Search This Blog

Tuesday, February 15, 2011

Mayat pekerja sedut pasir dijumpai terapung



MACHANG – Mayat seorang pekerja sedut pasir sungai yang lemas ketika bekerja di pengkalan Pasir Kampung China, sejak dua hari lalu dijumpai di Sungai Kelantan di Kampung Kemubu, hari ini.

Pegawai Penjaga Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd Fauzi Che Omar berkata, mayat mangsa, Hasmuri Jamaluddin, 20, ditemui pada 11.15 pagi oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan yang melancarkan gerakan itu dengan kerjasama polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sejak Sabtu lepas.

Beliau berkata mayat mangsa itu dijumpai dalam keadaan terapung oleh anggotanya yang memulakan gerakan tersebut sejak pukul 8 pagi tadi iaitu kira-kira 10 kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

"Kita akan membawa mayat mangsa di khemah sementara di Pengkalan Pasir Kampung China itu sebelum dihantar ke Hopsital Machang untuk pemeriksaan doktor," katanya kepada Bernama, di sini pagi ini.

Katanya, 11 anggota unit skuba dari ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Kelantan Kota Baharu, dengan kerjasama polis Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melancarkan gerakan mencari mangsa.

Hasmuri hilang di sungai itu ketika meniti palung penyedut pasir untuk pulang ke rumahnya pada jam 2.30 petang Sabtu lepas.- Bernama
SH

Lapan kematian dicatat sepanjang Ops Sikap ke-23 di Terengganu



KUALA TERENGGANU - Sebanyak lapan kes kemalangan maut dicatat di Terengganu sepanjang berlangsungnya Ops Sikap ke-23, operasi yang diadakan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Alias Hashim berkata, lapan yang maut terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal (tiga kematian) pemandu dan penumpang kereta (dua kematian), pejalan kaki (dua kematian) dan penunggang basikal (satu kematian).

"Kebanyakan kes kemalangan maut berlaku ketika pemandu menukar lorong pemanduan atau cuba memotong kenderaan lain, selain cuai semasa melintas jalan dan ada juga kes-kes terbabas sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama
SH

Tiga lelaki ditahan, sepucuk pistol dirampas dalam serbuan hotel


KAJANG - Polis merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru kosong, dan menahan tiga lelaki dalam serbuan berkaitan dadah di sebuah bilik hotel di Kajang, awal hari ini.

Pistol jenis Browning itu ditemui selepas polis menggeledah bilik hotel yang didiami tiga lelaki terbabit.

Dalam serbuan pada jam 1 pagi hasil maklumat orang ramai itu, polis turut merampas lima telefon bimbit dan menemui peralatan menghisap dadah, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 40 dan 50 tahun, yang disyaki pengedar dadah itu mendaftar masuk di hotel berkenaan empat hari lalu.

Dua daripada mereka berasal dari Selangor manakala seorang lagi dari Terengganu, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. - Bernama

SH

Dua beradik maut setelah diberi racun oleh ibu


KAJANG - Sepasang adik beradik perempuan ditemui mati di rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini, malam tadi, selepas dipercayai dipaksa minum racun oleh ibu kandung mereka yang mengalami sakit mental.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob, berkata, ibu mereka yang turut meminum racun itu, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Serdang.

"Dua adik beradik malang itu, S.Rashmeka, 4, dan adiknya, S.Neeharika Laxami, setahun, serta ibu mereka berusia 30 tahun ditemui di dalam bilik rumah mereka kira-kira pukul 8.30 malam oleh nenek dua beradik itu.

"Nenek mangsa yang curiga selepas mendapati pintu bilik tersebut berkunci dari dalam, terus menghubungi bapa mangsa yang sedang bekerja di sebuah kedai gunting rambut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azman berkata, apabila bapa kanak-kanak itu, yang berusia 33 tahun, memecah pintu bilik tersebut, dia mendapati kedua-dua anak dan isterinya terbaring bergelimpangan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau terus membawa mereka ke klinik berhampiran, dan doktor mengesahkan kedua-dua adik beradik tersebut meninggal dunia, kata Azman.

"Hasil siasatan, kita mendapati ibu kedua kanak-kanak itu pernah menerima rawatan psikatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006," katanya, sambil menjelaskan polis menolak kejadian itu ada unsur jenayah dari pihak luar.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan ditemui mati dipercayai membunuh diri di dalam sebuah bilik hotel New City di sini, awal pagi tadi.

Azman berkata, Chong Yew Heung, 35, ditemui mati oleh seorang pekerja hotel tersebut kira-kira pukul 1.45 pagi selepas terbau asap dari dalam bilik itu dan setelah mengetuk tanpa jawapan, ia terus memecah pintu tersebut.

Pekerja hotel itu mendapati lelaki yang berasal dari Johor itu berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri, katanya.

Azman berkata, polis percaya Chong membunuh diri dengan membakar arang di dalam bilik hotel itu, serta menutup semua lubang di dalam bilik tersebut dengan pita pelekat yang menyebabkan ia lemas.

Beliau berkata, mayat lelaki kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

SH

Suspek pengeboman berkumpul di sempadan


n


YALA - Sembilan pemberontak ditahan kerana dipercayai terlibat dalam tragedi pengeboman kereta di Yala, Thailand, kelmarin.

Kesemua suspek ditahan selepas selepas sekurang-kurangnya 300 polis peronda kawasan sempadan, polis daerah Yala serta pegawai Jabatan Pentadbiran Wilayah mengepung sepuluh kawasan di Tambon Lidol dan Tambon Yala di daerah Muang.

Dalam operasi tiga jam bermula jam 6 pagi itu, sembilan suspek termasuk dua guru agama dari sebuah sekolah swasta dan sembilan remaja berjaya ditahan.

Sekurang-kurangnya 18 orang cedera dalam letupan bom kereta yang menyebabkan kemusnahan akibat kebakaran yang dianggarkan bernilai 10 juta bath (RM992,850).
SH

Pemandu lori minta polis siasat punca kematian anak




PUCHONG – Seorang pemandu lori meminta supaya polis menyiasat punca kematian anak perempuannya selepas mendapati badan wanita itu dipenuhi kesan luka dan lebam.

Mangsa, S Pakiam, 23, sebelum ini didakwa meninggal dunia selepas terminum racun di sebuah rumah di Padang Serai, Kulim, Kedah, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, M Subramaniam, 52, tidak percaya dengan punca kematian anak perempuannya dan menuntut supaya bedah siasat kedua dijalankan di hospital di sini.

Katanya, hasil bedah siasat pertama, pihak hospital di Kedah tidak dapat memberi keputusan punca sebenar kematian Pakiam.

“Pihak polis setuju jalankan bedah siasat kedua di hospital di sini, tetapi permohonan kami ditolak pihak hospital dan kami diminta supaya perkara ini dirujuk ke hospital asal.

“Sebelum permohonan itu dibuat, kami dapati kesan luka pada tangan dan kaki, bengkak di kepala, lebam di badan serta kuku ibu jari kaki tercabut ketika membersihkan mangsa. Kami syak mangsa didera,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Turut hadir melawat keluarga mangsa, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Puchong, S Murali.

Pakiam dan suaminya berkahwin sejak lima bulan lalu atas pilihan keluarga masing-masing dan menetap bersama keluarga lelaki itu di Padang Serai, Kulim, Kedah.

Sepanjang tempoh berkenaan, Pakiam dikatakan tidak pernah pulang melawat ibu bapanya dan hanya keluarganya yang datang melawat ke rumah mereka.

Subramaniam berkata, sebelum kematian Pakiam, anaknya pernah mengadu kepada keluarga bahawa dia dipukul.

“Pakiam memang ada mengadu pada kami dia dipukul, sebelum ini. Selepas kejadian itu, kami sudah tidak lagi terima aduan daripadanya.

“Kami anggap perkara itu sudah selesai, tetapi tidak menyangka tiba-tiba terima panggilan telefon daripada suami Pakiam memberitahu kematian mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam semalam membuat satu laporan polis menuntut supaya punca sebenar kematian anak perempuannya disiasat dan meminta suspek terbabit diberkas.

Difahamkan, suami Pakiam tidak menghadirkan diri sepanjang urusan mayat mendiang ke rumah keluarganya di Puchong Hartamas, di sini.
SH

Sembilan ditahan dalam Ops Valentine



BATU PAHAT - Sembilan orang termasuk seorang ‘mak nyah’ antara yang dicekup Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dalam satu operasi yang dilakukan sempena kedatangan Hari Kekasih, malam semalam.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd Anuar Kosnin berkata, kesemua mereka adalah empat pasangan yang ditahan berumur sekitar awal 20an, selain itu turut ditahan seorang ‘mak nyah’ yang sedang leka mencari pelanggan di Dataran Penggaram.

