Search This Blog

Sunday, March 6, 2011

Cedera akibat rempuh anjing

SH


MALIM NAWAR - Gara-gara dirempuh anjing liar, seorang lelaki terpaksa mengambil cuti sakit sekurang-kurangnya tiga bulan untuk mengubati kecederaan yang dialaminya dalam kemalangan ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja awal pagi 10 Januari lalu.

Hafwa Wahid, 36, berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 7 pagi di Jalan Besar Malim Nawar apabila dia memperlahankan motosikal setelah terdengar bunyi bising daripada dua ekor anjing.

Menurutnya, dua anjing yang sedang bergaduh kemudiannya meluru ke arahnya dan dia terlanggar anjing berkenaan menyebabkannya cedera di bahagian kaki dan bahu.

“Akibat kecederaan itu, kaki kanan dan tulang bahu patah selain mengalami luka-luka di badan, dan bahagian belakang badan bengkak,” katanya.

Hafwa berkata, gangguan anjing liar di Jalan Besar Malim Nawar itu sering berlaku, malah berdekatan kawasan perumahannya di Taman Malim Permai juga kerap kelihatan kumpulan anjing liar berkeliaran terutama waktu subuh dan senja.

“Anjing liar memang selalu berkeliaran di kawasan sekitar memandangkan lokasi kemalangan adalah berdekatan dengan Pasar Awam Malim Nawar dan haiwan ini berkeliaran untuk mengerumuni tong sampah bagi mencari sisa makanan.

“Kita sebagai penduduk dan pengguna bimbang dengan keselamatan keluarga serta anak-anak berkemungkinan bahaya anjing liar ini bukan sahaja kerana gigitan tetapi membawa kesan lain,” katanya.

Kisah kecederaan Hafwa pernah disiarkan akhbar Sinar Harian 11 Februari lalu yang memohon supaya pihak bertanggungjawab mengambil tindakan demi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, dua hari selepas kenyataan dikeluarkan Sinar Harian, dia menyedari ada pegawai atau kakitangan Majlis Daerah Kampar membuat pemantauan anjing liar di kawasan perumahannya.

“Bukan saya sahaja yang pernah cedera akibat perbuatan anjing liar, tetapi ramai lagi mengalami pengalaman sama iaitu dihampiri anjing atau dikejar sehingga membawa kecederaan,” katanya.

Katanya, kadangkala pemilik anjing yang memelihara haiwan berkenaan dilihat secara sukarela melepaskan anjing mereka berkeliaran di luar pagar sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk lain.

“Selalu juga pengguna tidak kira dewasa atau kanak-kanak dikejar anjing semasa berada di luar rumah, malah pengguna motosikal juga menjadi sasaran haiwan itu,” katanya.

Penduduk dikejar



Penduduk, Mohd Ali Bahari, 62, berkata, anak perempuannya pernah dikejar anjing ketika membonceng motosikal dalam satu kejadian jam 9.30 malam ketika melalui taman yang sama.

“Bajunya sempat digigit anjing namun, tiada sebarang kecederaan lain kerana dia cepat mengelak daripada terus dikejar,” katanya.

Penduduk, Kamilah Mohd Said, 25, berkata, haiwan liar seperti anjing hanya mengenali pemiliknya, dan haiwan itu juga dipelihara bagi memastikan tiada orang tidak dikenali menghampiri rumah kediaman.

“Kalau tuan dia mestilah anjing ini mudah kenal, tetapi apabila ada orang yang tidak dikenali menghampiri haiwan ini sudah pasti disalak, lebih teruk dikejar dan digigit.

“Jadi saya merasakan memang mudah untuk mengalami kecederaan lebih-lebih lagi apabila haiwan ini sememangnya dilatih menjadi garang terhadap pengunjung asing baginya,” katanya.

Shafawati Muhtar, 25, berkata, sepatutnya anjing itu perlu dikategorikan sebagai haiwan berbahaya sehingga boleh menyebabkan kecederaan kepada seseorang.

“Sebenarnya kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya terserempak dengan anjing liar. Diharapkan pihak berkenaan boleh membuat rondaan kerap ke kawasan yang selalu menjadi tumpuan supaya perkara sama tidak berulang,” katanya.



Tak boleh tangkap



Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Kampar menjelaskan, haiwan tersebut tidak boleh ditangkap atau dibunuh dengan sewenang-wenangnya kerana terdapat akta tertentu yang melindungi haiwan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga menjalankan pemantauan ke atas kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat haiwan liar itu berkumpul.

Bumbung terbang

SH


JITRA - Bumbung terbang, itu situasi yang melanda sebuah keluarga lapan beranak yang tinggal di Taman Bunga Raya di sini, apabila 10 keping zink pada bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang sewaktu hujan lebat yang tiba-tiba turun lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam lima petang itu, semua ahli keluarga berada di rumah dan masing-masing menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat dari arah sebuah bilik di rumah itu, sebelum melihat bumbung rumah mereka terbang dan tersangkut di pokok asam hadapan rumah.

Mangsa, Hamid Ali, 65, berkata, sewaktu kejadian dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya manakala isteri, ibu mertua, anak, menantu dan cucunya masing-masing berada dalam rumah ketika itu.

Menurutnya, dia yang sedang berehat terkejut apabila terdengar jeritan kuat cucunya, Fatin Amirah Mohd Rani, 6, yang ketika itu berada dalam bilik tengah rumah mereka yang mana bumbungnya diterbangkan angin itu.

“Cucu saya menjerit sekuat-kuatnya memanggil kami semua kerana pada ketika itu dia yang tidur dalam bilik berkenaan basah kuyup akibat bumbung bilik itu diterbangkan.

“Pada masa sama kami terdengar bunyi sangat kuat dari arah bilik berkenaan sehingga ke arah luar rumah iaitu di tempat bumbung tersangkut pada pokok asam kira-kira dua meter dari tempat bumbung itu diterbangkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamid berkata, mujurlah cucunya yang berada dalam bilik itu selamat dan tiada sebarang kemalangan yang berlaku semasa kejadian itu.

“Kami pun tidak menyangka kejadian itu berlaku sekelip mata kerana hujan lebat tiba-tiba turun petang itu dan mengakibatkan angin kencang di luar rumah,” katanya.

Isterinya, Teh Hawa Sudin, 56, berkata kejadian seumpama itu pernah berlaku kepada keluarga mereka kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, kejadian petang kelmarin diibaratkan sebagai tragedi berulang kembali kerana secara tiba-tiba ia berlaku tanpa disedari.

“Mujur semua selamat namun, buat masa ini kami terpaksa berjaga-jaga jika hujan lebat, rumah kemungkinan dimasuki air dan terpaksa bermalam sementara waktu di rumah saudara berdekatan,” kata Teh Hawa.

Pemilik farmasi rugi RM50,000

SH


BALING – Seorang pemilik farmasi di Pekan Baru Baling terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 apabila kedainya hangus dalam kebakaran yang berlaku pada jam 10.30 malam, kelmarin.

Kebakaran itu disedari peniaga, Lim Ah Chok, 70, yang sedang minum berhampiran bangunan kedai itu apabila melihat kepulan asap tebal.

“Saya nampak asap berkepul keluar dari arah bangunan ini, lantas berlari pulang bagi memastikan kebakaran ini tidak berpunca dari kedai saya.

“Setibanya di sana, saya dapati farmasi yang terletak bersebelahan kedai saya marak terbakar, lalu meminta pertolongan orang awam untuk membuat panggilan kecemasan,” katanya di sini.

Ah Chok berkata, dia menjerit sekuat hati ketika kebakaran itu berlaku kerana bimbang terdapat penghuni dalam bangunan berkenaan.

