Search This Blog

Tuesday, February 22, 2011

Kasanova perdaya wanita, lelaki, kaut RM60,000



22/02/2011 5:48pm

KUALA LUMPUR - Bermodalkan rupa paras menarik dan ayat-ayat yang meruntun jiwa, seorang lelaki berjaya mengaut RM60,000 daripada lima wanita dan seorang lelaki lain sejak Julai tahun lepas sehingga awal tahun ini.
Kesemua mangsa yang membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA di sini mendakwa berkenalan dengan lelaki yang dikenali Ken Isaac itu menerusi laman sosial sebelum menjalin perhubungan dan persahabatan.
Ketua Biro Datuk Michael Chong ketika mendedahkan taktik lelaki itu kepada pemberita, di sini berkata, secara umum lelaki tersebut akan menagih bantuan kewangan daripada mangsa selepas tiga bulan menjalin perhubungan.
Selain itu kasanova ini yang mendakwa bekerja dalam industri pengiklanan dan mempunyai perniagaan sendiri turut menuntut hubungan seks daripada mangsa wanita, katanya.
Chong berkata, kasanova itu menggunakan modus operandi serupa ke atas semua mangsa dan akan menghilangkan diri selepas memperolehi sejumlah wang. - Bernama

Cubaan seludup gagal



JOHOR BAHRU - Cubaan seorang lelaki warga Indonesia untuk menyeludup masuk cicak Gecko atau nama :panggilan tempatan Tokke gagal apabila berjaya dikesan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, petang kelmarin.

Menurut Penolong Pengarah Maqis Negeri, Siti Nur Ahmad, lima cicak Tokke yang masih hidup yang dipercayai diseludup bagi tujuan perubatan itu difahamkan untuk dijual di pasaran tempatan.

“Pegawai kita berjaya mengesan cubaan menyeludup lima cicak ini di Jeti Stulang Laut, pada jam 6.30 petang, ketika membuat pemeriksaan barang, yang dipercayai dibawa oleh seorang lelaki berusia 40-an.

“Lelaki terbabit yang baru tiba di jeti tersebut menaiki feri dari Batam Indonesia ditemui bersama lima cicak tersebut yang diletakkan di dalam botol mineral setiap satu dan dimasukkan ke dalam kotak sebagai barang ‘hand carry’ sebelum dikesan mesin pengimbas,” katanya pada satu sidang media, di sini, semalam.

Siti Nur berkata, cicak terbabit dihantar ke Maqis Bangunan Sultan Iskandar untuk disimpan di stor sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Katanya, cicak Tokke itu bernilai RM80,000 keseluruhan itu ditahan kerana dibawa masuk ke negara ini tanpa permit dengan melanggar Akta Pemuliharaan Liar 2010.

Beliau berkata, lelaki terbabit bagaimanapun dilepaskan namun telah diambil rekod keterangan dan peribadi untuk tindakan lanjut, yang difahamkan sebagai ejen pembawa.

Katanya, nilai cicak itu dipercayai mampu mencecah RM35,000 setiap satu mengikut saiz dan spesies jenisnya.

Tokke atau nama binomial Gecko ini dikatakan mampu merawat penyakit HIV dengan menggunakan air liurnya dan darah dan hempedu haiwan itu dikatakan boleh merawat penyakit kanser.

Gajah musnah kebun




KUALA TAHAN – “Kami kerugian ribuan ringgit dan terancam apabila serangan gajah tunggal bergading masuk malam kelima. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bantulah kami pindahkan gajah itu kerana ia menjejaskan sumber pendapatan kami.”

Itu antara luahan tiga pekebun kecil di Kampung Padang Kuala Tahan apabila kebun mereka musnah akibat serangan gajah sejak hampir seminggu lalu sehingga menyebabkan tanaman sawit, jagung, pisang dan pokok getah musnah.

Seorang pekebun kecil, Noriah Abdul Rahman, 50-an berkata, dia sendiri kerugian hampir RM10,000 apabila kesemua jenis tanamannya musnah akibat serangan gajah tunggal sejak lima hari lalu.

Menurutnya, pokok pisang dan jagung yang menanti hasil untuk dituai serta dipasarkan tidak dapat dinikmati apabila ia dipijak dan dimakan haiwan itu.

“Saya berharap Perhilitan dapat memindahkan haiwan ini kerana ia serangan kedua dalam tempoh dua tahun. Kejadian pertama berlaku di kebun lama. Akibat tidak mampu menanggung kerugian, kami berpindah ke kawasan baru namun keadaan ini tetap berlaku.

“Pendapatan keluarga sepenuhnya bergantung kepada penjualan hasil tani seperti sayuran, jagung dan pisang di setiap pasar malam, pekan sari dan kedai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Noriah berkata, gajah itu tidak berkumpulan kerana kesan tinggalannya menunjukkan ia adalah tunggal dan masuk ke kebun pada tengah malam tanpa disedari penduduk.

Menurutnya, haiwan itu memusnahkan pelbagai tanaman sehingga menjejaskan sumber rezeki mereka berikutan hasil tidak dapat dikeluarkan seterusnya dipasarkan.

“Kami berharap haiwan ini dipindahkan segera. Hasil pertanian ini amat penting kerana pendapatan jualan di pasar membolehkan saya membayar pinjaman bank.

“Kami juga bimbang ke kebun seorang diri kerana khuatir ancaman gajah tunggal itu masuk ke dalam kawasan kampung untuk mencari makanan,” katanya.



Tidak berani ke kebun, risau diserang



Kehadiran gajah tunggal menyebabkan kesemua pekebun kecil itu tidak berani lagi untuk ke kebun kerana bimbang diserang tanpa mereka sedari.

Bagi Fauziah Latif, 54, berkata, tanamannya di kebun seluas 0.8 hektar turut menerima tempias apabila umbut pisang dan pokok getah musnah akibat serangan gajah itu.

Menurutnya, lebih menakutkan apabila kehadiran gajah pada malam kedua apabila haiwan itu makan buah nangka yang ditanam berdekatan rumahnya.

“Gajah tunggal ini benar-benar lalu di tepi rumah saya menyebabkan seisi keluarga ketakutan. Aktiviti kebun dan memotong getah terpaksa dihentikan seketika berikutan bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Insiden ini mengancam keselamatan dan mendatangkan kerugian besar kepada penduduk terutama pekebun kecil di sini,” katanya.

Rakannya, Saodah Salleh, 40-an berkata, dia yang mengalami kerugian tidak berani untuk meninjau keadaan kebunnya secara lebih dekat dan membaiki kerosakan pagar akibat serangan haiwan itu.

“Saya tidak berani lagi untuk ke kebun seorang diri sebaliknya hanya mampu pergi seketika sekiranya berteman. Ia hanya untuk melihat tanaman dan membaiki pagar yang tumbang dan rosak dipijak gajah.

“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan sebelum haiwan itu terus masuk ke kawasan kampung seterusnya merosakkan lebih banyak tanaman penduduk,” katanya.

Saodah berkata, Perhilitan perlu meningkatkan usaha untuk meninjau keadaan dan menghalau haiwan itu.

“Kami menghargai usaha pihak berkenaan menghalau gajah itu namun ia tidak berkesan sebaliknya haiwan itu akan datang kembali. Sehubungan itu, Perhilitan diharap dapat menangkap dan memindahkan gajah itu demi kebaikan bersama,”katanya.

Kontraktor palsu curi kabel TM


PUCHONG – Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, Telekom Malaysia (TM) kerugian puluhan ribu ringgit berpunca daripada kecurian kabel di beberapa kawasan sekitar Serdang di sini.

Difahamkan, tahun lalu syarikat sama kerugian ratusan ribu ringgit apabila bukan sahaja kabel di tiang dan dalam bangunan dicuri, namun kabel bawah tanah turut sama dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai kumpulan ‘gengster’ yang mahir melakukan kerja-kerja terkutuk itu.

Pegawai Teknik TM Zon Kinrara MSC, Zaulkefli Ahmad berkata, beliau percaya kumpulan terbabit melakukan kegiatan itu dengan menyamar dan memakai seragam seolah-olah seperti kontraktor TM.

“Mereka ini dipercayai melakukan kegiatan haram antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi kerana sering menerima aduan daripada pengguna yang terputus talian telefon pada waktu berkenaan.

“Apa yang dikesalkan mereka ini memecahkan batu dan besi penutup :manhole: sebelum melarikan kabel tembaga berkenaan,” katanya yang memaklumkan puluhan laporan polis pernah dibuat termasuk di Sungai Besi, Seri Serdang, Kajang dan Dengkil.

Zaulkefli berkata, sebelum ini pekerjanya pernah diugut kumpulan gengster terbabit ketika melakukan kerja baik pulih di tapak.

