Search This Blog

Saturday, February 5, 2011

Tiga rumah di Alor Setar terbakar



05/02/2011 3:15pm

ALOR SETAR – Tiga buah rumah yang didiami dua keluarga dan enam pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Taman Wira, Mergong di sini terbakar dengan rumah yang dihuni para pelajar itu musnah dalam kejadian malam tadi.
Kejadian kira-kira 9.50 malam itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di rumah yang disewa pelajar dan api merebak dengan cepat ke rumah bersebelahan namun tidak membabitkan kemalangan yang serius dan kehilangan nyawa ekoran anggota dua keluarga itu tiada di rumah dan para pelajar itu sempat menyelamatkan diri.
Salah seorang pelajar itu Mohd Khairul Nazam Mohd Nasir, 20, berkata semasa kejadian dia bersama rakan-rakannya sedang mengulang kaji pelajaran dalam sebuah bilik dan tiba-tiba ternampak asap masuk ke dalam bilik mereka.
"Apabila kami buka pintu mendapati asap dan api mula marak di ruang tamu.
Kemudian kami cuba untuk memadamkan api tapi sia-sia sebab api marak dengan cepat. Panik dengan kejadian itu kami semua lari selamatkan diri menggunakan pintu belakang tanpa dapat menyelamatkan barang-barang kami.
"Syukur kami semua selamat walaupun kami tinggal sehelai sepinggang. Hanya seorang rakan saya mengalami cedera ringan akibat terkena api dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian. - Bernama

Mayat warga emas ditemui terapung



05/02/2011 4:33pm

PORT DICKSON – Mayat seorang wanita warga emas ditemui terapung di pantai Batu 1, Jalan Pantai dekat sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baljeet Singh berkata mayat R. Nagammah, 69, ditemui pada kira-kira pukul 7.40 pagi oleh orang ramai yang kebetulan pergi ke tempat kejadian.
"Mayat mangsa yang terapung di dalam air itu dibawa naik ke darat dengan bantuan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang turut dipanggil ke tempat kejadian,” katanya di sini.
Katanya siasatan awal mendapati, polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan wanita itu.
Katanya mayat wanita yang tinggal di Taman Pantai Emas di sini iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian, dicam oleh ahli keluarganya.
Baljeet berkata polis juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimana warga emas itu boleh pergi ke pantai sebelum dia ditemui lemas.
"Setakat ini, pihak polis mengklasifikasikan kes kematian wanita berkenaan sebagai mati mengejut,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat. - Bernama

Budak lemas ditelan lagun maut




ANGGOTA bomba mengangkat mayat Rabiatul Adawiah yang ditemui lemas di Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Seorang bapa tidak menyangka hasrat anak perempuannya beria-ia ingin berkelah di Lagun Kuala Semerak di sini kerana tidak puas mandi sambil mencari kepah kelmarin merupakan petanda kematiannya selepas "ditelan" di lagun itu semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Rabiatul Adawiyah Razni, 8, menjadi korban lemas ketika berkelah di lagun itu yang mempunyai dasar yang jerlus.
Mereka yang menetap di Kajang, Selangor mengambil peluang bersantai sekeluarga di situ apabila pulang bercuti di Machang dekat sini sempena Tahun Baru Cina.
Bapa mangsa, Razni Tahir, 39, dari Laklok, Machang berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada lima beradik itu begitu ceria bermain tidak jauh dari tempat dia mencari kepah.
Menurutnya, ketika itu anaknya bersama bapa saudaranya, Mohd. Ilham Mazlan, 13, hanya berada di tepi air di lagun berkenaan.
Pada masa yang sama, katanya, dia sering menasihatkan mangsa supaya tidak pergi terlalu jauh kerana air semakin pasang dan ada tempat yang lebih dalam.
"Tidak sampai lima minit saya berleter, Rabiatul Adawiah bangkit dari tempat duduknya dan terus menuju ke tengah lagun.
"Saya menjerit dengan kuat melarangnya jangan pergi jauh tetapi tidak diendahkan olehnya sebelum kelibatnya hilang selepas terjerlus dalam lagun tersebut," ceritanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Razni memberitahu, mereka sekeluarga telah berkelah di lagun itu kelmarin.
Malah katanya, dia mengetahui ramai mangsa yang lemas di lagun itu sebelum ini dan tidak menyangka kejadian yang sama menimpa anaknya pula.
"Bagaimanapun arwah menyatakan keinginannya berkelah lagi di lagun ini selepas menyatakan seronok dan tidak puas bersantai di sini semalam (kelmarin)," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.55 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota bomba serta lima anggota Unit Skuba dari Kota Bharu.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui berada dalam keadaan terdampar tidak jauh daripada tempat kanak-kanak itu lemas pada pukul 2.20 petang.

