Search This Blog

Thursday, February 24, 2011

Pelajar cedera jatuh dari tingkat satu bangunan sekolah



Oleh Nurhasyima Hasim
nurhasyima@bharian.com.my
2011/02/24

MELAKA: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Pay Fong di Jalan Tan Chay Yan dekat sini, cedera di bahagian kaki dan pergelangan tangannya selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah berkenaan kira-kira jam 11.05 pagi ini.

Pengetuanya, Chong Joon Kin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.05 pagi iaitu ketika waktu rehat dan disedari pelajar sebelum memaklumkan kepada guru.
"Saya dimaklumkan pelajar terbabit terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah dan saya ingin tegaskan bahawa dia hanya cedera ringan dan keadaannya kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital."Buat masa ini, kita masih belum mengetahui punca kejadian itu berlaku. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut," katanya pada sidang media di pejabat sekolah berkenaan di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menolak sebarang unsur jenayah dalam kes itu.

'Datuk Kabi' kena cekup

myMetro
"MERSING: Polis Johor semalam, bertindak menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Datuk Kabi’ atau nama sebenarnya C Kamaleshwaran, berikutan melanggar syarat apabila keluar dari kawasan Tenggaroh di sini, ketika menjalani hukuman Akta Kediaman Terhad 1933 selama dua tahun.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki yang dikenakan tindakan mengikut Akta Kediaman Terhad berhubung kes penipuan itu kerana melanggar syarat hukuman.

Beliau berkata, penahanan Datuk Kabi dilakukan berikutan dua laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa ditipu lelaki terbabit dalam urusan jual beli kenderaan mewah di Petaling Jaya."

Pasangan sorok TV milik hotel dalam beg pakaian

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih yang menginap di sebuah hotel mewah di ibu kota, cuba mendapatkan ‘cenderamata’ dengan mencuri dan menyembunyikan sebuah televisyen besar dalam beg pakaian mereka.

Mereka dipercayai mencabut televisyen LCD bersaiz 32 inci sebelum berpura-pura ke lobi hotel yang terletak di Jalan Bukit Bintang, di sini dalam usaha melarikan diri, kelmarin.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang kakitangan hotel yang bertugas di lobi melihat suspek berjalan keluar dari pintu hotel secara tergesa-gesa.

“Berikutan itu, dia segera bertindak menahan pasangan terbabit untuk pemeriksaan lanjut. “Namun suspek enggan membenarkan beg pakaiannya disentuh kakitangan terbabit. Malah pengawal keselamatan yang turut masuk campur ditegah daripada membuka beg pakaian itu,” katanya.


Menurutnya, suspek berjalan masuk semula ke dalam bilik hotel sambil diekori kakitangan hotel berkenaan.


“Bagaimanapun suspek tidak membenarkan kakitangan itu memeriksa atau masuk ke bilik mereka dengan alasan tidak mahu diganggu,” katanya.

Menurutnya, suspek hanya membenarkan dua pengawal keselamatan hotel terbabit memasuki bilik berkenaan 10 minit kemudian.


“Hasil pemeriksaan awal dilakukan, kakitangan hotel mendapati kedudukan televisyen terbabit dalam keadaan senget dan tidak sempurna. “Namun pengawal keselamatan hotel memeriksa tandas dan mendapati alat pemanas air yang dipasang turut lesap,” katanya.

Menurutnya, suspek akhirnya mengaku mencuri alat pemanas air berharga RM500 itu sebelum diserahkan kepada rakannya sebelum ini.

Terperdaya nasihat ‘doktor’



AYER KEROH - Kerana terlalu yakin, seorang pelanggan akhirnya terpedaya dengan kemampuan seorang ‘doktor’ yang dikatakan boleh mengesan pelbagai penyakit hanya dari mata seseorang.

:Berikutan itu, dia terpaksa menuntut semula RM14,000 dari sebuah syarikat rawatan kesihatan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam.

Sarip Sayed, 50, mendakwa pada kejadian bermula 2009, dia dan isteri bertemu dengan seorang doktor yang mendakwa boleh mengubat pelbagai jenis penyakit dan telah menghasilkan ubat sendiri.

‘Doktor’ itu mengambil gambar matanya dan memaparkanya di skrin LCD sebagai alat pengesan penyakit dia dan isterinya.

“Doktor itu kemudian mengesahkan saya telah mengalami pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan buah pinggang rosak serta mengsyorkan membeli ubat-ubatan yang dibuatnya sendiri sebagai langkah untuk mengubati penyakit yang dihadapi oleh saya,” katanya.

Terpedaya dengan kata-kata ‘doktor’ itu dan ingin memastikan kesihatan diri dan keluarga, Sarip membayar RM14,000 sebagai kos untuk membeli ubat-ubatan yang berbentuk pil, cecair dan teh.

Namun, katanya, setelah mengamalkan pemakanan ubat-ubatan yang dibeli itu, tiada perubahan positif berlaku kepada kesihatannya.

Malah, keadaan bertambah buruk apabila dia mengalami kompilasi kekurangan garam dalam darah serta perlu membuat pemeriksaan darah sekali dalam tiga atau empat bulan di hospital.

“Saya kemudian menghubungi syarikat terbabit untuk bertanyakan mengenai masalah dihadapi, tetapi tiada respon diterima serta pejabat syarikat itu juga sudah ditutup,” katanya,

Sementara itu, Presiden Tribunal, Samuel Mut John Brody meminta syarikat terbabit membayar semula RM14,000 kepada Sarip dalam tempoh 14 hari dari tarikh tuntutan diputuskan.

Sindiket warga asing tumpas



SHAH ALAM – Helah satu sindiket warga Indonesia termasuk seorang wanita yang mengubah tarikh pada tiket nombor ekor untuk menipu orang ramai dikesan polis berikutan penahanan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, sindiket itu terdiri daripada empat orang yang aktif menipu orang ramai di sekitar Lembah Klang sejak 2008.

Menurutnya, kegiatan tersebut terbongkar setelah seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan ketika cuba menipu orang awam di Klang, 14 Februari lalu.

Katanya, susulan penahanan itu, seorang lelaki berusia 48 tahun yang dipercayai merupakan ketua sindiket itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur Isnin lalu.

“Sindiket licik ini menggunakan helah membeli tiket nombor ekor yang asli seperti yang dipaparkan di akhbar sebelum mengubah maklumat pada tarikh tiket tersebut untuk meyakinkan mangsa kononnya memenangi hadiah.

“Ketua sindiket sendiri mengubah maklumat tiket dengan menggoresnya menggunakan jarum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

Sehubungan itu katanya, polis sedang memburu suspek wanita berusia lingkungan awal 30-an yang berperanan ‘memancing’ mangsa dengan memberi alasan kononnya dia memenangi hadiah tetapi tidak dapat menunaikannya kerana tidak mempunyai pasport.

Katanya, wanita itu juga berlakon kononnya memerlukan segera wang dengan alasan mengatakan anaknya sakitatau pelbagai lagi alasan.

“Dua lagi ahli kumpulan pula menyamar sebagai orang awam kononnya ingin mendapatkan nombor tersebut.

“Mangsa akan terpedaya dengan helah sindiket itu setelah kedua-dua lelaki tersebut mengesahkan kononnya nombor tersebut sememangnya memenangi hadiah,” katanya.

Untuk itu, mangsa perlu memberikan wang tunai atau barang kemas sebagai pertukaran tiket nombor ekor tersebut.

Sementara itu, seorang suspek berjaya ditahan di Kuala Lumpur atas kesalahan dadah baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Mun Phing berkata, tahun lalu sebanyak 26 kes dilaporkan di negeri ini melibatkan kerugian sebanyak RM262,000.

Kada kena bayar ganti rugi suami isteri RM128,286



KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini, semalam, memerintahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) membayar ganti rugi RM128,286 kepada sepasang suami isteri kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anak mereka enam tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak defendan bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku dan menolak wujudnya unsur kecuaian di pihak plaintif.

Pampasan itu melibatkan ganti rugi am atas kemurungan sebanyak RM50,000 kepada setiap plaintif, ganti rugi kesedihan di bawah Akta Undang-undang Sivil sebanyak RM10,000, ganti rugi khas sebanyak RM3,286 serta kos guaman sebanyak RM15,000 ditanggung oleh pihak defendan.

Bagaimanapun, beliau menolak ganti rugi teladan RM500,000 yang difailkan plaintif dengan alasan insiden yang berlaku bukannya tindakan mendapat faedah kepada Kada.

Plaintif pertama , Fadzlil Abdul Aziz, 48, dan isterinya Saloma Yaacob, 43, yang diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Mohd Marwalis hadir ke mahkamah sementara Kada diwakili Wan Noreha Wan Ali akur dengan keputusan mahkamah.

