Search This Blog

Saturday, February 19, 2011

Ibu maut, empat anak cedera parah




KAMPUNG RAJA - Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) wanita berpangkat Sarjan terbunuh selepas kenderaan yang dipandunya bersama empat anaknya terbabas lalu terhumban ke dalam parit di Kampung Nyior Tujuh dekat Jertih, kelmarin.

Zubaidah Shamsudin, 35, disahkan meninggal dunia di Hospital Besut akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan dan dalaman, manakala empat anaknya berumur antara 2 hingga 11 tahun yang juga cedera parah kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Nor Zaini Mohd Noor berkata, empat anaknya yang parah ialah Amirul Syafiq AidiAsma, 11, Aminuddin Akmal, 9, Ahmad Fitri Hakim, 5 dan Adam, 2 tahun.

Nor Zaini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, ketika kereta dipandu mangsa yang bertugas di Pangkalan Udara Gong Kedak di sini dipercayai dalam perjalanan dari Jertih ke Kampung Raja.

“Setiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Iswara dipandu Zubaidah dipercayai gagal dikawal menyebabkan ia terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum menjunam ke dalam longkang menyebabkan dia tersepit,” katanya.

Nor Zaini berkata, pasu-kan bomba dan penyelamat dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan Zubaidah yang tersepit padatempat duduk pemandu.

Menurutnya, setakat ini punca kenderaan itu terbabas belum diketahui dan polis sedang menjalankan siasatan.

“Bahagian depan kenderaan turut mangsa remuk teruk akibat terjatuh ke dalam longkang,” katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Daerah atau balai polis berhampiran.

Empat remaja ditahan curi kabel





SERENDAH - Suasana Pangsapuri Teratai kecoh awal pagi semalam apabila sepasukan polis bersama penduduk berjaya menangkap empat remaja berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun kerana disyaki mencuri kabel elektrik di perumahan itu.

Keempat-empat remaja terbabit ditemui bersembunyi di atas siling sebuah rumah kosong di tingkat lima, pangsapuri Blok C, kira-kira jam 2.50 pagi.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 40, berkata, pada jam 1.05 pagi dia terdengar bunyi objek jatuh dari blok berkenaan dan apabila diperhatikan dilihat kelibat manusia menuruni tangga di dalam gelap.

“Ketika itu saya baru habis tengok televisyen dan mahu minum di dapur, tiba-tiba terdengar bunyi objek jatuh daripada blok bersebelahan dan bila saya tengok ada beberapa orang sedang turun-naik tangga di dalam gelap.

“Curiga dengan kegiatan mereka, saya terus hubungi jiran sebelum mereka menghubungi pihak polis,” katanya.

Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, polis tiba bersama dua motosikal, empat kereta peronda dan dua van polis.

Seorang lagi penghuni blok berkenaan, Anuar Mohd Jali, 39, berkata, pada awalnya, polis gagal mengesan penjenayah terbabit sebelum melakukan pemeriksaan kedua di setiap tingkat pangsapuri terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan kedua menemui kesemua suspek yang dikatakan bersembunyi di atas siling sebuah unit rumah kosong di tingkat lima.

“Polis terpaksa memecahkan pintu rumah terbabit kerana dikunci dari dalam.

“Ketika polis membawa mereka turun, seorang daripadanya menangis dan minta dilepaskan,” katanya.

Anuar berkata, penduduk telah lama memantau kegiatan suspek yang aktif melakukan kegiatan sama sejak seminggu lalu.

Menurutnya, dalam minggu ini saja, kelibat keempat-empat lelaki terbabit dilihat tiga kali memasuki kawasan pangsapuri berkenaan.

“Tetapi, kali ini mereka tidak selamat kerana kami telah memantau dan memerhatikan mereka,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber polis, kesemua suspek adalah penganggur dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Suspek juga dikatakan mempunyai rekod juvana selain jenayah pecah rumah dan beberapa kali keluar masuk penjara.
SH

Sempat minta air




RAWANG – “Dalam keadaan parah ditetak, dia (mangsa) sempat meminta air sebelum menyuruh kami membawanya ke hospital.”

Demikian kata rakan sekerja mangsa pembunuhan kejam berhampiran kawasan Perindustrian Rawang Integrated, awal pagi semalam.

Pekerja syarikat perkilangan barangan makanan dan kegunaan rumah terkemuka di sini, Vasu Govindasamy, 57, berkata, dia sampai ke tempat kejadian sekitar jam 6.50 pagi sebaik mendapat tahu mengenai kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa, Paraguna Muniandy, 32, dalam keadaan kedua-dua lengan tangan hampir terputus, kulit kepala sebelah belakang terkoyak, manakala terdapat kesan tetakan di kaki kanan.

“Sebaik sampai, kami memang terkejut melihat keadaan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di atas jalan. Kami terus menelefon ambulans sebelum polis tiba tidak sampai 10 minit kemudian.

“Bagaimanapun dia (mangsa) tidak sempat memberikan apa-apa maklumat berhubung kejadian kepada kami. Dia hanya minta air untuk diminum dan mahu dibawa ke hospital, namun semakin lemah dan mati 20 minit kemudian sebelum sempat ambulans sampai,” katanya.

Vasu berkata, mangsa bekerja sebagai eksekutif kanan, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Katanya, mangsa seorang yang rajin dan tegas dalam bekerja, sering singgah di restoran berdekatan tempat kejadian, sebelum masuk kerja jam 7 pagi.

“Mangsa bekerja seperti biasa sahaja akhir-akhir ini dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 6.15 pagi.

Menurutnya, mangsa tinggal di Batang Kali telah diserang menggunakan parang dipercayai oleh tiga lelaki bertopeng.

“Mangsa ketika itu dipercayai baru keluar dari keretanya untuk ke restoran berhampiran terus diserang oleh kumpulan suspek terbabit. Kita belum tahu motif kejadian.

“Mungkin mangsa cuba lari daripada suspek tetapi tidak sempat,” katanya.

Abdul Rahim , kecederaan mangsa paling parah di kepala, tangan dan tengkuk dipercayai akibat 10 tetakan.

Abdul Rahim berkata, kemungkinan pembunuhan sudah dirancang itu bermotifkan dendam atau iri hati, manakala tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.

“Kita meminta saksi kejadian tampil membantu polis dengan memberikan maklumat berhubung kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
SH

Pejabat UMES digeledah pencuri


KUANTAN - Kakitangan Utusan Media Sales Sdn. Berhad (UMES) gempar selepas mendapati pejabat mereka di tingkat dua bangunan LKNP Jalan Bukit Ubi di sini, dimasuki dan digeledah pencuri awal pagi, semalam.

Kejadian disedari kira-kira jam 9 pagi oleh pegawai pemasaran Utusan Airtime, Hanapi Mat Ripin, 36, ketika dia baru sampai ke pejabat untuk memulakan tugas.

Dalam kejadian itu, pelbagai barang berharga termasuk satu unit komputer bernilai RM2,500, tiga keping cek, peti wang tunai, geran kereta dan beberapa dokumen penting milik syarikat lesap.

Turut mengalami kerugian, Eksekutif Pemasaran Utusan Media Sales, Noor Zuli Ramli.

Hanafi berkata, dia hanya menyedari pejabat dipecahkan masuk ketika cuba membuka pintu dan mendapati ia tidak berkunci serta dihalang seketul batu bata.

“Saya masuk dan mendapati keadaan di dalam pejabat berselerak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hanapi berkata, dia memeriksa sekitar pejabat dan mendapati pintu gril belakang diumpil manakala mangga kuncinya terdapat kesan dipecahkan.

“Saya dapati bilik pemasaran Utusan Media Sales juga dipecahkan dan pelbagai barangan bernilai termasuk sebuah komputer hilang,” katanya.

“Penjenayah dipercayai mengumpil pintu gril menggunakan alat pembuka tin berikutan penemuan peralatan itu di atas lantai,” katanya.

Menurutnya, dia juga turut menjumpai sebentuk subang di atas mesin cetak dipercayai milik suspek yang tertanggal ketika menggeladah pejabat itu.

“Saya menghubungi Noor Zuli memaklumkan kejadian sebelum membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 10.51 pagi semalam.

“Saya tidak pasti jumlah sebenar kerugian yang dialami setakat ini,” katanya.

Menurutnya, suspek mungkin lebih daripada seorang namun jumlah sebenar mereka yang terlibat juga tidak dapat dipastikan.

“Kejadian dipercayai berlaku antara malam kelmarin hingga awal pagi semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
SH

Maut tercampak keluar daripada van




KUANTAN - Seorang pemandu van maut selepas tercampak keluar daripada kenderaannya yang bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 42, Jalan Jerantut- Temerloh, pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 8.02 pagi itu, mangsa, Abdul Halim Yusof, 46, dari Taman Temerloh, Temerloh yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian itu, pemandu kereta jenis Produa Kancil terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mangsa yang memandu sendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju ke Jerantut.

