2011/02/01
KUALA LUMPUR: Banjir terburuk yang pernah melanda selatan Semenanjung pada 2006 masih menjadi ingauan penduduk di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang berikutan kehilangan banyak nyawa dan harta benda dalam tragedi itu.
Kebimbangan itu kembali menghantui mereka berikutan hujan lebat sejak 29 Januari lalu yang mengakibatkan semua negeri terbabit sekali lagi menyaksikan banjir besar.
Di
JOHOR: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, mengesahkan jumlah hujan diterima sejak Sabtu lalu, hampir sama dengan kadar diterima ketika banjir besar 2006, tetapi kali ini berlaku secara meluas di seluruh negeri.
Mengulas usaha diambil kerajaan menangani banjir selepas 2006, beliau berkata, banyak projek melebar dan mendalamkan sungai sudah dilaksanakan sejak itu, tetapi ia masih gagal menampung kuantiti hujan yang banyak tahun ini.
“Kerajaan sudah melebar dan mendalamkan Sungai Segamat dan Sungai Muar dengan keseluruhan kos RM60 juta,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, berkata, pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati 12 lokasi di Segamat dan Labis menerima hujan paling lebat.
Air Panas di Segamat menerima hujan paling lebat iaitu 497 milimeter (mm), Kemelah (401mm), Kampung Awat (396 mm), Bandar Segamat (325 mm), Labis (296 mm), Sungai Bekok Batu 77 (232 mm), Empangan Bekok (223), Ladang Chaah (212 mm), Ladang Chang Wing di Yong Peng (192 mm), Bandar Kluang (189 mm), Gunung Ledang (164 mm) dan Kompleks Penghulu Chaah (133 mm).
Paras sungai utama di Johor juga meningkat ketara apabila Sungai Muar mencapai paras bahaya 10.23 meter; di Kampung Awat, sungainya mencapai 22.14 meter; paras air Sungai Sega-mat mencapai 12.9 meter, melebihi paras bahaya 9.14 meter.
Pegawai Majlis Keselamatan Negara Cawangan Johor, Mejar Sulaiman Ngadimin, pula berkata sehingga jam 4 petang semalam, 11,615 penduduk dari Kluang, 10,169 dari Segamat dan 8,260 dari sekitar Johor Bahru sudah dipindah.
Beberapa jalan utama sudah ditenggelami air di daerah Mersing yang kini terputus hubungan dengan daerah lain dan orang ramai dinasihatkan tidak ke Mersing kerana jalan Mersing-Kota Tinggi dan Mersing-Kluang tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Di GEMAS: Ahli Parlimen Tampin yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan banjir kali ini terburuk berbanding 2006.
“Apa yang penting sekarang ialah memastikan semua bantuan mangsa banjir seperti keperluan asas termasuk selimut dan makanan disediakan mencukupi terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman.
Seorang mangsa, Norain Mohd Todzah, 22, dari Taman Sungai Gemas yang ditemui bersama suami, Shahrizal Sulaiman, 29, berkata mereka baru melangsungkan majlis perkahwinan, Sabtu lalu dan hanya sempat bergembira beberapa jam sebelum terpaksa berpindah ke pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras siling.
Di
KUANTAN: Daerah Rompin, Raub, Bentong dan Maran paling teruk terjejas dengan lebih 500 mangsa sudah dipindahkan.
Tiga jalan di Bentong yang turut ditutup kepada semua kenderaan ialah Kilometer 9, 12 dan 13 Jalan Karak-Kuala Pilah.
Di
MELAKA: Sekurang-kurangnya 30 kampung dan taman perumahan di tiga daerah di negeri ini dinaiki air hingga hampir paras dua meter dan antara paling teruk terjejas ialah Gadek dan Durian Tunggal.
Sehingga jam 5 petang semalam, 2,432 mangsa dipindahkan.
Di
KOTA KINABALU: Tiga sungai di Kota Marudu mencatat peningkatan air sehingga ke paras bahaya ialah Sungai Bongon (7.04 meter), Sungai Batasan (6.53 meter) dan Sungai Bengkoka (4.8 meter).
Sehingga lewat petang semalam, Marudu mencatat mangsa banjir 2,175 orang, diikuti Beluran (1,276), Sandakan (364) dan Pitas (75).