KUALA SUNGAI BARU - Sepasang suami isteri warga emas dikejutkan dengan tendangan kuat pada pintu kayu di bahagian tengah rumahnya ketika sedang tidur sebelum menyedari rumahnya itu dimasuki perompak kira-kira jam 3.10 pagi, kelmarin.
Md Amin Ismail, 77, dan isterinya Fatimah Mohamad, 76, yang tinggal di Kampung Permatang, dekat sini, terkejut sebaik sahaja terjaga daripada tidur berikutan bunyi hentakan kuat terpaksa melalui detik cemas berhadapan dengan dua perompak bertopeng.
Kedua warga emas itu diterjah semasa berada di dalam bilik tidur oleh dua perompak sebelum diikat dan disamun malah, diugut dengan menggunakan senjata tajam berupa pisau serta sabit sebelum ditumbuk oleh salah seorang daripada perompak berkenaan.
Md Amin berkata, keadaan bilik samar kerana lampu tidak dinyalakan dan dia cuma mampu bersuara.
Menurutnya, dia bertanya kepada perompak itu apa yang mereka mahu namun, belum sempat menghabiskan pertanyaan dia ditumbuk dengan kuat di bahagian sebelah mata kiri.
“Selepas itu, pandangan saya sudah berpinar-pinar dan rasa macam hendak pitam.
“Namun, saya kembali sedar dan melihat mereka ada memegang senjata tajam sebelum memaksa saya menyerahkan wang tunai serta barang kemas,” katanya.
Md Amin berkata, salah seorang dari lelaki tadi cuma berkata dia hendak barang kemas dan duit kemudian mereka membawanya ke ruang tengah rumah dengan keadaan kedua tangan diikat ke belakang sebelum bertindak menggeledah di segenap sudut rumah.
“Ketika itu, saya sangat panik kerana bimbang dicederakan kerana mereka mengugut mahu menembak saya jika bising namun, saya tidak sedar mereka ada membawa pistol atau tidak.
“Cuma saya dibawa ke ruangan tengah rumah untuk menunjukkan tempat saya meletakkan barang berharga dan isteri dibiarkan dalam bilik tanpa diusik,” katanya.
Md Amin yang bekerja peladang berkata, mereka mengambil duit yang tersimpan di dalam laci sebanyak RM100 dan kad ATM Bank Simpanan Nasional dengan nilai RM1,300 berserta dengan nombor pin milik salah seorang pekerjanya.
“Selepas mereka dah dapat kad ATM BSN dan wang berjumlah RM100 dari dalam laci, mereka mendesak isteri saya supaya menyerahkan rantai leher, gelang tangan dan cincin bernilai RM15,000 kemudian seret saya ke atas rumah dan ikat kaki saya.
“Sudahlah tangan dan kaki diikat mulut saya pun dia ikat dengan selendang kemudian terus menggeledah lagi rumah tapi tak berjaya memperoleh apa-apa dan mereka seret saya turun ke ruang tengah rumah pula,” katanya.
Menurutnya, perompak itu turut meminta kunci kereta dan isterinya terpaksa menyerahkan kunci kerana takut berlaku apa-apa sekiranya enggan menurut kemahuan mereka namun, gagal dibuka disebabkan kesukaran untuk sekali percubaan.
“Dalam kereta saya tiada apa-apa pun dan disebabkan hasil yang menghampakan mereka minta saya serahkan kunci lori pula sebelum mereka hilangkan diri.
“Malah kad pengenalan saya juga dibawa lari bersama dengan sejumlah barang kemas dan dua kad ATM Bank Simpanan Nasional yang melibatkan jumlah besar. Saya merasakan ia seperti bermimpi dengan kejadian yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.