Sementara itu, pemilik farmasi, Zulkifli Abdullah, 36, berkata, dia menerima panggilan telefon melalui kawannya mengenai kebakaran yang berlaku di farmasinya itu selepas pulang mesyuarat di Alor Setar.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati stor menyimpan ubat dan peralatan kesihatan hangus dalam kebakaran itu.

“Semua ubat-ubatan dan peralatan kesihatan itu baru dimasukkan ke dalam stor berkenaan dan saya tidak sangka sekelip mata kejadian ini berlaku.

“Tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun terpaksa menanggung kerugian yang banyak,” katanya.

Pembantu farmasi, Azrinawati Omar, 25, berkata, dia dan seorang lagi staf menutup kedai itu pada jam 10 malam setiap hari dan sentiasa memastikan semua peralatan elektrik ditutup sebelum keluar.

Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Daerah berkata, mereka menerima panggilan pada jam 10.39 malam.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira tujuh minit sebelum ia merebak ke bangunan berdekatan dan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas, namun mereka masih lagi membuat siasatan lanjut.

Dua kali dirempuh kereta

SH


GEMAS – Seorang ibu tunggal maut dipercayai dilanggar dua kenderaan semasa melintas jalan di Kilometer 1, Jalan Gemas-Tampin, berhadapan Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, mangsa, R. Neermalah, 54, yang menetap di Taman Gemas, dekat sini dikatakan sedang berjalan kaki ke pondok menunggu bas untuk pergi bekerja di sebuah kilang.

Sumber berkata, semasa hendak melintas, sebuah kereta jenis Vigan Dutsan Sunny dari Gemas Baru, Segamat tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa.

Menurutnya, mangsa kemudiannya tercampak kira-kira 10 meter di tengah jalan.

“Pada ketika itu, mangsa cuba bangun, tetapi dirempuh pula sebuah kenderaan lain dari arah Gemas menyebabkan mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemas.

“Bagaimanapun, mang-sa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut sumber, pemandu kereta pertama dan dua lagi penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan sudah membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya, kereta tidak berhenti dan terus melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kemalangan itu,

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan dapat tampil menyalurkan maklumat.

“Orang ramai yang ada menyaksikan kejadian boleh membantu polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat.

Hilang selepas keluar ke kedai

SH


ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri, Sudin Mohd Nor, 63, dan Sarah Abdul Hadi, 60, dari Kampung Melaka Pindah, dekat sini, merayu anak perempuan mereka, Marina, 26, yang lari dari rumah sejak 7 Februari lalu agar pulang ke pangkuan keluarga.

Sarah berkata, Marina adalah seorang ibu tunggal lari dari rumah bersama anak bongsunya, Norain Zaki, 5, pada hari Jumaat kira-kira jam 5 petang dengan memakai baju-T warna merah dan seluar hitam manakala cucunya memakai baju merah.

Menurutnya, anak ke sembilan dari sepuluh beradik itu yang baru bekerja setahu lalu sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Kelemak didakwa menjalin hubungan dengan seorang lelaki warga Nepal.

“Anak saya keluar dari rumah sehelai sepinggang dan membawa sekali anak bongsunya dengan dua pasang pakaian yang baru dibeli seminggu sebelum kehilangannya sambil menunggang motosikal jenis Honda EX-5.

“Malam sebelum kejadian, dia seperti biasa selepas makan, mengemas dan lipat baju sambil menonton televisyen, namun dia ada cakap tidak selesa duduk rumah selain asyik pegang telefon bimbit dan membalas mesej kepada seseorang,” katanya.

Beliau yang ditemani suaminya berkata, pada sebelah pagi, sebelum lari dari rumah, Marina nampak gelisah sambil mundar-mandir di dalam rumah dan seakan-akan meninjau ke arah luar.

Sarah berkata, kira-kira jam 5 petang, Marina keluar dari bilik sambil membawa Norain dengan dua pasang pakaian anaknya dibungkus dalam plastik dan bila ditanya dia cakap hendak ke kedai.

“Namun sehingga jam 9 malam, Marina tidak balik dan adik bongsunya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dijawab oleh seorang lelaki.

“Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan mengatakan Marina berada dalam keadaan selamat dan minta kami tidak melaporkan kepada pihak polis sebelum dia putuskan talian,” katanya.

Katanya, selepas tiga minggu kehilangan itu, kelibat Marina dan anaknya dilihat menunggang motosikal di hadapan Jabatan Agama Islam Melaka berhampiran Masjid Al-Azim, namun nombor pendaftaran dipalsukan.

“Bila saya dapat tahu dia ada di sana, saya terus mencarinya tetapi terlupa bawa gambarnya.

“Oleh itu, diharap Marina akan balik dan kami sedia maafkan segala kesilapan yang dilakukannya,” katanya.

Maut tertimbus

SH


KAJANG - Seorang pemandu lori maut selepas tertimbus tanah sewaktu sedang menjalankan kerja-kerja mengorek di sebuah bukit tapak perindustrian, Bukit Belimbing, Balakong semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, B Acutsamenon, 32, bersama tiga lagi pekerja sedang mengorek tanah di tepi tebing, tepi jalan raya untuk kerja-kerja pembinaan.

Bagaimanapun, ketika sedang mengorek bahagian bawah, tanah pada bahagian atas secara tiba-tiba runtuh.

“Mangsa dipercayai tidak sempat melarikan diri lalu tertimbus manakala tiga pekerja lain sempat menyelamatkan diri.

“Sebuah lori dan jengkaut turut tertimbus hampir separuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, mangsa segera dikejarkan ke Hospital Serdang selepas berjaya dikeluarkan dari timbusan tanah oleh majikannya.

Bagaimanapun mangsa mati dalam perjalanan ke hospital itu.

Rumah hangus dijilat api

SH


KERDAU – Kehangatan berkempen hari terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau semalam tergendala seketika apabila sebuah rumah didiami ibu tunggal di Kampung Guntung Kelibang hangus dalam kebakaran.

Rumah papan separuh batu itu baru sahaja diluluskan bagi menerima bantuan baik pulih sebanyak RM10,000 selepas dilawati Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob Isnin lalu.

Dalam kebakaran awal pagi itu mangsa Besah Tahir 70, bersama tiga anak dan seorang cucu berada dalam rumah apabila api tiba-tiba muncul lalu membakar bahagian depan rumah mereka.

Menurut saksi yang juga jiran Besah, Siti Aishah Abdul Rahman berkata, kira-kira jam 7.30 pagi ketika dia berada di rumah tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kuat berhampiran rumahnya.

“Saya ingat ada kereta kemalangan, saya buka tingkap nampak api kecil di bahagian depan rumah Besah. Saya dan anak jerit supaya mereka keluar dari rumah.

“Dalam masa beberapa minit api terus marak dan membakar semua bahagian hadapan rumah,” katanya sewaktu ditemui semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Guntung Kelibang Hamid Janal berkata, mangsa dan anak dibawa mendapatkan rawatan di hospital sebaik kejadian kerana mengalami lecur di belakang badan.

Pegawai Bomba Daerah Mohd Hamdani Madon berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7.46 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya tiba kira-kira jam 8.04 pagi berjaya mengawal api dalam tempoh tiga minit dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya kira-kira jam 8.25 pagi.

“Kerugian dianggarkan RM110,000 termasuk rumah, perabot dan peralatan dalam rumah termasuk sebuah motosikal,” katanya sewaktu ditemui di tempat kejadian.

Turut hadir melawat keluarga tersebut pagi semalam, calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata, punca kebakaran masih belum diketahui dan akan menunggu pihak forensik melakukan siasatan.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said antara yang awal menziarah keluarga terbabit berkata, kerajaan akan membina rumah baru di bawah Projek Bantuan Rumah (PBR) di bawah agensi Risda bagi menggantikan rumah lama milik mangsa yang hangus terbakar.

Menurutnya, nilai rumah baru itu sekitar RM33,000 dan akan dibina sebaik siasatan bomba selesai dijalankan.

