Search This Blog

Monday, January 31, 2011

Penduduk Mesir kunci pintu







2011/01/30


  • Foto
    KUMPULAN anti-kerajaan Mesir bersolat di hadapan kereta kebal tentera ketika mengadakan bantahan di dataran Tahrir, Kaherah.Foto
  • HOSNI MUBARAK (kiri) dan Naib Presiden Omar Suleiman (tengah) mengadakan mesyuarat Kabinet di Kaherah, semalam.
  • Foto
    PENUNJUK perasaan membawa slogan membantah kerajaan di atas kereta kebal tentera.


KAHERAH: Penduduk ibu negara Mesir ini terpaksa mengunci rapi pintu rumah mereka dan menubuhkan pasukan kawalan kejiranan berikutan rusuhan dan keganasan semakin menjadi-jadi selepas keadaan kucar-kacir menyusul akibat tunjuk perasaan antikerajaan besar-besaran sejak enam hari lalu.
Sementara itu, ribuan banduan dan tahanan melarikan diri dari empat penjara dan pusat tahanan selepas mencetuskan kebakaran dan bertempur dengan pengawal ketika ribuan penunjuk perasaan terus membanjiri jalan raya menuntut Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Foto
HOSNI MUBARAK (kiri) dan Naib Presiden Omar Suleiman (tengah) mengadakan mesyuarat Kabinet di Kaherah, semalam.
Seorang pegawai keselamatan itu berkata, tahanan berkenaan yang termasuk beberapa orang dari kumpulan pembangkang yang diharamkan, Ikhwanul Muslimin dan kumpulan Palestin, Hamas, dibantu oleh kumpulan bersenjata yang bertempur dengan pengawal penjara selama beberapa jam.

Pemimpin Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman terus mendesak Mubarak mengelak tindak balas ganas dan memperkenalkan pembaharuan yang dituntut penunjuk perasaan yang kebanyakannya adalah golongan muda.Foto
PENUNJUK perasaan membawa slogan membantah kerajaan di atas kereta kebal tentera.

Pasukan polis semalam mengurangkan kawalan di jalan raya, manakala anggota tentera semakin meningkatkan kawalan dengan mengerahkan kereta kebal dan perisai, terutama di depan bangunan kerajaan.

Beberapa penduduk melaporkan kumpulan remaja, sebahagiannya menunggang motosikal berleluasa di jalan raya dan bertindak merusuh ke dalam pasar raya, pusat beli belah dan kedai. 
Beberapa daripada perusuh itu memasuki kawasan kediaman mewah di pinggir Kaherah dan menceroboh masuk rumah dan pangsa puri.

Dentuman tembakan juga kedengaran di pusat dan pinggir bandar.

Perusuh melarikan diri dengan set televisyen, barangan elektronik dan perabot dari pusat beli belah sepanjang sungai Nil.

Di Giza, sekumpulan remaja dilihat membawa lari berkotak-kotak arak, kerusi, sofa dan meja dari sebuah kasino.

Di pusat bandar, perusuh menceroboh masuk cawangan Arab International Bank dan beberapa kafe dan restoran termasuk McDonald's dan Hardees. 

Bangunan ibu pejabat parti pemerintah dan pasar raya Carrefour di selatan bandaraya dibakar.

Rusuhan itu merebak walaupun pihak tentera mengenakan perintah berkurung dari 4 petang hingga 8 pagi.

