Search This Blog

Saturday, February 26, 2011

Dua suspek tetak jurujual makanan sejuk beku diburu



KUANTAN 25 Feb. - Polis sedang memburu dua suspek yang dikatakan menetak seorang jurujual makanan sejuk beku berhampiran rumahnya di Lorong Air Putih 106, Taman Tunas Jaya 5 di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek itu yang menaiki kereta jenis Proton Gen.2 berwarna putih dikesan berdasarkan kepada keterangan saksi yang berada di tempat kejadian.
Bagaimanapun, jiran-jiran mangsa ketika ditemui Utusan Malaysia sukar untuk memaklumkan mengenai identiti suspek kerana mereka tidak pernah melihat kenderaan itu berada di kawasan tersebut.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihaknya pada masa yang sama masih menunggu keterangan daripada mangsa yang beransur pulih dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
"Mangsa selamat menjalani pembedahan untuk menyambung semula lengan dan kakinya yang hampir putus dalam kejadian itu.
"Pembedahan yang mengambil masa lebih tiga jam bermula pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini menyiarkan laporan seorang jurujual hampir putus tangan kanan dan betisnya akibat ditetak dengan sebilah parang panjang oleh penyerangnya di hadapan rumah mangsa.
Dalam kejadian pukul 5 petang, mangsa yang berusia 33 tahun dan berniaga di Semambu diserang dua lelaki menaiki kereta Gen.2
Menurut Kamaruzzaman, polis sedang menyiasat motif kejadian itu dan akan mengambil keterangan mangsa sebaik sahaja dia sedar selepas menjalani pembedahan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Mayat budak lemas ditemui



KUALA LUMPUR 25 Feb. - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemui mati lemas hari ini selepas terjatuh ke dalam kolam di Tasik Sri Gombak dekat sini ketika bermain dalam waktu hujan.
Heiman Jamaludin, dikatakan terjatuh ke dalam kolam selepas pulang dari sekolah kira-kira pukul 3 petang semalam.
Mayatnya ditemui pukul 11 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kawasan itu.
Operasi mencari mangsa dimulakan sejak pukul 12 tengah malam tadi meskipun mangsa dilaporkan hilang sejak pukul 3 petang berikutan hujan lebat di sekitar ibu negara petang semalam.
Bagaimanapun, usaha mencari mangsa terpaksa dihentikan kira-kira pukul 1 pagi dan disambung semula pagi ini.
Bapa mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Jamaludin memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak bongsunya itu.
"Dia seorang anak yang baik dan begitu disayangi oleh semua ahli keluarga terutama sekali dia tidak mempunyai banyak ragam.
"Bagaimanapun kami terima dengan ketentuan Ilahi untuk mengambilnya dari kami dan reda dengan segala ketentuan Tuhan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata di sini hari ini.
Ditanya tentang kenangan terakhir bersama anaknya itu, Jamaludin memberitahu Heiman begitu manja dengannya sebelum ke sekolah pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Wang NZ$10j tersilap masuk ke akaun seorang wanita



WELLINGTON 25 Feb. - Seorang wanita yang meninggalkan New Zealand bersama-sama teman lelakinya selepas sebuah bank tersilap memasukkan berjuta-juta dolar ke dalam akaun lelaki warga China itu ditangkap, hari ini.
Kara Hurring dan Hui (Leo) Gao berlepas ke China sejurus selepas bank Westpac memasukkan sebanyak NZ$10 juta (RM23 juta) ke dalam akaun Gao pada April 2009.
Gao telah memohon kemudahan overdraf berjumlah NZ$100,000 (RM230,000).
Kesilapan itu dikesan dalam masa beberapa hari tetapi ketika itu kira-kira NZ$6.78 juta (RM15.6 juta) sudah pun dipindahkan ke dalam akaun lain, manakala pasangan tersebut telah meninggalkan negara ini.
Polis menjejaki dan menangkap Hurring di lapangan terbang Auckland awal hari ini selepas dia pulang ke New Zealand secara sukarela.
"Penangkapan ini tentunya satu perkembangan positif dalam kes ini, tetapi siasatan belum berakhir," kata detektif yang mengetuai siasatan polis, Sarjan Kanan Mark Loper.
Polis berkata, kira-kira separuh daripada wang itu telah diperolehi semula tetapi sejumlah NZ$3.87 juta (RM8.9 juta) masih hilang dan Hurring akan menghadapi tuduhan mencuri dan pengubahan wang haram.
Tahun lepas Hurring dilaporkan bersembunyi di Hong Kong dan bersiap sedia untuk kembali ke tanah air selepas memutuskan hubungan dengan Gao tidak lama selepas mereka tiba di wilayah Guangdong, selatan China. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Lima lelaki bela diri edar dadah RM44 juta



KUALA LUMPUR 25 Feb. - Lima lelaki termasuk tiga beradik warga Mexico diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan mengedar 29,460.17 gram methamphetamine dianggarkan bernilai RM44 juta tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Beliau menetapkan 27 April ini untuk tertuduh mula membela diri.
Tertuduh Lim Hung Wang, 54; warga Singapura, Lee Boon Siah, 47; warga tempatan, Jose Regino Gonzales Villarreal, 33; Simon Gonzales Villarreal, 36, dan Luis Alfonso Gonzales Villarreal, 43.
Mereka didakwa mengedar dadah itu di sebuah kilang IPL Packaging Industries Sdn. Bhd., No. 55, Jalan Idaman 1/5, Senai Industries Park, Senai, Johor Bahru, pada pukul 3.15 petang, 4 Mac 2008.
Dakwaan terhadap mereka mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd. Zawawi dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan seorang saksi pendakwaan yang merupakan ahli kimia telah berjaya membuktikan kesan-kesan dadah di tempat kejadian.
Saksi tersebut memberitahu, kesan itu dijumpai pada pelbagai peralatan pemprosesan selain pakaian dan juga pada badan tertuduh.
"Berdasarkan keterangan saksi-saksi, mahkamah berpendapat tidak syak lagi kilang itu dijadikan tempat memproses dadah.
"Mengenai kehadiran tertuduh ketiga, keempat dan kelima yang dikatakan secara kebetulan adalah tidak munasabah," kata Mohd. Zawawi.
Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Kitson Foong, Ahmad Zaidi Zainal dan T. Kumar.
Utusan Malaysia Online - Kota