Beliau berkata, untuk mengatasi masalah itu, pihaknya kini kerap menjalankan rondaan bersama Bahagian Keselamatan TM untuk mencegah kejadian yang sama daripada berulang.

Menurutnya, banyak aktiviti berjaya ditumpaskan, namun pihaknya memerlukan kerjasama orang awam untuk sama membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

“Sekiranya terlihat individu atau sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan melakukan kerja menarik kabel dari bawah tanah, kami minta jasa baik orang awam supaya segera melaporkannya kepada polis.

“Untuk memastikan sama ada pekerja adalah kontraktor yang dilantik, mereka mempunyai surat kebenaran yang dicop pegawai kawasan masing-masing dan hanya kontraktor dilantik mempunyai surat kebenaran itu,” katanya.

Menurutnya lagi, kumpulan gengster terbabit menggunakan lori untuk melakukan kerja-kerja memotong kabel, malah ada di antaranya melarikannya menggunakan motosikal.

“Antara kawasan panas sering berlaku aktiviti itu termasuk di Desa Serdang, Balakong Jaya, Sungai Besi Indah, Taman Equine, Bukit Belimbing, Taman Universiti Indah, Sungai Besi dan Dengkil.

“Lebih mengecewakan bukan sahaja kabel dicuri, besi penutup :manhole: jalan turut dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut ular masuk ke rumah



BEDONG – Penduduk Kampung Sungai Tok Pawang digemparkan dengan penemuan seekor ular tedung selar sepanjang 2.5 meter yang berjaya ditangkap oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Muda di sini.

Seorang petugas jabatan berkenaan, Mohd Nazri Kahzali, 28, berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan ular itu kira-kira jam 5 petang kelmarin dan bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak saya menerima menerima satu laporan daripada seorang penduduk kampung kira-kira jam 5 petang yang menyatakan rumahnya dimasuki ular tedung selar dan sejurus menerima laporan itu saya dan rakan lain terus bergegas ke tempat kejadian.

“Setelah kami sampai, ramai penduduk berkumpul dan ular yang kami temui berukuran 2.5 meter dan beratnya 5 kilogram. Dalam operasi ini saya dan tiga lagi anggota lain cuba menangkap ular itu,” katanya.

Menurutnya, pemilik rumah berkenaan menyedari ular itu masuk ke rumahnya setelah dia melihat reptilia itu menyulur masuk dan duduk di bawah meja makan, sebelum itu dia juga ada melihat haiwan itu di luar rumahnya.

“Pada mulanya untuk menangkap ular tedung selar ini rumit kerana ular itu melawan. Alhamdulillah dengan kepakaran dan kesungguhan yang ada, kami akhirnya berjaya menangkap ular itu dengan menggunakan alatan khas.

“Untuk menangkap ular ini kita mesti mempunyai teknik yang betul kerana ular merupakan spesies yang merbahaya dan mampu mengundang maut jika tersalah caranya,” katanya.

Nazri berkata, setelah dia dan beberapa anggota lain berjaya menangkap haiwan itu, pihaknya akan membawa balik haiwan itu ke pejabat dan haiwan terbabit akan dihantar ke tempat yang sepatutnya.

“Saya juga berharap kepada penduduk supaya sentiasa memastikan kawasan persekitaran terutamanya kawasan rumah berada dalam keadaan bersih dan sentiasa menutup pintu kerana khuatir haiwan liar dapat masuk ke rumah.

“Jika perkara seperti ini berlaku orang ramai bolehlah menghubungi pihak JPAM Kuala Muda menerusi talian 04-4235682/73,” katanya.

Padah gara-gara bergaduh



AYER KEROH - Seorang juru kimpal dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki lain dalam satu pergaduhan di Sungai Udang, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat penghakiman berkenaan selepas berpuas hati dengan segala fakta kes yang dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Tertuduh, Nazdmir Nasmi, 23, dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Mohd Thaudin Juancho, 28, di hadapan rumah mangsa di Taman Peruna, Sungai Udang, kira-kira jam 8.10 malam pada 8 Ogos 2009.

Mangsa yang mendapat kecederaan di kepala akibat pergaduhan itu meninggal dunia setelah beberapa hari dimasukkan ke hospital.

Nazdmir dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar, sementara tertuduh diwakili Mohd Hilmy Samsudin.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sementara pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Menurutnya, mahkamah juga berpuas hati bahawa apa yang dilakukan tertuduh adalah sebagaimana yang diterangkan dalam kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pembelaan tertuduh juga adalah penafian semata-mata, selain asas pembelaannya tidak dikemukakan kepada saksi pendakwaan ketika kes berlangsung.

“Dengan mengambil kira semua ini, mahkamah mendapati tertuduh bersalah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ahmadi berkata, kesalahan di bawah seksyen itu hanya membawa satu hukuman, iaitu hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, peguam bela tertuduh turut memohon mahkamah menangguhkan perlaksanaan hukuman bagi membolehkan rayuan difailkan.

Tiga rumah kedai hangus



GURUN - Tiga rumah kedai hangus dalam satu kebakaran di Pekan Gurun di sini, awal pagi semalam.

Kebakaran yang melibatkan kerugian RM720,000 itu bermula dari kedai alat ganti motosikal yang dipercayai mengalami litar pintas.

Pemilik kedai buku yang hanya dikenali sebagai Raja, 51, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi.

“Ketika itu, saya nak buka kedai, kemudian saya dengar letupan di kedai sebelah iaitu kedai alat ganti motosikal. Kemudian saya nampak kepulan asap dalam kedai itu.

“Selepas itu, saya melaporkan kejadian berkenaan kepada Balai Polis Gurun. Kemudian pihak bomba pun datang. Ketika itu, api memang cepat. Selepas buat laporan, api semakin marak sehingga kedai saya juga terjejas,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba Guar Chempedak, Alias Awang Kecik berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.09 pagi.

“Pihak bomba sampai ke tempat kejadian pada jam 6.15 pagi dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.33 pagi. Kebakaran dapat di padam dengan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi.

“Lima jentera bomba cawangan Guar Chempedak, Yan, dan Sungai Petani bersama bantuan bomba sukarela membantu dalam memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Dr Leong Yong Kong berkata, kejadian itu disedarinya pada jam 6.12 pagi.

“Selepas dimaklumkan, saya terus bergegas ke tempat kejadian. Ketika itu api sedang marak dan pihak bomba begitu bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

“Nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku. Bangunan kedai ini merupakan satu daripada deretan kedai yang bersejarah di pekan ini. Usianya telah menjangkau 80 tahun,” katanya.

Bapa, anak terlibat sindiket curi kereta lama



KLUANG - Tiga lelaki termasuk bapa dan anak ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam sindiket mencuri kereta jenis lama.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad berkata, semua suspek ditahan polis di Jalan Palembang kira-kira jam 1.50 pagi pada 16 Februari lalu.

“Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 53 tahun yang mana modus operandi mereka adalah menyasarkan kereta jenis lama seperti Datsun dan Nissan Sunny yang diletakkan di tepi-tepi jalan, tempat letak kereta awam dan di hadapan rumah.

“Bukan itu sahaja, suspek juga menggunakan ‘master key’ yang diubahsuai bagi menghidupkan enjin kereta ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis daerah Kluang, semalam.

Mohd Fawzi berkata, kegiatan mencuri kereta kumpulan berkenaan adalah pada waktu malam dan awal pagi, sebelum membawa kereta yang dicuri ke suatu tempat untuk dileraikan, seterusnya dipasangkan pada kereta lain.

Manakala komponen yang bernilai akan dijual mengikut harga semasa dan mengikut keperluan daripada mereka yang mahukannya.

“Kes mencuri kereta ini melibatkan anak beranak iaitu anak dan bapa yang sama-sama tidak bekerja dan hanya menjalankan aktiviti mencuri kereta.

“Bapa berumur 53 tahun dan anak dalam lingkungan 20-an. Semasa disoal siasat si bapa didapati ada melakukan lapan kesalahan lampau, manakala anak tiada kesalahan lalu. Hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah kereta jenis Datsun yang dilaporkan hilang.

"Semua suspek dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Mereka ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.

Tulang patah dihempap kayu



SERKAM – Seorang lelaki berketurunan India yang lumpuh separuh badan akibat dihempap kayu besar, menerima sumbangan kerusi roda daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Muhammad.

R Krisnan, 29, yang bergantung sepenuhnya dengan bantuan kerusi roda mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Krisnan berkata, peristiwa dirinya dihempap kayu besar seperti kayu balak tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya kerana kejadian itu menyebabkan tulang belakangnya patah.

“Sewaktu kejadian, saya dan rakan sedang memikul kayu besar itu untuk membuat rakit. Saya berada di depan.

