Search This Blog

Tuesday, March 1, 2011

16 terbunuh kabel eletrik terhempas ketika karnival Brazil

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

01/03/2011 2:54pm

RIO DE JANEIRO 1 Mac - Kabel elektrik berkuasa tinggi terhempas di atas sebuah kereta berhias mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang yang terlibat dalam perarakan sempena Karnival Brazil di sini, hari ini.

Kabel elektrik yang mengalami litar pintas itu terhempas menyebabkan beberapa kematian serta kecederaan di bandar Bandeiro Do Sul di tenggara Minas Gerais.

Ia merupakan kemalangan besar yang kedua terjadi di perarakan jalanan tahun ini apabila seorang wanita terjatuh dari sebuah kereta berhias ketika menjalani latihan tarian di sana bulan lalu. - AFP"

Miliki heroin, pembantu kedai dipenjara 7 tahun, 10 sebatan



01/03/2011 4:41pm

KOTA BHARU 1 Mac - Seorang pembantu kedai runcit, Sahidan Mat Zain, 31, dipenjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis heroin pada tahun lalu.
Bagaimanapun dua sahabatnya, bernasib baik apabila dibebaskan oleh Hakim Zainal L. Salleh selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan ke atas mereka.
Zainal memerintahkan hukuman tersebut berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Disember 2010, manakala tertuduh pertama, Mohd. Zoriff Mat Zain, 26, dan tertuduh ketiga, Wan Mohd. Shahriel Wan Mohd. Noor, 25, dibebaskan. - Utusan
Utusan Malaysia Online - Terkini

Penyokong Gaddafi serang kedudukan penentang





2011/03/01

TRIPOLI: Tekanan antarabangsa terhadap Muammar Gaddafi untuk menamatkan tindakan terhadap penentangnya meningkat ketika penyokongnya melawan mereka yang menguasai dua bandaraya berhampiran ibu negara manakala pesawatnya membedil depoh senjata di kawasan timur.

Amerika Syarikat (AS) menggerakkan tentera laut dan udara hampir kepada Libya dan menyatakan segala pilihan adalah terbuka, termasuk meronda ruang udara negara Afrika utara itu bagi melindungi rakyatnya daripada rejim pemerintah.
Perancis pula menyatakan ia akan menerbangkan bantuan ke kawasan yang dikuasa pihak penentang di timur Libya.
Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan senjata dan sekatan lain, mengikut jejak AS dan PBB.

EU juga menimbang mewujudkan zon larangan terbang di Libya.
Berita Harian Online

Lelaki didakwa pindahkan wang syarikat RM1.9 juta k dalam akaun

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah urusan sebuah syarikat pengiklanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap 31 pertuduhan menggunakan dokumen palsu memindahkan wang syarikat RM1.9 juta ke dalam akaun peribadinya.
Nurhan Manaf, 42, didakwa memindahkan wang itu yang berjumlah antara RM7,000 hingga RM242,000 di Dataran Maybank Jalan Maarof di sini antara 22 Januari hingga 13 Mei tahun lalu.

Dia didakwa menggunakan dokumen Permohonan Untuk Kiriman Wang untuk memindahkan wang itu dari akaun Syarikat DD Mediaconsult Sdn Bhd ke akaun miliknya yang mana dia mengetahui dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 1 April untuk sebutan kes.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amir dan S Lavainyamalar, manakala Nurhan diwakili peguam Soo Fen Hen.-Bernama
myMetro

Pelajar ke sekolah tidak pulang-pulang

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan yang dihantar ibunya ke sekolah dua hari lalu tidak pulang ke rumahnya di Kampung Baru, Seberang Takir sehingga hari ini.
Junaidah Mahmod, 38, berkata beliau menghantar anak sulungnya itu Nur Aqilah Mohamad, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Ibrahim Fikri pada pagi Ahad lalu untuk menghadiri Hari Sukan di sekolahnya.

"Pukul 1 tengah hahri, saya pergi sekolah nak ambil dia, tapi saya tunggu sampai 3 petang, dia tak muncul.

"Saya masuk sekolah tanya guru, tapi guru beritahu anak saya tak hadir ke sekolah," katanya.

Junaidah berkata, anaknya itu tidak mempunyai masalah keluarga dan tidak pernah meninggalkan rumah begitu lama.


Beliau merayu orang ramai yang menjumpai anaknya supaya menghubunginya.

Beliau sudah membuat laporan polis tentang kehilangan Nur Aqilah.-BernamamyMetro

Pekebun kelapa sawit ditemui mati



01/03/2011 12:06pm

IPOH - Seorang pekebun kelapa sawit, yang dilaporkan hilang oleh isterinya Ahad lepas, setelah dua hari tidak pulang ke rumah, ditemui mati akibat kemalangan di kebun itu di Kampung Felcra Changkat Lada, Parit.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, Said Tiran, 66, ditemui terbaring di sebelah motosikalnya di kebun itu pada pukul 10 malam tadi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa dikatakan keluar rumah Ahad lepas pada pukul 7 pagi menunggang motosikal bersendirian untuk menghadiri majlis perhimpunan orang-orang Melayu anjuran Perkasa di Kampung Gajah.
Selepas mangsa tidak pulang sehingga lewat malam pada hari yang sama, isterinya membuat laporan polis berhubung kehilangannya, semalam, katanya.
Polis kemudian melancarkan operasi mencari mangsa dengan bantuan penduduk kampung dan Rela dan menemui mangsa terbaring di sebelah motosikalnya di kebun kelapa sawit itu.
Polis percaya mangsa dipercayai terbabas semasa menunggang motosikal melalui jalan di kebun berkenaan, Kematian mangsa adalah akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah, katanya. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Pemandu teksi mati dengan 2 kesan tembakan




01/03/2011 3:17pm

SANDAKAN – Seorang pemandu teksi ditemui mati dengan dua kesan tembakan di tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah di Batu 10 Jalan Sungai Batang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Junaidi Saman, 53, yang mati akibat ditembak di bawah dagu dan bawah kanan mulutnya dipercayai menggunakan pistol jenis kaliber .45.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam selepas seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu menemui mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap di tepi sebuah teksi.
Siasatan di tempat kejadian menemui dua kelongsong peluru dipercayai daripada pistol jenis kaliber .45 dan mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat, katanya ketika ditemui di Balai Polis Bandar Sandakan di sini hari ini.
Beliau berkata motif pembunuhan belum dapat dikenal pasti dan pihaknya akan menjalankan siasatan dari semua sudut terutama motif dendam.
Rowell berkata mangsa dipercayai dibunuh tidak lama sebelum mayatnya ditemui kerana ada pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu melihat sebuah teksi masuk ke kawasan itu kira-kira pukul 6 petang.
Mangsa ditembak di luar teksinya kerana tiada kesan darah serta pergelutan di dalam teksi dan polis mengesyaki terdapat lebih daripada seorang suspek terlibat dalam pembunuhan itu, katanya.
Beliau berkata operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dan bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dilakukan esok. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