Julian Assange sedia bertarung di mahkamah



LONDON 25 Feb. - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange berikrar beliau bersedia menghadapi pertarungan undang-undang yang berpanjangan selepas seorang hakim Britain memutuskan supaya beliau diekstradisi ke Sweden untuk menghadapi tuduhan rogol.
Pasukan peguam mewakili warga Australia itu berkata, mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim Howard Riddle yang menolak hujah peguam bela bahawa Assange akan menghadapi perbicaraan yang tidak adil di Sweden dan hak asasinya akan dicabuli.
Assange yang bercakap selepas perbicaraan di Mahkamah Majistret Belmarsh di sini, mengkritik sistem kehakiman Eropah yang digunakan untuk menahannya pada Disember lalu berhubung dakwaan beliau melakukan penderaan seksual terhadap dua wanita di Sweden.
"Ini semua berpunca daripada sistem Waran Tangkap Eropah yang digunakan sewenang-wenangnya.
"Sepanjang proses ini tiada pertimbangan diberikan terhadap kewajaran dakwaan terhadap saya," katanya kepada kira-kira 100 wartawan dari seluruh dunia.
Penyokong Assange di kalangan selebriti termasuk Jemima Khan dan aktivis hak asasi manusia, Bianca Jagger turut menghadiri perbicaraan itu.
Sementara itu, berpuluh-puluh penyokong yang sesetengahnya memakai pakaian berwarna oren seperti tahanan di Teluk Guantanamo menunjuk perasaan di luar mahkamah.
Assange diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan rayuan dan jika beliau gagal berbuat demikian, beliau mesti diekstradisi ke Sweden dalam masa 10 hari selepas tamat tempoh rayuan.
Beliau boleh mencabar keputusan hakim itu di Mahkamah Tinggi dan seterusnya di Mahkamah Agung Britain.
Assange menggegarkan institusi diplomatik dunia dan membangkitkan kemarahan Washington pada tahun lepas apabila laman web beliau mula menyiarkan beratus-ratus ribu dokumen sulit tentera dan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS). - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Peragut baru kahwindi penjara 4 tahun



MUHAMMAD Khairul Amir Mohd. Kamal dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 25 Feb. - Seorang penjual burger yang baru dua bulan melangsungkan perkahwinannya dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan, tahun lalu.
Hakim Roslan Ahmad memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Muhammad Khairul Amir Mohd. Kamal, 23, yang berasal dari Jalan Perda Utama, Bukit Mertajam berkuat kuasa mulai hari ini.
Sebaik sahaja hukuman dibacakan, tertuduh yang berbaju-T dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepalanya.
Dalam keadaan sebak dia juga beberapa kali memandang isteri dan ibunya yang berada di galeri awam.
Mahkamah sepatutnya hari ini mendengar keterangan tertuduh setelah dia diperintahkan membela diri atas tuduhan itu 7 Februari lalu. Bagaimanapun, dia memilih untuk mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairul Amir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan dengan mengambil sebuah beg pinggang berwarna hitam daripada mangsa, Yong Guan Seng, 48.
Perbuatan itu dilakukannya pada pukul 3.05 petang, 13 Julai 2010, di Jalan Mount Erskine (berhampiran kubur Cina) di sini.
Beg tersebut mengandungi wang tunai RM1,000, empat kad kredit pelbagai bank, kad pengenalan, lesen memandu, dua telefon bimbit, serangkai kunci, dan beberapa dokumen lain milik mangsa.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Abu Hanipah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang membonceng sebuah motosikal bersama rakannya bertindak membuka beg pinggang milik mangsa dari arah belakang sebelum melarikannya.
Mangsa bagaimanapun sempat mengecam muka dan warna pakaian suspek ketika itu.
Tertuduh juga menoleh beberapa kali ke arah mangsa sambil mentertawakannya tetapi motosikal yang dinaiki suspek berpatah balik ke tempat kejadian semula kerana tersesat jalan.
Ketika itu, mangsa sempat menyalin nombor pendaftaran motosikal tertuduh yang dipercayai palsu dan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.
Hasil maklumat daripada mangsa, suspek bersama rakannya itu berjaya ditahan di kawasan Weld Quay kira-kira 15 minit kemudiannya dan berlaku pergelutan. Rakan tertuduh sempat melarikan diri dan tidak berjaya ditangkap sehingga kini.

6 lelaki ditahan miliki dadah




KLUANG - Enam lelaki tempatan ditahan polis kerana memiliki pelbagai jenis dadah dalam satu operasi polis di sebuah rumah di Taman Kampung Majid, di sini, kira-kira jam 2.05 petang, pada 23 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad berkata, semua suspek yang ditahan berusia di antara 19 hingga 32 tahun dan dipercayai tidak bekerja.

“Tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kluang, hasil maklumat daripada siasatan dan orang awam.

"Pihak polis telah memberi amaran sebanyak tiga kali untuk membuka pintu rumah sebelum bertindak memecahkan pintu di bahagian belakang, seterusnya berjaya menahan enam lelaki terbabit," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Hasil pemeriksaan katanya, polis menjumpai empat plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat kasar 7 gram dan sepaket plastik berisi bahan disyaki ganja dengan berat kasar 1.4 gram.

Polis turut menjumpai 15 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki heroin dengan berat kasar 67.6 gram di dalam mangkuk tandas, dua alat penimbang dan sepucuk pistol mainan berwarna hitam dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka.

Beliau berkata, keenam-enam suspek iitu juga didapati positif dalam ujian dadah dan mereka direman selama seminggu bermula pada 24 Februari hingga 2 Mac depan.

“Semua suspek ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
SH

Pemandu wanita terselamat




MUAR – Seorang wanita terselamat apabila kereta yang dipandunya jenis Nissan terbakar secara tiba-tiba ketika melalui Jalan Junid di sini, kelmarin.

Dalam kejadian ketika jam 8.30 pagi, Asiah Khamis berkata, dia dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Jalan Junid.

Menurutnya, apabila menghampiri persimpangan Jalan Junid, keretanya mengeluarkan asap dari papan muka kenderaannya.

“Panik dengan kejadian tersebut, saya mengambil tindakan pantas keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri sebelum api menjadi marak membakar kereta.

“Saya berasa bingung dan terkejut dengan insiden ini serta bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, saksi kejadian, Zakaria Muhammad, 58, berkata, dia berada di tempat kejadian semasa insiden tersebut berlaku.

Menurutnya, ketika itu dia bersama beberapa rakannya yang lain baru pulang daripada berjoging di kawasan Tanjung Emas.

“Semasa melintasi persimpangan lampu trafik berkenaan, saya terkejut melihat api marak dari sebuah kereta.

“Orang ramai yang melalui jalan ini turut menjarakkan diri dari kenderaan terbabit kerana bimbang kereta yang terbakar ini meletup dan membahayakan nyawa orang ramai,” katanya.

Menurutnya, sejurus terlihat insiden kebakaran itu, dia segera menelefon bomba untuk menyelamatkan keadaan memandangkan api semakin marak di kereta tersebut.

“Orang ramai ketakutan dan berusaha menjauhkan diri daripada kenderaan tersebut kerana bimbang akan meletup pada bila-bila masa.

“Kira-kira 10 minit kemudian anggota bomba tiba ke lokasi kejadian untuk memadamkan api, namun kenderaan itu sudah hangus terbakar,” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya mengambil masa lebih kurang lima minit untuk memadamkan api.

“Insiden ini turut menyebabkan lalu lintas di persimpangan lampu trafik di Jalan Junid sesak dan pulih sediakala apabila rangka kenderaan itu dialihkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan mangsa terselamat daripada sebarang kecederaan,” katanya.
SH

Adik belasah kakak




MUAR – Gara-gara tidak berpuas hati mengenai harta pusaka, seorang wanita berusia 46 tahun nyaris maut apabila dia dipukul oleh adik lelakinya di Kampung Seri Menanti Pagoh pada 20 Februari lalu.

Bukan itu sahaja, mangsa turut diugut oleh adik lelakinya dengan mengacukan sebilah pedang samurai di lehernya.