Pasangan itu yang berasal dari kampung Padang Mokkan, Peringat di sini, memfailkan tuntutan ganti rugi itu berikutan kehilangan anak bongsu mereka, Nursyazana Fadzil, 5, yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam saluran kunci kawalan tali air seliaan Kada berhampiran rumah mereka pada 2005.

Dalam tuntutan itu, mereka menamakan Pengurus Besar Kada sebagai plaintif pertama dan Kada sebagai plaintif kedua.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada 11 Ogos 2005, kira-kira jam 4.30 petang, ketika arwah menunggang basikal ke rumah jirannya melalui tali air tersebut.

Dalam tuntutan, kedua-dua plaintif mendakwa mengalami trauma berikutan kematian anak mereka itu sehingga terpaksa dirujuk ke pakar psikiatri. Berikutan itu mereka menuntut ganti rugi teladan berjumlah RM500,000, ganti rugi khas (pengebumian) sebanyak RM3,000, laporan polis dan bedah siasat RM170 serta ganti rugi lain yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, pasangan itu yang ditemui di luar mahkamah bersyukur dengan keputusan itu walaupun mengakui masih sedih dengan kehilangan anak bongsu mereka.

Suami ugut bunuh diri, anak



ALOR SETAR - Akibat kecewa isteri minta diceraikan, seorang lelaki bertindak liar menyerang dan menyembur sejenis cecair gatal terhadap isteri dan dua kakak angkatnya di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah teres di Taman Sri Indah, Jalan Lencong Barat di sini kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Mangsa, Loo Sook Ching, 31, kakak angkat isteri suspek, Prapasri Sae Chan, 27, berkata, ketika kejadian, dia bersama Sae Chan dan seorang lagi teman, Leong Bee Wai, 31, baru hendak keluar dari rumah untuk membeli makanan di kedai berhampiran.

Menurutnya, ketika sedang mengunci pintu rumah dan Bee Wai mengeluarkan kereta dari tempat letak kenderaan, mereka dikejutkan dengan jeritan suspek dikenali sebagai Sam, 43, yang marah-marah dan bertanya tujuan mereka.

“Kami terkejut dengan pertanyaan Sam yang ketika itu berada di luar kawasan rumah kami dan menjawab hendak pergi keluar makan.

“Secara tiba-tiba, Sam membuka bonet kereta, mengambil sesuatu, meluru pantas ke arah saya dan terus menyembur sejenis cecair yang tidak dapat dikenal pasti ke arah muka.

“Mujurlah saya sempat mengelak dan cecair itu hanya terkena di bahagian belakang badan, tangan dan tengkuk saya. Jika tidak saya tidak tahu apa terjadi pada diri saya,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu, isteri suspek, Sae Chan berkata, dia bersama Bee Wai cuba menghalang dengan menarik tangan suaminya dan menyembur air ke arah Sook Ching menggunakan paip getah yang terletak di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, suaminya bertindak lebih ganas menyembur cecair aneh itu ke arah Bee Wai dan dirinya sebelum bertindak memukul Sook Ching berulang kali sehingga mengalami bengkak di seluruh badan.

“Kejadian berlaku kira-kira 20 minit sebelum Sam bertindak berhenti memukul dan terus pergi meninggalkan kami setelah menyedari perbuatannya diperhatikan jiran.

“Saya sangka azab kami terhenti setakat itu, bagaimanapun tidak sampai lima minit selepas itu, Sam kembali semula ke rumah dan mengugut sambil mengancam nyawa jiran yang berada di situ sekiranya mereka membantu kami.

“Sam turut cuba melanggar orang ramai termasuk kami dengan menggunakan keretanya, namun sempat dielak. Kami terus membuat laporan polis,” katanya.

Sae Chan berkata, perbuatan Sam itu dipercayai akibat terdorong rasa kecewa dengan hasratnya yang mahu berpisah akibat tidak tahan dengan perangainya yang cemburu dan sering menderanya.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat ke atas Sam pada 24 Januari lalu kerana bertindak kasar mencekik lehernya dan suaminya itu juga pernah menghantar satu khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan untuk membunuh diri dan anak kecilnya berusia 14 bulan sekiranya Sae Chan enggan pulang, empat hari lalu.

“Saya telah memfailkan permohonan penceraian dengan Sam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebulan lalu, bagaimanapun ditolak kerana tempoh perkahwinan kami tidak cukup dua tahun.

“Saya amat bimbang dengan nasib anak lelaki saya yang kini berada di bawah jagaan Sam setelah menerima SMS itu. Saya benar-benar berharap polis dapat menyegerakan siasatan kes ini dan memberi perlindungan sewajarnya terhadap saya dan anak,” katanya.

Ditanya mengapa Sook Ching dijadikan sasaran Sam dan bukan dirinya, Sae Chan tidak menolak kemungkinan Sam menganggap Sook Ching yang sebagai penghasut hingga mengeruhkan hubungan mereka.

“Syukurlah kerana tiada siapa yang tercedera dalam kejadian itu dan saya minta JPN mengkaji semula permohonan cerai saya demi keselamatan diri, anak, keluarga dan kenalan,” katanya.

Anak ugut bunuh ibu



KLANG - “Saya dipukul, diherdik dan dihalau dari rumah oleh suami dan digantung tidak bertali.

“Tetapi yang paling saya tidak dapat terima ialah apabila anak saya sendiri tidak mengaku saya ibunya, malah pernah ugut hendak bunuh saya.”

Demikian luahan hati seorang wanita, yang mahu dikenali hanya sebagai Nor, kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Nor, 41, seorang pengawal keselamatan, dugaan ini bermula apabila dia dapati suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Masalah rumah tangga mereka menjadi lebih buruk apabila dia memeluk Islam pertengahan 2010.

Katanya, dia cuba bersabar, walaupun dilayan dengan buruk oleh suami dan anaknya.

“Saya tidak buat laporan polis sebab saya tidak mahu anak saya terseksa.

“Saya yakin dia tidak akan berbuat demikian kalau tidak dihasut bapa dan teman wanitanya,” katanya.

Menurutnya, dia dipukul, dicerca dan dihalau suami pada 2009.

“Sejak keluar dari rumah, saya tidak dibenarkan bertemu dua anak saya yang berusia 12 dan 15 tahun,” katanya.

Dia sedih kerana dituduh menjadi pelacur, walaupun dia sebenarnya menjadi pengawal keselamatan untuk mencari rezeki.

“Saya tidak sanggup menerima (cercaan) ini dan berharap anak-anak saya dapat menyayangi dan menghormati saya sebagai ibu,” katanya.

Dia kini hidup sebatang kara dan menyewa bilik.

Nor berharap ada pihak memberi perhatian, membantu dan membimbingnya supaya dapat mendalami ajaran agama.

“Saya semakin tertekan, selalu menangis, malah pernah cuba bunuh diri,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa juga dapat mengambil tindakan tegas terhadap suaminya dan teman wanitanya itu.

Dua lagi anjing Joseph ditahan

 

GEORGETOWN - Dua anjing yang sebelum ini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Daerah Barat Daya untuk pemantauan, akan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Veterinar Pulau Pinang, Dr Wan Mohd Kamil Wan Nik berkata, kedua-dua ekor anjing yang menyerang seorang lelaki warga Ireland sehingga mati di sebuah ladang organik di Teluk Bahang itu akan diserahkan kepada MPPP kerana JPV sudah selesai menjalankan urusan pemantauan seperti yang diarahkan pihak berkuasa.

Menurutnya, haiwan itu akan diserahkan kepada MPPP esok (hari ini) tetapi kedua-duanya akan ditempatkan di JPV Daerah Timur Laut untuk sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada MPPP.

“Tugas untuk memantau sudah selesai dan kami baru menerima arahan untuk menyerahkan dua ekor anjing itu kepada MPPP.

“Disebabkan MPPP tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk menempatkannya, kita akan letakkannya di JPV Daerah Timur Laut pada esok petang (hari ini),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin yang dihubungi Sinar Harian berkata, dua ekor lagi anjing milik Joseph Teoh yang masih dibela di ladang organiknya itu akan ditahan kerana tidak memiliki lesen yang sah.

“Kita menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dua ekor lagi anjing milik Joseph kerana pemiliknya tidak memiliki lesen.

“Kedua-dua ekor anjing yang baru ditangkap itu akan ditempatkan di JPV Daerah Timur Laut sementara menunggu tindakan lanjut,” kata Fah Hin.

