Search This Blog

Friday, February 4, 2011

Bengkel besi musnah dalam kebakaran di Ipoh



IPOH - Sebuah bengkel membuat peralatan besi seperti pintu, tingkap dan penutup longkang musnah dalam kebakaran di Jalan Lahat di sini tengah hari ini menyebabkan kerugian lebih RM80,000.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Roszaini Che Mat berkata, dua jentera bersama 13 anggota mengambil masa lapan minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai-kedai berdekatan.

Ahmad Roszaini berkata pemilik bengkel, Chan Wai Hong, 41, hanya menyedari kebakaran pada jam 1 tengah hari itu daripada seorang rakannya yang mempunyai bengkel mengecat kenderaan di kawasan itu.

Katanya punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama

Perintah berkurung dan hak pendaratan sulitkan operasi pemindahan: Kohilan



KUALA LUMPUR - Misi 'Ops Piramid' untuk memindahkan lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir berhadapan dengan kekangan perintah berkurung dan hak pendaratan di lapangan terbang terlibat.

Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata perintah berkurung yang sebelum ini bermula dari pukul 4 petang hingga 8 pagi keesokannya kini telah dipercepatkan kepada pukul 1 petang.

Beliau berkata hak pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah juga agak sukar diperolehi akibat daripada keadaan tegang di Mesir.

Kohilan berkata operasi hari ini akan mula bergerak ke kawasan luar Kaherah antaranya ke Iskandariah, Mansura, Tanta, Zagazig serta daerah lain untuk memindahkan rakyat Malaysia. - Bernama

Dua maut dalam dua kemalangan



04/02/2011 12:35pm

KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut dalam dua kemalangan membabitkan penunggang motosikal di Jalan Mahameru dan Jalan Lingkaran Tengah 1 (MRR1), di sini, hari ini.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata, kedua-dua kemalangan itu berlaku dalam tempoh 15 minit dan kedua-dua mereka maut di tempat kejadian.
"Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 5 pagi apabila mangsa Muhammad Adhwa” Jamali, 23, melanggar belakang sebuah bas yang ingin membelok ke susur Jalan Syed Putra di Jalan Mahameru,” katanya menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, di sini.
Abdullah berkata, punca kemalangan masih disiasat.
Kejadian kedua pula katanya, berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi di MRR1 menghala ke Cheras, apabila P. Steve Jeremiah, 26, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
kosmo

Berkecai digilis kenderaan



04/02/2011 2:50pm

IPOH - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berkecai selepas digilis beberapa kenderaan di Km 269.9 Lebuhraya Utara-Selatan dalam satu kemalangan malam tadi.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab berkata, mayat Mohd Ridzuan Abdul Wahab, 25, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 malam yang kemudian membuat laporan polis.
Mohd Ridzuan yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari utara ke selatan dipercayai terjatuh selepas bergesel dengan kenderaan lain di lebuh raya itu dan digilis beberapa kenderaan lain, katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata turut cedera dalam kejadian itu ialah seorang lagi penunggang motosikal yang merempuh Mohd Ridzuan.
Bagaimanapun Irwan Fahmi Mat Ariff, 22, seorang anggota tentera yang berasal dari sini hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, katanya.
Beliau berkata kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan polis meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan. - Bernama
kosmo

Kedai hangus, rugi RM200,000



04/02/2011 5:00pm

GEORGE TOWN - Sebuah kedai menjual barangan lusuh di Jalan C.Y Choy, di sini, musnah dalam satu kebakaran pada 3.40 pagi ini dan kerugian dianggarkan sebanyak RM200,000.
Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Nurzaihan Abu Hassan berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian selepas 2 minit menerima panggilan daripada orang awam.
"Ketika sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan kita mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai bersebelahan,” katanya kepada pemberita hari ini. - Bernama

Pistol diacu ke kepala ketika rusuhan



04/02/2011 5:25pm

SEPANG 4 Feb. - Bagi seorang pelajar tahun pertama jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, pengalaman diacukan pistol ke kepala ketika berada di Mesir bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.
Siti Nabilah Mohd Azaman, 20, berkata, kejadian menakutkan itu berlaku ketika beliau dan empat rakan keluar ke kedai berhampiran untuk menambah nilai prabayar telefon bimbitnya bagi menghubungi keluarga di tanah air.
"Sedang berjalan kaki menuju ke kedai, kami terkejut apabila seorang warga tempatan yang tidak dikenali mengacukan pistol ke kepala kami, dan menyuruh kami pulang ke rumah.
"Tanpa melengahkan masa kami yang ketakutan terus berlari pulang,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini hari ini. - Bernama
kosmo

