Search This Blog

Tuesday, March 8, 2011

Akibat sogok polis



JOHOR BAHRU - Akibat cubaan merasuah polis, seorang pelarian warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mariyam Hatu, 37, mengaku bersalah atas dakwaan cuba menyogok seorang anggota polis sebanyak RM862 bagi membebaskan suaminya daripada ditangkap atas kesalahan memiliki dadah pada 19 April 2009 di hadapan sebuah masjid di Kulaijaya.

Menurut fakta kes, Mariyam telah menyerahkan wang untuk salah satu pegawai yang ingin menangkap suaminya dan memohon agar dia tidak di melakukan penangkapan.

Pegawai itu turut memperingatkan Mariyam bahawa perbuatannya melanggar undang-undang tetapi dia tetap berdegil.

Mariyam yang diwakili oleh peguam, GSP Ravindran mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam perbicaraan tersebut, Ravindran menyatakan bahawa itu adalah kesalahan pertama Mariyam dan dia menyesali dengan tindakannya.

“Mariyam sedang hamil anak keenam ketika melakukan sogokkan itu dan semua anak-anaknya di bawah penjagaan dia kera suaminya telah ditahan di Kuantan selama dua tahun di bawah perintah terhad had tinggal (under a restricted residence order)," katanya.

Ravindran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap Mariyam kerana berpendapat beliau tidak berpendidikan dan tidak memahami tindakan undang-undang dari perbuatannya.

:Timbalan Pendakwaraya, Noorfazlin Namun Hamdan bagaimanapun berpendapat bahawa Mariyam perlu dikenakan hukuman berat untuk mencegahnya daripada mengulangi kesalahan.

“Saya mendesak mahkamah untuk mempertimbangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara keseluruhan," katanya.

Hakim Mohamad Abdul Aziz Haldar kemudian menetapkan hukuman denda RM2,000 untuk kesalahan tersebut dan memberi amaran terhadap Mariyam agar tidak mengulanginya perbuatannya lagi.

“Saya memberikan anda kesempatan kedua dengan tidak menghukum kamu ke penjara jadi saya berharap bahawa anda telah bertaubat dan belajar dari kesilapan," katanya.

90 bungkus air ketum dirampas



SERI ISKANDAR - Sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Perak Tengah berjaya merampas sebanyak 90 bungkus air daun ketum dalam Ops Tapis yang dilakukan 2 Mac lalu di Kampung Gajah, di sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan seorang penjual air ketum berjaya diberkas setelah pihaknya membuat intipan.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan pada jam 2.45 petang itu, suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memegang satu bungkusan plastik hitam yang disembunyikan di celah pelepah kelapa sawit.

“Tindakan pantas polis berjaya menangkap lelaki ini dan pemeriksaan ke atas plastik hitam itu menunjukkan 90 peket plastik diikat dengan getah berisi cecair yang disyaki air daun ketum,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Fakri berkata, air daun ketum berkenaan siap di peket dan dianggarkan berharga RM3 sepeket hanya menanti masa untuk dijual kepada pembeli tempatan.

“Kita percaya suspek memproses sendiri daun ketum ini yang diperoleh di kawasan sekitar,” katanya.

Katanya, suspek boleh dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 33 Akta Racun 1952 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 dan penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, pihaknyan mengadakan Operasi Jenayah Bersepadu yang melibatkan semua jabatan polis.

Menurutnya, pada 16 Januari lalu pihaknya mengadakan operasi di kawasan Kampung Gajah dan berjaya menangkap seramai 43 suspek penagih dadah dan dalam ujian saringan awal seramai 28 suspek didapati positif dadah.

“Di Parit pula kita berjaya menangkap seramai 23 suspek penagih dadah dan ujian saringan awal mendapati kesemua mereka positif dadah dalam operasi yang diadakan 18 Januari lalu.

“Dalam operasi sama, kita berjaya menangkap tiga suspek bersama dadah jenis heroin seberat 8.07 gram,” katanya.

Katanya, operasi seumpama itu akan dijalankan sekerap mungkin bagi mengurangkan masalah penagihan dadah dan seterusnya mengurangkan masalah jenayah.

“Kita khuatir bukan sahaja golongan dewasa yang terlibat dengan najis dadah ini tetapi golongan pelajar sekolah.

“Saya mengingatkan agar masyarakat tidak mendekatkan diri dengan najis dadah kerana boleh membawa kepada pelbagai masalah lain,” katanya.

Lelaki pekak, bisu bersalah meliwat

SH

ALOR SETAR - Mahkamah Sesyen, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dari tarikh jatuh hukum ke atas seorang lelaki pekak dan bisu, atas tuduhan meliwat, dua tahun lalu.

Mohamad Firdaus Mohd Zukri, 24, dituduh meliwat seorang remaja berusia 14 tahun sekitar jam 3.30 pagi di tandas lelaki Asrama Putera Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alor Setar, Kuala Alor, Kota Setar.

Mohamad Firdaus dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan pada 10 Ogos 2009, yang boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan juga boleh dikenakan sebatan.

Hakim Mohd Sabri Ismail, sewaktu membacakan keputusan berkata, mahkamah mendapati tertuduh (Mohamad Firdaus) gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melepasi keraguan munasabah.

“Tertuduh didapati bersalah dan disabit dengan kesalahan,” katanya.

Peguam tertuduh, Fadli Shuib, dalam rayuannya berkata, Mohamad Firdaus menunjukkan kelakuan yang baik sejak ditahan, malah tertuduh kini mempunyai pekerjaan tetap di kedai kimpalan kereta dan mempunyai pendapatan untuk menyara hidupnya sendiri serta keluarganya.

“Tertuduh juga telah insaf dengan segala kesalahan dan perbuatannya, malah tidak melakukan sebarang kesalahan lain di samping turut memberikan kerjasama kepada polis serta menghadiri semua perbicaraan di mahkamah.

“Tertuduh sekarang adalah antara punca pendapatan bagi membantu bapanya yang bekerja sebagai guru sekolah rendah, menyara adik-adiknya, atas faktor itu saya memohon hukuman seringan-ringannya dikenakan terhadapnya,” katanya sebelum keputusan dibacakan hakim.

Sebaik keputusan dibacakan, tertuduh yang tidak ditemani ahli keluarga mahupun teman karibnya, kelihatan tergamam.

Peguam tertuduh, Fadli Shuib, kemudiannya merayu keputusan itu ditangguhkan dan hakim membenarkannya serta menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil, manakala Lee Bee dari Mahkamah Persekutuan Malaysia, menjadi juru bahasa isyarat terhadap tertuduh.

Remaja ditemui tergantung

SH


SUNGAI PETANI – Seorang remaja 19 tahun ditemui mati tergantung kira-kira jam 6 pagi di rumahnya di sini, semalam (kelmarin).

Bapa saudara mangsa berkata, sebelum kejadian abangnya ada menegur mangsa kerana sering menggunakan motosikal ibunya untuk keluar.

“Jam 5 pagi dia balik ke rumah, pada jam 6 pagi ketika ibunya bangun untuk menunaikan solat Subuh dia menemui mayat mangsa sudah tergantung pada siling,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mangsa adalah anak kelima daripada enam adik beradik dan baru sahaja memulakan kerja sehari sebelum kejadian.