“Ketika itu, dengan tidak sengaja, kayu yang dipikul saya dan rakan itu terlepas daripada tangan rakan di belakang sehingga menyebabkan kayu itu menghempap belakang badan saya,” katanya ketika dikunjungi Ghazale di rumahnya di Taman Sri Serkam.

Ha:dir sama, Setiausaha Japerun, Ramlan Mohd Ali, Pegawai Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN), Roslee Jantan dan wakil JKM, Azizol Mohd Zin.

Krisnan berkata, selepas kejadian itu, dia terlantar di Hospital Melaka (HM) selama sebulan dan tidak membolehkan dia ke sekolah dan kini bergantung sepenuhnya pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM230 sebulan.

Katanya, bagi mengisi masa lapangnya, dia tetap bekerja di sebuah kedai telekomunikasi berhampiran rumahnya dengan peroleh pendapatan kira-kira RM200 sebulan.

Dalam pada itu, Ghazale berharap dengan sumbangan kerusi roda itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung Krisnan memandangkan kerusi roda lama miliknya itu sudah usang.

“Selaras dengan 1Malaysia, bantuan mahupun sumbangan diberikan kepada mereka yang layak dan hanya benar-benar memerlukan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Gempa di tenggara Kebumen



JAKARTA - Setelah Gunung Sitoli, Sumatera Utara, dan Ende Nusa Tenggara Timur, gempa kembali mengguncang wilayah Kebumen, Jawa Tengah, Senin pagi hari.
Gempa berkekuatan 4.8 Skala Richter (SR) ini terjadi pada pukul 03.15 Waktu Indonesia Barat (WIB). Lokasi gempa tercatat di 82 km bagian tenggara Kebumen dengan kedalaman 10 kilometer.
Sebelumnya, gempa berkekuatan 5.0 skala richter terjadi di timur laut Ende, Nusa Tenggara Timur, Senin pukul 00.52 WIB.
Laman BMKG mencatat, episentrum gempa di 7,99 LS dan 122,78 BT atau 158 km Timur Laut Ende atau 258 km Barat Laut Kota Kupang. Gempa di kedalaman 205 km ini tidak berpotensi menimbulkan tsunami.
Beberapa jam sebelumnya, gempa juga terjadi di kawasan Gunung Sitoli, Sumatera Utara. Gempa tercatat pada pukul 21.32 WIB, Minggu (20/2/2011). Gempa berkekuatan 5,2 SR ini berpusat di 64 Km Barat Laut Gunung Sitoli di kedalaman 17 kilometer.

Dipetik daripada Kompas.com

Lima rumah hangus dijilat api

 

JOHOR BAHRU – Lima buah rumah di Batu 7 Kampung Semangat, Kempas Lama, di sini, hangus dijilat api dalam satu kebakaran, petang semalam.

Kejadian berlaku jam 4.59 petang itu mengakibatkan dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman masing-masing hangus terbakar manakala dua buah rumah lain tidak berpenghuni.

Mangsa, Minhat Hassan, 58, berkata, dia bersama isterinya menyedari kebakaran itu apabila mendengar teriakan jiran-jiran ketika sedang leka melakukan kerja pertukangan rumahnya.

Katanya, kebakaran itu berlaku dalam sekelip mata dan dia bersama isteri hanya sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran.

“Sebaik sahaja terdengar jeritan jiran-jiran berhampiran memberitahu bahawa mereka ternampak kepulan asap dari arah salah sebuah rumah berdekatan, saya segera berhenti kerja meminta isteri berjaga-jaga.

“Kemudian, saya terus menuju ke rumah berkenaan yang tidak berpenghuni. Selepas mengetuk pintu beberapa kali, saya terus membuka dan mendapati api sedang marak membakar siling rumah ini.

“Saya hanya sempat menyelamatkan televisyen, radio, beberapa helai pakaian dan dokumen penting, manakala kain baju di dalam almari serta beberapa surat-surat di dalam almari gagal diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Dalam pertemuan sama, Minhat sempat menceritakan pengalaman menolak kereta milikinya walaupun pada ketika itu kunci terletak di dalam kenderaan berkenaan.

“Semput rasanya apabila bergegas menyelamatkan semua harta benda yang mudah dicapai dalam keadaan panik.

“Pastinya saya tidak akan melupakan peristiwa menolak kereta di dalam garaj sedangkan boleh menghidupkan enjin dan memandu keluar berikutan sememangnya sudah tersiap sedia berada di dalam,” katanya.

Saksi kejadian, Kadir Abdul Razak, 53, menyedari berlaku kebakaran itu selepas diberitahu salah seorang anaknya selepas ternampak kepulan asap dari pintu rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Sebaik sahaja diberitahu anak, saya terus bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat api marak menjulang membakar empat buah rumah ini.

“Bimbang api ini terus marak membakar rumah-rumah lain, saya segera menghubungi bomba untuk tindakan memadamkan api,” katanya.

Semua mangsa yang terlibat ditempatkan di sementara di Surau kampung berkenaan.

Sementara Pegawai Operasi Kanan Bomba Johor Bahru,C Kesavan berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 5 petang dan api dapat dipadamkan secara keseluruhannya dalam tempoh 10 minit.

"Sebanyak tiga jentera bomba dari Johor Bahru membabitkan 15 anggota dan satu jentera dari bomba Pulai datang memberi bantuan dan kita menghadapi masalah air kerana kawasan berkenaan tidak mempunyai pili bomba.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dan kebakaran membabitkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga yang terlibat,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Punca kebakaran masih disiasat.

Milik dadah kena 8 bulan penjara



IPOH – Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan ke atas seorang lelaki kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Majistret Noor Akmal Mustafa Kamal memerintahkan tertuduh, V Annadurai, 36, dikenakan penjara lapan bulan apabila hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh dihukum.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki heroin seberat 1.07 gram di Kampung Kapayang, Simpang Pulai pada jam 12.30 tengah hari, 5 Mac 2009.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12(3) di bawah akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Pertuduhan kedua, Annadurai dituduh menggunakan morfin pada tarikh dan waktu yang sama dan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sebelum itu, tertuduh yang diwakili peguam belanya, Mahinder Singh merayu dikenakan hukuman ringan terhadap dua tuduhan itu, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof.

Pengedar dadah diberkas



KULIM - Seramai tujuh anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim bersama anggota Trafik Balai Polis Kulim yang diketuai koperal berjaya menahan lelaki berusia 29 tahun dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lunas ketika operasi bersepadu cegah jenayah kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Jurucakap polis berkata, ketika rondaan dibuat polis terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC 125 warna hitam dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran motosikal itu, polis mendapati ia adalah nombor pendaftaran palsu.

“Semasa anggota polis trafik cuba menahan suspek, dia terus memecut dan melarikan diri ke Jalan Paya Besar. Namun, apabila sampai di Taman Kuchai, suspek dapat ditahan,” katanya.

Menurutnya, ketika menjalankan pemeriksaan di badan suspek, polis menemui satu bekas plastik dalam poket seluar sebelah kanan. Apabila plastik itu dibuka, polis menemui 12 keratan straw lut sinar yang mengandungi bahan serbuk dipercayai dadah jenis heroin dan syabu.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk menjalani ujian air kencing dan polis mendapati dia positif serta ditahan dalam lokap untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan berat serbuk dipercayai heroin itu ialah kira-kira 1.8 gram manakala syabu seberat 0.1 gram berjaya dirampas. Suspek akan disiasat di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya.

Perompak masuk masjid, balik tangan kosong



PENGKALAN BALAK - Perompak balik dengan tangan kosong apabila memecahkan peti tabung di Masjid Kampung Sungai Tuang yang tidak berisi wang, dekat sini, awal pagi Khamis lalu.

Imam Masjid Kampung berkenaan, Abdul Rahman Daud berkata, dia yang datang ke masjid kira-kira jam 5.45 pagi untuk persediaan menunaikan solat subuh terkejut apabila mendapati pintu tepi masjid sudah terbuka.

Menurutnya, dia datang seorang diri pada waktu itu seperti biasa dan mendapati tikar sejadah imam bergulung-gulung, manakala karpet juga dalam keadaan tidak terurus seperti diselongkar untuk melihat apa yang ada di bawahnya.

“Ketika saya nak betulkan semula sejadah dan karpet, saya terus berpaling ke belakang dan saya dapati peti tabung masjid yang ada di dinding sudah dipecahkan perompak.

“Bilik azan pun kena pecah juga, cuma satu bilik yang menjadi tempat menyimpan peralatan audio, telefon dan komputer yang pintu kayunya gagal dibuka, namun pintu ‘grill’ habis diumpil,” katanya.

Abdul Rahman bersyukur kerana tiada sebarang peralatan dan wang hilang.

