Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Isteri tinggalkan suami bila temui kekasih lama melalui Facebook

Cyberita Online Luar Negara


KUALA LUMPUR: Pertemuan semula dengan kekasih lama yang dijejak melalui laman sosial Facebook menyebabkan seorang isteri lari meninggalkan suaminya untuk tinggal bersekedudukan dengan bekas teman lelakinya itu.
Malahan, wanita berusia 30-an tahun itu, yang sanggup membawa bersama anaknya berusia lebih setahun, turut menuntut supaya suaminya menceraikannya, lapor akhbar Harian Metro, semalam.Bertindak atas laporan suaminya, wanita itu bersama bekas teman lelakinya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Rabu lalu.Sumber Jais berkata dalam serbuan kira-kira 3 pagi itu, pasangan kekasih terbabit gagal membuktikan mereka mempunyai ikatan sah mengikut hukum syarak apabila disoal siasat.'Mereka dibawa ke pejabat Jais untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan secara lisan,' kata sumber itu.Menurutnya, siasatan awal Jais mendapati suami wanita terbabit membuat laporan mengenai kecurangan isterinya, selain mendakwa isterinya melarikan anak mereka.Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Encik Mohamad Rais Rasid, mengesahkan kepada Harian Metro bahawa ada serbuan dan tangkapan yang dilakukan pihaknya terhadap wanita tersebut bersama bekas teman lelakinya itu.'Kami sudah menyoal siasat pasangan terbabit dan mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada Jun depan atas kesalahan berkhalwat,' katanya.

Luna mahu tuntut keadilan

Cyberita Online Luar Negara

LUNA MAYA: Mahu mendapatkan khidmat kumpulan hak asasi. - Foto JAKARTA GLOBE
JAKARTA: Luna Maya, selebriti Indonesia yang dilanda masalah terbabit dalam satu skandal video seks bersama kekasihnya, kelmarin cuba mendapatkan bantuan sebuah kumpulan hak asasi utama dalam menghadapi sistem keadilan di negara itu.
Berikutan kekasihnya, Nazril 'Ariel' Irham, vokalis utama kugiran Peterpan, dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan video seks itu dan dirinya sendiri mungkin turut menghadapi dakwaan, model dan pengacara televisyen terkenal itu telah bertemu Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) Indonesia, dan menyifatkan dirinya mangsa oleh sistem keadilan itu.'Saya hanya ingin mencari keadilan di sini kerana apa yang dialami Ariel dan saya, sejauh ini adalah ketidakadilan,' kata Luna, dipetik oleh satu laporan akhbar Jakarta Globe, kelmarin.Luna ditemani peguamnya, Encik Taufik Basari, dan beberapa aktivis hak asasi wanita yang menyelar undang-undang antipornografi Indonesia, yang mereka dakwa menganggap mangsa-mangsa seperti penjenayah.'Ke mana lagi harus kami rujuk bagi kes ini? Pelakunya hanya dihukum hingga dua tahun penjara sementara Ariel harus menjalani tiga setengah tahun. Apakah asasnya semua ini? Apakah ia kerana tekanan awam?' kata Luna, sambil menegaskan mahu perbicaraan yang adil.Isnin lalu, Ariel didakwa melanggar UndangUndang Anti Pornografi dan Kanun Jenayah berkaitan dengan tiga video seks yang memaparkan seorang lelaki miripnya mengadakan hubungan seks dengan Luna Maya dan seorang lagi pengacara televisyen, Cut Tari, secara berasingan.Dia juga didenda 250 juta rupiah ($35,250).Reza Rizaldy, yang dituduh mengedarkan video itu, dikenakan hukuman penjara dua tahun. Pihak pendakwa berkata, tidak seperti Ariel, Reza mengaku salah dan menunjukkan penyesalan.Semasa memberi keputusannya bagi kes Ariel itu, Hakim Singgih Budi Prakoso berkata Ariel seorang selebriti dan 'dia punya ramai peminat, kebanyakannya remaja, yang kami khuatir mungkin boleh meniru jenayahnya'.Sementara itu, Komnas HAM berkata ia akan mengkaji kes itu bersama Luna dan pasukan peguamnya.

Penunggang motosikal temui maut

Cyberita Online Singapura: "SINGAPURA



SATU kemalangan jalan raya awal pagi semalam telah meragut nyawa seorang lelaki berusia 26 tahun.

Allahyarham Faizal Ahmad dipercayai sedang menunggang di Penang Road apabila motosikalnya tergelincir.

Polis menerima panggilan sekitar 4.40 pagi mengenai kemalangan itu.

Pegawai paramedik mengesahkan Allahyarham, yang masih bujang, meninggal di tempat kejadian pada 4.53 pagi.

Allahyarham, anak kedua dalam keluarga tiga beradik, dipercayai bersama beberapa temannya ketika kemalangan itu.

Adik Allahyarham yang hanya dikenali sebagai Shima berkata, keluarganya hanya mengetahui tentang kemalangan itu ketika ibunya cuba menghubungi Allahyarham.

'Tapi bukan abang yang jawab telefon. Sebaliknya kawan abang yang jawab dan memberitahu abang terlibat dalam kemalangan,' ujarnya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Abadi selepas waktu zohor semalam."

Demonstrasi aman antikerajaan diteruskan


KAHERAH - Demonstrasi besar-besaran yang kini memasuki hari ke-12, masih diteruskan di ibu kota Mesir, beberapa jam selepas ratusan ribu penunjuk perasaan berkumpul di hadapan kediaman rasmi Presiden Hosni Mubarak, semalam.

Puluhan ribu orang membanjiri jalan raya di Mesir, termasuk di Iskandariah, Mahalla dan Giza, selepas solat Jumaat, dalam protes yang digelar Hari Keberangkatan dalam menuntut Mubarak meletak jawatan segera selepas memerintah selama 30 tahun.

Protes tetap diteruskan sehingga malam, mengingkari perintah berkurung yang tidak pernah dipatuhi sejak ia mula dikuatkuasakan, minggu lalu.

Seorang penunjuk perasaan ketika ditemu bual rangkaian berita televisyen Arab, Al Jazeera berkata, demonstrasi tetap akan diteruskan sehingga Mubarak benar-benar letak jawatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri baru Mesir, Ahmed Shafiq berkata, Mubarak tidak akan menyerahkan kuasanya kepada Timbalan Presidennya, Omar Suleiman, sebelum pilihan raya September depan diadakan.

"Presiden Mubarak tidak boleh letak jawatan sekarang kerana beliau masih diperlukan dalam Kabinet kerana sebab perundangan," katanya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menegaskan proses peralihan kuasa harus bermula sekarang dan ia mesti dilakukan dalam keadaan yang tenang.

"Proses peralihan kuasa yang sukses dan tertib haruslah bermakna dan mampu melaksanakan tuntutan sah orang ramai yang mencari masa depan yang lebih baik," katanya.

Setiap hari dengar tembakan



KUALA TERENGGANU- “Sepanjang perjalanan menuju ke lapangan terbang, saya dapat lihat balai polis terbakar, kedai kereta dipecah masuk. Pada masa itu, saya pasti tindakan saya keluar rumah ketika itu adalah pilihan yang tepat.”

Itu antara luahan Che Nur Ain Che Abdullah, 22, penuntut jurusan Perubatan, tahun empat di Universiti Alexanderia, Mesir yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, pagi semalam.

Che Nur Ain merupakan antara penuntut yang pulang dengan pembiayaan sendiri bersama rakan-rakannya setelah keadaan pergolakan di Mesir bertambah buruk.

Menurutnya, walaupun diberitahu akan diselamatkan kerajaan dengan berpindah ke Jeddah, keadaan runcing membuatkan dia dan rakan-rakan semakin terdesak untuk menyelamatkan diri.

“Setiap hari, kami dapat dengar tembakan dan bunyi bising. Apatah lagi melihat mereka memegang parang dan kayu, saya dan rakan-rakan semakin ketakutan. Ditambah pula dengan talian Internet dipotong, saya semakin hilang punca kerana tempoh berkurung semakin singkat.

