Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Mayat lelaki dengan kesan tetakan di leher

03/03/2011 5:19pm


SANDAKAN – Seorang lelaki rakyat Filipina ditemui mati dengan kesan tetakan di leher di Kampung Sabah Baru Batu 3 dekat sini hari ini.

Mayat Tony Sence, berusia dalam lingkungan 50-an ditemui oleh orang awam di kawasan lapang di kampung itu pada pukul 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marung berkata, lelaki itu dipercayai diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat mayatnya ditemui.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat. – BernamaKosmo! Online - Terkini

Lemas motosikal terhumban ke longkang


03/03/2011 5:23pm


KUALA LUMPUR – Seorang konstabel dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur lemas selepas motosikal dinaikinya terbabas lalu merempuh tembok sebelum terhumban ke dalam longkang di Taman Desa Jaya, Kepong di sini awal hari ini.
K. Devaraju Naidu, 29, sedang memandu motosikal Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ehsan bila kejadian berlaku pada pukul 3 pagi.
"Dipercayai motosikalnya terbabas lalu bergesel dengan pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 2 kali 2 meter yang dipenuhi air akibat hujan lebat.
"Mayat mangsa ditemui pada jam lebih kurang 7.30 pagi kira-kira 200 meter dari tempat kejadian akibat dihanyutkan oleh arus longkang,” kata Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Ismail Ibrahim ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menemui apa-apa kesan kecederaan ke atas mayat mangsa kecuali kecederaan di bibir bahagian kanan. – BernamaKosmo! Online - Terkini

Menipu: Bekas eksekutif Modenas bebas



03/03/2011 6:42pm

SUNGAI PETANI – Seorang bekas eksekutif syarikat Edaran Modenas Sdn Bhd dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini daripada 24 pertuduhan menipu membabitkan pengeluaran dokumen pelepasan eksais 190 buah motosikal bernilai RM2 juta sembilan tahun lepas.
Hakim Zainol Saad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Azhar Hussain, 40.
Dalam penghakimannya, Zainol berkata, pihak pendakwaan mengemukakan beberapa fakta yang bercanggah dan meragukan berhubung bilangan sebenar motosikal terbabit dan kerugian yang ditanggung oleh syarikat itu dalam kes berkenaan.
Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh dengan menyatakan tarikh dan tempat perbincangan dilakukan.
Azhar didakwa menipu pegawai-pegawai di Bahagian Kawalan Kredit Edaran Modenas supaya mengeluarkan surat pelepasan eksais secara elektronik berjumlah RM2.03 juta bagi membolehkan pendaftaran 190 motosikal itu dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Edaran Modenas di Kawasan Perindustrian Gurun, dekat sini, antara 9 pagi dan 5 petang 14 Mac 2002. – BernamaKosmo! Online - Terkini

Lima lelaki diberkas berkaitan kes rompakan

SINGAPURA
SEKUMPULAN lima lelaki, berumur antara 20 hingga 28 tahun, yang dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan, telah diberkas polis kelmarin.
Kenyataan polis semalam berkata, tangkapan itu dibuat menyusuli maklumat yang diterimanya sekitar 1.40 pagi, 17 Februari lalu, bahawa seorang lelaki berumur 42 tahun telah dipukul dan dirompak oleh sekumpulan lelaki di sebuah perhentian bas di Woodlands Avenue 9.Mangsa cedera di kepala dan beg sandangnya, yang mengandungi sebuah telefon bimbit dan beberapa barangan berharga bernilai $200, telah dicuri.Namun, mangsa tidak dapat memberikan perincipan tentang para penyerangnya.Ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat polis dari Divisyen Ang Mo Kio untuk menjejaki mereka.Hasil siasatan rapi, polis berjaya mengenal pasti identiti suspek pertama - seorang lelaki berumur 28 tahun.Dia diberkas di rumahnya di Woodlands Drive 60, sekitar 11 pagi, Selasa lalu,Hasil tangkapan itu, polis berjaya mengenal pasti empat lagi individu yang terlibat dan memberkas mereka di sekitar estet perumahan Woodlands dan Marsiling, antara 12 tengah hari dengan 3 petang, hari yang sama.Telefon bimbit mangsa pada salah seorang daripadanya.Kelima-lima perompak akan didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan melakukan rompakan yang membawa kecederaan.Jika didapati bersalah, kesemua mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dirotan sekurang-kurangnya 12 kali seorang.Cyberita Online Singapura

Polis diberkas kerana subahat dalam jenayah



DISELAMATKAN: Tiga mangsa culik dari Pakistan ini diselamatkan oleh pihak polis dalam serbuan ke atas sebuah sindiket penculikan minggu lalu. -- Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di sini diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.
Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an tahun itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis.Mereka berpura-pura berlagak memeriksa mangsa, yang juga warga Pakistan, sebelum menculik mereka.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata tangkapan itu dilakukan menyusuli kejayaan memberkas empat dalang utama kumpulan terbabit baru-baru ini dan turut menyelamatkan tiga mangsa culik.'Pada 19 Februari lalu, kami menahan empat suspek warga Pakistan yang dipercayai menculik tiga lelaki senegara untuk meminta wang tebusan dianggar RM620,000 ($259,470).'Susulan siasatan mendapati tiga lagi suspek warga tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan terbabit dalam penculikan itu,' katanya di sini, kelmarin.Menurutnya, polis merampas beberapa gari dan pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek semasa menyamar sebagai polis sebelum menculik mangsa dan menyerahkan kepada dalang kumpulan itu untuk urusan tuntutan wang tebusan.'Kami percaya ketiga-tiga suspek terbaru ini terbabit sekurang-kurangnya lima kes penculikan warga Pakistan sejak tahun lalu dan semuanya direman sehingga 6 Mac ini,' kata beliau.Sementara itu, dalam kes berasingan, Datuk Ku berkata pihaknya kini memburu suspek utama berhubung dua kes samun van keselamatan membabitkan kerugian RM1.18 juta.Katanya, suspek, yang juga pengurus syarikat keselamatan, S. Krishnan, 53 tahun, dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun di Kepong pada 20 Disember lalu membabitkan jumlah wang RM850,000 dan satu lagi kes di Taman Segar Cheras membabitkan RM330,000. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

Polis JB buru dua lelaki disyaki terlibat



GAMBAR SUSPEK: Polis JB sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes culik anggota keluarga seorang peniaga Singapura. -- Foto THE STRAITS TIMES