5 dituduh sertai pertubuhan haram Hindraf



01/03/2011 7:20pm

KUALA LUMPUR - Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Selayang di sini, hari ini, terhadap pertuduhan bersama-sama menyertai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Hindraf.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1996.
S. Jayathas, K. Navakrishna, K. Tamil Selvam, T. Periasamy dan S. Loshna Rau didakwa melakukan kesalahan itu di Bukit Kanching, Jalan Ipoh, Rawang pada 13 Februari lepas.
Loshna turut didakwa menghalang tugas penjawat awam yang sedang bertugas ketika itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam P. Uthayakumar. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Cubaan seludup 200 ekor tupai tumpas



01/03/2011 7:20pm

JOHOR BAHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menggagalkan cubaan menyeludup masuk 200 ekor tupai ”Sugar Glider” bernilai RM64,200 selepas menahan sebuah bot penumpang di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, hari ini.
Ketua Penguatkuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata bot penumpang dari Batam, Indonesia itu ditahan pada pukul 7.30 pagi di kedudukan empat batu nautika timur Tanjung Penyusup, Pengerang.
"Lima pegawai dan anggota APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan Pengerang terserempak dengan bot penumpang itu yang dilihat mencurigakan.
"Semasa dihampiri, bot tersebut terus memecut laju untuk meloloskan diri ke perairan Indonesia namun berjaya dipintas oleh bot APMM,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Zulkifli berkata pemeriksaan di dalam bot itu menemui kesemua tupai berkenaan yang disimpan di dalam sembilan sangkar dan berbalut dengan guni.
Beliau berkata pihaknya menahan tekong bot itu yang berumur 44 tahun dan seorang awak-awak berumur 36 tahun, kedua-duanya merupakan rakyat Indonesia.
Katanya siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan ke satu destinasi di perairan Pengerang bagi menjual haiwan eksotik tersebut sebelum dieksport semula keluar negara.
Zulkifli berkata tupai yang boleh mencapai harga RM200 hingga RM350 seekor itu diserahkan kepada Jabatan Veterinar Johor untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Peraturan Kawalan Import dan Eksport di bawah Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2006). - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

293 saman Ops Tahun Baru Cina




KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan 293 saman sempena Ops Tahun Baru Cina 2011 yang dibuat dari 21 Januari lalu hingga 20 Februari, dengan jumlah 639 kesalahan direkodkan.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, daripada jumlah itu, tiga kesalahan utama yang dilakukan pengguna jalan raya ialah tidak mempunyai lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan kenderaan melebihi muatan.

Menurutnya, perkara itu amat mendukacitakannya, apatah lagi kesalahan seperti memotong garisan berkembar dan tidak mematuhi isyarat juga banyak dilakukan pengguna jalan raya.

“Selain itu, kita juga membuat penyamaran dengan menaiki 32 buah bas sepanjang ops ini dan daripada jumlah itu, empat buah bas diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan pemandu bas ialah melanggar syarat lesen dan permit, kesalahan berhubung CDL, kesalahan berhubung PSV serta merokok dalam bas, selain melanggar lampu isyarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Penguatkuasa JPJ Terengganu 2011 yang diadakan di pekarangan ibu pejabat JPJ di sini, semalam.

Menurut Abdul Rahman, majlis itu dibuat bagi meraikan anggota penguat kuasa, selain mengiktiraf sumbangan mereka terhadap jabatan itu dan menyediakan anggota peguat kuasa yang sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan terbaik.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, kaunter polis yang dibuka di ibu pejabat JPJ bagi memudahkan urusan pembayaran saman polis mendapat sambutan menggalakkan.

“Sebenarnya, kaunter polis ini kita sudah ada sejak empat tahun lalu, dengan tujuan asalnya adalah bagi menyediakan alternatif untuk pengguna yang kena saman, menyelesaikan masalah itu dengan mudah dengan adanya kaunter ini di satu tempat sahaja.

“Tetapi kita dapat lihat sambutan yang cukup luar biasa sejak seminggu lalu yang diambil oleh orang ramai bagi membayar saman, bagi mengelakkan mereka disenaraihitamkan. Tengah hari semalam (kelmarin) sahaja, kita mempunyai 352 orang sehingga kaunter ditutup pada waktu malam,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa beringat dan menyelesaikan masalah saman dan sebagainya dengan segera serta jangan tunggu hingga saat akhir.
SH

Penoreh getah dicekup SPRM




SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lelaki yang disyaki cuba memberi rasuah kepada anggota polis selama empat hari bermula semalam.

Jurucakap SPRM berkata, kedua-dua suspek berumur sekitar 30-an itu dipercayai melakukan kesalahan berkenaan dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Jalan Tampin Seremban, Tampin, minggu lalu.

“Mereka yang bekerja sebagai penoreh getah dan pekerja kontrak ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalah gunaan dadah dalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Sejurus selepas ditahan, salah seorang suspek cuba memberi rasuah sebanyak RM100 sebagai ‘ganjaran’ untuk melepaskan mereka,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, SPRM segera menahan kedua-dua suspek sebaik sahaja menerima maklumat daripada polis.

Katanya, mereka diletakkan dalam tahan reman polis bagi membantu siasatan sehingga semalam.

“Hari ini (semalam), SPRM mengambil alih selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Seremban untuk menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari.

“Siasatan kes dibuat di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi,” katanya,

Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan terhadap dua lelaki terbabit.
SH

Pelajar ditipu ejen pendidikan



AYER KEROH - Hasrat seorang pelajar memegang ijazah dari luar negara berkecai apabila gagal menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti dekat Rusia.

Ini kerana, universiti terbabit dikatakan tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar seperti yang dimaklumkan, sebaliknya menggunakan sepenuhnya bahasa Rusia.

Lebih malang, pelajar perempuan berusia 20 tahun itu sudah pun membayar sebahagian kos pengajian sebanyak RM35,000 kepada ejen yang dilantik di negara ini semasa mengunjungi ekspo pendidikan di ibu negara.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Melaka membantu mendapatkan semula wang pengajiannya, walaupun agak kecewa kerana gagal menamatkan pengajian di sana.