14 pengguna motosikal terbunuh



04/02/2011 2:39pm

KUALA LUMPUR - Sebanyak 16 kematian direkod pada hari ketujuh Ops Sikap ke-23 semalam, dengan 14 daripada mangsanya adalah pengguna motosikal.
Menurut statistik yang dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman hari ini, dua lagi ialah pengguna kereta.
Statistik terbaru itu menjadikan jumlah kematian keseluruhan setakat ini meningkat kepada 103 orang sejak operasi itu bermula Khamis lepas.
Daripada 951 kemalangan yang berlaku semalam, jalan persekutuan mencatat jumlah tertinggi iaitu 314 kes, diikuti jalan bandaran (283), jalan negeri (188), lebuh raya (116) dan jalan-jalan lain (50 kes).
Dalam operasi semalam, sebanyak 10,034 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. - Bernama
kosmo

Tiga maut motosikal bertembung



ANGGOTA polis melihat dua buah motosikal yang dinaiki tiga remaja hangus dalam kemalangan di Jalan Kubang Kerian-Binjai dekat Wakaf Stan, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Persahabatan dua saudara dibawa hingga ke liang lahad apabila kedua-duanya menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kejadian di Wakaf Stan, Jalan Kubang Kerian-Binjai di sini semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu mengakibatkan Mohd. Faiz Izwan Hussin, 20, dan saudaranya, Muhammad Rifaie Jlahambudin, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi penunggang motosikal, Wan Mohd. Afif Wan Abdul Hamid, 18, turut menemui ajal.
Muhammad Rifaie merupakan pelajar tingkatan lima dari Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian manakala Wan Mohd. Afif dari Kampung Gertak Kecupu, Kubang Kerian.
Kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Mohd. Faiz dan Muhammad Rifaie bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang Wan Mohd. Afif.
kosmo

White House cabar Hosni



HOSNI MUBARAK


WASHINGTON - White House yang merupakan pejabat Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin mencabar Presiden Mesir supaya menunjukkan sifatnya yang sebenarnya dengan melakukan perubahan ke arah demokrasi dalam tempoh yang singkat.
Jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, peralihan kuasa yang dimaksudkan itu perlu bermula dari sekarang.
Bagaimanapun, AS tidak meminta secara langsung supaya Hosni Mubarak berundur.
"Jika keganasan itu dimulakan oleh pemerintah, ia sepatutnya dihentikan dengan segera," katanya yang merupakan setiausaha akhbar White House.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menghubungi Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman kelmarin untuk meminta siasatan dilakukan berhubung kejadian tersebut.
Beliau menganggap keganasan itu sebagai satu perkembangan yang mengejutkan selepas beberapa hari tunjuk perasaan berlangsung dalam situasi aman.
Jabatan Negara AS turut meminta semua rakyatnya yang mahu meninggalkan Mesir supaya pergi ke lapangan terbang negara tersebut dengan segera. - Agensi

Jurujual kereta larikan RM23,550




ROSLIZA


SUNGAI BULOH – Hasrat sepasang suami isteri ingin memiliki sebuah kereta baru tidak kesampaian setelah wang deposit RM23,550 yang dibayar lesap didakwa dibawa lari seorang jurujual syarikat pengedar kenderaan pertengahan tahun lalu.
Mangsa, Anuar Ariffin, 45, mendakwa dia berurusan membeli sebuah kereta Toyota Vios dari sebuah syarikat pengedar kenderaan di Batu Caves di sini pada Mei tahun lalu menggunakan nama isterinya, Rozliza Ali, 40, menerusi seorang jurujual syarikat tersebut.
Setelah membayar deposit dengan cara membuat pertukaran kereta Perodua Myvi miliknya, Anuar turut menambah wang tunai RM2,616 bagi menggenapkan baki deposit yang perlu dibayarnya.
“Mengikut perjanjian dalam dokumen jual beli, saya sepatutnya menerima kereta baru itu pada 21 Jun tahun lalu.
“Namun, setelah hampir tiga bulan menunggu, saya cuba mendapatkan penjelasan dari jurujual tersebut namun, dia gagal dihubungi.
kosmo

PM Mesir minta maaf




BEBERAPA buah kereta kebal diletakkan di depan kumpulan anti-Presiden Hosni Mubarak di Tahrir Square, Kaherah semalam.