Polis pantas berkas penjenayah



SUBANG JAYA – Empat penyamun yang menggunakan kenderaan mewah menyamun dua beradik di depan sebuah bank di USJ Taipan pagi semalam kempunan merasa hasil jenayah apabila dua daripadanya berjaya diberkas hasil kecekapan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek dikatakan memecahkan cermin tingkap kenderaan dinaiki tiga beradik yang masing-masing baru keluar daripada sebuah bank.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Abdul Aziz Abdul Majid berkata, sebelum itu kedua-dua mangsa wanita masuk ke dalam bank sementara abang mereka menunggu di dalam kereta.

Menurutnya, selepas mengeluarkan wang, kedua-dua mangsa kemudian kembali ke kereta jenis Honda Accord yang dipandu abang mereka.

“Sebaik masuk ke dalam kereta, dua lelaki tiba-tiba muncul memecahkan cermin tingkap menggunakan parang dan tukul sebelum melarikan beg duit milik mangsa.

“Kesemua suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta jenis BMW yang menunggu berhampiran,”katanya.

Abdul Aziz berkata, bertindak atas maklumat, anggota polis peronda yang kebetulan membuat rondaan cegah jenayah mengejar suspek kira-kira 600 meter dari jarak bank yang terletak di USJ 10 hingga ke Persiaran Ikhlas.

“Kenderaan digunakan kumpulan penyamun itu dapat dipintas, dua daripada empat suspek masing-masing berusia 17 dan 21 tahun yang cuba melarikan berjaya dicekup selepas berlaku pergelutan. Manakala dua lagi dapat melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan ditinggalkan menemukan polis dengan beg duit mangsa yang mengandungi sejumlah wang, beberapa senjata termasuk parang dan tukul besi,”katanya mengesahkan polis masih lagi menyiasat sama ada kesemua barang milik mangsa berjaya ditemui semula atau pun sebaliknya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati kenderaan BMW yang digunakan pernah dilaporkan hilang di Petaling Jaya tahun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Buruh kecewa isteri guna helah



TANAH MERAH – Seorang buruh berusia 42 tahun tidak menduga apabila isteri yang dikahwininya sejak 12 tahun lalu, dan mendakwa sanggup menggunakan helah ke klinik berjumpa doktor pakar semata-mata untuk lari dari rumah.

Lebih mengecewakannya, isterinya sanggup meninggalkan empat anaknya yang berusia sembilan, enam, empat dan 11 bulan yang masih memerlukan belaian serta perhatian daripada seorang bergelar ibu bersamanya.

Bagaimanapun, dia berharap isterinya segera pulang memberi perhatian kepada anak-anak yang memerlukan kasih sayang seorang ibu dan berbincang jika ada yang terbuku di hati isterinya.

Menurutnya, dia mendedahkan perkara itu bukan untuk membuka pekung di dada, tetapi sebagai pengajaran kepada anggota masyarakat, khususnya wanita mengenai tanggungjawab dan peranan mereka sebagai isteri dan ibu.

“Saya terharu melihat gelagat anak bongsu kami, pada hari isteri keluar dari rumah, dia masuk ke bilik tercari-cari ibunya, saya yang melihatnya begitu terharu.

“Saya bukan tidak mampu menjaga anak-anak, tetapi waktu pagi saya harus keluar bekerja, dalam tempoh tiga hari isteri keluar, anak bongsu kami demam, mungkin rindukan ibunya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pelajar berdepan saat cemas



FELDA PADANG PIOL – Seramai 250 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Padang Piol berdepan saat mencemaskan apabila salah sebuah bangunan utama sekolah itu terbakar, semalam

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dan kebakaran dipercayai bermula di di kelas pertama tingkat dua yang turut menempatkan bilik suis utama.

:Empat daripada 12 kelas di bangunan itu terbakar dan terjejas teruk, namun Sinar Harian difahamkan ketika kejadian kesemua pelajar sedang mengikuti aktiviti sukan.

Pengetua SMK Felda Padang Piol, Roslan Mohd Ali berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di sekolah berkenaan, namun beliau bersama pentadbiran sekolah bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menurutnya, bangunan itu menempatkan kelas untuk pelajar tingkatan dua, tiga, empat dan lima, namun ketika kejadian, tiada seorang pelajar pun berada di dalam kelas kerana masing-masing mengikuti aktiviti sukan di padang sekolah.

:“Sewaktu kejadian, pelajar sudah berada di tepi padang, cuma ketika itu ada satu kumpulan rumah sukan yang berehat di ruang terbuka bahagian bawah bangunan terbabit.

“Saya bersyukur dengan tindakan pantas guru dan kakitangan sekolah yang bertindak mengikut prosedur kecemasan ditetapkan tanpa panik. Mereka berjaya menghimpunkan kesemua pelajar di padang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Roslan berkata, kejadian itu juga menyebabkan kesemua aktiviti terhenti seketika bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin dan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pada masa sama, kerani sekolah bertindak pantas menghubungi bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mendapatkan bantuan.

RM43,500 milik majikan lesap



GONG PASIR – Jeritan seorang wanita tidak menghalang usaha penjenayah melakukan samun sebelum berjaya melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi sejumlah wang.

Aksi mencemaskan kira-kira jam 1.15 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Norlaila Sulong, 32, berada dalam kereta selepas menurunkan anaknya yang pulang dari sekolah di depan rumah ibunya dekat sini.

Norlaila berkata, ketika kejadian, dia baru pulang daripada mengambil anaknya di sekolah berdekatan dan beg tangan yang mengandungi tunai RM43,500 milik majikannya itu dikatakan diletakkan di bawah tempat duduk kereta yang dipandunya.

Katanya, apabila sampai di sekolah dan anaknya menutup pintu kereta, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai berselisih dengannya lalu membuka pintu kereta lantas mengugutnya sebelum berlaku aksi tarik-menarik beg tangan yang mengandungi wang itu.

“Sebaik anak saya menutup pintu kereta, datang seorang lelaki membuka pintu sebelah penumpang lalu menanyakan beg tangan saya yang berisi wang.

“Dia mengugut untuk membunuh saya jika tidak menyerahkan beg terbabit lalu berlaku tarik-menarik sebelum berjaya merampas beg tangan saya,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Menurutnya, selepas berjaya merampas beg tangan yang mengandungi wang milik majikannya itu, penjenayah terbabit yang tidak memakai topeng melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal rakannya yang sudah sedia menunggu di tepi jalan berdekatan lokasi kejadian.

Kakitangan swasta berkenaan berkata, berikutan pergelutan itu, dia juga gagal mengawal keretanya sebelum melanggar pagar rumah ibunya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, dia terpandang kelibat seorang lelaki berkopiah berada di lokasi berdekatan dan menjerit meminta tolong ke arah lelaki terbabit.

Namun, tanpa diduga, lelaki yang nampak baik itu bersama seorang lagi rakannya yang berada dalam kereta rupa-rupanya ‘tali barut’ suspek yang turut sama melarikan diri sebaik sahaja mereka berjaya mendapat habuan dihajati.

“Saya agak mereka mula mengekori saya ketika saya keluar dari bank lagi.

“Selepas kejadian tersebut, saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Dungun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan kes terbabit menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan prihatin soal keselamatan terutama selepas mengeluarkan wang di bank.

Pihaknya kini menjejaki suspek yang dipercayai terbabit dengan kes samun itu.

Pencuri pintu kena penjara



KUANTAN - Seorang lelaki yang dicekup polis kerana mencuri lapan unit pintu bernilai kira-kira RM5,000 dari sebuah tapak pembinaan rumah kedai di sini dihukum penjara enam bulan dan didenda RM1,000.

Hukuman ke atas tertuduh, Hisam Ali, 39 dari Kampung Baru Batu 9, Sungai Karang Darat dekat sini diputuskan Majistret Nordiana Abdul Aziz selepas lelaki itu mengaku bersalah atas tuduhan tersebut, semalam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mencuri pintu terbabit antara jam 9 pagi, 9 Februari hingga jam 8 pagi, 19 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tapak pembinaan bangunan kedai di Kilometer 14, Jalan Kuantan –Pelabuhan dekat sini.

Berdasarkan maklumat dan laporan polis yang dibuat pemiliknya, tertuduh berjaya ditahan 19 Februari lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Suri rumah jadi mangsa penyamun



KUANTAN - Seorang suri rumah cemas dan ketakutan apabila lehernya diacukan sebilah pisau oleh seorang penyamun yang memecah masuk rumahnya di Indera Mahkota di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 38 tahun turut ditampar beberapa kali dan diugut akan dicederakan sekiranya dia enggan menuruti kehendak penjenayah itu.

Bimbang nyawanya terancam setelah lehernya diacukan pisau oleh suspek, mangsa bertindak mendiamkan diri dan tidak melawan.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketika suspek leka menggeledah rumah, mangsa bertindak melarikan diri melalui pintu dapur dan meminta pertolongan jiran.

Menurutnya, Suspek yang terkejut dengan tindakan mangsa segera cabut namun sempat melarikan tiga buah telefon bimbit milik mangsa bernilai kira-kira RM2,000.

“Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, sebelum kejadian mangsa sedang mengemas rumah sebelum terdengar bunyi bising dari dapur.

“Wanita itu turun ke tingkat bawah untuk meninjau keadaan dan mendapati tiada sesuatu yang mencurigakan lalu naik semula ke tingkat atas.

“Mangsa terdengar bunyi yang sama sekali lagi lalu bergegas turun ke bawah sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an bersenjatakan sebilah pisau,” katanya.

Beliau berkata, suspek menerkam ke arah mangsa sambil mengacukan pisau sebelum mengarahkan wanita itu menyerahkan barang-barang berharga.

“Kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya

OKU hilang



SABAK BERNAM – Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) mempunyai masalah pembelajaran disedari hilang apabila tidak pulang ke rumah sejak 19 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, gadis berkenaan, Hasnah Abdullah, 21, berketurunan India dari Lot 240 Batu 37 Darat, Jalan Banting, di sini, dijaga keluarga angkatnya.

“Kita difahamkan, Hasnah dipercayai keluar rumah memakai baju kurung berwarna putih berbunga biru dan kemungkinan bertudung seperti kebiasaannya.

“Pada pagi itu, ibu bapa angkatnya keluar bekerja, manakala seorang lagi anak lelaki pasangan itu ke sekolah, mereka hanya menyedari kehilangan Hasnah kira-kira jam 6 petang,” katanya.

Menurut sumber polis berkata, Latifah Udin, 59, mengambil Hasnah sebagai anak angkatnya daripada ibu Hasnah berketurunan India dikenali sebagai Mariam sejak 18 tahun lalu, dari Kampung Rukup, Bagan Datok, Perak.

Menurut latifah, Hasnah tidak pernah menghilangkan diri seperti dan kehilangannya ini adalah yang pertama kali.

“Hubungan mereka sekeluarga amat baik dan tiada krisis.

“Usaha mencari dilakukan di merata tempat namun masih gagal menemuinya,” katanya.

Mangsa yang disedari menghadapi masalah pembelajaran ketika berusia tujuh tahun itu seorang yang petah bercakap dikatakan keluar rumah dengan membawa satu beg galas dan bedak.

Difahamkan, ketinggian Hasnah lebih kurang 140 sentimeter dan berat 45 kilogram, Hasnah seorang remaja berbadan gempal dan mempunyai rambut ikal paras bahu.

Bagi orang ramai yang terjumpa dengan Hasnah bolehlah menghubungi Latifah di talian 016-6589004, Pegawai bertanggungjawab, SM Mat Lazim Brahim 0195663412 atau berhubung terus menggunakan talian 03-32162222.

22 kes curi motosikal sebulan



BALIK PULAU - Masih tidak serik. Seorang remaja lelaki berumur 14 tahun ditahan polis setelah terlibat dengan 22 kes mencuri motosikal di sekitar Barat Daya walaupun baru sebulan dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara setahun di Sekolah Pemulihan Akhlak Paya Terubong awal bulan lalu.

Remaja yang berasal dari Batu Maung ditahan selepas dilihat menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Batu Maung, 20 Febuari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, ketika sepasukan polis cuba menahannya, dia berusaha melarikan diri dengan memecut motosikal yang ditunggangnya, dipercayai motosikal curi.

“Dia baru dibebaskan tidak sampai sebulan dari sekolah pemulihan akhlak namun kembali melakukan 22 kes jenayah mencuri motosikal.

“Cubaannya untuk melarikan diri bagaimanapun gagal selepas polis berjaya menahannya. Hasil pemeriksaan menjumpai dua anak kunci pelbagai guna dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Fah Hin berkata, pemeriksaan juga mendapati motosikal yang ditunggang remaja itu dilaporkan hilang berdasarkan aduan mangsa di Balai Polis Batu Maung.

Menurutnya, siasatan terhadap remaja itu mendapatinya melakukan kegiatan mencuri motosikal di sekitar kawasan Sungai Nibong, Batu Maung dan Bayan Lepas.

Namun, polis berjaya menemui empat daripada enam motosikal yang dicurinya.

Fah Hin berkata, siasatan yang dilakukan ke atas remaja itu juga berjaya mengesan seorang lagi rakan jenayah yang berusia 15 tahun.

“Remaja terbabit juga tidak bersekolah dan mengakui pernah mencuri 16 motosikal namun polis berjaya menemui semula empat daripadanya.

“Kedua-dua remaja ini mempunyai kemahiran untuk mencuri motosikal, terutama jenis Honda EX-5 dan kita percaya modus operandi yang digunakan kedua-dua juvana ini ialah menggunakan anak kunci yang diubahsuai,” katanya.

Menurutnya, setelah berjaya mencuri, kedua remaja itu akan meletakkan motosikal di lokasi yang ditetapkan oleh pembeli yang dikenali sebagai Budak Kedah.

“Selepas menyerahkan kepada pembeli, mereka akan diberi upah sekitar RM50 hingga RM200 untuk sebuah motosikal,” katanya.

Fah Hin berkata, kedua remaja itu juga mengakui akan meninggalkan motosikal yang dicuri di tepi jalan atau di bawah rumah pangsa sekiranya kehabisan petrol.

“Sehingga kini kita sedang mengesan Budak Kedah yang dikatakan oleh remaja terbabit.

“Kedua-dua remaja itu kini direman sehingga esok (hari ini) dan kita akan mohon kepada mahkamah supaya tempohnya dilanjutkan bagi membolehkan kami menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Ditanya sama ada kedua-duanya terbabit terlibat dengan penyalahgunaan dadah, Fah Hin berkata, keputusan ujian air kencing yang dilakukan adalah negatif.

Keduqa-duanya disiasat di bawah Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda.

Sementara itu, IPD Barat Daya menubuhkan pasukan task force bagi membendung kegiatan mencuri motosikal yang makin membimbangkan.

“Sejak ditubuhkan 12 Januari lalu, pasukan itu berjaya menangkap 10 suspek yang dipercayai melakukan kegiatan mencuri motosikal dan lapan daripadanya sudah didakwa di mahkamah,” katanya.

Ladang sawit musnah terbakar



KAMPUNG JIMAH – Sebuah ladang kelapa sawit di sini, terbakar kira-kira jam petang, kelmarin, mengakibatkan 10 peratus ladang itu musnah dalam sekelip mata.

Difahamkan, musim kemarau yang berlaku sekarang mengakibatkan beberapa kejadian kebakaran kebun atau hutan kerap berlaku di sekitar kawasan ini.

Kebakaran ladang dengan keluasan kira-kira 40 hektar (40 meter persegi) itu berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya anggota bomba selepas hampir tiga jam kerja-kerja pemadaman dilakukan.

Seramai 12 anggota daripada Balai Bomba Dan Penyelamat Port Dickson dan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan di tempat kejadian.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian ditanggung pengusaha masih dalam siasatan pihak bomba.

Polis tumpaskan geng samun ‘Indonesia’



KUALA PILAH - Sekumpulan enam penjenayah bersenjata diberkas polis di dua lokasi berasingan tidak sampai 24 jam selepas mereka menyamun sebuah rumah didiami tiga warga emas di Kampung Seri Pilah dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Jaafar Baba berkata, lima lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing, semuanya berumur antara 20 hingga 40 tahun, disyaki melakukan perbuatan jenayah itu, kira-kira jam 3.30 pagi pada hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan kemunculan enam suspek bertopeng muka dan bersenjatakan pisau.

“Penyamun-penyamun terbabit juga dikatakan bercakap dalam bahasa Melayu loghat Indonesia sebagai taktik mengelirukan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dekat sini, semalam.

Menurut beliau, semua suspek dipercayai mengambil masa beberapa minit sahaja untuk menggeledah rumah tiga warga emas berkenaan.

Kata Jaafar, mereka mengikat tangan mangsa sebelum melarikan diri dengan wang tunai kira-kira RM2,000 dan barang kemas dianggarkan RM8,000.

“Bagaimanapun, empat suspek lelaki ditahan polis di sekitar Melaka, kira-kira jam 6 petang hari yang sama. Pihak polis turut menemui sejumlah wang tunai dan barang kemas bersama mereka.

“Sejurus selepas tangkapan itu, dua lagi ahli kumpulan iaitu seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing diberkas di sekitar daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, enam suspek terbabit disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Angkara seekor babi




ALOR GAJAH - Angkara seekor babi yang melintas, tiga kereta dan sebuah treler terbabit dengan kemalangan di Kilometer Lebuh Raya Utara - Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira 9 malam itu berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira merempuh seekor babi sedang melintas lebuh raya, sebelum sebuah lagi kereta jenis Toyota Altis merempuh Proton Wira terbabit.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kereta itu remuk selain Proton Wira
tercabut enjin.