Kerana takut dengan ancaman daripada suspek, mangsa bertindak membuat laporan di Balai Polis berhampiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan berkata, berdasarkan laporan itu, pihak polis membuat serbuan untuk menangkap suspek dan merampas pedang samurai tersebut.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga pihak polis turut menjumpai dan merampas sebilah senapang angin.

“Serbuan ini juga akhirnya berjaya membongkar aktiviti rakan suspek yang terbabit dalam membuat senapang angin di rumahnya di Kampung Makmor, Pagoh.

“Suspek dan rakannya ditahan kerana dipercayai memiliki dan membuat senjata api tanpa lesen,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret pada 24 Februari lalu di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan dikenakan denda RM800 setiap seorang atas kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen

“Suspek berusia 38 tahun itu juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dengan denda sebanyak RM800 serta disiasat mengikut Seksyen 323 kanun yang sama kerana mencederakan kakaknya,” katanya.
SH

Peniaga didakwa merompak




IPOH – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri dan merompak sebuah motosikal dan barangan berharga milik seorang lelaki, minggu lalu.

Mohd Ridwan Mohd Yusof, 25, didakwa mencuri sebuah motosikal milik Mohamad Sallehuddin Abd Hamid yang mengandungi sebuah telefon bimbit, dompet mengandungi wang tunai RM10 dan kad mesin juruwang automatik (ATM).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Persiaran Klebang putra A8, Taman Klebang Putra, Chemor di sini, 1 petang, 16 Februari lalu.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 dengan membawa keluar dari kawalan Mohamad Sallehuddin. Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd ridwan dituduh merompak sebuah motosikal, sebuah telefon bimbit, dompet, kad bank dan wang tunai RM10, harta dalam kawalan individu yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Ridwan yang tidak diwakili peguam bela memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal kemudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 14 Mac ini.
SH

Kelindan lori maut tersepit




SUNGKAI – Seorang kelindan lori maut apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 358.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar Sungkai, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang ini, mangsa, P Kalaiselvan, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan dan kepala sementara pemandu lori, S Saravanan, 39, hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa, Saravanan berkata, dia bersama Kalaiselvan dalam perjalanan untuk menghantar sayur dari Cameron Highlands ke Selangor.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kiri lori yang dipandunya tiba-tiba meletup dan pecah menyebabkan dia tidak dapat mengawal kenderaan itu.

“Saya tidak dapat mengawal lori yang membawa muatan sayur ini menyebabkan kami melanggar penghadang tepi jalan sebelah kiri.

“Kemudian lori ini terus terjunam ke dalam gaung menyebabkan rakan saya tersepit namun, saya sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Saravanan berkata, dia menggagahkan diri untuk keluar daripada lori bitu dan mendaki gaung untuk meminta bantuan.

Katanya, dia bersama mangsa sering bekerja bersama untuk menghantar sayur-sayuran yang diambil di Cameron Hihglands untuk dibawa ke pasaraya di sekitar Selangor.

“Kalaiselvan tidak mempunyai lesen maka dia hanya mengikut saya untuk membantu memunggah barangan dan saya sangat sedih kerana kehilangan seorang rakan sekerja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan berkaitan kejadian ini.

“Punca sebenar kemalangan adalah tayar pecah menyebabkan lori itu terbabas dan mangsa tersepit selepas kenderaan tersebut terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter,” katanya.
SH

Bekas Mejar disabit kesalahan menipu



BUTTERWORTH - Seorang bekas pegawai tentera berpangkat Mejar dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen 2 di sini, semalam sebaik didapati bersalah atas lima tuduhan alternatif iaitu menipu sebanyak RM54,750 bagi tujuan mengaut keuntungan peribadi.

Selepas hukuman denda dijatuhkan oleh Hakim Mohd Zairan Aman pada prosiding yang membabitkan pengakuan bersalah oleh Ahmad Jamaluddin, 44, itu, beliau dilihat tersenyum memandang ke arah peguam belanya, V Pamela sebelum keluar dari kandang orang kena tuduh untuk dibawa ke lokap sementara menanti proses pembayaran denda.

Ahmad dituduh melakukan kesalahan menipu seorang individu yang dikenali sebagai Johari Omar dengan menyerahkan dokumen kerajaan yang palsu iaitu bagi tujuan kerja-kerja perbekalan ketika bertugas di 92 DKP, Batu Kentomen, Kuala Lumpur enam tahun lalu.

Tuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan selepas Johari memenuhi permintaannya dengan membuat pembayaran sebanyak lima kali bermula antara 21 Julai 2005 sehingga 16 September 2005 lalu.

Menurut kertas pertuduhan, kali pertama Johari menyerahkan wang tunai RM19,750 kepada Ahmad ialah pada 21 Julai 2005 jam 12.57, di Affin Bank Cawangan Seberang Jaya kira-kira jam 12.57 tengah hari.

Manakala pada 2 Ogos 2005 pula, Johari menyerahkan wang berjumlah RM6,000 pada jam 12.37 tengah hari.

Bagi kesalahan ketiga Johari diperdaya menyerahkan wang berjumlah RM4,000 kepada Ahmad pada 22 Ogos 2005 jam 11.36 pagi dan kesalahan keempat dilakukannya pada 9 September 2005 jam 12.57 tengah hari di bank sama, dengan memperdaya Johari memberikan wang berjumlah RM5,000.

Bagi kesalahan kelima pula, Johari diperdaya di Affin Bank cawangan Seberang Jaya pada 16 September 2005 menyerahkan wang kepada tertuduh berjumlah RM20,000 pada jam 3.12 petang.

Hakim Mohd Zairan juga mengarahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim.
SH

Empat ‘beach boy’ didakwa




GEORGETOWN - Empat ‘beach boy’ di pantai Batu Feringghi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki dua minggu lalu.

Mohd Shawal Ahmad, 23, dari kampung Pokok Macang, Padang Temak, Kuala Nerang, Kedah; manakala tiga lagi berasal dari Batu Feringghi, iaitu Muhamed Azlasshah Muhamed Yusoff, 27, Muhamad Alimshah Muhamed Yusoff, 31, dan Sahhar Mohd Redzuan, 28, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mereka bersama-sama seorang lagi masih bebas didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan, Mah Mun Zuen, 26, di hadapan kedai Hasni Mini Market Jalan Sungai 1, Batu Feringghi, kira-kira jam 2.15 pagi, 12 Februari lalu.

Kesemuanya didakwa melakukan homisid salah tidak berjumlah kepada kesalahan membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, G Jaya Prem menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam.
SH

Kereta rempuh dua motosikal




SUNGAI LIMAU DALAM - Sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan penunggang motosikal terbabit cedera ringan di pekan Sungai Limau Dalam, petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 petang itu berpunca daripada satu tayar kereta berkenaan yang dikatakan meletup secara tiba-tiba sehingga membuatkan pemandu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh dua motosikal.

Berikutan itu, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang dikatakan gagal mengelak kemalangan tersebut lalu merempuh sebuah motosikal terbabit.

Pemandu kereta, Ng Ain Choi, 42, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan balik dari pekan Guar Chempedak ke Kampung Kabu 10.

“Saya pergi pekan Guar Chempedak untuk beli barang dapur, kemudian, saya pulang macam biasa. Saya tidak rasa perubahan pada kereta saya. Lagipun, saya selalu periksa kenderaan saya sebelum pergi ke mana-mana.