Yang di-Pertua Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Melaka, Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, surat pekeliling ejen terbabit sebelum ini mengatakan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar, bagaimanapun sebaliknya berlaku.

Bagaimanapun, tindakan mendapat bantuan persatuan itu berbaloi apabila wang pengajian berkenaan akhirnya dipulangkan semula.

Beliau berkata, sebelum ini, keluarga mangsa tertarik dengan tawaran ejen terbabit semasa berkunjung ke sebuah ekspo pendidikan di Kuala Lumpur, awal tahun lalu.

“Selepas tamat tingkatan enam, anaknya yang meminati bidang perubatan mendapat sokongan keluarga untuk menyambung pengajian di Rusia.

“Memandangkan universiti berkenaan menggunakan bahasa Inggeris sewaktu belajar, keluarganya tidak menghalang dia menyambung pelajaran ke sana,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Saharuddin berkata, yakin dengan penerangan diberikan ejen berkenaan, mangsa mendaftarkan diri, sebelum bertolak ke Rusia, September lalu.

“Bagaimanapun, selepas membayar sejumlah wang dan bertolak ke Rusia, bahasa Inggeris tidak digunakan sebagai bahasa pengantar di sana.

“Sedangkan, taklimat daripada ejen sebulan sebelum bertolak ke Rusia dan surat pekeliling mengatakan bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya semasa pengajian,” katanya.

Menyedari ditipu, katanya, pelajar terbabit pulang semula ke tanahair kira-kira dua bulan selepas itu dan memberitahu keluarganya mengenai masalah itu.

Berikutan itu, katanya, mangsa memohon bantuan untuk bersemuka dengan ejen terbabit di pejabat Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Melaka, di sini.

“Dalam perbincangan dijalankan, pihak ejen bersetuju memulangkan wang RM35,000 daripada RM56,000 yang sudah dibayar mangsa dalam masa 20 hari.

“Persetujuan sudah dibuat dan kedua pihak nampaknya berpuas hati dengan keputusan tersebut,” katanya.

Saharuddin turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati untuk menerima tawaran menyambung pengajian ke luar negara menerusi ejen.

Beliau berharap kejadian itu tidak berulang kepada orang lain pada masa akan datang.
SH

26 kereta baru musnah




PUCHONG - Kira-kira 26 kenderaan di sebuah pusat jualan kereta di Jalan Layang-layang 3, Batu 11, dekat sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 tengah hari. Seorang peniaga yang dikenali sebagai Elis, 52, berkata beliau bersama beberapa beberapa pelanggan terpaksa bergegas menyelamatkan diri ke seberang jalan kerana bimbang api merebak ke gerainya tidak jauh dari pusat jualan kereta itu.

“Bunyi letupan dan asap tebal menyelubungi tempat jualan kereta itu dan bahang panas kebakaran tidak tertahan,” katanya.

“Pada mulanya saya hanya mendengar bunyi letupan sebelum melihat asap tebal di bangunan yang menempatkan beberapa kereta baru di dalamnya.

Elias berkata, nasib baik gerainya terselamat daripada terbakar dan boleh menjalankan perniagaan seperti biasa.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 1.25 tengahari dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, mendapati bangunan menempatkan kenderaan pelbagai jenis Perodua termasuk Myvi dan Viva sudah 80 peratus terbakar.

“Empat jentera dengan 27 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Bukit Jalil turut membantu memadamkan kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.

“Pemeriksaan awal mendapati, 26 kenderaan yang diletakkan di dalam dan luar bangunan musnah dan anggota mengambil masa kira-kira 20 minit mengawal api daripada merebak.

“Punca dan jumlah kerugian dan jumlah kenderaan yang musnah dalam kebakaran itu masih disiasat,” katanya

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran sama ada unsur khianat atau sebaliknya.

Katanya, pihak polis akan merujuk kepada laporan siasatan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
SH

Waris bayi lelaki lima bulan dicari




PETALING JAYA – Waris kepada bayi lelaki berusia lima bulan yang dikenali sebagai Mohd Zakwan Haikal Abdul Rahman dicari.

Bapa angkat kepada bayi tersebut, Abdul Halim Hifni Siddik berkata, dia berharap waris kepada bayi berkenaan tampil bagi membantu mendapatkan sijil kelahiran dan urusan dokumen.

Katanya, bayi tersebut yang diperoleh daripada kenalannya kini dalam jagaannya dan isteri.

“Saya difahamkan ibu kandung bayi tersebut adalah warganegara Indonesia dan bapa kandungnya berasal dari Sabah.

“Waris atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarga kanak-kanak terbabit boleh menghubunginya di talian 017-877 4868 atau di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
SH

Staf PPD maut rempuh treler




BENTONG – Seorang kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kajang, Selangor, maut dalam kemalangan di Kilometer 15.8 Jalan Bentong-Gombak dekat sini kir-kira jam 11.10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa, Raja Azan Raja Mushahar, 44, yang beralamat di Bandar Baru Bangi, menunggang motosikal Kawasaki 650cc, berseorangan dari arah Janda Baik menuju ke Bentong.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah treler yang ketika itu sedang masuk semula ke laluan selepas mengelak sekumpulan penunggang basikal.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Rosli berkata, siasatan masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, susulan kejadian ini pengguna jalan raya dinasihatkan agar peka dengan kawasan sekitar supaya kemalangan dapat dielakkan.

“Semua pengguna kenderaan perlu memberi isyarat sebelum membelok ke kiri dan kanan atau ketika ingin berhenti bagi memaklumkan kepada pengguna lain.

“Kepekaan pengguna jalan raya dapat membantu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
SH

Lelaki berpakaian kemas terlibat dua kes ragut



KUANTAN - Di sebalik lagak lelaki berpakaian kemas rupanya kaki ragut apabila meragut rantai emas milik seorang jururawat warga emas di sebuah taman perumahan dekat Bentong, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, suspek berkemeja lengan panjang bersama seorang rakannya meragut wanita berusia 55 tahun di hadapan rumahnya di Taman KSM Batu Satu di sini, kira-kira jam 10.40 pagi.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kedua-dua suspek menunggang motosikal Yamaha LC berwarna merah memakai topi keledar ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, suspek yang berpakaian kemas itu merentap rantai emas miliknya dan berlaku perebutan sebelum suspek menolak mangsa yang sedang membuka pintu pagar rumahnya sehingga jatuh.

“Ketika kejadian, anak perempuan mangsa yang berusia 26 tahun berada dalam kereta dan sempat melihat wajah seorang suspek yang menunggu di motosikalnya.