Dalam masa sama, sebuah treler yang berada di belakang cuba memperlahankan
kenderaan untuk mengelak kedua-dua kenderaan terbabit, bagaimanapun treler
itu pula di rempuh sebuah kereta jenis Toyota Camry dari belakang.

Pemandu Proton Wira, Zulfakar Hamsun, 26, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah.

Pemandu treler yang ingin dikenali sebagai Pang, 53, berkata, semasa kejadian, dia menerima isyarat daripada rakannya juga sebuah lori yang sudah memperlahankan kenderaan untuk mengelak melanggar dua kereta remuk itu.

Bagaimanapun, katanya, tanpa disedari, datang sebuah Toyota Camry merempuh belakang lorinya.

“Saya rasa bergegar kuat dan terus perhatikan dari cermin sisi sebuah kereta sudah merempuh belakang lori saya yang masa itu dipandu perlahan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, penumpang dalam kereta Toyota Camry berkenaan, Tan Chia Hau, 27, berkata, semasa kejadian, mereka menyangkakan ada kerja membaik pulih jalan.

“Ketika itu, saya duduk di sebelah penumpang dan seorang lagi berada di tempat duduk belakang. Saya ingatkan ada kerja baik pulih jalanraya dan apabila kereta kami sudah dekat baru, sedar ada dua kereta sudah menghalang jalan.

“Masa itu rakan saya (pemandu) cuba mengelak ke kiri jalan tetapi dia tidak sempat brek lagi kereta kami terus rempuh belakang lori,” katanya.

Sementara itu, pegawai operasi bomba dan penyelamat, Yusuf Husin berkata, empat mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh orang ramai.

“Manakala dua lagi mangsa di dalam Toyota Altis itu dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya.

Pemandu cemas lori muatan simen terbalik



AYER MOLEK - Pemandu lori simen mengalami detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbalik setelah gagal dikawal sebaik cuba mengelak sebuah kereta yang melakukan pusingan U berhampiran kawasan perkuburan Cina di Kampung Pengkalan Minyak di sini, kelmarin.

Johari Abu Samah, 41, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dia sedang memandu dari arah Gapam untuk menghantar muatan simen ke tapak projek di Duyong.

Menurutnya, sebaik melepasi kawasan selekoh, dia ternampak sebuah kereta Proton Saga sedang berundur di tepi jalan berkenaan dan menyangka pemandunya mahu masuk ke kawasan kebun berhampiran jalan di situ.

Bagaimanapun, katanya, kereta terbabit tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan dia terus menekan brek sambil memaut stereng ke kanan.

“Saya serta-merta memaut stereng untuk mengelakkan dari merempuh kereta itu dan pada masa sama berharap dapat mengalihkan haluan lori ke kawasan perkuburan Cina di seberang jalan untuk selamatkan lori saya.

“Tetapi malangnya saya gagal menyebabkan saya merempuh sisi sebelah pemandu sebelum terbalik dibahu jalan bertentangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, kelmarin.

Johari berkata, setelah loringa terbalik, dia terjatuh ke tempat duduk penumpang sebelah kiri dan merangkak keluar menerusi cermin depan yang pecah.

“Mujur saya tidak alami sebarang kecederaan bagaimanapun saya memang terkejut,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Saga terbabit, Muhd Izzul Azman, 20, berkata, kereta dipandunya itu dimiliki seseorang dan baru diambil dari sebuah kedai menjual kereta di Bukit Katil selepas menjalani pemeriksaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan mahu menghantar kereta itu ke sebuah bengkel di Bukit Lintang untuk dibaiki.

Muhd Izzul yang mengalami luka kecil di tangan kanan dan bawah kening sebelah kanan berkata, dia membuat pusingan U di situ selepas disuruh pemiliknya supaya berpatah balik.

“Saya tidak perasan lori berkenaan semasa berpusing balik bagaimanapun bersyukur hanya mengalami cedera ringan sahaja,” katanya.

Kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah selepas kejadian.

Tiga rumah dilanda ribut




SUNGAI MANIK - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, di sini, berhadapan dengan situasi cemas apabila sebahagian besar bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian jam 5.30 petang, Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, tiga rumah di kawasan berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat ribut kencang sehingga mengejutkan penduduk.

Seorang penduduk, Siti Zubaidah Sabran, 42, berkata, dia sekeluarga melalui saat-saat cemas apabila sebahagian bumbung di bahagian dapur diterbangkan ke sawah berhampiran.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan keluarga berada di beranda rumah dan hanya mampu melihat keadaan bumbung di bahagian dapur diterbangkan angin.

“Kejadian ribut ini adalah kali kedua berlaku kerana sebelum ini rumah saya pernah rosak akibat dilanda ribut pada tahun lalu.

“Kerosakan yang dialami tidak begitu teruk berbanding kejadian terbaru ini sehingga menyebabkan saya kerugian kira-kira RM8,000,” katanya.

Siti Zubaidah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ke rumahnya di Kampung Permatang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Kampung Permatang, Abdul Halim Abdul Rashid dan Pembantu Khas ADUN Sungai Manik, Abdul Halim Md Jelani.

Katanya, dia berterima kasih atas kehadiran ADUN Sungai Manik melawat dan menyerahkan sumbangan kepada keluarganya.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik hanya tiga rumah dilaporkan rosak akibat ribut berkenaan.

Katanya, kesemua penduduk yang mengalami kerosakan diberikan sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Manik, petang semalam.

“Diharap agar mangsa ribut pada kali ini bersabar dengan dugaan yang menimpa mereka sekeluarga,” katanya.
SH

Derita gara-gara terlanggar ular




MERBOK – Gara-gara terlanggar seekor ular sawa, seorang buruh terpaksa menanggung derita apabila mengalami sakit tulang belakang dan kebas separuh tubuhnya.

Zahari Othman, 48, terlanggar seekor ular sawa yang dipercayai sebesar paha manusia ketika dalam perjalanan pulang menghantar kakaknya di Kampung Chandi Bukit Batu Pahat.

“Satu malam ketika saya dan dua lagi anak ingin menghantar kakak pulang ke rumahnya, tiba-tiba anak saya menjerit memberitahu ada ular melintas jalan, tanpa sempat saya menekan pedal brek,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, pada malam selepas kejadian, dia bermimpi seorang lelaki tua datang dan berpesan kepadanya.

“Saya bermimpi bertemu dengan seorang lelaki tua dan dia berpesan supaya jangan buat begitu kerana dia berasa sakit.

“Pada masa yang sama juga saya menjawab bahawa tidak sengaja, sejurus selepas itu lelaki terbabit terus ghaib.

“Apabila keesokannya, saya bangun dari tidur dan berasa sakit di bahagian tulang belakang bahkan separuh dari bahagian kanan badan tidak boleh bergerak,” katanya.

Zahari juga berkata, dia sudah ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

“Saya sudah dua kali ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan, tetapi doktor memberitahu yang saya tidak mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Disebabkan kejadian itu, Zahari sudah tidak bekerja hampir sebulan kerana kesihatannya yang tidak menentu dan kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada isterinya Fauziah Hashim, 48, yang bekerja sebagai pencuci.

“Saya mempunyai enam anak yang semuanya masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Sudah banyak tempat saya pergi untuk berubat, tetapi semuanya masih belum dapat mengubati penyakit yang saya hadapi ini,” katanya.
SH

Datuk Kabi kena tahan



JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor bertindak menahan ‘Datuk Kabi’ selepas melanggar syarat apabila keluar dari kawasan Tenggaroh, Mersing, walaupun sedang menjalani hukuman Akta Kediaman Terhad selama dua tahun, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit kerana melanggar syarat hukuman.

Menurutnya, penahanan Datuk Kabi dilakukan selepas PDRM menerima dua laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa ditipu lelaki terbabit dalam urusan jual beli kenderaan mewah di sekitar Petaling Jaya.

“Berdasarkan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Dang Wangi dan Brickfields, kami kemudian menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut dan kini dalam proses untuk mendakwanya.

“Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Mersing esok (hari ini), mengikut Sekyen 2A Akta Kediaman Terhad 1933 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya.

Terdahulu, akhbar arus perdana sebelum ini melaporkan mangsa seorang ejen insurans bertemu suspek di sebuah rumah di Petaling Jaya berhubung urusan jual beli kenderaan sekali gus melanggar syarat tahanan Akta kediaman Terhad.

Mohd Nor berkata, Datuk Kabi atau C Kamaleshwaran diarah menjalani hukuman berkenaan bermula November 2010 hingga November 2012 di Tenggaroh.

Difahamkan, seorang wakil ejen insurans berusia 30-an membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu Datuk Kabi membabitkan urusan jual beli Kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Alphard bernilai RM163,000 pada 6 Februari lalu.