KAHERAH - Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq meminta maaf ekoran serangan yang dilakukan oleh para penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak ke atas kumpulan penentang Hosni di Tahrir Square semalam.
Para penunjuk perasaan anti-Hosni mendakwa sekumpulan samseng dan anggota polis berpakaian awam diupah oleh pemerintah Mesir untuk bertempur dengan kumpulan penentang Presiden Mesir.
Dalam pertempuran itu, kayu, batu dan bom petrol digunakan untuk mematahkan kemaraan kumpulan penunjuk perasaan penentang Hosni.
Menyentuh insiden itu, Ahmed Shafiq berkata, serangan itu merupakan satu kesilapan besar dan beliau berjanji akan melakukan siasatan bagi membolehkan setiap orang mengetahui siapa yang menjadi dalangnya.
Dalam pertempuran yang bermula malam kelmarin dan awal pagi semalam, sejumlah besar penyokong dan penentang Hosni bergaduh dalam peristiwa yang dianggap paling berdarah dalam sejarah tunjuk perasaan di Tahrir Square.
Tunjuk perasaan itu bermula sepuluh hari lalu oleh penyokong antipemerintahan yang mendesak Hosni meletakkan jawatan selepas memerintah selama 30 tahun. - Agensi
-kosmo

Polis masih siasat punca kematian Sarjan Mat Saini Omar



SHAH ALAM 3 Feb. - Polis masih menyiasat punca kematian Sarjan Mat Saini Omar yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepalanya di Jalan Mahang, Puncak Alam 2, Kuala Selangor dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, siasatan yang dibuat akan melibatkan semua aspek.
Menurut beliau, pihaknya juga belum menerima laporan bedah siasat daripada Hospital Tanjung Karang walaupun proses itu telah selesai dijalankan malam tadi.
"Bedah siasat sudah selesai dan jenazah Allahyarham Sarjan Mat Saini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang, Kuala Selangor lewat malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Mat Saini, 50, ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala di tepi Jalan Mahang, Puncak Alam 2.
Mayatnya ditemui berlumuran darah berhampiran kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu oleh orang awam yang lalu di tempat kejadian kira-kira 11.45 pagi.
Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sepucuk pistol jenis .38 Smith & Wesson yang dipercayai milik mangsa dengan salah satu daripada lima butir pelurunya telah digunakan.
Ketika kejadian, pintu kereta depan bahagian penumpang dan bonet kereta tersebut didapati terbuka dengan enjin kenderaan dilaporkan tidak dihidupkan.
Mangsa yang sudah lebih 25 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.
Kematian mangsa buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Dalam pada itu, Mohd. Taib turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan, selain turut boleh mendatangkan aib kepada mangsa dan keluarganya

Artis antara 200 pengunjung terkejut disko diserbu polis



KUALA LUMPUR 3 Feb. - Sekumpulan artis tempatan yang merupakan antara kira-kira 200 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang di sini terkejut apabila premis tersebut diserbu polis awal pagi ini.
Serbuan pada pukul 2 pagi itu dilakukan serentak terhadap lima pusat hiburan yang didapati membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis berkenaan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kesemua pusat hiburan tersebut, seramai 14 remaja bawah umur ditahan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, operasi yang diketuai oleh beliau sendiri dilakukan bersama 70 anggota.
Menurutnya, operasi tersebut dilakukan selepas orang ramai membuat aduan berhubung tindakan premis berkenaan membenarkan kemasukan remaja bawah umur.
"Selain itu, polis turut melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung yang berada di bawah pengaruh dadah.
"Hasilnya, kita menahan seramai 22 pengunjung daripada kesemua premis kerana positif mengambil dadah," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau menambah, dalam serbuan mengejut itu, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap beberapa artis tempatan tetapi tiada yang ditahan.
Zulkarnain memberitahu, kesemua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
-utusan

