterinya kira-kira 8 malam.
Difahamkan, mangsa menjaga salun itu seorang diri, manakala isterinya, 33, keluar mengambil anak tunggalnya dari sekolah kira-kira 5 petang.
Bagaimanapun, sebaik isterinya kembali ke premis yang juga tempat tinggalnya itu, beliau mendapati mangsa terbaring dalam keadaan mulut dan hidung berdarah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Razak Elias, berkata tiada sebarang kecederaan lain termasuk tikaman selain mulut dan hidung yang berdarah.

“Pemeriksaan mendapati, telefon bimbit milik mangsa dan sedikit wang tunai hilang dipercayai dilarikan suspek berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pernafasan berikutan mulut dan hidungnya diikat dengan kain.
“Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis percaya lebih daripada tiga suspek mendalangi kes pembunuhan itu berdasarkan kemahiran yang dimiliki mangsa.

“Segala aspek akan diambil kira termasuk dendam lama, Along atau didalangi individu dikenali berikutan ia bukan menjurus kepada rompakan kerana keadaan kedai yang tidak berselerak,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa menjalankan pelbagai jenis pekerjaan termasuk jurulatih seni mempertahankan diri dan salun yang baru dibuka itu dikendalikan isterinya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

8 maut kemalangan di Gerik

Kosmo!



KERETA Perodua Alza yang bertembung dengan Toyota Wish di Kilometer 53 Lebuh Raya Gerik-Jeli dekat Ipoh semalam.


IPOH – Lapan orang termasuk tiga beranak maut dalam dua kemalangan yang berlaku pada jarak kira-kira 40 kilometer dalam tempoh tidak sampai 24 jam di Lebuh Raya Gerik-Jeli kira-kira 220 kilometer dari sini.
Dalam kemalangan pada pukul 12 tengah hari di Kilometer 53, Lebuh Raya Gerik-Jeli semalam, tiga beranak antara empat mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan.
Tiga sekeluarga yang terbunuh ialah Wan Sariwani Zainal (gambar), 35, dan dua anak lelakinya Mohamad Imran Haziq Zainuddin, 3, dan Mohamad Izuan Hanif, 9.
Bagaimanapun, suami Sariwani, Zainuddin Omar, 35, yang memandu kereta Perodua Alza dan anak sulung mereka, Iqbal Hakim, 13, pula mengalami kecederaan parah.
Turut terbunuh dalam kemalangan itu, seorang warga emas, Khadijah Ahmad, 76, yang menaiki Toyata Wish.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, tiga beranak itu mengalami kecederaan parah di kepala dan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku semasa keluarga yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dalam perjalanan menghala arah Gerik.

Lima lelaki didakwa tuduhan menculik

Kosmo!
Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my
MELAKA – Angkara menculik seorang penolong pengurus sebuah kilang bagi meminta wang tebusan, lima lelaki termasuk dua anggota tentera berhadapan dengan hukuman mati apabila mereka didakwa atas pertuduhan menculik di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Lima tertuduh berkenaan ialah Kamaruzaman Mohamed Shah, 34; Sulaiman Abdul Kadir, 31; Farezzuwan Mohd, 23; S. Murukesan, 23; dan Robin ak Ajing, 30.

Ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka, kelima-lima tertuduh menganggukkan kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa menculik Tan Tiang See, 39, pada 14 Februari lalu di hadapan gudang K&H Trading Sdn. Bhd. di No. 1, Lot 3-15 Jalan TTC Kawasan Perindustrian Cheng, Cheng di sini pada pukul 6 petang."