Mangsa dikatakan terpengaruh dengan janji dan penampilan Datuk kabi menunjukkan dia seorang jutawan apabila rumah didiami lelaki terbabit dikawal empat pengawal bersenjata.

Bagaimanapun, selepas urusan selesai dan kenderaan diserahkan wakil ejen insurans terbabit mendakwa Datuk Kabi tidak membuat bayaran seperti dijanjikan dan gagal dihubungi.

Dalam kes sebelum ini Datuk Kabi dan abangnya, Steven Raj pernah ditahan bagi membantu siasatan 25 kes penipuan cek tendang di Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.
SH

Padah pukul isteri, pekerja binaan dipenjara lima bulan



JOHOR BAHRU – Seorang suami dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret di sini, semalam setelah mengaku bersalah mengancam membunuh isterinya.

T Sadivaran, 26, pekerja pembinaan dituduh mengancam untuk memukul isterinya Gaya Thire Balakrishnan, 26, dan anak sampai mati di rumah mereka Taman Sri Puteri, Skudai sekitar jam 7 malam, 20 Februari lalu.

Tertuduh yang didakwa Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, isteri mangsa dikatakan sedang menonton televisyen telah didatangi tertuduh dalam keadaan mabuk bertanyakan perihal anak lelaki mereka yang ketika itu masih belum pulang ke rumah.

Dalam keadaan marah tersebut, Sadivaran telah mengeluarkan kenyataan ‘Tunggu la, you punya anak sampai, you berdua saya nak belasah sampai mati’ sebelum itu tertuduh dikatakan telah memukul mangsa dengan sebatang paip di bahagian kepala.

Majistret, Hafizah Johor Ariff Johor sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh dilihat beberapa kali menggelengkan kepalanya dan berkata, tertuduh tidak seharusnya mengancam isterinya.

“Dia tidak cuba untuk bertarung dengan anda di tempat pertama, sebagai suami anda tidak patut berbuat demikian ke atas isteri, dia bukan lawan kamu. Jika kamu ingin bertinju cari la lawan yang sesuai, perkara ini tidak patut,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya M Vinodharan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
SH

Berpantang maut




KULAIJAYA – Dua pemuda nyaris maut apabila kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar sebuah pondok menunggu bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kota Kulai, di Taman Sri Putri, di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.35 malam kelmarin mengakibatkan kenderaan jenis Proton Saga lama berwarna biru rosak teruk di bahagian atas setelah terperosok ke dalam pondok bas berkenaan.

Sinar Harian difahamkan kenderaan berkenaan yang dipandu pemuda Melayu berusia 20 tahun bersama rakan sekerjanya yang juga berusia 20 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sehingga memusnahkan pondok bas itu.

Menurut saksi, Mohamad Nor Selamat, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan perumahan berkenaan setelah habis waktu bekerja di sebuah hotel berhampiran, kira-kira jam 11 malam.

“Kedua-dua mangsa merupakan rakan saya dan sebelum kejadian saya serta beberapa rakan lain sempat berbual dengan mereka yang singgah di hadapan gerai burger kira-kira 5 meter dari pondok bas ini.

“Kira-kira 30 minit kemudian mereka meminta diri dan mahu pulang terus ke rumah masing-masing,” katanya.

Mohamad berkata, tidak lama selepas itu beliau dan rakannya terdengar bunyi dentuman kuat dari arah sekolah berhampiran dan segera menuju ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan yang berlaku.

“Saya terkejut setelah ternampak kereta yang dinaiki rakan saya telah terperosok ke dalam pondok bas di hadapan sekolah.

“Saya segera meninjau keadaan mereka dan membantu mereka keluar dari kenderaan berkenaan sementara rakan-rakan yang lain mendapatkan pertolongan dari orang ramai untuk menghantar mereka ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa hanya mengalami cedera ringan dan telah dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya untuk rawatan.
SH

"Gaddafi berikrar terus bertahan

SH:

TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan meskipun terpaksa berhadapan dengan kebangkitan rakyat secara besar-besaran yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, semalam.

'Saya tidak akan meninggalkan tanah ini (negara ini) dan saya akan mati di sini sebagai seorang pejuang,' menurut beliau.

Gaddafi yang memerintah Libya sejak lebih empat dekad lalu, menyalahkan golongan muda dan melabelkan penunjuk perasaan sebagai 'tikus dan askar upahan' yang mahu menjadikan negara itu sebagai sebuah negara Islam.

Sebaliknya, Gaddafi meminta rakyatnya turun ke jalan, semalam, untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap beliau dan 'membersihkan Libya dari rumah ke rumah' melainkan penunjuk perasaan yang menyerah diri.

Hampir 300 orang dilaporkan terbunuh dalam demonstrasi yang bermula sejak seminggu lalu."

Facebook palsu Dr Marshitah dikenalpasti

SH: "

SHAH ALAM – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, membuat laporan di Balai Polis Gombak kira-kira jam 9 pagi semalam, berhubung penyalahgunaan identitinya di laman sosial Facebook sebulan lalu.

Katanya, beliau membuat laporan sebaik saja menyedari perkara itu kerana bimbang maklumat disebar melalui laman itu boleh mengelirukan masyarakat berhubung isu agama dan politik negara.

“Daripada apa yang saya lihat, pengendali laman itu berbalas komen (secara) soal jawab berhubung agama.

“Malah dia turut kongsi maklumat mengenai hal politik dan seolah-olah kenyataan itu daripada saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, tindakan individu yang menyamar itu boleh menjejaskan reputasinya sebagai timbalan menteri dan orang politik."

4 pengarah didakwa atas 327 pertuduhan




IPOH - Empat Pengarah Syarikat Bestino Golden House Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas 327 pertuduhan menerima, mengguna dan memindahkan transaksi wang dipercayai berjumlah RM500 juta di dalam dan luar negara antara 9 Julai 2006 hingga 21 September 2009.

Melalui pertuduhan itu, sebanyak 322 kertas pertuduhan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 manakala selebihnya mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Daripada jumlah itu, lebih RM156 juta terbabit dalam transaksi wang namun kira-kira RM23 juta masih terdapat sama ada dalam akaun simpanan, persendirian atau syarikat sudah dibekukan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Wang itu dikatakan diguna membeli aset seperti kereta, rumah mewah serta barangan lain disita sepanjang siasatan dijalankan.

Difahamkan syarikat itu menjalankan skim pelaburan emas yang bergiat aktif di dalam dan luar negara.

Semua tertuduh ditahan di Balai Polis Sungai Senam petang kelmarin sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Chong Yuk Ming, 49, Goon Koon Lee, 48, Ho Chee Cheong, 41, dan Chang Kuei Geh, 57, yang semuanya berasal dari Ipoh mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan.

Bagi tertuduh pertama, Yuk Ming disabitkan dengan 52 pertuduhan manakala tertuduh kedua, Koon Lee disabitkan dengan 102 pertuduhan.

Manakala tertuduh ketiga, Chee Cheong dikenakan 54 pertuduhan dan tertuduh keempat Kuei Geh disabitkan 114 pertuduhan.

Mereka melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, masing-masing dituduh melakukan kesalahan melalui Syarikat Bestino Golden House Sdn Bhd yang beroperasi di 80-B, Jalan Sultan Yusuf antara 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

Mereka didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan mengikut Sub Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) dibaca bersama Seksyen 106(1) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a).

Manakala satu lagi pertuduhan dikenakan ke atas syarikat dengan kesalahan yang sama mengikut Sub Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a).

Bagi kelima-lima pertuduhan itu, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Selepas meneliti setiap pertuduhan dan menimbang hujah kedua-dua pihak Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 11 April ini sebutan semula kes.
SH

75 maut dalam gempa bumi

SH: "

WELLINGTON - Perdana Menteri New Zealand, John Key mengisytiharkan darurat berikutan angka mangsa terkorban dalam kejadian itu meningkat kepada 75 orang manakala 300 lagi masih hilang termasuk 24 warga Jepun, semalam.

Polis menanggap kejadian itu sebagai luar biasa kerana mayat bergelimpangan di jalan raya dan ada yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Operasi mencari oleh pasukan penyelamat kini tertumpu ke kawasan yang berkemungkinan ada lebih ramai mangsa terperangkap dan boleh diselamatkan.

Gempa berkekuatan 6.3 skala Ritcher, kelmarin, turut mengakibatkan kemusnahan teruk di bandar kedua terbesar di negara itu.

Pasukan khas dari Australia, Britain, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat dijangka akan turut serta dalam operasi menyelamat mangsa terperangkap sebagai satu usaha negara antarabnagsa untuk memberi bantuan terhadap New Zealand."