Masuk perangkap Datuk Kabi

Ahli perniagaan UAE dedah nama Minissha, Tara diperguna
KUALA LUMPUR – Biarpun dalam perintah sekatan daerah, kegiatan penipuan seorang lelaki yang menggunakan gelaran nama Datuk Kabi tiada berkesudahan.
Baru-baru ini, lelaki berusia 30-an yang dikenakan perintah sekatan selama dua tahun di sebuah daerah di Johor itu dipercayai menipu seorang lelaki tempatan dengan menggunakan dua keping cek palsu yang kesemuanya berjumlah RM180,000.
Sumber berkata, kedua-dua cek tersebut dikeluarkan oleh Datuk Kabi kepada mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat insurans di ibu negara bagi urusan pembelian sebuah kenderaan mewah Toyota Alphard bernilai RM180,000.
“Penjualan kenderaan mewah itu diiklankan menerusi sebuah laman web di Internet. Datuk Kabi kemudian menghubungi mangsa dan dalam perbincangan itu, suspek mendakwa dia hanya menjadi saksi pembelian kenderaan itu kerana ia akan dibeli atas nama ibunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sumber itu memberitahu, selepas bersetuju dengan syarat yang ditetapkan pemilik kenderaan itu, Datuk Kabi pada mula menyerahkan sekeping cek bernilai lebih RM2,000 sebagai wang pendahuluan.
Baki kesemua harga kenderaan itu dibayar melalui cek kedua yang diserahkan kepada mangsa seminggu selepas cek pertama.
Selepas menyerahkan dua keping cek itu, Datuk Kabi menerima kenderaan Toyota Alphard itu daripada mangsa pada 6 Januari lalu.
Namun, kata sumber itu, mangsa mula menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas gagal menunaikan cek pertama yang didapati cek tendang kerana tiada wang di dalam akaun tersebut.
Cek kedua bernilai RM161,000 pula yang diserahkan beberapa hari kemudian kepada pengurus tersebut pula didapati lewat tarikh tunai.
Jelas sumber itu, mengikut perjanjian suspek perlu membuat pembayaran penuh ke atas kenderaan mewah itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh perjanjian.
Katanya, mangsa dan suspek telah berjumpa sepanjang urusan pembelian kenderaan tersebut namun tidak menyedari lelaki tersebut banyak terlibat dalam kes penipuan sebelum ini.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Travers di sini pada awal Januari lalu.
“Polis menumpukan siasatan ke atas cek pertama kerana ia kes tipu manakala bagi cek kedua pula, masih belum terbukti kesalahannya,” katanya yang memberitahu pihaknya belum membuat sebarang tangkapan kerana suspek masih menjalani perintah sekatan.
Datuk Kabi sebelum ini pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung 25 kes penipuan cek mencecah jutaan ringgit dalam urusan pembelian hartanah dan menggunakan cek tendang di beberapa buah negeri di negara ini.
Pada 2 Januari 2009, Datuk Kabi pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang atas tuduhan menipu seorang jurujual melibatkan RM75,000.
Dia didakwa menipu dan memperdaya seorang jurujual, Ng Cheiw Beng, 43, dengan menyerahkan sekeping cek Am Bank (M) Bhd. bertarikh 5 April 2006 bernilai RM75,000 sebagai bayaran membeli sebuah kereta sedangkan cek itu tidak sah. Kes itu masih dibicarakan di mahkamah tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya telah merampas kenderaan mewah itu.