“Mujurlah sebelum keadaan demonstrasi bertambah teruk, saya sempat membeli kad tambah nilai telefon. Dengan kredit yang hanya ‘nyawa-nyawa ikan’, saya dapat menghubungi keluarga dan meminta mereka membantu ‘mengeluarkan’ saya dari sini,” katanya.

Menurutnya, bimbang keadaan menjadi lebih teruk, dia dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk ke lapangan terbang sehari lebih awal dan bermalam di situ kerana bimbang akan terperangkap serta tidak sempat ke lapangan terbang.

Sementara itu, ibunya, Norhayati Yusof, 45, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Hulu Terengganu berkata, dia amat bersyukur kerana anaknya selamat sampai ke tanah air.

“Saya tidak dapat tidur lena setiap malam memikirkan anak saya. Lebih membimbangkan, dia akan menangis setiap kali saya hubunginya kerana dia hilang punca dan ketakutan.

“Walaupun terpaksa habiskan ribuan ringgit bagi memastikan dia selamat sampai ke tanah air, saya sanggup kerana apa yang penting adalah nyawa anak saya,” katanya.

Bapa Che Nur Ain, Che Abdullah Che Husain, 46, berkata, dia bersyukur kerana anaknya selamat dan menyatakan tindakan kerajaan membawa pulang anak-anak Malaysia sebagai satu tindakan tepat bagi keselamatan pelajar Malaysia di sana.

Ancaman lubang tiga meter



FELDA SELASIH - Pada peringkat awal kejadian secara tiba-tiba air memancut keluar dari perut bumi di Felda Selasih dekat Jabi akhir tahun lalu, ia menjadi perhatian orang ramai dan ada menganggap ia kejadian misteri.

Kemunculan air yang keluar membuak-buak itu berlaku di belakang dapur rumah salah seorang peneroka di sini Saudah Abd Rashid, 58, bermula akhir Disember lalu menjadi tanda tanya kepada orang ramai dari mana puncanya.

Menantu Saudah, Wan Nor Wan Hassan, 38, berkata, pada mulanya ramai yang hairan dan tertanya-tanya dari mana munculnya air itu, sedangkan di kawasan itu tidak ada saluran paip.

“Ketika itu, kawasan rumah dipenuhi orang ramai yang datang untuk melihat pancutan air tersebut yang terletak hanya kira-kira enam meter di belakang dapur rumah ibu mentua saya itu,” katanya.

Wan Nor berkata, bagaimana keadaan itu bertukar menjadi kebimbangan kepada dia sekeluarga apabila berlaku mendapan membentuk lubang sedalam kira-kira tiga meter di kawasan pancutan air itu.

Menurutnya, hari demi hari lubang di kawasan mendap semakin luas yang membentuk seakan-akan sebuah perigi atau kolam, manakala di dasar lubang itu pula terdapat aliran air.

Enam sekeluarga yang tinggal di rumah itu sekarang bimbang jika mendapan tanah di situ bertambah luas memandangkan ia terletak tidak jauh dengan dinding dapur rumah Saudah.

“Kawasan tanah mendap itu telah dipagar dengan kayu untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku, manakala kejadian pancutan air itu kini terjawab,” katanya.

Sementara itu Pengurus Felda Selasih, Kamaruddin Ahmad berkata, beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah, Jabatan Geologi dan Syarikat Air Terengganu (Satu) telah membuat pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat bahagian aliran air di kawasan tinggi tersumbat menyebabkan ia tersekat.

Air kemudiannya mengalir keluar melalui tanah lembut atau berpasir seterusnya menyebabkan tanah mendap akibat struktur tanah tidak padat.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali dan agensi berkaitan telah bersetuju untuk membina longkang di kawasan terbabit untuk mengalirkan air di bawah tanah itu untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Nenek, lima cucu nyaris maut



KERLING - Seorang nenek bersama lima cucunya nyaris dihempap pokok yang secara tiba-tiba tumbang dan menghempap rumahnya di Kampung Gate, di sini lewat petang kelmarin.

Paling menakutkan nenek terbabit, ketika pokok menghempap rumahnya, kipas siling berpusing dan nyaris menimpa lima cucunya yang asyik bermain di ruang tamu rumah.

Ketika ditemui semalam, nenek, K Saraswaty, 57, masih dalam keadaan trauma dan mengusap-usap dadanya sambil ditenangkan anaknya.

“Ketika itu, semua cucu main di ruang tamu dan saya bersama anak sedang menonton televisyen.

“Cuaca pun baik masa tu, tak ada angin dan hujan, tetapi tiba-tiba saja pokok tumbang dan menembusi bumbung ke ruang tamu rumah.

“Nyaris kipas dan zink serta serpihan kayu tidak menimpa kami,” katanya menceritakan detik kejadian itu.

Menurutnya, terkejut dengan kejadian itu, dia lantas memeluk cucu-cucunya yang ketika itu menangis ketakutan lalu membawa mereka ke ruang dapur.

Saraswaty berkata, dia bersyukur kerana semuanya selamat walaupun keadaan rumahnya rosak teruk dan berlubang akibat dihempap pokok.

Menurutnya, bomba tiba beberapa minit kemudian dan bertindak membersihkan batang pokok kelapa yang tumbang sambil dibantu jirannya.

“Rumah ini adalah peninggalan ayah tetapi dibina di atas tanah orang lain. Keadaannya memang uzur dan dibina daripada kayu.

“Saya tinggal bersama adik di sini kerana dia, K Selvam, 43, tidak ada rumah dan masih belum berkeluarga.

“Sesekali, anak dan menantu juga datang bersama cucu. Kebetulan pula, ketika ini mereka cuti dan tinggal di sini dan dalam masa sama pula kejadian ini berlaku,” katanya bimbang dengan keselamatan cucunya.

Bagaimanapun, kejadian itu mendapat perhatian wakil rakyat yang turun menghulurkan bantuan meringankan beban mangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun ketika ditemui berkata, beliau bersimpati dengan mangsa dan bersyukur semua mereka selamat.

“Saya amat bersimpati dengan kejadian menimpa keluarga ini. Bagi meringankan beban mereka saya menghulurkan bantuan RM2,000 untuk keperluan mereka terutama untuk membaik pulih semula bumbung dan rumah yang rosak.

“Bantuan ini juga cukup untuk kegunaan keperluan lain dan diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya yang tetap turun melawat mangsa walaupun masih meraikan tetamu yang datang ke rumahnya.

Jala ikan, dapat mortar



SIMPANG KERAYONG – Kelekaan seorang penduduk menangkap ikan di sebuah sungai, dekat sini terhenti seketika apabila satu objek pelik tersangkut pada jalanya, semalam.

Lebih mengejutkan, apabila objek tersebut sebenarnya sebuah bom mortar berukuran kira-kira 0.2 meter yang dipercayai masih aktif.

Panik dengan keadaan itu, Hamdan Misnoh, 41, menguatkan semangat dengan meletakkan bom mortar yang dijalanya ke atas tanah sebelum bergegas memanggil saudaranya.

Pekerja kilang itu berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, dia amat terkejut mendapati sebuah bom tersangkut dalam jalanya bersama hasil tangkapan lain.

“Sewaktu menarik jala, saya melihat terdapat sebutir bom mortar turut tersangkut dalam jala.

“Saya menggangkatnya dari sungai ke tebing dan meletakkannya di atas tanah sebelum memanggil saudara yang juga merupakan bekas anggota tentera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Hamdan berkata, selepas saudaranya itu mengesahkan bom seberat kira-kira dua kilogram itu masih aktif, dia kemudian bertindak menghubungi balai polis berhampiran.

Sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Melaka tiba ke tempat kejadian sejurus selepas itu untuk menyiasat dan memusnahkan bom mortar berkenaan.

Bagaimanapun, Hamdan berkata, dia bersyukur kerana bom berkenaan tidak meletup semasa tersangkut pada jalanya.

Dia turut menyifatkan insiden ‘menjala’ bom mortar itu sebagai satu kenangan buatnya sejak 30 tahun menjala ikan di sungai tersebut.

“Biasanya, memang banyak hasil tangkapan di sungai ini selepas hujan. Sudah lebih 30 tahun saya menjala di sungai ini bersama datuk sewaktu kecil dahulu.

