Search This Blog

Wednesday, February 16, 2011

Tiga terperangkap di kabin lori dalam kemalangan


SINGAPURA
TIGA lelaki terperangkap di kabin depan sebuah lori setelah kenderaan yang dinaiki mereka itu melanggar sebuah perhentian bas di Loyang Avenue menghala ke Changi Village pagi semalam.Lori tersebut yang dipercayai terbabas turut melanggar tonggak jalan yang menjadi pengadang bagi keselamatan para penumpang bas di perhentian bas berkenaan.Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dalam kejadian sekitar 9 pagi itu, kabin tersebut terbalik disebabkan perlanggaran tersebut.Para pegawai SCDF terpaksa menggunakan pemotong hidraulik, mesin perata dan enjin ram untuk menyelamatkan tiga lelaki berkenaan (gambar atas).Mangsa yang dalam keadaan sedar dapat diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Besar Changi untuk mendapatkan rawatan.Cyberita Online Singapura

Murid maut tercampak keluar dari van

SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun satu terbunuh selepas tercampak keluar dari van sekolahnya apabila sebuah pintu kenderaan itu terbuka di satu selekoh.Siasatan polis mendapati van itu beroperasi secara haram manakala pemandunya, seorang remaja berusia 16 tahun, tidak mempunyai lesen memandu.Kejadian berlaku sekitar 7 pagi kelmarin ketika mangsa, M. Arvin, tujuh tahun, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Songkian, Jalan Kuala Ketil, dekat sini, ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Mahajohti di Taman Sutera, tidak jauh dari rumahnya.Jurucakap Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berkata ketika kejadian dua murid duduk di bahagian hadapan bersama pemandu manakala mangsa bersama dua murid lain di bangku belakang.Menurutnya, sebelum kejadian mangsa bersama dua rakannya yang duduk di bahagian belakang dipercayai bermain dan seorang daripada mereka mungkin terbuka kunci pintu van.Sebaik tiba di sebuah selekoh dekat lampu isyarat, pintu van itu terbuka dan mangsa, yang duduk di tepi pintu, tercampak ke jalan raya. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

Pasangan edar dadah dicekup


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang aktif dalam dalam kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Batu Lima Jalan Ipoh, awal pagi kelmarin.
Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur kira-kira jam 2.15 pagi itu, seorang wanita turut diberkas dalam rumah berkenaan. Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat tujuh gram, syabu (5.6 gram) dan ketamin (1.17 gram).myMetro | Pasangan edar dadah dicekup

Umpan tiket murah


JOHOR BAHRU: Akibat teruja mendapat tiket penerbangan ke luar negara pada separuh harga, seorang lelaki berputih mata selepas jurujual yang menguruskan perjalanannya menghilangkan diri dan gagal dihubungi sejak seminggu lalu.
Mangsa mendakwa jurujual ditemuinya di sebuah pusat beli-belah di Tampoi di sini, ‘menjual’ nama sebuah syarikat penerbangan tambang murah terkemuka negara dan anak syarikatnya.

Dalam kejadian 8 Januari lalu, Juraini Ahmad, 41, disapa jurujual berkenaan sebelum ditawarkan tiket penerbangan separuh harga selain pakej pelancongan percuma ke mana-mana destinasi di dalam negara.
“Semua itu boleh diperoleh dengan syarat saya perlu menjadi ahli kelab eksklusif syarikat berkenaan dengan bayaran serendah RM698 sebagai yuran ahli seumur hidup.

“Pada mulanya, saya ragu-ragu dengan tawaran itu, apa tidaknya saya hanya perlu membayar separuh daripada harga tiket sebenar iaitu RM2,400 untuk penerbangan ke Australia.

“Selepas mendengar penerangan diberikan dan taktik yang mengaitkan kad keahlian itu dengan syarikat penerbangan tambang murah, saya mula yakin dan bersetuju menjadi ahli,” katanya di pejabat Harian Metro, semalam.
Katanya, selepas selesai urusan pembayaran, jurujual itu berjanji menghubunginya dalam 24 jam sejurus tempahan tiket dan jadual penerbangan dilakukan.

Bagaimanapun, Juraini mula syak ada yang tidak kena apabila jurujual itu gagal menghubunginya seperti dijanjikan, malah panggilannya juga tidak berjawab.
“Bagi mendapatkan penjelasan, saya menghubungi syarikat jurujual itu di Setapak, Kuala Lumpur, tetapi kakitangan bertugas memaklumkan mereka tidak menerima tempahan tiket penerbangan atau bayaran,” katanya.myMetro | Umpan tiket murah

2 penjawat awam dicekup separuh bogel


GEORGETOWN: Memalukan apabila dua penjawat awam dicekup dalam keadaan separuh bogel dalam operasi cegah maksiat sempena sambutan Maulidur Rasul di Jalan Persiaran Bayan Indah, Pantai Jerejak di sini, awal pagi semalam.
Ketika ditahan kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia 40-an serta teman wanitanya berusia 20-an ditemui di tempat duduk hadapan pemandu dan penumpang sebuah kereta dengan zip seluar lelaki berkenaan terbuka manakala kain pasangannya ditanggalkan sehingga menampakkan seluar dalam.

Malah, ketika diperiksa kedua-duanya enggan bekerjasama termasuk tidak mahu membuka pintu selain tergesa-gesa menutup dan membetulkan pakaian.
Mereka antara 20 pasangan kekasih berusia 20 hingga 40-an yang diperiksa dalam operasi cegah maksiat sempena Maulidur Rasul bermula dari jam 11 malam hingga 3 pagi membabitkan sepasukan lima pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Operasi diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan tertumpu di beberapa lokasi panas yang sering menjadi tumpuan pasangan kekasih bermadu asmara termasuk di Padang Kota Lama, Lebuh Sungai Pinang, Pantai Seagate, Persisiran Pantai Queensbay, Pantai Jerejak dan Batu Maung.

Khairul Azman berkata, kedua-dua penjawat awam itu ditemui dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kereta Jalan Persiaran Bayan Indah dan mereka dipercayai melakukan perbuatan kurang sopan ketika itu.
Katanya, segelintir pasangan ditahan memberikan pelbagai alasan termasuk merindui teman wanita yang lama tidak berjumpa walaupun bekerja di tempat sama, malah ada menjerit dan menangis selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, tiga pasangan kekasih dikenakan tindakan saman kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam, lapan diberi amaran dan nasihat manakala yang lain dilepaskan,” katanya.myMetro | 2 penjawat awam dicekup separuh bogel

Pegawai khas khalwat

myMetro | Pegawai khas khalwat: "
Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Ketika umat Islam sibuk meningkatkan amalan sempena sambutan Maulidur Rasul, seorang pegawai khas kepada pembantu menteri negeri ini mengambil kesempatan cuti umum dan Hari Kekasih untuk memadu asmara bersama pasangannya yang berusia 23 tahun di sebuah hotel murah di bandar raya ini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, niat pasangan itu tidak berpanjangan apabila mereka dicekup dalam operasi khas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sempena Hari Kekasih yang menyasarkan beberapa hotel murah dan rumah persendirian sekitar bandar raya ini.


Terdahulu, berdasarkan maklumat, sepasukan penguat kuasa JHEAINS menyerbu sebuah hotel murah lalu mengetuk pintu bilik pasangan terbabit selama hampir satu jam sebelum dibuka seorang lelaki berusia 51 tahun yang berpakaian lengkap.

Sebaik memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa JHEAINS dan meminta izin untuk pemeriksaan, mereka mendapati seorang wanita juga lengkap berpakaian sedang berselimut di atas katil bilik berkenaan.


Ketika diminta menunjukkan kad kahwin, kedua-dua mereka mengaku belum berkahwin dan tidur bersama di hotel terbabit.


Difahamkan, lelaki berkenaan berstatus bapa tunggal dan mempunyai empat anak manakala pasangannya masih bujang."

Layan nafsu pada cuti umum


KUALA LUMPUR: Cuti umum semalam menjadikan rumah pelacuran di sepanjang Jalan Petaling dan Thambipillay, Brickfields, di sini, seolah-olah pesta kepada warga asing yang mula berkumpul di kawasan itu seawal jam 8 pagi.
Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati lokasi terbabit dikunjungi warga asing yang datang semata-mata untuk memenuhi nafsu mereka.

Berdasarkan pemantauan hampir dua jam, kebanyakan pelanggan di kalangan warga asing terbabit dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Myanmar.
Kebanyakan mereka berpusu-pusu memasuki pintu kecil di tingkat bawah rumah pelacuran yang berselindung di sebalik bangunan rumah kedai usang di kawasan berkenaan.

Pintu kecil menghubungkan tangga ke tingkat atas rumah kedai dua tingkat itu dikawal tonto atau bapa ayam yang memantau kehadiran pihak berkuasa.