Motosikal bertembung, tiga maut



KOTA BHARU 3 Feb. - Tiga remaja maut apabila motosikal yang mereka naiki bertembung lalu terbakar dalam kemalangan yang berlaku di Wakaf Stan, Jalan Kubang Kerian-Binjai di sini, awal pagi ini.
Kemalangan ngeri yang berlaku pukul 2.45 pagi itu meragut nyawa Mohd. Faiz Izwan Hussin, 20, dan saudaranya, Muhammad Rifaie Jlahambudin, 17, dari Kampung Pulau Hilir Kubang Kerian, serta Wan Mohd. Afif Wan Abdul Hamid, 18, dari Kampung Gertak Kecupu, Kubang Kerian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki Mohd. Faiz Izwan dan Muhammad Rifaie dalam perjalanan ke Kubang Kerian dari arah Binjai, sementara Wan Mohd. Afif menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dari arah bertentangan.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggangi Wan Mohd. Afif dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan, lalu bertembung dengan motosikal dinaiki dua remaja berkenaan.
"Berikutan pertembungan itu, kesemua remaja itu tercampak sejauh beberapa meter manakala motosikal mereka terbakar. Ketiga-tiga mereka meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Azham berkata, mayat kesemua mereka dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh anggota keluarga masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya turut mendapat bantuan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan dua motosikal berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta menghubungi cawangan polis trafik berhampiran bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zainuddin Senawi berkata, pihaknya menghantar sebuah jentera bersama lapan anggota ke lokasi bagi memadamkan api pada kenderaan terbabit.
"Api berjaya dipadamkan dalam tempoh yang singkat. Kes ini diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi Bilik Mayat HUSM apabila keluarga dan rakan taulan ketiga-tiga remaja itu hadir bagi menuntut jenazah.
Bapa saudara Wan Mohd. Afif, Mohd. Razi Mat Jusoh, 48, berkata, ketika kejadian anak saudaranya itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja di bengkel milik sepupunya di Jalan Bayam dekat sini.
"Dia tidak biasa balik lambat macam ini, tetapi mungkin disebabkan banyak kerja, maka dia balik lambat berbanding kebiasaan," katanya yang mendapat tahu berita buruk itu kira-kira pukul 3 pagi.
Menurutnya, arwah yang merupakan anak kedua daripada lima beradik merupakan seorang yang ringan tulang dan rajin membantu anggota keluarga dan rakannya.
Katanya, jenazah Wan Mohd. Afif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bemban, Binjai, petang ini.
-utusan

Bas ekspres terbabas, 40 penumpang selamat



Penumpang terpaksa menyeberangi lebuh raya untuk menaiki bas gantian berikutan bas ekspres yang mereka naiki terbabas di Kilometer 245.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, semalam.


REMBAU 3 Feb. - Seramai 40 orang penumpang mengalami saat-saat mencemaskan apabila bas ekspres yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 245.9, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini petang ini.
Kemalangan berlaku pukul 3.30 petang ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur menuju ke Kluang, Johor.
Difahamkan, bas yang bertolak dari ibu negara pukul 2 petang itu terbabas setelah tayar depannya meletup.
Kenderaan itu kemudian hilang kawalan lalu merempuh pembahagi lebuh raya sebelum memasuki laluan bertentangan.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Abu Bakar Katain yang mengesahkan kejadian itu berkata, kesemua penumpang bas tersebut selamat dan tidak mengalami kecederaan.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.43 petang berhubung kemalangan tersebut. Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan.
"Berdasarkan maklumat, penumpang dan pemandu bas ekspres tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kemalangan itu mengakibatkan berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah lebuh raya tersebut berikutan bas itu merintang di laluan menghala ke ibu negara.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesesakan teruk berlaku di sepanjang lebuh raya berkenaan sejauh 10 kilometer di kedua-dua arah. Laluan ke ibu negara terpaksa dibuka selorong sebelum bas tersebut dialihkan petang ini.
Menurut Abu Bakar, kesemua penumpang bas berkenaan dibawa menaiki sebuah bas tambahan yang disediakan oleh syarikat pengangkutan terlibat dan meneruskan perjalanan mereka ke Kluang beberapa jam kemudian.
Sementara itu, pemandu bas ekspres berkenaan, Sabri Shahrom, 48, tidak menyangka kejadian yang berlaku itu hampir meragut nyawa dia dan penumpang lain.
Menurutnya, ketika kejadian, dia terdengar satu bunyi letupan yang kuat sebelum bas yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah teksi sebelum melanggar pembahagi lebuh raya.
"Ketika kejadian, saya memandu di lorong sebelah kiri sebelum tayar hadapan sebelah kanan kenderaan saya meletup. Bas itu kemudian hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Mujurlah sebaik sahaja terbabas ke laluan bertentangan, ia tidak bertembung dengan kenderaan lain. Bas ini kemudian berhenti hanya beberapa meter dari gaung di tepi lebuh raya," katanya.
Seorang penumpang bas berkenaan, Nurul Shafiqa Mohd. Hamidi, 21, memberitahu, dia terkejut apabila menyedari bas yang dinaikinya seolah-olah terbang dan terhentak dengan kuat.
"Ketika itu, saya bersama suami hanya mampu menjerit dan memeluk dua anak saya berusia satu dan dua tahun.
"Beberapa saat kemudian, saya lihat bas itu berhenti dan saya bersyukur anak-anak dan suami saya tidak apa-apa," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Utusan