“Kita akan bersihkan tapak rumah ini dalam tempoh segera selepas selesai siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengambil langkah segera membantu keluarga itu sebagai tanda prihatin dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, beliau percaya kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bencana RM5,000 kepada keluarga terbabit seperti yang diberikan kepada mangsa-mangsa bencana lain sebelum ini.

3,790 karton rokok dirampas

SH



3,790 karton rokok dirampas

Seorang lelaki ditahan ketika cuba seludup rokok pelbagai jenama

RAUB – Polis Raub menahan sebuah lori jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan semasa mengadakan rutin rondaan pada jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, lori itu ditutup kanvas dan selepas dibuka, mereka mendapati terdapat sebanyak 12 kotak berisi kotak kayu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 74 kotak bertulis dengan isi kandungan rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus cukai kastam.

“Rokok dipercayai seludup ini masing-masing sembilan kotak jenis Gerbang Gapura mengandungi 540 karton, sembilan kotak jenis Kalimaya berisi 450 karton dan 56 kotak Crazy Horse dengan kandungan 2,800 karton menjadikan keseluruhannya sebanyak 3,790 karton rokok.

“Kesemua rokok ini dirampas dan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia (Cawangan Bentong) untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini.

Wan Mohd Samsudin berkata, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga 10 kali ganda

nilai rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Setakat ini, nilai rampasan masih belum dapat dipastikan lagi berdasarkan harga semasa dan jumlah cukai yang cuba dielakkan.

“Masyarakat juga perlu meningkatkan kesedaran bahawa memiliki atau menjual rokok yang tidak mendapat kelulusan cukai kastam adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berharap supaya masyarakat setempat dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau keselamatan setempat menerusi talian kilat polis Raub 09-3554999

Tak salahkan anak angkat

SH


BUKIT PAYONG – Anak angkat saya diburu ah long (peminjam wang) dan saya terpaksa dihantar ke sini Jun tahun lalu kerana bimbang keselamatan saya terancam,” demikian luah penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Wan Jarah Wan Ali, 74, ketika menerima kunjungan 40 ahli kelab pemotoran, Pod Wish Club (PWC) Terengganu.

Wan Jarah yang berasal dari Losong, Kuala Terengganu adalah salah seorang daripada 24 penghuni yang mendiami rumah kebajikan itu, dan mula ditempatkan di situ apabila dihantar anak angkatnya yang dikenali sebagai Mohamad.

Sebelum ini, Wan Jarah berkata, dia tinggal di Johor bersama suami namun selepas kematian suami, dia dan anak angkatnya hidup susah menyebabkan anak angkatnya itu sering meminjam wang, tetapi gagal membayar balik kerana tiada pekerjaan tetap.

“Saya ambil Mamat sebagai anak angkat lebih 20 tahun lalu ketika tinggal bersama arwah suami di Johor Bahru. Selepas suami meninggal dunia, anak angkat saya sering diburu ah long gara-gara tidak mampu membayar hutang.

“Saya tidak menyalahkan dia sebaliknya bersyukur kerana dihantar ke sini kerana rasa selamat di sini,” katanya.

Sementara itu, bendahari rumah kebajikan berkenaan, Nordin Abu Hassan, 69, berkata, ketika ini seramai 25 warga emas iaitu 14 lelaki dan 10 perempuan menjadi penghuni rumah kebajikan itu dan ia mampu menampung sehingga 30 penghuni.

“Jika berlaku pertamba-han penghuni, kakitangan di sini tidak akan menang tangan kerana kebanyakan warga emas walaupun tidak sakit, masih memerlukan bantuan untuk ke bilik air,” katanya.

Nordin berkata, penghuni rumah kebajikan itu mempunyai pelbagai latar belakang berbeza dengan pelbagai kisah tersendiri, malah ada antara penghuni di situ bekas ustaz namun anaknya enggan menjaganya.

Tidak sangka kantoi

SH

KUALA TERENGGANU - Tidak serik! Walaupun sebelum ini pernah ditangkap bersama teman lelaki kerana penyalahgunaan dadah, malah ada lagi beberapa kes jenayah berkaitan yang masih dalam perbicaraan mahkamah, namun gadis bawah umur ini tidak pernah serik apabila sekali lagi ditahan awal pagi, semalam.

Gadis berusia 16 tahun itu yang tercicir pelajaran sejak Tingkatan Satu, ditahan bersama kakaknya, 20, dalam satu Ops Samseng Jalanan di sepanjang Jalan Pantai Batu Burok kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Ketika ditahan, gadis itu yang menunggang motosikal Honda Ex-5 bersama kakaknya didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah kad pengenalannya hanya berjaya ditunjukkan kira-kira 15 minit kemudian oleh seorang remaja lelaki yang mendakwa tinggal bersamanya.

Hasil pemeriksaan turut mendapati kedua-dua beradik itu yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di Plaza Kuala Terengganu, positif ujian awal saringan air kencing jenis Methamphetamine (pil kuda).

Difahamkan, si kakak yang mengalami masalah kurang pendengaran mendakwa hanya mengambil dadah berkenaan bersama adiknya kira-kira tiga hari lalu di rumah sewa mereka di Kampung Losong bersama teman lelakinya dan tidak menyangka akan ‘kantoi’ pada hari itu.

Kedua-dua beradik ini kini direman di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah kedalam tubuh manakala gadis itu turut dikenakan saman diatas kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Sementara itu, Ketua Ketenteraman Awam Jabatan Trafik IPD Kuala Terengganu, Asisten Superintendan (ASP) Kazahari Che Mat berkata, sejumlah 38 saman dengan 43 kesalahan dikeluarkan manakala dua motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan selama empat jam bermula 12 tengah malam dan berakhir jam 4 pagi.

Padah hutang al long

SH


MARANG - Akibat kesusahan hidup, seorang lelaki terpaksa berhutang dengan ah long (peminjam wang) demi kelangsungan hidup bersama ibu angkatnya.

Namun, akibat sering diburu ah long terbabit kerana gagal membayar balik pinjaman, ibu angkatnya, seorang warga emas, Wan Jarah Wan Ali, 74, terpaksa ditempatkan di rumah kebajikan demi keselamatannya sendiri.

Wan Jarah ketika ditemui di Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payong di sini, bagaimanapun reda ditempatkan di situ, malah tidak menyalahkan anak angkatnya itu, sebaliknya bersyukur kerana dia rasa selamat tinggal di situ bersama penghuni lain yang juga mempunyai kisah hidup tersendiri.

Pasangan ditahan khalwat

SH


PASIR MAS – Seorang lelaki berasal dari Terengganu, ditahan selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita warga Thailand dalam sebuah kereta di tempat parkir kereta, bersebelahan pejabat agama di sini, jam 3 petang semalam.

Tindakan pasangan terbabit mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Agama Daerah Pasir Mas kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita bukan muhrim.

Wartawan Sinar Harian yang kebetulan berada di lokasi terbabit mendapati lelaki berusia 30-an itu ditahan bersama pasangannya di dalam sebuah kereta dengan enjin dimatikan dan dikatakan berada di lot parkir kereta, 20 minit sebelum ditahan pihak berkuasa.

Pemeriksaan didapati wanita yang sudah bersuami itu berada di bahagian belakang kereta dengan kerusinya dijatuhkan ke bahagian belakang.

Mereka juga dikatakan berkelakuan tidak sopan dengan membuka seluar dalam wanita dan duduk di atas kerusi penumpang.

Wanita berkenaan yang berusia, 30-an, itu mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang kaitan saudara dengan lelaki berkenaan, tetapi hanya bertemu sebelum meneruskan perjalanan ke Golok.

“Disebabkan tiada bas ke Golok buat masa ini, maka saya menumpang dia (lelaki terbabit) dan berehat di sini sebelum bertolak,” katanya.