“Sebelum ini, dia juga pernah terlibat dengan kemalangan dan berkemungkinan sebab itulah abang mangsa melarangnya, lagipun dia tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurun.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Gara-gara rasuah, 2 lelaki dipenjara

SH

ALOR SETAR - Gara-gara menerima rasuah RM500 dan RM300 untuk tidak menarik kereta jenis Proton Satria, di Langkawi pada 2007 dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam.

Tertuduh, Rusmadi Hamid, 39, melakukan kesalahan berkenaan pada 2 Oktober 2007 jam 3 petang di Kuarters Polis Taman Berlian, Jalan Kisap secara rasuah meminta suapan sebanyak RM500 daripada Abdul Jalil Arifin.

Keesokan harinya, tertuduh bersama Muhammad Zahir Jantan, 27, melakukan kesalahan yang sama jam lebih kurang 5.30 petang di Jeti Perikanan Penarak, Kuah yang menerima suapan wang tunai RM300 .

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Ismail menetapkan kedua mereka dikenakan hukuman enam bulan penjara dan denda RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Sekiranya mereka gagal membayar denda yang dikenakan, hukuman enam bulan penjara akan dikenakan,” katanya ketika keputusan dibacakan ke atas kedua tertuduh.

Kedua tertuduh meminta supaya hukuman penjara tidak dikenakan kerana masih menanggung keluarga.

Merekan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim.

Belasah seorang pelajar Tingkatan Tiga gara-gara kehilangan wang RM500

SH


TAMPIN – Seramai 10 pelajar di sebuah institut tahfiz di sini ditahan polis selepas berlagak samseng membelasah seorang pelajar, Khamis lalu.

Kesemua pelajar berusia antara 16 dan 20 tahun itu ditahan kelmarin selepas dikatakan membelasah seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di institut sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa dibelasah oleh tidak kurang 11 pelajar kerana kes kehilangan wang.

“Mangsa yang ketika itu berada di asrama dipanggil untuk berjumpa di blok asrama lain dan sebaik sahaja tiba di lokasi dimaksudkan, dia disoal siasat sama ada mengambil duit RM500 milik seorang pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya menafikan ada mengambil wang tersebut sebelum kesemua pelajar itu bertindak memukul mangsa dengan kayu dan tali pinggang di bahagian atas mata kiri, dada, tangan, kaki dan beberapa bahagian badan.

“Kedua-dua tangan dan kaki mangsa turut diikat semasa dibelasah kumpulan� pelajar berkenaan. Mangsa juga dipaksa mengaku terbabit dalam kes kecurian berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam.

Mohd Isa berkata, mangsa bagaimanapun melarikan diri dari asrama selepas sekali lagi dipanggil kumpulan sama, kira-kira 9.30 malam, keesokan harinya.

“Mangsa akhirnya membuat laporan polis pada Sabtu lalu, kira-kira 5.45 petang dan dihantar ke Hospital Tampin (HT) bagi mengesahkan sama ada terdapat kesan dipukulan,” katanya.

Mohd Isa berkata, kesemua pelajar yang terlibat akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau objek keras. Jika sabit kesalahan akan berhadapan dengan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan di institusi berkenaan, semalam.

Penganggur ragut pekebun diberkas

SH


KUANTAN - Cubaan seorang lelaki meragut wanita warga Indonesia yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank berjaya dipatahkan apabila penjenayah itu diberkas polis dalam kejadian di persimpangan Sungai Jan dekat Jerantut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pekebun berusia 42 tahun itu ditolak dari belakang hingga terjatuh sebelum beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM107 dilarikan suspek.

Ketika itu mangsa berjalan seorang diri menuju ke sebuah pasar raya selepas mengeluarkan wang di sebuah bank di bandar berkenaan.

Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, akibat kejadian mangsa yang cedera di kaki dan tangan kiri menjerit meminta pertolongan sambil mengerang kesakitan.

Menurutnya, wanita itu bernasib baik apabila kejadian sempat disaksikan seorang anggota Rela yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

“Lelaki itu segera menghubungi polis sebelum mengejar suspek yang cuba melarikan diri ke arah pasar tani berhampiran.

“Polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan berjaya memberkas suspek dengan bantuan anggota Rela itu,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek sudah memerhatikan mangsa dari jauh sebelum meragutnya ketika keluar dari bank berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Lipis itu mempunyai beberapa rekod lampau termasuk kes dadah dan melupuskan barang curi,”katanya.

Noor Asyikin berkata, suspek yang tidak bekerja itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Penyamun pulangkan geran

SH


CHUKAI - Agak melucukan, namun itulah realiti apabila penyamun misteri yang mencuri peti besi seberat lebih 100 kilogram milik sebuah syarikat insurans di Jalan Da’ Omar, dekat sini pada awal pagi 27 Februari lalu memulangkan kembali geran kenderaan, buku cek dan semua dokumen penting yang terkandung dalam peti itu kepada pemiliknya pagi semalam.

Pemilik syarikat itu, Azmi Ismail, 43, berkata, dia terkejut apabila mendapati tiga fail yang disimpan di dalam peti besinya sebelum ini, diletakkan dalam satu plastik berwarna ungu di hadapan kedai makan miliknya, di mana di belakang kedai itu terletak pejabatnya yang dipecah masuk penyamun terbabit.

“Ketika mahu membuka pintu pagar kedai makan, saya terlihat satu beg plastik berwarna ungu diletakkan di atas lantai dekat salah satu sudut tiang kedai, namun pada mulanya saya ingatkan ada pelajar sekolah tertinggal barang.

“Tetapi apabila diperiksa kandungan dalam beg plastik itu, saya terkejut kerana ia mengandungi tiga fail yang tersimpan 15 geran kenderaan, buku cek, surat mati bapa saya dan pelbagai lagi dokumen penting,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya.

Malah, menurutnya, setelah diperiksa dengan teliti, tiada satu pun geran kenderaan yang hilang dan semua dokumen penting serta buku cek juga masih dalam keadaan elok, melainkan duit berjumlah RM300 sahaja yang tiada.

Katanya, dia mengesyaki pencuri berkenaan memasuki kawasan premis perniagaannya melalui pintu belakang kerana pintu pagar hadapan dikunci.

“Saya juga syak pencuri itu masuk ke dalam premis perniagaan saya sekitar jam 5 hingga 6 pagi kerana pagi tadi (pagi semalam) saya tutup kedai kira-kira jam 4 pagi.

“Saya tidak sangka orang yang mencuri peti besi saya lebih seminggu lalu boleh mengembalikan semula semua fail ini. Walaupun kejadian ini agak pelik dan lucu, tetapi saya bersyukur sebab tidak perlu bersusah payah untuk membuat kembali semua geran kenderaan yang hilang,” katanya.

Menurut Azmi, sejak semua geran kenderaan yang disimpannya itu hilang dalam kejadian pecah masuk pada awal pagi lebih seminggu lalu, dia sempat membuat semula dua geran kenderaan yang hilang dengan kos RM300, termasuk kos pengangkutan dan lain-lain.

“Alhamdulillah, syukur kerana saya tidak perlu lagi bersusah payah membuat semula geran dan dokumen penting yang hilang kerana semuanya sudah dipulangkan semula,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian 27 Februari lalu, penyamun bertindak melarikan peti besi tersebut yang diletakkan di bawah meja di hadapan pintu depan pejabat Azmi dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi selepas memecahkan pintu depan pejabat.