“Masa saya pandu, tayar kereta saya masih elok. Lagipun, baru dua hari lalu saya pam tayar kereta saya. Namun begitu, masa saya saya pulang dari pekan Guar Chempedak, tiba-tiba tayar kereta saya meletup,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, akibat letupan itu, dia gagal mengawal kenderaannya.

“Selepas tayar saya meletup, saya memang tidak dapat kawal kereta saya. Stereng kereta saya seperti berpusing sendiri. Saya memang tidak boleh buat apa ketika itu. Saya sedar, ada beberapa motosikal berada di sebelah saya, saya cuba mengelak tapi tidak boleh.

“Kereta saya asyik berpusing ke kiri dan ke kanan. Selepas, datang lagi sebuah motosikal dari arah belakang lalu merempuh sebuah motosikal terbabit,” katanya.

Penunggang motosikal, Mohd Redzuan Rosli, 17, berkata, ketika itu dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Lepas tayar kereta tersebut meletup, pemandunya hilang kawalan dan masuk ke bahagian jalan saya. Sebelah saya pun ada sebuah motosikal, lepas itu, saya nampak kereta itu ke kiri dan ke kanan lalu merempuh motosikal saya dan sebuah lagi motosikal.

“Ketika itu saya berada dalam keadaan terkejut dan tidak tahu nak buat apa. Nasib baik orang ramai ada, mereka bantu saya,” katanya yang hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Kemalangan itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan dan siasatan sedang dilakukan.
SH

Sudah jatuh ditimpa tangga




KULIM - Seorang perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 29 tahun yang berasal dari Balik Pulau, mendakwa ditinggalkan warisnya di hentian bas Sahab Perdana, Alor Setar sebelum ditemui di hentian bas Kulim oleh anggota polis Unit MPV dari Balai Polis Kulim, malam kelmarin.

Mangsa, yang hanya dikenali dengan nama Wan berkata, sejak kecil dia tinggal bersama ibunya di Pulau Pinang setelah bercerai dengan bapa kandungnya.

Apabila ibunya meninggal dunia, dia dipelihara oleh nenek. Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila neneknya meninggal dunia bulan lalu.

Menurutnya, tanggungjawab menjaganya diserahkan kepada abang sepupu. Beberapa hari sebelum dia ditinggalkan di stesen bas, Wan mendakwa abang sepupunya membawanya ke rumah seorang kawan dan meminta dia tinggal di rumah itu tetapi dia enggan kerana rumah itu didiami ramai lelaki bujang.

Wan mendakwa, dia kemudiannya dimarahi sebelum dibawa ke Alor Setar dan ditinggalkan di hentian bas Sahab Perdana.

Dia yang tidak pernah pergi ke Alor Setar kemudiannya diragut ketika berjalan berseorangan di sekitar hentian bas.

Katanya, semua dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank dan buku simpanannya hilang. Nasib masih menyebelahinya apabila dia mempunyai RM200 yang disimpan di dalam poket seluar.

“Selepas diragut saya berkenalan dengan seorang remaja bernama Ina sudi membantu saya kerana dia selalu pergi ke Batu Maung. Saya kemudiannya mengikut Ina balik ke Kulim dan dia berjanji membantu saya. Apabila sampai di hentian bas Kulim kira-kira jam 10 pagi, dia meminta saya meminjamkan RM200 kepadanya.

“Setelah menyerahkan wang, Ina suruh saya tunggu di hentian bas sehingga dia datang kerana mahu mengambil duit di bank. Saya tunggu sehingga jam 9 malam tetapi dia tidak muncul.

“Saya kemudiannya didatangi dua anggota polis sebelum dibawa ke balik Balai polis Kulim. Setelah memberi keterangan, saya dibenarkan berehat sementara menunggu pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil saya” katanya.

Penolong Pegawai Kebajikan Daerah Kulim, Mohd Kaffe Miskam berkata, Wan akan di bahawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk mendapatkan perintah mengikut Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 (kutu rayau) bagi menempatkan dia di Rumah Sri Kembangan Bidung.

Menurutnya, mangsa merupakan OKU yang cacat pada bahagian kaki dan lembam. JKM akan mendapatkan perintah dari mahkamah Majistret Kulim untuk menempatkan dia di Rumah Sri Kembangan Bidung bagi tempoh 30 hari.

“Sekiranya tidak ada sesiapa mengaku pewaris kepadanya, dia akan dibawa semula ke mahkamah dan perintah mahkamah di bawah Seksyen 3(4) Akta Orang Papa 1977 akan dibuat di mana Wan akan dihantar ke pusat pemulihan yang sesuai bagi tempoh tiga tahun” katanya.

Bagi ahli keluarga yang mengenali Wan, boleh menghubungi JKM di talian 04-4907403.
SH

Pemandu bas dipenjara, sebat




GEORGETOWN - Seorang pemandu bas kilang dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan merogol seorang gadis di dalam bas, dua tahun lalu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, pembelaan gagal menimbulkan keraguan kes prima facie terhadap Vengadesvaran Subramaniam, 26, pada akhir kes.

Bagaimanapun, Sitarun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Vengadesvaran ditangguhkan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan.

Oleh itu, peguam K Kumarathiraviam yang mewakili tertuduh diminta memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.

Vengadesvaran, kelihatan tenang sebaik sahaja mendengar keputusan itu.

Tertuduh dari Datuk Keramat, didakwa merogol seorang wanita berusia 25 tahun dalam bas kilang di Jalan Changkat Minden Gelugor, sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa, kira-kira jam 11.20 malam, 30 Jun 2009.

Vengadesvaran didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
SH

Siasat suspek buang bayi



SEREMBAN - Penuntut perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditahan polis kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi di Pontian, Johor, Rabu lalu, kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, suspek berumur 20 tahun itu ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Suspek yang juga penuntut tahun akhir sebuah IPTA di Kuala Pilah masih disiasat di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran. Setakat ini, tiada tangkapan lain dibuat,” katanya, semalam.

Penahanan suspek adalah susulan penemuan mayat bayi lelaki yang ditemui dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Api-Api dekat Pontian, Johor, kira-kira jam 9 malam, 20 Februari lalu.

Penuntut perempuan terbabit dikatakan menunggang motosikal seorang diri sejauh 300 kilometer dari rumah sewanya di Kampung Parit Tinggi dekat Beting, Kuala Pilah ke stesen minyak berkenaan.

Pihak polis yang menerima maklumat daripada pekerja stesen minyak berjaya mengesan dan menahan suspek di kediaman keluarganya, kira-kira jam 9 malam, 23 Februari lalu.

Siasatan awal polis mempercayai suspek melahirkan bayi lelaki itu di tandas rumah yang disewanya bersama empat penuntut perempuan lain.

Sinar Harian pernah melaporkan mengenai penemuan kesan tompokan darah pada bilik air rumah sewa oleh rakan serumah suspek, Isnin lalu.

Pemeriksaan polis dengan bantuan unit anjing pengesan menemui satu bungkusan kain dengan kesan darah tertanam di kawasan belakang rumah berkenaan.
SH

Denda RM6,000 gara-gara menyamar



AYER KEROH - Tindakan seorang suami tergesa-gesa menghantar isterinya yang sarat mengandung ke hospital membawa padah apabila ditahan anggota polis peronda kerana memandu menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan.