“Kedua-kedua suspek dipercayai warga tempatan dan melarikan diri selepas kejadian. Kerugian dianggarkan RM15,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati nombor plat kenderaan yang digunakan suspek terbabit adalah palsu.

Sementara itu kejadian sama turut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi membabitkan seorang guru wanita berusia 56 tahun di Taman Saga yang mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Mangsa yang bersendirian baru selesai urusannya di bandar sedang menuju ke keretanya selepas membuka pintu pagar diserang dua lelaki bermotosikal memakai topi keledar.

“Suspek merentap rantai emas milik mangsa dan mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu,” katanya tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan suspek sama.

Kes itu akan disiasat menerusi Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) selain meminta orang ramai berhati dengan sebarang perilaku meragukan dan tidak terpedaya dengan imej baik yang ditonjolkan.
SH

Sembilan kaki judi ditahan




RAUB – Sepasukan polis Raub diketuai Inspektor Mohd Azri Mohamad Aziz membuat serbuan ke atas premis hiburan dekat Taman Kemajuan dan menahan sembilan lelaki dipercayai sedang leka berjudi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, berdasarkan risikan dan siasatan, serbuan diadakan pada jam lebih kurang 7.45 malam dan polis berjaya menahan sekumpulan lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an yang dipercayai sedang berjudi.

Menurutnya, beberapa barangan juga dirampas seperti empat kerusi, 52 daun terup, RM570 dan satu meja kayu serta lima kertas putih.

“Kes itu disiasat Inspektor Mohd Azran Rahmat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Wan Mohd Samsudin berkata, polis sentiasa membuat pantauan dari semasa ke semasa berkaitan aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.

Katanya, sebarang aktiviti menyalahi peraturan akan dibanteras dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pemilik premis yang menjalankan sebarang aktiviti perjudian secara terbuka.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya sentiasa memberikan sepenuh kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan atau perlakuan membabitkan jenayah di daerah ini menerusi talian kilat polis Raub 09-3554999,” katanya.
SH

Lori bawa baja rempuh kedai




BANDAR JERANTUT - Gara-gara pemandu gagal mematikan enjin, sebuah lori membawa muatan baja menggelongsor lalu merempuh sebuah kedai di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Chief Inspektor Lim Meng Chia berkata, kejadian berlaku pada waktu tengah hari semasa lori terbabit diletakkan di bahu jalan untuk proses pemindahan baja.

Menurutnya, semasa proses pemindahan baja dilakukan pekerja terlibat, secara tiba-tiba lori berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh bahagian depan kedai.

“Tiada sebarang kecederaan berlaku kerana ketika kejadian kedai tidak dibuka, manakala pemandu lori tiada di dalam kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Difahamkan lori berkenaan kini ditahan di balai trafik untuk siasatan dan diarahkan menjalani pemeriksaan dengan Puspakom.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pemandu kereta cedera parah, manakala rakannya cedera ringan setelah kereta yang dipandu hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung.

Kejadian berlaku berdekatan Kampung Paya Garuk, lewat petang Jumaat lalu dan pemandu yang parah itu kini dirawat di hospital.

Sehubungan itu, Meng Chia menasihati pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan lebih berhati-hati terutama ketika melalui jalan antara Felda Padang Piol – Jerantut Feri.

“Keadaan jalan yang banyak selekoh dan berbukit boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan. Pengguna jalan raya amatlah diharapkan supaya peka dengan keadaan sekeliling dan tidak mudah leka untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang lagi,” katanya.
SH

Denda RM3,500 cuba cabul gadis




KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dijatuhi hukuman denda RM3,500 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan cubaan mencabul kehormatan seorang gadis pada Oktober 2008.

Tertuduh, Mohd Haniff Mohd Rosli, 25, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Faraziana Zainudin.

Tertuduh yang berkemeja dan berseluar slek kelabu kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dituduh menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang gadis, 23, dari Taman Permint Jaya Fasa 4, Chendering, yang dikenali, dengan niat untuk mencabul kehormatannya pada 6 Oktober 2008 jam 4.20 petang di jalan berdekatan dengan Puspakom Chendering, Kuala Terengganu.

Dengan itu, dia dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
SH

Berat disangka banyak duit




CHUKAI - Sebuah peti besi seberat lebih 100 kilogram milik sebuah syarikat insurans di Jalan Da’ Omar, dekat sini, dilarikan penyamun selepas pejabat syarikat berkenaan dipecah masuk dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Mungkin kerana menyangka peti besi itu mengandungi banyak wang, penyamun terbabit hanya bertindak melarikan peti besi sahaja tanpa mengambil barang berharga lain termasuk komputer, projektor dan kamera video yang turut berada dalam pejabat berkenaan.

Bagaimanapun, peti besi itu hanya mengandungi tunai kira-kira RM300, 15 keping geran kenderaan dan dokumen lain.

Mangsa yang juga pemilik syarikat, Azmi Ismail, 43, berkata, penyamun dipercayai sudah lama merancang untuk mencuri peti besi itu berikutan tiada kesan geledah dan hanya melarikan peti besi.

“Pada pagi kejadian, saya keluar dari pejabat kira-kira jam 3 pagi dan saya kunci pejabat seperti biasa untuk pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 pagi saya menerima panggi-lan telefon daripada jiran sebelah pejabat, mengatakan dia melihat salah satu cermin pintu hadapan pejabat saya pecah dengan pintu ternganga,” katanya semalam.

Azmi berkata, sebaik menerima panggilan itu, dia bergegas ke pejabatnya dan selepas diperiksa dia mendapati peti besi di bawah meja yang mengandungi geran kereta, motosikal, wang berjumlah RM300 serta beberapa dokumen lain sudah tiada.

“Saya percaya penyamun mungkin masuk dengan memulas tombol pintu selepas memecahkan cermin pintu berkenaan.

“Saya juga mengandaikan suspek adalah orang yang selalu datang ke pejabat ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu disedari, kira-kira jam 5 pagi, seorang lagi jirannya yang juga warga Thailand mendengar bunyi geseran yang agak kuat seolah-olah seperti ada orang sedang menarik benda berat.

“Mungkin ketika itu suspek sedang berusaha melarikan peti besi berkenaan.

“Namun, peti besi berkenaan sangat berat, justeru saya mengandaikan bukan seorang yang terbabit tetapi mungkin berdua atau bertiga,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa menanggung kerugian kira-kira RM7,300 kerana perlu membuat semula geran kenderaan yang hilang.