Minta maaf sebelum ajal



MERSING – Tiada siapa menyangka perbuatan ‘buang tabiat’ oleh seorang Penyelia Pemasaran Bahagian Korporat di sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan Endau (PPKE) yang meminta maaf kepada semua rakannya rupa-rupanya mempunyai cerita di sebaliknya.
Pegawai itu, Hazwan Hadi Mohamad, 25, (gambar kecil) menemui ajal selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya terlibat dalam kemalangan pada pukul 6.45 pagi di Kilometer 11, Jalan Endau-Mersing semalam.
Difahamkan, anak bongsu daripada dua beradik itu bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Kampung Teriang Besar, di sini.
Mangsa yang baru dua hari bekerja di situ meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh badan apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam semak.
Menurut rakan karib mangsa, Asrol Ahmad, 25, kenderaan mangsa ditemui orang ramai yang melalui jalan tersebut kira-kira pukul 7.10 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.
Katanya, beberapa hari lalu, mangsa beria-ia ingin menemui rakan-rakannya untuk meminta maaf selain memberitahu dia tidak akan berjumpa lagi dengan mereka selepas ini.
“Tidak sangka kata-katanya itu memberi petunjuk yang arwah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Dia tidak menunjukkan perubahan lain tetapi ada memberitahu kami yang dia sangat teruja kerana baru mendapat kerja,” cerita Pembantu Tadbir di salah sebuah sekolah rendah di daerah Mersing itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan, Mohd. Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat,” katanya.
Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Teriang.

Janda upah gengster ceroboh rumah



Letupan bom, 2 anggota keselamatan maut



YALA 4 Feb. - Kumpulan yang disyaki puak pemisah meletupkan sebutir bom mengakibatkan dua pegawai keselamatan terbunuh di selatan Thailand dan menembak mati seorang lagi anggota keselamatan dalam serangan berasingan.
Pembunuhan itu menyusuli satu serangan nekad ke atas sebuah kem tentera, satu letupan bom tepi jalan, pembunuhan sebuah keluarga beragama Buddha dan beberapa tembakan yang dilepaskan oleh penyerang berkenderaan dalam tempoh dua minggu lalu.
Lonjakan keganasan itu berlaku selepas kerajaan Thai mengalu-alukan kejayaan operasi keselamatan dan kempen perhubungan awam dalam mengurangkan serangan.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva berkata, kerajaan menimbangkan langkah untuk menarik balik perintah darurat di selatan Thai tidak lama lagi meskipun mendapat tentangan daripada tentera.
Mangsa terbaru yang terbunuh ialah dua renjer separa tentera yang meronda di wilayah Yala, hari ini apabila sebutir bom tepi jalan meletup, kata polis.
Seorang penyerang menaiki kenderaan menembak mati seorang lagi renjer separa tentera di wilayah Pattani, lewat semalam.
Penganalisis percaya, kekacauan itu merupakan perjuangan etnik-nasionalis oleh penduduk Islam Melayu yang merasakan identiti, bahasa dan budaya mereka tidak dihormati atau difahami sepenuhnya oleh kerajaan Thai.
"Satu matlamat pemberontak adalah untuk mewujudkan perpecahan agama kerana dengan itu, mereka akan mendapat sokongan daripada sebilangan penduduk.
"Kami tidak akan menggunakan kekerasan keterlaluan kerana itu bukan penyelesaian yang boleh dipertahankan, tetapi daripada segi strategi kami perlu mengambil langkah keselamatan lebih tegas," kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban.
Kerajaan telah mengerahkan lebih 40,000 askar ke selatan Thai dalam usaha untuk menumpaskan pemberontak tetapi mereka tidak mencapai banyak kemajuan dan kehadiran mereka tidak disukai oleh penduduk tempatan. - Reuters

16 maut dalam 2 letupan kilang di Ankara






Pasukan menyelamat membantu menyelamatkan beberapa orang yang terperangkap di dalam sebuah kilang selepas berlaku letupan kuat di kilang itu, letupan kedua di kawasan perindustrian yang sama di pinggir Ankara, Turki, kelmarin. - AFP