Menurutnya, serbuan dilakukan di sekitar kawasan yang disyaki menjadi sarang maksiat antaranya di hotel-hotel dan juga rumah tumpangan di sekitar daerah Batu Pahat juga Yong Peng dan operasi melibatkan tujuh anggota dari bahagian penguat kuasa.

“Daripada tangkapan yang telah dilakukan, empat pasangan terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 dan akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

“Manakala mak nyah berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997, kerana lelaki berkelakuan dan lagak seperti wanita.

“Jika disabitkan kesala han mak nyah terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Anuar, operasi seperti ini akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa mengikut kepada kesesuaian keadaan seperti Hari Kekasih, Malam Hari Kebangsaan dan beberapa lagi cuti umum yang lain termasuk juga pada malam hujung minggu.

Katanya, tujuan utama operasi dilakukan bagi membendung masalah pembuangan bayi melibatkan golongan remaja terutamanya yang semakin meruncing ketika ini.

“Diharapkan dengan operasi yang berterusan oleh Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, masalah dan gejala yang melibatkan perbuatan maksiat ini akan berkurangan seterusnya dapat diatasi.

“Bagi operasi pencegahan maksiat ini tumpuan akan dilakukan di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk berlakunya kes berkenaan terutamanya hotel-hotel, rumah tumpangan dan juga kawasan taman rekreasi yang berkeadaan gelap,” katanya.

Kata Anuar, orang ramai perlu memainkan peranan penting menyalurkan maklumat berkenaan permasalahan ini yang diharap dapat kerjasama yang berterusan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan maksiat ini, mereka boleh menghubungi terus talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-434 1141,” katanya.
SH

81 pasangan ditahan



SHAH ALAM – Hotel bajet menjadi sasaran pasangan tidak berkahwin untuk bersekedudukan dengan pasangan masing-masing untuk melakukan aktiviti maksiat sempena sambutan Hari Kekasih yang berlangsung semalam.

Dalam serbuan bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal pagi semalam, di hotel bajet seluruh negeri mendapati seramai 81 pasangan telah ditahan dalam operasi mencegah maksiat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes telah dibawa ke mahkamah, 61 orang diberi kaunseling manakala 60 lagi diarahkan beredar.

Penolong Pengarah Perancang dan Strategi Bahagian Penguatkuasaan Jais, Nasrul Hadi Rohani berkata, kesemua yang ditahan adalah lingkungan umur 18 hingga 45 tahun.

Menurutnya, sebanyak 25 kes berlaku di hotel bajet di sekitar daerah Petaling iaitu di Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

“Jumlah keseluruhan 81 kes itu merupakan jumlah tangkapan di seluruh negeri di mana operasi banyak tertumpu di hotel bajet di seluruh negeri ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, faktor sambutan Hari Kekasih turut menyumbang kepada berlakunya peningkatan terhadap jumlah tangkapan pasa- ngan yang melakukan maksiat.

“Saya berharap semua masyarakat beragama Islam supaya tidak menyambut Hari Kekasih ini kerana ia tidak diperintahkan dalam ajaran agama Islam,” katanya.

Nasrul Hadi memberitahu, Kempen Anti Zina yang dilancarkan kelmarin juga telah memberi kesan positif dalam usaha Jais mencegah aktiviti maksiat kerana menerusi kempen tersebut, ramai orang awam dapat membantu Jais dalam melancarkan operasi mencegah maksiat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nurhamizah Othman berkata, tindakan itu sebahagian daripada operasi dua fasa bagi memerangi kemungkaran di negeri ini.

Menurutnya, fasa pertama, melibatkan kempen dan dakwah di taman rekreasi dan sekitar kawasan tasik di negeri ini.

Katanya, individu yang ditahan akan didakwa bawah Enakmen Jenayah Syarikah Negeri Selangor 1995 yang mana jika sabit kesalahan akan dikenakan dendan tidak melebihi RM3,000 atau di penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Nurhamizah berkata, operasi yang berlangsung selama sembilan jam itu, diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jais Mohd Rais Rashid.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama majlis perbandaran tempatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta beberapa sukarelawan di bawah program Kempen Anti Zina.

SH

Lelaki ditahan miliki dadah




KUALA KANGSAR – Seorang lelaki berusia 41 tahun, berjaya diberkas pihak berkuasa kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan ganja, dalam satu operasi cegah jenayah di sini, Jumaat lalu.

Lelaki berkenaan ditahan selepas terbabas melanggar pasu bunga di Simpang Lawin ketika cuba melarikan diri daripada ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, pada jam 12.15 pagi, anggota MPV menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar Kati dan melihat seorang lelaki di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika ditahan, 32 gram dadah jenis syabu dan 0.4 gram ganja turut ditemui di bawah tempat duduk keretanya serta dia ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Difahamkan suspek menetap di Taman Indah, Jalan Taiping dan hasil siasatan awal mendapati lelaki itu positif dadah. Berlaku aksi kejar-mengejar di antara suspek dengan anggota kami serta dan kemudiannya terbabas sendiri serta berjaya ditahan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didakwa di bawah dua seksyen berasingan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 36 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes curi kabel di Manong.

“Suspek berkenaan ditahan ketika anggota kami membuat rondaan di Ulu Piol dan lelaki itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan. Barang kes turut dirampas di dalam kereta antaranya kabel, alat pemotong, gergaji dan beberapa lagi peralatan yang digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.

“Suspek juga disyaki terlibat dengan satu kes kecurian telefon bimbit dan kita sedang jalankan siasatan jika suspek terlibat dengan beberapa lagi kes lain. Kerugian akibat kes kecurian itu masih belum dikenal pasti dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
SH

Empat terlepas tali gantung



GORGETOWN - Empat sahabat terlepas hukuman gantung sampai mati selepas mahkamah meminda pertuduhan mengedar kepada memiliki dadah jenis Heroin dan Monoacertylemorphines, tujuh tahun lalu.

Empat-empat sahabat itu bagaimanapun dipenjara 13 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Georgetown, selepas didapati bersalah atas tuduhan pindaan tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim membuat keputusan itu selepas keempat-empat tertuduh Yeoh Keat Teck, 35, bekerja tukang cat; Teh Cheng Lai, 48, kontraktor; Lor Kean Lee, 37, pembaiki telefon bimbit dan juga Tee Choon Hee, 33, pelukis mengaku salah atas pertuduhan pindaan itu.

Keempat-empat tertuduh termasuk seorang lagi meninggal dunia, Goh Theam, didakwa dengan niat bersama memiliki dadah jenis Heroin seberat 509.7 gram di sebuah rumah pangsapuri Taman Perubong Indah, Paya Terubong, di sini, kira-kira jam 5.40 petang, 17 Disember 2004.

Pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa niat bersama memiliki dadah jenis Monoacertylemorphines seberat 1,536.8 gram pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dalam penghakiman, Nurmala memerintahkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan untuk pertuduhan pertama bagi setiap seorang tertuduh.

“Bagi pertuduhan hukuman sama dijatuhkan iaitu penjara 13 tahun dan 10 sebatan bagi setiap seorang tertuduh.

“Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara rentak dari tarikh tangkapan dibuat,” katanya.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan minimum 10 kali.

Pada awalnya mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar.
SH

Cubaan seludup minyak masak gagal





PADANG BESAR – Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) berjaya merampas sejumlah minyak masak yang cuba diseludup ke negara jiran menggunakan kenderaan sewa Kia Citra, semalam.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, sepasukan anggota UPP Padang Besar diketuai Sarjan Abdul Mutalib Abu berjaya menahan kenderaan yang dinaiki lelaki berusia 36 tahun berasal dari Kuala Perlis, kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, kenderaan yang sarat dengan muatan minyak masak seberat lebih satu tan metrik dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran itu ditahan ketika ditinggalkan di tepi pagar Klinik Kesihatan Kaki Bukit di sini.