POLIS Johor Bahru (JB) semalam menyiarkan gambar dua warga Malaysia yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan tiga rakyat Singapura baru-baru ini.
Kedua-dua lelaki tersebut ialah Sam Meng Yeow yang juga dikenali sebagai 'Ah Sam' dari Skudai, Johor, dan Liew Chee Wei, dikenali sebagai William, yang menetap di Masai, Johor, dan Kuala Lumpur.Menurut akhbar The Star, isteri, anak perempuan dan pembantu rumah, seorang peniaga Singapura telah diculik ketika mereka sedang menaiki kenderaan di Johor Bahru menghala ke Singapura.Peniaga tersebut merupakan seorang juwatan yang mempunyai perniagaan hartanah dan perjudian. Tidak diketahui jika beliau warga Singapura atau warga asing yang menetap di sini.Kenderaan yang dinaiki keluarga tersebut dipaksa ke tepi jalan raya oleh sebuah kereta lain di sekitar Permas Jaya - sebuah bandar di bahagian timur JB.Penculik dikatakan telah mengambil alih kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dan membawa mereka ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.Sumber-sumber di ibu, pejabat polis Malaysia di Kuala Lumpur berkata, penculik telah mengirimkan khidmat mesej berbilang media (MMS) yang menunjukkan gambar pistol diacukan ke arah ketiga-tiga mangsa.Mereka menuntut wang tebusan $50 juta.Akhbar The Star melaporkan peniaga tersebut diberi amaran agar tidak memberitahu polis dan membayar wang tebusan jika beliau ingin menemui keluarganya semula.Dipercayai penculik bersetuju mengurangkan wang tebusan kepada $9 juta yang dibayar dalam mata wang Singapura.Peniaga itu telah diarahkan memandu ke sebuah ladang di Kulaijaya untuk meninggalkan wang tersebut. Kulaijaya terletak di bahagian timur Lapangan Terbang Senai di Johor.Menurut sumber, mangsa telah dilepaskan sekurangkurangnya dua hari selepas wang tebusan itu dibayar.Mata dan mulut mangsa ditutup sepanjang beberapa hari mereka berada dalam tahanan penculik.Ketiga-tiga mangsa akhirnya dilepaskan dan ditinggalkan tanpa sebarang kecederaan di sekitar Danga Bay.Jumlah wang tebusan dipercayai yang terbesar pernah dibayar di Malaysia.Cyberita Online Singapura

Katie Holmes saman majalah Star RM152j


2011/03/03

 Katie Holmes
Katie Holmes
Aktres berang dikaitkan penyalahgunaan dadah

LOS ANGELES: Aktres Katie Holmes kelmarin memfailkan saman berjumlah AS$50 juta (RM152 juta) terhadap majalah Star kerana memfitnahnya dengan menyiarkan cerita muka surat depan menuduh dia menagih dadah.
Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles terhadap edisi Januari majalah itu dengan tajuk Mimpi Ngeri Penagih, Katie Penagih Jijik.
Berita didalamnya memuatkan dakwaan isteri Tom Cruise itu terperangkap dalam lingkungan rawatan ketagihan, tetapi tidak membuat tuduhan penggunaan dadah. Namun ia menyatakan aktres itu menjalani sesi kaunseling di Gereja Scientology, mengikut saman itu.
Cruise adalah seorang daripada pengikut fahaman itu di Hollywood.

“Tuduhan jahat yang dibuat majalah Star mengenai Katie tidak benar, tidak bermoral dan melanggar undang-undang,” kata peguam Bert Fields dalam kenyataan.

Holmes, 32, menuntut RM152 juta untuk tuntutan ganti rugi.
Majalah Star, yang diterbitkan oleh American Media Inc yang beribupejabat di Florida adalah anggota kumpulan akhbar mingguan National Enquirer.

Jurucakap untuk American Media berkata, syarikat itu akan melawan saman itu dan peguamnya menunggu peluang untuk mendedahkan pengalaman Holmes dengan Scientology.

Peguam Holmes berkata, aktres itu terpaksa memfailkan saman untuk mempertahankan reputasinya selepas American Media enggan menarik balik penipuan mengenainya.

Perkahwinan Holmes dengan Cruise yang mencecah lima tahun sering menjadi sasaran media berhubung pelbagai spekulasi.

Holmes berkata, berbanding semua cerita yang diadakan-adakan mengenainya, inilah yang paling melampau. – Reuters

Ketua Polis Jayapura letak jawatan kes skandal seks


2011/03/03

PAPUA: Seorang ketua polis Indonesia meletak jawatan selepas dikritik berikutan satu skandal seks membabitkan tiga orang bawahan beliau dan seorang tahanan wanita di wilayah Papua, lapor Jakarta Globe.

Ketua Polis Jayapura, Imam Setiawan memutuskan untuk meletak jawatan berikutan tanggungjawab moral kerana insiden membabitkan tiga pegawai bawahan beliau yang memaksa tahanan wanita terbabit melakukan seks oral terhadap mereka ketika di bawah tahanan mereka.
“Sebagai ketua polis Jayapura, saya memegang tanggungjawab penuh kerana perbuatan tidak bermoral membabitkan tiga orang bawahan terhadap tahanan wanita terbabit,” kata Imam.
“Berikutan insiden yang memalukan ini, Saya sifatkan bahawa diri saya sebagai gagal dalam melaksanakan tugas saya dan saya dengan ini meletak jawatan,” katanya.

Ketua polis Jayapura itu juga memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat kerana tindakan pegawai terbabit. Imam turut menyifatkan pembabitan anggota bawahan beliau itu sebagai satu perkara yang memalukan kepada pasukan polis.

Skandal berkenaan muncul selepas seorang tahanan wanita mendedahkan bahawa tiga anggota polis terbabit memaksa beliau melakukan seks oral terhadap mereka sepanjang tiga bulan ketika beliau ditahan di pusat tahanan Polis Jayapura.

Jakarta Globe melaporkan, tahanan terbabit kemudian dipindahkan ke Penjara Abepura selepas pendedahan beliau pada Februari. Insiden berlaku antara November 2010 dan Januari 2011 selepas beliau ditahan kerana kesalahan judi haram.
Imam dikritik teruk selepas tiga anggota polis terbabit hanya dipenjarakan selama 21 hari dan menerima tindakan pentadbiran. Ketua polis terbabit kecuali seorang saudara mangsa membuat dakwaan, satu hukuman lebih berat boleh dikenakan.

Aktivis hak asasi kemanusiaan berkata bahawa Imam perlu meletak jawatan tetapi tetap dengan arahan untuk memastikan keadilan kepada mangsa sekiranya mahu menyelesaikan skandal berkenaan. – Agensi
Berita Harian Online

10,000 barang tiruan dirampas

SH


JOHOR BAHRU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 10,000 barangan tiruan berjenama bernilai RM100,000 dalam serbuan di sekitar bandar raya ini, malam kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, operasi hampir lapan jam bermula 7.30 malam berakhir jam 3 pagi itu disertai 15 anggotanya menyerbu tiga lokasi sasaran di kawasan Pandan, di sini, selepas menerima aduan awam.

Menurutnya, hasil daripada pemeriksaan dijalankan mendapati pelbagai barangan berjenama tiruan seperti Crocs, Nike dan Adidas disita di bawah Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 untuk siasatan lanjut.