Wartawan yang memasuki rumah pelacuran itu mendapati keadaan di dalam rumah pelacuran terbabit meriah dengan gelak tawa puluhan gadis pelacur yang menanti kedatangan pelanggan.
Rata-rata pelacur berusia awal 20-an terbabit yang dipercayai warga Filipina dan Indonesia boleh dilanggan hanya dengan harga RM20 hingga RM30 sekali perkhidmatan.

Bagi menarik perhatian pelanggan di kalangan warga asing, kebanyakan gadis terbabit memakai pakaian seksi.
Mereka ini tidak segan silu menawarkan khidmat seks di dalam bilik kedai di dalam rumah pelacuran itu yang dilindungi papan nipis.

Sambutan luar biasa di kalangan warga asing terbabit boleh dibuktikan apabila rata-rata mereka berkumpul di bahagian bawah dan kaki lima premis bagi menunggu giliran memuaskan nafsu.myMetro | Layan nafsu pada cuti umum

Hamil 5 bulan masih jual tubuh


MALU...pelacur yang ditahan dalam operasi, kelmarin.
MALU...pelacur yang ditahan dalam operasi, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan berusia 30 tahun masih melacur walaupun sudah lima bulan mengandung anak sulungnya.
Beliau antara 16 wanita yang dicekup ketika serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur di Jalan Thambipillay, Brickfields, di sini, malam kelmarin.

Wanita terbabit yang tinggal di Kepong mendakwa datang ke kawasan itu pada jam 7 malam untuk melayan nafsu lelaki hidung belang.
Pegawai Turus D7 IKPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata ketika ditahan wanita terbabit melayan pelanggannya, namun tidak mampu melarikan diri kerana mengandung.

Katanya, dalam operasi yang bermula pada jam 11 malam itu, polis menyerbu lima premis di sepanjang jalan berkenaan yang menawarkan khidmat seks.

“Semua premis terbabit dihuni wanita tempatan dan warga asing yang mengenakan bayaran RM30 sehingga RM40 sekali perkhidmatan bergantung kepada usia mereka.
“Dalam serbuan itu juga, 13 pelanggan dicekup kerana dipercayai melanggan pelacur terbabit,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, wanita terbabit terdiri daripada dua warga China, tujuh warga tempatan, tiga (India) dan empat (Indonesia).
Beliau berkata semua mereka mempunyai pasport dan pas lawatan, namun ia tamat tempoh.

Katanya, semua premis terbabit beberapa kali diserbu dan bilik di dalamnya diruntuhkan pihak berkuasa, namun ia dibina kembali oleh pemiliknya.

“Bekalan elektrik dan air di situ juga sudah dipotong, namun ia tidak berkesan kerana premis terbabit mendapat bekalan asas itu dari kawasan premis berhampiran.

“Pintu masuk yang dibuat dengan besi tebal di premis terbabit dikawal, malah semua pintu di sepanjang jalan berkenaan akan segera ditutup bagi mengelak polis memasuki premis mereka,” katanya.myMetro | Hamil 5 bulan masih jual tubuh

Ibu racun dua anak


KRITIKAL...suspek dirawat di Hospital Serdang.
KRITIKAL...suspek dirawat di Hospital Serdang.
BERSEDIH...ahli keluarga di rumah mangsa, semalam.
BERSEDIH...ahli keluarga di rumah mangsa, semalam.

KAJANG: Tragis apabila dua beradik maut selepas dipaksa minum susu dicampur racun oleh ibu kandung di rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mayat dua beradik terbabit, Rashmeka, 4, dan Neeharika Laxmi Sivarajah, 12 bulan, ditemui bergelimpangan dengan mulut berbuih dalam sebuah bilik.

Difahamkan, selepas meracun kedua-dua anaknya, wanita berusia 30 tahun terbabit meminum racun dan kini dilaporkan kritikal di Hospital Serdang. Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ketika kejadian, ibu bapa mentua wanita terbabit berada di rumah berkenaan.
“Kejadian itu disedari ibu mentua mangsa yang hairan apabila menantunya tidak membuka pintu bilik walaupun diketuk berkali-kali. Bimbang keadaan itu, mentuanya menghubungi suami wanita terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik suami wanita itu tiba rumah, dia menyuruh isterinya yang pernah mengalami masalah mental membuka pintu, tetapi tidak berjawab. “Dengan menggunakan kunci pendua, suami wanita itu membuka pintu bilik berkenaan sebelum terkejut apabila melihat isteri dan dua anaknya bergelimpangan dengan mulut berbuih,” katanya.

Azman berkata, suami wanita berusia 33 tahun itu membawa semua mereka ke hospital sebelum pakar mengesahkan kedua-dua anaknya sudah meninggal dunia. “Bagaimanapun, isterinya masih kritikal di Hospital Serdang. Hasil siasatan, polis mendapati ibu kanak-kanak itu pernah menerima rawatan psikiatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006,” katanya.
“Polis masih menyiasat kes berkenaan secara terperinci dan mengenal pasti motif wanita terbabit membunuh kedua-dua anaknya, namun saya tidak menolak kemungkinan dia mempunyai masalah mental,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suami mangsa yang juga seorang tukang gunting bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih bersedih ketika wartawan Harian Metro berkunjung ke rumahnya, semalam.

Bagaimanapun, seorang ahli keluarga lelaki itu mengesahkan wanita terbabit mempunyai sejarah mental sejak kecil dan bergantung kepada ubat.

“Ini perkahwinan kedua wanita itu, sebelum ini dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan suami pertamanya dan kami kesal kenapa dia sanggup membunuh kedua-dua anaknya kerana mereka masih kecil,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali mendakwa wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah, malah dia tidak pernah mendengar sebarang pertengkaran antara mereka suami isteri.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan seorang jiran lain wanita terbabit membunuh anaknya dengan memasukkan racun dalam botol susu mereka,” katanya.myMetro | Ibu racun dua anak

Ajal lepas balik maulid


NGERI...keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil, Ahmad Jamal.
NGERI...keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil, Ahmad Jamal.


PILU...ibu mangsa, Jamilah (tengah) cuba ditenteramkan ahli keluarga selepas melihat jenazah anak bongsunya itu.
PILU...ibu mangsa, Jamilah (tengah) cuba ditenteramkan ahli keluarga selepas melihat jenazah anak bongsunya itu.

MELAKA: “Arwah baru balik dari majlis Maulidur Rasul di Masjid Kampung Kandang sebelum memberitahu keluarga dia mahu tidur di rumah neneknya. Ketika di sana, seorang rakan mengajaknya keluar sebelum mereka terbabit kemalangan itu,” kata Kamal Mahadi, 58, bapa saudara kepada Ahmad Jamal Roslan, 15, yang terbunuh dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Ayer Molek-Kandang, Lebuh Alor Gajah-Melaka (Lebuh AMJ), dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa dari Jalan Kandang Kilometer 1, Taman Kandang Mesra, dekat sini, yang membonceng terbunuh manakala rakannya Mohd Sah Sapuan Ahmad, 17, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi ICU) Hospital Melaka (HM) selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah van.

Menurut Kamal, mereka sekeluarga tidak mengetahui bagaimana arwah membonceng motosikal sedangkan ketika keluar rumah dia berjalan kaki dengan rakannya itu.
“Arwah sudah bersiap-siap masuk tidur sebelum rakannya itu datang. Kejadian ini amat menyedihkan namun kami sekeluarga reda dengan apa berlaku,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), semalam.

Bagaimanapun, ibu bapa mangsa, Jamilah Dolah, 43, dan Roslan Ibrahim, 44, enggan ditemubual kerana terlalu bersedih dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, seorang saksi kejadian mahu dikenali sebagai Sardi, 42, berkata dia melihat penunggang dan pembonceng motosikal tidak memakai topi keledar dari arah Ayer Molek menghala ke Kandang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.
Pada masa sama, katanya dia yang berada di jalan bertentangan melihat sebuah van dari arah pusat bandar sedang bergerak meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau dan terlanggar motosikal terbabit.

Katanya, akibat perlanggaran itu motosikal itu terseret kira-kira 100 meter menyebabkan penunggangnya tercampak ke jalan bertentangan manakala pembonceng terbabit turut terpelanting di jalan sebelum van berhenti dan berpusing.
“Saya tergamam melihat kejadian itu yang berlaku begitu pantas selain seorang mangsa menggelupur kesakitan akibat kecederaan dialaminya sebelum ambulans tiba,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kemalangan itu namun enggan mengulas lanjut.myMetro | Ajal lepas balik maulid

Belasah isteri depan ibu bapa


SEPANG: Berang dituduh menjalin hubungan sulit dengan wanita lain, seorang lelaki bertindak ganas membelasah isterinya di hadapan ibu bapanya sendiri di rumah mereka di Bandar Baru Salak Tinggi.
Sebelum kejadian kira-kira jam 10 malam Ahad lalu, mangsa berusia 27 tahun bertanyakan suaminya berusia 26 tahun mengenai hubungan sulitnya dengan seorang wanita, tetapi dinafikan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu sering bertengkar gara-gara sikap si suami mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan didakwa bermain kayu tiga.
“Mangsa yang tidak tahan dengan sikap hidung belang suaminya menuntut penjelasan mengenai kebenaran hubungan terlarang itu, namun dinafikan sebaliknya mangsa dituduh sengaja mengada-adakan cerita tanpa usul periksa.