Lebih memburukkan keadaan, bapa kepada enam anak itu menyamar dengan mengaku sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila tidak berpuas hati kerana disaman.

Akibat perbuatannya itu, Mohd Nizam Tompang, 34, dipenjara enam bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Nizam didapati melakukan perbuatan berpura-pura menyamar sebagai penjawat awam terhadap seorang anggota polis di Lebuh AMJ Bachang, jam 3.25 petang pada 8 Februari lalu.

Mohd Nizam didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Ahli Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam, Maryam Hasan merayu hukuman ringan diberikan kerana telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama atau melakukan jenayah lain.

“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah kerana ketika kejadian dia sebenarnya panik dan dalam perjalanan ke hospital untuk menghantar isterinya yang sarat mengandung,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat ketika pendakwaan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.

Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000 atau penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda.
SH

Kereta meletup




LUKUT – Seorang lelaki melalui saat getir apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar sekitar jam 11.08, pagi semalam.

Lelaki terbabit yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia memandu dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke bilik pameran sebuah syarikat kereta di Port Dickson.

Menurutnya, ketika tiba di lampu isyarat di Lukut, dia memberhentikan kereta kerana lampu merah dan ketika mahu bergerak semula enjin kenderaannya mati.

“Ketika mahu menghidupkan semula enjin kereta, saya terdengar satu bunyi letupan. Ketika itu ada asap keluar daripada bahagian enjin kereta dan saya terus keluar menyelamatkan diri.

“Beberapa saat selepas itu kereta terbakar, sebelum seorang pemandu lori memberikan pertolongan dengan menggunakan alat pemadam api yang disimpan dalam kenderaannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, walaupun berjaya memadamkan kebakaran, api menyala semula selepas itu sebelum berlaku lagi satu letupan.

“Anggota bomba dan penyelamat kemudian datang dan berjaya mengawal api sebelum memadam kebakaran berkenaan.

“Kereta terbabit masih dalam proses pendaftaran dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, anggota bomba mengambil masa lebih kurang lima minit untuk memadam kebakaran.
SH

MAUT NGERI




GOMBAK – Seorang jurutera binaan maut dalam keadaan menyayat hati apabila tubuh badannya hampir putus selepas digilis dan diseret sejauh 10 meter dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 27.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, awal pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Md Mintu Abdul Rahman, 38, warga Bangladesh menunggang motosikal bersendirian ke tempat kerjanya dari arah Kuala Lumpur ke Genting Highlands.

Sumber polis berkata, mangsa yang berkemungkinan gagal mengawal motosikalnya terbabas di tengah jalan sebelum digilis sebuah kenderaan lain.

“Insiden ngeri itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk pada kaki dan badannya hampir putus.

“Motosikal mangsa rosak teruk namun kenderaan yang berlanggar dengannya masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, mangsa dengan alamat terakhir di Jalan Pandan Indah 6/12, Ampang itu dipercayai tinggal dan bekerja di negara ini sejak Mei 2008.

“Siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen menunggang motosikal. Setakat ini tiada saksi bebas yang melihat kejadian tampil membuat laporan.

“Sehubungan itu, mereka yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii ditalian 0361262257 untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.
SH

Rayu isteri pulangkan anak




KUANTAN – “Kalau boleh, saya mahu bawa anak saya pulang ke Malaysia dan membesarkannya di sini,” kata Gan Eng Tiong, 39, yang kehilangan anaknya sejak Jun tahun lalu akibat dibawa lari oleh isterinya Le Thi Ty, 20, warga Vietnam.

Eng Tiong ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berkata, Thi Ty membawa lari Gan Cai Shun, 2, setelah dia gagal memenuhi permintaan isterinya supaya menghantar wang kepada keluarganya di Vietnam sebanyak RM1,000 setiap bulan.

“Akibat tidak dapat memenuhi permintaannya itu, dia bertindak membawa lari anak saya sebagai tanda protes,” katanya.

Kata Eng Tiong, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan anak dan isterinya, namun masih gagal.

“Pernah saya ke Johor kerana mendapat berita bahawa mereka (isteri dan anak) berada di sana. Bagaimanapun, saya kecewa kerana tidak menjumpai mereka.

“Tidak putus asa, saya cuba bertanya kepada kawan-kawan isteri yang juga warga Vietnam. Namun, mereka juga sudah lama tidak berjumpa dengan isteri saya ,” katanya.

Sebulan setelah kehilangan isteri dan anaknya, Eng Tiong mendapat panggilan telefon daripada seorang kawannya yang mengenali keluarga mertuanya.

Difahamkan, kawannya itu pernah menelefon ke Vietnam dan mendengar suara tangisan kanak-kanak ketika bercakap dengan bapa mertuanya.

“Setelah mendapat keyakinan, saya dan kawan ke Vietnam untuk memastikan sama ada kanak-kanak tersebut benar anak saya atau tidak. Apabila berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut, saya dapat rasakan dia memang anak saya.

“Apa yang membimbangkan saya, keluarga mertua sudah menukar sijil kelahirannya kepada warganegara Vietnam. Ini sudah tentu menyukarkan proses untuk membawanya pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ADUN Teruntum, Chang Hong Seong akan membawa Eng Tiong berjumpa dengan kedutaan Vietnam pada hari Isnin ini (28 Februari) untuk mendapatkan bantuan.

“Kita harap kedutaan Vietnam dapat menghulurkan bantuan bagi memudahkan proses membawa pulang Cai Shun ke Malaysia. Tanpa campur tangan pihak kedutaan, masalah ini sukar untuk diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Hong Seong turut berpesan kepada masyarakat yang bercita-cita untuk berkahwin dengan warga asing supaya mengenali mereka terlebih dahulu bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

Sinar Harian 12 Februari lalu melaporkan Eng Tiong pernah membuat laporan polis berikutan kehilangan anaknya itu dan percaya isterinya masih berada di Malaysia setelah merujuk kepada pihak Imigresen.
SH

Cubaan jual balak haram gagal




BENTONG – Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Bentong berjaya menggagalkan usaha pihak tidak bertanggungjawab membawa keluar tiga tan kayu balak yang siap dipotong dalam satu serbuan, kelmarin.

Pegawainya, Badrol Hisam Abdul Rahman berkata, bertindak atas aduan dari orang awam pihaknya ke lokasi di pinggir Bukit Raka berhampiran perumahan Sungai Marong dekat sini.

Menurutnya, empat penguat kuasa membuat serbuan mengejut ke kawasan itu dan mendapati terdapat kayu yang sudah siap dipotong dan dalam proses di bawa keluar untuk dijual.

“Kayu yang siap dipotong dalam ditemui di sepanjang jalan masuk ke tempat operasi penebangan pokok secara haram dijalankan.

“Jarak antara tempat pengumpulan kayu sejauh 2.4 kilometer hanya merupakan jalan kecil dan tidak boleh dilalui kenderaan berat,” katanya kepada Sinar Harian.

Badrol Hisam berkata, selain lebih kurang 70 kayu dianggarkan seberat tiga tan yang siap dipotong, pihaknya juga turut menemui beberapa peralatan termasuk motosikal dipercayai milik pihak yang terlibat dalam aktiviti pembalakan haram itu.