“Sepanjang itu, saya tidak pernah jangka akan menjumpai bom di tempat saya mencari rezeki ini,” katanya.

Mabuk, dua pemandu ditahan




IPOH – Operasi Tahun Baru Cina kelmarin menyaksikan dua pemandu ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam sekatan jalan raya di Jalan Lim Seng Chew dalam Ops Samseng Jalanan/Mabuk.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata, mereka di tahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.

Menurutnya, dalam operasi itu 43 saman dikeluarkan melibatkan 22 kereta dan 21 motosikal atas pelbagai kesalahan.

"Antaranya lesen memandu tamat tempoh, ubah suai ekzos, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, kesalahan nombor pendaftaran dan tidak tampal pelekat P.

Operasi itu melibatkan Jalan Raja Dihilir, Jalan Kuala Kangsar, Jalan Pasir Puteh, Jalan Silibin dan Jalan Sultan Idris Shah.

Banjir paling buruk dialami



MUAR – Ramai penduduk kampung di Ledang dan Muar terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan selepas paras air meningkat di Sungai Chohong dan Sungai Muar.

Pada masa ini, Ledang mencatatkan 5,000 mangsa manakala Muar 2600 mangsa dan berkemungkinan akan meningkat bergantung kepada paras air di Sungai Muar.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata, walaupun hujan sudah berhenti sejak Isnin lalu tetapi paras air di Sungai Muar meningkat disebabkan limpahan air dari Segamat dan Labis.

Menurutnya, paras air Sungai Muar di Bukit Kepong pernah mencatatkan ketinggian sehingga 6.41 meter iaitu sekali ganda lebih tinggi dan melepasi paras bahaya iaitu pada tahap 3.04 meter.

“Mengikut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air banjir pada tahun ini sangat tinggi dan lebih teruk daripada banjir besar pada 2006.

“Kami mahu semua penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai supaya membuat persediaan sekiranya mereka dikehendaki untuk berpindah sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika melawat pusat pemindahan banjir di Pagoh, Lenga dan Bukit Kepong, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendesak ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak dan jangan membiarkan mereka berseronok bermain banjir.

Mislan berkata, selain itu, walaupun Jabatan Kesihatan ada menghantar pasukan perubatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan perubatan kepada mangsa banjir tetapi keutamaan akan diberikan kepada wanita hamil serta warga emas.

Beliau berkata, sementara itu, di Ledang, Jalan Jementah-Segamat berhampiran Kilometer 12 dan Jalan Chohong-Tangkak telah ditutup kepada kenderaan ringan serta pengguna diminta supaya mencari jalan alternatif.

Jurucakap Pusat Pemindahan Banjir di Ledang berkata, Jalan Tangkak-Chohong sudah dinaiki air dan terpaksa ditutup atas sebab-sebab keselamatan.

“Penduduk kampung dan pemandu kenderaan dinasihatkan supaya menggunakan jalan Kampung Lipat Kajang jika mereka mahu pergi ke Tangkak dari Chohong,” katanya.

Pada lawatan berkenaan beliau diiringi Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli; Pegawai Kanan Pejabat Kesihatan Muar, Dr Zulkipli Othman.

Jeritan anak sedarkan ibu




Jeritan anak sedarkan ibu

Mangsa cuba masuk ke dalam rumah tetapi tidak berjaya kerana api marak

BAGAN DATOH – “Saya menyedari rumah kami terbakar apabila mendengar jeritan anak bongsu saya yang ternampak api,” kata mangsa, Saedah Zulkifli, 50, ketika menceritakan detik cemas kejadian kebakaran itu.

Saedah berkata, kejadian berlaku pada jam 2.15 petang ketika dia berada di rumah adiknya yang terletak tidak jauh dari kediaman keluarganya di Kampung Sungai Baruh.

Menurutnya, ketika kejadian tiada sesiapa di dalam rumah kerana suaminya, Zainal Ali Ghatan, 53, menunaikan solat Jumaat di Masjid Sungai Baruh.

“Saya cuba masuk beberapa kali ke dalam rumah untuk mengambil barang dan dokumen penting namun tidak berjaya disebabkan api semakin marak.

:“Api merebak terlalu cepat, bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kemala�ngan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian.

:Suami mangsa, Zainal Ali berkata, dia hanya mengetahui kejadian kebakaran itu apabila diberitahu oleh jiran selepas selesai solat Jumaat dan segera pulang.

Menurutnya, apabila sampai rumah, dia mendapati kediamannya hangus dan tiada barangan yang sempat diselamatkan isterinya.

“Kini kami hanya tinggal sehelai sepinggang namun, bersyukur kerana anak dan isteri saya selamat,” katanya.

:Sementara itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, A Ravi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.13 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 2.55 petang.

Menurutnya, seramai 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian malah, Bomba Sukarela Bagan Datoh turut membantu mereka memadamkan api.

“Ketika pihak kami sampai di tempat kejadian, hampir 90 peratus rumah mangsa terbakar,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa berlaku dilaporkan sementara nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM30,000.

Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shaarani Mohamad turut melawat ke tempat kejadian selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sungai Baruh.

Tercampak tepi cerun



SUNGAI UDANG - Tanda tanya mengenai sebuah motosikal remuk yang didapati tersadai di Jalan Sungai Udang, dekat sini terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 pagi itu, mayat anggota tentera itu ditemui tersorok di cerun bukit kira-kira dua meter daripada motosikalnya itu.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave 100 dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan, sebelum tercampak ke tepi cerun berkenaan.

Bagaimanapun, orang ramai dikatakan tidak menyedari mangsa tercampak di cerun bukit itu sebelum ditemui salah seorang yang melalui kawasan berkenaan.

Ketua Turus Trafik Melaka Tengah, Superintendan Poonam E Keling berkata, mangsa dikenali sebagai Benjamin Rentap anak Boo, 24, dipercayai terbabas sendiri semasa menunggang motosikal.

“Motosikalnya terbabas ke kiri jalan ketika melalui selekoh berkenaan sebelum mangsa tercampak ke celah cerun tanah tinggi berkenaan.

“Mangsa dipercayai dari arah Sungai Udang menghala ke Batu Berendam turut melanggar pembahagi jalan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, suasana hiba di tempat kejadian apabila beberapa rakan mangsa dari Kem Sungai Udang, di sini tiba sejurus selepas itu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.

Suami cari isteri hilang sejak seminggu



KLUANG - Suami resah apabila isterinya yang baru dinikahi pada 22 Januari lalu tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu setelah keluar untuk membeli nilai kredit telefon bimbit.

Nor Hasrul Affandi Hashim, 25, berkata, isterinya, Nurhidayah Samsuddin, 20, keluar kira-kira jam 11.30 pagi pada 28 Januari dan disedari ibu mertuanya.

“Pada masa itu, saya tiada di rumah kerana dalam perjalanan dari Pahang untuk balik ke Kluang, namun ibu mertua saya sedar dia keluar ketika itu.

“Apabila sampai di rumah, saya ada bermesej dengannya kerana berasakan dia keluar terlalu lama. Mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang saya terima daripadanya adalah pada hari Jumaat 28 Januari, kira-kira jam 1.35 petang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam mesej terakhir, isterinya menyatakan bahawa dia berada di rumah kawannya di Yap Tau Sah dan Mor Hasrul menyuruhnya pulang kerana pada masa itu hujan.

Beliau berkata, selepas terima mesej itu, dia cuba menelefon isterinya tetapi tidak berjawab.

“Keesokan harinya saya membuat laporan polis bersama-sama ayah mertua saya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Dan hari ini (semalam) genap seminggu isteri saya hilang tanpa sebarang berita. Semua kawan rapatnya sudah saya tanya tetapi semuanya tidak mengetahui ke mana perginya isteri saya ini,” katanya.

Nor Hasrul berkata, isterinya saya keluar hanya memakai baju t-shirt berwarna merah jambu, berseluar track dan menaiki motor.

Beliau berkata, tiada punca dan sebab untuk isterinya melarikan diri kerana hubungannya mereka baik, tambahan pula baru mendirikan rumah tangga.