“Ketika tiba di lokasi nahas, sebuah kereta jenis Produa kancil dari arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan mangsa.

“Mangsa cuba mengelak ke kiri jalan bagaimanapun kedua-dua kenderaan itu bergesel,” katanya di sini, semalam.

Zainalabidin berkata, akibat pergeselan itu, van yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum berpusing dan menyebabkan dia tercampak keluar.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pergeselan dua kenderaan itu sebelum hilang kawalan.

“Ketika kejadian cuaca baik manakala keadaan jalan lurus dan kering,” katanya.

Katanya, kes kemalangan yang meragut nyawa pemandu itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Enggan dedah angkara siapa




DUNGUN – Seorang penjual sayur dekat sini terpaksa berdepan ujian getir apabila isteri yang dikahwini sejak tujuh tahun lalu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Menurut Ismail, dia menyedari isterinya itu mempunyai hubungan cinta dengan lelaki lain apabila wanita itu sering berhubung dengan lelaki terbabit melalui telefon bimbit dan ia difahamkan dilakukan secara tersembunyi.

“Kemuncak kecurangannya ialah dia memberitahu saya ingin keluar rumah dan tidak ingin tinggal sebumbung lagi dengan saya.

“Saya memberi amaran, jika keluar rumah, akan jatuh talak, namun dia tetap berdegil dengan membawa bersama satu beg mengandungi pakaiannya sebelum berlalu pergi,” katanya.

Ismail berkata, seminggu selepas peristiwa itu, isterinya pulang semula ke rumah dan meminta kebenaran untuk mengambil anak lelakinya.

Katanya, tanpa bercakap panjang, isterinya membawa anaknya yang berusia tujuh tahun dan membawa pulang ke rumahnya di Felda Kerteh.

Menurut Ismail, beberapa hari selepas kejadian itu, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya untuk menghantar semula anaknya dan menyuruh Ismail menunggunya di stesen bas Kuala Dungun.

“Saya menunggu kedatangannya, kira-kira jam 3.30 petang dia tiba bersama anak lelaki saya. Selepas mengambil Faizal daripadanya, saya terkejut apabila mendapati ada kesan kecederaan pada kaki serta badan Faizal.

“Ketika ditanya, Faizal enggan memberitahu, namun setelah puas mendesak, dia memberitahu telah dipukul oleh teman lelaki ibunya,” katanya.

Ismail berkata, berikutan kecederaan dialami anak lelakinya itu, dia menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Dungun.

“Saya tidak kesal dia meninggalkan saya, namun saya kesal apabila dia tidak melindungi anak kandungnya sendiri apabila didera teman lelakinya.

“Walaupun saya orang kampung dan tidak berpelajaran, namun saya tidak akan berdiam diri dan akan membawa kes ini ke pihak berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Ismail juga sudah memfailkan permohonan cerai dengan wanita terbabit di Mahkamah Rendah Syariah Dungun.

Menurutnya, pihak polis sudah mengambil keterangannya dan dia kini sedang menunggu proses undang-undang agar individu yang terbabit dengan perbuatan itu dihadapkan ke mahkamah.
SH

Kereta meluncur macam pesawat




BANDAR MARANG – “Saya seperti berada dalam pesawat apabila kereta yang saya pandu meluncur laju ke dalam parit selepas dilanggar dari arah belakang ketika membelok ke kiri jalan menuju ke pejabat Pos Bandar Marang,” demikian kata mangsa kemalangan, Mohamad Abdullah, 54.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.45 petang kelmarin, mangsa memandu kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Kelulut untuk mengambil bungkusan di Pejabat Pos Bandar Marang.

Sebelum kejadian, kereta mangsa dipercayai dirempuh sebuah kenderaan lain jenis Perodua Rusa sebelum keretanya terhumban ke dalam parit lalu terbalik.

Berikutan kejadian itu, orang ramai yang berada di sekitar lokasi kemalangan bergegas ke tempat keja-dian untuk membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Bagaimanapun, pemandu terbabit, Mohammad Abdullah, 54, bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun keretanya rosak teruk.

Mohammad berkata, dia juga bernasib baik kerana tidak tersepit dalam kenderaan dan berjaya merangkak keluar bersama beberapa dokumen penting sebelum dibantu orang ramai untuk naik ke atas bukit.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius, jika tengok keadaan kereta yang terbalik mungkin ramai beranggapan pemandunya pasti cedera teruk,” katanya turut mendakwa memberi isyarat sebelum membelok ke kiri jalan.

Walaupun tidak mengalami kecederaan, mangsa bagaimanapun dibawa ke Klinik Kesihatan Daerah Marang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian untuk pemeriksaan lanjut sejurus kejadian berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih menyiasat punca kemalangan.
SH

Terhumban sebelum tertiarap




TELUK BIDARA – Keseronokan remaja belasan tahun yang sedang bersiar di tepi pantai peranginan bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya tiba-tiba mengalami masalah enjin menyebabkan dia terhumban sebelum tertiarap.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang juga anak sulung daripada lima beradik itu cedera pada bahagian muka dan anggota badan lain, lalu dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum menerima beberapa jahitan pada bahagian bibir akibat kecederaan parah dialaminya.

Mangsa, Mohd Zulfadli Tawang, 19, berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku ketika dia menunggang motosikalnya di Jalan Pantai Teluk Bidara, 2 Februari lalu.

Mohd Zulfadli berkata, sebelum ini, motosikalnya berada dalam keadaan baik dan tidak pernah berlaku masalah pada enjin.

“Tiba-tiba enjin motosikal saya terhenti, mungkin berpunca daripada kegagalan alat piston, menyebabkan saya gagal mengawal motosikal menyebabkan saya terjatuh, terguling beberapa kali sebelum tertiarap di atas jalan raya berturap.

“Darah mulai memenuhi muka saya sehingga tidak dapat melihat. Saya terus pitam dan sebaik sedarkan diri, saya sudah berada di hospital,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Rohana Hussin, 42, berkata, akibat kecederaan dialami, Mohd Zulfadli terpaksa menjalani pembedahan plastik pada bahagian muka.

Rohana berkata, dia difahamkan pihak pakar perubatan akan menggunakan sebahagian kulit yang ada pada bahagian paha untuk menampal luka pada muka anak sulungnya itu dan pembedahan itu difahamkan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Sudah lapan hari dia di wad, mungkin pembedahan ke atasnya akan dilakukan sebaik sahaja mendapat laporan daripada doktor pakar,

“Saya harap kejadian itu menjadi iktibar buatnya biarpun kita tidak pernah menduganya,” katanya.

Rohana berkata demikian ketika menemani anaknya di hospital.

Mohd Zulfadli kini menunggu proses pembedahan plastik untuk merawat mukanya yang cedera teruk akibat terjatuh motosikal di Pantai Teluk Bidara awal Februari lalu.
SH

Jual pil kuda secara terbuka




KOTA BHARU - Penjualan pil kuda secara terbuka yang dilakukan oleh pihak pengedar dadah berkenaan di sekitar kawasan Kampung Jambu, dekat sini yang kian berleluasa sejak empat tahun lalu, amat membimbangkan penduduk.

Kegiatan terbabit dipercayai dilakukan oleh sindiket yang giat menjalankan operasi di sekitar kawasan berkenaan pada waktu petang dan malam tanpa rasa takut ditahan pihak berkuasa.

Menurut salah seorang penduduk kampung di kawasan itu yang dikenali dengan panggilan Aji, situasi terbabit perlu ditangani segera oleh pihak berwajib.

“Jika ia tidak dipantau oleh pihak berkenaan, dikhuatiri menimbulkan pelbagai perkara yang tidak diingini sehingga menyusahkan penduduk di sini.

“Beberapa hari lalu, seekor kambing biri-biri milik penduduk di sini dicuri disyaki dilakukan oleh golongan penagih yang menimbulkan kerisauan kepada komuniti di sini mengenai keselamatan diri dan tempat tinggal yang kini semakin tidak selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pernah laporan dibuat kepada pihak berkuasa namun kegiatan terbabit masih aktif dan seolah-olah mencabar pihak berkuasa kerana mereka bergerak dengan licik menjalankan aktiviti terbabit.

“Apa yang lebih mengejutkan penduduk di sini, ada pihak yang berani meletakkan papan tanda yang menyatakan kawasan terbabit merupakan “Pusat Jualan Pil Kuda” sejak seminggu lalu.

“Tindakan terbabit mungkin dilakukan oleh segelintir pihak untuk menyatakan tanda protes terhadap pihak berwajib dan langkah menangani situasi ini perlu dilakukan bagi membanteras kegiatan penjualan pil terbabit di kawasan ini,” katanya.