Sementara itu, rangkaian televisyen antarabangsa Al-Jazeera berkata, pihak berkuasa Mesir mengarahnya menutup pejabatnya di Kaherah dan seluruh negara itu. – Agensi 

Tinggalkan sementara Mesir



Oleh Veena Rusli
veena@bharian.com.my
2011/01/30


  • Foto
    PELANCONG dan penduduk Mesir yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, semalam.
  • Foto
    ORANG ramai berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah menunggu masa berlepas.
Kedutaan di Amman, Riyadh dan Tripoli digesa bantu 11,000 warga Malaysia

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia di Mesir akan dibawa keluar sementara ke tiga negara jiran jika keselamatan mereka terancam susulan keadaan yang semakin tegang di negara itu.
Persetujuan sudah dicapai bagi rakyat Malaysia dibawa ke Amman, Jordan; Riyadh, Arab Saudi dan Tripoli, Libya sebagai pelan kecemasan, manakala lokasi berhimpun sebelum pergerakan ditetapkan di bandar Panta, di selatan Kaherah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Katanya, kakitangan kedutaan di tiga negara berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan bersedia membantu pergerakan keluar rakyat Malaysia kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di Mesir dengan sebahagian besarnya pelajar.

“Ini adalah keputusan terkini mesyuarat pelbagai jabatan yang memantau rapi perkembangan di Mesir dan akan dilaksanakan jika senario mencapai tahap kritikal. Kedutaan Malaysia di tiga negara terbabit akan menyelaras isu berkaitan tempat tinggal dan makanan jika keadaan memaksa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Anifah menegaskan, kerajaan tidak mempunyai halangan jika ada rakyat Malaysia yang mahu meninggalkan Mesir secara sukarela dan atas perbelanjaan sendiri berikutan keadaan huru-hara susulan krisis kepemimpinan di negara itu yang bermula Selasa lalu.

“Bagaimanapun, kita harap semua rakyat Malaysia menghubungi pihak kedutaan di Kaherah supaya kita mengetahui bilangan sebenar mereka di sana. Perangkaan tepat akan memudahkan usaha membawa keluar jika perlu," katanya. 
Anifah berkata, perkembangan di Mesir diklasifikasikan pada tahap ‘amaran jingga’ iaitu persediaan membawa keluar rakyat Malaysia dan akan digerakkan sebaik situasi tegang bertukar menjadi ‘amaran merah’ iaitu pemindahan bagi tujuan keselamatan.

Beliau menasihatkan semua pihak bertenang dan menghubungi talian yang disediakan Wisma Putra bagi mengetahui perkembangan ahli keluarga masing-masing dan kerajaan memandang serius tanggungjawab memelihara keselamatan warga Malaysia di luar negara dalam keadaan genting seperti sekarang.

Gelombang kebangkitan menggulingkan Presiden Hosni Mubarak yang mula tercetus pada 25 Januari lalu dilaporkan semakin tegang apabila perintah berkurung dilaksanakan di beberapa bandar utama di Mesir.

Bantahan besar-besaran di Kaherah, Iskandariah, Suez, Dumiyat, Tanta dan Mansoura menyebabkan puluhan menjadi korban manakala ribuan lagi ditangkap dan dilaporkan cedera susulan pertempuran dengan pihak berkuasa. 

Israel bimbang pergolakan di Mesir





2011/01/30


  • Foto
    SEKUMPULAN penduduk mengadakan kawalan keselamatan di sekitar kawasan perumahan mereka di Cairo, semalam.
  • Foto
    PENUNJUK perasaan membawa poster Perdana Menteri Hosni Mubarak sebagai tanda protes.
Netanyahu arah kabinet tidak keluar kenyataan berhubung keadaan negara jiran mereka

BAITULMAQDIS: Israel menyatakan kebimbangannya mengenai pergolakan di negara jirannya, Mesir berikutan perkembangan itu mungkin menjejaskan kestabilan serantau.
Perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata semalam, Israel berharap kestabilan dan hubungan baik di antara Tel Aviv dan Kaherah berterusan.Israel memeterai perjanjian damai dengan Mesir lebih 30 tahun lalu dan Kaherah adalah sekutu negara Arabnya yang terbesar.

“Kami mengikuti perkembangan di Mesir dengan rapi dan pada masa ini mesti menunjukkan sifat bertanggung jawab dan pertimbangan yang tinggi,” Netanyahu memberitahu mesyuarat Kabinet dalam ulasan pertamanya berhubung tunjuk perasaan yang memasuki hari keenam di Mesir semalam.