“Satu pemeriksaan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK negeri ke atas tiga target iaitu premis terbuka, premis tetap dan sebuah stor di bangunan sama kerana disyaki menjual serta menyimpan barang tiruan.

“Kesemua barangan disyaki di bawa masuk daripada negara China dan juga diambil dari Kuala Lumpur untuk edaran di sekitar bandar raya ini seperti di pasar malam serta kedai-kedai kecil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 20an dan 30an di lokasi serbuan berbeza untuk diambil keterangan rakaman percakapan bagi siasatan lanjut kes berkenaan.

Selain itu, katanya, tindakan berkenaan berasaskan Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dilancarkan pada 10 Mei tahun lalu.

“Siasatan akan diteruskan dan sekiranya didapati pemilik premis ini melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Warga Indonesia dicekup terlibat kes samun RM80,00

SH



JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis selepas dipercayai menyamun wang tunai berjumlah RM80,000 daripada seorang lelaki tempatan di Masai, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, Khamis lalu, polis berjaya memberkas suspek berusia 36 tahun di sebuah rumah di Jalan Waja Utama, Johor Jaya.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa mengeluarkan wang tunai sebanyak RM83,000 dari sebuah bank di kawasan Masaidisamun tiga lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan parang panjang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Dengan tertangkapnya lelaki tersebut, kami berjaya menjumpai semula wang tunai berjumlah RM74,000, sebuah Proton Waja yang dilaporkan hilang di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan turut merampas dua parang panjang berukuran 14 inci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana menjalankan aktiviti samun berkawan tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dalam kejadian berasingan pada 2.30 petang, 21 Februari lalu, polis berjaya memberkas sepasang suami isteri warga asing bersama empat pekerja Indonesia berusia lingkungan 40-an di sebuah kilang besi buruk di Jalan Kota Tinggi, Kulaijaya.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tiga lori, sebuah komputer dan satu guni berisi biji plastik berwarna putih dan 160 guni kosong.

“Serbuan itu adalah hasil aduan seorang mangsa di sebuah kilang di Pasir Gudang, yang memaklumkan kilangnya disamun empat lelaki warga Indonesia pada 31 Januari lalu.

“Dalam kejadian itu, dua kontena berisi biji plastik bernilai RM300,000 telah disamun,” katanya.

Siasatan awal mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah di bawah Seksyen 379 (A) KK dan turut dikehendaki polis di bawah Seksyen 29 (1) Undang-undang Kesalahan Kecil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

7,757 kes kebakaran 2010

SH


JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mencatatkan sebanyak 7,757 kes kebakaran dan operasi menyelamat sepanjang tahun 2010.

Pengarahnya, Ab Ghani Daud berkata, daripada angka itu, sebanyak 4,471 kes membabitkan kebakaran dan 3,286 bagi kerja-kerja menyelamat khususnya kemalangan jalan raya.

“Nilai kerugian akibat kebakaran yang dilaporkan sepanjang tahun lalu ialah RM110 juta dan berjaya menyelamatkan RM1.1 bilion berbanding tahun 2009 iaitu kerugian akibat kebakaran iaitu RM91 juta, namun nilai yang berjaya diselamatkan hampir sama iaitu 1.15 bilion,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri dan Penyerahan Kenderaan Jabatan Bomba dan Pasukan Bomba Sukarela.

Ab Ghani berkata, jumlah kes keseluruhan yang dilaporkan bagi tahun 2009 iaitu 6,947 iaitu sebanyak 4,336 kes kebakaran dan 2,579 bagi kerja menyelamat.

Katanya, jika dilihat secara perbandingan kes yang dilaporkan bagi tahun 2010 meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu membabitkan peningkatan kes kebakaran sebanyak 135 kes dan operasi menyelamat iaitu sebanyak 707 kes.

Akibat tidak guna jejantas

SH


JOHOR BAHRU – Gara-gara tidak menggunakan jejantas, seorang peniaga kuil maut apabila dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di kilometer 10.8 Jalan Ayer Hitam-Johor Bahru, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Vimala Devi, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas dirempuh sebuah kenderaan menghala ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba untuk menyeberang jalan menghala ke arah kuil berdekatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa yang berusia 52 tahun menunggang motosikal bersendirian sebelum terbabit dengan kemalangan itu.

“Berdasarkan siasatan awal, kami percaya mangsa tidak menggunakan jejantas ketika melintas jalan, kenderaan yang merempuh mangsa dipercayai melarikan diri.

“Saya ingin nasihatkan kepada orang ramai supaya menggunakan jejantas ketika melintas jalan dan sentiasa berwaspada untuk menjamin keselamatan masing-masing,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Cerek berisi batu jadi pemberat

SH


KULIM – Seorang warga emas, Loo Mou Sun, 64, yang tinggal bersendirian di Taman Angsana ditemui mati tergantung di rumahnya dekat sini, kelmarin.

Menurut jurucakap polis, mangsa bekerja sebagai tukang paip dan tinggal di rumah itu sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, mangsa adalah seorang pendiam dan jarang bergaul dengan jiran tetangga.

Jurucakap polis berkenaan berkata, sejak beberapa hari lalu, mangsa langsung tidak kelihatan sehinggalah salah seorang jiran yang tinggal bersebelahan rumahnya terhidu bau busuk lalu menghubungi polis.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap rumah mangsa dan menemui mayatnya tergantung dalam keadaan busuk dan reput.

“Mayat mangsa ditemui tergantung di siling. Matanya ditutup dengan kain manakala lehernya terjerut dengan tali nilon berhampiran ruang dapur kira-kira jam 9.30 pagi oleh anggota polis dari Unit MPV Balai Polis Kulim. Mangsa dikatakan mati tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang reput dan busuk. Polis mengambil masa hampir sejam untuk menurunkan mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, dari siasatan awal dijalankan, polis mendapati cerek air yang di dalamnya diletakkan batu dijadikan pemberat dan diikat di leher mangsa.

Jurucakap berkenaan memaklumkan, anak lelaki mangsa yang datang ke bilik mayat Hospital Kulim berkata, sejak beberapa hari lalu, mangsa sering mengadu berasa sunyi dan terlalu merindui mendiang isterinya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Mangsa sudah memaklumkan dia tidak mahu lagi tinggal di rumah itu dan menyatakan hasrat kepada anaknya untuk berpindah.

“Anak mangsa ketika ditemui di bilik mayat berkata, dia berhasrat untuk membawa bapanya pindah dari rumah itu. Dia terkejut apabila dimaklumkan oleh polis bahawa bapanya sudah meninggal dunia. Dia yang sedih dengan kejadian berlaku dan meminta polis mengagihkan barangan milik mendiang bapanya kepada fakir miskin yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, keputusan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa mendapati punca kematiannya adalah akibat terjerut dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Lelaki mualaf larikan kereta peniaga

SH


SEREMBAN – Seorang peniaga mengalami kerugian hampir RM18,000 berikutan kereta Proton Kancil dengan nombor pendaftaran NBK350 miliknya, dibawa lari seorang lelaki mualaf.

