2011/02/21
ALOR SETAR: Seorang pengimpal besi dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur dalam sebuah kereta berhampiran Empangan Pedu di Padang Terap, tiga tahun lalu.Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh, Asri Otoh, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ke atas tertuduh melampaui keraguan munasabah dan pembelaan yang dikemukakan kepada mahkamah hanya berbentuk penafian.Asri yang berasal dari No 5, Parit Air Hitam, Alor Pongsu, Perak dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 10 bulan dalam sebuah kereta Proton Satria kelabu bernombor pendaftaran WDW880 di tepi jalan Bukit Teringat 3, Empangan Pedu pada jam 4.30 petang 19 Januari 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan mahkamah, tertuduh ditahan pada 28 Januari 2008 berikutan ibu mangsa membuat laporan polis, sebaik anaknya itu mengadu dirogol tertuduh yang juga teman lelakinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh berat disebabkan melakukan keganasan seks terhadap kanak-kanak bawah umur selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Peguam tertuduh, Ismael Alabas merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menanggung ibu dan seorang anak.
Mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.