Gara-gara menyangka peti besi itu mengandungi banyak wang, penyamun terbabit hanya melarikan peti itu sahaja tanpa mengambil barang berharga lain termasuk komputer, kamera video dan projektor yang turut berada dalam pejabat itu.

Tarik kayu jumpa mayat

SH


KEMAMAN – Tindakan seorang anggota pasukan penyelamat menarik sebatang kayu dari dasar jeram memecah kebuntuan misi mencari dan menyelamat remaja lelaki berumur 19 tahun yang dikhuatiri lemas Jumaat lalu di Pusat Perkelahan dan Rekreasi Air Terjun Jeram Gajah, Air Putih, di sini.

Ini sebab, tindakan itu rupa-rupanya menyebabkan jasad mangsa timbul ke permukaan air.

Mayat mangsa yang tersangkut pada kayu berkenaan terapung di permukaan air sejurus kayu itu ditarik kira-kira jam 1.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam misi mencari dan menyelamat yang masuk hari keempat itu, mayat mangsa yang juga penuntut sebuah kolej swasta di daerah ini ditemui di kawasan jeram tidak jauh daripada lokasi dia terjatuh selepas ditarik arus deras.

“Pasukan mencari dan menyelamat memulakan operasi pada hari keempat iaitu kira-kira jam 9 pagi.

“Usaha menyelam turut diteruskan di sekitar lokasi mangsa dikhuatiri ditarik arus deras dan sekitar jam 1.50 tengah hari misi ini berjaya apabila mayat mangsa timbul selepas pasukan penyelamat menarik sebatang kayu dari dasar jeram,” katanya.

Menurutnya, misi mencari dan menyelamat itu dilakukan secara bersepadu oleh polis bersama Unit Skuba Pasukan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kejadian 4 Februari lalu, mangsa bersama empat lagi rakan sekolej mandi di pusat perkelahan itu.

Bagaimanapun, kira-kira jam 5.20 petang ketika leka berenang mangsa secara tiba-tiba ditarik arus deras sebelum rakannya yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan mencapai tangan mangsa.

Namun, air yang terlalu deras menyebabkan genggaman tangan rakannya itu terlucut dan mangsa hanyut serta terjatuh dalam kawasan jeram yang airnya berpusar serta dalam.

Dicekup di dalam kereta

SH


KAMPUNG RAJA – Seorang duda dan pasangannya yang ditangkap memadu asmara di dalam sebuah kereta didenda RM2,700 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas membuat pengakuan bersalah sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof memerintahkan duda berusia 36 tahun, dan pasangannya berumur 24 tahun, dipenjarakan sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit ditangkap di dalam sebuah kereta di Tanjung Demong dekat Bukit Keluang pada jam 3.50 petang, 22 Oktober tahun lalu.

Duda terbabit dari Jalan Sultan Zainab, Kota Bharu, Kelantan dan bekerja sendiri manakala pasangannya, beralamat di Taman Jati, Selangor seorang jurujual didakwa berada berdua-dua sedangkan mereka bukan muhrim, sekali gus dituduh sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, penguat kuasa syariah yang membuat rondaan di sekitar pantai Tanjung Demong ternampak sebuah kereta jenis Honda City hitam dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, penguat kuasa menghampiri kereta bercermin kereta gelap itu, dan mendapati dua wanita berada tidak jauh dari kereta (luar kereta). Manakala, duda terbabit berada di tempat duduk pemandu dan pasangannya di sebelahnya dalam keadaan mengiring serta kerusi direbahkan.

Apabila pintu kereta diketuk, pasangan itu cuba memakai pakaian dan empat minit kemudian, baru pintu kereta dibuka. Penguat kuasa mendapati ketika itu lelaki terbabit memakai seluar pendek londeh sehingga paras paha.

Tertuduh perempuan pula memakai kemeja T lengan pendek diangkat ke paras dada dan tidak memakai seluar serta tudung.

Pendakwa memberitahu mahkamah beberapa barang kes milik tertuduh turut dirampas termasuk sehelai seluar pendek, kemeja T, seluar dalam warna kuning dan barang kes lain.

Mereka yang kini telah bertunang merayu dikenakan hukuman ringan dan hakim menegur perbuatan mereka yang keterlaluan itu.

Duda terbabit hadir ke mahkamah dengan berkemeja lengan panjang dan bersongkok, manakala tunangnya memakai baju kurung ditemani seorang rakan perempuan.

Miliki dadah denda RM5,000

SH


KOTA BHARU – Padah memiliki dua jenis dadah berbahaya, metamphetamine dan nimetazepam September lalu, seorang lelaki 42 tahun dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Sukri Abdullah yang beralamat di 9A, Jalan Gual bunut, Rantau Panjang itu didapati bersalah melakukan dua kesalahan itu di sebuah rumah Lot 520 Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian 20 September 2010.

Dalam serbuan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu itu, Sukri bersalah memiliki 0.14 gram metamphetamine dan 0.50 gram nimetazepam jam 12.30 petang.

Sukri dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Mahkamah turut menjatuhkan penjara enam bulan terhadap kedua-dua kesalahan itu masing-masing.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita dituduh atas kesalahan sama kerana memiliki 1 gram dadah heroin di alamat Lot 751, Kampung Beta Hulu jam 1.50 petang 3 Mac lalu.

Suhaily Harun, 28, turut menghadapi pertuduhan menagih dadah jenis metamphetamine pada masa, tempat dan masa yang sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM7,500 sementara menunggu sebutan semula kes 29 Mac depan.

Kedua-dua pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Noor Dayana Mohamad.

Mayat reput ditemui di ladang getah

Utusan Malaysia Online


JOHOR BAHRU 7 Mac - Mayat seorang lelaki yang mulai reput dengan beberapa kesan tetakan ditemui di sebuah kawasan ladang getah di Sungai Tiram, dekat sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, mayat mangsa, R. Nithyananthan, 38, ditemui pukul 2.40 petang oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.
"Kami menemui mayat tersebut dengan beberapa kesan luka akibat ditetak di bahagian leher dan badan beberapa meter dari motosikalnya.
"Mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, polis telah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa dan mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.
"Siasatan awal masih belum mengenal pasti motif sebenar pembunuhan kejam itu dan polis masih belum menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa di lokasi kejadian," katanya.
Roslan memberitahu, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Katanya lagi, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti suspek terlibat dan pada masa sama menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi polis di talian 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

8 maut dalam 3 nahas ngeri

Utusan Malaysia Online



keadaan bas sekolah yang remuk selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol, semalam. Saripah Saodah yang baru bertunang kelmarin turut maut dalam kemalangan tersebut.