“Mangsa tidak berpuas hati terus mendesak suaminya supaya mengaku perbuatan itu menyebabkan lelaki terbabit berang lalu menampar muka isterinya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan suaminya cuba menepis, namun suaminya seperti dirasuk terus membelasahnya.
“Pada masa sama, ibu bapa suami mangsa yang tinggal bersama mereka hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu masuk campur urusan suami isteri itu.

“Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di muka, tangan, kepala dan bibir,” katanya.
Menurut sumber, selepas puas membelasah, lelaki terbabit terus keluar dari rumah meninggalkan isterinya yang dalam kesakitan.

“Mentua mangsa membantu mangsa dan menasihatinya supaya bersabar dengan tindakan dilakukan anak mereka.

“Mangsa yang tidak sanggup lagi diperlakukan sedemikian membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya.

Difahamkan, kejadian wanita terbabit dibelasah suaminya bukan kali pertama kerana sebelum ini jika terdapat salah faham antara mereka, dia turut menjadi mangsa belasahan suaminya hingga cedera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Mustapa mengesahkan menerima laporan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).myMetro | Belasah isteri depan ibu bapa

Mualaf terkandas di Vietnam


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang mendakwa dianiaya satu sindiket klon kad kredit dan dipenjarakan di Vietnam atas kesalahan itu pada 2004 kini sudah dibebaskan sejak sebulan lalu, tetapi masih gagal pulang ke tanah air selagi tidak membayar denda VND373,965,810 (RM60,208.50) kepada kerajaan republik berkenaan.
Normazawati Wong Abdullah, 49, baru dibebaskan dari azab Penjara Thu Duc wilayah Binh Thuan, Ho Chi Minh bulan lalu.

Bekas pengurus kilang perabot itu mendakwa hanya mengetahui perlu membayar denda berkenaan ketika ditahan Imigresen Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Ho Chin Minh ketika mahu pulang ke tanah air, 28 Januari lalu.
“Saya tidak dibenarkan keluar dari Vietnam selagi tak membayar wang denda atau pampasan,” katanya ketika dihubungi di Truong Dinh, Vietnam, semalam.

Menurutnya, dia kecewa sebab mahkamah sebelum ini hanya memaklumkan hukuman terhadapnya adalah penjara dan tidak pernah memberitahu mengenai apa-apa pampasan atau denda yang perlu dibayar.

Menceritakan penganiayaan hingga menyebabkannya dia dipenjara, Normazawati berkata, dia menggantikan seorang kenalan ke Vietnam mengikut empat lelaki kononnya ahli perniagaan perabot.
Katanya, dia bersetuju mengikut kumpulan itu sebab tertarik dengan maklumat perabot di Vietnam bukan saja cantik, malah murah.

“Tetapi, sebaik tiba di Vietnam pada 28 April 2004, saya diugut ketua kumpulan itu untuk membeli barangan mewah dan mengeluarkan wang menggunakan kad kredit klon.
“Dia yang dikenali sebagai Micheal berusia awal 40-an mengugut akan mengancam nyawa anak-anak saya di Malaysia. “Disebabkan mahu melindungi nyawa anak, saya terpaksa akur dengan arahan itu,” katanya.

Menurutnya, Micheal memberikan lima keping kad kredit pelbagai bank terkemuka berserta pasport palsu Indonesia dan dia ditugaskan mengeluarkan wang serta membeli barang menggunakan kad kredit berkenaan.

Bermula dua hari selepas arahan itu hingga tarikh dia diberkas 7 Mei 2004, Normazawati sudah mengeluarkan puluhan ribu dolar Amerika dan membeli perkakasan komputer seperti laptop, alat permainan, barang kemas dan jam tangan jenama terkenal.

“Setiap kali ‘bertugas’ saya dipantau dari jauh dua lelaki Vietnam yang dikatakan Micheal sebagai mafia tempatan serta anggota kumpulan yang bersama dari Malaysia. Micheal hanya bagi duit poket kira-kira VND200 untuk saya beli air mineral “Sehari sebelum tugas selesai, saya seronok sebab tiket untuk balik pada 8 Mei 2004 sudah ada. Saya meminta sikit wang daripada Micheal untuk membelikan cenderahati anak-anak.

“Malangnya saya ditangkap ketika membeli-belah di sebuah pasar raya oleh pengawal keselamatan,” katanya.

Menurutnya, dia sudah menghubungi Kedutaan Malaysia bagi meminta bantuan berhubung denda yang dikenakan mahkamah itu.

“Pihak kedutaan sedang berusaha membantu saya. buat masa ini saya terpaksa berjimat dan bergantung kepada wang yang dikirim anak-anak,” katanya.myMetro | Mualaf terkandas di Vietnam

Sindiket dadah antarabangsa guna ejen tempatan cari keldai dadah


KUALA LUMPUR: Penggunaan ejen rakyat tempatan kini dikenal pasti sebagai taktik terbaru sindiket dadah antarabangsa untuk mencari "keldai dadah" melalui laman web sosial Facebook.
Taktik yang menggunakan rakyat tempatan untuk merekrut "keldai dadah" itu masih menggunakan cara yang sama iaitu menabur janji manis, kemewahan dan percutian menarik kepada mangsa sebelum ditugaskan membawa dadah ke negara ketiga.

"Di dalam Facebook mereka berkenalan, menjalin hubungan rapat dan apabila mendapat kepercayaan, mereka akan digunakan untuk dijadikan keldai dadah," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Beliau berkata, taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar.

"Hasil soal siasat polis negara itu, lelaki terbabit mendedahkan tiga rakyat Malaysia memperdayanya untuk ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, sebelum ini tugas merekrut mangsa untuk dijadikan "keldai dadah" dilakukan rakyat Iran dan Nigeria, tetapi selepas mendapati taktik itu kurang mendapat sambutan, mereka mengubahnya menggunakan rakyat Malaysia.
Beliau mengulas taktik terkini sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini yang kini menggunakan rakyat tempatan sebagai ejen mencari keldai dadah.

"Kita akan terus membuat pemantauan dan mengingatkan orang ramai melalui program-program kemasyarakatan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan taktik yang digunakan sindiket antarabangsa ini," katanya.
Beliau berkata sepanjang 2010 seramai 35 rakyat tempatan termasuk 12 wanita ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah, jumlah itu berkurangan berbanding tiga tahun sebelumnya, iaitu 54 orang pada 2009, 66 orang (2008) dan 84 orang (2007).

Kebanyakan mereka berumur 40 tahun ke bawah dan ditahan di beberapa negara antaranya Taiwan, Peru, Brazil dan Thailand.

Sementara itu, seramai 14,652 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah narkotik dan polis berjaya merampas dadah yang bernilai RM38.77 juta sepanjang Januari lalu.

Noor Rashid berkata, dalam tempoh itu juga, empat makmal memproses dadah -- dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Perak dan Pulau Pinang -- dibongkar dan lapan orang ditahan.

"Dalam tempoh sebulan itu, kita juga berjaya menahan 24 orang termasuk 17 rakyat Iran dalam penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)," katanya.

Beliau berkata, 19 orang ditahan di KLIA dan lima lagi di LCCT dengan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 49.8 kg yang kesemuanya bernilai RM3.29 juta.

"Serami 103 orang diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang Januari lepas dan sebanyak RM3 juta harta di sita termasuk kes yang meyumbang nilai sitaan tertinggi dalam Ops Ramelia yang membabitkan sindiket pengedaran dadah rakyat Iran," katanya.-BernamamyMetro | Sindiket dadah antarabangsa guna ejen tempatan cari keldai dadah

Empat kapal nelayan ditahan menangkap ikan di kawasan larangan


SANDAKAN: Pasukan Gerakan Marin menahan empat kapal nelayan pukat tunda yang dikesan menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Bungun berhampiran Kampung Mumiang di Kinabatangan, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Sandakan, Asisten Superintendan Gan Ping Sin berkata, kapal-kapal nelayan yang berdaftar di sini itu dikesan menjalankan aktiviti menunda pukat di kawasan itu kira-kira jam 10 malam.

Beliau berkata, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana kapal nelayan menangkap ikan dalam kawasan tiga batu nautika dari pantai atau kedalaman kurang dari 10 meter.
"Larangan itu dibuat untuk memulihara ikan dan hidupan marin terutama batu karang dari rosak oleh aktiviti menangkap ikan yang menggunakan pukat tunda," katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, mana-mana kapal nelayan yang ditahan menangkap ikan di kawasan larangan dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan yang boleh dikompaun RM500 untuk kesalahan pertama dan RM1,000 untuk kesalahan kedua.