Menurutnya, harga pasaran dianggarkan antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi satu tan kayu.

“Harga yang ditawarkan bagi balak curi seperti ini adalah lebih murah berbanding harga pasaran semasa iaitu boleh mencecah RM12,000 bagi satu tan,” katanya.



Guna kabel alihkan kayu



Beliau berkata, pencuri balak itu menggunakan teknik pemasangan kabel bagi membawa keluar kayu yang sudah siap dipotong ke bawah bukit.

Menurutnya, semua kayu itu juga dialihkan menggunakan traktor kecil memandangkan jalan agak kecil.

“Berdasarkan siasatan awal, kerja penebangan pokok di kawasan ini baru berjalan lebih kurang tiga minggu.

“Kebanyakan kayu yang siap dipotong dalam proses dikumpulkan sebelum di bawa keluar untuk dijual di pasaran Kuala Lumpur,” katanya.



Wujud khidmat tonto



Ketika serbuan dan bermalam di tempat kejadian, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan.

Badrol Hisam berkata, pihaknya yakin khidmat tonto digunakan bagi memaklumkan kehadiran penguat kuasa.

Menurutnya, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan individu yang disyaki dalam kes ini juga sudah dikenal pasti.

“Sekiranya didapati bersalah atas kesalahan mengeluarkan hasil hutan tanpa lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 yang membawa hukuman denda RM500,000 dan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 20 tahun.

“Ini merupakan kejayaan pertama Pejabat Hutan Daerah Bentong mematahkan penjualan balak haram bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas maklumat yang diterima berhubung kes ini dan ia berjaya mencegah penjualan hasil hutan secara haram.
SH

Berderai air mata lihat ayah, ibu kena gari




SANTONG – Seorang gadis sunti belasan tahun hanya mampu mengalirkan air mata menyaksikan kedua-dua orang tuanya digari polis setelah pasangan suami isteri itu disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Situasi menyayat hati yang turut disaksikan ibu kepada pasangan suami isteri terbabit berlaku setelah polis yang melakukan serbuan di rumahnya menemui sejumlah dadah bersama suspek lelaki.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, hasil risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah melakukan serbuan di rumah didiami pasangan terbabit kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pada badan suspek menemui satu botol mengandungi sejumlah serbuk putih disyaki dadah jenis heroin yang disembunyikan dalam seluar dalam suspek.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek lelaki, 41 positif morfin dan isterinya yang berusia 20 tahun itu disahkan positif Methapethamine.

“Suami isteri itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) akta yang sama,” katanya.
SH

Potong kaki guna pisau lipat




CHRISTCHURCH - Seorang doktor terpaksa menggunakan pisau lipat untuk memotong kaki seorang lelaki yang terperangkap dalam runtuhan batu selepas kejadian gempa bumi di New Zealand.

Pakar Urologi, Stuart Philip, 38, serta seorang lagi doktor wanita terpaksa menjalankan pembedahan di bawah runtuhan bangunan syarikat Pyne Gould Corporation selepas merangkak selama lima jam untuk mencari mangsa yang terselamat.

"Kami tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan pisau lipat untuk menjalankan prosedur tersebut."kata Philip.

Ukuran badan doktor wanita itu yang kecil memudahkannya menjalankan pembedahan di kawasan runtuhan yang sempit.

Philip berada di Christchurch untuk menyertai persidangan kesihatan apabila gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda dan membunuh sekitar 113 orang penduduk bandar itu.
SH

19 maut, 37 cedera nahas bas di Peru

Berita Harian Online


2011/02/26

LIMA: Sekurang-kurangnya 19 maut manakala 37 lagi cedera apabila sebuah bas terhumban ke dalam gaung di Andes, timur Lima, semalam.

Ketika kejadian bas itu menggunakan laluan Lebuh Raya Tengah, kira-kira 50 kilometer dari bandar Tornamesa, di Wilayah Harochiri.
“Bas berkenaan sebelum itu bergesel dengan sebuah trak sebelum hilang kawalan dan terhumban di gaung sedalam 180 meter,' kata komander kawalan lebuh raya berkenaan, Gaston Ramirez.

Bas itu dalam perjalanan dari Bandar Andean di Wilayah Huancayo untuk menuju ke ibu negara, Lima."

Dua beranak rentung kebakaran di Kepong


2011/02/26

KUALA LUMPUR: Palang besi di laluan masuk dan 'kehilangan' pengawal keselamatan yang bertugas, melambatkan usaha bomba menyelamatkan dua beranak yang akhirnya ditemui rentung dalam satu kebakaran, awal pagi ini.

Ong Ean Lee, 33 dan anak perempuannya Artina Loke Xin Yu, 2, maut dalam kebakaran pada pukul 5.45 pagi yang memusnahkan kediaman mereka di Taman Sri Sinar Kepong, di sini.
Lebih menyedihkan, suami Ong, Celven Loke yang juga Ketua Bomba Sukarela bahagian Kepong dan Batu difahamkan berada di Merlimau, Melaka kerana membantu sebuah parti politik berkempen pada pilihan raya kecil di situ.
Seorang saksi, A. Ananthan memberitahu pemberita beliau ternampak pasukan bomba terpaksa memotong palang besi yang melintangi laluan masuk kerana pengawal keselamatan yang sepatutnya berkawal tidak ada di situ.

"Mereka mengambil masa kir-kira lima minit memotong palang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa sebelum datang memadamkan kebakaran," katanya.

Anantha yang juga jiran kepada keluarga itu berkata beliau terdengar jeritan Ong meminta tolong kira-kira 5.45 pagi.

"Mangsa menjerit memanggil ''abang'' sebanyak dua kali namun selepas itu tidak lagi kedengaran suara mangsa. Saya kemudiannya keluar untuk melihat apa yang berlaku dan ternampak api sudah marak," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Othman Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.11 pagi dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dan Sri Hartamas dengan 27 anggota dihantar ke tempat kejadian.

"Kami tiba 10 minit kemudiannya dan berjaya mengawal kebakaran setengah jam kemudian.

"Bila diperiksa terdapat dua mangsa dalam bilik utama rumah teres tersebut yang anaknya berada di tepi katil manakala ibunya berada di atas katil," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. - BERNAMA
Berita Harian Online | Dua beranak rentung kebakaran di Kepong

Kontraktor CIA tuntut dibebaskan

Berita Harian Online


2011/02/26

LAHORE: Seorang kakitangan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) Raymond Allen Davis yang berdepan dua tuduhan membunuh di Pakistan, semalam bertegas beliau perlu dibebaskan kerana mempunyai kekebalan diplomatik, kata seorang peguam yang terbabit dalam kes itu.

Penahanan Davis menjadi punca hubungan di antara Amerika dan Pakistan terus tegang walaupun sekutu Washington itu dianggap amat penting bagi memerangi keganasan dan mengakhiri perang di Afghanistan.
Peguam Asad Manzoor Butt yang mewakili keluarga warga Pakistan yang maut selepas ditembak Davis, berkata, dalam perbicaraan yang dilakukan secara tertutup di sebuah penjara di Lahore, pendakwa cuba menyampaikan kertas pertuduhan kepada Davis.