Menurutnya, dia sempat berpesan kepada seorang ahli masjid supaya mengunci peti tabung berkenaan manakala sejumlah wang anggaran RM50 telah dikeluarkan untuk dimasukkan ke tabung lain.

Katanya, masjid berkenaan sering menjadi sasaran perompak dan ini adalah kali keempat masjid itu dipecah masuk, namun tidak kehilangan sebarang harta benda masjid kecuali mengalami kerosakan pada pintu masjid dan tabung sumbangan yang ada.

Hampir lemas disumbat dengan tuala kecil



ALOR GAJAH - Seorang warga emas yang sibuk memasak di dapur rumahnya dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali sambil mengugutnya menggunakan pisau sebelum diikat di Kampung Kelemak, dekat sini, pagi semalam.

Kamsiah Maarof, 67, ketika itu membersihkan beras kira-kira jam 9.30 pagi apabila secara tiba-tiba didatangi dari arah belakang.

Menurutnya, penjenayah terbabit mengugutnya supaya menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dipakainya. “Saya tinggal keseorangan ketika kejadian. Bagaimanapun,
sebelum itu ada seseorang memberi salam dan bertanyakan mengenai salah seorang anak saya tetapi dia tiada di rumah.

“Kemudian, saya keluar untuk menghantarkan sarapan kepada seorang nenek yang tinggal berhampiran,” katanya.

Kamsiah berkata, sebaik pulang daripada menghantar sarapan, dia masuk ke dapur untuk menyiang ikan dan kemudian keluar semula menjemur pakaian dan kembali menyambung
semula rutin memasaknya.

“Tidak berapa lama selepas itu, saya pusing ke belakang tetapi terkejut kerana penyamun dekat dengan saya dan meminta membuka gelang tangan yang dipakai.

“Dia tanya sama ada ia emas atau tiruan tetapi kerana terlalu takut, saya jawab emas,” katanya.

Kamsiah berkata, dia dipaksa masuk ke bilik dan sekali lagi dia terkejut kerana mendapati biliknya sudah berselerak tetapi selepas diperiksa tiada barang yang hilang.

“Saya diikat menggunakan tali yang ada dalam bilik. Saya minta lelaki terbabit bukakan pintu dan lepaskan saya tetapi dihalang kerana bimbang saya membuat laporan di balai polis.

“Dia terus tarik saya bawa ke bilik di bahagian atas rumah dan meminta semua wang yang ada,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menyerahkan RM40 sahaja dan dia yang ketakutan tiba-tiba sakit kepala berikutan menghidap darah tinggi.

“Saya diugut supaya jangan bersuara dan saya jadi lebih panik apabila penyamun terbabit mengikat leher saya.

“Ketika itu, saya cuma fikir dia akan jerut saya dengan tali yang sudah terikat di leher dan kemudian dia ambil sehelai tuala kecil sebelum menyumbatnya ke dalam mulut saya sehingga rasa sukar untuk bernafas,” katanya.

Kamsiah berkata, penjenayah kemudiannya meninggalkannya dan mengambil kunci motor milik seorang anaknya untuk melarikan diri.

“Mujur anak lelaki saya, Mohd Ridwan Mohd Kamapiah, 29, pulang dari pasar dan membantu melepaskan ikatan.

Menurutnya, selepas diperiksa, dia mendapati penjenayah berkenaan memasuki rumah dengan menanggalkan tiga keping tingkap nako di dapur.

:“Kebetulan pada hari kejadian, suami pula tergerak hati mahu pergi memancing sedangkan sebelum ini tak pernah-pernah dia mahu memancing.

“Jika tidak saya bertemankan suami di rumah sementara anak keluar bekerja,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM5,500, membabitkan sebuah motosikal bernombor pendaftaran MAY 9816, dua bentuk cincin, seutas gelang tangan emas dan wang tunai berjumlah RM140.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 dengan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan sebatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridwan berkata, dia ada terserempak dengan motosikal yang dilarikan penyamun tetapi menyangka anak saudaranya yang menunggangnya.

Dirogol berkali-kali



SUNGAI KAPAR INDAH - Tidak sampai beberapa jam mengenali seorang lelaki, seorang wanita berumur 17 tahun sanggup mengikut teman barunya itu ke kediaman abangnya sebelum dirogol berkali-kali di sebuah rumah, di Kampung Sri Kenanga, Bandar Baru Klang, di sini, Sabtu lalu.

Pada mulanya, gadis yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai makan di sekitar Shah Alam itu keluar berjalan-jalan bersama seorang rakan perempuannya dipercayai untuk menghabiskan cuti malam minggu sekitar jam 9 malam (kelmarin).

Bagaimanapun dia kemudiannya diperkenalkan rakannya itu kepada seorang lelaki yang juga suspek berumur 21 tahun di sebuah tempat di sekitar Shah Alam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Deputi Superintendan Beh Eng Lai berkata, sebaik berkenalan, mereka berbual-bual sebelum menaiki motosikal milik suspek dipercayai untuk bersiar-siar di sekitar kawasan berkenaan.

“Tidak lama kemudiannya, suspek meminta mangsa mengikutnya ke rumah abangnya di Kampung Sri Kenanga dengan alasan untuk mengambil baju sejuk kerana khuatir mangsa kesejukan.

“Mangsa yang menyangka lelaki terbabit mengambil berat padanya bersetuju lalu mengikut lelaki berkenaan ke sana sebelum kembali meronda di sekitar Klang dan Shah Alam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, penat meronda-ronda kira-kira jam 2 pagi (semalam), sekali lagi suspek dipercayai mengajak mangsa ke rumah abangnya dengan alasan untuk berehat kerana kesejukan.

“Mangsa dipercayai hanya mengikut suspek tanpa banyak cakap dan ketika berada dalam bilik di rumah sama, kemungkinan berlaku adegan ringan-ringan antara keduanya.

“Suspek yang tidak tahan dengan desakan hawa nafsu mengambil peluang membuka baju mangsa dipercayai untuk merogolnya. Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan menolak lelaki terbabit.

“Dia bagaimanapun dipukul dan ditampar berkali-kali oleh suspek sebelum akur dirogol lelaki itu berkali-kali,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira jam 6 pagi (semalam), suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke rumah sewanya dengan menaiki motosikal.

“Selepas itu, mangsa segera membuat laporan polis di sebuah balai polis. Selepas dimaklumkan perkara itu, polis serta forensik :segera menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Hasilnya mendapati terdapat kesan air mani di bilik terbabit dan juga kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa selepas mangsa menjalani pemeriksaan di sebuah hospital di sini.

“Berikutan itu, polis terpaksa menahan suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Menurutnya, beliau menasihatkan remaja perempuan supaya berwaspada dengan teman baru yang dikenali bagi mengelak kes sebegini berlaku.

Hangus sekelip mata




JELU – Sebuah rumah tak berpenghuni hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran lewat petang kelmarin di Kampung Jelu, kira-kira 18 kilometer dari Bandar Raub.

Seorang remaja, Muhammad Amirul Irfan Zulkifli, 18, berkata, dia menyedari berlaku kebakaran ketika melalui hadapan rumah berkenaan lebih kurang jam 6.50 petang sebelum segera menghubungi bomba.

Menurutnya, pada waktu itu keseluruhan rumah sudah dijilat api yang sangat marak dan panas membahang sehingga lebih lima meter.

“Rumah 95 peratus papan itu terletak dalam kawasan tanah persendirian turut ditanam beberapa pokok buah-buahan seperti manggis, rambutan dan koko.

“Keadaan api marak turut me-ngakibatkan beberapa pokok di sekeliling rumah terbakar,” katanya ketika ditemui di sini.



Rumah lama tidak dihuni



Seorang penduduk, Razak Che Mat, 75, berkata, rumah itu sudah tidak dihuni lebih kurang 3 tahun sejak pemiliknya tinggal bersama anak-anak di beberapa kawasan dalam dan luar daerah.

Katanya, warga tua berusia 80-an yang hanya dikenali sebagai Mek itu jarang mengunjungi rumahnya berikutan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Pemilik asal rumah ini, iaitu suami Mek, Mustaffa Ismail meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu dan selepas itu rumah ini didiami salah seorang anaknya.

“Namun sejak lebih tiga tahun lalu rumah ini ditinggalkan kosong tetapi bekalan elektrik masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Razak yang tinggal di Kampung Jelu sejak lebih 60 tahun lalu berkata, arwah Mustaffa adalah antara peneroka awal kampung itu.

Katanya, biarpun rumah itu tidak ada penghuni, tetapi ia tetap meninggalkan seribu kenangan kepada penduduk setempat.

“Penduduk tetap menghargai usaha gigih arwah Mustaffa yang menjadi salah seorang peneroka awal yang membuka Kampung Jelu ini, walaupun dia telah tiada,” katanya.