“Agak rumit untuk membuat semula geran berkenaan kerana ramai pemilik kereta terbabit tidak lagi tinggal di sini dan saya perlukan semula semua geran berkenaan.

“Justeru, saya harap kedai pemateri besi atau kedai besi buruk yang didatangi orang yang mahu menjual atau membuka peti besi diharap dapat menghubungi saya menerusi talian 013-921 1711 atau menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dengan kes itu dan tindakan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangu-nan.
SH

Dua pasang kekasih dicekup




PAKA – Dua pelajar kolej swasta yang dilamun cinta sanggup menjadikan khemah yang dibina untuk aktiviti barbeku sebagai lokasi memadu asmara bersama kekasih mereka.

Perbuatan tidak bermoral itu berjaya dibongkar sepasukan Pegawai Penguat kuasa Syariah setelah menerima maklumat daripada orang ramai, sebelum melakukan serbuan berhampiran lokasi :peranginan dekat sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Bagaimanapun, mereka yang dicekup ketika berada dalam khemah dipercayai berselindung di sebalik aktiviti barbeku itu cuba mempertahankan :perbuatan salah mereka.

Namun kegagalan menunjukkan sebarang dokumen untuk membuktikan pertalian muhrim serta keadaan yang boleh menimbulkan syak itu membolehkan kesemua :pasangan terbabit diambil tindakan atas kesalahan khalwat.

Hasil soal siasat, salah seorang daripada gadis terbabit dikatakan menumpang di rumah sewa milik seorang rakannya yang ditahan itu dan mereka berkunjung ke pantai berkenaan untuk melakukan acara santai.

Dua gadis yang menuntut di kolej swasta serta dua remaja lelaki itu bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen :Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu kerana berkhalwat.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Sinar Harian difahamkan, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Dungun ke atas pasangan lelaki terbabit turut mendapati keduanya positif dadah jenis Methapethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut.
SH

Bikin malu warga emas




KUALA TERENGGANU - Sungguh memalukan! Dua suri rumah antara lima warga emas yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan berjudi secara beramai-ramai di sebuah rumah di Jalan Kampung Tiong, Kuala Terengganu pada Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh, Kamariah Abdullah, 54, dari Jalan Tiong, Kuala Terengganu dan Fauziah Ali, 60, dari Batas Baru, Kuala Terengganu mengaku bersalah berjudi bersama tiga lagi rakan lelaki mereka yang turut mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sebelum hukuman dijatuhkan, kelima-lima tertuduh melalui peguam bela mereka, Mohd Hayyatuddin Muhamad merayu mahkamah meringankan hukuman memandangkan ini kesalahan pertama dan juga mempertimbangkan dari sudut usia kerana majoriti daripada mereka sudah dikategorikan warga emas.

Selepas mendengar pengakuan bersalah daripada lima sekawan itu dan mempertimbangkan rayuan tertuduh melalui peguam bela mereka, Hakim Siti Faraziana Zainudin menjatuhi hukuman denda RM1,000 setiap seorang atau dua bulan penjara, jika gagal menjelaskannya.
Kelima-lima tertuduh yang berumur antara 47 hingga 60 tahun berasal dari Kuala Terengganu dan Besut itu kelihatan tenang selepas hukuman dibacakan.

Pertuduhan dijalankan pegawai polis, Miky Dustan Muda.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-bersama bermain judi daun terup dengan mempertaruhkan wang tunai di sebuah rumah beralamat no.40 Jalan Kampung Tiong, Kuala Terengganu pada jam 5 petang, 11 Januari lalu.

Selepas perbicaraan, dua suri rumah itu yang memakai baju kurung dan bertudung bersama tiga rakan lelaki mereka termasuk seorang berbangsa Cina diiringi anggota polis ke kaunter bayaran untuk menjelaskan denda.
SH

Ibu dan anak hadapi dua tuduhan




TUMPAT - Seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Wan Suhaizi Wan Jaafar, 29, dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan tujuh sebatan. Manakala ibu tertuduh, Saribah Awang, 60, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagi tuduhan pertama iaitu memiliki 2000 biji dadah jenis methamphetamine seberat 27.30 gram di rumahnya beralamat di 2149, Taman Padang Lati, Wakaf Bharu pada 18 Januari lepas, jam lebih kurang 4.30 petang, Wan Suhaizi dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan terhadap pertuduhan memiliki 1800 biji dadah jenis methamphetamine seberat 24.25 gram pada masa dan tempat yang sama.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, memerintahkan Wan Suhaizi yang bekerja di kedai runcit menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara di antara dua hingga lima tahun dan sebatan tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Peguam Latifah Arifin memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan dan merupakan kesalahan pertama tertuduh.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh, latar belakang tertuduh anak ke empat daripada tujuh beradik sebelum tangkapan ini bekerja di kedai runcit dengan gaji hanya RM600 sebulan.

“Yang penting sekali tertuduh sudah insaf dan mahu berubah,” katanya.

Pegawai Pendakwa Mahkamah Tumpat, Inspektor Mariyah Dahari pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang maksimum bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
SH

Dua rumah kayu hangus




TUMPAT - Dua rumah kayu yang didiami ibu dan anak hangus dalam satu kebakaran di Kampung Palekbang di sini, petang kelmarin.

Rumah berusia lebih 10 tahun itu didiami Rohani Che Osman, 59, bersama suaminya, Awang Yusoff Wan Daud dan seorang anak mereka.

Manakala sebuah lagi rumah yang terbakar berdekatan antara satu sama lain didiami anak Rohani, Wan Hasnan Awang Yusoff, 33.

Dalam Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Rohani bersama Wan Hasnan tinggal sehelai sepinggang apabila mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda dalam rumah masing-masing.

Wan Hasnan berkata, api berpunca daripada rumah emaknya tidak dapat dikawal dan merebak pantas ke rumahnya yang berkedudukan kira-kira satu meter dari rumah emaknya.

Katanya, ketika kejadian dia sedang mandi sebelum dikejutkan jeritan daripada ibunya.

“Selepas terdengar jeritan emak, saya terus bergegas dan terkejut kerana api sudah merebak, menyebabkan bahagian depan rumah saya mula runtuh dimamah api.

“Saya melaung memanggil emak kerana bimbang dia masih berada dalam rumah, namun bersyukur kerana sudah keluar dan berlindung di rumah jiran,” katanya ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, emaknya yang tinggal bersendirian di rumah itu ada terbau hangit seperti ada tikar terbakar dari ruang tamu rumah, namun gagal mengesannya.