Perdana menteri Israel itu berkata, beliau sudah menghubungi Presiden Barack dan setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengenai perkembangan di Mesir dan juga sudah memberitahu anggota Kabinet Israel agar jangan membuat sebarang kenyataan mengenai negara jirannya itu.

Mesir adalah negara Arab pertama untuk memeterai perjanjian damai dengan Israel pada 1979 yang disusuli dengan Jordan pada 1994.
Seorang bekas menteri pertahanan Israel, Benjamin Ben-Eliezer berkata, beliau bersedih dengan kemungkinan Hosni Mubarak disingkirkan kerana presiden Mesir itu adalah orang kanan kita yang paling penting di Asia Barat.

Seorang lagi bekas menteri pertahanan, Shaul Mofaz, berkata, Tel Aviv bimbang jika kumpulan pembangkang yang diharamkan, Ikhwanul Muslimin akan mengambil alih kuasa di Mesir.

“Berikutan perkembangan terbaru di Lubnan yang mengukuhkan kedudukan Hizbullah. perkembangan di Israel menjadi satu lagi cabaran besar,” kata Mofaz kepada radio Tentera.

Beberapa pegawai di Israel mengharapkan Mubarak kekal berkuasa dengan menyatakan pemimpin kuku besi itu tidak mempunyai pengganti yang jelas. 
Pelantikan Omar Suleiman kelmarin sebagai naib presiden dialu-alukan oleh beberapa pihak di Israel berikutan bekas ketua risikan Mesir itu mempunyai hubungan baik dengan Tel AVivb.

Seorang pegawai Israel yang tidak mahu namanya didedahkan berkata: “Menurut penelitian kami Mubarak akan mampu bertahan”. – Reuters 

10 maut nahas dua kereta api di Berlin





2011/01/30

PASUKAN kecemasan bertungkus-lumus di lokasi nahas membabitkan kereta api penumpang dan kereta api barang di perkampungan Hordorf, 190 kilometer di barat Berlin, semalam.
PASUKAN kecemasan bertungkus-lumus di lokasi nahas membabitkan kereta api penumpang dan kereta api barang di perkampungan Hordorf, 190 kilometer di barat Berlin, semalam.
Beberapa gerabak bawa penumpang tergelincir

BERLIN: Sebuah kereta api penumpang bertembung dengan kereta api barang di timur Jerman lewat kelmarin mengorbankan 10 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 33 lain, lapan daripadanya parah, kata anggota bomba tempatan.
Kemalangan itu berlaku di perkampungan Hordorf, berhampiran ibu kota Saxony-Anhalt di Magdeburg, menyebabkan beberapa gerabak kereta api penumpang yang membawa kira-kira 45 orang itu tergelincir dan terbalik, kata jurucakap jabatan bomba daerah yang enggan namanya didedahkan.
Operasi menyelamat masih diteruskan awal pagi semalam dan polis berkata ia tidak mempunyai maklumat terbaru mengenai punca kemalangan lewat petang semalam, kata jurucakap polis serantau Frank Kuessner.

Lapan mayat sudah dibawa keluar dari kereta api penumpang dan mereka yang kira 35 cedera dikejarkan ke hospital.

“Operasi menyelamat masih diteruskan. Angka kematian mungkin meningkat lagi,” katanya. Hampir 200 anggota polis dan pekerja penyelamat berada di tempat kemalangan, beliau menambah.

Kemalangan berlaku kira-kira 200 kilometer barat daya ibu kota ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Saxony-Anhalt Ruediger Erben, yang berkejar ke tempat kejadian lewat kelmarin, berkata kereta api itu mungkin bertembung di bahagian kepala pada kelajuan tinggi, lapor agensi berita Jerman, DAPD.