Mangsa, Fatimah Don, 56, mendakwa lelaki dikenali sebagai Tommy, 27, adalah kenalan rakannya.

Menurutnya, dalam kejadian 23 Februari lalu, kira-kira jam 8 pagi, dia didatangi lelaki terbabit yang mahu meminjam kereta untuk mengambil adiknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

“Saya bagaimanapun enggan meminjamkan kereta kerana mahu menggunakannya untuk membeli barangan keperluan dapur di pasar.

“Secara tiba-tiba, lelaki terbabit bertindak kasar dan cuba menumbuk muka saya, sebelum merampas kunci kereta, lalu melarikannya,” katanya.

Fatimah yang menetap di Rumah Pangsa Perdana Paroi berkata, dia menghubungi telefon bimbit lelaki berkenaan dan dimaklumkan dia berada di KLIA.

“Pada hari sama, saya mendesaknya supaya memulangkan segera kenderaan berkenaan tetapi tidak diendahkan sebelum dia terus mematikan telefon bimbitnya dan kemudiannya gagal dihubungi,” katanya.

Berikutan itu, mangsa bertindak membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, dia bukan sahaja bimbang dengan keadaan kereta miliknya, malah khuatir jika digunakan bagi tujuan jenayah.

“Sebelum ini lelaki terbabit pernah terlibat dalam kes curi kenderaan dan melarikan wang majikannya di Johor Bahru tetapi tidak menyangka kejadian ini berlaku kepada saya.

“Saya berharap, sesiapa yang menjumpai kereta berkenaan, dapat segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Maut kereta terbabas

SH


TEHEL - Seorang lelaki berbangsa Nepal, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Tehel Baru, Tehel-Melaka, di sini, kira-kira jam 9.30 malam, semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan tiga lagi penumpang kenderaan berkenaan cedera parah termasuk seorang kanak-kanak.

Mangsa, Devendra Pun, 26, yang menetap di Taman Seri Duyong dikatakan tercampak keluar daripada kereta.

Devendra yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kereta jenis Proton Iswara itu dipercayai dipandu laju dari arah Melaka menghala ke Kampung Tehel, Bemban.

“Kenderaan terbabas ke kiri jalan menghala ke Kampung Tehel dan melanggar pokok getah me-nyebabkannya berpusing serta terbalik beberapa kali.

“Sementara tiga lagi penumpang belum dikenal pasti dokumen pengenalan diri dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Sementara mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

“Jangan sorok anak saya”

SH


AYER KEROH - “Keluarkan keempat-empat anak saya dan jangan sorok kerana saya ibu mereka, jangan buat saya macam ini,” rayu seorang ibu terhadap bekas suaminya setelah didapati mengambil kesemua anak mereka daripada jagaan ibunya di kampung Bukit Duyong, Melaka pada 2 Februari ketika cuti sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Anita Abdul Latif, 40, berkata, insiden itu berlaku lapan hari sebelum dia mendapat perintah untuk hak penjagaan sementara kepada empat anaknya oleh hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada 10 Februari lalu.

Menurutnya, ketika kes itu disebut, bekas suaminya tidak hadir ke mahkamah bagi menyebut kes hak penjagaan anaknya, iaitu Muhammad Amirul, 14, Nur Suzerain, 13, Muhammad Amiruddin, 11 dan Nur Jannah, 4.

Katanya, hatinya bertambah risau apabila tiga hari selepas itu ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas suami yang menyatakan dia enggan memulangkan keempat-empat anaknya.

“Pada awalnya bekas suami mengambil anak yang ketika itu bersama bapa mentua atas alasan bercuti di rumah mereka di Batu Caves, Selangor.

“Berikutan itu, saya terus ke rumah mertua dengan niat mahu mengambil semua kesemua anak saya tetapi malangnya mereka enggan memberikan kerjasama, malah sewaktu dalam perjalanan pulang ke Melaka saya terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui semasa membuat aduan mengenai masalah itu kepada Pembela BN negeri Melaka, kelmarin.

Anita berkata, tujuan dia mahu mengambil kesemua anaknya berikutan dia tahu bekas suaminya tidak mampu menanggung mereka, malah tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak hampir 15 tahun lalu.

“Lagipun kesemua anak saya sudah didaftarkan sekolah di sini (Melaka) atas nama saya, malangnya kini sudah sebulan mereka tidak hadir ke sekolah.

“Yang merisaukan saya, pihak sekolah juga sudah pun menghantar surat amaran berikutan ketidakhadiran anak saya ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, ibunya yang berusia 67 tahun kini begitu tertekan kerana amat bimbangkan masa depan cucunya.

“Saya hairan mengapa keluarga mentua tidak bimbang mengenai masalah yang berlaku, sedangkan saya ibunya, hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya.

“Saya merayu supaya bekas suami dapat memulangkan semua anak saya lebih-lebih lagi mereka tidak pernah berenggang dengan saya sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela Barisan Nasional (BN), Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya sudahpun menghubungi salah seorang daripada keluarga bekas suami berkenaan tetapi malangnya mereka enggan memberikan kerjasama.

Menurutnya, beliau hanya mendapat penjelasan bahawa mereka tidak mahu mencampuri masalah rumah tangga pasangan berkenaan.

“Pembela BN akan melakukan susulan berhubung kes ini sehingga berjaya mendapat maklumat terkini di mana kesemua anak-anak wanita terbabit berada.

“Pihak Pembela akan mengambil tindakan dengan menyalurkan maklumat kanak-kanak ini kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengesan di mana mereka bersekolah pada masa kini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan merayu kepada bapa kanak-kanak berkenaan agar dapat memulangkan segera ke pangkuan ibunya sehinggalah perkara itu dapat diselesaikan secara berhemah mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

Cabul rakan sekolah

SH


AYER KEROH - Tiga pelajar dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana mencabul rakan sekolah mereka, minggu lalu.

Dua daripada tiga tertuduh berumur 17 tahun dan seorang lagi 16 tahun, mengaku bersalah selepas faham pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga pesalah juvana itu didapati menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul seorang pelajar perempuan berumur 13 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Daerah Melaka Tengah kira-kira jam 2.30 petang pada 22 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pegawai Pendakwa, Zaini A Aziz ketika pendakwaan menawarkan kepada mahkamah jaminan RM2,500 terhadap setiap tertuduh.

Majistret Aishah Hijriah Arshad yang membenarkan jaminan RM2,300 kemudian turut menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan untuk mendengar laporan akhlak sebelum dijatuhkan hukuman.