“Saya amat risau tentang keselamatannya kerana sewaktu dia keluar, isteri saya hanya membawa beg duit berisi wang tunai kira-kira RM200, kad pengenalan dan barang kemas yang dipakai ketika berkahwin,” katanya.

Menurut Nor Hasrul, pada 5 Februari adalah hari lahir isterinya dan biasanya isterinya akan menyambut ulang tahunnya bersama ayahnya yang mempunyai tarikh lahir yang sama.

Beliau berkata, ayah mertuanya sangat sedih dengan apa yang berlaku dan mengharapkan agar anak perempuannya dapat dijumpai semula dengan secepat mungkin.

“Sehingga ke saat ini pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk mencari isteri saya ini dan saya juga meminta bantuan daripada kawan-kawan yang lain untuk mencari ke semua tempat.

“Jika sesiapa yang menjumpainya bolehlah menghubungi saya di talian 07-7761649 atau 017-9653293,” katanya lagi.

Berjudi di kebun sawit



BATU PAHAT – Polis berjaya mematahkan satu sindiket perjudian yang berselindung di sebalik kebun sawit dalam satu serbuan di Tongkang Pecah, di sini, pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Polis Daerah Batu Pahat daripada Unit D7 itu dilakukan hasil maklumat orang ramai dan siasatan yang dibuat sebelumnya.

Menurutnya, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan di samping merampas peralatan perjudian seperti 31 mahjung; tiga buah dadu; 23 chee bulat warna hijau; dan enam chee bulat warna kuning.

“Polis juga merampas 14 chee bulat warna merah jambu, 12 chee bulat warna merah, dua batang kayu chopstick, lima helai kertas kanvas putih dan wang tunai berjumlah RM189.

“Turut dirampas sebuah meja bulat berkaki besi; empat kerusi plastik; satu lampu kalimantang; satu bateri kereta; dan sehelai kanvas. Lelaki yang ditahan juga mengaku bermain judi dengan mempertaruhkan wang,” katanya.

Ibrahim ketika ditemui dalam sidang media selepas program Sepagi Bersama Polis dan Pemimpin Masyarakat Setempat (Community Policing) bagi Kawasan Senggarang, di sini, semalam.

Turut Hadir di majlis itu adalah Timbalan Ketua Polis, Superintendan Adnan Azizon.

Katanya, lelaki yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, polis juga berjaya menahan dua lelaki pada 1 Februari lalu kerana dipercayai terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar Batu Pahat.

Ibrahim berkata, dua lelaki terbabit ditahan di Jalan Panchor, Batu Pahat hasil daripada risikan dan maklumat orang ramai.

“Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara,” katanya.

Jeritan selamatkan nyawa



GEORGETOWN - Jeritan seorang warga emas yang ketakutan melihat api marak berjaya menyelamatkan nyawanya dan anak perempuannya yang kurang siuman daripada menjadi korban dalam kebakaran di Jalan Sungai di sini, awal pagi semalam.

Loh Poh Tian, 77, dan anak perempuannya berusia 22 tahun berjaya diselamatkan orang ramai selepas rumahnya dan lima rumah lain hangus dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.05 pagi semalam.

Poh Tian ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian berkata, dia masih lagi trauma dengan kejadian itu namun bersyukur kerana terselamat daripada kebakaran yang boleh meragut nyawa dia dan anaknya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan anaknya tidur nyenyak di dalam bilik namun dikejutkan dengan jeritan jiran-jirannya yang mengarahkan dia segera keluar dari rumah dan menyelamatkan diri.

Namun dia yang sudah tidak berupaya hanya mampu menjerit untuk meminta pertolongan dari orang ramai sebelum mereka dibawa keluar oleh jiran-jiran terdekat.

“Rumah saya dipenuhi dengan barangan kitar semula dan banyak barang yang mudah terbakar. Kalau saya lambat keluar dari rumah sudah pasti saya dan anak akan mati dalam keadaan yang mengerikan.

“Saya bersyukur dan ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada jiran yang membantu mengangkat saya dan anak keluar dari rumah walaupun sebenarnya nyawa mereka juga dalam keadaan bahaya,” katanya.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta milik seorang penghuni yang diletakan di hadapan rumahnya juga nyaris terbakar selepas api marak menyambar bahagian depan kereta itu.

Namun tindakan pantas pasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Alyas Said berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan sekitar perumahan itu.

Alyas berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4.10 pagi selepas menerima panggilan kecemasan dari orang awam.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian mendapati api sedang marak dan merebak begitu pantas kerana kebanyakan struktur rumah di kawasan itu dibina daripada kayu.

Selain itu, faktor kedudukan rumah bersebelahan yang dibina terlalu rapat juga merupakan antara punca api merebak dengan cepat.

“Ketika kejadian kesemua penghuni dilaporkan sedang tidur. Bagaimanapun tindakan pantas 15 anggota bomba dari Jalan Perak dan dibantu beberapa pasukan sukarela berjaya mengawal api yang sedang marak daripada terus merebak ke rumah lain.

“Api dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Jumlah kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pegawai penyiasat kebakaran,” katanya.
-sh

Hasrat ulang kaji tergendala



ALOR SETAR - Lima sahabat terpaksa menangguhkan sesi ulang kaji pelajaran mereka apabila tiga rumah termasuk rumah yang disewa di Blok C, Taman Wira Mergong terbakar dipercayai akibat litar pintas, malam kelmarin.

Pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mohd Khairun Nazwan Mohd Nasir, 20, berkata, sewaktu kejadian seorang lagi rakan mereka yang berada di ruang tamu rumah mengalami kecederaan di bahagian lengan.

Menurutnya, kejadian itu mula disedari apabila dia terlihat kepulan asap di bahagian bawah pintu bilik yang ditutup dan mereka segera menyelamatkan diri dengan keluar menggunakan pintu belakang.

“Saya cuba untuk memadamkan api dengan mengambil air namun tidak sempat apabila bekalan elektrik di rumah tiba-tiba terputus.

“Kejadian ini berlaku begitu pantas sehinggakan kami tidak sempat untuk menyelamatkan segala peralatan dan dokumen peribadi kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.

Pelajar semester empat jurusan Syariah itu berkata, kejadian itu juga menyebabkan lima daripada tujuh motosikal di rumah itu rentung gara-gara tidak sempat diselamatkan.

Syarifah Hasna Syed Kechik, 56, berkata, dia yang berada di rumah anaknya di Seremban menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, selepas mendapat panggilan dia segera pulang dan tiba di rumah kira-kira jam empat pagi semalam dan mendapati kebakaran itu telah memusnahkan bahagian hadapan dan dapur.

“Kebakaran yang berlaku ini turut menyebabkan kereta jenis Proton Saga Aeroback yang ditinggalkan di rumah terbakar.

“Saya tinggal di sini sejak 23 tahun yang lalu dan kini saya terpaksa menetap di rumah kakak yang tinggal di kawasan berhampiran,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ketika meninjau mangsa kebakaran berkata, bantuan berupa kewangan, makanan dan selimut turut disampaikan kepada mangsa.

Beliau berkata, bantuan yang disampaikan itu bertujuan meringankan beban mangsa yang terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat.

“Kita juga berharap Kerajaan Negeri dapat segera membina rumah baru kepada mangsa supaya mereka dapat tinggal di rumah sendiri selepas menumpang di rumah saudara,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Md Nor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.52 malam dan menghnatar tiga jentera iaitu dua dari Jalan Tun Razak dan satu dari Jalan Raja dengan kekuatan 24 anggota.

Beliau berkata, anggotanya berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran dalam tempoh 12 minit.
-sh

Tragedi bot karam



KUAH - Seorang masih hilang manakala dua selamat dalam kejadian bot karam selepas terlanggar seketul batu besar di Teluk Penarak, pagi kelmarin.

Ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, Shukor Ramjan, 29, dan rakannya, Muhammad Fitri Baharudin, 23, dalam perjalanan dari Kuah, ke Kuala Perlis untuk menghantar rakan mereka Zairy Zainol, 30, yang dipercayai masih hilang.