Beliau berkata, jika dikesan melakukan kesalahan sama kali ketiga, kapal nelayan terlibat akan disita.-BernamamyMetro | Empat kapal nelayan ditahan menangkap ikan di kawasan larangan

Lima pasangan dicekup




BATU PAHAT – Lima pasangan dicekup Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dalam satu Operasi Bersepadu Penutupan Pusat Hiburan dan Pencegahan Maksiat sempena malam Maulidur Rasul.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd Anuar Kosnin berkata, turut ditangkap seorang warga Bangladesh bersama pasangannya warga Myanmar dan seorang penjawat awam.

Menurutnya, serbuan dilakukan di sekitar kawasan yang disyaki menjadi sarang maksiat seperti di hotel dan rumah tumpangan di sekitar daerah Batu Pahat serta Yong Peng.

“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 dan akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

“Manakala dua daripada pasangan berkenaan turut dituduh di bawah Seksyen 23 (1) (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melakukan persetubuhan luar nikah.

“Jika disabitkan :kesalahan, kedua-dua pasangan terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau lima kali sebatan atau ke semuanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi yang melibatkan tujuh anggota dari pelbagai unit Pejabat Kadi Batu Pahat turut disertai Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Anuar, operasi yang dilakukan secara berterusan ini akan diteruskan khususnya pada cuti umum dan hujung minggu bagi mengelakkan perlakuan maksiat berleluasa terutamanya di kalangan remaja.

“Jika dahulu, suspek yang dicekup hanya didakwa kerana berkhalwat, tetapi kini ada antara mereka yang dicekup telah mengandung anak luar nikah,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat :berkaitan kegiatan maksiat boleh menghubungi terus talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-434 1141.
SH

Ah long bermaharajalela



MUAR - Pelbagai cara dilakukan ah long bagi mempromosikan pinjaman kepada awam termasuklah memasang poster di taman perumahan sekitar daerah ini.

Malah, poster tanpa lesen berkenaan juga dipasang pada papan tanda jalan mahupun tiang elektrik yang boleh mengelirukan pengguna jalan raya.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi taman di sini, mendapati poster yang menawarkan pinjaman peribadi tanpa lesen tergantung di tiang papan tanda sehingga mencacatkan pemandangan dan membawa tanggapan negatif masyarakat setempat dan luar daerah ini.

Penduduk mendakwa, antara kawasan perumahan yang menjadi sasaran poster berkenaan ialah Taman Arosa; Taman Maharani dan Taman Orkid yang terletak di Jalan Bakri serta Jalan Haji Jaib.

Penduduk, Ridwan Said, 22, berkata, tiada tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa tempatan untuk menurunkan sepanduk walaupun ia dipasang tanpa permit yang sah dikeluarkan oleh pihak berkenaan terhadap poster iklan itu.

“Poster ini sudah dipasang kira-kira sejak dua bulan lalu. Walaupun digantung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, namun tiada tindakan diambil untuk menurunkannya, bahkan bilangannya semakin bertambah dan merebak ke beberapa taman lain.

“Poster yang digantung pada papan tanda jalan juga boleh mengundang membahayakan kerana mengelirukan pengguna jalan raya memandangkan warna yang digunakan sama dengan papan tanda jalan,” katanya kepada Sinar Harian

Menurutnya, kebanyakkan penduduk di sini juga tidak mengetahui individu yang bertanggungjawab memasang poster itu memandangkan kegiatan berkenaan dilakukan pada awal pagi bagi mengelakkan dikesan orang ramai.

“Poster yang digantung ini mengiklankan nombor telefon sebagai tarikan bagi memudahkan orang ramai menghubungi mereka untuk membuat pinjaman segera.

“Syarat mudah dan menarik yang ditawarkan ah long berjaya mempengaruhi orang ramai untuk meminjam sedangkan banyak bahana sedang menanti peminjam,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan yang hanya dikenali sebagai Maz berkata, poster haram yang digantung di sekitar kawasan perumahannya mencacatkan pemandangan malah boleh mengelirukan orang ramai berbanding poster yang mempunyai permit sah.

“Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa tempatan agar poster haram yang memaparkan iklan pinjaman ah long ini segera diturunkan bagi mengelakkan orang ramai terpedaya dan menjadi mangsa.
SH

Kedai runtuh dilanda ribut




SUNGAI SIPUT (U) – Sebuah kedai pakaian bundle milik seorang peniaga golongan orang kurang upaya (OKU), Mohd Fauzilan Razi, 31, ranap dalam satu kejadian ribut yang berlaku di Kampung Makmur, di sini, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, pakaian yang dijualnya turut rosak dan kotor.

Fauzilan berkata, ketika kejadian dia baru sahaja pulang ke rumah selepas selesai berniaga dan dimaklumkan seorang rakan mengatakan kedainya sudah roboh.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara itu berlaku dalam sekelip mata.

“Apabila saya sampai di kedai saya tengok khemah yang didirikan untuk meletak pakaian sudah runtuh dan pakaian berselerakan.

“Pada petang itu hujan memang lebat dan angin kencang serta sejak saya berniaga di sini bermula lima bulan lalu ini adalah kejadian kali pertama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Fauzilan berkata, kerugian yang ditanggung dianggarkan melebihi RM3,000 dan dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk berniaga semula.

Katanya, dia berharap ada pihak boleh membantunya untuk membangunkan semula perniagaan itu.

“Saya mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi berharap permohonan untuk mendapatkan bantuan perniagaan dapat dipertimbangkan,” katanya.

Masalah Fauzilan dihadapi mendapat perhatian Ketua Kampung Makmur, Meor Mahdari Kulop Baharum dan Ketua Pemuda Kampung Makmur, Syed Isa Syed Said yang datang melawat keadaan kedainya.
SH

Terkejut dengar bunyi letupan




SERI ISKANDAR -“Saya terkejut mendengar bunyi letupan kuat tiba-tiba dari arah jalan. Dalam fikiran saya letupan itu memang berkaitan dengan kemalangan kerana datangnya arah jalan,” demikian cerita seorang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini yang menjadi orang terawal sampai di tempat kejadian kemalangan maut di kilometer 30 Jalan Ipoh-Lumut awal pagi semalam.

Ketika kejadian, saksi, Muhamad Husaini Omar, 20, pada ketika itu sedang menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh pensyarahnya pada jam 2 pagi di rumah sewanya di Bandar Universiti.

Menurutnya, dia segera menuju ke tempat kejadian untuk mengetahui perkara yang berlaku.

“Apabila tiba di tempat kejadian saya melihat sebuah kereta sudah remuk di bahagian hadapan sementara pemandunya pula tercampak keluar.

“Dari pemerhatian saya pemandu berkenaan telah melanggar pokok, tiang lampu dan juga papan tanda menyebabkan tercampak keluar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Husaini berkata, dia amat terkejut melihat kejadian itu kerana baru pertama kali melihatnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintanden Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kemalangan maut itu melibatkan sebuah kereta jenis Mazda yang terbabas sendiri.

Menurutnya, kereta itu datang dari arah Lumut menuju ke Bandar Universiti terbabas ke kiri lalu melanggar pokok.

“Akibat pelanggaran itu mangsa Mohd Fairaus Mahamad Harun, 29, mengalami kecederaan di bahagian dada dan mati di tempat kejadian,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, orang ramai dinasihatkan tidak memandu kenderaan terlalu laju terutamanya pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
SH

Mangsa jenayah siber trauma




BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja di sebuah pasar raya di sini, trauma selepas nombor telefonnya disalah guna pihak tertentu bagi tujuan aktiviti tidak bermoral.

Nur Hafizah Amir, 25, berkata, perkara berkenaan disedari mangsa pada 2 Februari lalu ketika dia menerima panggilan telefon dari lelaki tidak dikenali yang memintanya memberikan perkhidmatan layanan batin.

Menurutnya, dia terkejut namun menyangka lelaki berkenaan tersalah mendail nombor telefon.

Begitupun, tidak lama kemudian dia menerima satu lagi panggilan dari lelaki berlainan yang mahukan perkara sama, lalu membuatkan dia curiga dan mengesyaki ada yang tidak kena.

“Semua lelaki yang menelefon itu memanggil saya dengan nama Puteri Farah, sedangkan saya langsung tidak mengenali sesiapa dia. Mereka mengatakan ia diambil dari laman sosial Facebook.

“Lalu saya mencari akaun Puteri Farah di laman sosial berkenaan pada 5 Februari lalu dan terkejut apabila mendapati seseorang membuka akaun dan menawarkan khidmat seks menggunakan nombor telefon saya.

"Saya hairan kerana individu berkenaan hanya mencuri nombor telefon saya, tetapi tidak maklumat peribadi lain dan hanya meletakkan gambar seorang perempuan seksi bagi menarik perhatian orang ramai,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam pada itu, dia mengesyaki ada orang terdekat yang cuba menganiayanya dengan berbuat demikian.

Menurutnya, sejak malam itu, tidak kurang dari 20 panggilan diterima dalam tempoh sehari dan sehingga hari ini, lebih dari 100 panggilan diterima.

Keadaan itu membuatkan dia berasa tertekan hingga menjejaskan tumpuan di tempat kerjanya.