Dua maut dalam tiga kemalangan berasingan



KUALA LIPIS 3 Feb. - Seorang kanak-kanak berusia setahun antara dua yang maut dalam tiga kemalangan yang berlaku dalam tempoh lima jam di Jalan Kuala Lipis-Merapoh malam tadi dan awal pagi ini.
Kemalangan yang berlaku antara pukul 10.30 malam hingga pukul 3 pagi itu mengakibatkan kanak-kanak itu, Anis Najwa Maisarah Abdul Rahim dan seorang penunggang motosikal warga Pakistan, Rahman Shahmin, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan pertama berlaku pada pukul 10.30 malam di Kilometer 53, berdekatan Kampung Petola dekat sini melibatkan sebuah motosikal yang ditunggangi Rahman bersama rakannya.
Ketika kejadian, kata beliau, mangsa yang datang dari arah Merapoh ke Kuala Lipis dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta.
"Rahman meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya yang merupakan pembonceng, patah kaki dan dirawat di Hospital Lipis.
"Semasa kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan ingin melawat rakan mereka di Padang Tengku dekat sini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, di sini hari ini.
Abdul Razak memberitahu, kira-kira lima jam kemudian, satu lagi kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta dengan bas ekspres Transnasional di Kilometer 43, berdekatan Felda Chegar Perah dekat sini.
Menurut beliau, kemalangan itu mengakibatkan kematian Anis Najwa Maisarah yang ketika itu menaiki kereta bersama neneknya, Khairimah Wook, 54, dan bapa saudaranya, Faizal Abdul Rahman, 30, dari Bandar Sunway, Petaling Jaya ke Machang, Kelantan.
Katanya, Khairimah yang cedera parah dirawat di Hospital Temerloh manakala Faizal yang memandu kereta itu, patah kaki dan dirawat Hospital Lipis.
Ketika kejadian tersebut, ujarnya, bas ekspres dari arah Kota Bharu ke Seremban itu membawa 33 penumpang dan dua pemandunya tidak mengalami kecederaan.
Dalam kemalangan ketiga, kata Abdul Razak, sebuah bas ekspres terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 59, laluan yang sama pada pukul 3 pagi.
Bagaimanapun, katanya, kesemua 27 penumpang dan pemandu bas Trans Rengit yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kota Bharu itu tidak mengalami kecederaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan supaya berhati-hati dan mengambil tindakan awal seperti berhenti rehat sekiranya mengantuk.
"Jalan Kuala Lipis-Merapoh agak sesak setiap kali cuti perayaan apabila ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung kerana bercuti panjang," katanya
UTUSAN


Murid maut disengat tebuan

Utusan Malaysia Online

TELUK INTAN 3 Feb. - Seorang ibu tidak menyangka pelukan erat anak tunggalnya pagi Isnin lalu merupakan petanda dia akan meninggal dunia selepas disengat tebuan di rumahnya di Kampung Parit Che Maja, Sungai Tiang Tengah di Bagan Datoh dekat sini pada hari tersebut.

Asyhraff Nabil Abdullah, 7, meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan (HTI) semalam, lima jam selepas dikejarkan ke hospital berkenaan oleh keluarga mangsa.

Bapa kanak-kanak itu, Abdullah Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam Isnin lalu ketika anaknya berada di dalam bilik air.

"Selepas membuang air kecil, dia mengambil tuala untuk mengelap muka dan selepas itu terus menjerit kesakitan apabila disengat tebuan di bahagian hidung.

"Mendengar jeritan Asyhraff, isteri saya terus ke bilik air, mengalihkan tuala dan menghalau tebuan yang masih melekat di tuala tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Abdullah menambah, keesokan harinya, dia membawa Asyhraff ke sebuah klinik di Sungai Batang bagi mendapat rawatan, sebelum kembali berehat di rumah.

Bagaimanapun, katanya, dia mengesyaki sesuatu tidak kena berlaku apabila mendapati lebam pada muka dan mata anaknya semakin membesar dan demam panas semakin teruk.

"Berikutan itu, kami segera bawa dia ke Hospital Teluk Intan semalam dan selepas lima jam menerima rawatan, kami dimaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Ibu mangsa, Noraini Sanijo berkata, anak tunggalnya itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang dikenali sebagai periang, manja dan gemar menolong bapanya di rumah.

"Sebelum kejadian, arwah tiba-tiba datang memeluk saya dan ayahnya sekuat-kuat hati tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa.

"Walaupun bersedih, kami reda pemergiannya kerana Allah lebih menyayangi dia," katanya