“Tiba-tiba kelihatan api mula membakar bahagian depan rumah, Keadaan begitu pantas, rumah kami musnah dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Tumpat, Yaacub Abdullah berkata, 15 anggota dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor serta tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.02 petang.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 4.17 petang, api masih marak dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.31 petang. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
SH

Lelaki didakwa miliki Revolver, peluru




RUSMA Mustapa ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 28 Feb. - Seorang pemandu kereta 'prebet sapu' didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki sepucuk Revolver dan empat butir peluru.
Bagaimanapun tertuduh, Rusma Mustapa, 49, dari Kampung Kerasak, Bunut Susu, Pasir Mas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zainal L. Salleh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin.
Dalam pertuduhan pertama, Rusma didakwa memiliki sepucuk Revolver 22 jenis Smith & Wesson, yang menyalahi undang-undang pada pukul 1.45 petang, 14 Februari lalu di Pos A, Komplek CIQ, Bukit Bunga, Tanah Merah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan tempat yang sama tertuduh didakwa memiliki empat butir peluru tanpa lesen sah.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Hakim menetapkan 28 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam. Dia ditahan reman di penjara kerana tiada jaminan ditawarkan.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Tiga sekawan rompak berkumpulan, dipenjara, sebat




Ramli Ishak (dua dari kiri), Muhamad Khairul Anuar Mat Salleh (tengah) dan Wan Mohd. Elias Muhamad Noor dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 28 Feb. – Tiga rakan yang menghadapi tuduhan melakukan rompakan berkumpulan tiga tahun lalu masing-masing dipenjara lapan tahun dan sebatan tiga kali berkuat kuasa hari ini setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas seorang buruh, Ramli Ishak, 33, Muhamad Khairul Anuar Mat Salleh, 28, tukang rumah dan Wan Mohd. Elias Muhamad Noor, 31, bekas polis bantuan di Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Khairul Mohamad, 32, dengan melarikan wang tunai berjumlah RM1,000, empat bentuk cincin dan sebuah telefon bimbit.
Tertuduh menggunakan sepucuk pistol tiruan dan sebilah pisau ketika melakukan rompakan pada pukul 9 malam, 13 Januari 2008 di belakang klinik Kampung Badak, Bachok.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga tertuduh merayu hukuman ringan kerana mereka pesalah pertama selain mendakwa berlakunya salah faham mengenai hutang salah seorang tertuduh dengan mangsa.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Norhamizah Ghazali memohon mahkamah menimbang faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi dan masyarakat memerlukan perlindungan daripada jenayah seumpama itu.
Mahkamah membenarkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Utusan Malaysia Online - Timur

Peserta konvoi motosikal maut



KUANTAN 28 Feb. - Seorang penunggang lelaki yang menyertai konvoi motosikal terbunuh apabila motosikal berkuasa besar ditungganginya bertembung dengan sebuah lori jenis Scania di Kilometer 15.8, dekat Jalan Bentong-Gombak semalam.
Raja Azman Raja Mushahar, 44, berasal dari Bangi, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika lori tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Mentakab menghala ke Kuala Lumpur.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian dan ketika melalui satu selekoh, mangsa yang bersama sekumpulan motosikal berkuasa besar lain bertembung dengan lori itu secara bertentangan.
"Motosikal jenis Kawasaki ditunggangi mangsa dikatakan terlanggar bahagian hadapan lori itu sebelum terperosok di bawah kenderaan berat tersebut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Lelaki bakar rumah ditangkap



KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Seorang lelaki yang membakar rumahnya sendiri selepas bergaduh dengan isteri di Kampung Balik Bukit, Setiu ditahan polis malam tadi untuk siasatan lanjut.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam di Hospital Setiu sewaktu dia hendak mendapatkan rawatan atas kecederaan yang dialami akibat kejadian malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek yang didapati positif ujian dadah itu ditahan reman beberapa hari untuk siasatan lanjut.
"Dia ditahan hasil maklumat orang awam ketika datang ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan malam tadi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12 tengah malam kelmarin, suspek dikatakan bertindak membakar rumahnya sendiri setelah naik berang selepas bertengkar dengan isterinya.
Isterinya yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pembantu di stesen minyak berhampiran ternampak kepulan asap tebal dari rumahnya ketika berada di rumah jiran.
Wanita itu dilaporkan mengesyaki suaminya yang panas baran membakar rumah berkenaan dan mendakwa pernah mengugut berbuat demikian ketika mereka bertengkar suatu ketika dulu.
Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah stor dan bengkel membaiki motosikal yang terletak berhampiran.
Menurut Manoharan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Gudang kereta Perodua terbakar




ANGGOTA bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran di sebuah gudang kereta Perodua di Puchong, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Sebuah syarikat pengedar kereta keluaran Perodua rugi hampir RM2 juta setelah 40 buah kereta yang disimpan di gudangnya di Jalan Layang-Layang 3, Puchong dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, 14 buah kereta yang disimpan dalam gudang, manakala 26 lagi diletak di kawasan luar gagal diselamatkan akibat api marak terlalu cepat.
Kesemua kenderaan yang musnah merupakan kereta baru keluaran Perodua seperti MyVi, Viva dan Alza.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Anuar Harun berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.25 petang.
Beliau berkata, 29 anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Subang Jaya, Seksyen 7 Petaling Jaya dan Bukit Jalil dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.
“Pihak bomba yang melakukan kerja memadam api mulai pukul 1.34 tengah hari berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dalam tempoh setengah jam.
“Bagaimanapun tiada yang dapat diselamatkan kerana kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan gudang termasuk 40 buah kereta yang disimpan di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kepantasan pihak bomba mengawal api bagaimanapun berjaya menyelamatkan 22 buah kereta milik syarikat sama yang disimpan di gudang bersebelahan.
Selain itu, katanya, pihak bomba juga berjaya menghalang api daripada merebak ke sebuah pusat jualan perabot berhampiran gudang yang terbakar itu.
Tambahnya, tiada kehilangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, malah semua pekerja gudang itu sempat menyelamatkan diri.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, namun tidak dinafikan ia melibatkan nilai jutaan ringgit,” katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Negara Barat mahu serang Libya


TENTERA Tunisia cuba menenangkan rakyat Mesir yang mengadakan protes di khemah pelarian di sempadan Libya–Tunisia, semalam.
TENTERA Tunisia cuba menenangkan rakyat Mesir yang mengadakan protes di khemah pelarian di sempadan Libya–Tunisia, semalam.