“Davis, enggan menandatangani kertas pertuduhan itu dan berkata beliau enggan dibicarakan dalam kes itu kerana mempunyai kekebalan diplomatik mengikut perjanjian antarabangsa mengenai perlindungan ke atas diplomat,” katanya. – AP"

Pencuri, pengemis palsu ambil peluang kekecohan





2011/02/26



  • Foto
    PENGANTIN baru, Emma Howard dan Chris Greenslade bersorak selepas berkahwin, semalam.
  • Foto
    PAUL Stokes dengan bangga menunjukkan baju kemejanya yang tertera kekuatan gempa melanda Christchurch.
Kisah ceria dibayangi kegiatan jenayah di Christchurch

CHRISTCHURCH: Polis New Zealand menyuarakan rasa marah atas kegiatan mencuri, meminta derma palsu dan penipuan e-mel terhadap mangsa gempa bumi di Christchurch, lapor akhbar di sini semalam.
Mereka mengutuk pihak yang cuba mengambil kesempatan atas penderitaan orang lain ketika anggota penyelamat cuba mencari mangsa di bawah runtuhan selepas gempa 6.3 skala Richter melanda, Selasa lalu, menyebabkan 113 orang maut setakat ini.
Antara kisah gembira termasuk tindakan pantas Chris Greenslade untuk menyelamatkan tunangnya, Emma Howard , yang terperangkap enam jam tertimbus di bawah runtuhan bangunan pejabat PGC.

Greenslade segera berkejar ke bangunan itu dan mengorek menggunakan tangan untuk mencari dan menyelamatkan tunangnya.

Dalam satu lagi kes, seorang doktor Australia menggunakan sebilah pisau poket dan gergaji besi untuk memotong kaki seorang lelaki yang terperangkap di bawah runtuhan untuk menyelamatkannya.

Stuart Philip adalah antara beberapa doktor Australia di Christchurch yang menghadiri satu persidangan perubatan apabila gempa meranapkan bandar itu.
Philip memberitahu televisyen ABC, dia bimbang lelaki terbabit akan maut menyebabkannya dan ahli medik lain memutuskan satu-satunya cara untuk menyelamatkan lelaki yang cedera itu yang kakinya hancur di bawah runtuhan tiang berat adalah dengan memotong kakinya.

Tetapi, dalam perkembangan terbaru, pihak berkuasa berkata, semakin ramai penduduk melaporkan orang menyamar sebagai pegawai kerajaan, menunjukkan pengenalan palsu dan pergi dari pintu ke pintu untuk cuba memasuki hartanah mangsa.

Mencuri dan memecah masuk termasuk satu kes seorang wanita ditemui mati, turut dilaporkan manakala e-mel palsu meminta derma sudah ada di mana-mana.

“Saya marah dengan perbuatan orang seperti itu yang melihat bencana sebagai peluang mencari mangsa di kalangan yang terbabit,’ kata Superintenden, Russell Gibson kepada Radio New Zealand.

Oleh itu, 300 anggota polis akan ditugaskan meronda di bandar itu bagi menyekat mencuri dan mengawal jenayah tempatan.

Malah, dua daripada anggota polis juga menipu apabila memberitahu menyamar sebagai anggota bomba dan petugas mengenal pasti mangsa.

Gibson menggesa penduduk meminta pengenalan diri orang yang cuba meminta mereka berbelanja.

“Tolonglah periksa siapa mereka, bekerja di mana dan mengapa mereka ada di sini,” katanya lagi. – Agensi
Berita Harian Online | Pencuri, pengemis palsu ambil peluang kekecohan

Pegawai Imigresen didakwa minta rasuah RM25,840

Berita Harian Online

MOHAMAD Sani hadir  pada perbicaraan semalam.
MOHAMAD Sani hadir pada perbicaraan semalam.


2011/02/26


MOHAMAD Sani hadir pada perbicaraan semalam.
SEREMBAN: Seorang pegawai Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tuduhan meminta rasuah RM25,840 untuk tidak mengambil tindakan terhadap penumpang sebuah feri, tahun lalu.

Mohamad Sani Sham, 41, yang bertugas di Pejabat Imigresen Port Dickson didakwa bersama Mohd Yusof Bahari, 55, melakukan kesalahan itu di Pejabat Imigresen Port Dickson, kira-kira jam 3.30 petang 28 September 2010.
Dia dituduh dengan niat bersama meminta untuk dirinya wang tunai RM25,840 daripada seorang individu melalui Mohamad Shahriman Sharuddin sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap penumpang yang menaiki Feri Rasa Rindu 2 di Port Dickson.

Mohamad Sani didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam Ratfizi Zainal Abidin, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fieza Fazlin Fandi. Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes."

Mayat lelaki dalam beg pakaian

Berita Harian Online


2011/02/26

IPOH: Polis hari ini menemui mayat lelaki dalam sebuah beg pakaian di dalam parit berhampiran sebuah kilang di Batu 8, dekat Chemur dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, mayat berkenaan ditemui pada jam 3.35 petang oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.
'Polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain kemudian dimuatkan dalam sebuah beg pakaian sebelum dibuang di situ,' katanya kepada pemberita.

Azisman berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mengetahui mengenai mangsa supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500. - BERNAMA"

Mayat wanita berlumuran darah

Berita Harian Online


2011/02/26

GEORGETOWN: Mayat seorang wanita berlumuran darah ditemui di tingkat dua kawasan letak kereta sebuah pangsapuri di Lorong Madrasah, Jelutong di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, orang ramai menemui mayat mangsa berusia lingkungan 20an yang berpakaian lengkap dengan beberapa kesan kecederaan teruk terutama di bahagian kepala kira-kira jam 7.30 malam.
Katanya, berdasarkan maklumat beberapa saksi, mereka sebelum itu terdengar bunyi kecoh seperti orang bergaduh di tingkat 11 perumahan itu dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat.

'Orang ramai bergegas ke kawasan tempat letak kereta berkenaan dan menemui mayat dalam keadaan terlentang serta mengalami pendarahan yang teruk di kepala,' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen perjalanan diri bersama mayat berkenaan.

Menurut penduduk di situ, wanita terbabit bukan penduduk kawasan itu.

'Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,' katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, meminta mereka yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA"

Pemilik letak kenderaan tepi jalan sepak penguat kuasa


KESAL...Muhammad Hafizuddin menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Muhammad Hafizuddin menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.


KUALA LUMPUR: Seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cedera selepas dipukul dan diterajang seorang pemilik kereta dalam operasi menyita kenderaan di Dang Wangi, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi Jumaat lalu itu menyebabkan penguat kuasa berkenaan, Muhammad Hafizuddin Sharif, 27, cedera ringan di tangan dan perut selepas dipukul bertalu-talu oleh suspek yang berusia 20-an.

Beliau berkata, dia tidak menyangka pemilik kenderaan terbabit memukul dan menerajangnya selepas rayuan untuk mengambil kembali kenderaannya tidak dilayan.

Katanya, sebelum kejadian, mereka sudah memberi amaran kepada pemilik yang meletak kereta di tepi jalan supaya mengalihkan kenderaan, tetapi lelaki terbabit tiada di tempat kejadian.
“Oleh itu, kami menyita kenderaannya dengan menggunakan kren tunda sebelum dia muncul dan merayu supaya mengembalikan keretanya, tetapi kami memintanya hadir ke depoh tunda DBKL di Jinjang untuk menyelesaikan masalah itu.