ANKARA 4 Feb. - Jumlah kematian dalam dua kejadian letupan di kawsan industri di Ankara yang disebabkan oleh gas bocor meningkat ke 16 orang, ujar pihak berkuasa, hari ini.
Letupan pertama berlaku pagi semalam di sebuah kilang yang menghasilkan mesin penjana, meragut tujuh nyawa dan mencederakan 34 orang di pinggir bandar Ostim.
Pasukan penyelamat bersama-sama anjing pengesan sedang mencari mereka yang terselamat di kawasan letupan itu ketika senja dan letupan kedua berlaku di kilang berdekatan yang menghasilkan produk cat mudah terbakar.
Sembilan orang yang maut ditemui pasukan penyelamat di tempat letupan kedua itu.
Kira-kira 12 orang masih terperangkap di bawah runtuhan batu dan kehadiran bahan kimia toksik menyukarkan usaha menyelamat. - AFP

Gempa bumi 6.4 magnitud gegarkan timur India



05/02/2011 2:24am

IMPHAL, India 5 Feb. - Satu gempa bumi berukuran 6.4 skala Ritcher menggegarkan negeri Manipur, di timur laut negara ini, semalam, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Bagaimanapun pihak berkuasa India berkata, tiada sebarang kerosakan dilaporkan.
Gempa bumi pada kedalaman 88.3 kilometer itu berpusat kira-kira 48.3 kilometer dari barat laut ibu negeri Manipur, Imphal, dekat sempadan Myanmar. - REUTERS

7 maut dalam nahas pesawat di Iraq



05/02/2011 2:25am

SULAIMANIYAH, Iraq 5 Feb. - Sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila sebuah jet persendirian terhempas sebaik sahaja berlepas di bandar raya Sulaimaniyah, di utara negara ini, semalam.
Seorang pegawai lapangan terbang berkata, tiga daripada mangsa yang maut ialah kakitangan penerbangan, sementara empat yang lain terdiri daripada juruteknik. - AFP

Penduduk Mesir teruskan tunjuk perasaan



05/02/2011 2:31am

KAHERAH 5 Feb. - Tunjuk perasaan bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur masuk hari ke-10 hari ini dan merebak ke bandar-bandar besar lain dengan beribu-ribu penduduk berhimpun selepas sembahyang Jumaat, semalam.
Di Kaherah kira-kira 100,000 penunjuk perasaan antikerajaan yang datang dari beberapa daerah berarak menuju Dataran Tahrir selepas solat Jumaat melalui beberapa jalan raya utama menyebarangi jambatan Kasr el-Nil yang merentangi Sungai Nil sepanjang satu kilometer menuju ke dataran itu.
Sebuah pondok kawalan tentera hanya membenarkan kira-kira tiga penunjuk perasaan melalui jambatan itu pada setiap saat.
Sementara itu di Iskandariah, beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul dan melaungkan ‘Penduduk mahu mengubah sistem pemerintahan itu’ dan ‘Kami tidak mahu berundur, beliau (Mubarak) akan berundur’.
Di Suez pula, beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di bandar raya pelabuhan itu selepas solat Jumaat.
Manakala di bandar raya Ismailia, beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di beberapa jalan utama di mana sebelum perhimpunan yang dikawal ketat tentera itu berlangsuang, kira-kira 100 penunjuk perasaan pro-Mubarak berhimpun di situ dan kemudiannya bersurai.
Di bandar raya Port Said, beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di jalanan, sementara beratus-ratus penunjuk perasaan pro-Mubarak cuba menyusup masuk ke dalam kumpulan itu tetapi dihalang oleh tentera dan kemudiannya kedua-dua kumpulan penunjuk perasaan itu berpecah.
Bandar raya Mansoura pula memperlihatkan beribu-ribu penunjuk perasaan mendesak pengunduran Mubarak dan pentadbirannya, kata seorang anggota pergerakan pembangkang 6 April.
Selain itu kira-kira 5,000 penunjuk perasaan berhimpun di bandar raya Damanhour yang di terletak di Lembah Nil.
Tidak ketinggalan, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan antikerajaan dan 1,000 penyokong Mubarak berhimpun di beberapa jalan di bandar raya Qalyubiya.
Manakala di bandar raya El Arish di Semenanjung Sinai, beribu-ribu penunjuk perasaan anti-kerajaan berhimpun, tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan kumpulan pro-Mubarak turut sama berhimpun.
Di bandar raya Aswan pula, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan perhimpunan, sementara beberapa ratus penunjuk perasaan pro-Mubarak cuba menyelinap ke dalam kumpulan antikerajaan, tetapi dihalang oleh sekatan yang dibina oleh penunjuk perasaan antikerajaan. - REUTERS