Menurutnya, aduan secara dalam talian dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada malam 5 Februari lalu, dengan harapan pihak berkenaan dapat mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan nombor telefonnya.

“Mereka (SKMM) memberitahu tidak dapat membantu saya mengesan individu yang membuka akaun Puteri Farah itu dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak membantu.

“Mustahil mereka tidak dapat mengesan orang yang membuka akaun berkenaan, sedangkan kes lain yang lebih berat mereka boleh pula kesan, sebagai contoh penyebar fitnah dalam blog,” katanya.

Seterusnya dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bandar Perda pada 7 Februari lalu, namun polis turut mencadangkannya untuk melaporkan hal itu kepada SKMM.

“Jika diikutkan, memang senang untuk menukar nombor, tetapi bagaimana dengan individu yang melakukan jenayah itu?. Takkan dibiarkan terlepas begitu sahaja,” katanya.
Jelasnya, dia begitu tertekan dengan situasi yang berlaku dan bimbang ia akan tersebar dengan lebih luas yang akhirnya akan menjejaskan maruahnya sebagai seorang wanita.
SH

6 rumah rosak dipukul ribut




MATA AYER - Berpuluh-puluh penduduk di Rancangan Perumahan (RPA) di sini, bertindak keluar rumah selepas mendengar bunyi desiran angin yang kuat dan bunyi bising di luar rumah masing-masing.

Namun, desiran pada jam 2.30 petang yang disangka angin kuat itu sebenarnya ribut yang menerbangkan bumbung di enam rumah penduduk di taman perumahan berkenaan.

Mangsa, Ahmad Tarmizi Mohamad, 46, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja di Kangar, bagaimanapun bergegas pulang selepas dimaklumkan jiran mengenai kejadian berkenaan.

“Setibanya di rumah, terkejut melihat beberapa bumbung rumah tercabut tetapi mujurlah tiada sesiapa dalam rumah ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Khairi Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Perlis, Mohsin Yusoff.

Tarmizi berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dimaklumkan hadir ke tempat kejadian untuk membuat bancian kerosakan.

Sementara itu, Khairi berkata, pihaknya bersama penduduk taman perumahan itu bergotong-royong memperbaiki rumah yang rosak dalam kejadian ribut itu semalam.

Menurutnya, kejadian ribut itu adalah kejadian kali kedua melibatkan taman berkenaan, namun bersyukur kejadian kali ini tidak serius dan tiada kecederaan dilaporkan.

Semua enam rumah di sini rosak pada bahagian bumbung dan kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM3,000.
SH

Warga emas dipukau ‘pemberi zakat’




ALOR SETAR - Impian seorang warga emas untuk mendapat ‘wang zakat’ daripada lelaki tidak dikenali akhirnya bertukar sebagai ‘pemberi zakat’ apabila dia mendakwa dipukau lelaki itu.

Mangsa, Wan Mohd Ali Wan Long, 75, berkata, sewaktu dalam perjalanan ke Taman Wira Mergong kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, dia ditahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan menggelar dirinya sebagai Nazri.

Sebelum Nazri memperkenalkan dirinya kepada pesara tentera itu, lelaki berusia lingkungan 30-an mengarahkannya berhenti di bahu jalan.

“Saya kemudian terus berhenti di bahu jalan sepertimana yang diarahkan lelaki itu dan dia mula memperkenalkan dirinya sebagai nama Nazri.

“Setelah dia menyuarakan hasrat untuk memberi zakat kepada saya, saya ada bertanya sama ada bolehkah usia seperti saya menerima wang zakat dan lelaki itu memaklumkan bahawa saya masih layak,” katanya.

Wan Ali berkata, lelaki itu kemudiannya meminta agar dia memberi wang RM50 untuk menerima zakat dan tanpa memikirkan apa-apa Wan Ali terus menghulurkan wang itu melalui tingkap van yang dibuka.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya menyuarakan hasrat keduanya untuk memberi beras kepada Wan Ali namun mestilah memberikan wang terlebih dahulu.

Wan Ali berkata, dia sekali lagi menghulurkan wang kepada lelaki itu tanpa berfikir panjang.

“Saya sekali lagi memberikan wang kepada Nazri setelah dia mengarahkan saya agar berbuat demikian dan apabila wang itu diserahkan kepadanya, dia mengajak saya minum di gerai yang berhampiran.

“Namun, malang sekali apabila saya tiba di gerai yang dimaklumkan oleh Nazri, dia kemudiannya menghilangkan diri dan sewaktu itulah saya mula tersedar yang saya memberikan wang berjumlah RM100 kepada lelaki yang tidak dikenali,” katanya.

Wan Ali berkata, perbualan dengan lelaki itu berlaku dengan pantas dan tidak kurang sepuluh minit.

Menurutnya, kejadian yang dialaminya itu turut diceritakan kepada sahabatnya dan mereka turut memaklumkan bahawa kejadian yang sama pernah berlaku kepada diri mereka.

Wan Ali kemudiannya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 3.42 petang iaitu selepas empat jam kejadian itu berlaku.

Wan Ali turut menasihatkan orang ramai terutamanya warga emas agar lebih berhati-hati sekiranya bertemu dengan lelaki yang menyamar sebagai 'pemberi zakat' kerana bimbang kejadian yang sama berulang.
SH

Dirompak buat kali kedua




SEREMBAN – Enam sekeluarga di Taman Warisan Puteri, dekat sini, semalam hadapi saat mencemaskan apabila rumah mereka diceroboh penjenayah bersenjata pisau, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, perompak terbabit dikatakan menyelinap masuk ke dalam rumah mangsa yang merupakan seorang kakitangan awam, selepas memotong pagar dan mengumpil tingkap bilik di tingkat bawah rumah.

Rumah yang terletak bersebelahan Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) dipercayai menjadi punca memudahkan penjenayah terbabit melarikan diri.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad, 37, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua anaknya berada di tingkat bawah rumah, manakala dua lagi anaknya bersama isterinya di tingkat atas.

“Saya langsung tidak sedar sebarang bunyi pelik atau umpilan, tetapi tiba-tiba saya terdengar anak bongsu saya berusia tiga tahun menangis.

“Saya seperti dalam keadaan mamai dan tidak boleh bergerak langsung, walaupun mendengar anak bongsu saya menangis,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, perompak terbabit sudah mengacukan pisau di leher isteri berusia 32 tahun serta anaknya, sebelum mengikat kedua-dua belah tangan isterinya itu menggunakan wayar komputer.

Katanya, kedua-dua perompak bertopeng itu kemudiannya turun ke tingkat bawah dan terus mengacukan pisau kepada dirinya, sebelum tangannya turut diikat dengan tali seluar sukan.

“Salah seorang daripada perompak itu bertanyakan kepada saya di mana letaknya barang berharga sebelum mereka bertindak menyelongkar.

“Mereka kemudian berjaya melarikan dua komputer riba, wang tunai RM1,500 serta barang kemas. Kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, dekat sini semalam.

Ahmad berkata, kejadian rompak itu merupakan kali kedua berlaku terhadap keluarganya di rumah itu dalam tempoh sebulan.

“Januari lalu, rumah ini juga turut menjadi sasaran perompak dan pada waktu itu saya rugi hampir RM6,000. Bagaimanapun, saya bersyukur keadaan ahli keluarga semuanya selamat, meskipun mengalami kerugian besar dalam kejadian kali ini.

Dia juga percaya perompak terbabit merupakan orang tempatan, lingkungan usia 20 hingga 30 tahun dan salah seorang daripada bertubuh besar.

“Mereka juga tidak datang berdua saja kerana saya dengar bunyi pecutan kereta dari arah Lebuhraya Lekas yang terletak di belakang rumah,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
SH

Penoreh getah maut dilanggar bas kilang



ALOR GAJAH - Seorang penoreh getah maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah bas kilang di persimpangan Hospital Alor Gajah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 petang itu, mangsa, S.Kathavarayan, 34, dari Taman Sri Naning, Simpang Ampat, menunggang motosikal keluar dari arah hospital terbabit selepas berjumpa dengan rakannya.

Ketika berada di persimpangan jalan, sebuah bas kilang dari arah kelemak merempuh motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggangi mangsa.

Mangsa cedera parah akibat tercampak di tengah persimpangan jalan itu.

Jurucakap polis berkata, motosikal mangsa dilanggar seorang pemandu bas kilang berusia 51 tahun dari arah Kelemak ke Pekan ini.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 8.50 malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, M.Kanama, 35, berkata, dia seolah tidak percaya bahawa suaminya itu terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawa.

Menurut M.Kanama, motosikal yang ditunggang isuaminya itu baru dibeli Disember lalu untuk memudahkan mereka berulang alik ke tempat kerja di Ladang Bukit Payong, dekat sini.
SH

Diseret 100 meter




KANDANG - Seorang remaja maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya dirempuh sebuah van sebelum terseret sejauh kira-kira 100 meter di persimpangan lampu isyarat Ayer Molek-Kandang, di Lebuh AMJ, dekat sini, malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, kedua-dua mangsa turut tercampak beberapa meter dari motosikalnya.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, mangsa, Ahmad Jamal Roslan, 15, membonceng motosikal yang ditunggangi rakannya, Mohd Sah Sapuan Ahmad, 17.