Dentuman akibat pertembungan itu kedengaran sehingga di Oschersleben kira-kira tujuh kilometer dari tempat kemalangan. – AP 

Pengebom dikenal pasti lelaki 20 tahun





2011/01/30

MOSCOW: Pengebom bunuh diri yang mengorbankan 35 orang dan mencederakan 180 lagi di lapangan terbesar di sini Isnin lalu dikenal pasti sebagai lelaki berusia 20 tahun dari rantau bergolak selatan di Caucasus, kata penyiasat Russia kelmarin. 

Memecahkan kebuntuan lima hari berhubung siasatan itu, penyiasat persekutuan juga berkata orang asing menjadi sasaran penyerang itu, memberi petanda buruk taktik baru dalam perjuangan Russia menentang pelampau.
Pemberontak dari Caucasus, kumpulan wilayah pergunungan Russia yang penduduknya beragama Islam disyaki bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Domodedovo. – AP

Empat maut bot karam di Sandakan



Oleh Veena Rusli
veena@bharian.com.my
2011/01/30

11 penumpang lagi terselamat 

KOTA KINABALU: Empat maut manakala 11 lagi terselamat dalam kejadian bot karam dipercayai dipukul ombak di perairan Pulau Tabangka di Sandakan, 400 kilometer dari sini, kelmarin.
Bagaimanapun, setakat ini hanya seorang mangsa diketahui identitinya iaitu Nikmah Tahir, 51, yang berstatus pemastautin tetap, manakala tiga lagi iaitu seorang warga emas dan dua kanak-kanak berusia dalam lingkungan tujuh hingga sembilan tahun, belum dikenal pasti.
Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong, berkata mayat keempat-empat mangsa ditemui terdampar di pesisir pantai pulau itu oleh penduduk setempat jam 11 pagi kelmarin. 

“Penduduk kemudian menghubungi pihak berkuasa yang bergegas ke tempat kejadian dan menemui dua mayat wanita berusia dalam lingkungan 50-an, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki. 

“Hanya satu dokumen pengenalan diri ditemui setakat ini dan disahkan milik seorang mangsa. 

"Siasatan mendapati bot itu dipercayai dinaiki 15 penumpang dari negara jiran dan terpaksa mengharungi gelora berikutan cuaca kurang baik sebelum dipukul ombak," katanya ketika dihubungi, semalam. 
Rowell berkata, mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Sandakan untuk bedah siasat, manakala pihaknya belum dapat memastikan status mangsa terselamat. 

Pulau Tabangka berada kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari Sandakan. 

Katanya, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan identiti semua mangsa terbabit. 

Motel seks



Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/01/30

 PEGAWAI JAIK  menyiasat dokumen peribadi pasangan  dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di Bukit Pinang.
PEGAWAI JAIK menyiasat dokumen peribadi pasangan dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di Bukit Pinang.
JAIK tahan tiga pasangan di premis Jalan Bukit Pinang 

ALOR SETAR: Sebuah motel yang terletak di hujung kampung yang menawarkan harga serendah RM80 semalam untuk setiap bilik menjadi lokasi pilihan pasangan ‘bercinta’ untuk melempiaskan nafsu sejak beberapa tahun lalu.
Kegiatan itu didedahkan Bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) yang menyerbu motel di Jalan Bukit Pinang, dekat sini dan menahan tiga pasangan termasuk tiga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tengah malam kelmarin.
Dalam serbuan pada kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, penjaga motel yang berusia awal 20-an dikatakan terkejut apabila melihat sepasukan 15 anggota penguatkuasa JAIK membuat pemeriksaan di situ. 

Hasil siasatan mendapati penjaga motel itu memberi jaminan kepada pelanggannya yang beliau akan menghantar SMS jika ada serbuan JAIK untuk membolehkan mereka melarikan diri sebagai tarikan untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan ke motel itu kerana ia dikategorikan ‘selamat’. 