Kerugian RM20,000



Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Raub, Borhan Hussain berkata, kerugian dianggarkan lebih kurang RM20,000 berdasarkan keadaan rumah papan dan juga pendawaian elektrik yang masih dalam keadaan baik.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 6.56 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.17 malam.

“Dua jentera bomba digerakkan ke tempat kejadian dengan kekuatan lapan anggota berjaya memadam kebakaran dalam tempoh beberapa minit.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan Forensik Bomba,” katanya.

Dibelasah kerana angkat tangan kepada pemandu wanita



KUALA TERENG-GANU - Gara-gara mengangkat tangan kerana tidak berpuas hati dengan pemandu yang tidak membenarkannya memotong, seorang peniaga berdepan detik mencemaskan apabila dibelasah orang ramai, dalam satu kejadian di Jalan Gemuroh, Tepoh, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang, ketika mangsa yang berusia 41 tahun, dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang belajar di Setiu.

Menurutnya, mang-sa yang berasal dari Kampung Banggol Tok Jiring, bersama dua anaknya ketika kejadian berlaku.

“Mengikut siasatan awal, mangsa cuba memotong sebuah kereta yang dipandu seorang wanita. Bagaimanapun, pemandu wanita itu tidak mengendahkannya, sebaliknya melajukan kereta dan menghimpit kereta mangsa.

“Mangsa memberi isyarat untuk memotong tetapi pemandu itu sengaja tidak membenarkannya memotong. Tidak puas hati dengan tindakan pemandu wanita itu, mangsa kemudiannya mengangkat tangan tanda protes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Namun tidak semena-mena, suami wanita itu yang ketika itu duduk di sebelahnya, melambai tangan dan menyuruh mangsa berhenti.

Dia kemudiannya menarik baju mangsa sehingga terkoyak dan menumbuk mangsa manakala wanita itu dikatakan menendang mangsa, sebelum penduduk kampung datang serta turut memukul mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis batu Rakit pada jam 8.50 malam. Dia juga didapati cedera pada muka, telinga, kepala, tengkuk dan kaki. Mangsa juga mendakwa telefon bimbitnya hilang.

“Polis kemudiannya membuat tangkapan terhadap suami isteri itu dan pasangan yang berusia 40-an itu juga membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, mereka sudah dilepaskan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Pasangan ditangkap di bawah katil



Nibong Stesen – Jarak umur tidak menghalang niat seorang janda menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki yang usianya jauh lebih muda.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermoral membabitkan wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan lelaki masih belasan tahun di sebuah rumah Jalan Nibong Stesen itu terbongkar berikutan serbuan pihak berkuasa syariah sebaik menerima aduan orang ramai.

Akhirnya, berdasarkan bukti yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah syariah, kedua-dua pasangan yang tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, kerana perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah, ketika serbuan dilakukan di rumah terbabit kira-kira jam 9 pagi, 4 Julai tahun lalu, pintu dibuka oleh seorang wanita (tertuduh wanita) dikenali dengan Hidayah (bukan nama sebenar).

Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki, Syafuddin (bukan nama sebenar) dalam keadaan bogel sedang bersembunyi di bawah katil.

Setelah mendengar rayuan tertuduh wanita dan mengambil kira hujah pendakwaraya, Hakim Syarie, Shamsudin Ngah akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau tiga bulan penjara ke atas Hidayah sebagai pengajaran atas kesalahan dilakukan.

Pasangannya yang berasal dari Jalan Sekolah Pusat itu bagaimanapun gagal hadir dan satu perintah waran tangkap dikeluarkan ke atasnya sementara menunggu kesnya disebut semula pada 18 April nanti.

Empat sekeluarga nyaris maut



KOTA BHARU - Empat sekeluarga hampir maut dalam kebakaran yang berlaku di kediaman dua tingkat milik mereka di Kampung Pauh Panji kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Rumah yang didiami keluarga itu hangus serta-merta akibat api yang begitu marak sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah itu.

Menurut ketua keluarga terbabit, Abdul Razak Sulaiman, 49, semasa kejadian dia sedang tidur di bilik bawah bersama isterinya Junaidah Mahmud, 44, manakala dua anaknya, Fahmi Amirul 16, dan Normaisha,10, tidur di bilik masing-masing di tingkat atas.

“Kejadian disedari oleh anak lelaki saya (Fahmi), apabila dia ternampak api bermula daripada soket berdekatan televisyen di ruang tamu ketika keluar daripada biliknya.

“Dia terus meluru ke bilik saya dan mengetuk pintu lalu saya cepat-cepat mendapatkan baldi di bilik air bawah untuk memadamkan api yang semakin marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, selepas mengetuk pintu biliknya, dia (Fahmi) terus mengejut adiknya (Normaisa) yang berada di bilik sebelah lalu mendiamkan diri di tingkat atas kerana takut api menyambar dari tingkat bawah.

“Melihatkan keadaan itu, selepas 10 minit cuba memadamkan api dengan tiga baldi air, namun tidak juga padam dan terus menyambar, saya terus naik ke tingkat atas menyelamatkan mereka berdua.

“Fahmi bertindak nekad terjun ke bawah melalui tingkap namun saya sempat naik ke atas dan menyelamatkan dia dan adiknya,” katanya.

Sementara itu menurut Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Wan Asri Wan Yaacob, pihak bomba menerima panggilan pada jam 1.38 pagi.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 2.51 pagi dengan 20 anggota bersama tiga jentera bomba dari Balai Bomba Kota Bharu. Setakat ini pihak kami masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian,” katanya.

Suspek samun maut




AMPANG – Gara-gara panik, dua suspek samun gagal mengawal motosikal dinaiki lalu merempuh kereta mangsa, sebelum terpelanting ke dalam longkang.

Akibat itu, salah seorang daripada suspek maut, manakala seorang lagi parah.

Sebelum itu, dua lelaki Indonesia berusia 34 dan 25 tahun itu menyamun beg tangan seorang wanita di rumah keluarganya di Taman Mega Jaya, di sini, kira-kira jam 8.40 pagi.

Insiden itu berlaku ketika wanita itu menutup pintu pagar untuk ke tempat kerja, sebelum salah seorang daripada suspek tiba-tiba meluru ke arah keretanya lalu membuka pintu penumpang dan mengambil beg tangan mangsa berusia 28 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, wanita bekerja sebagai arkitek itu cuba mendapatkan semula beg tangannya, tetapi ditendang suspek, sebelum melarikan diri.

“Mangsa kejar suspek naik kereta dan berhenti di persimpangan Jalan Mega 7, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian. Suspek terkejut dan menggelabah, lalu melanggar kereta berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, mereka tercampak ke dalam longkang menyebabkan lelaki berusia 34 tahun maut dan rakannya cedera parah di badan dan kepala,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berputih mata selepas isi beg tangan mangsa bertaburan di jalan raya.

Menurutnya, mayat suspek dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat, manakala rakannya yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki suspek dipercayai dicuri.

Amiruddin berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan mangsa untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1)A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Mahyudin Zakaria, 59, berkata, dia curiga selepas terdengar jeritan dari luar rumah dan melihat anaknya memandu kereta secara tergesa-gesa.

“Saya turut mengejar anak saya menaiki kereta berasingan untuk ketahui apa sebenarnya berlaku, sebelum melihat insiden berkenaan,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, banyak kes jenayah berlaku di kawasan taman terbabit, sepanjang 10 tahun tinggal di situ, namun kes samun itu pertama kali berlaku pada anaknya.