JEMPOL 7 Mac - Lapan orang maut selepas terbabit dalam tiga kemalangan ngeri yang berlaku di Jempol, Negeri Sembilan; Tawau, Sabah dan Tanjung Karang, Selangor hari ini.
Di Jempol, tiga sekeluarga maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh sebuah bas sekolah di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang berdekatan pekan Batu Kikir di sini hari ini.
Dua daripada mereka yang maut merupakan pasangan adik beradik, Nor Hasikin Md. Nazir, 27, dan adiknya, Saripah Saodah, 22, manakala seorang lagi ialah anak Nor Hasikin, Natasya Isa, 5.
Nor Hasikin dan adiknya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta badan dalam kejadian yang berlaku pukul 2.50 petang.
Natasya pula meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan Juasseh, Kuala Pilah.
Seorang lagi anak mangsa, Mohd. Iskandar Fahmi, 3, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.
Saripah Saodah baru sahaja melangsungkan majlis pertunangan di rumahnya Felcra Lakai di Jelebu semalam.
Ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan dari Melaka untuk menghantar baju pertunangan yang disewa di sebuah butik pengantin di Simpang Pertang.
Jurucakap polis memberitahu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Nor Hasikin dikatakan hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan.
Ia kemudian bertembung dengan sebuah bas milik Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Jempol dari arah bertentangan.
"Rempuhan yang kuat itu mengakibatkan kereta mangsa terperosok di bawah bas sebelum diseret sejauh kira-kira 20 meter," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jurucakap polis memberitahu, tiga daripada 26 pelajar yang berada dalam bas berkenaan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di klinik berhampiran.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.
Sementara itu, tiga termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Tawau-Semporna di Tawau.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang melibatkan tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah pacuan empat roda dari arah Semporna terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang berada di laluan itu.
"Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh ialah pemandu pacuan empat roda yang terbabas, Tee Ling Huat, 65; serta pemandu dan penumpang sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang dirempuh iaitu Ngu Heng Dat, 37, dan Ling Leh Ngik, 66.
"Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang dirempuh tidak cedera, begitu juga pemandu dan penumpang bas ekspres terbabit," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kenderaan pacuan empat roda yang merempuh tiga kenderaan terbabit dipercayai dipandu secara berbahaya.
Dalam satu lagi kemalangan, dua beradik maut termasuk salah seorang daripadanya rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar di Kilometer 57.5, Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Tanjung Karang.
Mohd. Fauzan Mohd. Ayob, 20, rentung dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi, sementara abangnya, Khairul Amri, 26, melecur hampir seluruh badan. Kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika kejadian, difahamkan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan sebelah sebelum dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dari arah bertentangan.
Menurut Pemangku Ketua Trafik Selangor, Deputi Supritendan Ismail Ibrahim, kenderaan SUV jenis Toyota Fortuner terbabit yang dipandu seorang lelaki turut terbakar berikutan perlanggaran itu.
Bagaimanapun, tambahnya, pemandunya sempat keluar dan menghilangkan diri selepas kejadian itu.
"Kedua-dua mangsa dipercayai memandu menghala Kuala Selangor selepas mengikuti kursus pegawai pertanian di Tanjung Karang.
"Mereka maut di tempat kejadian setelah tersepit di tempat duduk masing-masing. Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat," katanya.
Menurut Ismail, polis sedang mengesan pemandu SUV bernombor pendaftaran WSY 9662 yang melarikan diri selepas kemalangan itu.

Lans Koperal didakwa minta rasuah

Utusan Malaysia Online


RASAH 7 Mac – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas tuduhan meminta suapan sebagai balasan menukarkan sampel air kencing pada tahun lalu.
Tertuduh Mazlan Ahmad, 29, yang memakai baju kemeja berwarna coklat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki untuk menukar sampel air kencing seorang lelaki warga asing yang didapati positif dadah jenis amphetamine dan ketamine.
Tertuduh didakwa menerima suapan sebelum sampel air kencing itu dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi ujian makmal.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di depan pusat beli-belah Jusco Seremban 2, Seremban, pada pukul 8.15 malam, 9 Ogos tahun lalu.
Tertuduh yang bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Penguasa Kanan Jasmi Buang manakala tertuduh diwakili peguam Maanor Yusoff.
Terdahulu, Jasmi mencadangkan supaya mahkamah membenarkan Mazlan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Maanor merayu agar ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana digantung tugas.
Nursinah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April depan bagi tarikh sebutan semula.

3 penganggur dihukum gantung

Utusan Malaysia Online



P. THIAGARAJAM (kiri), K. Kukan (kiri, belakang) dan T. Gopal Khisnan (dua dari kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


SHAH ALAM 7 Mac - Tiga penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang mandur ladang dengan mengelar leher mangsa, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap K. Kukan, 26, P. Thiagarajam, 26, dan T. Gopal Khisnan, 21, selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Kesemua tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas membunuh R. Sankapillay, 56, di rumah No. 47, Rumah Murah, Taman Ladang Tanamera, Batang Berjuntai dekat sini pada pukul 7.40 malam, 5 Mac 2009.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
''Keterangan bersumpah kesemua tertuduh sukar dipercayai oleh mahkamah kerana gagal membuktikan bahawa mereka berada di lokasi seperti yang dinyatakan dalam notis alibi.
''Alamat yang dinyatakan oleh kesemua tertuduh dan saksi alibi masing-masing dalam keterangan bela diri adalah berbeza dengan alamat yang dinyatakan di dalam notis tersebut,'' kata beliau.
Menurut hakim tersebut, Kukan yang merupakan tertuduh pertama menyatakan ketika kejadian dia berada di tempat lain iaitu di Taman Mawar, Kuala Selangor namun di dalam notis alibi alamat yang dinyatakan adalah di Jalan KSU 2/2 Taman Kuala Selangor Utama.
Manakala bagi Thiagarajam, ibu saudaranya ketika memberikan keterangan pembelaan mendakwa tertuduh berada di rumahnya di Flat Damansara Damai namun dalam keterangan alibi alamat yang dinyatakan adalah Vista Apartmen Jalan PJU 10/3D, Damansara Damai.
Tertuduh ketiga, Gopal Khisnan turut memberikan alamat yang bercanggah dengan keterangan bela diri oleh bapa saudaranya iaitu di Batu Arang dan bukannya di Taman Bandar Tasik Puteri seperti didakwa bapa saudaranya.
Kukan dan Thiagarajam diwakili peguam K. Viknesvaran manakala Gopal Khisnan diwakili oleh peguam T. Joshua Sambanthan.
Sepanjang perbicaraan seramai 16 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberikan keterangan termasuk kesemua tertuduh.
Berdasarkan laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong, mangsa mati disebabkan luka berganda di leher dan kepala serta tulang tengkorak terputus berpunca daripada senjata tajam.
Menurut keterangan oleh anak perempuan mangsa yang merupakan saksi pendakwa ketiga, ketika kejadian kesemua tertuduh menyerbu masuk ke rumahnya dan meletakkan parang ke leher mangsa.
Menurutnya saksi itu lagi, Gopal Khisnan (tertuduh ketiga) seterusnya menetak mangsa lebih kurang 10 minit dengan menggunakan parang panjang.
Selepas selesai prosiding, ketiga-tiga tertuduh dilihat menjerit kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil memarahi jurugambar yang cuba merakamkan wajah mereka.

Pelajar belasah rakan hingga cedera mungkin dibuang sekolah

Utusan Malaysia Online



MANSOR Lat melihat tangan kiri Muhamad Shahfaly Anoar yang patah dan terlucut bahagian sendi bahu selepas dibelasah rakannya ketika ditemui di Kampung Syed Kassim, Simpang Empat, Kangar, semalam.