“Suspek yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa bertindak meninggalkan kenderaan yang dinaikinya di tepi pagar klinik berkenaan sebelum bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek berkenaan berjaya ditahan tidak jauh daripada tempat dia meninggalkan kenderaan selepas anggota UPP mengarahkannya supaya menyerah diri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Hadir sama, Komander UPP Padang Besar, Asisten Superintendan Noor Janihan Nanyan.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan menjumpai 1,156 kilogram minyak masak bernilai RM2,890 yang diisi penuh di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit sehingga menyebabkan kenderaan itu menjadi rendah berikutan terlalu berat.

Menurutnya, minyak masak dalam bungkusan satu kilogram yang dirampas itu dipercayai diperoleh daripada sebuah pasar raya di Alor Setar berdasarkan label pada plastik minyak masak berkenaan.

“Kami sedang menjalan siasatan terperinci berkaitan kes ini termasuk cara suspek mendapatkan bekalan minyak masak itu,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan sewa bernilai RM40,000 digunakan suspek dirampas manakala kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

Difahamkan, suspek sebelum ini pernah ditahan kerana melakukan kesalahan yang sama iaitu menyeludup 1,341 kilogram minyak masak bersubsidi menerusi Wang Kelian, kira-kira jam 6 pagi awal 19 Januari lalu.
SH

Pesakit mental rogol OKU



SUNGAI ULAR - Waris seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 54 tahun dan belum berumah tangga membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 4 petang kelmarin apabila dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa mangsa sering dirogol oleh seorang lelaki dikenalinya.

Menurut jurucakap polis, sebelum ini mangsa diajak oleh suspek untuk masuk ke hutan dan apabila tiba di satu lokasi yang tidak diketahui, suspek mengarahkan mangsa untuk membuka pakaian dan memegang badannya.

Katanya, mangsa yang tidak tahu apa-apa hanya membiarkan perbuatan suspek terhadap dirinya.

“Warisnya membawa mangsa ke balai polis setelah dimaklumkan oleh penduduk kampung seorang lelaki sering membawa mangsa masuk ke hutan dan melakukan hubungan seks dengannya. Mangsa tidak tahu perlakuan dilakukan oleh suspek.

“Ketika keterangan diambil, mangsa menyatakan suspek sering melakukan perbuatan itu terhadapnya. Mangsa akan dibawa untuk pemeriksaan di hospital bagi mengesahkan perlakuan rogol terhadap dirinya,” katanya.

Menurutnya, suspek itu juga difahamkan adalah OKU kerana sebelum ini dia pernah terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkannya mengalami permasalahan mental.

Bagaimanapun katanya, polis akan menyiasat kes ini dan membuat tangkapan terhadap suspek untuk siasatan lanjut.
SH

Wartawan diugut lelaki dikenali




JITRA - Niat seorang wartawan akhbar tempatan untuk mendapatkan bahan berita di sebuah pusat perniagaan refleksologi di sini akhirnya terbantut selepas menerima satu ugutan daripada seorang lelaki yang dikenalinya.

Dalam kejadian kira kira jam 9 malam kelmarin, lelaki berusia lingkungan 30an itu dikatakan cuba mengugut wartawan itu apabila mendakwa wartawan berkenaan cuba memikat isterinya di pusat perniagaan itu.

Wartawan yang ingin dikenali sebagai Iskandar Zulkarnain, 25, mendakwa dia mula diekori lelaki berkenaan kira-kira empat kilometer dari Taman Permata iaitu tempat pusat refleksologi itu beroperasi sehingga ke sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Darulaman, di sini.

Dakwanya, lelaki berkenaan menahan motosikal yang dinaikinya di tempat gelap sebelum bertanyakan pelbagai soalan kepada wartawan berkenaan.

“Bimbang diapa-apakan, saya cuba mengajak lelaki berkenaan minum di sebuah restoran berhampiran.

“Lelaki berkenaan bertanya pelbagai soalan termasuk memberi peringatan kepada saya supaya jangan menganggu isterinya yang juga adik kepada pemilik pusat perniagaan itu.

“Saya terkejut kerana saya ke sana untuk bertemu dengan pemilik pusat itu dan ia tiada kaitan langsung dengan isteri lelaki berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iskandar berkata, dia meminta diri selepas setengah jam bertemu lelaki berkenaan. Namun, dia ditahan lelaki itu yang ingin menyelongkar beg sandang yang dibawanya.

Dakwanya, dia turut dipaksa memberi nombor telefonnya kepada lelaki berkenaan.

“Saya bimbang sesuatu yang buruk berlaku dan tidak mahu memanjang hal itu jadi terpaksa memberikan nombor telefon saya sebelum berundur diri dari tempat itu.

“Sebelum berundur dia sempat mengugut akan mencari saya sehingga ke rumah jika mendapati saya pergi ke pusat perniagaan itu lagi. Saya pelik dengan tindakan lelaki itu sedangkan saya tidak mengenali isterinya itu,” katanya.

Bagaimanapun selepas hampir sejam pulang ke rumah, Iskandar menerima satu panggilan telefon namun tidak menjawabnya.

“Saya tidak menjawab panggilannya tetapi selepas itu dia mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya yang berbunyi jika saya tidak jawab panggilannya dia akan membuat laporan polis.

“Saya bertambah keliru kerana tidak tahu apa punca tindakan lelaki itu. Bagi mengelakkan berlakunya sesuatu dan atas tujuan keselamatan, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu jam satu tengah hari semalam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamed Ishak mengesahkan menerima laporan berkenaan.
SH

Ditangkap basah di Hari Kekasih




ALOR SETAR - Tarikh 14 Februari yang sinonim dengan Hari Kekasih digunakan segelintir pasangan bercinta membuktikan kasih dan sayang mereka terhadap pasangan masing-masing.

Namun, tidak semua bukti cinta itu ditonjolkan dengan pemberian bunga atau coklat malah, ada juga pasangan muda yang membuktikannya dengan melakukan maksiat di hotel murah atau bajet sekitar pusat bandar ini.

Pada operasi yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) bersempena Hari Kekasih berjaya menahan dua pasang kekasih sepanjang operasi dijalankan.

Pasangan pertama yang berjaya ditahan penguat kuasa JHEAINK adalah lelaki berusia 26 tahun yang bertugas sebagai askar, manakala pasangannya merupakan pelajar yang masih menuntut di bidang kejururawatan berusia 25 tahun.

Helah pasangan yang mengaku sudah berkahwin akhirnya terbongkar apabila pasangan itu menemui jalan buntu bagi meyakinkan pegawai penguat kuasa yang menjalankan siasatan ke atas mereka.

Ketika proses soal siasat dijalankan penguat kuasa JHEAINK kepada lelaki yang berpakaian lengkap mengenai wali yang menikahkan mereka berdua, lelaki itu kelihatan gagap untuk memberi jawapan dan memaklumkan abang wanita itu sebagai wali mereka.

Pasangan wanita yang hanya berkemban itu akhirnya mengaku bahawa mereka bukanlah pasangan suami isteri setelah hampir setengah jam proses siasatan dijalankan.

Operasi kedua yang dijalankan di Jalan Putra turut menahan pasangan yang merupakan warga tempatan yang berterus terang kepada penguat kuasa bahawa mereka masih belum berkahwin dan hanya berkawan sewaktu proses awal siasatan dijalankan.

Lelaki berusia 39 tahun yang berasal dari Pendang ditahan oleh penguat kuasa JHEAINK sewaktu dia bersama dengan wanita berusia 37 tahun berasal dari Kulim di bilik hotel yang disewa mereka.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Penguat kuasa JHEAINK, Sheikh Muhammad Sulaimi Saleh berkata, operasi yang dijalankan itu bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir pada jam 2.30 pagi.

Sheikh Muhammad Sulaimi berkata, seramai 25 penguat kuasa turun padang bagi menjalankan operasi bersempena Hari Kekasih, semalam.

Menurutnya, operasi yang dijalankan itu melibatkan tiga kawasan termasuklah Jalan Putra, Jalan Kampung Berjaya dan Bukit Pinang.

“Kita berjaya menahan dua pasangan di dua kawasan manakala satu kawasan lagi iaitu di Bukit Pinang, kita gagal menemui pasangan yang bersekedudukan,” kata Sheikh Muhammad Sulaimi.
SH

Pemandu lori kena penjara, sebatan



SEREMBAN - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman 13 tahun penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol dan meliwat seorang wanita di sekitar bandar ini, tiga tahun lalu.

Hakim Amran Jantan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, R Shangaran, 25, yang didakwa atas dua pertuduhan berasingan.

Amran dalam penghakimannya berkata, mahkamah sudah meneliti keterangan saksi dan bukti pendakwaan menunjukkan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Berikutan itu, mahkamah memutuskan bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman selama 10 tahun penjara dan tiga sebatan. Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara selama 13 tahun dan tiga sebatan.

“Kedua-dua hukuman berkenaan dijalankan secara serentak bermula dari tarikh sabitan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Shangaran didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun di padang bola Taman Seremban Jaya Fasa 2, Senawang, dekat sini, kira-kira 3.30 pagi, 6 Januari 2008.

Bagi pertuduhan kedua, Shangaran didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur dan mulut wanita sama tanpa kerelaan, kira-kira 3.35 pagi di lokasi, waktu dan tarikh sama.
SH

Cemas bas berlanggar





SEREMBAN - Seramai 40 penumpang sebuah bas ekspres terpaksa melalui detik-detik cemas apabila kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 284 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, di sini, kira-kira 9.30 pagi, semalam.

Jurucakap polis berkata, bas ekspres dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur itu dipercayai melanggar sebuah kereta jenis Proton Wira di lokasi berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Seremban.

“Kereta Proton Wira terbabit seterusnya terbabas ke lorong kanan lebuh raya dan bas ekspres itu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navarra.

“Nissan Navarra kemudian berpusing sebelum diseret bas ekpres terbabit pada jarak beberapa meter,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, semua penumpang bas ekpres serta pemandu tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kemalangan berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan teruk sepanjang kira-kira 10 kilometer di kedua-dua arah lebuh raya menuju ke lokasi kejadian, selama hampir tiga jam.
SH

Peniaga gigit jari




BANDARAYA MELAKA - Sebuah kedai tekstil dua tingkat yang baru enam bulan dibuka musnah dalam kebakaran di Jalan Bendahara, berhampiran Little India, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam itu bagaimanapun dapat dikawal daripada terus merebak ke klinik dan kedai penge dar kereta bersebelahan.

Ketua Balai Bomba Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, sebanyak lima jentera bomba dan penyelamat membabitkan 22 anggota dari Balai Bomba Jalan Kubu, Bukit Katil dan Ayer Keroh dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan dari orang awam.

“Bomba sampai pada 11.33 malam. Api bagaimanapun dapat dikawal kira-kira 34 minit selepas itu, sebelum padam sepenuhnya pada 1.15 pagi.

“Struktur bangunan kayu menyebabkan api mudah marak, bagaimanapun kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kiri kanan kedai berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, setakat ini bomba masih menyiasat punca kejadian dan jumlah sebenar kerugian.

Sementara itu, pemilik kedai, V. Saravanan, 34, berkata, semasa kejadian, dia sudah balik ke rumah selepas selesai berniaga sejak 9.30 malam.

“Sebelum meninggalkan kedai, saya sudah periksa semua suis dalam kedai itu.

“Saya tidak percaya kebakaran ini berpunca daripada pendawaian kerana sebelum ini saya sudah keluarkan RM20,000 untuk gantikan pendawaian baru sebelum kedai ini dibuka, enam bulan lalu,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan disebabkan kabel utama di luar kedai.

Saravanan berkata, akibat kebakaran itu, dia kerugian kira-kira RM180,000 selain terpaksa menanggung bayaran sewa bulanan sebanyak RM3,000.

Lebih menyedihkan, stok-stok kain sari yang baru sahaja diterima beberapa hari lalu, turut musnah.
SH

Kempunan kepah





FELDA BUKIT MENDI - Gara-gara ingin mencari kepah atau lebih dikenali sebagai kijing oleh penduduk kampung di sini, seorang pemuda di sini dipercayai lemas di Sungai Triang Bukit Mendi ketika sedang berenang ke tebing sungai.

Mangsa, Rusdy Abdul Latiff, 22, bersama tujuh sahabat yang lain dikatakan pergi ke sungai itu untuk memancing ikan dan mencari kijing bagaimanapun tidak sempat diselamatkan oleh rakannya dalam kejadian kira-kira jam lima petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Mohd Aizad Mamat berkata, mangsa dipercayai lemas setelah tenggelam dan sehingga jam enam petang semalam masih belum ditemui lagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dan dua bot penyelamat bersama dengan unit pasukan penyelam dari Temerloh telah mengikuti operasi mencari mangsa lemas ini.

“Dalam perjalanan untuk pulang pada petang kelmarin, mangsa dan rakan-rakannya telah berenang untuk ke tebing sungai, bagaimanapun, dia dipercayai lemas dan rakannya yang cuba membantu tidak berjaya mencapai tangan mangsa.

“Pihak kami yang menerima laporan pada jam 5.60 petang telah menjalankan operasi mencari mangsa pada jam 6.30 petang dan sehingga ke hari ini pada jam 7 petang, mangsa masih gagal ditemui,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, lokasi operasi mencari mangsa adalah dari tempat kejadian sehingga tiga kilometer dari tempat tersebut dan jarak mencari akan diperluas jika mangsa masih gagal ditemui.

Seorang saksi yang dikenali sebagai Zahar, 53, yang dikatakan sedang berada di kebun getah miliknya telah mendengar suara meminta tolong daripada rakan mangsa dan bergegas ke tempat kejadian seterusnya dimaklumkan ada pemuda yang lemas.

Menurutnya, dia turut berusaha menjejak mangsa, bagaimanapun gagal ditemui dan selepas itu, meminta bantuan orang kampung untuk menghubungi bomba untuk mencari dan menyelamat mangsa.

“Rakan-rakan mangsa minta tolong dan seorang daripada mereka sempat mencapai tangan mangsa, tetapi disebabkan oleh arus deras sungai dan badan mereka yang licin akibat disalut lumpur, rakan mangsa gagal untuk menarik mangsa.

“Saya turut menyelam untuk mencari tetapi ia juga gagal menyebabkan saya meminta bantuan orang kampung menghubungi bomba,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang dikatakan baru menamatkan pengajian di Polisas baru sahaja pulang ke kampung dan berhasrat untuk mencari kijing untuk dijadikan lauk kegemarannya.
SH

Bahana mahu wang mudah





KUALA TERENGGANU - Bahana sikap suka mencuri motosikal bagi mendapatkan wang mudah, ‘Kecit’ yang selama ini diburu polis akhirnya menghadapi tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Kecit atau nama sebenarnya, Muhammad Syahir Jaafar, 19, berasal dari Kampung Alor Limbat yang memakai baju T berwarna kelabu mengangguk faham dan mengaku bersalah di hadapan Majistret Nor Adila Ab Karim.

Dalam pertuduhan dijalankan pegawai polis, Inspektor Mahathir Mohd Yusof, Kecit dituduh melakukan kesalahan mencuri motosikal jenis Honda EX-5 kepunyaan Azman Mohamad, 41, di Taman Safiah Murni, Bukit Payong pada 7 Januari 2010.

Dia dituduh melakukan jenayah itu antara jam 7 malam sehingga 8 malam, di bawah khemah Surau Taman Safiah Murni, Bukit Payong.

Oleh itu, dia didapati melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Dalam pertuduhan kedua, Kecit dituduh melakukan kesalahan mencuri motosikal jenis Honda Wave kepunyaan Zaiton Arifin, 46, bersama dua yang lain yang dituduh pada 2 Disember 2010.

Dia dituduh melakukan jenayah antara jam 2 pagi hingga 10 pagi, di hada-pan rumah di Jalan Kuala Berang, Bukit Payong.

Dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama serta boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Kecit ditawarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun gagal membayarnya dan kes itu ditangguhkan pada 6 Mac ini.

Bagi kesalahan ketiga, pada 6 Januari lalu, lebih kurang jam 12.15 pagi di Balai Polis Bukit Payong, tertuduh didapati memasukkan dadah jenis Methamphetamine yang tersenarai dalam bahagian 11 Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 ke badan sendiri.

Oleh itu, dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan huku-man denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 pindaan 2002 tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Bagi pertuduhan itu, dia ditawarkan jaminan sebanyak RM1,500 namun gagal membayarnya.
SH

Berdepan penjara 7 tahun sebab curi paip





KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri paip, seorang bapa berdepan dengan hukuman penjara tujuh tahun jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh, Md Zamri Sidek, 41, dan berasal dari Kampung Surau Haji Daud, Atas Tol mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Kuala Terengganu, Nor Adila Ab Karim.

Dalam pertuduhan yang dijalankan pegawai polis, Inspektor Mahathir Mohd Yusof, Md Zamri dituduh mencuri satu baldi berisi paip besi kepunyaan Saodi Yusof, 46, di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang pada 13 Februari lalu.

Dia dituduh melakukan jenayah itu kira-kira jam 9 pagi, di sebuah stor di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia ditawarkan jaminan sebanyak RM2,000 namun gagal membayarnya dan kes itu akan disebut semula pada 20 Mac ini.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Md Zamri dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif pil kuda. Jika sabit kesalahan, dia berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000

Majistret kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM1,500, namun tertuduh gagal membayarnya.
SH

Kantoi ketika sedang berjudi



SETIU – Kelekaan tiga lelaki yang sedang bermain judi akhirnya bertemu padah apabila mereka ditahan polis dari bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu yang diketuai Inspektor Abang Zulkarnain Abang Kerni bersama lima anggota.

Pemangku Ketua Polis IPD Setiu, Asistan Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bahagia, Bintang itu dibuat atas maklumat awam.

“Ketika serbuan dilakukan ketiga-tiga suspek asyik bermain judi dan berjaya ditahan oleh pihak polis tanpa sebarang pergelutan, sebelum dibawa ke IPD Setiu untuk siasatan lanjut.

“Hasil tangkapan tiga lelaki tersebut, kita juga berjaya merampas wang tunai RM139 dan 52 keping daun terup di tempat kejadian dan pemeriksaan urin yang dilakukan juga mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Menurutnya, pada asalnya operasi yang dilakukan oleh bahagian narkotik itu bertujuan membuat penangkapan mengenai penyalahgunaan dadah, tetapi pada masa sama semua suspek turut bermain judi.

“Susulan penangkapan tersebut, ketiga-tiga suspek telah dituduh dengan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Besut semalam iaitu mengikut Seksyen 6 Akta Rumah Judi 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ketiga-tiga suspek dikenakan ikat jamin sebanyak RM 2,800 seorang bagi dua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka iaitu RM1,000 bagi kesalahan judi dan RM1,800 disebabkan positif dadah sebelum menunggu perbicaraan,” katanya.
SH

Bagai aksi filem




KUALA TERENGGANU - Bagaikan aksi filem. Seorang pemandu berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya merempuh beberapa buah kenderaan, sebelum menghentam dinding depan rumah seorang penduduk, dalam kejadian di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, tengah hari semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Mat berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, mengikut maklumat awal yang diterimanya, kereta Persona tersebut datang dari arah Jeram menghala ke Kampung Buloh Gading.

Bagaimanapun katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta itu dipercayai terbabas di kawasan selekoh, lalu bergesel dengan sebuah Pajero, sebelum melang gar sebuah kereta Waja yang terletak di garaj dan merempuh dinding hadapan kediaman itu.

“Akibat rempuhan kuat itu, dinding itu terbalik dan rosak. Tuan rumah yang ketika itu berada dalam kediamannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kereta Persona itu pula remuk pada bahagian depan dan belakang, manakala kereta Waja pula remuk sebelah kiri, termasuk bumper, lampu dan bonet sementara Pajero itu hanya sedikit tercalar pada bahagian bumper kiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurut beliau, pihaknya masih menunggu laporan lanjut memandangkan pihak yang terlibat masih belum membuat laporan polis.
SH

Gempur premis judi, hiburan




KOTA BHARU – Ops Bersepadu membabitkan 45 anggota daripada empat agensi malam kelmarin berjaya menahan dua lelaki, satu wanita serta merampas pelbagai peralatan daripada pemilik premis yang beroperasi tanpa lesen.

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Imigresen dan polis memulakan operasi jam 9.30 malam dengan menyerbu premis di Kampung Limau Manis.

Ketua Operasi, Ropein Hasan berkata, wanita warga Thailand berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai pelacur ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperolehi, kawasan itu sememangnya menjadi tumpuan untuk aktiviti judi mahjung di tingkat bawah dan pelacuran di tingkat atas.

“Dua lelaki masing-masing berusia 20-an dan 30-an turut ditahan di kawasan itu dan kita juga merampas peralatan judi mahjung,” katanya.

Operasi katanya, diteruskan dengan menyerbu premis yang menjual minuman keras di Jalan Zainal Abidin dan kerusi, meja dan arak dirampas kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Dalam serbuan ke kedai komputer di Jalan Kelochor pula, katanya, 23 unit komputer dirampas kerana beroperasi tanpa lesen.

“Kita mendapat maklumat premis itu menjalankan aktiviti perjudian, namun kami tidak menemui unsur judi ketika serbuan dibuat,” katanya.

Selepas itu katanya, operasi bertumpu di premis makanan di Taman Hijau dan berhampiran dua hotel di kawasan berkenaan.

“Hasilnya pemeriksaan, kami berjaya menemui 27 unit shisha dan peralatan berkaitan, kami merampasnya kerana ia menyalahi peraturan,” katanya yang juga Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat MPKB-BRI.

Ropein berkata, Operasi Bersepadu bersama beberapa jabatan lain yang dilaksanakan sejak tahun 2005 selepas MPKB mendapat status BRI itu diteruskan dari semasa ke semasa.

“Kita tidak mempunyai kuasa menangkap pelacur, sebab itu kita menjalinkan kerjasama dengan jabatan lain yang memiliki kuasa, kita juga dimaklumkan JAHEAIK sudah banyak membuat tangkapan di kawasan Limau Manis termasuk pondan.

“Kawasan itu menjadi tumpuan utama kerana kami mahu membebaskannya daripada aktiviti mungkar dan kita akan menambah pencahayaan bagi mengelak kegiatan itu terus subur,” katanya.
SH

Penganggur rompak berkumpulan dipenjara


KOTA BHARU – Akibat merompak seorang wanita secara berkumpulan sebulan lalu, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan tiga sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Sani Ismail, 27 didapati bersalah bersama tiga lagi rakanya yang masih bebas, merompak seorang peniaga kedai runcit, Ruhaiza Ibrahim, 38 di Kampung Padang Layang Pendek, 5 Januari lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, keempat-empat penjenayah terbabit menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan kedai runcit sebelum dua daripadanya berpura-pura untuk membeli rokok.

Mangsa yang meletakkan rokok berkenaan di atas kaunter bayaran tiba-tiba diserang, dicekik dan rantai tangan yang dipakainya diambil, manakala seorang lagi mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM2,000.

Dalam keadaan cemas itu, Ruhaiza sempat menjerit untuk menyelamatkan dirinya, tetapi ditolak sehingga jatuh.

Abangnya yang mendengar jeritan itu sempat melihat kedua-dua penjenayah itu berlari ke arah dua lagi lelaki yang menunggu di dalam kereta.

Hakim Irwan Suainbun akhirnya memutuskan hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan rotan ke atas Sani berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada hari kejadian.
SH

Wajah adik pucat




PALOH RAWA - Kakak kepada mangsa yang dikhuatiri lemas, Hasriana Jamaluddin, 21, berkata, wajah adiknya agak pucat pada hari kejadian.

Katanya, tiada perkara pelik yang ditunjukkan oleh mangsa, Hasmuri, 22, cuma wajahnya agak pucat.

“Sebelum dia ke tempat kerja, saya melihatnya pucat dan menyangka dia tidak sihat memandangkan dia menghidap penyakit lelah, namun tidak pula bertanyakan hal itu kepadanya.

“Saya hanya mengetahui mengenai kejadian ini, apabila dimaklumkan oleh abang ipar kira-kira jam 4 petan semalam, dan bergegas ke tempat kejadian bagi mengetahui cerita lanjut,” katanya.

Hasriana berkata, Hasmuri merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik dan berhenti sekolah sejak tingkatan satu.

Katanya, selepas berhenti sekolah, Hasmuri bekerja di Pam Pasir di Kampung Cina itu sehinggalah terjadinya musibah tersebut.

Menurutnya, adiknya pandai berenang dan Sungai Kelantan bukan tempat yang asing buat Hasmuri tambahan pula dia mencari rezeki di situ.

“Kami menerima dugaan ini dengan redha Walaupun agak tipis, kami masih mengharapkan kepulangannya namun jika sudah tiba masanya, kami redha,” katanya.
SH

Dua lelaki cedera




GUA MUSANG - Dua lelaki nyaris maut apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas merempuh pengadang jalan lalu melanggar dua tiang elektrik dan telefon sebelum menjunam ke gaung 10 meter, pagi semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu di Kilometer 14 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pemandu kereta Proton Wira, Mohd Salahuddin Md Nor, 24, bersama rakannya, Muhammad Azizul Aziz, 17, hanya cedera ringan.

Kejadian itu menggemparkan pengguna yang melihat kenderaan dipandu laju itu terbabas tiba-tiba ke kanan jalan sebelum merempuh pengadang.

Saksi, Mohd Fauzi Daud, 42, berkata, rempuhan pertama menyebabkan tayar hadapan kenderaan itu tercabut, lalu melanggar dua tiang elektrik dan telefon sebelum terjunam ke dalam gaung.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan bantuan orang ramai.

“Saya takut melihat kenderaan itu meluru ke arah pengadang jalan hingga bunyi dentuman kuat dan berasap sebelum merempuh pula dua tiang elektrik serta telefon hingga patah.

“Nasib baik tiang tersebut tidak tumbang ke atas kereta mangsa jika tidak mereka berdua lebih parah,” katanya.
SH

Lapan lelaki disyaki dari dua geng curi motosikal ditahan



KAJANG - Lapan lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini ditahan dalam operasi di Sungai Chua dan Kajang Utama di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada 4 dan 10 Februari lalu itu berusia 16 tahun hingga 20-an.

Dalam serbuan pada pukul 2 petang 4 Februari, polis menahan empat lelaki tempatan dan merampas komponen motosikal yang dileraikan dan kesemua mereka mengaku terlibat dalam 30 kes curi motosikal di daerah ini.

Empat lagi lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Kajang Utama pada pukul 7 pagi 10 Februari pula mengaku terlibat dalam 20 kes pecah kereta dan polis turut menemui lima motosikal yang dipercayai dicuri, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis percaya kumpulan itu menjalankan kegiatan mereka di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu. - Bernama
SH

Sime Darby Berhad disaman lebih 600 juta ringgit

Sime Darby Engineering, S-D-E, syarikat milik penuh Sime Darby Berhad disaman lebih 600 juta ringgit oleh sebuah syarikat tenaga beroperasi di Abu Dhabi.

Saman difailkan oleh Emirates International Energy Services, Emas, berpunca daripada pertikaian pembidaan tender.

Memetik akhbar harian, The National, S-D-E didakwa menarik diri daripada tujuh projek berskala besar bagi membantu syarikat asing yang tidak dinamakan memenangi tender.

Penarikan daripada pembidaan dilakukan pada waktu kritikal dan saat akhir yang menimbulkan keraguan mengenai Emas dan memburukkan reputasi syarikat.

SDE membida projek dalam sektor minyak dan gas di negara teluk itu menerusi Emas.

Emas dilaporkan menuntut pembayaran hampir 200 juta dolar Amerika dan ganti rugi dalam saman yang difailkan di mahkamah komersil Abu Dhabi.

Menurut laporan akhbar itu juga, S-D-E menafikan dakwaan itu dan sebaliknya memaklumkan syarikat itu tidak tertakluk untuk menerima atau menolak projek berkenaan sejajar dengan mana-mana tarikh akhir.

10 maut nahas pesawat di Honduras



15/02/2011 3:41am

TEGUCIGALPA 15 Feb. - Sekurang-kurangnya 10 orang maut apabila sebuah pesawat ringan yang membawa kira-kira 20 penumpang terhempas berhampiran ibu negara Honduras ini, semalam.
"Lebih sepuluh penumpang maut dan mayat didapati bergelimpangan di dalam kabin pesawat itu," kata pegawai Palang Merah, Luis Romero memberitahu AFP.
Komander Tentera Udara Honduras, Colonel Ruiz Pastor Lanza berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa pesawat yang berlepas dari San Pedro Sula menuju ke Tegucigalpa itu terputus hubungan dengan pengawal lalu lintas udara. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Puja 'gajah' wat Siam


Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my
2011/02/15

 Siew  menunjukkan sebahagian tebu dan pisang yang diletakkan berhampiran gajah hiasan di wat Watthai Pradit Tharam.
Siew menunjukkan sebahagian tebu dan pisang yang diletakkan berhampiran gajah hiasan di wat Watthai Pradit Tharam.
Kaki judi Melayu amal khurafat bawa tebu, pisang ke Watthai Pradit Tharam

KUALA NERANG: Akibat terlalu taksub dengan perkara khurafat, sekumpulan kaki ekor yang ingin cepat kaya sanggup membawa tebu dan pisang untuk menjamu dua ekor gajah hiasan yang terletak di pintu masuk Wat Siam, di Kampung Baru Padang Sanai, dekat sini.
Tindakan kaki ekor berkenaan yang membawa tebu dan pisang untuk menjamu gajah hiasan di Watthai Pradit Tharam itu menimbulkan rasa kurang senang masyarakat keturunan Siam di kampung berkenaan.
Gajah diperbuat daripada simen setinggi kira-kira 2.5 meter itu dikatakan menjadi tumpuan kaki judi selepas mendakwa seorang kaki ekor mendapat habuan RM100,000 apabila kononnya mendapat mimpi nombor bertuah selepas mengunjungi gajah itu kira-kira lima tahun lalu.

Berikutan dakwaan itu, ramai kaki ekor berkunjung ke situ membawa tebu dan pisang untuk dihidangkan kepada gajah itu sambil berharap mendapat mimpi nombor ramalan yang dikatakan boleh mengubah nasib seseorang.

Malah, ada yang beranggapan gajah itu keramat yang mampu memberi keuntungan besar dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermaruah itu menimbulkan keresahan di kalangan penduduk apabila pengunjung terbabit meninggalkan pisang dan tebu sehingga menyebabkan kawasan sekitar pintu itu kotor.
Ahli Jawatankuasa wat berkenaan, Siew Kim, 50, berkata, perbuatan kaki ekor itu menyebabkan ramai yang tidak senang dengan senario berkenaan wat berkenaan adalah rumah ibadat kepada penganut buddha berketurunan Siam di kawasan itu.

"Kami sedih dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan berharap ia segera dihentikan. Perbuatan mereka membawa tebu dan pisang berkenaan menyebabkan kawasan itu kotor dan berbau," katanya yang tinggal kira-kira 100 meter dari wat itu.

Seorang lagi penduduk, Goh Ai Eng, 70, berkata dia ada mendengar cerita mengenai dakwaan ada kaki ekor yang mendapat habuan selepas mengunjungi gajah hiasan itu.

"Saya percaya disebabkan ramai yang datang ke situ tidak mustahil ada yang bernasib baik 'menikam' nombor yang tepat, tetapi bukanlah disebabkan gajah itu keramat tetapi mungkin berlaku secara kebetulan," katanya.

Timbalan Ketua Pelatun RELA Kampung Baru Padang Sanai, Awang Had Saad, 50, berkata, lebih menyedihkan kerana orang Melayu terbabit dalam perbuatan itu.

"Kita percaya mereka bukan penduduk dari daerah ini, tetapi orang luar. Mereka bukan saja datang pada waktu siang, tetapi ada yang sanggup datang pada waktu malam atau awal pagi.

Ketua Masyarakat Siam Malaysia, Senator Bon Som Inong, berkata, beliau ada mendengar mengenai perbuatan kaki nombor ekor di wat berkenaan.
Berita Harian Online | Wilayah: Puja 'gajah' wat Siam

96 ditahan dalam Ops Valentine




ANGGOTA penguat kuasa Ops Valentine menanyakan sesuatu kepada mereka yang diberkas di sekitar Subang Jaya, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Walaupun kempen dilakukan bagi memberi kesedaran kepada umat Islam agar menjauhi sambutan Hari Kekasih hari ini, namun masih ada yang tidak mengambil peduli.
Ia terbukti apabila 96 umat Islam ditahan kerana berkhalwat dalam 'Ops Valentine' yang dijalankan di sini dan Selangor, malam semalam hingga awal pagi ini.
Lebih menyedihkan, tangkapan dilakukan kurang 24 jam sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nurhamizah Othman berkata, seramai 80 orang berusia 18 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan di hotel-hotel bajet di seluruh Selangor.
"Sebelum ini usaha dilakukan di dalam fasa pertama iaitu melalui kempen, dakwah dan arahan beredar kepada pasangan oleh penguat kuasa di taman-taman rekreasi dan tasik," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, peringatan melalui khutbah Jumaat juga telah disampaikan agar umat Islam tidak terikut-ikut dengan budaya barat itu yang boleh merosakkan akidah.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan didakwa di mahkamah selain 61 orang diarah menghadiri sesi kaunseling dan 60 lagi diminta beredar.
"Mereka yang ditahan bakal didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Katanya, dalam operasi tersebut juga, seramai enam orang diuji positif dadah dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi melibatkan kira-kira 60 pegawai dan anggota penguat kuasa JAIS itu diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Mohd. Rais Rashid.
"Operasi bermula pukul 8 malam dan berakhir pukul 5 pagi turut melibatkan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan dan Rela," katanya lagi.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Raja Laut, 16 orang berusia 21 hingga 40 tahun ditahan di lima buah hotel bajet kira-kira pukul 1 pagi.
Jurucakap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, ketika serbuan, ada yang enggan membuka pintu dan melengahkan masa dipercayai untuk memakai pakaian.
"Ada tidak sempat memakai baju, bersembunyi di dalam bilik air dan belakang pintu ketika ditahan pegawai Jawi," katanya di sini hari ini.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Jawi untuk siasatan mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kematian Fazlina bukan akibat serangan asma



SHAH ALAM 14 Feb. - Seorang pakar perubatan forensik mengesahkan bahawa kematian eksekutif wanita, Fazlina Ahmad yang mayatnya dijumpai di dalam almari pakaian di rumahnya, dua tahun lalu bukan disebabkan serangan penyakit asma.
Pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Khairul Anuar Zainun berkata, serangan bagi pesakit asma sememangnya boleh mengakibatkan kematian namun tidak berlaku terhadap Fazlina atas beberapa alasan.
''Lazimnya terdapat tanda-tanda seperti kebiruan pada bibir dan jari, paru-paru membesar sehingga memenuhi keseluruhan ruang dada di samping lendir akan memenuhi saluran pernafasan,'' jelasnya.
Khairul Anuar selaku saksi pendakwa kedua memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini semasa disoal balas oleh peguam bela Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh, Mohafri Mohamed yang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh isterinya itu.
Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar, saksi itu menyatakan beliau sebaliknya menjumpai tanda-tanda lain yang tidak akan terdapat dalam kes kematian akibat serangan asma.
Misalnya pendarahan mata, lebam melecet di bawah bibir serta kewujudan pita pelekat di mulut Fazlina, kata Khairul Anuar.
Mohafri, 38, yang merupakan bekas pengurus syarikat katering didakwa membunuh Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ibu saudara tertuduh, Azah Mokhtar, 62, memberitahu, sehari sebelum kejadian mangsa membawanya keluar untuk minum dan berbincang masalah rumahtangga di restoren Starbucks di Great Eastern Mall.
''Dalam pertemuan itu, Fazlina yang mengetahui bahawa suaminya mempunyai seorang teman wanita menyatakan, dia sudah tidak boleh meneruskan perkahwinan itu lagi.
''Saya selaku orang yang lebih tua menasihatinya supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan,'' katanya.
Saksi pendakwaan ke 15, Mohd. Saman Mohd. Ishak, 34, yang merupakan adik ipar Mohafri pula menyatakan dia berjumpa tertuduh di rumah saudara mereka di Ampang pada malam lelaki itu ditangkap pada 3 Januari tahun lalu.
Katanya, sebelum itu, tertuduh menelefon ahli keluarga menyatakan hasrat untuk menyerah diri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 24 Februari ini.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Presiden Yemen tangguh lawatan



SANAA 14 Feb. - Presiden Yemen yang berhadapan tekanan daripada penunjuk perasaan supaya meletakkan jawatan menangguhkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) selepas pembangkang bersetuju menyambung semula rundingan dengan kerajaan, semalam.
Menurut pejabat Presiden yang dipetik oleh agensi berita kerajaan, Saba, Presiden Ali Abdullah Saleh (gambar) memutuskan untuk menangguhkan lawatan ke AS yang dijadual pada hujung Februari ini ekoran perkembangan terbaru di rantau ini.
Bagaimanapun, kedua-dua negara itu akan menetapkan tarikh lawatan baru, tambah kenyataan itu.
Pembangkang Yemen bersetuju menyambung semula rundingan yang digantung sejak Oktober lalu dengan kerajaan selepas rejim pemerintah berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat daripada penunjuk perasaan bagi menuntut peletakan jawatan Ali Abdullah Saleh.
Common Forum, perikatan kumpulan pembangkang Parlimen, 'bersedia untuk menandatangani rangka perjanjian' pada minggu ini dalam usaha menyambung semula dialog kebangsaan, menurut kenyataan yang diterima oleh AFP itu.
Draf perjanjian itu meminta pembentukan kerajaan perpaduan dan mengadakan dialog berhubung penyokong pemisahan Pergerakan Selatan, pemberontakan Syiah di utara Yemen dan anggota pembangkang yang hidup dalam buangan.
"Rundingan akan disambung semula pada peringkat ia digantung pada 31 Oktober lalu," kata Common Forum yang dianggotai oleh al-Islam yang merupakan pembangkang Islam terbesar di Yemen, Parti Sosialis Yemen dan beberapa parti kecil lain.
Sementara itu, beribu-ribu pelajar dan peguam yang mendesak perletakan Ali Abdullah Saleh hari ini bertempur dengan polis anti-keganasan bersenjatakan belantan serta pasukan keselamatan yang menggunakan dawai berduri bagi memaksa kumpulan itu meninggalkan bahagian tengah ibu negara Yemen ini.
Seorang wartawan AFP berkata, lebih 3,000 penunjuk perasaan berarak dari Sanaa University menuju ke Dataran Al-Tahrir bagi mendesak pengunduran Presidennya.
Jalan-jalan di sekitar dataran itu bergema dengan laungan 'Selepas mubarak, Ali', merujuk kepada penyingkiran Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas tunjuk perasaan selama 18 hari yang dilancarkan oleh beribu-ribu penduduk Mesir di Dataran Tahrir. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Protes kali kedua di Algeria



ALGIERS 14 Feb. – Pemimpin- pemimpin pembangkang Algeria yang dirangsang oleh kejayaan tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir mengumumkan akan menganjurkan perarakan protes kedua di Algiers Jumaat ini, tanpa mengendahkan pengharaman penganjuran demonstrasi di negara ini.
Koordinator Kebangsaan bagi Perubahan dan Demokrasi (CNCD), gabungan parti pembangkang, kumpulan hak asasi dan kesatuan tidak rasmi mengumumkan perarakan protes baru itu selepas pemimpin-pemimpin mereka mengadakan pertemuan, semalam.
Ia akan bermula di Dataran 1 Mei iaitu tempat di mana berlakunya tunjuk perasaan kelmarin, menurut Presiden Liga bagi Mempertahankan Hak Manusia (LADDH), Moustepha Bouchachi yang juga sebahagian daripada CNCD.
Sabtu lalu, hampir 30,000 polis menghalang perarakan protes yang disertai kira-kira 2,000 orang dari Dataran 1 Mei ke Dataran Syuhada sejauh empat kilometer.
Semalam, jurucakap CNDC, Khalil Moumene mengutuk apa yang disifatkannya sebagai tindakan kejam pasukan keselamatan dan penahanan aktivis pembangkang.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman menggesa supaya pihak berkuasa Algeria tidak bertindak keterlaluan, sehari selepas operasi keselamatan besar-besaran menghalang 2,000 penunjuk perasaan berhimpun di Algiers.
“Kami memandang serius tunjuk perasaan yang berlaku di Algeria dan menggesa pasukan keselamatan tidak bertindak keras,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Philip Crowley dalam satu kenyataan.
Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle pula memberitahu televisyen ARD mereka mengecam sebarang tindakan ganas ke atas penunjuk perasaan yang hanya mahukan kebebasan dan menuntut hak mereka.
CNCD mahu rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan dengan segera ekoran meningkatnya kadar pengangguran dan peningkatan kos hidup, alasan sama yang dibawa di Tunisia dan Mesir. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

31 ekor lembu seludup dilelong




Sebahagian lembu sudah dilelong diserahkan kepada pembelinya di Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kelantan di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 14 Feb. – Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri melelong 31 ekor lembu seludup dianggarkan bernilai RM48,000 yang telah dirampas dan dilucutkan hak di bawah Seksyen 74(2) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006).
Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan berkata, lelongan itu merupakan kali ketiga pada tahun ini.
Menurut beliau, berdasarkan dua lelongan lalu iaitu pada Januari dan awal bulan ini, pihaknya berjaya mengumpulkan hasil berjumlah RM59,463.35.
“Kesemua lembu tersebut merupakan ternakan yang ditahan tanpa tuan bersabit kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) iaitu membawa masuk binatang/import (ternakan) tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis lelongan ternakan rampasan di pekarangan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kelantan di Kubang Kerian dekat sini, hari ini.
Dr. Mohd. Zairi memberitahu, sepanjang tahun lalu pihaknya membuat 13 lelongan melibatkan 270 ekor binatang ternakan.
“Jumlah tersebut melibatkan 265 ekor lembu, kerbau (tiga) dan masing-masing dua ekor kuda dan kambing.
“Jumlah keseluruhan hasil lelongan sepanjang tahun lalu ialah sebanyak RM247,471.25,” ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Timur

Ops Valentine: Tiga pasangan ditangkap berkhalwat


MELAKA 14 Feb. - Sambutan Hari Kekasih malam tadi menjadi satu igauan ngeri buat tiga pasangan kekasih dari institusi pengajian tinggi apabila mereka ditangkap kerana dipercayai berkhalwat di sebuah hotel di sini.

Turut ditahan dalam Ops Valentine oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu ialah sepasang kekasih dan satu kumpulan terdiri dari empat lelaki dan seorang perempuan.
Kesemua mereka berumur 18 hingga 30 tahun ditahan di dalam bilik hotel murah sekitar Taman Melaka Raya, Bachang, Semabok, Banda Hilir dan Jalan Tun Ali di sini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, operasi kali ini membabitkan 20 pegawai dan anggota penguat kuasa JAIM sempena sambutan Hari Kekasih.
"Dalam operasi dinamakan Ops Valentine ini kita telah menyerbu 12 hotel bajet sekitar negeri ini dan hasilnya berjaya menahan 13 individu bukan muhrim yang dipercayai bersekedudukan.
"Kita turut menemui beberapa kondom yang telah dipakai dan masih baru yang dipercayai digunakan untuk melakukan seks haram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, operasi itu diadakan bagi menyedarkan pasangan beragama Islam mengenai perbuatan haram selain ke arah usaha mencegah maksiat daripada terus berleluasa.
Rahimin berkata, kesemua mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan-kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim.
Sabit kesalahan, katanya, boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Utusan Malaysia Online - Selatan

Nahas 3 kenderaan, pengguna terkandas tiga jam




KEMALANGAN antara bas, kereta dan sebuah pacuan empat roda mengakibatkan kesesakan lalu lintas di Kilometer 284 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Seremban, semalam.


SEREMBAN 14 Feb. - Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara hari ini terkandas dalam kesesakan hampir tiga jam akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 284, di lebuh raya berkenaan di sini hari ini.
Kesesakan sejauh 15 kilometer itu berpunca apabila kenderaan terbabit terdiri daripada bas, kereta dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) tersebut menghalang jalan.
Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku pukul 9.30 pagi apabila sebuah bas membawa 40 penumpang yang dalam perjalanan dari Seremban ke ibu negara melanggar belakang sebuah kereta Proton Wira, dipandu seorang lelaki.
Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kereta tersebut yang berada di lorong tengah terbabas ke lorong kanan.
Tambahnya, bas berkenaan kemudian melanggar belakang sebuah lagi 4WD Nissan Navara yang dinaiki dua lelaki.
"Pelanggaran tersebut menyebabkan 4WD terbabit berpusing sebelum diseret bas berkenaan sejauh beberapa meter.
"Bagaimanapun, semua penumpang bas termasuk pemandu dua lagi kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sini hari ini.
Tambahnya, usaha mengalih semua kenderaan itu mengambil masa beberapa jam menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan sejauh kira-kira 15 kilometer.
Sementara itu, pemandu Proton Wira yang mahu dikenali sebagai Najib, 35, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
"Apabila sampai di tempat kejadian beberapa kenderaan di depan saya memperlahankan kenderaan kerana ada satu kemalangan kecil membabitkan dua kereta di hadapan.
"Namun, beberapa saat kemudian sebuah bas dari arah belakang tiba-tiba melanggar kenderaan saya sehingga terbabas ke tepi sebelum bas itu melanggar sebuah lagi kenderaan," jelasnya.
Menurutnya, dia yang memandu seorang diri kemudian bergegas keluar dari kenderaannya kerana bimbang dirempuh kenderaan dari arah belakang.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua yang terlibat dalam kemalangan ini juga tidak cedera," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Selatan

Kedai kain sari, pakaian terbakar




ORANG ramai memerhatikan anggota bomba memadamkan api di deretan kedai di Jalan Bendahara, Melaka, semalam.


MELAKA 14 Feb. – Baru enam bulan beroperasi, seorang peniaga kain sari dan pakaian terpaksa menanggung kerugian RM180,000 apabila kedainya musnah dalam kebakaran di Jalan Bendahara di sini malam tadi.
Mangsa, V. Saravanan, 34, berkata, ketika kejadian dia sedang berada di rumahnya di kawasan berhampiran selepas menamatkan perniagaannya itu pada pukul 9.30 malam.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kebakaran itu apabila dimaklumkan seorang rakan pada pukul 11.30 malam dan terus bergegas ke kedainya.
“Apabila sampai, saya lihat api sedang marak di hadapan kedai dua tingkat dan terus menelefon bomba.
“Saya tidak sempat mengambil insurans premis kerana baru enam bulan beroperasi dan semua stok kain sari yang musnah itu diterima beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang melawat Saravanan menyampaikan bantuan awal RM1,000 kepada mangsa bagi meringankan beban.
Sementara itu, Saravanan percaya kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas di luar bangunan tersebut kerana baru membuat pendawaian baru di premisnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu yang mengetuai operasi, Yazid Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pukul 11.29 malam.
Tambahnya, seramai 21 anggota dan lima jentera daripada Balai Bomba Jalan Kubu, Ayer Keroh dan Bukit Katil telah dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal pada pukul 12.07 tengah malam.
“Kebakaran turut menjejaskan dua buah kedai lain di sebelahnya, namun siasatan awal mendapati tiada kerosakan pada barangan di dalam dua kedai tersebut,” katanya.
Utusan Malaysia Online - Selatan

Dua pasangan berkhalwat dicekup dalam Ops Valentine




Anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah menyoal seorang wanita yang masih berselimut ketika dicekup bersama pasangannya bukan muhrim di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 14 Feb. - Walaupun Kedah ditadbir oleh Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam namun kegiatan maksiat termasuk kes khalwat sempena menyambut Hari Kekasih terus berlaku di negeri ini.
Dalam Ops Valentine yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) semalam, dua pasangan kekasih ditahan kerana disyaki berkhalwat di hotel murah di Kampung Berjaya dan di Jalan Putra antara pukul 1 hingga 1.30 pagi.
Pasangan pertama yang dicekup di Kampung Berjaya berusia 26 tahun dan merupakan penjawat awam manakala pasangannya berusia 25 tahun masih lagi menuntut dalam jurusan kejururawatan di sini.
Ketika diserbu pasangan tersebut mengaku telah bernikah pada 2008 namun setelah hampir setengah jam disoal siasat penipuan mereka terbongkar apabila kenyataan lelaki tersebut didapati bercanggah dengan pasangan wanitanya.
Lelaki tersebut yang berasal dari Kelantan juga mengakui dia pernah berkahwin namun telah bercerai dan sedang merancang untuk menikah dengan gadis yang bermalam dengannya di hotel murah tersebut.
Ketua penolong pegawai penguatkuasa JHEAIK, Sheikh Mohd. Sulaimi Salleh berkata, Ops Valentine itu bermula kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 2.30 pagi.
"Pihak kami meninjau kawasan hotel-hotel murah di sekitar Kampung Berjaya, Jalan Putra dan Bukit Pinang.
"Tiada pasangan ditahan di kawasan Bukit Pinang dan pihak kami meneruskan operasi hari ini dengan meninjau hotel murah di kawasan pusat bandar pula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, pasangan pertama yang ditahan itu pada mulanya enggan mengaku bahawa mereka berkhalwat namun setelah disoal siasat oleh pegawai JHEAIK akhirnya mereka mengaku belum berkahwin.
"Pasangan kedua yang ditahan di sebuah hotel murah di Jalan Putra pula berusia 39 tahun manakala pasangan wanitanya berusia 37 tahun.
"Ketika ditahan mereka sedang berdua-duaan di dalam bilik dan terus mengaku masih belum bernikah," ujarnya.
Jelasnya, pasangan-pasangan yang telah ditahan itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut yang disertai 25 pegawai tamat sekitar pukul 2.30 pagi.
Utusan Malaysia Online - Utara