Mohd Sah pula cedera parah dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Saksi berkata, mangsa dikatakan merempuh lampu isyarat yang baru sahaja bertukar merah sebelum dirempuh sebuah van.

“Motosikal yang dinaiki dua remaja itu dari arah Ayer Molek menuju Kandang. Sementara van yang sedang bergerak dari arah pusat bandaraya meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat berwarna hijau.

“Ketika itulah, mereka dirempuh sebelum diseret dan tercampak, sementara kereta itu berpusing selepas behenti. Motosikal mangsa pula terperosok bawah van,” katanya.

Menurut saksi terbabit, dia tergamam melihat kejadian yang berlaku begitu pantas selain seorang mangsa menggelupur kesakitan akibat kecederaan dialaminya.

Sementara itu, bapa saudara Ahmad Jamal, Kamal Mahadi, 58, berkata, arwah sempat bersama-sama menghadiri Majlis Maulidur Rasul di Masjid berhampiran rumahnya dekat Kampung Kandang.

Menurut Kamal, arwah sempat balik ke rumah ibu bapanya sebelum meminta izin untuk tidur di rumah neneknya yang terletak berhampiran rumah mereka.

“Arwah sudah siap-siap untuk tidur tetapi keluar semula selepas diajak seorang rakannya dan mereka keluar hanya berjalan kaki,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
SH

Syabas saman Khalid, Tony Pua




SHAH ALAM - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah mengemukakan saman terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung isu Tabung Budi.

Perkara tersebut diakui mereka setelah menerima notis saman Jumaat lalu.

Khalid berkata, peguamnya telah diarahkan menyediakan pembelaan dan beliau sendiri akan diwakili Edmund Bon manakala Pua, pula telah melantik Gobind Singh Deo.

Bagaimanapun beliau menegaskan, tindakan perundangan itu tidak mengubah pendirian Kerajaan Selangor terhadap isu Tabung Budi yang didakwa melanggar perjanjian air.

Sementara itu, Kerajaan Negeri pula kini berusaha untuk menarik semula lesan Syabas sebagai pembekal air bersih di Selangor sebagai usaha berterusan kempen ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’.

Khalid berkata, pihaknya menghantar surat kepada Kerajaan Pusat menerusi Pengarah Unit Perancang Negeri Datuk Nordin Sulaiman selaku Pengawal Selia Air untuk mendapatkan persetujuan menarik lesen Syabas.

“Penyelia air telah meminta Kerajaan Pusat untuk menyokong hasrat kami untuk tidak membenarkan Syabas beroperasi.

“Ini telah dilakukan, kita masih menunggu jawapan, jika dibenarkan Kerajaan, kita akan menarik lesen Syabas dari melaksanakan pembekalan air kepada pengguna di Selangor,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Ketika ditanya, apakah langkah susulan Kerajaan Negeri, sekiranya Kerajaan Pusat enggan bersetuju dengan tindakan penarikan lesen ini, beliau berkata, pihaknya akan membawa perkara ini ke mahkamah.

Pua pula berkata, Syabas bertindak menyaman beliau disebabkan kenyataannya di sebuah akhbar berbahasa cina yang menggesa Syabas mengembalikan hak air kepada Kerajaan Negeri.

“Saya sendiri tidak faham mengapa kenyataan saya di akhbar ini dikatakan fitnah,"katanya.
SH

Tragedi malam Valentine




KLANG – Kegembiraan seorang gadis menyambut malam Valentine berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di kilometer 22 Lebuhraya Kesas, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, mangsa, A Peny Sules, 27, yang merupakan pekerja di sebuah syarikat swasta meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediamannya selepas bertemu sepupunya.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi berseorangan ketika itu dalam perjalanan menghala ke Klang dan mangsa dipercayai berada di lorong tengah.

“Berdasarkan siasatan, polis percaya kereta dipandu mangsa gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berada di laluan kiri.

“Berikutan itu, kenderaan mangsa berpusing beberapa kali sebelum terbakar di bahagian enjin,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori dan orang ramai yang berada di tempat kejadian segera mengeluarkan mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, sebaik mangsa berjaya dikeluarkan, dia disahkan meninggal dunia. Manakala, kereta mangsa yang terbakar keseluruhannya berjaya dipadamkan anggota bomba yang berkejar ke tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Rosly Abd Rahman berkata, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori terbabit dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
SH

Geng curi motosikal tumpas




KAJANG – Polis menahan lapan remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun dan merampas lima buah motosikal serta pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan dalam dua kejadian berasingan sekitar Kajang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, dalam kejadian pertama pada 10 Februari lalu, kira-kira jam 10 pagi, sepasukan polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki Melayu yang diserahkan oleh orang awam.

Menurutnya, hasil tangkapan polis menjumpai satu rangka motosikal, nombor pendaftaran dan satu penebat wayar yang disambungkan dengan spark plug disyaki digunakan untuk kegiatan pecah kereta.

“Susulan penemuan dan siasatan lanjut, polis berjaya merampas motosikal jenis Honda EX-5 merah hitam di Flat Sri Saga Sungai Chua, Kajang.

“Polis turut menahan dua lelaki di Taman Kajang Utama dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek, polis juga merampas sebatang allen key yang telah diubahsuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang (IPD) Kajang, semalam.

Beliau berkata, susulan penahanan ketiga suspek berkenaan, telah membawa kepada satu lagi penahanan seorang lelaki Melayu di Taman Kajang Utama yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut ke atas ke semua suspek mereka mengaku terlibat dengan lebih 20 kes curi motosikal dan kenderaan sekitar Kajang dan ditahan reman.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan RM30,000, suspek didakwa mempunyai rekod lampau dalam kes sama,” katanya.

Azman berkata, dalam kejadian berasingan 4 Februari lalu, polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai komponen motosikal yang dileraikan serta siap sedia untuk dipasarkan kepada pembeli di Kampung Baru Sungai Chua Kajang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat orang ramai dan intipan, polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daearh (IPD) Kajang diketuai Inspektor Wan Nooramin telah menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Batu 13, Jalan Cheras Kajang dan merampas sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 kira-kira jam 2 petang.

“Hasil tangkapan telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki Melayu di Rumah PKNS Kampung Baru Sungai Chua dan merampas pelbagai komponen motosikal, nombor pendaftaran dan peralatan membuka motosikal.

“Polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki yang mempunyai kaitan dengan suspek dan kesemua mereka mempunyai rekod lampau terlibat dengan kes kecurian motosikal,” katanya.
SH

Mayat tersangkut di pokok




FELDA BUKIT MENDI - Mayat pemuda yang lemas ketika mencari kepah (kijing) di Sungai Triang petang kelmarin dijumpai tersangkut di batang pokok kelapa sawit yang hanyut.

Mayat Mohd Rusdy Abdul Latiff, 22, dijumpai timbul di permukaan air sepuluh meter dari tempat kejadian pada jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Mohd Aizad Mamat berkata, beberapa anggota bomba dan anggota polis bertugas di lokasi kejadian sejak malam semalam

sebelum operasi mencari disambung semula pagi semalam.

“Pada jam 7 pagi, seorang anggota meminta kebenaran untuk meronda mencari mangsa dan melihat objek terapung.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat satu objek timbul dan setelah dihampiri, ia adalah mayat mangsa.

Menurutnya, keadaan mayat yang sudah kembung ditemui terapung dengan tangannya masih memegang kayu pada pokok tersebut.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke tebing sungai dan bapa mangsa telah mengesahkan mayat tersebut adalah anaknya yang tenggelam semasa mencari kijing di sungai ini petang Ahad lalu,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk dibedah siasat.
SH

35 ditahan malam Valentine



KUANTAN – Seramai 35 dicekup Penguatkuasa Jabatan Agama Islam (Jaip) Pahang malam kelmarin melalui Ops Valentine kerana disyaki berkhalwat dan berjudi.

Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Mohd. Ghazali Abdul Aziz berkata, operasi membabitkan 40 Penguat kuasa itu diadakan di beberapa hotel murah dan kawasan peranginan di sekitar Kuantan.

Menurutnya, semua Penguatkuasa menjalankan pemantauan pada petang Ahad dan tamat awal pagi kelmarin.

“Operasi bermula di pantai pada Ahad sebelum malam Valentine manakala serbuan di hotel murah berakhir jam 6 pagi semalam,” katanya ketika selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Amad Shah, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi sama, seramai 12 dicekup kerana dipercayai berjudi.

Katanya, kerjasama di antara Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pa-hang berjaya menahan lelaki berusia 30-an hingga 50-an terbabit.