Pasangan itu kemudiannya di bawa ke Pejabat Agama Islam Pasir Mas untuk maklumat lanjut.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 setiap seorang, atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Warga asing maut

SH


JELI - Seorang warganegara Myanmar, maut apabila kereta yang dinaiki bersama dua kenalannya bertembung dengan lori muatan lima tan di Batu 5, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, Mangsa Soe Myintlwin, 35 yang berada di bahagian belakang kereta mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Pemandu dan penumpang hadapan, Suresh a/l Gyanasegaran, 25, dan Ramjit Kumar a/l Darmalingam, 31, cedera parah, kini di rawat di Hospital Tanah Merah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Difahamkan, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai dipandu laju ketika melalui satu selekoh menyebabkan pemandu gagal mengawal dan memasuki laluan bertentangan.

Sementara itu, pemandu dan kelindan lori dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Kuala Ketil, Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis daerah Jeli, Deputi Superintenden Sheik Azhar Sheik Omar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian tersebut dan kes masih disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Bapa gagal halang anak bunuh diri

SH


GEORGETOWN - Tindakan bapa menghalang anak lelakinya bunuh diri gagal apabila anaknya ditemui mati dengan kecederaan teruk di kepala setelah terjun dari Tingkat 10, Flat Desa Permata, Paya Terubong, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 30-an itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurutnya, motif mangsa bunuh diri masih dalam siasatan. Bagaimanapun, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, sekalipun berdasarkan siasatan awal tiada unsur jenayah dalam kes ini.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya.

Difahamkan, mangsa tinggal di tingkat dua flat berkenaan dipercayai menghadapi masalah tekanan jiwa, secara tiba-tiba keluar dari rumah menuju ke tingkat 10, petang semalam dan bertindak terjun bangunan.

Bapa mangsa menyedari tindakan anaknya itu mengekorinya untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, bapanya tidak sempat menghalang anaknya dari terjun bangunan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Tiga kes terbaru positif H1N1 seluruh negara

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri: "

KUALA LUMPUR 5 Mac – Sebanyak tiga kes disahkan positif Influenza A (H1N1) hari ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 26 kes.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, sementara itu, bilangan kes gejala penyakit serupa Influenza (ILI) pula berjumlah 243, manakala bilangan yang dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal seramai tiga orang.

Dalam pada itu, katanya, hanya satu kes kluster ILI dilaporkan dikesan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dengan 22 kes ILI diberi rawatan sebagai pesakit luar.

“Di Sungai Long pula hanya satu kes ILI menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Kajang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rosnah menasihatkan orang ramai supaya membudayakan amalan membersihkan diri dengan mengikuti tujuh langkah mencuci tangan seperti yang dipaparkan pada iklan televisyen Kementerian Kesihatan."

Rumah ibu tunggal terbakar




MOHD. Hamdani Madon (dua dari kiri) menerangkan kepada Ismail Mohamed Said (tengah) mengenai kebakaran rumah Besah Tahir di Kampung Guntung Kelibang, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 5 Mac – Hajat seorang ibu tunggal untuk membaik pulih rumahnya dengan bantuan kerajaan negeri tidak kesampaian apabila kediamannya itu di Kampung Guntung Kelibang, di sini, terbakar semalam.
Rumah papan separuh batu itu baru sahaja diluluskan bagi menerima bantuan baik pulih sebanyak RM10,000 selepas dilawati Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Besah Tahir, 70, bersama tiga anak dan seorang cucu berada dalam rumah apabila api tiba-tiba muncul lalu membakar bahagian depan rumah mereka.
Seorang saksi yang juga jiran Besah, Siti Aishah Abdul Rahman berkata, dia berada di rumah dan tiba-tiba terkejut dengan bunyi letupan kuat berhampiran rumahnya.
“Saya ingat ada kereta kemalangan, saya buka tingkap nampak api kecil di bahagian depan rumah Besah. Saya dan anak menjerit supaya mereka keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Turut hadir melawat, calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Guntung Kelibang, Hamid Janal berkata, mangsa dan anaknya dibawa hospital berdekatan untuk menerima rawatan kerana melecur di belakang badan.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah, Mohd. Hamdani Madon berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 7.46 pagi.
Menurutnya, anggotanya berjaya mengawal api dalam tempoh tiga minit dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 8.25 pagi.
“Kerugian dianggarkan RM110,000 termasuk rumah, perabot dan peralatan dalam rumah termasuk sebuah motosikal,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih belum diketahui dan akan menunggu pihak forensik untuk melakukan siasatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said yang menziarah keluarga terbabit berkata, kerajaan akan membina rumah baru menerusi Projek Bantuan Rumah (PBR) di bawah seliaan RISDA bagi menggantikan rumah lama milik mangsa yang terbakar.
Menurutnya, nilai rumah baru itu sekitar RM33,000 dan akan dibina sebaik sahaja bomba selesai menjalankan siasatan.
Menurutnya, beliau akan cuba mendapatkan bantuan bencana RM5,000 daripada kerajaan negeri.Utusan Malaysia Online - Pahang

13 buah rumah rosak akibat ribut di Arau

Utusan Malaysia Online - Utara: "

KANGAR 5 Mac - 13 buah rumah di tiga buah kampung rosak terutama di bahagian bumbung dalam kejadian ribut yang melanda kawasan Arau, semalam.

Penolong Pengarah Unit Ekonomi Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Wan Shuhairee Wan Salim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tujuh rumah di Kampung Guar Sanji, empat di Kampung Belakang Stesen dan dua buah di Kampung Titi Besi mengalami kerosakan.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Guar Sanji, Jafperi Othman melawat tempat kejadian hari ini manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat bancian mangsa ribut itu.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu yang berlaku semasa hujan lebat. - BERNAMA"

Suspek kes bunuh direman 7 hari



ALOR SETAR 5 Mac - Lelaki yang dipercayai membunuh teman wanitanya kerana enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual kepada orang lain semalam, kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu ditahan reman bermula hari ini mengikut Seksyen 117, Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Suspek tiada rekod jenayah dan tidak terlibat dengan dadah, namun dia kaki botol dan kerap mabuk.
"Anak suspek yang berusia dua bulan kini di bawah jagaan keluarga suspek," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang wanita, K. Magapugie, 33, ditemui mati dengan kesan lebam di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul di rumah sewanya di Jalan Indah 6, Taman Sejati Indah, Sungai Petani.
Mangsa dikatakan bertengkar dengan teman lelakinya berusia 23 tahun selepas didakwa enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual kepada orang lain akibat kesempitan hidup.
Mangsa dan suspek dipercayai hidup bersekedudukan lebih setahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia kira-kira dua bulan.
Suspek dan mangsa sering bergaduh dan suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap manakala mangsa pula tidak bekerja.
Pasangan itu dipercayai menghadapi masalah kewangan kerana didapati gagal membayar tunggakan bil elektrik serta air sejak beberapa bulan lalu.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kematian Devaraju tiada unsur jenayah

Utusan Malaysia Online - Jenayah: "

KUALA LUMPUR 5 Mac – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian Lans Koperal N. Devaraju, 29, yang terlibat dalam kemalangan di Taman Desa Jaya, Gombak, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya mendapati punca kematian Devaraju adalah akibat lemas.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan bahawa wujud unsur khianat melibatkan motosikal ditunggang mendiang ketika kemalangan.

“Kita telah menjalankan siasatan setelah ahli keluarga mendiang meminta menyiasat kes itu dengan teliti kerana mendakwa semasa kejadian motosikal mendiang tidak rosak.

“Hasil siasatan, kita dapati tidak wujud unsur jenayah dalam kes kemalangan itu dan disahkan Devaraju mati akibat lemas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes kematian Devaraju yang terlibat dalam nahas jalan raya di Taman Desa Kepong.

Polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kematian Devaraju ekoran permintaan daripada ahli keluarganya yang berasa curiga kemalangan menimpa mangsa mungkin mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat."

38 tan minyak masak dirampas




KILANG haram yang digunakan untuk menjual minyak masak kitar semula di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang,


KUALA LUMPUR 5 Mac - Selama ini, pengguna yang membeli minyak masak di Lembah Klang begitu yakin bahawa bahan makanan dibeli itu adalah tulen.
Namun, hakikatnya ada pembeli yang tertipu gara-gara perbuatan tidak bertanggungjawab sebuah kilang haram di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang dekat sini, yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui kegiatan menjual minyak masak kitar semula.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu akhirnya terbongkar setelah pegawai penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menyerbu premis haram terbabit, semalam.
Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Hashim Mat Daud berkata, beliau bersama lapan pegawainya menyerbu kilang terbabit selepas mendapat maklumat ia menjalankan kegiatan mengumpul minyak masak terpakai untuk di kitar semula.
Beliau berkata, minyak masak terpakai yang siap dibersih akan dicampur dengan minyak asli sebelum dibungkus menggunakan pelbagai jenama termasuk jenama terkenal untuk dijual di pasaran Lembah Klang.
Selain itu, kata Mohd. Hashim, pihaknya terpaksa mengejar sebuah lori tangki sejauh kira-kira lapan kilometer setelah pemandunya cuba melarikan diri.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Rumah bintang Oscar hangus





2011/03/06

KAWASAN setinggan di Mumbai hangus termasuk milik keluarga Rubina (gambar kecil).

500 kediaman setinggan Mumbai terbakar

MUMBAI: Sebanyak 500 kediaman setinggan termasuk rumah bintang kanak-kanak Slumdog Millionaire, Rubina Ali musnah dalam kebakaran besar yang berlaku berdekatan stesen kereta api Bandra di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian yang di kawasan setinggan yang padat itu, lima penghuninya dilaporkan hilang.
Ketika berusia 12 tahun, Rubina berlakon watak Latika dalam filem arahan Danny Boyle itu yang memenangi anugerah Oscar pada 2008.
Dia kehilangan semua kenangan Oscar termasuk gambar, keratan akhbar dan anugerah yang diterimanya.

“Rumah dan segala kenangan saya ketika berlakon semuanya musnah. Buku sekolah saya juga hangus. Tetapi, saya lega kerana semua ahli keluarga selamat. Kebakaran sungguh besar,” katanya.

Katanya, dia dan anggota keluarganya yang lain sedang menonton televisyen apabila mendengar jeritan mengenai kebakaran dan segera keluar menyelamatkan diri.

Rubina adalah bintang kanak-kanak yang berjaya menyentuh hati Hollywood sebelum kembali pulang ke kehidupan asalnya.
Rubina berkata, keluarganya belum lagi berpindah ke apartmen baru yang dibayar menerusi yayasan yang diwujudkan oleh Boyle.

Akhbar Britain, Daily Mail memetik bapa kanak-kanak itu, Rafiq Ali sebagai berkata, selepas anaknya popular, rumahnya menjadi lebih istimewa.

“Melihatkan semuanya musnah menjadi abu di depan mata, saya rasa kehilangan segala-galanya. Ini saja yang kami ada,” katanya.

Kebakaran yang bermula dari sebuah rumah itu bertambah marak kerana angin bertiup kencang.

Seorang saksi berkata: “Jika kebakaran itu tidak dikawal, saya yakin ia akan melumpuhkan sama sekali kota Mumbai.”

Lebih 25 kereta bomba dikejarkan ke tempat kejadian. – Agensi
Berita Harian Online | Rumah bintang Oscar hangus

Ketua polis wanita Mexico lari ke AS





2011/03/06

CIUDAD JUAREZ: Seorang ketua polis wanita berusia 20 tahun di Mexico lari ke Amerika Syarikat selepas menerima ugutan bunuh dan dipercayai memohon suaka politik di negara kuasa besar itu, kata aktivis hak asasi manusia, kelmarin.

Marisol Valles Garcia menjadi tajuk muka depan akhbar di peringkat antarabangsa apabila menerima tugas sebagai ketua polis di sebuah bandar yang sering dilanda keganasan di sempadan Mexico.
Pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Chihuahua, Gustavo de la Rosa Hickerson berkata saudara mara Valles Garcia dan rakannya memberitahu, ketua polis itu menerima ugutan menerusi telefon hujung minggu lalu.
Seorang pegawai tempatan yang menemani ketua polis muda itu minggu ini ke jambatan antarabangsa menghubungkan El Porvenir ke Fort Hancock, Texas, katanya.
Media tempatan melaporkan, Valles Garcia memohon suaka di Amerika, namun pegawai pihak berkuasa tempatan di bandar Praxedis G. Guerrero menafikannya.
Jurucakap majlis perbandaran, Jose Flores berkata Valles Garcia memohon cuti, namun merancang untuk kembali bekerja Isnin.

Flores dan dela Rosa Hickerson berkata mereka cuba menghubungi Valles Garcia sejak khabar angin tersebar namun beliau tidak menjawab telefon bimbitnya.

Jurucakap pendakwa raya Chihuahua, Arturo Sandoval berkata pihak berkuasa tidak menerima sebarang laporan atau aduan mengenai ugutan ke atas Valles Garcia.
Valles Garcia dinamakan sebagai ketua polis Praxedis G. Guerrero, Oktober lalu. Bandar itu tidak mempunyai seorang ketua polis sejak penyandangnya ditembak mati pada Julai 2009.

Keganasan akibat dadah menukar bandar dengan kira-kira 8,500 penduduk daripada masyarakat perladangan yang sepi kepada kawasan tanpa undang-undang.

Dua samseng musuh, kartel dadah Juarez dan Sinaloa, bergaduh berhubung kawalan ke atas lebuh raya yang menjadi laluan penyeludupan dadah lumayan di sepanjang sempadan Texas. – AP
Berita Harian Online | Ketua polis wanita Mexico lari ke AS

Gesel, hempap, rempuh



Oleh Wan Faizal Ismayatim

2011/03/06

PEMANDU lori pembancuh simen maut selepas kenderaan itu bergesel dengan sebuah kereta sebelum menghempap pacuan empat roda lalu merempuh rumah di Cheras, semalam.
PEMANDU lori pembancuh simen maut selepas kenderaan itu bergesel dengan sebuah kereta sebelum menghempap pacuan empat roda lalu merempuh rumah di Cheras, semalam.
KUALA LUMPUR: “Saya sangka gempa bumi melanda kerana dinding rumah runtuh, televisyen serta peralatan lain turut jatuh dan pecah,” kata Hotimah Mundari, 43, pembantu rumah warga Indonesia yang ajalnya hanya dipisahkan dengan jarak dua meter selepas sebuah lori simen yang terbabas dan merempuh rumah majikannya di Taman Bukit Anggerik, Cheras, di sini semalam.

Dalam kejadian di persimpangan Jalan 8/154 dari Taman Len Seng menghala ke Taman Alam Damai, jam 12.30 tengah hari itu, pemandu lori, Ong Heng Sai, 52, mati di tempat kejadian akibat tersepit di celah remukan kenderaan berat terbabit, manakala dua lagi mangsa yang menaiki sebuah PERODUA Kembara, parah.
Kejadian berlaku apabila lori simen terbabit dikatakan hilang kawalan di laluan menuruni bukit itu sebelum bergesel dengan sebuah PERODUA Kelisa di depannya menyebabkannya terbabas dan terbalik.
Kenderaan berat terbabit kemudian menghempap Perodua Kembara dari arah bertentangan sebelum merempuh tembok rumah teres dua tingkat lot tepi itu dengan bahagian bawah lori melekat pada dinding rumah.