Didakwa miliki daun ketum

SH


KUANTAN – Seorang bapa bersama anak lelakinya yang baru berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan memiliki daun ketum (Mitrasynine) ketika berada di Jalan Pintasan Kuantan di sini, 28 Februari lalu.

Tertuduh, 38, dari Felda Panching Timur dan anak lelakinya bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin itu.

Ekoran pengakuan tidak bersalah mereka, mahkamah membenarkan tertuduh pertama dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 manakala anaknya RM400 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut semula 4 April depan bagi sebutan laporan kimia dalam mahkamah yang sama.

Dua beranak itu ditahan polis kira-kira jam 12.15 pagi, penghujung Februari lalu ketika berada di Jalan Pintasan Kuantan di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah beg pakaian berwarna hitam dan satu guni baja berisi daun ketum yang mengandungi bahan Mitrasynine.

Bahan tersebut tersenarai dalam jadual pertama dan ketiga (Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.

Perbuatan dua beranak itu memiliki bahan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi empat tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.

Belasah tanpa sebab

SH


BANDAR BERA - Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, mendakwa dibelasah guru sendiri di tengah padang sekolah tanpa sebab munasabah.

Tuan Abdul Muizz Tuan Din, 16, berkata, guru terbabit bertindak memanggilnya ke padang sekolah lalu menampar, menumbuk dan menendangnya beberapa kali sebelum ditarik seorang guru lain bagi menenangkan keadaan.

Menurutnya, guru berkenaan juga memberi amaran dan turut memarahinya dengan mengatakan dia seorang ‘gangster’ di sekolah, selain mengajaknya bergaduh di tempat lain.

“Saya pun tidak faham kenapa cikgu tersebut tiba-tiba memarahi saya dan membelasah saya di depan kawan-kawan, sedangkan saya tidak berbuat salah apa-apa pun.

“Saya malu diperlakukan begitu di depan kawan-kawan kerana saya tidak bersalah. Selain malu, sakit satu badan saya akibat ditumbuk cikgu berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Abdul Muizz berkata, sebelum kejadian, dia ada bergurau dengan pelajar tingkatan lima, tetapi tidak melibatkan apa-apa pergaduhan.

“Sebelum ini saya tidak mempunyai apa-apa kesalahan di sekolah. Rekod saya pun elok, tetapi kejadian itu menjadikan saya seolah-olah trauma.

“Mujur ada cikgu lain menarik saya daripada terus dibelasah cikgu itu, jika tidak, saya pun tidak dapat bayangkan akibatnya,” katanya.

Kakak mangsa, Tuan Rohanita Tuan Din, 31, berkata, dia kecewa dan terkilan dengan sikap guru berkenaan yang bertindak di luar kawalan serta melanggar etika perguruan.

“Sebagai guru, dia tidak boleh melakukan hal tersebut kepada pelajarnya. Bertindak membelasah pelajar di khalayak ramai jelas menunjukkan di bukan seorang pendidik yang baik, malah memberikan imej tidak baik terhadap profesionnya sebagai guru,” katanya.

Sejurus kejadian tersebut, dia bertindak menghantar adiknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan berdasarkan laporan daripada doktor, tisu di bahagian perut adiknya terkoyak, selain tulang belakangnya bengkak.

“Saya harap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada mana-mana pelajar lain kerana sebagai ahli keluarga, saya memang sedih dan kecewa dengan tindakan guru terbabit.

“Adik saya turut melaporkan perkara tersebut di Balai Polis Bandar 32,” katanya

Ibu pelajar terbabit, Sapiah Ahmad, 52, berkata, dia sedih apabila anak bongsu daripada enam beradik itu diperlakukan sedemikian rupa.

“Saya pun tidak pernah pukul anak saya, nak jentik sekalipun saya tidak reda, inikan pula memukul dia tanpa usul periksa.

“Kalau betul anak saya bersalah, saya tidak kisah, tetapi apa salah anak saya ini sehingga cikgu berani membuat tindakan tersebut,” katanya.

Suaminya, Tuan Din Tuan Ismail, 52, turut melahirkan rasa terkilan apabila guru terbabit tidak meminta maaf kepada keluarganya.

“Saya tiap-tiap hari pergi ke sekolah itu menghantar barang ke kantin, tetapi cikgu itu tidak pernah datang jumpa saya dan meminta maaf terhadap kesalahannya itu.

“Ini membuatkan saya rasa kecil hati dan sedih kerana sudahlah dia buat sedemikian kepada anak saya, tetapi tidak datang minta maaf,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap guru berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya bagi menghalang kejadian seumpama itu berulang.

Misteri kehilangan buruh binaan terjawab

SH


KUALA NERUS- Misteri kehilangan seorang buruh binaan Indonesia selama dua hari terjawab setelah dia ditemui dalam keadaan terlentang di gigi air muka kuala pantai Tanjung Gelam, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian itu ditemui rakan sekerja yang sama-sama mencarinya kerana bimbangkan keselamatan mangsa yang tidak pulang selepas keluar memancing dua hari lalu.

Salah seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali Sugiono, 40, dari Madura, Jawa Timur berkata, mangsa, Mohd Salleh, 27, juga dari Madura, Jawa Timur keluar seorang diri pada 28 Febuari kira-kira jam 10 malam dan tidak pulang sehingga semalam.

“Pada awalnya kami tidak menyangka perkara buruk berlaku kerana yakin, mungkin dia pergi ke rumah kongsi rakannya yang berhampiran tetapi selepas dua hari dia hilang dan langsung tidak nampak kelibatnya di tapak projek, maka, kami merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Jadi, hari ini kami sepakat mencarinya beramai-ramai dan amat terkejut setelah ternampak mayat mangsa terapung di gigi air muka kuala dengan mulut berdarah dan keadaannya memang begitu menyayat hati,” katanya.

Menurut Sugiono, mangsa baru sahaja bekerja di tapak pembinaan projek di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam tempoh tidak sampai setahun dan sentiasa keluar memancing seorang diri kerana difahamkan dia memang minat memancing.

Namun, katanya, mereka sepakat akan membuat laporan polis seandainya usaha mencari mangsa gagal semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan penemuan mayat tersebut dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati kerana lemas.

Parah dirempuh lori

SH


BUKIT PAYONG - Seorang pekerja yang menjalankan kerja-kerja mengukur jalan parah setelah dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 15.5 Jalan Kuala Berang ke Kuala Terengganu di Padang Mengkuang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Mohd Rafi Endut, 27, yang beralamat dari Kuala Pueh dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu berada di kiri jalan sebelum dirempuh dengan kuat sebuah lori dari arah Kuala Berang ke Kuala Terengganu.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala manakala pemandu lori terbabit kemudiannya terbabas lalu melanggar tiang dan terbalik di kiri jalan.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu manakala pemandu lori tersebut difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Rakan sekerja mangsa yang ditemui di tempat kejadian, Amir Nizam Zaid, 23, berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mendengar dentuman kuat sebelum melihat mangsa terbaring kira-kira 10 meter dari tempat mereka bekerja.