MPV remuk akibat rempuh tembok di kolong blok



SINGAPURA
SEBUAH kereta berbilang guna (MPV) telah merempuh tembok di kolong sebuah blok di Sin Ming Avenue pagi semalam.
Kereta Mazda (gambar) itu dipercayai terbabas dari tempat meletak kereta terbuka Blok 455 lalu melanggar tembok blok tersebut.Ketika dihubungi, polis berkata mereka menerima panggilan sekitar 7 pagi semalam mengenai kemalangan tersebut.Menurut polis, pemandu kereta itu mengalami cedera ringan, namun enggan ke hospital untuk pemeriksaan doktor.Mujur tiada orang lain yang turut cedera dalam kemalangan itu.Menurut polis, tembok di kolong blok itu mengalami kerosakan kecil, namun kesan rempuhan tersebut menyebabkan bahagian depan kereta berkenaan remuk.Menurut akhbar Shin Min, pemandu kereta itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Yao, ketika itu pulang ke rumah daripada tempat kerjanya.Encik Yao berkata ketika kejadian, kepala beliau berasa pening dan beliau secara tidak sengaja tertekan pedal minyak keretanya.Ini menyebabkan keretanya itu meluncur ke hadapan dan merempuh tembok tersebut.Akhbar tersebut turut melaporkan bahawa polis telah menjalankan ujian breathalyser untuk memastikan Encik Yao tidak berada dalam keadaan mabuk.Encik Yao berkata beliau tidak menghadapi apa-apa kecederaan teruk, lantas menolak tawaran untuk dibawa di hospital bagi pemeriksaan doktor. -- Foto SHIN MIN

Gunung Berapi Bulusan keluar debu tebal



Orang ramai memerhati ke arah Gunung Berapi Bulusan yang menyemburkan asap dan debu tebal di wilayah Sorsogon, selatan Manila, semalam. – REUTERS


MANILA 21 Feb. – Kira-kira 1,200 penduduk kampung di wilayah Sorsogon melarikan diri selepas Gunung Berapi Bulusan mengeluarkan asap dan debu tebal, semalam.
Ketua pakar gunung berapi agensi kerajaan, Renato Solidum berkata, walaupun berlaku letusan asap dan debu tebal dari Gunung Bulusan kali ke-13 sejak November, tidak ada tanda-tanda akan berlaku letupan termasuk pengeluaran magma.
Ketua agensi maklum balas kecemasan, Benito Ramos berkata. asap tebal setinggi dua kilometer keluar dari gunung tersebut dengan debu berterbangan ke arah empat perkampungan di Sorsogon menyebabkan penduduk melarikan diri ke pusat perlindungan sementara dan rumah saudara-mara.
‘‘Trak tentera membantu memindahkan penduduk kampung dari perkampungan yang dilanda debu dan pasukan kecemasan menyerahkan topeng pernafasan,’’ katanya.
Tiada arahan dikeluarkan oleh kerajaan untuk memindahkan komuniti berdekatan gunung berkenaan.
Ketika ramai bergegas menyelamatkan diri, penduduk di bandar Irosin keluar dari rumah mereka untuk melihat atau mengambil gambar kejadian itu menggunakan telefon bimbit mereka.
Debu panas dari puncak Bulusan, salah satu daripada 23 gunung berapi aktif di negara ini, mengakibatkan berlaku letupan apabila ia jatuh ke dalam air.
Solidum berkata, letupan akibat penghasilan wap itu berlaku sejak November lalu dan akan terus berlaku.
Bulusan terletak kira-kira 380 kilometer dari tenggara Manila. – AP

Ejen Seoul intip Indonesia



SEOUL 21 Feb. - Tiga ejen pengintip Korea Selatan memecah masuk ke dalam sebuah bilik hotel yang dihuni delegasi pegawai tertinggi Indonesia dalam usaha untuk mencuri maklumat sensitif berhubung rundingan mengenai bekalan senjata.
Seorang jurucakap Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) bagaimanapun menafikan pembabitan agensi itu seperti yang dilaporkan di muka depan akhbar Chosun Ilbo hari ini.
Insiden itu berlaku pada minggu lepas dan sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi Chosunialah akhbar pertama yang melaporkan anggota NIS terlibat.
Delegasi 50 anggota Indonesia diketuai Menteri Ekonomi, Hatta Rajasa itu berada di sini pada minggu lepas untuk mengadakan rundingan mengenai kerjasama ekonomi, termasuk kemungkinan membeli jet latihan supersonik Golden Eagle T-50 dan sistem senjata lain dari Korea Selatan.
"Ejen-ejen NIS yang bertindak untuk kepentingan negara cuba mencari maklumat mengenai strategi rundingan delegasi Indonesia itu.
"Perbuatan mereka terbongkar ialah kesilapan yang tidak disengajakan," kata seorang pegawai kanan Seoul, menurut laporan Chosun.
Akhbar itu berkata, tiga ejen memasuki bilik di hotel Lotte pada Rabu lalu dan terpaksa beredar selepas seorang anggota delegasi terserempak dengan mereka semasa mereka meneliti fail dalam komputer riba milik seorang pembantu kanan kepada Hatta, sehingga menggemparkan para diplomat di Seoul.
Pada keesokan harinya, sekumpulan pegawai NIS datang ke balai polis Namdaemun dan merampas semua bahan bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup di hotel tersebut, lapor akhbar Munhwa Ilbo.
"Mereka datang ke balai dan mengambil semua bahan bukti... tidak sukar untuk mengenal pasti penceroboh kerana kualiti rakaman CCTV sangat baik," kata seorang pegawai polis.
Duta Indonesia ke Seoul, Nicholas Tandi Dammen mengunjungi Kementerian Luar pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden itu - AFP

Bunuh ibu: Polis mohon lanjut tempoh reman



SEREMBAN 21 Feb. - Polis akan memohon untuk melanjutkan perintah tahanan reman terhadap seorang lelaki yang disyaki menikam ibunya sendiri sehingga mati di sebuah rumah di Felda Kepis dekat Kuala Pilah pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, tahanan reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu tamat hari ini dan pihaknya akan memohon lanjutan tempoh reman bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Kita akan memohon tempoh reman dilanjutkan daripada majistret bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut termasuk mengambil keterangan suspek.
"Suspek sebelum ini ditahan reman selama tiga hari dan sepanjang tempoh itu kita menghantarnya ke Unit Psikiatri Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) untuk pemerhatian. Dia kini ditahan di Balai Polis Kuala Pilah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang wanita meninggal dunia selepas hampir 17 jam bertarung nyawa di HTJ kerana cedera parah di badan akibat ditikam beberapa kali oleh anak kandungnya sendiri.
Jemelah Muhammad, 53, meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang pada Sabtu lalu selepas mengalami kecederaan parah di bahagian dada.
Kejadian tersebut turut disaksikan suami mangsa, Sohaimi Maidin, 53, selepas mendengar suara isterinya menjerit meminta tolong.
Menurut Hamdan, siasatan awal mendapati, suspek sebelum ini pernah dirujuk ke unit rawatan psikiatri kerana menghidap masalah mental pada tahun 2004.
"Bagaimanapun, kita akan mendapatkan laporan penuh daripada doktor pakar sebelum membuat sebarang rumusan berhubung tahap kesihatan suspek," ujarnya.
Menurut beliau, hasil laporan bedah siasat, ibu suspek ditikam sebanyak enam kali di bahagian badan dan lengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.
Polis, katanya, telah menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.
Hamdan memaklumkan, siasatan polis akan dilakukan meliputi semua sudut dan ketika ini, keterangan semua saksi sudah diambil.

Menyamar polis curi kenderaan



KUALA LUMPUR 21 Feb. - Satu sindiket curi kereta yang dikesan berlaku di tiga negeri termasuk ibu negara sanggup menyamar sebagai anggota polis atau kastam dan melakukan sekatan jalan raya.
Kumpulan ini juga turut dikesan pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pasukan penguat kuasa sebelum melarikan kenderaan kononnya atas alasan kereta itu terlibat dalam jenayah.
Bagaimanapun, taktik licik kumpulan itu yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang itu sejak dua tahun lalu tumpas apabila polis menahan 15 ahli kumpulan tersebut dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Kesemuanya termasuk sepasang suami isteri yang berusia antara 21 tahun dan 24 tahun ditahan berasingan di sekitar Cheras, Seremban dan Tanjung Malim dalam tempoh dua bulan operasi.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diwujudkan pada 13 Januari lalu bagi menyiasat dan memburu kumpulan penjenayah itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis turut merampas dua kelopak peluru, sepucuk pistol semi automatik, sepucuk pistol angin, 50 gram dadah syabu dan 500 gram ketamin.
"Empat kereta jenis Honda Civic, Proton Wira, Proton Waja dan Peugeot yang dilaporkan hilang sekitar Lembah Klang, ditemui bersama suspek-suspek berkenaan. Kita percaya mereka terlibat dalam puluhan kes curi kenderaan namun jumlahnya sedang disiasat.
"Polis turut merampas peralatan menyamar termasuk uniform polis, pas kerja polis dan pas kerja kastam," katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, modus operandi sindiket tersebut ialah membuat sekatan jalan raya atau pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis atau kastam sebelum melarikan kereta-kereta mangsa.