Pejabat Al Jazeera di Kaherah dibakar



05/02/2011 2:57am

DUBAI 5 Feb. - Stesen televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar mendakwa pejabatnya di Kaherah telah dibakar dan dimusnahkan oleh 'kumpulan samseng'.
Saluran berita itu yang diarah menghentikan operasinya awal minggu ini di Mesir, menuduh pihak berkuasa Mesir atau kumpulan penyokongnya cuba menghalang rangkaian itu daripada membuat liputan mengenai pergolakan politik di negara tersebut.
"Rangkaian Al Jazeera telah melaporkan bahawa pejabat mereka di Kaherah telah diserang oleh kumpulan samseng. Pejabat itu dibakar bersama-sama dengan kelengkapan di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan. - REUTERS

Mayat lelaki ditemui hancur digilis beberapa kenderaan



IPOH 4 Feb. - Mayat seorang lelaki ditemui berkecai di atas jalan raya selepas dipercayai digilis beberapa buah kenderaan di Kilometer 269.9, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Mohd. Ridzuani Abdul Wahab, 25, yang menunggang motosikal dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan hingga mengakibatkan dia terjatuh sebelum dilanggar kenderaan lain yang melalui lebuh raya tersebut.
Mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mengalami kecederaan parah dan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Trafik Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, sehingga kini pihaknya sedang mengesan kenderaan yang bergesel dengan motosikal mangsa.
"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai langgar lari dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, turut cedera dalam kejadian itu ialah seorang lagi penunggang motosikal yang merempuh Mohd Ridzuani.
Bagaimanapun, Irwan Fahmi Mat Ariff, 22, seorang anggota tentera yang berasal dari sini hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, katanya.
Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Bunga nyaris maut diserang babi hutan di kebun limau madu



JELI 4 Feb. - Seorang wanita warga emas nyaris maut diserang babi hutan di Kampung Gemang dekat sini ketika memetik limau madu untuk keluarga di kebunnya pagi Isnin lepas.
Ekoran kejadian itu, Bunga Musa, 70, kini dirawat di Hospital Jeli kerana cedera parah di beberapa bahagian badan dalam kejadian 8 pagi di kebun yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediamannya.
"Makcik sudah biasa ke kebun, selain menoreh getah, makcik juga ada menanam limau madu dan pada hari kejadian, makcik sebagaimana biasa, berseorangan keluar ke kebun untuk memetik buah limau madu yang sedang masak meranum," katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, dengan tidak semena-mena, babi hutan itu keluar dari semak berhampiran dan terus menyerangnya yang tidak mampu melawan walaupun ketika itu membawa sebilah parang panjang untuk menebas rumput.
"Ketika itu, makcik memang tak mampu buat apa-apa...makcik sudah rebah ke tanah dan haiwan itu berterusan menyondol dan menggigit...makcik hanya mampu berdoa," katanya.
Selepas hampir setengah jam menggigit badannya, Bunga berkata, haiwan itu secara tiba-tiba berhenti sebelum berlari ke dalam hutan dan dia kemudian menggagahi diri berlari keluar dari kebun itu untuk meminta bantuan penduduk terdekat. - BERNAMA