KANGAR 7 Mac - Empat pelajar yang sedang disiasat polis berhubung kejadian membelasah Muhammad Shahfaly Anoar, 15, mungkin akan dibuang sekolah.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis, Mansor Lat berkata, tindakan itu akan diambil jika terbukti empat pelajar berkenaan terlibat dalam kejadian itu.
"Tindakan buang sekolah hanya akan diputuskan setelah Jawatankuasa Disiplin Sekolah bermesyuarat dan selepas siasatan polis selesai, namun untuk waktu ini kita serahkan kes ini kepada pihak polis," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Muhammad Shahfaly bersama-sama pegawai JPN dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis, Mohd. Rizal Ismail, di rumah mangsa di Kampung Syed Kassim, Simpang Empat, di sini hari ini.
Mansor yang kesal dengan kejadian tersebut turut mengarahkan semua sekolah mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang ponteng.
"Ini kerana hasil siasatan kami mendapati tiga pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut ponteng kelas walaupun berada dalam kawasan sekolah semasa hari kejadian," katanya.
Beliau yang turut melawat sekolah Muhammad Shahfaly mendapatkan maklumat daripada kakitangan sekolah mengenai kejadian tersebut.
"Saya difahamkan semasa Muhammad Shahfaly ditarik keluar dari kelas oleh pelajar lain, guru yang berada dalam kelas tidak nampak kejadian tersebut kerana beliau dikelilingi oleh sekumpulan pelajar lain untuk memberi penerangan mengenai subjek yang diajar," katanya.
Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, akibat kejadian tersebut dia merasa trauma untuk kembali semula ke sekolah berkenaan.
"Hasil perbincangan dengan bapa, saya memutuskan untuk bertukar ke sekolah lain," katanya.
Muhammad Shahfaly yang dibelasah oleh sekumpulan pelajar pada Jumaat lalu, terkehel tulang bahu, patah lengan kiri dan luka di bahagian kening.
Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit selama 11 hari manakala empat pelajar berusia 14 dan 15 tahun yang dipercayai membelasahnya kini ditahan di Balai Polis Kangar.

Ibu tunggal nyaris ditembak

Utusan Malaysia Online


ALOR SETAR 7 Mac – Seorang ibu tunggal melalui saat-saat mencemaskan apabila dia nyaris ditembak ketika melarikan diri daripada seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Sinaran, Kuala Kedah di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi, mangsa, Low Sew Kiow , 45, bertindak nekad melepaskan diri daripada penjenayah tersebut yang cuba menculiknya ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan.
Menceritakan detik-detik cemas itu, Sew Kiow berkata, penjenayah bertopeng dan bersenjatakan pistol itu dikatakan tidak berpuas hati setelah gagal mendapat wang yang banyak ketika menyamun rumahnya.
“Saya dan keluarga diacu dengan pistol. Akibat takut, saya kemudian mengajak penyamun itu ke bank untuk mengeluarkan wang dan terus bergegas ke tingkat bawah.
“Saya kemudian menekan butang pintu pagar automatik sebelum berlari ke luar pagar dan menahan sebuah bas sekolah yang kebetulan melalui jalan di depan rumah. Penyamun yang panik melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dia kemudian meminta pemandu bas memberhentikan kenderaannya kira-kira 100 meter dari rumah sebelum berpatah balik ke rumah.
Bercerita lanjut, kata Sew Kiow, dia sedang tidur di bilik utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu bersama seorang anak perempuan berusia 20 tahun serta seorang anak lelaki berumur 11 tahun ketika kejadian.
“Saya dikejutkan dengan bunyi bising. Tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopeng, berbaju gelap dan berseluar jean mengacukan pistol,” katanya.
Tambahnya, semasa kejadian seorang lagi anaknya berusia 16 tahun berada di ruang tamu mengulang kaji pelajaran manakala pembantu rumahnya mengelap lantai dengan pintu rumah terbuka sementara pintu pagar tertutup.
“Seorang lagi anak lelaki saya berusia 22 tahun tidur di bilik berasingan. Penyamun ini dipercayai memanjat pagar rumah sebelum memasuki rumah.
“Dia kemudian mengarahkan kami semua masuk ke bilik utama sebelum mengunci kami dari luar dan menyelongkar rumah,” katanya.
Sew Kiow memberitahu, berikutan kejadian itu, dia kehilangan empat unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah ratusan ringgit dan kamera digital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Adzman Mohd. Jan berkata, polis sedang memburu penjenayah terbabit.
“Kesemua mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan samun,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bersikap lebih berhati-hati walaupun berada di rumah dan jangan memberi peluang kepada penjenayah.

Samun treler: Pemandu lori parah ditetak

Utusan Malaysia Online


KUALA LUMPUR 7 Mac - Kejadian pemandu lori diculik dan disamun semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.
Pada Jumaat lalu, dua pemandu lori dilaporkan menjadi mangsa samun dan culik sekumpulan lelaki di Bandar Baru Bangi dan di Pekan Batu Gajah, Perak.
Namun, kedua-dua mangsa bernasib baik apabila dibebaskan selain tidak mengalami kecederaan selepas disamun.
Semalam, seorang lagi pemandu lori mengalami nasib yang sama tetapi kali ini, mangsa cedera parah selepas ditikam di perut dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian berlaku pukul 1 pagi ketika mangsa, Lee Kuan Hee, 47, memandu treler jenis Scania membawa muatan besi dari Kuantan, Pahang menghala ke ibu negara.
Beliau berkata, setibanya di Kilometer 29.5, Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur, dua lelaki bertopeng bertindak menghalang kenderaan mangsa dan menyamunnya.
"Selepas menikam mangsa, penjenayah itu bertindak melarikan diri bersama telefon bimbit dan treler berisi muatan besi sepanjang 12 meter bernilai RM200,000.
"Besi yang diikat dalam beberapa ikatan itu adalah milik projek Kuala Lumpur Sentral," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, Kuan Hee yang dicampak di tepi lebuh raya bernasib baik apabila ditemui oleh pemandu lain yang kebetulan melalui tempat kejadian tidak lama selepas itu.
Pengguna lebuh raya terbabit kemudian menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu dan mangsa dihantar oleh ambulans ke Hospital Selayang.

'Bom' gegar sekolah


INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.
INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.


KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan ‘bom’ buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.
Tindakan ala ‘MacGyver’ itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran.

Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran.
“Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka,” katanya.

Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian.
“Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah.

Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan.

“Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

2 pendatang haram maut lepas minum arak

myMetro


JAKARTA: Dua pendatang tanpa izin maut di sebuah hospital kerajaan di Cengkareng, Jakarta Barat, kelmarin selepas meminum minuman keras dicampur bahan kimia.

Menurut Ketua Polis Bahagian Jenayah, Komisoner M Marbun, warga India, Majit Singh, 37, dan rakyat Russia, Alexander Shandrin, 37, maut pagi kelmarin selepas meminum minuman bertoksin itu di sel mereka di pusat tahanan imigresen di Kalideres, Jakarta Barat.


Shandrin yang berkongsi sel dengan Singh turut menawarkan minuman itu kepada seorang lagi tahanan rakyat Brunei tetapi ditolak lelaki itu. - JP"

Dua cedera mangsa bom tangan

myMetro


NARATHIWAT: Seorang anggota polis dan orang awam cedera dalam serangan bom tangan yang kemudian disusuli oleh bom kereta yang memusnahkan 18 kenderaan serta flet polis di Si Sakhon di sini, semalam, kata polis.

Serangan pertama berlaku kira-kira jam 11.50 pagi di sebuah kediaman yang diubah suai kepada kedai runcit dimiliki seorang pegawai polis, Sarjan Mejar Manit Kwansuk. Bom itu dibaling dua penyerang bermotosikal. Manit dan seorang penduduk kampung cedera dalam serangan itu.