“Ketika itu, lelaki terbabit tiba-tiba mengamuk dan menendang perut saya hingga terjatuh,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik terjatuh, lelaki terbabit terus menerus menendang perutnya menyebabkannya cedera.

“Dalam pergelutan itu, dua rakan saya sempat menggari lelaki terbabit sebelum anggota polis dari Balai Polis Dang Wangi datang membawanya ke balai polis untuk diambil keterangan.
“Selepas kejadian itu, saya dan rakan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.
myMetro | Pemilik letak kenderaan tepi jalan sepak penguat kuasa

'Ini semua salah faham'

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya sudah bebas daripada semua tuduhan dan kejadian yang berlaku sebenarnya hanyalah salah faham,” kata pelakon drama popular, Zaefrul Nadzarine Nordin, 45, atau Zaefrul ketika mengulas mengenai insiden dia ditahan pihak berkuasa selepas terbabit dalam kes ugutan terhadap dua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), minggu lalu.
Zaefrul dan dua lagi rakannya berusia lewat 30-an yang ditahan bagi membantu siasatan selepas menyerah diri dibebaskan Selasa lalu selepas pihak berkuasa melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu selain berpuas hati dengan keterangan serta kerjasama diberikan mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Menceritakan bagaimana kejadian itu bermula, Zaefrul berkata, dia dipanggil kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menggunakan sindiket nikah palsu untuk perkahwinannya yang kedua.

“Dua pegawai terbabit mendakwa mahu bertemu di sebuah kafe di Danau Kota sebelum saya pergi bertemu mereka ditemani tiga rakan kira-kira jam 11.20 malam Ahad lalu.


“Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang apabila seorang daripada rakan saya bercakap sesuatu yang kurang enak kepada dua pegawai penyiasat itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.


Menurutnya, dia tidak menyangka seorang daripada tiga rakannya itu mengambil tindakan itu dan dia kesal dengan apa yang terjadi.

“Selepas mengetahui dua pegawai itu membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan, saya tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong.

“Jika tidak bersalah, kenapa perlu takut dan selepas siasatan dilakukan saya dibebaskan. Ini jelas membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Menurut Zaefrul, dia berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap kejadian yang menimpanya itu.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya menggunakan sindiket nikah palsu didalangi pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berkahwin, Zaefrul mendakwa dia tidak terbabit sama sekali.

“Tidak semua yang dipanggil untuk proses siasatan terbabit dalam sesuatu kes yang sedang disiasat itu. Saya hanya dipanggil menyalurkan maklumat kepada mereka.

“Saya harap penjelasan ini dapat membersihkan semula imej yang tercalar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan pembebasan ketiga-tiga lelaki termasuk Zaefrul yang ditahan pihaknya bagi membantu siasatan membabitkan kes ugutan terhadap dua pegawai SPRM.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pelakon drama popular ditahan polis pada 19 Februari lalu selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.

Pelakon lelaki berusia 45 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet.

Beliau bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, supaya tidak meneruskan siasatan terhadapnya yang dilaporkan menggunakan sindiket nikah palsu untuk perkahwinannya yang kedua.
myMetro | 'Ini semua salah faham'

Pramugari makan gula-gula kandungi hashish

myMetro


DUBAI: Seorang pramugari warga Jerman mendakwa dia ditawarkan gula-gula yang tanpa dikatahuinya mengandungi hashish.

“Saya tidak bersalah...saya tidak mengambil dadah dengan sengaja. Ia berlaku tanpa kesedaran dan diluar kawalan,” ujar pramugari berusia 24 tahun itu di mahkamah Dubai.


Dia didakwa mengambil dadah jenis hashish.

Sebelum itu, peguamnya Salem Al Sha'ali menegaskan bahawa anak guamnya tidak tahu gula-gula yang ditawarkan seorang lelaki India kepadanya mengandungi hashish. “Anak guam saya seharusnya melakukan pendakwaan bukan menjadi defendan. Dia yang melaporkan kejadian itu kepada polis. Apa yang sebenarnya berlaku, ketika pemandu anak guam saya menghantarnya ke sebuah hotel, dia bertemu dengan rakyat India itu yang menawarkan gula-gula kepadanya. Dia rasa pening selepas memakan gula-gula itu. Dia menelefon rakannya sebelum dinasihati rakannya itu supaya segera ke hospital,” kata Salem di hadapan hakim Mohammad Majed Mohammad."

Wanita Saudi enggan naik teksi warga tempatan

myMetro


JEDDAH: Pemandu teksi warga Arab Saudi terkejut kerana golongan wanita cuba mengelak daripada menaiki teksi mereka kerana bimbang dicabul. Kebanyakan wanita negara itu hanya akan menaiki teksi yang dipandu lelaki warga asing.

Sebilangan wanita diwawancara Arab News tidak menyembunyikan kebimbangan mereka.
Suri rumah, Wajida Abdullah berkata, dia lebih menggemari pemandu asing daripada pemandu tempatan.

“Pemandu teksi Saudi mengenakan bayaran yang tinggi. Pemandu warga asing akan memandu perlahan jika ditegur tetapi tidak dengan pemandu teksi Saudi yang tidak akan mempedulikan teguran,” katanya."

Kerja dajal dua rakan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai mencampurkan pil khayal dalam minuman seorang ahli perniagaan sebelum melarikan kenderaan miliknya ketika mangsa tidur.
Lebih malang apabila mangsa hanya tersedar keesokan harinya sebelum mendapati kenderaannya sudah tiada dipercayai dilarikan dua lelaki terbabit.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang Rabu lalu, mangsa yang berusia 31 tahun keluar minum dengan dua lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, suspek mempelawa mangsa ke sebuah hotel mewah di Jalan Changkat Thamby Dollah, di sini, sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah bilik hotel disewa itu.

“Di hotel berkenaan, mangsa mendakwa diberi minum oleh seorang daripada suspek sebelum pening dan tidak sedarkan diri. Difahamkan, mangsa pengsan akibat meminum air yang dicampurkan pil khayal.


“Mangsa yang tertidur hanya sedarkan diri sehari kemudian sebelum mendapati dua rakannya itu sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang keliru keluar dari hotel itu untuk ke keretanya sebelum terkejut apabila mendapati Toyota Avanza milik abangnya hilang.

“Mangsa menghubungi kedua-dua rakannya itu, namun suspek mematikan telefon. Berikutan itu, mangsa yakin diperdaya suspek yang membuatnya pengsan sebelum melarikan kenderaan itu.

“Mangsa menghubungi abangnya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini. Susulan itu, polis melakukan siasatan dengan mengambil keterangan mangsa selain cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hotel berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang pelajar lelaki berusia 30 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk rakannya selepas dinasihati supaya memperbaharui visa bagi membolehkannya tinggal secara sah di negara ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, mangsa berjumpa suspek di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, sebelum berlaku pertengkaran selepas suspek enggan mendengar nasihatnya.


Suspek yang naik berang menumbuk muka mangsa berulang kali menyebabkan mata sebelah kiri mangsa lebam. Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan polis.
myMetro | Kerja dajal dua rakan