“Ketika kejadian saya sedang menyusun kon di kiri dan kanan jalan manakala empat lagi pekerja termasuk mangsa berada berdekatan.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas, selepas dentuman kuat kedengaran saya berpaling ke arah rakan.

“Mereka tergamam apabila melihat salah seorang daripada kami iaitu mangsa sudah terbaring di kiri jalan dalam keadaan muka yang berlumuran darah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Amir berkata, mereka kesal dengan sikap pemandu terbabit kerana tidak berhati-hati ketika melalui jalan itu kerana kon keselamatan telah diletakkan sebagai peringatan selain setiap pekerja yang terlibat telah memakai jaket keselamatan.

Sementara itu, jurucakap pihak HSNZ ketika dihubungi memberitahu mangsa mengalami patah rahang selain luka-luka di bahagian muka dan badan akibat rempuhan tersebut.

Ketika dihubungi pada jam 5 petang semalam, beliau memaklumkan keadaan mangsa stabil dan dipindahkan ke wad biasa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya setelah dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan tersebut.

Wanita lewat 40-an ditahan

SH


FELDA KERTEH 5 – Seorang wanita sanggup mencari duit haram dengan menjadikan rumah peneroka milik suaminya sebagai port untuk membungkus ketum sebelum diedarkan kepada penagih sekitar.

Lebih mendukacitakan, wanita lewat 40-an yang juga isteri kepada bekas banduan itu turut menjadikan beberapa ahli keluarganya yang lain termasuk anak lelakinya sebagai tali barut perbuatan tidak bermoral itu.

Biarpun beberapa kali pernah diserbu polis, namun aktiviti haram itu tetap dilakukan. Malah, dia turut bersekongkol dengan anak lelakinya yang menjadikan bilik tidur utama sebagai tempat untuk memadu asmara bersama teman wanita yang berstatus janda anak satu.

Segala rahsia terbabit berjaya dibongkar hasil serbuan sepasukan polis diketuai Sub Inspektor Ismail Omar di sebuah rumah peneroka dekat sini kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut pula, 87 plastik berisi ketum ditemui di rumah terbabit. Manakala seorang remaja lelaki 20-an difahamkan anak kepada wanita lewat 40-an yang berstatus teruna itu bersama teman wanitanya difahamkan berstatus janda turut dicekup ketika berada dalam satu selimut di dalam bilik di rumah itu.

Hasil ujian air kencing mendapati pasangan terbabit positif dadah jenis Methapethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain dikaitkan dengan kesalahan khalwat. Manakala isteri peneroka bersama seorang anak saudara dan seorang lagi yang ditahan dalam serbuan tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit.

Pati terjun laut elak diberkas

SH


GONG KEDAK - Semata-mata ingin mengelak diberkas pihak berkuasa, seorang pendatang tanpa izin (Pati) lelaki sanggup terjun ke laut walaupun tindakan itu menyebabkan dia nyaris lemas.

Dalam operasi membabitkan Jabatan Imigresen bersama anggota Rela di kampung Pantai Kuala Besut, kelmarin, seorang buruh bangunan warganegara Indonesia berenang ke arah laut untuk memboloskan diri bersama rakannya.

Bagaimanapun tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menyelamatkan lelaki berusia 30-an itu bersama rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak projek Rumah Pangsa Kuala Besut di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Vikneswaran berkata, lelaki itu salah seorang daripada 43 Pati yang ditahan dalam operasi sehari di sekitar daerah ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan lima wanita Indonesia serta 14 Bangladesh yang berumur antara 20 hingga 56 tahun.

“Antara kesalahan warga asing itu termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan,” katanya dalam operasi yang membabitkan seramai 35 kakitangan termasuk 20 anggota Rela.

Vikneswaran berkata, operasi dijalankan di lima lokasi yang telah dikenal pasti lebih awal antaranya tapak projek pembinaan rumah teres di Kampung Lay Out Padang Luas, projek rumah pangsa Kuala Besut dan tapak projek dua sekolah.

Menurutnya, ada juga Pati yang menyorok di dalam tangki air di atas siling rumah yang sedang dibina untuk mengelak ditahan, tetapi taktik mereka tidak berjaya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada majikan yang berdegil kerana masih menggaji Pati, walaupun telah dikenakan tindakan sebelum ini.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa di Malaysia.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan terutama pengusaha premis makanan agar tidak menggaji Pati terutama dari Thailand kerana tindakan tegas akan dikenakan.

“Mana-mana restoran atau kedai makan yang menggaji pekerja asing bawah umur pula khususnya wanita dari Thailand boleh didakwa di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007,” katanya.

Diberkas ketika nyenyak tidur

SH


KUALA TERENGGANU - Mengundang padah! Tindakan berani dua beradik membeli sebuah motosikal Ex-5 curi bernilai RM450 daripada kumpulan samseng jalanan membawa padah setelah diberkas oleh polis ketika sedang nyenyak tidur di kediaman mereka di kampung Pulau Duyong Kecil awal pagi, semalam.

Dua beradik itu yang masing-masing berumur 20 dan 24 tahun ditangkap polis dalam operasi khas “Lenjang” hasil maklumat risikan selama dua minggu oleh Pegawai Kanan Polis Unit Risikan Jenayah Bahagian (D4) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Husaini Amir Mohd Noor.

Turut ditemui di kediaman dua beradik itu satu set enjin motosikal jenis Ex-5 yang diubahsuai, kulit enjin serta beberapa komponen lain yang disorokkan di dalam plastik sampah berwarna hitam di bahagian bilik stor kediaman mereka.

Siasatan awal polis mendapati motosikal curi itu dibeli oleh adiknya, 20 yang juga seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Jurusan Diploma Elektrik dengan menggunakan duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Manakala abangnya pula yang bekerja sebagai pengawal keselamatan perumahan berperanan meleraikan bahagian komponen enjin tersebut.

Selain itu, kedua-dua mereka turut mengaku bertindak mengetuk dan mengubah suai nombor pendaftaran enjin agar tidak dikesan dan mencampak rangka motosikal tersebut ke dalam sungai berhampiran kediaman mereka.

Kedua-dua beradik ini kini ditahan di lokap Balai Polis daerah Kuala Terengganu di bawah Seksyen 291 Kanun Keseksaan.

Ibu lapan anak bakal ke tali gantung

SH


KUALA TERENGGANU- Ibu kepada lapan anak bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan mengedar dadah jenis Heroin pada 3 Ogos 2009 terhadapnya mempunyai prima facie di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Sejurus mendengar penghujahan pihak pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Zalina Awang@ Mamat, hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan 9 Mac ini untuk memberi peluang tertuduh, Mariah Hamad, 53, membela diri.