Sekumpulan anggota tentera dan polis dikejarkan ke tempat kejadian dari pangkalan mereka sejauh satu kilometer. Ketika kenderaan mereka melalui kawasan flet polis yang baru dibina kira-kira 50 meter dari kediaman Manit, sebutir bom meletup dari kereta yang diletakkan di bawah bangunan itu, kata seorang saksi. Letupan itu menyebabkan kebakaran di tingkat bawah flet berkenaan dan menyambar 14 lagi kenderaan di situ.

Bekalan air ke bangunan terbabit dipotong. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam letupan itu. Pegawai penyiasat melaporkan 50 kilogram bom di dalam silinder gas diletakkan di bawah tempat duduk penumpang di bahagian depan sebuah trak pikap di bawah flet itu. - BP"

Wanita Denmark telan 50 kapsul hashish ditahan

myMetro"


DENPASAR (Bali): Seorang wanita warga Denmark, Tine Rasmussen, 36, ditahan kerana disyaki menyeludup 218 gram hashish dalam bentuk kapsul yang ditelannya.

Ketua bahagian narkotik Bali, Komisioner Mulyadi berkata, Tine ditahan, Khamis lalu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dari Bangkok, Thailand.


“Dia memberitahu pegawai penyiasat dia dari Bombay, India sebelum menuju ke Bangkok dan kemudian menaiki pesawat Thai Airways ke Bali,” katanya dipetik dalam kompas.com, semalam.

Menurutnya, Tine sudah menjadi buruan polis sejak beberapa waktu.


“Ketika ditahan dia baru saja mahu menaiki teksi. Kemudian kami membawanya ke Pusat Perubatan Antarabangsa Bali (BMIC) untuk membuat pemeriksaan ke atas tubuhnya,” tambahnya.


Hasil pemeriksaan sinaran-X, polis mendapati terdapat beberapa dozen kapsul di dalam perutnya. Polis kemudian mengarahkan petugas perubatan BMIC dan Hospital Trijata Denpasar supaya mengeluarkan kapsul berkenaan. “Kami berjaya menemui 23 kapsul yang ditelannya,” katanya lagi sambil menambah Tine menelan 50 kapsul dadah berkenaan. - JP"

Wanita dalang pecah rumah

myMetro
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai dalang kepada kumpulan pecah rumah dan kereta sekitar Lembah Klang antara tiga individu yang ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah di Bangsar, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kumpulan terbabit bergiat aktif sejak setahun lalu dan penahanan mereka berjaya menyelesaikan 30 kes berkaitan yang diterima pihak berkuasa sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 46 tahun itu hasil siasatan susulan daripada beberapa laporan yang diterima pihaknya.

“Dalam kes terbaru yang dilaporkan pada 7 Februari lalu, seorang lelaki mendakwa cermin kereta miliknya dipecahkan ketika ditinggalkan di sebuah pasar raya di kawasan Bangsar sebelum beberapa barang miliknya dilarikan.

“Tindakan susulan daripada laporan berkenaan, polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah berhampiran kawasan berkenaan sebelum menahan dua lagi individu termasuk seorang wanita berusia 46 tahun.


“Polis berjaya merampas 28 barang seperti komputer riba, beg duit dan kad ATM dipercayai milik mangsa dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya percaya penahanan tiga suspek ini dapat menyelesaikan 30 kes yang berlaku di sekitar Lembah Klang.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai 13 rekod lampau membabitkan kes pecah rumah, samun dan dadah. Malah, suspek pertama berusia 38 tahun juga positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan terhadapnya dan mereka akan direman selama lima hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Abdul Bari berkata, empat lelaki warga Indonesia berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan pihaknya ketika dalam perjalanan untuk melakukan jenayah.

“Semua suspek ditahan ketika menaiki sebuah Proton Wira dalam Operasi Cegah Jenayah sekitar Petaling, kira-kira jam 11 malam, Sabtu lalu.


“Hasil pemeriksaan mendapati kumpulan terbabit membawa beberapa senjata seperti pisau dan parang dipercayai untuk melakukan jenayah. Semua mereka direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Hakisan dan Letupan,” katanya.

Gantung atau buang

myMetro


KUALA LUMPUR: Sekumpulan 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi, Kangar, yang bertindak ala gengster dengan membelasah seorang pelajar tingkatan tiga di sekolah berkenaan Jumaat lalu, mungkin digantung atau dibuang sekolah sekiranya siasatan mendapati mereka melakukan kesalahan membuli.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun sekiranya didapati perbuatan itu mempunyai unsur gangsterism, kes itu akan diserahkan kepada polis.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan laporan lengkap mengenai kejadian itu sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perbuatan membuli atau gangsterism di sekolah. Sekiranya pelajar terbabit didapati bersalah, ada beberapa tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi semalam."

Guru tidak sedar

KANGAR: Seorang guru lelaki mendakwa tidak menyedari kehadiran pelajar ala samseng menarik Muhammad Shahfaly Anoar, 15, keluar dari kelasnya sebelum membelasah mangsa sehingga parah kerana konon sibuk mengajar subjek Kemahiran Hidup.
Namun, guru berkenaan yang hairan melihat Muhammad Shahfaly tidak bermaya selepas dipapah masuk semula ke dalam kelas, cuba memberi pertolongan membawanya menerima rawatan, tetapi mangsa hanya berdiam diri.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Mansor Lat yang menjelaskan situasi berkenaan berkata, guru berkenaan bukannya bersikap lewa mengenai masalah disiplin pelajar, tetapi tidak menyedari kejadian menimpa Muhammad Shahfly yang parah dipukul sekumpulan pelajar lain.

“Kesilapannya, guru lelaki yang mengajar di kelas berkenaan mengambil sikap berdiam diri selepas menyedari Muhammad Shahfaly dipukul dan tidak memaklumkan kepada guru disiplin hingga menyebabkan pentadbiran sekolah tidak mengetahui kejadian itu.

“Dia langsung tidak menyedari kehadiran pelajar yang bertindak samseng memasuki kelas kerana dilindungi pelajar lain ketika sibuk mengajar subjek Kemahiran Hidup di dalam kelas itu,” katanya selepas melawat mangsa di rumahnya di Simpang Empat, dekat sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis, Mohd Rizal Ismail dan Penyelaras Umno Simpang Empat, Abu Bakar Hamzah Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, Muhammad Shahfaly, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi parah dibelasah sekumpulan pelajar lain.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri serta luka di kening dibelasah tiga daripada 10 pelajar yang menunggu di tingkat bawah bangunan.

Kejadian hanya disedari bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, selepas melihat anak sulung daripada empat beradik itu dalam kesakitan, dipapah rakan sekelas ketika menjemputnya kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Setakat ini, polis menahan empat pelajar mencederakan Muhammad Shahfaly di rumah masing-masing di sekitar Simpang Empat, Ahad lalu.

Mansor berkata, empat pelajar berkenaan bakal berhadapan tindakan disiplin termasuk kemungkinan dibuang sekolah.


“Kami menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin SMK Syed Safi yang diarah bermesyuarat serta-merta membuat keputusan serta mengambil tindakan terhadap empat pelajar membelasah Muhammad Shahfaly.