Bagaimanapun, kelmarin, penjaga motel itu terpaksa akur dengan memberi kerjasama dan mengetuk bilik pelanggannya yang disyaki melakukan maksiat itu. Motel itu mempunyai 15 bilik membabitkan tiga blok. 

Ketua Operasi JAIK, Mat Nasir Md Dali, berkata pihaknya yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu membuat serbuan di motel itu dan menahan tiga pasangan berusia 19 hingga 33 tahun di tiga bilik sewa di motel itu. 
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, ketiga-tiga pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah atau suami isteri menyebabkan timbul syak mereka melakukan maksiat. 

"Kita sudah banyak kali menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di motel itu sejak beberapa tahun lalu, tetapi kita perlu menjalankan siasatan menyeluruh termasuk membuat rondaan serta risikan maklumat dan membuat pengesahan berhubung aduan itu terlebih dulu sebelum membuat serbuan. 

"Hasil serbuan kita menemui tiga pasangan terbabit di bilik berasingan dan percaya lebih ramai pelanggan menyewa di situ setiap malam disebabkan lokasinya yang jauh daripada pandangan orang ramai dan terletak di hujung kampung," katanya. 

Mat Nasir berkata, berdasarkan siasatan kebanyakan mereka yang dicekup itu berasal di sekitar negeri ini dan ada di kalangan mereka mengaku sudah beberapa kali datang ke motel itu untuk melakukan maksiat bersama pasangan masing-masing. 

Semua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Kepala Batas, di sini untuk dibuat laporan tangkapan dan dibawa ke pejabat JAIK untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Mat Nasir berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pengadu, motel itu kerap disewakan untuk pasangan Islam yang belum berkahwin terutama penuntut universiti dan pelajar sekolah kerana jalan masuk ke situ gelap gelita dan sudah lama beroperasi. 

"Disebabkan banyak hotel dan motel murah di sekitar bandaraya ini diserbu JAIK, lokasi ini menjadi pilihan utama pasangan remaja untuk melakukan maksiat kerana ia terletak di kawasan yang terpencil dan tidak diketahui ramai,” katanya. 

2168 mangsa dipindahkan akibat banjir di tiga negeri





2011/01/30

KUALA LUMPUR: Hujan berterusan sejak awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di seluruh negara dinaiki air hingga menyebabkan penduduk yang terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. 

Di MELAKA, lebih 198 penduduk di beberapa kampung sekitar Asahan dan Nyalas di daerah Jasin, terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas rumah mereka ditenggelami air sedalam hampir satu meter akibat hujan lebat sejak awal pagi semalam.
Jurucakap Balai Polis Asahan berkata, sehingga jam 7 malam semalam, seramai 198 penduduk daripada 45 keluarga dari Kampung Relau, Kampung Sungai Dua dan Kampung Abby, Asahan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Asahan.
Di SABAH, enam pusat pemindahan banjir dibuka di Kota Marudu bagi menempatkan 1,270 penduduk daripada sembilan kampung daerah itu dan dua pusat sama mula beroperasi di Pitas dengan 44 orang dari empat kampung. 

Jurucakap Bilik Gerakan banjir berkata, operasi menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Marudu sebaik menerima laporan ada kawasan dinaiki air. 

Setakat jam 2 petang semalam, pusat pemindahan yang dibuka di Kota Marudu ialah di Dewan Tandek dengan 433 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan (220), SK Bengkongan (207), Dewan Morion (50), Balai raya Kampung Rasak Laut (188) dan Bangunan KPD Timbang Batu (172). 

Bagi daerah Pitas, mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Kusilad (28) dan Dewan SK Pandan Mandama (16). 
Di MIRI, lebih 700 penduduk di kawasan Bakong dan Tinjar, yang terletak di pedalaman Baram, masih terputus hubungan akibat banjir sejak tiga minggu lalu. 

Sebahagian besar penduduk itu ialah dari kawasan rumah panjang Turan dan Ree, yang terletak di sepanjang Sungai Buri Bakong. 

Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak, Sylvester Entrie Muran, berkata bantuan sudah dihulurkan kepada mangsa banjir di situ selepas mereka terperangkap sejak awal bulan lalu. 

“Sehingga pagi kelmarin, keadaan banjir di kawasan itu belum pulih sepenuhnya dengan air surut agak perlahan. Berikutan itu, saya meminta penduduk segera berpindah jika keadaan kembali buruk dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi sukar,” katanya di sini, semalam. 

Buruh mati tertimbus ketika kutip sayur





2011/01/30

KUANTAN: Seorang buruh warga Bangladesh yang leka mengutip sayur, maut apabila dihempap pondok rehat akibat runtuhan tanah di Kebun Sayur Blue Valley, Kampung Raja, Cameron Highlands, pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Khorshed Montaz Uddin, 34, yang ditemui tertimbus separuh badan dipercayai meninggal dunia selepas kepalanya cedera terkena besi pondok berkenaan.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama anak majikannya berusia lingkungan 20-an berada di lereng bukit berhampiran dengan pondok berkenaan untuk mengutip sayur dalam keadaan hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa dipercayai tidak menyedari tanah semakin terhakis menyebabkan pondok yang dijadikan sebagai tempat untuk berehat tiba-tiba runtuh. 

“Kejadian itu disedari anak majikan yang menemui pekerjanya sebelum menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Wan Mohd Zahari berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Raja kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus selepas mengalihkan pondok yang menghempapnya. 

Mubarak arah PM baru supaya promosi demokrasi




2011/01/31

KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam mengarahkan Perdana Menteri barunya, Ahmed Shafiq supaya mempromosikan demokrasi dengan mengadakan rundingan dengan pemimpin pembangkang dan mengembalikan kepercayaan terhadap ekonomi negara itu. 

Pemimpin veteran itu yang memecat semua anggota Kabinetnya Jumaat lalu selepas tunjuk perasaan secara besar-besar turut berkata, tugas utama Perdana Menteri baru itu juga ialah mengurangkan kadar pengangguran dan mewujudkan pekerjaan baru.
"Selain daripada itu dan serentak dengan itu, saya menekankan kepentingan supaya segera mengambil langkah membuat perubahan politik, perlembagaan dan perundangan menerusi rundingan dengan semua pihak," katanya. - AFP

Negara dunia mula keluar larangan ke Mesir





2011/01/31

PARIS: Kebanyakan negara kini mengeluarkan larangan melawat ke Mesir dengan sesetengahnya memindahkan keluar warga negara masing-masing berikutan protes antikerajaan bertambah buruk sejak enam hari lalu. 

Amerika Syarikat dan Iran berkata, mereka kini berusaha membawa keluar warga negaranya manakala Turki, India, Greece dan Arab Saudi merancang untuk menerbangkan pesawat khas ke Mesir untuk tujuan sama.
Britain, Perancis, China, Australia dan negara Scandanavia atau utara Eropah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar tidak berkunjung ke Mesir tetapi belum bercadang untuk membawa keluar rakyatnya.
Dalam nasihat Jabatan Negara, Washington berkata rakyatnya dinasihatkan agar mengelak daripada berkunjung ke Mesir berikutan ketegangan politik dan keselamatan yang tidak terjamin. 

Kedutaan Amerika di Kaherah berkata, mereka sudah mengedarkan maklumat bahawa pihaknya sedia menyediakan pengangkutan kepada warga negaranya yang ingin keluar dari Mesir untuk ke negara lebih selamat di Eropah. 

Iraq berkata, pihaknya akan menyediakan pesawat khas untuk membawa keluar rakyatnya dari Mesir manakala Turki akan menghantar lima pesawat untuk membawa pulang 750 rakyatnya dari Mesir. 