Menceritakan detik cemas itu, Hotimah berkata, beliau sedang tidur atas sofa di ruang tamu sebelum terdengar dentuman sangat kuat menyebabkannya terkejut sebelum melihat runtuhan dinding tepi serta depan rumah yang disangkanya gempa bumi.

“Ketika itu, saya panik dan tak tahu nak buat apa. Apabila menyelak langsir, barulah saya sedar ada lori besar melekat pada dinding rumah yang jaraknya hanya dua meter dari sofa tempat saya tidur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Hotimah yang sudah tujuh tahun bekerja di negara ini berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah bersama ibu kepada majikannya berusia 77 tahun kerana majikannya itu tinggal di rumah lain di ibu negara.
Katanya, selepas kejadian itu, beliau menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu belakang, manakala ibu majikannya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohd Lazim, berkata sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras serta Jalan Hang Tuah mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa, masing-masing seorang lelaki dan wanita dalam Perodua Kembara yang terbalik dan remuk teruk itu.

Namun, usaha mengeluarkan mayat pemandu lori simen berdepan kesukaran walaupun bomba mendapatkan bantuan dua jengkaut kerana mangsa tersepit di bawah kenderaan berat terbabit, sebelum berjaya dikeluarkan empat jam kemudian menggunakan sebuah kren.

Beliau turut mengesahkan pemeriksaan mendapati struktur rumah berkenaan masih selamat untuk diduduki walaupun sebahagian dinding depan dan tepi runtuh.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan brek lori terbabit mengalami kerosakan.
Berita Harian Online | Gesel, hempap, rempuh

Tentera Gaddafi tingkat serangan, pemberontak mara





2011/03/06

TRIPOLI: Pasukan tentera kerajaan melancarkan serangan hebat terhadap kubu kuat pemberontak di Zawiyah di barat Libya manakala di sebelah timur pasukan penentang mara ke bandar kelahiran Muammar Gaddafi, Sirte.

Di Zawiyah, 50 kilometer ke barat Tripoli, pasukan pemberontak menangkis dua serangan tentera pro-Gaddafi yang menggunakan kereta kebal dan artileri.
Seorang doktor di Zawiyah berkata, sekurang-kurangnya 30 orang, kebanyakkannya orang awam, terbunuh dalam pertempuran itu.
Pemberontak di timur Libya pula berkata mereka sedang mara selepas mengusir tentera yang setia dengan Gaddafi di banda pelabuhan minyak Ras Lanuf.

Doktor berkata, sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dalam pertempuran berdekatan Ras Lanuf. - Agensi
Berita Harian Online | Tentera Gaddafi tingkat serangan, pemberontak mara

Dua penjenayah terbunuh suspek samun bersenjata

SANDAKAN: Dua penjenayah yang ditembak mati sepasukan anggota polis di ladang kelapa sawit Jalan Sungai Batang Batu 10, Khamis lalu, dipercayai turut terbabit dalam dua kes samun bersenjata sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marung berkata, kedua-dua penjenayah itu dipercayai ada kaitan dengan kes rompakan membabitkan peniaga wanita hingga menyebabkan mangsa cedera selepas ditembak beberapa kali di Jalan Sungai Batang, hujung tahun lalu.

“Polis juga menyiasat sama ada suspek sama mempunyai kaitan dengan satu lagi kes rompakan terhadap seorang wanita Cina di Bandar Kim Fung, Batu 4, juga dilaporkan berlaku tahun lalu.

‘’Selepas beberapa bulan diburu, polis mengesan lokasi persembunyian mereka dan berjaya ditumpaskan selepas berlaku tembak-menembak,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, kedua-dua penjenayah berusia dalam lingkungan 30-an ditembak mati selepas gagal melarikan diri apabila lokasi persembunyian mereka dikepung polis.


“Dengan tertumpasnya dua suspek ini, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Polis sentiasa bertindak pantas bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan kawasan ini terpelihara,” katanya.

Menurut Rowell, beliau mengarahkan anggotanya meningkatkan operasi rondaan di beberapa kawasan tumpuan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis jika mendapati sesuatu yang mencurigakan berlaku di kawasan mereka.

“Kerjasama masyarakat dapat membantu mengatasi masalah jenayah di daerah ini,” katanya.myMetroDua penjenayah terbunuh suspek samun bersenjata

Dirempuh suspek

KUALA LUMPUR: “Dia meluru ke arah saya yang ketika itu siap sedia untuk menahannya kerana sebelum melakukan serbuan, kami mengepung kawasan berkenaan sejurus melakukan intipan.
“Lariannya memang laju dan saya berusaha menghalang tetapi dirempuh sekuat hati, menyebabkan saya terjatuh,” kata Koperal Jamaluddin Said, anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Sebaik bangun selepas dirempuh, Jamaluddin, 53, menyedari pergelangan tangannya membengkok serta sakit sebelum seorang rakan lain mengejar suspek yang merempuhnya.

Beberapa rakan kemudian membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan disahkan patah pergelangan tangan.

Kejadian berlaku jam 9.30 malam, Selasa lalu, ketika dia bersama kira-kira 11 anggota dan pegawai diketuai Ketua Polis Balai berkenaan, Cif Inspektor Ahmad Radzrin Ahmad Nordin menyerbu kawasan pasar Chow Kit.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, mengesahkan kejadian itu dan berkata anggota berkenaan kini dalam keadaan stabil.

“Memang anggota berkenaan cedera ketika menjalankan operasi dan patah tangan, tetapi dia dibenarkan keluar hospital.

“Saya berbangga dengan kesungguhan semua anggota yang akhirnya membolehkan suspek terbabit ditangkap dan hasil pemeriksaan mendapati dia memiliki sejumlah dadah,” katanya kepada Metro Ahad.

Dalam kejadian itu, tiga individu berusia 20-an ditahan kerana kesalahan memiliki dadah.

Difahamkan, serbuan dilakukan dalam ‘Ops Khas KPD’ bagi membanteras kegiatan jenayah dan penagihan dadah.


Ketika ditemui, Jamaluddin yang sudah berkhidmat 35 tahun dalam pasukan keselamatan itu menyifatkan kejadian sebagai asam garam anggota polis.


Menurutnya, dia pernah terjatuh dari tingkat satu bangunan ketika mengejar penjenayah berkaitan dadah, menyebabkan dia menerima enam jahitan di tapak tangan.


Mengenai kejadian terbaru, Jamaluddin berkata dia lega kerana individu yang merempuhnya berjaya ditangkap selepas anggota lain CPJ, Lans Koperal Roslee Dali, mengejarnya hingga ke Jalan Raja Alang.


“Itulah semangat dalam pasukan. Sebaik melihat saya terjatuh, dia yang berada di tempat lain ketika membuat kepungan mengejar lelaki berkenaan sebelum berlaku pergelutan.


“Kebetulan pada masa itu dua anggota polis turut berada di tempat kejadian dan bantuan mereka membolehkan suspek ditahan,” katanya.


Ketika memeriksa lelaki itu, polis menemui tujuh paket heroin, menyebabkan dia ditahan dan kini berdepan hukuman gantung sampai mati kerana kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.myMetroDirempuh suspek

Kilang rugi RM6 juta

PERAI: Sebuah kilang memproses pembungkus pelindung alat elektronik mengalami kerugian bernilai RM6 juta selepas musnah dalam kebakaran di Lorong Perusahaan Maju 7, awal pagi semalam.
Dalam kejadian itu, api dikatakan cepat merebak berikutan kehadiran bahan mudah terbakar seperti plastik dan fabrikasi polimer, menyebabkan hampir keseluruhan kilang Fagerdala Malaysia Sdn Bhd berkenaan musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Aazelan Hassan berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk mengawal kebakaran, termasuk memindahkan silinder gas bagi mengelak letupan yang boleh memburukkan keadaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 1.14 pagi.

Katanya, operasi mengawal dan memadam kebakaran berjaya dilakukan sepenuhnya jam 2.19 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.55 pagi.