Tindakan ketenteraan berikutan ada ancaman pembunuhan beramai-ramai

PARIS: Negara Barat dikatakan menimbangkan untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya berikutan ancaman pembunuhan beramai-ramai dan prospek ratusan ribu rakyat negara Arab utara itu menjadi pelarian di Eropah.
Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak akan dilancar tanpa kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai kanan, termasuk perdana menteri Perancis Francois Fillon tidak mengetepikan kemungkinan pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Udara (NATO) digunakan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya bagi menghalang pemimpin kuku besi Muammar Gaddafi melancarkan serangan udara terhadap rakyatnya sendiri. Sabtu lalu, Majlis Keselamatan PBB mengenakan beberapa sekatan ke atas rejim Gaddafi dan mendesak tindakan ganas bagi menangani bantahan rakyat dihentikan segera.

Bagaimanapun badan dunia itu tidak memberi sebarang kelulusan bagi masyarakat antarabangsa melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya.

“Kami sedang menimbang semua pilihan agar Kolonel Gaddafi benar-benar faham apa yang mungkin dihadapinya. Saya tahu ada yang menyebut penyelesaian ketenteraan dan penyelesaian ini memang sedang diteliti kerajaan Perancis,” kata Fillon.

Bagaimanapun, Fillon berkata Perancis tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penyertaan sekutu NATOnya dan tanpa kebenaran PBB.
NATO pula berkata ia menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB itu.
“Kami juga menyedari resolusi itu tidak menyebut keperluan zon larangan terbang,” kata jurucakap NATO Oana Lungescu .

Timbalan Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa dan Strategik di Paris, Jean-Pierre Maulny berkata jika pembunuhan beramai-ramai berlaku di Libya, masyarakat antarabangsa tidak akan boleh berdiam diri.

NATO, katanya, adalah badan paling sesuai untuk menguatkuasakan zon larangan terbang itu tetapi langkah ketenteraan lain perlu kebenaran PBB.

Sementara itu di BENGHAZI, seorang sukarelawan kesihatan berkata wilayah timur Libya yang sudah dikuasai pemberontak akan mula mengalami masalah kekurangan makanan dan perubatan serius dalam masa tiga minggu.

Timur Libya jatuh ke tangan penunjuk perasaan yang menentang Gaddafi yang enggan meletak jawatan walaupun berhadapan dengan bantahan yang berterusan.

Pergolakan yang tercetus sebaik saja rakyat Mesir berhasil menjatuhkan pemimpin mereka Hosni Mubarak 11 Februari lalu, menjejaskan import dan bekalan makanan segar tempatan dengan kebanyakan kedai dan kilang masih lagi ditutup sejak bandar raya itu berhadapan dengan tunjuk perasaan seminggu lalu.

“Kita akan mengalami kekurangan makanan, minuman, perubatan dan peralatan perubatan serius dalam masa dua hingga tiga minggu. Kita perlukan bantuan luar,” kata Khalifa el-Faituri, seorang sukarelawan yang berkelayakan dalam kesihatan umum dan farmakologi. – AFP/AP
Berita Harian Online | Negara Barat mahu serang Libya

Dua pelajar UUM maut kena rempuh



Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Nahar Tajri

2011/03/01

Kereta dipandu tak berhenti ketika membelok di simpang

JITRA: Dua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut manakala seorang rakan mereka parah selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Sintok UUM, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Teh Chew Sien, 23, yang memandu Perodua Kancil bersama rakannya Lim Hsiao Pei, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera di leher dan kepala manakala Lim Seou Chin, 23, yang duduk di bahagian belakang parah di kepala serta badan.
Ketika kejadian, kereta dinaiki mangsa dikatakan sedang membelok untuk memasuki simpang di sebelah kanan bagi menghantar Seou Chin menjalani latihan praktikal di Hotel Pusat Pembangunan Eksekutif (EDC), apabila dilanggar PROTON Waja yang dipandu seorang kakitangan universiti yang sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamad Yusof, berkata kereta dinaiki tiga pelajar terbabit dipercayai tidak berhenti ketika membelok di persimpangan itu, menyebabkan pemandu Proton Waja yang datang dari arah Changlun untuk ke UUM tidak sempat mengelak serta merempuh mereka.

Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan masih koma di Hospital Jitra.

Beliau berkata, lelaki yang pemandu Proton Waja terbabit bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

“Mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut, manakala rakan mereka yang selamat masih koma,” katanya di sini, semalam.
Di IPOH, Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungkai terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki terhumban ke dalam longkang di jalan Kampung Tersusun Aatin Sungkai, kira-kira 90 kilometer dari sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, Mohd Amirul Asraf Osman, 15, yang menunggang motosikal berkenaan maut di tempat kejadian manakala pemboncengnya, Mohd Azuan Nursimriyadi, 13, meninggal dunia kira-kira jam 7.30 petang hari yang sama.

Ketua Polis Trafik Perak, Superintendan Wan Abdullah Ishak, berkata kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang Mohd Amirul Asraf gagal dikawal, sebelum terbabas ke dalam longkang di tepi jalan sedalam dua meter.

“Mohd Amirul Asraf cedera parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah (HT) untuk bedah siasat. Mohd Azuan yang juga parah di kepala dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, tetapi disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian,” katanya di sini, semalam.
Berita Harian Online

‘Ada niat sebabkan kematian Aminulrasyid’


Koperal Jenain Subi
Koperal Jenain Subi


SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi yang diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen semalam dikatakan mempunyai niat menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, ketika melepaskan tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja berusia 15 tahun itu pada April tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Latifah Mohd Tahar berkata, tertuduh mempunyai niat menyebabkan kematian apabila melepaskan tembakan di Jalan Tarian 11/2 ketika kereta Proton Iswara bernombor pendaftaran BET 5023 yang dipandu Aminulrasyid sudah tidak lagi agresif dan tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.
Katanya, tiada tindakan oleh kereta dipandu Aminulrasyid membahayakan kereta peronda MPV polis yang mengejarnya, apatah lagi kereta itu memasuki kawasan perumahan dan dalam keadaan terhuyung-hayang dengan kelajuan di antara 60 dan 70 kilometer sejam.
“Sebagai anggota polis, wajar untuk tertuduh tahu bila tembakan dilepaskan dan (apabila) terkena pada sasaran, ia boleh menyebabkan kematian. Apatah lagi dalam keadaan kes ini, tembakan dilepaskan oleh senjata sub mesingan.

“Selepas mengambil kira keseluruhan kes dan penilaian maksimum, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya buktikan kes prima facie terhadap tertuduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan tertuduh diperintah membela diri,” katanya.