“Bagaimanapun, memandangkan empat pelajar ditahan, kami menyerahkan kepada polis menyiasatnya terlebih dulu,” katanya Sebelum itu, Mansor hadir ke SMK Syed Safi bersama beberapa pegawai JPN serta mengadakan perjumpaan dengan guru untuk mendapatkan gambaran kejadian berkenaan.


Beliau berkata, empat pelajar ditahan polis itu dilaporkan ponteng sekolah kerana semakan mendapati tiada rekod kehadiran kelas.


“Semua pelajar terbabit didapati hadir ke sekolah dengan lengkap berpakaian seragam, tetapi tidak memasuki kelas. Tiga penuntut tingkatan tiga manakala seorang lagi di tingkatan dua sekolah berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, dia risau kembali ke sekolah dan tetap dengan keputusan bertukar ke sekolah lain selepas kecederaannya sembuh.

Pak andam penipu dicekup

myMetro


GOMBAK: Perunding perkahwinan `walimatul tak urus' yang penipuannya didedahkan Harian Metro pada 2 Mac lalu, dicekup polis dalam tempoh hanya tiga hari selepas kisahnya disiarkan.

Lelaki berperwatakan wanita atau mak nyah berusia 37 tahun itu dipercayai sudah memperdaya lebih 20 pelanggannya sejak enam tahun lalu selain dikatakan mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit.


Menurut sumber, lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Selayang di sini, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu Difahamkan, kes penipuan itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis kini menunggu arahan mahkamah untuk mendakwa suspek kerana menipu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan memberitahu, pak andam terbabit kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan.


Harian Metro pada 2 Mac lalu melaporkan pendedahan tiga mangsa yang terpedaya dengan pakej ditawarkan pak andam terbabit menyebabkan mereka kerugian puluhan ribu ringgit.


Seorang daripada mangsa hanya mampu menghidangkan minuman dan makanan ringan kepada tetamu yang hadir pada majlis perkahwinannya gara-gara suspek gagal menguruskan perkahwinan sebagaimana dijanjikan biarpun sudah menerima bayaran RM37,000."

Dua perkosa budak OKU

myMetro


AMPANG: Dua lelaki layak dilabelkan bernafsu syaitan apabila tergamak merogol kanak-kanak kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun secara bergilir-gilir di rumahnya Jumaat lalu.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah teres di Bandar Baru Ampang didatangi dua lelaki tidak dikenali berusia 20-an yang mengambil kesempatan merogolnya selepas ibu mangsa keluar bekerja.
Menurut sumber, mangsa yang mendengar ketukan pintu rumah terus membukanya sebelum dua lelaki berkenaan menyerbu masuk.

Sumber berkata, kejadian itu dikesan ibu mangsa yang pelik dengan sikap anaknya yang berdiam diri dan murung.



Selepas didesak, mangsa menceritakan kejadian yang berlaku dan ibunya membuat laporan di Balai Polis Ampang pada hari yang sama,” katanya."

Treler dilarikan dua penyamun ditemui

myMetro


GOMBAK: Polis menemui semula treler yang dilarikan di kawasan AU3 Keramat, di sini, tidak sampai 24 jam selepas kejadian samun yang menyebabkan pemandunya cedera ditikam.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, bagaimanapun, muatan besi panjang pelbagai saiz milik projek Kl Sentral bernilai RM200,000 tiada di dalam treler terbabit.


“Buat masa ini dua suspek yang dipercayai melarikan treler berkenaan belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori yang koma selepas ditikam masih dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil.


Harian Metro semalam melaporkan seorang pemandu lori koma selepas ditikam dua lelaki yang menyamun lorinya di Kilometer 29.5, Lebuh raya Karak, di sini."

Tiga dikhuatiri lemas

KUALA LUMPUR: Tiga pekerja kontrak warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras longkang besar sebelum dihanyutkan ke Sungai Segambut berhampiran Kondominium Tiara, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku apabila mereka bersama seorang lagi rakan wanita cuba menyeberangi longkang besar berdekatan sungai berkenaan untuk membeli minuman dari sebuah gerai berhampiran.

Usaha mereka tidak berjaya apabila arus sungai tiba-tiba menjadi deras berikutan hujan lebat menyebabkan tiga mangsa hanyut.

Manakala rakan wanita mereka dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tebing konkrit.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Rohaya Alias, berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.29 petang daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sebelum anggota bomba turun ke tempat kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa.


“Kita mendapat maklumat orang awam yang melihat mangsa terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus sungai yang deras. “Lapan jentera bomba bersama 45 anggota, termasuk Unit Skuba dan Anjing Pengesan (K9) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sentul dan Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, semalam.

Menurutnya, sehingga jam 8 malam tadi, nasib ketiga-tiga mangsa berusia antara 25 hingga 30 tahun tidak diketahui berikutan operasi mencari dan menyelamat dihentikan ekoran cuaca gelap.

Rohaya berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan disambung pagi esok (hari ini).

2 beradik terbakar

myMetro

RENTUNG...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
RENTUNG...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

TANJUNG KARANG: Cita-cita seorang mangsa kemalangan untuk bergelar anggota polis tidak kesampaian apabila rentung bersama abangnya, sejurus kereta dinaiki terbakar sebaik bertembung sebuah pacuan empat roda di Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohd Fauzan Mohd Ayob, 20, dan abangnya, Khairul Amri, 26, yang memandu Proton Wira mati di tempat kejadian selepas tersepit dan gagal keluar dari kereta yang terbakar.

Jurucakap polis berkata, nahas berlaku di Kilometer 57.5 Jalan Klang-Teluk Intan apabila kereta dipandu Khairul ke arah Tanjung Karang dari Kuala Selangor gagal dikawal lalu terbabas di laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Toyota Fortuner menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.

“Pemandu pacuan empat roda berkenaan sempat keluar ketika api mula marak. Bagaimanapun, dua beradik berkenaan gagal menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, rakan arwah Mohd Fauzan yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, sahabat karibnya itu pernah menyatakan hasrat menjadi anggota polis dan beria-ria menghadiri temuduga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, semalam.


“Kebetulan pada hari ini (semalam) ada temuduga untuk jawatan anggota polis di Kuala Selangor. Abangnya (Khairul Amri) yang bekerja di Perak mengambil cuti untuk menemankan adiknya ke tempat temuduga itu.

“Arwah baru saja menamatkan pelajaran di Pusat Giat Mara dan apabila mendapat tahu ada temuduga polis, dia ingin mencuba. Namun takdir Allah menentukan segalanya...impian arwah tidak tercapai,”katanya.

Difahamkan, mangsa hanya dua beradik saja dan tinggal di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, dekat sini.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Anuar berkata, dia yang bekerja di kedai jualan kereta berhampiran tempat kemalangan terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi brek yang sangat kuat.
“Saya lihat sebuah Proton Wira dipandu laju dari Tanjung Karang ke Kuala Selangor ingin mengelak sebuah van dari arah sama sebelum gagal mengawal kenderaannya dan bertembung dengan sebuah Toyota Fortuner.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua kenderaan itu terbakar. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. Saya lihat pemandu Toyota Fortuner sempat keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang, Zolkifli Ahmad, berkata, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Tanjung Karang dan Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.49 pagi.


“Pihak kami terpaksa menggunakan alat pemotong untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya

Kakitangan kabin curi telefon

myMetro


IPOH: Seorang lelaki warga Malaysia yang juga kakitangan kabin syarikat penerbangan komersial, diberkas pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kerana mencuri telefon bimbit milik seorang penumpang.