“Semua yang ditahan diberi kaunseling sebelum didakwa di mahkamah dan operasi akan diterus untuk banteras kegiatan itu," katanya.
SH

Pemandu cuai, empat nyaris maut




KAMPUNG GERAI - Kecuaian pemandu sebuah lori balak dikatakan penyebab dua buah kereta berlanggar, sekali gus hampir meragut empat nyawa dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dekat Jertih, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, dua kereta berlanggar apabila salah sebuah daripadanya terlebih dahulu melanggar bahagian belakang lori muatan balak yang rosak dengan bahagian belakangnya berada di bahu jalan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali Othman, 45, berkata, lori itu mengalami kerosakan apabila dikatakan salah satu tayarnya tercabut dan berhenti di tepi sebelah kanan jalan dari arah Kuala Terengganu Jertih tidak lama sebelum kejadian.

Dakwanya, tindakan pemandu lori yang meletak isyarat kecemasan hanya beberapa meter di belakang lori didakwa punca salah sebuah kereta jenis Toyota Corolla dari arah Kuala Terengganu itu merempuh belakang lori yang beradu di atas jalan kerana keadaan ketika itu masih gelap.

Mangsa, Asek Abd Latif, 50, berkata, tidak lama sebelum kejadian, dia yang memandu sebuah kenderaan MPV sudah melalui jalan itu untuk menghantar bapanya mendapat rawatan di Hospital Besut.

“Ketika melepasi lori terbabit, saya berkata dalam hati mengenai kedudukan lori itu yang amat berbahaya. Selepas selesai mendapatkan rawatan, saya pulang ke Apal dari arah Jertih.

“Dalam perjalanan pulang, tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu melanggar bahagian tepi kanan lori itu menyebabkan kereta tersebut terbabas, sebelum kereta yang saya pandu pula melanggar kereta itu kerana tidak sempat mengelak,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kereta yang dipandu bersama bapanya tidak mengalami kecederaan, manakala dua penumpang sebuah kereta lagi hanya mengalami cedera ringan.

“Sepatutnya pemandu lori perlu meletakkan tanda amaran kecemasan lebih jauh di belakang lori agar pengguna jalan lain lebih awal mengetahui kedudukan lori yang rosak, apatah lagi kawasan itu terlalu kerap berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara pemandu lori balak itu dikatakan meninggalkan tempat kejadian sebaik kemalangan berlaku.
SH

Mayat di temui terdampar




MACHANG - Pekerja Pam Pasir yang dilaporkan terjatuh ke Sungai Kelantan, Ahad lalu, akhirnya ditemui mati berhampiran Rumah Pam Kemubu dekat sini, semalam.

Mayat Hasmuri Jamaludin, 20, ditemui terdampar pada batu berhampiran Rumah Pam Kemubu kira-kira jam 10.11 pagi, kira-kira 12 kilometer daripada tempat dia dilaporkan terjatuh di Kampung Cina, Paloh Rawa.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, mayat mangsa ditemui anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, operasi hari ketiga itu melibatkan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

“Operasi hari ketiga ini (semalam) melibatkan pasukan yang besar dengan menggunakan sembilan bot dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.

Ketika kejadian, Hasmuri bersama rakan sekerjanya, Mohd Hasbul Yaacub, 29, dikatakan membaiki paip di tengah sungai tersebut.

Mohd Hasbul berkata, Hasmuri yang lebih mesra dipanggil Uyi meniti palung pam pasir tersebut sekitar jam 2 petang, tiga hari lalu, untuk ke tebing sungai bagi membeli nasi di kedai berhampiran untuk hidangan tengah hari mereka.

Menurutnya, walaupun mempunyai perahu untuk kemudahan mereka berulang alik ke tempat pam pasir di tengah sungai tersebut, pekerja lebih suka meniti di atas palung tersebut.

“Ketika hampir tiba di tebing, saya nampak dia terjatuh namun saya tidak berbuat apa-apa kerana pada saya itu hanya perkara biasa bagi pekerja di sini.

“Saya menganggap dia berenang ke tebing namun selepas lima minit menunggu, saya tidak nampak kelibatnya di tebing sungai dan hati saya terdetik untuk mencarinya,” katanya.

Hasbul berkata, dia bertanyakan majikan yang berada di tebing sungai ketika itu namun dia memberitahu tidak nampak kelibat Uyi.

Hasbul kemudiannya ke kedai untuk mencarinya namun semua orang tidak nampak kelibatnya, saya bersama beberapa rakan bertindak mencarinya dengan menyelam di kawasan sekitar tempat dia terjatuh namun tidak berhasil dan mengambil keputusan untuk melaporkan kepada pihak bomba dan polis,” katanya.
SH

Lori terperosok bawah treler, pemandu parah




KOTA BHARU - Berpantang maut sebelum ajal. Seorang pemandu lori parah dan pemandu treler cedera ringan terbabit kemalangan empat kenderaan di Taman Puspa Jaya dekat Kok Lanas di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu lori lima tan, Saari Nasir, 51, yang sarat muatan pasir parah selepas tersepit dalam remukkan lorinya yang terperosok bawah treler.

Manakala pemandu treler berusia lingkungan 50-an, cedera ringan apabila treler dipandunya berlanggar lori terbabit yang dalam perjalanan dari Kok Lanas ke Kota Bharu.

Saari yang tersepit kira-kira 30 minit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat.

Dalam kejadian itu juga, dua kereta Proton Gen2 dan Proton Wira yang diletakkan berdekatan tempat kejadian turut mengalami kerosakan selepas dirempuh treler tersebut.

Sementara itu, pemilik kereta Proton Gen2, yang dikenali dengan panggilan Lee, 29, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar dentuman yang kuat semasa berada di kedai komputer miliknya.

“Ketika kejadian saya berada di tingkat atas kedai, kemudian bergegas turun dan mendapati, kereta yang berada di hadapan kedai turut terseret beberapa meter dari kedudukan asal.

“Saya terkejut apabila mendapati bahagian belakang kereta saya mengalami kerosakan yang teruk dan cermin juga pecah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi pasukan bomba dan penyelamat Balai Ketereh, Ismail Seman berkata, sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kerana bahagian hadapan lori yang remuk itu.

“Ketika usaha mengeluarkannya, mangsa masih sedar dan hanya mengalami kecederaan patah pada bahagian anggota badan,” katanya.

Difahamkan mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.
SH

Seluar hampir tanggal diseret kereta

KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan hampir telanjang apabila diseret sebuah kereta hingga menyebabkan seluar dipakai mangsa koyak- rabak dan tertanggal.
Mangsa dikatakan turut melambung dan maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas dirempuh sebuah kereta dipandu laju seorang warga Pakistan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2.45 pagi semalam ketika mangsa R Mahanderan, 50, sedang menunggang motosikal bersendirian berhampiran Jalan Genting-Klang, arah pusat bandar, di sini.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Persiaran Rejang, Taman Setapak Jaya, di sini. “Mangsa dipercayai hendak membelok ke kanan ke arah susur Jalan Air Panas untuk pulang ke rumah. Bagaimanapun, sebuah kereta Proton Persona yang dipandu laju terus merempuh mangsa dari bahagian hadapan menyebabkan mangsa tercampak.

“Impak dari rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke arah cermin kereta berkenaan sebelum terjatuh ke atas jalan raya. Kereta itu yang dipandu laju turut menyeret mangsa dan motosikalnya sejauh kira-kira 30 meter,” katanya.


Menurutnya, ketika ditemui mangsa yang terbaring tidak bernyawa dalam keadaan hampir bogel dengan seluar dipakai hilang entah ke mana.

“Berdasarkan siasatan, pemandu warga Pakistan terbabit adalah seorang pelancong dan menyewa kenderaan itu. Lelaki berkenaan mendakwa sedang memandu dari arah Wangsa Maju ke pusat bandar.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya.
myMetro | Seluar hampir tanggal diseret kereta

‘Dr Pakar Forensik’ dicekup

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang paling dikehendaki polis atas beberapa kes membabitkan penipuan dan dikenali sebagai 'Dr Pakar Forensik', Natra Zehan Md Shah, 38, ditahan ketika mendapat rawatan penyakit kencing manis di Hospital Kluang, Johor, Khamis lalu.
Menurut sumber polis, wanita terbabit kini ditahan dan diserahkan ke Balai Polis Ampang Jaya berikutan laporan seorang mangsa yang mendakwa kerugian lebih RM10,000 selepas diperdaya wanita itu.

“Wanita terbabit direman sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan dan akan diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kerana ada empat laporan berkaitan penipuan sama dilakukannya di daerah itu.
“Kita juga akan merujuk kes itu ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan semua bukti sudah dikumpul untuk mendakwanya,” katanya .

Menurutnya, suspek dipercayai langsung tidak mempunyai pekerjaan dan sering berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mengelak dikesan.

Harian Metro pada 22 Disember tahun lalu melaporkan polis mengesan seorang wanita yang mendakwa dirinya seorang doktor pakar dan bijak memperdaya beberapa individu supaya melabur dalam projek membekal peralatan hospital hingga membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Susulan itu, polis Bukit Aman menyebarkan gambar dan identiti suspek melalui laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) .myMetro | ‘Dr Pakar Forensik’ dicekup

Gadis tak pulang lepas membeli-belah

BUKIT MERTAJAM: “Kami sekeluarga tidak pernah mengguris perasaannya, malah menurut kemahuannya jika dia berhasrat melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya,” kata Rosli Hashim, 44, bapa kepada Nor Sharmiza Rosli, 19, yang hilang ketika membeli barang di pekan Bukit Mertajam pada 5 Februari lalu.
Nor Sharmiza yang bekerja di Kawasan Perusahaan Prai, dekat sini, didakwa keluar dari rumah di Kampung Bukit Teh kira-kira jam 3.30 petang dengan memakai seluar dan baju sukan berwarna hitam.

Rosli berkata, dia bimbang apabila anak sulung daripada lapan beradik itu tidak pulang ke rumah pada hari sama dan berusaha menghubunginya, tetapi telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.
Rosli yang bekerja kampung berkata, isterinya, Sharimah Othman, 40, berusaha mencari Nor Sharmiza atau dipanggil along termasuk menghubungi saudara serta rakannya, tetapi gagal menemuinya.

Katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Machang Bubok pada 7 Februari lalu.

Rosli berkata, dia ada menemui kekasih anaknya yang tinggal di Cherok Tok Kun, dekat sini, tetapi lelaki itu tidak mengetahui di mana Nor Sharmiza berada. “Saya sangat bimbangkan dirinya apatah lagi dia seorang yang lurus bendul,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Teh dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, selama 10 hari Nor Sharmiza tidak pulang, kedua-dua adik perempuannya iaitu Siti Zulaika, 5, dan Nur Maisarah, 4, merindui kakaknya itu sehingga mereka demam.

“Saya rayu supaya along pulang ke rumah segera kerana kami semua merindui along,” katanya. Mereka yang menemui Nor Sharmiza boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Rosli di talian 017-4614286.myMetro | Gadis tak pulang lepas membeli-belah

Pecah rumah, kebas kereta

myMetro | Pecah rumah, kebas kereta: "


KUALA LUMPUR: Terdesak untuk melarikan diri, dua lelaki berusia lewat 20-an bersenjatakan pisau nekad melarikan kereta Produa Myvi milik mangsa selepas mereka memecah masuk dan merampas barangan berharga di sebuah rumah di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Difahamkan, selain kereta mangsa berusia lewat 30-an mendakwa kerugian lebih RM700 selepas sejumlah wang tunai dan barang kemas miliknya dilarikan kedua-dua suspek.


Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua suspek yang bertopeng memecah masuk kediaman mangsa melalui pintu belakang."

Pengedar telan dadah



KAJANG: Polis menemui sepucuk pistol milik tiga lelaki dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di sebuah bilik hotel di bandar ini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun itu menyembunyikan pistol jenis Browning itu bersama kelopak peluru kosong di atas siling bilik hotel disewa mereka.

Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, polis tidak menemui sebarang dadah daripada suspek kerana dipercayai sudah ditelan mereka sebaik mengetahui kehadiran polis.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas lima telefon bimbit dan peralatan menghisap dadah, dipercayai digunakan mereka untuk memproses dadah. “Siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit mendaftar masuk di hotel berkenaan sejak empat hari lalu,” katanya.

Katanya, dua daripada suspek adalah adik-beradik dan berasal dari Selangor manakala seorang lagi dari Terengganu.

“Hasil siasatan juga mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah,” katanya.
Sementara itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun dalam dua serbuan iaitu di sebuah rumah dan sebuah kereta di Cheras Perdana serta Batu 9, di sini semalam.

Dalam serbuan pertama pada kira-kira jam 5.30 petang, polis menahan dua lelaki dan merampas 500 gram dadah jenis ketamin.
“Dua jam selepas itu, hasil maklumat suspek pertama, polis menahan dua lagi lelaki dalam sebuah kereta dan merampas 50 gram dadah jenis sama,” katanya.myMetro | Pengedar telan dadah

Pelajar turun bas maut dirempuh teksi

PARIT BUNTAR: Seorang pelajar maut manakala dua lagi rakannya parah selepas dilanggar sebuah teksi ketika turun dari bas sekolah dinaiki mereka di Kilometer 10, Jalan Baru, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa dikenali Siti Fatimah Ahmad, 13, berasal dari Teluk Pial Tengah, Kuala Kurau yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang (SMPBG), dekat sini, menghembuskan nafas terakhirnya ketika dirawat di Hospital Taiping (HT) pada jam 6 petang akibat parah di kepala dan anggota badan.

Sementara itu, dua lagi rakan sekolahnya yang juga pelajar tingkatan satu, Nurul Hasnani Mohd Sharuddin dan Nor Hasikin Yusri, masing-masing 13 tahun, parah dan masih dirawat di HT.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Radzuan Bachik, berkata kejadian berlaku selepas sebuah teksi yang dipercayai dipandu laju cuba mengelak melanggar bahagian belakang bas sekolah terbabit yang berhenti di tepi jalan bagi menurunkan mangsa sebelum memasuki laluan sebelah kiri lalu merempuh ketiga-tiga mangsa.

“Semua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Parit Buntar sebelum dipindahkan ke HT bagi rawatan lanjut. Bagaimanapun, Siti Fatimah meninggal dunia kira-kira jam 6 petang pada hari sama di HT. Mayat mangsa dituntut keluarganya selepas bedah siasat.


“Berikutan itu, seorang pemandu teksi berusia 68 tahun berasal dari Bagan Serai ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis,” katanya.
myMetro | Pelajar turun bas maut dirempuh teksi

Mayat isteri dalam kotak

SEOUL: Seorang lelaki warga Korea Selatan ditahan selepas membunuh isterinya 12 tahun lalu dan menyimpan mayat wanita itu dalam kotak kadbod di kediaman anak perempuannya, kata polis, semalam.

Anak perempuannya yang berusia 20 tahun menghubungi polis Sabtu lalu selepas menemui mayat wanita di dalam kotak yang dibungkus dengan 10 lapisan plastik di kediamannya di daerah Yongsan, di sini. Cap jari mayat mengesahkan wanita itu adalah ibunya. Suspek yang dikenali sebagai Lee, 51, ditahan di Bucheon di barat daya Seoul dan kini masih disiasat kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pegawai penyiasat.


Lee memberitahu media, dia dan isterinya bertengkar mengenai berpindah kediaman dan beberapa hal lain.

“Saya menyimpan mayat isteri kerana saya rasa bersalah terhadapnya dan anak perempuan saya. Saya mahu menyimpan mayatnya untuk selamanya,” kata Lee. Lee disyaki menikam isterinya yang berusia 39 tahun ketika itu di kediaman mereka pada Jun 1999.


Dia kemudian meletakkan mayat isterinya ke dalam kotak kadbod dan membungkusnya sebelum dibawa ke kediaman baru di Yongsan di mana kini menjadi kediaman anak perempuannya. - AFP"
myMetro | Mayat isteri dalam kotak:

Layan nafsu pada cuti umum

KUALA LUMPUR: Cuti umum semalam menjadikan rumah pelacuran di sepanjang Jalan Petaling dan Thambipillay, Brickfields, di sini, seolah-olah pesta kepada warga asing yang mula berkumpul di kawasan itu seawal jam 8 pagi
Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati lokasi terbabit dikunjungi warga asing yang datang semata-mata untuk memenuhi nafsu mereka.


Berdasarkan pemantauan hampir dua jam, kebanyakan pelanggan di kalangan warga asing terbabit dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Myanmar.
Kebanyakan mereka berpusu-pusu memasuki pintu kecil di tingkat bawah rumah pelacuran yang berselindung di sebalik bangunan rumah kedai usang di kawasan berkenaan.


Pintu kecil menghubungkan tangga ke tingkat atas rumah kedai dua tingkat itu dikawal tonto atau bapa ayam yang memantau kehadiran pihak berkuasa.


Wartawan yang memasuki rumah pelacuran itu mendapati keadaan di dalam rumah pelacuran terbabit meriah dengan gelak tawa puluhan gadis pelacur yang menanti kedatangan pelanggan.
Rata-rata pelacur berusia awal 20-an terbabit yang dipercayai warga Filipina dan Indonesia boleh dilanggan hanya dengan harga RM20 hingga RM30 sekali perkhidmatan.


Bagi menarik perhatian pelanggan di kalangan warga asing, kebanyakan gadis terbabit memakai pakaian seksi.
Mereka ini tidak segan silu menawarkan khidmat seks di dalam bilik kedai di dalam rumah pelacuran itu yang dilindungi papan nipis.


Sambutan luar biasa di kalangan warga asing terbabit boleh dibuktikan apabila rata-rata mereka berkumpul di bahagian bawah dan kaki lima premis bagi menunggu giliran memuaskan nafsu.
myMetro | Layan nafsu pada cuti umum