Katanya, harapan penduduk di kawasan itu supaya pihak terbabit mengambil tindakan dengan seberapa segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini yang melibatkan masyarakat di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, tindakan proaktif perlu dijalankan oleh pihak berkuasa dalam menangani situasi ini sehingga ke akar umbi.
SH

Tidak pulang sejak 13 Februari




TAMAN MARISA - Seorang bapa, di sini merayu kepada orang ramai untuk memberikan maklumat sekiranya terlihat atau terserempak dengan anaknya, Teh Chong Liang, 29, yang keluar dari rumah sejak 13 Februari lalu.

Teh Inn, 57, berkata, anaknya keluar dari rumah kira-kira jam dua petang dengan sebuah motosikal jenis Honda bernombor pendaftaran AFG 4503.

Menurutnya, sehingga kini, Chong Liang yang juga adalah anak kedua daripada lima adik beradik selain mempunyai saudara kembar tidak pulang ke rumah.

“Sebelum ini, dia bekerja di restoran di Genting kemudian dia berhenti kerja dan tinggal dengan saya.

"Sudah lima tahun dia duduk di rumah, jika keluar pun dia akan meronda di kawasan berdekatan sahaja,katanya kepada :Sinar Harian.

Teh Inn berkata, anaknya itu mengalami sakit jiwa dan perlu memakan ubat mengikut masanya.

"Bagaimanapun sejak dia berhenti kerja dia tidak mahu makan ubat lagi kerana berpendapat bahawa dia tidak sakit," katanya.

Katanya, tambah membimbangkan apabila Chong Lian suka ke hutan dan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini bagaimanaahli keluaraganya akan mencarinya.

“Diharap sesiapa yang melihat Chong Lian boleh menghubungi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pokok Assam, Datuk Ho Cheng Wang di talian 012-511 7188.

“Kami sekeluarga risau apabila dia hilang dan telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis untuk membantu mencarinya,” katanya.
SH

Bakal pengantin didenda



IPOH – Seorang juruteknik yang bakal mendirikan rumah tangga tahun ini dikenakan hukuman denda RM1,000 selepas mengaku bersalah mencedera dan mengugut seorang lelaki di sebuah kedai aksesori kereta di Falim, Menglembu pada 14 September 2009.

Tertuduh, Hafiz Said, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Akmal Mustafa Kamal di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, Hafiz dikatakan meminta wang ganti rugi daripada pengadu yang didakwa menjual barangan milik tertuduh.

Kemudian, tertuduh bertindak merampas telefon bimbit serta menumbuk muka dan badannya sehingga cedera.

Tertuduh juga didakwa mengugut akan mencederakan pengadu dan isterinya bila-bila masa.

Hafiz yang terlepas kira-kira dua bulan, akhirnya ditahan di kawasan Menglembu pada 4 November tahun yang sama serta mengaku bersalah di atas perbuatannya.

Beliau yang memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM1,000 setiap bulan ditahan reman 14 hari daripada tarikh ditangkap.

Hasil siasatan keseluruhan mendapati tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Selepas membuat pertimbangan, Noor Akmal menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas Hafiz.

Keputusan itu dibuat Noor Akmal selepas mendapati tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Fauzi Md Yusof.
SH

Samseng jalanan samun warga asing




SUNGAI BAKAP - Empat lelaki bersenjatakan pisau menyamun seorang lelaki warga asing bersama rakannya ketika pulang dari tempat kerja malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa berusia 34 tahun bersama rakannya, kedua-duanya warga Myanmar dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Setibanya di Jalan Sungai Baong mereka didatangi tiga motosikal dengan masing-masing dinaiki enam lelaki.

“Sejurus itu, mangsa dihalang dan pisau diacukan ke arah mereka. Kejadian berlaku dengan pantas itu dan semua wang dalam poket pakaian mangsa dirampas,” katanya.

Bagaimanapun, polis menahan suspek berdasarkan maklumat nombor pendaftaran motosikal yang diberikan mangsa.

Menurutnya, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dirampas dan empat lelaki yang juga suspek kejadian itu ditahan.

Shafien berkata, polis masih menyiasat kes jenayah jalanan itu di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

“Polis percaya suspek adalah samseng jalanan yang terlibat dalam kes samun tepi jalan melibatkan mangsa dari kalangan warga asing,” katanya.
SH

Empat pemuda tewaskan pencuri lembu




KUBANG KENYENG - Kesungguhan pemuda kampung menyelesaikan kemelut penduduk yang sering kehilangan lembu akhirnya terjawab apabila berjaya memberkas pencuri terbabit.

Penduduk kampung, Mohd Fauzan Abdul Hamid, 25, berkata, kisah itu berlaku setahun lalu apabila penduduk sering kecurian lembu terutamanya selepas musim menuai padi.

Menurutnya, modus operandi pencuri berkenaan akhirnya berjaya dipatahkan apabila penduduk mengumpan lembu bagi membolehkan kesemua pencuri itu diberkas.

“Dua daripada empat pencuri lembu diberkas. Kami terpaksa mengenakan umpan lembu bagi menarik keinginan mereka untuk mencuri dan akhirnya berjaya diberkas.

“Pencuri itu bukan dari daerah ini dan hanya mengambil kesempatan melakukan jenayah itu apabila menyedari kawasan ini banyak lembu berkeliaran apabila lepas penduduk tuai padi,” katanya ketika menerima sijil penghargaan, kelmarin.

Katanya, pencuri terbabit menggunakan tembakan pelali bagi membolehkan lembu yang dicuri dibawa lari dengan lori.

“Ketika pencuri itu di berkas, mereka baru sahaja hendak mencuri lembu tetapi tidak berjaya dibawa lari kerana taktik mereka telah dapat dihidu kami semua,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi rakannya, Musabakah Ismail, Mohd Razi Shukri dan Baharom Mohamad turut menerima sijil penghargaan atas jasa bakti kepada penduduk kampung itu yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Datuk Mahdzir Khalid.
SH

Pemandu van tercampak keluar




BANDAR BAHARU - Seorang pemandu van berusia 52 tahun terbunuh dalam keadaan kaki kirinya terputus apabila van dipandunya bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di jalan Bukit 300 Kaki Sungai Hilir kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Menurut seorang penduduk kampung yang berada di tempat kejadian berkata, rakannya sedang menunggang motosikal dan melalui kawasan kemalangan itu ternampak van mangsa dalam keadaan remuk.

Katanya, selain itu rakannya nampak sebuah lori terbabas kira-kira 50 meter ke dalam semak berhampiran di mana mayat pemandu van berada di hadapannya.

Menurutnya, rakannya memaklumkan kepada penduduk kampung yang tinggal kira-kira 500 meter dari situ untuk mendapatkan bantuan.

“Apabila kami sampai di tempat kejadian, kami nampak van Nissan itu hancur dan limau bertaburan atas jalan. Kami kemudiannya memeriksa sekitar kawasan kejadian dan nampak sebuah lori terbabas ke dalam semak dan ada mayat di hadapan lori itu. Kami kemudiannya menghubungi polis mengenai kemalangan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, dalam kejadian itu, pemandu van mati di tempat kejadian.

Katanya, mayatnya dipercayai tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan berlaku.

Menurutnya, dari siasatan awal dijalankan mendapati lori yang datang dari arah Selama menuju ke Valdor mengalami masalah brek dan hilang kawalan sebelum merempuh van yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, pemandu lori yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Lori yang terlibat menjunam ke arah belukar berhampiran. Pemandunya hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Parit Buntar sebagai pesakit luar. Sehingga kini polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu,” katanya.
SH

Pecah masuk masjid siang hari




LUBOK CHINA - Kejadian pecah masuk Masjid Kariah Lubok China mengejutkan ahli jawatankuasa masjid berkenaan yang menganggap kejadian itu sebagai perbuatan keji dan tidak menghormati kesucian rumah ibadat.

Imam 1 masjid, Wahab Mustamam berkata, kejadian berlaku pagi kelmarin dan pihak masjid hanya menyedarinya ketika mahu menunaikan solat Zohor apabila melihat bilik mesyuarat yang sebelum ini dikunci terbuka.

Menurutnya, mereka terkejut melihat siling bilik mesyuarat pecah dan percaya pencuri bertindak memasuki ruang ibadat untuk mencuri peti duit melalui siling yang telah dipecahkan.

“Ketika menunaikan solat Subuh, tiada tanda mencurigakan berlaku di masjid, disebabkan itu saya percaya pencuri mengambil langkah berani memecah masuk pada waktu siang.

“Ketika itu orang sibuk bekerja dan pencuri mungkin menganggap kami menyimpan barang berharga seperti komputer atau peralatan lain tetapi mereka silap,” katanya.

Wahab berkata, dia tidak pasti berapa jumlah wang yang hilang kerana pihak masjid baru sahaja mengeluarkan wang derma untuk disimpan di tempat yang lebih selamat.

“Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku kerana tahun lalu, masjid ini pernah juga dipecah masuk.

“Walaupun tahap keselamatan ditingkatkan, namun kejadian sama tetap berulang kerana tindakan licik pencuri,” katanya.

Menurutnya, pihak masjid sudah berbincang dan bercadang untuk memasang gril di bilik mesyuarat bagi mengelakkan kejadian sama berlaku, selain meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk kampung untuk sama-sama menjaga keselamatan masjid.

“Pihak kami kesal dengan apa yang terjadi, malah tidak menyangka rumah ibadat turut dijadikan sasaran penjenayah.

“Ini menunjukkan mereka langsung tidak menghormati rumah ibadat ini, sekali gus tidak takut dengan hukum Allah SWT,” katanya.
SH

RM1,400 dalam almari lesap




KUALA SUNGAI BARU - Hasrat seorang warga emas mahu memasukkan sejumlah wang simpanan ke dalam akaun Tabung Haji musnah apabila rumah yang didiami di Kampung Baru, dekat sini, dimasuki perompak, Isnin lalu.

Ketika kejadian, Maznah Abdullah, 62, tiada di rumah dan bermalam di rumah anak tirinya, Abu Bakar Sirun, 30-an.

:Menurutnya, dia dikejutkan dengan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya selepas anak tirinya itu pulang ke rumah berkenaan untuk mengambil barang sebelum pergi bekerja.

“Saya merancang bermalam sehari lagi di rumah anak tiri tetapi terpaksa membatalkan hasrat selepas dimaklumkan kejadian berkenaan.

“Pada malam sebelum kejadian, anak tiri saya bermalam di rumah mentuanya di Tanjung Bidara dan saya pula bermalam di rumahnya di Bandar Melaka. Saya merancang untuk pulang keesokannya,” katanya.

Maznah berkata, anak tirinya itu terpandangkan pintu belakang rumahnya diumpil, sementara cermin tingkap turut dicabut.

Maznah yang kematian suami sebulan lalu kehilangan dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan wang tunai berjumlah RM1,400 yang diletakkan di dalam sarung kaki dalam laci pakaian.

“Selepas dimaklumkan Abu Bakar mengenai kejadian berkenaan, saya terus bergegas pulang dan melihat almari pakaian diselongkar perompak serta laci turut dipecahkan.

“Saya terus cari duit dalam laci pakaian tetapi malangnya sudah diambil perompak termasuk duit syiling turut dikebas,” katanya.

Maznah yang mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit bagaimanapun bernasib baik kerana tergerak hati untuk membawa RM500 sebagai persediaan ketika bermalam di rumah anak tirinya.

Abu Bakar kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk tindakan lanjut.
SH

Curi barang dapur

SH: "

AYER KEROH - Hanya kerana ikan tenggiri, siakap, udang dan pelbagai jenis barang dapur, seorang operator kilang terpaksa menjalani hukuman kerja wajib di penjara selama empat jam setiap hari untuk tiga bulan, bermula semalam.

Selain itu, tertuduh, Mazlan Abdul Mutalib, 44, juga perlu menandatangani bon tanpa cagaran bernilai RM4,000 dan sekiranya gagal mematuhi arahan mahkamah, wang cagaran itu akan dibayar kepada mahkamah dan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Arahan berkenaan diberikan Majistret Muzila Mohamed Arshad selepas berpuas hati dengan fakta kes yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Harun.

Mengikut kertas pertuduhan, Mazlan yang beralamat di nombor 52, Jalan Rambai Jaya 9, Taman Rambai Jaya, didapati dengan niat curang telah mencuri 51 jenis barang keperluan harian bernilai RM599.63, milik sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Panglima Awang sekitar jam 9.10 malam pada 12 Februari lalu.

Barang yang dicuri termasuklah beras, ikan tenggiri dan siakap, udang, ikan sardin dalam tin, ketam, sotong, kentang koreng, kicap serta sayur-sayuran seperti brokoli, lobak merah, daun saderi, bawang besar dan cili bunga."

Pakistan arah tahan pemandu AS


Pakistan arah tahan pemandu AS


2011/02/19

AKTIVIS Pakistan, Islami Jamiat-e-Tulaba (IJT) membakar tayar tanda protes penahanan Davis di luar pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat, di Lahore, semalam.
AKTIVIS Pakistan, Islami Jamiat-e-Tulaba (IJT) membakar tayar tanda protes penahanan Davis di luar pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat, di Lahore, semalam.
Tindakan terbaru mahkamah keruhkan lagi hubungan Islamabad, Washington

LAHORE: Mahkamah Pakistan semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas pemandu sebuah kenderaan milik Kedutaan Amerika Syarikat kerana melanggar dan membunuh seorang penduduk tempatan ketika berusaha membantu seorang warga Amerika yang ditahan berhubung dua kes pembunuhan.
Waran tangkap terbaru meningkatkan lagi ketegangan dua negara berhubung kes Raymond Allen Davis yang dituduh membunuh dua warga Pakistan.
Washington menegaskan, Davis yang berkerja di Kedutaan Amerika bertindak mempertahankan diri ketika dirompak dan layak menerima kekebalan diplomatik, manakala masyarakat di Pakistan rata-rata mahu dia dihukum.

Peluang polis menahan pemandu kenderaan Kedutaan Amerika itu dianggap tipis berikutan pihak berkuasa tidak mengetahui identiti pemandu berkenaan.

Jika pemandu berkenaan adalah warga Amerika besar kemungkinan dia sudah dihantar pulang.

Jurucakap Kedutaan Amerika, Courtney Beale semalam enggan memberi sebarang ulasan, selain berkata kemalangan pada 27 Januari itu sedang disiasat.
Peguam, Asad Manzoor Butt, berkata keluarga mangsa kes langgar lari itu, Ibadur Rehman, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Lahore menuntut perhatian terhadap kematiannya, yang tidak menerima penelitian sewajarnya berbanding kematian dua lelaki yang ditembak Davis sejurus sebelum kemalangan itu.

“Ketua hakim, Ijaz Chaudhry mengeluarkan arahan penangkapan itu,” kata Butt.

Kelmarin, mahkamah sama memberi Kerajaan Pakistan tempoh tiga minggu untuk mengenal pasti jika Davis memiliki kekebalan diplomatik seperti didakwa Washington.

Kerajaan Pakistan dalam keadaan serba salah. Jika Davis dibebaskan, ia berisiko menaikkan kemarahan rakyat, termasuk Taliban yang mengancam untuk menyerang mana-mana pegawai yang terbabit membebaskan Davis.

Namun memenjarakan Davis menaikkan kemarahan Amerika yang memberikan bantuan berjumlah bilion dolar dengan harapan mendapat kerjasama Islamabad dalam memerangi militan yang menggunakan Pakistan untuk merancang serangan ke atas Afghanistan dan Barat.

Davis yang berdepan dakwaan membunuh kini ditahan dalam penjara Pakistan, termasuk dalam senarai dilarang daripada meninggalkan negara. – AP
Berita Harian Online | Pakistan arah tahan pemandu AS

Pelakon lucah Jepun kena buru lari ke Manila





2011/02/19

Minako Komukai
Minako Komukai
Komukai hadapi waran tangkap kes dadah, tinggal di Makati 

MANILA: Biro Imigresen Filipina (BI) mengesahkan pelakon filem dewasa dan pelarian dari Jepun, Minako Komukai, berada di negara itu sejak 21 Januari lalu.
Rekod imigresen menunjukkan, Komukai, 25, tiba di Manila dengan menaiki pesawat Delta Airlines dari Tokyo, selepas polis Jepun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Dia mencatatkan alamat Glorietta 4, Ayala Centre, Makati, sebagai alamat kediamannya di Filipina. Di bawah undang-undang negara itu, Komukai boleh tinggal selama 21 hari sebagai pelancong. 

Menurut sumber, Komukai memfailkan permohonan menyambung visanya semalam. 
Pegawai bertugas Biro Imigresen, Rolando Mendoza berkata, Komukai boleh tinggal secara sah di Filipina hingga 21 Mac kerana Kedutaan Jepun tidak mengarahkan penghantaran pulang. 

Mendoza berkata, Komukai adalah pelawat sah selagi dia tidak melanggar undang-undang negara itu. 
Dalam satu dokumen yang diperoleh stesen televisyen ABS-CBN, Kedutaan Jepun dilapor menulis surat kepada Biro Imigresen memohon salinan laporan ketibaan Komukai tetapi surat itu menjelaskan ia tidak mengemukakan permohonan rasmi untuk mengarahkan Komukai dihantar pulang. 

Surat itu ditandatangani Konsul Kedutaan Jepun, Kenichi Horii. Polis Metropolitan Tokyo mengeluarkan waran tangkap ke atas Komukai minggu lalu. 