Laman web Khaleej Times semalam, menyatakan suspek diberkas selepas didapati mencuri iPhone milik wanita warga Russia.
Menurut laporan itu, kejadian berlaku pada jam 4 petang, 8 Februari lalu apabila polis Dubai dimaklumkan berhubung kes kecurian di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Difahamkan mangsa, pelancong wanita Russia membuat laporan kehilangan barang berharga sekitar jam 4 petang ketika dia dalam perjalanan pulang ke negara asalnya.



Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa membuka dan meletakkan telefon iPhone bersama tali pinggang serta beg galas miliknya ketika melalui alat pengesan logam."

Mayat lelaki ditemui atas jalan

IPOH: Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di atas jalan dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan di Km5 Jalan Chemor-Tanjung Rambutan awal hari ini.
Mayat A Dave Raj, 25, dengan kesan kecederaan di muka, kepala dan badan
ditemui oleh orang ramai pada jam 2 pagi. Mayat dihantar ke Hospital Raja

Permasirui Bainun untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata polis

menemui topi keledar berhampiran mayat lelaki itu, tetapi tiada motosikal
ditemui di kawasan kejadian.


Berdasarkan kad pengenalannya, lelaki itu dari No 17 Jalan 10/2 Taman Cheras
Jaya, Batu 11, Balakong, Selangor, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata polis kini menunggu laporan bedah siasat daripada pihak
hospital untuk mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu sama ada terdapat
unsur jenayah atau disebabkan kemalangan jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta
menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-2451500 bagi
membantu siasatan, katanya. - Bernama

Ajal lepas bertunang


BANTU...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
BANTU...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.


KUALA PILAH: Sungguh menyayat hati apabila seorang gadis yang baru mengikat tali pertunangan kelmarin, menemui ajal bersama dua ahli keluarga lain selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Batu Kikir di sini, semalam.
Sebelum kejadian, Sharifah Saodah Mohd Nazir, 22, yang memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felcra Lakai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Turut bersama mangsa kakaknya, Norhashikin Mohd Nazir, 27, dan anak saudaranya, Natasha Amirah Isa, 6, dan Mohd Iskandar Fahmi, 3.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas sekolah dari arah bertentangan.


Rempuhan kuat itu menyebabkan Sharifah Saodah mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Norhashikin dan Natasha yang cedera parah turut menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Juaseh, dekat sini.

Mohd Iskandar pula hanya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Seremban, untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, tiga bersaudara itu baru pulang selepas mengambil motosikal Suzuki Panther milik suami Norhashikin, Isa Rahmat, 32, yang sudah dibaiki, berhampiran bandar itu.

Malah, lebih memilukan apabila Isa yang menunggang motosikal itu berada beberapa kilometer dari kereta yang turut membawa isterinya.

Isa berkata, hanya Allah tahu isi hatinya apabila diberitahu kejadian yang menimpa isteri dan saudaranya yang lain kira-kira jam 3 petang.

“Panggilan dibuat seorang ahli keluarga itu memaklumkan isteri, kakak dan anak saudara sudah meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Bilik Mayat Hospital Kuala Pilah di sini, semalam.

Sementara itu, kakak ipar Norhashikin, Aslinda Muhamad, 33, berkata, dia terkejut apabila menerima khabar sedih yang meragut tiga nyawa insan kesayangannya itu.

Menurutnya, semua mangsa datang ke rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka, kira-kira jam 10 pagi semalam, namun mereka tidak sempat berbual panjang.

“Ketika itu, ibu mentua saya, Nurhidayah Awang, 50, baru saja tiba di rumah selepas mengetahui menantu serta dua cucunya itu datang dari Simpang Durian.

“Saya melihat dia (Norashikin) beria-ria mencium kedua-dua pipi ibu mentua saya sambil ketawa.

“Dia kemudian memberitahu mahu segera pulang kerana ada benda mahu diselesaikan di kampung dan takut tidak dapat berjumpa lagi,” katanya yang tidak menyangka ia petanda mangsa akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

23 pekerja syarikat minyak diculik di Colombia

Berita Harian Online


2011/03/08

BOGOTA: Kira-kira 23 pekerja sebuah syarikat minyak dan gas berpangkalan di Kanada, Talisman Energy diculik semalam di timur Colombia, kata jurucakap syarikat berkenaan.

Tomas Rueda memberitahu radio RCN bahawa kesemua pekerja itu adalah orang tempatan yang diambil bekerja.
'Seramai 23 orang daripada satu daripada syarikat subkontraktor diculik. Kami sedang memantau maklumat kejadian ini,' katanya sambil menambah kejadian berlaku di bandar Guerima.

Gabenor Juan Carlos Avila berkata, tiga lelaki menyerbu masuk ke dalam khemah, tempat pekerja itu ditempatkan.

'Lelaki itu memaksa pekerja mengikut mereka,' katanya sambil menambah tentera udara sudah melancarkan pencarian di kawasan berkenaan, kira-kira 600 kilometer, timur Bogota. - AFP"

60 rumah hangus di Kampung Titingan, Tawau

Berita Harian Online

PENDUDUK membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memadam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 60 rumah yang didiami 100 orang di Kampung Titingan, Tawau, hari ini. Kejadian pada kira-kira jam 11.45 pagi itu berjaya dikawal pada kira-kira jam 1 tengah hari. - Foto BERNAMA




2011/03/08

TAWAU: Kira-kira 60 rumah, termasuk dua rumah kongsi 20 pintu, musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, dekat sini, jam 11.45 pagi tadi.

Ketika laporan dibuat, anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Tawau masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran berkenaan walaupun berjaya mengawal api daripada merebak. - BERNAMA"

Dua rakan dipenjara, sebat kerana samun remaja

Berita Harian Online




2011/03/08

ALOR SETAR: Dua pemuda, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan manakala seorang lagi dipenjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan samun berkawan terhadap dua remaja tahun lalu.

Syed Anuar Syed Mohd Arus, seorang peniaga air, dan Mohd Fazry Mohamad yang menjadi penjaga tempat letak kereta dituduh secara bersama melakukan samun berkawan sebuah telefon bimbit bernilai RM200 ke atas dua orang di tepi jalan berhampiran jambatan Simpang Kuala di sini pada 24 Oktober tahun lalu jam 2 pagi.
Hakim Mohd Sabri Ismail memerintahkan tertuduh pertama, Syed Anuar, 39, dan tertuduh kedua, Mohd Fazry, 26, dihukum penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada hari kejadian.
Tertuduh pertama dalam rayuannya meminta hukuman terhadapnya diringankan kerana menangggung ibu yang sudah tua, manakala tertuduh kedua memohon supaya diringankan hukuman kerana dia masih muda dan berjanji untuk berkelakuan baik.

Bagaimanapun, Mohd Sabri menjatuhkan hukuman setimpal kerana mendapati Syed Anuar mempunyai 15 rekod lampau yang membabitkan antaranya samun bersenjata, membawa senjata ke tempat awam, pecah rumah, curi kenderaan, memiliki barang curi, penyalahgunaan dadah jenis ganja dan merusuh.

Mohd Fazry pula melakukan kesalahan berkenaan dalam tempoh parol yang bermula 24 Ogos hingga 31 Disember tahun lalu kerana melakukan kesalahan sama iaitu samun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Rizal Fadzil manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA