Search This Blog

Loading...

Saturday, February 12, 2011

Padah tipu warga emas




RAUB – Mahkamah Majistret Raub menetapkan hukuman 18 bulan penjara dan tiga sebatan kepada seorang lelaki yang didapati bersalah memperdaya tiga warga emas dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Nik Habri Muhammad mengarahkan Sham Mustaffa, 39, menjalani 18 bulan penjara dan satu sebatan untuk setiap kesalahan dilakukannya.

Tertuduh kemudiannya merayu supaya mahkamah meringankan hukuman dengan alasan mempunyai anak kecil dan sebahagiannya masih bersekolah, manakala isterinya tidak bekerja.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman penjara itu dijalankan serentak menjadikannya kekal 18 bulan untuk setiap kesalahan tetapi hukuman sebat kekal tiga kali.

Pada 24 Januari lalu, ketika kes itu disebut buat kali pertama, tertuduh pada asalnya berhasrat mengaku bersalah namun mengambil keputusan untuk mengubah pengakuan kepada tidak bersalah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Februari lalu untuk tarikh sebutan semula dan memberi ruang kepada tertuduh mendapatkan khidmat guaman.

Sebaik sahaja Mahkamah bersidang pada 9 Februari, tertuduh hadir tanpa diwakili peguam dan menukar semula pengakuan kepada bersalah.

Berkali-kali Majistret mendapatkan kepastian daripada tertuduh dan memberitahu bentuk hukuman yang bakal diterima, namun tertuduh tetap dengan keputusan asal untuk mengaku bersalah.

Tertuduh diarahkan menjalani hukuman berkuat kuasa 9 Februari ini di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Terdahulu, tertuduh didapati bersalah memperdaya Hasiah Enoh, 62, dari Kampung Sungai Pasu kira-kira jam 1 petang pada 27 Disember tahun lalu sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan RM1,150.

Tertuduh juga menghadapi dua sabitan lain dengan modus operandi sama membabitkan mangsa, Basariah@Saadah Mat Dilu, 72, dari Kampung Ajai dan T Ratiah T Hamid, 69, dari Kampung Jenud pada Julai tahun lalu sehingga masing-masing kerugian RM800.

Tertuduh yang datang ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pegawai JKM dan memaklumkan akan menghantar bahan binaan untuk membaiki dapur, namun mangsa mangsa perlu memberikan sejumlah wang sebagai deposit.
SH

Kenal dalang palsu dokumen




BATU GAJAH - Polis telah mengenal pasti dalang yang terlibat memalsukan dokumen menggunakan nama Menteri Besar dan jabatan kerajaan negeri.

Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad berkata, siasatan terperinci dijalankan polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Menurutnya, polis telah memaklumkan kepadanya mengenai individu terlibat untuk didakwa di muka pengadilan.

“Perkembangan terkini, hasil siasatan berjaya mengesan dalang yang terlibat dalam kes penipuan ini dan tak lama lagi mereka ini akan dibawa ke muka pengadilan.

“Kes ini melibatkan nama baik dan imej Kerajaan Negeri. Kita mahu mereka dihadapkan ke muka pengadilan, malah saya yakin polis akan melakukan tangkapan memandangkan beberapa suspek telah dikenal pasti,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis pelancaran K-Bakap dan penyerahan beg sekolah kepada 280 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap termasuk menyampaikan barangan keperluan kepada warga emas di Kampung Air Mati.

Isnin lalu, Azhar membuat dua laporan polis berhubung kes pemalsuan dokumen menggunakan nama Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri.

Laporan pertama dibuat di Balai Polis Pantai Remis pada jam 6 pagi dan laporan kedua di Balai Polis Sungai Senam di sini, kira-kira tiga jam kemudian.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya, Azhar berkata, laporan itu dibuat selepas menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan bertanda tangan pegawai khas Menteri Besar mengenai kelulusan tanah pertanian bagi dua lokasi berasingan.

Beliau berkata, surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian 324 hektar di Mukim Kenering bertarikh 9 Disember 2010, manakala surat kedua yang juga dengan kepala surat pejabat Menteri Besar serta bertandatangan beliau berkaitan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu yang dikeluarkan 13 Januari lalu.

Azhar berkata, kedua-dua surat itu adalah palsu serta berniat jahat dan menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan permohonan tanah serta menyarankan mana-mana individu yang tertipu melaporkan kepada polis.

“Saya minta mana-mana individu yang menerima surat sedemikian atau menjadi mangsa penipuan sindiket itu supaya buat laporan polis, selain dapatkan pengesahan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Jangan biarkan mereka menipu dan apa yang kita harus faham adalah pejabat Menteri Besar tidak mempunyai kuasa meluluskan tanah termasuk pegawai khasnya serta kita harap rakyat berhati-hati malah buat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada individu yang datang,” katanya.
SH

Penumpang wanita maut rempuh treler rosak



IPOH - Seorang penumpang terbunuh selepas kereta yang dinaiki merempuh belakang sebuah treler yang berhenti kerana rosak di laluan kecemasan di Kilometer 392.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tanjung Malim malam kelmarin.

Ketua Polis Trafik Negeri Superintendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu dikenali sebagai Ong Wee Nee, 24, berasal dari Pulau Pinang.

“Wanita itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu rakan Wee Nee dalam perjalanan dari utara ke selatan itu gagal dikawal, lalu merempuh belakang sebuah treler yang sedang berhenti kerana rosak di laluan kecemasan di tepi lebuh raya.

Katanya, pemandu treler itu terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang dan apabila apabila diperiksa dia mendapati trelernya dirempuh sebuah kereta.

Wan ABdullah berkata, pemandu kereta jenis Honda City itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. - BERNAMA
SH

Agensi pelancongan tipu




AYER KEROH - Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Melaka mengarahkan sebuah syarikat agensi pelancongan mengembalikan RM689 kepada seorang pelanggannya, Azry Abdullah, 36, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kes itu dibicarakan.

Presiden Tribunal, Masnah Haron menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Azry tertipu dengan syarikat berkenaan yang juga sebuah agensi pelancongan bergerak sekitar bandar raya ini.

Azri berkata, dia telah membeli pakej promosi pelancongan berjumlah RM689, selain menerima hadiah percutian ke destinasi pilihan.

Menurutnya, dia membayar pakej itu secara tunai pada 2 Disember 2010.

“Saya merancang percutian keluarga dan apabila terlihat promosi berkenaan, saya tertarik dan terus mendaftarkan diri. Ketika itu, saya diminta memilih destinasi percutian secara percuma sebagai hadiah menjadi ahli,” katanya.

Bagaimanapun Azry berkata, dia cuba menghubungi syarikat berke�naan dan mendapati tiada sebarang jawapan diterima.

“Keesokan hari, saya ke tempat promosi dijalankan tetapi ia telah dikosongkan.

“Disebabkan rasa tidak sedap hati, saya terus menghubungi mereka selama beberapa hari secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, pada hari keenam, dia berjaya menghubungi mereka tetapi diberikan alasan dia menghubungi nombor salah.

“Saya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru dan dinasihatkan mendapatkan bantuan di TTPM.

“Kes difailkan pada 27 Disember 2010 dan sehingga kini pihak berkenaan tidak menghadirkan diri dalam dua perbicaraan yang dijalankan,” katanya.
SH

Maut pikat burung




BUKIT KATIL - “Arwah ayah memang gemar memikat burung dan sewaktu kemalangan berlaku, dia dalam perjalanan memikat burung di kawasan belukar berhampiran.”

Demikian menurut anak kedua mangsa, Azmi Seman, 43, mengenai bapanya, Seman Bujang, 67, yang maut ketika melintasi jalan berhampiran Jambatan Sungai Tebing Tinggi, di sini, pagi semalam.

Azmi berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya sewaktu minum kopi di warung berhampiran rumahnya dan ketika itu arwah tidak menunjukkan tanda pelik.

“Tetapi semalam ketika bertemunya di warung kopi kira-kira jam 8 malam, ayah tidak banyak bercakap, jadi saya pun tidak syak apa-apa.

“Cuma setahu saya, ayah sudah lama tidak keluar memikat burung. Tidak tahu kenapa semalam dia tiba-tiba keluar, mungkin sudah takdir,” katanya yang reda dengan pemergian ayahnya itu.

Menurutnya, sebelum ini ayahnya memang sering keluar dan adakala bersama rakan untuk memikat burung.

“Itulah hobi ayah dan jika sudah banyak burung diperoleh, adakala ayah jual. Kadang-kadang ayah pergi memikat sampai ke luar Melaka,” katanya.
SH

Bahayakan nyawa demi rakan




KUANTAN – “Nasib baik saya bertindak cepat, kalau tidak pasti rakan saya kehilangan komputer riba kesayangannya.”

Demikian cerita seorang pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) yang tekad menyelamatkan komputer riba rakannya dalam kejadian kebakaran di sebuah kabin tapak pembinaan di Jalan Gambang berhadapan dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, petang semalam.

Norhafizah Mokhtar, 19, penuntut Sijil Kejuruteraan Awam yang menjalani latihan praktikal di situ berkata, walaupun menyedari api mula marak dan kabin berkenaan dipenuhi asap, dia memberanikan diri menyelamatkan barangan berharga milik rakannya itu.

“Bukannya tidak takut tapi mengenangkan rakan, Nurul Jannah Mohd, 20, yang begitu sayangkan gajet itu saya beranikan diri.

“Namun saya sedikit terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan beg seorang lagi rakan , Nor Syahira Ismail, 22, kerana api sudah merebak selepas itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dia bersama seorang lagi rakan praktikalnya berada di kabin bersebelahan manakala dua lagi pelajar yang turut menjalani latihan praktikal bersamanya berada di tapak pembinaan kira-kira 500 meter dari situ.

“Sebelum bekalan elektrik terputus, kami mendengar bunyi letupan daripada kabin sebelah yang dijadikan stor barang pembinaan.

“Tanpa berlengah, kami segera keluar dan menyaksikan asap mula keluar daripada stor terbabit,” katanya.

Katanya, walaupun terkejut dengan kejadian mencemaskan itu, dia bersyukur kerana tiada mangsa yang tercedera.

“Mujur juga beg rakan yang terbakar itu tidak mengandungi barangan berharga cuma buku pelajaran dan buku bank,” katanya.

Pengurus tapak pembinaan berkenaan, Hee Yun Feng berkata, dia terus menghubungi bomba selepas ternampak asap keluar daripada kabin berkenaan.

“Kabin itu mengandungi barang pembinaan seperti lampu, cat, pemanas air dan pelbagai lagi dan anggaran kerugian yang dialami adalah sekitar RM20,000.

“Ketika kejadian, 14 orang pekerja termasuk empat pelajar praktikal sedang bekerja di sini,” katanya.

Sementara itu, sepasukan pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera serta kenderaan bomba daripada Balai Bomba Taman Tas dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.17 petang.

Pegawai operasi, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Idzhar Rozali berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.
SH

Lelaki bebas tuduhan rasuah




KUANTAN - Seorang lelaki yang menghadapi tuduhan rasuah menarik nafas lega dalam Mahkamah Sesyen Kuantan apabila dia dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri atas tuduhan itu semalam.

Keputusan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain di akhir kes pendakwaan itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh tertuduh, Chun Chee Seng, 26 dari Desa Kenaga, Muadzam Shah, Rompin.

Ahmad Zamzani berkata, tertuduh dilepas dan dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berhubung tuduhan memberi suapan berjumlah RM10,000 kepada seorang pegawai polis, 19 Mei 2010.

Dalam pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raja Mohd Shasrizam Nik Mahmood itu, tertuduh didakwa menghulur suapan itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas disyaki menjalankan kegiatan perjudian ekor haram.

Dia didakwa cuba menyogok seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah, Bahagian Risikan Operasi (D4) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu ketika serbuan dijalankan ke atas kediamannya kira-kira jam 8.10 malam, Mei tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Mohammad Hisham Abdul Rahim mengaku tidak bersalah dalam sebutan pertama dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan memaklumkan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen itu di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari.
SH

Dua remaja lelaki maut




SEBERANG TEMERLOH – Dua remaja maut apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 121 Jalan Kuala Lumpur - Kuantan dekat Kampung Paya Pulai pada jam 8.55 malam kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Asisten Superintendan Mohd Hamzah berkata, penunggang motosikal itu dikenali sebagai Muhammad Sulaiman Muhammad Yusuf, 15, yang beralamat di Taman Seri Desa Batu 6 Jalan Maran, Temerloh.

Menurutnya, pembonceng motosikal itu, C Ravivarma, 18, pula berasal dari Ladang Getah Risda Kampung Awah, Maran.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari arah Kuantan bertembung dengan lori tanpa muatan dipandu Azlan Shah Mat Salleh, 25, dari arah bertentangan.

“Apabila sampai ke tempat kejadian, lori itu masuk ke laluan motosikal sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa.

“Kedua-dua mangsa tercampak daripada motosikal dan mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Mohd berkata, pemandu lori itu hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima bantuan orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Beliau berkata, kemalangan maut itu adalah yang pertama selepas Ops Sikap ke-23 berakhir petang kelmarin.

Sehubungan itu, Mohd menggesa ibu bapa memastikan anak mereka yang tidak mempunyai lesen memandu supaya tidak menunggang motosikal kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka dan orang lain.
SH

Motosikal, lori bertembung




MARAN – Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal ditungganginya dari arah Bandar Jengka menuju ke Felda Jengka 11 bertembung dengan lori dari arah bertentangan di Kilometer (KM) 53.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka-Jerantut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin itu, penunggang motosikal, Azlan Mustafa, 30, sedang dalam perjalanan ke rumahnya di Jengka 11.

Menurutnya, motosikal mangsa dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dan terjatuh.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan meninggal serta-merta di tempat kejadian. Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 11.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu untuk mengelak sebarang kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya.



Pulang ambil MyKid anak bongsu



ISTERI arwah, Wan Norhayati Wan Ghazali, 29, berkata, arwah baru 10 hari bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka di Jengka 11.

“Sebelum ini, arwah bekerja di kilang papan di Kawasan Perindustrian Fasa 2 Bandar Jengka sebelum membuat keputusan untuk bertukar kerja sebagai pengawal memandangkan gaji yang ditawarkan lebih tinggi.

“Dengan perbelanjaan yang semakin bertambah, arwah menerima tawaran untuk menjadi pengawal keselamatan, tambahan pula kami baru sahaja menimang cahaya mata kedua tiga bulan lalu,” katanya.

Wan Norhayati berkata, mereka baru sahaja menetap di rumah ibunya di Jengka 11 sejak Jun 2010 memandangkan rumah itu kosong semenjak ibunya tinggal bersama kakak di Subang.

“Malah, arwah turut bersetuju untuk tinggal di sini kerana ingin beralih angin setelah lama menetap di Shah Alam.

“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah melalui telefon apabila arwah memaklumkan bahawa dia mahu pulang ke rumah untuk makan selepas membuat MyKid anak bongsu kami di Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) Bandar Jengka,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, arwah tidak pernah pulang untuk makan tengah hari sepanjang tempoh bekerja namun semalam, dia menghubungi saya untuk pulang makan.

“Tidak lama selepas itu, penyelia arwah menghubungi saya untuk bertanyakan sama ada arwah ada di rumah kerana dia menerima berita arwah terbabit dalam kemalangan. Selepas itu, saya bergegas ke tempat kejadian.

“Arwah tidak sempat pulang ke rumah dan terbabit dengan kemalangan beberapa meter sahaja sebelum sampai ke simpang utama memasuki Jengka 11,” katanya.

Wan Norhayati berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun pada hari terakhir sebelum dia ke tempat kerja, arwah hanya sempat bersalam dan mencium anak-anak tanpa sempat bersalaman dengannya.

“Kini, hanya tinggal saya bersama anak sulung, Nor Alya Atikah, 4, dan anak bongsu, Mohd Adam Asyraf, 3 bulan,” katanya.



Arwah pekerja berdedikasi



PENYELIA di tempat kerja arwah, Saharani Misran berkata, sebelum kejadian itu, arwah memohon untuk keluar kerana ada urusan di JPN. Malah, saya sudah menandatangani buku laporan keluar masuk itu.

“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan mengatakan arwah terbabit kemalangan sebelum mengesahkan dengan isterinya di rumah.

“Dua, tiga hari sebelum kejadian, sikap arwah berbeza berbanding sebelumnya di mana dia lebih tegas ketika bertugas berikutan sudah memasuki minggu kedua bekerja sebagai pengawal di sini,” katanya.

Saharani berkata, arwah juga seorang yang rajin dan tekun bekerja selain turut melakukan kerja sampingan dengan mencari besi terpakai pada waktu malam untuk menambah pendapatan.

“Kami bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga arwah memandangkan mereka baru sahaja menimang cahaya mata kedua.

"Tambahan pula, dia menukar kerja kerana ingin mencari pendapatan lebih untuk menampung keperluan seisi keluarga,” katanya.
SH

Remuk dipijak gajah



KUBANG BEMBAN - Seorang kontraktor binaan, Wan Latif Wan Hassan, 55, dari Kampung Kubang Bemban terkejut apabila kenderaan pacuan empat rodanya rosak teruk selepas dipijak gajah ketika dia dan enam lagi rakannya pergi memancing di sebuah hutan dekat Grik, Perak.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia meninggalkan kenderaannya yang tidak dapat melalui jalan balak ketika dalam perjalanan ke lokasi itu.

“Perjalanan ke hutan memang agak mencabar dan pada satu peringkat kenderaan saya tidak boleh melalui jalan yang penuh dengan selut.

“Justeru, saya terpaksa meninggalkan kenderaan dan menumpang kenderaan rakan untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Menurutnya, dia meninggalkan kenderaannya lebih kurang jam 9.30 malam dan dia serta rakannya berkhemah di lokasi memancing.

Keesokan harinya, dia berhasrat ingin mengambil kenderaannya namun terkejut apabila bahagian depan keretanya kemik, sebahagian bonet kereta pula bengkok, cermin hadapan retak sementara bahagian belakang kenderaan seolah-olah dirempuh dengan kuat dipercayai oleh gajah.

Menurutnya, sebelum memasuki hutan, dia ada membawa bekalan tembikai yang diletakkan pada bahagian belakang kereta.

“Saya bawa tembikai untuk dimakan bersama rakan ketika memancing di hutan tetapi apabila kenderaan saya rosak, saya terpaksa meninggalkannya dalam kenderaan.

“Namun, apabila sampai saya dapati tembikai berkenaan hilang dipercayai dimakan oleh gajah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti haiwan itu seekor atau datang berkumpulan.

“Kini, kenderaan berkenaan tidak boleh digunakan lagi kerana tangki air hadapan kenderaan pecah dan kerosakannya dianggarkan berjumlah RM5,000,” katanya.

Sementara itu, Wan Latif berkata, dia tidak menyalahkan haiwan berkenaan dan menganggap itu disebabkan kecuaiannya kerana membiarkan pacuan empat rodanya diletakkan di laluan gajah.

“Bagaimanapun, saya agak terkejut berikutan ini adalah kali pertama saya bercuti dengan rakan di hutan dan tidak sangka pula jadi begini,” katanya
SH

Bayi 10 hari ditemui





MANJUNG - Seorang bayi perempuan berusia 10 hari ditemui di belakang sebuah rumah di Taman Fasa Dua, Seri Manjung dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah berkata, polis mendapat maklumat berkenaan penemuan bayi itu pada jam 5.30 pagi.

“Bersama bayi yang ditemui terdapat sebuah nota yang sekali gus menjadi petunjuk kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Hasil daripada petunjuk itu, kita membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun, yang juga pekerja dalam sektor swasta sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di IPD Manjung semalam.

Shaharudin berkata, suspek lelaki adalah penduduk tempatan, manakala wanita dari luar daerah Manjung dan berasal kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Hasil soal siasat, menurutnya, kedua-dua suspek mengaku bayi itu adalah anak luar nikah hasil dari perhubungan sulit mereka.

“Daripada pengakuan suspek wanita, tujuan bayi itu diletakkan di belakang rumah berkenaan adalah kerana lelaki berkenaan dikatakan enggan bertanggungjawab.

“Kerana tidak mampu menjaga bayi itu bersendirian, suspek wanita telah meletakkan bayi berkenaan di belakang rumah satu keluarga yang didakwanya ahli keluarga suspek lelaki,” katanya.

Kata beliau, tangkapan telah dibuat pada hari sama maklumat diterima polis dan penemuan bayi itu serta kedua-dua suspek masih berada dalam tahanan hingga hari ini.

Shaharudin berkata, kes itu akan dirujuk kepada Unit Pengajian Penyiasatan dan Pendakwaan terlebih dahulu sebelum pendakwaan dijalankan ke atas kedua-dua mereka.

“Hasil siasatan juga mendapati bayi berkenaan telah dilahirkan pada 25 Januari lalu di sebuah bilik hotel sekitar Manjung. Kita percaya perbuatan ini dilakukan dalam usaha untuk menghindar perkara berkenaan diketahui pihak keluarga masing-masing, juga bagi mengelakkan malu,” katanya.
SH

Ditikam empat kali




GEORGE TOWN – Empat tikaman di dada dan kecederaan di kepala dipercayai punca seorang lelaki warga Myanmar maut di tingkat dua sebuah asrama pekerja di Lebuh Victoria dekat sini malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Deputi Supritendan Shahurinain Jais, berkata, mangsa, Kucat yang berusia 30-an ditemui mati dengan empat kesan tikaman dan cedera di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

“Mangsa dipercayai mati di bilik tidurnya di aras dua asrama ini kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin) dengan kesan empat tikaman di dada dan mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati, mangsa didapati bergaduh dengan seorang lelaki yang tinggal serumah dengannya sejak lima tahun lalu serta seorang wanita dipercayai teman wanitanya,” katanya kepada media di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca sebenar pembunuhan itu kerana kedua-dua rakan sebiliknya sudah melarikan diri.

“Dari keterangan 19 pekerja yang tinggal di asrama ini, kita tidak menolak motif pembunuhan adalah cemburu yang membabitkan seorang wanita namun kita masih menyiasat motif sebenar. Kita juga sudah membuat pemeriksaan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati, ketika kejadian, mangsa yang lebih dikenali sebagai Pendek ada bersama dua rakan sebiliknya itu.

“Mayat mangsa ditemui rakan sekerjanya kira-kira jam 9 pagi tadi (semalam) setelah tidak datang bekerja pagi tadi (semalam). Polis juga gagal mengenal pasti objek yang digunakan dalam pembunuhan ini kerana tidak menemui sebarang bukti di bangunan itu setakat ini,” katanya.

Menurutnya, polis menahan 19 pekerja kedai gambar itu yang tinggal di asrama sama bagi mengambil keterangan dan membantu siasatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.
SH

Pemuda putus cinta nekad terjun




GEORGETOWN - Seorang pemuda maut apabila nekad membunuh diri dengan terjun dari bangunan lapan tingkat, di pangsapuri Asia Height, Farlim, awal pagi semalam.

Mangsa, Fong Wie San, 22, dari Persiaran Indah, Bayan Lepas merupakan anak ketiga daripada empat beradik dikatakan terjun dari bangunan itu setelah bertengkar dengan kekasihnya.

Kejadian yang berlaku, kira kira jam 6.30 pagi itu menyebabkan Wie San mati serta-merta di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan teruk di bahagian anggota badan.

Menurut, abang mangsa, Foong Wei Kit, 32, adiknya dan teman wanita sudah putus cinta sebelum itu berjumpa di rumah makcik, kira-kira jam 4.30 pagi di pangsapuri itu.

Beliau berkata, teman wanita adiknya datang ke rumah makcik untuk memujuknya bagi memulihkan hubungan antara mereka.

“Dalam perjumpaan itu, mereka bertengkar lebih kurang satu jam setengah. Kemudian, teman wanitanya secara tiba-tiba membuat keputusan hendak terjun daripada bangunan itu.

“Adik saya yang pada awalnya memujuk teman wanitanya masuk ke dalam rumah dan menghalang daripada berbuat demikian. Tetapi secara tiba-tiba, dia pula yang terjun dari situ,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, motif mangsa membunuh diri masih disiasat dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

“Punca mangsa bunuh diri masih disiasat namun siasat awal, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan,” katanya.

Mayat mangsa di hantar ke Hospial Pulau Pinang untuk dibedah siasat, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
SH

Tikam mangsa guna gunting



SEREMBAN – Seorang penarik kereta dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, dekat sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh dengan niat seorang kontraktor dengan menikam mangsa menggunakan gunting, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zainal Mat Noor, 41, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie berikutan kegagalan pembelaan menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, beliau menolak keterangan pembelaan tertuduh bahawa Mohd Zainal mengambil senjata tajam iaitu gunting hanya dengan tujuan cuba menakut-nakutkan Abd Murad Md Yusof, 38, dan dia memberitahu tidak menyedari berlakunya tikaman ke atas mangsa.

Hakim Ahmad Nasfy sebaliknya menerima keterangan dua saksi pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin iaitu anak saudara dan adik angkat mangsa yang melihat bagaimana mangsa ditikam dalam kejadian berkenaan.

“Mahkamah berpuas hati tertuduh adalah orang yang menikam mangsa di bahagian perut dengan menggunakan senjata tajam beberapa kali selepas disaksikan seorang daripada saksi pendakwaan.

“Tertuduh telah datang dengan niat untuk mendatangkan kecederaan dan sengaja menikam mangsa yang sebelum itu tertuduh telah dilihat menuju ke arah bonet belakang sebuah kereta dan mengeluarkan senjata tajam yang boleh mendatangkan kematian,” katanya.

Mohd Zainal dilihat tenang mendengar hukuman yang dikenakan ke atasnya.

Bagaimanapun, salah seorang ahli keluarga tertuduh yang hadir tidak dapat menahan air mata selepas keputusan dibacakan.

Mohd Zainal yang diwakili peguam bela, A Partheeban didakwa membunuh Abd Murad di tepi jalan Medan Selera Jalan Rompin-Bahau, Jempol, antara jam 1.30 hingga 2.10 pagi pada 16 Januari tahun lalu.

Tertuduh dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan fakta kes, Abd Murad iaitu mangsa bersama anak saudaranya telah menuju ke Bahau dan mendapat tahu adik angkat mangsa telah dipukul menerusi panggilan telefon yang diterima.

Adik angkat mangsa memaklumkan, dia telah dipukul individu dikenali sebagai Angah dan kemudian mangsa serta anak saudaranya menuju ke Jalan Bahau-Rompin lalu memberhentikan kereta di sebelah kanan deretan kedai di Jalan Bahau-Rompin.

Mangsa terus menarik Angah keluar daripada sebuah kedai makan terbabit lalu berlaku pergelutan sebelum tertuduh menghampiri antara kedua-dua mereka.

Tertuduh kemudiannya bergelut dengan mangsa dan bertanyakan kepada Angah “kapak ada tak”.

Selepas itu, Mohd Zainal menuju ke arah bonet belakang sebuah kereta dan adik angkat mangsa melihat tindakan tertuduh.
SH

Pengawal sekolah disamun




SEREMBAN - Seorang pengawal keselamatan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Kelpin di sini, cedera ringan selepas disamun dua lelaki tidak dikenali yang memecah masuk premis sekolah berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Piong Kim Seng, 55, diikat dan ditinggalkan di kantin sekolah, sejurus perompak terbabit berjaya memecah masuk bilik pengetua.

Kim seng berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan membawa dua komputer riba serta sejumlah wang tunai yang diambil daripada salah sebuah bilik guru, selain dua telefon bimbit dan wang tunai RM400 miliknya.

Menceritakan detik cemas itu, menurutnya, ketika itu dia berseorangan dan membaca komik di pondok pengawal :keselamatan.

“Namun, saya tersentak apabila melihat seorang lelaki secara tiba-tiba muncul di tingkap kaca pondok sambil mengacu sebilah parang seolah-olah mahu melakukan sesuatu.

“Kerana ketakutan, saya minta mereka tidak mencederakan saya dan sanggup memberikan wang kepadanya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang lagi rakannya turut muncul di pintu selepas dipercayai memanjat pagar depan sekolah,” katanya yang suah berkhidmat empat tahun di sekolah berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengikat tangan dan kakinya menggunakan wayar kipas yang dipotong di pondok terbabit.

“Sebelum itu mereka turut bertindak mengetuk kepala saya menggunakan hujung parang dan cangkul yang diambil di sekitar kawasan sekolah.

“Seorang daripada suspek kemudian memecahkan pintu pagar bangunan, sementara rakannya mengawasi saya yang terbaring di atas lantai,” katanya.

Kim Seng berkata, selepas berjaya mengambil barang berharga, mereka membuka ikatan di kaki dan membawa saya pergi ke kantin lalu melarikan diri menuju jalan besar berhampiran dengan menyeberangi sebuah tebing.

“Saya segera membuka ikatan di tangan dan berlari menuju ke rumah jiran berdekatan sekolah untuk meminta bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
SH

Bilik hangus ketika solat Isyak



KUALA SUNGAI BARU - Sepasang warga emas yang sedang menunaikan solat Isyak berjemaah dikejutkan dengan bau hangit dan bunyi letupan beberapa kali sebelum menyedari sebuah bilik dalam rumahnya di Kampung Permatang, dekat sini, dijilat api.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Sapiah Ngah, 66, yang sedang solat bersama suaminya, Osman Kelang, 74, bertindak berhenti daripada solat, lantas mencari punca bau hangit berkenaan dan menyedari terdapat api keluar daripada celah pintu bilik utama.

“Pada mulanya saya sangka bau asap berkenaan datang daripada jiran sebelah yang membakar sampah, namun mujur tergerak hati hendak berhenti solat dan cari punca bau. Saya dapati asap keluar daripada celah pintu dan terus minta suami berhenti solat.

“Saya terus menjerit minta tolong pada jiran dan suami pula sudah ke bawah untuk mengambil air bagi menjirus api yang semakin marak. Nasib baik ada sekumpulan budak lelaki yang turut sama membantu memadamkan api,” katanya.

Menurutnya, kedatangan salah seorang remaja lelaki yang berusaha memadamkan api dan naik ke atas rumah membantu dirinya yang ketika itu dalam keadaan panik dan membuka pintu bilik berkenaan menggunakan kunci selepas dihalang untuk menendang pintu berkenaan.

“Selepas pintu berjaya dibuka, berkepul-kepul asap menghala ke arah kami. Api pula semakin marak sehingga meminta bantuan penduduk yang ada untuk menghubungi pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian kira-kira jam 8.45 malam dan tiba 15 minit kemudian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Kerugian masih belum ditafsirkan tetapi daripada siasatan awal mendapati almari baju, katil, persekitaran bilik dan siling hangus terbakar.” katanya.
SH

12 bilik sewa musnah terbakar




KLANG - “Rasa bahang panas memaksa saya membuka mata, tatkala itu saya terkejut melihat api sedang membakar keseluruhan bilik. Tanpa berfikir panjang, saya segera bangun dan berlari menuruni tangga untuk keluar dari rumah sewa sambil berdoa supaya tiada apa-apa yang berlaku,” itulah reaksi Arjan Singh, 60, ketika menceritakan detik-detik cemas dia menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku.

Dia yang merupakan penghuni terakhir keluar dari bilik sewa berkata, dia tidak sempat menyelamatkan semua dokumen penting termasuk kad pengenalan dan wang tunai.

“Saat itu dalam fikiran saya hanya nak selamatkan diri hingga baju pun tidak sempat disambar memandangkan saya tidur tanpa memakai baju.

“Kini, saya terpaksa mencari kediaman lain untuk menetap buat sementara waktu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, di Jalan Renggas, Taman Selatan, bangunan premis rumah kedai yang diubah menjadi 12 bilik sewa di tingkat dua hangus terbakar, manakala tingkat satu menempatkan enam bilik sewa mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, restoran makanan Cina yang beroperasi paling bawah tidak mengalami sebarang kerosakan selepas anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak ke tingkat bawah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Japari Tajudin berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan telefon kira-kira jam 9.14 pagi memaklumkan kejadian.

“Seramai 22 anggota dan pegawai dari Balai Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Shah Alam berkejar ke tempat kejadian dan kita mengambil masa setengah jam mengawal api daripada merebak,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, hampir 10 mangsa terdiri daripada warga tempatan dan asing yang menghuni di tingkat terbabit berjaya keluar daripada bilik masing-masing sebaik menyedari bilik sewa mereka terbakar.

“Bagaimanapun, anggaran kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan yang berada di tempat kejadian memaklumkan pihaknya akan membantu mangsa dengan memberikan wang tunai RM2,000 setiap seorang (warga tempatan).

“Pemilik tidak harus membina dinding papan antara bilik sewa di premis terbabit kerana ia mengundang bahaya memandangkan papan tersebut adalah jenis bahan mudah terbakar,” katanya.
SH

Wanita disamun ketika ingin pungut hutang




KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang wanita yang ingin memungut hutang hasil jualan runcitnya bertukar pengalaman menakutkan apabila disamun dua lelaki tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasa-tan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku Rabu lalu, kira-kira jam 8 malam ketika wanita 46 tahun itu dalam perjalanan balik memungut hutang di Felda Ketengah Jaya, Seri Bandi, Kemaman.

Menurutnya, wanita itu bersama tiga anak saudaranya iaitu salah seorang ialah wanita berusia 20 tahun dan dua lelaki berusia 16 tahun serta lima tahun.

“Mangsa telah melalui sebatang jalan di Peringkat 2 namun telah terhalang dengan sebatang kayu balak yang melintangi jalan, menyebabkannya terpaksa merempuh kayu itu.

“Bagaimanapun, enjin motor lori dipandunya itu mati dan secara tiba-tiba, datang dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang menutup muka dengan topeng serta menggunakan dua bilah parang mengacukan ke arahnya,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Penjenayah itu turut merampas beg tangan warna hitam yang dipegang oleh anak saudaranya yang mengandungi tunai sebanyak RM15,000 dan kad tambah nilai bernilai RM2,000.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada jam 11.20 malam di Balai Polis Air Jernih.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Usaha mencari penjenayah sedang digerakkan.
SH

Pengedar dadah terjun sungai




KETENGAH JAYA – Seorang tauke dadah yang sedang menunggu pelanggan sanggup mempertaruhkan nyawa dengan terjun sungai semata-mata untuk meloloskan diri selepas bergelut dengan polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) yang cuba menahannya dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Suspek berusia 30-an yang menyedari kehadiran tetamu tidak diundang itu dikatakan bertindak melarikan diri sejauh hampir 500 meter.

Pengedar yang dipercayai pernah menjadi penghuni tirai besi itu bagaimanapun nekad terjun sungai sebaik menyedari dirinya bakal tumpas di tangan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Ketengah Jaya yang sudah mula menghidu taktik kotornya itu.

Usaha suspek meloloskan diri menemui jalan buntu apabila dia akhirnya berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan sebelum menemui 29 butir pil disyaki dadah jenis methampethamine melalui pemeriksaan lanjut dalam poket seluarnya.

Dalam serbuan berasingan pula, usaha polis Ketengah Jaya memburu saki baki pengedar terus menampakkan hasil apabila seorang lagi suspek berjaya ditahan bersama 30 biji pil disyaki dadah methampethamnie selepas dikejar Sub Inspektor Abdul Rahim Ghazali berdekatan sebuah warung makan dekat Felda Kerteh Lima kira-kira jam 12.45 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sementara menunggu kesnya dituduh di Mahkamah Majistret Dungun,” katanya.
SH

Dirempuh kereta api




GUA MUSANG - Seorang suri rumah cedera dirempuh kereta api yang menyebabkan terpelanting ke dalam gaung semasa berjalan kaki di tepi landasan kereta api di Kampung Batu Tujuh Serian, Limau Kasturi, dekat sini, petang kelmarin.

Siti Ramlah Che Mat, 18, yang baru mendirikan rumah tangga dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan berjalan kaki seorang diri untuk pulang ke rumahnya di Kampung Batu Lapan Serian.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, Siti Ramlah yang kurang pendengaran dirempuh kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Stesen Tumpat ke Kuala Lipis.

Menurut Siti Ramlah semasa ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), beliau langsung tidak degar perjalanan kereta api itu dan tiba-tiba berada terlalu hampir dengannya.

“Saya hanya ketika itu terdengar suara seorang wanita yang melaungkan ke arah saya dan tidak tahu apa yang dia laungkan itu, tetapi saya cuba paling belakang.

“Sebaik berbuat demikian, kereta api itu terus merempuh bahagian punggung menyebabkan saya terpelanting ke dalam gaung dalam keadaan separuh sedar,” katanya.

Beliau berkata, pada mulanya dia membonceng motosikal bersama suami, Mohd Mizi Razali, 21, untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri di kampung tersebut.

Siti Ramlah berkata, dalam perjalanan itu motosikal yang ditunggangi suami pancit menyebabkan dia berjalan kaki sementara suaminya pula menunggang motosikal secara perlahan ke rumah.

“Dalam perjalanan itu saya mengambil kesempatan untuk melalui tepi landasan kereta api kerana mengelakkan jalan becak dan tidak sedar tiba-tiba dirempuh kereta api menyebabkan bahagian punggung saya lebam,” katanya.

Ibu mangsa, Senah Mamat, 55, berkata, anaknya memang menghadapi masalah pendengaran dan terkejut apabila diberitahu dirempuh kereta api semasa berjalan seorang diri di tepi landasan tersebut.

“Mak cik pun tidak tahu perkara sebenar yang menyebabkan berlaku kemalangan itu, tetapi mak cik bersyukur kerana anak perempuan mak cik itu selamat walaupun mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, dia juga berulang kali menasihatkan anak perempuannya itu jangan melalui landasan kereta api apabila mengambil perjalanan pulang ke rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Mak cik masih terkejut dengan kejadian tersebut dan sukar untuk melawatnya di HGM kerana terpaksa menjaga cucu hasil perkahwinan anak perempuannya itu dengan Mohd Mizi,” kata Senah.
SH

56 PATI diberkas dalam Ops Sapu




PEGAWAI Imigresen mengumpulkan pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan untuk diperiksa dan proses dokumentasi semasa operasi di sebuah tapak pembinaan di Cyberjaya, semalam.


CYBERJAYA 11 Feb. - Seramai 56 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya dalam Ops Sapu yang diadakan di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di sini hari ini.
Operasi yang bermula pukul 2.30 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian mendapati, kebanyakan PATI yang ditahan berhampiran Persiaran Flora, Cyberjaya 4 itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi masa dan permit sudah tamat tempoh.
Timbalan Penolong Pengarah, Bahagian Penguat Kuasanya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, dalam operasi awal pagi itu, anggotanya melakukan pemeriksaan ke atas 150 warga asing yang menghuni rumah kongsi berkenaan.
"Hasil pemeriksaan, kami mendapati 56 daripada mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Mereka terdiri daripada 23 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia; 14 lelaki warga Myanmar; lima lelaki Vietnam dan tujuh lelaki warga Bangladesh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai sepasukan 76 anggota dan pegawai penguat kuasa Imigresen dalam Ops Sapu itu.
Menurut Nik Shahanizam, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau berkata, PATI berkenaan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk proses pendakwaan dan siasatan lanjut.
Katanya lagi, pihak Imigresen akan menjalankan siasatan lanjut terhadap majikan dan pemilik tapak projek berkenaan kerana dipercayai melakukan kesalahan melindungi dan menggaji PATI.
"Jika sabit kesalahan, majikan dan pemilik tapak projek pembinaan terbabit boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang PATI.
"Bagi kesalahan kali kedua, denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan," katanya.
Beliau menambah, pasukan penguat kuasa Imigresen melakukan intipan selama tiga minggu di kawasan berkenaan selepas mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kebanjiran warga asing terutamanya Indonesia di kawasan tersebut.
Utusan Malaysia Online - Kota

Lelaki seludup beratus ekor hidupan liar ditahan




Antara 88 ekor kura-kura Indian Star yang ditemui di dalam bekas berisi plastik selepas dikesan dalam bagasi rakyat Indonesia, Rivo Cahyono di lapangan terbang Bangkok, semalam. - AFP


BANGKOK 11 Feb. - Berpuluh-puluh ekor ular, labah-labah dan seekor kura-kura yang paling jarang ditemui merupakan antara beratus-ratus haiwan hidup yang ditemui dalam bagasi seorang lelaki di lapangan terbang di sini, kata pegawai Thailand hari ini.
Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Tumbuhan dan Haiwan Liar berkata, Rivo Cahyono, 34 dari Indonesia ditangkap kerana cuba menaiki penerbangan dari Bangkok apabila tiga bagasi yang dibawanya dikesan mengandungi haiwan berkenaan.
"Ruang khas di dalam beg itu mengandungi 88 kura-kura Indian Star, 33 kura-kura Elongated dan seekor kura-kura Ploughshare, yang merupakan spesis paling jarang ditemui.
"Antara ular yang ditemui pula adalah dua ekor ular sawa Boa Constrictor dan 34 ular sawa Ballmanakala 18 ekor labah-labah pula dibungkus secara berasingan dalam bekas plastik,'' kata kumpulan perdagangan Haiwan Liar, Traffic.
Selain itu, tupai, cicak dan burung kakak tua kelabu Afrika turut ditemui.
Pegawai Thailand yang menangkap lelaki itu berkata, Cahyono memaklumkan dia telah membeli semua haiwan itu di Pasar Chatuchak di Bangkok.
Traffic berkata, pasar terbuka paling besar di negara itu merupakan pusat utama jualan haram haiwan yang jarang ditemui pada setiap hujung minggu walaupun aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa Thailand.
Pengarah Wilayah Trafic, William Schaedla memuji tangkapan tersebut tetapi menyatakan kebimbangan berhubung penjualan haiwan terlindung itu secara mudah.
"Situasi ini tidak boleh diterima di sebuah negara yang mendakwa berjaya menangani perdagangan haram haiwan liar,'' ujarnya.
Satu kenyataan jabatan tersebut berkata, lelaki itu dianggarkan membeli kesemua haiwan liar itu pada harga AS$24,000 (RM74,400).
Cahyono dikatakan cuba menaiki penerbangan Air Asia ke Surabaya, Indonesia apabila haiwan itu ditemui di dalam begnya.
Dia didakwa memiliki secara haram dan cuba menyeludup haiwan liar yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun dan denda sehingga 40,000 baht (RM4,030). - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Konflik sempadan dibincang




Penyokong-penyokong Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) berhimpun dan mengibarkan bendera Thailand bagi membantah cara kerajaan mengendalikan isu sempadan Thailand-Kemboja di Rumah Kerajaan, Bangkok, semalam. – Reuters


BANGKOK 11 Feb. – Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva pagi ini mempengerusikan satu sidang video dengan pihak berkuasa di Bangunan Kerajaan bagi membincangkan mengenai kebimbangan dan perkembanganterkini situasi yang berlaku di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Menurut agensi Berita Thailand (TNA), turut dibangkitkan dalam perbincangan itu adalah nasib penduduk di wilayah Si Sa Ket dan Surin di timur laut negara ini yang terjejas akibat pertempuran tanpa henti di antara tentera Thailand dan Kemboja yang meletus pada 4 Januari lalu.
Perdana Menteri itu berikrar kerajaannya akan menyediakan bantuan penuh dan sokongan kepada penduduk kampung yang terjejas di wilayah Si Sa Ket dan Surin serta kepada tentera Thailand yang berjuang melindungi wilayah dan kedaulatan negara.
Beliau juga berjanji yang pentadbirannya akan mempercepat usaha mencari penyelesaian berhubung isu sempadan yang tertangguh di antara Thailand dan Kemboja.
Abhisit sebelum ini berkata, kira-kira 12,000 penduduk kampung di Si Sa Ket telah dipindahkan ke 36 kawasan perlindungan sementara dan kira-kira 30 rumah musnah di daerah itu.
Antara pemimpin Thai yang hadir pada mesyuarat selama sejam itu ialah Menteri Luar, Kasit Piromya; Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwan; Menteri Dalam Negeri, Chavarat Charnvirakul serta Gabenor wilayah Si Sa Ket dan Surin.
Jeneral Prawait mengakui tentera Thailand tidak mengambil jalan keluar dengan bertindak agresif tetapi sentiasa bersedia mengambil langkah yang sesuai bagi mempertahankan kedaulatan dan wilayah negara, di samping memastikan keselamatan orang awam yang tinggal di sepanjang sempadan.
Sementara itu, Kasit sekali lagi menyatakan yang kementeriannya akan terus mencari jalan penyelesaian terhadap masalah sempadan yang tertangguh dengan Kemboja itu melalui rundingan kerana Thailand berpegang teguh kepada polisi negara untuk mengembalikan keamanan ke atas sempadan bersama itu.
Sementara itu, beribu-ribu anggota pergerakan Baju Kuning dari Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) hari ini berhimpun di Bangkok bagi membantah cara kerajaan mengendalikan isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja. – BERNAMA
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

13 ditahan insiden bakar gereja




Keadaan Gereja Kristian Pentecostal di Temanggung, Jawa Tengah yang dibakar selepas sekumpulan penganut Islam berang dengan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki di Temanggung, Selasa lalu. - AFP


JAKARTA 11 Feb. - Polis Indonesia hari ini menahan 13 lelaki berhubung dua insiden keganasan melibatkan kumpulan pelampau agama yang mengorbankan tiga nyawa dan menyebabkan beberapa gereja dibakar.
Ahad lalu, lima orang telah ditahan kerana membunuh tiga pengikut pergerakan Ahmadiyah di Jawa Barat selepas rakaman video insiden itu disiarkan di Internet, kata polis.
"Lima orang yang terlibat dalam serangan ke atas pengikut Ahmadiyah telah ditahan. Ramai lagi akan ditahan kerana mereka telah dikenal pasti melalui rakaman video di YouTube.
"Sekurang-kurangnya lima orang masih bebas dan pasukan kami masih menjalankan operasi memburu mereka," kata jurucakap polis wilayah Banten, Gunawan Setiadi kepada AFP.
Lebih 1,000 pelampau yang menyerang sebuah rumah milik pemimpin Ahmadiyah, melaungkan 'Allahu Akbar' ketika mereka memukul dan membaling batu ke arah tiga pengikut Ahmadiyah sehingga mati.
Polis maklum tentang serangan itu tetapi gagal untuk campur tangan bagi melindungi pengikut Ahmadiyah, yang sering menjadi mangsa penganiayaan dan penindasan sejak kumpulan itu dikenakan sekatan akibat desakan penduduk Islam pada 2008.
Dua hari kemudian kumpulan pelampau lain yang berang mengamuk di beberapa jalan di Temanggung, Jawa Barat dan membakar beberapa gereja setelah seorang lelaki, Antonius Bawengan, 58, hanya dipenjarakan lima tahun kerana menghina Islam, berbanding hukuman mati yang dituntut.
Polis berkata, lapan orang telah ditahan berhubung insiden itu.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengarahkan polis berjuang habis-habisan menentang mana-mana kumpulan pelampau di sebalik pergolakan itu, meskipun tiada sebarang pihak mengaku bertanggungjawab. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Mubarak letak jawatan, rakyat Mesir berpesta



12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb. - Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi.
“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen.
Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.
Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.
Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan.
Sebelum itu, satu sumber memberitahu AFP, setiausaha agung parti pemerintah Mesir, Parti Demokratik yang baru dilantik oleh Mubarak, Hossam Badrawi meletakkan jawatan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Lima koperasi saman lapan pemimpin Angkasa



KUALA LUMPUR 11 Feb. - Lima koperasi hari ini memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perintah supaya lapan Ahli Jawatankuasa Tinggi (JKT) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) dilucutkan jawatan mereka atas dakwaan terbabit dalam pelbagai perbuatan salah laku.
Lima koperasi tersebut yang bertindak sebagai plaintif adalah Koperasi Rangkaian Sahabat Dungun Bhd., Koperasi Insan Bantu Insan Kuala Lumpur Bhd., Koperasi Konsortium Kontraktor Bumiputera Perak Bhd., Koperasi Pembangunan Melayu Raub Bhd. dan Koperasi Pengurusan Tanah Malaysia Bhd.
Kesemua plaintif yang merupakan ahli Angkasa, menamakan lapan individu yang telah dilantik untuk menjadi ahli JKT Angkasa masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelapan.
Mereka ialah Profesor Datuk Mohamad Ali Baharum, Datuk Abdul Fattah Abdullah, Arni Zainuddin, Mutadho Bahri, Jamal Abdullah, Nasir Khan Yahaya, Mohammad Zamri Yaakob dan Suresh Kumar.
Writ saman tersebut difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Moghan & Co. di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 10 pagi.
Turut difailkan adalah afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Pengerusi kepada plaintif pertama, Datuk Seri Noor Zainan Zainul.
Pihak plaintif menuntut lapan perintah antaranya supaya semua defendan dilucutkan jawatan mereka kerana didakwa telah melanggar Undang-Undang Kecil Angkasa iaitu menerima elaun tetap sebagai ahli JKT walaupun dilarang berbuat demikian.
Selain itu, plaintif mendakwa, pihak defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyempurnakan perjanjian membeli hartanah di Damansara dan meluluskan perbelanjaan tambahan RM500,000 tanpa kebenaran Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa (PKTA) pada 19 Disember 2009.
Pihak defendan juga, menurut plaintif, telah bertindak di luar bidang kuasa mereka apabila menjatuhkan hukuman penggantungan daripada menghadiri Persidangan Agung Negeri selama tiga tahun terhadap tiga ahlinya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Warga Iran dihukum gantung



KUALA LUMPUR 11 Feb. – Sifat tolong-menolong merupakan perbuatan yang baik namun bagi seorang warga Iran, ia menyebabkan nyawanya melayang.
“Kenapa awak nak jadi ‘busy body’ bantu kedua-dua mereka? Jika benar bahawa awak tidak tahu apa kandungan sebenar beg berkenaan, maka malanglah nasib kamu,” kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha hari ini.
Beliau menyatakan demikian sebelum mensabitkan penjual barangan elektrik, Hossein Nsiri Jalal, 50, dengan kesalahan mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lelaki tersebut.
Mengikut pertuduhan, Hossein didakwa bersama-sama dengan rakan senegaranya Omid Lashkari Mojtaba, 31, dengan niat mengedar dadah seberat 7,515 gram kira-kira pukul 4.40 petang, 9 Mac tahun lalu di tepi jalan menghala ke Pantai Hillpark, Pantai Dalam di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, mahkamah membebaskan Omid tanpa memanggil lelaki itu membela diri selepas pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan prima facie terhadap warga Iran itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk N. Sivananthan.
Terdahulu, hakim tersebut menyatakan, keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui isi kandungan beg warna merah yang diserahkan kepadanya oleh Omid merupakan penafian semata-mata.
Katanya, dakwaan bahawa beg itu telah diminta Omid untuk diserahkan kepada seorang lagi lelaki warga Iran bernama Ali Reza juga tidak dapat dipercayai kerana ia tidak disokong oleh sebarang bukti.
“Keterangan bersumpah tertuduh dan Omid tidak pernah menyebut nama Ali Reza malah tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa beg itu kepunyaan Ali Reza.
“Jika watak Ali Reza ini benar-benar wujud dan dikenali oleh tertuduh, kenapa dia tidak pernah dipanggil memberi keterangan. Pihak pembelaan juga tidak pernah meminta mahkamah mengeluarkan sapina bagi memanggil Ali Reza ke mahkamah,” katanya.
Mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa keterangan tersebut merupakan satu kenyataan yang ditokok tambah.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Kedai emas rugi RM600,000 dirompak tiga penjenayah



TEMERLOH 11 Feb. - Seorang peniaga kedai emas kerugian RM600,000 apabila lapan dulang barang kemas dari premis miliknya dilarikan tiga penjenayah dalam rompakan di Lurah Semantan di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.50 petang ketika umat Islam mengerjakan solat Jumaat.
Dua daripada penjenayah itu menyerbu kedai tersebut dengan salah seorang daripada mereka mengacukan pistol kepada pemilik kedai dan pekerjanya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, berusia lingkungan 30-an berkata, kedua-dua penjenayah yang tidak menutup muka turut mengarahkan dia dan pekerja lain berdiam diri.
"Pada masa yang sama, mereka segera mengambil dulang berisi barang kemas yang besar dan memasukkannya ke dalam guni.
"Tidak sampai 10 minit, mereka kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang menunggu di luar kedai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan R. Sundralingam, kedai tersebut mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan cakera rakaman kejadian itu telah dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor mengesahkan rompakan itu dan dua daripada perompak yang memasuki kedai itu dipercayai berketurunan Melayu serta berbadan gempal.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis belum mendapat petunjuk yang dapatmembantu siasatan.
"Sehubungan itu, kami meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu polis dengan menghubungi IPD Temerloh di talian 09-296499," katanya.
Mohd. Nor berkata, kerugian akibat rompakan tersebut dianggarkan kurang RM600,000 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Cinta tiga segi: Lelaki Myanmar maut ditikam



PULAU PINANG 11 Feb. - Angkara cinta tiga segi, seorang lelaki warga Myanmar sanggup menikam rakan senegaranya selepas mengesyaki mangsa menjalin hubungan dengan kekasihnya di sebuah bilik asrama pekerja kedai gambar di Lebuh Victoria di sini malam tadi.
Sebelum ditikam dalam kejadian pukul 11 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Kucat, lingkungan 30-an dikatakan telah bertengkar dengan suspek yang pernah menjadi rakan sekerjanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Deputi Supritendan Shahurihain Jais berkata, mangsa yang bekerja membuat bingkai gambar tinggal di asrama itu bersama sembilan pekerja senegaranya termasuk wanita berkenaan.
Bagaimanapun, kata Shahurihain, suspek datang ke asrama berkenaan untuk berjumpa dengan mangsa serta wanita tersebut dan tercetus pertengkaran antara kedua-dua lelaki berkenaan.
"Dalam pergaduhan itu, mangsa yang telah bekerja selama empat tahun di kedai gambar itu dikatakan ditikam oleh suspek sebanyak empat kali iaitu tiga di dada kanan dan sekali di dada kiri.
"Setelah melihat mangsa berlumuran darah, suspek dan wanita itu dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian. Sehingga kini, kita sedang mengesan mereka," katanya.
Menurut beliau, kejadian berlaku di sebuah bilik di bahagian hadapan premis yang menjadi asrama penginapan pekerja-pekerja kedai gambar tersebut.
Katanya, meskipun terdapat pekerja lain ketika itu, namun siasatan awal pihaknya mendapati tiada saksi yang melihat kejadian kerana mereka sedang berehat di bilik masing-masing yang terletak di bahagian belakang premis.
Beliau berkata, kejadian tersebut hanya disedari kira-kira pukul 9 pagi tadi apabila salah seorang pekerja lain pergi ke bilik tersebut dan melihat mangsa berlumuran darah.
"Meskipun tiada saksi yang melihat kejadian, namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi kejadian berjaya merakam ketiga-tiga imej wajah mereka yang terlibat termasuk wanita tersebut.
"Kita juga telah menyoal 19 rakyat Myanmar yang bekerja di kedai gambar tersebut untuk membantu siasatan kes itu. Setakat ini, senjata yang digunakan juga masih belum dijumpai," katanya.
Menurut Shahurihain, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Khidmat seks sempena Tahun Baru Cina RM1,888



MIRI 11 Feb. - Sekumpulan pelajar perempuan di bandar raya ini dipercayai menawarkan khidmat seks menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada golongan lelaki kaya dengan bayaran RM1,888.
Bayaran itu ditawarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini yang meliputi 'khidmat penuh' dan pelanggan juga dialu-alukan untuk memberikan mereka angpau.
Tawaran panas diedar menerusi SMS kepada golongan tertentu sahaja iaitu lelaki berusia 40 tahun ke atas dan berkedudukan atau mempunyai kewangan yang kukuh.
SMS dalam bahasa Cina itu didakwa mula diedarkan sejak awal bulan ini dengan dihantar daripada seorang kepada seorang yang lain bagi memperluaskan jaringan pelanggan mereka.
Bagaimanapun, SMS tersebut diterima tanpa sengaja oleh wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina di sini semalam.
Menurut sumber daripada penerima, SMS berkenaan dihantar oleh pelajar sebuah sekolah menengah di sini, namun mereka enggan mendedahkan nama sekolah tersebut.
Selain sebagai pemuas nafsu, mereka juga ingin mencari 'sugar daddy' yang mampu membiayai kehidupan mereka sebagai remaja dan pelajar sekolah menengah.
Antara kandungan SMS tersebut berbunyi:
"Mesej ini hanya untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan bekerja. Kami berumur 17 tahun ke bawah dan mencari sugar daddy. Perlu menggunakan kenderaan persendirian untuk bertemu. Harga boleh dirunding. Hanya boleh ditemui selepas jam 10 malam. Sila kongsi maklumat ini kepada rakan-rakan yang boleh dipercayai.
"Untuk Tahun Baru Cina ini, kita tawarkan harga dengan khidmat penuh RM1,888. Terpulang kepada anda untuk memberi angpau."
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai gejala terbaru itu memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan.
"Kita akan melakukan siasatan terperinci sekiranya menerima laporan daripada pengadu," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang awam supaya melaporkannya jika menerima SMS tersebut bagi membolehkan pihak polis membanteras gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan pelajar terbabit.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kedai emas rugi RM600,000 dirompak tiga penjenayah



TEMERLOH 11 Feb. - Seorang peniaga kedai emas kerugian RM600,000 apabila lapan dulang barang kemas dari premis miliknya dilarikan tiga penjenayah dalam rompakan di Lurah Semantan di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.50 petang ketika umat Islam mengerjakan solat Jumaat.
Dua daripada penjenayah itu menyerbu kedai tersebut dengan salah seorang daripada mereka mengacukan pistol kepada pemilik kedai dan pekerjanya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, berusia lingkungan 30-an berkata, kedua-dua penjenayah yang tidak menutup muka turut mengarahkan dia dan pekerja lain berdiam diri.
"Pada masa yang sama, mereka segera mengambil dulang berisi barang kemas yang besar dan memasukkannya ke dalam guni.
"Tidak sampai 10 minit, mereka kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang menunggu di luar kedai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan R. Sundralingam, kedai tersebut mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan cakera rakaman kejadian itu telah dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor mengesahkan rompakan itu dan dua daripada perompak yang memasuki kedai itu dipercayai berketurunan Melayu serta berbadan gempal.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis belum mendapat petunjuk yang dapat membantu siasatan.
"Sehubungan itu, kami meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu polis dengan menghubungi IPD Temerloh di talian 09-296499," katanya.
Mohd. Nor berkata, kerugian akibat rompakan tersebut dianggarkan kurang RM600,000 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata.
Utusan Malaysia Online -

Lelaki, wanita ditahan tinggal bayi baru lahir


2011/02/12

MANJUNG: Seorang wanita dan pasangannya yang bersekedudukan hingga melahirkan bayi tanpa pengetahuan keluarga mereka di sebuah hotel kira-kira 18 hari lalu, ditahan selepas wanita itu meninggalkan bayi itu di belakang rumah keluarga kekasihnya di Taman Fasa Dua, Seri Manjung, dekat sini, semalam.

Bayi perempuan itu ditemui keluarga berkenaan selepas terdengar tangisannya di luar rumah sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis pada kira-kira jam 5.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata bayi itu ditinggalkan bersama sebuah beg kecil di luar rumah berkenaan dan siasatan menemui satu resit penginapan hotel yang menjadi petunjuk sehingga polis berjaya menahan ibu bayi itu yang berusia 29 tahun.
“Wanita yang berasal dari sebuah negeri di utara Semenanjung itu mengaku bayi berkenaan adalah anak luar nikah hasil hubungan dengan kekasihnya yang berusia 24 tahun.

“Suspek juga mengaku dia meletakkan bayi di belakang rumah terbabit kerana pasangannya enggan bertanggungjawab menyebabkan dirinya hilang punca kerana tidak mampu untuk menjaga bayi itu bersendirian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Shaharudin berkata, hasil maklumat itu, polis menahan kekasih wanita terbabit yang juga pekerja sebuah restoran makanan segera di sini.

Katanya, siasatan mendapati bayi mereka dilahirkan pada 25 Januari lalu dan dilahirkan sendiri suspek wanita di sebuah bilik hotel berkenaan.
“Kita percaya tindakan ini untuk mengelak kelahiran bayi mereka diketahui keluarga mereka dan tidak mahu menanggung malu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

7 lanun Somalia didakwa merompak



Oleh Suhana Roslan

2011/02/12

LANUN  Somalia dibawa naik  bas dengan kawalan ketat polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 7,  Kuala Lumpur, semalam.
LANUN Somalia dibawa naik bas dengan kawalan ketat polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 7, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Tujuh lanun warga Somalia, termasuk tiga masih di bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan bersama merompak dengan melepaskan tembakan senjata api ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan niat mendatangkan kematian atau kecederaan di atas Kapal MT Bunga Laurel di Perairan Oman, bulan lalu.

Ahmad Othman Jamal, 25; Abdi Eid Hasan, 20; Koore Mohamad Abdile, 18; Abdi Hakim Mohd Abdi, 18, serta tiga remaja berusia 15 tahun bersetuju dan memahami pertuduhan itu apabila seorang pelajar lelaki dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menerangkan pertuduhan dalam bahasa Somalia di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 15 Mac ini sebagai tarikh sebutan untuk melantik jurubahasa berkelayakan dan berpengalaman. Mereka didakwa melakukan jenayah itu antara jam 8.10 hingga 10 malam, 20 Januari 2011.

459 mangsa banjir dibenarkan pulang di Johor




2011/02/12

JOHOR BAHRU: Seramai 459 mangsa banjir yang dipindahkan di Johor dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak lewat petang semalam, apabila keadaan banjir di negeri ini bertambah baik, demikian lapor portal rasmi negeri Johor.

Laporan di www.johordt.my. itu melaporkan pada jam 8 pagi hari ini, 4,736 orang daripada 1,057 keluarga masih ditempatkan di 19 pusat pemindahan di daerah Muar, Batu Pahat, Ledang dan Segamat.
Seramai 4,140 orang daripada 921 keluarga masih ditempatkan di Batu Pahat, Muar (276 orang daripada 61 keluarga), Segamat (285 orang daripada 69 keluarga) dan Ledang (35 orang daripada enam keluarga), kata laporan itu.
Jalan Pogoh Tekam Seksyen 1-Seksyen 3 (Chodan ke Tekam) di Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam satu meter sepanjang satu kilometer. - BERNAMA"

Berita Harian Online | 459 mangsa banjir dibenarkan pulang di Johor: "

Polis mahu diplomat AS didakwa


2011/02/12

LAHORE: Pasukan penyiasat Pakistan memutuskan tindakan seorang warga Amerika berstatus diplomat menembak mati dua rakyat Pakistan bukan untuk mempertahankan diri dan polis akan mencadangkan supaya beliau dikenakan dakwaan membunuh, kata pegawai.

Beberapa jam selepas hakim mengarahkan Raymond Allen Davis, 36, ditahan untuk tempoh 14 hari lagi dan meminta kerajaan memastikan sama beliau mempunyai kekebalan diplomatik, Ketua Polis Lahore Aslam Tareen mengesahkan siasatan mendapati lelaki itu tidak bertindak untuk mempertahankan diri.
“Davis melepaskan tembakan dengan sengaja. Ia adalah satu pembunuhan yang kejam.” katanya.
Aslam berkata Davis memberitahu penyiasat bahawa seorang daripada lelaki Pakistan yang ditembaknya mengacukan pistol ke arahnya.

Bagaimanapun katanya siasatan menunjukkan semua peluru masih di dalam magazin pistol lelaki Pakistan berkenaan dan tiada peluru ditemui di tempat kejadian.

“Polis juga memutuskan bahawa Davis menembak dan membunuh lelaki kedua, ketika dia cuba melarikan diri dan peluru itu terkena belakang badannya,” katanya.

Aslam menegaskan isu kekebalan diplomatik adalah urusan kerajaan, tetapi polis sudah menghantar kertas pertuduhan awal mencadangkan Davis dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.
Sementara itu Washington berkata, Davis menembak mati kedua-dua rakyat Pakistan terbabit di Lahore, 27 Januari kerana mereka cuba menyamunnya.

Washington bertegas penahanan Davis menyalahi undang-undang antarabangsa membabitkan diplomat kerana Davis adalah kakitangan kedutaan Amerika.

Washington mula menyekat hubungan diplomatik dan mengancam akan memotong bantuan ke negara itu bernilai berbilion dolar jika Davis tidak dibebaskan.

Pemimpin Pakistan yang bimbangkan kemarahan umum yang disemarakkan dengan sentimen antiAmerika, sejak beberapa hari lalu enggan memberi ulasan mengenai status perundangan Davis, sebaliknya berkata isu berkenaan sudah diserahkan kepada mahkamah.

Hakikat bahawa parti politik yang bersaing menguasai kerajaan persekutuan dan kerajaan Punjab di mana perbicaraan boleh diadakan meningkatkan lagi kesulitan kepada Pakistan untuk memberi reaksi.

Davis kini ditahan di penjara Kot Lakhpat di Lahore. – AP