Waran itu dikeluarkan selepas polis Jepun menahan sekumpulan samseng Iran bersama pengedar dadah tempatan tahun lalu dan nama Komukai muncul sebagai salah seorang pelanggan. 

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Komukai berdepan masalah undang-undang. – Agensi 

Susilo dituntut haram Ahmadiah

JAKARTA 18 Feb. - Beratus-ratus ahli Barisan Pembela Islam (FPI) berhimpun di ibu negara ini hari ini bagi menuntut Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengharamkan fahaman Ahmadiyah atau meletak jawatan.
Ahli-ahli pertubuhan itu yang memakai pakaian putih bersama anak-anak mereka, membawa sepanduk menuntut peletakan jawatan Susilo melainkan Ahmadiyah diharamkan.
"Ahmadiyah bukanlah sebahagian daripada Islam, ia satu penghinaan. Nabi mereka, Mirza Ghulam Ahmad adalah nabi palsu dari India," kata pengerusi FPI cawangan Jakarta, Salim Alatas kepada AFP.
Perhimpunan itu diadakan hampir dua minggu selepas pembunuhan kejam tiga pengikut fahaman tersebut di wilayah Banten, Jawa Barat, satu serangan paling dahsyat ke atas fahaman Ahmadiyah di Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Selepas satu rakaman video tentang serangan tersebut disiarkan di YouTube, Susilo meminta FPI diharamkan dan menggesa rakyat Indonesia lebih bertolak ansur dan bersederhana dalam mengamalkan kepercayaan agama.
Polis dilapor tidak cuba menghalang kejadian pada 6 Februari itu yang dilakukan kira-kira 1,500 penduduk Islam dan menyatakan mereka tidak mempunyai bukti tentang pihak yang melakukan pembunuhan tersebut.
Sembilan individu ditahan berhubung insiden berkenaan termasuk seorang pengikut Ahmadiyah yang cedera teruk dibelasah kumpulan lelaki terbabit.
Satu dekri 2008 menyekat kebebasan beragama Ahmadiyah tetapi tidak mengharamkannya.
Seorang pegawai kerajaan berkata, pengikut Ahmadiyah perlu menerima ajaran Islam dan meninggalkan kepercayaan mereka.
Fahaman itu mempunyai 500,000 pengikut di Indonesia sejak diwujudkan pada tahun 1920-an. - AFP

Tiga termasuk seorang wanita ditahan



KOTA TINGGI 18 Feb. - Dua lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam pelbagai jenayah ditahan selepas kenderaan mereka terbabas lalu merempuh tembok sebuah rumah ketika dikejar polis di Jalan Padang 2 di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, turut ditemui, sepucuk pistol palsu dan sebilah pisau sepanjang 25 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kes jenayah.
Sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cuba menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di jalan sehala ke Jalan Abdul Aziz di sini.
Pemandu kereta Viva itu kemudian mengundurkan kenderaannya serta memecut melarikan diri melalui beberapa jalan lain sebelum hilang kawalan dan merempuh tembok batu sebuah rumah banglo di Jalan Padang 2.
Sebaik sahaja kemalangan itu, polis mendapati, pemandu kereta itu iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dan penumpangnya, seorang wanita berumur 25 tahun cedera ringan manakala seorang lagi lelaki berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.
Mereka dirawat sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk disoal siasat. Pemandu kereta itu dikesan memiliki tujuh rekod jenayah membabitkan kes curi, ragut, peras ugut dan masih berada dalam jaminan polis atas satu dakwaan kes dadah.
Kereta itu didapati milik wanita terbabit yang bekerja di Kajang, Selangor sementara seorang lagi lelaki mempunyai talian persaudaraan dengan pemandu itu.
Pistol tiruan yang ditemui di dalam kenderaan itu didapati buatan China dan suspek kini disiasat sama ada senjata tiruan itu pernah digunakan dalam mana-mana kegiatan jenayah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi, menasihatkan orang ramai terutama pemandu kenderaan agar bekerjasama dengan pihak berkuasa apabila diminta berhenti untuk pemeriksaan.
Katanya, sekiranya ingkar berbuat demikian dan cuba melarikan diri mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas.
"Cubaan melarikan diri dengan memandu secara melulu bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah nyawa orang dan harta benda.
"Ketiga-tiga mereka direman selama empat hari sehingga 21 Februari depan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api 1958 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya.

Dadah: Pembantu hospital antara ditahan dalam sekatan jalan raya



KAMPAR 18 Feb. - Seorang Pembantu Kesihatan di Hospital Kampar di sini adalah antara tiga lelaki yang ditahan polis kerana memiliki dadah dalam sekatan jalan raya yang diadakan di sekitar daerah ini pada 10 dan 16 Februari lalu.
Kakitangan hospital itu ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 4.58 gram dan Eramin 5 seberat 1.4 gram dalam satu sekatan jalan raya pada pukul 3.50 pagi pada 10 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, suspek yang berasal dari Kuala Dipang di sini juga didapati positif mengambil dadah dalam ujian saringan air kencing.
"Bapa kepada tiga orang anak itu kini direman selama 14 hari sehingga 24 Februari depan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, dalam sekatan jalan raya yang sama, seorang penyelia pam di sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 6.2 gram, kira-kira pukul 12.50 tengah malam.
"Suspek berusia 40 tahun itu sedang menunggang motosikal semasa ditahan. Dia juga direman sehingga 24 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 akta yang sama," katanya.
Beliau menambah, individu ketiga pula ditahan bersama 85.4 gram dadah pelbagai jenis dan bakal berhadapan hukuman mati mandatori.
Ujarnya, lelaki berusia 35 tahun dari Buntong, Ipoh itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan Terminal Makanan Negara (Teman) di sini kelmarin.
"Polis menemui 65 peket heroin seberat 83.5 gram, satu peket syabu (0.4 gram) dan satu peket ganja seberat 1.5 gram pada badan dan kereta dinaikinya.
"Suspek yang disyaki sebagai pengedar dadah turut positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dilakukan," ujarnya.

Isteri bekas Presiden Taiwan ditahan di rumah



Wu Shu-chen (tengah) menaiki kerusi roda diiringi anggota polis tiba di pejabat pendakwa raya di selatan bandar Kaohsiung, semalam. - AFP


TAICHUNG 18 Feb. - Pendakwa raya hari ini berkata, bekas wanita pertama Taiwan, Wu Shu-chen tidak akan dipenjarakan kerana didapati terlalu uzur tetapi sebaliknya akan dikenakan tahanan di rumah.
Isteri kepada bekas Presiden Chen Shui-bian itu dibawa ke sebuah hospital penjara di Taichung, tengah Taiwan awal hari ini untuk menjalani penilaian perubatan bagi menentukan sama ada dia cukup sihat untuk menjalani hukuman penjara 17 tahun dan enam bulan kerana kesalahan rasuah.
Doktor di sana memutuskan, keadaan di dalam penjara boleh membahayakan nyawa Shu-chen yang lumpuh separuh badan itu.
Wanita itu lumpuh dari paras pinggang sejak dilanggar lori dalam kemalangan pada 1985.
Shu-chen, 58, yang berkerusi roda tiba di hospital penjara tersebut dengan kawalan ketat, disambut oleh ratusan penyokongnya yang berteriak 'A-Chen tidak bersalah'.
Keluarga Shu-chen menuntut kerajaan mematuhi undang-undang yang menetapkan bahawa sesebuah penjara boleh menolak mana-mana banduan yang tidak berupaya menjaga dirinya atas sebab-sebab kesihatan.
"Saya menggesa pihak berkuasa supaya tidak melakukan sesuatu yang cuai sehingga menyebabkan tragedi yang tidak boleh lagi ditebus," kata anak lelaki Shu-chen, Chen Chih-chung di luar hospital.
Bekas Presiden, Chen Shui-bian sedang menjalani hukuman penjara untuk tempoh yang sama di sebuah penjara di utara Taiwan kerana dua sabitan kesalahan rasuah berhubung kes-kes sama yang membabitkan isterinya.
Pasangan itu juga dibicarakan berhubung beberapa lagi tuduhan rasuah berpunca daripada tempoh Shui-bian menjadi Presiden Taiwan dari 2000 hingga 2008.
Bekas Presiden itu mendakwa, tindakan undang-undang ke atasnya adalah perbuatan membalas dendam yang dilakukan oleh kerajaan sekarang yang pro-Beijing, kerana sewaktu beliau berkuasa, beliau mengambil pendirian menyokong kemerdekaan Taiwan. - AP/AFP