Terdahulu, Zairy yang tiba bersama Muhammad Fitri di Langkawi awal pagi kelmarin, dikatakan meminta pertolongan Shukor menghantarnya pulang ke Kuala Perlis dengan menggunakan bot gentian kaca selepas tertinggal feri penumpang terakhir pada jam 7 malam.

Namun, selepas beberapa minit, bot dipandu Shukor terlanggar seketul batu besar berhampiran Pulau Bumbun Besar mengakibatkan bot pecah dan karam.

Shukor berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka bertiga tidak sempat berbuat apa-apa melainkan berusaha menyelamatkan diri masing-masing dari lemas dengan berenang ke pulau berhampiran kira-kira 500 meter.

“Saya dan Muhammad Fitri berenang mengikut arus, manakala Zairy berenang melawan arus, ketika itu kami saling memanggil nama satu sama lain selain memberi kata-kata semangat.

“Sebaik mendarat di pantai hanya saya dan Muhammad Fitri saja yang ada, manakala Zairy tidak dapat dikesan, kami memanggil namanya berkali-kali tapi tiada tindak balas, sebelum kami tertidur akibat keletihan,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Fitri berkata, selepas hari siang dia cuba melambai kepada beberapa bot nelayan yang lalu tidak jauh dari tempat mereka bermalam, namun jeritan mereka tidak didengari.

“Hanya menjelang tengah hari, sebuah bot nelayan dinaiki seorang warga emas menghampiri kami sebelum membawa saya dan Shukor ke jeti nelayan di Kampung Penarak, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi,” katanya.

Tinjauan di jeti nelayan Kampung Penarak, mendapati, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai bapa Zairy, Zainol Baharom, 56, dan isterinya, Julia Jaafar, 30, yang tiba bersama empat ahli keluarganya dari Kuala Perlis.

Julia berkata, suaminya ada menelefon untuk pulang menggunakan bot sewa selepas ketinggalan feri terakhir dari Kuah ke Kuala Perlis pada jam 7 malam kelmarin.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga bapa mertua datang memberitahu suami saya hilang dalam laut selepas bot yang dia naiki bersama dua rakannya pecah dan karam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah, berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengetuai operasi SAR mulai jam 3.45 petang kelmarin.

“Sebaik menerima maklumat kecemasan, APMM dengan dibantu anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Langkawi melancarkan operasi SAR di tempat kejadian.

“Pasukan penyelam bomba dan penyelamat menemui bangkai bot yang tenggelam di lokasi kejadian, namun kerja menaikkan bot terpaksa ditangguhkan kerana cuaca tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan dan disambung semula pagi semalam (5 Februari) bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
-sh

Maut di kawasan larangan



SEDIM - Kegembiraan sekumpulan remaja yang datang berkelah di Taman Rekreasi Arus Deras Sedim, sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka, Ahmad Zharif Ridzwan Omar, 15, yang tinggal di Kampung Setul, Telok Air Tawar mati lemas tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa dihanyutkan arus deras.

Abang mangsa, Ahmad Farul Radzi Omar yang ketika itu berada di tempat kejadian cuba membantu adiknya tetapi gagal.

“Mangsa berusia 15 tahun dan tidak bersekolah. Dia pergi ke Taman Rekreasi Arus Deras Sedim untuk berkelah bersama kawan-kawan dan saudaranya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya ditemui penduduk kampung kira-kira jam 1 petang di sekitar kawasan Lubuk Batu di mana kejadian lemas sering berlaku.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana lemas.

Sementara itu Penyelaras Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Aziz Sheikh Fadzil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dengan dugaan Allah.

“Ini merupakan kejadian pertama tahun ini. Sepanjang 2010, lima hingga enam mangsa dilaporkan lemas di sekitar kawasan di mana Allahyarham Ahmad Zharif ditemui.

“Kawasan itu adalah kawasan larangan malah papan tanda telah diletakkan. Saya meminta di masa akan datang pengunjung dapat mematuhi arahan papan tanda yang ada di sekitar kawasan Taman Rekreasi Arus Deras Sedim,” katanya.

Untuk memastikan masalah tidak berulang, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Pejabat Daerah Kulim bagi mencari jalan penyelesaian.
-SH

Parah dilanggar jet ski



GEORGETOWN - Kegembiraan sebuah keluarga bercuti bersama di pantai Batu Feringghi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka cedera parah di bahagian kaki dilanggar sebuah jet ski yang ditunggang dua lelaki warga Myanmar di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.40 pagi semalam, menyebabkan percutian mangsa, Zhu Li, 47, warganegara China, bersama suaminya, Zhao Yong Gang, 47, anak perempuan, Zhao Xue, 20, dan tiga rakannya di kawasan pantai di belakang Hotel Golden Sands Resort menjadi kelam-kabut selepas dia dilanggar sebuah jet ski dari arah belakang.

Zhao Xue berkata, sebelum kejadian, dia didatangi seorang pengurus aktiviti jet ski yang menawarkan perkhidmatan sewaan sukan air namun dia dan ahli keluarganya menolak tawaran itu kerana tidak berminat dengan tawaran itu.

Menurutnya, selepas itu, mereka sekeluarga bersama rakan sedang bermain di tepi pantai dan beberapa minit sebelum kejadian, bapanya merakam gambarnya manakala ibunya pula sedang berdiri membelakangkan pantai.

“Ketika itu, saya nampak jet ski yang ditunggang dua lelaki Myanmar dalam keadaan laju selain mereka seperti tidak pandai mengawal jentera itu.

“Saya terkejut kerana secara tiba-tiba jet ski yang ditunggang dua lelaki itu dibawa laju ke arah ibu saya dan melanggarnya dari arah belakang,” katanya ketika ditemui media di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Zhao Xue berkata, dia bersama rakannya nampak dengan jelas jet ski itu dengan sengaja ditunggang laju ke arah ibunya dan tidak menyangka pengalaman mereka bercuti di tepi pantai sempena Tahun Baru Cina akan bertukar malang buat ibunya.

Sementara itu, Zhao Yong, seorang pekerja kilang di Sungai Petani, Kedah sejak 10 tahun lalu pula berkata, selepas dua lelaki berkenaan melanggar isterinya, mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh orang ramai di kawasan itu yang turut menyaksikan kejadian berkenaan sebelum memukul kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, tulang paha kedua-dua belah kaki isterinya terkeluar akibat kejadian berkenaan dan dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di HPP, kaki kiri isterinya cedera parah namun kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah mengarahkan semua pengusaha sukan air di kawasan pantai Batu Feringghi dihentikan sementara waktu sehingga siasatan oleh polis selesai.

Kon Yeow berkata, pihaknya juga dimaklumkan oleh anggota polis, dua lelaki Myanmar terbabit sudah ditahan di Balai Polis Batu Feringgi untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan dua lelaki berkenaan pada mulanya ditahan di Balai Polis Batu Feringgi sebelum dihantar ke Balai Polis Tanjung Tokong.
-SH

JPJ KELUAR 52 SAMAN



KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 52 saman pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya sehingga kelmarin sempena Ops Tahun Baru Cina 2011 yang berkuat kuasa 21 Januari lalu sehingga 20 Februari ini.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, dalam tempoh 15 hari itu, saman yang paling tinggi dikeluarkan adalah melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen, memotong garisan berkembar dan juga tidak memakai tali pinggang keledar bagi yang menaiki kereta.

“Kesalahan-kesalahan pengguna jalan raya ini dikesan bukan sahaja melalui operasi statik yang dilaksanakan semata-mata, tetapi turut melibatkan beberapa usaha yang dilakukan.

" Ia termasuklah hasil rondaan 24 jam serta penyamaran yang dilakukan anggota kami sempena Ops Tahun Baru Cina 2011 ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abdul Rahman berkata, pengguna jalan raya yang dikenakan saman wajib menjelaskan jumlah saman tersebut dalam tempoh sebulan dari tarikh ia dikeluarkan dan jika ingkar, surat mahkamah akan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, jika masih ada yang berdegil tidak datang ke mahkamah pada tarikh ditetapkan, pengguna terbabit secara automatik akan disenaraihitamkan,” katanya.