“Seramai 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Balai Bomba Penyelamat Bukit Mertajam, Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak terbabit dalam operasi itu.

“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai terbabit dan dibantu tiga jentera lagi dari balai Jalan Perak, dua dari balai Perda serta masing-masing satu dari Butterworth dan Bukit Mertajam,” katanya.

Fagerdala Malaysia Sdn Bhd adalah anak syarikat milik Fagerdala Dunia Foams Sweden ditubuhkan pada 2002 yang berpangkalan di Singapura dan beroperasi di kawasan seluas kira-kira 0.5 hektar.

Kilang berkenaan menghasilkan pembungkus pelindung untuk pengilang dan juga alat elektronik seperti komputer, peranti elektronik dan bioperubatan.myMetroKilang rugi RM6 juta

Kakak, adik positif

KUALA TERENGGANU: Walaupun pernah ditangkap bersama teman lelaki selain beberapa kes membabitkan penyalahgunaan dadah yang masih dalam perbicaraan mahkamah, gadis berusia 16 tahun ini semakin liar apabila sekali lagi ditahan bersama kakaknya.
Gadis yang tercicir pelajaran sejak tingkatan satu ini didapati positif ujian awal saringan air kencing bersama kakaknya berumur 19 tahun yang bekerja sebagai pelayan kedai makan di Plaza Kuala Terengganu.

Dua beradik dari Kampung Awang Lek, Mengabang Telipot, Batu Rakit itu didapati positif ujian awal saringan air kencing jenis methamphetamine.

Kedua-duanya mengaku mengambil pil kuda berkenaan di rumah sewa mereka di Kampung Losong, tiga hari lalu selepas ditangkap dalam satu Ops Samseng Jalanan di Jalan Pantai Batu Buruk, kira-kira jam 2.15 pagi semalam.

Ketika ditahan, gadis berkenaan yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama kakaknya juga tidak memiliki lesen memandu sah, manakala kad pengenalannya dibawa seorang remaja lelaki yang mendakwa tinggal bersama gadis berkenaan 15 minit kemudian.


“Saya tidak terfikir untuk membawa kad pengenalan memandangkan saya hanya meminjam motosikal sepupu untuk membeli makanan bersama kakak disebabkan lapar.

“Saya minta maaf dan sudah telefon kawan untuk membawa kad pengenalan itu ke sini,” kata gadis berkenaan ketika ditahan anggota trafik.

Dua beradik itu kemudian dibawa ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphitamine.

Malah, kakak gadis berkenaan yang kurang pendengaran turut mendakwa hanya mengambil dadah itu bersama adiknya kira-kira tiga hari lalu di rumah sewanya di Kampung Losong bersama teman lelaki dan beberapa rakan lelaki mereka.

“Kali terakhir saya ambil pil kuda tiga hari lalu setelah diberikan adik. Saya ingatkan tidak sangkut sebab sudah tiga hari dan tidak tahu pun ia boleh lekat,” katanya ketika ditemui di Pejabat Trafik IPD Kuala Terengganu.


Mereka kini direman di lokap IPD Kuala Terengganu mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh, manakala gadis berkenaan turut dikenakan saman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu sah.


Dalam operasi empat jam bermula 12 malam yang dijalankan bahagian Trafik IPD Kuala Terengganu diketuai Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama 17 anggota, dua buah motosikal disita dan 32 saman dikeluarkan membabitkan 38 kesalahan.myMetroKakak, adik positif

Anjing makan jari kaki pesakit kencing manis

ROSEBURG: Seekor anjing memakan tiga jari kaki seorang pesakit kencing manis ketika lelaki itu tidur.
Pakar haiwan berkata, anjing itu bertindak demikian mungkin kerana deria untuk membantu membuang daging yang membusuk pada lelaki berkenaan.

James Little, 61, membuat panggilan kecemasan Selasa lalu dan memberitahu anjingnya memakan jari kakinya itu ketika dia tidur.

Dia memberitahu wartawan semalam, keadaannya kini ‘memuaskan.’ Little berkata, dia tidak menyedari jari kakinya dimakan anjingnya, Shiba, kerana kakinya kebas akibat penyakit kencing manis.

Pegawai Kawalan Haiwan Douglas County, Lee Bartholomew berkata, anjing itu tidak kelihatan berbahaya.


Anjing memang diketahui memakan mayat atau daging manusia yang membusuk.

Seekor anjing di Illinois memakan jari kaki kiri seorang kanak-kanak 10 tahun yang berkudis ketika dia tidur Disember lalu.

Beberapa bulan sebelum itu, seekor anjing memakan ibu jari kaki lelaki penghidap kencing manis ketika lelaki berkenaana tidak sedarkan diri kerana mabuk. - APmyMetroAnjing makan jari kaki pesakit kencing manis

Cuba bunuh diri kerana tak mampu rawat ibu bapa

myMetroCuba bunuh diri kerana tak mampu rawat ibu bapa: "JEDDAH: Seorang wanita cuba membunuh diri dua kali kerana tidak mempunyai wang untuk membiayai rawatan ibu bapanya yang sakit tenat.

Lebih buruk lagi, tuan rumahnya mengunci rumahnya apabila dia gagal membayar sewa rumah.


Ibu Wafa Muwallad yang tidak boleh berjalan sejak 17 tahun lalu kini tidak boleh bercakap dan mendengar. Bapanya pula lumpuh sejak lima tahun lalu. Mereka yang kini hanya terlantar di atas katil tidak layak menerima rawatan di hospital kerajaan kerana kerakyatan bapa Wafa ditarik balik 16 tahun lalu.

Wafa berkata dia bukan setakat tidak tahu bagaimana hendak mencari wang bagi membayar hutang dan menjelaskan sewa rumah yang sudah sekian lama tertunggak, malah tidak dapat bayangkan di mana hendak mendapatkan makanan untuk esok.


Tambahan pula, dia juga menghidap kencing manis.


“Kos rawatan dan makanan untuk kami bertiga menjangkau kemampuan saya,” katanya. - AN"

Jelitawan malang

LONDON: Seorang remaja jelita dibelasah hingga cedera teruk oleh teman lelakinya, seorang peninju menyebabkan pegawai perubatan tidak dapat menyatakan sama ada gadis itu lelaki atau wanita.
Pelajar universiti, Tirion Lewis, 19, koma sejak sebulan lalu selepas teman lelakinya memukul dan menendangnya berulang kali di sebuah kawasan hutan.

Wayne Fox, 23, berdepan dengan hukuman penjara selepas mengaku menculik Tirion dan menyerangnya di Aberystwyth Wales Barat.

Dia digugurkan daripada tuduhan cubaan membunuh.

Tirion sedang mendengar muzik dengan seorang rakan di dalam kereta di luar rumah keluarganya apabila Fox, 23, menyerbu kenderaan itu.


Mahkamah diberitahu semalam, lelaki bertubuh tegap itu kemudian memaki hamun sebelum menyoal Tirion: “Kenapa anda melakukan ini kepada saya.” Peninju itu kemudian menumbuk hingga pecah cermin kereta, memasukinya sebelum memandu kenderaan itu dengan Tirion dan rakannya, Miriam Evans, 19, berada di dalam, menuju ke kawasan hutan.

Dia menarik Tirion keluar lalu menumbuk dan menendang gadis berkenaan.

Miriam, dalam keterangannya kepada polis berkata: “Saya melihat Fox menumbuk dan menendang Tirion yang sudah terbaring di tanah. “Saya menjerit supaya dia menghentikan perbuatannya. Saya menariknya tetapi dia memusing ke arah saya sebelum menumbuk dan menendang muka saya.