Hasrat bapa berkecai selepas ditipu RM56,000



MELAKA 18 Feb. - Seorang bapa di sini bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM56,000 malah terpaksa melupakan hasrat melihat anaknya bergelar doktor.
Semuanya bermula apabila pesara tersebut ditipu sebuah syarikat perunding merangkap ejen pengambilan pelajar yang memberikan butiran palsu mengenai pengajian ijazah dalam bidang perubatan di Universiti Perubatan Rusia (RSMU), Moscow kepada anak perempuannya itu.
Ejen tersebut didakwa menipu dengan menyatakan dalam surat tawaran pengajian bahawa tempoh pengajian perubatan selama enam tahun untuk semua mata pelajaran akan diajar dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila bahasa Inggeris hanya diajar selama tiga tahun dan tiga tahun lagi semua mata pelajaran digunakan dalam bahasa Rusia.
Pesara tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Hong mendakwa, dia terperangkap dengan janji-janji manis yang diberikan ejen terbabit pada satu ekspo pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) awal tahun lalu.
"Ketika itu, saya berada di situ dengan anak perempuan berusia 20-an dan ejen terbabit menjanjikan banyak perkara termasuk memastikan anak saya dapat melanjutkan pengajian di RSMU untuk menjadi seorang doktor.
"Antara perkara dijanjikan ialah semua kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris dan tiada kos tambahan selain yuran RM56,000 yang didakwa meliputi keseluruhan kos pembelajaran," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, kerana terpikat dengan tawaran itu, dia terus mengeluarkan wang bagi membolehkan anaknya melanjutkan pelajaran ke Moscow.
Hong berkata, sebelum anaknya berlepas ke Moscow pada September lalu, dia telah beberapa kali meminta penjelasan daripada syarikat berkenaan mengenai bahasa pengantar yang akan digunakan di sana.
"Ini kerana saya mula berasa bimbang apabila mendapat tahu sebelum ini terdapat beberapa individu mengatakan bahawa bahasa Inggeris hanya akan digunakan selama tiga tahun dan selebihnya pengajaran dalam bahasa Rusia.
"Namun, ejen itu terus menyakinkan saya dengan memberikan satu surat daripada RSMU menyatakan bahawa semua subjek akan diajar dalam bahasa Inggeris," katanya lagi.
Bagaimanapun menurut Hong, selepas dua bulan anaknya berada di sana, timbul pelbagai masalah seperti bahasa pengantar dan bayaran yuran yang bertambah.
"Anak saya diberitahu perlu menambah wang yuran pengajian kerana ia tidak termasuk dalam yuran RM56,000 yang dibayar sebelum ini.
"Lebih memeranjatkan, surat RMSU yang mengatakan semua mata pelajaran akan diajar dalam bahasa Inggeris seperti dikatakan ejen tersebut adalah palsu," katanya yang kemudian merujuk masalah itu kepada Yang Dipertua Persatuan Pelindung Pengguna Melaka, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya.
Hong menambah, atas nasihat Saharuddin, dia kemudian menyuruh anaknya itu pulang ke tanah air November lalu bagi mengelakkan masalah tersebut berpanjangan.
Jelasnya, setelah anaknya pulang, dia terkejut apabila mendapati ramai lagi pelajar yang tertipu seperti anaknya memandangkan seramai 60 orang pelajar dihantar ke universiti itu bagi kumpulan pertama.
Bagaimanapun, kesemua 60 pelajar itu tidak mahu membuat aduan kerana tidak berani.
Sementara itu Saharuddin berkata, selepas kejadian itu, mangsa cuba meminta penjelasan daripada pengarah urusan syarikat berkenaan, namun mereka seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab dan cuba melarikan diri.
"Pihak persatuan juga telah menghantar surat kepada syarikat tersebut namun sehingga kini tiada jawapan daripada ejen berkenaan.
"Kita akan cuba membawa masalah ini kepada kementerian berkenaan dan makluman awal mendapati, ejen ini dipercayai telah menjalankan penipuan untuk mengaut keuntungan,'' ujarnya.

Sempat hubungi bapa selepas ditembak



ANGGOTA polis menanda kawasan tempat kejadian kes tembak seorang lelaki di PPR Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar Ihsan Sinchew


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Meskipun parah akibat ditembak dua kali oleh seorang individu yang tidak dikenali, seorang kontraktor pembersihan masih sempat untuk menghubungi bapanya bagi mendapatkan bantuan.
Kejadian berlaku di tempat letak kereta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini ketika mangsa baru keluar dari rumahnya kira-kira pukul 6 pagi ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 35 tahun parah akibat ditembak di bahu dan kaki kanan oleh suspek.
Sebaik sahaja ditembak, mangsa sempat menghubungi bapanya yang ketika itu berada di tingkat tiga flat itu menggunakan telefon bimbit.
Tindakan pantas mangsa berjaya menyelamatkan nyawanya apabila dia segera dibawa ahli keluarganya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa mangsa yang bergegas ke tempat kejadian menemui anaknya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.
"Tindakan pantas bapa mangsa membawa anaknya ke HKL berjaya menyelamatkan nyawa lelaki itu. Dia kini masih dirawat dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zakaria, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui lima kelongsong peluru jenis .45mm termasuk berhampiran sebuah kenderaan pelbagai guna mewah jenis Toyota Alphard milik mangsa.
"Polis tidak menolak kemungkinan terdapat motif dendam dalam kes ini tetapi tidak juga menolak sebarang kebarangkalian lain," ujarnya.
Menurut Zakaria, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan pihak polis belum membuat sebarang tangkapan.

Suri rumah dan anak lumpuh terselamat dalam kebakaran



19/02/2011 4:05pm



TELUK INTAN 19 Feb. – Seorang ibu tunggal warga emas bersama anak lelakinya yang lumpuh sempat menyelamatkan diri apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia, dekat sini, malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 9 malam ketika Hadijalut Fakir Mohamad, 66, dan anak lelakinya, Zulnuraini Aboo Osman, 39, berada di dalam rumah sebelum mereka terdengar jeritan orang ramai memberitahu mengenai kebakaran yang berlaku di bahagian hadapan rumah kedai itu. – Utusan

Lima cedera dalam kejadian kilang meletup



19/02/2011 2:19pm



SEREMBAN 19 Feb. - Lima pekerja termasuk seorang penyelia sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit tercedera akibat disambar api apabila tempat pengasingan minyak di kilang berkenaan di Jalan Nilam 3, Nilai Utama, dekat sini, meletup sebelum terbakar, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, dua daripada mangsa terbabit melecur hampir seluruh anggota badan manakala tiga lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan akibat kebakaran itu.
Mangsa yang tercedera itu terdiri daripada empat warga Nepal dan seorang penyelia yang merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar ketika ditemui di lokasi berkata, hasil siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada paip saluran cecair pembakar yang digunakan untuk memproses minyak berkenaan bocor.
“Pemeriksaan lanjut, pihak kami mendapati bahan tersebut mudah terbakar dan amat memudaratkan jika terkena pada kulit.
“Bagaimanapun, kita berjaya mengawal kebakaran tersebut kira-kira 9.45 pagi dari merebak ke bangunan lain dan kini kita sedang menjalankan proses penyejukan,” katanya, di sini, hari ini.
Jelasnya, sebanyak empat jentera yang disertai oleh 33 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima aduan kira-kira pukul 8.50 pagi.
“Dua mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban menaiki ambulans manakala selebihnya telah dihantar ke pusat perubatan berhampiran oleh pekerja kilang berkenaan untuk diberikan rawatan,” katanya. - Utusan

3 maut cuba lari dari penjara Libya



19/02/2011 3:08am

TRIPOLI 19 Feb. - Pasukan keselamatan membunuh tiga banduan ketika mereka cuba melarikan diri dari sebuah penjara dekat sini, semalam.
Sementara itu, lebih seribu banduan dilapor melakukan tindakan yang sama di timur negara ini.
"Banduan cuba melarikan diri dari penjara El-Jedaida, tetapi pengawal keselamatan cuba menghalang dan terpaksa melepaskan tembakan ke atas mereka yang bertindak ganas," kata sumber perkhidmatan keselamatan kepada AFP.
Sumber itu berkata, situasi kini berada dalam keadaan terkawal. - AFP

‘Bila kita bernikah?’


SHAH ALAM: Seorang isteri mendakwa menempuh kehidupan penuh celaru hampir setahun selepas suaminya lari mengikut seorang wanita warga Indonesia.
Mangsa, Halimatun Sa’diah Mhd Sirat, 37, mendakwa suaminya, Mohamad Shah Mochtar, 50, mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah selepas mengenali wanita terbabit yang dikenali sebagai Yani, 29.

Katanya, lebih memilukan suami yang dikahwini sejak 14 tahun lalu itu kini tinggal serumah dengan wanita terbabit tanpa ikatan sah di Sungai Serai, Kajang, dekat sini dan tidak lagi pulang ke rumahnya di Seksyen 24, di sini.
“Dia tidak pulang sejak Ogos lalu dan mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan anak perempuannya.

“Saya syak dia menjadi mangsa bomoh wanita terbabit kerana apabila saya bertemunya dia tanya bila dia bernikah dengan saya,” katanya di sini, semalam.