Menurutnya, sempena Ops Tahun Baru Cina 2011, rondaan 24 jam akan difokuskan di kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan, dikenali sebagai laluan sakaratul maut iaitu laluan Jerangau- Jabor-Kuala Terengganu-Marang-Dungun dan Cukai-Paka-Marang.

Keluarga reda, harap jasad ditemui



KEMAMAN – “Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT. Sudah tersurat saya dan ibu kehilangan adik, kami pasrah. Namun, berharap jasad adik dijumpai agar dapat disemadikan,” luah Mohd Shahidil Farhan Hassan, 24, dalam nada sebak.

Meskipun masih kelihatan lemah dan trauma, Mohd Shahidil Farhan tetap menggagahkan diri turun ke pantai tempat adiknya, Zainal Ikmal Abdullah, 12, yang dikhuatiri lemas ketika usaha mencari dan menyelamat adiknya itu giat dijalankan di pantai Kampung Geliga Baru, belakang Tadika Kemas Geliga, dekat sini, semalam.

Zainal Ikmal dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ganas ketika sedang leka bermain pasir bersama dua sepupunya, Mohd Adzim Shakirin Azhar, 12, dan Mohd Azrafiq Shazrin Azhar, 10, dalam kejadian di pantai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka itu, kira-kira jam 4.40 petang kelmarin.

Selepas lebih 24 jam hilang di laut, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga itu masih belum menemui sebarang petunjuk.

Sehingga jam 6 petang semalam, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Mengharapkan anak bongsunya berjaya ditemui dalam keadaan selamat, ibu mangsa, Azizah Yahya, 46, turut turun ke pantai bersama Mohd Shahidil Farhan ketika operasi mencari dan menyelamatkan dijalankan pada waktu pagi.

Namun, disebabkan keadaan ibu tunggal itu masih lemah, dia pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih.

Malah, kata Mohd Shahidil Farhan, pada malam kejadian ibunya turut meracau kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu.

“Melihat keadaan ibu, saya sangat sedih kerana badannya sekarang terlalu lemah. Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian ini,” katanya yang sejak kelmarin turut pengsan dan tidak sedarkan diri beberapa kali kerana terlalu sedih memikirkan keadaan adiknya.

Luahnya, dalam keadaan ombak ganas sejak kelmarin, sehingga ada ketika pukulan ombak mencecah dua meter, adalah mustahil adiknya itu dapat dijumpai dalam keadaan selamat.

Mereka sekeluarga bagai�manapun reda dengan ketentuan Tuhan, tetapi pada masa sama berdoa dan berharap agar jasad Zainal Ikmal dapat dijumpai segera supaya dapat disemadikan.

Sementara itu, dalam kejadian kelmarin, Mohd Shahidil Farhan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ibu saudaranya, segera berlari menuju ke pantai bagi menyelamatkan adiknya yang ketika itu telah hanyut dibawa arus sejauh kira-kira 100 meter dari darat.

Malah, sebelum terjun, dia juga sempat melihat kepala adiknya tenggelam timbul dengan tangan melambai meminta tolong.

Bagaimanapun, cubaan untuk menyelamatkan adiknya gagal, malah dia sendiri nyaris lemas dan hanya mampu berenang sejauh 50 meter dari darat akibat dihalang ombak.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang diteruskan jam 8 pagi semalam dilakukan ke sekitar muara Sungai Kemaman hingga ke pantai Cherating, Pahang termasuk jarak lima kilometer dari tempat Zainal Ikmal dipercayai lemas.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan kira-kira jam 7.05 lewat petang semalam berikutan keadaan cuaca mulai gelap dan ombak besar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Che Wan Mohd Razak Che Wan Besar, yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak petang kelmarin berkata, usaha mencari akan diteruskan di sepanjang pesisir pantai pada waktu malam.

“Keadaan ombak tenang pada waktu pagi memudahkan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dimulakan kira-kira jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Namun, katanya, operasi dihentikan seketika pada jam 12 tengah hari disebabkan air laut mulai pasang dan keadaan ombak besar, selain bagi membolehkan anggota menyelamat berehat sebelum operasi kembali diteruskan kira-kira jam 3.30 petang.

Operasi semalam turut dibantu enam anggota dari Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Penduduk terutama ibu bawa yang tinggal di sepanjang kawasan Pantai Kampung Geliga Baru dinasihatkan sentiasa mengawasi anak masing-masing, agar kejadian tidak diingini termasuk lemas dapat dihindari, sehingga terjadinya insiden meragut nyawa.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Geliga Baru, Noorhaliza Mushatfar berkata, dalam keadaan ombak besar sehingga boleh mencecah sehingga setinggi kira-kira tiga meter di sepanjang pantai itu, seharusnya pantai tidak dikunjungi dan tidak dijadikan tempat bermain bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Keadaan laut bergelora dengan fenomena air pasang besar serta ombak ganas boleh mengancam keselamatan sesiapa sahaja.

“Seharusnya sepanjang musim tengkujuh ini, ibu bapa perlulah sentiasa memantau anak. Jangan biarkan mereka bermain di pantai kerana ombak besar boleh menarik kita sehingga ke tengah lautan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tidak sempat timang bayi



AMBS - “Beberapa hari sebelum pemergiannya, dia ada menyebut beberapa nama untuk diberikan kepada anaknya yang bakal lahir nanti, namun saya tidak menyangka akhirnya dia turut pergi bersama bayi yang dikandungnya itu.

Demikian kata Rotina Mohd, 37, kakak kepada Rodiah Mohd, 26, mangsa yang terbunuh dalam kemalangan maut berdekatan Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS), Dungun, petang semalam.

Menurut Rotina, ketika kejadian, adik perempuannya itu dalam perjalanan daripada menghadiri kenduri perkahwinan di rumah rakannya di Felda Ketengah Jaya, kira-kira 30 kilometer dari rumahnya di Taman Madani AMBS.

Rodiah duduk di tempat duduk hadapan ketika Perodua Myvi dipandu suaminya, Zuhairi Abdullah, 30, dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban dalam cerun di Kilometer 22 Jalan Paka-AMBS kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Rotina yang masih hiba dengan pemergian arwah yang juga anak keempat daripada enam beradik itu berkata, sebelum tragedi terbabit, arwah dikatakan beria-ria ingin menimang cahaya mata setelah dia mengalami keguguran ketika mengandungkan anak sulungnya tahun lalu.

Rotina berkata, segala persiapan dibuat untuk menyambut bayi sulung itu termasuk menyediakan kelengkapan bayi, dan paling ketara dia bertanyakan nama yang sesuai untuk bayi yang bakal dilahirkan itu.

“Sejak belakangan ini, tingkah laku arwah agak pelik berbanding biasa. Arwah juga sering merajuk dan tidak ingin mengalah dalam setiap hal.

“Sebagai kakak, saya tidak mengambil hati sangat dengan kelakuannya itu, apatah lagi memikirkan dia kini sedang sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk bersalin. Namun saya tidak menyangka rupa-rupanya ia satu petanda dia akan meninggalkan kami semua bersama bayi yang dikandungnya,” katanya.

Mangsa yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Pelanggan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan AMBS, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat pendarahan dalaman.

Suaminya, Zuhairi hanya patah kaki dan menerima rawatan di Hospital Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

“Jenazah mangsa dituntut bapa tirinya, A Karim Rawi untuk dibawa pulang dengan kenderaan jenazah Masjid AMBS sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AMBS.

SH

Anggota tentera maut nahas



TANAH MERAH – Seorang anggota tentera yang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kota Bharu, Machang-Jeli petang, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, menyebabkan mangsa, Mohd Azuiwan Abdul Ghani, 23, cedera kepala dan meninggal di Hospital Tanah Merah, kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Batu Gajah ke Panglima Bayu.

“Sebaik tiba di simpang, sebuah kereta hadapan mangsa memberi lampu isyarat masuk ke kanan.

“Mangsa yang menunggang motosikal sendirian dari arah sama melanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari Kemahang dan terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Aziz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ibu mangsa, Normah Yatim, 45, berkata, rakan arwah memberitahunya dia menunjukkan perangai pelik dengan membelanjakan rakannya minum, sebaliknya dia sendiri tidak memesan minuman.