Arab Saudi berkata, kerajaan sudah menyediakan 33 penerbangan antara Sabtu dan Isnin untuk membawa pulang rakyatnya di Mesir. - AFP 

Lelaki cuba bom masjid ditahan





2011/01/31

DETROIT: Seorang lelaki dari California yang membawa bahan letupan dalam kenderaannya dengan niat untuk mengebom salah satu masjid terbesar di wilayah pada ketika satu majlis pengebumian di sini ditahan pihak berkuasa semalam. 

Polis berkata, Roger Stockham, 63, dituduh Rabu lalu atas kesalahan membuat tuduhan palsu atau ancaman keganasan atau memiliki bahan bahan letupan dengan niat jahat.
Ketua Polis, Ronald Haddad, berkata Stockham membawa sejumlah bahan letupan yang banyak tetapi tidak didedahkan jumlahnya termasuk jenis M-80 yang dilarang di Michigan. - AP

Banjir di Johor ragut 2 nyawa, 28,900 dipindahkan





2011/01/31

LABIS: Banjir di Johor meragut dua nyawa, kedua-duanya wanita dengan 28,900 mangsa dipindahkan di 192 pusat pemindahan di seluruh negeri sehingga 8 pagi tadi. 

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata mangsa yang terkorban dari Kampung Rahmat, Kulai dan Kampung Chaah, Segamat.
Beliau berkata, mangsa yang dipindahkan itu adalah terdiri daripada 6,854 keluarga.

“Segamat, Johor Bahru dan Kluang kini adalah daerah yang paling teruk dilanda banjir dan hujan dijangka berterusan sehingga esok,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Sementara itu, semua hubungan ke Daerah Segamat kini lumpuh manakala laluan ke Muar, Johor Bahru dan Kuala Lumpur di kedua-dua hala turut ditenggelami air. 

Laluan ke Pekan Labis yang semalam dinaiki air kini sudah surut tetapi kawasan pinggir daerah itu masih digenangi air. 

1,900 mangsa banjir di Negeri Sembilan dipindahkan






2011/01/31

TAMPIN: Kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah di Negeri Sembilan dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan beberapa kawasan di daerah tersebut dilanda banjir akibat hujan sejak semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tampin berkata seramai 1,545 mangsa di daerah kecil Gemas dan daerah Tampin dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di dua daerah itu.Katanya 416 mangsa dipindahkan di Sekolah Tunku Abdul Rahman, Dewan Kampung Tiong (64 mangsa), Balai Raya Kampung Ladang (4), Masjid Kampung Londah (38), Dewan Sungai Kelamah (260), Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4 (125), Balai Raya Kampung Parit Buluh (325) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalor (150).
Pusat pemindahan lain ialah di tokong Buddha Air Kuning (25), Sekolah Kebangsaan Ladang (54), masjid Kampung Gedok, Gemencheh (20), Masjid Kampung Sungai Dua, Gemencheh (35) dan satu pusat pemindahan di daerah Tampin di surau Kampung Keru Hilir, Repah (29).

Sementara itu, di daerah Jempol 235 penduduk dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan banjir di daerah itu.

Seramai 88 mangsa dipindahkan di pusat ko-kurikulum kawasan Jempol di pekan Jelai, Sekolah Kebangsaan Palong 1 (80), Balai Raya Kampung Baru Rompin (24)Balai Raya Kampung Datuk Johan (20), Sekolah Kebangsaan Rompin (13), Balai Raya Kampung Dusat, Air Hitam (6) dan Dewan Orang Ramai Ladang Geddes (4).

Di daerah Kuala Pilah pula tiga pusat pemindahan dibuka di mana 77 mangsa dipindahkan ke Dewan Besar Dangi, Dewan Bandaran Majlis Daerah Kuala Pilah (51) dan Balai Raya Kepis (13). - BERNAMA 

Pahang mula dilanda banjir





2011/01/31

KUANTAN: Pahang mula dilanda banjir apabila 419 mangsa membabitkan 101 keluarga di tiga daerah iaitu Rompin, Raub dan Bentong dipindahkan ke pusat pemindahan pagi tadi.