Tertuduh berasal dari Rantau Panjang, Kelantan yang diwakili peguam bela Tara Singh Delip kelihatan tenang selepas mendengar keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, ahli keluarga tertuduh yang turut hadir mendengar perbicaraan itu tidak dapat menahan sebak sejurus keputusan dibacakan oleh hakim.

Sebelum ini, Mariah dituduh mengedar dadah berbahaya jenis Heroin seberat 92.68 gram pada 3 Ogos 2009 kira-kira jam 3.45 petang di pekarangan Masjid Padang Nanas, Mengabang Telipot, Batu Rakit.

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.

‘Ulat’ cari mangsa

KUALA LUMPUR: Walaupun pengusaha syarikat bas ekspres akur dengan keputusan kerajaan bahawa semua perjalanan ke selatan perlu beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) mulai kelmarin, tidak bermakna terminal sementara di Bukit Jalil, di sini, kosong.
Tinjauan Harian Metro ke terminal sementara itu, semalam mendapati masih terdapat beberapa operator bas beroperasi dengan bas ekspres syarikat masing-masing keluar masuk mengikut jadual ditetapkan dan kaunter jualan tiket dibuka seperti biasa. Namun, kadar penumpang memperlihatkan penyusutan ketara apabila kebanyakan mereka yang berada di situ rata-rata menunggu bas ekspres untuk perjalanan ke utara, bukan lagi selatan.

Kekurangan pengunjung juga menyebabkan beberapa peniaga gerai merungut, selain ulat tiket yang masih berani berlegar-legar di luar terminal buntu mencari ‘mangsa’. Dalam keadaan mendesak itu, seorang peraih tiket tiba-tiba bersuara memberitahu mempunyai bas ekspres untuk perjalanan ke Johor Bahru dan akan bergerak serta-merta.

Wartawan yang menyamar jadi pembeli menunjukkan minat, namun kemudiannya diberitahu destinasi Johor hanya mempunyai satu perjalanan saja dan tiket tidak boleh dibeli untuk perjalanan hari berikutnya.

Bagi mendapatkan kepastian, kami berjumpa seorang penjual tiket daripada sebuah syarikat bas yang menjelaskan hanya syarikatnya saja yang masih beroperasi di terminal terbabit berikutan tidak mempunyai kemudahan tiket elektronik di TBS-BTS.


“Memang semua syarikat bas yang lain sudah beroperasi di terminal baru, cuma kami saja satu-satunya bas ekspres yang mengambil penumpang di sini dan perjalanan ke Johor Bahru hanya disediakan pada jam 12.30 tengah hari saja.
“Disebabkan syarikat ini saja yang beroperasi, maka kami tak risau mengenai penumpang kerana ada juga orang yang ambil bas dari sini, memang boleh penuh tempat duduk,” katanya.myMetro | ‘Ulat’ cari mangsa

Jumpa mayat terapung

KUALA LUMPUR: “Mulanya saya menyangka objek yang terapung di dalam sungai adalah mayat bayi selepas ternampak bentuknya seakan-akan kepala hanyut,” kata pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Zaini Che Soh, 47, saksi penemuan mayat terapung di Sungai Klang, berhampiran Pasar Seni, di sini, semalam.
Katanya, ketika kejadian dia sedang membuat rondaan di hadapan Pasar Seni sebelum dimaklumkan orang ramai mengenai penemuan objek terapung itu.

“Apabila diamati benda terapung itu, saya ingatkan kepala bayi. Saya kemudian memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan, dia mendapati objek berkenaan sudah dihanyutkan ke bawah jambatan berdekatan stesen bas Klang menyebabkan anggota polis terbabit bergegas ke lokasi itu.

Seorang lagi saksi enggan dikenali berkata, selepas ternampak mayat hanyut itu, dia mengikut ke mana arah dihanyutkan sebelum tiba di bawah jambatan berdekatan stesen bas Klang.


Katanya, dua penghuni bawah jambatan kebetulan berada di tempat kejadian kemudian terjun ke dalam sungai menarik mayat itu.

“Mereka kemudian mengikat mayat berkenaan di tebing sungai bagi mengelak dihanyutkan sementara menunggu pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, mayat dikenal pasti seorang lelaki Afrika berusia 30-an, tetapi tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersamanya.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
myMetro | Jumpa mayat terapung

Rebah badan elak ditembak

;KUALA LUMPUR: Tindakan pantas tiga anggota polis bertindak merebahkan badan berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan seorang lelaki di Jalan Rimbunan Raya, Taman Rimbunan, Kepong, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, ketiga-tiga anggota polis bahagian rondaan terbabit dilaporkan cuba menahan suspek berusia 30-an selepas mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan berkenaan adalah kereta curi.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, selepas menunggu kira-kira 30 minit di kawasan berkenaan, ketiga-tiga anggota polis terbabit melihat seorang lelaki menghampiri kenderaan itu.

“Dua daripada anggota polis itu segera menghampiri suspek untuk melakukan pemeriksaan. Namun, suspek bertindak agresif sebelum menyerang anggota polis itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Ketika bergelut, suspek bertindak mengeluarkan sejenis pistol jenis revolver sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka,” katanya.


Menurutnya, tindakan pantas dua anggota polis itu merebahkan badan sebelum bertindak membalas tembakan berjaya menyelamatkan nyawa mereka.

“Selepas beberapa minit berbalas tembakan, suspek berjaya masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.

Zainuddin berkata, gerakan memburu suspek segera dilakukan dan hasilnya kereta terbabit ditinggalkan di lorong kira-kira satu kilometer dari kawasan berkenaan.
myMetro

Remaja demam dicabul rakan

HULU SELANGOR: Seorang remaja yang bercuti sakit dicabul dua lelaki yang juga rakan sekerjanya selepas mereka masuk ke rumah remaja itu kononnya mahu menonton televisyen.
Difahamkan, remaja berusia 17 tahun yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Genting Highlands, di sini, demam sebelum berjumpa doktor dan mendapat cuti sakit.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal berseorangan di rumahnya kemudian dikunjungi seorang suspek yang memberi alasan mahu menonton televisyen, pada 23 Februari lalu. “Ketika mangsa sedang tidur di dalam biliknya kira-kira jam 2 pagi itu, suspek yang berusia 30 tahun memasuki bilik mangsa dan mencium lehernya.

“Suspek bertindak meninggalkan gigitan cinta pada leher mangsa dan memegang kemaluan mangsa namun sempat ditepis mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, dua hari kemudian kira-kira jam 11 malam, seorang lagi rakan suspek datang ke rumah mangsa dengan alasan yang sama.


Sumber berkata, suspek berusia 19 tahun itu kemudian bertindak memasuki bilik mangsa dan memberi alasan kononnya mahu membantu memicit kepala dan mengurut mangsa yang sedang sakit.