“Kebiasaannya, rakan-rakanya memberitahu makcik dia tak begitu, tetapi kali ini, selepas belanja rakannya, dia menghilangkan diri.

“Petang hari kejadian juga, dia bersama-sama rakannya menunggang motosikal ke Tanah Merah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Normah berkata, dia turut melihat sedikit perubahan pada anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, arwah yang baru setahun menyertai angkatan tentera itu adalah seorang yang periang dan agak rapat dengannya,

“Arwah turut menunjukkan sedikit perubahan sikap, biasanya dia banyak cakap, tetapi hari kemalangan dia lebih banyak berdiam diri.

“Saya tidak menyangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya yang hanya sempat melihat jenazah anaknya di Hospital Tanah Merah.

Normah berkata, arwah juga turut menunjukkan keadaan kuku kakinya kesan aktif berlawan bola sepak kepada kakaknya memandangkan dia pulang kali ini selepas menyertai perlawanan.

Jenazah, Azuiwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panglima Bayu jam 12 tengah hari, semalam.

-sh

Mangsa mat rempit langgar lari derita




PASIR MAS – Seorang remaja mangsa langgar lari di sini mengalami kesukaran hidup apabila dia bukan sahaja patah kaki akibat kemalangan itu, malah tidak dapat meneruskan pekerjaan akibat kecederaan yang ditanggung sejak Ogos lalu.

Mohd Saddam Hassan, 20, berkata, dia dilanggar lari sekumpulan mat rempit ketika dalam perjalanan pulang daripada kerja, dua hari sebelum Ramadan tahun lalu.

“Akibat kesukaran hidup, saya mengambil upah bekerja kampung selepas waktu persekolahan bagi menampung perbelanjaan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya, kerana dia juga merupakan pesakit jantung dan sudah pun bertolak ke Sarawak dan dijaga keluarganya di sana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, akibat kemalangan, dia mengalami patah lima tulang di bahagian peha hingga betis dan menyebabkannya tidak boleh keluar bekerja dalam jangka masa yang masa.

Katanya, dia sekali lagi mengalami kemalangan di rumah sehingga menyebabkan kakinya yang dirawat baru-baru ini patah sekali lagi.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana Skuad Sayang UMNO Bahagian Pasir Mas sudi menziarahinya dan menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan pengajiannya menduduki STPM tahun lalu.

Sementara itu Pengerusi Skuad Sayang, Wan Taniah Wan Yusof berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan kesihatan yang dialami Mohd Saddam.

“Memandangkan dia tidak berupaya mencari pekerjaan tetap, kami berjaya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat keperluan dan perbelanjaan perubatannya sepanjang tahun ini,” katanya.

Wan Taniah berkata, dia berharap bantuan yang diterima akan digunakan dengan sebaiknya dan semua kesukaran hidup yang dialami akan menambahkan lagi semangatnya untuk berjaya pada masa hadapan.

Niat baik bawa padah


PETALING JAYA – Usaha dua pengawal keselamatan membantu meleraikan pergaduhan seorang rakan mereka dengan sekumpulan warga asing bertukar tragedi apabila mereka maut ditetak dan ditikam dalam kejadian di tapak pembinaan di Damansara Perdana, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 8.20 malam itu, perut kedua-dua lelaki berusia 20 dan 26 tahun itu terburai akibat ditikam bertubi-tubi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian, seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan berkenaan berselisih faham dengan beberapa pekerja asing yang tinggal di rumah kongsi di kawasan terbabit.

“Pengawal terbabit kemudian memanggil dua rakannya yang juga pengawal keselamatan bertugas di tempat lain untuk membantunya.

“Sekumpulan warga asing dipercayai dalam anggaran 12 hingga 15 orang secara tiba-tiba datang membawa senjata tajam lalu menyerang mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Arjunaidi berkata, seorang daripada tiga pengawal keselamatan itu sempat lari menyelamatkan diri dan tidak mengala:mi sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

“Kumpulan warga asing itu turut melarikan diri, tetapi kita telah menahan pengawal keselamatan tapak pembinaan dan dua warga Indonesia yang menghuni rumah kongsi di situ untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Pagi tadi (semalam), tiga warga asing ditahan di sebuah rumah di Jalan Klang Lama,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis masih memburu baki suspek dipercayai terlibat dalam kes itu dan sedang menyiasat motif pembunuhan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Ke:seksaan kerana membunuh.

Penipuan hartanah babit aktres Bollywood, Hollywood



Ahli perniagaan UAE dedah nama Minissha, Tara diperguna
DUBAI: Nama aktres terkenal Bollywood, Minissha Lamba dan bintang filem Hollywood, Tara Reid digunakan dalam satu skandal hartanah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertujuan menipu sekumpulan pelabur membabitkan lebih 9.3 juta dirham (RM7.7 juta).
Ahli perniagaan UAE, Ahmad Al Falasi dan 11 pelabur lain terbabit dalam satu pertikaian perundangan membabitkan empat rakyat India yang didakwa menipu mereka berjumlah 9.3 juta dirham menggunakan nama dua pelakon berkenaan.
Al Falasi yang berasal dari Dubai berkata, beliau terpedaya dengan lelaki dari syarikat Santorini Development, sebuah firma rangkaian apartmen, villa dan hotel ala Greek yang dibina di pulau buatan Al Marjan di Ras Al Khaimah.

Katanya, defendan terbabit mendakwa, dua selebriti berkenaan mahu membeli hartanah yang dibangunkan Santorini Development yang akan siap akhir tahun ini.

Bagaimanapun, sehingga hari ini belum ada apa-apa tanda menunjukkan adanya pembangunan di kawasan padang pasir seluas 463,321 kaki persegi, lapor Gulf News.

Defendan lain ialah pemilik Stallion Properties, Ankur Mehta bersama rakan kongsinya, Sosheeta Phillip Desay, Sanjay Jayantilal Mehta dan Naresh Mehta, yang dituduh mengada-adakan rancangan pembangunan membabitkan 560 unit pangsapuri di hartanah terbabit.
Pelabur terbabit mula mengesyaki sesuatu pada Februari tahun lalu apabila bangunan yang dijanjikan masih belum bermula.

Mereka kemudian memutuskan tertipu dengan janji palsu dan defendan langsung tidak memiliki tanah di kawasan berkenaan sedangkan bayaran sudah dibuat.

Tiga defendan terbabit daripada Stallion Properties kemudian disabitkan bersalah dan dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah jenayah kerana mengambil wang daripada pelabur secara menipu. – Agensi 

Lelaki ‘jual isteri’ ditahan

MUMBAI: Seorang penduduk di daerah Darjeeling, India, ditahan kerana mengahwini dan menipu 60 wanita serta memaksa mereka menjadi pelacur.
Bikky Biswarkarma, 27, yang ditahan Khamis lalu, menyamar sebagai pegawai tentera berkahwin dengan semua gadis berkenaan sebelum menjual mereka di kota Mumbai dan Pune.
“Dia menyamar sebagai anggota tentera yang sedang bercuti dan mahu berkahwin sebelum kembali berkhidmat.
“Dia juga memberitahu agensi undang-undang bahawa dia sering berpindah markas tentera untuk memikat gadis daripada keluarga miskin di kampung dan ladang teh,” kata ketua polis, Debendra Prasad Singh.

Biswarkarma menjual isterinya dengan harga 70,000 hingga 100,000 rupee (RM4,677 hingga RM6,682) seorang.

Setakat ini, polis sudah menemui sembilan wanita, sementara Biswarkarma dijangka akan didakwa dengan beberapa pertuduhan berat. – Agensi 

Warga Jerman dakwa diculik CIA saman Macedonia





2011/02/06

SKOPJE: Seorang lelaki Jerman yang mengatakan dia diculik CIA di Macedonia dan diseksa dalam sebuah penjara rahsia selepas disalah anggap sebagai suspek pengganas, memulakan proses menyaman Macedonia semalam untuk menuntut pengesahan terhadap penderitaannya secara rasmi. 