Peragut terima padah




KUALA TERENGGANU - Ditendang oleh seorang gadis dan akhirnya ditangkap polis; itulah balasan diterima seorang lelaki yang cuba meragut beg tangan pelajar remaja dalam kejadian di Kampung Paya Lasir, Kijal, Kemaman, petang kelmarin.

Bagaimanapun, akibat tindakan beraninya itu, mangsa berusia 18 tahun itu cedera dan melecur di betis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Darat Kijal, dengan menaiki motosikal.

Apabila sampai di Kampung Paya Lasir kira-kira jam 5.50 petang, tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki menghimpit motosikal mangsa.

“Lelaki tersebut meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul. Mangsa bertindak melawan dan berlaku tarik menarik antara mereka.

“Berang dengan lelaki itu, mangsa menendang motosikal lelaki tersebut, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh. Lelaki itu bingkas bangun dan cuba capai beg tangan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mangsa, yang tidak mahu menyerah kalah, bangun dan menarik beg tangannya dan pada masa yang sama, merentap beg pinggang lelaki berkenaan bagi mengelakkannya melarikan diri.

Adegan itu dilihat orang ramai yang kemudiannya datang membantu mangsa dan menangkap lelaki berkenaan.

“Mangsa melecur di betis kanan, bengkak di pergelangan kaki dan tumit dan mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.

“Suspek, yang berusia 25 tahun dan berasal dari Kijal itu, ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Februari.
SH

Peragut direman tujuh hari

myMetro


AMPANG: Rakan seorang lelaki yang mati ketika meragut beg tangan seorang arkitek di Taman Mega Jaya, Bukit Teratai, di sini, direman tujuh hari hingga 2 Mac depan.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan seorang Majistret dari Mahkamah Ampang yang hadir bertemunya kerana lelaki itu yang cedera dalam kejadian berkenaan dirawat di Hospital Ampang, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh dan mempunyai dokumen kini masih dirawat di wad kerana cedera di tangan dan patah kaki kanan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang peragut yang kelam-kabut melarikan diri sejurus meragut beg tangan seorang wanita, terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta mangsa yang mengejar penjenayah terbabit."

2 parah angkara babi lintas lebuh raya


ALOR GAJAH: “Dalam keadaan samar-samar, saya nampak objek tercampak ke tengah lebuh raya lalu menekan brek sebelum mengelak ke kiri jalan,” kata pemandu treler yang terbabit kemalangan di Kilometer 209, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, malam kelmarin.
Pemandu itu, Ah Pang, 53, berkata dia mengelak daripada melanggar mangsa dan dua kenderaan yang melintangi jalan, namun treler dipandunya dilanggar sebuah Toyota Camry dari belakang.

“Ketika berada kira-kira 50 meter dari lokasi, saya nampak dua kereta terbabit kemalangan dan pada masa sama melihat ada orang tercampak dari kenderaan.
“Saya menekan brek dan berjaya mengelak daripada melanggar mangsa, tetapi apabila melihat melalui cermin sisi, ada sebuah kereta di belakang turut berpusing dan terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebelah kiri treler saya,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 malam berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh itu dipercayai berlaku selepas pemandu Proton Wira Aeroback dikenali sebagai Zulfakar Hamsun, 26, melanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan.

Berikutan rempuhan itu, kenderaan berkenaan gagal dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum tersadai di tepi lebuh raya. Pada masa sama, sebuah Toyota Altis melanggar bahagian depan kereta dipandu Zulfakar menyebabkan enjin Proton Wira Aeroback itu tercampak ke kiri jalan.
Zulfakar dan pemandu Toyota Altis iaitu seorang warga Myanmar berusia 20-an yang parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Dua lagi mangsa menaiki Toyota Camry cedera ringan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Tan Chia Hau, 27, berkata, pada mulanya dia menyangka kerja baik pulih jalan sedang dilakukan kerana dua kereta melintang tengah lebuh raya, namun tiada lampu amaran dipasang sebelum menyedari ia kemalangan.
“Ketika kira-kira 20 meter dari tempat kejadian, saya yang duduk di sebelah penumpang Toyota Camry dipandu rakan, Lee Chi Hong, 24, menyedari berlaku kemalangan,” katanya.myMetro | 2 parah angkara babi lintas lebuh raya

Penyamun hentak cermin kereta curi beg


SUBANG JAYA: “Saya cuba melawan penyamun berkenaan, namun mereka bersenjatakan parang dan tukul besi sebelum menghentak cermin kereta dan melarikan beg tangan adik perempuan saya,” kata mangsa samun sekumpulan empat lelaki di hadapan sebuah bank di USJ10/1F, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang menunggu dua adik perempuannya mengeluarkan duit di bank berkenaan cedera ringan di kaki dan tangan akibat terkena serpihan kaca dari cermin keretanya yang dipecahkan.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Cheng berusia lewat 30-an yang juga seorang ahli perniagaan, berkata ketika kejadian, dua adik perempuannya yang berusia 30-an baru mengeluarkan duit RM3,000 dan sebaik adiknya masuk ke dalam kereta, dua lelaki keluar dari sebuah kereta BMW yang diletakkan di depan keretanya dengan membawa parang dan tukul besi sebelum memecahkan cermin keretanya.
“Seorang lelaki memecahkan kedua-dua cermin sebelah kanan menggunakan tukul besi, manakala seorang lagi menghayunkan parang ke cermin belakang sebelum mereka merampas beg tangan adik saya.

“Mereka melarikan diri bersama dua lagi rakan yang sedia menunggu dalam kereta.

“Dalam beg tangan itu mengandungi sebuah i-pad, telefon bimbit dan wang RM3,000. Kami pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk membuat laporan dan ketika dalam perjalanan, kami ternampak kereta dinaiki lelaki terbabit yang sudah ditahan polis,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di sini, semalam.myMetro

4 wanita kena kikis serentak


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki layak digelar kasanova apabila menggunakan ketampanan dan ayat cinta bagi menipu empat wanita dalam satu masa.
Bukan itu saja, lelaki itu turut dipercayai menipu dua wanita lain dan seorang lelaki dipercayai pasangan gaynya membabitkan kerugian lebih RM60,000.

Difahamkan, lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Ken, 31, mengikis wang semua mangsa dengan menggunakan modus operandi kononnya menghadapi masalah perniagaan.
Berikutan itu, empat wanita itu yang mengetahui tertipu dengan lelaki ‘pisau cukur’ terbabit membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA, Wisma MCA, di sini.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Tang, 28, berkata dia kerugian RM26,000 selepas terpedaya dengan cinta palsu Ken.

“Saya berkenalan dengan Ken melalui laman sosial facebook November tahun lalu. Selepas seminggu berkenalan, Ken meminjam wang saya dengan alasan menghadapi masalah perniagaan.
“Bagaimanapun, saya menyedari ditipu Januari lalu selepas terserempak Ken membawa wanita lain. Sejak itu, saya menyelidik dan menemui tiga lagi wanita yang turut menjadi mangsa,” katanya.

Difahamkan, lelaki terbabit yang mendakwa bekerja dalam industri pengiklanan dan mempunyai perniagaan sendiri turut menuntut hubungan seks daripada semua teman wanitanya.
Malah, Ken kali terakhir dikesan menetap di Flora Damansara dan kini dipercayai aktif mencari teman wanita baru untuk dijadikan mangsa.

Selain itu, seorang lagi mangsa cinta palsu Ken yang mahu dikenali Beh, 28, bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta di ibu kota mendakwa kerugian RM23,000.

“Perkenalan saya dengan Ken bermula apabila diperkenalkan seorang rakan. Ken sangat bijak bermain kata-kata cinta hingga menyebabkan saya terpedaya.

“Walaupun hanya tiga bulan hubungan kami terjalin sebelum saya mengetahui dia seorang penipu, saya kerugian wang yang banyak kerana Ken amat licik dan cepat bertindak,” katanya.

Sementara itu, Michael berkata, kes seperti itu bukan perkara baru kerana sejak empat tahun lalu pihaknya menerima 22 aduan membabitkan kerugian RM1.6 juta.

Menurutnya, dua daripada kasanova yang terbabit kes sebelum ini sudah dikenakan tindakan undang-undang dan kini menjalani hukuman penjara.myMetro

Gudang hangus



TERBAKAR...barangan terpakai yang dijilat api.
TERBAKAR...barangan terpakai yang dijilat api.