“Lelaki miang itu bertindak mencabul mangsa dengan memegang payudara dan kemaluan mangsa serta mencium lehernya.

“Mangsa yang sedang demam tidak berdaya untuk melawan dan hanya mampu memarahi suspek. Selepas itu, mangsa tertidur dan hanya tersedar keesokannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan mengambil keputusan tinggal di rumah abangnya, namun abang mangsa yang menyedari adik perempuannya mengalami kemurungan bertanyakan apa yang berlaku.

Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis.
myMetro | Remaja demam dicabul rakan

DBKL roboh 19 premis pelacuran

KUALA LUMPUR: Lebih sembilan premis pelacuran di Jalan Brickfields dan Jalan Petaling dirobohkan penguat kuasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (JKP DBKL) dalam satu Operasi Bersepadu Rumah Pelacuran di sini, semalam.
Operasi yang bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu disertai 120 anggota penguat kuasa DBKL termasuk beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kakitangan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Jabatan Pendaftaran Negara WPKL, Jabatan Agama Islam WPKL, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air (Syabas).

Dalam serbuan semalam enam pelacur dan dua ‘bapa ayam’ dicekup di sebuah premis di Jalan Petaling ketika sedang melakukan aktiviti seks sebelum semua mereka diserahkan kepada pihak polis manakala pelanggannya melarikan diri.

Penguasa JKP DBKL, Minhat Ahmad, berkata dalam operasi terbabit pihaknya mengenalpasti lapan premis aktif menjalankan kegiatan pelacuran manakala sebuah premis menutup operasi.

Katanya, daripada lapan premis itu pihaknya merobohkan 185 bilik yang digunakan untuk aktiviti pelacuran yang mana jumlahnya menunjukkan kadar penurunan.


Sementara itu seorang wanita layak digelar nenek masih menjalankan kegiatan pelacuran walaupun sudah 15 kali ditahan dan merengkok dalam lokap.

Sumber polis berkata, dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, polis menahan wanita berusia 55 tahun sedang berlegar-legar di sekitar hotel sambil menegur lelaki yang lalu-lalang dengan menawarkan khidmat seks.myMetro

Dua lelaki diburu

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penculikan isteri, anak dan pembantu rumah seorang ahli perniagaan warga Singapura di negeri ini, baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkaitan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

“Polis sudah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes ini dan dua lelaki tempatan yang dikesan itu mampu mempercepatkan siasatan kes.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua individu terbabit diminta menghubungi talian 07-2212999 atau datang ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, di sini, semalam.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui di mana kedua-dua lelaki terbabit berada supaya menghubungi polis dengan segera.


“Mungkin orang ramai ada melihat atau mengetahui di mana kedua-dua lelaki ini tinggal supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Individu diburu itu dikenali sebagai Sam Meng Yeoh @ Ah Sam, 30, beralamat terakhir di Nombor 01-02, Blok 17, Bandar Selesa Jaya, Skudai dan Liew Chee Wei @ William, 30, beralamat akhir di Nombor 9, Api-Api 8, Taman Megah Ria dan 18-9-2, Pangsapuri Sri Jinjang, Jalan 19/32, Kuala Lumpur. Ditanya perkembangan terkini kes penculikan itu, beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penculik meminta wang tebusan RM115 juta daripada ahli perniagaan berkenaan sebagai syarat membebaskan ketiga-tiga mangsa.

Ahli perniagaan terbabit membayar RM20.7 juta sebelum ketiga-tiga mangsa dibebaskan beberapa hari selepas wang tebusan diperoleh. Mangsa dipercayai diculik ketika menaiki sebuah kenderaan di Permas Jaya.myMetro

Bekas banduan warga Singapura dalang samun kargo

JOHOR BAHRU: Seorang bekas banduan warga Singapura yang mengusahakan kilang barangan lusuh di Jalan Kota Tinggi-Kulai di sini, diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun kargo dan curi kenderaan sejak hujung tahun lalu.
Turut ditahan isteri suspek, wanita warga China serta empat pekerja mereka warga Indonesia.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek dipercayai mengarahkan empat pekerjanya itu menceroboh sebuah kilang di Pasir Gudang kira-kira jam 3.45 pagi, 31 Januari lalu.

“Kegiatan itu dibongkar selepas pengurusan kilang berkenaan membuat laporan polis berkaitan kejadian itu dan siasatan polis berjaya mengesan dalang sebenar.

“Berikutan itu, kira-kira jam 2.30 petang, 21 Februari lalu, polis menyerbu kilang barangan lusuh di Jalan Kota Tinggi-Kulai dan menahan semua enam suspek terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.


Beliau berkata, keenam-enam suspek berusia 20-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan di kilang berkenaan menemui dua lori jenis Daihatsu Delta dan kepala lori jenis Scania dilaporkan hilang di Desa Cemerlang dan Air Hitam.

“Polis turut menemui beg mengandungi plastik putih serta 160 guni kosong bertulis nama sebuah syarikat dipercayai dilarikan dari kilang syarikat itu di Pasir Gudang.

“Turut dirampas satu set komputer dipercayai menyimpan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kilang berkenaan untuk penelitian dan membantu siasatan,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek utama itu mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta satu rekod dikehendaki mengikut Seksyen 29(1) Undang-Undang Kesalahan Kecil (UKK).


Beliau berkata, berikutan penahanan suspek, polis percaya mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya satu kes samun dan dua kes curi kenderaan sekitar Seri Alam selain satu kes samun di Batu Pahat.
myMetro | Bekas banduan warga Singapura dalang samun kargo

Kereta terbang rempuh pokok

JASIN: Seorang lelaki terbunuh manakala tiga penumpang lain termasuk seorang kanak-kanak cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit nahas di Jalan Tehel Baru-Melaka, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Tiga penumpang kereta Proton Iswara itu termasuk pemandu yang belum diketahui identitinya cedera parah selepas kenderaan berkenaan terbabas di kiri jalan dan ‘terbang’ kira-kira 20 meter dari jalan utama serta merempuh pokok getah dan berpusing sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata mangsa yang maut adalah warga Nepal dikenali sebagai Devendra Pun berusia 26 tahun serta menetap di Taman Seri Duyong, dekat sini.

“Mangsa tercampak keluar dari kereta yang dinaiki bersama tiga penumpang lain parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.


Beliau berkata, siasatan mendapati kereta terbabit dipercayai dari arah Melaka menghala ke Kampung Tehel, Bemban dan dipandu laju sebelum terbabas ke kiri jalan. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat manakala tiga lagi penumpang yang belum dikenal pasti dihantar menjalani rawatan lanjut di Hospital Melaka,” katanya.

Sementara itu, sumber Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memberitahu mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan parah di bahagian paha kirinya yang koyak selain kedua-dua kakinya patah.myMetro