Khaled el-Masri menuntut pampasan 50,000 euro (RM207,426.93) – dan permohonan maaf – dari kerajaan Macedonia selepas diculik ketika berkunjung pada 2003.
Dia mengambil tindakan itu selepas gagal supaya kesnya didengar di mahkamah Amerika Syarikat dan Jerman.
El-Masri, yang berasal dari Lubnan, berkata dia disoal siasat secara kejam di penjara dikendalikan CIA di Afghanistan selama lebih empat bulan. 

Katanya, dia melakukan mogok lapar selama 27 hari dan pada akhirnya diterbangkan ke Eropah dan ditinggalkan di satu kawasan pergunungan di Albania. 

Peguamnya di Macedonia, Darian Pavli dan Filip Medarski, berkata mereka menuntut pampasan atas alasan bahawa Macedonia menyekat dakwaan penculikannya dan seterusnya menghalang sebarang siasatan ke atas insiden itu. 

Pihak berkuasa di Macedonia menafikan sebarang pembabitan dalam dakwaan penculikan itu. 
“Sebagai permulaan, adalah lebih baik jika Macedonia sekurang-kurangnya memohon maaf kepada el-Masri,” kata Pavli kelmarin menambah bahawa anak guamnya tidak akan hadir ketika perbicaraan awal di ibu kota ini. 

Pihak berkuasa Amerika enggan mengulas secara terbuka kes itu, namun kabel diplomatik didedahkan laman web WikiLeaks menunjukkan diplomat di Jerman dan Macedonia dipaksa untuk memastikan kes itu tidak mendapat liputan media. – AP 

Askar Thai maut sebelum gencatan





2011/02/06

SEORANG askar Kemboja melepaskan tembakan dari belakang guni pasir sebelum gencatan senjata dipersetujui.
SEORANG askar Kemboja melepaskan tembakan dari belakang guni pasir sebelum gencatan senjata dipersetujui.
PHNOM PENH: Seorang askar Thailand terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera Kemboja di sempadan dua negara itu awal semalam, menjadikan bilangan kematian kepada tiga dalam pertarungan maut membabitkan negara jiran berkenaan sejak hampir dua tahun. 

Bagaimanapun, pemerintah tentera dua negara itu kemudian bersetuju memulakan gencatan senjata.
Pertempuran senjata yang tercetus semula itu berlaku awal pagi tadi berhampiran kuil kurun ke-11 yang menjadi pertikaian kira-kira beberapa jam selepas satu kejadian yang menyebabkan seorang askar Kemboja dan seorang awam Thailand terbunuh, kata pegawai kedua negara.
Menteri Luar Kemboja, Hor Namhong menulis kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menarik perhatian kepada keadaan yang meletus di sempadan itu. 
Dengan menyalahkan pertempuran dicetuskan tentera Thailand, beliau berkata: 

“Tentera Kemboja tidak mempunyai pilihan kecuali untuk mempertahankan diri,” dalam satu surat yang dialamatkan kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB, Maria Luiza Ribeiro Viotti. 

Beliau tidak meminta campur tangan PBB. Thailand yang mahukan satu mesyuarat keselamatan segera se-malam bagi menilai keadaan berkata bahawa mereka juga mempertimbang untuk memfailkan aduan kepada PBB. 
Pertempuran kedua negara jiran itu tercetus buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun pada Jumaat lalu. Kedua negara mendakwa pihak lawan memulakan pertempuran. 

Hubungan dua negara itu tegang sejak Julai 2008 dengan satu siri pertempuran di sempadan yang berdarah berikutan tanah di sekitar kuil selepas ia diberikan status Tapak Warisan Dunia PBB. 

Kawasan seluas 4.6 kilometer persegi di sekitar kuil lama terbabit dituntut kedua-dua pihak. 

Pada April 2009, dua askar Kemboja maut dan seorang tentera Thailand terbunuh dalam satu pertempuran senjata di kedua sempadan terbabit. 

Amerika Syarikat menggesa kedua pihak mengenakan sekatan maksimum. Kira-kira 10 askar Thailand dan lapan tentera Kemboja cedera setakat ini dan sumber tentera Kemboja mendakwa sejumlah lima tentera Thai ditangkap walaupun Bangkok menafikan perkara berkenaan. – AFP 

Cara Assange merogol disiar di internet





2011/02/06

STOCKHOLM: Salinan penuh laporan polis lengkap dengan maklumat grafik mengenai dakwaan rogol dan pencabulan seks membabitkan pengasas WikiLeaks, Julian Assange, dikatakan bocor dan boleh dilihat melalui internet. 

Fail terbabit yang dilihat semalam, dihantar melalui faks pada November lalu daripada peguam Assange, Njoren Hurtig di sini kepada Jennifer Robinson, seorang lagi peguamnya di Britain.
Walaupun muka depan mengatakan dokumen terbabit adalah maklumat istimewa perundangan Julian Assange dan bukan orang lain, satu pautan kepada fail PDF97 muka surat terbabit dihantar melalui online minggu lalu.
Dokumen itu termasuk kenyataan kepada polis oleh dua wanita Sweden terbabit dalam dakwaan pencabulan seks dan rogol, polis yang menyoal siasat Assange dan keputusan pemeriksaan forensik membabitkan satu kondom. 

Assange dibebas dengan jaminan di Britain sementara dibicarakan 7 hingga 8 Februari depan di sebuah mahkamah di London berikutan ekstradisi beliau ke Sweden kerana dikehendaki untuk soal siasat. – AFP 

Virus Nipah landa Bangladesh





2011/02/06

15 terbunuh kerana pencemaran dalam buah kurma, jus minuman 

DHAKA: Virus Nipah membunuh sekurang-kurangnya 15 penduduk di utara Bangladesh sejak minggu lalu menyebabkan Institut Kawalan Penyakit Berjangkit (IEDCR) meminta petani mengelak daripada menuai buah kurma atau minum jusnya, minuman yang popular sepanjang musim sejuk.
Virus itu lazimnya disebarkan oleh babi dan kelawar buah yang makan tamar dan mencemarkan buah itu dengan virus.
Virus itu boleh menyebabkan ensefelitis yang membawa kepada radang otak. Sehingga kini, tiada ubat yang boleh merawat penyakit itu dan kadar kematian akibat jangkitan adalah 50 peratus. 

“Kami menerima 22 kes dari Hatiabandha sejak 31 Januari disebabkan virus Nipah,” kata Pengarah IEDCR, Mahmudur Rahman. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada minum jus tamar yang mentah dan buah-buahan yang menjadi makanan kelawar. 

Virus Nipah biasanya tersebar antara Disember dan April apabila kelawar buah hinggap di bekas yang digunakan untuk mengambil getah pokok tamar. Kelawar lazimnya meninggalkan air liur dan cecair dalam bekas terbabit. 
Orang ramai mudah dijangkiti apabila minum jus mentah. 

Virus itu dikesan di wilayah Meherpur, Naogaon, Rajbari, Faridpur, Tangail, Thakurgaon, Kushtia, Manikganj and Rangpur di Bangladesh. 

Tahun ini, ia tersebar luas di Hatibandha, Lalmonirhat. Virus itu sudah membunuh 127 daripada 174 orang yang dijangkiti walaupun kerajaan menerusi jabatan kawalan penyakit sentiasa memantau wabak ini setiap tahun. 

“Ini kurangnya kesedaran. Minum jus tamar mentah menjadi tradisi sekian lama. Kita perlu menghentikan amalan ini jika mahu mengekat penyebaran virus ini,” katanya. 

“Tanda jangkitan virus ini ialah demam diikuti gangguan mental, sawan dan kematian,” kata Rahman dan meminta orang ramai yang mempunyai tanda penyakit itu segera mendapatkan bantuan perubatan. 

Pada 2004, empat sekeluarga mati di Faridpur selepas mendapat jangkitan. Pengayuh beca yang membantu membawa keluarga itu ke hospital turut dijangkiti dan mati. 

“Nasib baik virus ini tidak berjangkit antara individu ke individu lain di Hatiabnahda, kami pun tidak tahu mengapa tetapi kami sentiasa berjaga-jaga,” kata Rahman. – Agensi