Sindiket judi RM13 juta tumpas



BENTONG 21 Feb. - Polis Pahang menumpaskan satu sindiket perjudian dan pertaruhan haram bernilai kira-kira RM13 juta apabila menahan enam lelaki dan lima wanita dalam serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di daerah ini, semalam.
Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam 'Ops Dadu' yang dijalankan pada pukul 6.30 petang di sekitar Bentong, Karak dan Manchis di sini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani berkata, operasi diketuai Pegawai Turus Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) negeri, Deputi Supritendan Zailani Amir bersama tiga pegawai dan 12 anggota.
"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa jenis peralatan termasuk set komputer, telefon talian tetap, telefon bimbit, mesin pencetak dan ratusan helaian kertas yang tercatat angka-angka dipercayai nombor ekor.
"Ketika diserbu, kesemua suspek sedang menjalankan urus niaga dan kita turut merampas wang tunai berjumlah RM25,000 hasil kegiatan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran dan Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Rosli Abdul Rahman.
Menurut Sharifuddin, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi hampir tiga minggu lalu dengan jumlah pertaruhan mencecah hampir RM13 juta sebulan.
Menurutnya, operasi sindiket dijalankan secara dalam talian dan panggilan telefon.
"Siasatan yang dijalankan juga mendapati, ada antara suspek yang memiliki rekod kesalahan lampau.
"Sindiket itu juga dipercayai menjalankan operasi di Pahang dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian operasi sindiket itu," katanya.

Tiga sindiket jenayah tumpas





Ayob Yaakob (dua kiri) menunjukkan cara dadah jenis syabu seberat 6.2 kg yang disorok di dalam bagasi milik dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada sidang media, semalam.


PULAU PINANG 21 Feb. - Kegiatan pengedaran dadah membabitkan warga Iran sekali lagi berjaya dibanteras Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila tiga rakyat negara itu termasuk dua wanita ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai RM2.65 juta di sini dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam kejayaan pertama, Polis Pulau Pinang merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.55 juta selepas menahan dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Sabtu lalu.
Kedua-dua wanita itu yang berusia 21 dan 24 tahun baru tiba di negeri ini dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu selepas transit di Singapura pada pukul 8.10 malam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayob Yaakob berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri sebaik sahaja tiba di lapangan terbang kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
"Setelah diperiksa, polis menemui dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram disimpan dalam dua bungkusan plastik lutsinar yang disembunyikan di dalam dua bagasi pakaian mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Menurut Ayub, wanita berkenaan pernah memasuki negara ini dua kali iaitu pada Disember dan Januari lalu.
"Polis juga sedang menyiasat sama ada mereka pernah membawa dadah ketika memasuki negara dua kali sebelum ini," jelasnya.
Sementara itu, pada Khamis lalu, Polis Kuala Lumpur menahan seorang lelaki warga Iran dan seorang wanita rakyat Moldova serta merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.1 juta di Hotel Mewah, Jalan Ampang di ibu negara.
Suspek lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 25 tahun itu diberkas dalam satu serbuan di hotel berkenaan kira-kira pukul 5 petang.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.
"Polis turut merampas enam bungkusan besar plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat enam kilogram, wang tunai AS$4,500 (RM13,671.90), Riyal 137,000 (RM40.40) dan RM70 selain tiga telefon bimbit pelbagai jenis.
"Kedua-dua suspek direman tujuh hari dari 18 hingga 24 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang, sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Zulkifli, kejayaan itu diperoleh selepas pihaknya menahan seorang wanita warga Afrika berusia 22 tahun dalam keadaan berbogel di hadapan Restoran Jumbo Cheras, 7 Februari lalu.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasilnya menemui 65 kapsul syabu seberat 927 gram bernilai RM180,000 di dalam perutnya.
"Kesemua dadah itu berjaya dikeluarkan melalui saluran najis. Suspek kini direman sehingga 28 Februari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti saki baki sindiket yang terlibat serta punca bekalan dadah diperoleh," katanya.

PM, 5 lagi mohon batal saman dua bekas tahanan ISA



22/02/2011 10:40am

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Perdana Menteri dan lima defendan lain mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka oleh dua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) berjumlah RM200 juta atas dakwaan menahan mereka secara salah selama 514 hari di Kem Tahanan dan Perlindungan Kamunting di Taiping, Perak.
Selain Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Penguasa Kem Tahanan tersebut serta kerajaan yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keenam turut berbuat demikian.
Permohonan kesemua defendan yang difailkan pada 16 Februari lalu akan didengar dan diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Harmindar Singh Dhaliwal pada 24 Mac ini.
Pada 9 Disember tahun lalu, dua bekas tahanan terbabit yang merupakan peguam M. Manoharan dan P. Uthayakumar memfailkan saman tersebut dalam pernyataan tuntutan menyatakan, mereka telah ditangkap oleh pihak polis antara pukul 2.30 dan 5 petang, 13 Disember 2007. - Utusan

Ibu angkat sengsara diburu ah long



KUALA LUMPUR 21 Feb. - Seorang ibu kecewa apabila anak angkat yang ditatang dengan penuh kasih sayang selama ini kini menjadikan hidupnya tidak keruan apabila menghilangkan diri selepas meminjam daripada ceti haram atau ah long.
Yong Swee Ngor, 65, mendakwa, tindakan anaknya itu meminjam wang sebanyak RM80,000 menyebabkan dia kini sering diganggu dengan panggilan telefon untuk menuntut hutang itu.
Menurut warga emas itu, anak angkatnya, Yong Siew Kuan, 32, bukan setakat meninggalkannya malah gagal dihubungi sejak berkahwin lima tahun lalu.
Swee Ngor yang tinggal sendirian di Ampang Jaya terpaksa menyambut Tahun Baru Cina baru-baru ini dalam ketakutan kerana bimbang diancam ah long.
"Saya terima panggilan daripada ah long yang mencari Siew Kuan. Mereka mengugut mahu membaling cat dan bom pada sambutan perayaan kali ini.
"Saya memberitahu mereka bahawa anak angkat saya itu sudah tidak tinggal bersama dan gagal dihubungi lagi tetapi ah long itu tetap mendesak supaya saya menjelaskan hutangnya," katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini.
Berikutan kejadian itu, dia yang berniaga sayur berhampiran rumahnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya berhubung ugutan yang diterimanya daripada kumpulan ah long itu.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sebanyak 42 kes berkaitan masalah yang timbul setelah membuat pinjaman daripada ah long diterima pihaknya sejak tahun lalu sehingga kini.
"Saya menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket ah long ini kerana mereka sebenarnya menjerat anda," katanya.

PM, 5 lagi mohon batal saman dua bekas tahanan ISA



22/02/2011 10:40am

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Perdana Menteri dan lima defendan lain mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka oleh dua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) berjumlah RM200 juta atas dakwaan menahan mereka secara salah selama 514 hari di Kem Tahanan dan Perlindungan Kamunting di Taiping, Perak.
Selain Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Penguasa Kem Tahanan tersebut serta kerajaan yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keenam turut berbuat demikian.
Permohonan kesemua defendan yang difailkan pada 16 Februari lalu akan didengar dan diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Harmindar Singh Dhaliwal pada 24 Mac ini.
Pada 9 Disember tahun lalu, dua bekas tahanan terbabit yang merupakan peguam M. Manoharan dan P. Uthayakumar memfailkan saman tersebut dalam pernyataan tuntutan menyatakan, mereka telah ditangkap oleh pihak polis antara pukul 2.30 dan 5 petang, 13 Disember 2007. - Utusan

Saman fitnah Rais: Blogger mohon masa fail pembelaan



22/02/2011 11:46am

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Blogger Amizudin Ahmat yang juga defendan dalam kes saman fitnah oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini memberikannya masa untuk memfailkan pernyataan pembelaan.
Ekoran permohonan defendan itu yang dikemukakan pada prosiding 17 Februari lalu maka permohonan injunksi inter-parte (kedua pihak) yang sepatutnya didengar hari ini oleh Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof telah ditangguhkan.
Mahkamah pada tarikh tersebut menetapkan sebutan kes saman Rais selaku plaintif pada 21 Mac ini.
Pada 2 Februari lalu, plaintif memperoleh injunksi yang memerintahkan supaya Amizudin mengeluarkan (membuang) artikel yang memfitnah beliau dari laman blognya.
Selain itu, Hakim Zabariah turut membenarkan permohonan Rais selaku plaintif untuk menghalang Amizudin, 42, atau ejennya daripada terus menyiarkan artikel berbaur fitnah itu sehingga permohonan injunksi kedua pihak didengar hari ini. - Utusan

Didera keluarga mentua: Keluarga mohon bedah siasat kedua

22/02/2011 1:12pm




SHAH ALAM 22 Feb. - Keluarga seorang wanita yang didakwa mati akibat didera oleh keluarga mertuanya, memfailkan satu notis usul di Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi, bagi memohon satu bedah siasat kedua secara berkecuali dilakukan terhadap mayat wanita itu.
Keluarga mendiang S. Pakiam yang memfailkan notis itu melalui peguam Gurmet Singh Hullon, turut memohon satu prosiding inkues dijalankan bagi menyiasat kematian wanita tersebut. - Utusan