“Dia kemudian beralih kepada Tirion dan menumbuk serta menendang rakan baik saya itu lagi. Dia juga duduk di atas Tirion dan menumbuknya tanpa henti.” Evans juga berkata, Fox berhenti tiba-tiba sebelum menaiki kereta dan meninggalkan tempat itu dengan membiarkan dia dan Tirion yang tidak sedarkan diri.

Dia terpaksa berjalan kaki dan meminta bantuan penghuni rumah paling dekat dengan hutan itu. - AgensimyMetroJelitawan malang

Murid tahfiz lari ikut kawan

MELAKA: “Hanya Tuhan mengetahui perasaan saya yang menangis hampir setiap hari dan tidak berselera makan kerana memikirkan nasib dan keselamatan dirinya,” kata Jamiah Md Deris, 66.
Cucunya, Muhammad Haiqal Fuzi, 10, menghilangkan diri dipercayai lari dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bersama seorang pelajar lelaki lain berusia 16 tahun, sejak 22 Februari lalu.

Menurut Jamiah, anak bongsu daripada empat beradik yang berada di bawah jagaannya sejak kecil itu dihantar ke pusat berkenaan pada hujung November tahun lalu.

, bagi memastikannya mendapat pendidikan agama sempurna.

“Sepanjang dia (cucu) di sana, saya hanya berkesempatan menjenguknya sebanyak tiga kali dan mendapati keadaannya baik.


“Kali terakhir kami bertemu apabila dia dihantar pulang oleh guru pusat berkenaan untuk bercuti empat hari sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.

“Bagaimanapun, selepas lebih dua minggu meneruskan pengajian di situ, saya terkejut apabila dimaklumkan dia melarikan diri bersama seorang rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cempaka, Peringgit, di sini, semalam.

Kata warga emas itu, pihak pusat tahfiz turut mencari kedua-dua mereka namun gagal.

“Kami sekeluarga mencari dia di semua kawasan, termasuk berikhtiar menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional, namun masih tidak menemuinya sehingga ke hari ini,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah.

Menurutnya, sejak cucunya menghilang, dia sering menitiskan air mata berikutan terlalu bimbangkan keselamatannya.


“Sehingga kini, perasaan saya sentiasa bercelaru sehingga tidak lalu makan kerana memikirkan apa yang berlaku terhadap dia yang masih kecil.


“Saya bimbang dia tersesat atau dipergunakan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan ke asas dirinya,” katanya.


Sehubungan itu, Jamiah merayu orang ramai yang mengetahui atau terserempak dengan Muhammad Haiqal supaya menghubunginya 017-6147149/ 017-6577054 atau mana-mana balai polis berhampiran.myMetroMurid tahfiz lari ikut kawan

Bas terseret

KULAIJAYA: Bagaikan mimpi ngeri, seramai 10 penumpang dan seorang pemandu bas ekspres berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan itu terbalik dan terseret kira-kira lima meter di Kilometer 31.7, Jalan Kulaijaya-Johor Bahru, di sini, petang kelmarin.
Penumpang yang dalam perjalanan dari Muar ke bandar raya ini menempuh detik cemas itu gara-gara pemandu bas mengelak kenderaan pacuan empat roda yang berhenti mengejut.

Tindakan itu mengakibatkan bas berkenaan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemandu bas berkenaan, Ramli Basri, 47, berkata kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan membawa penumpang menuju ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral di Larkin, di sini.

“Saya terkejut apabila pemandu pacuan empat roda di depan bas berhenti mengejut, saya terus memaut stereng ke kanan hingga melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbalik.


“Saya hanya ingat mati dan bimbang memikirkan keselamatan penumpang ketika kejadian berlaku.

“Namun, kami semua selamat dan merangkak keluar sebelum dibantu orang ramai... saya dan tiga penumpang hanya luka ringan, syukur tiada yang cedera parah,” katanya.

Pemandu pacuan empat roda terbabit yang mahu dikenali sebagai Lim, berusia lingkungan 30-an berkata, kenderaan dipandunya mengalami masalah pada tayar.

“Ia pancit dan saya memberhentikan kenderaan sebelum terdengar bunyi brek, sejurus kemudian saya melihat bas berkenaan terbalik.

“Saya dalam perjalanan dari Ipoh, Perak, ke bandar raya ini untuk membeli alat ganti kenderaan, tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba tayar seperti kehilangan angin menyebabkan kenderaan bergerak perlahan sebelum saya memberhentikannya,” katanya.


Lim kemudian turut membantu penumpang bas berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


“Kemalangan menyebabkan kesesakan sepanjang dua kilometer, penumpang bas dihantar ke Hospital Temenggong Ibrahim, Kulaijaya, dan dirawat sebagai pesakit luar.


“Kami sudah merekodkan kenyataan kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.myMetroBas terseret

Pelajar kolej hanyut


DI SITU... Muhd Nur  menunjukkan tempat Abdul Aziz  mandi dan dihanyutkan oleh arus deras.
DI SITU... Muhd Nur menunjukkan tempat Abdul Aziz mandi dan dihanyutkan oleh arus deras.


KEMAMAN: Kegembiraan lima rakan sekolej berkelah dan mandi-manda di sebuah kawasan perkelahan di Jeram Tanduk, dekat Kampung Air Putih, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dipercayai dihanyutkan arus deras dan lemas di jeram berkenaan.
Abdul Aziz Zulkifli, 19, pelajar kolej swasta di daerah ini, dikatakan bertolak dari rumah sewa mereka di Bandar Chukai bersama empat lagi rakan mereka untuk berkelah buat kali pertama di jeram berkenaan dan tiba kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Rakan mangsa, Muhd Nur Ariff, 19, berkata mereka berlima sudah lama bercadang berkelah dan mandi-manda di jeram terbabit setelah mendapat tahu daripada rakan bahawa kawasan itu cantik dan sesuai untuk berkelah.

“Sempena cuti hujung minggu ini, kami merancang datang berkelah di sini dan bertolak petang kelmarin dan tiba di lokasi perkelahan kira-kira jam 4 petang.

“Kejadian berlaku sewaktu kami mandi dan berenang apabila saya tiba-tiba melihat mangsa dihanyutkan arus deras dan terjatuh ke kawasan jeram yang airnya terlalu deras serta dalam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Melihat kejadian itu, dia serta seorang lagi rakan mereka cuba berenang dan berjaya mencapai tangan mangsa. Namun, air yang terlalu deras menyebabkan Abdul Aziz gagal diselamatkan lalu terjatuh ke dalam jeram itu.

Katanya, mereka yang terkejut dengan kejadian itu terus berusaha keluar dari kawasan perkelahan yang jaraknya hampir 10 kilometer dari rumah penduduk bagi mendapatkan bantuan orang awam dan menghubungi Balai Polis Air Putih.

Dalam perkembangan sama, Ketua Operasi Gerakan Mencari dan Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Ceneh Baru, Pegawai Bomba Kanan 1 Azhar Noh berkata, mereka menerima laporan berhubung kejadian itu, kira-kira jam 6.20 petang semalam.

“Kami tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7 malam dengan kekuatan anggota seramai 12 orang bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat walaupun terpaksa menempuh sedikit kesukaran kerana air jeram terlalu deras.

“Usaha mencari terpaksa dihentikan malam tadi disebabkan cuaca gelap dan ia disambung semula jam tujuh pagi dengan bantuan 11 anggota unit selam (skuba) Bomba dan Penyelamat, 10 anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota Rela yang keseluruhannya berjumlah 38 orang selain penduduk kampung serta Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.


Bagaimanapun, keluarga mangsa yang tiba dari Johor Bharu awal pagi ini ketika ditemui di lokasi enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan kejadian itu dan meminta identiti penuh mangsa tidak disiarkan.


Tinjauan di kawasan perkelahan berkenaan mendapati pasukan mencari dan menyelamat menjalankan gerakan mencari, termasuk menyelam di beberapa kawasan jeram air deras bagi mengesan kedudukan mangsa.myMetroPelajar kolej hanyut