Halimatun berkata, suaminya yang bekerja sebagai kontraktor dan memegang status penduduk tetap (PR), manakala wanita terbabit seorang pembantu rumah yang melarikan dari daripada majikannya.
Berikutan kejadian itu, Halimatun membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 16, di sini selain mengadu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kejadian itu tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Dia kini membantu rakannya berniaga kecil-kecilan di pusat beli-belah di Seksyen 18, di sini bagi menyara kehidupannya bersama anak perempuan berusia lapan tahun.myMetro | ‘Bila kita bernikah?’

Suami terima 40 mesej lucah


KOTA BHARU: “Sepanjang 17 tahun perkahwinan, saya tidak pernah ‘derhaka’ pada suami apatah lagi menamparnya, namun gara-gara terlalu cemburu dengan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah diterimanya, menyebabkan saya hilang kewarasan.
“Isteri mana tidak marah atau cemburu jika suaminya diganggu ‘individu misteri’. Kalau sekali tidak mengapa, tetapi lebih 40 kali mesej lucah dihantar melalui telefon bimbit suami,” kata seorang peniaga sauna yang mahu dikenali sebagai Zaitun, 35.

Zaitun berkata, mesej berbaur lucah dihantar kepada suaminya yang berusia 41 tahun sejak 5 Februari lalu menyebabkan hatinya tidak tenteram hingga rumah tangga mereka bergolak.
“Perbuatannya itu mengaibkan kami sekeluarga dan seolah-olah saya tak tahu menjaga suami.

“Perbuatan menghantar mesej lucah dan mendakwa pernah mengadakan hubungan seks dengan suami memang melampau,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, walaupun suaminya menafikan mengenali individu berkenaan, dia tidak percaya sehingga berlaku pergaduhan besar dengan suaminya.
“Saya perasan mesej itu ketika membuka telefon bimbit suami dan terkejut dengan kata-kata dihantar menyebabkan saya sendiri malu untuk membacanya. Kejadian itu disedari ketika dalam perjalanan untuk melawat anak di asrama di Tanah Merah,” katanya.

Katanya, kejadian itu bagaimanapun dinafikan suami kerana mendakwa tidak mengenali penghantar mesej misteri berkenaan, selain sanggup menjunjung al-Quran.
“Sebaik mendengar pengakuan suami, saya membuat aduan di Balai Polis Kok Lanas mengenai gangguan itu pada 6 Februari lalu termasuk perbuatan suspek menuduh suami pernah menidurinya.

Berikutan aduan berkenaan, Zaitun dengan bantuan polis mengatur strategi untuk memerangkap suspek berdekatan sebuah Politeknik dekat sini, namun tidak berjaya berikutan suspek enggan hadir.

Zaitun berkata, pada masa sama dia juga mengadukan hal itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi belum menerima sebarang jawapan kerana siasatan mengambil masa kira-kira 45 hari.myMetro | Suami terima 40 mesej lucah

‘Pegawai KDN’ putar alam


KUALA LUMPUR: Bijak menggunakan kata-kata manis selain mengamalkan ilmu penunduk menjadi taktik seorang lelaki berusia 30-an untuk memperdaya mangsa yang terdesak untuk mendapatkan status pemastautin tetap (PR) sebelum melarikan ribuan ringgit.
Difahamkan, setiap individu yang bertentang mata dengan suspek akan patuh kepada arahannya termasuk menyerahkan wang yang dimintanya.

Lebih membuatkan mangsa mempercayai suspek apabila dia mendakwa pegawai Bahagian Perisikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengenali Pengarah Kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berpangkat Datuk yang boleh membantu mangsa memperoleh PR dengan cara mudah.
Tambah meyakinkan ‘penipu putar alam’ terbabit berani membawa mangsa ke pejabat JPN di Putrajaya seolah-olah segala urusan akan dijalankan, namun terbongkar apabila suspek menghilangkan diri selepas itu.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita dikenali sebagai Rohani, 45, menjadi mangsa lelaki terbabit ketika ingin memohon PR buat suami dan adik iparnya yang juga warga Pakistan.

Rohani berkata, dia mengenali lelaki terbabit di sebuah Stesen Aliran Ringan (LRT) di Jalan Hang Tuah, di sini apabila disapa suspek yang memberitahu mengenalinya ketika dia bekerja di restoran abangnya di Johor.
“Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Azlan menawarkan diri dengan memberitahu mengenali seorang Pengarah JPN bergelar Datuk yang boleh membantu mendapatkan PR buat suami dan adik ipar saya,” katanya.

Menurutnya, dia membuat temu janji dengan lelaki itu pada 7 Februari lalu kira-kira jam 9 pagi untuk membuat permohonan itu di pejabat JPN. “Saya diminta menyerahkan dua sampul surat bertulis nama suami dan adik ipar yang diisi wang tunai RM2,200 dalam setiap sampul,” katanya.
Rohani berkata, lelaki itu menyuruh dia menunggu di kafe sementara dia naik berjumpa Datuk terbabit.

“Selepas dua jam, saya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan hal itu, namun suspek memberitahu urusan belum selesai dan diberikan nombor telefon Datuk terbabit yang dikenali sebagai Zainal.

“Dia memberitahu Datuk Zainal akan menghubungi saya. Selang beberapa minit saya menerima SMS dari pada Datuk terbabit menyuruh saya datang semula pada jam 3 petang.

“Saya menghantar SMS kepada lelaki itu memberitahu dengan siapa saya perlu berjumpa dan adakah dia akan menemani, namun tidak berbalas. Puas saya cuba menghubunginya telefonnya, tetapi tidak dijawab,” katanya.

Dia yang menyedari ditipu membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah pada malam kejadian sebelum kes itu dirujuk ke Putrajaya.

Difahamkan, kelmarin mangsa mendapat satu lagi kiriman SMS daripada Datuk terbabit memintanya memasukkan RM1,500 dan apabila mangsa enggan, lelaki itu mengugut menahan suaminya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim berkata, orang ramai jangan mudah terpedaya dengan individu yang mendakwa mengenali pegawai JPN dan boleh membantu mereka menggunakan jalan mudah melalui bayaran tertentu.

Menurutnya, mereka yang ingin membuat permohonan seperti kad pengenalan diri, warganegara dan PR perlu datang sendiri ke pejabat JPN untuk berurusan.

“Tiada bayaran sehingga RM2,200 untuk mendapatkan PR.

“Pihak Jabatan juga tidak mengenali Datuk Zainal seperti didakwa mangsa,” katanya.myMetro | ‘Pegawai KDN’ putar alam

Tumbukan hinggap di mata


MASJID TANAH: Seorang warga emas melalui detik mencemaskan apabila diikat kaki dan tangannya apabila rumahnya diceroboh dua lelaki bertopeng mengakibatkan kerugian lebih RM15,000 dalam kejadian samun di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi, mangsa Md Amin Ismail, 77, dan isterinya, Fatimah Mohamad, 76, sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi pintu bahagian tengah rumah bergegar kuat dipercayai ditendang seseorang.

Md Amin berkata, dia terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi bising akibat pintu kayu ditendang dari luar sebelum muncul dua lelaki bertopeng dalam bilik sambil menghunus senjata pisau dan sabit ketika mahu membuka lampu.
Katanya, dalam suasana malap di dalam bilik, dia memberanikan diri bertanya kepada dua lelaki terbabit berhubung tujuan mereka, namun satu tumbukan kuat hinggap di mata kirinya sebelum habis bercakap.

“Mereka mengarahkan supaya tidak membuat bising jika tidak mahu ditembak, tetapi saya tidak pasti sama ada mereka membawa pistol atau sebaliknya, tetapi bersyukur kerana isteri dibiarkan dalam bilik tanpa diusik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru pada hari sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan dan menjalankan siasatan berhubung kejadian.myMetro | Tumbukan hinggap di mata

Wanita palsu penculikan diri sendiri ditahan

myMetro | Wanita palsu penculikan diri sendiri ditahan:


SAO PAOLO: Seorang wanita Brazil berusia 25 tahun ditahan kerana disyaki memalsukan penculikannya bagi memperoleh wang tebusan AS$360 (RM1,080) daripada keluarganya, kata polis kepada laman berita G1, semalam.

Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu memerlukan wang berkenaan untuk membayar ibu saudaranya jumlah sama yang telah dicuri melalui penggunaan kad kredit milik wanita berkenaan. Wanita itu meninggalkan nota dalam bilik tidurnya memberitahu dia diculik dan menghubungi keluarganya selepas itu menerusi telefon bimbitnya. Dia mendakwa diculik dua lelaki yang mengancam untuk membunuhnya jika wang tebusan tidak dibayar.