RM20,000 lesap: PDRM nafi terlibat



KUALA LUMPUR 4 Feb. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan pembabitan anggota dan pegawainya dalam kes seorang wanita hamil yang mendakwa wang tunai RM20,000 miliknya lesap ketika kedainya diserbu dalam pemeriksaan di Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini pada Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, anggotanya tidak terlibat dalam kehilangan wang tunai seperti yang didakwa wanita itu menerusi dua laporan polis yang dibuat sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan menyiasat dakwaan itu dan buat masa ini, tiada perkembangan baru mengenai kejadian tersebut.
"Saya hanya boleh mengesahkan di sini bahawa kita masih siasat kes itu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Arjunaidi mengulas tindakan seorang wanita berusia 36 tahun yang hamil lapan bulan membuat dua laporan polis iaitu pada Selasa lalu dan hari ini berhubung kejadian tersebut.
Dalam laporan itu, wanita tersebut yang membuka kedai runcit dan peralatan telekomunikasi mendakwa, premisnya diserbu oleh sepasukan anggota dan pegawai polis pada pukul 6.30 petang, Isnin lalu.
Polis pada sidang akhbar sebelum ini memaklumkan, serbuan tersebut dilakukan untuk memberkas seorang lelaki warga Bangladesh yang berada di kedai itu dan dipercayai pengedar dadah.
"Bagaimanapun, ketika serbuan, lelaki tersebut meloloskan diri manakala hasil pemeriksaan polis menemui 198 karton rokok seludup, enam botol minuman keras serta wang RM15,900 dalam kaunter kedai tersebut," katanya.
Sehari selepas kejadian, wanita terbabit membuat laporan mendakwa dia dikasari ketika serbuan itu, manakala pintu jeriji premisnya dipotong selain wang tunai RM20,000 yang disimpan dalam beg tangannya lesap.
Arjunaidi memberitahu, pegawai penyiasat yang melakukan serbuan itu merampas wang RM15,900 kerana ia untuk siasatan setelah dipercayai hasil keuntungan haram.
Menurutnya, wang tunai itu sudah dipulangkan kepada wanita tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis terpaksa memotong besi jeriji premis setelah wanita itu enggan membukanya ketika diminta berbuat demikian.
"Polis juga akan menyiasat dakwaan wanita itu bahawa dia ditampar ketika disiasat dan jika benar, kita mengambil tindakan terhadap individu terlibat," katanya

Budak 8 tahun mati lemas


Oleh TOREK SULONG


IBU mangsa tidak dapat menahan kesedihan atas kematian anaknya, Rabiatul Adawiah Razni selepas ditemui di dasar Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh, semalam.


PASIR PUTEH 4 Feb. - Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun ditemui mati lemas ketika berkelah dan mencari kepah bersama keluarganya di Lagun Kuala Semerak di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika mangsa, Rabiatul Adawiah Razni, sedang bermain dengan bapa saudaranya, Mohd. Ilham Mazlan, 13, di tepi lagun berkenaan.
Bapa mangsa, Razni Tahir, 39, dari Laklok, Machang ketika ditemui memberitahu, sebelum kejadian, dia nampak anaknya sedang bermain tidak jauh dari tempat dia mencari kepah.
Katanya, dia sebelum itu sempat menasihati anaknya supaya tidak pergi terlalu jauh kerana air sungai semakin pasang dan ada tempat yang lebih dalam.
"Tidak sampai lima minit, anak saya bangun dari tempat duduknya menuju ke tengah lagun. Saya menjerit dengan kuat untuk melarangnya supaya jangan pergi, malangnya jeritan saya itu tidak diendahkan.
"Saya tahu tempat ini amat berbahaya kerana ada beberapa kawasan berbentuk kawah tetapi inilah peluang untuk saya dan ahli keluarga berkelah sempena cuti Tahun Baru Cina.
"Saya sudah berjanji dengan ahli keluarga memilih Lagun Kuala Semerak untuk bersantai sambil mencari kepah," katanya.
Rabiatul Adawiah, anak sulung daripada lima beradik itu dikatakan menjadi mangsa ke-26 yang maut di lagun tersebut.
Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, mayat mangsa ditemui terdampar tidak jauh dari tempat bapanya mencari kepah pada pukul 2.20 petang.
"Kami menasihatkan semua pengunjung yang ingin berkelah di sekitar lagun ini agar mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak mandi di kawasan pelampung amaran dan kawasan yang sudah diwartakan sebagai 'lubuk maut' untuk mengelak kejadian ini daripada berulang," katanya.