ASAP TEBAL...anggota bomba memadamkan kebakaran.
ASAP TEBAL...anggota bomba memadamkan kebakaran

CHERAS: Ratusan barangan terpakai seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk musnah selepas sebuah gudang melupus barangan itu terbakar di Bukit A, Kampung Cheras Baru, di sini, tengah hari semalam.
Kebakaran kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, disedari seorang penduduk sebelum menghubungi bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.22 tengah hari.
“Sebanyak enam jentera dari lima balai bomba tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian. Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak dan Pudu manakala dua jentera lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dan Ampang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, seramai 50 anggota mengambil masa 45 minit untuk memadamkan kebakaran itu.myMetro

Wanita cekup suami khalwat

myMetro


ALOR SETAR: Seorang isteri yang tidak tahan melihat kecurangan suaminya kerana kerap pulang lewat dan bermalam di rumah teman wanitanya sejak beberapa bulan lalu nekad mencekup suaminya di sebuah rumah sewa di Kampung Didik, Kuah, Langkawi, pagi semalam.

Wanita berusia 30 tahun itu berang melihat suaminya yang berusia 34 tahun hanya berseluar dalam dan tidur di atas katil ketika anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) membuat pemeriksaan di sebuah bilik utama di rumah berkenaan, kira-kira jam 8.30 pagi.
Dia yang gagal mengawal perasaan marahnya memaki-hamun wanita berusia 29 tahun yang dicekup bersama suaminya itu sebaik pintu bilik dibuka."

Sedia terima lelaki Lombok jadi menantu


Sedia terima lelaki Lombok jadi menantu
Oleh Hardi Effendi Yaacob

2011/02/24

Keluarga gadis hilang minta anak dihantar pulang

PETALING JAYA: “Jika benar mahu memperisterikan anak saya, saya sedia menerimanya sebagai menantu tetapi biar kena caranya,” kata suri rumah, Zaiton Jaafar, 43, mengenai tindakan seorang lelaki Indonesia yang melarikan anak perempuannya, Norbaizura Mohd Salleh, 19 (kanan), ke Lombok, kira-kira tiga minggu lalu.

Beliau yang berasal dari Jerantut, Pahang, berkata keluarganya tidak mempunyai sebarang halangan jika lelaki dikenali sebagai Suparlan, 30-an, mahu mengahwini anak perempuannya tetapi mengikut hukum Islam dan adat Melayu di negara ini.
“Melarikan anak dara orang, kemudian berkahwin tanpa kebenaran mungkin menjadi tradisi masyarakat Lombok, namun cara mereka tidak boleh diterima sama sekali di sini. Kita ada adat dan hukum yang perlu dipatuhi.
“Kita yakin golongan tua di sana (Lombok) juga tidak bersetuju dengan perbuatan tidak beradab ini, lebih-lebih lagi majoriti penduduknya berpegang teguh kepada ajaran Islam,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas di sini, semalam.

Kehilangan Norbaizura yang juga anak keempat daripada enam beradik disedari selepas seorang rakan serumah Suparlan menghubungi keluarganya dan memaklumkan rancangan melarikan gadis itu, pada 5 Februari lalu.

Berikutan itu, keluarga mangsa membuat laporan di Pondok Polis Kuala Tahan sebelum kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Zaiton berkata, seluruh ahli keluarganya dengan dibantu penduduk kampung turut mencarinya selama enam hari di Jerantut sebelum ke Melaka selepas mendapat maklumat Norbaizura dilihat di negeri itu.
Bagaimanapun, semua usaha menemui jalan buntu sehinggalah beliau menerima panggilan telefon, Rabu minggu lalu daripada anaknya memaklumkan dia sudah berada di Kampung Jobeng, Lombok Timur.

“Dia seperti keliru dan bingung. Dia cuma menyatakan sudah berkahwin dengan Suparlan sebelum perbualan kami terputus. Saya cuba menghubungi semula nombor itu tetapi tidak berjawab.

“Berdasarkan keadaannya, saya percaya dia dipukau. Selama ini pun anak saya tidak pernah ada teman lelaki atau keluar dari Jerantut. Dia pun tidak pernah mengadu diganggu mana-mana lelaki sebelum ini.

"Dia dilarikan sehelai sepinggang dan dipercayai secara haram kerana anak saya tidak mempunyai pasport antarabangsa," katanya.

Berikutan itu, Zaiton meminta bantuan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh bagi mengesan dan membawa pulang Norbaizura.
Berita Harian Online

Bekas Setiausaha NUBE kena 10 tahun

Berita Harian Online


2011/02/24

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agong Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Kuala Lumpur (NUBE) dihukum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah pecah amanah dana kesatuan berkenaan membabitkan lebih RM8 juta, 15 tahun lalu.

Hakim Azizah Mahamud menjatuhkan hukuman itu terhadap K Shanmugam, 63, berkuat kuasa dari tarikh hukuman semalam apabila mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Shanmugam menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan syarat pasport antarabangsanya ditahan sehingga rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi dilupuskan. Selain itu, wang jaminan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata, kesalahan yang dilakukan Shanmugam berat selain mengambil kira hukuman mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan sendiri memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda menunjukkan perbuatan itu jelas sangat berat."

2 curi motosikal dicekup

Berita Harian Online
Oleh Petah Wazzan Iskandar

2011/02/24

Remaja mengaku jual 22 kenderaan semurah RM50

BALIK PULAU: Dua remaja lelaki bawah umur termasuk seorang yang baru sebulan keluar Sekolah Pemulihan Akhlak Paya Terubung, di sini, ditahan kerana disyaki terbabit dalam 22 kes curi motosikal sekitar Daerah Barat Daya di sini, Ahad lalu.

Remaja berusia 14 tahun itu ditahan di Kampung Naran, Batu Maung, jam 1.45 petang, manakala rakannya berusia 15 tahun ditahan pada hari sama di sekitar sini.
Berikutan penahanan kedua-dua remaja yang tidak bersekolah itu, polis menemui lapan motosikal curi. Sebelum ini, remaja berusia 14 tahun turut terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata kegiatan itu terbongkar selepas menahan remaja berusia 14 tahun ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Kampung Naran.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri enam motosikal sekitar Sungai Nibong, Batu Maung dan Bayan Lepas.

“Suspek mengaku mencuri 16 motosikal dan menjualnya kepada orang tengah dikenali sebagai ‘Budak Kedah’ dengan harga RM50 hingga RM200 sebuah,” katanya di pejabatnya, di sini, semalam."

Bangkai tikus dalam kuali


2011/02/24

BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.
BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.
Ops Bersih 3 gempur premis niaga kotor sekitar Klang

KLANG: Bangkai tikus dalam kuali. Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah yang dilihat dalam satu operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 3' yang diadakan di sekitar bandar diraja ini, baru-baru ini.

Pemilik sebuah restoran mendakwa kuali itu tidak lagi digunakan tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang digempur pasukan penguat kuasa itu kotor dan berbau meloyakan.
Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan turut menemui mi goreng yang sudah basi disimpan di bawah rak makanan dan boleh memudaratkan kesihatan jika ia dipanaskan dan dihidangkan semula kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan terus menjamu selera di restoran terbabit seperti langsung tidak mengendahkan operasi yang sedang dijalankan.

Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan sepatutnya di samping melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tidak melabel jenis makanan dan pekerja memakai selipar.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa didapati gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya tong sampah tidak ditutup dan lantai kotor.
"Malah, kami turut menjumpai bangkai tikus, najis tikus dan lipas di beberapa premis," katanya sambil menambah semua premis itu diarah ditutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Bulan lalu, sebanyak 12 premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 2 yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Tinggi.
Berita Harian Online

Lebih 1,000 maut di Libya


2011/02/24

PARIS: Keganasan yang tercetus di Libya didakwa sudah meragut lebih 1,000 nyawa dengan 600 orang daripadanya di ibu negara, Tripoli, kata Nouri el-Mismari, bekas ketua protokol kepada Presiden Muammar Gaddafi, semalam.

Mismari, yang tinggal di Perancis hujung tahun lalu kerana masalah kesihatan berkata, keadaan kekacauan akibat kemarahan orang ramai kepada regim itu jauh lebih teruk dengan lebih 1,000 nyawa terkorban.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan asas merujuk kepada anggaran angka kematian yang diberikannya itu.
Selasa lalu, pemerintah Libya buat pertama kali mendedahkan seramai 300 rakyatnya terbunuh dalam tunjuk perasaan yang tercetus lebih seminggu lalu tetapi Persekutuan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi (IFHR) semalam menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 640 orang maut.

“Ini amat, amat serius. Rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun Gaddafi ini," kata Mismari.

“Ini adalah penamat kepada Muammar Gaddafi. Beliau langsung tidak memperoleh lima peratus sokongan rakyat negaranya," katanya.

Mismari berkata, apa yang menyedihkan regim Gaddafi menembak bebas penunjuk perasaan dan tidak sepatutnya tentera udara dibenar melepaskan tembakan dari pesawat.
Beliau berkata, Gaddafi akan bernasib baik sekiranya dia terbunuh atau rakyat negara itu akan mendakwanya di mahkamah seperti Saddam Hussein. - AFP
Berita Harian Online