Polis berkata, wanita itu kemudian menghubungi semula keluarganya dan memberitahu dia dapat melarikan diri daripada penculik terbabit. - AFP"

Manila rayu China ampunkan 3 penyeludup dadah


BEIJING: Naib Presiden Filipina bertemu pegawai kanan China semalam, dalam usaha terakhir mendapatkan pengampunan ke atas tiga pengedar dadah yang dijadual dihukum mati minggu depan.
Bagaimanapun, Jejomar Binay enggan membuat sebarang spekulasi mengenai hasil pertemuannya itu.

Dia turut dikatakan membawa sepucuk surat daripada Presiden Filipina, Benigno Aquino.
Sumber Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Binay bertemu Presiden Mahkamah Agung sebelum bersemuka dengan timbalan menteri luar negara itu.

Pegawai kerajaan Filipina berkata, tertuduh - dua wanita dan seorang lelaki - diupah membawa barangan yang dipercayai peralatan pejabat ke China.

Bagaimanapun, mereka ditahan apabila pihak berkuasa China mendapati barangan dibawa adalah heroin.
Seorang daripada tertuduh adalah ibu beranak dua berusia 32 tahun, manakala seorang lagi bapa kepada lima anak.

Beijing mendapati ketiga-tiga defendan disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Kenyataan dikeluarkan Aquino menyatakan, seluruh negara bersatu merayu China meringankan hukuman ke atas tiga tertuduh.

“Kami tidak bermaksud merestui perbuatan ketiga-tiga tertuduh, tetapi merayu supaya diberi pertimbangan atas alasan kemanusiaan,” katanya. Ketika ditahan pada 2008, ketiga-tiga defendan masing-masing membawa heroin seberat di antara empat dan enam kilogram. APmyMetro | Manila rayu China ampunkan 3 penyeludup dadah

Warga Baguio panik gempa bumi gegar bandar pelancongan


BAGUIO (Filipina): Ratusan orang bertempiaran melarikan diri ke jalan raya apabila gempa bumi berukuran sederhana menggegarkan bandar percutian Baguio, semalam.
Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina melaporkan, gempa itu sekuat 5.0 magnitud dan berlaku hanya 14 kilometer dari permukaan bumi.

Gegaran itu segera mengingatkan orang ramai kepada insiden serupa pada 1990 yang mengorbankan beberapa ratus nyawa.
Bagaimanapun, dalam kejadian semalam, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.

Saksi berkata, orang ramai bergegas meninggalkan kediaman masing-masing sebaik saja gegaran bergenti.

Kebimbangan terus menghantui mereka sehinggalah Datuk Bandar Baguio, Mauricio Domogan, mengumumkan tiada sebarang kerosakan berlaku.
“Saintis menjangkakan tiada gegaran susulan,” katanya melalui radio. - AFPmyMetro | Warga Baguio panik gempa bumi gegar bandar pelancongan

Jatuh laut ketika bersih kontena


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja di Pelabuhan Barat Klang dikhuatiri maut selepas terjatuh ke dalam laut ketika membersihkan sebuah kontena bersama rakannya di sini, jam 1 tengah hari semalam.
Mangsa dikenali sebagai Ibrahim bersama rakannya terperangkap di dalam kontena berkenaan yang tiba-tiba jatuh ke dalam laut.

Dalam keadaan kelam-kabut itu rakan Ibrahim berjaya menyelamatkan diri selepas dibantu beberapa rakan namun mangsa gagal dikesan.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata mangsa yang selamat memberitahu Ibrahim dipercayai terperangkap di dalam kontena yang tenggelam itu.

Katanya, sehingga malam tadi operasi menaikkan kontena yang tenggelam ke dasar laut masih dijalankan termasuk operasi mengesan mangsa yang giat dilakukan unit marin pelabuhan berkenaan.

“Mangsa yang berjaya menyelamatkan diri cedera ringan dan kini dirawat di klinik berhampiran.
“Polis juga akan mendapatkan bantuan dari Pasukan Gerakan Marin untuk membantu operasi mencari mangsa yang akan di sambung pagi ini,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.myMetro | Jatuh laut ketika bersih kontena

Ugut bom rumah


PULANGLAH...Swee Ngor (kiri) dan Chong menunjukkan gambar Siew Kuan.
PULANGLAH...Swee Ngor (kiri) dan Chong menunjukkan gambar Siew Kuan.

KUALA LUMPUR: Seorang nenek kini ketakutan selepas menerima ugutan daripada samseng lapan along yang menuntut hutang RM80,000 yang dipinjam anak angkatnya sejak lima tahun lalu.
Yong Swee Ngor, 65, mendakwa menerima panggilan telefon daripada lapan along terbabit yang meminta hutang mereka dilunaskan.

Difahamkan, anak angkatnya, Yong Siew Kuan, 32, tidak pulang ke rumah sejak berkahwin lima tahun lalu dan sehingga kini gagal dihubungi.
Ibu tidak berdaya itu tinggal seorang diri di rumahnya di Ampang Jaya, di sini, hanya ditemani jirannya ketika menyambut Tahun Baru Cina baru-baru ini kerana takut diganggu samseng terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian 29 Januari lalu, dia menerima panggilan along yang mencari anak perempuannya dan mengugut mahu membaling cat dan bom pada Tahun Baru Cina jika gagal membayarnya.

“Saya memberitahu mereka Siew Kuan tidak tinggal bersama dan gagal dihubungi. Namun, along terbabit mendesak menjelaskan hutang anak angkat saya sekiranya tidak mahu diapa-apakan.
“Takut dengan ugutan itu, saya tidak boleh tidur dan diserang asma. Tambahan pula, saya berjalan menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Lebih menyedihkan, wanita itu pernah menyelesaikan hutang kad kredit anak angkatnya yang berjumlah RM80,000 dengan meminjam daripada ahli keluarganya.
Beliau yang berniaga sayur berhampiran rumahnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung ugutan itu.

“Saya merayu Siew Kuan pulang ke rumah kerana saya merinduinya. Saya juga mahu dia bertanggungjawab sekiranya dia berhutang dengan along terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menerima 42 kes pinjaman along sejak tahun lalu.myMetro | Ugut bom rumah

Rakan pelakon ugut bunuh


KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama popular ditahan polis semalam selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.
Pelakon lelaki berusia 43 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet. Menurut sumber polis, pelakon terbabit bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Isnin lalu.

“Menyedari kesalahannya selain yakin dia diburu pihak berkuasa, pelakon itu tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 10 pagi (semalam) sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, pelakon terbabit sebelum ini dipanggil SPRM untuk membantu siasatan satu sindiket pernikahan palsu didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan empat lelaki lain berikutan dia menggunakan khidmat sindiket itu untuk pernikahan keduanya.

Sumber itu berkata, pertemuan pelakon terbabit dengan dua pegawai SPRM yang mahu mengambil keterangannya diadakan di sebuah kafe di Danau Kota, di sini, kira-kira jam 11.20 malam Isnin lalu.

“Sebaik pelakon itu dan tiga rakannya masuk ke kafe berkenaan, seorang daripada rakannya memperkenalkan diri sebagai ‘Abang Joe’ dan mendakwa dia pegawai khas Ketua Polis Negara.
“Abang Joe mengarahkan dua pegawai SPRM berkenaan menghentikan siasatan ke atas pelakon itu. Apabila dua pegawai SPRM itu bertegas untuk meneruskan siasatan, Abang Joe mengugut dengan mengatakan akan membunuh mereka,” katanya.

Menurutnya, Abang Joe turut mengugut mahu menembak kedua-dua pegawai itu sehingga mati jika permintaannya tidak dipenuhi. “Selain itu, Abang Joe memberitahu dia boleh memerangkap dua pegawai SPRM berkenaan dengan meletakkan dadah dalam rumah atau kenderaan mereka supaya pegawai itu ditahan polis.
“Malah, Abang Joe mendakwa dia sanggup mati semata-mata bagi memastikan SPRM tidak meneruskan siasatan terhadap pelakon terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata, pelakon terbabit dan tiga rakannya meninggalkan kafe berkenaan sebelum kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.

Menurutnya, pelakon terbabit direman lima hari bermula semalam dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan tunduk pada ugutan, tohmahan dan fitnah mana-mana pihak yang cuba menjejaskan siasatan sesuatu kes rasuah.

“Ini sebahagian cabaran yang perlu kami hadapi. Dalam kes sebegini, SPRM akan serahkan kepada polis mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami akan teruskan siasatan sindiket pernikahan palsu itu,” katanya.myMetro | Rakan pelakon ugut bunuh

Polis masih siasat kes tipu bank

myMetro | Polis masih siasat kes tipu bank: "KUALA LUMPUR: Kes sebuah bank tempatan di ibu kota yang kerugian RM19 juta setelah menjadi mangsa penipuan dua syarikat kononnya ingin membekalkan alat ganti pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya ada menerima laporan terbabit pada minggu lepas berhubung kes penipuan berkenaan dan sudah menjalankan siasatan bagi mencari dalang kes berkenaan."