Latifah turut menetapkan dua hari bermula 14 April depan untuk perbicaraan dan tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Jenain, 48, yang memakai kemeja lengan pendek berwarna merah dan berkopiah kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan, manakala ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 62, yang duduk di galeri awam dilihat mengesat air mata.
Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, jam 1.10 pagi 26 April tahun lalu. Berita Harian Online

Pakej tukar suami isteri

JOHOR BAHRU: Pakej pelancongan sambil bertukar-tukar suami dan isteri. Begitu aktiviti seks bebas hujung minggu dikenali sebagai ‘swinger’ anjuran segelintir pelancong dari negara jiran yang kini cuba menjerat pasangan di bandar raya ini untuk menyertainya.
Pelancong terbabit yang dinaungi lebih 10 kelab maksiat di negara itu serta kelab antarabangsa cuba mempengaruhi pasangan suami isteri berpendapatan sederhana di bandar raya ini dengan apa yang dianggap gaya hidup moden itu, kononnya boleh meningkatkan keseronokan masing-masing. Malah, pelancong terbabit sanggup mengumpan ganjaran tertentu termasuk membiayai percutian selain menyediakan kemewahan jika pasangan suami isteri tempatan sanggup memenuhi permintaan mereka.

Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan seorang ejen insurans di Taman Indahpura, dekat Kulaijaya, Arshad Mohd Ali, 27, yang mendakwa hampir terjebak selepas dipelawa sepasang suami isteri golongan profesional dari negara jiran berusia 30-an.

Arshad berkata, dia mengenali pasangan terbabit ketika membeli-belah bersama isterinya yang sebaya di sebuah pasar raya di bandar raya ini, akhir Oktober tahun lalu selepas tertarik sikap mesra mereka sebelum bertukar nombor telefon.

Katanya, dia tidak sangka hasrat murninya menjalin persahabatan dengan pasangan terbabit mendatangkan masalah apabila pasangan itu sendiri mendedahkan niat buruk mereka.


“Pasangan suami isteri dikenali sebagai Nin dan Sue yang masing-masing bekerja sebagai jurutera itu beria-ia berkunjung ke rumah kami pada pertengahan November tahun lalu hampir setiap hujung minggu selain tidak ketinggalan menghubungi dan mengajak kami beriadah.

“Mulanya, tindakan itu menyebabkan hubungan kami suami isteri dengan pasangan terbabit semakin akrab dan bagi menghargai persahabatan, kami memenuhi permintaan mereka dengan berkunjung ke rumah mereka di negara itu,” katanya.

Arshad berkata, tembelang pasangan yang belum mempunyai anak itu mula terdedah selepas mereka menghantar SMS menghasut yang memintanya dan isteri mencuba aktiviti songsang itu.

Menurutnya, lebih mengejutkan, pasangan itu tanpa segan-silu mendedahkan identiti sebenar mereka yang turut menjadi ahli sebuah kelab seks di negara asal yang mahu menarik keanggotaan baru dalam kalangan penduduk negeri ini.

“Saya terkejut apabila menerima SMS daripada Nin dan pasangannya yang memberitahu mahu mengajak saya dan isteri ke Melaka untuk berseronok bersama-sama pada 6 Disember lalu.


“Mereka memberitahu mahu membiayai kos penginapan kami di hotel selain makan minum sepanjang percutian itu.


“Mereka yang mendakwa sudah bosan melayan nafsu pasangan masing-masing juga meminta kami mendaftar sebagai ahli kelab maksiat di negara mereka secepat mungkin bagi memulakan kehidupan baru yang konon menjanjikan keseronokan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Arshad berkata, Nin memberitahunya pakej pelancongan yang mempromosi seks bebas itu bergerak melalui kelab maksiat konon bertujuan menyemarakkan semula hubungan seks yang suram dalam kalangan pasangan suami isteri dan setiap peserta akan bertukar pasangan masing-masing suka sama suka.


Katanya, ketika dia menghubungi lelaki itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai SMS berkenaan, jurutera itu cuba meracuni pemikirannya dengan menyatakan amalan itu sudah menjadi trend masyarakat moden seluruh dunia.


“Saya dan isteri bimbang dengan perlakuan sumbang pasangan itu dan dan lebih rela memutuskan persahabatan songsang yang terjalin daripada terus hanyut dalam dunia maksiat.


“Kami berharap dengan pendedahan ini pasangan suami isteri lain lebih berhati-hati dengan taktik pasangan warga asing itu kerana boleh menghancurkan kebahagiaan rumah tangga selain merosakkan akidah,” katanya.
myMetro

‘Saya terlalu rindu anak’

KUALA LUMPUR: “Saya terlalu ingin bertemu anak-anak. Saya terlalu rindukan mereka. Tujuh tahun di dalam penjara adalah tempoh yang cukup lama,” kata Normazawati Wong Abdullah, 49, yang terkandas selepas dibebaskan dari Penjara Thu Duc wilayah Binh Thuan, Ho Chi Minh bulan lalu.
Menurutnya, perasaan rindu itu tidak dapat dibendung lagi hampir sebulan dibebaskan kerana biarpun bebas, dia masih tidak dapat berjumpa anaknya yang menetap di Puchong kerana belum mempunyai wang berjumlah VND373,965,810 (RM60,208.50) bagi membolehkannya pulang ke tanah air.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan wang itu. Kos sara hidup di Vietnam ini juga tinggi dan saya memerlukan kira-kira AS$700,000 (RM2,000) sebulan untuk perbelanjaan. Sewa bilik saja sudah mencecah VND260,000 (RM45) sehari, jadi bagaimana mungkin saya dapat mengumpul wang untuk membayar denda terbabit.

“Saya khuatir akan ditahan semula pihak berkuasa di sini dan dipenjarakan untuk satu jangka waktu yang tidak dapat ditentukan,” katanya dalam rayuan yang direkodkan Setiausaha Agung Kelab Putera 1 Malaysia, Abdul Khalid Chairul pada pertemuan di bandar raya Ho Chi Minh minggu lalu.

Minggu lalu, Harian Metro melaporkan Normazawati terkandas di negara itu selepas mendakwa dianiaya sindiket kad kredit klon dan dipenjara atas kesalahan itu pada 2004, sudah dibebaskan sejak sebulan lalu.


Bagaimanapun, dia ditahan Imigresen Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Ho Chin Minh ketika mahu pulang ke tanah air 28 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mencari jalan terbaik bagi membantu membawa pulang Normazawati ke Malaysia.myMetro