Gempa di NZ: Lebih 200 terperangkap di bawah runtuhan



22/02/2011 3:50pm

WELLINGTON 22 Feb. – Lebih 200 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Christchurch akibat gempa bumi yang melanda pulau itu, lapor media yang memetik kenyataan Datuk Bandar, Bob Parker.
Parker menganggarkan antara 150 hingga 200 orang terperangkap berikutan gempa bumi dengan kekuatan 6.3 skala Richter, dengan 65 orang dipercayai terkorban, kata Radio New Zealand.
Parker sebelum itu memberithau TVNZ bahawa jumlah kematian mungkin meningkat. - AFP

Dua pengarah mengaku tidak bersalah menipu RM1.5 juta



22/02/2011 1:10pm

SHAH ALAM 22 Feb. - Dua pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu melibatkan RM1.5 juta, tahun lalu.
Hakim M. Bakri Abd Majid menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh, Mohd. Rozian Md. Yunus, 48, dan Faaris Mohd. Yusof, 44. - Utusan

Gempa bumi kuat landa selatan kepulauan Fiji


22/02/2011 2:30am


SUVA, Fiji 22 Feb. — Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.4 pada skala Richter berlaku di selatan Kepulauan Fiji pada pukul 6.57 petang ini.
Menurut Jabatan Kajian Giologi Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan di sini berkata pusat gempa itu terletak di 26 darjah Selatan dan 178.4 darjah Timur, iaitu 878 kilometer dari selatan Suva, Fiji dengan kedalaman 540 kilometer.
Kejadian tersebut tidak membawa sebarang ancaman tsunami. - Agensi

13 maut kemalangan di Thailand



22/02/2011 2:30am

BANGKOK 22 Feb. - Seramai 13 orang penumpang terbunuh dan 16 lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa sekumpulan guru terbabas di sebelah utara Thailand, semalam.
Menurut seorang jurucakap polis, Leftenan Kolenal Kiattiyod Suwannakatsi, pemandu bas tersebut kurang mahir terhadap terhadap jalan raya di wilayah Nan adalah punca utama kejadian kemalangan tersebut.
Bas tersebut merempuh sebatang tiang lampu sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter. - Agensi

Mayat bayi ditemui dekat pejabat TV3



PETALING JAYA 20 Feb. - Mayat seorang bayi lelaki yang sudah berbau busuk dan dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu ditinggalkan di atas batu di tepi Sungai Kayu Ara di Bandar Utama Damansara di sini, hari ini.
Bayi malang itu ditemui tidak jauh dari tempat letak kereta persendirian berdekatan stesen televisyen TV3 kira-kira pukul 3.30 petang oleh seorang pemancing yang berada di kawasan tersebut.
Ketika ditemui, bayi itu cukup sifat, masih bertali pusat dan dibungkus dengan plastik beg putih beserta dengan uri.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bayi itu dipercayai ditinggalkan di kawasan tersebut dalam tempoh 24 jam lalu.
"Berdasarkan keadaan mayat bayi yang telah berbau busuk, polis percaya ia telah mati sebelum ditinggalkan di tepi sungai ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Mayat bayi yang telah matang dan cukup sifat itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Difahamkan, pernah berlaku kes buang bayi tidak jauh dari kawasan itu penghujung tahun lalu.
Kes ini, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.
Sehubungan itu, Arjunaidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Tambah 20 tahun


Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my
2011/02/22

SARAWANAN (kiri)  dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SARAWANAN (kiri) dan Suresh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Mahkamah Tinggi pinda hukuman dua pekerja ladang lupus bukti pembunuhan

SHAH ALAM: Dua pekerja ladang yang sebelum ini dipenjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, terpaksa merengkuk lebih lama apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam, meminda tempoh hukuman itu menjadi 20 tahun.
Keputusan Hakim Datuk Mohtarudin Baki meminda hukuman ke atas kedua-dua tertuduh, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, disambut gembira anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, yang menganggapnya sebagai kemenangan dalam mendapat pembelaan terhadap kematian ibunya.
Erni Dekritawati atau lebih dikenali dengan panggilan Rita, berkata keputusan itu jelas menggambarkan keprihatinan mahkamah terhadap derita dan gangguan emosi yang ditanggung ahli keluarga semua mangsa termasuk beliau dan lima adiknya.

“Sebelum ini, tempoh hukuman tujuh tahun yang dikenakan terhadap kedua-dua suspek amat mengejutkan. Memang kami semua kecewa ketika itu, namun apa yang berlaku hari ini (semalam) satu berita yang menggembirakan serta kami anggap sebagai satu kemenangan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Rita yang juga Pengarah Urusan Nouvelle Visages, turut mengesahkan kereta mewah BMW X5 yang digunakan ibunya pada hari mangsa dilaporkan hilang, sudah diserahkan kepada keluarganya petang semalam selepas siasatan ke atas bahan bukti itu selesai.

Terdahulu, Mohtarudin pada prosiding rayuan dan semakan hukuman asal yang dijatuhkan terhadap kedua-dua tertuduh oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, pada 15 Oktober lalu, berpendapat kesalahan itu sangat serius. 
Kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh tahun oleh Majistret Hurmain Hussain selepas mereka mengaku bersalah atas empat tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Hurmain memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 9 September tahun lalu.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lalu, manakala Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos tahun lalu.

Sarawanan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya. Pada masa sama, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh Hurmain.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, beliau menolak rayuan Sarawanan yang mendakwa bahawa pengakuan salahnya itu tidak dibuat secara sukarela dan berlaku paksaan untuk beliau berbuat demikian.

“Perlu diingat prosiding yang dijalankan oleh majistret adalah perbicaraan terus di bawah Seksyen 173 Kanun Acara Jenayah di mana kedua-dua tertuduh sudah mengaku bersalah serta faham sifat dan akibat pengakuan,” katanya.

Mohtarudin berkata, hujahan peguam berhubung jurubahasa Tamil yang tidak menerangkan pertuduhan, sifat dan akibat pengakuan serta fakta kes juga dianggap remeh.

Beliau berkata, jurubahasa Tamil adalah kakitangan mahkamah serta berkelayakan dan tiada aduan ketika prosiding di Mahkamah Majistret berhubung jurubahasa berkenaan tidak dapat menguasai bahasa Tamil dan sebagainya.

Mengenai hujahan bahawa peguam yang mewakili Sarawanan dan Suresh tidak dilantik oleh kedua-dua tertuduh, Mohtarudin berkata, ia tidak dibantah oleh mereka ketika prosiding di Mahkamah Majistret.

Mohtarudin juga berkata, sebahagian tohmahan dalam afidavit yang difailkan agak keterlaluan, seperti terhadap jurubahasa dan peguam, apatah lagi terhadap majistret yang menjalankan kuasa di bawah undang-undang yang bersesuaian dengan Seksyen 114 (e) Akta Keterangan 1950.

“Saya tidak bersedia untuk merobohkan benteng yang akan menyebabkan penyalahgunaan proses undang-undang, kecuali salah laksana keadilan dibuktikan.

“Dengan itu saya menolak rayuan terhadap sabitan dan juga tidak mendapati apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang, perbuatan yang salah atau tidak betul dalam rekod prosiding oleh majistret serta tiada salah laksana keadilan berlaku,” katanya.

Selain itu, Mohtarudin berkata, kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak, iaitu hukuman maksimum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948, kuasa majistret dalam menjatuhkan hukuman ialah maksimum lima tahun saja, tetapi majistret dalam kes itu telah mengguna pakai kuasa di bawah Seksyen 87(2) akta sama di mana beliau mungkin menjatuhkan hukuman maksimum berdasarkan rekod kesalahan lampau atau kesalahan tertuduh sebelum ini (antecedents).

“Kedua-dua tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan majistret mengambil kira antecedents kedua-dua tertuduh, iaitu mereka telah melakukan empat kesalahan.

“Saya bersetuju dengan peguam tertuduh bahawa antecedents bererti perkataan sebelum kesalahan yang dipertuduhkan. Jika dilihat pertuduhan itu sendiri, masa dan tempat adalah sama. 

“Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan bukan satu pertuduhan dan meminta tiga pertuduhan lain dipertimbangkan. Adalah jelas majistret terkhilaf dalam perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohtarudin berkata, beliau membenarkan rayuan dan menjalankan kuasa semakan dengan menggantikan hukuman penjara tujuh tahun kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh.

“Hukuman penjara lima tahun adalah jelas tidak memadai kerana kes ini amat mengejutkan di mana empat orang dibunuh dalam satu kejadian dan ia adalah kesalahan paling serius.

“Dengan itu bagi menjalankan kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Acara Jenayah, saya memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan setiap tertuduh hendaklah berjalan berturutan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani, manakala Suresh diwakili peguam A S Dhaliwal dan Datuk Harpal Grewal. Dhaliwal juga turut mewakili Sarawanan.

Dhaliwal ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.